Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (285 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Latihan ilmiah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Sosio budaya Melayu
Peranan wanita bekerjaya mengimbang tuntutan kerjaya dan keluarga satu kajian kes di Kuantan,Pahang / Nur Ashura Abu Bt Saharudin.
Abstrak
Kajian ini ingin melihat bagaimana wanita Melayu dalam dunia profesional dapat mengimbangi kedua-dua peranan iaitu sebagai pekerja dan pengurus rumahtangga. Selain itu, kajian ini juga ingin mengkaji secara keseluruhan faktor yang mendorong wanita terlibat dalam dunia kerjaya seterusnya sejauh mana mereka membantu institusi kekeluargaan terutamanya dari segi ekonomi keluarga dan peranan setiap ahlinya. Kesan-kesan dan juga bebanan yang wanita terpaksa hadapi turut dibincangkan. Kajian ini terbahagi kepada lima bab.
Bab pertama lebih kepada pengenalan kepada kajian. Dalam bab ini, dihuraikan tentang objektif kajian, kepentingan kajian, bidang kajian, metodologi kajian, ulasan kajian-kajian lepas dan juga permasalahan kajian. Terdapat tiga objektif utama yang diberi tumpuan dalam kajian kali ini.
Bab kedua pula menghuraikan tentang pendekatan kajian dan kedudukan wanita dalam masyarakat. Pendekatan utama yang digunakan dalam kajian ini adalah teori oleh Nik Safiah Karim yang membincangkan tentang persoalan wanita dan pekerjaan. Kedudukan wanita dalam masyarakat yang dibincangkan dalam bab ini termasuklah peranan wanita Melayu khususnya dalam rumahtangga sebagai isteri dan ibu.
Seterusnya, bab 3 berkaitan dengan latar belakang tempat yang dikaji iaitu daerah Kuantan, Pahang yang merupakan ibu negeri bagi negeri Pahang. Disamping itu, dalam bab ini juga dimasukkan latar belakang responden-responden yang terdiri daripada wanita Melayu yang berkeluarga dalam masa yang sama mempunyai kerjaya. Kerjaya mereka pula dipecahkan kepada yang bekerja di sektor kerajaan, swasta mahupun yang bekerja sendiri.
Bab 4 berkaitan dengan penglibatan wanita dalam kerjaya. Dalam bab ini ada menyenaraikan faktor-faktor yang menyebabkan wanita melibatkan diri dalam bidang kerjaya seperti untuk membantu suami dalam menyara keluarga, untuk mengisi masa lapang, untuk memanfaatkan ilmu dan banyak lagi. Selain itu juga, dalam bab ini ada membincangkan sebab mereka memilih bidang tersebut sama ada minat, kerjaya yang dipandang tinggi, mencabar ataupun sesuai dengan sifat kewanitaan.
Bab 5 membincangkan masalah dan implikasi berkerjaya. Antara subtopik yang dibincangkan dalam bab ini termasuklah sikap dan kerjasama suami, hubungan dengan anak, hubungan dengan ibubapa, kesan-kesan wanita bekerjaya, hubungan kekeluargaan, penjagaan anak-anak dan juga pengurusan rumahtangga. Implikasi wanita berkerjaya harus dilihat dari dua aspek iaitu dari sudut positif dan juga negative.
Akhir sekali bab 6 membincangkan tentang kesimpulan keseluruhan kajian yang dijalankan berdasarkan objektif-objektif yang ingin dicapai. Saranan juga turut dibincangkan serba sedikit rujukan dan panduan buat wanita yang sudah berkahwin dalam masa yang sama terlibat dalam bidang kerjaya.
Text
Bahasa Melayu
Perbandingan Leksikal bahasa orang Asli Seletar dan bahasa Melayu
Abstrak
Kajian ini dilakukan untuk melihat perbandingan leksikal antara bahasa orang Asli Seletar (BOAS) dan bahasa Melayu Standard (BMS).Kajian ini dilakukan dengan menggunakan kaedah lapangan bagi mendapatkan data primer. Manakala kaedah kepustakaan dilakukan bagi mendapatkan data sekunder dan memperkukuhkan lagi data primer. Data-data yang telah dikumpul dibandingkan terutama untuk melihat aspek fonologi dan leksikal. Daripada analisis mendapati BOAS mempunyai sistem vokal dan konsonan yang berbeza daripada BMS. Didapati BOAS, mempunyai enam vokal dan 20 konsonan.
Secara keseluruhannya dapatan kajian menunjukkan dalam BOAS banyak berlaku proses pengguguran dan peleburan. Proses-proses ini dilihat akan mengubah struktur kata dari kata dwisuku dalam BMS kepada kata ekasuku dalam BOAS. Analisis yang dilakukan mendapati perubahan utama yang berlaku dalam BOAS ialah melibatkan proses pengguguran yang akhirnya mengubati struktur kata dalam BOAS. Selain itu, daripada analisis leksikostatistik dan gloto kronologi mendapati, BOAS merupakan sebuah bahasa daripada induk yang sama.
Text
Kesenian Melayu
Perbandingan seni persembahan Tarian Barongan
di Bali Indonesia dan Parit Raja Johor Malaysia
Abstrak
Penghijrahan penduduk yang berlaku disebabkan oleh faktor penarik dan penolak yang mendorong mereka untuk berhijrah ke Tanah Melayu pada zaman dahulu telah sedikit sebanyak membawa kebudayaan tradisi mereka meresap masuk ke dalam kebudayaan masyarakat setempat. Penghijrahan orang-orang jawa banyak dilihat bagaimana sebuah masyarakat itu berhijrah dan masuk ke dalam kebudayaan masyarakat terutamanya masyarakat Johor. Dari situ, munculah sebuah masyarakat yang baru di mana kedua-dua budaya itu saling melengkapi antara satu sama lain. Kebudayaan tradisional Jawa yang sememangnya di jadikan panduan dalam kehidupan masyarakat Jawa telah disesuaikan dengan kebudayaan masyarakat setempat. Kebiasaannya, kebudayaan yang dilihat yang dibawa oleh masyarakat Jawa ini ialah seni persembahan, adat resam, cara hidup, dan sebagainya.
Seni persembahan telah menjadi satu sumber kuasa yang dapat membuat sesebuah tempat atau masyarakat itu menjadi sebuah kawasan atau budaya yang mempunyai unsur keseronokan, kebudayaan dan keharmonian. Ia juga dilihat menjadi daya tarikan dan tenaga yang dapat melindungi serta menampilkan keistimewaan manusia dan masyarakatnya. Di malaysia, dilihat mempunyai berbagai jenis kebudayaan dan seni persembahan yang menunjukkan masyarakatnya berjiwa seni dan harmoni. Kebanyakan seni persembahan ini terbentuk melalui peristiwa, sejarah, warisan dari nenek moyang yang dilihat mempunyai hubungan yang rapat dengan alam sekeliling, kepercayaan dan agama sesebuah masyarakat.
Jika ingin dibandingkan di antara seni persembahan masyarakat dahulu dan sekarang, jelas menunjukkan perbezaan yang ketara kini seni persembahan dilakukan mengikut tuntutan agamanya iaitu agama Islam. Jika dahulu, seni persembahan di lakukan adalah bertujuan untuk upacara keagamaan atau ritual (Jawa), kini di Malaysia, ianya lebih kepada persembahan semata-mata bagi menghiburkan masyarakat setempat jika adanya majlis-majlis keramaian. Namun begitu, sama ada dahulu atau sekarang, seni persembahan merupakan identifikasi manusia kepada kehidupan mereka.
Melihat kepada seni persembahan Barongan, ia merupakan satu kesenian yang di adaptasi dari seni Barongan Jawa, Indonesia yang dibawa oleh imigran-imigran yang datang ke Malaysia sewaktu ketika dahulu. Seni persembahan ini hanya didapati di tempat-tempat tertentu iaitu di negeri Johor dan Selangor. Di dalam persembahan yang dilakukan, memperlihatkan beberapa upacara yang sering dilakukan sebelum persembahan itu dilakukan. Namun, pengkaji ingin melihat apakah perbezaan yang ketara yang di lihat di antara kedua-dua masyarakat ini iaitu masyarakat Jawa di Johor dan masyarakat Jawa di Indonesia. Pelbagai jenis elemen, alat muzik, dapat dilihat dalam setiap persembahan yang dilakukan.
Akhir kata, penulisan ini ditulis adalah bertujuan untuk melihat perbezaan di antara seni persembahan Barongan di Indonesia dan seni persembahan dan seni persembahan Barongan di Malaysia. Selain itu, pengkaji ingin mengkaji secara lebih mendalam tentang bagaimana persembahan ini boleh wujud dalam masyarakat Indonesia dan apakah kaitannya dengan agama dan kepercayaan yang dianuti oleh mereka. Diharapkan agar latihan ilmiah ini dapat sedikit sebanyak membuka minda generasi anak muda akan sebuah kebudayaan tradisional masyarakat Jawa yang mempunyai asal-usulnya yang menarik dan unik.
Text
Sosio budaya Melayu
Perbelanjaan dalam urusan perkahwinan masyarakat Melayu : Kajian kes di Daerah Kulim/ Bandar Baharu
Abstrak
Secara keseluruhannya, penulis ini adalah membincangkan mengenai aspek perbelanjaan yang terdapat dalam urusan perkahwinan Melayu. Perbelanjaan ini termasuklah dari segi jumlah bayaran perkahwinan, kos kenduri serta kos kelengkapan dan persediaan yang diperlukan semasa mengendalikan sesebuah majlis perkahwinan. Seperti yang kita ketahui, perbelanjaan yang terdapat dalam urusan perkahwinan Melayu dilihat semakin tinggi berbanding tahun yang sebelumnya. Peningkatan jumlah perbelanjaan ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor tertentu.
Antaranya termasuklah dari segi peningkatan kos sara hidup yang tinggi, perubahan pekerjaan serta kadar inflasi yang berlaku dalam negara kita. Dalam kajian ini, pengkaji berusaha untuk melakukan perincian yang lebih mendalam terhadap kos perbelanjaan yang terlibat di antara sesebuah pasangan dan keluarga pasangan. Jangkaan umum akan mengatakan bahawa pasangan yang mempunyai tahap pendidikan dan jenis pekerjaan yang baik akan membelanjakan jumlah yang lebih tinggi berbanding pasangan yang lain. Namun begitu, perubahan taraf sosiaekonomi yang dialami oleh sesebuah keluarga tidak menghalang kepada seseorang individu itu untuk mengeluarkan belanja yang lebih. Malahan, terdapat juga sesetengah keluarga yang turut sama mengeluarkan jumlah belanja yang di luar batasan kemampuan.
Perubahan yang dialami dalam pola perbelanjaan ini sedikit sebanyak turut membawa perubahan terhadap nilai dan norma tradisi masyarakat Melayu. Tidak kurang hebatnya, terhadap sesetengah individu yang terpaksa melanjutkan usia perkahwinan mereka bagi mengumpulkan dana yang secukupnya.
Text
Perbezaan nilai-nilai kebudayaan orang asli tentang pelajaran : Kajian kes masyarakat Semai Bt. 14 Jalan Pahang Cameron Higlands
Abstrak
Penyelidikan pengkaji ini adalah sebuah penyelidikan dalam merungkai sistem pembelajaran masyarakat orang asli yakni sebuah sistem pembelajaran yang berbeza dengan sistem pembelajaran formal yang ada dalam negara ini. Perbezaan tersebut adalah kerana penerapan nilai tentang pelajaran dalam kedua-dua sistem tersebut berbeza dan saling bercanggah antara satu sama lain.
Justeru penyelidikan pengkaji ini adalah bertujuan melihat bagaimana penerapan nilai tersebut berbeza dalam sistem pembelajaran masyarakat orang asli dan sistem pembelajaran formal yang akhirnya ia saling bercanggah antara satu sama lain dalam memahami sistem nilai pelajaran masyarakat orang asli khususnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Perkahwinan campur : Satu kajian kes di Daerah Tatau, Sarawak
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai perkahwinan campur yang berlaku di Daerah Tatau, Bintulu, Sarawak. Fokus kajian ini adalah meneliti kehidupan pasangan-pasangan suami isteri yang berkahwin campur dengan meninjau penerimaan, perubahan, dan penyesuaian budaya yang berlaku dalam kehidupan pasangan itu. Kajian ini memfokus kepada perkahwinan campur antara orang Muslim dan bukan Muslim. Antara perkara yang dibincangkan ialah faktor-faktor yang menggalakkan perkahwinan campur di Daerah Tatau serta proses akomodasi dan asimilasi budaya yang berlaku.
Text
Sosio budaya Melayu
Perkahwinan masyarakat Melayu bandar masa kini
Abstrak
Perkahwinan merupakan salah satu perkara menjadi tuntutan agama Islam. Kemeriahan dan kelancaran dalam majlis perkahwinan merupakan yang menjadi impian bagi setiap bakal pengantin dan keluarganya. Bagi memastikan Kelancaran majlis, persediaan persiapan kelengkapan majlis perlu dilakukan dengan lancar. Kajian ini melibatkan bidang sosio-budaya bagi masyarakat Melayu bandar kelas menengah. Penulisan kajian ini untuk mengupas persediaan yang perlu dilakukan oleh masyarakat bandar dalam mengadakan majlis perkahwinan dan sambutan majlis terutama dari pelaksanaan istiadat perkahwinan Melayu pada masa kini. Kaedah kajian yang digunakan adalah melibatkan kaedah pemerhatian dan temu bual terhadap responden yang mengadakan majlis perkahwinan di bandar. Upacara perkahwinan sepatutnya didahului dengan ikatan perpaduan kekeluargaan yang kukuh, kini mula terhakis. Masyarakat bandar kini banyak terdedah kepada proses pembandaran yang sedang rancak dilakukan oleh negara.
Text
Sosio budaya Melayu
Perkembangan IKS di Kelantan : Kajian kes kilang roti, biskut dan kek di Mahligai, Bachok, Kelantan.
Abstrak
Kepentingan iks dalam pembangunan negara telah pun mendapat pengiktirafan ramai. Pengiktirafan tersebut meletakkan iks pada satu kedudukan yang penting dalam agenda perancangan pembangunan di kebanyakan negara, baik negara maju mahupun di negara membangun.Sumbangan iks dipercayai menjadi semakin penting dengan tahap pembangunan ekonomi negara yang semakin pesat. Malah terdapat bukti yang kukuh bahawa iks mempunyai hubungan jalin yang sangat bermakna dengan firma-firma besar dan multinasional sebagaimana negara-negara seperti Jepun, USA, United Kingdom, Kanada, Jerman dan lain-lain. Ini memberi gambaran bahawa iks menjadi semakin penting dan sumbangan mereka tidak merosot dengan kepesatan dan kemajuan pembangunan ekonomi sesebuah negara.
Perkembangan kanak-kanak dalam novel Laskar Pelangi dari perspektif teori perkembangan kognitif
Abstrak
Kajian ini merupakan satu kajian tinjauan yang ingin melihat beberapa perkara berdasarkan objektif kajian iaitu, mengenal pasti perkembangan kanak-kanak teori perkembangan kognatif Jean Piaget, menganalisis aspek-aspek teori perkembangan kognatif yang mendorong kepada perkembangan kanak-kanak dalam novel Laskar Pelangi dan merumus bentuk perkembangan kanak-kanak yang terdapat dalam novel Laskar Pelangi berdasarkan teori perkembangan kognatif. Bahan kajian yang digunakan ialah novel Laskar Pelangi yang ditulis oleh Andrea Hirata terbitan Bentang Anggota IKAPI di Jarkata Selatan pada tahun 2005. Kaedah kajian yang digunakan ialah kaedah kepustakaan untuk mendapat maklumat yang lengkap bagi menyiapkan analisis data tentang perkembangan kognatif dalam novel Laskar Pelangi. Seterusnya metodologi telah dilakukan bagi mengkaji analisis yang telah dibuat oleh pengkaji-pengkaji lain. Dalam analisis data, kajian telah dilakukan terhadap empat aspek iaitu aspek Skemata dalam dalam novel Laskar Pelangi, aspek Asimilasi (assimilation) dalam novel Laskar Pelangi, aspek Akomodasi (accommodation) dalam novel Laskar Pelangi, aspek Adaptasi (adaptation) dalam novel Laskar Pelangi, serta tahap-tahap perkembangan mental dalam novel Laskar Pelangi yang terbahagi kepada dua iaitu Tahap Operasi Konkrit (7 tahun-11 tahun dan Tahap Operasi Formal (11tahun-15tahun). Seterusnya analisis data dilakukan berdasarkan aspek-aspek dalam teori dalam novel Laskar Pelangi. Pada bahagian akhir kajian jelas bahawa Teori Perkembangan Kognatif ini mempunyai aspek positif terhadap perkembangan kognatif kanak-kanak untuk mendewasakan mereka.
Text
Bahasa Melayu
Permainan bahasa dalam penguasaan imbuhan
di Sekolah Rendah East Coast
Abstrak
Satu kajian yang melandaskan teknik permainan bahasa telah dijalankan ke atas pelajar darjah 4 di Sekolah Rendah East Coast, Singapura yang bertujuan untuk menentukan keberkesanan teknik permainan bahasa dalam pengajaran imbuhan. Data kajian ini merangkumi maklumat yang dikumpulkan daripada dua puluh lima orang pelajar selama tiga minggu yang membabitkan dua kali soal selidik dan dua kali ujian penilaian yang berasaskan imbuhan. Kajian ini membabitkan penilaian berkenaan kata imbuhan terhadap pelajar pada sebelum dan selepas teknik permainan bahasa dijalankan dalam pengajaran dan pembelajaran. Penganalisisan data dijalankan berdasarkan kajian soal selidik dan ujian penilaian. Data-data yang diperolehi akan dianalisis. Hasil kajian ini telah menunjukkan penggunaan teknik permainan bahasa adalah berkesan dalam pengajaran imbuhan.
Text
Kesenian Melayu
Permainan burung candik di Kota Bharu, Kelantan
Abstrak
Kajian ini membincangkan tentang aktiviti masa lapang masyarakat Melayu di Kelantan iaitu permainan burung candik (merbah jambu) yang difokuskan di daerah Kota Bharu, Kelantan.
Dalam kajian ini, pengkaji membincangkan tentang aktiviti membela burung candik sebagai salah satu bentuk permainan masa lapang dalam masyarakat Melayu. Aspek-aspek yang dibincangkan melibatkan cara penjagaan, penyakit serta alahan burung.
Selain itu, kajian ini juga membincangkan tentang aktiviti pertandingan seni suara burung candik yang dilakukan sebagai salah satu bentuk permainan yang memberikan hiburan kepada masyarakat. Pertandingan ini melibatkan aspek-aspek seperti organisasi, tempat dan bentuk-bentuk pertandingan.
Dapatan data kajian ini diperolehi melalui kaedah temubual dengan informan yang terlibat secara langsung dalam permainan burung candik. Berdasarkan temu bual tersebut, pengkaji memperolehi maklumat mengenai cara-cara penjagaan dan aspek-aspek yang terlibat dalam pertandingan seni suara burung candik.
Kajian ini dilakukan, sebagai salah satu cara untuk melestarikan permainan tradisi yang melibatkan haiwan dalam masyarakat Melayu,supaya ia tidak lupus ditelan zaman.
Text
Kesenian Melayu
Permainan wayang kulit di Kelantan : Satu warisan seni-budaya Melayu
Abstrak
Latihan ilmiah ini adalah berkaitan dengan permainan wayang kulit. Kajian dijalankan berdasarkan kaedah tertentu untuk mencapai objektif kajian yang ditetapkan. Kajian dimulakan dengan memberi pengenalan kepada wayang kulit secara umum di Malaysia dan di Kelantan. Meliputi asal-usul wayang kulit, peralatan yang terlibat dalam permainan wayang kulit, Tok dalang, dan sebagainya. Seterusnya melalui kajian ini juga penulis telah membuat analisis mengenai persepsi pandangan masyarakat Melayu Kelantan terhadap permainan wayang kulit. Kemudian, kajian lebih berfokus kepada kumpulan wayang kulit Nik Mat Suara Emas di Kelantan meliputi pelbagai aspek. Di akhir kajian pula penulis telah membincangkan mengenai permainan wayang kulit sebagai warisan seni-budaya Melayu.
Text
Perniagaan kecil-kecilan orang melayu : Satu kajian kes di Pasar Besar Gua Musang, Kelantan
Abstrak
Ini ialah satu kajian mengenai perniagaan kecil-kecilan orang melayu di Pasar Besar Gua Musang, Kelantan. Kajian ini mendapati bahawa terdapat banyak permasalahan yang telah mempengaruhi pencapaian peniaga-peniaga kecil melayu di situ. Permasalahan tersebut bukan hanya terdiri daripada permasalahan yang berbentuk ekonomi, malah permasalahan bukan berbentuk ekonomi juga turut mempengaruhinya.
Dalam bab satu dimuatkan pengenalan tentang kajian, tujuan kajian, permasalahan kajian, skop kajian, metodologi yang digunakan, masalah kajian, kajian terdahulu dan konsep-konsep yang berkaitan seperti konsep perniagaan dan perniagaan kecil-kecilan.
Bab dua pula dimuatkan tentang latar belakang kawasan kajian dan juga profil peniaga itu sendiri seperti jenis perniagaan yang diusahakan, jantina, umur, status perkahwinan, tanggungan, taraf pendidikan dan pengetahuan dalam bidang perniagaan.
Manakala, bab tiga memuatkan aspek-aspek yang berkaitan dengan perniagaan peniaga seperti lama dalam perniagaan, bentuk pengurusan, hak milik kedai, modal, bekalan barang-barang jualan, tenaga kerja, pengurusan perniagaan, kemudahan asas dan pendapatan.
Dalam bab empat pula dibincangkan tentang topik permasalahan dalam perniagaan. Perbincangan mengenai topik tersebut telah dibahagikan kepada dua topik utama. Iaitu permasalahan berbentuk ekonomi dan juga permasalahan bukan berbentuk ekonomi. Di samping itu, untuk memperlihatkan perkaitannya dengan pencapaian dalam perniagaan, dua bentuk pencapaian, iaitu pencapaian yang negatif dan juga positif turut dibincangkan dalam bentuk kes masing-masing.
Selain rumusan mengikut topik, pandangan dan cadangan ringkas pengkaji terhadap peniaga-peniaga kecil melayu, terutama peniaga-peniaga di Pasar Besar Gua Musang turut dimuatkan dalam bahagian penutup latihan ilmiah ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Perniagaan masyarakat Melayu dalam sektor informal : Kajian Kes di Pekan Kuah Pulau Langkawi, Kedah
Abstrak
Bidang perniagaan hakikatnya masih baru kepada orang Melayu. Ilmu mereka mengenai bidang ini masih lagi cetek tetapi mereka perlu bersaing dengan bangsa lain terutamanya bangsa cina. Jika kita lihat ekonomi orang Melayu masih lagi ketinggalan jika dibandingkan bangsa lain. Namun, disebabkan Dasar Ekonomi baru (DEB) dilaksanakan, ekonomi orang Melayu mula menunjukkan peningkatan walaupun pelaksanaan tersebut tidak mencapai matlamat yang diinginkan oleh kerajaan. Kajian ini telah melihat kepentingan aktiviti ekonomi di Pekan Kuah dalam membantu ekonomi orang Melayu. Berdasarkan kajian terdapat tiga aspek telah dikaji iaitu mengenai pengurusan, perancangan dan masalah yang dihadapi oleh peniaga Melayu. Jadi, secara keseluruhannya kegiatan perniagaan boleh dikatakan banyak membantu orang Melayu dari segi memperbaiki taraf hidup yang lebih baik. Namun,peniaga Melayu perlu terus berusaha untuk terus maju dan dapat bersaing dengan bangsa lain.
Text
Sosio budaya Melayu
Perniagaan tani : Satu kajian kes di Pasar Sehari Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu
Abstrak
Pertanian bukanlah suatu perkara yang asing dalam lumrah kehidupan masyarakat Melayu. Aktiviti pertanian sentiasa sahaja berlaku, iaitu sejak dari zaman nenek moyang kita lagi dan berterusan sehingga sekarang. Apatah lagi jika ditinjau akan kehidupan masyarakat Melayu yang berada di kawasan pedalaman, rata-rata kebanyakan daripada mereka adalah terdiri daripada golongan tani.
Sumber ekonomi utama yang menjana pendapatan kepada mereka ialah penjualan hasil tani yang dihasilkan secara langsung dan ia tidak melibatkan golongan tengah yang sentiasa cuba mengambil kesempatan untuk memperoleh keuntungan hasil daripada titik peluh petani.
Dalam era globalisasi kini, pertanian dianggap sebagai satu perniagaan. Peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan, khususnya oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas tani, yang mewujudkan kesedaran bahawa “ pertanian adalah perniagaan” Menggambarkan komitmen tinggi kerajaan dalam memperkasakan pertanian baharu dan membudayakan pertanian sebagai perniagaan.
Kajian ini dilakukan oleh setelah mengamati sendiri situasi yang berlaku dalam kegiatan perniagaan yang dijalankan di Pasar Bandar Kuala Berang. Tumpuan terarah kepada golongan petani Melayu yang menjual sendiri hasil tani mereka secara terus kepada pengguna. Lokasi spesifik kajian ialah di Pasar Sehari Bandar Kuala Berang yang menjadi salah satu pusat aktiviti ekonomi utama orang Melayu, khasnya mereka yang menetap di kawasan pedalaman Hulu Terengganu.
Text
Sosio budaya Melayu
Persepsi mahasiswa Universiti Malaya mengenai cinta
Abstrak
Bab 1 merupakan pengenalan awal yang berkaitan dengan cinta remaja dan kesannya kepada remaja. Kemudian, diterangkan objektif kajian, permasalahan kajian, skop kajian, kawasan kajian, metodologi kajian yang meliputi kaedah kepustakaan dan kaedah lapangan. Beberapa sorotan kajian yang berkaitan dengan cinta di senaraikan. Kepentingan kajian turut diterangkan dan akhir kesimpulan bab.
Bab 2 adalah dengan latar belakang kajian. Konsep remaja dan cinta diterang dan dihuraikan secara mendalam mengikut pakar dalam bidang tertentu. Alat kajian yang meliputi 4 bahagian diterangkan sepintas lalu dan akhir sekali kesimpulan bab.
Bab 3 mengenai data mentah iaitu keputusan yang diperolehi berdasarkan borang soal selidik yang telah diedarkan kepada responden. Terdapat 4 bahagian utama iaitu Bahagian A: Latar belakang responden. Bahagian B: Sejarah perhubungan cinta. Bahagian C: Penilaian terhadap cinta dan Bahagian D:Persepsi responden mengenai cinta. Akhir sekali, kesimpulan bab.
Bab 4 pula mengenai analisis data. Data mentah mengenai penilaian responden terhadap cinta iaitu kepercayaan pada cinta dan peratusan kepercayaan terhadap cinta dan pasangan dikaitkan dengan pengalaman bercinta responden. Pengkaji juga menghuraikan persepsi responden mengenai cinta dengan mengaitkan dengan pengalaman bercinta responden, kepercayaan pada cinta dan peratusan terhadap cinta dan pasangan. Akhir sekali, kesimpulan bab.
Bab 5 adalah mengenai perbincangan. Pengkaji menghuraikan persepsi responden mengenai cinta yang dikaitkan dengan pengalaman bercinta, kepercayaan pada cinta cinta dan peratusan kepercayaan terhadap cinta dan pasangan. Akhir sekali, pengkaji membuat kesimpulan bab.
Bab 6 merumuskan semua dapatan kajian yang dibuat dalam keseluruhan bab cinta remaja.
Text
Sosio budaya Melayu
Persepsi terhadap amalan penjagaan kesihatan dalam kalangan wanita Melayu : Kajian kes di Felda Lok Heng Kota Tinggi, Johor
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai persepsi wanita terhadap amalan penjagaan kesihatan dalam kalangan wanita Melayu dan penjelasannya adalah meliputi kesedaran wanita itu sendiri terhadap penjagaan kesihatan, amalan pemakanan, senaman yang dilakukan serta penjagaan bagi wanita mengandung dan selepas bersalin. Tanggungjawab wanita sebagai suri rumah bukanlah satu tanggungjawab yang mudah kerana mereka bukan sahaja berperanan menjaga dan memelihara kesejahteraan diri mereka sendiri, tetapi juga ahli keluarga yang lain. Pelbagai aspek perlu diambil perhatian oleh golongan wanita terhadap keluarganya sehinggakan mereka kadang kala mempunyai masa terbatas untuk merehatkan diri mereka sendiri. Bagi wanita yang bekerja atau turut terlibat dalam aktiviti diluar lingkungan keluarga, mereka perlu seimbangkan antara tugas domestik dan publik agar tugas-tugas tersebut tidak menjadi beban yang boleh memberi kesan kepada kesihatan diri mereka sendiri. Pada akhir penulisan latihan ilmiah ini, pengkaji turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan terhadap kajian susulan yang berkaitan dengan kesihatan wanita. Isu berkaitan dengan penjagaan kesihatan perlu diambil perhatian bagi melahirkan masyarakat yang sihat dari segi jasmani dan rohani.
Text
Sosio budaya Melayu
Personaliti dan gaya hidup mak nyah : Satu kajian di Kuala Lumpur
Abstrak
Kewujudan golongan mak nyah dalam masyarakat bukanlah satu fenomena yang baru malah jumlahnya telah semakin meningkat. Kewujudan pelbagai istilah seperti “mak nyah”, “pondan”, “adik” dan “bapok” semuanya menjurus kepada golongan ini yang dilahirkan sebagai lelaki tetapi mempunyai kelakuan, perasaan, dan naluri sebagai wanita. Melihat dari sudut penampilan diri, mereka lebih cenderung ke arah kewanitaan seperti memakai beg tangan, aksesori dan pakaian wanita serta bersolek. Kajian ini dilakukan untuk mengetahui secara mendalam personaliti dan gaya hidup mak nyah. Kaedah temubual dan pemerhatian digunakan oleh pengkaji untuk mendapatkan maklumat berkenaan gaya hidup golongan mak nyah. Kajian ini dilakukan terhadap 10 orang responden di sekitar Kuala Lumpur kerana kotaraya ini memang terkenal dengan jumlah mak nyah yang lebih tinggi berbanding tempat-tempat lain di negara ini. Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati bahawa personaliti dan gaya hidup mak nyah sememangnya menjurus ke arah wanita meliputi pelbagai aspek seperti pembawaan diri dan gerak-geri,pergaulan dan komunikasi, penjagaan kecantikan, kesihatan, tubuh badan dan aktiviti sosial mereka. Selain itu, golongan ini juga sering mengadu bahawa mereka disisihkan oleh keluarga dan masyarakat. Dalam menempuh kehidupan sebagai mak nyah, didapati hanya sebilangan kecil sahaja responden yang benar-benar ingin menjadi wanita sepenuhnya sebaliknya lebih daripada separuh menyatakan bahawa mereka masih menyimpan hasrat untuk berubah. Oleh itu, satu usaha perlulah dijalankan untuk membantu golongan ini berubah dan kembali menjadi seperti lelaki normal yang lain.
Text
Sosio budaya Melayu
Perspektif bomoh terhadap konsep ‘alam ghaib’ dalam masyarakat Melayu suatu kajian kes di Kampung Bendang Kerian dan Kampung Berangan, Tumpat,
Abstrak
Kajian yang dilakukan oleh pengkaji untuk mendalami perkara berkaitan pemahaman seseorang bomoh dan pawang dalam masyarakat Melayu tradisional berkenaan konsep alam ghaib atau alam mistik. Meskipun dunia telah moden dan masyarakat memiliki tahap keintelektualan yang tinggi namun kebanyakan benda mistik masih belum mampu dirungkai secara berkesan secara logik akal dan ilmu saintifik meskipun telah banyak kajian telah dilakukan oleh penyelidik dan pakar daripada kajian ilmiah.
Kebanyakan masyarakat Melayu islam sama ada di bandar mahupun desa masih tetap berikhtiar menggunakan kaedah perubatan berkaitan bomoh untuk mengubati penyakit bersifat dalaman, jiwa, emosi dan lain-lain. Hal ini disebabkan ilmu perubatan moden hanya mampu mengubati dan merawat secara fizikal kepada anggota badan manusia apabila menerima rawatan oleh doktor. Alam ghaib sememangnya wujud kerana diciptanya oleh-Nya dan dinyatakan dalam kitab al-quran.
Institusi perbomohan terutama di alam Melayu sudah berdiri teguh dan sudah sebati dan mampu diterima sebagai norma kemasyarakatan menerusi perantara individu bergelar bomoh. Golongan ini merupakan individu yang sangat rapat dan berhubungan dengan alam ghaib secara terus mahupun tersembunyi. Tidak hairanlah mereka ini mendakwa mampu memasuki alam mistik dengan keizinan dan segala ilmu yang dimiliki oleh mereka.
Bagi meneruskan kesinambungan dan misteri alam ghaib yang belum diterokai sepenuhnya maka kajian berkaitan ilmu pengasih telah dilakukan oleh pengajian bagi mengenal pasti sejauh mana bomoh itu telah berinteraksi secara dua hala dengan kuasa alam ghaib berserta koordinasi kepercayaan tradisi dan adat resam untuk mensakralkan kekuasaan dan keampuhan sesuatu ritual dalam agama malah ilmu pengasih seperti susuk, minyak dagu, nasi kangkang dan lain dikatakan bertentangan dengan norma islam.
Menurut perspektif Antropologi Kebudayaan ianya menjadi suatu tabiat masyarakat untuk meminta makhluk halus mahupun roh selain daripada tuhan untuk mendapatkan bantuan, pertolongan apabila berlaku sebarang masalah yang ditanggung oleh individu kemudian bertukar kepada penerimaan oleh masyarakat
Text
Sosio budaya Melayu
Pertandingan belalang krek : Kajian kes di Kampung Kubang Teradeh, Pendang, Kedah
Abstrak
Pertandingan belalang krek merupakan satu bentuk pertandingan dalam masyarakat Melayu dan menjadi sukan rakyat yang diminati di beberapa tempat di Malaysia. Kenyaringan bunyi yang dihasilkan belalang krek membentuk minat hingga mencetuskan idea untuk menjadikannya satu bentuk pertandingan. Istilah ‘krek’ diambil daripada bunyi yang dihasilkan belalang tersebut. Penganjuran pertandingan belalang krek dalam masyarakat Melayu dilakukan di beberapa kawasan di negeri Kedah. Keunikan dan kemerduan bunyi belalang krek membolehkan ia dikomersialkan menjadi satu pertandingan.
Pertandingan belalang krek ini merupakan sukan rakyat yang membolehkan masyarakat Melayu memperkenalkan satu bentuk permainan tradisi kepada masyarakat umum. Kajian ini dilakukan untuk mengkaji dan mendokumentasikan pertandingan tersebut dalam masyarakat Melayu dengan menyentuh aspek-aspek tertentu yang terlibat dalam satu-satu pertandingan belalang krek. Antara aspek-aspek tersebut ialah diterangkan tentang belalang krek meliputi penangkapan dan penjagaan sebelum belalang itu dibawa masuk pertandingan, fungsi sosial pertandingan kepada masyarakat dan cadangan yang boleh dilakukan supaya pertandingan belalang krek dapat dipopularkan.
Text
Sosio budaya Melayu
Perubahan kebudayaan pada masyarakat Jawa di Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor
Abstrak
Setiap kaum atau bangsa mempunyai kebudayaan yang tersendiri tidak kira sama ada Melayu, Cina, India, Jawa dan sebagainya. Bagi masyarakat Jawa kebudayaan yang dipunyai dan dijalankan oleh mereka adalah berbeza dengan kaum-kaum yang lain terutama di Malaysia ini. Kebudayaan masyarakat Jawa di Malaysia adalah mempunyai hubungkait dengan kebudayaan masyarakat Jawa di Indonesia. Hal ini kerana masyarakat Jawa di Malaysia merupakan keturunan penghijrah yang telah datang ke Tanah Melayu pada suatu masa dahulu.
Kampung Bukit Bangkong ini merupakan salah satu perkampungan masyarakat jawa yang masih utuh sehingga ke hari ini. Majoriti penduduknya adalah terdiri daripada kaum Jawa. kampung ini merupakan salah satu perkampungan yang telah dibuka oleh penghijrah daripada pulau Jawa pada Zaman penjajahan British. Kebudayaan masyarakat Jawa masih lagi dijalankan hingga ke hari ini. Antara kebudayaan tersebut adalah dari segi makanan, kesenian, adat dan sebagainya.
Terdapat pelbagai jenis makanan jawa yang masih lagi terdapat di Kampung ini antaranya adalah nasi ambeng dan getok lompang. Selain itu dari segi kesenian ialah seni cempolingan dan dari segi adat sinoman. Namun, kesemua kebudayaan ini telah mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Terdapat perbezaan yang dapat dikenalpasti dalam kebudayaan masyarakat Jawa di kampung ini. Bagi meneliti perubahan kebudayaan masyarakat Jawa ini, kajian telah menggunakan pendekatan daripada pelbagai disiplin dan memberi tumpuan khusus kepada perubahan yang berlaku dari dahulu hingga sekarang.
Text
Perubahan pakaian tradisional melayu: kajian kes busana kebaya di Rumah Kebaya Bangsar, Kuala Lumpur
Abstrak
Kebaya merupakan pakaian tradisional yang terkenal dalam masyarakat Melayu Nusantara. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti perubahan kebaya tradisional dari aspek pemilihan fabrik. Potongan, pemilihan warna, penggunaan corak dan motif, fungsi dan kegunaan kebaya pada masa kini dan meneliti pandangan penggiat kebaya dalam usaha mengekalkan kebaya tradisional. Pendekatan yang telah dilakukan iaitu sesi temubual bersama pengasas butik Rumah Kebaya Bangsar iaitu Puan Nursyuhada Md. Isa. Secara keseluruhannya kebaya keluaran Syus Couture sememangnya berlaku perubahan dalam aspek pemilihan fabrik, potongan, pemilihan warna, penggunaan corak dan motif serta fungsi dan kegunaan pemakaian kebaya. Hal ini memperlihatkan bahawa kebaya adalah pakaian tradisional yang mempunyai nilai warisan dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Bahkan dengan sentuhan kontemporari pada kebaya moden, potongan “slimming effect” dan nilai praktikal yang terhasil dapat menarik minat golongan wanita pada hari ini untuk menggayakan kebaya untuk ke majlis formal atau tidak formal. Pakaian tradisional bukan sahaja pakaian yang melambangkan keunikan masyarakat Melayu malah ia menjadi satu cerminan masyarakat Melayu yang harus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda. Lantaran itu, Puan Nursyuhada Md. Isa, memainkan peranan yang penting dalam memelihara dan mengekalkan warisan kebaya untuk kemaslahatan jangka panjang terutamanya kepada pengetahuan generasi muda tentang dunia kebaya.
Text
Sosio budaya Melayu
Perubahan peranan wanita dalam masyarakat Melayu
Abstrak
Kajian ini merupakan satu kajian yang berkaitan dengan perubahan peranan wanita dalam masyarakat Melayu. Peranan wanita yang dahulunya terbatas sebagai seorang suri rumahtangga iaitu sebagai seorang ibu dan isteri tetapi kini dalam zaman yang serba moden dan mencabar ini, kaum wanita tidak hanya tinggal di rumah sahaja tetapi peranannya telah bertambah dan meluas. Secara keseluruhan kajian ini dibahagikan kepada lima bab. Kajian ini lebih menekankan kepada perubahan wanita dalam masyarakat Melayu yang dilihat dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Proses industrialisasi telah memberi kesan besar ke atas status dan peranan wanita dalam pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat. Tenaga kerja wanita diperlukan bagi memenuhi keperluan tenaga dalam pasaran dan mengurangkan pergantungan tenaga asing dalam Negara. Dengan pendidikan yang ada, kaum wanita telah mula turut menyumbangkan tenaganya dalam meningkatkan ekonomi. Kajian ini juga turut membuat kategori iaitu wanita bujang, wanita berkahwin dan lelaki bujang dan berkahwin tentang perubahan peranan wanita dalam masyarakat Melayu.
Text
Sosio budaya Melayu
Perubahan sistem kepercayaan masyarakat Brunei : Pantang larang
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai pantang larang merupakan salah satu adat Melayu yang selalu digunakan oleh masyarakat zaman dahulu sebagai sistem kawalan sosial dan perhubungan di antara masyarakat. Ia digunakan untuk mendidik dan menasihati anak-anak serta cucu-cicit mereka dalam urusan sehari-hari supaya tidak membuat kesalahan terutama yang boleh membawa padah kepada mereka. Di dalam kajian ini juga telah menyatakan beberapa faktor yang telah menyebabkan terhakis sedikit demi sedikit budaya Melayu yang sangat kaya yang menunjukkan identiti Melayu itu sendiri. Ia dapat dilihat dari masa kedatangan British ke Brunei dengan membawa pelbagai bentuk sistem perekonomian yang telah mengubah segala bentuk struktur pentadbiran Melayu yang telah lama diwarisi sejak zaman dahulu lagi.
Text
Perubahan sistem pengairan sawah padi : Satu kajian kes di negeri Kedah.
Abstrak
Latihan ilmiah ini akan membincangkan tentang perubahan sistem pengairan Kedah yang berlaku terhadap penanaman sawah padi di Negeri Kedah. Penyelidikan ini dilaksanakan pada semester ke lima. 2017 dengan menggunakan kaedah keperpustakaan bagi mencari data yang diperlukan dalam kajian ini. Kajian ini dijalankan diseluruh Kawasan Negeri Kedah. Secara ringkasnya kajian ini mempunyai tiga bahagian yang penting iaitu sejarah Kedah, perubahan sistem pengairan dan analisis pengkaji terhadap dapatan kajian tersebut.
Latihan ilmiah ini mengandungi gambaran umum tentang sejarah Kedah dan sistem pengairan sawah padi yang terdapat di Kedah. Kajian ini juga mengandungi kajian mengenai perubahan yang berlaku di dalam sistem pengairan sawah padi yang dari tradisional ke moden. Perubahan dalam sistem pengairan sawah padi ini adalah disebabkan berlakunya perubahan penanaman padi huma kepada padi sawah yang memerlukan air yang lebih berbanding padi huma. Pengkaji memulakan kajian dengan mengkaji sejarah asal usul sawah padi di Kedah.
Text
Sosio budaya Melayu
Perubahan sosio-ekonomi masyarakat Melayu : Satu kajian kes di penempatan sementara mangsa tsunami, Kota Kuala Muda, Kedah Darul Aman
Abstrak
Pada 24 Disember 2004, telah berlaku satu bencana alam yang sangat dahsyat dan merupakan satu sejarah hitam yang tidak dapat dilupakan oleh masyarakat dunia dalam zaman yang moden ini. Dengan sekali letupan gunung berapi di dasar Lautan Hindi sahaja, telah mampu menghasilkan satu ombak yang besar, kuat, laju, dan deras menuju ke dataran. Ombak besar yang dinamakan ‘tsunami’ ini telah memusnahkan bukan setakat pelbagai jenis harta benda dan tempat kediaman sahaja, malahan turut mengorbankan ratusan nyawa manusia dalam masa yang singkat. Kerugian yang dialami mencecah berbilion dolar Amerika Syarikat. Ombak tsunami ini telah mendarat di pelbagai tempat sehingga menjejaskan struktur permukaan bumi dan turut mengubah peta geografi dunia.
Salah satu tempat yang menjadi sasaran ombak tsunami ini ialah kawasan di Kota Kuala Muda, Kedah Darul aman. Ombak tsunami yang merentasi Pantai Kuala Muda ini telah menjejaskan keadaan sosio-ekonomi masyarakat di kampung-kampung yang berhampiran dengan laut tersebut. Masyarakat di situ mengalami kemusnahan yang sangat teruk dan terjejas dari segi penempatannya. Justeru, mereka telah ditempatkan di suatu penempatan sementara yang dibina jauh daripada persisiran pantai, iaitu di kampung Permatang katong, Kota Kuala Muda, Kedah Darul Aman. Penempatan ini dinamakan sebagai Penempatan Sementara Mangsa Tsunami atau Rumah Transit Mangsa Tsunami (RTMT).
Pengkaji telah memilih kawasan penempatan sementara itu untuk menjalankan suatu penyelidikan sosio-budaya terhadap penduduknya. Kajian yang dilaksanakan ini memberi tumpuan kepada perubahan beberapa aspek sosial yang dialami masyarakat itu selepas bencana tsunami ini. Untuk menjelaskan perubahan tersebut, pengkaji membuat sedikit perbandingan antara keadaan sebelum bencana tsunami dan selepasnya. Pengkaji turut meneliti perubahan ekonomi yang dialami penduduk kawasan kajian dengan mengambil kira aktiviti ekonomi yang mereka jalankan. Langkah-langkah yang diambil oleh pihak yang terlibat dalam memulihkan kedudukan ekonomi masyarakat ini juga turut terangkum dalam pemerhatian pengkaji.
Hasil daripada kajian ini, pengkaji telah mendapat gambaran tentang masalah-masalah yang dihadapi masyarakat di penempatan sementara ini. Masalah-masalah tersebut adalah berkaitan dengan soal kepimpinan, kedudukan ekonomi, dan usaha untuk mendapatkan sumbangan dan bantuan.
Text
Sosio budaya Melayu
Perubatan herba dan bomoh akar kayu : Kajian kes di Kampung Kubur Panjang, Pendang, Kedah
Abstrak
Kajian yang akan dilakukan oleh pengkaji ini adalah mengenai perubatan tradisional Melayu. Namun pengkaji telah mengecilkan skop kajian kepada tumbuhan herba dan bomoh akar kayu. Kajian kes dilakukan di Kampung Kubur Panjang, Pendang , Kedah Darul Aman. Melalui kajian ini pengkaji akan cuba untuk mendapatkan maklumat tentang pandangan masyarakat yang tinggal di Kampung Kubur Panjang mengenai tumbuhan herba dan bomoh akar kayu.
Disamping itu, dalam kajian ini juga pengkaji cuba menghuraikan serba sedikit mengenai bomoh akar kayu yang tinggal kawasan kajian. Hal ini untuk membolehkan pengkaji memahami dengan lebih mendalam mengenai falsafah, kaedah perubatan, dan juga masa depan akar kayu. Selain itu pengkaji menghuraikan serba sedikit mengenai khasiat tumbuhan herba yang sering digunakan dalam kehidupan masyarakat tempatan dan penyakit yang boleh disembuhkan dengan tumbuhan tersebut.
Justeru, pengkaji mengharapkan melalui penulisan dalam latihan ilmiah ini, dapatlah memberi sedikit ilmu pengetahuan mengenai tumbuhan herba dan bomoh akar kayu. Walau ada segelintir kajian lepas yang membicarakan mengenai perubatan tradisional ini tetap kebanyakan daripadanya lebih cenderung berbicara mengenai rawatan wanita selepas bersalin dan urutan dalam masyarakat Melayu. Namun melalui kajian ini, pengkaji cuba mengkaji daripada perspektif masyarakat di kawasan kajian mengenai perubatan tradisional iaitu mengenai tumbuhan herba dan bomoh akar kayu.
Text
Perubatan tradisional : Satu kajian kes terhadap penggunaan khidmat bomoh di kalangan golongan berpendidikan tinggi di Kelantan
Abstrak
Latihan ilmiah ini mengandungi enam bab. Dalam bab yang pertama iaitu bab pengenalan terkandung objektif kajian iaitu melihat penggunaan khidmat bomoh di kalangan golongan berpendidikan di Kelantan. Juga dimasukkan permasalahan kajian skop kajian, metodologi kajian iaitu pengkaji menggunakan beberapa kaedah kajian dalam mengumpulkan maklumat bagi mencapai objektif kajian. Dalam bab satu juga terkandung takrif dan konsep-konsep yang berkaitan dengan kajian serta dimuatkan kajian-kajian lepas.
Bab dua pula mengandungi latar belakang kajian yang menjuruskan kepada asal usul perubatan tradisional Melayu, unsur-unsur yang mempengaruhi perubatan tradisional ini iaitu pengaruh animisme, Hindu-Buddha dan Islam. Dalam bab ini juga disenaraikan jenis-jenis bomoh yang ada dalam bidang perbomohan ini, pendidikan di kalangan bomoh serta cara mendapatkan ilmu perbomohan iaitu dibahagikan kepada empat cara, yang pertama melalui pewarisan, kedua menuntut, ketiga melalui mimpi/ilham dan yang keempat melalui objek-objek tertentu. Dalam bab ini juga turut diselitkan tentang teknik-teknik pengubatan yang biasa digunakan dalam perbomohan, amalan-amalan yang dibenarkan dan dilarang dalam perbomohan ini.
Manakala dalam bab ketiga terkandung profil empat orang bomoh di Kelantan yang telah ditemubual oleh pengkaji. Seterusnya bab keempat merupakan bab analisis soal selidik berdasarkan borang soal selidik yang menyenaraikan soalan-soalan yang menjurus kepada objektif kajian yang telah ditandakan oleh 40 orang responden yang telah dianalisis dan diterjemahkan dalam bentuk jadual dan graf. Bab kelima merupakan bab perbincangan yang telah dibuat berdasarkan kepada jawapan responden melalui soal selidik yang telah diedarkan. Bab terakhir adalah merupakan rumusan dan kesimpulan secara menyeluruh berdasarkan keseluruhan kajian ini.
Dalam kajian ini pengkaji memasukkan ilmu tentang perubatan tradisional Melayu yang menjuruskan kepada perbomohan. Kajian ini adalah khusus bagi melihat penggunaan khidmat bomoh di kalangan golongan yang berpendidikan tinggi di Kelantan. Pengkaji telah menggunakan kaedah-kaedah yang difikirkan sesuai bagi mendapat maklumat yang menjuruskan kepada objektif kajian. Hasil maklumat yang diperolehi telah dianalisis dan diterjemahkan dalam bentuk yang mudah difahami oleh pembaca. Perbincangan juga telah dibuat bagi mengukuhkan dan menyokong objektif yang dibuat berdasarkan jawapan daripada borang soal selidik. Daripada borang soal selidik inilah pengkaji menganalisis maklumat dan membuat perbincangan bagi mendapatkan jawapan kepada objektif yang telah dibuat.
Secara keseluruhan, pengkaji telah mendapat maklumat sewajarnya berkaitan dengan bidang kajian membuktikan objektif yang telah dibuat. Namun, penyelidikan lebih mendalam boleh dilakukan dalam memperlihatkan signifikan kajian ini dengan masyarakat kini.
Text
Sosio budaya Melayu
Perusahaan tembikar di Sayong, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai perusahaan tembikar di Sayong, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Dalam kajian ini dinyatakan perusahaan tembikar secara umum di Malaysia, dengan fokus kepada perusahaan tembikar di Sayong. Maklumat berkenaan latar belakang pengusaha dan perusahaannya turut dimuatkan. Seterusnya dibincangkan perubahan dan perkembangan yang berlaku dalam perusahaan tembikar ini, dengan penekanan kepada aspek pembuatan, alat dan bahan, serta teknologi terkini yang digunakan. Akhir sekali dinyatakan sedikit sebanyak perancangan bagi memajukan lagi industri tersebut.
Text
Perusahan tanaman Rumbia: Satu kajian kes di kampung Menunggang, Kuala Penyu, Sabah
Abstrak
Sesungguhnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan tumbuhan semula jadi yang tinggi nilainya. Terletak di kawasan khatulistiwa, tanah di Malaysia sesuai ditanam dengan pelbagai jenis tanaman kontan. Tanahnya yang subur sangat sesuai dengan tumbuhan seperti koko, getah, kelapa sawit, kelapa disamping buah-buahan tempatan yang pelbagai. Disebabkan perkara ini, rakyat di negara kita memperolehi rezeki yang melimpah ruah yang dapat dinikmati bersama.
Perusahan berasal dari kata dasar “usaha’ yang bermaksud daya upaya (ikhtiar, kegiatan,perbuatan,dll) untuk mencapai sesuatu (kamus dewan, edisi ketiga). Manakala, perusahaan pula bermaksud sebagai pekerjaan secara besar-besaran untuk membuat (menghasilkan,mengeluarkan) barang-barang. Definisi yang diungkapkan ini sebenarnya ada kaitan dengan kajian yang dilakukan oleh pengkaji.
Kajian yang dihasilkan ini adalah mengenai aktiviti perusahaan tanaman sagu yang dijalankan di kampung kelahiran pengkaji. Tujuan utama kajian ini dilaksanakan adalah untuk menerangkan mengenai kegiatan perusahaan sagu secara terperinci. Ia merangkumi beberapa aspek seperti latar belakang perusahaan, amalan kultura, kaedah memproses, produk kegunaan, masalah yang dihadapi dan akhir sekali adalah analisis kewangan.
Walaupun terdapat kajian lain yang berkaitan dengan tanaman sagu, tetapi pengkaji yakin bahawa belum terdapat mana-mana kajian yang menjurus pada Perusahaan Tanaman Sagu di Kg. Menunggang. Jadi, disebabkan itulah, pengkaji rasa perlu untuk melaksanakan satu kajian mengenainya agar masyarakat dapat mengetahui serta beroleh sedikit sebanyak pengetahuan dari kajian ini.
Tidak dinafikan lagi bahawa setiap tempat berbeza dari segi budaya dan cara kehidupan sehari-hari.
Walaupun kajian mengenai tanaman rumbia ini ada dilakukan oleh orang lain, tetapi pengkaji yakin bahawa terdapat pelbagai tempat tetapi latar belakang dan cara pengurusannya adalah berbeza. Jadi, disebabkan itulah pengkaji cuba menerangkan mengenai perusahaan tanaman ini di kampung pengkaji yang mungkin mempunyai perbezaan dengan tempat-tempat yang lain.
Text
Sosio budaya Melayu
Pesta kaul masyarakat Melanau di Mukah, Sarawak : kajian perbandingan pesta kaul dulu dan kini
Abstrak
Kajian ini ialah berkaitan dengan kebudayaan tradisi masyarakat Melanau yang terdapat di Mukah, Sarawak. Sungguhpun begitu, tumpuan pengkaji bukanlah kajian kebudayaan yang dilakukan secara menyeluruh berkenaan dengan kebudayaan-kebudayaan yang terdapat dalam masyarakat Melanau kerana matlamat kajian pengkaji hanyalah berfokus kepada pesta kaul sahaja, kajian ini pengkaji lakukan di Mukah, Sarawak. Disebabkan terdapat kekangan-kekangan tertentu, pengkaji hanya sempat pergi kedua buah kampung sahaja di bahagian Mukah, iaitu kampung Tutus Hilir dan kampung Medong Dalat. Sungguhpun begitu kajian pengkaji meliputi pesta kaul yang diadakan oleh keseluruhan kaum Melanau di Mukah.
Di dalam bab dua, pengkaji telah menerangkan tentang kawasan kajian pengkaji bermula daripada sejarah negeri Sarawak itu sendiri. Pengkaji juga menjelaskan berkenaan dengan sejarah Mukah, iaitu tempat yang didiami oleh majoriti masyarakat Melanau. Pengkaji juga menyentuh perihal asai-usul Melanau dan pengenalan umum tentang bahasa Melanau.
Dalam bab tiga, pengkaji mengupas berkenaan dengan pesta kaul masyarakat Melanau di Mukah pada zaman dahulu yang merangkumi beberapa aspek penting. Antaranya, sejarah pesta kaul, tujuan pesta kaul itu diadakan, masyarakat yang terlibat dalam pesta kaul, persediaan sebelum dan semasa pesta kaul, pantang larang pesta kaul dan aktiviti sampingan yang dijalankan semasa pesta kaul.
Dalam bab 4, pengkaji menerangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan pesta kaul masyarakat Melanau di Mukah pada zaman sekarang. Sama seperti bab sebelumnya, dalam bab 4 juga menekankan aspek yang sama supaya tidak mengelirukan para pembaca.
Seterusnya dalam bab ke 5, pengkaji membincangkan perubahan yang berlaku antara pesta kaul masyarakat Melanau di Mukah pada zaman dahulu dengan zaman sekarang berdasarkan aspek yang telah dibahaskan dalam bab 3 dan bab 4. Aspek yang sama dibahaskan bagi pengkaji lebih mempelihatkan perubahan yang berlaku dalam kedua-dua zaman tersebut.
Dalam bab yang terakhir penulis ilmiah ini, iaitu bab 6, pengkaji menyentuh tentang kesimpulan berdasarkan keseluruhan hasil dapatan yang diperoleh pengkaji. Kesimpulan ini sebagai merumuskan keseluruhan bab-bab yang telah diterangkan oleh pengkaji sebelumnya.
Text
Produk pelancongan di sekitar zon bandar Kuala Terengganu
keistimewaan dan sumbangan
Abstrak
Kajian ini dihasilkan adalah bertujuan untuk memperkenalkan keistimewaan beberapa lokasi dan produk pelancongan yang terdapat di sekitar zon bandar Kuala Terengganu. Kajian ini adalah di dasari dengan objektif untuk melihat sumbangan produk pelancongan di negeri Terengganu iaitu dengan menfokuskan kepada lokasi yang terpilih iaitu sekitar zon bandar Kuala Terengganu ini, kepada industri pelancongan dan masyarakat secara umumnya. Aspek-aspek keistimewaan ini dibahagikan kepada beberapa bahagian tertentu yang boleh dilihat sebagaimana yang di bawah:
Pada Bab Satu pengkaji akan menerangkan berkenaan pernyataan kajian hal ini adalah merangkumi latar belakang kajian, objektif kajian, masalah kajian, kaedah kajian, kepentingan kajian dan sebagainya.
Pada Bab Dua pula pengkaji akan menerangkan pula berkenaan sejarah dan sosio-budaya negeri Terengganu Darul Iman. Hal ini adalah merangkumi sejarah, pentadbiran, geografi, penduduk, bahasa, geografi dan sebagainya.
Pada Bab Tiga iaitu pengkaji akan menerangkan tentang industri pelancongan di negeri Terengganu. Di sini, pengkaji akan menyentuh berkenaan pelancongan termasuklah definisi pelancongan, berkenaan misi, objektif dan dasar pelancongan negeri Terengganu dan sebagainya.
Pada Bab Empat pula pengkaji akan menerangkan kelebihan bandar Kuala Terengganu dan produk pelanconganya. Ia adalah merangkumi bentuk-bentuk produk di kawasan kajian dan keistimewaanya berdasarkan pembahagian-pembahagian yang tertentu sama ada dari sudut sejarah, seni bina, kerja-kraftangan, lokasi menarik dan lain-lain keistimewaanya.
Pada Bab Lima pula, pengkaji akan bincangkan berkenaan prasarana pelancongan yang terdapat di kawasan kajian. Dalam bab ini pengkaji akan membincangkan berkenaan prasarana pelancongan misalnya, perkhidmatan dan pengangkutan juga membincangkan agensi-agensi yang berkepentingan yang turut membantu dalam perkembangan industri pelancongan di negeri Terengganu khususnya, di bandar Kuala Terengganu.
Pada Bab Enam pula pengkaji akan menyentuh berkenaan sumbangan produk pelancongan yang terpilih ini kepada industri pelancongan tempatan dan juga penduduk di negeri Terengganu khususnya, penduduk di bandar Kuala Terengganu ini secara umum.
Pada Bab Tujuh iaitu bab penutup, pengkaji akan merumuskan segala aspek perbincangan yang telah dibuat pada bab-bab yang sebelumnya.
Text
Kesenian Melayu
Proses pembuatan perabot rotan di Institusi Kraf Negara, Rawang, Selangor
Abstrak
Kajian ini merangkumi isu dan permasalahan yang dihadapi oleh industri kraftangan rotan disebabkan oleh harga rotan yang mahal. Harga rotan meningkat disebabkan oleh permintaan yang tinggi dari pembeli kerana kurangnya bekalan rotan yang berkualiti seperti rotan Manau dan Sega. Selain itu terdapat permasalahan di mana generasi muda kurang berminat mempelopori bidang seni kraftangan anyaman. Hal ini menyebabkan seni kraftangan anyaman rotan sukar untuk menghasilkan produk yang berinovasi kerana lazimnya seni kraftangan anyaman ini banyak diceburi oleh golongan yang sudah berusia. kajian ini akan memperlihatkan teknik-teknik anyaman rotan yang digunakan dalam penghasilan perabot. Selain itu juga, kajian ini akan membuktikan produk anyaman rotan yang dihasilkan melalui idea generasi muda lebih berinnovasi. Kajian ini juga akan memperlihatkan proses pembuatan perabot rotan berasaskan idea kumbang “Ladybird” yang dibuat oleh seorang pelajar diploma Jurusan Seni Kraf Rotan yang bernama Ellysah Jemmilie di Institut Kraf Negara yang diambil dari alam semula jadi iaitu kumbang “Ladybird” kemudian diolah menjadi pelbagai reka bentuk perabot yang menarik.
Text
Kesenian Melayu
Proses pembuatan ukiran kayu tebuk tembus di Pusat Inkubator Kraf Temerloh, Pahang
Abstrak
Ukiran kayu merupakan seni pertukangan tangan yang menjadi tradisi turun temurun sejak dahulu lagi dan menjadi kebanggaan orang Melayu kerana keunikannya yang tersendiri. Seni yang tergolong dalam seni rupa ini memerlukan kemahiran kemahiran yang tinggi bermula dari proses pemilihan kayu, pemilihan motif sehingga lah terhasilnya sesuatu produk dengan mengambil berat tentang falsafah dan pemikiran orang Melayu. Namun begitu, teknik penghasilan yang betul mampu mempengaruhi kualiti atau mutu sesebuah karya. Terdapat pelbagai teknik bagi menghasilkan sesebuah karya antaranya ialah teknik ukiran kayu tebuk tembus. Teknik yang baik akan mempengaruhi hasil karya yang dilakukan. Oleh yang demikian, penelitian yang tinggi perlu diberikan sepanjang proses penghasilan produk dijalankan. Kajian ini diharap dapat membantu dalam menjawab kekeliruan mengenai ukiran kayu tembus serta dapat membantu dalam memartabatkan seni ukiran Melayu
Text
Sosio budaya Melayu
Proses penyesuaian pelajar : Satu kajian kes di Korea Selatan
Abstrak
Penghijrahan masyarakat dari satu tempat ke tempat yang lain merupakan satu proses pergerakan manusia yang bukan sekadar membawa fahaman dan pemikiran sendiri, malah budaya, adat dan nilai yang akan diamalkan ke mana-mana mereka berada. Kebudayaan yang mereka dibawa ini merupakan ciri-ciri khas yang telah lama diamalkan secara generasi ke generasi, dan terdapat pelbagai kebudayaan-kebudayaan yang berbeza di seluruh dunia ini. Pertembungan dan kebudayaan yang disebabkan faktor-faktor tertentu seperti penghijrahan akan mewujudkan satu konflik budaya dan nilai yang disebabkan persaingan antara dua pihak ini untuk terus mengekalkan amalan kebudayaan mereka.
Dalam era globalisasi ini, proses migrasi menjadi semakin rancak atas kemajuan teknologi pengangkutan, dan atas faktor itu, fenomena pertembungan budaya menjadi semakin kerap dan kesan yang wujud daripadanya, mula menjadi satu topik untuk di bincangkan. Orang Melayu tidak terkecuali dalam terkena fenomena pertembungan budaya ini apabila ramai orang Melayu mula berhijrah negara-negara lain atas faktor pendidikan, perniagaan, pelancongan, ataupun menetap kekal. Salah sebuah negara yang menjadi tempat penghijrahan ini adalah Korea Selatan. Jumlah orang Melayu yang paling ramai ditunjukkan dalam statistik merupakan pelajar-pelajar yang menuntut di universiti-universiti dalam pelbagai bidang dan tahap. Pertambahan pelajar Melayu ke Korea Selatan dimangkinkan lagi oleh dasar-dasar antara kedua-kedua belah kerajaan yang menjalinkan kerjasama diplomatik dan pendidikan.
Perbezaan kebudayaan antara orang Melayu dan orang Korea menjadi satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh kerana ia mampu mewujudkan masalah dan konflik. Konflik ini wujud apabila orang Melayu cuba menggunakan sistem kebudayaan mereka yang tidak bersesuaian dengan sistem kebudayaan Korea yang banyak perbezaan antara mereka.
Masalah dan cabaran akan wujud akibat perbezaan sistem kebudayaan ini. Oleh itu, pelajar-pelajar Melayu ini harus menyesuaikan diri dengan kebudayaan tempatan demi kelangsungan hidup dan pembelajaran mereka di Korea Selatan.
Text
Kesenian Melayu
Pua Kumbu : Kajian estetika motif dan corak
Abstrak
Kajian ilmiah ini telah meneliti mengenai tekstil tenunan kain pua kumbu yang ditenun oleh masyarakat Iban di Sarawak. Kajian dalam kajian ini akan dibincangkan mengenai sejarah, teknik, bahan dan peralatan yang digunakan dalam pembuatan tenunan kain pua kumbu. Seterusnya akan dibincangkan juga tentang estetika dan corak yang menjadi ragam hias kepada kain tenunan ini. Terdapat dua cara yang dilakukan dalam menjalankan kajian ini iaitu melalui kajian kepustakaan dan kajian kes. Kedua-dua kaedah ini adalah untuk mendapat maklumat mengenai motif dan corak kain pua kumbu. Dapatan kajian ini telah berjaya dengan dilakukan dengan mendapatkan maklumat melalui pelbagai media dan responden.
Text
Sosio budaya Melayu
Radio Televisyen Malaysia (RTM) Angkasapuri, Kuala Lumpur : Komunikasi dua hala dalam institusi kekeluargaan pada masa kini. Kajian ke atas program siaran televisyen
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang aspek komunikasi dua hala di antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) ,dengan institusi kekeluargaan. Hubungan ini dilihat melalui keberkesanan program-program siaran RTM terhadap institusi keluarga yang terdapat di dalam masyarakat. Kajian menggunakan kaedah kepustakaan dan kajian lapangan. Kajian lapangan yang dijalankan termasuklah soal selidik, turut serta/participant-observation, pemerhatian, temubual dan teknik analisis data.
Responden-responden yang terlibat dalam kaji selidik adalah anggota keluarga termasuklah bapa,ibu,anak-anak remaja (13-21) dan anak kanak-kanak (7-12) yang melibatkan empat kawasan kajian iaitu di Pantai Dalam, Bangsar, Taman Melawati dan Keramat. Hasil kajian penyelidik mendapat berbagai-bagai maklum balas daripada anggota keluarga yang terlibat dalam kaji selidik. Wajarlah, maklum balasnya diterima kemudian digunapakai oleh masyarakat untuk mengetahui perkembangan program RTM sekaligus komunikasi dua hala dapat dicapai dalam kajian penyelidik.
Text
sastera Melayu
Retorik dalam penulisan kewartawanan Melayu : Kajian kes akhbar Berita Harian di Singapura
Abstrak
Kebanyakan kajian yang dilakukan terhadap korpus akhbar seringkali berfokus kepada isu-isu yang diketengahkan oleh pihak akhbar bagi menarik golongan pembaca. Tidak banyak kajian yang dilakukan bagi meneliti gaya bahasa dalam akhbar yang merupakan wahana utama dalam penyampaian maklumat. Justeru itu, kajian ini bertujuan memenuhi ruang kosong tersebut dengan tumpuan khusus diberikan kepada bidang retorik yang menitikberatkan penggunaan bahasa yang berkesan. Kajian ini yang menggunakan akhbar Berita Harian di Singapura sebagai bahan kajian akan meneliti tiga komponen penting dalam retorik iaitu kata, ayat, dan wacana. Setiap komponen ini akan dikaji dari aspek kekerapan jenis kata, jenis ayat dan dalam aras wacana, jenis pendulu berita yang digunakan sehingga maklumat yang disampaikan dapat difahami oleh pihak pembaca. Dengan adanya kajian ini, sumbangan akhbar bukan sahaja dilihat dari segi pengetahuan yang ingin disampaikan, tetapi juga sebagai pengembang bahasa Melayu yang mampu mengungkapkan ilmu dalam pelbagai bidang.
Text
Sosio budaya Melayu
Ritual halau roh(Monunsub) tradisi masyarakat Kadazandusun Suku Kimaragang : Kajian kes di Kampung liabas, Kota Marudu, Sabah
Abstrak
Masyarakat kadazandusun Sabah sememangnya memiliki pelbagai jenis ritual tradisi yang unik yang mampu menjadi lambang identiti mereka. Ritual-ritual ini telah diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang mereka, namun kelangsungannya pada hari ini agak mengecewakan, kemodenan yang semakin rancak dikecapi manusia menyebabkan ritual tradisi semakin dilupakan, segala apa yang bertentangan dengan kemodenan dianggap sebagai kolot dan ketinggalan zaman.
Realitinya, kebanyakan ritual-ritual tradisi yang terdapat dalam masyarakat kadazandusun yang mana dahulunya menjadi satu kemestian, kini diamal hanya segelintir daripada mereka pada hari ini. Hal ini sebenarnya yang berlaku dalam kalangan anak-anak muda suku Kimaragang iaitu salah satu suku yang terdapat dalam kumpulan kadazandusun tersebut. Generasi mudanya kini tidak lagi berminat terhadap ritual tradisi nenek moyang mereka, malah ianya tidak lagi dipraktikan dalam hidup mereka seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang suatu ketika dahulu.
Pada suatu ketika dahulu ritual Monunsub ini menjadi suatu kemestian setiap kali berlaku kematian dalam sesebuah keluarga suku Kimaragang ini. Namun beginilah nasib ritual tradisi, bilangan suku Kimaragang yang mengamalkannya pada hari ini amatlah terhad iaitu hanya diamalkan oleh yang masih lagi berpegang kuat kepada kepercayaan tradisi. Sesungguhnya suku ini tidak menyedari bahawa ritual tradisi mereka adalah suatu permata yang sangat berharga dan kaya dengan keunikannya.
Oleh itu, kajian ini adalah penelitian terhadap ritual Monunsub yang diamalkan oleh suku Kimaragang Kota Marudu, Sabah. Ritual Monunsub lahir atas dasar usaha suku Kimaragang ini untuk memahami setiap ahli mereka iaitu mengira sama ada ahlinya yang masih hidup mahupun yang telah mati. Oleh itu, dalam konteks ritual Monunsub, ianya termenifestasi daripada konsep memahami mereka pegang tersebut dan dilakukan khas bagi ahlinya yang telah mati.
Selain itu, kajian ini juga merupakan usaha pengkaji untuk menerokai segala aspek yang mewarnai keunikan ritual Monunsub dan bagi mendokumentasikan tradisi warisan nenek moyang kita yang sangat berharga tersebut agar tidak hanyut ditelan kemajuan zaman dan seterusnya generasi yang akan datang mendapat pengetahuan tentangnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Ritual tolak bala : Satu tinjauan terhadap masyarakat Kadayan di Kampung Pangi, Lawas, Sarawak
Abstrak
Kajian ini merupakan sebuah penyelidikan ilmiah mengenai sebuah upacara kebudayaan yang dilakukan oleh masyarakat Kadayan di kepulauan Borneo. Upacara yang dimaksudkan ini, ialah upacara tolak bala yang dipercayai pengkaji merupakan sebuah upacara yang dijalankan mengikut situasi sekeliling masyarakat berkenaan. Petanda buruk daripada kejadian alam yang berlaku di sekeliling mereka, maka upacara ini perlu dijalankan untuk mengelak daripada bencana alam tersebut dan sebagainya. Dalam kajian ini akan menyentuh secara holistik mengenai masyarakat Kadayan dan upacara tolak bala itu sendiri serta dikaitkan dengan ketentuan Allah swt.
Text
Sosio budaya Melayu
Rumah Limas di Muar, Johor
Abstrak
Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum. Kaum majoriti di Malaysia ialah kaum Melayu. Kaum Melayu telah bertamadun dan mempunyai nilai budaya yang tinggi. Salah satu unsur penting yang dapat menggambarkan budaya Melayu ialah rumah tradisional Melayu. Rumah tradisional Melayu yang terkenal di negeri Johor, khususnya di daerah Muar ialah rumah limas.
Kemunculan rumah Melayu bentuk limas di Malaysia dapat menambahkan satu lagi bentuk rumah Melayu. Rumah Melayu bentuk limas ini menggunakan lima buah perabung dalam struktur binaannya, iaitu satu perabung mendatar dan empat buah perabung menurun ke cucuran atap. Rumah limas ini mempunyai pelbagai jenis seperti rumah bumbung panjang.
Rumah tradisional Melayu pada hari ini telah mengalami banyak perubahan, iaitu daripada bentuk asli kepada bentuk moden disebabkan pengaruh barat yang kuat melanda negara kita. Pengaruh itu turut mempengaruhi pemikiran orang melayu. Selain itu, bahan binaan daripada alam semula jadi. Kemudahan ini telah menarik minat orang Melayu membina rumah berdasarkan konsep moden.
Ramai orang Melayu telah menukarkan reka bentuk rumah tradisional kepada moden, khususnya rumah limas yang terdapat di kampung-kampung Muar. Mereka lebih suka dan selesa dengan bentuk rumah moden. Ini kerana bahan binaannya dikatakan lebih kukuh dan tahan lama serta kelihatan lebih cantik berbanding dengan rumah tradisional melayu.
Kajian ini memberi fokus kepada rumah limas yang terkenal di negeri Johor, khususnya di daerah Muar. Rumah limas terdiri daripada pelbagai jenis. Terlebih dahulu, pengkaji telah membincangkan konsep rumah tradisional Melayu dan rumah Melayu bentuk moden serta struktur binaan rumah tersebut. Selain membincangkan struktur utama rumah limas, pengkaji juga membincangkan perubahan yang berlaku pada rumah limas. Perubahan ini dibincangkan dari segi ruang dan bahan binaannya.
Text
Sosio budaya Melayu
Saka dalam masyarakat Melayu kerinci : Harimau jadian
Nadia Ezzareda Nasheeqha binti Noor Azmi
Abstrak
Kajian latihan ilmiah yang bertajuk “Saka dalam masyarakat Melayu Kerinci: Harimau jadian” ini adalah bertujuan untuk mendedahkan mengenai kewujudan saka yang menjadi kepercayaan sesetengah masyarakat Melayu terutamanya masyarakat Melayu Kerinci. Saka sering dilihat oleh masyarakat Melayu sebagai jin yang dipelihara dari zaman nenek moyang yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu kepada kepada seorang individu, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Selain itu, di dalam kajian ini juga akan turut menyentuh sedikit mengenai konsep saka dan juga jenis-jenis saka yang menjadi kepercayaan masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, kajian ini masih lagi menekankan mengenai saka harimau jadian dalam masyarakat Melayu Kerinci dan fungsinya terhadap masyarakat berkenaan. Melalui hasil kajian ini mendapati bahawa masih lagi terdapat masyarakat Melayu Kerinci yang masih lagi mempercayai serta memiliki saka harimau jadian ini. Justeru, kaedah kerja lapangan telah digunakan bagi mendapatkan maklumat yang dikehendaki. Melalui kaedah ini, beberapa orang informan telah ditemubual bagi mendapatkan maklumat ini. Selain itu, kajian kepustakaan juga turut digunakan sebagai bahan sokongan untuk kajian ini.
Text
Sastera rakyat kaum Bidayuh etnik Dayak Bukar-Sadong
Abstrak
Pengertian paling mudah yang dapat difahami tentang sastera rakyat ialah hasil sastera milik sesuatu kumpulan masyarakat yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi lain secara lisan. Sastera rakyat dikenali juga sebagai sastera lisan, dan sifat lisannya itu yang menentukan bahawa sastera itu sastera lisan.
Setiap masyarakat atau bangsa mempunyai sastera rakyat yang tersendiri. Sastera rakyat sesuatu bangsa atau etnik merupakan satu khazanah yang tidak ternilai. Sastera rakyat setiap bangsa tidak boleh dipersoalkan atau dipertikaikan kerana setiap bangsa berhak untuk mempertahankan serta mengekalkannya daripada hilang ditelan zaman.
Dalam bahagian ini akan diterangkan serba sedikit tentang isi kandungan Latihan Ilmiah ini. Dalam bab 1 ialah bahagian pengenalan yang terdiri daripada definisi sastera rakyat, ciri-ciri sastera rakyat, latar belakang kajian, bahan kajian, kaedah kajian, tujuan kajian, dan pendekatan dan hipotesis kajian.
Dalam bab 2 pula, pengkaji menerangkan tentang sastera rakyat kaum Bidayuh etnik Dayak Bukar-Sadong, asal-usul Dayak Bukar-Sadong dan cerita -cerita rakyat dalam bahasa bidayuh dan terjemahannya dalam bahasa melayu.
Manakala dalam bab 3 pula, merupakan analisis bahan kajian iaitu dengan menggunakan pendekatan struktural, aspek kajian seperti tema, persoalan, plot, watak dan perwatakan, latar, gaya bahasa dan teknik penceritaan. Dalam bab ini juga dibincangkan tentang perbandingan antara cerita rakyat masyarakat Bidayuh dengan cerita rakyat masyarakat melayu. Dibincangkan juga tentang fungsi-fungsi sastera rakyat dan juga gaya bahasa yang digunakan dan juga pandangan semesta atau word-view masyarakat Bidayuh itu sendiri.
Manakala dalam bab 4 merupakan ulasan menyeluruh hasil kajian iaitu diterangkan setiap bab dengan lebih terperinci. Dalam bab ini juga turut disarankan beberapa cadangan kajian.
Dengan adanya pembahagian bab-bab seperti ini akan memudahkan lagi proses penyemakan dan tidak akan berlaku kekeliruan dalam mana-mana bab, kerana setiap bab mempunyai bahagian-bahagiannya yang tersendiri.
Text
Kesenian Melayu
Sejarah perkembangan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dari Akademi ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT)
Abstrak
Kajian ini tertumpu kepada sejarah perkembangan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang dahulunya dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Ia merupakan satu-satunya institusi yang fokus kepada bidang seni dan budaya semata-mata. Penulis akan memaparkan kronologi peristiwa yang dilalui sebalik penubuhan institusi tersebut. Tujuannya adalah mendedahkan kepada masyarakat, akibat kurangnya maklumat berkenaan aspek tersebut.
Penulis juga akan menunjukkan peranan yang dimainkan Aswara sebelum dan selepas dinaiktarafkan menjadi Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Aswara ditadbir sepenuhnya oleh Kementerian Perpaduan Kebudayaan dan Kesenian Warisan (KPKKW). Inilah yang sering menjadi tanda tanya masyarakat. Pada kebiasaannya, sesebuah institusi yang berkaitan dengan bidang pendidikan akan dinaungi oleh kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Penulis akan menghuraikan konflik yang dihadapi oleh Aswara dalam meneruskan peranannya.
Di sebalik konflik yang dihadapi ini, Aswara terus giat berkembang. Ini dapat dibuktikan melalui pencapaian demi pencapaian yang diraihnya. Pencapaian yang diraihnya bukan sahaja di peringkat dalam negara, malahan turut melintasi sempadan antarabangsa. Keadaan ini amat membanggakan negara. Selain itu, tindakan Aswara yang mengetengahkan nilai seni budaya tradisional pelbagai kaum dalam pembelajaran dan pengajarannya merupakan tindakan yang wajar dipuji. Ini kerana, budaya warisan tradisional ini mempunyai nilai seni yang tinggi.
Pendekatan yang diambil oleh Aswara dalam pengajarannya juga berbeza dengan kebanyakan IPT lain. Ini kerana Aswara lebih menekankan kepada aspek praktikal berbanding teori. Tujuannya ialah memberikan situasi sebenar kepada para pelajarnya dengan alam pekerjaan. Keadaan ini akan melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dan berketerampilan. Pelbagai usaha telah diambil untuk memantapkan lagi pelaksanaan Aswara dalam memartabatkan bidang seni dan warisan ini. Usaha yang paling ketara ialah melalui Pelan Strategik Aswara 2008-2016 yang dilihat sebagai perancangan yang paling sistematik dalam merangka perkembangan Aswara.
Diharapkan kajian ini berupaya membantu memberikan maklumat kepada masyarakat umum berkaitan Aswara yang memainkan peranan penting dalam memartabatkan seni budaya warisan. Banyak manfaat di sebalik penubuhan Aswara ini. Oleh yang demikian, penubuhannya adalah wajar dan bersesuaian dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK).
Text
sastera Melayu
Semantik leksikal bahagian anatomi manusia dalam Syair nasib Melayu
Abstrak
Semantik merupakan satu bidang yang mengkaji aspek makna. Kajian makna telah dilakukan oleh ahli-ahli bahasa dan falsafah sejak zaman Romawi dan Yunani. Namun begitu, semantik moden hanya diperkenalkan pada abad kesembilan belas. Semantik juga merupakan satu bidang yang amat penting dalam kajian sesuatu bahasa. Bahasa merupakan satu alat untuk manusia berkomunikasi dalam sesebuah kelompok sosial. Bidang semantik merupakan satu aspek penting dalam sesuatu bahasa kerana bidang ini menjelaskan makna suatu perkataan serta pemikiran manusia yang berkaitan dengan makna perkataan tersebut.
Sebanyak 291 rangkap dalam Syair nasib Melayu dikaji dan 79 rangkap yang mengandungi bahagian-bahagian anatomi dipetik dan dianalisis.
Tujuan kajian ini adalah untuk menganalisis penggunaan bahagian anatomi manusia dalam Syair nasib Melayu, di samping menghuraikan klasifikasi makna sebalik penggunaan bahagian-bahagian anatomi tersebut, Pengkaji juga dilakukan untuk melihat perkaitan signifikasi penggunaan bahagian anatomi dalam syair ini dan world view masyarakat Melayu terhadap penggunaannya.
Bab 1 membincangkan aspek-aspek yang menjadi asas kajian ini meliputi latar belakang kajian, tujuan kajian, kaedah kajian dan konsep-konsep penting dalam kajian.
Bab 2 pula membincangkan mengenai sorotan kajian yang berkaitan, dan konsep dan jenis syair. Analisis yang dilakukan adalah berdasarkan klasifikasi makna bahagian-bahagian anatomi manusia. Terdapat tiga jenis pengklasifikasian iaitu. Klasifikasi Makna Implisit, Klasifikasi Makna Eksplisit,dan Klasifikasi makna Eksplisit-Implisit.
Bab 3 menganalisis bahagian-bahagian anatomi manusia mengikut klasifikasi makna. Hanya sepuluh bahagian anatomi manusia dipilih mengikut kekerapan dalam Syair nasib Melayu. Sebanyak 66 perkataan bahagian anatomi manusia (84%) tergolong dalam Klasifikasi makna Implisit, 7 perkataan bahagian anatomi manusia (9%) tergolong dalam Klasifikasi makna Eksplisit, 6 perkataan bahagian anatomi manusia (7%) tergolong dalam Klasifikasi makna Eksplisit-Implisit.
Bab 4 pula membincangkan rumusan kajian dan kaitan penggunaan bahagian anatomi manusia dalam masyarakat Melayu.
Bab 5 pula membincangkan cadangan kajian lanjutan.
Text
Kesenian Melayu
Seni bina Melayu Pahang kajian terhadap rumah serambi Pahang
Abstrak
Rumah Melayu tradisi merupakan rumah yang diturunkan oleh zaman dahulu lagi. Seni bina rumah ini mempunyai keunikan yang yang tersendiri dari segi faktor luaran dan dalaman. Namun begitu rumah ini tidak lagi dikenali oleh masyarakat kini . Seni bina rumah tradisi Pahang kajian terhadap rumah serambi Pahang ini membantu membuka fikiran masyarakat tentang rumah serambi Pahang. Rumah tradisi Pahang ini juga dikenali sebagai rumah serambi Pahang yang mempunyai keunikan dari segi ruang, struktur dan nilai estetika ini. Setiap ruang struktur yang terdapat pada rumah serambi Pahang ini mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. Nilai estetika ini yang menjadikan rumah serambi Pahang sesuatu yang unik.
Kajian ini bukan sahaja bertujuan untuk mengenal rumah serambi Pahang, malah mengkaji tentang struktur, ruang, fungsi dan nilai yang terdapat pada rumah serambi Pahang. Selain itu juga , kajian ini juga adalah untuk mengkaji tentang teknik yang digunakan dalam menghasilkan rumah serambi Pahang ini. Teknik yang digunakan dalam penghasilan rumah ini mempunyai proses-proses yang tertentu contohnya proses menyambungkan kayu dengan kayu yang lain dengan menggunakan alatan yang menggantikan paku iaitu tanggam. Bukan itu sahaja, borang soal selidik diberikan kepada orang ramai untuk mengetahui pemahaman dan pengetahuan masyarakat luar tentang rumah serambi Pahang ini sama ada masyarakat luar masih mengenalinya atau dilupakan sepenuhnya.
Text
Kesenian Melayu
Seni bina perahu : Kepercayaan dan ekologi
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai seni bina perahu yang mengaitkan tentang kepercayaan dan ekologi.
Seperti yang ketahui bahawa seni bina perahu mempunyai banyak perbezaan yang secara tidak langsung berkaitan dengan kepercayaan dan ekologi yang mempengaruhi seni bina perahu itu sendiri. Kajian ini akan memberikan maklumat yang lebih terperinci dan mengupas lebih lanjut tentang kaitan antara kepercayaan dan ekologi dalam seni bina perahu.
Text
Seni dan budaya masyarakat Suluk di Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah
AbstrakDalam kajian latihan ilmiah ini, pengkaji memfokuskan kajian kepada masyarakat minoriti di Sabah iaitu masyarakat Suluk. Sesungguhnya masyarakat Suluk ini banyak membuat penempatan di Sabah, namun pengkaji membuat kajian di kampung pengkaji sendiri iaitu Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Pengkaji akan membahagikan kajian ini kepada dua aspek iaitu aspek seni dan budaya. Sesungguhnya terdapat banyak aspek yang boleh dikaji mengenai masyarakat Suluk, namun pengkaji lebih berminat untuk mengkaji dari aspek seni dan budaya.
Seni secara umumnya dikenali sebagai sesuatu yang indah, halus , cantik dan menarik. Seni juga dikatakan sebagai satu peniruan yang berlaku hasil daripada pemerhatian manusia terhadap alam. Manakala, budaya secara umumnya mempunyai unsur-unsur ekspresif yang meliputi aspek sekeliling kepercayaan manusia terhadap sesuatu dan kesan reaksi terhadapnya.
Pengkaji akan mengkaji seni dari aspek Seni Persembahan dan Seni Bina. Budaya pula dikaji dari aspek Adat Perkahwinan dan Melenggang Perut.
Kesimpulannya, seni dan budaya masyarakat suluk ini mempunyai persamaan dan perbezaan dengan kaum lain yang terdapat di Malaysia.
Text
Kesenian Melayu
Seni pembuatan Wau Tradisi : Biografi tokoh
Abstrak
Penulisan ini adalah pendokumentasian bertulis melalui pendedahan dan pengalaman sepanjang proses menyempurnakan kajian lapangan. Penulis telah memilih untuk dinilai dalam subjek JFEA 3383. Latihan ilmiah dengan lebih menekankan kepada perkembangan sejarah seni permainan wau tradisional Melayu penekanan kepada kurangnya tukang pembuat wau tradisional yang ada di Malaysia dan jenis-jenis wau tradisional Melayu.
Selain menyelitkan dua orang tukang pembuat wau tradisional Melayu sama ada masih wujud ataupun telah meninggal dunia, latar belakang tokoh berkenaan dan sumbangan bakti yang telah diberikan. Penulisan ini adalah berkenaan dengan kaedah kajian yang bermula dari pembentangan kertas kerja dasar dan penulis akhir yang bertujuan untuk dijadikan rujukan bersama kepada para pelajar dan pensyarah.
Aspek-aspek keistimewaan ini dibahagikan kepada beberapa pembahagian tertentu yang boleh dilihat sebagaimana berikut:
Pada Bab Satu, pengkaji akan cuba menjelaskan berkenaan penyataan kajian.Hal ini, adalah seperti latar belakang kawasan kajian, objektif kajian, masalah kajian, kaedah kajian, kepentingan kajian dan lain-lain.
Pada Bab Dua, pengkaji cuba menjelaskan perihal berkenaan definisi, sejarah kawasan kajian, asal-usul kawasan kajian, definisi Adiguru Kraf, Skim Adiguru Kraf, Manual Anugerah Tokoh Kraf Negara 2004, istilah/terminologi, pengiktirafan tokoh, kemudahan dan penghargaan.
Pada Bab Tiga, pengkaji cuba menjelaskan tentang jenis-jenis wau tradisional yang terdapat di negara Malaysia, komponen wau, cara menghasilkan wau, cara bermain wau dan sebagainya.
Pada Bab Empat, pengkaji cuba menghuraikan tentang tokoh-tokoh serta tukang pembuat wau tradisional di Kelantan, latar belakang, sumbangan, keistimewaan mereka dan lain-lain.
Pada Bab Lima, merupakan bab penutup, pengkaji akan merumuskan segala aspek perbincangan yang dibuat pada bab-bab yang sebelumnya.
Text
Kesenian Melayu
Seni Pertukangan Perak : Kajian kes di Kota Bharu Kelantan
Abstrak
Seni pertukangan perak di Malaysia telah dihasilkan oleh masyarakat Melayu terutamanya bagi masyarakat pinggir bandar. Seni pertukangan perak ini dihasilkan berdasarkan kreativiti Melayu. Produk-produk yang dihasilkan akan dikenali sebagai seni kraftangan masyarakat Melayu. Pelbagai barangan yang dihasilkan seperti aksesori, barangan dapur, perhiasan, dan juga cenderahati. Pada setiap barangan juga pasti akan dihias dengan ragam hias yang tertentu mengikut citarasa pembuat dan pengguna. Ianya untuk mencantikkan lagi barangan perak yang dihasilkan. Setiap ukiran yang terhasil pada produk pasti mempunyai maksud yang tersendiri yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat Melayu. Sambutan terhadap barangan perak dahulu sangat menggalakkan kerana ia merupakan keperluan seharian masyarakat Melayu. Pada masa kini, seni pertukangan perak di malaysia kurang diminati oleh masyarakat. Pertumbuhan teknologi yang semakin canggih hampir-hampir menenggelamkan seni pertukangan perak yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu. Kecanggihan teknologi yang dicipta lebih senang dan cepat mampu menggantikan produk-produk daripada pertukangan tangan perak. Disebabkan hal itu, sambutan terhadap produk perak kini berkurangan dan sangat terkesan pada seni pertukangan perak. Hal ini merupakan cabaran yang perlu ditempuhi oleh pengusaha-pengusaha pertukangan perak. Pelestarian terhadap barangan perak ini kini, boleh kenalpasti oleh pihak-pihak yang tertentu agar seni pertukangan perak terus mekar dan mendapat sambutan oleh masyarakat tempatan mahupun luar negara.
Showing 201 to 250 of 285 results
Page
of 6
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->