Estetika dalam Adventure Si Peniup Ney : Aspek keindahan bahasa
Dublin Core
Description
Abstrak
Kajian mengenai nilai Estetika dalam Adventure Si Peniup Ney : Aspek keindahan bahasa ini merupakan analisis dan penelitian berkenaan penggunaan dan keberkesanan gaya bahasa dalam novel bercorak keislaman hasil karangan Faisal Tehrani. Bagi tujuan kajian ini, penulis secara umumnya ingin meneliti kandungan bahasa dalam novel, seterusnya mengharap pembinaan dan pengolahan bahasa tersebut sebagai salah satu aspek estetikanya yang cuba dilampiaskan oleh penulis kepada khalayak.
Faktor utama kepada pemilihan novel ini kerana kedudukan novel ini sebagai pemenang pertama kategori novel remaja. Hadiah sastera 2004, dan secara tidak langsung pengkaji merasakan adalah perlu kajian dan analisis terhadap novel ini dilakukan. Seterusnya, novel ini juga mewakili novel-novel sastera lain yang pernah memenangi anugerah hadiah sastera, dan yang dipilih untuk dijadikan bahan utama kajian.
Secara umumnya, kajian ini terbahagi kepada lima bab, yang dimulai dengan bab pengenalan. Dalam bab pertama ini, topik utama dibicarakan adalah berkaitan dengan pendahuluan, permasalahan kajian, latar belakang kajian, tujuan kajian, batasan kajian, bahan utama kajian dan kajian-kajian terdahulu, serta kaedah penyelidikan.
Bab 2, pula memperkatakan konsep-konsep yang perlu difahami dan diketahui dalam proses kajian ini. Ia meliputi pengertian mengenai konsep novel, konsep sastera Islam (novel), konsep estetika secara umumnya, konsep estetika dari kaca Islam, dan konsep gaya bahasa serta kerangka teori Takmilah yang dijadikan landasan pengajian.
Bab 3, adalah bab yang membincangkan latar belakang penulis novel dan pencapaiannya, sinopsis novel yang dijadikan bahan kajian, serta pengelasan dan pengertian aspek gaya bahasa yang dijadikan fokus kajian oleh pengkaji. Aspek kajian yang diperkatakan oleh pengkaji adalah mengenai komponen unsur yang menjadi pecahan gaya bahasa dalam sastera.
Bab 4, pula menempatkan perbincangan dan analisis gaya bahasa dalam novel. Selain itu, bab ini juga mencakupi analisis secara kualitatif dan kuantitatif aspek kajian. Selain itu, dalam bab ini juga mengkaji nilai akhlak yang berjaya dikupas oleh pengkaji melalui novel dan kesimpulan atau dapatan daripada kajian.
Bab 5, merupakan bab terakhir dalam penulisan kajian ini, dan mengandungi kesimpulan dari keseluruhan penulisan. Kesimpulan yang diberikan dapat memperlihatkan keseluruhan gaya bahasa dalam novel dan kesempurnaan novel ini dari sudut pentakmilahannya kepada pembaca. Selain itu, pengkaji juga turut menempatkan pandangan terhadap pencapaian keseluruhan kajian yang dijalankan.
Creator
Yuziha Mohamad Yusof