Analisis ayat majmuk dalam novel ‘Atas Nama Cinta’

Dublin Core

Description

Abstrak
Kajian ini dilakukan berasaskan penggunaan ayat majmuk di dalam novel “Atas Nama Cinta’ hasil tulisan Isa Kamari. Pengkaji memilih untuk membuat suatu kajian ayat majmuk kerana setakat ini, tidak banyak kajian yang dilakukan tentang bidang ini. Bukan itu sahaja, pengkaji juga ingin melihat kepelbagaian penggunaan ayat majmuk yang terdapat di dalam novel ini.
Kajian ini dibuat dengan mengenalpasti jenis-jenis dan kekerapan penggunaan ayat majmuk yang terdapat di dalam novel. Daripada data-data yang telah dikumpulkan, pengkaji akan mengkategorikan ayat-ayat majmuk ini mengikut jenis-jenisnya.
Bab pertama, selaku bab pengenalan kepada kajian ini menerangkan ruang lingkup dan juga aspek-aspek kajian ini seperti objektif kajian,bidang dan sumber kajian, dan pendekatan yang ingin diambil untuk menjalankan kajian ini. Bukan itu sahaja, pengkaji juga telah mengetengahkan pendapat tokoh-tokoh lain seperti Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba), Abdullah Hassan, Arbak Othman dan Asmah Haji Omar tentang bidang kajian yang ingin dilakukan. Kepakaran tokoh-tokoh tersebut dalam bidang bahasa Melayu telah terbukti dan diiktiraf oleh semua pihak baik di dalam negeri mahu pun di luar negara.
Di dalam bab kedua pula, pengkaji telah mengupas kajian-kajian lalu yang mempunyai hubungan dengan kajian tentang ayat majmuk. Kajian-kajian yang telah dikupaskan menunjukkan kepelbagaian daripada sudut penganalisisan ayat majmuk, daripada segi lisan kepada bahasa Melayu klasik. Setelah membaca dan memahami kajian-kajian ini, pengkaji sedikit sebanyak memperoleh pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang kajian yang ingin dilakukan.
Bab yang ketiga pula membincangkan tentang pendekatan yang telah diambil oleh pengkaji untuk melaksanakan kajian ini. Pengkaji telah mengambil pendekatan yang digunakan oleh Nik Safiah Karim di dalam bukunya,Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Di dalam bab ini, konsep ayat majmuk telah diterangkan dengan jelas dan contoh-contoh ayat bagi setiap jenis ayat majmuk juga diberikan huraian dengan selengkapnya.
Bab yang keempat memperlihatkan pengkaji menggunakan konsep Tatabahasa Transformasi Generatif yang dipelopori oleh Noam Chomsky untuk melihat proses sesuatu ayat ditransformasikan daripada satu struktur kepada struktur yang lain. Pengkaji telah menunjukkan contoh-contoh tentang beberapa ayat yang terdapat di dalam novel melalui proses pengguguran unsur kata, penyusunan unsur kata dan penambahan unsur kata. Pengkaji juga telah menunjuk bagaimana proses transformasi ini berlaku melalui kaedah rajah pohon.
Pada bab kelima, rumusan mengenai seluruh kajian yang telah dilakukan tentang gambaran keseluruhan jenis-jenis ayat majmuk yang terdapat di dalam novel telah dihuraikan. Jadual serta carta juga telah ditunjukkan untuk menunjukkan taburan dan kekerapan kehadiran pelbagai jenis ayat majmuk yang terdapat di dalam novel.
Pada bab yang terakhir, pengkaji telah mengongsisama penemuan-penemuan baharu daripada kajian yang telah dijalankan. Pengkaji juga telah memberikan beberapa cadangan-cadangan agar standard penggunaan ayat majmuk ini dapat dikekalkan untuk generasi yang akan datang.

Creator

Ardi Sujak

Source

PL5065 2010 Ards

Date

2010

Contributor

fieda
niam

Type

Academic exercise

Citation

Ardi Sujak, “Analisis ayat majmuk dalam novel ‘Atas Nama Cinta’,” Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu, accessed February 3, 2026, https://rimbunan.nusa.my/rimbun/items/show/20013.