Kesantunan bahasa dalam pantun Melayu

Dublin Core

Description

Abstrak
Kesantunan bahasa merupakan satu tatacara kehidupan yang amat dititikberatkan oleh bangsa terutamanya dalam kalangan orang-orang Melayu. Kesantunan bahasa dikaitkan dengan penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab dan memaparkan peribadi mulia seseorang ketika berkata-kata dengan pihak yang berbicara. Keperibadian yang mulia itu juga mampu menjalinkan satu hubungan yang harmoni dalam berkomunikasi dan menjadikan masyarakat yang bersantun itu dipandang mulia dan dihormati.
Dalam kajian ini pengkaji ingin mengenal pasti beberapa faktor kesantunan yang terdapat dalam pantun yang sememangnya telah mendarah daging dan menjadi sinonim pada masyarakat Melayu terdahulu. Beberapa aspek kesantunan akan disentuh dalam mengkaji kesantunan dalam pantun Melayu ini. Pengkaji menjurus kepada budi dalam pantun dan cuba mengupas kesantunan bahasa yang dimanifestasikan dalam bait-bait pantun budi itu.
Bab 1: dalam bab ini pengkaji akan menyelami beberapa jenis pantun untuk menyingkap kehidupan orang-orang Melayu dalam menyemai sikap dan sifat kesantunan melalui pantun sebagai alat pendidikan kepada anak-anak mereka. Di samping itu, dimuatkan juga latar belakang kajian, objektif kajian, permasalahan kajian, batasan kajian, kepentingan kajian, metodologi kajian dan takrifan kajian.
Bab 2: dalam bab ini dikemukakan tentang sorotan kajian dan beberapa kajian lampau yang menunjukkan kajian kesantunan bahasa dan kajian pantun.
Bab 3: dalam bab ini dikemukakan sejauh mana pantun Melayu dapat dibuktikan sebagai satu wadah kesantunan bahasa dalam kalangan orang-orang Melayu. Teori Leech yang memperkenalkan maksim kesantunan menerusi bukunya Principles of Pragmatics, telah digunakan sebagai kerangka teori kajian. Dalam maksim Leech, beliau menekankan semua konsep sopan dalam perhubungan sesama manusia, terutamanya apakah maksud yang hendak disampaikan oleh penutur dan keberkesanan makna yang diterima pendengar. Enam maksim Leech telah dihuraikan dalam bab ini.
Bab 4: bab ini merupakan analisis pantun budi yang dipetik daripada buku Kurik Kundi Merah Saga. Pantun-pantun budi itu dihuraikan dan dikaitkan dengan 6 maksim kesantunan menurut teori Leech.
Bab 5: bab ini merupakan bab penutup yang menghuraikan secara keseluruhan terhadap kajian yang dilakukan. Bahagian ini juga menyentuh tentang peranan pantun dalam memaparkan kesantunan bahasa Melayu ketika zaman itu yang masih boleh diguna pakai dalam mendidik dan memupuk kesantunan bahasa dalam kalangan anak Melayu.

Creator

Mastura Ashari

Source

PL5065 2012 Masa

Date

2012

Contributor

fieda
niam

Type

Academic exercise

Citation

Mastura Ashari, “Kesantunan bahasa dalam pantun Melayu,” Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu, accessed February 3, 2026, https://rimbunan.nusa.my/rimbun/items/show/20191.