Industri pelancongan Pahang : Tarikh-tarikh dan kesan pelancongan di Pahang Darul Makmur
Dublin Core
Description
Abstrak
Kajian menyentuh mengenai industri pelancongan di negeri Pahang Darul Makmur. Bagi permulaannya, kajian akan menyentuh mengenai negeri Pahang secara umum dan juga mengenai sejarah negeri ini. Kajian akan membawa kepada pihak-pihak yang terlibat dalam industri pelancongan selain daripada peranan-peranan yang harus dimainkan atau dijalankan oleh semua pihak sama ada pihak kerajaan, pihak swasta, pihak bukan kerajaan, individu mahupun pelancong itu sendiri.
Dalam bab yang berikutnya, pengkaji menyentuh mengenai destinasi-destinasi menarik yang ada di Pahang. Destinasi-destinasi ini merangkumi destinasi seperti pantai-pantai yang menarik untuk dijadikan tumpuan pelancongan, selain dari kawasan-kawasan tanah tinggi yang mampu menarik sebahagian pelancong untuk berkunjung ke sini. Begitu juga bagi bab seterusnya yang akan menyentuh mengenai tarian-tarian tradisi yang terdapat di negeri Pahang. Bagi setiap jenis tarian, akan diterangkan mengenai sejarah asal-usul mengenainya, diikuti dengan ciri-ciri lain seperti peralatan, kostum, penari dan juga lain-lain yang berkaitan dengannya.
Bab seterusnya dalam kajian ini, akan menyentuh tentang muzium yang terdapat di negeri Pahang, selain akan menyentuh serba sedikit mengenai peranan dan juga fungsi muzium dalam perkembangan teknologi dan juga peredaran zaman. Melalui bab ini juga, pengkaji akan menyentuh mengenai satu jenis permainan tradisi masyarakat di Malaysia yang juga terdapat di negeri Pahang iaitu gasing pangkah. Ia akan menyentuh mengenai sejarah serba sedikit mengenai kewujudan gasing selain dari peraturan-peraturan yang perlu ada dalam sesuatu permainan gasing.
Bagi bab yang keenam pula, pengkaji menyentuh mengenai kesan-kesan pelancongan dari sudut alam sekitar dan juga sosio-budaya dengan melihat impak dari sudut positif mahupun negatif. Penutup kepada bab ini dihuraikan dalam bab yang terakhir. Melalui bab ini, pengkaji akan membuat kesimpulan keseluruhan mengenai industri pelancongan yang ada di Pahang dan pandangan pengkaji mengenai masa depan industri ini di masa hadapan.
Creator
Jumainah Mohamed Bazin