Analisis imej Melayu dalam cerpen Malaysia dan Thailand (1970-1985)

Dublin Core

Subject

Malays--In literature
Short stories, Malay--History and criticism

Description

Abstrak

Kajian ini merupakan kajian yang berbentuk analisis perbandingan imej. Tumpuan analisis perbandingan adalah kepada imej-imej watak Melayu dalam cerpen Malaysia dan Thailand (1970-1985). Cerpen dipilih sebagai bahan kajian, bertolak daripada tanggapan bahawa cerpen merupakan dokumen sosio-budaya sesebuah masyarakat. Kajian tertumpu kepada penganalisisan imej Melayu, iaitu imej pemimpin, imej wanita, imej kaum marhaen dan imej manusia kerdil. Didapati bahawa imej-imej watak Melayu dalam kedua-dua aliran cerpen Malaysia dan Thailand membawa ciri-ciri sosiologikal dan politikal yang ketara. Watak dan perwatakan mereka dibentuk oleh keadaan dan pergolakan setempat. Justeru, maka dapat ditemui ciri-ciri kelainan di samping juga ciri-ciri persamaan. Bagi mendapat gambaran yang lebih jelas tentang imej masyarakat Melayu di kedua-dua buah negara, kajian ini ipecahkan kepada enam bab. Bab 1 merupakan huraian tentang latar belakang perkembangan cerpen Malaysia dan Thailand. Huraian ini sekadar untuk melihat perkembangan genre cerpen di Malaysia dan Thailand supaya lebih jelas tentang kedudukan genre cerpen sebagai salah satu cabang dalam kesusasteraan moden di kedua-dua buah negara. Sekali gus untuk lebih memahami tentang susur galur perkembangan cerpen Malaysia dan Thailand sejak dari awal sampai penghujung abad ke-20. Bab 2 menganalisis imej pemimpin untuk melihat persamaan atau kelainan di kalangan golongan ini. Pemimpin dalam kajian ini terbahagi kepada dua kategori, iaitu pemimpin tradisi dan pemimpin moden. Bab 3 memusatkan pembicaraan pada imej wanita. Imej wanita begitu penting untuk diperkatakan. Ini memandangkan kehadiran kaum wanita dalam proses pembangunan negara baik di Malaysia mahupun di Thailand cukup penting Bab 4 memperkatakan tentang imej kaum marhaen di kedua-dua buah negara. Kaum marhaen merupakan jumlah penduduk terbesar di Malaysia dan Thailand. Imej mereka boleh mewakili keseluruhan imej penduduk di negara masing-masing. Penganalisisan dibuat untuk melihat jenis-jenis permasalahan hidup yang dialami oleh bangsa ini. Bab S5 memusatkan pembicaraan pada imej manusia kerdil. Manusia kerdil di sini bermaksud golongan manusia yang kurang berkeupayaan baik dari segi fizikal, mental dan material. Oleh itu, gambaran yang dilihat pada imej-imej manusia kerdil adalah golongan manusia yang tertindas, miskin dan menjadi mangsa kepada keadaan serta waktu. Manakala bab terakhir, iaitu bab 6 merupakan kesimpulan keseluruhan kajian. Dalam bab ini dibincangkan hasil yang didapati daripada analisis-analisis yang telah dilakukan. Hasil kajian ini dapat ditemui bahawa meskipun mereka asalnya daripada satu rumpun namun disebabkan mereka dipisahkan oleh sempadan geopolitik dua buah negara yang mempunyai sistem pemerintahan dan persekitaran yang berbeza mka secara langsung pembentukan peribadi dan perwatakan juga turut berbeza. Paling ketara 1alah tentang ketidaksamaan dari segi mentaliti, gerak-laku dan tindakan mereka dalam usaha memastikan kelangsungan hidup. Ini adalah disebabkan corak pemerintahan di kedua-dua buah negara berbeza. Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu, dua rumpun masyarakat Melayu ini masih juga menampakkan ciri-ciri kesamaan terutamanya dari segi pengekalan jati diri Melayu dan amalan-amalan tradisi yang dikenal pasti sebagai budaya Melayu.

Creator

Abdulroya Panaemalae

Source

PL5065 UM 2004 ABD

Date

2004

Contributor

mki

Rights

Universiti Malaya

Format

Dissertation

Citation

Abdulroya Panaemalae, “Analisis imej Melayu dalam cerpen Malaysia dan Thailand (1970-1985),” Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu, accessed February 3, 2026, https://rimbunan.nusa.my/rimbun/items/show/23690.