Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (285 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Latihan ilmiah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Kesenian Melayu
Seni ukiran Melayu : Biografi pengukir Zainon bin Ahmad
Abstrak
Kajian ini membincangkan tentang seni ukiran kayu Melayu tradisi, namun begitu ianya lebih berfokus kepada biografi tokoh pengukir di negara ini. Bagi tujuan tersebut, utama bag melihat latar belakang hidupnya dan juga hasil karyanya. Tujuan utama ini adalah untuk memperkenalkan dan mendokumentasikan tentang tokoh pengukir tersebut. Selain itu, kajian ini juga turut menggunakan pendekatan konsep estetika Melayu yang ditekankan oleh Zakaria Ali dalam bukunya ‘Seni dan Seniman’ bagi menilai pemikiran dalam karya tokoh pengukir ini. Daripada kajian yang dilakukan ini, penulis dapat mendokumentasikan tentang biografi pengukir tersebut dan mendapati terdapat beberapa prinsip estetika Melayu yang bertepatan dengan pemikiran dalam karya tokoh pengukir ini.
Text
Kesenian Melayu
Seni ukiran meriam : Manifestasi falsafah dan pemikiran masyarakat Melayu
Abstrak
Seni ukiran meriam merupakan salah satu hasil kesenian masyarakat Melayu tradisional. Ia merupakan salah satu alat atau material yang telah digunakan oleh masyarakat Melayu bagi mencapai maksud dan tujuan pada ketika itu iaitu dalam peperangan. Mereka telah mencipta alat material ini bagi memenuhi keperluan asas dan kemudiannya disesuaikan penggunaannya mengikut masa dan zaman. Kini, meriam hanya dijadikan sebagai lambang kemewahan dan kekuasaan seseorang pemerintah.
Meriam mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu. Peranan inilah yang membezakan penggunaannya pada masa dahulu dan sekarang. Selain sebagai alat material, meriam dijadikan sebagai salah satu sumber komunikasi bagi menyampaikan nasihat dan panduan kepada masyarakatnya. Melalui alat ini, falsafah dan pemikiran masyarakat tradisional dapat dinilai dan dianalisis. Nasihat dan pengajaran yang disampaikan bertujuan untuk kesejahteraan dan keharmonian masyarakat terutamanya dalam pembentukan keluarga yang sempurna. Meriam mempunyai masa depan yang baik jika dipelihara dan dikekalkan. Meriam perlu dikekalkan sama ada di muzium, kota, istana, dan balai polis. Pengekalannya perlu bagi memastikan tamadun manusia dapat dibuktikan melalui penghasilan material ini.
Text
Bahasa Melayu
Sikap dan motivasi dalam penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar darjah enam di Singapura
Abstrak
Kertas penyelidikan ini bertujuan untuk menganalisis tahap penguasaan bahasa murid-murid darjah 6 di Singapura yang dipengaruhi oleh sikap dan motivasi. Penyelidikan ini juga akan menganalisis hubungan sikap dan motivasi pelajar darjah 6 di Singapura terhadap pembelajaran bahasa Melayu serta bagaimana peranan guru, keluarga dan rakan sebaya dalam proses penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu. Responden penyelidikan terdiri daripada 50 murid dari Sekolah Rendah Telok Kurau di Singapura. Analisis statistik yang digunakan ialah kaedah compute dan Korelasi Spearman. Hasil dapatan penyelidikan menunjukkan bahawa responden mempunyai sikap yang positif terhadap bahasa Melayu. Penyelidikan ini juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang positif antara sikap dan motivasi yang tinggi mempunyai sikap yang positif manakala responden yang bermotivasi rendah mempunyai sikap yang negatif terhadap bahasa Melayu. Di samping itu, penyelidikan ini juga memperlihatkan bahawa kebanyakan responden mendapat motivasi yang tinggi dari guru mereka tetapi bukan dari keluarga dan rakan sebaya mereka. Hal ini membuktikan sebab kemerosotan pencapaian Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah pada tahun sebelumnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Sikap pelawat terhadap kualiti perkhidmatan Muzium : Kajian kes di Jabatan Muzium Sarawak
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang sikap pelawat muzium terhadap kualiti perkhidmatan di Jabatan Muzium Sarawak. Objektif kajian ini ialah untuk mengetahui bentuk dan arah sikap pelawat muzium itu terhadap objek sikap. Objek sikap yang berinteraksi dengan sikap pelawat ditampilkan dalam kajian ini didapati sikap sebenar bagi pelawat ialah kefahaman awal mereka terhadap objek sikap sebelum mereka melawat bersesuaian dengan informasi daripada objek sikap. Pengetahuan pandangan dan pemahaman objek sikap terlihat di antara pelawat boleh memberi bentuk sikap suka dan sebaliknya terhadap objek sikap.
Penemuan menunjukkan pelawat muzium dapat menyifatkan objek sikap tertentu yang ditunjukkan oleh artifak adalah gambaran umum terhadap perkhidmatan muzium. Perkhidmatan yang baik selari dengan objek sikap pelawat dan tidak selari adalah sebaliknya. Dalam artifak tertentu, pelawat boleh bersikap negatif kerana perkhidmatan mungkin kurang baik dan terdapat kekangan yang timbul dan tidak dapat diatasi oleh pihak muzium.
Text
sastera Melayu
Simbolisme dalam Susur Pendekar
Abstrak
Latihan ilmiah ini merupakan satu kajian menganalisis pendekatan simbolisme dalam sebuah buku koleksi puisi iaitu Susur Pendekar karya Muhammad Jailani Abu Talib. Bagi tujuan ini, pengkaji telah memilih 19 buah puisi dari buku tersebut dan puisi-puisi tersebut telah memuatkan simbol-simbol yang mempunyai kaitan dengan makna yang tersurat dan tersirat. Simbol merupakan satu unsur bahasa-budaya yang menyimpan makna serta mencerminkan minda masyarakat Melayu pada zaman itu.hal ini secara tidak langsung menunjukkan kesinambungan minda generasi masyarakat Melayu seterusnya sepertimana yang dipancarkan dalam karya sastera moden Susur Pendekar. Bagi kajian ini, teori semiotik berdasarkan pendekatan simbolisme akan digunakan sekali gus menekankan bahawa analisis simbol ini adalah bertitik-tolak dari makna atau definisi makna simbol itu saja. Berlandaskan dari itu, kajian analisis pendekatan simbolisme dalam koleksi puisi Susur Pendekar dikelompokkan kepada beberapa kategori simbol. Antaranya termasuklah simbol pendekar, silat, keris, bunga,warna, cakerawala dan binatang.
Text
Sistem bunyi Bahasa Lundayeh : Kajian kes di Kampung Baru Jumpa Tenom, Sabah
Abstrak
Latihan ilmiah ini adalah kajian mengenai sistem bunyi Bahasa Lundayeh yang dituturkan di Kampung Baru Jumpa Tenom, Sabah.
Kajian ini terbahagi kepada 5 bahagian yang utama, iaitu bab 1 sebagai pendahuluan, bab 2 sebagai definisi-definisi sistem bunyi, bab 3 dan bab 4 membincangkan tentang bunyi vokal, konsonan, diftong, rangkap fenom dan gandaan fenom serta bab 5 sebagai kesimpulan.
Bab 1 membuka tirai kajian dengan mengemukakan serta menjelaskan tentang latar belakang kajian, permasalahan kajian,kajian terdahulu, tujuan kajian, metodologi dan masalah dalam kajian.
Bab 2 pula membincangkan tentang definisi-definisi sistem bunyi bahasa berdasarkan pendapat tokoh-tokoh bahasa dan memberi contoh secara umum sahaja. Aspek sistem bunyi yang didefinisikan ialah vokal, konsonan, diftong, rangkap vokal, rangkap konsonan, gandaan fonem dan ciri-ciri koartikulasi yang hadir dalam vokal dan konsonan
Seterusnya, huraian mengenai sistem bunyi vokal Bahasa Lundayeh dihurai dalam bab 3. Kajian sistem vokal ini dibuat berdasarkan penyebaran vokal, iaitu di suku kata terbuka di awal dan akhir kata dan suku kata tertutup di awal dan akhir kata. Bab ini juga menghuraikan tentang bunyi diftong Bahasa Lundayeh serta meneliti rangkap vokal yang wujud. Vokal Bahasa Lundayeh yang diteliti diringkaskan dalam bentuk jadual.
Bab 4 juga menghuraikan salah satu sistem bunyi yang wujud iaitu sistem konsonan Bahasa Lundayeh. Seperti juga sistem vokal konsonan juga dihuraikan dengan melihat penyebarannya di awal, tengah dan akhir kata. Selain itu, bab ini juga membincangkan tentang rangkap konsonan dan gandaan konsonan.
Untuk mengakhiri kajian ini, bab 5 sebagai penutup tirai membuat kesimpulan berdasarkan bab-bab yang sebelumnya. Bab ini juga membuat sedikit perbandingan Bahasa Lundayeh yang terdapat buku Asmah Haji Omar iaitu Susur Galur Bahasa Melayu dengan dapatan kajian latihan ini. Disertakan juga cadangan dan harapan untuk kajian yang selanjutnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Sistem jaringan perniagaan dalam kalangan peniaga kecil Melayu di Ayer Hitam, Batu Pahat Johor
Abstrak
Jaringan perniagaan merupakan yang penting bagi memastikan sesebuah perniagaan itu mampu untuk bertahan dan bersaing dengan perniagaan lain di samping membantu untuk mengukuhkan lagi perniagaan tersebut. Di dalam jaringan perniagaan, terdapat beberapa aspek yang dikaji untuk melihat bagaimana seseorang peniaga itu menjalankan keseluruhan operasi jaringan perniagaan seharian yang bentuk jaringan, rakan jaringan dan masalah jaringan . Perkara-perkara ini seterusnya dinilai bagi melihat tahap kecekapan peniaga dalam mengurus jaringan perniagaan kerana perkara inilah antara elemen yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah perniagaan itu dan menjamin kelangsungan dan keberadaan perniagaan itu di pasaran. Oleh hal yang demikian, peniaga-peniaga perlu mengurus jaringan perniagaan dengan sistematik supaya perniagaan mereka berjalan dengan lancar.
Text
Sosio budaya Melayu
Sistem sokongan dalam pendidikan di peringkat
Sekolah Menengah : Kajian kes Yong Peng, Johor
Abstrak
Pendidikan merupakan salah satu medium untuk mengubah mobiliti sosial seseorang. Malah melalui pendidikan yang Disalurkan kepada masyarakat akan membantu peningkatan pembangunan negara. Hal ini demikian kerana,pelajar akan menjadi pewaris kepada tampuk pemerintahan negara. Oleh itu, pendidikan yang berkesan sewajarnya diberikan kepada pelajar. Terdapat dua pihak yang memainkan peranan yang sangat penting dalam pendidikan pelajar. Pihak tersebut ialah institusi keluarga dan sekolah. Kedua pihak ini bertanggungjawab menyediakan sistem sokongan material dan bukan material kepada pelajar. Kesedaran mengenai kepentingan pendidikan di kawasan luar bandar masih lagi berada pada tahap sederhana. Oleh itu, masih terdapat lagi ibu bapa yang tidak menghiraukan hal persekolahan anak-anak. Selain itu, pengkaji juga mendapati bahawa sokongan material ibu bapa di kawasan luar bandar berada pada tahap sederhana. Hal ini dikaitkan dengan taraf pendidikan ibu bapa yang rendah. Namun, ibubapa memberikan sokongan non-material kepada anak mereka dengan sebaiknya. Pihak sekolah memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa dan persekitaran untuk sama-sama berganding bahu dalam isu pendidikan. Jika hanya pihak sekolah sahaja yang menyediakan infrastruktur yang lengkap dan pembelajaran dan pengajaran yang sistematik tetapi pelajar di rumah tidak mendapat dorongan dan motivasi untuk belajar, maka proses pembelajaran tidak berjalan dengan berkesan.
Text
kesusasteraan melayu
Stilistik : Kajian aspek ayat dalam cerpen-cerpen terpilih Peter Augustine Goh.
Abstrak
Dalam bab 1 latihan ilmiah ini merupakan bahagian pengenalan dalam kajian ini. Dalam bab ini kandungannya lebih menumpukan pada perkara asas dalam menjalankan sesebuah kajian, iaitu pendahuluan, latar belakang kajian, pernyataan masalah, bidang kajian, objektif kajian, batasan kajian, dan bahan kajian. Berdasarkan bahan kajian ini, pengkaji akan menyatakan mengenai data yang dipilih dan juga latar belakang penulis cerpen yang telah dipilih, iaitu Peter Augustine Goh.
Seterusnya, dalam bab 2 perkara yang difokuskan ialah definisi stilistik dan cerpen . Melalui stilistik, pengkaji menghuraikan tentang kajian terdahulu yang telah dilakukan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu sebagai memberi pendedahan awal tentang kajian yang akan dilakukan. Seterusnya, pengkaji menghuraikan pula mengenai konsep cerpen Melayu secara umum bagi memberikan gambaran awal tentang genre data kajian yang dipilih. Selain daripada dua perkara utama tersebut, bab ini turut juga membincangkan tentang kerangka teori yang digunakan sebagai landasan kajian, iaitu teori yang dikemukakan Tatabahasa dewan bagi mengkaji ayat majmuk dan proses penerbitan ayat dalam bahasa Melayu.
Analisis kajian pula akan disentuh dalam bab 3. Bab ini memfokuskan pada analisis jenis-jenis ayat majmuk yang terdapat dalam data kajian. Terdapat tiga jenis ayat majmuk yang dikaji dalam bab ini. Iaitu ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan dan ayat majmuk campuran. Analisis ini untuk menunjukkan sama ada penggunaan ayat majmuk dalam cerpen mempengaruhi gaya bahasa penulisnya. Hal ini akan dibincangkan berdasarkan teori Tatabahasa Dewan dan juga teori-teori stilistik yang berkenaan. Kesimpulan bab ini akan merumuskan pembentukan ayat majmuk mempengaruhi gaya bahasa seseorang penulis, iaitu Peter Agustine Goh.
Pengkaji lebih memfokuskan pada analisis penerbitan ayat yang terdapat dalam data kajian bab 4. Terdapat tiga proses dianalisis, iaitu proses pengguguran, proses penyusunan semula dan juga berdasarkan teori Tatabahasa Dewan dengan merujuk juga unsur-unsur stilistik yang terbina berdasarkan penerbitan ayat dalam cerpen. Penerbitan ayat ini juga akan membuktikan sama ada proses kekreatifan dalam menulis atau menghasilkan ayat dalam cerpen memberikan impak dalam gaya bahasa seseorang penulis. Rumusan dalam kesimpulan bab ini pula akan menyatakan sama ada kesemua proses penerbitan ayat dalam bahasa Melayu digunakan oleh penulis atau hanya sebahagian sahaja dalam menghasilkan unsur-unsur stilistik berdasarkan struktur pembinaan ayat.
Kesimpulan keseluruhan hasil kajian akan dihuraikan dalam bab penutup, iaitu bab 5. Bab ini akan menyimpulkan seluruh aspek kajian yang telah dilakukan berdasarkan bab 3 dan juga bab 4. Selain itu juga terdapat saranan-saranan serta peringatan pada mana-mana pengkaji yang ingin menerokai bidang ini dengan lebih lanjut lagi.
Text
Stilistik : Penelitian kata dalam lirik lagu nama tempat
Abstrak
Bab 1
Bab pendahuluan ini merupakan bab pengenalan yang hanya menyentuh tentang pemasalahan kajian, tujuan kajian, kepentingan kajian, skop kajian, dan juga kaedah kajian.
Bab 2
Bab ini memperkatakan tentang definisi dan juga kajian-kajian lepas yang pernah dilakukan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu. Setelah itu, turut dinyatakan tentang stilistik dan hubungan gaya atau laras bahasa. Selain itu, Diterangkan juga lirik dalam budaya dan bahasa. Stilistik lirik lagu yang ada nama tempat turut diperbincangkan dalam bab ini.
Bab 3
Pengkaji akan mengulas tentang cara penyampaian dalam lirik lagu. Cara penyampaian yang akan diperkatakan ialah dari segi pengguna kata nama tempat itu,sama ada penyampaian secara langsung atau tidak langsung. Selain itu, cara penyampaian dari segi lirik lagu nama tempat itu sendiri. Adakah ianya jelas menunjukkan lagu nama tepat ataupun secara perlambangan semata-mata.
Bab 4
Dalam bab ini, pengkaji memperkatakan tentang kekreatifan yang wujud dalam sesebuah lirik nama tempat. Aspek kekreatifan ini menghuraikan dari segi perlambangan dan juga bahasa kiasan. Aspek kekreatifan ini penting kerana dari aspek inilah stilistik sesebuah lirik banyak ditemui. Aspek ini jugalah yang melahirkan nilai-nilai keindahan dalam sesebuah lagu.
Bab 5
Bab ini merupakan bab perbincangan. Bab in membincangkan tentang semua aspek kajian stilistik dalam lirik lagu nama tempat. Hal ini kerana, pengkaji yang juga seorang penilai mempunyai pandangan tersendiri sama ada dari segi penyelesaian atau dari segi pembaikan lirik-lirik yang dihasilkan. Dalam bab ini juga dinyatakan penghasilan lirik yang dianggap baik melalui kajian-kajian yang dilakukan.
Bab 6
Bab 6 merupakan bab kesimpulan. Bab ini menyimpulkan seluruh aspek kajian yang telah dilakukan dan juga saranan serta peringatan kepada mana-mana pengkaji yang ingin meneroka bidang ini dengan lebih lanjut lagi.
Text
Bahasa Melayu
Strategi komunikasi dalam pembelajaran bahasa Melayu : Satu kajian kes dalam kalangan pelajar asing di Singapura
Abstrak
Pertuturan yang dalam sesuatu bahasa lazimnya dianggap sebagai satu kejayaan dalam berkomunikasi. Namun begitu, pelajar-pelajar asing yang mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa Ibunda (pelajar bahasa kedua) menghadapi masalah berkomunikasi dengan lancar dan spontan. Kejayaan pelajar-pelajar ini dalam komunikasi ditandai oleh beberapa cara dan tindakan yang tersendiri. Dalam kajian ini, cara dan tindakan tersebut dinamakan sebagai strategi-strategi dalam berkomunikasi.
Hubungan strategi komunikasi dalam kajian ini adalah meneliti masalah pertuturan pelajar bahasa kedua dalam proses pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat sekolah Menengah. Sehubungan itu, mutu dalam pertuturan dalam kalangan pelajar bahasa Melayu didapati mengalami kemerosotan yang perlu ditangani. Kajian ini justeru meneliti penggunaan strategi komunikasi yang digunakan oleh pelajar-pelajar bahasa kedua dan mengenal pasti jenis-jenis serta kekerapan strategi komunikasi digunakan.
Di samping itu, kajian ini juga mengaitkan penelitian persekitaran linguistik pelajar-pelajar dengan penggunaan strategi komunikasi dan melihat kepada permasalahan yang timbul dalam kalangan para pelajar. Permasalahan yang muncul justeru memperlihatkan bahawa pelajar-pelajar bahasa kedua mampu menyampaikan mesej semasa berkomunikasi walaupun mempunyai kekangan linguistik yang terhad. Ini disebabkan penggunaan strategi-strategi komunikasi yang membolehkan mereka melanjutkan komunikasi yang tersekat atau terhenti.
Text
Bahasa Melayu
Strategi komunikasi dalam pembelajaran bahasa Melayu : Satu kajian kes dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Singapura
Abstrak
Pertuturan yang baik dalam sesuatu bahasa lazimnya dianggap sebagai satu kejayaan dalam komunikasi. Aspek-aspek pertuturan yang baik seperti struktur bahasa yang betul dan pemilihan kosa kata yang tepat, mendukung maksud ini. Namun, dalam kajian strategi komunikasi, mesej yang dapat diterima dan difahami oleh pendengar itulah yang lebih dianggap sebagai satu kejayaan dalam komunikasi seperti yang tersebut. Anggapan ini adalah sesuai bilamana seseorang penutur bahasa kedua dilihat mampu menggunakan bahasa sasar yang tidak dikuasainya secara sempurna dalam tujuan menyampaikan mesejnya kepada penutur jati. Umumnya, kejayaan penutur bahasa kedua dalam komunikasi itu ditandai oleh beberapa cara dan tindakan tersendiri. Dalam kajian ini, perlakuan-perlakuan tersebut dinamakan sebagai strategi-strategi dalam komunikasi.
Strategi komunikasi dalam hubungannya dengan kajian ini meneliti masalah pertuturan pelajar bahasa kedua dalam proses mempelajari bahasa Melayu pada peringkat sekolah menengah di Singapura. Aspek utama yang dikaji mempunyai hubungan erat dengan ujian lisan yang merupakan salah satu komponen wajib dalam peperiksaan bahasa Melayu. Dalam kerangka ini, mutu pertuturan dalam kalangan pelajar bahasa Melayu didapati sedang mengalami kemerosotan yang perlu ditangani dengan segera. Ini bermakna secara tidak langsung, masalah pertuturan tersebut akan turut menjejas pemarkahan ujian lisan pelajar-pelajar tersebut.
Di sebalik kelemahan-kelemahan itu, kajian mendapati bahawa para pelajar bahasa kedua yang dikaji mampu menyampaikan mesej dalam keadaan penguasaan linguistik bahasa Melayu yang terhad. Ini membuktikan bahawa mereka berkeupayaan menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan berkomunikasi. Daripada aspek pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu, kejayaan pelajar-pelajar ini dapat dipertimbanbkan sebagai satu alternatif dalam membantu pelajar-pelajar bahasa kedua yang lain dalam menghadapi ujian lisan bahasa Melayu. Ini dapat direalisasikan dengan pembelajaran strategi komunikasi dalam bilik darjah, di samping dapat mengimbangi kekurangan pelajar-pelajar bahasa kedua dalam aspek penguasaan linguistik bahasa Melayu, penggunaan strategi komunikasi juga dapat mempertingkatkan keupayaan mereka dalam pembelajaran bahasa tersebut.
Text
Strategi komunikasi pelajar dialek Kelantan dalam pembelajaran Bahasa Melayu
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menyenaraikan jenis-jenis strategi komunikasi yang digunakan oleh pelajar-pelajar yang menuturkan dialek Kelantan semasa sesi pembelajaran di bilik darjah. Jenis-jenis yang dikaji meliputi strategi pencapaian dan strategi pengelakan.
Kajian ini menggunakan kaedah analisis teks berdasarkan transkripsi rakaman 15 orang subjek, iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, Pasir Puteh Kota Bharu Kelantan. Aktiviti lisan yang dijalankan ialah temuduga, wawancara, forum dan perbincangan. Aktiviti ini dirakam, kemudian ditranskripsikan untuk dianalisis.
Berdasarkan penganalisaan yang telah dibuat terdapat 5 jenis strategi komunikasi yang telah digunakan oleh subjek dalam kajian ini. Dalam strategi pencapaian terdapat 3 jenis strategi, iaitu strategi rayuan kerjasama, strategi penukaran kod dan strategi pengambilan masa. Manakala, strategi pengelakan pula hanya satu iaitu, strategi pengelakan topik.
Strategi komunikasi yang paling dominan yang telah digunakan oleh subjek semasa aktiviti lisan dijalankan ialah, strategi penukaran kod dan strategi yang paling sedikit penggunaannya ialah strategi pengulangan kata.
Berdasarkan hasil penganalisaan dan perbincangan yang telah dibuat, pada bahagian akhir kajian ini telah mengemukakan beberapa cadangan daripada pengkaji untuk panduan pengkaji bahasa dan mereka yang terlibat secara langsung dengan dunia pendidikan, khususnya golongan pendidik dan pelajar.
Text
Bahasa Melayu
Strategi pembelajaran : Penggunaan bahasa Melayu standard dalam kalangan murid Sekolah Rendah di Singapura
Abstrak
Penguasaan bahasa Melayu standard dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura kini mengalami kemerosotan. Tidak ramai yang dapat berbahasa Melayu standard dengan baik dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Oleh itu, Latihan ilmiah ini mengkaji strategi pembelajaran dalam ayat-ayat lisan dan tulisan murid-murid darjah tiga untuk mencari punca masalah penguasaan bahasa Melayu standard.
Analisis kajian yang dijalankan secara kuantitatif. Data yang diperolehi daripada perbandingan antara korpus lisan dan juga tulisan berdasarkan kumpulan kebolehan, jantina dan strategi pembelajaran.Tafsiran data dilakukan untuk menjelaskan berlakunya strategi pembelajaran.
Kajian ini telah mendapati bahawa terdapat sebelas strategi pembelajaran yang berlaku dalam proses pembelajaran bahasa Melayu. Punca utama permasalahan ialah pembentukan asa kemahiran bahasa Melayu standard yang tidak kukuh. Lebih banyak strategi pembelajaran yang digunakan dalam lisan berbanding dengan tulisan. Kekerapan strategi pembelajaran menunjukkan bahawa mutu bahasa Melayu standard juga dipengaruhi oleh bahasa Inggeris dan bahasa Melayu basahan.
Dalam rumusan kajian, pengkaji telah menyatakan langkah-langkah untuk menangani permasalahan di samping cadangan untuk kajian lanjutan.
Text
Bahasa Melayu
Strategi pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar lemah Tahun Rendah Atas di Singapura : Satu kajian kes
Abstrak
Kajian ini membincangkan strategi Pembelajaran (SP) bahasa yang digunakan khususnya dalam pembelajaran ‘peribahasa’ oleh pelajar-pelajar Melayu sebagai bahasa pertama di sebuah sekolah rendah di Singapura. Subjek kajian ini terdiri daripada 8 orang pelajar darjah lima yang terdiri daripada lima orang pelajar lelaki dan tiga pelajar perempuan. Tahap pencapaian BM mereka pula agak lemah. Kajian ini direka untuk mengenal pasti ciri-ciri SP yang digunakan oleh kumpulan sasaran tersebut berdasarkan pada teori O’Malley dan Chamot (1990). Dapatan kajian ini turut memperlihatkan SP yang paling dominan diterapkan dalam kalangan pelajar ini.
Pengkaji menggunakan korpus kajian untuk mengenal pasti persekitaran yang menyumbang kepada pembelajaran serta kaedah pengajaran guru yang turut memainkan peranan dalam prestasi murid-murid. Kajian ini juga merupakan satu kajian kes yang dijalankan melalui borang selidik terhadap lapan orang responden berkenaan SP bahasa yang digunakan dan borang selidik terhadap latar belakang keluarga mereka. Selain itu, temu bual yang dijalankan terhadap guru BM mereka terdapat hal - hal yang bersangkutan dengan pengajaran dan pembelajaran yang diterapkan oleh beliau bagi mengajar para pelajar ini.
Semua proses yang dilakukan ini menunjukkan bahawa pelajar boleh menguasai ciri-cir SP bagi membantu mempertingkatkan pembelajaran mereka atas bimbingan guru, persekitaran sekolah yang kondusif dan sokongan padu daripada ibu bapa dan ahli keluarga.
Text
Strategi pembelajaran oleh pelajar Cina dalam pembelajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua
Abstrak
Kajian yang dilakukan oleh pengkaji ialah berkenaan dengan strategi pembelajaran oleh pelajar Cina dalam mempelajari bahasa melayu sebagai bahasa kedua. Tumpuan kajian ini ialah kepada pelajar Cina Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (S.J.K.C.). Strategi pembelajaran B2 ini berlaku setelah pelajar tersebut mempelajari bahasa pertama iaitu bahasa ibunda mereka.
Pengkaji telah membincangkan tentang metodologi kajian, iaitu reka bentuk kajian, tatacara penyelidikan, perbandingan antara tatabahasa bahasa melayu dengan tatabahasa cina dan jenis-jenis kesilapan yang biasanya wujud dalam menganalisis kesilapan bahasa melayu.
Analisis kesilapan korpus berdasarkan tugasan yang diberikan kepada pelajar Cina yang terdiri daripada soalan yang berbentuk karangan, dan soalan imbuhan, iaitu dengan mengisi tempat kosong. Soalan karangan,pengkaji telah membahagikannya kepada penghilangan dan pemudahan. Bagi soalan imbuhan pula dibahagikan mengikut awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Dengan menganalisis soalan-soalan, pengkaji telah dapat mengetahui tentang punca-punca kesilapan berlaku.
Pengkaji telah membahagikan kesilapan-kesilapan tersebut mengikut kreteria-kreteria tertentu. Misalnya kejanggalan berbahasa, kekonstituen, mudah sukar dan sebagainya. Pengkaji juga membuat rumusan daripada borang soal selidik yang telah diedarkan.
Akhirnya pengkaji telah mengemukakan faktor-faktor kesilapan dan cadangan untuk memperbaiki strategi pembelajaran yang ada.
Text
Syair musuh Kelantan: Transliterasi dan analisis teks
Abstrak
Teks Syair Musuh Kelantan adalah teks sastera sejarah yang lahir pada abad ke-19. Teks Syair Musuh Kelantan ini adalah versi asli yang tersimpan di Perpustakaan Negara Malaysia. Objektif utama kajian adalah untuk melihat bagaimana dalam kajian ini penyelidik dapat membuktikan bahawa karya tersebut juga harus dianggap sebagai karya historiografi. Historiografi Melayu atau sastera sejarah mempunyai nilai sejarah tersendiri yang jauh berbeza daripada konsep pensejarahan Barat. Bagi pengarah Melayu, sejarah tidak hanya dilihat sebagai peristiwa masa lampau yang menampilkan fakta kebenaran, sebaliknya sejarah merupakan sesuatu yang boleh dijadikan bahan pengajaran atau pendidikan moral kepada manusia. Kelahiran karya sastera bercorak sejarah dianggap dapat memberi manfaat atau faedah kepada generasi terkemudian melalui falsafah moral yang diserapkan di sebalik sastera sejarah.
Text
Bahasa Melayu
Tahap pemahaman bahasa Melayu melalui analisis kesalahan dalam kalangan murid-murid tahun enam : Kajian kes Sekolah Kebangsaan Chuchoh Puteri
Abstrak
Kajian ilmiah ini bertujuan untuk meneliti tahap pemahaman bahasa Melayu melalui analisis kesalahan dalam kalangan murid-murid tahun enam. Berdasarkan kepada kajian yang telah dilakukan, pengkaji telah membahagikan tiga bahagian skop analisis kajian iaitu dari aspek kesalahan morfologi, kesalahan sintaksis, dan kesalahan mekanikal. Berdasarkan pembahagian tersebut, kesalahan mekanikal mencatatkan jumlah kesalahan tinggi iaitu 46.8% (95 daripada 203). Kemudian diikuti dengan kesalahan sintaksis iaitu sebanyak 27.1% (55 daripada 203). Kesalahan morfologi mencatatkan jumlah kesalahan terendah iaitu sebanyak 26.1% (53 daripada 203). Melalui peratusan yang ditunjukkan,tahap pemahaman bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid tahun enam di SK Chuchoh Puteri adalah pada tahap kurang memuaskan. Oleh itu, pelbagai langkah perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini agar tahap pemahaman bahasa dalam kalangan murid-murid dapat dipertingkatkan
Text
Bahasa Melayu
Tahap penguasaan imbuhan apitan kata kerja bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar Tingkatan 5
Abstrak
Kajian ini cuba mengenal pasti tahap penguasaan imbuhan apitan kata kerja dalam kalangan pelajar-pelajar Melayu Tingkatan 5. Terdapat tiga tujuan khusus dalam kajian ini, yang masing-masing mempunyai persoalan tersendiri pula, iaitu kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan bentuk, aspek makna dan konteks penggunaan imbuhan apitan kata kerja dalam kalangan sampel-sampel kajian.
Tahap kajian penguasaan bahasa pertama ini turut mengaplikasikan teori pemerolehan bahasa yang popular, iaitu teori behaviorisme dan mentalisme, terutamanya dalam sesi pengajaran. Sesi pengajaran berkenaan imbuhan apitan kata kerja telah dilakukan pengkaji terhadap sampel-sampel kajian sebanyak dua kali, iaitu jumlah yang paling minimum. Data mentah pula diperoleh pengkaji dengan membuat ujian pengukuran tahap penguasaan imbuhan apitan kata kerja. Di samping itu, pengkaji juga melakukan kajian rintis sebelum kajian sebenar berlaku.
Hasil daripada analisis data yang dibuat, pengkaji mendapati tahap penguasaan imbuhan apitan kata kerja pelajar-pelajar Melayu Tingkatan 5 SMKDARA adalah di tahap yang baik. Dari segi bentuk imbuhan yang dikenali dan diketahui, tahap penguasaan sampel kajian tersebut berada tahap yang memuaskan. Hal ini tidak semua sampel mengenali perkataan-perkataan berimbuhan apitan kata kerja dan imbuhan apitan kata kerja mempeR-...-i serta ke-...-an masih lagi belum dikuasai sepenuhnya.
Dari segi tahap penguasaan aspek makna imbuhan apitan kata kerja pula, pengkaji dapat melihat kesan yang positif selepas pelajar-pelajar tersebut mengikuti sesi pengajaran. Boleh dikatakan hampir kesemua bentuk imbuhan apitan kata kerja dikuasai aspek maknanya, kecuali imbuhan apitan dipeR-...-i yang tidak dikuasai dengan baik. Tahap penguasaan konteks penggunaan imbuhan apitan kata kerja sampel-sampel kajian pula hanya pada takat yang sederhana atau memuaskan. Ramai sampel-sampel kajian tahu menggunakan imbuhan-imbuhan apitan kata kerja dengan konteks penggunaan yang betul. Tetapi masih ramai yang kabur dengan konteks penggunaan imbuhan apitan meN-...-i, mempeR-...-i dan dipeR-...-i.
Kajian ini juga turut membuktikan tahap penguasaan proses morfofonemik dalam imbuhan apitan kata kerja kalangan pelajar-pelajar itu. Namun begitu, ini bukan tumpuan utama kajian dengan erti kata hanya sekadar pemerhatian umum. Berdasarkan penelitian, sampel-sampel kajian amat menguasai sangat sedikit. Akhir sekali, pengkaji dapat membuat kesimpulan yang kajian ini telah berjaya mencapai matlamatnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Tahap penguasaan imbuhan dalam kalangan pelajar di Sekolah Rendah Fengshan
Abstrak
Dalam peringkat darjah 3, terdapat sebilangan pelajar yang tidak mempunyai asas pengetahuan yang kukuh penggunaan imbuhan. Pelajar tersebut tidak mahir dalam mengaplikasikan imbuhan dalam karangan walaupun mereka telah didedahkan dengan komponen tersebut sejak di darjah satu lagi. Ada segelintir guru-guru pula menghadapi masalah dalam mengajar imbuhan kerana pada sangkaan mereka imbuhan adalah sesuatu komponen yang sukar diajar kepada pelajar. Guru-guru merasakan bahawa pengajaran komponen imbuhan adalah sesuatu yang akan membosankan pelajar kerana teori-teori yang perlu didedahkan. Akibatnya, ramai pelajar darjah 3 menghadapi masalah dalam penulisan karangan mereka kerana kurangnya pengetahuan dalam mengaplikasikan imbuhan semasa menghasilkan karangan.
Dengan menggunakan kaedah ujian diagnostik, pengkaji ingin mengenal pasti faktor penyebab kelemahan pelajar darjah 3 dalam kemahiran menulis karangan dan apakah imbuhan yang sering menyebabkan kesilapan serta imbuhan apakah yang sering digunakan pelajar dalam penulisan karangan.
Satu ujian diagnostik (pengesanan) telah dibina khusus untuk mengenal pasti kelemahan pelajar dalam pengaplikasian imbuhan dalam karangan yang melibatkan imbuhan awalan, apitan dan akhiran. Kemahiran tersebut merangkumi morfologi, sintaksis, pembentukan kata serta kerelevanan isi dalam karangan tersebut.
Dapatan kajian ini dapat digunakan oleh pengkaji untuk mengenal pasti kelemahan yang lazim dilakukan oleh pelajar dalam penggunaan imbuhan dalam karangan, penggunaan yang sering dilakukan oleh pelajar dalam karangan mereka. Pada pengakhiran penyelidikan ini, pengkaji mendapati bahawa terdapat kelemahan -kelemahan para pelajar ini dalam pengaplikasian imbuhan dalam karangan mereka.
Text
Kesenian Melayu
Tarian Dabus: Satu tarian tradisional Negeri Perak Darul Ridzuan
Abstrak
Dalam kajian ini, setiap data atau maklumat yang di perolehi telah disusun oleh pengkaji mengikut pembahagian bab yang tertentu. Kajian ini keseluruhannya memuatkan 9 buah bab termasuk bahagian pengenalan. Setiap bab mempunyai bahagian-bahagian tajuk yang tertentu.
Bahagian pengenalan adalah Bab 1. Kajian ini yang mengandungi pendahuluan, permasalahan kajian, tujuan kajian, kajian lepas, dan metodologi kajian yang berfungsi memberi gambaran secara menyeluruh tetapi ringkas mengenai kajian ini.
Dalam Bab 2 pula, tumpuan kajian diberikan kepada kawasan kajian yang meliputi sejarah asal usul nama negeri dan juga daerah yang menjadi kawasan kajian pengkaji.
Dalam Bab 3 pula, kajian tertumpu dalam bidang Tarian Dabus itu sendiri. Antaranya ialah unsur dasar tari, elemen tari, dan pengertian tarian Melayu dan perkembangannya secara umum.
Dalam Bab 4, skop kajian ialah tentang Dabus sebagai satuntarian tradisi di Perak yang meliputi mengenai asal usul Tarian Dabus, sejarah dabus di Perak, dan persembahan Tarian Dabus.
Dalam Bab 5 pula, skop kajian adalah tentang lagu dalam Tarian Dabus dan juga jenis alat muzik yang digunakan bagi mengiringi Tarian Dabus. Dalam Bab 6, skop kajian lebih tertumpu tentang busana atau pakaian serta perhiasan diri yang dipakai oleh para penari.
Bab 7 pula menerangkan tentang pergerakan asas yang dilakukan oleh para penari serta cara-cara Dabus ditarikan. Dalam bab ini juga diterangkan Dabus yang berunsur ritual.
Bab 8, skop kajian ialah menerangkan tentang fungsi Tarian Dabus dalam masyarakat yang meliputi aspek hiburan, sosial, ekonomi, dan juga alat kesatuan masyarakat. Dalam bab akhir pula iaitu Bab 9 ialah kesimpulan atau rumusan secara menyeluruh.
Text
Tarian muzik tradisi masyarakat melayu Perak : Dabus dan Bubu
Abstrak
Negeri Perak adalah merupakan sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber serta khazanah termasuk juga kesenian seperti tarian, muzik dan sebagainya yang masih diwarisi sejak dahulu sehingga kini khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu. Oleh itu satu kajian perlu diadakan berkaitan tarian muzik tradisi rakyat negeri Perak. Tujuan pengkajian ini adalah untuk mengkaji jenis , bentuk dan fungsi dalam tarian muzik tradisi negeri Perak. Berasaskan kepada tujuan ini pengkaji telah melaksanakan kajian menggunakan pendekatan kualitatif dari sudut yang tertentu beserta telah diguna pakai semasa pengumpulan data di lapangan. Lokasi kajian yang menjadi tumpuan utama adalah di Tanjong di daerah Teluk Intan termasuk juga Kampung Gajah Perak. Pengumpulan data di lapangan menggunakan instrumen temu bual dan sebagainya. Hasil penyelidikan mendapati dua jenis tarian yang masih dipersembahkan dan agak terkenal di negeri Perak iaitu Tarian Dabus dan Tarian Bubu. Di antara kedua-dua tarian ini, Tarian Dabus masih dianggap paling dominan dan terkenal dengan masyarakat Perak. Fungsi kedua-dua persembahan tarian ini sebagai hiburan semasa perkahwinan dan majlis rasmi. Hasil penyelidikan dijangka dapat memberi informasi tentang tarian muzik yang masih diamalkan dan dipersembahkan di negeri Perak dan juga diharap dapat dimanfaatkan oleh generasi seterusnya dalam melestarikan satu bentuk kesenian yang amat tinggi nilainya.
Text
Sosio budaya Melayu
Tekanan yang dialami oleh para ibu tunggal dalam kalangan masyarakat India dan Melayu : kajian kes di Sungai Siput (U), Perak
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti perbezaan dan persamaan tekanan yang dialami oleh para ibu tunggal dalam kalangan kedua-dua masyarakat Melayu dan juga India di kawasan kajian sungai Siput (U). Seramai 3 orang ibu tunggal daripada kaum India dan 3 orang ibu tunggal daripada kaum Melayu dipilih untuk ditemuramah dan hasil temubual berkenaan dijadikan sebagai kes kajian. Selain itu sebanyak 50 helaian borang soal selidik telah diedar di kawasan kajian sebagai instrumen kajian sampingan. Keputusan kajian diperoleh setelah data yang dikumpul di analisis dengan menggunakan Kolerasi Pearson dan Ujian-t. Hasil kajian menunjukkan terdapat beberapa persamaan dan perbezaan tekanan yang dialami oleh para ibu tunggal dalam kalangan masyarakat Melayu dan India. Perbezaan hanya wujud disebabkan cara dan pegangan hidup yang berbeza dan secara keseluruhannya didapati bahawa semua ibu tunggal di negara kita tidak mengira kaum menghadapi tekanan dalam menempuhi kehidupan.
Text
Teknologi pembuatan Saguk Ubi : Tumpuan penduduk Pulau Pemanggil di perkampungan Tanjung Teresak Pak Kalleh Mersing Johor
Abstrak
Kajian ini membincangkan khusus tentang teknologi dan pembuatan Saguk Ubi yang merupakan antara makanan tradisi masyarakat Melayu di sekitar kepulauan Negeri Johor iaitu di Pulau Pemanggil Mersing. Matlamat utama kajian ini adalah untuk mendokumentasikan teknologi dan pembuatan Saguk Ubi. Selain itu kajian ini juga menyatakan serba sedikit tentang latar belakang kawasan kajian dan juga tentang kedatangan pokok ubi kayu di alam Melayu dan beberapa aspek lain yang berkaitan dengannya. Penekanan kajian ialah untuk melihat teknologi yang ada disebaliknya disamping perbincangan khusus tentang dapatan matlamat utama kajian yang dilakukan serta membincangkan sedikit beberapa perkara sampingan yang lain.
Text
sastera Melayu
Teori Rasa-fenomenologi penerapan terhadap novel The Missing Piece (Bahagian satu)
Abstrak
Kajian ini meneliti kepada sebuah novel The Missing Piece (Bahagian satu) iaitu hasil kepengarangan kreatif Fatimah Busu dalam analisis terhadap Teori Rasa-fenomenologi. Pengkaji menggunakan model kajian sarjana tempatan yang dibawa oleh Sohaimi Abdul Aziz dalam menganalisis novel ini. Teori Rasa-fenomenologi
Ini telah memperkenalkan pelbagai sudut rasa untuk memberi kesan kepada pembaca. Terdapat tujuh rasa perasaan yang dibawa oleh modul Sohaimi Abdul Aziz iaitu rasa wira,dahsyat,berang, benci, duka,kagum, dan berahi. Kelima-lima rasa ini telah diadun oleh pengarang bagi menghidupkan jalan penceritaan novel tersebut agar lebih menarik. Teknik dan hubungan pengarang dengan dunia yang nyata ini secara tidak langsung menjadikan perjalanan penceritaan novel tersebut dapat menyentuh perasaan pembaca. Ini membuktikan teori kajian ini secara tidak langsung menjadi satu karya lebih kreatif dan imaginatif.
Text
Teori Takmilah : Kajian terhadap kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril
Abstrak
Teori Takmilah: Kajian terhadap kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril, dibahagi kepada enam bab utama. Latihan ilmiah ini merupakan berkisar kepada teori Takmilah dan sejauhmanakah pengaplikasian teori ini dalam kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril boleh diterima.
Bab Satu: Pengenalan, dalam bab ini pengkaji membincangkan tentang teori Takmilah secara ringkas. Pengkaji juga menyertakan mengenai tujuan kajian, permasalahan kajian, kepentingan kajian, dan kaedah kajian.
Bab Dua: Teori Takmilah sebagai teori sastera Islam, dalam bab ini pengkaji membincangkan sudut teori dari aspek Islam. Pengkaji juga membincangkan aspek-aspek seperti konsep teori, pemikiran sastera tempatan. Pengkaji juga menjelaskan konsep teori Takmilah. Selain daripada itu pengkaji turut membincangkan polemik sastera Islam yang merupakan aspek penting dalam perkembangan sastera Islam di Malaysia.
Bab Tiga: Takmilah dalam sastera Melayu, dalam bab ini pengkaji menghuraikan biodata pencipta teori Takmilah iaitu Shafei Abu Bakar. Membincangkan juga tentang peranan teori Takmilah ini dalam sastera Melayu. Pengkaji juga memasukkan ciri-ciri penentuan yang digunakan dalam analisis ketakmilahan dalam karya.
Bab Empat: Analisis kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril, dalam bab ini pengkaji menyertakan mengenai biodata penulis kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril iaitu S.M.Zakir. Selain daripada itu pengkaji turut melihat aliran dan pemikiran yang didokong S.M.Zakir. Penelitian aliran dan pemikiran pengarang penting bagi melihat hala tuju setiap karyanya. Kumpulan cerpen ini mengandungi 21 buah cerpen dan pengkaji hanya meneliti mengikut kesesuaian teori. Analisis dilakukan berdasarkan tema, isi, struktur, watak, nilai, latar dan beberapa lagi.
Bab Lima: Keabadian cinta di dalam Sekuntum Kembang di Sayap Jibril, dalam bab ini akan menghuraikan konsep keabadian cinta dalam mengenai hakikat kewujudan pencipta. Dalam bab ini juga akan melihat kepada pencarian hakikat keinsanan dalam diri dalam menemukan cinta abadi kepada Allah S.W.T.
Bab Enam: Kesimpulan, dalam bab ini pengkaji memberikan kesimpulan terhadap kajian, melihat keberkesanan penerapan teori ke dalam karya, selain dari itu pengkaji turut menyarankan beberapa pendapat mengenai kajian dan bahan kajian.
Text
Terminologi dalam kerangka perancangan bahasa melayu di Malaysia
Abstrak
Penulisan latihan ilmiah ini ialah kajian tentang terminologi dalam perancangan bahasa melayu di Malaysia. Perancangan bahasa melayu telah memperlihatkan banyak usaha serta kegiatan yang dilaksanakan bagi menjayakannya. Perancangan bahasa melayu dalam memartabatkan bahasa itu sendiri dan terminologi sebagai bidang penting. Seharusnya kegiatan serta usaha yang dijalankan dalam bidang terminologi diketahui dan difahami oleh umum. Dalam kajian ini, penulis membicarakan tentang pengertian umum terminologi, kerja terminologi dan kegiatan terminologi bagi menggambarkan istilah terminologi itu sendiri. Selanjut penulis menghuraikan tentang tujuan kajian, skop kajian, kajian terdahulu dan definisi bahasa melayu, perancangan bahasa dan terminologi dalam kajian ini. Penulis kajian ini meneliti perkembangan terminologi bermula dengan penubuhan Bahagian Peristilahan DBP dan zaman perkembangannya iaitu zaman peristilahan DBP (1956 - 1974) dan zaman MABBIM (1975 hingga kini). Penulis juga menghuraikan kerja terminologi, peringkat kerja terminologi dan pembakuan terminologi di Malaysia. Manakala kegiatan terminologi peringkat serantau dihuraikan dengan melihat penubuhan MABBIM sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan terminologi serantau. Selain daripada itu, sejarah terminologi juga dihuraikan akan turut melihat tiga aliran peristilahan, iaitu Vienna, Prague dan Soviet. Penulis juga akan menyentuh usaha-usaha dan perancangan yang dilakukan oleh Bahagian Peristilahan dalam tempoh 1960 hingga kini. Bab akhir penulis membuat kesimpulan tentang kajian yang dilakukan dan memberikan beberapa saranan untuk memperkayakan lagi bidang terminologi.
Text
Teromba Pagar Ruyung: Transliterasi dan analisis teks
Abstrak
Ilmu filologi merupakan salah satu kaedah ilmu dalam mengkaji manuskrip atau naskhah untuk ditransliterasi dan diterjemahkan ke dalam bahasa masyarakat sezamannya sebagai rujukan masyarakat dan untuk dijadikan panduan kepada pengkajian yang akan datang. Manuskrip melayu merupakan hasil tinggalan ketamadunan masyarakat terdahulu yang merakamkan ilmu-ilmu yang mereka pelajari pada zamannya. Namun, keilmuan yang terakam di dalam manuskrip ini tidak digiatkan oleh kita untuk digunakan sebagai panduan hidup kini. Penggunaan ilmu filologi dalam kajian ini membolehkan manuskrip Teromba Pagar Ruyung dapat ditransliterasi dan diguna pakai sebagai rujukan oleh masyarakat kini dan menjadi bahan kajian lanjutan kepada manuskrip Teromba Pagar Ruyung itu sendiri.
Text
Tradisi cerita rakyat di Mukim Sanglang, Kedah
Abstrak
Latihan ilmiah yang dijalankan ini berkaitan genre sastera rakyat. Pengkaji melihat tradisi cerita rakyat yang wujud di kawasan kajian kes iaitu di Sanglang, Kedah. Di samping melihat tradisi lisan yang wujud di kawasan ini, pengkaji juga melihat unsur pemikiran yang terselit daripada cerita-cerita yang terkumpul di kawasan ini. Pengkaji merasakan bidang sastera rakyat terselit dengan seribu khazanah yang perlu diteroka dan terus digali untuk tatapan generasi akan datang dan tidak lenyap di bawa arus globalisasi.
Bab 1 merupakan bahagian awal kajian. Ia memuatkan tentang pengenalan kajian yang menceritakan tentang latar belakang bidang sastera rakyat itu sendiri di samping tujuan kajian ini dijalankan. Antara lain, bab ini juga membicarakan tentang kaedah-kaedah kajian yang digunakan dalam membuat penulisan ilmiah ini. Sementara itu, bab ini turut memuatkan beberapa konsep penting yang digunakan dalam penulisan kajian ini. Antara konsep kajian yang digunakan seperti konsep sastera rakyat, konsep cerita legenda, cerita mitos, cerita asal-usul dan lain-lain lagi. Seterusnya pengkaji turut membuat literature review. Hal ini adalah penting untuk melihat kronologi di samping perkembangan kajian yang berkaitan. Ini memudahkan pengkaji lain untuk mengkaji bidang sastera rakyat ini dengan menjadikan kajian terdahulu ini sebagai sumber rujukan.
Bab 2 pula merupakan profail kawasan kajian. Kawasan kajian yang dipilih iaitu kawasan Sanglang, Kedah. Dalam kawasan profail ini, pengkaji memuatkan sejarah ringkas asal usul nama kawasan tersebut. Pengkaji turut melihat pembangunan infrastruktur yang terdapat di kawasan kajian.
Bab 3 memuatkan transkripsi cerita rakyat yang dikumpulkan di kawasan Sanglang. Jumlah cerita yang dapat dikumpulkan ialah sepuluh buah yang merangkumi pelbagai jenis meliputi cerita jenaka, cerita asal usul dan cerita teladan.
Bab 4 menghuraikan unsur pemikiran yang terdapat dalam cerita-cerita rakyat yang dikumpulkan itu. Unsur pemikiran dalam cerita rakyat tersebut dianalisis berdasarkan tiga aspek utama iaitu agama, ekonomi dan sosial.
Bab 5 memuatkan kesimpulan keseluruhan bab yang terdapat dalam latihan ilmiah ini. Di samping itu, bahagian ini turut memuatkan tentang saranan terhadap perkembangan sastera rakyat.
Text
Sosio budaya Melayu
Tradisi kebudayaan makan tahun kaum Kedayan : Satu kajian di Kampung Selanyau, Bekenu, Sarawak
Abstrak
Kaum Kedayan merupakan sebahagian daripada penduduk pribumi Sarawak Bumi Kenyalang. Walaupun kaum ini merupakan kaum yang minoriti, namun kaum ini juga mempunyai amalan nenek moyang mereka yang masih diwarisi sehingga ke hari ini. Hal ini sama juga seperti penduduk peribumi Sarawak yang lain. Antara amalan tradisi yang masih diamalkan ialah upacara makan tahun. Upacara ini lazimnya disambut pada setiap tahun yang mempunyai tujuannya yang tertentu.
Walaupun terdapat kaum Kedayan di tempat lain di Sarawak, namun sesetengahnya yang tidak mengamalkan lagi upacara makan tahun. Hal ini kerana ada yang menganggap upacara ini karut dan tidak perlu lagi diamalkan pada zaman ini. Namun, hal ini berbeza dengan tanggapan kaum Kedayan di Kampung Selanyau kerana upacara makan tahun masih diamalkan tahun demi tahun. Pengkaji juga berharap upacara makan tahun ini akan terus diamalkan oleh penduduk kampung di Kampung Selanyau.
Oleh hal yang demikian, penyelidik ini adalah penelitian turut serta pengkaji terhadap upacara makan tahun yang masih diamalkan oleh kaum Kedayan di Kampung Selanyau, Bekenu, Sarawak. Upacara ini diadakan untuk menandakan tamatnya musim menuai padi pada tahun itu dan sebagai kesyukuran kepada ilahi kerana hasil tanaman padi yang mereka perolehi. Dengan adanya upacara ini, diharapkan hasil padi mereka pada tahun berikutnya semakin bertambah. Oleh itu, upacara ini secara zahirnya membolehkan kaum ini ‘berinteraksi’ dengan alam semula jadi dalam kehidupan mereka.
Selain itu, penyelidikan ini juga merupakan usaha pengkaji dalam merungkai dan menerokai seterusnya cuba untuk memahami kebudayaan yang diamalkan oleh kaum ini. Diharapkan segala maklumat yang terdapat dalam penulisan ini dapat menjadi rujukan suatu hari nanti seandainya pada waktu itu upacara makan tahun sudah tidak diamalkan lagi.
Text
Unsur budaya Magis dalam terjemahan Inggeris-Melayu karya J.K.Rowling : ‘Harry Potter dengan Batu Hikmat’
Abstrak
Kajian ini merupakan kajian unsur budaya dalam penterjemahan yang mengkaji aspek budaya magis sebagai analisis kajian. Budaya magis yang dianalisis ini merupakan budaya yang terdapat dalam sebuah teks karya kreatif yang bergenrekan khayalan,iaitu teks Harry Potter dengan Batu Hikmat (Harry Potter and the Sorcerer’s Stone). Kajian ini juga merupakan sebuah analisis mengenai budaya dalam karya kreatif terjemahan Inggeris-Melayu.
Kajian ini juga memberi perhatian dan kajian semula tentang konsep budaya dan terjemahan. Konsep budaya yang ingin dianalisis dan diketengahkan dalam kajian ini berpandukan pada definisi Nida (1963) mengenai budaya yang berbentuk material dan bukan material. Sehubungan dengan itu, kajian ini juga mengenal pasti pendekatan-pendekatan budaya dalam terjemahan mengikut pendekatan dan kaedah penyelidikan yang dikemukakan oleh para sarjana yang mengkaji bidang penterjemahan seperti pendekatan Akulturasi-Lefevere (1992), pendekatan Realia-florin (1993), dan pendekatan Nida (1963) dalam membuat analisis kajian.
Kajian ini juga mengenal pasti dan menganalisis unsur-unsur budaya magis sama ada dalam budaya material dan budaya bukan material dalam teks Harry Potter and the Sorcerer’s Stone - Harry Potter dengan Batu Hikmat. Unsur-unsur budaya material seperti alatan, makanan, pakaian,dan makhluk, manakala unsur-unsur budaya bukan material pula seperti perayaan, kelakuan, kepercayaan, dan pemikiran. Analisis kajian juga dibuat berpandukan analisis kualitatif dan kuantitatif.
Text
sastera Melayu
Unsur dominan sastera remaja : Kajian terhadap novel
Julia dan Cinta Madinah
Abstrak
Bab 1 - Pengkaji membicarakan tentang tujuan, kaedah, dan sejarah perkembangan sastera remaja di negeri kita. Selain itu juga, pengkaji menyatakan sedikit biodata penulis novel bahan kajian itu Hj Abu Hassan Morad dan sinopsis novel Julia dan Cinta Madinah.
Bab 2 - Pengkaji meneliti kesusasteraan remaja dengan menyatakan konsep sastera remaja, siapa golongan remaja, peranan dan jenis-jenis sastera remaja serta melihat hubungan sastera dengan remaja.
Bab 3 - Pengkaji menilai unsur pengajaran dalam sastera remaja melalui bahan kajian. Pengkaji juga melihat makna pengajaran, pengajaran dalam sastera, jenis-jenis nilai pengajaran dalam sastera remaja. Seterusnya menilai unsur pengajaran dalam bahan kajian iaitu novel Julia dan Cinta Madinah.
Bab 4 - Pengkaji juga mengkaji unsur pengetahuan dengan menilai makna pengetahuan, unsur pengetahuan dalam sastera remaja dan analisis unsur ini dalam bahan kajian.
Bab 5 - Pengkaji menilai unsur pengembaraan dalam bahan kajian.Pengkaji juga meneliti makna pengembaraan, pengembaraan dalam sastera dan jenis-jenis pengembaraan dalam sastera remaja.
Bab 6 - Kesimpulan bagi keseluruhan kajian ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Upacara miring masyarakat Iban : Kajian kes di Rumah Endah Nanga Sepayang, Song, Sarawak
Abstrak
Kajian ini cuba mengkaji tentang adat miring dalam masyarakat Iban di Sarawak.Upacara miring merupakan salah satu upacara ritual yang sangat penting dalam kalangan masyarakat Iban. Dalam penulisan ini, kajian cuba mengupas tentang beberapa aspek yang penting iaitu tentang kewujudan adat Miring, bagaimana ia dilakukan, siapa yang terlibat, untuk siapa penyembahan piring itu diberi dan tujuan adat Miring. Penulisan ini juga turut mengupas tentang mengapa masyarakat Iban menjadikan adat Miring ini sebagai satu adat yang penting dalam keseluruhan kehidupan mereka.
Latihan ilmiah ini mengandungi enam bab. Bab pertama ialah bab pendahuluan yang menyentuh mengenai permasalahan kajian, objektif kajian, literature review dan kaedah kajian. Bab kedua pula menjelaskan tentang latar belakang masyarakat dan kawasan kajian. Dalam bab ketiga pula ialah membincangkan tentang kosmologi Iban iaitu ruang alam semesta dan kuasa luar biasa bagi masyarakat Iban. Bab keempat pula adalah mengenai upacara miring iaitu mengenai jenis piring, peralatan yang digunakan dalam upacara miring dan komponen-komponen yang berperanan penting sebelum dan semasa upacara miring itu dilakukan. Seterusnya bab kelima pula membincangkan tentang bagaimana upacara miring itu dilakukan di dalam setiap upacara ritual bagi masyarakat Iban. bab terakhir iaitu bab enam adalah bab perbincangan dan juga cadangan kajian untuk pengkaji yang seterusnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Warga tua di Kampung Pasir Pekan, Kelantan : Pemakanan,keuzuran,dan perubatan
Abstrak
Di Malaysia, warga tua sering dirujuk sebagai golongan yang sudah lanjut usia ataupun sudah berumur. Lazimnya, apabila seseorang itu mencecah usia 60 tahun ke atas, ia boleh dianggap sebagai tua. Dalam meneliti siapakah sebenarnya warga tua, terdapat pengertian yang berbeza-beza yang diberikan oleh para sarjana daripada pelbagai disiplin, seperti sosiologi, psikologi, biologi, dan bioperubatan.
Dalam kajian ini, tumpuan adalah terhadap soal pemakanan, keuzuran, dan perubatan. Golongan yang menjadi sasaran bagi meneliti kesemua aspek tersebut ialah warga tua di Kampung Pasir Pekan ,Kelantan.
Dari segi pemakanan, antara perkara yang diteliti ialah makanan rutin warga tua, jenis-jenis sumber nutrien yang terdapat dalam makanan yang diambil, pemakanan sempurna, dan amalan cara hidup sihat yang diamalkan. Berkenaan aspek keuzuran pula, disentuh jenis-jenis penyakit yang dihidapi warga tua, cara mereka menanganinya, dan masyarakat di sekeliling. Dari segi perubatan yang melibatkan warga tua, antara perkara -perkara yang dibincangkan ialah golongan pengamal perubatan, ubat-ubatan yang digunakan, dan kaedah rawatan tradisional. Di samping itu juga, dinyatakan beberapa penawar yang digunakan oleh warga tua bagi menyembuhkan penyakit.
Berdasarkan kajian, didapati bahawa warga tua di kampung Pasir Pekan sebenarnya amat teliti berhubung dengan pemilihan makanan yang baik dan penjagaan kesihatan yang sempurna bagi menjamin kesejahteraan hidup.
Sebagai golongan yang sudah berumur, mereka tidak terlepas daripada penyakit. Namun, langkah pengawalan dan pencegahan tetap diambil. Biarpun gagal menyembuhkan penyakit, langkah ini sekurang-kurangnya mengurangkan kepedihan dan keperitan akibat penyakit. Oleh sebab itu, mereka memilih kedua-dua bentuk perubatan moden dan tradisional bagi menyembuhkan penyakit yang dihidapi.
Ketelitian dari segi pemakanan, kawalan penyakit, dan amalan perubatan, sebenarnya menggambarkan pengetahuan serta keperibadian warga tua yang sesuai dijadikan contoh kepada semua peringkat umur, khususnya buat generasi muda dalam meneliti arus kehidupan sebelum menjelangnya usia tua.
Text
Kesenian Melayu
Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan : Kajian dari aspek persembahan
Abstrak
Latihan ilmiah ini adalah berkaitan dengan aspek persembahan Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan. Kajian dijalankan berdasarkan kaedah tertentu untuk mencapai objektif kajian yang telah ditetapkan. Kajian dimulakan dengan memberi pengenalan kepada wayang kulit secara umum di Malaysia dan di Kelantan, meliputi asal usul wayang kulit, peralatan yang terlibat dalam permainan wayang kulit, ritual, dan sebagainya. Seterusnya kajian ini memfokuskan kepada kumpulan Sri Wayang II di Kampung Paloh, Tumpat, Kelantan meliputi pelbagai aspek.
Showing 251 to 285 of 285 results
Page
of 6
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->