Morfologi Bahasa Murut Timugon
Dublin Core
Description
Abstrak
Kajian ini berkaitan dengan salah satu bidang dalam ilmu linguistik, iaitu morfologi yang mengkaji proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa. Bahasa yang dikaji ialah Bahasa Murut Timugon yang merupakan salah satu kaum di Sabah.
Kajian ini akan meneliti proses-proses yang terlibat dalam pembentukan kata bahasa tersebut seterusnya melihat fungsi proses tersebut. Selain itu, kajian ini akan turut meneliti penggolongan kata secara sepintas lalu untuk menentukan fungsi sesuatu proses pembentukan kata.
Bab 1 akan membincangkan tentang latar belakang kawasan kajian iaitu Negeri Sabah, daerah Tenom dan Kampung Simpangan. Latar belakang kawasan kajian ini meliputi sejarah kawasan, etimologi penduduk serta kegiatan ekonomi yang dilakukan. Dalam bab ini disertakan juga jadual dan carta pai yang berkaitan dengan penduduk Negeri Sabah dan Daerah Tenom.
Bab 2 pula menghuraikan tentang morfologi serta konsep-konsep yang digunakan dalam bidang ini. Antara konsep yang dibincangkan ialah morfem, alomorf dan kata. Selain itu, proses-proses morfologi seperti pengimbuhan, penggandaan, pemajmukan, akronim, perubahan dalam, penggantian dan perubahan kosong turut dibincangkan.
Bab 3 membincangkan tentang proses pengimbuhan yang berlaku dalam Bahasa Murut Timugon. Bab ini akan meneliti tentang proses-proses pengimbuhan yang terlibat seperti awalan,akhiran, awalan-akhiran dan sisipan. Fungsi setiap imbuhan ini juga akan diteliti sama ada sebagai penetap atau pengubah golongan kata.
Bab 4 membincangkan tentang dua proses penggandaan yang ada dalam Bahasa Murut Timugon, iaitu proses penggandaan penuh dan proses penggandaan separa.
Bab 5 akan meneliti tentang proses pemajmukan yang juga merupakan salah satu proses pembentukan kata dalam bahasa ini. Penelitian akan dibuat tentang proses cara bagaimana proses cara bagaimana proses ini berlaku.
Bab 6 membincangkan bab analisis yang terakhir yang juga merupakan proses perubahan kosong. Bab ini akan melihat bagaimana proses perubahan konsonan dan vokal mempengaruhi penggunaan kata-kata tersebut.