Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (155 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Tesis Doktor Falsafah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Makna siratan dalam novel politik Melayu terpilih : analisis berdasarkan Gagasan Kritikan Melayu
Abstrak
Kajian ini menganalisis makna siratan daripada pengukapan dalam lima buah novel politik Melayu yang dipilih. Pengukapan yang mengandungi makna siratan merupakan cara yang digunakan oleh para pengarang novel sebagai kritikan terhadap individu dan masyarakat. Pengukapan yang mengandungi makna siratan menunjukkan kebijaksanaan para pengarang mengaitkan karya kreatif dengan situasai kehidupan seharian dalam masyarakat. Terdapat tafsiran dalam pengukapan pengarang yang dapat dikaitkan dengan fungsi kesusasteraan sebagai cerminan masyarakat dan kreativiti dalam seni naratif itu. Analisis ini menghuraikan makna yang tersirat daripada pengungkapan yang dipilih daripada dimensi perilaku, dimensi peristiwa dan dimensi unsur alam. Dimensi perilaku, peristiwa dan unsur alam yang membincangkan makna siratan ini disimpulkan daripada sepuluh prinsip Gagasan Kritikan Melayu yang diperkenalkan oleh Dr. Syed Otman Syed Omar. Lima buah novel Melayu yang bertema politik dipilih dalam kajian ini ialah Sebelas Rejab, Anak Mat Lela Gila, Tunggul-tunggul Gerigis, Nagogho Astana dan Naratif Ogonshoto. Kelima-lima karya ini mewakili zaman penghasilan karya kesusasteraan Melayu dalam genre novel dari zaman sebelum kemerdekaan, era kemerdekaan dan selepas tahu 2000.
Text
Penterjemahan tajuk utama iklan dalam katalog bercetak
Abstrak
Kemasukan pelbagai produk antarabangsa yang diimport ke Malaysia menyebabkan iklan yang dicipta dalam bahasa Inggeris perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Langkah penterjemahan iklan semestinya mempunyai kekangan apabila produk yang diasaskan dari luar negara membawa bersama budaya, norma dan juga sistem bahasa negara produk berkenaan. Berlandaskan permasalahan berkenaan, kajian ini mengkaji penterjemahan tajuk utama dalam katalog bercetak Cosway dan Avon. Tiga perspektif utama kajian ini adalah untuk mengkaji ciri-ciri bahasa tajuk utama, isu keinggerisan yang wujud dalam terjemahan tajuk serta pendekatan penterjemahan tajuk utama. Oleh itu kajian ini mengaplikasikan pendekatan elektrik untuk menganalisis data kajian. Pandangan Torresi (2010) berkenaan bahasa teks periklanan dipertimbangkan bagi mengenal pasti ciri-ciri bahasa dalam penulisan tajuk utama. Kategori oleh Haugen (1972) pula dimanfaatkan untuk mengelaskan unsur keinggerisan yang wujud dalam tajuk utama. Selain itu, pendekatan terjemahan fungsian yang diutarakan oleh Nord (1997) diaplikasikan bagi menghuraikan pendekatan terjemahan yang digunakan oleh penterjemah sewaktu menterjemah. Dapatan kajian menunjukkan penterjemah menggunakan gabungan bahasa kreatif dan bahasa emotif dalam penulisan tajuk utama. Selain itu, langkah penterjemahan telah mewujudkan unsur keinggerisan seperti kata pinjaman dan kata pinjaman gabungan.
Text
Kecerdasan emosi dalam novel remaja
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk mengenal komponen-komponen kecerdasan emosi dalam novel-novel remaja dan pengaruh komponen kecerdasan emosi terhadap pembentukan sahsiah remaja dalam novel kajian. Kehadiran komponen kecerdasan emosi dapat dikesan melalui peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh watak yang pastinya mempunyai kaitan denga latar belakang watak dan tahap kecerdasan emosi yang dimiliki oleh remaja tersebut. Remaja yang pandai mengurus emosi pastinya memiliki sifat remaja unggul iaitu mempunyai keimanan yang kukuh, akhlak yang mulia dan disanjung oleh semua orang. Terdapat tiga objektif yang dicapai dalam kajian ini iaitu, mengenal pasti kehadiran komponen kecerdasan emosi pada watak-watak yang terdapat dalam teks kajian, menganalisis kecerdasan emosi yang terdapat pada watak-watak protagonis remaja berdasarkan Model Kecerdasan Emosi (MKE) dalam teks kajian dan menilai pengaruh dan kepentingan komponen kecerdasan emosi terhadap pembentukan sahsiah unggul watak protagonist remaja dalam teks terpilih. Kajian ini berlandaskan Teori Kecerdasan Emosi yang dipelopori oleh Mayer dan Salovey (1990) dan Teori Kecerdasan Emosi oleh Daniel Goleman (1995/1999). Selain itu, Pendekatan Tauhid juga diguna pakai untuk melihat apspek-aspek kerohanian Islam dalam diri remaja.
Text
Perbandingan kata sapaan dalam masyarakat Minangkabau di Kabupaten 50 kota dengan daerah Rembau
Abstrak
Negeri Sembilan dikatakan sebagai salah satu daripada kawasan rantau Minangkabau sejak ratusan tahun yang lalu. Jejak keminangkabauan mereka masih tergambar pada sistem sosiobudaya masyarakat Negeri Sembilan sekarang seperti hidup dalam kelompok-kelompok (mereka namaka suku). Kajian ini bertujuan untuk menghuraikan bentuk dan penggunaan kata suapan di Nagari Batuhampar Kecamatan Akabiluru Kabupaten 50 kota dan Daerah Rembau Negeri Sembilan serta membandingkan persamaan dan perbezaan kata sapaan dalam masyarakat Minangkabau pada kedua-dua kawasan tersebut. Faktr-faktor yang menyebabkan perubahan bentuk kata sapaan berlaku juga dijelaskan dalam kajian ini. Teori yang digunakan untuk menganalisis data-data ialah teori kata sapaan yang dikemukakan oleh Ervin-Tripp (1986). Data dikumpulkan di Nagari Batuhampar Kecamatan Akabiluru Kabupaten 50 Kota dan Daerah Rembau Negeri Sembilan dengan menggunakan metodologi semak dan cakap yang dilaksanakan dengan sau set teknik penyelidikan.
Text
Simbol dalam cerpen-cerpen Anwar Ridhwan : kajian konseptual kata kunci
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti konseptualisasi anwar Ridhwan yang tersurat dan tersirat dalam lima puluh enam buah cerpen yang diterbitkan dari tahun 1976 hingga 2009 yang terkumpul dalam Kumpulan Cerpen Persendirian Parasit (1976), Sangkar (1986), Naratif Ogonshoto (2001), Kumpulan Cerpen Parasit dan Sesudah Perang (2009) dan cerpen-cerpen yang tersiar secara eceran dalam majalah Dewan Sastera dan akhbar arus perdana seperti Berita harian dan Mingguan Malaysia.Teori Konseptual Kata Kunci yang diperkenalkan oleh sarjana Malaysia, Mohamad Mokhtar Abu Hassan menjadi kerangka teoritis dalam penyelidikan ini. Dengan menerapkan Teori Konseptual Kata Kunci, kata kunci dan simbol dalam 56 buah cerpen dianalisis untuk mengenal pasti konseptualisasi Anwar Ridhwan berhubung dengan konsep kepimpinan, konsep kemiskinan dan konsep perjuangan. Dapatan kajian membuktikan bahawa kata kunci digunakan untuk menyalurkan konseptualisasi secara tersurat manakala simbol digunakan untuk menyalurkan konseptualisasi secara tersurat manakala simbol digunakan untuk menzahirkan konsertualisasi secara tersirat. Daripada kata kunci dan sepuluh jenis simbol yang ditemukan seperti simbol haiwan, simbol burung, simbol serangga, simbol alam, simbol peristiwa, simbol objek, simbol warna, simbol tempat dan simbol angka, terbukti bahawa Anwar Ridhwan menghubungkan personaliti, pengaruh, strategi fan kediktatoran sebagai faktor utama dalam konsep kepimpinan.
Text
Wacana Maulid Nabi di Minangkabau : kajian tentang dinimikanya berdasarkan naskhah-naskhah karya ulama tempatan
Abstrak
Tesis ini memfokuskan kajiannya terhadap dinamika wacana Maulid Nabi (MN) di Minangkabau melalui teks dan konteks naskhah-naskhah karya para ulama tempatan. Dalam konteks dinamika Islam tempatan, wacana MN merupakan salah satu isu polimik keislaman di Minagkabau yang cukup kontroversial dan memancing beberapa sarjana untuk melakukan penelitian terhadapnya. Akan tetapi, kajian yang menggunakan naskhah-naskhah karya ulama tempatan sebagai sumber utamanya masih sedikit dilakukan. Kajian ini menggunakan pendekaan filologi dan teori Critical Discourse Analysis (CDA) dengan menggabungka model CDA Norman Fairclough dan Ruth Wodak. Suntingan teks yang dihasilkan dengan pendekatan filogi, dianalisis teks dan konteksnya secara kritis dengan teori CDA. Dalam perspektif CDA, wacana MN tidak hanya dianalisis pada peringkat teks saja, namun diteruskan pada aspek konteks sejarah dan sosial budayanya. Metodologi kualitatif yang digunakan dalam kajian ini melibatkan metode penelitian yang dimiliki ole pendekatan filologi dan teori CDA. Secara umum, kajian ini menjelaskan sejauh mana naskhah-naskhah karya para ulama tempatan menggambarkan dinamika wacana MN di Minangkabau. Untuk sampai pada tujuan kajian, wacana MN dianalisis mulai dari proses produksi, distribusi hingga konsumi wacana. Dari analisis yang dilakukan, kajian ini menampilkan fakta bahawa karya sastera berkenaan dengan MN secara diskursif telah menjadi wacana yang berideologi, sehingga mampu membentuk dan memperkuatkan identiti Kaun Tua di Minangkabau. Pada saat yang bersamaan, praktik wacana tersebut menjadi kekuatan yang tangguh untuk menyangkal serangan secara diskursif yang dilancarkan oleh kalangan ulama Kaum Muda. Perang wacana-baik melalui tulisan dan debat terbuka-pada era transmisi pembaharuan Islam di Minangkabau telah memberi kesan positif terhadap tradisi intelektual dalam kalangan ulama Minangkabau.
Text
Novel-novel terpilih Azizi Hj Abdullah : kajian intertekstualiti
Abstrak
Kajian ini menganalisis tiga buah novel terpilih karya Azizi Hj. Abdullah dengan menggunakan Teori Intertekstualiti. Novel-novel tersebut ialah Seoang Tua di Kaki Bukit (1982), Memoir Seorang Guru (2007) dan Beruk (2010). Analisis tersebut akan menggunakan tiga prinsip yang terdapat Teori Intertekstualiti iaitu pertama, prinsip transformasi, kedua, prinsip modifikasi dan ketiga, prinsip ekspansi. Permasalahan kajian bertolak daripada Azizi Hj Abdullah sebagai seorang sasterawan yang berkecenderungan melakukan penyelidikan dan merujuk sumber-sumber asalnya untuk diangkat dalam karyanya yang baharu. Kebanyakkan hipoteknya ialah teks pengarang itu sendiri. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Azizi Hj. Abdullah menulis dengan merujuk hipoteks yang melalui pelbagai proses seperti kerja pemindahan atau penambahan episode tertentu bagi memperkukuh makna hipoteks. Selain itu terdapat juga proses-proses lain seperti penukaran, pengembangan, serapan, persamaan atau pembaikan daripada teks asal membolehkan teks asal berubah kepada bentuk baharu sama ada dari aspek kandungan ataupun sisi plot penceritaan. Disamping berfungsi sebagai sebuah rakaman atau pengalaman bagi generasi akan datang. Kreatifnya seorang pengarang itu mengadun kembali teks awal mereka dalam hiperteks membuktikan bahawa setiap karya sastera akan terus hidup, dapat dilanjutkan persoalan, diperdalam gelojak jiwa watak seterusnya meninggalkan impak bersar kepada khalayak pembaca melalui pemaknaan sama ada dalam bentuk yang konkrit mahupun yang signifikan.
Text
Psikologi keperluan remaja dalam novel-novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU)
Abstrak
Kajian ini menganalisis enam buah novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), karya enam orang pengarang dengan menggunakan Pendekatan Hierarki Keperluan Remaja yang telah diubah suai dari Teori Hierarki keperluan Manusia. Novel-novel tersebut ialah Azfa Hanani (1995), Trilogi Cinta (2002) Merenang Gelora (2002), Merdekakan Cinta Ratna (2003), Beraraklah Awan Pilu (2006) dan Jendela Menghadap Jalan (2009). Analisis tersebut menggunakan lima peringkat utama yang terdapat dalam Pendekatan Hierarki Keperluan Remaja, iaitu pertama, keperluan fisiologi, kedua, keperluan keselamatan, ketiga, keperluan kasih sayang dan cinta, keempat, keperluan penghargaan kendiri dan akhir sekali kelima, keperluan penyempurnaan kendiri. Permasalahan kajian ynag bertolak daripada tempoh dan usia remaja akan wujud pelbagai keperluan, keinginan dan kehendak yang diperlukan oleh golongan ini bagi memenuhi impian, matlamat, visi dan misi yang dicita-citakan oleh mereka.
Text
Animasi 'Bangsawan Puteri Saadong' : adaptasi teks dan persembahan
Abstrak
Kajian ini membangunkan sebuah animasi cerita sebagai alat untuk penilaian adaptasi teks dan persembahan. Adaptasi teks yang dibuat adalah berasaskan kepada kisah Puteri Saadong, petikan dari Hikayat Seri Kelantan manakala adaptasi persembahan memilih seni persembahan bangsawan. Dengan aplikasi pendekatan adaptasi Hutcheon (2006) dan persepsi visual Arnheim (1974), kisah Puteri Saadong dan ciri-ciri persembahan bangsawan melalui penyesuaian untuk dipersembahkan dalam format animasi dua dimensi. Penghuraian tentang produksi animasi kajian yang dinamakan ‘’Bangsawan Puteri Saadong’’ dilakukan dengan memperincikan proses penulisan skrip, papan cerita, pembangunan audio dan grafik. Penilaian ‘’Bangsawan Puteri Saadong’’ bertujuan melihat faktor yang mempengaruhi persepsi terhadap karya adaptasi sastera tradisional yang diolah mengikut acuan persembahan Melayu tradisional. Dapatan dari penilaian mendapati bahawa faktor latar belakang pendidikan, pengalaman, minat, jantina dan umur mempengaruhi persepsi individu terhadap hasil adaptasi, selaras dengan model kajian, hasil pertindihan antara teori adaptasi (Hutcheon, 2006) dan teori persepsi visual (Arnheim, 1974).
Text
Pantun nikah kahwin dalam masyarakat Melayu Bengkalis 'kajian struktur fungsional'
Abstrak
Penulisan ini merujuk pada sebuah kerangka teori yang sesuai dengan kajian tradisi pantun nikah kahwin masyarakat Melayu Bengkalis iaitu struktur fungsional. Kajian ini melihat tradisi nikah kahwin yang masih berfungsi pada masyarakat Melayu Bengkalis dengan tatanan kehidupan yang dimilikinya. Tatanan kehidupan itu dapat dilihat dengan masih adanya pantun struktur fungsional pantun yang mengikat pada tradisi pantun nikah kahwin tersebut. Fungsi yang mengikat ini terjalin erat dengan adat istiadat, agama dan bahasa yang saling dukung mendukung dalam tradisi tersebut sehingga menjadi satu kesatuan yang utuh.
Pewarisan sebuah tradisi dipengaruhi oleh faktor internal dan eksternal. Faktor internal terkait dengan pola pewarisan dari masyarakat pemilik tradisi tersebut. Bagaimana penutur pantun mewariskan dan mengajarkan kepada generasi yang lebih muda. Pewarisan perlu segera dilakukan, mengingatkan para penutur pantun berada dalam usia tua. Penutur pantun sebagai penjaga tradisi hanya bersisa tiga orang saja. Sementara faktor eksternal terpakai dengan adanya bantuan atau intervensi pihak luar. Bantuan atau intervensi ini biasa datang dari pemerintah setempat seperti melalui kebijakannya. Dapat juga dari kalangan akademis atau pemerhati budaya dengan melakukan pengkajian guna menemukan metode yang tepat agar suatu tradisi bertahan. Selain itum sebuah tradisi akan bertahan bila masih memiliki fungsi dalam kehidupan sosial budaya masyarakatnya.
Text
Pantun muhakam dalam adat perkahwinan Melayu Sambas : analisis simbolisme
Abstrak
Fokus utama dalam penyelidikan ini ialah mengkaji simbol-simbol dalam pantun perkahwinan yang diucapkan para muhakam. Oleh itu kajian ini mentafsirkan simbol-simbol dengan melihat secara kontekstual makna-makna simbolik atau makna tersirat yang terdapat dalam pantun perkahwinan Melayu Sambas. Berdasarkan penyelidikan ini penyelidikan telah memperkenalkan satu model penyelidikan yang baru dalam mengakaji pantun. Pendekatan yang menggunakan model analisis makna simbolik pantun dengan perangkat kerja etnografi berdasarkan kerangka yang diasaskan James P. Spradley (1997). Dalam kerja etnografi makna sebuah simbol harus berdasarkan konteks dan makna relasi simbol tersebut, iaitu fungsinya pada kehidupan sehari-hari masyarakat Melayu di Sambas. Perbincangan etnogradi ini berdasarkan wawancara dengan para pemantun (muhakan) dalam memahami makna-makna simbolik di sebalik pantun yang diucapkannya. Ada 32 pusingan adat perkahwinan Melayu Sambas yang mestinya dilakukan dengan berperingkat-peringkat dan berhari-hari yang berbeza.
Text
Analisis bahasa kiasan dalam novel terjemahan Harry Potter and The Deathly Hallows (Harry Potter dan Azimat Maut)
Abstrak
Bahasa kiasan merupakan ungkapan yang maknanya tidak dapat diketahui daripada makna perkataan itu sendiri. Dalam menterjemahkan bahasa kiasan, pengetahuan mengenai bahasa dan budaya yang terlibat amat penting, malahan pengetahuan tentang pemilihan kata dan strategi penterjemahan juga amat penting untuk diketahui oleh seseorang penterjemah. Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis terjemahan bahasa kiasan yang terdapat dalam teks asal kepada teks sasaran dan strategi terjemahan yang digunakan oleh penterjemahan bagi menterjemah bahasa kiasan. Pengkaji telah memilih sebuah teks novel terjemahan daripada bahasa Inggeris karya J.K Rowling berjudul Harry potter and the Deathly Hallows dan terjemahan bahasa Melayu yang dilakukan oleh syarikat penerbitan Pelangi Sdn Bhd bertajuk Harry Potter dan Azimat Maut. Kajian ini telah menerapkan taksonomi Larson (1998) bagi menyempurnakan analisis strategi penterjemah yang digunakan oleh penterjemah dalam teks sasaran. Daripada analisis yang telah dilakukan, didapati bahawa penggunaan idiom paling tinggi, iaitu sebanyak 57% (173), diikuti dengan simili 39% (117) dan metafora sebanyak 4% (13). Strategi utama yang telah diguna pakai oleh penterjemah ialah menterjemah menggunakan strategi mengekalkan imej atau unsur bahasa kiasan bahasa Inggeris, iaitu sebanyak 68.32% (207), manakala strategi mengekalkan bahasa kiasan dengan memberi penjelasan tidak digunakan oleh penterjemahan dalam kajian ini.
Text
Hikayat Pandawa Lebur MSS 737 : penceritaan dalang atau dagang
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk meneliti peranan dalang selaku pencerita dalam naskhah Hikayat Pandawa Lebur MSS 737, koleksi Perpustakaan Malaysia, Kuala Lumpur. Naskhah ini mengandungi enam siri perang antara Kerajaan Pandawa dengan Kerajaan Ukirtawang, Kerajaan Tambak Kencana, Kerajaan Ukirsina, Kerajaan Penatas Angin, Kerajaan Manca Pati dan Kerajaan Sura Peringga. Kajian ini menggunakan pendekatan filologi moden yang melihat variasi naskhah sebagai ciptaan teks yang tersendiri. Pendekatan ini tidak melibatkan perbandingan naskhah sebaliknya kajian yang mendalam dilakukan terhadap variasi naskhah yang dikaji. Objektif kajian adalah untuk menganalisis sama ada peranan penceritaan dalang dalam Hikayat Pandawa Lebur MSS 737 sama seperti yang dinyatakan dalam teori Koster (1997) kerana HPL disampaikan oleh dalang. Kedua untuk menganalisis kemungkinan wujud peranan dagang dan akhirnya untuk membuktikan bahawa kebenaran pandangan sarjana bahawa Hikayat Pandawa Lebur MSS 737 ialah cerita pandawa yang berbeza daripada cerita-cerita pandawa yang lazim ditemui.
Text
Persoalan ketahanan Nasional dalam novel pilihan penulis guru Negara Brunei Darussalam
Abstrak
Kajian ini menganalisis persoalan ketahanan nasional yang terdapat di dalam novel-novel pilihan yang dihasilkan oleh penulis-penulis guru terutamanya yang berpendidikan tinggi. Pemilihan penulis guru dilakukan berdsarkan sejarah penulisan novel itu negara Brunei Darussalam yang dimulakan oleh penulis guru. Di samping itu, guru adalah orang yang terlibat dalam mengajar ciri-ciri ketahanan nasional itu di sekolah-sekolah baik secara langsung mahupun tidak langsung. Setiap penulis dipilih dua buah novel terbaik mereka.
Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengenal pasti persoalan ketahanan nasional negara Brunei Darussalam yang terdapat dalam novel-novel kajian dan seterusnya memaparkan pengalaman watak-watak dalam naratifnya yang Berjaya mengasimilasikan ciri-ciri ketahanan nasional tersebut dalam kehidupan mereka. Kesan asimilasi itu menyebabkan keselamatan dan kemakmuran baik dalam keluarga, masyarakat mahupun negara telah dapat dipertahankan. Analisis ini menekankan perspektif watak-watak menerapkan ciri ketahanan nasional sosiobudaya, ketahanan nasional sosioekonomi danketahan nasional sosiopolitik. Dalam analisis ini setiap pecahan ketahanan nasional bagi setiap kategorinya itu dipaparkan penerapannya dalam kehidupan watak-watak dan masyarakat.
Text
Novel-novel Faisal Tehrani : kajian intertekstualiti dan dakwah
Abstrak
Kajian ini menganalisis novel-novel Faisal Tehrani dengan menggunakan teori intertekstualiti dan teori Pengkaedahan Melayu. Novel-novel tersebut terdiri daripada 1515,1511H (Kombat), Tuhan Manusia Kalbu, Sasatul Ibaad, dan Ta’ziyah Karbala. Analsis novel-novel tersebut akan menggunakan tiga prinsip dalam teori intertekstualiti iaitu transformasi, modifikasi, dan ekspansi dan pendekatan dakwah dalam teori Pengkaedahan Melayu. Penggunaan kedua-dua teori dibincangkan bersama dalam meneliti sumber yang dirujuk oleh pengarang untuk menyampaikan dakwah kepada khalayak. Permasalahan kajian yang bertolak daripada Faisal Tehrani sebagai seorang yang merujuk, mengkaji, dan menyelidik sumber-sumber untuk berdakwah dalam menghasilkan novel akan diteliti oleh pengkaji. Manakala objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti hipogram, mengaplikasi teori intertekstualiti dan pengkaedahan Melayu, dan melihat kesesuaian penggunaan kedua-dua teori tersebut. Sumber-sumber hipogram dalam novel-novel Faisal Tehrani perlu dikenal pasti dengan menggunakan teori intertekstualiti. Manakala dalam membuktikan dakwah, pengkaji menggunakan pendekatan dakwah untuk mengulas bagaimana sumber yang dipetik dari luar digunakan dalam novel-novel yang dikaji. Dapatan kajian menunjukkan Faisal Tehrani menulis dengan merujuk hipogram untuk berdakwah dengan menggunakan teori intertekstualiti dan pendekatan dakwah. Kesimpulannya, kedua-dua teori ini adalah sesuai dibincangkan terhadap novel-novel Faisal Tehrani untuk berdakwah menegakkan Islam Supremasi (Keunggulan Islam).
Text
Kajian perbandingan humor : arja dan makyung
Abstrak
Sejarah dan perkembangan dramatari Arja dan Makyung di Asia Tenggara dikenal pasti tertumpu di beberapa tempat sahaja. Arja hanya terdapat di seluruh daerah Bali, Indonesia. Manakala Makyung hanya di Malaysia (Kelantan, Terrengganu, Kuala Lumpur, Thailand (Pattani, Narathiwat) dan Indonesia (Sumatera dan Kepulauan Riau).
Arja merupakan dramatari pelbagai panggilan, makna, konsep, jenis dan falsafah yang dikenalpasti terbentuk pada awal abad ke-19. Ia sesuai dipersembahkan di pelbagai jenis panggung dengan paten cerita berdasarkan watak utama. Humor Arja berfungsi kepada masyarakat penonton berdasarkan mesej cerita, ritual agama, hiburan semasa dan kritikn sosial semasa persembahan berlangsung.
Makyung pula dipercayai muncul dengan bentuk paling asas pada awal abad ke 12. Ia merupakan dramatari berbentuk ritual (perubatan dan upacara) dan hiburan dengan pelbagai paten, falsafah dan makna mengikut tempat persembahan. Teori asal usul Malyung adalah kompleks berdasarkan kepercayaan setempat yang bercampur dengan pelbagai pengaruh kepercayaan lain seperti Anamisme, Hindu, Buddha dan Islam. Humornya pula berfungsi kepada individu pemain dan masyarakat penontonnya.
Text
Kritikan seni dari perspektif sosio budaya di Malaysia
Abstrak
Meskipun Malaysia mengalami perkembangan pesat dalam dunia seni lukis pada ketika ini namun senario itu tidak memadai kerana masih wujud kelompongan dari sudut kritikan seni iaitu aspek teoritikal yang sewajarnya menjadi tulang belakang atau disiplin teras kepada kemajuan seni visual tanah air. Meskipun wujud kekurangan dari segi penglibatan serta dan ruang perbincaraan kritikan seni visual ini, ia tidak menjadi halangan untuk memupuk budaya keintelektualan di dalam masyarakat. Kelahiran karya-karya dari kalangan pelukis-pelukis tersohor negara seperti Datuk Syed Ahmad Jamal dan Dato’ Mohd. Hoessein Enas memberi ruang seluas-luasnya kepada bidang kritikan seni iaitu sebagai manifestasi pemikiran dan budaya dalam memacu kepada pembentukan budaya kritis di kalangan masyarakat. Apabila sesuatu karya itu di lukis, dibicara dan ditulis aka terciptalah ia sebagai dokumen-dokumen zamannya, pencatat waktu dan perakam peristiwa yang dapat menjelaskan tentang pelbagai aksi atau rentetan reaksi di masa silam sebagai suatu cerminan atau rujukan sosiobudaya yang penting.
Text
Analisis kesilapan dalam pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua oleh pelajar India : strategi pembelajaran dan pemindahan bahasa
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis strategi pembelajaran serta strategi pemindahan bahasa dalam proses pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dalam kalangan pelajar India di sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) yang berada di kawasan estet. Orang-orang India telah menerima bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan negara ini dan mempelajarinya secara formal atau tidak formal. Namun, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan Pelajar India masih kurang memberangsangkan. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis strategi pembelajaran dan strategi pemindahan bahasa yang merupakan dua strategi utama yang digunakan oleh pelajar India semasa mempelajari bahasa Melayu dalam situasi formal.
Pengkaji menggunakan teori monitor yang diperkenalkan oleh Krashen (1982) dalam kajian ini. Data yang diperoleh daripada proses pengcukilan menggunakan ujian diagnosis pula dianalisis menggunakan prosedur analisis kesilapan yang dipelopori S.Pit Corder. Teori monitor merupakan teori yang komprehensif dalam membincangkan pembelajaran B2, Teori ini yang merangkumi lima hipotesis, iaitu Hipotesis Turutan Semula jadi (Natural Order Hypothesis). Hipothesis Pembelajaran dan Pemerolehan (Acquisiton / Learning Hypothesis), Hipotesis Penapis Afektif (Affevtive Filter Hypothesis), Hipothesis Input (Input Hypothesis) dan Hipotesis Monitor (Monitor Hypothesis). Kelima-lima hipotesis ini dapat menjelaskan pelbagai fenomena yang berkaitan pembelajaran B2 secara mendalam.
Text
Model rasa insaniah dalam puisi Islam tiga penyair Nusantara
Abstrak
Puisi Melayu moden mempunyai sejarah dan perkembangan yang amat baik di Nusantara. Bermula daripada puisi-puisi yang bertemakan perjuangan, menuntut kemerdekaan hinggalah kepada tema keislaman. Kekeliruan mula timbul apabila puisi Melayu moden yang membawa persoalan keislaman wajar disebut puisi Islam atau puisi berunsur Islam? Oleh itu, kajian ini akan cuba menjelaskan dan menjawab persoalan kajian terhadap gagasan ‘Model Rasa Insaniah’ (MRI), iaitu mengenal pasti kesesuaian prinsip-prinsip Model Rasa Insaniah dalam menganalisis unsur-unsur dakwah, terhadap dalam puisi tiga penyair, iaitu Rahimidin Zahari (Malaysia), Jamal D. Rahman (Indonesia) dan Johor Buang (Singapura). Model ini merupakan hasil pengubahsuaian dan penambahbaikan tiga teori tempatan sedia ada, iaitu Teori TAKMILAH (Shafie Abu Bakar), Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang) dan Rasa-Fenomeonologi (Sohaimi A. Azi). Titik pertembungan ketiga-tiga teori ini ialah kemunculan gagasan yang bersifat Melayu-Islam. Model Rasa Insaniah ini terdiri daripada tiga prinsip utama, iaitu (1) Prinsip pengabdian kepada Allah (SWT, (2) Prinsip pengucapan Beradab, dan (3) Prinsip kehalusan makna. Ketiga-tiga prinsip ini mempunyai peralian yang amat rapat antara penulis dengan Allah SWT (sebagai hamba dan pengabdian), penulis sebagai pendakwah (beradab dan berakhlak dengan bercirikan sifat kerasulan), dan penulisan dengan karya (kehalusan makna atau estetika).
Text
Novel Kawin-kawin : analisis konteks
Abstrak
Kajian konteks dalam novel kawin-kawin adalah untuk melihat bagaimana komponen-komponen yang wujud dalam konteks, iaitu latar, peristiwa bahasa dan hubungan antara pameran memainkan peranan penting bagi mewujudkan konteks yang berkesan dan akhirnya melahirkan wacana atau cerita novel. Kajian aspek konteks ini penting kerana kajian akan menunjukkan cara untuk mengungkapkan bahasa bersesuai dengan konteks agar sesuatu komunikasi itu berjalan dengan lancar. Kajian konteks ini akan tertumpu terhadap aspek yang mempengaruhi kewujudan sesuatu konteks, iaitu latar, peristiwa bahasa dan hubungan antara pameran.
Kajian ini berdasarkan sebuah novel karya Azizi Hj. Abdullah yang bertajuk kawin-kawin sebagai bahan kajian. Novel ini telah memenangi anugerah pertama dalam pertandingan Hadiah Sako II. Sebanyak dua puluh dua fasal terdapat dalam novel tersebut. Cerita yang dipaparkan ialah realiti kehidupan masyarakat yang mengamalkan perkahwinan mut’ah dan perkahwinan ta’liq.
Text
Ritual 'makan tahun' masyarakat Kadayan di Kampung Selanyau, Daerah Kecil Berkenu, Sarawak
Abstrak
Fokus penyelidikan ini adalh mengenai ritual ‘Makan Tahun’ masyarakat Kadayan di Kampung Selanyau, Daerah Kecil Bekenu, Sarawak. ‘Makan Tahun’ merupakan satu majlis yang diraikan oleh masyarakat Kadayan selama empat hari tiga malam sebagai tanda kesyukuran kepada Allah S.W.T. kerana telah memberikan hasil padi yang lumayan dan kesejahteraan hidup kepada mereka. Bagi mereka melalui pelaksanaan ritual ini, permasalahan dan krisis kehidupan yang berteraskan kepada budaya padi pula dapat diatasi melalui nilai-nilai kebersamaan yang akhirnya membentuk kepada identiti masyarakat Kadayan. Tujuan penyelidikan pula untuk melihat peranan simnolisme di dalam ritual yang dijadikan sebagai identiti Kadayan. Elemen-elemen seperti kepercayaan kepada kuasa-kuasa supernatural dan keislaman diselitkan sebagai menerapkan unsur-unsur kebersamaan di setiap perlakuan ritual tersebut. Simbol-simbol seperti pekanan raja, kelupis, bumoh, ustaz dan golongan agama, Ratib Saman, Yang Maha Berkuasa, solat Dhuha, solat Hajat, doa selamat, tahlilan dan sebagainya memperlihatkan wujudnya penerapan unsur-unsur animism dan Islam di dalam budaya Kadayan.
Text
Teater Melayu makyung : kajian kreativiti koreografi
Abstrak
Sesuatu persembahan pentas yang mempamerkan hubungan dari hasil penggubahan yang menyentuh kepada perlambangan adat masyarakat Melayu tanahair perlu mempunyai kaedah dan teknik yang khusus sebagai garis panduan pemikiran kreativinya. Penyelidikan ke atas corak-corak komposisi ini telah membentuk kerangka pemikiran yang diperlukan untuk sesuatu penggarapan yang berakar dari adat masyarakat Melayu. Di mana kerangka ini telah mengungkap persoalan-persoalan yang menyentuh tentang konsep, gaya penggarapan dan motif bahan kreatif. Ciri-ciri ini telah dilihat dan ditafsirkan kedalam corak hasil dapatan yang tertumpu ke sudut dan aspek-aspek teknikal yang diperlukan. Penentuan genre-genre teater yang mempunyai konsep koreografi gerak lakon dan tari melalui klasifikasi dari skop kajian telah meletakkan kesenian teater tari Makyung sebagai kajian utama dan Mek Mulung pula sebagai perbandingan. Menyentuh kepada gaya dan corak persembahan teater sebegini akan mengundang pelbagai tahap dan nilai pengukuran yang memperlihatkan keselarian dengan tuntutan konsep keindahan. Iaitu keperluan bagi menepati corak dan gaya kreatif melalui sudut pandangan adat masyarakat Melayu yang beragama Islam.
Makyung dan Mek Mulung mempunyai kaitan yang memperlihatkan corak penggubahan yang megambil bahan-bahan kerja kreatif koreografi berdasarkan nilai-nilai perlambangan masyarakat Melayu. Walaubagaimanapun hanya kesenian Makyung sahaja yang mempunyai corak penggubahan yang menyatakan kaedah dan teknik melalui aspek-aspek teknikal yang lebih menyeluruh.
Text
Kajian estetika dalam cerita rakyat Melayu Kuantan Riau Indonesia
Abstrak
Kajian ini terbahagi atas tujuh bab, merupakan penelitian yang menumpukan pada estetika cerita rakyat Melayu Kuantan Riau yang diperoleh daripada sastera lisan yang ada di daerah Kuantan Riau Indonesia. Kajian ini berdasarkan bahan sastera rakyat, penganalisian dilakukan dengan menggabung jalin daripada beberapa teori yang sesuai seperti, Teori Nilai, Teori Kebahasaan, dan Teori Sosialisme.
Kajian ini bersandar pada anggapan penulis bahawa cerita rakyat Melayu Kuantan Riau perlu pelestarian kerana cerita tersebut memiliki nilai-nilai estetika yang tinggi oleh sebab itu penulis merasa terpanggil untuk meneliti bidang ini kerana kajian mengenai estetika pada cerita rakyat masih sangat sedikit sekali bahkan dapat dikatakan langka. Paradigma sebegini mampu memperkembangkan dunia penyelidikan sastera rakyat Melayu ke arena antara bangsa.
Text
Lagu-lagu gubahan P.Ramlee : analisis semiotik melodi dan lirik
Abstrak
Keunggulan P. Ramlee sebagai pemuzik Melayu adalah berkait rapat kecemerlangan filem-filem yang beliau hasilkan di samping dianggap sebagai pemuzik Melayu yang sangat prolifik. Kajian ini bertujuan untuk menilai keistimewaan tanda-tanda yang terdapat dalam melodi dan lirik gubahan P. Ramlee. Kajian terhadap melodi, pengkaji menganalisis mengikut konsep-konsep pengulangan, variasi, kontras, sikuan, jeda, dan senada, manakala terhadap lirik, pengkaji menganalisis mengikut konsep-konsep fizikal, psikologi, sosial, dan ekonomi. Analisi melodi berfokus kepada gaya analisis mengikut teori semiotik Charles Sanders Peirce (1831-1914) manakala analisis lirik mengikut teori semiologi Ferdinand de Saussure (1857-1913). Teori Peircce mementingkan sistem triadik, iaitu representamen, interpretant, dan objek yang sering berhubung dengan tiga trikotomi, iaitu tanda-tanda qualisign, sinsign, dan legisign sebagai trikotomi ‘kepertamaan’, ikon, indeks, dan simbol sebagai trikotomi ‘kekeduaan’; dan tanda-tanda rheme, sicisign, dan argument sebagai trikotomi ‘keketigaan’. Teori Saussure mementingkan sistem keduaan (dyadic) untuk melihat hubungan penenada (signifier) dan petanda (signified). Dapatan yang diperolehi daripada analisis-analisis melodi dan lirik dapat mencerminkan pemikiran P. Ramlee yang begitu rapat dengan konteks sosial dan budaya dalam kehidupan masyarakat Melayu.
Text
Transformasi teknologi pembuatan labu sayong : kajian kes
Abstrak
Tembikar Labu Sayong merupakan salah satu hasil kraftangan Melayu tradisional yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Labu Sayong merupakan labu hitam tradisional yang digunakan oleh orang Melayu untuk menyimpan air minuman. Pembuat tembikar labu sayong membentuk labu dengan menggunakan tangan dan kayu penepek. Kemudian mereka menghias labu dengan pelbagai rekaan motif dan seterusnya dibakar dan di sekam dengan padi sehingga terhasilnya warna hitam. Namun begitu pewarisan kraf ini tidak menarik minat generasi mempelajarinya memandangkan proses pembuatannya secara tradisional amat memerlukan kemahiran yang tinggi. Persoalannya adakah menghasilkan Labu Sayong secara tradisional masih relevan dengan zaman berteknologi masa kini? Untuk menjadikan pembuatan kraftangan ini diteruskan oleh generasi baru, perlu difikirkan kesinambungan cara pembuatannya melalui transformasi teknologi dan terbukti ia telah diterima oleh pengusaha-pengusaha labu di Mukin Sayong, Perak.
Text
Strategi dan teknik komunikasi perbicaraan mahkamah : analisis pragmatik
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis peristiwa bahasa perbicaraan mahkamah dari perspektif pragmatik. Usaha ini dilaksanakan kerana peristiwa bahasa perbicaraan mahkamah mempunyai pelbagai maklumat yang menarik untuk diselidiki. Oleh itu, menerusi kajian ini, kefahaman yang jitu berkaitan penggunaan bahasa perbicaraan mahkamah dapat dihuraikan secara lebih menyeluruh.
Kajian ini telah menganalisis penggunaan bahasa oleh pameran dalam perbicaraan mahkamah. Analisis itu telah mendapati bahawa pameran telah menggunakan strategi komunikasi langsung menerusi kaedah pernyataan, penceritaan semula pertanyaan, permohonan, silaan dan komen. Di samping itu, kajian ini turut menemui penggunaan strategi tak langsung oleh pameran seperti buang-buang cakap (beating about the bush), penggunaan perantaraan (surrogate) dan penyanggahan (contradicting). Kajian ini juga turut menganalisis beberapa strategi komunikasi lain yang telah digunakan oleh pameran, di samping strategi komunikasi langsung dan tak langsung. Antara strategi komunikasi lain yang telah digunakan oleh pameran ialah menerusi kaedah patah balik, jalinan komunikasi berterusan, rujukan dan cipta aral.
Text
Natural dyes : freeze-dried mangosteen rind extracts (Garcinia mangostana L.) for silk fabric dyeing
Abstrak
Warna asli diperoleh daripada alam semula jadi merupakan warna utama yang digunakan oleh pengkarya tekstil Melayu di negara ini untuk mewarnai tekstil mereka sebelum warna sintetik diperkenalkan. Walau bagaimanapun, penggunaan pewarna asli pada hari ini telah hilang daya tarikan memandangkan proses penghasilannya adalah kompleks, rumit dan memakan masa lama. Usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak dan institusi pengajian tinggi awam untuk mengembalikan kegemilangan, keunikan dan kecantikan pewarna asli dalam pelbagai produk tekstil tempatan. Namun begitu, usaha-usaha tersebut tidak dijalankan mengikut prosedur yang sistematik menyebabkan penghasilan kepekatan warna adalah tidak konsisten.
Kajian ini bertujuan untuk meneroka dan merangka kaedah altenatif bagi menghasilkan pewarna asli secara sistematik menggunakan kulit manggis segar (Garcinia mangostana Linn); Indeks Warna 5 sebagai bahan utama dan ‘’freeze-drying’’ sebagai kaedah mengekstrak warna asli tersebut. Hasilan ekstrak dieksperimentasi ke atas fabrik sutera melalui tiga proses mewarna dan mematikan warna (iaitu sebelum, semasa dan selepas) bagi menghasilkan pelbagai warna dan tona warna . Sampel fabrik tersebut kemudian diukur secara kuantitatif tahap perbezaan warna antara dua ekstrak, perbezaan kaedah mewarna serta ketahanan warna terhadap cahaya dan cucian.
Text
Kitab Ma'arij Al-Lahfan lil-Taraqqi ila Haqaiq Al-Irfan : ketegasan mujaddid Terengganu pada abad ke 14 H
Abstrak
Kajian ‘’Kitab Ma’arij al-Lahfan lil-Taraqqi Ila Haqa’iq al-Irfan : Ketegasan Mujaddid Terengganu Pada Abad Ke-14H’’ merupakan satu usaha memperkenalkan kitab Ma’arij al-Lahfan lil-Taraqqi Ila Haqa’iq al-Irfan, yang ditulis oleh Tok Ku Paluh (r.a) pada tahun 1300H ke khalayak umum. Kitab ini kini sukar untuk dinikmati akibat tidak pernah dicetak walau cetakan batu. Oleh itu dalam kajian ini kitab ini telah ditransliterasi ke tulisan rumi, juga dilakukan penyuntingan.
Dalam usaha untuk mengesahkan kitab ini ditulis oleh Tok Ku Paluh, maka Kaedah Ruwah telah digunakan. Kaedah Ruwah ialah penyesuaian daripada Ilmu Hadith, iaitu ilmu untuk menentukan kesahihan atau tidak sesuatu Hadith disandarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Kaedah ini menumpukan kepada perawi, atau pelapor, atau penyimpan sesuatu naskhah atau manuskrip, khususnya naskhah atau manuskrip agama.
Text
Motif-motif tradisi dalam budaya Iban Saribas
Abstrak
Kajian ini berfokus kepada motif-motif tradisi seni rupa Iban Saribas yang dipercayai mengandungi gambaran budaya para penciptanya. Seni rupa yang dimaksudkan ialah seni anyaman, seni tenunan, seni ukiran dan seni tatu. Tujuan kajian ialah untuk meneliti konsep budaya dan konsep seni rupa Iban Saribas. Selain itu, kajian ini juga untuk meneliti seberapa banyak budaya tradisi yang boleh dicari daripada motif-motif tradisi yang dipilih sebagi artifak kajian. Analisis data mengenai dapatan kajian yang membentangkan budaya tradisi yang dapat dicari telah dijelaskan dengan menggunakan beberapa jadual supaya boleh dilihat dan difahami tentang gambaran budaya Iban Saribas yang terselindung di sebalik motif-motif telah dipilih. Kaedah yang digunakan untuk menjalankan kajian adalah kaedah lapangan dan kaedah perpustakaan.
Text
Gagasan ketatanegaraan dalam syair-syair Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddeien, Brunei
Abstrak
Tesis ini mengkaji satu aspek terbaru mengenai karya-karya syair Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Brunei ke 28 (1950-1967). Aspek ketatanegaraan dalam karya-karya syair baginda belum pernah dikaji secara mendalam sebelum ini. Sebelum menaiki takhta kerajaan, Al-Marhum mendapati pihak British tidak berusaha memajukan negaranya, menyebabkan Al-Marhum membuat keputusan untuk mengambil kuasa dan pemerintahan dari mereka.
Setelah menaiki kerajaan pada 1950, Al-Marhum telah mengambil langkah-langkah segera membetulkan keadaan, membangun Brunei sesuai dengan aspirasi rakyat dengan baginda sendiri sebagai raja yang berkuasa mutlak berada di hadapan memimpin perjuangan. Baginda telah menyusun sebuah perlembagaan yang menjadi undang-undang utama bagi mentadbir negara. Perlembagaan itu yang dimasyurkan pada tahun 1959, disusun berdasarkan teori-teori pemerintahan Islam, adat istiadat dan teori moden.
Text
Ritual kain pua dalam budaya Iban di Sarawak
Abstrak
Kajian ini memberi tumpuan kepada ritual kain pua Iban di Bahgian Sri Aman, Sarawak. Dalam masyarakat Iban, kain pua mempunyai tempat yang penting dari dahulu hingga sekarang. Kain pua bukan sahaja penting dalam kegunaan harian, tetapi juga penting dalam ritual-ritual orang Iban. Kain pua dianggap anugerah petara (tuhan) kepada orang Iban, dan kerana itu, ia dianggap sesuatu yang teramat istimewa dan sakral. Dengan itu, pembuatan kain pua wajib diiringi ritual-ritual tertentu. Dalam kajian ini, diteliti ritual-ritual berkaitan dengan penenunan kain pua, iaitu dari peringkat awal penyediaan peralatan dan bahan-bahan tenun, peringkat pembuatan motif-motif sehingga selesai penenunan kain pua. Ini melibatkan khususnya rituan miring. Ritual-ritual ini umumnya diadakan untuk memohon keberkatan, kesempurnaan dan perlindungan kuasa-kuasa luar biasa.
Text
Kajian teks Hikayat Melayu versi Tengku Said
Abstrak
Muhammad Yusoff Hashim (1998) telah memberikan judul Hikayat Melayu versi Tengku Said kepada teks yang dikaji ini. Objektif utama kajian adalah untuk melihat hukum kepengarangan abad ke-19, iaitu melihat berdasarkan peranan pencerita, kedua untuk melihat teks sebagai genre sintesis dan cermin. Dan ketiga untuk melihat penentuan-penentuan sosial yang mempengaruhi proses kepengarangan berdasarkan persoalan-persoalan Sosiologi Sastera. Hikayat Melayu adalah teks sastera sejarah yang lahir pada abad ke-19. Bidang sosiologi pengarang Melayu tradisional abad ke-19 akan dilihat berdasarkan panduan objektif yang telah ditetapkan. Sebagai sebuah teks sintesis dan cermin, teks ini dilihat mememui fungsinya sebagai sebuah teks yang menampilkan petunjuk-petunjuk moral untuk generasi masa depan melalui peranan pencerita sebagai ‘’dagang’’.
Text
Oksidentalisme dalam sastera Melayu sejak sebelum merdeka hingga era Mahathir Mohamad
Abstrak
Kajian ini menganalisis Imej Barat (occident) dalam sastera Melayu sejak sebelum Merdeka sehingga era Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad berdasarkan perspektif kritikan pascakolonial. Tanpa membataskan satu-satu genre tertentu, pemilihan teks untuk dianalisis dibuat berdasarkan kandungannya yang dominan mewancanakan Barat. Sebelum memperoleh teks tersebut, sejarah perkembangan sastera oksidentalisme dikaji, merangkumi teks sastera tradisional sejak sebelum munculnya sastera moden sehingga era Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad pada awal abad ke-21. Zaman sebelum Merdeka dipecahkan kepada era sastera naungan kolonial, era kesedaran ekonomi dan sosial, dan era kesedaran politik; zaman selepas Merdeka dipecahkan kepada era Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, era Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn, dan era Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad. Dengan membataskan sastera moden sahaja untuk analisis terperinci, teks yang dianalisis bagi zaman sebelum Merdeka ialah Kisah Pelayaran Abdullah, Hikayat Abdullah, novel Faridah Hanom, Iakah Salmah?, Mencari Isteri, Puteri Gunung Tahan; cerpen ‘’Hujan Emas di-Negeri Orang,’’ ‘’Budak-budak Main Seldadu,’’ dan ‘’Kejadian dalam Estet’’.
Text
Penjagaan kesihatan masyarakat Melanau Islam Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak
Abstrak
Kajian ini adalah kajian etnografi kesihatan. Fokus kajian ialah amalan penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat Melanau. Melalui kajian etnografi ini dapat difahami tentang ‘worlview’ dan amalan-amalan yang dilakukan utuk penjagaan kesihatan. Kesihatan boleh dijaga dan dipelihara supaya kekal, justeru masyarakat ini sentiasa prihatin dalam penjagaan mereka. Prinsip asas penjagaan kesihatan masyarakat Melanau adalah bertujuan untuk meningkatkan taraf kesihatan dan mengelak penyakit. Prinsip inilah yang menjadi landasan kepada amalan-amalan yang mereka lakukan. Kajian menunjukkan bahawa amalan penjagaan kesihatan mereka masih bersifat tradisi dan bergantung kepada sumber alam semula jadi. Amalan penjagaan kesihatan yang lazim diamalkan ialah melalui pemakanan dan penggunaan tumbuh-tumbuhan. Amalan pemakanan dan penggunaan tumbuh-tumbuhan terus bekembang dan diamalkan sehingga hari ni kerana ia dipengaruhi oleh adat, nilai kepercayaan, pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang diwarisi oleh mereka. Kedua-dua ini mampu mengatasi kesihatan masyarakat Melanau, malah mereka yakin dan percaya akan keberkesanan kedua-dua perlakuan penjagaan kesihatan tersebut. Ini memperlihatkan bahawa amalan penjagaan kesihatan masyarakat tidak bebas daripada pengaruh budaya mereka. Kaedah penjagaan kesihatan ini sewajarya diketengahkan sebagai asas model penjagaan kesihatan altenatif di Malaysia.
Text
Penjagaan kesihatan wanita Melayu Kampung Selarong, Perak
Abstrak
Kajian ini dibuat ke atas sekumpulan wanita Melayu luar bandar di sebuah kampung di Perak bagi mengetahui amalan penjagaan kesihatan yang dilakukan oleh mereka. Kajian ini cuba mengupas perlakuan kesihatan wanita Melayu serta peranan budaya di dalam mempengaruhi amalan penjagaan kesihatan mereka. Pendekatan yang digunakan di dalam menghasilkan penyelidikan ini ialah dengan menggunakan kaedah antropologi kesihatan di mana pemerhatian turut serta dan kaedah temubual mendalam dilakukan bersama wanita Melayu luar bandar yang dikaji. Fokus kajian ini ialah perlakuan penjagaan kesihatan yang dilakukan secara berulang-kali dan berterusan oleh wanita Melayu luar bandar untuk menjaga kesihatan mereka, termasuklah amalan kebersihan harian, senaman, urutan, amalan pemakanan serta penggunaan pantang-larang pada petua di dalam mengekalkan kesihatan mereka.
Text
Cerita rakyat Melayu : analisis dari aspek komunikasi dua hala
Abstrak
Kajian ini menumpukan penelitian cerita-cerita rakyat Melayu yang diperolehi menerusi Penglipur Lara Ali Badron bin Hj Sabor. Kajian ini berdasarkan bahan sastera rakyat, penganalisian dilakukan dengan menggabungkan jalin beberapa teori yang bersifat saintifik Teori Komunikasi, Teori Interaksionisme dan Teori Kecerdasan Pelbagai.
Keseluruhan kajian ini bersandar pada andaian pengkaji bahawa sudah tiba ketikanya tinjauan mengenai sastera rakyat Melayu lakukan seiringan dengan teori-teori yang bersifat sistematik. Sehubungan itu, hala tuju penyelidikan sastera rakyat wajar diubah agar tidak lagi berada di ruang lingkup ilmu yang terbatas Paradigma sebegini mampu memperkembangkan dunia penyelidikan sastera rakyat Melayu ke arena antara bangsa.
Text
Perkembangan istilah matematik dan sikap pengguna
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk melihat perkembangan istilah matematik bahasa Melayu dan mengenal pasti sikap pengguna terhadap istilah tersebut. Kajian dilakukan dengan membandingkan 50 istilah yang terdapat dalam buku istilah Fizik, Hisab dan Kimia (IFHK, 1968) dengan istilah yang terdapat dalam buku istilah Matematik untuk Sekolah-sekolah Malaysia (IMSSM, 2003). Istilah yang berubah kemudian dianalisis denga menggunakan kaedah analisis komponen makna. Seterusnya, kajian lapangan dilakukan dengan menggunakan instrumen soal selidik untuk melihat penerimaan penggunaan terhadap istilah tersebut. Sejumlah 122 responden dilibatkan dalam kajian yang terdiri daripada 109 tenaga pengajar, 7 pegawai kementerian, dan 6 editor. Selain itu, sikap penggubal istilah dilihat berdasarkan istilah yang dicipta oleh mereka.
Text
Puisi-puisi Dharmawijaya : kajian teori pengkaedahan Melayu dan estetika
Abstrak
Kajian ini meneliti puisi-puisi Dharmawijaya penerapan gabungan Teori Pengkaedahan Melayu dan Teori Estetika. Dari Teori Pengkaedahan Melayu, penerapan kajian menjurus kepada Pendekatan Gunaan, Pendekatan Moral dan Pendekatan Firasat yang berada dalam kelompok Pengkaedahan Alamiah. Melalui Teori Estetika pula penerapan kajian lebih menjurus kepada unsur Pengalaman Estetika dan unsur Sikap Estetika yang berada dalam bahagian Persepsi Estetika, dan unsur-unsur gaya bahasa.
Bagi mencapai objektif kajian ini, aspek yang ditinjau ialah pemikiran yang lebih tertumpu kepada hubungkait sosialisasi masyarakat dengan objek-objek alam fizikal yang ada disekeliling kehidupan mereka. Hubungan mempengaruhi perasaan dan kreativiti. Unsur gunaan dan moral diteliti bersumberkan hubungan rapat antara masyarakat dengan alam dapat memberi kesan kepada pemikiran Dharmawijaya. Kajian turut menitikberatkan lapisan makna yang terdapat pada unsur alam kerana puisi-puisi Dharmawijaya perlu dibuat tanggapan untuk menterjemahkan makna-makna yang sebenar yang banyak melibatkan perihal kemanusiaan. Kajian terhadap pemikiran Dharmawijaya ini juga untuk melihat unsur-unsur estetika kerana puisi-puisi yang dihasilkan bersumberkan pengalaman dan sikap penyair.
Text
Paras fertiliti penduduk Melayu di Semenanjung Malaysia
Abstrak
Objektif pertama tesis ini adalah untuk melihat hubungan di antara dua Variable Pertengahan (Intermediate Variables), iaitu umur kahwin pertama dan pengalaman perancangan keluarga dan fertiliti dalam kalangan penduduk Melayu di Semenanjung Malaysia. Objektif kedua adalah untuk menguji hubungan variable penjelasan (explanatory variables) seperti; etnik. Paras pendidikan, umur, kawasan, strata, negeri, pendapatan, status pekerjaan, industri dan status pekerjaan sebelum kahwin dengan kedua-dua variable pertengahan tersebut.
Dengan menggunakan kaedah ujian ANOVA sehala, didapati bahawa umur kahwin pertama dan pengalaman perancangan keluarga mempunyai hubungan yang signifikan dengan fertiliti bagi kaum Melayu, Cina dan India di Semenanjung Malaysia.
Dengan menggunakan kaedah Regresi Pelbagai Giliran, didapati bahawa terdapat lima variable penjelasan yang dipanggil variable prediktif mempunyai hubungan yang signifikan dengan variable criterion umur kahwin pertama. Variabel-variabel tersebut adalah taraf pendidikan, umur, wilayah, strata, dan industri responden. Teknik regresi Logistik digunakan untuk melihat kekuatan variable yang mempengaruhi pengalaman perancangan keluarga. Secara hirakinya, variable negeri dan kumpulan umur responden mempunyai hubungan yang signifikan dengan pengalaman perancangan keluarga.
Text
Mediasi dalam perkembangan novel Sabah
Abstrak
Kajian ini ialah tentang sejarah perkembangan novel Sabah. Penelitian terhadap latar belakang karya sastera menggunakan sosiologi sastera bukan setakat menumpukan soal konteks penghasilan sebuah karya. Kajian integrasi atau dwikajian yang memanipulasi dimensi sosial dan seni menawarkan kajian teks yang dihubungkan denga konteks penghasilan karya. Sehubungan itu, mediasi atau faktor yang campur tangan atau terlibat secara langsung atau tidak dalam penghasilan novel dapat dikenal pasti. Mediasi yang terlibat dalam perkembangan novel Sabah antara lain melibatkan latar belakang pengarang, peranan institusi dan cita rasa pembaca. Latar belakang masyarakat dan pengarang menjadi faktor kerencaman persoalan yang dikemukakan pengarang. Seterusnya ia mempengaruhi bentuk pemikiran, budaya dan ideologi yang diamalkan pengarang.
Text
Simbolisme dalam motif-motif songket Melayu Terengganu
Abstrak
Tenunan songket hanya berungsi sebagai objek seni utiliti yang diadun rapi dan cantik dipakai jika tiada nilaian estetik dan falsafah yang terbit daripadanya. Namun di sebalik ketertiban dan keindahan reka corak motif, songket jelas kaya dan sarat dengan pelbagai tafsiran makna yang memberi ruang seluasnya untuk penyelidikan. Semuanya dipercayai terbit daripada transformasi dan manifestasi pemikiran para peserta seniman Melayu terdahulu yang diperturunkan secara konvensional dan warisan. Sejak beratus-ratus tahun, sejarah membuktikan bahawa songket mempunyai kedudukan dan peranannya yang teristimewa dalam sosio budaya masyarakat Melayu.
Peyelidikan ini adalah bermula dengan pengklasifikasian tujuh (7) motif yang terdiri daripada flora, fauna, kosmos, alam benda, geometrik, kuih-muih dan kaligraf. Setiap motif terpilih, wujud perkaitan atau pertalian secara langsung dengan penghidupan orang Melayu. Bermakna setiap olahan motif itu terlebih disemak, diteliti, dipadan, dibanding dan diberi interpretasi makna. Justeru setiap ruang lingkup kajian adalah menjurus kepada intisari keseluruhan budaya Melayu seperti nilai, norma, pandangan dunia, kepercayaan, adat dan falsafah di dalamnya yang menjadi pautan nilai budaya.
Text
Analisis komponen retorik kaunseling bahasa Melayu
Abstrak
Kajian ini mengetengahkan Model Komponen Retorik Paling Luas sebagai asas menganalisis teks kaunseling. Model ini mengambil kira Ciri Model Retorik Klasik dan Retorik Moden yang serasi dengan Model Retorik Paling Luas. Dalam Model Retorik Luas dimasukkan lapan komponen, iaitu komponen struktur, peserta, ayat ujaran, fungsi ujaran, gaya, golongan kata, jungtur dan unkapan Rabbani. Oleh itu, model kajian ini dikenali sebagai Model Komponen Retorik Paling Luas.
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis teks kaunseling dari sudut retori berdasarkan komponen dan teks dengan menggunakan Model Komponen Retorik Paling Luas. Selain itu kajian ini turut membuat perbandingan dalam komponen-komponen masing-masing dan perbandingan teks.
Data kajian ini merupakan empat teks kaunseling yang melibatkan empat kaunselor dan empat klien di sekolah menengah. Analisis kajian berfokus pada lapan komponen dan analisis teks serta perbandingan teks. Setiap komponen memaparkan dapatan secara keseluruhan dan juga berdasarkan struktur dan peserta.
Text
Novel-novel A.Samad Ismail : satu analisis teori strukturalisme genetik-hegemoni
Abstrak
Kajian ini meneliti novel-novel A. Samad Ismail dengan menggunakan penggabungan Teori Strukturalisme Genetik oleh Lucien Goldman dan Teori Hegemoni oleh Antonio Gramsei yang menghubungkaitkan sastera sebagai cermin sosio-budaya masyarakat. Penerapan Teori Strukturalisme Genetik untuk melihat hubungan sesebuah karya sastera mempunyai ikatan dengan sistem ideologi kelompok sosial yang sedang berkuasa dalam sebuah negara. Manakala Teori Hegemoni sebagai pelengkap untuk melihat intelektualisme yang mendukung pandangan dunia pengarang.
Kajian ini membuktikan bahawa pengalaman dan persejarahan yang ditemui dalam karya novel-novel A.Samad Ismalil sesungguhnya menepati teks sebagai cermin sosio-budaya masyarakat. Seterusnya diikuti dengan perbincangan terhadap konflik kelas dalam kelompok masyarakat. Novel-novel A. Samad Ismail berupaya menafsirkan konflik dan kontradiksi antara konflik kuasa penjajahan, konflik antara golongan tuan dan golongan muda, serta konflik antara rakyat dan pemimpin dalam kontek perubahan masyarakat.
Text
Penggunaan buku teks KOMSAS dalam pengajaran Bahasa Melayu Tingkatan 4
Abstrak
Kajian ini menyelidiki penggunaan buku teks Komponen Melayu (KOMSAS) oleh guru dalam pengajaran Bahasa Melayu tingkatan 4 (BM-T4) di negeri Selangor. Kajian ini menggunakan reka bentuk ‘Pendekatan Kajian Kaedah Gabungan Berurutan’ yang diubahsuai daripada model Creswell. Dua kaedah digunakan, iaitu (1) kajian tinjauan dan (2) kajian kes kualitatif. Kajian tinjauan bertujuan mendapatkan maklum balas daripada 377 responden tentang kekerapan pengguaan buku teks KOMSAS dalam pengajaran BM-T4. Data dikutip dengan menggunakan satu set barang soal selidik untuk guru. Data kemudian dianalisis menggunakan perisian computer SPSS dan dibentangkan secara deskriptif dengan bantuan jadual. Manakala kajian kes kualitatif, bertujuan mengkaji amalan dan bentuk penggunaan buku teks KOMSAS oleh guru di dalam kelas yang sebenar. Data telah kutip dengan menggunakan teknik pemerhatian, temu bual, dan analisis dokumen. Data dianalisis semasa dan setelah pengutipannya selesai dengan menggunakan kaedah perbandingan berterusan dan analisi kandungan.
Text
Puisi Melayu moden : kajian teori pengkaedahan Melayu
Abstrak
Tesis ini mengkaji puisi-puisi Melayu moden dengan penerapan teori Pengkaedahan Melayu dan menjurus kepada Pendekatan Firasat dan Pendekatan Dakwah, iaitu dua daripada enam Pendekatan yang terangkum di dalam teori tersebut.
Objektif kajian ialah untuk melihat unsur alam dan unsur dakwah di dalam puisi Melayu moden. Unsur alam diteliti dari penggunaan kata-kata yang merupakan objek alam, iaitu tumbuh-tumbuhan, haiwan, laut dan waktu (pertukaran malam dan siang). Unsur dakwah dikenal pasti daripada maksud puisi, pemikiran dan sikap penyair yang selaras dengan aliran agama Islam dengan merujuk kepada ayat-ayat Al-Quran. Al-Hadith dan tulisan-tulisan pemikir Islam. Dengan mengambil karya-karya daripada ramai penyair, dapatlah dilakukan analisis secara perbandingan bagi meninjau persamaan dan perbezaan di dalam cara penyair-penyair menggunakan objek-objek alam fizikal pada lapis tersurat bagi menyampaikan maksud tersirat, iaitu maksud puisi yang sebenar.
Text
Industrialisasi dan perubahan nilai masyarakat Melayu Riau : kajian di kawasan perindustrian Pulau Batam
Abstrak
Sebelum Pulau Batam menjadi kawasan perindustrian, kehidupan masyarakat Melayu Batam bergantung kepada tanah dan air (laut) sebagai alat pengeluaran. Kemasukan industri di kawasan ini, telah menimbulkan perubahan terhadap nilai-nilai warisan masyarakat Melayu tempatan, seperti nilai ekonomi, pendidikan, keluarga, peranan wanita dan keagamaan. Selain itu aspek sosiobudaya masyarakat juga berubah, iaitu dari masyarakat tani menuju masyarakat industri.
Kajian ini tentang perubahan nilai masyarakat Melayu Batam, setelah daerah ini dikembangkan menjadi kawasan perindustrian. Persoalan kajian ini ialah bagaimana terjadinya perubahan nilai masyarakat Melayu Batam dan bagaimana persepsi mereka terhadap industri, serta apa kesan industri terhadap perjalanan hidup harian masyarakat Melayu Batam setelah daerah ini dikembangkan menjadi kawasan perindustrian. Nilai yang menjadi tumpuan utama kajian ini ialah nilai ekonomi, pendidikan, keluarga dan peranan wanita.
Text
Kualiti perkahwinan keluarga peneroka Melayu : di ladang kelapa sawit Jambi – Indonesia
Abstrak
Penyelidikan yang dijalankan ini bertujuan mengkaji tahap kualiti perkahwinan peneroka di dalam proses pembangunan ladang kelapa sawit. Kualiti perkahwinan peneroka diukur menggunakan lima dimensi kualiti perkahwinan iaitu : kebahagiaan dalam perkahwinan, interaksi dalam perkahwinan, masalah dalam perkahwinan, ketidakfahaman dalam perkahwinan dan kecenderungan untuk bercerai. Persoalan yang dikaji ialah : (1) hubungan yang signifikan antara tahap pembangunan dengan kualiti perkahwinan di kalangan masyarakat luar Bandar, (2) hubungan kualiti perkahwinan dengan tahap pembangunan kampung peneroka dan perkaitan di Bungan karekter antara karakteristik peneroka, dan (3) hubungan karakteristik responden dengan kualiti perkahwinan.
Seramai 300 peneroka Melayu yang berada di tiga tahap pembangunan di ladang kelapa sawit di Jambi, telah dipilih sebagai responden dengan menggunakan satu kaedah pensampelan rambang. Data telah dikumpulkan melalui borang soalselidik yang diisikan sendiri oleh responden dan telah dianalisis menggunakan Pakej Statistik Untuk Sains Sosial (SPSS). Perkaitan diantara pembolehubah dihuraikan secara deskriptif. Manakala penganalisaan dalam bentuk inferensi menggunakan orelasi, Ujian-t, Anova sehala dan Ki-Kuasadua.
Text
A comparative syntactic analysis of Malay and Tagalog : a minimalist approach
Abstrak
Kajian ini ialah satu kajian perbandingan sintaksis di antara bahasa Tagalog dan bahasa Melayu dengan menggunakan pendekatan Minimalist atau Minimalist Program (MP). Kajian ini bertujuan untuk melihat persamaan dan perbezaan di antara kedua-dua dengan menggunakan pendekatan tersebut. Malah kajian ini juga bertujuan untuk menguji penggunaan Minimalist Program di dalam bahasa Tagalog dan bahasa Melayu, di samping menghuraikan persamaan dan perbezaan unsur-unsur sintaksis di dalam kedua-dua bahasa. Seterusnya kajian ini juga berusaha untuk mengenal pasti struktur sintaksis yang umum di antara bahasa Melayu dan bahasa Tagalog.
Kajian perbandingan antara bahsa-bahsa Tagalog dan Melayu, kususnya berkenaan sintaksis agak kurang dilakukan. Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan. Namun tumpuan adalah pada analisis fonologi, morfologi dan leksikal. Kajian akan membandingkan bahasa Melayu dan Tagalog, bukan dari pendekatan sejawi, sebaliknya melalui pendekatan secara sinkronik. Walaupun kebanyakan kajian yang dilaku terhadap bahasa ini menggunakan pendekatan sinkronik, namun rata-rata adalah bersifat deskriptif. Oleh itu, kajian ini tidak akan menggunakan analisis tradisional, sebaliknya secara perbandingan akan menggunakan pendekatan generatif.
Text
Konflik nilai sosial di kalangan pekerja Melayu dalam syarikat multinasional : satu kajian kes di sebuah syarikat Korea di Senawang
Abstrak
Kajian ini dibuat dengan tujuan untuk mengkaji sejauh mana nilai sosial masyarakat Melayu dan Korea yang berbeza boleh menimbulkan konflik budaya di antara pekerja Melayu dengan pekerja dan pengurusan Korea dalam konteks tempat kerja di kawasan perindustrian. Kajian kes yang dijalankan di sebuah syarikat multinasional Korea ini dibuat berdasarkan pendekatan budaya (antrapologi). Konflik nilai sosial antara budaya dianalisis dengan berpandukan kepada empat dimensi model budaya, iaitu tiga dimensi model budaya Hofstede G. (1980,1984,1997) dan satu dimensi baru, iaitu dimensi takdir yang berdasarkan unsur orientasi alam sekitar, penggunaan masa, dan aktiviti yang disyorkan oleh Kluckhon & Strodbeck (1961), Hampden-Turner & Trompeanaars (1997) dan dimensi kebenaran Hofstede.
Text
Budaya politik dalam historiografi Melayu
Abstrak
Historiografi Melayu adalah teks yang ditulis untuk menceritakan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan. Teks ini surat dengan gambaran budaya politik yang menjadi amalan dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu. Namun demikian sampai sekarang belum ada sebuah penyelidikan yang mendalam dan menyeluruh terhadap budaya politik historiografi Melayu.
Kajian ini bertujuan untuk melihat bagaimanakah budaya politik yang digambarkan dalam teks-teks historiolografi tersebut. Hasil kajian menunjukkan bahawa mitos asal usul menjadi sumber utama legitimasi dalam budaya politik Melayu. Kemudian diperkuat dengan adat istiadat, keistimewaan politik dan sosial yang memang sangat ditaati oleh setiap orang Melayu. Waad anara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana dijadikan panduan dalam hubungan antara raja dengan rakyat.
Showing 51 to 100 of 155 results
Page
of 4
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->