Perbandingan seni persembahan Tarian Barongan
di Bali Indonesia dan Parit Raja Johor Malaysia

Dublin Core

Description

Abstrak
Penghijrahan penduduk yang berlaku disebabkan oleh faktor penarik dan penolak yang mendorong mereka untuk berhijrah ke Tanah Melayu pada zaman dahulu telah sedikit sebanyak membawa kebudayaan tradisi mereka meresap masuk ke dalam kebudayaan masyarakat setempat. Penghijrahan orang-orang jawa banyak dilihat bagaimana sebuah masyarakat itu berhijrah dan masuk ke dalam kebudayaan masyarakat terutamanya masyarakat Johor. Dari situ, munculah sebuah masyarakat yang baru di mana kedua-dua budaya itu saling melengkapi antara satu sama lain. Kebudayaan tradisional Jawa yang sememangnya di jadikan panduan dalam kehidupan masyarakat Jawa telah disesuaikan dengan kebudayaan masyarakat setempat. Kebiasaannya, kebudayaan yang dilihat yang dibawa oleh masyarakat Jawa ini ialah seni persembahan, adat resam, cara hidup, dan sebagainya.
Seni persembahan telah menjadi satu sumber kuasa yang dapat membuat sesebuah tempat atau masyarakat itu menjadi sebuah kawasan atau budaya yang mempunyai unsur keseronokan, kebudayaan dan keharmonian. Ia juga dilihat menjadi daya tarikan dan tenaga yang dapat melindungi serta menampilkan keistimewaan manusia dan masyarakatnya. Di malaysia, dilihat mempunyai berbagai jenis kebudayaan dan seni persembahan yang menunjukkan masyarakatnya berjiwa seni dan harmoni. Kebanyakan seni persembahan ini terbentuk melalui peristiwa, sejarah, warisan dari nenek moyang yang dilihat mempunyai hubungan yang rapat dengan alam sekeliling, kepercayaan dan agama sesebuah masyarakat.
Jika ingin dibandingkan di antara seni persembahan masyarakat dahulu dan sekarang, jelas menunjukkan perbezaan yang ketara kini seni persembahan dilakukan mengikut tuntutan agamanya iaitu agama Islam. Jika dahulu, seni persembahan di lakukan adalah bertujuan untuk upacara keagamaan atau ritual (Jawa), kini di Malaysia, ianya lebih kepada persembahan semata-mata bagi menghiburkan masyarakat setempat jika adanya majlis-majlis keramaian. Namun begitu, sama ada dahulu atau sekarang, seni persembahan merupakan identifikasi manusia kepada kehidupan mereka.
Melihat kepada seni persembahan Barongan, ia merupakan satu kesenian yang di adaptasi dari seni Barongan Jawa, Indonesia yang dibawa oleh imigran-imigran yang datang ke Malaysia sewaktu ketika dahulu. Seni persembahan ini hanya didapati di tempat-tempat tertentu iaitu di negeri Johor dan Selangor. Di dalam persembahan yang dilakukan, memperlihatkan beberapa upacara yang sering dilakukan sebelum persembahan itu dilakukan. Namun, pengkaji ingin melihat apakah perbezaan yang ketara yang di lihat di antara kedua-dua masyarakat ini iaitu masyarakat Jawa di Johor dan masyarakat Jawa di Indonesia. Pelbagai jenis elemen, alat muzik, dapat dilihat dalam setiap persembahan yang dilakukan.
Akhir kata, penulisan ini ditulis adalah bertujuan untuk melihat perbezaan di antara seni persembahan Barongan di Indonesia dan seni persembahan dan seni persembahan Barongan di Malaysia. Selain itu, pengkaji ingin mengkaji secara lebih mendalam tentang bagaimana persembahan ini boleh wujud dalam masyarakat Indonesia dan apakah kaitannya dengan agama dan kepercayaan yang dianuti oleh mereka. Diharapkan agar latihan ilmiah ini dapat sedikit sebanyak membuka minda generasi anak muda akan sebuah kebudayaan tradisional masyarakat Jawa yang mempunyai asal-usulnya yang menarik dan unik.

Creator

Nor Raihanah Naim

Source

PL5065 2014 Norrn

Date

2014

Contributor

fieda
niam

Type

Academic exercise

Citation

Nor Raihanah Naim, “Perbandingan seni persembahan Tarian Barongan
di Bali Indonesia dan Parit Raja Johor Malaysia,” Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu, accessed February 3, 2026, https://rimbunan.nusa.my/rimbun/items/show/20321.