Unsur budaya Magis dalam terjemahan Inggeris-Melayu karya J.K.Rowling : ‘Harry Potter dengan Batu Hikmat’
Dublin Core
Description
Abstrak
Kajian ini merupakan kajian unsur budaya dalam penterjemahan yang mengkaji aspek budaya magis sebagai analisis kajian. Budaya magis yang dianalisis ini merupakan budaya yang terdapat dalam sebuah teks karya kreatif yang bergenrekan khayalan,iaitu teks Harry Potter dengan Batu Hikmat (Harry Potter and the Sorcerer’s Stone). Kajian ini juga merupakan sebuah analisis mengenai budaya dalam karya kreatif terjemahan Inggeris-Melayu.
Kajian ini juga memberi perhatian dan kajian semula tentang konsep budaya dan terjemahan. Konsep budaya yang ingin dianalisis dan diketengahkan dalam kajian ini berpandukan pada definisi Nida (1963) mengenai budaya yang berbentuk material dan bukan material. Sehubungan dengan itu, kajian ini juga mengenal pasti pendekatan-pendekatan budaya dalam terjemahan mengikut pendekatan dan kaedah penyelidikan yang dikemukakan oleh para sarjana yang mengkaji bidang penterjemahan seperti pendekatan Akulturasi-Lefevere (1992), pendekatan Realia-florin (1993), dan pendekatan Nida (1963) dalam membuat analisis kajian.
Kajian ini juga mengenal pasti dan menganalisis unsur-unsur budaya magis sama ada dalam budaya material dan budaya bukan material dalam teks Harry Potter and the Sorcerer’s Stone - Harry Potter dengan Batu Hikmat. Unsur-unsur budaya material seperti alatan, makanan, pakaian,dan makhluk, manakala unsur-unsur budaya bukan material pula seperti perayaan, kelakuan, kepercayaan, dan pemikiran. Analisis kajian juga dibuat berpandukan analisis kualitatif dan kuantitatif.