Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (155 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Tesis Doktor Falsafah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Hubungan etnik dalam novel-novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan terpilih berlandaskan model etika hubungan etnik
Abstrak
Hubungan etnik yang dinaratifkan dalam novel-novel remaja merupakan sebahagian daripada kenyataan sosial dan cerminan kepada kehidupan realiti masyarakat. Namun begitu, manfaat yang dapat diberikan oleh novel remaja dalam mengetengahkan isu berkaitan etika hubungan dan peranannya sebagai medium pemahaman dan penyatuan hubungan etnik kurang perhatian masyarakat terutamanya untuk mengangkat novel remaja sebagai bahan bacaan yang boleh digunakan oleh remaja bagi memantapkan pengetahuan tentang hubungan etnik. Kajian ini mendukung tiga objektif utama. Pertama menjelaskan representasi hubungan etnik dalam novel-novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) terpilih. Kedua, menganalisis hubungan etnik dalam novel-novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) terpilih dari perspektif etika seni, etika agama, etika sosibudaya, etika ekonomi dan politik berlandaskan Model Etika Hubungan Etnik (MEHE). Ketiga merumuskan hubungan etnik dalam novel-novel remaja HSKU berlandaskan MEHE. MEHE merupakan model yang dibangunkan hasil gabungan daripada Teori Etika dalam Sastera oleh Sugiarti & Eggy Fajar Andalas (2018) dan Perspektif Etika Ekonomi dan Politik oleh Mohd Rashid Md Idris (2011) untuk mengkaji hubungan etnik dalam novel-novel remaja HSKU terpilih secara menyeluruh. MEHE mengandungi empat perspektif Etika Seni, perspektif Etika Agama, perspektif Etika Sosiobudaya dan perspektif Ekonomi dan Politik.
Text
Penguasaan kosa kata Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar antarabangsa di Universiti Malaya
Abstrak
Kosa kata bahasa Melayu mempunyai peranan yang penting terutamanya kepada pelajar antarabangsa untuk berkomunikasi dengan berkesan. Kekangan yang dihadapi oleh pelajar antarabangsa untuk menguasai bahasa Melayu disebabkan oleh kekurangan kosa kata kerana kurang menggunakan strategi pembelajaran kosa kata dengan sebaik mungkin semasa mempelajari bahasa Melayu. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis saiz kosa kata bahasa Melayu di samping menghuraikan hubungan kolerasi penggunaan strategi pembelajaran kosa kata yang diamalkan oleh pelajar semasa mempelajari bahasa Melayu. Selain itu, kajian ini akan menilai faktor-faktor yang mempunyai hubungan yang signifikan terhadap penguasaan kosa kata bahasa Melayu dengan menggunakan Model Pemerolehan Bahasa KEDUA Ellis (1994) dan Taksonomi Schmitt (1977). Kajian berbentuk kuantitatif ini dijalankan terhadap 30 orang pelajar antarabangsa ijazah tinggi yang sedang mengikuti kursus Bahasa Malaysia Asas di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya. Terdapat dua instrument kajian yang digunakan, iaitu ujian penilaian kosa kata dan borang soal selidik berkaitan strategi pembelajaran kosa kata bahasa Melayu.
Text
Amalan tradisi "kejawen" dalam seni pemainan kuda kepang di negeri Johor
Abstrak
Kuda kepang merupakan seni tari persembahan masyarakat Jawa yang terdiri daripada dua bentuk kegiatan iaitu tarian untuk tujuan hiburan dan permainan yang mempunyai upacara ritual. Amalan ritual yang dilakukan sebelum persembahan tarian bermula telah mengubah corak persembahan kuda kepang daripada bentuk seni tari kepada permainan. Kedua-dua bentuk kegiatan kuda kepang telah diharamkan oleh jawatankuasa mufti negeri Johor kerana amalan ritual yang dilakukan/dijalankan mengamalkan unsur khurafat dan syirik. Pengkajian berbentuk kualitatif dengan reka bentuk kajian ini menganalisis hubungan unsur ritual, mengesan unsur mabuk dan merumus amalan ‘’kejawen’’ dalam seni permainan kuda kepang yang membabitkan pendokong kegiatan yang beragama Islam di Johor. Fokus kajian terhadap kegiatan permainan ini membabitkan amalan kejawen masyarakat Jawa yang telah dikatakan wujud sebelum kedatangan Islam ke Pulau Jawa dan Nusantara pada sekitar abad ke tujuh. Hasil dapatan kajian memperlihatkan amalan kejawen yang diakukan ini mampu menyebabkan permain itu mabuk mengubah corak persembahan tarian kuda kepang kepada permainan upacara ritual. Kandungan data selari dengan teori Roy A. Rappaport yang menyatakan bahawa sesuatu tarian dikategorikan sebagai tarian ritual apabila berlakunya proses upacara tersebut sebelum persembahan dimulakan.
Text
Keruntuhan Akhlak Dalam Novel-novel Melayu Terpilih Berdasarkan Model Elemen Keruntuhan Akhlak
Abstrak
Kajian ini merupakan sebuah penelitian berkaitan elemen keruntuhan akhlak yang melingkari kehidupan masyarakat Melayu berdasarkan novel-novel Melayu tempatan. Antara novel yang dikaji, ialah Salina (2016), Sungai Mengalir Lesu (1997), TIVI (2018), Patriarch (2010), Perempuan Politikus Melayu (2016) Profesor (2017), Permasalah kajian ini bertitik tolak daripada usaha untuk mengenal pasti serta memahami bentuk-bentuk keruntuhan akhlak yang diketengahkan menerusi karya-karya sastera dan kerterbatasan sumber rujukan di peringkat kajian ilmiah berkaitan perihan tersebut. Tiga objektif telah ditetapkan dalam penyelidikan ini, iaitu menjelaskan elemen keruntuhan akhlak berdasarkan Model Elemen Keruntuhan Ahklak (MEKA), menganalisis elemen keruntuhan akhlak dalam novel-novel terpilih berdasarkan MEKA dan akhir sekali menilai elemen keruntuhan akhlak yang dominan dalam novel-novel terpilih berdasarkan MEKA. Kajian ini menggunakan kaedah kajian kepustakaan dan analisis teks dengan mengaplikasikan Model Elemen Keruntuhan Akhlak (MEKA), iaitu hasil penyesuaian daripaada Teori Kajian Budaya, Chris Barker (2012) dengan Pendekatan Ihya ‘Ulumuddin, Al-Ghazali (2013). MEKA mengandungi tiga prinsip utama iaiatu Tindaan yang Memusnahkan, Bahasa yang merosakkan dan Kuasa yang Membinasakan. Prinsip Tindakan yang Memusnahkan menerangkan bentuk-bentuk keruntuhan akhlak yang dilakukan secara sengaja oleh pelaku dan perbuatan tersebut bukannya bersifat menyakiti atau merugikan pihak lain. Prinsip bahasa yang Merosakkan pula membincangkan bentuk-bentuk bahasa yang tidak wajar diamalkan dalam persekitaran hidup masyarakat Melayu hingga dikategorikan sebagai kelompok elemen keruntuhan akhlak dalam aspek bahasa.
Text
Penelitian kualiti kehidupan janitor melayu di lembah klang
Abstrak
Dasar pembangunan Mampan yang dikeluarkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia telah menggariskan beberapa matlamat yang perlu dipenuhi untuk memastikan kesejahteraan sejagat diperoleh masyarakat dunia. Matlamat ini bertujuan untuk memastikan semua individu mempunyai akses yang sama rata kepada hak sebagai seorang manusia dalam aspek meningkatkan kualiti hidup manusia. Begitu juga dengan hak yang perlu diberikan kepada kumpulan pekerja domestik janitor. Walaupun janitor terdiri daripada kumpulan kerja 3D, namun setiap janitor ini berhak menerima keperluan hidup dan akses kepada semua aspek kualiti hidup yang dinikmati oleh seorang individu. Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis latar belakang pekerja janitor Melayu di Lembah Klang, menilai bentuk-bentuk kesukaran yang dihadapi oleh janitor Melayu di Lembah Klang serta merumuskan pandangan masyarakat terhadap sektor pembersihan di Lembah Klang. Pendekatan yang digunakan dalam kajian ini berbentuk kualitatif yang terdiri daripada temu bual terperinci, pemerhatian secara ikut serta dan pembacaan kepustakaan. Dapatan kajian menunjukkan terdapat perubahan penerimaan dan pelabelan kumpulan masyarakat kepada sektor pembersihan berbanding kajian-kajian terdahulu yang bersifat negatif.
Showing 151 to 155 of 155 results
Page
of 4
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->