Diksi kawin-kawin : Alirasn realisme Azizi Haji Abdullah

Dublin Core

Subject

Malay fiction -- History and criticism
Malay literature -- History and criticism

Description

Abstrak
Pemilihan kata atau diksi merupakan satu proses penting dalam penghasilan karya sastera. Penggunaan kata-kata yang tepat dan sesuai merupakan elemen yang membezakan sama ada sesebuah karya itu berjaya menjadi sebuah karya yang bermutu ataupun sebaliknya. Namun, kecenderungan seseorang penulis untuk memilih kata-kata yang tepat dan sesuai itu seringkali mempunyai hubungan secara langsung dengan aliran sastera yang dipegangnya.
Kajian yang dilakukan ini akan mengaplikasikan ilmu stilistik untuk meneliti gaya kepengarangan Azizi Haji Abdullah melalui pemilihan katanya, menerusi novel beliau yang berjudul kawin-kawin. Ini dilakukan untuk mengaitkan diksi yang digunakan dengan aliran sastera yang didukungnya.
Bab pertama kajian ini akan membicarakan tentang latar belakang kajian dalam bidang stilistik, yang pernah dijalankan sebelum ini. Selain itu, bab ini juga akan memperkatakan tentang metodologi, bidang kajian, tujuan, bahan, serta definisi ringkas konsep-konsep yang akan digunakan dalam kajian.
Bab kedua pula akan membincangkan kerangka teoritis kajian ini. Bab ini akan menyentuh tentang sejarah perkembangan ilmu stilistik, di samping memberi huraian tentang konsep-konsep penting yang digunakan dalam kajian ini. Bab ini juga akan menerangkan bahawa analisis yang dilakukan adalah berdasarkan pengaplikasian Model Aliran Realisme, yang akan tertumpu pada unsur simili, penyingkatan dan pengulangan dalam membukti model tersebut.
Bab ketiga pula akan mengulas tentang latar belakang penulis serta pencapaiannya dalam seni penulisan. Bab ini juga akan memberi sinopsis novel Kawin-kawin. Di samping membincangkan unsur tema, watak dan perwatakan beberapa watak penting dalam korpus pilihan.
Bab keempat, kelima dan keenam pula merupakan analisis yang dilakukan, masing-masingnya akan menghuraikan unsur simili, penyingkatan dan pengulangan yang terdapat dalam novel kawin-kawin. Tafsiran daripada analisis dalam bab-bab ini akan memperlihatkan kewujudan hubungan antara proses pemilihan kata dengan gagasan pemikiran penulis
Bab ketujuh pula akan merumuskan segala hasil daripada kajian yang telah dilakukan. Segala dapatan analisis akan menunjukkan kecenderungan penulis untuk memilih kata-kata yang dirasakan sesuai, dan pemilihan itu berlaku berdasarkan aliran sastera yang didukungnya. Merujuk kepada kajian yang dilakukan, kekerapan penggunaan unsur simili berjumlah 253, kekerapan penggunaan unsur penyingkatan berjumlah 649, sementara kekerapan penggunaan unsur pengulangan pula berjumlah 267.
Melalui tafsiran yang diperolehi, penggunaan unsur-unsur ini menampakkan dapatan yang selari dengan matlamat kajian, iaitu membuktikan bahawa diksi yang digunakan penulis mempunyai kaitan secara langsung dengan aliran yang didukungnya. Bab ini akan diakhiri dengan memberi susulan yang relevan pada kajian lanjutan.

Creator

Djohan Abdul Rahman

Source

PL5065 2007 Djoar

Date

2007

Contributor

fieda
niam

Type

Academic exercise

Citation

Djohan Abdul Rahman, “Diksi kawin-kawin : Alirasn realisme Azizi Haji Abdullah,” Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu, accessed February 3, 2026, https://rimbunan.nusa.my/rimbun/items/show/19915.