Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (155 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Tesis Doktor Falsafah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Dasar kerajaan dan kesannya terhadap bahasa Melayu di negara Thai
Abstrak
Disertasi ini merupakan satu kajian tentang dasar kerajaan Thai dan kesannya terhadap bahasa Melayu di negara Thai berdasarkan disiplin Sosiolinguistik dalam rangka Teori Pertembungan Bahasa dan Pinjaman Bahasa, disiplin Sains Dasar dalam rangka Teori Analisi Dasar Awam. Kajian ini memfokuskan sosiolinguistik tulen yang menyentuh beberapa cabang kajian sosiolinguistik yang berkenaan. Matlamat kajian adalah untuk melihat hubungan dasar-dasar tertentu kerajaan dan kesannya terhadap bahasa Melayu.
Bab I Pendahuluan. Bab ini mengandungi pengenalan secara umum latar belakang masyarakat di Thailand, dasar negara Thailand terhadap pembinaan bangsa, kesan hubungan dasar pembinaan bangsa dengan masyarakat Melayu. Bab ini mengemukakan tujuan kajian, bidang kajian dan ruang lingkup, kawasan kajian dan skopnya, hipotesis serta hasil yang dijangkakan. Pendekatan teori yang merangkumi konsep dasar, dasar bahasa, dasar penyelesaian masalah golongan minoriti dan ringkasan rangka teori yang mencakupi dua kaedah penting, iaitu kaedah sosiolinguistik dan kaedah dasar awam turut dikemukakan. Bab I juga menyebut tentang komponen-komponen kajian seperti kaedah kajian, kepentingan dan masalah kajian, kajian-kajian yang telah dilakukan, definisi istilah dan informan.
Text
Perubahan sosial dalam masyarakat Bajau Kota Belud, Sabah
Sinopsis
Kajian ini bertujuan mengesan dan menganalisis proses perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat Bajau Kota Belud, Sabah, terutama meneliti hubungannya dengan kolonialisme dan perkembangan ekonomi kapitalis di Sabah. Kajian ini cuba menunjukkan bahawa kolonialisme dan perkembangan ekonomi kapitalis di Sabah telah mengakibatkan perubahan terhadap ekonomi tradisional atau ‘natural economi’ masyarakat Bajau, khususnya dari segi bentuk dan hubungan pengeluaran. Namun begitu, perubahan-perubahan tersebut tidak membawa pembangunan dalam erti yang sebenar kepada masyarakat Bajau. Masyarakat Bajau sebagai masyarakat pinggir tetap mundur atau miskin dan tidak membangun seimbang dengan masyarakat kapitalis di kawasan pusat.
Matlamat penyelidikan, kerangka teori (yang memberi panduan terhadap usaha menginterprestasikan data yang dibentangkan dalam kajian ini) dan metode penyelidikan dijelaskan dalam Bab 1. Ini diikuti oleh Bab 2 yang memberikan satu penelitian umum tentang orang Bajau dan daerah Kota Belud.
Perbincangan utama dalam kajian ini dilakukan dalam dua bahagian. Bahagian I kajian ini yang mengandungi Bab 3 dan Bab 4 memberi satu gambaran tentang masyarakat Bajau pada zaman tradisional dan situasi pada zaman pemerintahan kolonial. Tujuan utama Bahagian I ini ialah untuk menghuraikan ciri-ciri utama struktur politik dan sosio-ekonomi masyarakat Bajau pada zaman tradisional dan perubahan-perubahan penting yang dialami mereka pada zaman pemerintahan colonial, khususnya perubahan-perubahan yang berlaku akibat perkembangan ekonomi kapitalis di Sabah umumnya.
Text
Riwayat Kelantan : analisis teks, interteks dan konteks
Abstrak
Kajian ini adalah kajian filologi, iaitu melibatkan kerja-kerja mentransliterasi sebuah naskhah bertulisan rumi. Naskhah yang telah siap ditransliterasi ini kemudiannya diberikan anotasi. Berdasarkan naskhah yang telah siap diedit ini satu kajian untuk mencari makna penulisan naskhah-naskhah sastera sejarah dilakukan.
Bab 1 memuatkan latar belakang kajian-kajian yang dilakukan oleh sarjana terdahulu terhadap naskhah Melayu. Tumpuan khusus diberikan kepada naskhah sastera sejarah. Daripada tinjauan itu didapati tidak banyak kajian yang menumpukan kepada usaha mencari makna penulisan sesebuah naskhah. Bab ini juga memuatkan bahan kajian, iaitu teks Riwayat Kelantan yang terdapat dalam bentuk mikro filem di Perpustakaan Besar, Universiti Malaya Kuala Lumpur. Selain daripada itu dijelaskan juga tujuan kajian, bidang dan juga skop kajian ini. Di akhir bab ini diberikan beberapa istilah yang akan digunaakan dalam kajian.
Bab 2 pula merupakan kerangka teori kajian ini. Dalam bab ini dibincangkan beberapa konsep seperti sastera, adab, analisis teks, interteks dan konteks. Dalam bab ini juga dibincangkan lima model kajian sarjana-sarjana terdahulu yang bertujuan untuk mencari makna teks. Perbincangan model-model kajian ini adalah sebagai usaha untuk membina sebuah model yang akan digunakan dalam kajian ini. Daripada beberapa model kajian yang dibincangkan itu tidak ada satu pun model kajian yang berupaya mencari makna hakiki sesebuah karya kerana mereka mengabaikan faktor agama, Dengan yang demikian dalam bahagian terakhir bab ini dikemukakan model kajian hermeneutik-adab yang akan digunakan dalam kajian ini.
Bab 3 merupakan satu perbincangan secara umum tentang negeri Kelantan seperti asal mula Kelantan mendapat nama, faktor-faktor yang menyumbang kearah kemunculan ramai penulis-penulis di Kelantan. Akhir sekali dibincangkan beberapa naskhah Melayu lama yang ada di Kelantan pada masa ini.
Text
Novel-novel A. Samad Said : menghayatinya dari sudut estetika sastera
Abstrak
Kajian ini akan dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu pertama bahagian pengenalan; kedua bahagian kajian terhadap teks; dan ketiga bahagian kesimpulan. Dalam bahagian pengenalan termuat dengan pengertian umum estetika, erti keindahan, erti seni, sejarah perkembangan ilmu falsafah estetika secara ringkas tetapi menyeluruh, dan juga memperjelaskan aspek-aspek estetika yang ada kaitannya dengan kepentingan kajian ini. Di samping itu, penjelasan juga diberikan tentang kaedah-kaedah pengkajian yang digunakan dalam mengkaji novel-novel A. Samad Said ini. Bahagian ini di anggap sebagai penting memandangkan kita perlu memahami pengertian falsafah estetika dan kaedah-kaedah yang akan digunakan itu terlebih dahulu sebelum dapat mengkaji teks-teks khusus.
Bahagian kedua pula dipecahkan kepada tiga bab, iaitu Bab ii, Bab III dan Bab iv. Bab II memuatkan persoalan-persoalan penghayatan kita terhadap keindahan isi yang merupakan peristiwa-peristiwa yang terdapat Dalam Sembilan buah novel A. Samad Said yang menjadi tumpuan kajian. Dalam bab ini kita dapat melihat bagaimana isi novel-novel ini mampu menarik minat dan memberikan pengalaman estetika kepada kita yang menghayati. Bab III pula membicarakan tentang keindahan pernyataan dalam novel-novel yang diteliti. Bab ini cuba meneliti bentuk-bentuk tertentu pernyataan, khususnya khayalan, gerak-laku dan pengucapan watak-watak dalam novel-novel ini, yang berhasil memancarkan pergolakan jiwa atau emosi para wataknya sehingga mampu pula mempengaruhi jiwa dan perasaan kita yang menghayatinya lalu turut merasaan seperti apa yang dirasakan oleh para watak brkenaan. Manakala Bab IV pula membicarakan tentang keindahan pelbagai bentuk gubahan yang terdapat dalam novel-novel yang diteliti. Kita akan melihat bagaimana gubahan-gubahan itu mempunyai kesan-kesan estetika tertentu dalam menyampaikan peristiwa atau sesuatu pernyataan. Kita juga akan melihat bagaimana suatu bentuk gubahan pernyataan itu mampu untuk menyatakan sesuatu yang tersirat dan berkehendak tafsiran di sebalik apa yang tersurat di dalamnya.
Bahagian ketiga dan terakhir merupakan kesimpulan kepada apa yang telah dikaji. Segala rumusan dilakukan dalam bahagian ini mengenai setiap penemuan yang diperolehi, iaitu termasuklah keindahan pada peniruan, keindahan pada bentuk, keindahan pada pernyataan dan keindahan pada kesatuan dalam kepelbagaian dan melihat bagaimana unsur-unsur itu berhasil membangkitkan kepuasan estetika kita dalam penghayatan karya-karya yang diteliti. Kita juga disini melihat kedudukan A. Samad Said dan karya-karya khususnya yang dikaji dalam dunia kesusasteraan nasional dan dunia internasional.
Text
Puisi Melayu moden : kajian teori pengkaedahan Melayu
Abstrak
Tesis ini mengkaji puisi-puisi Melayu moden dengan penerapan teori Pengkaedahan Melayu dan menjurus kepada Pendekatan Firasat dan Pendekatan Dakwah, iaitu dua daripada enam Pendekatan yang terangkum di dalam teori tersebut.
Objektif kajian ialah untuk melihat unsur alam dan unsur dakwah di dalam puisi Melayu moden. Unsur alam diteliti dari penggunaan kata-kata yang merupakan objek alam, iaitu tumbuh-tumbuhan, haiwan, laut dan waktu (pertukaran malam dan siang). Unsur dakwah dikenal pasti daripada maksud puisi, pemikiran dan sikap penyair yang selaras dengan aliran agama Islam dengan merujuk kepada ayat-ayat Al-Quran. Al-Hadith dan tulisan-tulisan pemikir Islam. Dengan mengambil karya-karya daripada ramai penyair, dapatlah dilakukan analisis secara perbandingan bagi meninjau persamaan dan perbezaan di dalam cara penyair-penyair menggunakan objek-objek alam fizikal pada lapis tersurat bagi menyampaikan maksud tersirat, iaitu maksud puisi yang sebenar.
Showing 151 to 155 of 155 results
Page
of 4
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->