Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (155 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Tesis Doktor Falsafah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Binaan dan fungsi perkataan dalam Bahasa Melayu : satu huraian dari sudut tatabahasa generatif
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mencapai tiga matlamat tentang binaan dan fungsi perkataaan dalam bahasa Melayu (BM) iaitu
1. Menghuraikan binaan perkataan dalam BM
2. Menghuraikan dan meramalkan proses binaan perkataan dalam BM melalui penggunaan rumus-rumus tertentu, dan
3. Menghuraikan fungsi perkataan dalam binaan tatabahasa yang lebih tinggi tatatingkatnya iaitu frasa klausa dan ayat.
Berdasarkan penggandingan dan penyusunan formatif-formatif yang membentuk
perkataan iaitu akar, awalan akhiran, sisipan, linkungan dan gandaan, perkataan dalam BM didapati terdiri daripada kata unggulan kata terbitan, kata gabungan dan kata akronim untuk menghuraikan proses binaan perkataan, dua set rumus-rumus telah ditubuhkan : (i) rumus Dasar Binaan Perkataan yang menghurai dan meramalkan proses penggandingan dan penyusunan formatif-formatif yang dinyatakan itu, dan (ii) rumus morfofonemik yang menghurai dan meramalkan perubahan bunyi-bunyi di dalam formatif-formatif semsa proses penggandingan berlaku. Di dalam penghuraian golongan kata kerja terbitan, kata terbitan, kata adjektif, rumus-rumus penggandingan dan penyusunan formatif-formatif yang berkenaan juga digunakan. Rumus-rumus demikian menghasilkan sembilan (9) jenis kata nama kompleks (terbitan ), tujuh belas (17) jenis kata kerja kompleks dan sepuluh (10) jenis kata adjektif kompleks.
Penggolongan kata dalam BM ditubuhkan berdasarkan fungsi dan ciri-ciri sintaksis perkataan. Terdapat empat golongan kata dalam BM iaitu golongan-golongan kata nama (KN), kata kerja (KK), kata adjektif (KA) dan kata struktural. Golongan-golongan KN, KK dan KA bersifat homogenus, manakala kata struktural bersifat heterogenus.
Text
Kajian intonasi fonetik eksperimental : realisasi makna emosi filem Sembilu 1 dan 2
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai intonasi bahasa Melayu yang melibatkan pergerakan nada, durasi dan makna emosi. Data korpus kajian ini diambil daripada filem Melayu Sembilu 1 dan 2. Keseluruhan analisis dalam tesis ini menggunakan Model Intonasi Pindaan (MIP) yang mengambil kira teori autosegmental dan metodologi fonetik eksperimental IPO yang dipelopori di Belanda. Model ini bolehlah dikatakan model kembalikan kepada model Mozziconacci, S (1998). Kajian yang berbentuk eksperimental ini dibantu dengan program komputer Praat dan responden penutur bahasa Melayu. Terdapat 3 tujuan, iaitu mendeskripsikan ungkapan dan durasi yang menandai makna emosi, kontur intonasi untuk mengenal pasti jenis ayat dan hubungan intonasi dengan realisasi makna emosi. Empat jenis ayat dianalisis dalam kajian ini, iaitu ayat deklaratif, imperatif, tanya Q dan Qwh. Tiga jenis ujian persepsi dilakukan terhadap 120 data ujaran tuturan watak utama lelaki dan wanita.
Text
Analisis lakuan tuturan Mahathir Mohamad dalam isu 1MDB
Abstrak
Kajian ini berkaitan dengan analisis lakuan tuturan dalam ucapan Mahathir Mohamad terhadap isu 1MDB. Kajian ini bertujuan mengenal pasti bentuk-bentuk lakuan tuturan dengan menggunakan kerangka teoretis yang dibina melalui proses penggabungan teori Austin (1962) dengan Searle (1979), dan proses penyesuaian. Proses penggabungan dan penyesuaian telah menghasilkan enam kategori lakuan dan 57 sublakuan tuturan. Enam kategori tersebut ialah kategori lakuan pernyataan, kritikan, ekspresi, arahan, komisif dan deklarasi. Sepuluh ucapan Mahathir Mohamad mengenai isu 1MDB dipilih dan dianalisis dari sudut lakuan tuturan. Bahan kajian dipilih bermula tahun 2015 hingga 2017, dengan jumlah durasi keseluruhan adalah selama 4 jam 10 minit (250 minit). Dari sudut kategori lakuan, didapati lakuan pernyataan mencatatkan kekerapan tertinggi (958 ujuran atau 47.02%), diikuti oleh lakuan kritikan (721 ujuran atau 35.45%). Lakuan ekspresi pula di tempat ketiga (174 ujuran atau 8.55%), manakala lakuan arahan di tempat keempat (160 ujuran atau 7.87%). Lakuan terendah ialah lakuan komisif (21 ujuran atau 1.03%). Kajian ini tidak menemui lakuan deklarasi. Berdasarkan analisis kajian, didapati Mahathir Mohamad cenderung melakukan pernyataan untuk mendedahkan atau memberi gambaran umum tentang isu 1MDB, kemudian diikuti oleh lakuan kritikan terhadap pengurusan 1MDB. Selain itu, Mahathir Mohamad turut melakukan pelbagai lakuan arahan, yang khusus ditujukan kepada pihak pengurusan 1MDB. Lakuan janji tidak dominan dalam ucapan Mahathir Mohamad. Dari sudut sublakuan tuturan, sebanyak empat sublakuan tuturan yang mencatatkan kekerapan paling dominan, iaitu lakuan maklumat, lakuan kritikan langsung, lakuan dakwaan. Kekerapan sublakuan ini memperlihatkan bahawa Mahathir Mohamad memberikan pelbagai maklumat menegnai 1MDB, kemudia melakukan kritikan langsung dan melakukan dakwaan dengan menggunakan pelbagai rujukan yang boleh dipertanggungjawab.
Text
Penggunaan buku teks KOMSAS dalam pengajaran Bahasa Melayu Tingkatan 4
Abstrak
Kajian ini menyelidiki penggunaan buku teks Komponen Melayu (KOMSAS) oleh guru dalam pengajaran Bahasa Melayu tingkatan 4 (BM-T4) di negeri Selangor. Kajian ini menggunakan reka bentuk ‘Pendekatan Kajian Kaedah Gabungan Berurutan’ yang diubahsuai daripada model Creswell. Dua kaedah digunakan, iaitu (1) kajian tinjauan dan (2) kajian kes kualitatif. Kajian tinjauan bertujuan mendapatkan maklum balas daripada 377 responden tentang kekerapan pengguaan buku teks KOMSAS dalam pengajaran BM-T4. Data dikutip dengan menggunakan satu set barang soal selidik untuk guru. Data kemudian dianalisis menggunakan perisian computer SPSS dan dibentangkan secara deskriptif dengan bantuan jadual. Manakala kajian kes kualitatif, bertujuan mengkaji amalan dan bentuk penggunaan buku teks KOMSAS oleh guru di dalam kelas yang sebenar. Data telah kutip dengan menggunakan teknik pemerhatian, temu bual, dan analisis dokumen. Data dianalisis semasa dan setelah pengutipannya selesai dengan menggunakan kaedah perbandingan berterusan dan analisi kandungan.
Text
Hibridisasi masakan Melayu : kajian kes di Kuala Lumpur
Abstrak
Budaya kulinari Melayu sentiasa dalam keadaan aktif dari segi inovasi dan tindak balas terhadap pengaruh elemen-elemen kulinari luar negara. Untuk memahami bagaimana cef-cef Melayu bertindak balas terhadap fenomena ini, kajian ini menganalisis berbagai-bagai aktiviti masakan di restoran-restoran terpilih. Kajian ini menggunakan dua kaedah, iaitu kaedah pemerhatian dan temu bual. Implikasi globalisasi melalui berbagai ‘’scape’’dianalisis bertujuan untuk meninjau ciri-ciri globalisasi, iaitu bagaimana ia mempengaruhi dan disesuaikan sebagai tindak balas terhadap trend pemakanan global. Satu permasalahan besar dalam masakan Melayu adalah ketiadaan konsep yang jelas dan kurang daya tarikan. Perkembangan ini menyebabkan cef-cef Melayu berusaha mencari penyelesaian terhadap isu ini. Amalan menyesuaikan makanan asing dengan makanan Melayu baik dari segi teknik mahupun penggayaan dalam kalangan cef-cef Melayu dilihat boleh mendatangkan masalah dari penyelesaian. Setiap cef mempunyai minat yang mendalam terhadap masakan mereka. Sungguhpun begitu mereka terpaksa memilih antara minat dan keuntungan yang boleh dijana dari masakan tersebut. Justeru kajian ini menyarankan penggunaan kaedah ‘scape’ untuk membina lanskap kulinari Melayu yang lengkap. Kerangka lanskap kulinari Melayu ini membolehkan analisi dibuat terhadap masa hadapan masakan Melayu dalam mengharungi era pemodenan.
Kata kunci : etnoscapes, technoscapes, ideoscapes, mediascapes, finanscapes,
Globalisasi, nouvelle cuisine.
Text
Lagu-lagu gubahan P.Ramlee : analisis semiotik melodi dan lirik
Abstrak
Keunggulan P. Ramlee sebagai pemuzik Melayu adalah berkait rapat kecemerlangan filem-filem yang beliau hasilkan di samping dianggap sebagai pemuzik Melayu yang sangat prolifik. Kajian ini bertujuan untuk menilai keistimewaan tanda-tanda yang terdapat dalam melodi dan lirik gubahan P. Ramlee. Kajian terhadap melodi, pengkaji menganalisis mengikut konsep-konsep pengulangan, variasi, kontras, sikuan, jeda, dan senada, manakala terhadap lirik, pengkaji menganalisis mengikut konsep-konsep fizikal, psikologi, sosial, dan ekonomi. Analisi melodi berfokus kepada gaya analisis mengikut teori semiotik Charles Sanders Peirce (1831-1914) manakala analisis lirik mengikut teori semiologi Ferdinand de Saussure (1857-1913). Teori Peircce mementingkan sistem triadik, iaitu representamen, interpretant, dan objek yang sering berhubung dengan tiga trikotomi, iaitu tanda-tanda qualisign, sinsign, dan legisign sebagai trikotomi ‘kepertamaan’, ikon, indeks, dan simbol sebagai trikotomi ‘kekeduaan’; dan tanda-tanda rheme, sicisign, dan argument sebagai trikotomi ‘keketigaan’. Teori Saussure mementingkan sistem keduaan (dyadic) untuk melihat hubungan penenada (signifier) dan petanda (signified). Dapatan yang diperolehi daripada analisis-analisis melodi dan lirik dapat mencerminkan pemikiran P. Ramlee yang begitu rapat dengan konteks sosial dan budaya dalam kehidupan masyarakat Melayu.
Text
Ayat pasif bahasa Melayu
Abstrak
Disertasi ini merupakan cubaan awal berhubung dengan kajian terhadap ayat pasif Bahasa Melayu dengan mengguakan pendekatan model Transfomasi-Generatif berdasarkan model Jacobs dan Rosenbaum (1986) terhadap bahasa Inggeris.
Kajian ini dilakukan dengan tujuan untuk mengenalpasti bentuk-bentuk pasif dalam Bahasa Melayu, iaitu dengan cara mengkaji dan menganalisis ayat-ayat pasif yang terdapat di dalam teks Sejarah Melayu dan Dewan Masyarakat , iaitu yang mewakili teks lama dan teks moden.
Analisis ini meninjau struktur pasif dari segi ayat pasif dengan ganti nama diri dan ayat pasif bukan dengan ganti nama diri. Ayat pasif dengan ganti nama diri terdiri daripada ayat pasif KGDL,KGD2 dan KGD3 dan ayat pasif bukan dengan ganti
nama diri pula terdiri daripada pasif ter-,pasif kena,pasif ber-,dan pasif ke-...-an. Tiap-tiap jenis pasif tersebut mempunyai berbagai-bagai struktur variasinya tersendiri.
Hasil kajian mendapati bahawa terdapat perbezaan yang nyata antara pola-pola penggunaarn ayat pasif dalam Bahasa Melayulama dan Bahasa Melayu moden. Yang paling nyata ialah teks Melayu lama lebih banyak variasi dibandingkan dengan ayat pasif di dalam teks Melayu moden.
Text
Keterancaman Melayu dalam era pentadbiran Pakatan Harapan 2018-2020
Abstrak
Kajian ini membincangkan psike keterancaman Melayu menerusi analisis ke atas isu-isu Melayu terancam ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan. Bagi memahami keterancaman Melayu, konsep pelindung Melayu dan konsep nasionalisme Melayu telah diketengahkan bagi menerangkan epistemologi keterancaman Melayu yang memiliki ciri-cirinya yang khusus. Kajian ini memfokuskan tiga objektif iaitu menganalisis faktor-faktor pendorong keterancaman Melayu dalam era PH, menilai pengaruh elemen konservatisme dalam membangkitkan keterancaman Melayu serta yang terakhir iaitu merumuskan impak keterancaman Melayu terhadap aspek sosial dan politik orang Melayu. Konsep keterancaman dan teori konservatisme telah dipilih dan dijadikan alat analisis dalam kajian ini kerana kedua-dua konsep dan teori tersebut sangat erat dengan psike keterancaman Melayu. Kajian ini menggunakan kaedah pengumpulan data iaitu dari sumber primer dan sekunder bagi mengukuhkan kajian. Kesemua data yang dikumpul kemudiannya dianalisis menerusi model analisis yang telah dibangunkan. Hasil kajian ini memberi indikator bahawa faktor politik dan sosial menjadi pendorong utama kerapa isu-isu keterancaman Melayu yang telah dibincangkan. Hal ini dikukuhkan lagi dengan hasil temu bual yang mendapati, pengaruh konservatisme terhadap psike keterancaman Melayu begitu signifikan apabila informan yang lebih konservatif cenderung lebih berasa terancam berbanding informan yang sederhana konservatif. Kajian ini turut membuktikan bahawa psike keterancaman Melayu telah meninggalkan impak yang cukup besar terhadap aspek sosial dan politik di negara ini. Dapatan-dapatan ini penting dan memberi sumbangan besar dalam kajian melibatkan keterancaman Melayu yang sering melingkari budaya politik Melayu.
Kata Kunci : Budaya politik, keterancaman Melau, Ketuanan Melayu, nasinalisme Melayu.
Text
Isu-isu semasa dalam karya naratif A. Samad Ismail
Abstrak
A. Samad Ismail terkenal sebagai seorang tokoh wartawan, sasterawan dan politik. Beliau telah melibatkan diri dalam bidang tersebut sejak dekat 40-an dan telah melalui empat fasa dalam proses penglibatannya sebagai wartawan, saterawan dan politik iaitu zaman Perang Dunia Kedua, selepas, era perjuangan kemerdekaan dan selepas merdeka. Minatnya dalam kesusasteraan bermula sejak masih kecil. Ibunya sering menceritakan cerita lisan kepadanya. Setelah bersekolah rendah, bapanya iaitu seorang guru besar telah membelikan surat khabar untuk bacaannya. Ruangan yang diminatinya ialah ruangan pojok oleh A. Rahim Kajai.
Ketika Perang Dunia Kedua, A. Samad Ismail bertugas dan memimpin Berita Malai. Sebagai wartawan, pemerhatian, renungan dan perspektifnya amat tajam terutama terhadap isu-isu sosial dalam zaman perang. Dalam zaman perang ini, beliau amat rapat dengan Ishak Haji Muhamad dan Ibrahim Yaacob. Mereka membimbingnya dalam bidang politik. Pengalamannya sebagai wartawan dan pengetahuan politik yang diperolehi daripada mereka mendorongnya menulis beberapa buah cerpen yang menyokong Jepun tetapi secara tersirat menyebarkan semangat nasionalisme kepada khalayak. Cerpen yang ditulisnya pada zaman Jepun itu ialah ‘ Si Pengali’, ‘Ubi Kayu’ dan ‘Ke Bintan To’.
Persahabatannya dengan Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhamad dan beberapa orang nasionalis Indonesia mempengaruhi ideologi politiknya terhadap perjuangan kemerdekaan dan isu bangsa serumpun. Isu-isu nasionalisme, perjuangan kemerdekaan bangsa serumpun terdapat dalam cerpennya ‘Antara Dua Kekasih’ dan ‘Insaf’.
Text
Isu-isu semasa dalam karya naratif A. Samad Ismail
Abstrak
Kajian ini menumpukan penelitian terhadap isu-isu semasa yang dapat ditemui dalam karya-karya cerpen dan novel yang dihasilkan oleh A. Samad Ismail. Sehubungan itu, penelitian ini juga akan membicarakan masyarakat dan individu-individu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat yang digambarkan oleh pengarang dalam karya-karyanya itu.
Untuk meneliti isu-isu semasa dan hubungannya dengan masyarakat serta individu-individu tertentu, maka kajian ini akan menggunakan pendekatan sosiologi.
Dalam hal ini peneliti akan membincangkan latar belakang A. Samad Ismail iaitu melihat latar belakang pendidikan, pekerjaan dan minatnya terhadap karya satera kerana dengan pemahaman terhadap latar belakang pengarang akan dapat memahami lebih mendalam hubungan karya dengan pengkarya dan masyarakat dalam lingkungan pengarang.
Kajian ini akan diikuti dengan perbincangan terhadap isu-isu semasa yang dikemukakan oleh pengarang dalam karya-karyanya itu. Beberapa isu-isu yang agak dominan dikemukakan untuk melihat bahawa isu-isu tersebut merupakan isu yang serius dalam masyarakat pada sesuatu tahap atau zaman.
Text
Syair-syair Melayu Riau : tumpuan khas kepada Syair Kitab al-Nikah dan lain-lain syair agama Raja Ali Haji
Abstrak
Kajian ini adala satu percubaan untuk melihat perkembangan syair-syair Melayu Riau dengan menumpukan karya syair-syair agama Raja Ali Haji khasnya Syair Kitab al-Nikah.
Dalam Bab I diberikan gambaran perkembangan syair-syair itu yang berpusat di Penyengat. Ia dapat dilihat dari tiga kategori iaitu agama, sejarah dan fiksyen. Di bincangkan juga latar yang mempengaruhi perkembangan syair itu di Riau. Karya tersebut kebanyakannya dilahirkan oleh golongan Bangsawan Bugis yang dipelopori oleh Raja Ali Haji dan keluarganya.
Bab II dibincangkan secara lebih terperinci lagi syair-syair agama Raji Ali Haji terutama Syair Hukum Faraid, Syair Siti Sianah dan Syair Sinar Gemala Mastika Alam sambal membandingkan dengan beberapa syair agama yang lain seperti Syair Burung dan Syair Pintu Hantu.
Bab III melihat Syair Kitab al-Nikah secara terperinci terutama perbezaan dengan iga teks yang lain. Kesimpulannya yang didapati semakin muda usia teks itu semain banyak tambahan yang dilakukan. Tambahan tersebut samada secara tidak sengaja iaitu yang dianggap korupsi atau tambahan yang disengajakan yang dianggap sebagai kreasi baru. Tambahan ini dibuat sama ada secara improvisasi mahupun modifikasi. Perubahan yang disengajakan ini sesuai dilihat dari sudut teori resepsi sastera.
Text
Pantun muhakam dalam adat perkahwinan Melayu Sambas : analisis simbolisme
Abstrak
Fokus utama dalam penyelidikan ini ialah mengkaji simbol-simbol dalam pantun perkahwinan yang diucapkan para muhakam. Oleh itu kajian ini mentafsirkan simbol-simbol dengan melihat secara kontekstual makna-makna simbolik atau makna tersirat yang terdapat dalam pantun perkahwinan Melayu Sambas. Berdasarkan penyelidikan ini penyelidikan telah memperkenalkan satu model penyelidikan yang baru dalam mengakaji pantun. Pendekatan yang menggunakan model analisis makna simbolik pantun dengan perangkat kerja etnografi berdasarkan kerangka yang diasaskan James P. Spradley (1997). Dalam kerja etnografi makna sebuah simbol harus berdasarkan konteks dan makna relasi simbol tersebut, iaitu fungsinya pada kehidupan sehari-hari masyarakat Melayu di Sambas. Perbincangan etnogradi ini berdasarkan wawancara dengan para pemantun (muhakan) dalam memahami makna-makna simbolik di sebalik pantun yang diucapkannya. Ada 32 pusingan adat perkahwinan Melayu Sambas yang mestinya dilakukan dengan berperingkat-peringkat dan berhari-hari yang berbeza.
Text
Pengurusan tapak arkeologi pra-sejarah : sebagai satu warisan ketara di Malaysia
Abstrak
Tapak-tapak arkeologi pra-sejarah adalah warisan ketara yang amat sedikit bilangannya dan tidak dapat dinilai harganya. Ianya dianggap sebagai warisan manusia sejagat. Pada waktu yang sama, tapak-tapak ini sangat sukar untuk dikenal pasti dan sayangnya, senang sangat dimusnahkan oleh kerana keadaan jumlah kandungan peninggalan budaya kebendaannya yang amat sedikit. Ini adalah kerana kebanyakan daripada tapak-tapak arkeologi pra-sejarah tergolong dalam zaman di mana manusia mengamalkan kehidupan berpindah-pindah atau nomadik dan tidak membina struktur-struktur yang kekal lama. Penyelidikan ini cuba untuk menganalisis pengurusan beberapa tapak arkeologi pra-sejarah di Malaysia dan membandingkannya dengan satu kumpulan pengurusan ‘ best-practices’ yang berdasarkan kepada beberapa garis panduan perundangan global yang dicadangkan oleh PBB dan UNESCO. Sebanyak empat tapak arkeologi dan empat muzium tapak arkeologi yang berbeza telah dipilih, berkaitan dengan pengalaman pengkaji dengan tapak-tapak berikut. Ianya adalah Guar Kepah, Kampung Sungai Mas, Kota Tongkat, Kota Kelangkiu, Lembah Bujang, Lenggong, Bukit Tengkorak dan Gua Niah. Keadaan semasa tapak-tapak yang dipilih telah dikenalpasti oleh pengkaji berdasarkan lawatan tapak dan pelbagai temubual-temubual. Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati bahawa pengurusan tapak-tapak arkeologi pra-sejarah di Malaysia tidak mencapai tahap prestasi global. Terdapat pelbagai sebab mengapa perkara ini berlaku, akan tetapi secara asasnya, kajian ini mendapati bahawa tidak terdapat satu sistem sepadu yang menggabungkan kesemua pengurusan tapak-tapak arkeologi yang digunakan oleh institusi-institusi yang terlibat dengan pengurusan tapak-tapak ini.
Text
Semiotik riffaterre dalam pantun kanak-kanak
Abstrak
PKK merupakan salah satu daripada jenis pantun Melayu. PKK dicipta dengan bentuk dan makna yang ringkas, seiring dengan meningkatnya usia kanak-kanak, tahap perkembangan kognitif, kematangan serta fitrah kanak-kanak yang amat gemar akan bahasa yang mudah dan berirama. Makna dapat disimpulkan dalam bentuk peribahasa, kiasan bahasa dan kata-kata yang pendek, tegas, tetapi luas dan dalam maknanya. Walau apapun jenis pantun yang tercipta, pantun tetap unggul sebagai simbol artistik masyarakat Melayu dan juga lambang kebijaksanaan berfikir. PKK mendukung maksud yang sukar difahami menghalang pembaca kususnya kanak-kanak untuk memahami makna yang hendak disampaikan. Hakikatnya, bukan semua kanak-kanak dapat menguasai pantun dengan mudah apatah lagi bagi kanak-kanak yang memiliki latar belakang bahasa Melayu yang masih rendah. Gaya bahasa dalam PKK sangat ketara penggunaan bahasa sasteranya berbanding puisi Melayu moden kerana banyak menggunakan kata-kata kiasan dan kata-kata yang jarang digunakan dalam pertuturan seharian. Berlandaskan permasalahan kajian, unsur bahasa yang menjadi wadah dalam penciptaan PKK perlu dilihat melalui pendekatan semiotik bagi menemukan pusat makna dalam PKK. Analisis semiotik yang digunakan adalah model semiotik yang diasaskan oleh Michael Riffaterre. Teori SR (1978) dilihat sebagai pendekatan yang sesuai berdasarkan ‘langkah kerja’ yang jelas melalui empat aspek pemaknaan iaitu pertama; ketidaklangsungan eskpresi, kedua; pembacaan heuristik dan pembacaan hermeneutik, ketiga; matriks, model dan varian-variannya serta aspek keempat; hipogram. Kajian ini bertujuan untuk mengklasifikasi PKK mengikut tema menggunakan unsur matriks, model dan varian-variannya. Pemilihan tema dibuat berdasarkan cakupan tema merujuk Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang dilaksanakan melalui Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu.
Text
An analysis of political speeches of Joko Widodo's 2019 Indonesia presidential election : a cultural studies perspective
Abstrak
Joko Widodo yang mempunyai gaya sederhana sebagai seorang presiden mewujudkan satu kejayaan untuk membangunkan kepulauan Indonesia dari Sabang sampai Marauke. Piliha raya presiden di Indonesia sangat dinamik dan berdaya saing, sama ada di pihak pembangkang atau pemerintah dan menunjukkan terdapat kuasa atas strategi kempen mereka sendiri. Matlamat kajian ini adalah (1) untuk menganalisis unsur-unsur kajian budaya dalam teks ucapan kempen Jokowi 2019 Indonesia dalam pemilihan presiden dengan menggunakan konsep Raymond Williams; etnik, kepimpinan, ideologi, dan retorik dan (2) untuk menganalisis unsur-unsur analisis wacana dengan menggunakan teori Brown dan Yule: rujukan, praandaian (presupposition), implikatur, dan kesimpulan. Tesis ini memperlihatkan keperibadian Jokowi berdasarkan analisis pemilihan presiden di Indonesia dari 23 september 2028 hingga 17 April 2019 dan teks yang difokuskan untuk Joko Widodo dikaji di beberapa tempat, iaitu Jawa, Sumatera, Sulawesi dan Kalimantan. Data diambil dari ‘Media sosial’’. Analisis teks ucapan kempen menunjukkan retorik (logik, kredibiliti, dan emosi), kepimpinan (individu iaitu, oleh pengaruh lain untuk mencapai matlamat bersama, pemantauan, bimbingan, inspirasi dan motivasi), etnik, dan ideologi jangka dilakukan. Unsur-unsur analisis wacana dalam teks ucapan kempen menunjukkan bahawa presupposition (anggapan membuat pendengar itu mungkin menerima tanpa cabaran), kesimpulan (tafsiran untuk ucapan atau untuk hubungan antara ucapan), rujukan (hubungan kata-kata merujuk kepada sesuatu), dan implikasinya (menyiratkan, mencadangkan, atau bermakna sebagai berbeza dari apa yang dikatakan pembaca secara literal) adalah terhad.
Text
Nilai-nilai kepahlawanan dalam teks Takna' Lawe' daripada komuniti Kayan di Mendalam : kajian semiotik
Abstrak
Takna ‘Lawe’ ialah salah satu genre sastera berbentuk prosa lirik yang berisikan 6,537 bait. Ia boleh ditampilkan dalam nyanyian dan gerak oleh kaum lelaki tua, dan biasanya diikuti juga dengan tarian oleh kaum wanita. Prosa lirik ini mengandungi kisah-kisah perjuangan dan cinta pahlawan Lawe’ sebagai seorang dewa yang berperang dengan dewi-dewi di kayangan. Selaras dengan adat istiadat komuniti Kayan, Takna ‘Lawe’ memaparkan sebahagian sejarah komuniti Kayan secara, Takna ‘Lawe’ memaparkan sebahagian sejarah komuniti Kayan secara puitis yang hidup di atas bumi dan berhubungan erat dengan para roh di alam baka. Penyelidikan daripada tesis ini difokuskan kepada kajian bait-bait daripada empat bahagian buku Takna ‘Lawe’. Penyelidikan dimulai dengan menetapkan empat idea sentral daripada masing-masing keempat bahagian buku. Selanjutnya, pengkaji mengkategorikan seluruh isi 6,537 bait keempat bahagian buku tersebut menjadi 25 episod sebagai sampel dengan berasaskan sistematik cluster (random) sampling. Sampel yang terdiri daripada 200 bait tersebut dikaji menggunakan teori semiotic Charles Sanders Peirce, iaitu mod triadic mengenai jalinan tanda-objek-interpretant). Dengan kaedah penyelidikan kualitatif, pertanyaan masalah penyelidikan ialah (1) Bagaimana mengkategorikan kepahlawanan dalam teks Takna ‘Lewe’ mengikut kategori tanda berdasarkan Teori Semiotik Peirce? (2) Bagaimana menjelaskan makna tanda-tanda kepahlawanan Lawe’ berdasarkan Teori Semiotik Peirce? (3) Bagaiaman menilai mesej dan nilai-nilai kepahlawanan Lawe’ berdasarkan Profil Kepahlawanan Lawe’, iaitu Kemanusiaan, Kedewaan, dan kesaterian? Objektif peyelidikan dalam menetapkan nilai-nilai kepahlawanan yang tersirat ialah (1) mengakategorikan kepahlawanan dalam teks Takna ‘Lewe’ engikut kategori tanda berdasarkan Teori Semiotik Peirce; (2) menjelaskan makna tanda-tanda kepahlawanan Lawe’ berdasarkan Teori Semiotik Peirce; (3) menilai mesej dan nilai-nilai kepahlawanan Lawe’ berdasarkan Profil Kepahlawanan Lawe; iaitu Kemanusiaan, Kedewaan, dan Kesateria.
Text
Sistem panggilan dalam bahasa Melayu : suatu analisis sosiolinguistik
Abstrak
Disertasi ini merupakan satu cubaan pertama berhubung dengan kajian sistem yang menjadi satu unsur yang penting dalam berkomunikasi dan berinteraksi dalam masyarakat bahasa Melayu. Oleh kerana itu ia digunakan pada setiap kejadian berkomunikasi di antara orang-orang yang sama atau berbeza dari segi pangkat, darjat, jawatan, golongan atau keturunan. Ia juga merupakan satu cara untuk memberi hormat kepada seseorang yang dipandang tinggi oleh masyarakat Melayu.
Bagi menganalisis panggilan dan sapaan ini beberapa peraturan dan pendekatan sosiolinguistik telah digunakan. Di antara peraturan-peraturan dan pendekatan-pendekatan itu ialah peraturan-peraturan sosiologistik yang dirumuskan oleh Ervin-Tripp iaitu Peraturan-Peraturan Alternasi (Alternation Rules), Peraturan-peraturan Perurutan (Sequencing Rules) dan Peraturan-Peraturan Kejadian Bersama (Co-Occurrence Rules).
Dari penganalisisan tersebut dapat disimpulkan bahawa sistem panggilan dalam bahasa Melayu pada masa kini lebih halus dan kompleks kerana ia dapat membezakan secara terperinci golongan, pangkat dan keturunan orang yang disapa. Selain daripada itu Ia dapat menunjukkan tinggi rendahnya taraf dan kedudukan orang yang disapa tersebut. Hasil penganalisisan ini juga menunjukkan bahawa sistem panggilan ini berkaitan rapat dengan sistem nilai sosiobudaya Melayu.
Penyelidikan lanjutan perlu dibuat terutama mengenai makna dan etimologi kata yang dipilih untuk sapaan dan gelaran.
Text
Persoalan dendam dalam sastera Melayu
Abstrak
Kehadiran hikayat-hikayat Melayu menjadi manifestasi kepada kewujudan sebuah masyarakat Melayu pada satu ketika dahulu. Hikayat-hikayat Melayu ini yang dikesan penghayatannya sejak zaman Hindu membawa kepada zaman Peralihan dan seterusnya kepada zaman Islam, dan dikenal pasti mewarnai kesusasteraan lama di rantau Tanah Melayu termasuk Aceh, Minang dan Jawa, tidak sahaja memberi hiburan kepada pembaca, tetapi fungsinya yang lebih berharga ialah sebagai bahan bukti kepada jatidiri, wacana pemikiran dan aspirasi masyarakat Melayu itu sendiri.
Berlandaskan penelitian drama tragedi di dalam periode Yunani dan periode pemerintahan Ratu Elizabeth 1, emosi dendam banyak sekali mempengaruhi tema dan jalan cerita drama tragedi berkenaan. Willliam Shakespeare dan Thomas Kyd mengeksploitasikan emosi dendam untuk menarik minat penonton apabila drama dendam mereka dipentaskan. Intrig dan peranan darah memainkan peranan meransang keghairahan penonton. Emosi dendam yang menjadi bumbu utama kepada drama tragedi ini seolah-olah mengorek keluar keresahan masyarakat Inggeris pada periode berkenaan yang dahagakan pembalasan dendam dan keadilan.
Dengan meneliti emosi dendam di dalam hikayat-hikayat Melayu ini akan menyerlahkan hatibudi masyarakat Melayu dalam menangani masalah harian yang membabitkan hati dan perasaan, jasmani dan rohani.
Pentafsiran emosi dari aspek ‘fenomenologi’ lewat hikayat-hikayat Melayu, yang tidak dominan kehadirannya didalam setiap hikayat yang dikaji-sekadar menjalankan peranannya yang bersifat didaktik-menggambarkan masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu yang peka dengan urusan kasih sayang, kewibawaan yang wajar ditegakkan, keadilan yang saksama-kesemuanya demi kepentingan keharmonian dan kemuliaan etika di dalam kehidupan.
Text
Penterjemahan tajuk utama iklan dalam katalog bercetak
Abstrak
Kemasukan pelbagai produk antarabangsa yang diimport ke Malaysia menyebabkan iklan yang dicipta dalam bahasa Inggeris perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Langkah penterjemahan iklan semestinya mempunyai kekangan apabila produk yang diasaskan dari luar negara membawa bersama budaya, norma dan juga sistem bahasa negara produk berkenaan. Berlandaskan permasalahan berkenaan, kajian ini mengkaji penterjemahan tajuk utama dalam katalog bercetak Cosway dan Avon. Tiga perspektif utama kajian ini adalah untuk mengkaji ciri-ciri bahasa tajuk utama, isu keinggerisan yang wujud dalam terjemahan tajuk serta pendekatan penterjemahan tajuk utama. Oleh itu kajian ini mengaplikasikan pendekatan elektrik untuk menganalisis data kajian. Pandangan Torresi (2010) berkenaan bahasa teks periklanan dipertimbangkan bagi mengenal pasti ciri-ciri bahasa dalam penulisan tajuk utama. Kategori oleh Haugen (1972) pula dimanfaatkan untuk mengelaskan unsur keinggerisan yang wujud dalam tajuk utama. Selain itu, pendekatan terjemahan fungsian yang diutarakan oleh Nord (1997) diaplikasikan bagi menghuraikan pendekatan terjemahan yang digunakan oleh penterjemah sewaktu menterjemah. Dapatan kajian menunjukkan penterjemah menggunakan gabungan bahasa kreatif dan bahasa emotif dalam penulisan tajuk utama. Selain itu, langkah penterjemahan telah mewujudkan unsur keinggerisan seperti kata pinjaman dan kata pinjaman gabungan.
Text
Motif-motif tradisi dalam budaya Iban Saribas
Abstrak
Kajian ini berfokus kepada motif-motif tradisi seni rupa Iban Saribas yang dipercayai mengandungi gambaran budaya para penciptanya. Seni rupa yang dimaksudkan ialah seni anyaman, seni tenunan, seni ukiran dan seni tatu. Tujuan kajian ialah untuk meneliti konsep budaya dan konsep seni rupa Iban Saribas. Selain itu, kajian ini juga untuk meneliti seberapa banyak budaya tradisi yang boleh dicari daripada motif-motif tradisi yang dipilih sebagi artifak kajian. Analisis data mengenai dapatan kajian yang membentangkan budaya tradisi yang dapat dicari telah dijelaskan dengan menggunakan beberapa jadual supaya boleh dilihat dan difahami tentang gambaran budaya Iban Saribas yang terselindung di sebalik motif-motif telah dipilih. Kaedah yang digunakan untuk menjalankan kajian adalah kaedah lapangan dan kaedah perpustakaan.
Text
Simbolisme dalam motif-motif songket Melayu Terengganu
Abstrak
Tenunan songket hanya berungsi sebagai objek seni utiliti yang diadun rapi dan cantik dipakai jika tiada nilaian estetik dan falsafah yang terbit daripadanya. Namun di sebalik ketertiban dan keindahan reka corak motif, songket jelas kaya dan sarat dengan pelbagai tafsiran makna yang memberi ruang seluasnya untuk penyelidikan. Semuanya dipercayai terbit daripada transformasi dan manifestasi pemikiran para peserta seniman Melayu terdahulu yang diperturunkan secara konvensional dan warisan. Sejak beratus-ratus tahun, sejarah membuktikan bahawa songket mempunyai kedudukan dan peranannya yang teristimewa dalam sosio budaya masyarakat Melayu.
Peyelidikan ini adalah bermula dengan pengklasifikasian tujuh (7) motif yang terdiri daripada flora, fauna, kosmos, alam benda, geometrik, kuih-muih dan kaligraf. Setiap motif terpilih, wujud perkaitan atau pertalian secara langsung dengan penghidupan orang Melayu. Bermakna setiap olahan motif itu terlebih disemak, diteliti, dipadan, dibanding dan diberi interpretasi makna. Justeru setiap ruang lingkup kajian adalah menjurus kepada intisari keseluruhan budaya Melayu seperti nilai, norma, pandangan dunia, kepercayaan, adat dan falsafah di dalamnya yang menjadi pautan nilai budaya.
Text
Makna siratan dalam novel politik Melayu terpilih : analisis berdasarkan Gagasan Kritikan Melayu
Abstrak
Kajian ini menganalisis makna siratan daripada pengukapan dalam lima buah novel politik Melayu yang dipilih. Pengukapan yang mengandungi makna siratan merupakan cara yang digunakan oleh para pengarang novel sebagai kritikan terhadap individu dan masyarakat. Pengukapan yang mengandungi makna siratan menunjukkan kebijaksanaan para pengarang mengaitkan karya kreatif dengan situasai kehidupan seharian dalam masyarakat. Terdapat tafsiran dalam pengukapan pengarang yang dapat dikaitkan dengan fungsi kesusasteraan sebagai cerminan masyarakat dan kreativiti dalam seni naratif itu. Analisis ini menghuraikan makna yang tersirat daripada pengungkapan yang dipilih daripada dimensi perilaku, dimensi peristiwa dan dimensi unsur alam. Dimensi perilaku, peristiwa dan unsur alam yang membincangkan makna siratan ini disimpulkan daripada sepuluh prinsip Gagasan Kritikan Melayu yang diperkenalkan oleh Dr. Syed Otman Syed Omar. Lima buah novel Melayu yang bertema politik dipilih dalam kajian ini ialah Sebelas Rejab, Anak Mat Lela Gila, Tunggul-tunggul Gerigis, Nagogho Astana dan Naratif Ogonshoto. Kelima-lima karya ini mewakili zaman penghasilan karya kesusasteraan Melayu dalam genre novel dari zaman sebelum kemerdekaan, era kemerdekaan dan selepas tahu 2000.
Text
Pola strategi dan maksim kesantunan dalam rancangan bual bicara
Abstrak
Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti pola kesantunan berbahasa rancangan bual bicara bertajuk ‘’Celik Mata Reset Minda Orang yang Tenang’’ yang disiarkan di radio IKIMfm. Analisis data melibatkan 28 konteks perbualan dalam 10 substruktur yang mencakupi 731 dialog oleh pengacaraan, tetamu undangan, pemanggil dan pengirim dalam tiga struktur (pengenalan, isi dan penutup) bual bicara. Kajian ini dilakukan atas permasalahan kurangnya sumber kajian di peringkat ilmiah yang menggunakan korpus rancangan bual bicara di radio berbahasa Melayu sepenuhnya. Tiga objektif di ketengahkan, iaitu mengenal pasti struktur dan pola kesantunan berbahasa, menganalisis penggunaan pola kombinasi strategi dan maksim rancangan bual bicara, dan menghubung kait pola kombinasi strategi dan maksim dengan kesantunan Melayu. Dua teori, iaitu Model Kesantunan Brown dan Levinson (1987) dan Prinsip Kerjasama (PK) Gris (1975) diaplikasi, yang kemudiannya dikombinasikan untuk membentuk Model Pola Kombinasi Strategi dan Maksim (MPKSM). MPKSM membentuk empat pola kombinasi strategi yang mengandungi P1, P2, P3 sebagai pola teras dan pola opsyenal, iaitu Pola A, Pola B, Pola C dan Pola D diikuti dengan padanan maksim PK tertentu. P1 yang mewakili Strategi Berekod Tanpa Penyesuaian sentiasa menjadi pola opsyenal manakala P2 (Strategi Kesantunan Positif dan strategi Kesantunan Negatif) pula sentiasa menjadi pola teras. Sementara P3 (Strategi Tanpa Rekod) menjadi pola opsyenal namun dalam kasus yang melibatkan penggabungan tertentu ia boleh menjadi pola teras.
Text
Analisis kesilapan dalam pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua oleh pelajar India : strategi pembelajaran dan pemindahan bahasa
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis strategi pembelajaran serta strategi pemindahan bahasa dalam proses pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dalam kalangan pelajar India di sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) yang berada di kawasan estet. Orang-orang India telah menerima bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan negara ini dan mempelajarinya secara formal atau tidak formal. Namun, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan Pelajar India masih kurang memberangsangkan. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis strategi pembelajaran dan strategi pemindahan bahasa yang merupakan dua strategi utama yang digunakan oleh pelajar India semasa mempelajari bahasa Melayu dalam situasi formal.
Pengkaji menggunakan teori monitor yang diperkenalkan oleh Krashen (1982) dalam kajian ini. Data yang diperoleh daripada proses pengcukilan menggunakan ujian diagnosis pula dianalisis menggunakan prosedur analisis kesilapan yang dipelopori S.Pit Corder. Teori monitor merupakan teori yang komprehensif dalam membincangkan pembelajaran B2, Teori ini yang merangkumi lima hipotesis, iaitu Hipotesis Turutan Semula jadi (Natural Order Hypothesis). Hipothesis Pembelajaran dan Pemerolehan (Acquisiton / Learning Hypothesis), Hipotesis Penapis Afektif (Affevtive Filter Hypothesis), Hipothesis Input (Input Hypothesis) dan Hipotesis Monitor (Monitor Hypothesis). Kelima-lima hipotesis ini dapat menjelaskan pelbagai fenomena yang berkaitan pembelajaran B2 secara mendalam.
Text
Mediasi dalam perkembangan novel Sabah
Abstrak
Kajian ini ialah tentang sejarah perkembangan novel Sabah. Penelitian terhadap latar belakang karya sastera menggunakan sosiologi sastera bukan setakat menumpukan soal konteks penghasilan sebuah karya. Kajian integrasi atau dwikajian yang memanipulasi dimensi sosial dan seni menawarkan kajian teks yang dihubungkan denga konteks penghasilan karya. Sehubungan itu, mediasi atau faktor yang campur tangan atau terlibat secara langsung atau tidak dalam penghasilan novel dapat dikenal pasti. Mediasi yang terlibat dalam perkembangan novel Sabah antara lain melibatkan latar belakang pengarang, peranan institusi dan cita rasa pembaca. Latar belakang masyarakat dan pengarang menjadi faktor kerencaman persoalan yang dikemukakan pengarang. Seterusnya ia mempengaruhi bentuk pemikiran, budaya dan ideologi yang diamalkan pengarang.
Text
Arkeologi dan seni : kajian tembikar kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga Abad 16-19 masihi
Abstrak
Tesis ini cuba memfokuskan kepada peninggalan warisan Kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga yang terdapat di Kota Sayong Pinag, Kota Panchor, Kota Johor Lama dana Fort Canning Hill melalui pendekatan arkeologi dan sejarah seni. Data yang diperolehi daripada penyelidikan arkeologi iaitu artifak tembikar akan dijadikan data utama kajian ini. Tujuannya adalah untuk melihat sejak bilakah wujudnya kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga sama ada bermula dari abad ke 16 atau lebih awal dari itu yang berperanan sebagai sebuah pusat penempatan, pemerintahan dan perdagangan serta hubungannya antara satu penempatan dengan penempatan yang lain. Kajian ini akan menggabungkan beberapa kaedah dalam merealisasikan matlamat dan objektif kajian. Antaranya ialah melakukan kerja-kerja suvei dan galicari arkeologi serta menganalisis tembikar secara kuantitatif dan kualitatif. Kajian ini juga telah menjadi perintis kepada satu kaedah analisis secara kuantitatif dengan menggunakan perisian SPSSX 11 iaitu menganalisis tembikar secara statistik di negara ini. Melalui kajian statistik tersebut , hasilnya lebih tepat, jitu dan pantas berbanding dengan menganalisis tembikar secara kuantitatif dengan menggunakan kaedah yang lama iaitu secara manual.
Text
Amalan penjagaan kesihatan Melayu luar bandar : kajian di daerah Lipis, Pahang
Abstrak
Kajian ini mengenai amalan penjagaan kesihatan masyarakat Melayu yang dilihat dari dua perspektif iaitu untuk memahami pengubatan cara tradisional dan penerimaan masyarakat dengan kaedah tradisional ini. Berdasarkan dua perspektik ini telah menghuraikan tiga objektif iaitu untuk mengenal pasti amalan penjagaan kesihatan tradisional melalui teks Melayu lama. Kedua, menganalisis penerimaan dan penilaian masyarakat di mukim terpilih terhadap amalan penjagaan kesihatan cara tradisional. Ketiga, untuk menilai dan membandingkan perspektif masyarakat terhadap pengamalan tradisi dalam ruang masyarakat tradisi dan ruang masyarakat kini. Metodologi kajian menggunakan kaedah kualitatif dan kuantitatif. Kaedah kualitatif ini menjalankan kajian secara kepustakaan, temu bual, pemerhatian dan perbincangan. Manakala kajian secara servei di Mukim Kechau, Tanjung Besar. Cheka dan Budu dengan seramai 160 orang responden. Kajian ini telah menggunakan dua struktur model iaitu folks dan adptasi perlakuan. Model-model ini digunakan untuk melihat penjagaan kesihatan masyarakat tradisi melalui kitab dan masyarakat hari ini berdasarkan penerimaan amalan tradisi. Hasil dapatan dari kajian kitab telah menghuraikan, penjagaan kesihatan masyarakat ketika itu telah mengunakan kaedah dan rawatan secara nyata seperti azimat, jampi, sumber herba dan sumber fauna. Kedua, kaedah dan rawatan secara tidak nyata seperti ramalan, firasat, penggunaan nama dan unsur mimpi. Bagi hasil dapatan dari penilaian masyarakat hari ini, mendapati kaedah azimat diketepikan manakala rawatannya masih dikekalkan. Berbeza dengan kaedah jampi, sumber herba dan sumber fauna ini masih dikekalkan manakala rawatannya telah diketepikan. Penemuan ini dapat dijelaskan berikutan berlakunya penerimaan unsur-unsur teknologi terhadap sumber dan bahan, organisasi masyarakat telah dikawal oleh sisem pendidikan dan ekonomi seta ideology masyarakat yang terbatas dengan ilmu agama, bersifat saintifik dan logik.
Text
Muhammad Haji Salleh sebagai pengarang pascakolonial : analisis teks dan konteks
Abstrak
Kajian ini menganalisis karya kreatif, nonkreatif dan tindakan Muhammad Haji Salleh daripada perspektif pascakolonial. Kaedah yang digunakan ialah pendekatan pascakolonial sebagai strategi pembacaan yang diperkenalkan oleh Bill Ashcroft. Kaedah ini dirumuskan sebagai pembacaan teks-teks pascakolonial secara spesifik dan berdasarkan konteks sosial dan sejarah yang spesifik. Kajian ini mendapati sikap pascakolonial pengarang terhasil akibat daripada faktor pengalaman, peristiwa, persekitaran, memori kolektif, sejarah dan sosial, sejarah diri dan negaranya. Sistem pendidikan, keadaan ekonomi, politik di bawah kolonial dan legasinya, turut membentuk sikap dan pemikiran sebagai pengarang pascakolonial. Kajian ini turut membuktikan latar belakang pengarang menentukan sikap dan pemikiran pascakolonial dalam puisinya.Dalam karya kreatif dan nonkreatifnya, pengarang memberikan interprestasi, mempersoalkan kewujudannya sebagai Melayu ‘baru’, kembali ke dunia silam, bersifat intelektual dan kritis terhadap bangsanya sendiri sebagaimana kritis terhadap Barat serta kagum dengan bangsa Timur lain yang maju.
Text
Falsafah pendidikan bahasa : kajian tentang konsep dan pelaksanaannya di Malaysia dengan rujukan khusus kepada pendidikan bahasa Melayu di Sekolah Menengah
Abstrak
Kajian ini bertitik tolak daripada latar belakang fenomena yang berkisar di sekitar tiga hal. Yang pertama ialah hakikat pendidikan dan juga pendidikan bahasa sebagai asas kehidupan bertamadun bagi manusia. Yang kedua ialah peranan pendidikan bahasa dalam proses berlangsungnya pendidikan umum, iaitu sebagai ilmu asas menurut hierarki ilmu yang dikemukakan oleh al-Ghazali. Yang terakhir pula ialah agenda dan program ‘’pengislaman ilmu’’ yang mula digerakkan sejak tahun 1970-an sebagai upaya menanggap persoalan ilmu menurut pandangan hidup dan epistemologi Islam. Dalam program tersebut, salah satu aktiviti yang diberi tumpuan perhatian ialah pengislaman ilmu dalam segala disiplin, termasuk linguistik dan pendidikan
Kajian ini pada dasarnya bertujuan merumuskan falsafah pendidikan bahasa (sekaligus falsafah bahasa itu sendiri) menurut tasawur Islam sebagai alternatif kepada falsafah pendidikan Barat yang didapati terpecah-pecah menurut kecenderungan pelbagai aliran falsafah dan teori. Di samping itu dikaji juga pelaksanaan falsafah pendidikan bahasa dalam konteks Malaysia, sesuai dengan pelaksanaan gagasan bersepadu, yang merupakan hasil langsung daripada Persidangan Pertama Pendidikan Islam di Makkah pada tahun 1977.
Selain mengemukakan pelaksanaan pendidikan bersepadu yang turut melibatkan pendidikan Bahasa (dalam konteks ini bahasa Melayu yang menjadi bahasa kenbangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu), dikaji juga suatu aspek pelaksanaannya di sekolah dengan memilih aspek persepsi guru Bahasa Melayu sebagai fokusnya.
Beberapa rumusan tentang asas-asas falsafah pendidikan bahasa disarankan, iaitu pendidikan bahasa sebagai pengembangan potensi tenurani pada manusia, pendidikan bahasa sebagai saranan untuk menekuni suatu sistem dalam sistem sarwajagat ciptaan Tuhan, pendidik bahasa sebagai asas proses pengilmuan manusia, serta pendidikan bahasa sebagai wadah pewarisan nilai-nilai dan kebudayaan. Dalam aspek perlaksanaannya di Malaysia, disarankan suatu penyataan eksplisit tentang falsafah pendiidikan bahasa Melayu, langkah-langkah mengatasi masalah–masalah yang ada, langkah-langkah memesatkan perlaksanaan pendidikan bersepadu bahasa Melayu, serta beberapa kajian lanjutan.
Text
Novel-novel A.Samad Ismail : satu analisis teori strukturalisme genetik-hegemoni
Abstrak
Kajian ini meneliti novel-novel A. Samad Ismail dengan menggunakan penggabungan Teori Strukturalisme Genetik oleh Lucien Goldman dan Teori Hegemoni oleh Antonio Gramsei yang menghubungkaitkan sastera sebagai cermin sosio-budaya masyarakat. Penerapan Teori Strukturalisme Genetik untuk melihat hubungan sesebuah karya sastera mempunyai ikatan dengan sistem ideologi kelompok sosial yang sedang berkuasa dalam sebuah negara. Manakala Teori Hegemoni sebagai pelengkap untuk melihat intelektualisme yang mendukung pandangan dunia pengarang.
Kajian ini membuktikan bahawa pengalaman dan persejarahan yang ditemui dalam karya novel-novel A.Samad Ismalil sesungguhnya menepati teks sebagai cermin sosio-budaya masyarakat. Seterusnya diikuti dengan perbincangan terhadap konflik kelas dalam kelompok masyarakat. Novel-novel A. Samad Ismail berupaya menafsirkan konflik dan kontradiksi antara konflik kuasa penjajahan, konflik antara golongan tuan dan golongan muda, serta konflik antara rakyat dan pemimpin dalam kontek perubahan masyarakat.
Text
Natural dyes : freeze-dried mangosteen rind extracts (Garcinia mangostana L.) for silk fabric dyeing
Abstrak
Warna asli diperoleh daripada alam semula jadi merupakan warna utama yang digunakan oleh pengkarya tekstil Melayu di negara ini untuk mewarnai tekstil mereka sebelum warna sintetik diperkenalkan. Walau bagaimanapun, penggunaan pewarna asli pada hari ini telah hilang daya tarikan memandangkan proses penghasilannya adalah kompleks, rumit dan memakan masa lama. Usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak dan institusi pengajian tinggi awam untuk mengembalikan kegemilangan, keunikan dan kecantikan pewarna asli dalam pelbagai produk tekstil tempatan. Namun begitu, usaha-usaha tersebut tidak dijalankan mengikut prosedur yang sistematik menyebabkan penghasilan kepekatan warna adalah tidak konsisten.
Kajian ini bertujuan untuk meneroka dan merangka kaedah altenatif bagi menghasilkan pewarna asli secara sistematik menggunakan kulit manggis segar (Garcinia mangostana Linn); Indeks Warna 5 sebagai bahan utama dan ‘’freeze-drying’’ sebagai kaedah mengekstrak warna asli tersebut. Hasilan ekstrak dieksperimentasi ke atas fabrik sutera melalui tiga proses mewarna dan mematikan warna (iaitu sebelum, semasa dan selepas) bagi menghasilkan pelbagai warna dan tona warna . Sampel fabrik tersebut kemudian diukur secara kuantitatif tahap perbezaan warna antara dua ekstrak, perbezaan kaedah mewarna serta ketahanan warna terhadap cahaya dan cucian.
Text
Budaya politik dalam historiografi Melayu
Abstrak
Historiografi Melayu adalah teks yang ditulis untuk menceritakan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan. Teks ini surat dengan gambaran budaya politik yang menjadi amalan dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu. Namun demikian sampai sekarang belum ada sebuah penyelidikan yang mendalam dan menyeluruh terhadap budaya politik historiografi Melayu.
Kajian ini bertujuan untuk melihat bagaimanakah budaya politik yang digambarkan dalam teks-teks historiolografi tersebut. Hasil kajian menunjukkan bahawa mitos asal usul menjadi sumber utama legitimasi dalam budaya politik Melayu. Kemudian diperkuat dengan adat istiadat, keistimewaan politik dan sosial yang memang sangat ditaati oleh setiap orang Melayu. Waad anara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana dijadikan panduan dalam hubungan antara raja dengan rakyat.
Text
Institusi Bale Gambang-Baruk : dulu dan sekarang. Etnografi perubahan sebuah institusi utama masyarakat Bidayuh, Sarawak
Abstrak
Baruk adalah sebuat ruang fizikal, iaitu sebuah bangunan khas dan ia jua adalah sebuah entiti yang abstrak, digunakan untuk pelbagai fungsi budaya, sosial dan politik. Maka ia dikenal sebagai institusi Bale gambang-Beruk sebuah institusi utama masyarakat Bidayuh. Setiap perkampungan masyarakat Bidayuh mempunyai baruk masing-masing. Sekarang, bilangannya berkurangan dan kepenggunaannya pun berubah. Metodologi penyelidikan kualitatif digunakan dengan pengumpulan data dibuat menggunakan sumber premier/utama seperti bajo asal bale gambang-baruk (nyanyi-baruk (nyanyian rakyat) grite Bidayuh damba (cerita lagenda) serta kerja lapangan ke beberapa bale gambang-baruk di Kampung Gumbang, Kampung Opar Bau, Kampung Pichin dan Kampung Taee Serian, yang masih mengekalkan fungsi tradisional institusi ini walaupun mengalami arus pemodenan. Hasil kajian membuktikan fungsi dan peranannya sebagai simbol identiti Bidayuh terus dipelihara. Walau bagaimanapun terdapat kebimbangan dalam kelestariannya akibat daripada impak perubahan dan kemodenan yang berlaku dalam komuniti Bidayuh sendiri.
Kata kunci : bale gambang-baruk, pusat adat dan tradisi, simbol identiti Bidayuh.
Text
Paras fertiliti penduduk Melayu di Semenanjung Malaysia
Abstrak
Objektif pertama tesis ini adalah untuk melihat hubungan di antara dua Variable Pertengahan (Intermediate Variables), iaitu umur kahwin pertama dan pengalaman perancangan keluarga dan fertiliti dalam kalangan penduduk Melayu di Semenanjung Malaysia. Objektif kedua adalah untuk menguji hubungan variable penjelasan (explanatory variables) seperti; etnik. Paras pendidikan, umur, kawasan, strata, negeri, pendapatan, status pekerjaan, industri dan status pekerjaan sebelum kahwin dengan kedua-dua variable pertengahan tersebut.
Dengan menggunakan kaedah ujian ANOVA sehala, didapati bahawa umur kahwin pertama dan pengalaman perancangan keluarga mempunyai hubungan yang signifikan dengan fertiliti bagi kaum Melayu, Cina dan India di Semenanjung Malaysia.
Dengan menggunakan kaedah Regresi Pelbagai Giliran, didapati bahawa terdapat lima variable penjelasan yang dipanggil variable prediktif mempunyai hubungan yang signifikan dengan variable criterion umur kahwin pertama. Variabel-variabel tersebut adalah taraf pendidikan, umur, wilayah, strata, dan industri responden. Teknik regresi Logistik digunakan untuk melihat kekuatan variable yang mempengaruhi pengalaman perancangan keluarga. Secara hirakinya, variable negeri dan kumpulan umur responden mempunyai hubungan yang signifikan dengan pengalaman perancangan keluarga.
Text
Keinginan watak dalam novel Melayu terpilih dari perspektif lagan
Abstrak
Tesis yang bertajuk ‘’Keinginan Watak dalam Novel Melayu Terpilih dari Perspektif Lacan’’ ini dihasilkan untuk mengkaji kesusasteraan Melayu berdasarkan Teori Psikoanalisis Jacques Lacan. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji keinginan watak dalam novel-novel terpilih daripada karya Shahnon Ahmad, Azizi Haji Abdullah dan Anwar Ridhwan. Kajian ini dilakukan terhadap dua buah novel daripada setiap pengarang. Jumlah novel yang dianalisis dalam kajian ini adalah sebanyak enam buah novel. Novel-novel Shahnom Ahmad yang dianalisis ialah Ranjau Sepanjang Jalan (1966) dan Srengenge (1973). Karya-karya Azizi Haji Abdullah yang digunakan dalam kajian ini ialah harga Sebuah Maruah (2007) dan Seorang Tua di Kaki Gunung (1982). Manakala novel-novel Anwar Ridhwan pula ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) dan Penyeberang Sempadan (2012). Kajian ini diharapkan dapat memenuhi objektif-objektif berikut. 1. Mengenal pasti asal-usul keinginan watak dalam novel-novel terpilih berdasarkan Teori Psikoanalisis Lacan. 2. Menganalisis tahap kebangkitan keinginan watak dalam novel-novel terpilih menggunakan Teori Psikonalisis Lacan. 3. Merumuskan hasil keinginan watak dalam novel-novel terpilih dari perspektif Psikianalisis Lacan. Pada akhirnya, semua analisis tesis ini akan membuktikan dua cadangan terkenal Lacan, iaitu cadangan pertamanya ialah ‘’Ketidaksedaran adalah wacana yang Lain.’’ Dan cadangan keduanya pula ialah ‘’Keinginan manusia adalah keinginan yang Lain.’’ Menurut Lacan. Keinginan manusia berasal dari yang Lain, dan ketidaksedaran manusia terbentuk di bawah pengaruh yang Lain. Tiga peringkat keinginan yang ingin dianalisis dalam kajian ini, iaitu asal-usul keinginan, kebangkitan, keinginan, dan hasil keinginan, akan menjadi proses melihat sifat keinginan watak-watak terpilih. Selain itu, kajian ini turut memasukkan pandangan-pandangan daripada ahli psikoanalisis lain atau bidang lain seperti linguistik, antropologi, ideologi, dan falsafah bagi menganalisis keinginan watak yang mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Oleh itu, kajian akan menyatakan tafsiran baru analisis keinginan berbeza daripada kajian lepas. Melalui analisis keinginan watak ini, cadangan pertama Lacan terbukti bahawa ketidaksedaran watak tercipta di bawah pengaruh wacana yang Lain. Selain itu, cadangan kedua Lacan telah terbukti bahawa keinginan watak-watak yang terpilih dicipta oleh menginginkan keinginan yang Lain. Kajian ini merupakan kajian pertama dalam kesusasteraan Melayu yang menggunakan Teori Lacan. Melalui kajian ini, diharapkan agar hasil kajian ini dapat digunakan dan dimanfaatkan oleh pengkaji-pengkaji yang akan datang yang berminat untuk mengkaji karya-karya sastera Melayu menggunakan Teori Lacan.
Text
Persoalan ketahanan Nasional dalam novel pilihan penulis guru Negara Brunei Darussalam
Abstrak
Kajian ini menganalisis persoalan ketahanan nasional yang terdapat di dalam novel-novel pilihan yang dihasilkan oleh penulis-penulis guru terutamanya yang berpendidikan tinggi. Pemilihan penulis guru dilakukan berdsarkan sejarah penulisan novel itu negara Brunei Darussalam yang dimulakan oleh penulis guru. Di samping itu, guru adalah orang yang terlibat dalam mengajar ciri-ciri ketahanan nasional itu di sekolah-sekolah baik secara langsung mahupun tidak langsung. Setiap penulis dipilih dua buah novel terbaik mereka.
Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengenal pasti persoalan ketahanan nasional negara Brunei Darussalam yang terdapat dalam novel-novel kajian dan seterusnya memaparkan pengalaman watak-watak dalam naratifnya yang Berjaya mengasimilasikan ciri-ciri ketahanan nasional tersebut dalam kehidupan mereka. Kesan asimilasi itu menyebabkan keselamatan dan kemakmuran baik dalam keluarga, masyarakat mahupun negara telah dapat dipertahankan. Analisis ini menekankan perspektif watak-watak menerapkan ciri ketahanan nasional sosiobudaya, ketahanan nasional sosioekonomi danketahan nasional sosiopolitik. Dalam analisis ini setiap pecahan ketahanan nasional bagi setiap kategorinya itu dipaparkan penerapannya dalam kehidupan watak-watak dan masyarakat.
Text
Kajian estetika dalam cerita rakyat Melayu Kuantan Riau Indonesia
Abstrak
Kajian ini terbahagi atas tujuh bab, merupakan penelitian yang menumpukan pada estetika cerita rakyat Melayu Kuantan Riau yang diperoleh daripada sastera lisan yang ada di daerah Kuantan Riau Indonesia. Kajian ini berdasarkan bahan sastera rakyat, penganalisian dilakukan dengan menggabung jalin daripada beberapa teori yang sesuai seperti, Teori Nilai, Teori Kebahasaan, dan Teori Sosialisme.
Kajian ini bersandar pada anggapan penulis bahawa cerita rakyat Melayu Kuantan Riau perlu pelestarian kerana cerita tersebut memiliki nilai-nilai estetika yang tinggi oleh sebab itu penulis merasa terpanggil untuk meneliti bidang ini kerana kajian mengenai estetika pada cerita rakyat masih sangat sedikit sekali bahkan dapat dikatakan langka. Paradigma sebegini mampu memperkembangkan dunia penyelidikan sastera rakyat Melayu ke arena antara bangsa.
Text
Simbol dan makna dalam pantun Melayu Bingkisan Permata
Abstrak
Kajian ini mengkaji dan menganalisis teks pantun dalam buku Pantun Melayu Bingkisan Permata (2001) terbitan Yayasan Karyawan, yang diselenggarakan oleh Harun Mat Piah. Pantun dianalisis menggunakan Pendekatan Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad Salleh dengan mengambil satu prinsip utama, iaitu Yang Indah-indah: Estetika Sastera Melayu, Analisi tersebut menggunakan tiga sub-prinsip yang terkandung dalam prinsip Yang Indah-indah: Estetika Sastera Melayu, iaitu dunia luas yang dipadatkan, kiasan dan saranan dan dunia berjodoh yang memperlihatkan keindahan sesebuah pantun. Keindahan pantun dalam kajian ini tertumpu kepada simbol dan makna yang diungkapkan dalam pantun. Permasalahan kajian yang bertolak daripada timbulnya kekaburan dalam memahami simbol dan makna boleh menyebabkan salah faham dan salah tafsir kepada pembaca dan pendengar pantun. Simbol yang diungkapkan mempunyai makna simbolik yang sukar difahami. Hal ini dapat dilihat dan dibuktikan dalam penggunaan simbol yang lebih dominan dalam pantun, iaitu simbol tumbuhan dan haiwan yang mempunyai makna berlapis-lapis yang perlu ditafsirkan dengan teliti dan jelas. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti simbol dan makna dalam yang indah-indah yang memperlihatkan estetika Melayu, menganalisis simbol dan makna tumbuhan dan haiwan dalam pantun dan menilai simbol dan makna tumbuhan dan haiwan dalam Pantun Melayu Bingkisan Permata. Dapatan kajian menunjukkan ketiga-ketiga objektif kajian telah tercapai. Kesimpulannya, untuk menjelaskan keindahan pantun melalui simbol dan makna yang diungkapkan dalam pantun perlulah menggunakan kaedah estetika pantun dalam pendekatan Puitika Sastera Melayu yang melihat keindahan pantun dari sudut pandangan orang Melayu sendiri.
Text
Kata panggilan dalam komuniti bahasa Melayu Sambas di Kalimantan Barat : sistem dan konteks
Abstrak
Istilah-istilah panggilan dalam satu komuniti selalunya wujud dalam berbagai-bagai bentuk linguistik dengan peraturan penggunaan yang selalunya bersesuaian dengan sistem sosiobudaya komuniti tersebut. Apabila dalam konteks situasi dan peristiwa komunikasi, penggunaanya menjadi dinamik. Penyelidikan ini ialah mengenai sistem panggilan yang berlaku dalam komuniti bahsa Melayu Sambas yang dilakukan berdasarkan tiga tujuan. Pertama, untuk mengenal pasti sistem panggilan dalam komuniti bahasa Melayu Sambas dalam situasi hubungan kekeluargaan dan hubungan sosial yang intim berdasarkan analisis komponensial. Kedua menganalisis sistem panggilan dalam komuniti tersebut dalam situasi hubungan kekeluargaan dan hubungan sosial yang intimberdasarkan analisis kontekstual. Ketiga, mentafsirkan bagaimana sistem panggilan boleh berhubung kait dengan sistem sosiobudaya komuniti berkenaan. Pendekatan etnografi komunikasi diterapkan dalam pengumpuan data lapangan, khususnya dengan menerapkan teknik pemerhatian partisipan dan bukan partisipan. Besamaan itu, dilakukan pula temuduga tidak berstruktur dan perakaman suara perbualan-perbualan yang diperlukan dengan menggunakan alat perakam suara. Di samping itu, transkripsi dialog yang relevan dipilih daripada beberapa filem yang diproduksi oleh rumah produksi tempatan untuk mengesahkan bagaimana bentuk-bentuk panggilan yang ada digunakan secara kontekstual. Untuk analisis data digunakan dua model analisis. Pertama, model analysis komponensial dan kedua, model analisis kontekstual, mengikut model etnografi komunikasi oleh Dell Hymes. Dapatan penyelidikan ini ialah sebagai berikut: Pertama, bentuk-bentuk panggilan dalam bahasa Melayu Sambas daripada berbagai-bagai bentuk linguistik, meliputi kata nama, kata ganti nama diri kedua, kata nama, jenama kekekluargaan, berbagai-bagai istilah rujukan status sosial, gelaran, dan julukan.
Text
Morfologi bahasa Bidayuh-Somu Kabupaten Sanggau, Kalimantan Barat
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk memberi struktur asas linguistik kepada Bahasa Bidayuh-Somu yang masih dalam bentuk lisan serta belum pernah dilakukan kajian sepenuhnya. Sehubungan itu, kajian ini akan memberi tumpuan kepada bidang morfologi yang akan menghuraikan kata dalam bahasa berkaitan. Pendekatan yang digunakan untuk kajian ini ialah pendekatan struktur Bloomfield (1993), iaitu struktur kata terdiri daripada bentuk bebas atau morfem bebas dan bentuk terikat atau morfem terikat dan variasi-variasinya. Kaedah yang digunakan untuk kajian ini adalah kaedah kajian lapangan huluan untuk mendapatkan tuturan-tuturan asli dari Bahasa Bidayuh-Somu. Data kajian selanjutnya ditranskripsikan secara fonemik untuk memberikan lambang kepada bunyi-bunyi yang wujud dalam pertuturan dan seterusnya diisih menurut bentuk kaya yang wujud. Tumpuan diberikan kepada bentuk kata kompleks yang terhasil melalui proses morfologi yang berlaku. Berdasarkan analisis, didapati proses pembinaan kata kompleks dalam Bahasa-Somu wujud melalui proses nasalisasi, pengimbuhan dan penggandaan. Setiap kata yang terhasil akan dikategorikan kepada kata namaan dan kata karyaan. Berdasarkan binaan pula, didapati kata kompleks dalam bahasa ini mempunyai strukturnya sendiri, iaitu terdiri daripada unsur-unsur morfem bebas dan morfem terikat serta variasi-variasinya. Setiap morfem boleh berfungsi sebagai penetap atau pengubah golongan kata. Berdasarkan hasil kajian, didapati morfem terikat yang terdapat dalam bahasa ini boleh terdiri daripada morfem awalan, sisipan serta morfem terikat terbahagi dan setiap morfem secara amnya mendukung makna-makna tertentu.
Text
Analisis komponen retorik kaunseling bahasa Melayu
Abstrak
Kajian ini mengetengahkan Model Komponen Retorik Paling Luas sebagai asas menganalisis teks kaunseling. Model ini mengambil kira Ciri Model Retorik Klasik dan Retorik Moden yang serasi dengan Model Retorik Paling Luas. Dalam Model Retorik Luas dimasukkan lapan komponen, iaitu komponen struktur, peserta, ayat ujaran, fungsi ujaran, gaya, golongan kata, jungtur dan unkapan Rabbani. Oleh itu, model kajian ini dikenali sebagai Model Komponen Retorik Paling Luas.
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis teks kaunseling dari sudut retori berdasarkan komponen dan teks dengan menggunakan Model Komponen Retorik Paling Luas. Selain itu kajian ini turut membuat perbandingan dalam komponen-komponen masing-masing dan perbandingan teks.
Data kajian ini merupakan empat teks kaunseling yang melibatkan empat kaunselor dan empat klien di sekolah menengah. Analisis kajian berfokus pada lapan komponen dan analisis teks serta perbandingan teks. Setiap komponen memaparkan dapatan secara keseluruhan dan juga berdasarkan struktur dan peserta.
Text
Buah buton di luak tanah mengandung, negeri Sembilan : hubung kait kosmologi dengan kehidupan masyarakat adat perpatih
Abstrak
Buah buton merupakan ukiran berbentuk tiga-dimensi yang diukir pada bahagian bawah sebatang kayu yang merupakan perlambangan terhadap masyarakat Adat Perpatih di Luak Tanah Mengandung, Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang menjadi permasalahan dalam penyelidikan ini seperti komplikasi dalam mendapatkan bahan tentang hubung kait antara kosmologi yang berpandukan falsafah alam terkembang jadi guru dengan buah buton yang mempunyai pengaruh daripada Adat Perpatih. Permasalahan ini bersangkut paut dengan penghuraian secara terperinci terhadap perlambangan kehidupan masyarakat adat ini dengan kosmologi yang dikatakan mempunyai kaitan antara satu sama lain. Selain itu, tiada penyelidikan khusus terhadap visual buah buton berdasarkan kosmologi merupakan antara permasalahan lain dalam penyelidikan. Oleh itu, tujuan penyelidikan ini adalah untuk menerokai kebudayaan dan nilai-nilai murni masyarakat adat ini berdasarkan kosmologi terkembang jadi guru. Selain itu, penyelidikan ini turut menganalisis reka bentuk serta kedudukan buah buton yang terdapat di Luak Tanah Mengandung, Negeri Sembilan bagi melihat persamaannya dengan unsur-unsur yang terdapat pada ukiran kayu Melayu sebagai bahan sokongan. Di samping itu, penyelidikan ini turut menilai kaitan subjek tersebut dengan kosmologi terhadap masyarakat Adat Perpatih.
Text
Seni persembahan Melayu : satu kajian terhadap organisasi keusahawanan seni
Abstrak
Kejayaan sesebuah organisasi keusahawanan seni bergantung kepada corak pengurusan pengusahanya, sokongan yang diterima daripada institusi kerajaan yang berkaitan dan penontonnya. Berasaskan kepada pernyataan tersebut, kajian kes ini melihat secara deskriptif kaedah pengurusan organisasi seni cottage (Kumpulan Sri Temenggung), semi professional (Kumpulan Pura Tanjung Sabtu Centre – PTSCC) dan professional (Kumpulan Penang Cultural Centre – PCC) yang mengkomersialkan produk seni persembahan. Aspek-aspek pengurusan yang dikaji adalah berlandaskan kepada konsep umum dalam pengurusan sesebuah organisasi keusahawanan iaitu pengurusan personal, pemasaran, operasi dan kewangan.
Objektif utama kajian ini ialah unutk mengkaji dan membandingkan kaedah pengurusan dalam tiga kategori organisasi seni persembahan dari sudut keusahawanan, peranan dan sokongan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan (KKKP) dalam seni persembahan dan kehendak penonton masa kini.
Text
Keunggulan kepengarangan Faisal Tehrani dari perspektif teksdealisme
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis dan menilai keunggulan kepengarangan Faisal Tehrani berdasarkan novel-novel terpilihnya. Keunggulan yang diraih akan meletakkan dirinya pada kedudukan tersendiri dan membezakan dengan pengarang yang lain. Bagi mencapai tujuan tersebut, kajian ini menganalisis tujuh buah novel, iaitu Perempuan Politikus Melayu (2000), 1515 (2003), 1511 h [Kombat] (2004), Surat-surat Perempuan Johor (2005), Tunggu Teduh Dulu (2008), Bahlut (2010) dan Bagaimana Anyss Naik Ke Langit (2016). Kaedah kajian yang dijalankan adalah bersifat kualitatif yang menganalisis teks dan kerja lapangan. Teori yang digunakan ialah Teori Teksdealisme (2006) yang digagaskan oleh Mana Sikana. Teori ini menetapkan empat prinsip bagi menganalisis keunggulan, iaitu prinsip kehadiran, perlanggaran, pengukuhan dan individualisme. Semua prinsip Teori Teksdealisme diaplikasikan bagi menilai tahap keunggulan Faisal Tehrani. Pencapaian keunggulan terbahagi kepada tiga tahap, iaitu rendah (lemah), separa (sederhana) dan tinggi. Dalam prinsip kehadiran menunjukkan bahawa novel-novel kajian bersumberkan kehadiran daripada pengalaman, pengembaraan, pengkajian, pembacaan dan isu-isu semasa. Bagi prinsip perlanggaran menunjukkan perlanggaran dari aspek tema, watak, latar, aliran dan teknik penceritaan. Prinsip pengukuhan pula menunjukkan pengukuhan dari aspek pemikiran, subjek, watak, isu mini naratif, aliran, teknik penceritaan, latar, penggunaan fakta dan sumber sokongan. Prinsip individualisme yang membina identiti kepengarangan adalah aspek subjektiviti, stail individu, kedirian individu dan tindakan individu. Kajian mendapati, terdapat satu lagi aspek yang membina individualisme pengarang, iaitu sensitiviti dan kreativiti. Dapatan kajian menunjukkan bahawa, Faisal Tehrani mencapai tahap keunggulan yang tinggi berdasarkan novel-novel kajian. Namun begitu, tahap keunggulan tersebut akan mengalami perubahan kerana akan ditentukan oleh karya-karya seterusnya.
Kata kunci : Keunggulan, kehadiran, perlanggaran, pengukuhan dan individualisme.
Text
Eksperimen kreatif dan inovasi dalam tenun Pahang DiRaja
Abstrak
Tenun Pahang Diraja (TPD) merupakan seni tenunan warisan Melayu Pahang yang menjadi salah satu identiti utama kesenian di negeri Pahang. Aktiviti tenun berkembang khususnya di daerah Pekan sejak abad ke-16 sehingga hari ini dengan sokongan pihak kerajaan dan istana Pahang. Perusahaan ini mengalami persaingan apabila reka corak yang lebih kontemporari sesuai dengan cita rasa terkini membanjiri pasaran. Kain komersial TPD hanya dihasilkan daripada struktur tenun biasa walaupun mempunyai peralatan yang boleh mempelbagaikan struktur tenun, kesan kemasan akhir kain dan dapat mengurangkan masalah kedutan. Kain TPD perlu dibangunkan daripada aspek rekaan dan teknik mengikut kesesuaian peralatan menenun dengan mengekalkan identitinya. Tujuan penyelidikan ini dijalankan untuk menghasilkan kain TPD yang lebih kompetetif berdasarkan inovasi melalui struktur tenun. Justeru, usaha dilakukan untuk menyesuaikan rekaan kain TPD bermula daripada aspek teknikal dan kreativiti. Penyelidikan ini menggunakan perisian WeavePoint 6.1 dan alat tenun buatan barat Scacht floor dan Leclerc Jack floor loom untuk menghasilkan sampel variasi sruktur tenun sebagai inovasi dalam penghasilan kain TPD.
Text
Diangdangan Brunei : Tuan pemagat ular membaung, suatu suntingan teks
Abstrak
Diangdangan Tuan Pemangat Ular Membaung (TPUM) adalah salah satu daripada beberapa diangdangan yang terdapat dalam tradisi lisan dan merupakan sebahagian daripada sastera rakyat (folklore) Bunei. Diangdang seperti juga yang lipurlara dalam masyarakat Melayu dan cerita kaba di Minangkabau yang tergolong ke dalam bentuk prosa berirama atau prosa lirik. Tergolongan TPUM ke dalam bentuk-bentuk itu kerana ia memiliki sifat-sifat puisi dan prosa yang disampaikan secara formalaik seperti perulangan yang stereotaip. Sebagai puisi, ia mengeksploitasi unsur bunyi sehingga menimbulkan irama. Pengeksploitasian unsur bunyi itu menyebabkan keseluruhan teksnya mengandung unsur ritma dan melodi. Sebagai prosa ia mengeksploitasi cerita. Ceritanya terbina dari serangkai peristiwa (plot) bercorak romantik yang tersusun mengikut babak atau episod. Melalui plot dan babak-babak penceritaan inilah menyerlahkan perihal dan tema TPUM iaitu tentang ‘keabsahan raja’ atau ‘kedaulatan raja’. Bentuk unsur dan tema tersebut disampaikan oleh pendiangdangan dalam satu persembahan atau pementasan dengan gaya yang unik lagi tersendiri.
Text
Penjagaan kesihatan dan rawatan : prinsip dan teori dalam perubatan Melayu
Abstrak
Satu kajian antropologi budaya telah dijalankan untuk mendapatkan data tentang perubatan Melayu di Kedah dan Perlis. Tujuan kajian ialah untuk menentukan konsep berhubung dengan kesihatan dan penyakit dan untuk membentangkan pembentukannya sebagai realiti sosial. Kajian memfokuskan kepada falsafah dan prinsip yang digunakan oleh bomoh dalam penjagaan kesihatan dan rawatan penyakit. Dalam hubungan ini huraian mengenai teori penyakit dan keuzuran dibincangkan. Kajian juga bertujuan untuk melihat faktor-faktor yang mempengaruhi pembangunan perubatan Melayu dan untuk mengemukakan strategi-strategi kearah kemajuannya. Hasil kajian mendapati asas dan falsafah perubatan Melayu berteraskan ajaran Islam. Teori mengenai penyakit dan keuzuran pada keseluruhannya dibentuk atas pengetahuan agama, kepercayaan kepada makhluk ghaib dan persekitaran fizikal. Rasional dan keperhatinan kepada keadaan manusia menjadi sebahagian daripada rawatan bomoh. Sungguhpun penjagaan kesihatan merupakan satu bahagian penting perubatan Melayu, penekanan lebih bertumpu kepada aspek rawatan. Kesimpulan kajian ialah perubatan Melayu dibina atas prinsip-prinsip falsafah agama yang kukuh. Implikasi yang boleh dibuat daripada kajian ialah keperluan untuk memberi penekanan sewajarnya kepada kaedah-kaedah penjagaan dan untuk menengahkannya sebagai suatu model penjagaan kesihatan altenatif di Malaysia.
Text
Transformasi teknologi pembuatan labu sayong : kajian kes
Abstrak
Tembikar Labu Sayong merupakan salah satu hasil kraftangan Melayu tradisional yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Labu Sayong merupakan labu hitam tradisional yang digunakan oleh orang Melayu untuk menyimpan air minuman. Pembuat tembikar labu sayong membentuk labu dengan menggunakan tangan dan kayu penepek. Kemudian mereka menghias labu dengan pelbagai rekaan motif dan seterusnya dibakar dan di sekam dengan padi sehingga terhasilnya warna hitam. Namun begitu pewarisan kraf ini tidak menarik minat generasi mempelajarinya memandangkan proses pembuatannya secara tradisional amat memerlukan kemahiran yang tinggi. Persoalannya adakah menghasilkan Labu Sayong secara tradisional masih relevan dengan zaman berteknologi masa kini? Untuk menjadikan pembuatan kraftangan ini diteruskan oleh generasi baru, perlu difikirkan kesinambungan cara pembuatannya melalui transformasi teknologi dan terbukti ia telah diterima oleh pengusaha-pengusaha labu di Mukin Sayong, Perak.
Text
Gaya dan tema dalam seni cetak konvensional seniman Melayu Malaysia (1970-1999)
Abstrak
Kehadiran seniman Melayu yang mendapat pendidikan seni moden barat pada sekitar tahun selepas merdeka khususnya bermula 1970an hingga 1990an menarik perhatian kepada penyelidikan ini. Penyelidikan ini merupakan kajian berkaitan pengolahan seni cetak Malaysia dari tahun 1970an hingga 1999. Pada dekat ini, perkembangan seni tanah air dikatakan sebagai era krisis identiti, tradisi dan kemodenan. Maka satu bentuk seni baharu dari gabungan bentuk seni rupa moden dan tradisi berkembang dengan giatnya. Keadaan ini dipercayai ekoran daripada peralihan perspektif seni visual tempatan dari ‘’seni demi seni’’ dan masyarakat’’ yang dicetuskan oleh Konggres Kebudayaan Kebangsaan, 1971 (KKK). Kesan daripada fenomena ini, banyak simbol budaya seperti pucuk rebung, keris, kerawang dan sebagainya muncul dalam karya seni cetak tempatan. Maka pengolahan karya seniman Melayu yang dikatakan kebaratan ini menjadi focus kajian ini. Tiga objektif penyelidikan iaitu mengenal pasti gaya, mengenalisis tema dan mensintesis simbol budaya yang terdapat dalam cetakan oleh para seniman Melayu tempatan sebagai aspek penelitian utama dalam penyelidikan ini. Kajian bercirikan penyelidikan kualitatif dengan metod analisis observasi serta penelitian perpustakaan. Teori apresiasi seni ikonografi Erwin Panofsky digunakan sebagai kerangka teoritis analisis karya. Penemuan kajian merumuskan walaupun karya cetakan mengaplikasi pelbagai gaya aliran antarabangsa dari barat tetapi ianya diubahsuai dengan menampilkan simbol budaya tempatan. Maka lahirlah bentuk karya dari gabungan estetika barat, tradisi dan Islam. Manakala segi aspek tema, kecenderungan seniman Melayu kearah nilai tradisi dan budaya tempatan dengan mengetengahkan tema berunsur kerohanian, leluhur, budaya dan bahasa yang seiring dengan hasrat KKK.
Text
Ritual padi dan identiti : kajian kes komuniti Kadazan dataran Penampang, Sabah
Abstrak
Ritual secara umumnya adalah perlakuan dalam agama atau upacara amal. Namun perlakuan-perlakuan baru yang dilakukan secara berulang tanpa melibatkan keagamaan juga dapat dianggap sebagai ritual. Ritual baik yang dilakukan secara tradisi atau baru merupakan hak komunal dan bersifat awam serta mengandungi elemen-elemen persembahan yang merupakan entiti kepada kebudayaan. Oleh itu, ia sebagai alat perantaraan dan penyeragaman nilai-nilai yang menjadi lambang identiti kepada masyarakat atau etnik. Identiti entnik merupakan jalinan konsep dan sifat-sifat perilaku yang berbeza-beza atara datu entik dengan etnik yang lain yang berpusatkan kepada perkongsian bersama terhadap warisan nenek moyang. Justeru perlakuan ritual sejak zaman nenek moyang boleh diinterprestasikan sebagai sebuah drama sosial yang meliputi kehidupan seharian yang diwarisi di dalam sesebuah komuniti.
Showing 1 to 50 of 155 results
Page
of 4
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->