Penguasaan kosa kata bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Melayu Menengah 3 Ekspres di Singapura : Kajian kes di Sekolah Menengah Unity

Dublin Core

Description

Abstrak
Kemerosotan dalam bahasa Melayu sering menjadi topik perbualan yang hangat dalam kalangan ahli bahasa, guru-guru, ibubapa dan juga masyarakat Melayu di Singapura umumnya. Masalah yang semakin runcing ini seakan tiada kesudahannya setelah kajian demi kajian dijalankan beserta cadangan-cadangan oleh para pengkaji terdahulu untuk memperbaiki keadaan, malahan pihak Kementerian Pendidikan Singapura dan para pendidik juga telah mencuba pelbagai cara untuk mengatasinya, namun masalah penguasaan bahasa terutamanya dari segi penguasaan kosa kata masih terus menjejas prestasi para pelajar Melayu.
Fenomena barat telah banyak mempengaruhi budaya dan penggunaan bahasa Melayu pelajar sehinggakan bahasa Inggeris diangkat menjadi bahasa utama dan bahasa ilmu di sekolah-sekolah di Singapura, lantas meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa sampingan sahaja yang sering dianggap tidak penting.
Dalam kajian ini, pengkaji cuba untuk mengesan dan menganalisis penguasaan kosa kata pelajar menengah 3 di Sekolah Menengah Unity yang bakal menduduki peperiksaan peringkat ‘O” atau peringkat biasa. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kertas latihan berbentuk prosedur kloz dalam tiga genre yang berbeza, yang dipetik daripada majalah Dewan Siswa dan diubah suai untuk mengesan tahap penguasaan penulisan serta tahap pefahaman kosa kata pelajar.
Berdasarkan teori Monitor dan Krashen (1982) dan pembentukan kemahiran hasil kajian Muhammad Saiful Haq Hussin (2010), pengkaji menjana pendapat dengan mengaitkan kajian ini dengan melihat bagaimana kemahiran kosa kata itu boleh terbentuk. Bermula dengan pemikiran yang positif dan hasil daripada rangsangan serta gerak balas yang berulang-ulang dapat membina pemahaman sehingga terbentuknya kemahiran. Kemahiran itulah yang menjana input yang boleh ditapis dan dipilih mengikut keperluan. Proses ini akan berulang sehingga terbentuknya kemahiran yang mantap.
Kajian ini ternyata membuktikan bahawa masih terdapat banyak kelemahan dari segi kosa kata bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar Melayu menengah 3 yang menjadi subjek kajian yang disebabkan oleh faktor-faktor luaran yang mengganggu kemahiran bahasa Melayu mereka. Maka pengkaji menyarankan agar semua pihak termasuk pelajar, ibubapa, sekolah dan masyarakat perlu peka dan mengambil langkah-langkah proaktif agar pembelajaran bahasa Melayu tetap kekal relevan,dan mampu menghasilkan para pelajar yang cemerlang dalam bahasa Melayu.
Dalam bab 1, pengkaji menjelaskan sedikit tentang sejarah pendidikan bahasa Melayu di Singapura dan juga sistem penyaluran pelajar dari sekolah rendah ke sekolah menengah.
Bab 2, mengetengahkan kajian lampu yang pernah dibuat oleh pengkaji-pengkaji terdahulu dan juga membincangkan tentang teori dan metodologi.
Dalam bab 3, pengkaji membentangkan dan membincangkan dapatan kajian dan menganalisis dapatan kajian tersebut secara terperinci bagi tahap penguasaan penulisan kosa kata pelajar manakala dalam bab 4 pula pengkaji meneruskan perbincangan dalam menganalisis dapatan kajian bagi tahap pemahaman kosa kata pelajar.
Akhir sekali, dalam bab 5, pengkaji memberi rumusan dan cadangan terhadap masalah yang dihadapi pelajar. Semua anggota masyarakat Melayu bertanggungjawab dalam memastikan bahasa Melayu tetap kekal relevan dan tidak luput dari sistem pelajaran di Singapura. Para pelajar perlu bertindak lebih proaktif untuk memperbaiki penguasaan kosa kata bahasa Melayu mereka agar budaya bahasa Melayu dapat kekal relevan dalam mengharungi zaman pemodenan.

Creator

Karmilah Khamis

Source

PL5065 2012 Kark

Date

2012

Contributor

fieda
niam

Type

Academic exercise

Citation

Karmilah Khamis, “Penguasaan kosa kata bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Melayu Menengah 3 Ekspres di Singapura : Kajian kes di Sekolah Menengah Unity,” Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu, accessed February 3, 2026, https://rimbunan.nusa.my/rimbun/items/show/20188.