Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (285 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Latihan ilmiah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
sastera Melayu
Analisis makna kata flora dan fauna dalam struktur maksud pantun Melayu
Abstrak
Semantik merupakan satu bidang yang mengkaji aspek makna. Bidang semantik wujud sejak zaman Aristotle dan telah mengalami perubahan mengikut peredaran masa. Semantik adalah satu bidang yang amat penting dalam sesuatu bahasa. Bahasa merupakan bahasa merupakan satu alat untuk manusia berkomunikasi dalam sesebuah organisasi sosial. Bidang semantik merupakan satu aspek penting dalam sesuatu bahasa kerana ia memberi makna kepada maklumat serta pemikiran manusia.
99 rangka pantun yang telah dipetik daripada karya Agung : pantun Melayu. Pantun-pantun yang dianalisis merupakan pantun-pantun yang bertemakan ‘Bingkis Kasih’.
Tujuan kajian ini dilakukan ialah untuk menganalisis penggunaan kata nama flora bunga dan kata nama fauna burung yang berfungsi sebagai lambang di bahagian maksud pantun, membandingkan kekerapan penggunaan lambang kata nama flora bunga dan kata nama fauna burung di bahagian maksud pantun dan menghuraikan kepelbagaian rujukan makna dalam penggunaan sesuatu lambang.
Bab 1 membincangkan aspek-aspek yang menjadi dasar kajian ini seperti kajian latar belakang kajian, kaedah kajian dan konsep-konsep penting dalam kajian.
Bab 2 membincangkan tentang kerangka teoritis konsep semantik dan pantun. Analisis yang dilakukan adalah berdasarkan Model Klasifikasi-Struktur Bahagian Maksud Pantun. Terdapat empat jenis pengklasifikasian dalam model ini iaitu, Stuktur Implisit-Implisit, Struktur Eksplisit-Eksplisit, Struktur Implisit-Eksplisit dan Struktur Eksplisit-Implisit.
Bab 3 dan 4 merupakan analisis yang dilakukan, masing-masing ke atas kata nama flora bunga dan fauna burung. Dapatan yang diperolehi dalam bab 3 menunjukkan kata nama bunga diklasifikasikan kepada empat struktur manakala bab 4 menunjukkan kata nama burung diklasifikasikan kepada tiga struktur. Kedua-dua kata ini memperlihatkan dapatan yang sama iaitu, Struktur Implisit-Implisit menunjukkan dapatan tertinggi. Bagi kata nama flora bunga, terdapat sebanyak 26 (36.6%) rangkap pantun yang mempunyai Struktur Implisit-Implisit. Bagi kata nama fauna burung, terdapat sebanyak 11 (39.9%) rangkap pantun yang mempunyai Struktur Implisit-Implisit. Untuk dapatan terendah, pantun-pantun yang mengandungi kata nama flora bunga tergolong dalam Struktur Eksplisit-Eksplisit iaitu, sebanyak 11 (15.5%) rangkap. Bagi kata nama fauna burung pula, pantun-pantun tersebut tergolong dalam Struktur Eksplisit-Implisit iaitu, sebanyak 9 (32.1%) rangkap pantun. Dapatan ini juga menunjukkan sikap orang Melayu yang bersopan santun serta sering menyampaikan mesej secara berlapik. Orang melayu melakukan ini untuk tidak mendatang aib kepada individu yang menjadi sasaran.
Bab 5 pula merupakan kesimpulan daripada kajian ini dan cadangan kepada kajian lanjutan.
Text
Morfologi Bahasa Jawa : Batu Pahat, Johor
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang kajian morfologi ke atas bahasa Jawa Batu Pahat (BJBP). Kajian ini meneliti proses-proses yang terdapat dalam bidang morfologi atau pembentukan kata dalam BJBP. Proses-proses tersebut adalah nasalisasi, pengimbuhan, pemajmuk dan penggandaan. Penelitian terhadap proses-proses pembentukan kata BJBP ini secara tidak langsung akan dilihat persamaan serta kelainannya dengan bahasa Melayu Standard (BMS). Hal ini bagi memudahkan analisis yang dijalankan, iaitu dari segi memberi pemaknaan kepada kosa kata BJBP ke dalam BMS. Proses nasalisasi memberi penumpuan kepada fungsi unsur nasal secara keseluruhannya, iaitu sebagai pengganti dan penambahan pada fonem pertama kata akar BJBP yang homorgan. Bagi proses pengimbuhan pula, meneliti penyebaran imbuhan atau morfem terikat, iaitu awalan, akhiran , sisipan dan morfem terikat terbahagi (awalan-akhiran). Penyebaran imbuhan ini akan dikategorikan imbuhan namaan dan imbuhan karyaan. Begitu juga dengan proses penggandaan BJBP yang dibahagikan kepada tiga, iaitu penggandaan penuh, penggandaan sebahagian dan penggandaan lain. Seterusnya proses pemajmukan yang diteliti bersifat kurang produktif dalam penuturan lisan masyarakat Jawa di kawasan kajian.
Text
Bahasa Melayu
Strategi pembelajaran : Penggunaan bahasa Melayu standard dalam kalangan murid Sekolah Rendah di Singapura
Abstrak
Penguasaan bahasa Melayu standard dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura kini mengalami kemerosotan. Tidak ramai yang dapat berbahasa Melayu standard dengan baik dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Oleh itu, Latihan ilmiah ini mengkaji strategi pembelajaran dalam ayat-ayat lisan dan tulisan murid-murid darjah tiga untuk mencari punca masalah penguasaan bahasa Melayu standard.
Analisis kajian yang dijalankan secara kuantitatif. Data yang diperolehi daripada perbandingan antara korpus lisan dan juga tulisan berdasarkan kumpulan kebolehan, jantina dan strategi pembelajaran.Tafsiran data dilakukan untuk menjelaskan berlakunya strategi pembelajaran.
Kajian ini telah mendapati bahawa terdapat sebelas strategi pembelajaran yang berlaku dalam proses pembelajaran bahasa Melayu. Punca utama permasalahan ialah pembentukan asa kemahiran bahasa Melayu standard yang tidak kukuh. Lebih banyak strategi pembelajaran yang digunakan dalam lisan berbanding dengan tulisan. Kekerapan strategi pembelajaran menunjukkan bahawa mutu bahasa Melayu standard juga dipengaruhi oleh bahasa Inggeris dan bahasa Melayu basahan.
Dalam rumusan kajian, pengkaji telah menyatakan langkah-langkah untuk menangani permasalahan di samping cadangan untuk kajian lanjutan.
Text
Sosio budaya Melayu
Fenomena ajaran sesat dalam masyarakat Melayu : Kajian kes di Negeri Perlis
Abstrak
Penyelidikan pada kali ini adalah berkisar tentang fenomena ajaran sesat di Perlis. Penyelidikan ini memfokuskan intipati ajaran Pertubuhan Perpaduan Kebajikan Islam Malaysia (PEKIMA) dan ajaran Rufaqa’. Dalam kajian ini juga turut menjelaskan hakikat Islam dalam masyarakat Melayu khususnya di negeri Perlis melalui pendekatan ahli sunnah. Penyelidikan ini juga menjelaskan fenomena sebenar yang melanda masyarakat Melayu pada masa kini dengan membawa pendekatan semasa yang selari dengan syariat Islam.
Oleh itu, dengan adanya penyelidikan seperti ini, bukan sahaja mampu memberi pendedahan berterusan kepada anggota masyarakat malah, membantu untuk memurnikan lagi penyelidikan-penyelidikan yang dilakukan oleh pengkaji lalu. Generasi masa kini juga mampu mengetahui dan menilai bentuk-bentuk ajaran sama ada yang bertepatan dengan syariat Islam ataupun sebaliknya.
Text
sastera Melayu
Unsur dominan sastera remaja : Kajian terhadap novel
Julia dan Cinta Madinah
Abstrak
Bab 1 - Pengkaji membicarakan tentang tujuan, kaedah, dan sejarah perkembangan sastera remaja di negeri kita. Selain itu juga, pengkaji menyatakan sedikit biodata penulis novel bahan kajian itu Hj Abu Hassan Morad dan sinopsis novel Julia dan Cinta Madinah.
Bab 2 - Pengkaji meneliti kesusasteraan remaja dengan menyatakan konsep sastera remaja, siapa golongan remaja, peranan dan jenis-jenis sastera remaja serta melihat hubungan sastera dengan remaja.
Bab 3 - Pengkaji menilai unsur pengajaran dalam sastera remaja melalui bahan kajian. Pengkaji juga melihat makna pengajaran, pengajaran dalam sastera, jenis-jenis nilai pengajaran dalam sastera remaja. Seterusnya menilai unsur pengajaran dalam bahan kajian iaitu novel Julia dan Cinta Madinah.
Bab 4 - Pengkaji juga mengkaji unsur pengetahuan dengan menilai makna pengetahuan, unsur pengetahuan dalam sastera remaja dan analisis unsur ini dalam bahan kajian.
Bab 5 - Pengkaji menilai unsur pengembaraan dalam bahan kajian.Pengkaji juga meneliti makna pengembaraan, pengembaraan dalam sastera dan jenis-jenis pengembaraan dalam sastera remaja.
Bab 6 - Kesimpulan bagi keseluruhan kajian ini.
Text
Bahasa Melayu
Perbandingan Leksikal bahasa orang Asli Seletar dan bahasa Melayu
Abstrak
Kajian ini dilakukan untuk melihat perbandingan leksikal antara bahasa orang Asli Seletar (BOAS) dan bahasa Melayu Standard (BMS).Kajian ini dilakukan dengan menggunakan kaedah lapangan bagi mendapatkan data primer. Manakala kaedah kepustakaan dilakukan bagi mendapatkan data sekunder dan memperkukuhkan lagi data primer. Data-data yang telah dikumpul dibandingkan terutama untuk melihat aspek fonologi dan leksikal. Daripada analisis mendapati BOAS mempunyai sistem vokal dan konsonan yang berbeza daripada BMS. Didapati BOAS, mempunyai enam vokal dan 20 konsonan.
Secara keseluruhannya dapatan kajian menunjukkan dalam BOAS banyak berlaku proses pengguguran dan peleburan. Proses-proses ini dilihat akan mengubah struktur kata dari kata dwisuku dalam BMS kepada kata ekasuku dalam BOAS. Analisis yang dilakukan mendapati perubahan utama yang berlaku dalam BOAS ialah melibatkan proses pengguguran yang akhirnya mengubati struktur kata dalam BOAS. Selain itu, daripada analisis leksikostatistik dan gloto kronologi mendapati, BOAS merupakan sebuah bahasa daripada induk yang sama.
Text
sastera Melayu
Kumpulan cerpen Istana Berembun Karya Ishak Hj. Muhammad Penerapan terhadap teori konseptual kata kunci
Abstrak
Latihan ilmiah yang telah dilakukan ini adalah bertujuan untuk melihat konsepsi pengarang Ishak Hj. Muhammad (Pak Sako) dalam memberi pendapat atau pandangan beliau terhadap sesuatu konsep yang diutarakan dalam sesebuah karyanya. Kajian yang dijalankan ini adalah berdasarkan teori konseptual kata kunci.
Dalam kajian ini, penelitian yang dibuat adalah berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang terdapat dalam teori tersebut iaitu kepengaruhan, pemilihan kata dan kesan. Melalui penerapan teori ini konsepsi pengarang dilihat melalui kepengaruhan pengarang tersebut dalam membina atau menghasilkan karyanya yang dikaji terhadap latar belakang, pendidikan, masyarakat, pekerjaan, dan sebagainya. Melaluinya juga penelitian berdasarkan penggunaan kata kunci atau pemilihan kata yang digunakan oleh pengarang tersebut dalam karyanya untuk menggambarkan sesuatu konsep yang dikemukakan. Dalam hal ini juga, pengkajian seterusnya dapat melihat kesan yang mungkin pengarang ingin tinggalkan kepada para pembaca melalui karya yang dihasilkan, iaitu dengan mendalami setiap isi kandungan karya yang dihasilkan.
Pengkajian yang dijalankan ini juga dapat melihat sejauh manakah keberkesanan teori konseptual kata kunci ini dalam menerapkan ke dalam karya-karya sastera tempatan terutamanya.
Hasil kajian yang lebih lanjut dapat dilihat dalam pengkajian atau penelitian yang telah dihasilkan dalam latihan ilmiah ini iaitu bab satu menerangkan tentang teori konseptual kata kunci itu sendiri, bab dua tentang pengarang dan kepengarangan Ishak Hj. Muhammad dan bab tiga pula membincangkan tentang konsep-konsep yang kemudiannya diterapkan atau diaplikasikan melalui teori konseptual kata kunci ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Peniaga-peniaga kecil Melayu : Kajian kes di Pekan Sehari Temerloh, Pahang
Abstrak
Keusahawanan hakikatnya bukanlah satu perkara yang asing khususnya kepada kaum Melayu. Melalui perniagaan kecil-kecilan, para peniaga adalah merupakan agen yang penting dalam membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada masyarakat terutamanya penduduk di luar bandar. Kajian ini telah melihat kepada beberapa penemuan yang telah dikaji berdasarkan kepada pengkajian pengkaji di Pekan Sehari Termeloh, Pahang. Berdasarkan kajian tersebut, terdapat lima penemuan kajian yang telah dibahagikan iaitu peranan kekeluargaan, kewangan, peluang yang disediakan, strategi perniagaan dan masalah yang mereka dihadapi. Setiap daripada peranan tersebut memainkan peranannya masing-masing dalam sektor perniagaan kecil-kecilan terutamanya bagi peringkat luar bandar. Sebagai salah satu sumber ekonomi masyarakat luar bandar sektor ini telah membuktikan keberkesanannya dalam membasmi dan mengurangkan kadar kemiskinan dalam khususnya bagi masyarakat Melayu. Kegiatan perniagaan ini banyak membantu orang Melayu dalam meningkatkan kegiatan ekonomi mereka. Namun demikian perlu ada daya usaha yang lebih di kalangan para peniaga untuk terus maju dan berdaya saing dengan kaum yang lain.
Text
Sosio budaya Melayu
Bahasa slanga dalam Internet: Penulisan blog dan forum
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti penggunaan bahasa slanga yang terdapat dalam Internet. Aspek yang menjadi tumpuan utama ialah jenis-jenis dan sebab-sebab penggunaan slanga dalam kalangan pengguna Internet. Dua aplikasi Internet iaitu, blog dan forum internet digunakan sebagai sumber data kajian. Alat yang digunakan dalam kajian ialah soal selidik dan temu bual secara bebas. Hasil dapatan kajian secara umumnya menunjukkan, terdapat sekurang-kurangnya tujuh jenis bahasa slanga dalam Internet. Penganalisisan data menunjukkan faktor-faktor seperti bahasa ekonomis dan pengaruh gaya lisan antara sebab kemunculan bahasa slanga dalam Internet.
Bab 1 akan memperkatakan tentang beberapa aspek penting, khususnya latar belakang kajian, bahan kajian, bidang kajian, tujuan kajian, kaedah kajian, dan definisi konsep-konsep penting yang digunakan dalam kajian ini.
Bab 2 akan membincangkan kajian lepas yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan oleh penyelidik terhadap penggunaan bahasa slanga.
Bab 3 akan membincangkan bagaimana kajian dijalankan untuk menghasilkan satu dapatan yang bermutu dan menepati objektif kajian. Antara perkara yang akan diperincikan ialah reka bentuk kajian iaitu kaedah dan instrumen, pengumpulan data, penyediaan soal selidik dan penganalisaan data.
Bab 4 akan memperkatakan tentang beberapa aspek penting, khususnya tentang dapatan-dapatan melalui penganalisisan data iaitu, jenis-jenis slanga yang terdapat dalam Internet, kekerapan dalam penggunaan jenis-jenis slanga dan faktor-faktor kewujudan serta penggunaan slanga dalam Internet.
Bab 5 akan merumuskan segala hasil dapatan kajian dan cadangan-cadangan untuk menyediakan pada masa akan datang yang turut dikemukakan oleh pengkaji.
Text
Analisis kesalahan penggunaan bahasa Melayu standard dalam Akhbar Tempatan di Sabah
Abstrak
Latihan ilmiah ini merupakan satu kajian tentang analisis kesalahan bahasa Melayu yang bertumpu pada laporan berita dalam salah satu akhbar tempatan di Sabah, iaitu New Sabah Times. Sebanyak 27 laporan akhbar telah dipilih untuk dikaji daripada setiap keluaran akhbar tersebut sepanjang bulan September 2007.
Tujuan utama kajian ini ialah menentukan aspek kesalahan bahasa yang paling dominan dalam bahan kajian pengkaji. Kajian ini penting bagi menyedarkan orang ramai tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Analisis data dijalankan secara kuantitatif. Kesalahan pula dilihat daripada aspek morfologi, sintaksis, dan teknikal.
Dapatan kajian ini menunjukkan penulis laporan akhbar yang dikaji kerap melakukan kesalahan dari aspek teknikal seperti ejaan, tanda baca, dan penggunaan huruf besar. Sehubungan itu, pengkaji menyatakan peranan yang boleh dimainkan oleh pihak tertentu untuk mengatasi fenomena kesalahan bahasa ini. Kajian ini tidak begitu menyeluruh dan pengkaji telah mengutarakan beberapa cadangan kajian berkaitan yang boleh dilaksanakan pada masa akan datang.
Text
sastera Melayu
Analisis tema lirik kumpulan 2D dari Singapura : Kajian Semantik Leksikal
Abstrak
Bidang semantik merupakan salah satu cabang dari lingkungan bidang ilmu linguistik yang mengandungi teori permaknaan. Seseorang pengkaji itu tidak seharusnya tertumpu pada aspek saintifiknya sahaja, bahkan saling melengkapkan keperluan secara keseluruhan dalam disiplin ini. Semantik juga memayungi segala permaknaan yang terkandung dalam semua aspek bidang komunikasi manusia. Kajian ini diskopkan kepada semantik leksikal yang dirujuk dengan konsep perubahan makna, iaitu ameliorasi, metafora, hiperbola dan litotes.
Sejumlah 9 buah lirik lagu telah dianalisis. Kesemua lirik lagu tersebut telah dibahagikan kepada dua tema utama, iaitu subtajuk Tema Cinta Hidup yang mengandungi 6 buah lirik dan subtajuk. Tema Cinta Hidup yang mengandungi 3 buah lirik.
Dalam bab pengenalan secara ringkasnya diberikan latar belakang kajian tentang bidang semantik secara amnya dan bidang semantik leksikal secara khususnya. Aspek-aspek kajian seperti tujuan kajian, bidang kajian, bahan kajian, kaedah kajian, kepentingan kajian dan konsep-konsep penting kajian.
Seterusnya dalam bab 2 pula dikemukakan kerangka teoritis. Bab ini membincangkan konsep-konsep utama yang berkaitan dengan bidang semantik, konsep perubahan makna dan konsep lirik lagu.
Bab 3 merupakan bab analisis yang meneliti penggunaan konsep-konsep perubahan makna, iaitu ameliorasi, metafora, hiperbola dan litotes. Bab ini berfokus kepada Tema Cinta Hidup. Kajian dalam bab ini memperlihatkan kecenderungan dan kekerapan jumlah yang dicatatkan oleh konsep perubahan makna dalam tema tersebut. Analisis yang dilakukan mendapati konsep ameliorasi mencatatkan penggunaan jumlah kehadiran paling tinggi, iaitu 154 atau 50.83% berbanding dengan jumlah paling rendah dalam litotes, iaitu sebanyak 18 atau 5.94%. Konsep metafora mencatatkan jumlah kedua tertinggi, iaitu 79 atau 26.07%. Ini diikuti pula ketiga tertinggi dalam hiperbola, iaitu sebanyak 52 atau 17.16%.
Dalam bab 4 pula, analisis berfokus kepada subtajuk Tema Cinta Tak Hidup. Konsep perubahan makna ameliorasi juga mencatatkan kecenderungan paling tinggi, iaitu 108 atau 58.06%. Konsep metafora pula mencatatkan kedua tertinggi, iaitu 41 atau 22.04%. Sementara itu, hiperbola pula mencatatkan ketiga paling tinggi, iaitu 26 atau 13.98%. Konsep litotes mencatatkan jumlah penggunaan paling rendah, iaitu 11 atau 5.92%.
Bab 5 merupakan analisis perbandingan di antara tema cinta hidup dan tema cinta tak hidup dalam penggunaan keempat-empat konsep perubahan makna. Perbandingan kajian dilakukan berdasarkan kepada peratusan julat kecenderungan dan kekerapan penggunaan konsep perubahan yang hadir.
Akhir sekali, bab 6 merupakan kesimpulan daripada kajian ini dan cadangan kepada kajian lanjutan.
Text
sastera Melayu
Imej manusia dalam novel Salina
Abstrak
Kajian ini menganalisis imej manusia dalam novel Salina karya A.Samad Said. Objektif utama pengajian ini adalah untuk melihat imej manusia yang terdapat dalam novel Salina secara menyeluruh dan menganalisisnya dengan jelas. Dalam kajian ini sebanyak sembilan imej manusia dikenal pasti terdapat melalui watak yang terlibat dalam novel Salina karya sasterawan agung A. Samad Said.
Imej manusia yang terlibat ialah imej manusia tidak beriman, imej pemimpin agama, imej manusia tidak bermoral, imej manusia baik, imej lelaki jahat, imej manusia tertindas, imej seorang ibu, imej kanak-kanak dan imej bukan Melayu. Analisis setiap imej dibuat berdasarkan pendekatan konsep bagi setiap imej yang dikaji. Melalui pendekatan konsep yang digunakan membolehkan pengkaji menganalisis setiap imej manusia yang terlibat dalam penghasilan novel ini.
Imej pemimpin agama misalnya dilihat melalui kesesuaian dan kesepadanan watak dengan konsep imej pemimpin agama yang dimilikinya. Begitu juga dengan imej manusia lain yang terlibat dalam kajian ini juga dianalisis berdasarkan konsep utama sesuatu imej manusia yang telah dikenalpasti itu. Kajian ini akhirnya dapat melihat keseluruhan imej manusia yang diharapkan pada watak yang terlibat dalam penghasilan novel Salina dengan jelas dan terperinci.
Text
sastera Melayu
Cerpen-cerpen Anwar Ridhwan : Kajian watak dari sudut psikologi
Abstrak
Kajian ini meneliti tujuh buah cerpen yang dihasilkan oleh Anwar Ridhwan dengan menggunakan Teori Psikoanalisis Sigmund Freud. Cerpen-cerpen tersebut ialah “Perjalanan Terakhir”, “Sesudah Perang”, “Minoriti”, “Perjalanan Kedua”, “Dunia adalah sebuah Apartmen”, “Sahabat”, dan “Dan Parasit-parasit”. Kesemua cerpen ini dipilih kerana pengarangnya memanfaatkan unsur-unsur psikologi manusia. Aspek yang dikaji dalam penyelidikan ini ialah psikologi, masalah kejiwaan dengan mengaitkannya dengan interaksi antara id, ego,dan superego, dan mekanisme bela diri yang digunakan oleh watak-watak. Kajian ini menemui sembilan mekanisme bela diri yang digunakan oleh watak-watak terpilih dalam menangani kerisauan yang dialami oleh watak-watak, iaitu pembentukan reaksi, undoing atau ungkaian, represi, projeksi, rasionalisasi, pampasan, introjeksi, penafian atau penyangkalan dan regresi.
Text
Sosio budaya Melayu
Corak kehidupan warga tua di Institusi Pondok : Satu kajian kes di Pondok AL-Islahiah, Kampung Kuin Pasir Jelawat, Bachok.
Abstrak
Secara tradisinya, kesejahteraan hidup warga tua adalah terletak di bawah tanggungjawab institusi keluarga. Namun oleh keadaan kehidupan masyarakat yang berubah menyebabkan institusi keluarga memerlukan sokongan institusi di luar keluarga. Sokongan yang diperlukan ini adalah untuk memberi perlindungan tempat tinggal dan kebajikan kepada warga tua.
Keperluan sokongan dari institusi di luar keluarga bertujuan memantapkan proses penjagaan dan mengukuhkan institusi masyarakat. Keadaan ini juga bertujuan untuk sama-sama berganding bahu menolong diantara satu sama lain. Justeru itu, kewujudan institusi kebajikan warga tua mahupun institusi yang memberi perlindungan kepada warga tua seperti pondok perlu diwujudkan. Hal ini merupakan salah satu cara untuk memberi jaminan kehidupan kepada warga tua.
Bentuk-bentuk penjagaan warga tua boleh dibahagi kepada dua iaitu, penjagaan formal dan penjagaan bukan formal. Penjagaan formal disediakan oleh sektor awam dan swasta manakala penjagaan tidak formal yang dikendalikan sendiri oleh keluarga dan komuniti setempat. Penjagaan formal dapat dilihat dalam institusi kebajikan masyarakat yang membela nasib warga tua. Penjagaan tidak formal adalah seperti warga tua yang tinggal di pondok.
Kajian yang dijalankan ini memberi tumpuan kepada warga tua yang menginap di institusi kebajikan bukan formal iaitu di pondok, Kajian ini dilakukan untuk melihat tiga tujuan penting iaitu faktor-faktor yang mendorong warga tua memilih pondok, melihat aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mereka dan seterusnya melihat corak kehidupan mereka di pondok.
Text
Bahasa Melayu
Kajian leksikal subdialek Pulau Aur di Daerah Mersing
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai leksikal subdialek Pulau Aur yang dilihat berdasarkan aspek fonologi. Bagai mendapatkan data primer subdialek Pulau Aur maka kaji ini dilakukan dengan menggunakan kaedah lapangan. Di samping itu, kaedah kepustakaan juga digunakan untuk mendapatkan data sekunder bagi memperkukuhkan lagi data primer. Objektif utama adalah melihat perkaitan antara subdialek Pulau Aur dengan bahasa Melayu. Berdasarkan data yang terkumpul, didapati subdialek Pulau Aur mempunyai sistem vokal dan konsonan yang hampir sama dengan BM Standard. Namun perbezaan ini tidaklah begitu ketara. Subdialek Pulau Aur mempunyai sistem vokal dan 20 konsonan asli. Secara keseluruhannya, kajian terhadap subdialek Pulau Aur menunjukkan terdapat beberapa proses perubahan bunyi jika dibandingkan dengan BM Standard.
Walau bagaimanapun, analisis data memperlihatkan hubungan dengan bahasa Melayu, namun terdapat juga unsur leksikal dalam subdialek Pulau Aur yang menyamai dengan bahasa-bahasa Austronesia yang lain, misalnya seperti bahasa Iban. Sungguhpun demikian, penelitian melalui kaedah leksikostatistik menunjukkan bahawa subdialek Pulau Aur merupakan dialek daripada bahasa Melayu.
Text
Bahasa Melayu
Kata namaan dalam bahasa Kreol Portugis di Melaka
Abstrak
Kajian ini dilakukan untuk melihat aspek morfologi bahasa kreol Portugis (seterusnya BKP). Kajian ini menggunakan data dari kaedah lapangan. Selain itu, kaedah kepustakaan juga dilakukan untuk mendapat data sekunder. Data ini kebanyakannya bertumpu pada kata Nama yang diasingkan mengikut kata nama selapis dan kata Nama kompleks. Setelah itu, data ini diperhalusi mengikut sub-kategori seperti kata nama genus, kata nama bernyawa, tak bernyawa, kata nama manusia dan bukan manusia. Dari aspek genus, BKP tidak membezakan di antara manusia dan binatang pada setengah konteks. Secara tidak langsung, ini memperlihatkan perbezaan dengan bahasa Melayu standard.Seterusnya berdasarkan BKP, kata nama kompleks didapati dibentuk melalui penggabungan kata dan partikel de. Disamping itu terdapat juga sesetengah kata Nama kompleks dalam BKP yang menunjukkan unsur gender. Berdasarkan analisis juga didapati BKP mempunyai proses penggandaan yang serupa dengan bahasa Melayu standard, iaitu kata tersebut di gandakan dan bukannya menggunakan imbuhan seperti bahasa Indo-Eropah yang lain.
Text
Bahasa Melayu
Peralihan bahasa Melayu dalam domain agama : Satu kajian kes di Singapura
Abstrak
Dasar pendidikan pemerintah Singapura walaupun berorientasikan kepada pragmatik ekonomi, masih lagi menitikberatkan pendidikan bahasa ibunda (Bahasa Melayu). Dalam hal ini, bahasa ibunda dilihat sebagai penimbal budaya yang mampu menjadi benteng bagi rakyat Singapura supaya kekal dengan identiti Timur mereka. Dasar begini telah dilakar pemerintah dengan adanya dasar-dasar yang mementingkan pendidikan bahasa ibunda. Kini pelajaran bahasa ibunda tersedia di dalam kurikulum pendidikan setiap anak Singapura.
Walau bagaimanapun, pelajaran bahasa ibunda sekadar di dalam bilik darjah hanya mengotakkan penggunaan bahasa Melayu di dalam bilik darjah. Berbeza dengan negara-negara jiran Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, penggunaan bahasa Melayu di Singapura hanya digunakan dalam ruangan yang agak terhad. Khususnya di Singapura, ruang penggunaan bahasa Melayu hanya dapat diwakili dengan domain-domain yang tertentu sahaja. Domain-domain tersebut ialah sekolah (kelas bahasa Melayu), rumah,media vernakular dan keagamaan. Dewasa ini, bahasa Inggeris menjadi bahasa perhubungan utama di Singapura dan bahasa ibunda (bahasa Melayu) menjadi bahasa sekunder. Seperti yang dikatakan di atas, nilai pulangan ekonomi penggunaan bahasa Inggeris telah menurunkan tahap penggunaan bahasa Melayu. Hal ini telah melihatkan gejala penyisihan bahasa, berlakunya peralihan daripada bahasa etnik yang kurang berprestij kepada bahasa yang lebih berprestij, memberikan lebih pulangan, praktikal dan berguna.
Kajian peralihan bahasa yang dilakukan penyelidik akan melihat kepada gejala berlakunya peralihan bahasa daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Terdapat beberapa kajian tentang peralihan bahasa yang dilakukan oleh para sarjana di rantau ini namun bukan semuanya berkisar kepada bahasa Melayu. Antaranya ialah kajian-kajian gejala peralihan bahasa yang dijalankan ialah oleh khemlani-David(1996), Ramachandaran (2000), Lokasudari (2006), Kumari(2007) dan Thomas(2007). Kajian oleh khemlani-David(1996) mengenai peralihan dan pengekalan bahasa telah menunjukkan adanya peralihan dan pengurangan domain bahasa di kalangan masyarakat Sindhi di Malaysia. Gejala-gejala peralihan bahasa yang dikaji oleh para sarjana seperti Ramachandaran, Lokasundari menjurus kepada gejala peralihan bahasa di kalangan etnik-etnik minoriti India di Malaysia seperti golongan Iyer dan Malayalee. Namun terdapat sebuah kajian yang dilakukan oleh Nor Hisham Osman (1999) terdapat komuniti Rajang-Tanjong. Kajian beliau melihat kepada pemeliharaan dan penyisihan bahasa di kalangan masyarakat pribumi Sarawak di Borneo.
Bagi gejala-gejala peralihan bahasa di Singapura pula tidak banyak kajian yang dilakukan. Di antara kajian-kajian ini ialah yang dilakukan oleh Sobrielo (1985) yang mengkaji tentang peralihan dan pengekalan bahasa di kalangan masyarakat India keturunan Tamil. Selain itu, terdapat kajian yang dilakukan oleh Rohini(1996) ke atas masyarakat Sinhalese Singapura. Kajian khusus ke atas penggunaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat Melayu di Singapura telah dilakukan oleh Roksana Bibi Abdullah. Pada 2002, beliau telah menghasilkan makalah tentang pengekalan dan peralihan bahasa di kalangan masyarakat Bewean Singapura. Beliau juga telah menghasilkan tesis kedoktoran pada 2002 yang membicarakan tentang pemilihan dan penggunaan bahasa di kalangan orang Melayu Singapura.
Gejala peralihan bahasa yang dikaji ini pula akan ditumpukan khusus kepada domain keagamaan. Domain keagamaan dipilih kerana dalam kajian-kajian peralihan bahasa sebelum ini, walaupun domain keagamaan telah diambil kira tetapi analisis mengenai penggunaan, kekerapan dan peralihannya belum lagi dikaji secara tuntas. Ini ditambah lagi dengan perkembangan semasa dalam pendidikan agama Islam di Singapura. Dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memperkenalkan program aLIVE di dalam bahasa Inggeris, dirasakan adanya peralihan bahasa yang penting dan akan memberi impak terhadap pola penggunaan bahasa Melayu di Singapura. Bahasa Melayu dan agama Islam telah menjalin hubungan yang amat intim sejak awal abad ke-14 lagi. Perbendaharaan kata, istilah dan nilai yang terpancar di dalam agama Islam, telahpun menjadi sebahagian identiti bahasa Melayu. Apabila tersebarnya agama Islam, segala ilmu yang mampu diutarakan di dalam bahasa Melayu telah menjadi realiti kerana pada awalnya bahasa Melayu hanya dapat menggarap keilmuan yang tidak akan membina satu tamadun yang agung. Dengan adanya Islam di tanah Melayu, bahasa Melayu telah melonjak menggarap kata, istilah dan juga nilai yang maju, moden dan saintifik dan ini telah mengubah paradigma orang Melayu daripada minda yang kolot dan jumud kepada minda yang rasional-saintifik (Al-Attas, 1972).
Kajian mengenai peralihan bahasa ini akan menggunakan kaedah soal selidik. Responden yang akan menjawab soal selidik ini terdiri daripada pelajar-pelajar yang mengikuti pendidikan agama sistem aLIVE. Data-data yang terkumpul melalui soal selidik merupakan bahan asas analisis kajian ini.
Melalui kajian yang akan dijalankan oleh pengkaji, diharapkan dapat menghasilkan data-data yang akan menunjukkan kepada beberapa perkara. Pertama, data-data yang diperolehi akan menunjukkan jika adanya peralihan bahasa di dalam domain agama. Melalui dapatan ini, satu unjuran mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam domain agama dan domain-domain lain dapat diandaikan. Kedua, melalui dapatan-dapatan kajian, pengkaji dapat membuat analisis terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan agama melalui data-data ini, satu gambaran mengenai peralihan bahasa dalam domain agama dapat diketengahkan.
Text
Sosio budaya Melayu
Perkembangan IKS di Kelantan : Kajian kes kilang roti, biskut dan kek di Mahligai, Bachok, Kelantan.
Abstrak
Kepentingan iks dalam pembangunan negara telah pun mendapat pengiktirafan ramai. Pengiktirafan tersebut meletakkan iks pada satu kedudukan yang penting dalam agenda perancangan pembangunan di kebanyakan negara, baik negara maju mahupun di negara membangun.Sumbangan iks dipercayai menjadi semakin penting dengan tahap pembangunan ekonomi negara yang semakin pesat. Malah terdapat bukti yang kukuh bahawa iks mempunyai hubungan jalin yang sangat bermakna dengan firma-firma besar dan multinasional sebagaimana negara-negara seperti Jepun, USA, United Kingdom, Kanada, Jerman dan lain-lain. Ini memberi gambaran bahawa iks menjadi semakin penting dan sumbangan mereka tidak merosot dengan kepesatan dan kemajuan pembangunan ekonomi sesebuah negara.
Text
Bahasa Melayu
Strategi komunikasi dalam pembelajaran bahasa Melayu : Satu kajian kes dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Singapura
Abstrak
Pertuturan yang baik dalam sesuatu bahasa lazimnya dianggap sebagai satu kejayaan dalam komunikasi. Aspek-aspek pertuturan yang baik seperti struktur bahasa yang betul dan pemilihan kosa kata yang tepat, mendukung maksud ini. Namun, dalam kajian strategi komunikasi, mesej yang dapat diterima dan difahami oleh pendengar itulah yang lebih dianggap sebagai satu kejayaan dalam komunikasi seperti yang tersebut. Anggapan ini adalah sesuai bilamana seseorang penutur bahasa kedua dilihat mampu menggunakan bahasa sasar yang tidak dikuasainya secara sempurna dalam tujuan menyampaikan mesejnya kepada penutur jati. Umumnya, kejayaan penutur bahasa kedua dalam komunikasi itu ditandai oleh beberapa cara dan tindakan tersendiri. Dalam kajian ini, perlakuan-perlakuan tersebut dinamakan sebagai strategi-strategi dalam komunikasi.
Strategi komunikasi dalam hubungannya dengan kajian ini meneliti masalah pertuturan pelajar bahasa kedua dalam proses mempelajari bahasa Melayu pada peringkat sekolah menengah di Singapura. Aspek utama yang dikaji mempunyai hubungan erat dengan ujian lisan yang merupakan salah satu komponen wajib dalam peperiksaan bahasa Melayu. Dalam kerangka ini, mutu pertuturan dalam kalangan pelajar bahasa Melayu didapati sedang mengalami kemerosotan yang perlu ditangani dengan segera. Ini bermakna secara tidak langsung, masalah pertuturan tersebut akan turut menjejas pemarkahan ujian lisan pelajar-pelajar tersebut.
Di sebalik kelemahan-kelemahan itu, kajian mendapati bahawa para pelajar bahasa kedua yang dikaji mampu menyampaikan mesej dalam keadaan penguasaan linguistik bahasa Melayu yang terhad. Ini membuktikan bahawa mereka berkeupayaan menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan berkomunikasi. Daripada aspek pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu, kejayaan pelajar-pelajar ini dapat dipertimbanbkan sebagai satu alternatif dalam membantu pelajar-pelajar bahasa kedua yang lain dalam menghadapi ujian lisan bahasa Melayu. Ini dapat direalisasikan dengan pembelajaran strategi komunikasi dalam bilik darjah, di samping dapat mengimbangi kekurangan pelajar-pelajar bahasa kedua dalam aspek penguasaan linguistik bahasa Melayu, penggunaan strategi komunikasi juga dapat mempertingkatkan keupayaan mereka dalam pembelajaran bahasa tersebut.
Text
sastera Melayu
Semantik leksikal bahagian anatomi manusia dalam Syair nasib Melayu
Abstrak
Semantik merupakan satu bidang yang mengkaji aspek makna. Kajian makna telah dilakukan oleh ahli-ahli bahasa dan falsafah sejak zaman Romawi dan Yunani. Namun begitu, semantik moden hanya diperkenalkan pada abad kesembilan belas. Semantik juga merupakan satu bidang yang amat penting dalam kajian sesuatu bahasa. Bahasa merupakan satu alat untuk manusia berkomunikasi dalam sesebuah kelompok sosial. Bidang semantik merupakan satu aspek penting dalam sesuatu bahasa kerana bidang ini menjelaskan makna suatu perkataan serta pemikiran manusia yang berkaitan dengan makna perkataan tersebut.
Sebanyak 291 rangkap dalam Syair nasib Melayu dikaji dan 79 rangkap yang mengandungi bahagian-bahagian anatomi dipetik dan dianalisis.
Tujuan kajian ini adalah untuk menganalisis penggunaan bahagian anatomi manusia dalam Syair nasib Melayu, di samping menghuraikan klasifikasi makna sebalik penggunaan bahagian-bahagian anatomi tersebut, Pengkaji juga dilakukan untuk melihat perkaitan signifikasi penggunaan bahagian anatomi dalam syair ini dan world view masyarakat Melayu terhadap penggunaannya.
Bab 1 membincangkan aspek-aspek yang menjadi asas kajian ini meliputi latar belakang kajian, tujuan kajian, kaedah kajian dan konsep-konsep penting dalam kajian.
Bab 2 pula membincangkan mengenai sorotan kajian yang berkaitan, dan konsep dan jenis syair. Analisis yang dilakukan adalah berdasarkan klasifikasi makna bahagian-bahagian anatomi manusia. Terdapat tiga jenis pengklasifikasian iaitu. Klasifikasi Makna Implisit, Klasifikasi Makna Eksplisit,dan Klasifikasi makna Eksplisit-Implisit.
Bab 3 menganalisis bahagian-bahagian anatomi manusia mengikut klasifikasi makna. Hanya sepuluh bahagian anatomi manusia dipilih mengikut kekerapan dalam Syair nasib Melayu. Sebanyak 66 perkataan bahagian anatomi manusia (84%) tergolong dalam Klasifikasi makna Implisit, 7 perkataan bahagian anatomi manusia (9%) tergolong dalam Klasifikasi makna Eksplisit, 6 perkataan bahagian anatomi manusia (7%) tergolong dalam Klasifikasi makna Eksplisit-Implisit.
Bab 4 pula membincangkan rumusan kajian dan kaitan penggunaan bahagian anatomi manusia dalam masyarakat Melayu.
Bab 5 pula membincangkan cadangan kajian lanjutan.
Text
Sosio budaya Melayu
Kebun kerang : Satu kajian kes di Bagan Tengkorak, Kuala Selangor terhadap nelayan Melayu
Abstrak
Secara keseluruhannya kajian ini adalah berkaitan dengan kaedah-kaedah dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan serta masalah-masalah yang dihadapi dalam mengusahakan kebun kerang. Dalam kajian yang dilakukan ini, pengkaji telah membahagikan keseluruhan pengkajian kepada lapan bab.
Bab satu adalah mengenai pengenalan kepada kerang dan sektor perikanan di malaysia. Dalam bab ini juga, menerangkan sedikit sebanyak tentang objektif dan kepentingan kajian ini dilakukan. Skop kajian dan metodologi kajian juga diterangkan bagi memahami perbincangan tentang tahap kajian yang dilakukan oleh pengkaji. Selain itu, pengkaji juga mengutarakan masalah yang dihadapi ketika kajian ini dilakukan .
Manakala dalam bab kedua penulis membincangkan latar belakang kawasan kajian dan juga latar belakang responden. Kajian-kajian terdahulu yang berkaitan juga diberikan dalam bab ini untuk mengukuhkan lagi maklumat kajian.
Segala aktiviti-aktiviti mengenai ternakan kerang dihuraikan dalam bab tiga. Manakala dalam bab empat pula, pengkaji telah menceritakan segala masalah-masalah yang berkaitan dengan perusahaan kebun kerang. Dalam bab seterusnya, penulis telah mengemukakan segala perbincangan sama ada berbentuk positif atau negatif. Segala pemerhatian dan kajian yang dilakukan telah ditulis mengikut pandangan pengkaji sendiri. Manakala dalam bab seterusnya pengkaji telah mencadangkan kajian yang berkaitan dengan kebun kerang pada masa akan datang serta di bab yang terakhir pula, pengkaji juga telah menyimpulkan segala kajian yang telah dilakukan mengenai kebun kerang.
Text
linguistik melayu
Morfologi bahasa Bajau Laut di Pulau Danawan, Semporna Sabah
Abstrak
Kajian ini merupakan kajian linguistik sinkronik yang dihuraikan secara deskriptif dengan melihat kepada morfologi bahasa Bajau Laut di Pulau Danawan, Semporna, Sabah. Aspek-aspek utama yang diteliti dalam kajian morfologi bagi bahasa yang dituturkan oleh masyarakat Bajau Laut tersebut ialah pembentukan kata selapis, nasalisasi, pengimbuhan,dan penggandaan. Untuk menjelaskan lebih jelas lagi berkenaan morfologi bahasa tersebut. Kajian ini cuba membandingkannya dengan bahasa Melayu standard ketika melakukan analisis data. Dalam analisis juga dihuraikan berkenaan penggolongan kata yang diterbitkan hasil daripada proses-proses morfologi tersebut. Hasilnya mendapati bahawa terdapatnya satu proses yang kompleks dalam morfologi bahasa Bajau Laut ini, tetapi hampir mempunyai persamaan dengan kebanyakan bahasa-bahasa Austronesia yang lain.
Text
Sosio budaya Melayu
Ritual halau roh(Monunsub) tradisi masyarakat Kadazandusun Suku Kimaragang : Kajian kes di Kampung liabas, Kota Marudu, Sabah
Abstrak
Masyarakat kadazandusun Sabah sememangnya memiliki pelbagai jenis ritual tradisi yang unik yang mampu menjadi lambang identiti mereka. Ritual-ritual ini telah diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang mereka, namun kelangsungannya pada hari ini agak mengecewakan, kemodenan yang semakin rancak dikecapi manusia menyebabkan ritual tradisi semakin dilupakan, segala apa yang bertentangan dengan kemodenan dianggap sebagai kolot dan ketinggalan zaman.
Realitinya, kebanyakan ritual-ritual tradisi yang terdapat dalam masyarakat kadazandusun yang mana dahulunya menjadi satu kemestian, kini diamal hanya segelintir daripada mereka pada hari ini. Hal ini sebenarnya yang berlaku dalam kalangan anak-anak muda suku Kimaragang iaitu salah satu suku yang terdapat dalam kumpulan kadazandusun tersebut. Generasi mudanya kini tidak lagi berminat terhadap ritual tradisi nenek moyang mereka, malah ianya tidak lagi dipraktikan dalam hidup mereka seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang suatu ketika dahulu.
Pada suatu ketika dahulu ritual Monunsub ini menjadi suatu kemestian setiap kali berlaku kematian dalam sesebuah keluarga suku Kimaragang ini. Namun beginilah nasib ritual tradisi, bilangan suku Kimaragang yang mengamalkannya pada hari ini amatlah terhad iaitu hanya diamalkan oleh yang masih lagi berpegang kuat kepada kepercayaan tradisi. Sesungguhnya suku ini tidak menyedari bahawa ritual tradisi mereka adalah suatu permata yang sangat berharga dan kaya dengan keunikannya.
Oleh itu, kajian ini adalah penelitian terhadap ritual Monunsub yang diamalkan oleh suku Kimaragang Kota Marudu, Sabah. Ritual Monunsub lahir atas dasar usaha suku Kimaragang ini untuk memahami setiap ahli mereka iaitu mengira sama ada ahlinya yang masih hidup mahupun yang telah mati. Oleh itu, dalam konteks ritual Monunsub, ianya termenifestasi daripada konsep memahami mereka pegang tersebut dan dilakukan khas bagi ahlinya yang telah mati.
Selain itu, kajian ini juga merupakan usaha pengkaji untuk menerokai segala aspek yang mewarnai keunikan ritual Monunsub dan bagi mendokumentasikan tradisi warisan nenek moyang kita yang sangat berharga tersebut agar tidak hanyut ditelan kemajuan zaman dan seterusnya generasi yang akan datang mendapat pengetahuan tentangnya.
Text
sastera Melayu
Karya terjemahan kreatif Roderick Gordon & Brian Williams :
Analisis pendekatan dan kaedah terjemahan
Abstrak
Karya-karya terjemahan telah menerima sambutan yang hangat dengan adanya pemasaran global oleh pihak penerbit pada masa kini. Namun, tidak terdapat banyak kajian yang telah dijalankan mengenai pendekatan dan kaedah dalam karya terjemahan, baik ilmiah mahupun kreatif. Kajian sedemikian amat berguna untuk mempertingkatkan mutu hasil-hasil karya terjemahan yang jumlahnya amat lumayan dalam pasaran kini. Dengan pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai teknik dan teori penterjemahan, diharapkan agar penterjemah menjadi lebih peka dalam melaksanakan tugas mereka. Ini adalah kerana kerap kali dalam pelaksanaan tugas penterjemahan, seseorang penterjemah itu akan mengalami dilema kerana wujudnya perbezaan dari segi struktur nahu dan budaya di sebalik kedua-dua bahasa tersebut. Sehubungan dengan hal ini, kajian ini telah dilaksanakan untuk menganalisis pendekatan dan kaedah yang telah digunakan dalam teks Tunnels/Terowong. Hasil dapatan kajian dapat menunjukkan kekuatan dan kelemahan seseorang penterjemah serta ruang boleh diperbaiki, seperti pemilihan leksikal dalam sesuatu konteks dan memastikan struktur serta idea dalam teks asal dikekalkan. Lantaran itu, diharapkan agar penemuan kajian ini dapat membantu penterjemah-penterjemah terus berusaha untuk mempertingkatkan lagi mutu karya mereka.
Text
Sosio budaya Melayu
Rumah Limas di Muar, Johor
Abstrak
Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum. Kaum majoriti di Malaysia ialah kaum Melayu. Kaum Melayu telah bertamadun dan mempunyai nilai budaya yang tinggi. Salah satu unsur penting yang dapat menggambarkan budaya Melayu ialah rumah tradisional Melayu. Rumah tradisional Melayu yang terkenal di negeri Johor, khususnya di daerah Muar ialah rumah limas.
Kemunculan rumah Melayu bentuk limas di Malaysia dapat menambahkan satu lagi bentuk rumah Melayu. Rumah Melayu bentuk limas ini menggunakan lima buah perabung dalam struktur binaannya, iaitu satu perabung mendatar dan empat buah perabung menurun ke cucuran atap. Rumah limas ini mempunyai pelbagai jenis seperti rumah bumbung panjang.
Rumah tradisional Melayu pada hari ini telah mengalami banyak perubahan, iaitu daripada bentuk asli kepada bentuk moden disebabkan pengaruh barat yang kuat melanda negara kita. Pengaruh itu turut mempengaruhi pemikiran orang melayu. Selain itu, bahan binaan daripada alam semula jadi. Kemudahan ini telah menarik minat orang Melayu membina rumah berdasarkan konsep moden.
Ramai orang Melayu telah menukarkan reka bentuk rumah tradisional kepada moden, khususnya rumah limas yang terdapat di kampung-kampung Muar. Mereka lebih suka dan selesa dengan bentuk rumah moden. Ini kerana bahan binaannya dikatakan lebih kukuh dan tahan lama serta kelihatan lebih cantik berbanding dengan rumah tradisional melayu.
Kajian ini memberi fokus kepada rumah limas yang terkenal di negeri Johor, khususnya di daerah Muar. Rumah limas terdiri daripada pelbagai jenis. Terlebih dahulu, pengkaji telah membincangkan konsep rumah tradisional Melayu dan rumah Melayu bentuk moden serta struktur binaan rumah tersebut. Selain membincangkan struktur utama rumah limas, pengkaji juga membincangkan perubahan yang berlaku pada rumah limas. Perubahan ini dibincangkan dari segi ruang dan bahan binaannya.
Text
Sosio budaya Melayu
Sikap pelawat terhadap kualiti perkhidmatan Muzium : Kajian kes di Jabatan Muzium Sarawak
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang sikap pelawat muzium terhadap kualiti perkhidmatan di Jabatan Muzium Sarawak. Objektif kajian ini ialah untuk mengetahui bentuk dan arah sikap pelawat muzium itu terhadap objek sikap. Objek sikap yang berinteraksi dengan sikap pelawat ditampilkan dalam kajian ini didapati sikap sebenar bagi pelawat ialah kefahaman awal mereka terhadap objek sikap sebelum mereka melawat bersesuaian dengan informasi daripada objek sikap. Pengetahuan pandangan dan pemahaman objek sikap terlihat di antara pelawat boleh memberi bentuk sikap suka dan sebaliknya terhadap objek sikap.
Penemuan menunjukkan pelawat muzium dapat menyifatkan objek sikap tertentu yang ditunjukkan oleh artifak adalah gambaran umum terhadap perkhidmatan muzium. Perkhidmatan yang baik selari dengan objek sikap pelawat dan tidak selari adalah sebaliknya. Dalam artifak tertentu, pelawat boleh bersikap negatif kerana perkhidmatan mungkin kurang baik dan terdapat kekangan yang timbul dan tidak dapat diatasi oleh pihak muzium.
Text
Sosio budaya Melayu
Radio Televisyen Malaysia (RTM) Angkasapuri, Kuala Lumpur : Komunikasi dua hala dalam institusi kekeluargaan pada masa kini. Kajian ke atas program siaran televisyen
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang aspek komunikasi dua hala di antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) ,dengan institusi kekeluargaan. Hubungan ini dilihat melalui keberkesanan program-program siaran RTM terhadap institusi keluarga yang terdapat di dalam masyarakat. Kajian menggunakan kaedah kepustakaan dan kajian lapangan. Kajian lapangan yang dijalankan termasuklah soal selidik, turut serta/participant-observation, pemerhatian, temubual dan teknik analisis data.
Responden-responden yang terlibat dalam kaji selidik adalah anggota keluarga termasuklah bapa,ibu,anak-anak remaja (13-21) dan anak kanak-kanak (7-12) yang melibatkan empat kawasan kajian iaitu di Pantai Dalam, Bangsar, Taman Melawati dan Keramat. Hasil kajian penyelidik mendapat berbagai-bagai maklum balas daripada anggota keluarga yang terlibat dalam kaji selidik. Wajarlah, maklum balasnya diterima kemudian digunapakai oleh masyarakat untuk mengetahui perkembangan program RTM sekaligus komunikasi dua hala dapat dicapai dalam kajian penyelidik.
Text
Sosio budaya Melayu
Komunikasi antara budaya : Kajian kes di Petaling Jaya, Selangor
Abstrak
Tajuk kajian ini ialah “Komunikasi antara budaya: Kajian kes di Petaling Jaya, Selangor”. Tujuan kajian ini dijalankan untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kaum Cina berkomunikasi dengan kaum Melayu dan mengkaji pengetahuan kaum Cina terhadap budaya orang Melayu, khususnya dalam aspek pakaian.
Hipotesis awal tentang kajian ini adalah komunikasi antara komuniti Cina dan Melayu masih kurang berlaku melalui kejiranan. Golongan muda lebih mementingkan kehidupan sendiri berbanding berinteraksi dengan jiran Melayu. Komunikasi antara kedua-dua komuniti ini mungkin berlaku secara tidak disengajakan. Jenis bahasa yang dijangka digunakan oleh kedua-dua kaum ini semasa berkomunikasi adalah bahasa Melayu.
Dari segi budaya pula, komuniti Cina dijangka mempunyai pandangan yang stereotaip terhadap pakaian tradisional masyarakat Melayu. Kekurangan pemahaman komuniti Cina terhadap pakaian tudung, baju kurung, songkok, baju Melayu, dan sampin masa ketara. Penerapan pakaian tradisional Melayu ke dalam budaya masyarakat Cina jarang berlaku.
Justeru, hipotesis atau jangkaan awal yang dibuat berdasarkan tajuk ini merupakan pandangan stereotaip pengkaji. Jangka-jangka ini mungkin tidak tepat dan hanya sekadar panduan untuk memperolehi hasil dapatan yang sebenar di akhir kajian ini dijalankan.
Text
Sosio budaya Melayu
Lepa dalam masyarakat Bajau di Semporna, Sabah
Abstrak
MOHD HAMSAH BIN SALLEH AJIH : Lepa dalam masyarakat Bajau Di Semporna, Sabah. Jabatan Sosio-budaya Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, sesi 2008/2009. Penulisan latihan ilmiah ini adalah bagi memenuhi sebahagian daripada syarat penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Budaya lepa dalam masyarakat Bajau ialah salah satu aspek yang penting suatu ketika dahulu. Istilah ‘Lepa” dalam bahasa Bajau mempunyai maksud ‘perahu’ dalam bahasa Melayu. Kegunaan lepa atau kepentingannya kepada perhubungan, tempat berlindung, perayaan, perolehan sumber pendapatan, dan sebagainya meninggalkan kesan sejarah penggunaannya. Lepa merupakan sejenis perahu yang unik digunakan oleh masyarakat nelayan di Semporna ketika dahulu. Orang Bajau ‘pala’u’ merupakan kelompok yang menggunakan perahu sebagai kehidupan mereka.
Lepa di Semporna mempunyai pengaruh yang kuat terutama dalam mengenali budaya Bajau yang diwarisi sejak turun-temurun. Melaluinya, aktiviti seperti perayaan pesta “Regatta Lepa” adalah tarikan utama kepada keinginan mengenali lebih lanjut tentang budaya lepa masyarakat Bajau. Kajian ini merupakan sebuah latihan ilmiah yang akan mendedahkan beberapa aspek sejarah budaya lepa masyarakat Bajau di Semporna secara umum. Antara lain menyentuh jenis-jenis, ciri dan usaha pembangunannya untuk dijadikan sebuah industri. Kini pelbagai projek dirangka kerajaan negeri Sabah untuk mengusahakan budaya ini agar tidak hilang ditelan zaman.
Text
Sosio budaya Melayu
Palapes Laut Universiti Malaya : Satu tinjauan ke atas budaya kerja anggota
Abstrak
Budaya kerja organisasi berbeza antara satu sama lain. Budaya kerja menentukan kecemerlangan organisasi dari segi pelaksanaan tugas dan tanggungjawab setiap ahlinya, Budaya kerja anggota PALAPES Laut, sebuah organisasi ketenteraan, menjadi subjek kajian ini. Kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk mengenal pasti corak budaya kerja anggota PALAPES Laut Universiti Malaya serta masalah-masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan budaya kerja organisasi tersebut.
Di samping itu, kajian turut dijalankan ke atas struktur organisasi PALAPES Laut, penyertaan pelajar mengikut jantina dan kaum, sebab-sebab pelajar menyertai PALAPES Laut dan beberapa perkara lain yang berkaitan dengan PALAPES Laut. Hasil kajian menunjukkan budaya kerja anggota PALAPES Laut amat unik dan berbeza dengan budaya kerja organisasi lain yang tidak berasaskan bidang ketenteraan. Namun dekiaan, didapati sesetengah anggota PALAPES Laut terlibat dengan pelbagai masalah dan konflik dalaman yang memberi kesan negatif kepada organisasi PALAPES Laut. Konflik yang berlaku melibatkan banyak pihak dalam organisasi PALAPES, tetapi tidak melibatkan pelajar-pelajar lain yang tidak menyertai PALAPES.
Kajian ini juga telah mendapati banyak perubahan yang berlaku kepada diri pelajar selepas mereka menyertai PALAPES Laut. semuanya bermula dengan amalan budaya kerja tentera yang diamal semasa dalam latihan dan di luar latihan dan ternyata ia mendisiplinkan dan meningkatkan kualiti hidup pelajar yang berkenaan.
Text
Sosio budaya Melayu
Keunikan amalan rewang di dalam masyarakat Jawa : kajian kes di Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan
Abstrak
Amalan rewang ini merupakan amalan tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Jawa sejak dari dahulu sehingga kini. Jika diteliti, amalan rewang ini sudah dianggap biasa sahaja di kalangan masyarakat setempat tetapi sebenarnya ia adalah suatu amalan yang mempunyai keunikan yang tersendiri. Di dalamnya itu sendiri mengandungi pelbagai kebudayaan yang lain. Rewang ini juga adalah salah satu amalan yang baik kerana ia boleh mengeratkan lagi hubungan silaturrahim masyarakat setempat.
Justeru, kajian ini dibuat agar keunikan rewang itu dapat dilihat dengan lebih jelas lagi. Jadi ia bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh masyarakat Jawa sahaja malahan masyarakat lain juga boleh mengetahui tentang amalan rewang ini. Oleh itu, secara tidak langsung dapat memberi sedikit ilmu berkaitan dengan amalan tradisi masyarakat Jawa ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Hubungan Etnik (Melayu dan Cina) di Pahang : Kajian kes di Felda Melati Jengka 11, Bandar Jengka
Abstrak
Perpaduan negara sememangnya amat penting bagi sebuah negara yang sedang membangun seperti negara Malaysia. Sehubungan itu, bagi mencapai perpaduan dan persefahaman yang sebenar, maka hubungan antara kelompok-kelompok etnik memainkan peranan yang penting. Maka, boleh dikatakan hubungan antara kumpulan etnik merupakan asas bagi perpaduan negara.
Memandangkan perpaduan antara kelompok-kelompok etnik ini adalah penting, maka kajian ini bertujuan melihat sejauh mana wujud perpaduan pelbagai kelompok etnik di Felda Melati Jengka 11 tahap dan jenis interaksi yang berlaku di tempat tersebut dan dasar-dasar yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.
Secara umum, hubungan di antara pelbagai kumpulan etnik di kawasan kajian ini agak baik dan memuaskan. Hal ini terbukti kerana tidak dapat konflik atau perselisihan kelompok etnik di kawasan ini. Empat faktor yang utama, seperti saling bertolak ansur, hidup saling bergantung, peranan persatuan penduduk, dan kebolehan menguasai bahasa lain bahasa ibunda sendiri telah menghalang perselisihan atau konflik kelompok etnik di Felda Melati Jengka11.
Kajian ini meneliti kepentingan aspek, sosial dalam hubungan kelompok etnik di kawasan kajian. Aspek ini memainkan dua peranan iaitu sebagai faktor penghalang dan faktor yang boleh menggalakkan hubungan antara kumpulan etnik. Hal ini kerana peluang pembangunan sosial dapat membantu merapatkan hubungan antara kumpulan etnik melalui pergaulan seharian dan berjaya mengurangkan ketegangan antara kumpulan etnik.
Text
Bahasa Melayu
Analisis makna ‘Tahu’ dan ‘Ilmu’ dalam konteks kepimpinan dari perspektif ungkapan Melayu
Abstrak
Kajian ini mengemukakan satu analisis tentang konsep dan hakikat ‘tahu’ dan ‘ilmu’ tentang pemimpin dalam ungkapan Melayu yang dahulu disampaikan secara lisan. Analisis yang dijalankan adalah berdasarkan korpus ‘Pemimpin dalam Ungkapan Melayu’ oleh Doktor H.Tenas Effendy. Pengkaji mendapati bahawa orang Melayu memang kaya pengetahuan tentang alam semulajadi dan bijak pula menggunakan pengetahuan itu dalam menjalani kehidupan yang harmoni. Pengetahuan orang Melayu bukan setakat tahu, tetapi tahu ilmu dan tahu pula bagaimana menggunakan pengetahuan itu sehingga cerdik, pandai, bijak dan arif. Kecerdikan, kepandaian, kebijaksanaan dan kearifan manusia Melayu boleh diukur dengan pengetahuan yang mereka miliki. Analisis ini bertujuan menyelongkar lapisan makna ‘tahu’ yang tersurat dan tersirat dalam ungkapan-ungkapan ini. Demi mengaitkan ungkapan itu dengan konsep semantik, kajian ini akan merujuk kepada kerangka konsep medan makna berdasarkan kata kunci, yang dapat menjelaskan makna dengan mendalam secara tersurat dan tersirat. Seterusnya, kajian akan dibuat dengan menggunakan kaedah kepustakaan dan kajian lapangan iaitu wawancara Doktor H. Tenas Effendy sendiri serta beberapa elita budaya terkenal.
Hasil kajian menunjukkan bahawa ungkapan-ungkapan Melayu merupakan gaya bahasa yang kreatif, positif dan halus. Dalam komunikasi lisan, ungkapan ini dapat disampaikan sebagai proses sosialisasi, memberi tunjuk-ajar yang berkesan kepada anak cucu. Kesimpulannya, penggunaan ungkapan dalam menyampaikan pesan dan nasihat memilih pemimpin merupakan satu strategi komunikasi yang berkesan. Ungkapan-ungkapan Melayu dapat menyampaikan pengetahuan kepada generasi muda supaya benar-benar tahu agar menjadi orang yang arif dan cerdik bijak pandai tentang hubungan alam dan isinya, ilmu sosial, politik dan agama, supaya serasi dengan kehidupan manusia. Jelas, segala ilmu pengetahuan yang dicadangkan dalam ungkapan Melayu itu patut ada pada seseorang yang mahu dipilih sebagai pemimpin Melayu. Elok kain, eloklah raginya. Elok pemimpin, eloklah negerinya.
Text
Sosio budaya Melayu
Perubatan herba dan bomoh akar kayu : Kajian kes di Kampung Kubur Panjang, Pendang, Kedah
Abstrak
Kajian yang akan dilakukan oleh pengkaji ini adalah mengenai perubatan tradisional Melayu. Namun pengkaji telah mengecilkan skop kajian kepada tumbuhan herba dan bomoh akar kayu. Kajian kes dilakukan di Kampung Kubur Panjang, Pendang , Kedah Darul Aman. Melalui kajian ini pengkaji akan cuba untuk mendapatkan maklumat tentang pandangan masyarakat yang tinggal di Kampung Kubur Panjang mengenai tumbuhan herba dan bomoh akar kayu.
Disamping itu, dalam kajian ini juga pengkaji cuba menghuraikan serba sedikit mengenai bomoh akar kayu yang tinggal kawasan kajian. Hal ini untuk membolehkan pengkaji memahami dengan lebih mendalam mengenai falsafah, kaedah perubatan, dan juga masa depan akar kayu. Selain itu pengkaji menghuraikan serba sedikit mengenai khasiat tumbuhan herba yang sering digunakan dalam kehidupan masyarakat tempatan dan penyakit yang boleh disembuhkan dengan tumbuhan tersebut.
Justeru, pengkaji mengharapkan melalui penulisan dalam latihan ilmiah ini, dapatlah memberi sedikit ilmu pengetahuan mengenai tumbuhan herba dan bomoh akar kayu. Walau ada segelintir kajian lepas yang membicarakan mengenai perubatan tradisional ini tetap kebanyakan daripadanya lebih cenderung berbicara mengenai rawatan wanita selepas bersalin dan urutan dalam masyarakat Melayu. Namun melalui kajian ini, pengkaji cuba mengkaji daripada perspektif masyarakat di kawasan kajian mengenai perubatan tradisional iaitu mengenai tumbuhan herba dan bomoh akar kayu.
Text
Sosio budaya Melayu
Tahap penguasaan imbuhan dalam kalangan pelajar di Sekolah Rendah Fengshan
Abstrak
Dalam peringkat darjah 3, terdapat sebilangan pelajar yang tidak mempunyai asas pengetahuan yang kukuh penggunaan imbuhan. Pelajar tersebut tidak mahir dalam mengaplikasikan imbuhan dalam karangan walaupun mereka telah didedahkan dengan komponen tersebut sejak di darjah satu lagi. Ada segelintir guru-guru pula menghadapi masalah dalam mengajar imbuhan kerana pada sangkaan mereka imbuhan adalah sesuatu komponen yang sukar diajar kepada pelajar. Guru-guru merasakan bahawa pengajaran komponen imbuhan adalah sesuatu yang akan membosankan pelajar kerana teori-teori yang perlu didedahkan. Akibatnya, ramai pelajar darjah 3 menghadapi masalah dalam penulisan karangan mereka kerana kurangnya pengetahuan dalam mengaplikasikan imbuhan semasa menghasilkan karangan.
Dengan menggunakan kaedah ujian diagnostik, pengkaji ingin mengenal pasti faktor penyebab kelemahan pelajar darjah 3 dalam kemahiran menulis karangan dan apakah imbuhan yang sering menyebabkan kesilapan serta imbuhan apakah yang sering digunakan pelajar dalam penulisan karangan.
Satu ujian diagnostik (pengesanan) telah dibina khusus untuk mengenal pasti kelemahan pelajar dalam pengaplikasian imbuhan dalam karangan yang melibatkan imbuhan awalan, apitan dan akhiran. Kemahiran tersebut merangkumi morfologi, sintaksis, pembentukan kata serta kerelevanan isi dalam karangan tersebut.
Dapatan kajian ini dapat digunakan oleh pengkaji untuk mengenal pasti kelemahan yang lazim dilakukan oleh pelajar dalam penggunaan imbuhan dalam karangan, penggunaan yang sering dilakukan oleh pelajar dalam karangan mereka. Pada pengakhiran penyelidikan ini, pengkaji mendapati bahawa terdapat kelemahan -kelemahan para pelajar ini dalam pengaplikasian imbuhan dalam karangan mereka.
Text
Kesenian Melayu
Tarian Dabus: Satu tarian tradisional Negeri Perak Darul Ridzuan
Abstrak
Dalam kajian ini, setiap data atau maklumat yang di perolehi telah disusun oleh pengkaji mengikut pembahagian bab yang tertentu. Kajian ini keseluruhannya memuatkan 9 buah bab termasuk bahagian pengenalan. Setiap bab mempunyai bahagian-bahagian tajuk yang tertentu.
Bahagian pengenalan adalah Bab 1. Kajian ini yang mengandungi pendahuluan, permasalahan kajian, tujuan kajian, kajian lepas, dan metodologi kajian yang berfungsi memberi gambaran secara menyeluruh tetapi ringkas mengenai kajian ini.
Dalam Bab 2 pula, tumpuan kajian diberikan kepada kawasan kajian yang meliputi sejarah asal usul nama negeri dan juga daerah yang menjadi kawasan kajian pengkaji.
Dalam Bab 3 pula, kajian tertumpu dalam bidang Tarian Dabus itu sendiri. Antaranya ialah unsur dasar tari, elemen tari, dan pengertian tarian Melayu dan perkembangannya secara umum.
Dalam Bab 4, skop kajian ialah tentang Dabus sebagai satuntarian tradisi di Perak yang meliputi mengenai asal usul Tarian Dabus, sejarah dabus di Perak, dan persembahan Tarian Dabus.
Dalam Bab 5 pula, skop kajian adalah tentang lagu dalam Tarian Dabus dan juga jenis alat muzik yang digunakan bagi mengiringi Tarian Dabus. Dalam Bab 6, skop kajian lebih tertumpu tentang busana atau pakaian serta perhiasan diri yang dipakai oleh para penari.
Bab 7 pula menerangkan tentang pergerakan asas yang dilakukan oleh para penari serta cara-cara Dabus ditarikan. Dalam bab ini juga diterangkan Dabus yang berunsur ritual.
Bab 8, skop kajian ialah menerangkan tentang fungsi Tarian Dabus dalam masyarakat yang meliputi aspek hiburan, sosial, ekonomi, dan juga alat kesatuan masyarakat. Dalam bab akhir pula iaitu Bab 9 ialah kesimpulan atau rumusan secara menyeluruh.
Text
Sosio budaya Melayu
Dinamika kepercayaan petani terhadap usaha padi sawah : Kajian kes di Kubang Pasu, Kedah
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang dinamika kepercayaan petani terhadap usaha padi sawah di Kubang Pasu , Kedah. Penyelidikan dilaksanakan pada cuti semester 2008 dengan menggunakan kaedah soal selidik, temuramah, pemerhatian ikut serta terhadap petani yang ditemuramah berdasarkan kaedah yang disebutkan itu.
Latihan ilmiah ini merangkumi gambaran umum tentang kegiatan pertanian, aktiviti ekonomi utama dan kemudahan, peranan agensi-agensi, proses-proses penanaman padi, perkaitan amalan pertanian dari masa ke semasa mengalami perubahan ke arah kemodenan. Manakala kepercayaan petani tradisi dalam hal-hal usaha bertani tradisi kadangkala boleh bertahan tetapi seringkali tidak boleh melawan arus perubahan itu. Agensi pembangunan dalam bidang pertanian memainkan peranan besar dalam pemodenan pertanian. Petani berusaha mengadaptasinya terhadap permodenan itu. Namun, dimana-mana jua kepercayaan petani tetap kekal terutama apabila petani berhadapan dengan prinsip budaya yang telah berakar umbi.
Text
Sosio budaya Melayu
Pekerja asing dalam sektor perladangan kelapa sawit : Kajian kes di Ladang Tunjuk Laut, Kota Tinggi, Johor
Abstrak
Latihan ilmiah ini adalah berkaitan dengan pekerja asing Indonesia yang terlibat dan bekerja dalam sektor perladangan. Kajian kes telah dilakukan di Ladang Tunjuk Laut, Kota Tinggi, Johor.
Pada peringkat permulaan, pengkaji menjelaskan mengenai bidang kajian yang dilakukan dan metodologi yang digunakan. Pengkaji juga turut menjelaskan mengenai sejarah penghijrahan pekerja asing ke Malaysia dan tumpuan lebih kepada pekerja asing Indonesia. Banyak faktor yang telah memainkan dalam terjadinya proses migrasi ini iaitu yang terdiri dari faktor tolakan dari negara sendiri dan faktor tarikan pula faktor dari sesebuah negara lain yang menarik minat dan menjadi negara pilihan untuk melakukan migrasi.
Selain itu, diterangkan juga sejarah perusahaan dan penubuhan ladang kelapa sawit di malaysia dan tentang latar belakang kawasan kajian iaitu Ladang Tunjuk Laut. Organisasi kawalan yang terdiri daripada Johor Corporation, EPA Management Sdn.Bhd, dan Kulim (Malaysia) Berhad turut disertakan dalam kajian yang dilakukan. Pengkaji juga turut menyentuh mengenai prosedur pekerja asing Indonesia ini di ladang dan maklumat yang diperoleh mengenai mereka seperti sedikit latar belakang mereka.
Aspek ekonomi dan pekerjaan pula merangkumi aktiviti kerja yang dipecahkan kepada jenis pekerjaan, waktu bekerja, dan pengangkutan yang digunakan untuk bekerja. Berdasarkan kajian, pengkaji mendapati gaji yang diberikan kepada pekerja adalah berbeza iaitu terdiri daripada gaji hari, gaji borong, gaji penuaian buah sawit. Gaji yang diperolehi tersebut digunakan sebaiknya oleh pekerja asing Indonesia ini. Gaji tersebut digunakan untuk perbelanjaan seharian, simpanan peribadi, dan melakukan kiriman wang dikampung.
Dalam bab yang seterusnya disentuh mengenai aspek sosial. Kemudahan-kemudahan asas telah disediakan oleh pihak majikan. Kemudahan yang disediakan dapat memberi keselesaan dan kebajikan pekerja dijaga. Masa lapang mereka diisi dengan beberapa aktiviti seperti bersukan dan memancing. Berlaku juga hubungan sosial pekerja asing Indonesia ini dengan majikan, masyarakat setempat, rakan senegara, dan kampung halaman. Perancangan masa hadapan mereka pula, pengkaji mendapati majoriti dari mereka tidak berminat untuk menyambung kontrak bekerja.
Di akhir kajian pengkaji mendapati objektif kajian tercapai dan diselitkan juga mengenai isu pendatang asing yang semakin hangat diperdebatkan.
Text
Sosio budaya Melayu
Main Puteri : Suatu teknik perubatan dalam masyarakat Melayu Kelantan
Abstrak
Kajian yang dilakukan oleh pengkaji adalah mengenai persembahan Main Puteri yang digunakan untuk mengubati keuzuran yang dialami oleh pesakit yang berpunca daripada makhluk halus. Perubatan yang dijalankan ini masih lagi diamalkan oleh kebanyakan masyarakat yang masih mempercayai terhadap perubatan tinggalan nenek moyang kita dahulu. Perubatan dengan cara persembahan Main Puteri ini dipercayai mampu mengubati pesakit daripada gangguan makhluk halus menggunakan teknik perubatan tertentu.
Bagi membuktikan persembahan Main Puteri mampu merawat dan menyembuhkan penyakit yang berpunca daripada makhluk halus, kajian yang terperinci harus dilakukan untuk membuktikan kebenarannya. Oleh itu, pengkaji menjalankan kajian terhadap persembahan Main Puteri yang diadakan di Kampung Pauh Sembilan, Bachok, Kelantan. Kajian ini menuntut pengkaji untuk sama-sama menyertai persembahan Main Puteri yang diadakan untuk melihat sendiri persembahan yang dijalankan. Penyertaan pengkaji dalam persembahan ini membantu pengkaji mengutip maklumat yang pengkaji perlukan untuk melengkapkan hasil kajiannya. Selain itu, pengkaji turut menemui golongan yang arif dalam persembahan Main Puteri bagi maklumat tentang Main Puteri . Maklumat-maklumat ini penting bagi pengkaji untuk mengukuhkan lagi pengetahuan yang sedia ada tentang persembahan main Puteri.
Berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi, pengkaji akhirnya dapat mencapai matlamat kajiannya apabila berjaya mengutip maklumat yang diperlukan untuk kajiannya. Daripada kajian yang dihasilkan, pengkaji menemui penemuan baru mengenai persembahan Main Puteri dalam mengubati penyakit yang berpunca daripada makhluk halus. Akhirnya terbukti bahawa Main Puteri mampu mengubati penyakit seseorang yang berpunca daripada makhluk halus.
Text
Perubatan tradisional : Satu kajian kes terhadap penggunaan khidmat bomoh di kalangan golongan berpendidikan tinggi di Kelantan
Abstrak
Latihan ilmiah ini mengandungi enam bab. Dalam bab yang pertama iaitu bab pengenalan terkandung objektif kajian iaitu melihat penggunaan khidmat bomoh di kalangan golongan berpendidikan di Kelantan. Juga dimasukkan permasalahan kajian skop kajian, metodologi kajian iaitu pengkaji menggunakan beberapa kaedah kajian dalam mengumpulkan maklumat bagi mencapai objektif kajian. Dalam bab satu juga terkandung takrif dan konsep-konsep yang berkaitan dengan kajian serta dimuatkan kajian-kajian lepas.
Bab dua pula mengandungi latar belakang kajian yang menjuruskan kepada asal usul perubatan tradisional Melayu, unsur-unsur yang mempengaruhi perubatan tradisional ini iaitu pengaruh animisme, Hindu-Buddha dan Islam. Dalam bab ini juga disenaraikan jenis-jenis bomoh yang ada dalam bidang perbomohan ini, pendidikan di kalangan bomoh serta cara mendapatkan ilmu perbomohan iaitu dibahagikan kepada empat cara, yang pertama melalui pewarisan, kedua menuntut, ketiga melalui mimpi/ilham dan yang keempat melalui objek-objek tertentu. Dalam bab ini juga turut diselitkan tentang teknik-teknik pengubatan yang biasa digunakan dalam perbomohan, amalan-amalan yang dibenarkan dan dilarang dalam perbomohan ini.
Manakala dalam bab ketiga terkandung profil empat orang bomoh di Kelantan yang telah ditemubual oleh pengkaji. Seterusnya bab keempat merupakan bab analisis soal selidik berdasarkan borang soal selidik yang menyenaraikan soalan-soalan yang menjurus kepada objektif kajian yang telah ditandakan oleh 40 orang responden yang telah dianalisis dan diterjemahkan dalam bentuk jadual dan graf. Bab kelima merupakan bab perbincangan yang telah dibuat berdasarkan kepada jawapan responden melalui soal selidik yang telah diedarkan. Bab terakhir adalah merupakan rumusan dan kesimpulan secara menyeluruh berdasarkan keseluruhan kajian ini.
Dalam kajian ini pengkaji memasukkan ilmu tentang perubatan tradisional Melayu yang menjuruskan kepada perbomohan. Kajian ini adalah khusus bagi melihat penggunaan khidmat bomoh di kalangan golongan yang berpendidikan tinggi di Kelantan. Pengkaji telah menggunakan kaedah-kaedah yang difikirkan sesuai bagi mendapat maklumat yang menjuruskan kepada objektif kajian. Hasil maklumat yang diperolehi telah dianalisis dan diterjemahkan dalam bentuk yang mudah difahami oleh pembaca. Perbincangan juga telah dibuat bagi mengukuhkan dan menyokong objektif yang dibuat berdasarkan jawapan daripada borang soal selidik. Daripada borang soal selidik inilah pengkaji menganalisis maklumat dan membuat perbincangan bagi mendapatkan jawapan kepada objektif yang telah dibuat.
Secara keseluruhan, pengkaji telah mendapat maklumat sewajarnya berkaitan dengan bidang kajian membuktikan objektif yang telah dibuat. Namun, penyelidikan lebih mendalam boleh dilakukan dalam memperlihatkan signifikan kajian ini dengan masyarakat kini.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengangkut air dan pembangunan jabatan : satu kajian kes perkhidmatan Feri Pulau Pinang
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang aspek perkhidmatan feri Pulau Pinang. Kajian ini dilihatkan berdasarkan persaingan perkhidmatan feri di Pulau Pinang dengan Jambatan Pulau Pinang sebagai satu laluan untuk menyeberangi Tanah Besar ke bahagian pulau atau sebaliknya. Kajian menggunakan kaedah perpustakaan dan kajian lapangan. Kajian lapangan yang dijalankan termasuklah soal-selidik, pemerhati turut serta, temubual dan teknik analisis data.
Responden yang terlibat dalam kajian selidik terdiri daripada pengguna feri sama ada penumpang pejalan kaki dan penumpang feri berkenderaan. Responden ini dipilih secara rawak oleh pengkaji. Data kajian pengkaji mendapat pelbagai maklum balas daripada soal selidik yang dilakukan. Hasil kajian menunjukkan feri dan Jambatan Pulau Pinang ini saling berkaitan dalam memenuhi tuntutan masyarakat.
Text
Kesenian Melayu
Sejarah perkembangan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dari Akademi ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT)
Abstrak
Kajian ini tertumpu kepada sejarah perkembangan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang dahulunya dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Ia merupakan satu-satunya institusi yang fokus kepada bidang seni dan budaya semata-mata. Penulis akan memaparkan kronologi peristiwa yang dilalui sebalik penubuhan institusi tersebut. Tujuannya adalah mendedahkan kepada masyarakat, akibat kurangnya maklumat berkenaan aspek tersebut.
Penulis juga akan menunjukkan peranan yang dimainkan Aswara sebelum dan selepas dinaiktarafkan menjadi Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Aswara ditadbir sepenuhnya oleh Kementerian Perpaduan Kebudayaan dan Kesenian Warisan (KPKKW). Inilah yang sering menjadi tanda tanya masyarakat. Pada kebiasaannya, sesebuah institusi yang berkaitan dengan bidang pendidikan akan dinaungi oleh kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Penulis akan menghuraikan konflik yang dihadapi oleh Aswara dalam meneruskan peranannya.
Di sebalik konflik yang dihadapi ini, Aswara terus giat berkembang. Ini dapat dibuktikan melalui pencapaian demi pencapaian yang diraihnya. Pencapaian yang diraihnya bukan sahaja di peringkat dalam negara, malahan turut melintasi sempadan antarabangsa. Keadaan ini amat membanggakan negara. Selain itu, tindakan Aswara yang mengetengahkan nilai seni budaya tradisional pelbagai kaum dalam pembelajaran dan pengajarannya merupakan tindakan yang wajar dipuji. Ini kerana, budaya warisan tradisional ini mempunyai nilai seni yang tinggi.
Pendekatan yang diambil oleh Aswara dalam pengajarannya juga berbeza dengan kebanyakan IPT lain. Ini kerana Aswara lebih menekankan kepada aspek praktikal berbanding teori. Tujuannya ialah memberikan situasi sebenar kepada para pelajarnya dengan alam pekerjaan. Keadaan ini akan melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dan berketerampilan. Pelbagai usaha telah diambil untuk memantapkan lagi pelaksanaan Aswara dalam memartabatkan bidang seni dan warisan ini. Usaha yang paling ketara ialah melalui Pelan Strategik Aswara 2008-2016 yang dilihat sebagai perancangan yang paling sistematik dalam merangka perkembangan Aswara.
Diharapkan kajian ini berupaya membantu memberikan maklumat kepada masyarakat umum berkaitan Aswara yang memainkan peranan penting dalam memartabatkan seni budaya warisan. Banyak manfaat di sebalik penubuhan Aswara ini. Oleh yang demikian, penubuhannya adalah wajar dan bersesuaian dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK).
Text
Sosio budaya Melayu
Perusahaan tembikar di Sayong, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai perusahaan tembikar di Sayong, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Dalam kajian ini dinyatakan perusahaan tembikar secara umum di Malaysia, dengan fokus kepada perusahaan tembikar di Sayong. Maklumat berkenaan latar belakang pengusaha dan perusahaannya turut dimuatkan. Seterusnya dibincangkan perubahan dan perkembangan yang berlaku dalam perusahaan tembikar ini, dengan penekanan kepada aspek pembuatan, alat dan bahan, serta teknologi terkini yang digunakan. Akhir sekali dinyatakan sedikit sebanyak perancangan bagi memajukan lagi industri tersebut.
Text
Fonologi bahasa Kerinchi : Satu kajian di Kampung Kerinchi
Abstrak
Kajian yang dilakukan ini adalah tentang bahasa Kerinchi. Kajian ini tertumpu kepada aspek fonologi bahasa Kerinchi. Secara amnya, fonologi merupakan bidang yang mengkaji bunyi-bunyi bahasa. Dalam kajian ini, sistem vokal dan konsonan yang terdapat dalam bahasa Kerinchi turut dilihat. Penjenisan setiap vokal juga dilihat sama ada vokal-vokal tersebut terdiri daripada vokal hadapan, vokal tengah atau vokal belakang. Hal yang sama turut dilihat bagi bunyi-bunyi konsonan bahasa Kerinchi, iaitu sama ada terdapatnya bunyi plosif, afrikat, palatal, nasal dan lain-lain. Disamping itu, tinjauan juga dibuat berdasarkan kepada penyebaran vokal dan konsonan yang terdapat dalam bahasa tersebut, sama ada boleh hadir di awal kata, tengah kata, dan akhir kata. Kajian ini turut menyentuh tentang bunyi-bunyi diftong yang terdapat dalam bahasa Kerinchi. Selain itu, kajian ini turut membincangkan tentang rangkap fonem yang terbahagi kepada rangkap vokal dan rangkap konsonan. Seterusnya, kajian turut melihat proses perubahan fonologi bahasa Kerinchi. Proses perubahan yang diteliti adalah seperti kesejajaran fonem, penggantian, pendiftongan, penasalan dan sebagainya.
Text
Sosio budaya Melayu
Pendapatan petani yang menyewa tanah untuk pertanian padi : Satu kajian kes di beberapa buah kampung di Daerah Besut, Terengganu
Abstrak
Aktiviti pertanian sememangnya sangat sinonim masyarakat Melayu yang tinggal di luar bandar kerana kegiatan pertanian merupakan aktiviti tradisi masyarakat Melayu untuk menampung kehidupan harian mereka.hal ini kerana masyarakat Melayu tradisi tinggal di luar bandar sejak dahulu sehingga penjajahan British dan sehingga sekarang, yang mana majoriti penduduk di luar bandar ialah orang-orang Melayu. Antara pertanian yang dilakukan ialah tanaman padi, getah, kelapa sawit, nelayan dan sebagainya.
Pertanian padi merupakan aktiviti pertanian yang utama kerana beras merupakan makanan ruji masyarakat di Malaysia.Pendapatan golongan ini masih lagi ditaraf yang rendah jika hendak dibandingkan dengan sektor lain.
Kajian yang akan dijalankan ini adalah untuk melihat pendapatan dan juga kos pengeluaran yang terpaksa ditanggung oleh petani yang menyewa tanah untuk tanaman padi ini. Hal ini kerana petani ingin membesarkan saiz milikan tanah untuk tanaman padi supaya mendapat hasil yang tinggi dan juga mengusahakan tanah yang terbiar yang mana tuan tanah sudah tidak lagi mampu untuk mengerjakan tanah tersebut, manakala anak-anak pula tidak mahu mewarisi pekerjaan tersebut.
Kajian ini dilakukan di beberapa buah kampung yang berada dalam daerah Besut, Terengganu, iaitu Kampung Apal, Kampung Batang gergaji dan juga Kampung Pohon Ta. Yang mana di kawasan kajian ini masih ramai petani yang menyewa tanah untuk pertanian padi.
Text
Kesenian Melayu
Seni ukiran meriam : Manifestasi falsafah dan pemikiran masyarakat Melayu
Abstrak
Seni ukiran meriam merupakan salah satu hasil kesenian masyarakat Melayu tradisional. Ia merupakan salah satu alat atau material yang telah digunakan oleh masyarakat Melayu bagi mencapai maksud dan tujuan pada ketika itu iaitu dalam peperangan. Mereka telah mencipta alat material ini bagi memenuhi keperluan asas dan kemudiannya disesuaikan penggunaannya mengikut masa dan zaman. Kini, meriam hanya dijadikan sebagai lambang kemewahan dan kekuasaan seseorang pemerintah.
Meriam mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu. Peranan inilah yang membezakan penggunaannya pada masa dahulu dan sekarang. Selain sebagai alat material, meriam dijadikan sebagai salah satu sumber komunikasi bagi menyampaikan nasihat dan panduan kepada masyarakatnya. Melalui alat ini, falsafah dan pemikiran masyarakat tradisional dapat dinilai dan dianalisis. Nasihat dan pengajaran yang disampaikan bertujuan untuk kesejahteraan dan keharmonian masyarakat terutamanya dalam pembentukan keluarga yang sempurna. Meriam mempunyai masa depan yang baik jika dipelihara dan dikekalkan. Meriam perlu dikekalkan sama ada di muzium, kota, istana, dan balai polis. Pengekalannya perlu bagi memastikan tamadun manusia dapat dibuktikan melalui penghasilan material ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Dampak industri pelancongan terhadap sosioekonomi-budaya : Satu kajian kes di Pulau Langkawi
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang dampak industri pelancongan terhadap sosioekonomi-budaya penduduk tempatan di Pulau Langkawi khususnya di mukim padang matsirat.Tiga buah kampung telah dipilih sebagai sampel iaitu Kampung Kuala Teriang, Kampung Batu Ara dan Kampung Beras Terbakar. Kajian menggunakan kaedah. Kajian menggunakan kaedah perpustakaan dan kajian lapangan. Kajian lapangan yang dijalankan termasuklah soal selidik, pemerhatian turut serta, temubual, dan teknik analisis data.
Responden yang terlibat terdiri daripada masyarakat tempatan yang masih kental dengan nilai-nilai budayanya dan masih mengamalkan kegiatan ekonomi tradisi seperti nelayan dan petani (pesawah). Responden ini dipilih secara rawak oleh pengkaji. Kajian pengkaji mendapat pelbagai maklum balas daripada soal selidik yang dijalankan. Hasil kajian yang dilakukan didapati terdapat beberapa kesan positif berupa peningkatan penghasilan tetapi sebaliknya ada unsur-unsur negatif yang timbul akibat interaksi masyarakat tempatan dengan pelancongan berbentuk nilai-nilai budaya yang telah menurun.
Text
Sosio budaya Melayu
Perniagaan tani : Satu kajian kes di Pasar Sehari Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu
Abstrak
Pertanian bukanlah suatu perkara yang asing dalam lumrah kehidupan masyarakat Melayu. Aktiviti pertanian sentiasa sahaja berlaku, iaitu sejak dari zaman nenek moyang kita lagi dan berterusan sehingga sekarang. Apatah lagi jika ditinjau akan kehidupan masyarakat Melayu yang berada di kawasan pedalaman, rata-rata kebanyakan daripada mereka adalah terdiri daripada golongan tani.
Sumber ekonomi utama yang menjana pendapatan kepada mereka ialah penjualan hasil tani yang dihasilkan secara langsung dan ia tidak melibatkan golongan tengah yang sentiasa cuba mengambil kesempatan untuk memperoleh keuntungan hasil daripada titik peluh petani.
Dalam era globalisasi kini, pertanian dianggap sebagai satu perniagaan. Peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan, khususnya oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas tani, yang mewujudkan kesedaran bahawa “ pertanian adalah perniagaan” Menggambarkan komitmen tinggi kerajaan dalam memperkasakan pertanian baharu dan membudayakan pertanian sebagai perniagaan.
Kajian ini dilakukan oleh setelah mengamati sendiri situasi yang berlaku dalam kegiatan perniagaan yang dijalankan di Pasar Bandar Kuala Berang. Tumpuan terarah kepada golongan petani Melayu yang menjual sendiri hasil tani mereka secara terus kepada pengguna. Lokasi spesifik kajian ialah di Pasar Sehari Bandar Kuala Berang yang menjadi salah satu pusat aktiviti ekonomi utama orang Melayu, khasnya mereka yang menetap di kawasan pedalaman Hulu Terengganu.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengurusan artifak etnologi : Satu kajian terhadap Muzium Sarawak
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang pengurusan artifak di Muzium Sarawak dan kajian ini tertumpu di Muzium Sarawak Bangunan Lama, Kuching, Sarawak. Matlamat utama kajian ini adalah untuk memahami dan merakamkan proses-proses pengurusan artifak etnologi yang ditugaskan kepada Jabatan Muzium Sarawak. Diharapkan adanya kepengurusan artifak yang baik akan berguna untuk memelihara pelestarian warisan budaya sepanjang sejarah negeri Sarawak. Kajian membuktikan peranan yang dimainkan oleh Muzium Sarawak dalam memulihara artifak etnologi amat besar dan amat berkesan. Hal ini terlihat daripada prosedur pengurusan artifak yang bersesuaian dalam mengekalkan hayat artifak yang ada di Muzium Sarawak.
Text
Perbezaan nilai-nilai kebudayaan orang asli tentang pelajaran : Kajian kes masyarakat Semai Bt. 14 Jalan Pahang Cameron Higlands
Abstrak
Penyelidikan pengkaji ini adalah sebuah penyelidikan dalam merungkai sistem pembelajaran masyarakat orang asli yakni sebuah sistem pembelajaran yang berbeza dengan sistem pembelajaran formal yang ada dalam negara ini. Perbezaan tersebut adalah kerana penerapan nilai tentang pelajaran dalam kedua-dua sistem tersebut berbeza dan saling bercanggah antara satu sama lain.
Justeru penyelidikan pengkaji ini adalah bertujuan melihat bagaimana penerapan nilai tersebut berbeza dalam sistem pembelajaran masyarakat orang asli dan sistem pembelajaran formal yang akhirnya ia saling bercanggah antara satu sama lain dalam memahami sistem nilai pelajaran masyarakat orang asli khususnya.
Showing 101 to 150 of 285 results
Page
of 6
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->