Masuk ke dalam cahaya : Satu analisis berdasarkan pendekatan Islam

Dublin Core

Description

Abstrak
Kajian terhadap novel Masuk ke dalam cahaya bertujuan mencari unsur Islam dan keislaman dalam karya dan sejauh mana kualiti karya memberi impak kepada masyarakat Islam khususnya dan lain-lain amnya. Kajian yang turut membincangkan secara terperinci dimanakah unsur Islam diterapkan dalam karya, bagaimanakah yang dikatakan aspek Islam dalam karya, bagaimana penulis mengulas tentang Islam dan melihat penulis mengaplikasikan kaedah penulisannya yang bercorak Islam itu sendiri dalam novel tersebut melalui pendekatan Islam dengan mengaplikasikan citra takmilah. Kajian ini juga melihat corak dan gambaran masyarakat yang terdapat dalam novel melalui pendekatan Islam.
Dalam kajian ini, jalan penceritaan, watak dan perwatakan serta beberapa aspek lain diambil, dikupas dan diolah dengan menggunakan pendekatan Islam dalam mencari gambaran nilai keislamanan sebenarnya yang terdapat dalam karya kesusasteraan Melayu. Pengkaji melihat, pengarang sebagai ahli masyarakat yang terlibat secara langsung, menjadikan kehidupan masyarakat sebagai bahan menghasilkan karya. Melalui penggunaan bahasa masyarakat sebagai pengucapan batin untuk menyuarakan rasa hati atau kehidupan bangsanya serta merujuk fungsi sastera kepada masyarakat sebagai alat kawalan sosial untuk memelihara nilai dan norma masyarakat. Di sini pengkaji melihat bahawa tanpa masyarakat, sastera tidak dapat menemui bentuknya dan tanpa sastera masyarakat tidak dapat menemui kehidupannya. Ini disebabkan sastera dan masyarakat merupakan dua entiti yang saling berhubungan dan tidak dapat dipisahkan.
Kajian ini berlandaskan ‘Model Citra Takmilah’, iaitu gabungan Teori Takmilah dengan pendekatan citra. Dasar utama kajian ini menggunakan Teori Takmilah ciptaan Shafie abu Bakar. Teori Takmilah berdasarkan sifat ketuhanan yang Uluhiyyah (sifat kesempurnaan Allah S.W.T) dan Rububiyyah (sifat Allah S.W.T dalam hubungan dengan makhluk-nya). Sifat ini melambangkan kesempurnaan sikap pengarang, karya dan pembaca kepada Allah S.W.T. Manakala pendekatan citra pula menggabungkan gambaran masyarakat dan perwatakannya dengan tuhan, dengan alam, sesama manusia, dengan dirinya sendiri serta dengan seni sastera. Kelima-lima kategori citra takmilah ini dibuat secara sedar untuk melihat konteks manusia dalam novel bercorak Islam, khususnya novel Masuk ke Dalam Cahaya karya Abdullah Hussain.
Kesimpulan dari pengkajian ini, pengkaji mendapati novel Masuk ke dalam cahaya karya Abdullah Hussain mempunyai pelbagai citra manusia. Jalan penceritaannya berlandaskan kesedaran tauhid dengan mendukung seruan tauhid, iaitu mengajak manusia menyempurnakan diri dengan beriman kepada Allah S.W.T. Pengarang mengajak manusia memahami segala fenomena yang berlaku dan mengambil hikmah daripada fenomena tersebut. Pengkaji melihat hal ini bersesuaian dengan Teori Takmilah. Pengkaji juga menemui bahawa hubungan sastera dan masyarakat adalah saling bersangkutan. Sastera dapat memberi gambaran nyata, baik mengenai imej manusia mahupun struktur sosial masyarakatnya. Dalam Islam, citra sastera yang dituntut ialah karya yang berpaksikan kepada ilmu. Ilmu yang bersifat amar makruf dan nahi mungkar. Ilmu yang dapat mendidik jiwa manusia kepada mencintai kebenaran dan kebenaran merupakan satu ciri keindahan yang menjadi faktor penentu kepada sesebuah karya. Dalam kajian, terdapat pelbagai citra manusia seperti huraian bab 3 kajian ini yang mana citra manusia sebagai teladan kepada manusia lain. Oleh yang demikian, pengkajian citra manusia dalam novel merupakan salah satu genre kesusasteraan yang popular, banyak merakam fenomena dan perilaku manusia. Dengan melihat kepada tujuan atau objektif kajian ini juga, kesemua tujuan adalah bertitik tolak daripada hipotesis bahawa novel, cerpen, puisi, atau karya-karya sastera mencerminkan citra masyarakatnya dan menjadi media dakwah pengarang untuk mengajak masyarakatnya mentauhidkan Allah S.W.T.

Creator

Eddy Noorzama Ibrahim

Source

PL5065 2007 Eddni

Date

2007

Contributor

fieda
niam

Type

Academic exercise

Citation

Eddy Noorzama Ibrahim, “Masuk ke dalam cahaya : Satu analisis berdasarkan pendekatan Islam,” Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu, accessed February 3, 2026, https://rimbunan.nusa.my/rimbun/items/show/19924.