Asal usul kegiatan ekonomi masyarakat melayu Melaka sebelum kesultanan melayu Melaka

Dublin Core

Subject

Melaka -- History.

Description

Pengenalan
Pendahuluan
Antropologi merupakan salah satu bidang yang sangat luas kerana bidang ini mampu mengkaji manusia dari pelbagai sudut dan tidak ada had serta batasan. Oleh sebab itu, bidang ini sentiasa bergabung atau memasuki dalam bidang pengkajian yang lain. Bidang ini dipelopori oleh orang Eropah pada awalnya. Menurut pemikiran orang Eropah, bidang pengkajian boleh dibahagikan kepada empat jenis sains tulen, bidang sains sosial, bidang kemanusiaan dan bidang teologi. Antropologi adalah sebuah bidang yang mengkaji manusia secara teratur dan tersusun dan bidang ini biasanya digolongkan dalam bidang sains sosial. Perkataan “Anthropology” berasas dari perkataan Yunani iaitu “anthropos” yang membawa maksud manusia dan “logia” pula membawa maksud kajian sistematik tentang ataupun sains.(Holmes 1981:3). Bidang ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan tujuan asal bidang ini adalah untuk mengkaji tentang manusia dan kepelbagaian cara hidupnya. Bidang Antropologi ditubuhkan oleh orang Eropah untuk melihat kebudayaan orang lain selain daripada kebudayaan mereka.
Orang pertama yang mempelopori bidang ini ialah Edward B.Tylor kerana beliau Berjaya menjadi Profesor yang pertama dalam bidang Antropologi di Universiti Oxford. Perkembangan awal bidang Antropologi di Eropah lebih tertumpu kepada pengukuhan ketinggian tahap pencapaian masyarakat Eropah dan mereka hanya menerima kerangka teori evolusi sehala. Sebaliknya, Antropologi di Amerika Syarikat menolak kerangka teori ini dan membentuk idea-idea asas dalam bidang ini. Bidang Antropologi aliran Amerika Syarikat dipelopori oleh Franz Boas yang berbangsa Jerman. Menurut pendapat beliau, semua manusia di dunia ini adalah sama dan yang membezakannya adalah kebudayaan mereka. Bidang Antropologi di Amerika Syarikat boleh dibahagikan kepada empat sub-bidang yang kecil iaitu Antropologi Fizikal, Antropologi Kebudayaan,Antropologi Linguistik dan Arkeologi. Keempat sub-bidang ini saling mempengaruhi antara satu sama lain. Menurut bidang Antropologi aliran Amerika Syarikat, sesuatu budaya tidak boleh dikaji secara saintifik malah harus dikaji dengan menggunakan pendekatan relativisme, penelitian turut serta, perspektif emik dan kajian secara menyeluruh ataupun “holistik”. Hal ini demikian kerana, setiap budaya adalah berbeza dan cara pemikiran mereka juga turut berbeza. Oleh itu, seorang pengkaji dari bidang Antropologi kebudayaan harus menggunakan empat perspektif tersebut dan perkara yang paling penting ialah mereka harus menolak sifat etnosentrik. Etnosentrik adalah satu sifat yang membuat kita menganggap kebudayaan kita lebih baik daripada kebudayaan orang lain dan kita akan membuatkan orang lain mengikut kebudayaan kita.
Antropologi kebudayaan merupakan satu bidang kecil yang lebih memfokuskan kajiannya terhadap budaya manusia. Sesetengah ahli antropologi seperti Franz Boas, Edward Sapir, Malinowski, Ruth Benedict dan Margerat Mead. Para ahli Antropologi tersebut mengkaji sebuah budaya dengan menggunakan pendekatan emik iaitu melihat sesebuah budaya dari kaca mata pengamal budaya itu sendiri. Kajian seperti ini akan mengambil masa yang sangat lama kerana seseorang pengkaji harus menyesuaikan diri mereka dengan budaya yang dikaji itu terlebih dahulu sebelum memulakan kajian mereka.Mereka akan meneliti setiap sudut budaya yang dikaji itu termasuk mempelajari budaya material mereka (peralatan dan perkakas yang digunakan), hubungan kekeluargaan, agama dan kepercayaan, adat perkahwinan, makanan, permainan dan lain-lain. Dalam kajian ini,pengkaji akan menggunakan bidang Antropologi Kebudayaan dan akan meneliti sudut pandangan penulis-penulis lain dan perspektif Antropologi kebudayaan. Oleh sebab itu,pengkaji menceritakan serba sedikit mengenai bidang Antropologi.
Tamadun Melayu merupakan warisan dari Peradaban Dunia. Selain daripada tamadun Melayu, terdapat enam lagi tamadun yang besar dan masyhur seperti tamadun Yunani, Mesir, India,China, Islam dan Jepun. Setiap tamadun ini wujud dan terkenal dengan hasil kesenian, falsafah, perundangan, budaya dan ekonomi sesuatu bangsa. Sebenarnya perkataan tamadun digunakan untuk menggambarkan taraf pencapaian kemajuan rohani dan jasmani sesebuah masyarakat khususnya dari aspek ilmu pengetahuan dan fizikal tetapi mengikut pandangan semasa pula, tamadun merujuk kepada pencapaian yang tertinggi dalam bidang sains dan teknologi. Perkataan tamadun dipinjam daripada bahasa Arab dan diterima pakai dalam bahasa Melayu. Secara tidak langsung, pengertian tamadun menekankan dua aspek yang penting iaitu kehalusan budi pekerti dan pembangunan pembandaran atau penempatan.
Antara penulis yang terkenal dalam bidang ini adalah Ibn Khaldun. Beliau menggunakan istilah ‘umran’ untuk menjelaskan makna tamadun yang merangkumi organisasi sosial dan budaya. Ibn Khaldun telah mengemukakan beberapa ciri-ciri penting yang ada dan perlu dimiliki oleh masyarakat yang maju dan bertamadun dan beliau juga menggariskan unsur-unsur penting yang menjadikan peradaban itu merosot dan lemah. Dalam perkataan bahasa melayu pula, sekurang-kurangnya dua istilah digunakan iaitu ‘tamadun’ dan ‘peradaban’. Selain itu, perkataan tamadun membawa maksud civilization dalam bahasa Inggeris. Istilah ini menggambarkan tahap pencapaian sesuatu masyarakat atau budaya yang kompleks.
Proses perubahan sesebuah manusia daripada taraf tamadun yang rendah kepada yang tinggi boleh berlaku secara berperingkat-peringkat ataupun sekali gus. Namun begitu, faktor yang mendorong kepada kemunculan tamadun (Buku Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Universiti Malaya, hal.13) adalah kedudukan yang strategik. Kedudukan yang sesuai sesebuah tamadun dapat membantu membangunkan sesebuah penempatan dan membolehkan penduduk di kawasan itu memperoleh sumber semula jadi untuk menjalankan kehidupan seharian mereka. Faktor yang seterusnya adalah rangsangan keagamaan dan kerohanian. Ajaran agama dan amalan kerohanian mendorong manusia supaya menghayati nilai-nilai kehidupan yang tulus dan suci dan seterusnya membawa kepada kehidupan bertamadun. Seterusnya pula adalah pembangunan ilmu dan menghayati nilai. Pengamalan nilai-nilai moral oleh seseorang pemimpin dan masyarakatnya dapat membantu membantu membangunkan sesebuah Negara ataupun tamadun. Tambahan pula, peningkatan kemahiran dan penghasilan teknologi juga turut menjadi salah satu faktor untuk memajukan sesebuah tamadun. Faktor yang terakhir ialah persaingan dengan tamadun lain. Dalam hal ini terbukti bahawa kepelbagaian tamadun mengamalkan dasar keterbukaan untuk menerima sumber-sumber yang baik daripada tamadun-tamadun lain,yang akhirnya dapat membantu kemunculan tamadun baru.
Tamadun Melayu merujuk kepada sesebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang digolongkan sebagai sekumpulan orang Melayu. Orang Melayu merupakan kumpulan manusia yang bertutur dalam bahasa Austronesia di kawasan Alam Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat sekurang-kurangnya enam ciri untuk mentarifkan orang Melayu. Antaranya ialah ciri fizikal, bahasa, kebudayaan, masyarakat, peninggalan arkeologi dan rekod-rekod penulisan terdahulu. Penempatan orang Melayu ini dikenali sebagai alam Melayu. Alam Melayu merupakan satu kawasan yang sangat luas dan besar. Kawasan ini merangkumi Asia Tenggara, Kepulauan Melayu, Kepulauan Pasifik, dan Madagaskar di benua Afrika (Ahmad Hakimi 2005,1998). Orang-orang Melayu ini tidak suka bergaduh, sentiasa bertolak ansur untuk berinteraksi sesama mereka. Kerjasama ini yang membolehkan pembentukan empayar Sri Vijaya dan Melaka.
Akhir sekali, latihan ilmiah ini akan memfokuskan dan menceritakan tentang ekonomi asal masyarakat Melayu Melaka sebelum kewujudan Kesultanan Melayu Melaka. Disebabkan itu, pengkaji menceritakan serba sedikit tentang tamadun dan sejarah orang Melayu supaya pembaca dapat memahami mengenai kaitan antara kedua-dua perkara ini dengan ekonomi asal masyarakat Melayu Melaka sebelum pembentukan kerajaan Melaka oleh Parameswara sehingga ia menjadi sebagai sebuah kerajaan yang masyhur dan kuat di Asia Tenggara.

Creator

Sri Siva Sangary a/p Egambaran

Source

PL5065 2018 Sri

Date

2018

Contributor

fieda

Type

Academic exercise

Citation

Sri Siva Sangary a/p Egambaran , “Asal usul kegiatan ekonomi masyarakat melayu Melaka sebelum kesultanan melayu Melaka,” Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu, accessed February 3, 2026, https://rimbunan.nusa.my/rimbun/items/show/19698.