Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (155 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Tesis Doktor Falsafah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Kata adjektif bahasa Melayu : analisis makna dari aspek frasalogi dan leksikologi
Abstrak
Objektif utama disertasi ini ialah mengenal pasti dan menjelaskan kemungkinan penggunaan pendekatan kajian leksis dengan tumpuan kepada kata adjektif bahasa Melayu. Umumnya, adjektif kurang diberi perhatian oleh ahli-ahli bahasa berbanding dengan golongan kata utama yang lain. Sebagai unsur inti dalam frasa, struktur dan fungsi adjektif juga telah menimbulkan pelbagai persoalan menarik. Penyelidikan terhadap kewujudan adjektif sebagai unsur utama dalam frasa menunjukkan bahawa struktu dan fungsinya biasanya berhubung kait dengan kata kerja dan kata nama. Akhir sekali dengan meneliti bentuk kata adjektif sebahagiannya menyentuh secara ringkas kelas kata utama keempat dalam bahasa Melayu, iatitu adverba.
Text
Kata kerja gerak dalam dialek Kedah
Sinopsis
Tesis ini adalah satu analisis semantik kata kerja gerak dalam dialek Kedah, iaitu dialek Melayu yang dituturkan di utara Malaysia Barat, khususnya di negeri Kedah. Kajian ini adalah berdasarkan kaedah analisis komponen semantik, iaitu kaedah yang bertujuan menemui dan menyusun komponen-komponen makna perkataan yang biasa termasuk ke dalam lapangan semantik yang sama.
Tesis ini terbahagi kepada bab. Bab I membincangkan perkara-perkara asas yang berkaitan dengan penulisan tesis ini, iaitu tujuan dan bidang kajian, dan latar belakang teori yang diterapkan. Bab II memperkatakan tentang latar belakang dialek Kedah dari aspek penyebaran, fonologi, morfologi dan sintaksis.
Bab III membincangkan penggolongan kata kerja dalam dialek Kedah berdasarkan ciri-ciri morfologi, sintaksis dan semantik. Tujuan bab ini ialah untuk memperlihatkan bagaimana kata kerja boleh digolongkan kepada berbagai-bagai golongan berdasarkan ciri-ciri yang berlainan.
Bab IV membincangkan ciri-ciri kata kerja gerak, khususnya mengenai konsep gerak dan hubungannya dengan pergerakan benda-benda konkrit dan hal-hal yang abstrak, perkaitannya dengan ruang dan masa dan unsur-unsur yang terlibat dalam sesuatu pergerakan.
Bab V membincangkan komponen-komponen semantik gerak yang dimiliki oleh kata kerja gerak dalam dialek Kedah dan Bab VI merupakan penutup tesis ini. Pada bahagian penutup ini diberi kesimpulan mengenai komponen-komponen semantik gerak denan membuat satu penggolongan berdasarkan pola-pola struktur yang tertentu.
Text
Kata majmuk dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai : suatu analisis perbandingan morfologi
Abstrak
Tesis ini merupakan satu cubaan pertama untuk mengkaji secara perbandingan kata majmuk dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai yang merupakan satu unsur yang penting dalam bidang morfologi. Pendekatan yang digunakan ialah teori morfologi yang berdasarkan kriteria sintaksis dan kriteria semantik.
Kajian ini dilakukan dengan tujuan untuk mengenal pasti konstruksi kata majmuk, penjenisan kata majmuk, bentuk kata majmuk serta fungsi dan maknanya dengan cara mengkaji dan menganalisis kata majmuk yang terdapat dalam bahan-bahan yang dikaji. Data yang digunakan untuk analisis berdasarkan dua puluh satu naskah majalah dalam bahasa Melayu, dan dua puluh satu naskah majalah dalam bahasa Thai yang diterbitkan dalam tahun 1993-1994.
Analisis-analisis yang dijalankan menunjukkan bahawa kata majmuk dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai, pada amnya, mempunyai persamaan dalam penggunaan konstruksi bentuk kata majmuk, fungsi dan maknanya. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan dari segi jumlah penggunaan, penjenisan dan perician konstruksi bentuk kata majmuk. Perbezaan ini disebabkan perbezaan jenis keluarga bahasa di antara bahasa Melayu dan bahasa Thai, yang menyebabkan bahasa Melayu mempunyai cara pembentukan kata melalui proses pengimbuhan, tetapi bahasa thai menekankan proses pembentukan kata yang berkaitan dengan unsur nada.
Kajian ini menunjukkan bahawa banyak maklumat dapat dikumpulkan daripada kajian perbandingan yang memberi manfaat kepadaahli-ahli bahasa. Kajian susulan yang lebih lanjut perlu dibuat tentang perbandingan antara kata majmuk dalam bahasa Mekayu dan bahasa Thai dalam data-data yang lain, misalnya dalam laras-laras sains dan teknologi semasa, sastera, cerita rakyat, buku kanak-kanak dan surat khabar.
Text
Kata panggilan dalam komuniti bahasa Melayu Sambas di Kalimantan Barat : sistem dan konteks
Abstrak
Istilah-istilah panggilan dalam satu komuniti selalunya wujud dalam berbagai-bagai bentuk linguistik dengan peraturan penggunaan yang selalunya bersesuaian dengan sistem sosiobudaya komuniti tersebut. Apabila dalam konteks situasi dan peristiwa komunikasi, penggunaanya menjadi dinamik. Penyelidikan ini ialah mengenai sistem panggilan yang berlaku dalam komuniti bahsa Melayu Sambas yang dilakukan berdasarkan tiga tujuan. Pertama, untuk mengenal pasti sistem panggilan dalam komuniti bahasa Melayu Sambas dalam situasi hubungan kekeluargaan dan hubungan sosial yang intim berdasarkan analisis komponensial. Kedua menganalisis sistem panggilan dalam komuniti tersebut dalam situasi hubungan kekeluargaan dan hubungan sosial yang intimberdasarkan analisis kontekstual. Ketiga, mentafsirkan bagaimana sistem panggilan boleh berhubung kait dengan sistem sosiobudaya komuniti berkenaan. Pendekatan etnografi komunikasi diterapkan dalam pengumpuan data lapangan, khususnya dengan menerapkan teknik pemerhatian partisipan dan bukan partisipan. Besamaan itu, dilakukan pula temuduga tidak berstruktur dan perakaman suara perbualan-perbualan yang diperlukan dengan menggunakan alat perakam suara. Di samping itu, transkripsi dialog yang relevan dipilih daripada beberapa filem yang diproduksi oleh rumah produksi tempatan untuk mengesahkan bagaimana bentuk-bentuk panggilan yang ada digunakan secara kontekstual. Untuk analisis data digunakan dua model analisis. Pertama, model analysis komponensial dan kedua, model analisis kontekstual, mengikut model etnografi komunikasi oleh Dell Hymes. Dapatan penyelidikan ini ialah sebagai berikut: Pertama, bentuk-bentuk panggilan dalam bahasa Melayu Sambas daripada berbagai-bagai bentuk linguistik, meliputi kata nama, kata ganti nama diri kedua, kata nama, jenama kekekluargaan, berbagai-bagai istilah rujukan status sosial, gelaran, dan julukan.
Text
Kata-kata Sanskrit dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai : satu kajian perbandingan dari segi fonologi
Abstrak
Tesis ini merupakan cubaan awal yang diadakan untuk mengisi kekosongan kajian linguistik perbandingan di antara bahasa Melayu dan Bahasa Thai yang mengkhusus kepada perbandingan fonologi bagi kata-kata pinjaman daripada bahasa yang terserap ke dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai dengan menggunakan pendekatan yang berdasarkan teori standard fonologi yang diperkenalkan oleh Noam Chomsky dan Halle (1968) andrson (1974).
Kajian ini dilakukan dengan tujuan untuk mengenal pasti kaedah penyerapan bunyi bahasa Sanskrit ke dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai dan mengemukakan perbezaan proses fonologi bagi kata-kata Sanskrit dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai dengan cara mengkaji dan menganalisis kata-kata pinjaman Sanskrit yang terdapat di dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai. Analisis ini melihat persamaan dan perbezaan antara segmen-segmen tertentu bagi bunyi dalam sesuatu perkataan daripada bahasa sumber yang mengalami perubahan dalam bahsa sasaran mengikut sistem fonologi masing-masing.
Pengesahan data yang dijadikan bahan-bahan perbandingan dalam tesis ini dilakukan dengan merujuk khas kepada kamus dwibahasa (Sanskrit-Inggeris) yang diterbitkan yang diterbitkan oleh Oxford University Press berjudul ‘A Practical Sanskrit Dictionary – with transliteration, accentuation, and etymological analysis throughout’’ (Macdonell,A.A., 1976).
Text
Kearifan tempatan dalam cerita rakyat Dayak Kanayatn : kajian hermeneutik
Abstrak
Cerita rakyat Dayak Kanayatn mencerminkan pelbagai ragam peristiwa kehidupan masyarakatnya yang berhubung kait dengan wold view, ajaran moral, dan pelbagai bentuk kearifan tempatan yang bermanfaat bagi pembinaan minda generasi muda. Pada kenyataannya semakin sedikit komuniti Dayak Kanayatn yang mempusakai cerita rakyatnya. Keadaan ini mendorong pengkaji untuk melestarikan cerita rakyat dengan merakam, mendokumentasikan, dan mengkajinya secara mendalam. Kajian ini difokuskan pada 16 buah cerita yang terkategori sebagai gesah dan singara. Objektif kajian dalam penyelidikan ini adalah menganalisis aspek-aspek kearifan tempatan, mentafsirkan simbol-simbol fizikal daripada kearifan tempatan, dan mentafsirkan simbol-simbol spiritual daripada kearifan tempatan Komuniti Dayak Kanayatn yang wujud dalam cerita rakyat. Pengkaji menggunakan metode kualitatif dan pendekatan hermeneutik menurut pemikiran Paul Riceour. Sumber data ialah cerita rakyat. Data dalam penyelidikan ini adalah aspek-aspek kearifan tempatan dan simbol-simbol kearifan tempatan yang wujud dalam kata, ayat, frasa, mahupun paragraph daripada cerita-cerita rakyat. Pemerolehan data dilakukan melalui kajian lapangan dan kajian kepustakaan. Analisis dan pentafsiran dilakukan dengan mengaplikasikan konsep simbol, konteks, kearifan tempatan, dan teori hermeneutik. Dapatan daripada penyelidikan menunjukkan bahawa aspek-aspek kearifan tempatan itu mencakupi pengetahuan tempatan, nilai-nilai tempatan, teknologi dan keterampilan tempatan, sumber daya tempatan, sistem pengambilan keputusan tempatan, dan kesolideran kelompok tempatan. Pentafsiran terhadap simbol-simbol fizikal daripada kearifan telah berjaya memaknai Sembilan belas simbol, iaitu rumah panjang, ladang, dango padi (lumbung), padi, beras, anak lembaran daun, sirih, dango uma (pondok ladang), paca ‘basa’, kepala kayau, senjata dan peralatan pertanian, gasing, perahu, makanan tradisonal, hutan, burung enggang, babi, tikus dan burung pipit, serta burung keto, buria, kutuk dan binatang rasi.
Text
Kecerdasan emosi dalam novel remaja
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk mengenal komponen-komponen kecerdasan emosi dalam novel-novel remaja dan pengaruh komponen kecerdasan emosi terhadap pembentukan sahsiah remaja dalam novel kajian. Kehadiran komponen kecerdasan emosi dapat dikesan melalui peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh watak yang pastinya mempunyai kaitan denga latar belakang watak dan tahap kecerdasan emosi yang dimiliki oleh remaja tersebut. Remaja yang pandai mengurus emosi pastinya memiliki sifat remaja unggul iaitu mempunyai keimanan yang kukuh, akhlak yang mulia dan disanjung oleh semua orang. Terdapat tiga objektif yang dicapai dalam kajian ini iaitu, mengenal pasti kehadiran komponen kecerdasan emosi pada watak-watak yang terdapat dalam teks kajian, menganalisis kecerdasan emosi yang terdapat pada watak-watak protagonis remaja berdasarkan Model Kecerdasan Emosi (MKE) dalam teks kajian dan menilai pengaruh dan kepentingan komponen kecerdasan emosi terhadap pembentukan sahsiah unggul watak protagonist remaja dalam teks terpilih. Kajian ini berlandaskan Teori Kecerdasan Emosi yang dipelopori oleh Mayer dan Salovey (1990) dan Teori Kecerdasan Emosi oleh Daniel Goleman (1995/1999). Selain itu, Pendekatan Tauhid juga diguna pakai untuk melihat apspek-aspek kerohanian Islam dalam diri remaja.
Text
Keinginan rasa cinta, kehormatan dan kemasyhuran dalan puisi terpilih Dharmawijaya
Abstrak
Kajian ini menganalisis kumpulan puisi yang dihasilkan oleh penyair Dharmawijaya, iaitu kumpulan puisi Warna Maya (1974), Derita Buana (1992), Jejak Kembara (1999) dan Mutiara Kenangan (2006). Keempat-empat kumpulan puisi tersebut dikaji menggunakan Teori Psikoanalisis Freud. Sigmund Freud (1989) merupakan ahli psikologi yang banyak membincangkan tentang keinginan-keinginan dalam diri penyair melibatkan rasa cinta, kehormatan dan kemasyuran. Kajian ini menghuraikan perasaan semulajadi, pengalaman, keinginan dan tingkah laku penyair sehingga terhasilnya puisi. Permasalahan dalam kajian berkait dengan insan, masyarakat dan alam. Kajian tekstual dilakukan secara kualitatif mengambil kira tentang kehidupan dan pengalaman penyair Dharmawijaya. Kajian kepustakaan dan temubual juga dijalankan bagi mencapai objekif kajian. Puisi-puisi yang dihasilkan oleh penyair Dharmawijaya dianalisis bagi menilai sejauh mana wujud dan tergambarnya keinginan-keinginan penyair terhadap rasa cinta, kehormatan dan kemasyuran, Keinginan-keinginan yang wujud dalam diri penyair mempengaruhi pemikiran kreativitinya yang diperlihatkan melalui aspek insan, masyarakat dan alam. Penggunaan konsep-konsep tertentu dari Teori Psikoanalisis Freud yang bersesuaian dengan analisis seperti mekanisme helah bela diri membantu penyair menyampaikan keinginan yang wujud dalam dirinya berdasarkan pengalaman yang pernah dialami. Kajian terhadap puisi-puisi Dharmawijaya, membuktikan bahawa pengalaman yang pernah dilalui oleh penyair mempengaruhi keinginan terhadap rasa cinta, kehormatan dan kemasyuran. Keadaan tertekan yang dialami penyair disampaikan dalam bentuk puisi. Melalui kajian ini, mekanisme helah bela diri represi, sublimasi dan pindah gentian didapati berperanan bagi menyatakan keinginan dalam diri dengan penuh penghayatan. Kesan daripada keadaan bawah sedar dan tekanan yang dialami oleh penyair. Dharmawijaya menyebabkan wujudnya idea dan pemikiran yang menampakkan rupa bentuk dan gaya kepenyairan dalam puisi-puisi yang dihasilkan. Kesimpulannya didapati bahawa penyair menyalurkan keinginan dalam dirinya yang berkaitan dengan rasa cinta, kehormatan dan kemasyuran menggunakan mekanisme helah bela diri berdasarkan pengalaman sebenar yang pernah dilalui dan memenuhi norma masyarakat.
Text
Keinginan watak dalam novel Melayu terpilih dari perspektif lagan
Abstrak
Tesis yang bertajuk ‘’Keinginan Watak dalam Novel Melayu Terpilih dari Perspektif Lacan’’ ini dihasilkan untuk mengkaji kesusasteraan Melayu berdasarkan Teori Psikoanalisis Jacques Lacan. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji keinginan watak dalam novel-novel terpilih daripada karya Shahnon Ahmad, Azizi Haji Abdullah dan Anwar Ridhwan. Kajian ini dilakukan terhadap dua buah novel daripada setiap pengarang. Jumlah novel yang dianalisis dalam kajian ini adalah sebanyak enam buah novel. Novel-novel Shahnom Ahmad yang dianalisis ialah Ranjau Sepanjang Jalan (1966) dan Srengenge (1973). Karya-karya Azizi Haji Abdullah yang digunakan dalam kajian ini ialah harga Sebuah Maruah (2007) dan Seorang Tua di Kaki Gunung (1982). Manakala novel-novel Anwar Ridhwan pula ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) dan Penyeberang Sempadan (2012). Kajian ini diharapkan dapat memenuhi objektif-objektif berikut. 1. Mengenal pasti asal-usul keinginan watak dalam novel-novel terpilih berdasarkan Teori Psikoanalisis Lacan. 2. Menganalisis tahap kebangkitan keinginan watak dalam novel-novel terpilih menggunakan Teori Psikonalisis Lacan. 3. Merumuskan hasil keinginan watak dalam novel-novel terpilih dari perspektif Psikianalisis Lacan. Pada akhirnya, semua analisis tesis ini akan membuktikan dua cadangan terkenal Lacan, iaitu cadangan pertamanya ialah ‘’Ketidaksedaran adalah wacana yang Lain.’’ Dan cadangan keduanya pula ialah ‘’Keinginan manusia adalah keinginan yang Lain.’’ Menurut Lacan. Keinginan manusia berasal dari yang Lain, dan ketidaksedaran manusia terbentuk di bawah pengaruh yang Lain. Tiga peringkat keinginan yang ingin dianalisis dalam kajian ini, iaitu asal-usul keinginan, kebangkitan, keinginan, dan hasil keinginan, akan menjadi proses melihat sifat keinginan watak-watak terpilih. Selain itu, kajian ini turut memasukkan pandangan-pandangan daripada ahli psikoanalisis lain atau bidang lain seperti linguistik, antropologi, ideologi, dan falsafah bagi menganalisis keinginan watak yang mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Oleh itu, kajian akan menyatakan tafsiran baru analisis keinginan berbeza daripada kajian lepas. Melalui analisis keinginan watak ini, cadangan pertama Lacan terbukti bahawa ketidaksedaran watak tercipta di bawah pengaruh wacana yang Lain. Selain itu, cadangan kedua Lacan telah terbukti bahawa keinginan watak-watak yang terpilih dicipta oleh menginginkan keinginan yang Lain. Kajian ini merupakan kajian pertama dalam kesusasteraan Melayu yang menggunakan Teori Lacan. Melalui kajian ini, diharapkan agar hasil kajian ini dapat digunakan dan dimanfaatkan oleh pengkaji-pengkaji yang akan datang yang berminat untuk mengkaji karya-karya sastera Melayu menggunakan Teori Lacan.
Text
Keruntuhan Akhlak Dalam Novel-novel Melayu Terpilih Berdasarkan Model Elemen Keruntuhan Akhlak
Abstrak
Kajian ini merupakan sebuah penelitian berkaitan elemen keruntuhan akhlak yang melingkari kehidupan masyarakat Melayu berdasarkan novel-novel Melayu tempatan. Antara novel yang dikaji, ialah Salina (2016), Sungai Mengalir Lesu (1997), TIVI (2018), Patriarch (2010), Perempuan Politikus Melayu (2016) Profesor (2017), Permasalah kajian ini bertitik tolak daripada usaha untuk mengenal pasti serta memahami bentuk-bentuk keruntuhan akhlak yang diketengahkan menerusi karya-karya sastera dan kerterbatasan sumber rujukan di peringkat kajian ilmiah berkaitan perihan tersebut. Tiga objektif telah ditetapkan dalam penyelidikan ini, iaitu menjelaskan elemen keruntuhan akhlak berdasarkan Model Elemen Keruntuhan Ahklak (MEKA), menganalisis elemen keruntuhan akhlak dalam novel-novel terpilih berdasarkan MEKA dan akhir sekali menilai elemen keruntuhan akhlak yang dominan dalam novel-novel terpilih berdasarkan MEKA. Kajian ini menggunakan kaedah kajian kepustakaan dan analisis teks dengan mengaplikasikan Model Elemen Keruntuhan Akhlak (MEKA), iaitu hasil penyesuaian daripaada Teori Kajian Budaya, Chris Barker (2012) dengan Pendekatan Ihya ‘Ulumuddin, Al-Ghazali (2013). MEKA mengandungi tiga prinsip utama iaiatu Tindaan yang Memusnahkan, Bahasa yang merosakkan dan Kuasa yang Membinasakan. Prinsip Tindakan yang Memusnahkan menerangkan bentuk-bentuk keruntuhan akhlak yang dilakukan secara sengaja oleh pelaku dan perbuatan tersebut bukannya bersifat menyakiti atau merugikan pihak lain. Prinsip bahasa yang Merosakkan pula membincangkan bentuk-bentuk bahasa yang tidak wajar diamalkan dalam persekitaran hidup masyarakat Melayu hingga dikategorikan sebagai kelompok elemen keruntuhan akhlak dalam aspek bahasa.
Text
Kesantunan orang melayu dalam majlis pertunangan
Abstrak
Tesis ini mengandungi lapan buah bab yang bermula dengan Bab Pendahuluan. Bab 2 pula membincangkan nilai kesantunan orang Melayu dalam konteks sosiobudaya masyarakatnya. Seterusnya Bab 3 membincangkan kerangka tesis yang dimulai dengan konsep kesantunan, berkaitan konsep mula dalam membina kesantunan, tujuh model kesantunan orang Melayu yang diasaskan daripada input dan kepercayaan Islam. Bab ini juga menyentuh tentang pembinaan strategi kesantunan orang Melayu.
Bab 4 menekankan struktur majlis pertunangan yang dianalisis menerusi struktur makro dan struktur mikro. Struktur makro digunakan untuk melihat perlakuan bukan bahasa yang santun sejak rombongan lelaki sehingga rombongan lelaki pulang. Struktur mikro pula melihat aspek pengurusan rundingan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa majlis pertunangan yang di kaji adalah berstruktur. Struktur makro mempunyai 7 atur cara. Manakala struktur mikro pula mempunyai 3 peringkat iaitu awal, pertengahan dan akhir. Dapatkan menunjukkan bahawa struktur pertunangan penting dalam melancarkan perjalanan majlis yang tertib.
Text
Keterancaman Melayu dalam era pentadbiran Pakatan Harapan 2018-2020
Abstrak
Kajian ini membincangkan psike keterancaman Melayu menerusi analisis ke atas isu-isu Melayu terancam ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan. Bagi memahami keterancaman Melayu, konsep pelindung Melayu dan konsep nasionalisme Melayu telah diketengahkan bagi menerangkan epistemologi keterancaman Melayu yang memiliki ciri-cirinya yang khusus. Kajian ini memfokuskan tiga objektif iaitu menganalisis faktor-faktor pendorong keterancaman Melayu dalam era PH, menilai pengaruh elemen konservatisme dalam membangkitkan keterancaman Melayu serta yang terakhir iaitu merumuskan impak keterancaman Melayu terhadap aspek sosial dan politik orang Melayu. Konsep keterancaman dan teori konservatisme telah dipilih dan dijadikan alat analisis dalam kajian ini kerana kedua-dua konsep dan teori tersebut sangat erat dengan psike keterancaman Melayu. Kajian ini menggunakan kaedah pengumpulan data iaitu dari sumber primer dan sekunder bagi mengukuhkan kajian. Kesemua data yang dikumpul kemudiannya dianalisis menerusi model analisis yang telah dibangunkan. Hasil kajian ini memberi indikator bahawa faktor politik dan sosial menjadi pendorong utama kerapa isu-isu keterancaman Melayu yang telah dibincangkan. Hal ini dikukuhkan lagi dengan hasil temu bual yang mendapati, pengaruh konservatisme terhadap psike keterancaman Melayu begitu signifikan apabila informan yang lebih konservatif cenderung lebih berasa terancam berbanding informan yang sederhana konservatif. Kajian ini turut membuktikan bahawa psike keterancaman Melayu telah meninggalkan impak yang cukup besar terhadap aspek sosial dan politik di negara ini. Dapatan-dapatan ini penting dan memberi sumbangan besar dalam kajian melibatkan keterancaman Melayu yang sering melingkari budaya politik Melayu.
Kata Kunci : Budaya politik, keterancaman Melau, Ketuanan Melayu, nasinalisme Melayu.
Text
Keunggulan kepengarangan Faisal Tehrani dari perspektif teksdealisme
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis dan menilai keunggulan kepengarangan Faisal Tehrani berdasarkan novel-novel terpilihnya. Keunggulan yang diraih akan meletakkan dirinya pada kedudukan tersendiri dan membezakan dengan pengarang yang lain. Bagi mencapai tujuan tersebut, kajian ini menganalisis tujuh buah novel, iaitu Perempuan Politikus Melayu (2000), 1515 (2003), 1511 h [Kombat] (2004), Surat-surat Perempuan Johor (2005), Tunggu Teduh Dulu (2008), Bahlut (2010) dan Bagaimana Anyss Naik Ke Langit (2016). Kaedah kajian yang dijalankan adalah bersifat kualitatif yang menganalisis teks dan kerja lapangan. Teori yang digunakan ialah Teori Teksdealisme (2006) yang digagaskan oleh Mana Sikana. Teori ini menetapkan empat prinsip bagi menganalisis keunggulan, iaitu prinsip kehadiran, perlanggaran, pengukuhan dan individualisme. Semua prinsip Teori Teksdealisme diaplikasikan bagi menilai tahap keunggulan Faisal Tehrani. Pencapaian keunggulan terbahagi kepada tiga tahap, iaitu rendah (lemah), separa (sederhana) dan tinggi. Dalam prinsip kehadiran menunjukkan bahawa novel-novel kajian bersumberkan kehadiran daripada pengalaman, pengembaraan, pengkajian, pembacaan dan isu-isu semasa. Bagi prinsip perlanggaran menunjukkan perlanggaran dari aspek tema, watak, latar, aliran dan teknik penceritaan. Prinsip pengukuhan pula menunjukkan pengukuhan dari aspek pemikiran, subjek, watak, isu mini naratif, aliran, teknik penceritaan, latar, penggunaan fakta dan sumber sokongan. Prinsip individualisme yang membina identiti kepengarangan adalah aspek subjektiviti, stail individu, kedirian individu dan tindakan individu. Kajian mendapati, terdapat satu lagi aspek yang membina individualisme pengarang, iaitu sensitiviti dan kreativiti. Dapatan kajian menunjukkan bahawa, Faisal Tehrani mencapai tahap keunggulan yang tinggi berdasarkan novel-novel kajian. Namun begitu, tahap keunggulan tersebut akan mengalami perubahan kerana akan ditentukan oleh karya-karya seterusnya.
Kata kunci : Keunggulan, kehadiran, perlanggaran, pengukuhan dan individualisme.
Text
Kitab Ma'arij Al-Lahfan lil-Taraqqi ila Haqaiq Al-Irfan : ketegasan mujaddid Terengganu pada abad ke 14 H
Abstrak
Kajian ‘’Kitab Ma’arij al-Lahfan lil-Taraqqi Ila Haqa’iq al-Irfan : Ketegasan Mujaddid Terengganu Pada Abad Ke-14H’’ merupakan satu usaha memperkenalkan kitab Ma’arij al-Lahfan lil-Taraqqi Ila Haqa’iq al-Irfan, yang ditulis oleh Tok Ku Paluh (r.a) pada tahun 1300H ke khalayak umum. Kitab ini kini sukar untuk dinikmati akibat tidak pernah dicetak walau cetakan batu. Oleh itu dalam kajian ini kitab ini telah ditransliterasi ke tulisan rumi, juga dilakukan penyuntingan.
Dalam usaha untuk mengesahkan kitab ini ditulis oleh Tok Ku Paluh, maka Kaedah Ruwah telah digunakan. Kaedah Ruwah ialah penyesuaian daripada Ilmu Hadith, iaitu ilmu untuk menentukan kesahihan atau tidak sesuatu Hadith disandarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Kaedah ini menumpukan kepada perawi, atau pelapor, atau penyimpan sesuatu naskhah atau manuskrip, khususnya naskhah atau manuskrip agama.
Text
Konflik nilai sosial di kalangan pekerja Melayu dalam syarikat multinasional : satu kajian kes di sebuah syarikat Korea di Senawang
Abstrak
Kajian ini dibuat dengan tujuan untuk mengkaji sejauh mana nilai sosial masyarakat Melayu dan Korea yang berbeza boleh menimbulkan konflik budaya di antara pekerja Melayu dengan pekerja dan pengurusan Korea dalam konteks tempat kerja di kawasan perindustrian. Kajian kes yang dijalankan di sebuah syarikat multinasional Korea ini dibuat berdasarkan pendekatan budaya (antrapologi). Konflik nilai sosial antara budaya dianalisis dengan berpandukan kepada empat dimensi model budaya, iaitu tiga dimensi model budaya Hofstede G. (1980,1984,1997) dan satu dimensi baru, iaitu dimensi takdir yang berdasarkan unsur orientasi alam sekitar, penggunaan masa, dan aktiviti yang disyorkan oleh Kluckhon & Strodbeck (1961), Hampden-Turner & Trompeanaars (1997) dan dimensi kebenaran Hofstede.
Text
Konsep pakaian cara Melayu : satu kajian analisis budaya benda
Pendahuluan
Secara umum pakaian selalu dihubungkan dengan fungsi gunaan. Dipakai menutupi tubuh untuk mengelakkan daripada kesan panas atau dingin. Di zaman prasejarah, manusia menggunakan bahan-bahan yang sederhana untuk dijadikan pakaian. Manusia mengolah bahan daripada alam asemula jadi : jalian serat tumbuhan seperti rumput, lalan atau kulit binatang sehinggalah ke zaman munculnya peradaban benang dan proses menenun – pakaian telah menjadi aspek budaya benda yang penting dalam melangsungkan kehidupan. Begitu juga dengan tradisi pakaian di wilayah budaya Melayu.
Pengertian ‘PakaianTradisinal Melayu’ tidak terbatas kepada pemaikaian kain dan baju sahaja. Ia merupakan sebahagian daripada kelengkapan adat istiadat masyarakat dalam memenuhi kehidupan yang meliputi nilai, norma dan keindahan budaya Melayu.’ Konsep Pakaian Cara Melayu : Satu Kajian Analisi Aspek Budaya Benda’ ini memusatkan kepada masalah mencari dan menentukan identity budaya Melayu. Kajian di wilayah budaya Melayu sebagai satu lingkaran budaya memperlihatkan ciri-ciri persamaan pola budaya, sehingga dalam memerkatakan tentang pakaian tradisional sebenarnya diperkatakan juga tentang masyarakat dan etnik asal penduduk dalam lingkaran budaya yang sama mengalami proses perkembangan kebudayaan dalam tempoh tertentu. Secara umum istilah wilayah budaya Melayu adalah dirujuk kepada batas budaya sejak prasejarah dan berkesinambungan hinggaabad ke-19 iaitu sebelum penaklukan Barat yang telah membahagikan wilayah budaya Melayu ke batas politik seperti kita kenali hari ini.
Text
Kritikan seni dari perspektif sosio budaya di Malaysia
Abstrak
Meskipun Malaysia mengalami perkembangan pesat dalam dunia seni lukis pada ketika ini namun senario itu tidak memadai kerana masih wujud kelompongan dari sudut kritikan seni iaitu aspek teoritikal yang sewajarnya menjadi tulang belakang atau disiplin teras kepada kemajuan seni visual tanah air. Meskipun wujud kekurangan dari segi penglibatan serta dan ruang perbincaraan kritikan seni visual ini, ia tidak menjadi halangan untuk memupuk budaya keintelektualan di dalam masyarakat. Kelahiran karya-karya dari kalangan pelukis-pelukis tersohor negara seperti Datuk Syed Ahmad Jamal dan Dato’ Mohd. Hoessein Enas memberi ruang seluas-luasnya kepada bidang kritikan seni iaitu sebagai manifestasi pemikiran dan budaya dalam memacu kepada pembentukan budaya kritis di kalangan masyarakat. Apabila sesuatu karya itu di lukis, dibicara dan ditulis aka terciptalah ia sebagai dokumen-dokumen zamannya, pencatat waktu dan perakam peristiwa yang dapat menjelaskan tentang pelbagai aksi atau rentetan reaksi di masa silam sebagai suatu cerminan atau rujukan sosiobudaya yang penting.
Text
Kritikan seni dari perspektif sosio budaya di Malaysia
Abstrak
Kajian kritikan seni ini adalah mengenai teks penulisan terhadap pengkaryaan dua orang tokoh pelukis Malaysia iaitu Syed Ahmad Jamal dan Mohd. Hoessein Enas. Penelitian adalah merujuk kepada kaedah kualitatif analisis kandungan terhadap sumber penulisan pengkritikan seni tanah air khususnya dari sudut sosiobudaya. Sehingga kini tidak banyak kajian ilmiah tentang kritikan seni di lakukan di negara ini bagi mengesani penglibatan dan mengetengahkan golongan pengkritikan. Objektif kajian dalam penyelidikan ini adalah untuk melihat keserasian dan kesesuaian bahan-bahan penulisan berkaitan karya pelukis dalam mengetengahkan aspek makna dari sudut sosiobudaya. Segala paparan mengenai kritikan seni diteliti semula bagi menganalisis jenis kritikan seni, pendekatan penulisan serta membolehkan pola pemikiran pengkritikan diselidik. Rujukan penelitian adalah sumber-sumbar perpustakaan, arkib serta catatan penulis. Daripada sejumlah pengkiritikan, sebelas (11) dipilih untuk penganalisisan utama untuk dijadikan tanda aras kepada kajian ini. Ia melibatkan kaedah kualitatif dengan analisis deskriptif terhadap bahan-bahan penulisan mereka. Kaedah temu bual dilakukan dengan melibatkan informan daripada golongan sejarawan seni, pelukis dan ahli akademik untuk mendapatkan sumber informasi mengenai aspek kritikan seni. Melalui kajian ini beberapa cadangan serta input dikemukakan kepada pihak atau golongan tertentu untuk merangka perancangan yang lebih efektif dan komprehensif bagi meningkatkan amalan dan budaya kritikan seni tanah air. Bidang kritikan seni sebenarnya boleh menyuburkan budaya ilmu melalui suatu bentuk metodologi yang beteraskan perspektif sosiobudaya yang sekaligus mampu memberi impak kepada dunia seni visual dan masyarakat di Malaysia.
Text
Kualiti perkahwinan keluarga peneroka Melayu : di ladang kelapa sawit Jambi – Indonesia
Abstrak
Penyelidikan yang dijalankan ini bertujuan mengkaji tahap kualiti perkahwinan peneroka di dalam proses pembangunan ladang kelapa sawit. Kualiti perkahwinan peneroka diukur menggunakan lima dimensi kualiti perkahwinan iaitu : kebahagiaan dalam perkahwinan, interaksi dalam perkahwinan, masalah dalam perkahwinan, ketidakfahaman dalam perkahwinan dan kecenderungan untuk bercerai. Persoalan yang dikaji ialah : (1) hubungan yang signifikan antara tahap pembangunan dengan kualiti perkahwinan di kalangan masyarakat luar Bandar, (2) hubungan kualiti perkahwinan dengan tahap pembangunan kampung peneroka dan perkaitan di Bungan karekter antara karakteristik peneroka, dan (3) hubungan karakteristik responden dengan kualiti perkahwinan.
Seramai 300 peneroka Melayu yang berada di tiga tahap pembangunan di ladang kelapa sawit di Jambi, telah dipilih sebagai responden dengan menggunakan satu kaedah pensampelan rambang. Data telah dikumpulkan melalui borang soalselidik yang diisikan sendiri oleh responden dan telah dianalisis menggunakan Pakej Statistik Untuk Sains Sosial (SPSS). Perkaitan diantara pembolehubah dihuraikan secara deskriptif. Manakala penganalisaan dalam bentuk inferensi menggunakan orelasi, Ujian-t, Anova sehala dan Ki-Kuasadua.
Text
Lagu-lagu gubahan P.Ramlee : analisis semiotik melodi dan lirik
Abstrak
Keunggulan P. Ramlee sebagai pemuzik Melayu adalah berkait rapat kecemerlangan filem-filem yang beliau hasilkan di samping dianggap sebagai pemuzik Melayu yang sangat prolifik. Kajian ini bertujuan untuk menilai keistimewaan tanda-tanda yang terdapat dalam melodi dan lirik gubahan P. Ramlee. Kajian terhadap melodi, pengkaji menganalisis mengikut konsep-konsep pengulangan, variasi, kontras, sikuan, jeda, dan senada, manakala terhadap lirik, pengkaji menganalisis mengikut konsep-konsep fizikal, psikologi, sosial, dan ekonomi. Analisi melodi berfokus kepada gaya analisis mengikut teori semiotik Charles Sanders Peirce (1831-1914) manakala analisis lirik mengikut teori semiologi Ferdinand de Saussure (1857-1913). Teori Peircce mementingkan sistem triadik, iaitu representamen, interpretant, dan objek yang sering berhubung dengan tiga trikotomi, iaitu tanda-tanda qualisign, sinsign, dan legisign sebagai trikotomi ‘kepertamaan’, ikon, indeks, dan simbol sebagai trikotomi ‘kekeduaan’; dan tanda-tanda rheme, sicisign, dan argument sebagai trikotomi ‘keketigaan’. Teori Saussure mementingkan sistem keduaan (dyadic) untuk melihat hubungan penenada (signifier) dan petanda (signified). Dapatan yang diperolehi daripada analisis-analisis melodi dan lirik dapat mencerminkan pemikiran P. Ramlee yang begitu rapat dengan konteks sosial dan budaya dalam kehidupan masyarakat Melayu.
Text
Lawi ayam : aesthetic experience and design-user system assesment of a Malay weapon artefact
Abstrak
Pelestarian terhadap pengetahuan produk kebudayaan Melayu adalah amat perlu bagi memantapkan pembangunan reka bentuk produk dalam era budaya baharu. Walaupun banyak kajian mengenai artifak budaya Melayu di Malaysia, namun tiada informasi yang terperinci tentang pengetahuan mampan pengalaman estetik penggunanya. Malah, kebanyakan dokumestasi sering menjurus kepada konteks tertentu artifak popular yang sudah begitu lazim dalam kebudayaan Melayu. Akibatnya, pereka tempatan mempunyai pemahaman yang rendah tentang artifak gunaan Melayu kerana kurangnya kajian rapi yang mengambil kira reka bentuk dan sains manusia dalam pengalaman pengguna. Kajian ini memaparkan pemahaman pengetahuan tersebut boleh dikembangkan ke peringkat yang tinggi dari segi ilmu asset ketara dan juga tidak ketara untuk diberi paradigma baharu dalam konteks reka bentuk produk budaya Melayu. Tujuan kajian ini adalah untuk membangunkan sistem reka bentuk-pengguna melalui penilaian terhadap pengalaman estetik pada artifak senjata Melayu bagi memantapkan pengetahuan reka bentuk produk budaya Melayu dengan artifak Lawi Ayam sebagai kajian kes, Kajian ini menggunakan kajian literature dan pemerhatian analitikal pada artifak LA Melayu untuk mendokumentasi karakteristik fizikal reka bentuk dan ilmu tersirat untuk analisis sintaktik. Seterusnya, pemerhatian penuh dan temu bual separa-berstruktur digunakan untuk memahami pengalaman estetik pengguna LA melalui analisis pragmatik dan evaluasi kebolehgunaan artifak. Akhir sekali, kajian ini menggunakan ujian pengesanan mata bagi menyeliidk respon tingkah laku mata dan kognitif melalui pengalaman estetik pra-wujud leh pengguna ketika mengevaluasi reka bentuk artifak LA dengan gabungan dua pengetahuan oleh konteks artifak LA (pengukuran sintaktik) dan konteks pengguna (pengukuran pragmatik).
Text
Makna siratan dalam novel politik Melayu terpilih : analisis berdasarkan Gagasan Kritikan Melayu
Abstrak
Kajian ini menganalisis makna siratan daripada pengukapan dalam lima buah novel politik Melayu yang dipilih. Pengukapan yang mengandungi makna siratan merupakan cara yang digunakan oleh para pengarang novel sebagai kritikan terhadap individu dan masyarakat. Pengukapan yang mengandungi makna siratan menunjukkan kebijaksanaan para pengarang mengaitkan karya kreatif dengan situasai kehidupan seharian dalam masyarakat. Terdapat tafsiran dalam pengukapan pengarang yang dapat dikaitkan dengan fungsi kesusasteraan sebagai cerminan masyarakat dan kreativiti dalam seni naratif itu. Analisis ini menghuraikan makna yang tersirat daripada pengungkapan yang dipilih daripada dimensi perilaku, dimensi peristiwa dan dimensi unsur alam. Dimensi perilaku, peristiwa dan unsur alam yang membincangkan makna siratan ini disimpulkan daripada sepuluh prinsip Gagasan Kritikan Melayu yang diperkenalkan oleh Dr. Syed Otman Syed Omar. Lima buah novel Melayu yang bertema politik dipilih dalam kajian ini ialah Sebelas Rejab, Anak Mat Lela Gila, Tunggul-tunggul Gerigis, Nagogho Astana dan Naratif Ogonshoto. Kelima-lima karya ini mewakili zaman penghasilan karya kesusasteraan Melayu dalam genre novel dari zaman sebelum kemerdekaan, era kemerdekaan dan selepas tahu 2000.
Text
Malay characters in Affifudin Omar's selected novels from the perspective of colonial mimicry
Abstrak
Menurut Homi K. Bhabha di dalam bukunya, The Location of Culture (1994), di dalam sejarah, kolonialisme boleh mengambil penguasaan daripada elemen-elemen sandiwara dimana mimicry atau peniruan terhadap Barat/penjajah oleh Timur/yang dijajah ialah sebahagian kaedah penyebaran kuasa dan ilmu kolonial. Oleh itu, mimicry ialah keinginan untuk menguasai sebuah Other atau bukan Barat yang lebih baik dan dikenali, sebagai hampir sama, tetapi tidak sebegitu sama, dan ia merupakan sebuah strategi penambahbaikan, penambahaturan dan pendisiplinan yang kompleks untuk menyesuaikan Other atau bukan Barat selaras dengan keinginan penguasaannya. Kajian ini akan menggunakan kerangka konseptual mimicry oleh Homi K. Bhabha dalam menerangkan elemen mimicry dalam perwatakan watak-watak Melayu Muslim dalam lima buah novel Affifudin Omar, iaitu Paradoks (2011), Meniti Rindu (2013), Tun Tuah (2016), Sesat 2012) dan Seludup (2012), dan menganalisa penentangan mereka terhadap wacana kolonial. Kerangka konseptual dibahagikan kepada tiga peringkat untuk menganalisisi novel-novel tersebut, iaitu; a) mempersoalkan konsep penjajahan b) metonimi kewujudan c) perpecahan wacana kolonialis. Kaedah analisis tekstual telah dikendalikan untuk mengkaji sama ada watak-watak Melayu Muslim tersebut mempunyai elemen-elemen mimicry dan menggunakannya untuk menentang wacana kolonial. Kajian ini mendapati bahawa mimicry kolonial di dalam watak-watak Melayu Muslim tersebut membawa kepada kejayaan spiritual mereka dan berfungsi sebagai alat penentang wacana kolonial dan pembebasan daripada kuasa kolonial, memperkembangkan kajian dalam mimicry dan sastera Melayu sebagai sebuah penentangan terhadap wacana kolonial.
Kata kunci : pascakolonial, mimicry, watak Melayu, novel, kajian watak.
Text
Mantera dan amalan kecantikan wanita Bajau : kajian kes Bajau Kota Belud
Abstrak
Mantera yang diwarisi masyarakat-masyarakat Bajau masih lagi relevan penggunaanya terutama untuk tujuan kecantikan, pengubatan, perlindungan diri dan sebagainya. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan untuk menganalisis mantera dan amalan kecantikan wanita Bajau di daerah Kota Belud Sabah. Pengumpulan data dibuat berdasarkan informan yang dipilih daripada beberapa kawasan kajian. Bahan kajian terdiri daripada pelbagai jenis mantera serta amalan yang berkaitan dengan kecantikan wanita Bajau yang menepati objektif kajian yang dilakukan. Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang menggunakan kaedah pengumpulan data melalui pemerhatian, temu bual dan analisis data. Hasil kajian jelas menunjukkan bahawa wanita Bajau masih lagi menggunakan mantera serta mengamalkan petua-petua bagi menyerlahkan kecantikan dan keterampilan mereka agar mudah diterima oleh masyarakat. Bagi wanita Bajau dengan kecantikan yang dimiliki, seseorang wanita akan dapat memikat kasih sayang daripada anggota keluarga dan masyarakat lain. Ini kerana kecantikan rupa paras yang ditambahkan lagi dengan kecantikan dalaman membuatkan mereka senang diterima oleh anggota keluarga dan juga masyarakat yang merupakan keluarga besar.
Kata kunci : Kecantikan, Mantera, Amalan, Petua, Pantang-larang
Text
Mantera sebagai pengucapan simbolik : analisis pemikiran Melayu
Abstrak
Tesis ini adalah satu kajian dalam bidang Sosiologi Sastera. Kajian ini berdasarkan teks atau bahan kajian yang terdiri daripada mantera-mantera yang dikumpul dari beberapa tempat dalam setiap negeri di Semenanjung. Mantera dipilih sebagai bahan kajian, bertolak daripada tanggapan bahawa mantera merupakan dokumen sosio-budaya masyarakat Melayu. Kajian tertumpu kepada corak pemikiran masyarakat Melayu. Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang pemikiran masayarakat Melayu dan kedudukan mantera dalam masyarakat, tesis ini dipecahkan kepada tujuh bab. Bab I merupakan pengenalan kepada keseluruhan tesis, antara lain menyentuh bidang, tujuan, masalah, hipotesis dan kaedah kajian. Bab II menekankan kedudukan mantera sebagai karya sastera. Perbincangan tertumpu kepada pengertian mantera; konsep dan ciri-ciri mantera; binaan mantera dan perbandingan mantera dengan puisi-puisi lain untuk menunjukkan bahawa mantera merupakan satu genre dan mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam masyarakat. Bab III memperlihatkan jenis dan fungsi mantera dalam masyarakat yang melibatkan hampir semua aspek hidup dan peringkat umur anggota-anggota masyarakat, terutama pada zaman dahulu. Bab IV hingga VI merupakan inti perbincangan kerana berkaitan dengan kedudukan mantera dalam masyarakat sehingga menjadikan sebagai dokumen sosio-budaya. Perbincangan dalam Bab IV antaranya mengenai penerimaan masyarakat tentang mantera termasuk pembelajaran, penyebaran, khalayak, kedudukan mantera pada hari ini dan masa depan. Bab V khusus membicarakan penggunaan simbol dalam mantera. Simbol-simbol yang berkaitan dengan ketuhanan, makhluk ghaib, alam, benda dan manusia dihuraikan untuk memahami pemikiran orang Melayu. Corak pemikiran masyarakat Melayu dianalisis dalam Bab VI. Tumpuan diberikan kepada aspek pemikiran berhubung dengan kepercayaan warisan; pemikiran tentang ketuhanan yang dilihat secara vertical dan horizontal; pemikiran tentang makhluk ghaib yang baik seperti Malaikat, jin Islam dan Orang Bunian serta yang jahat termasuk iblis, jin kafir dan hantu. Turut disentuh dalam bab VI ialah pemikiran tentang alam nyata dana lam ghaib serta pemikiran tentang manusia. Manusia dilihat sebagai makhluk yang hidup di dalam empat alam, dan diri manusia itu sendiri daripada jasad, jiwa dan roh. Segala persoalan pokok dalam tesis ini dirumuskan dala Bab terakhir yang juga memuatkan beberapa kesimpulan.
Text
Mediasi dalam perkembangan novel Sabah
Abstrak
Kajian ini ialah tentang sejarah perkembangan novel Sabah. Penelitian terhadap latar belakang karya sastera menggunakan sosiologi sastera bukan setakat menumpukan soal konteks penghasilan sebuah karya. Kajian integrasi atau dwikajian yang memanipulasi dimensi sosial dan seni menawarkan kajian teks yang dihubungkan denga konteks penghasilan karya. Sehubungan itu, mediasi atau faktor yang campur tangan atau terlibat secara langsung atau tidak dalam penghasilan novel dapat dikenal pasti. Mediasi yang terlibat dalam perkembangan novel Sabah antara lain melibatkan latar belakang pengarang, peranan institusi dan cita rasa pembaca. Latar belakang masyarakat dan pengarang menjadi faktor kerencaman persoalan yang dikemukakan pengarang. Seterusnya ia mempengaruhi bentuk pemikiran, budaya dan ideologi yang diamalkan pengarang.
Text
Metafora dalam novel penulis wanita Melayu dan Thai : analisis semiotik
Abstrak
Tesis ini merupakan kajian metafora berdasarkan novel penulis wanita Melayu, Badai Semalam, dengan novel penulis wanita Thai, Pun Pid Thong (Plaster Salut Emas), dari segi perspektif semiotik. Daripada data korpus 222 halaman yang telah dihadkan setiap sebuah, terdapat 458 lambang metafora Melayu dan 314 lambang metafora Thai.
Kajian ini pertama-tamanya menunjukkan bahawa dengan berdasarkan latar belakang kajian ternyata belum ada kajian yang membandingkan bahawa novel Melayu dengan novel Thai dari segi kajian metafora dengan menggunakan Model Metafora Semiotik Paling Luas.
Dari segi tujuan, kajian ini mempunyai tiga tujuan utama, iaitu pemerian metafora yang terdapat dalam kedua-dua novel penulis wanita tersebut, untuk membandingkan penggunaan metafora antara kedua-dua penulis novel wanita itu, dan untuk mengajukan dan mengaplikasikan Model Metafora Semiotik Paling Luas dalam menginterprestasikan metafora Melayu dan Thai.
Text
Model rasa insaniah dalam puisi Islam tiga penyair Nusantara
Abstrak
Puisi Melayu moden mempunyai sejarah dan perkembangan yang amat baik di Nusantara. Bermula daripada puisi-puisi yang bertemakan perjuangan, menuntut kemerdekaan hinggalah kepada tema keislaman. Kekeliruan mula timbul apabila puisi Melayu moden yang membawa persoalan keislaman wajar disebut puisi Islam atau puisi berunsur Islam? Oleh itu, kajian ini akan cuba menjelaskan dan menjawab persoalan kajian terhadap gagasan ‘Model Rasa Insaniah’ (MRI), iaitu mengenal pasti kesesuaian prinsip-prinsip Model Rasa Insaniah dalam menganalisis unsur-unsur dakwah, terhadap dalam puisi tiga penyair, iaitu Rahimidin Zahari (Malaysia), Jamal D. Rahman (Indonesia) dan Johor Buang (Singapura). Model ini merupakan hasil pengubahsuaian dan penambahbaikan tiga teori tempatan sedia ada, iaitu Teori TAKMILAH (Shafie Abu Bakar), Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang) dan Rasa-Fenomeonologi (Sohaimi A. Azi). Titik pertembungan ketiga-tiga teori ini ialah kemunculan gagasan yang bersifat Melayu-Islam. Model Rasa Insaniah ini terdiri daripada tiga prinsip utama, iaitu (1) Prinsip pengabdian kepada Allah (SWT, (2) Prinsip pengucapan Beradab, dan (3) Prinsip kehalusan makna. Ketiga-tiga prinsip ini mempunyai peralian yang amat rapat antara penulis dengan Allah SWT (sebagai hamba dan pengabdian), penulis sebagai pendakwah (beradab dan berakhlak dengan bercirikan sifat kerasulan), dan penulisan dengan karya (kehalusan makna atau estetika).
Text
Modenisasi dan kaum tani : satu kajian kes di Pulai Chondong, Kelantan
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai modenisasi dan sebuah komuniti tani Melayu di Pulai Chondong, Kelantan. Tujuan kajian ini adalah, pertamanya untuk memerihalkan keadaan kehidupan harian kaum tani Melayu dalam sebuah negara, iaitu Malayia yang sedang pesat mengalami proses modenisasi; dan keduanya untuk memaparkan reaksi mereka terhadap perubahan sosial tersebut.
Untuk mencapai kedua-dua tujuan diatas, kajian ini memulakan analisisnya dari segi persejarahan bahawa proses modenisasi di negara ini. Analisis itu menunjukkan bahawa proses modenisasi berkembang bersama kemasukan kolonialisasi dan perkembangan Barat; dan kuasa yang mempelopori perubahan sosial itu adalah kerajaan. Kebanyakan program pemodenan yang dilaksanakan oleh kerajaan memberi keuntungan kepada kelas-kelas atasan, tetapi tidak kelas-kelas bawahan, seperti kaum tani miskin.
Bertolak dari latarbelakang persejarahan itu, kajian ini seterusnya membentangkan kehidupan harian kaum tani di Pulai Chondong. Modenisasi bukan sahaja bermakna teknologi moden, jalan raya, pusat-pusat kesihatan, bekalan elektrik dan air paip, tetapi juga perkembangan proses komersialisasi dan nilai-nilai materialism.
Text
Morfologi bahasa Bidayuh-Somu Kabupaten Sanggau, Kalimantan Barat
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk memberi struktur asas linguistik kepada Bahasa Bidayuh-Somu yang masih dalam bentuk lisan serta belum pernah dilakukan kajian sepenuhnya. Sehubungan itu, kajian ini akan memberi tumpuan kepada bidang morfologi yang akan menghuraikan kata dalam bahasa berkaitan. Pendekatan yang digunakan untuk kajian ini ialah pendekatan struktur Bloomfield (1993), iaitu struktur kata terdiri daripada bentuk bebas atau morfem bebas dan bentuk terikat atau morfem terikat dan variasi-variasinya. Kaedah yang digunakan untuk kajian ini adalah kaedah kajian lapangan huluan untuk mendapatkan tuturan-tuturan asli dari Bahasa Bidayuh-Somu. Data kajian selanjutnya ditranskripsikan secara fonemik untuk memberikan lambang kepada bunyi-bunyi yang wujud dalam pertuturan dan seterusnya diisih menurut bentuk kaya yang wujud. Tumpuan diberikan kepada bentuk kata kompleks yang terhasil melalui proses morfologi yang berlaku. Berdasarkan analisis, didapati proses pembinaan kata kompleks dalam Bahasa-Somu wujud melalui proses nasalisasi, pengimbuhan dan penggandaan. Setiap kata yang terhasil akan dikategorikan kepada kata namaan dan kata karyaan. Berdasarkan binaan pula, didapati kata kompleks dalam bahasa ini mempunyai strukturnya sendiri, iaitu terdiri daripada unsur-unsur morfem bebas dan morfem terikat serta variasi-variasinya. Setiap morfem boleh berfungsi sebagai penetap atau pengubah golongan kata. Berdasarkan hasil kajian, didapati morfem terikat yang terdapat dalam bahasa ini boleh terdiri daripada morfem awalan, sisipan serta morfem terikat terbahagi dan setiap morfem secara amnya mendukung makna-makna tertentu.
Text
Motif-motif tradisi dalam budaya Iban Saribas
Abstrak
Kajian ini berfokus kepada motif-motif tradisi seni rupa Iban Saribas yang dipercayai mengandungi gambaran budaya para penciptanya. Seni rupa yang dimaksudkan ialah seni anyaman, seni tenunan, seni ukiran dan seni tatu. Tujuan kajian ialah untuk meneliti konsep budaya dan konsep seni rupa Iban Saribas. Selain itu, kajian ini juga untuk meneliti seberapa banyak budaya tradisi yang boleh dicari daripada motif-motif tradisi yang dipilih sebagi artifak kajian. Analisis data mengenai dapatan kajian yang membentangkan budaya tradisi yang dapat dicari telah dijelaskan dengan menggunakan beberapa jadual supaya boleh dilihat dan difahami tentang gambaran budaya Iban Saribas yang terselindung di sebalik motif-motif telah dipilih. Kaedah yang digunakan untuk menjalankan kajian adalah kaedah lapangan dan kaedah perpustakaan.
Text
Muhammad Haji Salleh sebagai pengarang pascakolonial : analisis teks dan konteks
Abstrak
Kajian ini menganalisis karya kreatif, nonkreatif dan tindakan Muhammad Haji Salleh daripada perspektif pascakolonial. Kaedah yang digunakan ialah pendekatan pascakolonial sebagai strategi pembacaan yang diperkenalkan oleh Bill Ashcroft. Kaedah ini dirumuskan sebagai pembacaan teks-teks pascakolonial secara spesifik dan berdasarkan konteks sosial dan sejarah yang spesifik. Kajian ini mendapati sikap pascakolonial pengarang terhasil akibat daripada faktor pengalaman, peristiwa, persekitaran, memori kolektif, sejarah dan sosial, sejarah diri dan negaranya. Sistem pendidikan, keadaan ekonomi, politik di bawah kolonial dan legasinya, turut membentuk sikap dan pemikiran sebagai pengarang pascakolonial. Kajian ini turut membuktikan latar belakang pengarang menentukan sikap dan pemikiran pascakolonial dalam puisinya.Dalam karya kreatif dan nonkreatifnya, pengarang memberikan interprestasi, mempersoalkan kewujudannya sebagai Melayu ‘baru’, kembali ke dunia silam, bersifat intelektual dan kritis terhadap bangsanya sendiri sebagaimana kritis terhadap Barat serta kagum dengan bangsa Timur lain yang maju.
Text
Natural dyes : freeze-dried mangosteen rind extracts (Garcinia mangostana L.) for silk fabric dyeing
Abstrak
Warna asli diperoleh daripada alam semula jadi merupakan warna utama yang digunakan oleh pengkarya tekstil Melayu di negara ini untuk mewarnai tekstil mereka sebelum warna sintetik diperkenalkan. Walau bagaimanapun, penggunaan pewarna asli pada hari ini telah hilang daya tarikan memandangkan proses penghasilannya adalah kompleks, rumit dan memakan masa lama. Usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak dan institusi pengajian tinggi awam untuk mengembalikan kegemilangan, keunikan dan kecantikan pewarna asli dalam pelbagai produk tekstil tempatan. Namun begitu, usaha-usaha tersebut tidak dijalankan mengikut prosedur yang sistematik menyebabkan penghasilan kepekatan warna adalah tidak konsisten.
Kajian ini bertujuan untuk meneroka dan merangka kaedah altenatif bagi menghasilkan pewarna asli secara sistematik menggunakan kulit manggis segar (Garcinia mangostana Linn); Indeks Warna 5 sebagai bahan utama dan ‘’freeze-drying’’ sebagai kaedah mengekstrak warna asli tersebut. Hasilan ekstrak dieksperimentasi ke atas fabrik sutera melalui tiga proses mewarna dan mematikan warna (iaitu sebelum, semasa dan selepas) bagi menghasilkan pelbagai warna dan tona warna . Sampel fabrik tersebut kemudian diukur secara kuantitatif tahap perbezaan warna antara dua ekstrak, perbezaan kaedah mewarna serta ketahanan warna terhadap cahaya dan cucian.
Text
Nilai-nilai kepahlawanan dalam teks Takna' Lawe' daripada komuniti Kayan di Mendalam : kajian semiotik
Abstrak
Takna ‘Lawe’ ialah salah satu genre sastera berbentuk prosa lirik yang berisikan 6,537 bait. Ia boleh ditampilkan dalam nyanyian dan gerak oleh kaum lelaki tua, dan biasanya diikuti juga dengan tarian oleh kaum wanita. Prosa lirik ini mengandungi kisah-kisah perjuangan dan cinta pahlawan Lawe’ sebagai seorang dewa yang berperang dengan dewi-dewi di kayangan. Selaras dengan adat istiadat komuniti Kayan, Takna ‘Lawe’ memaparkan sebahagian sejarah komuniti Kayan secara, Takna ‘Lawe’ memaparkan sebahagian sejarah komuniti Kayan secara puitis yang hidup di atas bumi dan berhubungan erat dengan para roh di alam baka. Penyelidikan daripada tesis ini difokuskan kepada kajian bait-bait daripada empat bahagian buku Takna ‘Lawe’. Penyelidikan dimulai dengan menetapkan empat idea sentral daripada masing-masing keempat bahagian buku. Selanjutnya, pengkaji mengkategorikan seluruh isi 6,537 bait keempat bahagian buku tersebut menjadi 25 episod sebagai sampel dengan berasaskan sistematik cluster (random) sampling. Sampel yang terdiri daripada 200 bait tersebut dikaji menggunakan teori semiotic Charles Sanders Peirce, iaitu mod triadic mengenai jalinan tanda-objek-interpretant). Dengan kaedah penyelidikan kualitatif, pertanyaan masalah penyelidikan ialah (1) Bagaimana mengkategorikan kepahlawanan dalam teks Takna ‘Lewe’ mengikut kategori tanda berdasarkan Teori Semiotik Peirce? (2) Bagaimana menjelaskan makna tanda-tanda kepahlawanan Lawe’ berdasarkan Teori Semiotik Peirce? (3) Bagaiaman menilai mesej dan nilai-nilai kepahlawanan Lawe’ berdasarkan Profil Kepahlawanan Lawe’, iaitu Kemanusiaan, Kedewaan, dan kesaterian? Objektif peyelidikan dalam menetapkan nilai-nilai kepahlawanan yang tersirat ialah (1) mengakategorikan kepahlawanan dalam teks Takna ‘Lewe’ engikut kategori tanda berdasarkan Teori Semiotik Peirce; (2) menjelaskan makna tanda-tanda kepahlawanan Lawe’ berdasarkan Teori Semiotik Peirce; (3) menilai mesej dan nilai-nilai kepahlawanan Lawe’ berdasarkan Profil Kepahlawanan Lawe; iaitu Kemanusiaan, Kedewaan, dan Kesateria.
Text
Novel hikayat : satu penelitian struktur penceritaan Melayu
Pendahuluan
Salah satu jenis sastera Melayu baru yang agak kurang mendapat perhatian untuk dikaji dengan kesungguhan dan mandalam ialah novel. Ini lebih dapat dirasakan pada novel-novel Melayu yang tumbuh dan berkembang dalam tahap awal kebangkitannya di sekitar tahun-tahun 1920-an sampai 1942 pada zaman Sebelum Perang Dunia II. Gerakan ke arah melakukan penelitian terhadap novel-novel Melayu terawal ini kerapkali terbantut oleh adanya beberapa masalah tertentu. Antaranya ialah, pertama, novel-novel ini sering dianggap sebagai bukan novel besar yang memiliki nilai mutu yang tinggi, baik dari segi isi mahupun bentuknya. Kedua, anggapan yang demikian menjadi sebab utama pula untuk melemahkan usaha ke arah melakukan penyelidikan terhadapnya. Ketiga, bahan-bahan untuk tujuan penyelidikan itu tidak pula mudah diperolehi; bahan-bahan itu sudah lama tertulis - hampir setengah abad - dan tersimpan di merata tempat yang sukar diketahui pemiliknya. Untuk mendapatkan-nya, ia ternyata amat memerlukan bukan sahaja usaha yang gigih, tetapi juga semangat yang kuat. Demikianlah maka novel-novel tersebut menjadi terabai untuk diselidik dan dikaji apabila usaha begini tidak terlaksana. Bahan-bahan yang amat berharga ini akan tinggal menjadi tidak bererti selama ia tidak diperolehi dan dikaji selengkaprya.
Sebagai suatu langkah ke arah memelihara dan memanfaatkan bahan-bahan sastera tersebut, maka kajian ini dikerjakan dengan penuh minta. Dengan pelaksanaan tersebut, ia akan dapat mempelihatkan bahawa novel-novel Melayu terawal itu sesungguhnya memiliki kemampuan dan keistimewaan untuk menjadi bahan penyelidikan dan kajian sastera yang berguna. Novel-novel itu tercipta dengan penuh daya kesungguhan oleh pengarang-pengarang zaman Sebelum Perang
Dunia II; ini, terutamanya, terlihat pada jumlahnya melebihi daripada 300 buah, dan keseluruhannya itu pula memiliki satu matlamat penciptaan yang sama, iaitu membimbing masyarakat. Di samping itu, kajian ini juga dilakukan dengan maksud untuk menambahkan lagi bilangan kajian yang sedia ada, yang ternyata amat kecil teristimewanya dalam bidang kajian yang mengkhusus kepada aspek dalaman novel
dan bersifat penelitian tekstual seperti yang đikerjakan ini.
Untuk memenuhi maksud tersebut, maka ia menjadi amat bersesuaian dan bertepatan pula dengan pemilihan aspek untuk tupuan utama kajian ini, iaitu aspek penceritaan atau "narrative". Pemilihan ini juga dilakukan dengan kehadiran beberapa sebab tertentu. Antara-nya ialah, pertama, penceritaan adalah merupakan unsur dalaman novel yang terpenting; penceritaan itulah yang membangunkan sesuatu bentuk khusus kepada novel, kerana pelaksanaan penceritaan ini melibatkan banyak unsur-unsur dalaman yang lain, terutamanya plot, watak dan latar. Kedua, penceritaan juga memainkan peranan terbesar untuk membawakan persoalan atau tema cerita, dan seterusnya menonjolkan pengertian dari tema yang hendak disampaikan oleh sesebuah novel itu.
Text
Novel Kawin-kawin : analisis konteks
Abstrak
Kajian konteks dalam novel kawin-kawin adalah untuk melihat bagaimana komponen-komponen yang wujud dalam konteks, iaitu latar, peristiwa bahasa dan hubungan antara pameran memainkan peranan penting bagi mewujudkan konteks yang berkesan dan akhirnya melahirkan wacana atau cerita novel. Kajian aspek konteks ini penting kerana kajian akan menunjukkan cara untuk mengungkapkan bahasa bersesuai dengan konteks agar sesuatu komunikasi itu berjalan dengan lancar. Kajian konteks ini akan tertumpu terhadap aspek yang mempengaruhi kewujudan sesuatu konteks, iaitu latar, peristiwa bahasa dan hubungan antara pameran.
Kajian ini berdasarkan sebuah novel karya Azizi Hj. Abdullah yang bertajuk kawin-kawin sebagai bahan kajian. Novel ini telah memenangi anugerah pertama dalam pertandingan Hadiah Sako II. Sebanyak dua puluh dua fasal terdapat dalam novel tersebut. Cerita yang dipaparkan ialah realiti kehidupan masyarakat yang mengamalkan perkahwinan mut’ah dan perkahwinan ta’liq.
Text
Novel perang dalam kesusteraan Indonesia, Malaysia dan Filipina : satu perbandingan
Abstrak
Disertasi ini mengemukakan satu kajian perbandingan novel-novel perang yang dihasilkan oleh novelis-novelis Malaysia, Filipina dan Indonesia. Kaedah penyelidikan dan penulisan yang digunakan adalah antara disiplin : meneliti kehadiran dan pertautan disiplin-disiplin non-sastera dalam karya sastera. Landasan awal diberikan dalam pengenalan dan Bab 1, perbincangan tentang pendekatan kajian dan beberapa teori tentan gperang. Perbincangan bergerak memasuki disiplin pada Bab 2 hingga 5 : kesan-kesan sejarah psikologi, sosial dan estetik. Novel-novel kajian dibincangkan dalam suasana perbandingan, mencari, mengenal pasti serta melihat intensiti setiap gambaran sepertimana terdpat dalam novel-novel kajian.Kesan sejarah telah menampakkan beberapa pemerihalan nyata seperti keterikatan novelis, kehadiran unsur anakronisme, etnosentrisme serta nasionalisme. Kesan psikologi pula menggalurkan beberapa priority watak-watak seperti keselamatan, kebahagiaan diri dan keluarga, ketuhanan serta survival di waktu darurat.
Text
Novel-novel A. Samad Said : menghayatinya dari sudut estetika sastera
Abstrak
Kajian ini akan dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu pertama bahagian pengenalan; kedua bahagian kajian terhadap teks; dan ketiga bahagian kesimpulan. Dalam bahagian pengenalan termuat dengan pengertian umum estetika, erti keindahan, erti seni, sejarah perkembangan ilmu falsafah estetika secara ringkas tetapi menyeluruh, dan juga memperjelaskan aspek-aspek estetika yang ada kaitannya dengan kepentingan kajian ini. Di samping itu, penjelasan juga diberikan tentang kaedah-kaedah pengkajian yang digunakan dalam mengkaji novel-novel A. Samad Said ini. Bahagian ini di anggap sebagai penting memandangkan kita perlu memahami pengertian falsafah estetika dan kaedah-kaedah yang akan digunakan itu terlebih dahulu sebelum dapat mengkaji teks-teks khusus.
Bahagian kedua pula dipecahkan kepada tiga bab, iaitu Bab ii, Bab III dan Bab iv. Bab II memuatkan persoalan-persoalan penghayatan kita terhadap keindahan isi yang merupakan peristiwa-peristiwa yang terdapat Dalam Sembilan buah novel A. Samad Said yang menjadi tumpuan kajian. Dalam bab ini kita dapat melihat bagaimana isi novel-novel ini mampu menarik minat dan memberikan pengalaman estetika kepada kita yang menghayati. Bab III pula membicarakan tentang keindahan pernyataan dalam novel-novel yang diteliti. Bab ini cuba meneliti bentuk-bentuk tertentu pernyataan, khususnya khayalan, gerak-laku dan pengucapan watak-watak dalam novel-novel ini, yang berhasil memancarkan pergolakan jiwa atau emosi para wataknya sehingga mampu pula mempengaruhi jiwa dan perasaan kita yang menghayatinya lalu turut merasaan seperti apa yang dirasakan oleh para watak brkenaan. Manakala Bab IV pula membicarakan tentang keindahan pelbagai bentuk gubahan yang terdapat dalam novel-novel yang diteliti. Kita akan melihat bagaimana gubahan-gubahan itu mempunyai kesan-kesan estetika tertentu dalam menyampaikan peristiwa atau sesuatu pernyataan. Kita juga akan melihat bagaimana suatu bentuk gubahan pernyataan itu mampu untuk menyatakan sesuatu yang tersirat dan berkehendak tafsiran di sebalik apa yang tersurat di dalamnya.
Bahagian ketiga dan terakhir merupakan kesimpulan kepada apa yang telah dikaji. Segala rumusan dilakukan dalam bahagian ini mengenai setiap penemuan yang diperolehi, iaitu termasuklah keindahan pada peniruan, keindahan pada bentuk, keindahan pada pernyataan dan keindahan pada kesatuan dalam kepelbagaian dan melihat bagaimana unsur-unsur itu berhasil membangkitkan kepuasan estetika kita dalam penghayatan karya-karya yang diteliti. Kita juga disini melihat kedudukan A. Samad Said dan karya-karya khususnya yang dikaji dalam dunia kesusasteraan nasional dan dunia internasional.
Text
Novel-novel A.Samad Ismail : satu analisis teori strukturalisme genetik-hegemoni
Abstrak
Kajian ini meneliti novel-novel A. Samad Ismail dengan menggunakan penggabungan Teori Strukturalisme Genetik oleh Lucien Goldman dan Teori Hegemoni oleh Antonio Gramsei yang menghubungkaitkan sastera sebagai cermin sosio-budaya masyarakat. Penerapan Teori Strukturalisme Genetik untuk melihat hubungan sesebuah karya sastera mempunyai ikatan dengan sistem ideologi kelompok sosial yang sedang berkuasa dalam sebuah negara. Manakala Teori Hegemoni sebagai pelengkap untuk melihat intelektualisme yang mendukung pandangan dunia pengarang.
Kajian ini membuktikan bahawa pengalaman dan persejarahan yang ditemui dalam karya novel-novel A.Samad Ismalil sesungguhnya menepati teks sebagai cermin sosio-budaya masyarakat. Seterusnya diikuti dengan perbincangan terhadap konflik kelas dalam kelompok masyarakat. Novel-novel A. Samad Ismail berupaya menafsirkan konflik dan kontradiksi antara konflik kuasa penjajahan, konflik antara golongan tuan dan golongan muda, serta konflik antara rakyat dan pemimpin dalam kontek perubahan masyarakat.
Text
Novel-novel berunsur Islam : satu analisis berdasarkan teori takmilah
Abstrak
Kajian ini meneliti tentang konsep-konsep Islam iaitu akidah , ibadah, khalifah, dakwah dan jihad dalam novel-novel berunsur Islam. Penelitian ini berasaskan kepada sejauh mana pengarang-pengarang mengemukakan konsep-konsep Islam tersebut dalam karya mereka. Pada masa yang sama , kajian ini melihat kesejajaran pandangan tokoh-tokoh agama dan sarjana sastera sama ada peringkat dunia yang dipelopori oleh al-Ghazali (r.h), Sayyid Qutb (r.h) dan al-Furqan (r.h) atau peringkat tempatan yang diterajui oleh Ismail Hamid, Ismail Ibrahim, Muhammad Bukhari Lubis, Mohd Kamal Hassan, Muhammad ‘Uthman el-Muhammady, Shafie Abu Bakar dan Shahnon Ahmad terhadap pemahaman ‘’sastera Islam’’. Rata-rata tokoh ini menjadikan tauhid sebagai ukuran penilaian terhadap tahap keberkesanan konsep (al-Khayr), kebenaran (al-Haqq) dan keindahan (al-Jamal) yang terdapat dalam karya-karya berunsur Islam. Berdasarkan pemilihan teks iaitu novel-novel yang memenangi sama ada ‘’peraduan’’, ‘’anugerah’’, atau ‘’hadiah’’ yang berunsur Islam, maka gagasan Teori Takmilah yang dicetuskan oleh Shafie Abu Bakar dijadikan analisis kajian.
Text
Novel-novel Faisal Tehrani : kajian intertekstualiti dan dakwah
Abstrak
Kajian ini menganalisis novel-novel Faisal Tehrani dengan menggunakan teori intertekstualiti dan teori Pengkaedahan Melayu. Novel-novel tersebut terdiri daripada 1515,1511H (Kombat), Tuhan Manusia Kalbu, Sasatul Ibaad, dan Ta’ziyah Karbala. Analsis novel-novel tersebut akan menggunakan tiga prinsip dalam teori intertekstualiti iaitu transformasi, modifikasi, dan ekspansi dan pendekatan dakwah dalam teori Pengkaedahan Melayu. Penggunaan kedua-dua teori dibincangkan bersama dalam meneliti sumber yang dirujuk oleh pengarang untuk menyampaikan dakwah kepada khalayak. Permasalahan kajian yang bertolak daripada Faisal Tehrani sebagai seorang yang merujuk, mengkaji, dan menyelidik sumber-sumber untuk berdakwah dalam menghasilkan novel akan diteliti oleh pengkaji. Manakala objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti hipogram, mengaplikasi teori intertekstualiti dan pengkaedahan Melayu, dan melihat kesesuaian penggunaan kedua-dua teori tersebut. Sumber-sumber hipogram dalam novel-novel Faisal Tehrani perlu dikenal pasti dengan menggunakan teori intertekstualiti. Manakala dalam membuktikan dakwah, pengkaji menggunakan pendekatan dakwah untuk mengulas bagaimana sumber yang dipetik dari luar digunakan dalam novel-novel yang dikaji. Dapatan kajian menunjukkan Faisal Tehrani menulis dengan merujuk hipogram untuk berdakwah dengan menggunakan teori intertekstualiti dan pendekatan dakwah. Kesimpulannya, kedua-dua teori ini adalah sesuai dibincangkan terhadap novel-novel Faisal Tehrani untuk berdakwah menegakkan Islam Supremasi (Keunggulan Islam).
Text
Novel-novel terpilih Azizi Hj Abdullah : kajian intertekstualiti
Abstrak
Kajian ini menganalisis tiga buah novel terpilih karya Azizi Hj. Abdullah dengan menggunakan Teori Intertekstualiti. Novel-novel tersebut ialah Seoang Tua di Kaki Bukit (1982), Memoir Seorang Guru (2007) dan Beruk (2010). Analisis tersebut akan menggunakan tiga prinsip yang terdapat Teori Intertekstualiti iaitu pertama, prinsip transformasi, kedua, prinsip modifikasi dan ketiga, prinsip ekspansi. Permasalahan kajian bertolak daripada Azizi Hj Abdullah sebagai seorang sasterawan yang berkecenderungan melakukan penyelidikan dan merujuk sumber-sumber asalnya untuk diangkat dalam karyanya yang baharu. Kebanyakkan hipoteknya ialah teks pengarang itu sendiri. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Azizi Hj. Abdullah menulis dengan merujuk hipoteks yang melalui pelbagai proses seperti kerja pemindahan atau penambahan episode tertentu bagi memperkukuh makna hipoteks. Selain itu terdapat juga proses-proses lain seperti penukaran, pengembangan, serapan, persamaan atau pembaikan daripada teks asal membolehkan teks asal berubah kepada bentuk baharu sama ada dari aspek kandungan ataupun sisi plot penceritaan. Disamping berfungsi sebagai sebuah rakaman atau pengalaman bagi generasi akan datang. Kreatifnya seorang pengarang itu mengadun kembali teks awal mereka dalam hiperteks membuktikan bahawa setiap karya sastera akan terus hidup, dapat dilanjutkan persoalan, diperdalam gelojak jiwa watak seterusnya meninggalkan impak bersar kepada khalayak pembaca melalui pemaknaan sama ada dalam bentuk yang konkrit mahupun yang signifikan.
Text
Oksidentalisme dalam sastera Melayu sejak sebelum merdeka hingga era Mahathir Mohamad
Abstrak
Kajian ini menganalisis Imej Barat (occident) dalam sastera Melayu sejak sebelum Merdeka sehingga era Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad berdasarkan perspektif kritikan pascakolonial. Tanpa membataskan satu-satu genre tertentu, pemilihan teks untuk dianalisis dibuat berdasarkan kandungannya yang dominan mewancanakan Barat. Sebelum memperoleh teks tersebut, sejarah perkembangan sastera oksidentalisme dikaji, merangkumi teks sastera tradisional sejak sebelum munculnya sastera moden sehingga era Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad pada awal abad ke-21. Zaman sebelum Merdeka dipecahkan kepada era sastera naungan kolonial, era kesedaran ekonomi dan sosial, dan era kesedaran politik; zaman selepas Merdeka dipecahkan kepada era Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, era Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn, dan era Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad. Dengan membataskan sastera moden sahaja untuk analisis terperinci, teks yang dianalisis bagi zaman sebelum Merdeka ialah Kisah Pelayaran Abdullah, Hikayat Abdullah, novel Faridah Hanom, Iakah Salmah?, Mencari Isteri, Puteri Gunung Tahan; cerpen ‘’Hujan Emas di-Negeri Orang,’’ ‘’Budak-budak Main Seldadu,’’ dan ‘’Kejadian dalam Estet’’.
Text
Pantun muhakam dalam adat perkahwinan Melayu Sambas : analisis simbolisme
Abstrak
Fokus utama dalam penyelidikan ini ialah mengkaji simbol-simbol dalam pantun perkahwinan yang diucapkan para muhakam. Oleh itu kajian ini mentafsirkan simbol-simbol dengan melihat secara kontekstual makna-makna simbolik atau makna tersirat yang terdapat dalam pantun perkahwinan Melayu Sambas. Berdasarkan penyelidikan ini penyelidikan telah memperkenalkan satu model penyelidikan yang baru dalam mengakaji pantun. Pendekatan yang menggunakan model analisis makna simbolik pantun dengan perangkat kerja etnografi berdasarkan kerangka yang diasaskan James P. Spradley (1997). Dalam kerja etnografi makna sebuah simbol harus berdasarkan konteks dan makna relasi simbol tersebut, iaitu fungsinya pada kehidupan sehari-hari masyarakat Melayu di Sambas. Perbincangan etnogradi ini berdasarkan wawancara dengan para pemantun (muhakan) dalam memahami makna-makna simbolik di sebalik pantun yang diucapkannya. Ada 32 pusingan adat perkahwinan Melayu Sambas yang mestinya dilakukan dengan berperingkat-peringkat dan berhari-hari yang berbeza.
Text
Pantun nikah kahwin dalam masyarakat Melayu Bengkalis 'kajian struktur fungsional'
Abstrak
Penulisan ini merujuk pada sebuah kerangka teori yang sesuai dengan kajian tradisi pantun nikah kahwin masyarakat Melayu Bengkalis iaitu struktur fungsional. Kajian ini melihat tradisi nikah kahwin yang masih berfungsi pada masyarakat Melayu Bengkalis dengan tatanan kehidupan yang dimilikinya. Tatanan kehidupan itu dapat dilihat dengan masih adanya pantun struktur fungsional pantun yang mengikat pada tradisi pantun nikah kahwin tersebut. Fungsi yang mengikat ini terjalin erat dengan adat istiadat, agama dan bahasa yang saling dukung mendukung dalam tradisi tersebut sehingga menjadi satu kesatuan yang utuh.
Pewarisan sebuah tradisi dipengaruhi oleh faktor internal dan eksternal. Faktor internal terkait dengan pola pewarisan dari masyarakat pemilik tradisi tersebut. Bagaimana penutur pantun mewariskan dan mengajarkan kepada generasi yang lebih muda. Pewarisan perlu segera dilakukan, mengingatkan para penutur pantun berada dalam usia tua. Penutur pantun sebagai penjaga tradisi hanya bersisa tiga orang saja. Sementara faktor eksternal terpakai dengan adanya bantuan atau intervensi pihak luar. Bantuan atau intervensi ini biasa datang dari pemerintah setempat seperti melalui kebijakannya. Dapat juga dari kalangan akademis atau pemerhati budaya dengan melakukan pengkajian guna menemukan metode yang tepat agar suatu tradisi bertahan. Selain itum sebuah tradisi akan bertahan bila masih memiliki fungsi dalam kehidupan sosial budaya masyarakatnya.
Text
Paras fertiliti penduduk Melayu di Semenanjung Malaysia
Abstrak
Objektif pertama tesis ini adalah untuk melihat hubungan di antara dua Variable Pertengahan (Intermediate Variables), iaitu umur kahwin pertama dan pengalaman perancangan keluarga dan fertiliti dalam kalangan penduduk Melayu di Semenanjung Malaysia. Objektif kedua adalah untuk menguji hubungan variable penjelasan (explanatory variables) seperti; etnik. Paras pendidikan, umur, kawasan, strata, negeri, pendapatan, status pekerjaan, industri dan status pekerjaan sebelum kahwin dengan kedua-dua variable pertengahan tersebut.
Dengan menggunakan kaedah ujian ANOVA sehala, didapati bahawa umur kahwin pertama dan pengalaman perancangan keluarga mempunyai hubungan yang signifikan dengan fertiliti bagi kaum Melayu, Cina dan India di Semenanjung Malaysia.
Dengan menggunakan kaedah Regresi Pelbagai Giliran, didapati bahawa terdapat lima variable penjelasan yang dipanggil variable prediktif mempunyai hubungan yang signifikan dengan variable criterion umur kahwin pertama. Variabel-variabel tersebut adalah taraf pendidikan, umur, wilayah, strata, dan industri responden. Teknik regresi Logistik digunakan untuk melihat kekuatan variable yang mempengaruhi pengalaman perancangan keluarga. Secara hirakinya, variable negeri dan kumpulan umur responden mempunyai hubungan yang signifikan dengan pengalaman perancangan keluarga.
Text
Pembinaan Bahasa Melayu : satu pengkajian khusus mengenai perancangan bahasa di Malaysia
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai perancangan bahasa yang telah berlaku di Semenanjung Malaysia dengan perancangan bahasa dimaksudkan langkah-langkah secara sedar yang telah diambil oleh pihak-pihak yang berkuasa dalam hal penggunaan bahasa Melayu, samaada dalam bentuk keputusan atau pelaksanaan dasar, demi untuk membina bahasa Melayu itu menjadi suatu bahasa yang antarterjemah dengan bahasa-bahasa lain yang dianggap sudah maju ertikata berkeupayaan menjadi alat sains dan teknologi dan seterusnya meluaskan penggunaan bahasa Melayu yang sudah diperkembangkan itu dalam segala bidang penghidupan masyarakat.
Dalam tesis huraian dibahagikan kepada lima bab. Bab pertama ialah pendahuluan yang menghuraikan latarbelakang sejarah dan masyarakat bahasa melayu di Semenanjung Malaysia ini. Bab kedua menghuraikan dasar bahasa negara pelaksanaannya. Dalam bab ini ditulis latarbelakang pembentukan dasar bahasa itu dan kemudian meninjau masaalah-masaalah yang dihadapi dalam melaksanakan dasar itu.
Bab ketiga menghuraikan perkembangan bahasa Melayu. Dengan perkembangan bahasa Melayu dimaksudkan proses-proses yang telah berlaku atau dilakukan disekitar (a) penciptaan atau penyemakan sistem tulisannya, (b) penstandardannya atau pemilihan bentuk dialek yang hendak dijadikan norma serta penulisan tatabahasanya, dan (c) pemodenannya yakni pembaruan-pembaruan akibat dari pertambahan kepada leksikonnya. Kesemua aspek perkembangan bahasa Melayu seperti yang telah dihuraikan ini telah ditinjau secara detail dalam bab ini.
Bab keempat adalah mengenai peluasan penggunaan bahasa Melayu. Dalam bab ini ditinjaukan cara-cara yang telah di ambil oleh Kerajaan melaksanakan penggunaan bahasa Melayu dalam dasar pelajaran kebangsaan dan dalam pentadbiran negara. Kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dalam melaksanakan dasar bahasa setakat ini dihuraikan secara perangkaan di dalam bab ini. Tujuannya adalah untuk memperlihatkan kelemahan atau kekurangan yang terdapat supaya tiap-tiap satunya dapat diperbaiki kemudian nanti.
Bab kelima dadalah bab penutup. Sebagai penutup, bab ini menyimpulkan hasil proses perancangan yang telah berlaku dalam pembinaan bahasa Melayu dan mencadangkan langkah-langkah yang harus diambil dalam rangka mengusahakan pembinaan bahasa Melayu itu.
Text
Pemeliharaan dan penyisihan bahasa : kajian kes terhadap komuniti minoriti Rajang-Tanjong
Abstrak
Kajian ini adalah kajian sosiolinguistik yang melihat segala pemeliharaan bahasa dan penyisihan bahasa yang berlaku di dalam komuniti minoriti Rajang-Tanjong yang terdapat di Kapit, Sarawak.
Gejala pemeliharaan bahasa dan penyisihan bahasa adalah salah satu kesan akibat pertembungan bahasa. Pertembungan bahasa disebabkan oleh beberapa faktor, sepeti penghijrahan, penjajahan politik dan ekonomi, agama, perdagangan, sempadan geografi, persekutuan beberapa wilayah untuk membentuk satu negara, dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan masyarakat menjadi bersifat dwibahasa dan pelbagai bahasa.
Text
Pemikiran Kaum Muda di dalam novel-novel Melayu sebelum perang dunia kedua
Abstrak
Kajian ini merupakan satu kajian terhadap perkembangan pemikiran Kaum Muda yang terdapat di dalam novel-novel Melayu sebelum Perang Dunia Kedua. Kaum Muda dilihat sebagai satu ideologi yang berurutan dari hubungan ideologi yang diasaskan oleh gerakan islah Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid di Mesir. Idelologi itu berangkaian dalam tulis Syed Syeikh al-hadi, menghasilkan Hikayat Faridah Hanom dan kemudiannya menjadi ideologi ikutan masyarakat penulis di dalam perkembangan sastera Melayu sebelum perang secara meluas.
Text
Pemikiran Pramoedya Ananta Toer dalam novel-novel mutakhirnya
Kajian ini merupakan suatu penelitian terhadap pemikiran Pramoedya Ananta Toer seperti yang tersirat dalam tetralogy terbarunya - Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah, dan Rumah Kaca – yang dihasilkan selama pengasingannya di Pulau Buru, Indonesia. Pemikirannya ini menjadi menarik untuk ditliti kerana di dalamnya terpancar pandangan dan tafsiran yang lebih baru dan canggih dari pengarang terhadap soal-soal sejarah, budaya, humanism, nasionalisme, dan kolonialisme di Indonesia. Huraian tentang semuanya ini dikemukakan dalam tujuh bab yang terdiri dari empat bahagian.
Showing 51 to 100 of 155 results
Page
of 4
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->