Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (155 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Tesis Doktor Falsafah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
A comparative syntactic analysis of Malay and Tagalog : a minimalist approach
Abstrak
Kajian ini ialah satu kajian perbandingan sintaksis di antara bahasa Tagalog dan bahasa Melayu dengan menggunakan pendekatan Minimalist atau Minimalist Program (MP). Kajian ini bertujuan untuk melihat persamaan dan perbezaan di antara kedua-dua dengan menggunakan pendekatan tersebut. Malah kajian ini juga bertujuan untuk menguji penggunaan Minimalist Program di dalam bahasa Tagalog dan bahasa Melayu, di samping menghuraikan persamaan dan perbezaan unsur-unsur sintaksis di dalam kedua-dua bahasa. Seterusnya kajian ini juga berusaha untuk mengenal pasti struktur sintaksis yang umum di antara bahasa Melayu dan bahasa Tagalog.
Kajian perbandingan antara bahsa-bahsa Tagalog dan Melayu, kususnya berkenaan sintaksis agak kurang dilakukan. Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan. Namun tumpuan adalah pada analisis fonologi, morfologi dan leksikal. Kajian akan membandingkan bahasa Melayu dan Tagalog, bukan dari pendekatan sejawi, sebaliknya melalui pendekatan secara sinkronik. Walaupun kebanyakan kajian yang dilaku terhadap bahasa ini menggunakan pendekatan sinkronik, namun rata-rata adalah bersifat deskriptif. Oleh itu, kajian ini tidak akan menggunakan analisis tradisional, sebaliknya secara perbandingan akan menggunakan pendekatan generatif.
Text
Amalan penjagaan kesihatan Melayu luar bandar : kajian di daerah Lipis, Pahang
Abstrak
Kajian ini mengenai amalan penjagaan kesihatan masyarakat Melayu yang dilihat dari dua perspektif iaitu untuk memahami pengubatan cara tradisional dan penerimaan masyarakat dengan kaedah tradisional ini. Berdasarkan dua perspektik ini telah menghuraikan tiga objektif iaitu untuk mengenal pasti amalan penjagaan kesihatan tradisional melalui teks Melayu lama. Kedua, menganalisis penerimaan dan penilaian masyarakat di mukim terpilih terhadap amalan penjagaan kesihatan cara tradisional. Ketiga, untuk menilai dan membandingkan perspektif masyarakat terhadap pengamalan tradisi dalam ruang masyarakat tradisi dan ruang masyarakat kini. Metodologi kajian menggunakan kaedah kualitatif dan kuantitatif. Kaedah kualitatif ini menjalankan kajian secara kepustakaan, temu bual, pemerhatian dan perbincangan. Manakala kajian secara servei di Mukim Kechau, Tanjung Besar. Cheka dan Budu dengan seramai 160 orang responden. Kajian ini telah menggunakan dua struktur model iaitu folks dan adptasi perlakuan. Model-model ini digunakan untuk melihat penjagaan kesihatan masyarakat tradisi melalui kitab dan masyarakat hari ini berdasarkan penerimaan amalan tradisi. Hasil dapatan dari kajian kitab telah menghuraikan, penjagaan kesihatan masyarakat ketika itu telah mengunakan kaedah dan rawatan secara nyata seperti azimat, jampi, sumber herba dan sumber fauna. Kedua, kaedah dan rawatan secara tidak nyata seperti ramalan, firasat, penggunaan nama dan unsur mimpi. Bagi hasil dapatan dari penilaian masyarakat hari ini, mendapati kaedah azimat diketepikan manakala rawatannya masih dikekalkan. Berbeza dengan kaedah jampi, sumber herba dan sumber fauna ini masih dikekalkan manakala rawatannya telah diketepikan. Penemuan ini dapat dijelaskan berikutan berlakunya penerimaan unsur-unsur teknologi terhadap sumber dan bahan, organisasi masyarakat telah dikawal oleh sisem pendidikan dan ekonomi seta ideology masyarakat yang terbatas dengan ilmu agama, bersifat saintifik dan logik.
Text
Amalan tradisi "kejawen" dalam seni pemainan kuda kepang di negeri Johor
Abstrak
Kuda kepang merupakan seni tari persembahan masyarakat Jawa yang terdiri daripada dua bentuk kegiatan iaitu tarian untuk tujuan hiburan dan permainan yang mempunyai upacara ritual. Amalan ritual yang dilakukan sebelum persembahan tarian bermula telah mengubah corak persembahan kuda kepang daripada bentuk seni tari kepada permainan. Kedua-dua bentuk kegiatan kuda kepang telah diharamkan oleh jawatankuasa mufti negeri Johor kerana amalan ritual yang dilakukan/dijalankan mengamalkan unsur khurafat dan syirik. Pengkajian berbentuk kualitatif dengan reka bentuk kajian ini menganalisis hubungan unsur ritual, mengesan unsur mabuk dan merumus amalan ‘’kejawen’’ dalam seni permainan kuda kepang yang membabitkan pendokong kegiatan yang beragama Islam di Johor. Fokus kajian terhadap kegiatan permainan ini membabitkan amalan kejawen masyarakat Jawa yang telah dikatakan wujud sebelum kedatangan Islam ke Pulau Jawa dan Nusantara pada sekitar abad ke tujuh. Hasil dapatan kajian memperlihatkan amalan kejawen yang diakukan ini mampu menyebabkan permain itu mabuk mengubah corak persembahan tarian kuda kepang kepada permainan upacara ritual. Kandungan data selari dengan teori Roy A. Rappaport yang menyatakan bahawa sesuatu tarian dikategorikan sebagai tarian ritual apabila berlakunya proses upacara tersebut sebelum persembahan dimulakan.
Text
An analysis of political speeches of Joko Widodo's 2019 Indonesia presidential election : a cultural studies perspective
Abstrak
Joko Widodo yang mempunyai gaya sederhana sebagai seorang presiden mewujudkan satu kejayaan untuk membangunkan kepulauan Indonesia dari Sabang sampai Marauke. Piliha raya presiden di Indonesia sangat dinamik dan berdaya saing, sama ada di pihak pembangkang atau pemerintah dan menunjukkan terdapat kuasa atas strategi kempen mereka sendiri. Matlamat kajian ini adalah (1) untuk menganalisis unsur-unsur kajian budaya dalam teks ucapan kempen Jokowi 2019 Indonesia dalam pemilihan presiden dengan menggunakan konsep Raymond Williams; etnik, kepimpinan, ideologi, dan retorik dan (2) untuk menganalisis unsur-unsur analisis wacana dengan menggunakan teori Brown dan Yule: rujukan, praandaian (presupposition), implikatur, dan kesimpulan. Tesis ini memperlihatkan keperibadian Jokowi berdasarkan analisis pemilihan presiden di Indonesia dari 23 september 2028 hingga 17 April 2019 dan teks yang difokuskan untuk Joko Widodo dikaji di beberapa tempat, iaitu Jawa, Sumatera, Sulawesi dan Kalimantan. Data diambil dari ‘Media sosial’’. Analisis teks ucapan kempen menunjukkan retorik (logik, kredibiliti, dan emosi), kepimpinan (individu iaitu, oleh pengaruh lain untuk mencapai matlamat bersama, pemantauan, bimbingan, inspirasi dan motivasi), etnik, dan ideologi jangka dilakukan. Unsur-unsur analisis wacana dalam teks ucapan kempen menunjukkan bahawa presupposition (anggapan membuat pendengar itu mungkin menerima tanpa cabaran), kesimpulan (tafsiran untuk ucapan atau untuk hubungan antara ucapan), rujukan (hubungan kata-kata merujuk kepada sesuatu), dan implikasinya (menyiratkan, mencadangkan, atau bermakna sebagai berbeza dari apa yang dikatakan pembaca secara literal) adalah terhad.
Text
Analisis bahasa kiasan dalam novel terjemahan Harry Potter and The Deathly Hallows (Harry Potter dan Azimat Maut)
Abstrak
Bahasa kiasan merupakan ungkapan yang maknanya tidak dapat diketahui daripada makna perkataan itu sendiri. Dalam menterjemahkan bahasa kiasan, pengetahuan mengenai bahasa dan budaya yang terlibat amat penting, malahan pengetahuan tentang pemilihan kata dan strategi penterjemahan juga amat penting untuk diketahui oleh seseorang penterjemah. Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis terjemahan bahasa kiasan yang terdapat dalam teks asal kepada teks sasaran dan strategi terjemahan yang digunakan oleh penterjemahan bagi menterjemah bahasa kiasan. Pengkaji telah memilih sebuah teks novel terjemahan daripada bahasa Inggeris karya J.K Rowling berjudul Harry potter and the Deathly Hallows dan terjemahan bahasa Melayu yang dilakukan oleh syarikat penerbitan Pelangi Sdn Bhd bertajuk Harry Potter dan Azimat Maut. Kajian ini telah menerapkan taksonomi Larson (1998) bagi menyempurnakan analisis strategi penterjemah yang digunakan oleh penterjemah dalam teks sasaran. Daripada analisis yang telah dilakukan, didapati bahawa penggunaan idiom paling tinggi, iaitu sebanyak 57% (173), diikuti dengan simili 39% (117) dan metafora sebanyak 4% (13). Strategi utama yang telah diguna pakai oleh penterjemah ialah menterjemah menggunakan strategi mengekalkan imej atau unsur bahasa kiasan bahasa Inggeris, iaitu sebanyak 68.32% (207), manakala strategi mengekalkan bahasa kiasan dengan memberi penjelasan tidak digunakan oleh penterjemahan dalam kajian ini.
Text
Analisis kesilapan dalam pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua oleh pelajar India : strategi pembelajaran dan pemindahan bahasa
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis strategi pembelajaran serta strategi pemindahan bahasa dalam proses pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dalam kalangan pelajar India di sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) yang berada di kawasan estet. Orang-orang India telah menerima bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan negara ini dan mempelajarinya secara formal atau tidak formal. Namun, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan Pelajar India masih kurang memberangsangkan. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis strategi pembelajaran dan strategi pemindahan bahasa yang merupakan dua strategi utama yang digunakan oleh pelajar India semasa mempelajari bahasa Melayu dalam situasi formal.
Pengkaji menggunakan teori monitor yang diperkenalkan oleh Krashen (1982) dalam kajian ini. Data yang diperoleh daripada proses pengcukilan menggunakan ujian diagnosis pula dianalisis menggunakan prosedur analisis kesilapan yang dipelopori S.Pit Corder. Teori monitor merupakan teori yang komprehensif dalam membincangkan pembelajaran B2, Teori ini yang merangkumi lima hipotesis, iaitu Hipotesis Turutan Semula jadi (Natural Order Hypothesis). Hipothesis Pembelajaran dan Pemerolehan (Acquisiton / Learning Hypothesis), Hipotesis Penapis Afektif (Affevtive Filter Hypothesis), Hipothesis Input (Input Hypothesis) dan Hipotesis Monitor (Monitor Hypothesis). Kelima-lima hipotesis ini dapat menjelaskan pelbagai fenomena yang berkaitan pembelajaran B2 secara mendalam.
Text
Analisis kesopanan berbahasa dalam novel Melunas Rindu
Abstrak
Kajian ini berkaitan dengan aspek kesopanan berbahasa berdasarkan novel Melunas Rindu, iaitu teks Komsas yang digunakan oleh para murid tingkatan empat di Zon 4(Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan). Analisis data dalam kajian ini melibatkan 33 peristiwa bahasa berdasarkan dialog watak utama, iaitu Fuad dan watak sampingannya Farhana. Permasalahan kajian ini bertitik tolak daripada isu kesopanan berbahasa yang semakin terhakis dan terhadnya sumber rujukan diperingkat ilmiah. Keterbatasan dan kekurangan kajian dengan menggunakan bahan Komsas yang dianalisis secara pragmati turut mendorong kajian ini dijalankan. Kajian ini mempunyai tiga objektif, iaitu mengklasifikasi pola kesopanan berbahasa, menganalisis pola kesopanan berbahasa dan memetakan struktur bahasa dalam Melunas Rindu. Dapatan kajian ini akan dapat memberikan input baharu dengan nilai tambah, iaitu bahan Konsas ini diteliti dari perspektif pemikiran yang lebih tinggi dengan menggunakan teori-teori linguistik. Kajian ini juga menyumbang ke arah memperkaya khazanah dalam bidang pragmatik selain mengisi kekurangan kajian dengan menggunakan bahan Komsas. Seterusnya, dapat memberikan pendedahan tentang tatacara berkomunkasi kepada khalayak sasaran agar membudayakannya dalam kehidupan. Kajian ini menggunakan antara lainnya kaedah kepustakaan, analisis teks dan kaedah kuantitatif. Kajian ini mengaplikasikan dua teori, iaitu model Prinsip Kesopanan Leech (1983) dan Prinsip Kerjasama Grice (1975) bagi membentuk Model Pola Kombinasi Maksim Umum (MPKMU). MPKMU mengandungi enam pola, iaitu Pola 1, 6 PS + 4 PK; Pola 2, 5 PS + 3 PK; Pola 3, 4 PS + 2 PK; Pola 4, 3 PS + 1 PK; Pola 5, 2 PS dan Pola 6, 1 PS untuk digunakan sebagai asas menganalisis data kajian. Analisis yang dilakukan telah mencapai ketiga-tiga objektif kajian ini.
Text
Analisis komponen retorik kaunseling bahasa Melayu
Abstrak
Kajian ini mengetengahkan Model Komponen Retorik Paling Luas sebagai asas menganalisis teks kaunseling. Model ini mengambil kira Ciri Model Retorik Klasik dan Retorik Moden yang serasi dengan Model Retorik Paling Luas. Dalam Model Retorik Luas dimasukkan lapan komponen, iaitu komponen struktur, peserta, ayat ujaran, fungsi ujaran, gaya, golongan kata, jungtur dan unkapan Rabbani. Oleh itu, model kajian ini dikenali sebagai Model Komponen Retorik Paling Luas.
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis teks kaunseling dari sudut retori berdasarkan komponen dan teks dengan menggunakan Model Komponen Retorik Paling Luas. Selain itu kajian ini turut membuat perbandingan dalam komponen-komponen masing-masing dan perbandingan teks.
Data kajian ini merupakan empat teks kaunseling yang melibatkan empat kaunselor dan empat klien di sekolah menengah. Analisis kajian berfokus pada lapan komponen dan analisis teks serta perbandingan teks. Setiap komponen memaparkan dapatan secara keseluruhan dan juga berdasarkan struktur dan peserta.
Text
Analisis lakuan tuturan Mahathir Mohamad dalam isu 1MDB
Abstrak
Kajian ini berkaitan dengan analisis lakuan tuturan dalam ucapan Mahathir Mohamad terhadap isu 1MDB. Kajian ini bertujuan mengenal pasti bentuk-bentuk lakuan tuturan dengan menggunakan kerangka teoretis yang dibina melalui proses penggabungan teori Austin (1962) dengan Searle (1979), dan proses penyesuaian. Proses penggabungan dan penyesuaian telah menghasilkan enam kategori lakuan dan 57 sublakuan tuturan. Enam kategori tersebut ialah kategori lakuan pernyataan, kritikan, ekspresi, arahan, komisif dan deklarasi. Sepuluh ucapan Mahathir Mohamad mengenai isu 1MDB dipilih dan dianalisis dari sudut lakuan tuturan. Bahan kajian dipilih bermula tahun 2015 hingga 2017, dengan jumlah durasi keseluruhan adalah selama 4 jam 10 minit (250 minit). Dari sudut kategori lakuan, didapati lakuan pernyataan mencatatkan kekerapan tertinggi (958 ujuran atau 47.02%), diikuti oleh lakuan kritikan (721 ujuran atau 35.45%). Lakuan ekspresi pula di tempat ketiga (174 ujuran atau 8.55%), manakala lakuan arahan di tempat keempat (160 ujuran atau 7.87%). Lakuan terendah ialah lakuan komisif (21 ujuran atau 1.03%). Kajian ini tidak menemui lakuan deklarasi. Berdasarkan analisis kajian, didapati Mahathir Mohamad cenderung melakukan pernyataan untuk mendedahkan atau memberi gambaran umum tentang isu 1MDB, kemudian diikuti oleh lakuan kritikan terhadap pengurusan 1MDB. Selain itu, Mahathir Mohamad turut melakukan pelbagai lakuan arahan, yang khusus ditujukan kepada pihak pengurusan 1MDB. Lakuan janji tidak dominan dalam ucapan Mahathir Mohamad. Dari sudut sublakuan tuturan, sebanyak empat sublakuan tuturan yang mencatatkan kekerapan paling dominan, iaitu lakuan maklumat, lakuan kritikan langsung, lakuan dakwaan. Kekerapan sublakuan ini memperlihatkan bahawa Mahathir Mohamad memberikan pelbagai maklumat menegnai 1MDB, kemudia melakukan kritikan langsung dan melakukan dakwaan dengan menggunakan pelbagai rujukan yang boleh dipertanggungjawab.
Text
Analisis nahu wacana bahasa Melayu klasik berdasarkan teks Hikayat Hang Tuah
Abstrak
Kajian ini merupakan kajian bentuk ayat dan distribusi-nya dalam wacana berdasarkan rangka nahu wacana, dengan mengambil teks Hikayat Hang Tuah sebagai bahan analisis. Tumpuan diberikan kepada analisis tetenunan yang didapati antara ayat-ayat yang membina wacana, berhubung dengan ombinasai susunan maklumat dan susunan ayat yang lojikal.
Tesis ini dibahagikan kepada tujuh bab. Bab 1 mengandungi permasalahan nahu ayat, tujuan dan runag lingkup nahu wacana. Bab 2 memperkatakan latar belakang teori tentang perkaedahan yang digunakan dalam kajian ini.
Bab 3 membincangkan tentang jenis maklumat yang disampaikan oleh ayat. Tujuan bab ini ialah untuk menerangkan pola-pola dasar susunan maklumat dan susunan ayat yang lojikal.
Bab 4 pula membincangkan inti ayat bahasa Melayu dari segi bentuk nahuan. Perbincangan ini merangkumi analisis kerangka ayat bahasa Melayu dan susunan ayat yang lojikal. Daripada analisis ini didapati bahawa initi ayat bahasa Melayu adalah predikat dan pembicaraan berjalan secara sehala daripada judul kepada cerita, iaitu dari segi susunan lojikal.
Bab 5 membincangkan bentuk nuhuan ayat yang digunakan dalam wacana, dari segi kombinasi susunan maklumat dan susunan ayat yang logical. Didapati bahawa pemilihan judulakan menentukan atau bentuk ayat di mana ianya dipilih daripada sejumlah pilihan pola ayat yang telah disediakan secara teoretis (sistem pilih yang sedia ada).
Bab 6 menganalisis bagaiman sudut pandangan pembicara mempengaruhi pemilihan judul dalam ayat kompleks setara. Di samping itu diperkatakan tentang Endstellung dalam susunan ayat yang lojikal, dari segi susunan maklumat.
Bab 7 memberikan kesimpulan kajian dengan menekankan bahawa bentuk nahuan ayat perlu dikaji berdasarkan susunan maklumat dan susunan ayat yang ligikal, yang didapati dalam konteks wacana.
Text
Animasi 'Bangsawan Puteri Saadong' : adaptasi teks dan persembahan
Abstrak
Kajian ini membangunkan sebuah animasi cerita sebagai alat untuk penilaian adaptasi teks dan persembahan. Adaptasi teks yang dibuat adalah berasaskan kepada kisah Puteri Saadong, petikan dari Hikayat Seri Kelantan manakala adaptasi persembahan memilih seni persembahan bangsawan. Dengan aplikasi pendekatan adaptasi Hutcheon (2006) dan persepsi visual Arnheim (1974), kisah Puteri Saadong dan ciri-ciri persembahan bangsawan melalui penyesuaian untuk dipersembahkan dalam format animasi dua dimensi. Penghuraian tentang produksi animasi kajian yang dinamakan ‘’Bangsawan Puteri Saadong’’ dilakukan dengan memperincikan proses penulisan skrip, papan cerita, pembangunan audio dan grafik. Penilaian ‘’Bangsawan Puteri Saadong’’ bertujuan melihat faktor yang mempengaruhi persepsi terhadap karya adaptasi sastera tradisional yang diolah mengikut acuan persembahan Melayu tradisional. Dapatan dari penilaian mendapati bahawa faktor latar belakang pendidikan, pengalaman, minat, jantina dan umur mempengaruhi persepsi individu terhadap hasil adaptasi, selaras dengan model kajian, hasil pertindihan antara teori adaptasi (Hutcheon, 2006) dan teori persepsi visual (Arnheim, 1974).
Text
Arkeologi dan seni : kajian tembikar kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga Abad 16-19 masihi
Abstrak
Tesis ini cuba memfokuskan kepada peninggalan warisan Kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga yang terdapat di Kota Sayong Pinag, Kota Panchor, Kota Johor Lama dana Fort Canning Hill melalui pendekatan arkeologi dan sejarah seni. Data yang diperolehi daripada penyelidikan arkeologi iaitu artifak tembikar akan dijadikan data utama kajian ini. Tujuannya adalah untuk melihat sejak bilakah wujudnya kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga sama ada bermula dari abad ke 16 atau lebih awal dari itu yang berperanan sebagai sebuah pusat penempatan, pemerintahan dan perdagangan serta hubungannya antara satu penempatan dengan penempatan yang lain. Kajian ini akan menggabungkan beberapa kaedah dalam merealisasikan matlamat dan objektif kajian. Antaranya ialah melakukan kerja-kerja suvei dan galicari arkeologi serta menganalisis tembikar secara kuantitatif dan kualitatif. Kajian ini juga telah menjadi perintis kepada satu kaedah analisis secara kuantitatif dengan menggunakan perisian SPSSX 11 iaitu menganalisis tembikar secara statistik di negara ini. Melalui kajian statistik tersebut , hasilnya lebih tepat, jitu dan pantas berbanding dengan menganalisis tembikar secara kuantitatif dengan menggunakan kaedah yang lama iaitu secara manual.
Text
Ayat pasif bahasa Melayu
Abstrak
Disertasi ini merupakan cubaan awal berhubung dengan kajian terhadap ayat pasif Bahasa Melayu dengan mengguakan pendekatan model Transfomasi-Generatif berdasarkan model Jacobs dan Rosenbaum (1986) terhadap bahasa Inggeris.
Kajian ini dilakukan dengan tujuan untuk mengenalpasti bentuk-bentuk pasif dalam Bahasa Melayu, iaitu dengan cara mengkaji dan menganalisis ayat-ayat pasif yang terdapat di dalam teks Sejarah Melayu dan Dewan Masyarakat , iaitu yang mewakili teks lama dan teks moden.
Analisis ini meninjau struktur pasif dari segi ayat pasif dengan ganti nama diri dan ayat pasif bukan dengan ganti nama diri. Ayat pasif dengan ganti nama diri terdiri daripada ayat pasif KGDL,KGD2 dan KGD3 dan ayat pasif bukan dengan ganti
nama diri pula terdiri daripada pasif ter-,pasif kena,pasif ber-,dan pasif ke-...-an. Tiap-tiap jenis pasif tersebut mempunyai berbagai-bagai struktur variasinya tersendiri.
Hasil kajian mendapati bahawa terdapat perbezaan yang nyata antara pola-pola penggunaarn ayat pasif dalam Bahasa Melayulama dan Bahasa Melayu moden. Yang paling nyata ialah teks Melayu lama lebih banyak variasi dibandingkan dengan ayat pasif di dalam teks Melayu moden.
Text
Bahasa dan ideologi manifesto Pakatan Harapan melalui analisis wacana kritis
Abstrak
Kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (Pru ke-14) membuktikan wacana sememangnya berperanan dan berkeupayaan membina ideologi sesebuah parti politik sehingga Berjaya menarik sokongan rakyat dan menang dalam PRU-ke-14. Justeru, kajian bahasa dan ideologi dalam manifesto Pakatan Harapan dilakukan untuk memaparkan cara bahasa dimanfaatkan dalam wacana, khususnya mentafsir ideologi Pakatan Harapan. Oleh itu, secara khusus objektif kajian ini adalah untuk mengklasifikasikan bahasa dan ideologi manifesto Pakatan Harapan melalui analisis tekstual, membicangkan bahasa dan ideologi manifesto Pakatan Harapan melalui wacana praktis dan menganalisis bahasa dan ideologi manifesto Pakatan Harapan melalui analisis wacana sosial. Kajian ini mengaplikasikan kaedah kualitatif untuk menafsir ideologi Pakatan Harapan berdasarkan teori wacana kritis tiga dimensi yang dimajukan oleh Fairclough (1995). Berdasarkan analisis tekstual, wacana praktis dan praktis sosial, pengkaji telah Berjaya menafsir dua ideologi dalam wacana manifesto Pakatan Harapan, iaitu ideologi menyahterakan rakyat dan ideologi pentadbiran berintegriti. Hasil kajian menerusi dimensi tekstual mendapati aspek nahuan, leksikal dan kohesi yang digembleng dalam wacana manifesto Pakatan Harapan telah berupaya mengukuhkan ideologi yang ingin disampaikan oleh Pakatan Harapan kepada rakyat. Menerusi dimensi wacana praktis pula, aspek intertekstualiti, interdiskursiviti dan kandungan teks telah Berjaya mentafsir ideologi Pakatan Harapan untuk disampaikan kepada rakyat. Praktis sosial menerusi aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan politik berkeupayaan mentafsir dua ideologi dalam wacana manifesto Pakatan Harapan, iaitu ideologi menyahterakan rakyat dan ideologi pentadbiran berintergriti.
Text
Bahasa melayu perbualan dengan berdasarkan analisis model pragmatik gabungan tambahan
Abstrak
Kajian ini mengetengahkan dan menggunakan Model Pragmatik Gabungan Tambahan sebagai asas bagi menganalisis bahasa Melayu perbualan. Model ini mengambil dan menggabungkan beberapa elemen tertentu daripada model pragmatik awal di samping menambah beberapa elemen yang lain khusus untuk tujuan penganalisisan tersebut. Elemen-elemen tambahan itu secara khusus mengambil kira konteks sebenar penggunaan bahasa dan budaya penutur bahasa Melayu itu sendiri. Model ini terdiri daripada dua komponen jenis (kriteria linguistik) yang mengandungi 9 elemen dan komponen fungsi (kriteria pragmatik) yang mengandungi 28 elemen.
Data kajian ini terdiri daripada bahasa Melayu perbualan yang melibatkan 288 orang penutur-pendengar. Ia dirakamkan daripada 50 peristiwa pertuturan di sebuah sekolah menengah di Negeri Sembilan. Data kemudian ditranskripsikan dalam bentuk ayat-ayat ujuran penutur dan seterusnya menjadi bahan yang dikaji. Bahan tersebut dikategorikan kepada lima jenis teks formal dan lima jenis teks tidak normal.
Text
Binaan dan fungsi perkataan dalam Bahasa Melayu : satu huraian dari sudut tatabahasa generatif
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mencapai tiga matlamat tentang binaan dan fungsi perkataaan dalam bahasa Melayu (BM) iaitu
1. Menghuraikan binaan perkataan dalam BM
2. Menghuraikan dan meramalkan proses binaan perkataan dalam BM melalui penggunaan rumus-rumus tertentu, dan
3. Menghuraikan fungsi perkataan dalam binaan tatabahasa yang lebih tinggi tatatingkatnya iaitu frasa klausa dan ayat.
Berdasarkan penggandingan dan penyusunan formatif-formatif yang membentuk
perkataan iaitu akar, awalan akhiran, sisipan, linkungan dan gandaan, perkataan dalam BM didapati terdiri daripada kata unggulan kata terbitan, kata gabungan dan kata akronim untuk menghuraikan proses binaan perkataan, dua set rumus-rumus telah ditubuhkan : (i) rumus Dasar Binaan Perkataan yang menghurai dan meramalkan proses penggandingan dan penyusunan formatif-formatif yang dinyatakan itu, dan (ii) rumus morfofonemik yang menghurai dan meramalkan perubahan bunyi-bunyi di dalam formatif-formatif semsa proses penggandingan berlaku. Di dalam penghuraian golongan kata kerja terbitan, kata terbitan, kata adjektif, rumus-rumus penggandingan dan penyusunan formatif-formatif yang berkenaan juga digunakan. Rumus-rumus demikian menghasilkan sembilan (9) jenis kata nama kompleks (terbitan ), tujuh belas (17) jenis kata kerja kompleks dan sepuluh (10) jenis kata adjektif kompleks.
Penggolongan kata dalam BM ditubuhkan berdasarkan fungsi dan ciri-ciri sintaksis perkataan. Terdapat empat golongan kata dalam BM iaitu golongan-golongan kata nama (KN), kata kerja (KK), kata adjektif (KA) dan kata struktural. Golongan-golongan KN, KK dan KA bersifat homogenus, manakala kata struktural bersifat heterogenus.
Text
Buah buton di luak tanah mengandung, negeri Sembilan : hubung kait kosmologi dengan kehidupan masyarakat adat perpatih
Abstrak
Buah buton merupakan ukiran berbentuk tiga-dimensi yang diukir pada bahagian bawah sebatang kayu yang merupakan perlambangan terhadap masyarakat Adat Perpatih di Luak Tanah Mengandung, Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang menjadi permasalahan dalam penyelidikan ini seperti komplikasi dalam mendapatkan bahan tentang hubung kait antara kosmologi yang berpandukan falsafah alam terkembang jadi guru dengan buah buton yang mempunyai pengaruh daripada Adat Perpatih. Permasalahan ini bersangkut paut dengan penghuraian secara terperinci terhadap perlambangan kehidupan masyarakat adat ini dengan kosmologi yang dikatakan mempunyai kaitan antara satu sama lain. Selain itu, tiada penyelidikan khusus terhadap visual buah buton berdasarkan kosmologi merupakan antara permasalahan lain dalam penyelidikan. Oleh itu, tujuan penyelidikan ini adalah untuk menerokai kebudayaan dan nilai-nilai murni masyarakat adat ini berdasarkan kosmologi terkembang jadi guru. Selain itu, penyelidikan ini turut menganalisis reka bentuk serta kedudukan buah buton yang terdapat di Luak Tanah Mengandung, Negeri Sembilan bagi melihat persamaannya dengan unsur-unsur yang terdapat pada ukiran kayu Melayu sebagai bahan sokongan. Di samping itu, penyelidikan ini turut menilai kaitan subjek tersebut dengan kosmologi terhadap masyarakat Adat Perpatih.
Text
Budaya politik dalam historiografi Melayu
Abstrak
Historiografi Melayu adalah teks yang ditulis untuk menceritakan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan. Teks ini surat dengan gambaran budaya politik yang menjadi amalan dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu. Namun demikian sampai sekarang belum ada sebuah penyelidikan yang mendalam dan menyeluruh terhadap budaya politik historiografi Melayu.
Kajian ini bertujuan untuk melihat bagaimanakah budaya politik yang digambarkan dalam teks-teks historiolografi tersebut. Hasil kajian menunjukkan bahawa mitos asal usul menjadi sumber utama legitimasi dalam budaya politik Melayu. Kemudian diperkuat dengan adat istiadat, keistimewaan politik dan sosial yang memang sangat ditaati oleh setiap orang Melayu. Waad anara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana dijadikan panduan dalam hubungan antara raja dengan rakyat.
Text
Cabaran dan faktor kesejahteraan subjektif peserta program mikro kredit Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) cawangan Kepong, Wilayah Selangor & Kuala Lumpur Tengah
Abstrak
Kajian ini adalah bertujuan untuk meneliti tahap kesejahteraan subjektif dalam kalangan peserta program Amanah Ikhtiar Malaysa (AIM) DI Cawangan Kepong, Selangor dan Kuala Lumpur Tengah. Program berteraskan pembangunan komuniti seperti Amanah Ikhtar Malaysia kebiasaannya menetapkan objektif pencapaian berasaskan kepada perubahan jumlah pendapatan peserta sebelum dan selepas menyertai program. Namun begitu, kajian ini meneliti pandangan dan pendapat dari peserta program berkenaan dengan kualiti kehidupan mereka secara keseluruhan. Peserta program yang dipilih adalah mereka yang menyertai program AIM sekurang-kurangnya selama satu tahun. Kaedah penelitian dan penilaian bagi kajian ini tidak terhad terhadap perubahan fizikal sahaja, namun juga melibatkan psikologi peserta. Peserta bukan sahaja dinilai dari aspek pemilikan, malahan berdasarkan tahap kepuasan hidup dari segi kesihatan, pendidikan, sosial dan pencapaian diri (impian). Pendekatan gabungan (mixed method) digunakan dalam kajian ini adalah protokol temu bual dan juga soal selidik yang berasaskan kepada tujuh (7) indikator kesejahteraan subjektif. Kaedah analisis kualitatif digunakan bagi memperolehi penerangan berkenaan pandangan peserta berhubung tahap kesejahteraan hidup serta penilaian terhadap pencapaian mereka. Kajian menunjukkan terdapat lima (5) bentuk halangan dan cabaran, enam (6) aspek utama yang mempengaruhi tahap kesejahteraan peserta dan tiada hubungan korelasi yang kuat antara satu sosioekonomi dengan kesejahteraan subjektif peserta program mikro kredit Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Permasalahan ini boleh diselesaikan dengan penambahbaikan struktur program sedia ada melalui peyaluran lebih banyak bantuan berbentuk teknikal, khidmat nasihat dan pemantauan berkala berkaitan projek yang dijalankan. Hasil kajian ini dapat membantu dalam meningkatkan tahap kesejahteraan subjektif peserta dan sebagai panduan kepada pihak yang berkepentingan dalam menyediakan bantuan, program yang bersesuaian dan mesra peserta program.
Text
Cerita lipur lara terpilih berdasarkan pendekatan pengurusan
Abstrak
Kajian ini menekuni satu pendekatan baharu dalam dunia kajian kesusasteraan kerana bersifat rentas disiplin dengan ilmu pengurusan. Teks cerita lipur lara terpilih yang menjadi pegangan untuk diterapkan dalam kajian ini, iaitu Hikayat Anggun Cik Tunggal (1985), HIkayat Awang Maim Demam (1998), Hikayat Malim Dewa (1998) dan Hikayat Raja Muda (1998). Perbincangan kajian berdasarkan Pendekatan Pengurusan yang telah diketengahkan oleh Mohamad Mokhtar Abu Hassan. Teks-teks kajian dibincangkan secara rinci bertujuan mencapai tiga objektif utama kajian, iaitu mengenal pasti prinsip-prinsip pendekatan pengurusan yang terdapat dalam cerita lipur lara terpilih. Kedua, menganalisis cerita lipur lara terpilih berdasarkan prinsip-prinsip pendekatan pengurusan. Ketiga, merumuskan kepentingan prinsip-prinsip pendekatan pengurusan yang diketengahkan dalam cerita lipur lara terpilih. Dengan mengemukakan definisi konsep pengurusan dan prinsip-prinsip pengurusan, kerangka Pendekatan Pengurusan telah digunakan sebagai satu indikator penting untuk menerapkan dan menganalisis teks cerita lipur lara ini. Lima prinsip dalam pendekatan pengurusan, iaitu prinsip perancangan, prinsip kepimpinan pengorganisasian, prinsip penstafan dan prinsip kawalan menjadi tunjang penting kajian. Kajian ini menemukan beberapa hasil dapatan bertitik tolak daripada analisis menggunakan Pendekatan Pengurusan. Hasil dapatan kajian membuktikan bahawa cerita lipur lara Melayu mendampakkan suatu kecenderungan yang tinggi dalam menyerlahkan kelima-lima prinsip pengurusan bertitik tolak daripada analisis terhadap karya. Daya pengurusan yang dipancarkan menerusi prinsip perancangan dalam teks-teks kajian menyerahkan kepentingan karya sastera tradisional ini dalam denyutan dunia globalisasi yang menuntut daya pemikiran yang kreatif dan kritis.
Text
Cerita rakyat Melayu : analisis dari aspek komunikasi dua hala
Abstrak
Kajian ini menumpukan penelitian cerita-cerita rakyat Melayu yang diperolehi menerusi Penglipur Lara Ali Badron bin Hj Sabor. Kajian ini berdasarkan bahan sastera rakyat, penganalisian dilakukan dengan menggabungkan jalin beberapa teori yang bersifat saintifik Teori Komunikasi, Teori Interaksionisme dan Teori Kecerdasan Pelbagai.
Keseluruhan kajian ini bersandar pada andaian pengkaji bahawa sudah tiba ketikanya tinjauan mengenai sastera rakyat Melayu lakukan seiringan dengan teori-teori yang bersifat sistematik. Sehubungan itu, hala tuju penyelidikan sastera rakyat wajar diubah agar tidak lagi berada di ruang lingkup ilmu yang terbatas Paradigma sebegini mampu memperkembangkan dunia penyelidikan sastera rakyat Melayu ke arena antara bangsa.
Text
Dasar kerajaan dan kesannya terhadap bahasa Melayu di negara Thai
Abstrak
Disertasi ini merupakan satu kajian tentang dasar kerajaan Thai dan kesannya terhadap bahasa Melayu di negara Thai berdasarkan disiplin Sosiolinguistik dalam rangka Teori Pertembungan Bahasa dan Pinjaman Bahasa, disiplin Sains Dasar dalam rangka Teori Analisi Dasar Awam. Kajian ini memfokuskan sosiolinguistik tulen yang menyentuh beberapa cabang kajian sosiolinguistik yang berkenaan. Matlamat kajian adalah untuk melihat hubungan dasar-dasar tertentu kerajaan dan kesannya terhadap bahasa Melayu.
Bab I Pendahuluan. Bab ini mengandungi pengenalan secara umum latar belakang masyarakat di Thailand, dasar negara Thailand terhadap pembinaan bangsa, kesan hubungan dasar pembinaan bangsa dengan masyarakat Melayu. Bab ini mengemukakan tujuan kajian, bidang kajian dan ruang lingkup, kawasan kajian dan skopnya, hipotesis serta hasil yang dijangkakan. Pendekatan teori yang merangkumi konsep dasar, dasar bahasa, dasar penyelesaian masalah golongan minoriti dan ringkasan rangka teori yang mencakupi dua kaedah penting, iaitu kaedah sosiolinguistik dan kaedah dasar awam turut dikemukakan. Bab I juga menyebut tentang komponen-komponen kajian seperti kaedah kajian, kepentingan dan masalah kajian, kajian-kajian yang telah dilakukan, definisi istilah dan informan.
Text
Diangdangan Brunei : Tuan pemagat ular membaung, suatu suntingan teks
Abstrak
Diangdangan Tuan Pemangat Ular Membaung (TPUM) adalah salah satu daripada beberapa diangdangan yang terdapat dalam tradisi lisan dan merupakan sebahagian daripada sastera rakyat (folklore) Bunei. Diangdang seperti juga yang lipurlara dalam masyarakat Melayu dan cerita kaba di Minangkabau yang tergolong ke dalam bentuk prosa berirama atau prosa lirik. Tergolongan TPUM ke dalam bentuk-bentuk itu kerana ia memiliki sifat-sifat puisi dan prosa yang disampaikan secara formalaik seperti perulangan yang stereotaip. Sebagai puisi, ia mengeksploitasi unsur bunyi sehingga menimbulkan irama. Pengeksploitasian unsur bunyi itu menyebabkan keseluruhan teksnya mengandung unsur ritma dan melodi. Sebagai prosa ia mengeksploitasi cerita. Ceritanya terbina dari serangkai peristiwa (plot) bercorak romantik yang tersusun mengikut babak atau episod. Melalui plot dan babak-babak penceritaan inilah menyerlahkan perihal dan tema TPUM iaitu tentang ‘keabsahan raja’ atau ‘kedaulatan raja’. Bentuk unsur dan tema tersebut disampaikan oleh pendiangdangan dalam satu persembahan atau pementasan dengan gaya yang unik lagi tersendiri.
Text
Eksperimen kreatif dan inovasi dalam tenun Pahang DiRaja
Abstrak
Tenun Pahang Diraja (TPD) merupakan seni tenunan warisan Melayu Pahang yang menjadi salah satu identiti utama kesenian di negeri Pahang. Aktiviti tenun berkembang khususnya di daerah Pekan sejak abad ke-16 sehingga hari ini dengan sokongan pihak kerajaan dan istana Pahang. Perusahaan ini mengalami persaingan apabila reka corak yang lebih kontemporari sesuai dengan cita rasa terkini membanjiri pasaran. Kain komersial TPD hanya dihasilkan daripada struktur tenun biasa walaupun mempunyai peralatan yang boleh mempelbagaikan struktur tenun, kesan kemasan akhir kain dan dapat mengurangkan masalah kedutan. Kain TPD perlu dibangunkan daripada aspek rekaan dan teknik mengikut kesesuaian peralatan menenun dengan mengekalkan identitinya. Tujuan penyelidikan ini dijalankan untuk menghasilkan kain TPD yang lebih kompetetif berdasarkan inovasi melalui struktur tenun. Justeru, usaha dilakukan untuk menyesuaikan rekaan kain TPD bermula daripada aspek teknikal dan kreativiti. Penyelidikan ini menggunakan perisian WeavePoint 6.1 dan alat tenun buatan barat Scacht floor dan Leclerc Jack floor loom untuk menghasilkan sampel variasi sruktur tenun sebagai inovasi dalam penghasilan kain TPD.
Text
Falsafah bahasa : nilai dan etika Melayu-Islam dalam pantun
Abstrak
Penyelidikan ini memberi tumpuan falsafah bahasa khususnya berhubung dengan fungsi bahasa. Lalu dianalisis fungsi bahasa menerusi data pantun tradisi dalam teks kajian (kumpulan Pantun Melayu 1983). Tidak dapat disangkal lagi bahawa bahasa amat berhubung erat dengan pemikiran. Dalam kajian ini, dikemukakan Model Falsafah Bahasa hasil garapan dua teori bahasa terdahulu, iaitu Teori Relatif dan Teori Kenuranian Bahasa. Model ini mengetengahkan peri pentingnya para pengguna bahasa mengaplikasi tiga prinsip dalam memastikan fungsi bahasa dimanfaat secara maksimum. Pertama, perlunya kita berbahasa menurut nahu bahasa tersebut supaya maksud yang hendak disampaikan dapat mencapai objektifnya. Kedua, perlu juga kita berbahasa untuk menyampaikan maklumat atau fakta yang betul dan benar. Ketiga, wajar sekali kita berbahasa untuk tujuan ibadah atau mentauhidkan Allah selaku Pencipta segala kejadian. Dengan demikian, kita telah melakukan yang terbaik dalam proses berbahasa sama ada dalam konteks hubungan sesama manusia mahupun hubungan dengan Allah.
Text
Falsafah pendidikan bahasa : kajian tentang konsep dan pelaksanaannya di Malaysia dengan rujukan khusus kepada pendidikan bahasa Melayu di Sekolah Menengah
Abstrak
Kajian ini bertitik tolak daripada latar belakang fenomena yang berkisar di sekitar tiga hal. Yang pertama ialah hakikat pendidikan dan juga pendidikan bahasa sebagai asas kehidupan bertamadun bagi manusia. Yang kedua ialah peranan pendidikan bahasa dalam proses berlangsungnya pendidikan umum, iaitu sebagai ilmu asas menurut hierarki ilmu yang dikemukakan oleh al-Ghazali. Yang terakhir pula ialah agenda dan program ‘’pengislaman ilmu’’ yang mula digerakkan sejak tahun 1970-an sebagai upaya menanggap persoalan ilmu menurut pandangan hidup dan epistemologi Islam. Dalam program tersebut, salah satu aktiviti yang diberi tumpuan perhatian ialah pengislaman ilmu dalam segala disiplin, termasuk linguistik dan pendidikan
Kajian ini pada dasarnya bertujuan merumuskan falsafah pendidikan bahasa (sekaligus falsafah bahasa itu sendiri) menurut tasawur Islam sebagai alternatif kepada falsafah pendidikan Barat yang didapati terpecah-pecah menurut kecenderungan pelbagai aliran falsafah dan teori. Di samping itu dikaji juga pelaksanaan falsafah pendidikan bahasa dalam konteks Malaysia, sesuai dengan pelaksanaan gagasan bersepadu, yang merupakan hasil langsung daripada Persidangan Pertama Pendidikan Islam di Makkah pada tahun 1977.
Selain mengemukakan pelaksanaan pendidikan bersepadu yang turut melibatkan pendidikan Bahasa (dalam konteks ini bahasa Melayu yang menjadi bahasa kenbangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu), dikaji juga suatu aspek pelaksanaannya di sekolah dengan memilih aspek persepsi guru Bahasa Melayu sebagai fokusnya.
Beberapa rumusan tentang asas-asas falsafah pendidikan bahasa disarankan, iaitu pendidikan bahasa sebagai pengembangan potensi tenurani pada manusia, pendidikan bahasa sebagai saranan untuk menekuni suatu sistem dalam sistem sarwajagat ciptaan Tuhan, pendidik bahasa sebagai asas proses pengilmuan manusia, serta pendidikan bahasa sebagai wadah pewarisan nilai-nilai dan kebudayaan. Dalam aspek perlaksanaannya di Malaysia, disarankan suatu penyataan eksplisit tentang falsafah pendiidikan bahasa Melayu, langkah-langkah mengatasi masalah–masalah yang ada, langkah-langkah memesatkan perlaksanaan pendidikan bersepadu bahasa Melayu, serta beberapa kajian lanjutan.
Text
Falsafah seni ukiran kayu Melayu
Abstrak
Fokus kajian ini ialah mengenai falsafah seni ukiran Melayu dan melestarikannya sebagai warisan seni yang terdapat di Malaysia. Kajian turut melihat bagaimana sesebuah institusi yang terbabit memainkan peranan mereka dalam menjayakan. Dalam konteks masyarakat Melayu, setiap seni yang dihasilkan itu sebenarnya telah dirancang dengan teliti agar di dalam setiap rupa bentuk seni tersebut mempunyai ‘jiwa’ yang dilihat boleh berkomunikasi kepada masyarakat. Syed Ahmad Jamal (2000) telah menyatakan konsep seni rupa Melayu lahir daripada kesedaran terhadap intisari sesuatu hasil ciptaan, iaitu melalui bentuk tampaknya kepada dimensi yang terjalin pada rupa ciptaan itu. Ini menjadi titian di antara realiti yang zahir dan batin serta berperanan sebagai perantara jiwa pencipta dan penghayat. Dari sinilah dapat dilihat keupayaan seni itu dalam menimbulkan pelbagai penafsiran, pemikiran, rasa dan persoalan. Dalam penyelidikan ini pengkaji juga menggunakan teori sosiologi pengetahuan, ini adalah untuk pengkaji memahami hubungan ukiran dengan masyarakat dan bagaimana falsafah yang terkandung di dalam ukiran ini dapat dilestrikan. Sosiologi pengetahuan merupakan ilmu yang menjadi cabang dari sosiologi yang mempelajari hubungan timbal-balik antara pemikiran dan masyarakat. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa cara terbaik untuk melestarikan seni ukiran Melayu adalah melalui penyampaian ilmu dari dalam kelompok masayarakat selain dari kaedah penguatkuasaan akta, kaedah pemuliharaan makmal dan kerja lapangan yang dijalankan dalam usaha mengekalkannya.
Text
Gagasan ketatanegaraan dalam syair-syair Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddeien, Brunei
Abstrak
Tesis ini mengkaji satu aspek terbaru mengenai karya-karya syair Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Brunei ke 28 (1950-1967). Aspek ketatanegaraan dalam karya-karya syair baginda belum pernah dikaji secara mendalam sebelum ini. Sebelum menaiki takhta kerajaan, Al-Marhum mendapati pihak British tidak berusaha memajukan negaranya, menyebabkan Al-Marhum membuat keputusan untuk mengambil kuasa dan pemerintahan dari mereka.
Setelah menaiki kerajaan pada 1950, Al-Marhum telah mengambil langkah-langkah segera membetulkan keadaan, membangun Brunei sesuai dengan aspirasi rakyat dengan baginda sendiri sebagai raja yang berkuasa mutlak berada di hadapan memimpin perjuangan. Baginda telah menyusun sebuah perlembagaan yang menjadi undang-undang utama bagi mentadbir negara. Perlembagaan itu yang dimasyurkan pada tahun 1959, disusun berdasarkan teori-teori pemerintahan Islam, adat istiadat dan teori moden.
Text
Gaya dan tema dalam seni cetak konvensional seniman Melayu Malaysia (1970-1999)
Abstrak
Kehadiran seniman Melayu yang mendapat pendidikan seni moden barat pada sekitar tahun selepas merdeka khususnya bermula 1970an hingga 1990an menarik perhatian kepada penyelidikan ini. Penyelidikan ini merupakan kajian berkaitan pengolahan seni cetak Malaysia dari tahun 1970an hingga 1999. Pada dekat ini, perkembangan seni tanah air dikatakan sebagai era krisis identiti, tradisi dan kemodenan. Maka satu bentuk seni baharu dari gabungan bentuk seni rupa moden dan tradisi berkembang dengan giatnya. Keadaan ini dipercayai ekoran daripada peralihan perspektif seni visual tempatan dari ‘’seni demi seni’’ dan masyarakat’’ yang dicetuskan oleh Konggres Kebudayaan Kebangsaan, 1971 (KKK). Kesan daripada fenomena ini, banyak simbol budaya seperti pucuk rebung, keris, kerawang dan sebagainya muncul dalam karya seni cetak tempatan. Maka pengolahan karya seniman Melayu yang dikatakan kebaratan ini menjadi focus kajian ini. Tiga objektif penyelidikan iaitu mengenal pasti gaya, mengenalisis tema dan mensintesis simbol budaya yang terdapat dalam cetakan oleh para seniman Melayu tempatan sebagai aspek penelitian utama dalam penyelidikan ini. Kajian bercirikan penyelidikan kualitatif dengan metod analisis observasi serta penelitian perpustakaan. Teori apresiasi seni ikonografi Erwin Panofsky digunakan sebagai kerangka teoritis analisis karya. Penemuan kajian merumuskan walaupun karya cetakan mengaplikasi pelbagai gaya aliran antarabangsa dari barat tetapi ianya diubahsuai dengan menampilkan simbol budaya tempatan. Maka lahirlah bentuk karya dari gabungan estetika barat, tradisi dan Islam. Manakala segi aspek tema, kecenderungan seniman Melayu kearah nilai tradisi dan budaya tempatan dengan mengetengahkan tema berunsur kerohanian, leluhur, budaya dan bahasa yang seiring dengan hasrat KKK.
Text
Genre drama dalam teks sastera : kajian kandungan nilai
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk menentukan kandungan nilai yang terdapat dalam teks drama Komponen Kesusasteraan Melayu yang digunakan oleh pelajar sekolah menengah di Malaysia. Penegasan terhadap nilai sebagai unsur yang penting dalam mencapai hasrat dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dinyatakan dengan jelas dalam kurikulum. Sejumlah 15 buah teks drama dari Tingkat 1 hingga Tingkat 5 telah dikaji. Kajian yang berbentuk deskriptif ini menggunakan kaedah analisis kandungan bagi tujuan pengumpulan data. Berdasarkan kajian yanag telah dijalankan, nilai-nilai yang dikenal pasti dalam teks drama dikelompokkan kepada lima jenis yang utama, iaitu 1) nilai keagamaan, 2) nilai peribadi, 3) nilai kekeluargaan, 4) nilai kemasyarakatan, dan 5) nilai kewarganeragaan.
Text
Hibridisasi masakan Melayu : kajian kes di Kuala Lumpur
Abstrak
Budaya kulinari Melayu sentiasa dalam keadaan aktif dari segi inovasi dan tindak balas terhadap pengaruh elemen-elemen kulinari luar negara. Untuk memahami bagaimana cef-cef Melayu bertindak balas terhadap fenomena ini, kajian ini menganalisis berbagai-bagai aktiviti masakan di restoran-restoran terpilih. Kajian ini menggunakan dua kaedah, iaitu kaedah pemerhatian dan temu bual. Implikasi globalisasi melalui berbagai ‘’scape’’dianalisis bertujuan untuk meninjau ciri-ciri globalisasi, iaitu bagaimana ia mempengaruhi dan disesuaikan sebagai tindak balas terhadap trend pemakanan global. Satu permasalahan besar dalam masakan Melayu adalah ketiadaan konsep yang jelas dan kurang daya tarikan. Perkembangan ini menyebabkan cef-cef Melayu berusaha mencari penyelesaian terhadap isu ini. Amalan menyesuaikan makanan asing dengan makanan Melayu baik dari segi teknik mahupun penggayaan dalam kalangan cef-cef Melayu dilihat boleh mendatangkan masalah dari penyelesaian. Setiap cef mempunyai minat yang mendalam terhadap masakan mereka. Sungguhpun begitu mereka terpaksa memilih antara minat dan keuntungan yang boleh dijana dari masakan tersebut. Justeru kajian ini menyarankan penggunaan kaedah ‘scape’ untuk membina lanskap kulinari Melayu yang lengkap. Kerangka lanskap kulinari Melayu ini membolehkan analisi dibuat terhadap masa hadapan masakan Melayu dalam mengharungi era pemodenan.
Kata kunci : etnoscapes, technoscapes, ideoscapes, mediascapes, finanscapes,
Globalisasi, nouvelle cuisine.
Text
Hiburan dalam masyarakat Melayu bandaran 1870 hingga 1941 : satu kajian tentang pertumbuhan budaya popular
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai pertubuhan hiburan dalam masyarakat Melayu bandaran antara tahun 1870 hingga tahun 1941. Tujuan utamanya ialah mengkaji dan Menganalisa pertumbuhan unsur-unsur budaya popular bandaran yang muncul berikutan perubahan masyarakat itu. Bab I menerangkan ruanglingkup dan rangka konsep yang berikut dengan kajian.
Bab II menerangkan proses perubahan masyarakat Melayu berikutan dengan campurtangan pentadbiran kolonial inggeris yang bermula dalam abad ke 19. Perbincangan mengenai petubuhan bandar-bandar kolonial dan bentuk serta ciri-ciri budaya Melayu tradisional dilakukan dalam Bab III. Proses dalam perubahan dalam sistem-sistem politik dan ekonomi serta perkembangan pelajaran dan teknologi moden zaman colonial adalah faktor-faktor asas yang berkaitrapat dengan pertumbuhan budaya popular.
Dalam melihat pertumbuhan unsur-unsur budaya popular, khususnya hiburan dalam masyarakat bandaran, kajian ini menumpukan kepada pertumbuhan teater popular, musik, tarian dan lawak jenaka serta media hiburan filem dan radio. Bab IV menumpukan perhatian kepada teater popular Melayu yang muncul dalam akhir abad ke 19 dan mencapai kemuncak kegemilangannya dalam tahun-tahun 1920an dan 1930an. Pergerakan Bangsawan atau Opera berasaskan kepada ciri-ciri teater popular. Teater ini juga merupakan asas kepada pertumbuhan musik, tarian dan lawak jenaka secara popular. Perbincangan dalam Bab V menumpukan kepada pertumbuhan musik tarian dan lawak jenaka. Piring hitam sebagai media hiburan moden telah memperkembangkan musik Melayu secara popular. Media penting sebagai asas perkembangan hiburan yang sangat popular selepas Perang ialah filem dan radio. Perbincangan Bab VI ialah mengenai pertumbuhan filem dan radio sebagai media hiburan popular. Bab VII pula menumpukan kepada proses medenisasi dan urbanisasi unsur-unsur budaya Melayu. Perbincangan Bab ini merupakan beberapa rumusan dan generalisasi mengenai perumbuhan hiburan masyarakat Melayu zaman kolonial.
Jadi, pertumbuhan budaya bandaran semasa kolonial adalah memperlihatkan unsur-unsur budaya popular yang berkembang semakin kompleks kemudian. Pertumbuhannya adalah berikutan dengan perubahan masyarakat bandaran itu sendiri.
Text
Hikayat Pandawa Lebur MSS 737 : penceritaan dalang atau dagang
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk meneliti peranan dalang selaku pencerita dalam naskhah Hikayat Pandawa Lebur MSS 737, koleksi Perpustakaan Malaysia, Kuala Lumpur. Naskhah ini mengandungi enam siri perang antara Kerajaan Pandawa dengan Kerajaan Ukirtawang, Kerajaan Tambak Kencana, Kerajaan Ukirsina, Kerajaan Penatas Angin, Kerajaan Manca Pati dan Kerajaan Sura Peringga. Kajian ini menggunakan pendekatan filologi moden yang melihat variasi naskhah sebagai ciptaan teks yang tersendiri. Pendekatan ini tidak melibatkan perbandingan naskhah sebaliknya kajian yang mendalam dilakukan terhadap variasi naskhah yang dikaji. Objektif kajian adalah untuk menganalisis sama ada peranan penceritaan dalang dalam Hikayat Pandawa Lebur MSS 737 sama seperti yang dinyatakan dalam teori Koster (1997) kerana HPL disampaikan oleh dalang. Kedua untuk menganalisis kemungkinan wujud peranan dagang dan akhirnya untuk membuktikan bahawa kebenaran pandangan sarjana bahawa Hikayat Pandawa Lebur MSS 737 ialah cerita pandawa yang berbeza daripada cerita-cerita pandawa yang lazim ditemui.
Text
Hubungan etnik dalam novel-novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan terpilih berlandaskan model etika hubungan etnik
Abstrak
Hubungan etnik yang dinaratifkan dalam novel-novel remaja merupakan sebahagian daripada kenyataan sosial dan cerminan kepada kehidupan realiti masyarakat. Namun begitu, manfaat yang dapat diberikan oleh novel remaja dalam mengetengahkan isu berkaitan etika hubungan dan peranannya sebagai medium pemahaman dan penyatuan hubungan etnik kurang perhatian masyarakat terutamanya untuk mengangkat novel remaja sebagai bahan bacaan yang boleh digunakan oleh remaja bagi memantapkan pengetahuan tentang hubungan etnik. Kajian ini mendukung tiga objektif utama. Pertama menjelaskan representasi hubungan etnik dalam novel-novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) terpilih. Kedua, menganalisis hubungan etnik dalam novel-novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) terpilih dari perspektif etika seni, etika agama, etika sosibudaya, etika ekonomi dan politik berlandaskan Model Etika Hubungan Etnik (MEHE). Ketiga merumuskan hubungan etnik dalam novel-novel remaja HSKU berlandaskan MEHE. MEHE merupakan model yang dibangunkan hasil gabungan daripada Teori Etika dalam Sastera oleh Sugiarti & Eggy Fajar Andalas (2018) dan Perspektif Etika Ekonomi dan Politik oleh Mohd Rashid Md Idris (2011) untuk mengkaji hubungan etnik dalam novel-novel remaja HSKU terpilih secara menyeluruh. MEHE mengandungi empat perspektif Etika Seni, perspektif Etika Agama, perspektif Etika Sosiobudaya dan perspektif Ekonomi dan Politik.
Text
Ideologi penulis-pengarah teater alternatif Melayu terpilih di stor teater DBP(2003-2014)
Abstrak
Teater kontemporari di Malaysia di awal era 2000 mempunyai perkaitan dengan kewujudan panggung nasional, Istana Budaya yang dibuka secara rasmi pada tahun 2000. Istana Budaya diawal penubuhannya memberi peluang kepada pengarah-pengarah teater ternama dengan karya-karya berskala besar yang menyokong aspirasi nasional. Kesan dari itu, peluang bagi penggiat-penggiat teater baharu untuk mengenengahkan idea kreatif dari segi penulisan dan pengarahan mereka sendiri terutamanya dari golongan graduan menjadi terhad. Istilah teater alternative dirungkai dalam kajian ini sebagai manifestasi kepada kemunculan satu kelompok kecil penggiat-penggiat teater yang mencari alternative untuk mementaskan teater berskala kecil di Kuala Lumpur yang bermula pada tahun 2003 di sebuah panggung ‘kotak hitam’ (black box) yang diberi nama Stor Teater DBP. Kajian ini membincangkan secara terperinci mengenai bentuk teater alternative Melayu di Malaysia dengan memberi penekanan terhadap ideologi penulis-pengarah dalam pementasan teater alternative yang dijalankan di premis persembahan khas terletak di Dewan Bahasa dan Pustaka yang dikenali sebagai Stor Teater DBP sejak kewujudannya pada 2003 sehingga pada tahun ia ditutup untuk tujuan membaikpulih iaitu pada tahun 2014.
Text
Ilustrasi visual dalam manuskrip Pelaga Lembu : analisis semiotik model inderalogi
Abstrak
Bidang kesenian merupakan cabang komunikasi secara tampak antara sesama manusia melalui pelbagai kaedah perlambangan daripada sistem tanda yang ditandai dengan makna-makna tertentu menerusi komponen visual. Justeru, kandungan seni ilustrasi daripada visual tradisi alam Melayu merupakan medium manifestasi makna yang meliputi nilai intelektual dalam sesebuah masyarakatnya. Makna yang hadir menerusi komponen ilustrasi memberi indikasi nilai tertentu dalam konteks ilmu pengetahuan, merentasi kepelbagaian budaya dan kepercayaaan. Oleh yang demikian, fokus utama kajian ialah mengenai proses interprestasi makna tanda ilustrasi visual yang terdapat dalam manuskrip Pelaga Lembu dan hubungannya dengan konsep ilmu pengetahuan mengikut resam tradisi. Terdapat kebih 100 jenis ilustrasi visual dalam 312 bab dalam manuskrip, seperti ilustrasi jin, wakaf, diagram, kaligram, tanda bab, figura manusia, jadual, fauna dan khat, dianalisis secara semiotik bagi menterjemahkan nilai simbolik di sebalik kewujudannya. Bagi merealisasikan penyelidikan ini, pengkaji menggunakan tiga konsep gabungan teoretikal, iaitu Kesatuan Organik (Orvick, 1994) bagi aspek seni visual, Semiotik Tanpa Had (Charles Sanders Peirce, 1914) bagi aspek kaedah interprestasi tanda makna dan teori justifikasi Ilmu Pengetahuan oleh Al-Ghazzali (1056-1111) bagi aspek penerapan konsep ilmu mengikut bimbingan Al-Quran dan hadis. Kombinasi ketiga-tiga konsep teoretikal ini menghasilkan Semiotik Model Inderalogi dan diaplikasikan sepenuhnya pada peringkat analisis isi kandungan makna ilustrasi visual. Hasil kajian sistematik ini menunjukkan bahawa penalaran makna sentiasa berkembang sehingga menemukan dwifungsi kebenaran. Kebenaran alam nyata menyangkit makna daripada nilai budaya setempat manakala kebenaran alam metafizik berhubung dengan aspek spiritual, mistik dan keagamaan. Fenomena makna dalam ragam kesenian visual tradisi membuka ruang pemikiran baru dalam konteks seni semasa. Sekali gus, memperlihatkan kebijaksanaan seniman manuskrip Melayu mengolah, mereka bentuk dan menstrukturkan ilustrasi menjadi sebuah jambatan kerohaniaan menerusi laras pengetahuan budaya di samping nilai estetika.
Text
Impak perilaku konsumeris dan nilai kelas sosial bandar terhadap pola perbelanjaan belia Melayu : kajian kes di Kuala Lumpur
Abstrak
Tujuan kajian ini dilaksanakan adalah untuk menganalisis pola perbelanjaan beli kumpulan B40 dan M40, menganalisis hubungan faktor-faktor nilai budaya bandar dan keterlibatan sosial ke atas kecukupan dengan pola perbelanjaan sebagai perantara dan, apakah kesan pola perbelanjaan ke atas kecukupan. Untuk mencapai objektif kajian, kajian ini menggabungkan kaedah kuantitatif dan kualitatif. Bagi kaedah kuantitatif, edaran soal selidik ke atas 522 orang belia Melayu di Kuala Lumpur dengan menggunakan kaedah persampelan bertujuan dan bola salji telah dilakukan. Manakala perbincangan kumpulan berfokus dan temubual bersama informan telah dilaksanakan bagi kaedah kualitatif. Responden yang juga informan yang terlibat mempunyai kriteria-kriteria khusus seperti, berumur antara 20-39 tahun, tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur, dan dari kumpulan B40 dan M40. Untuk memproses maklumat, dan kemudiannya dianalisis menggunakan program Statistical Package for Social Science (SPSS), Atlas, ti, dan kaedah Structural Equation Modeling (SEM) menggunakan Analysis of Momentum Structures (AMOS). Hasil kajian mendapati bahawa, belia kumpulan B40 dan M40 mengutamakan perbelanjaan yang sama walaupun berlainan tingkat pendapatan. Faktor nilai budaya bandar dan keterlibatan sosial didapati mempunyai hubungan yang signifikan ke atas pola perbelanjaan sementara pola perbelanjaan hanya berfungsi sebagai perantara bagi hubungan kumpulan rujukan dengan kecukupan, Secara keseluruhan, pola perbelanjaan didapati hanya mempengaruhi tahap kecukupan secara kecil. Hal ini menunjukkan, walaupun menetap di bandar dan berdepan dengan budaya bandaran serta di himpit kos sara hidup yang tinggi, kedua-dua kumpulan belia Melayu masih berpegang kepada nilai norma yang ditetapkan dalam diri mereka.
Text
Indeks kognitif : analisis Bahasa Melayu dan Bahasa Orang Asli
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai indeks kognitif bahasa Melayu (BM) dan bahasa Orang Asli (BOA) yang melibatkan makna kamus, iaitu makna kognitif. Data korpus kajian ini terdiri daripada 100 senarai kata bahasa Semai yang lazim digunakan dalam masyarakat Orang Asli Suku kaum Semai dari kumpulan Semai dengan mengambil kira senarai kata Morrish Swadesh. Keseluruhan analysis dalam tesis ini menggunakan Model Semiotik Paling Luas (MSPL). Terdapat empat tujuan, iaitu menganalisis lambing kata nama (KN) dalam BM dan BOA sebagai salah satu jenis tanda, menunjukkan indeks kognitif lambang KN konkrit, abstrak dan ghaib BM dan BOA, menganalisis perbandingan dengan berdasarkan kategori dan jenis KN dan menguji model yang dibina, iaitu MSPL.
Text
Industrialisasi dan perubahan nilai masyarakat Melayu Riau : kajian di kawasan perindustrian Pulau Batam
Abstrak
Sebelum Pulau Batam menjadi kawasan perindustrian, kehidupan masyarakat Melayu Batam bergantung kepada tanah dan air (laut) sebagai alat pengeluaran. Kemasukan industri di kawasan ini, telah menimbulkan perubahan terhadap nilai-nilai warisan masyarakat Melayu tempatan, seperti nilai ekonomi, pendidikan, keluarga, peranan wanita dan keagamaan. Selain itu aspek sosiobudaya masyarakat juga berubah, iaitu dari masyarakat tani menuju masyarakat industri.
Kajian ini tentang perubahan nilai masyarakat Melayu Batam, setelah daerah ini dikembangkan menjadi kawasan perindustrian. Persoalan kajian ini ialah bagaimana terjadinya perubahan nilai masyarakat Melayu Batam dan bagaimana persepsi mereka terhadap industri, serta apa kesan industri terhadap perjalanan hidup harian masyarakat Melayu Batam setelah daerah ini dikembangkan menjadi kawasan perindustrian. Nilai yang menjadi tumpuan utama kajian ini ialah nilai ekonomi, pendidikan, keluarga dan peranan wanita.
Text
Institusi Bale Gambang-Baruk : dulu dan sekarang. Etnografi perubahan sebuah institusi utama masyarakat Bidayuh, Sarawak
Abstrak
Baruk adalah sebuat ruang fizikal, iaitu sebuah bangunan khas dan ia jua adalah sebuah entiti yang abstrak, digunakan untuk pelbagai fungsi budaya, sosial dan politik. Maka ia dikenal sebagai institusi Bale gambang-Beruk sebuah institusi utama masyarakat Bidayuh. Setiap perkampungan masyarakat Bidayuh mempunyai baruk masing-masing. Sekarang, bilangannya berkurangan dan kepenggunaannya pun berubah. Metodologi penyelidikan kualitatif digunakan dengan pengumpulan data dibuat menggunakan sumber premier/utama seperti bajo asal bale gambang-baruk (nyanyi-baruk (nyanyian rakyat) grite Bidayuh damba (cerita lagenda) serta kerja lapangan ke beberapa bale gambang-baruk di Kampung Gumbang, Kampung Opar Bau, Kampung Pichin dan Kampung Taee Serian, yang masih mengekalkan fungsi tradisional institusi ini walaupun mengalami arus pemodenan. Hasil kajian membuktikan fungsi dan peranannya sebagai simbol identiti Bidayuh terus dipelihara. Walau bagaimanapun terdapat kebimbangan dalam kelestariannya akibat daripada impak perubahan dan kemodenan yang berlaku dalam komuniti Bidayuh sendiri.
Kata kunci : bale gambang-baruk, pusat adat dan tradisi, simbol identiti Bidayuh.
Text
Istilah sains dalam Bahasa Melayu : aspek pengupayaannya
Abstrak
Disertasi ini merupakan satu percubaan awal untuk meneliti aspek pengupayaan istilah sains dalam bahasa Melayu, khususnya istilah bidang biologi, fizik, dan kimia berdasarkan istilah-istilah yang ditemukan dalam Daftar Istilah Mabbim. Aspek pengupayaan istilah sains telah diteliti dengan menganalisis keserasian konsep dengan bahasa sumber, prose morfologi yang dialami oleh istilah sains untuk diupayakan, dan pengupayaan pemakaian istilah sains dalam teks sains dan kertas soalan sains.
Bab pertama disertasi ini menyatakan perkara-perkara yang asas dalam kajian ini, seperti latar belakang kajian, perkembangan peristilahan sains dalam bahasa Melayu, tujuan kajian, kepentingan kajian, dan definasi konsep, manakala bab kedua mengemukakan aspek teoretis kajian.
Bab ketiga, keempat, dan kelima memberikan tumpuan kepada aspek pengupayaan lapan ratus dua puluh lima istilah sains yang terpilih daripada Daftar Istilah Mabbim. Selain meneliti aspek keserasian konsep istilah sains bahasa Melayu berbanding dengan konsep istilah sains dalam bahasa sumber, aspek pengupayaan morfologi istilah pengimbuhan, penggandaaan, pemajmukan dan pinjaman set pengupayaan pemakaiannya dalam teks sains dan kertas soalan sains juga turut dikaji.
Text
Isu-isu semasa dalam karya naratif A. Samad Ismail
Abstrak
A. Samad Ismail terkenal sebagai seorang tokoh wartawan, sasterawan dan politik. Beliau telah melibatkan diri dalam bidang tersebut sejak dekat 40-an dan telah melalui empat fasa dalam proses penglibatannya sebagai wartawan, saterawan dan politik iaitu zaman Perang Dunia Kedua, selepas, era perjuangan kemerdekaan dan selepas merdeka. Minatnya dalam kesusasteraan bermula sejak masih kecil. Ibunya sering menceritakan cerita lisan kepadanya. Setelah bersekolah rendah, bapanya iaitu seorang guru besar telah membelikan surat khabar untuk bacaannya. Ruangan yang diminatinya ialah ruangan pojok oleh A. Rahim Kajai.
Ketika Perang Dunia Kedua, A. Samad Ismail bertugas dan memimpin Berita Malai. Sebagai wartawan, pemerhatian, renungan dan perspektifnya amat tajam terutama terhadap isu-isu sosial dalam zaman perang. Dalam zaman perang ini, beliau amat rapat dengan Ishak Haji Muhamad dan Ibrahim Yaacob. Mereka membimbingnya dalam bidang politik. Pengalamannya sebagai wartawan dan pengetahuan politik yang diperolehi daripada mereka mendorongnya menulis beberapa buah cerpen yang menyokong Jepun tetapi secara tersirat menyebarkan semangat nasionalisme kepada khalayak. Cerpen yang ditulisnya pada zaman Jepun itu ialah ‘ Si Pengali’, ‘Ubi Kayu’ dan ‘Ke Bintan To’.
Persahabatannya dengan Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhamad dan beberapa orang nasionalis Indonesia mempengaruhi ideologi politiknya terhadap perjuangan kemerdekaan dan isu bangsa serumpun. Isu-isu nasionalisme, perjuangan kemerdekaan bangsa serumpun terdapat dalam cerpennya ‘Antara Dua Kekasih’ dan ‘Insaf’.
Text
Isu-isu semasa dalam karya naratif A. Samad Ismail
Abstrak
Kajian ini menumpukan penelitian terhadap isu-isu semasa yang dapat ditemui dalam karya-karya cerpen dan novel yang dihasilkan oleh A. Samad Ismail. Sehubungan itu, penelitian ini juga akan membicarakan masyarakat dan individu-individu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat yang digambarkan oleh pengarang dalam karya-karyanya itu.
Untuk meneliti isu-isu semasa dan hubungannya dengan masyarakat serta individu-individu tertentu, maka kajian ini akan menggunakan pendekatan sosiologi.
Dalam hal ini peneliti akan membincangkan latar belakang A. Samad Ismail iaitu melihat latar belakang pendidikan, pekerjaan dan minatnya terhadap karya satera kerana dengan pemahaman terhadap latar belakang pengarang akan dapat memahami lebih mendalam hubungan karya dengan pengkarya dan masyarakat dalam lingkungan pengarang.
Kajian ini akan diikuti dengan perbincangan terhadap isu-isu semasa yang dikemukakan oleh pengarang dalam karya-karyanya itu. Beberapa isu-isu yang agak dominan dikemukakan untuk melihat bahawa isu-isu tersebut merupakan isu yang serius dalam masyarakat pada sesuatu tahap atau zaman.
Text
Jayengbaya : penyelenggaraan dan analisis teks
Sinopsis
Kedudukan Ranggawarsita sebagai Pujangga Agung Jawa memang tidak dapat dipersoal kerana telah terbukti dari karya-karya beliau yang begitu banyak di dalam memaparkan realitas masyarakat Jawa di zamannya. Senario pemaparan masyarakat Surakarta (1800-1830) jelas memperlihatkan hubungan antara khayalan Pengarang lewat JB dengan realitas masyarakat yang terdapat pada waktu itu. Hal ini dihuraikan dalam Bab Pertama. Pada Bab Dua dibicarakan pula teks JB sebagai contoh yang dapat dijadikan bahan penelitian bukti. Disebabkan keunikan isi dan teknik, JB telah disalin beberapa kali sehingga terdapat enam versi yang berbeza terutama dari segi morfologi dan isi. Namun demikian terdapat satu titik persamaan isi yang menyorot tentang gagasan seorang manusia hidup yang tidak lepas dari menghadapi risiko. Pertukaran profesi yang sering dilakukan oleh tokoh JB disebabkan adanya pertentangan antara akal dan nafsu atau disebabkan adanya pertentangan antara sifat positif dan negatif dalam diri manusia. Penerapan teori binary opposition yang dipopularkan oleh Levi Strausse digunakan dalam penganalisisan watak JB. Usaha memaparkan khayalan JB yang ingin mempertahankan dignitinya sebagai manusia, Tuhan dan anjing dan berbagai lagi dibicarakan dalam Bab Tiga. JB tidak terus menerus berkhayal, kerana ia pasti kembali siuman dan yang demikian penulis berusaha memperkatakan manusia JB yang sebenar lewat sebagai manusia Jaw dan manusia Muslim. Hal ini dibicarakan oleh Bab Empat. Ranggawarsita juga adalah seorang kitikus sosial. Beliau begitu Berjaya memaparkan keruwetan masyarakatnya menerusi protagonist yang terdapat dalam JB sebagai Wong cilik menerusi pendekatan teknik positif reinforcement. Sebagai seorang kritikus sosial di dalam sebuah masyarakat feudal seperti Jawa, Ranggawarsita sangat berhati-hati, namun tidak pula kehilangan ketajaman kritikannya. Di sinilah terletaknya ketokohannya sebagai seorang pujangga. Rasanya tidak adil kalau ketokohan Ranggawarsita itu tidak ditemukan dengan kontemporarinya. Justeru itu penulis membawakan dua orang tokoh pujangga sezaman di Nusantara iaitu Raja Ali Haji dan Abdullah Munshi. Kedudukan mereka dihuraikan dalam Bab Lima. JB sebagai sebuah teks telah disorot secara global dengan menggunakan parafenalia filiologi sebagai kerangka asas di samping penerapan teori sastera moden yang difikirkan cocok dengan fakta yang dibicarakan. Dengan ini penulis berharap dapat memberikan suatu justifikasi kepada Pujangga Agung Ranggawarsita.
Text
Kajian estetika dalam cerita rakyat Melayu Kuantan Riau Indonesia
Abstrak
Kajian ini terbahagi atas tujuh bab, merupakan penelitian yang menumpukan pada estetika cerita rakyat Melayu Kuantan Riau yang diperoleh daripada sastera lisan yang ada di daerah Kuantan Riau Indonesia. Kajian ini berdasarkan bahan sastera rakyat, penganalisian dilakukan dengan menggabung jalin daripada beberapa teori yang sesuai seperti, Teori Nilai, Teori Kebahasaan, dan Teori Sosialisme.
Kajian ini bersandar pada anggapan penulis bahawa cerita rakyat Melayu Kuantan Riau perlu pelestarian kerana cerita tersebut memiliki nilai-nilai estetika yang tinggi oleh sebab itu penulis merasa terpanggil untuk meneliti bidang ini kerana kajian mengenai estetika pada cerita rakyat masih sangat sedikit sekali bahkan dapat dikatakan langka. Paradigma sebegini mampu memperkembangkan dunia penyelidikan sastera rakyat Melayu ke arena antara bangsa.
Text
Kajian intertekstualiti dalam novel-novel Siti Zainon Ismail
Abstrak
Kajian ini menganalisis dua buah novel terpili karya Siti Zainon Ismail, iaitu Pulau Renik Ungu (1995) dan Delima Ranting Senja (2009). Analisis dibuat dengan menggunakan teori intertekstualiti oleh Julia Kristeva (1980). Tiga prinsip utama yang terdapat dalam teori intertekstualiti, iaitu prinsip transformasi, prinsip modifikasi dan prinsip ekspansi. Permasalahan kajian bertitik tolak daripada kecenderungan Siti Zainon Ismail berkarya dengan merujuk sumber-sumber asalnya (hipoteks) untuk disesuaikan ke dalam karyanya yang baharu (hiperteks). Hal ini berlaku kerana hubungan peribadi dan persekitaran sangat mempengaruhi kepengarangan Siti Zainon Ismail. Objektif kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti sumber daripada hipoteks, mengaplikasikan prinsip-prinsip daripada teori intertelstualiti dan menilai faktor-faktor yang menyebabkan pengarang mengaplikasikan ketiga-tiga prinsip tersebut. Metodologi kajian yang diguna pakai adalah kajian kepustakaan dan temu bual. Dapatan kajian pula membuktikan bahawa Siti Zainon Ismail berkarya dengan merujuk sumber hipoteks dan melaksanakan proses transformasi sama ada secara formal atau berbentuk abstrak seperti kerja pemindahan dan penjelmaan episode untuk memperkukuh makna hipoteks. Terdapat juga proses-proses lain seperti penyesuaian, penukaran, peluasan dan pengembangan atau pembaikan daripada teks asal. Hal Ini membolehkan teks asal berubah kepada bentuk baharu sama ada aspek kandungan ataupun pemberian plot penceritaan. Kesimpulannya, melalui pengaplikasian ketiga-tiga prinsip daripada teori intertekstualiti ini membuktikan bahawa pengarang Berjaya mengolah karya hiperteksnya, iaitu menjadi sebuah karya yang mapan daripada pelbagai aspek seperti plot, tema, watak dan bahasa sehingga dapat menarik minat khalayak menghabiskan pembacaan terhadap karya tersebut.
Text
Kajian intonasi fonetik eksperimental : realisasi makna emosi filem Sembilu 1 dan 2
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai intonasi bahasa Melayu yang melibatkan pergerakan nada, durasi dan makna emosi. Data korpus kajian ini diambil daripada filem Melayu Sembilu 1 dan 2. Keseluruhan analisis dalam tesis ini menggunakan Model Intonasi Pindaan (MIP) yang mengambil kira teori autosegmental dan metodologi fonetik eksperimental IPO yang dipelopori di Belanda. Model ini bolehlah dikatakan model kembalikan kepada model Mozziconacci, S (1998). Kajian yang berbentuk eksperimental ini dibantu dengan program komputer Praat dan responden penutur bahasa Melayu. Terdapat 3 tujuan, iaitu mendeskripsikan ungkapan dan durasi yang menandai makna emosi, kontur intonasi untuk mengenal pasti jenis ayat dan hubungan intonasi dengan realisasi makna emosi. Empat jenis ayat dianalisis dalam kajian ini, iaitu ayat deklaratif, imperatif, tanya Q dan Qwh. Tiga jenis ujian persepsi dilakukan terhadap 120 data ujaran tuturan watak utama lelaki dan wanita.
Text
Kajian perbandingan humor : arja dan makyung
Abstrak
Sejarah dan perkembangan dramatari Arja dan Makyung di Asia Tenggara dikenal pasti tertumpu di beberapa tempat sahaja. Arja hanya terdapat di seluruh daerah Bali, Indonesia. Manakala Makyung hanya di Malaysia (Kelantan, Terrengganu, Kuala Lumpur, Thailand (Pattani, Narathiwat) dan Indonesia (Sumatera dan Kepulauan Riau).
Arja merupakan dramatari pelbagai panggilan, makna, konsep, jenis dan falsafah yang dikenalpasti terbentuk pada awal abad ke-19. Ia sesuai dipersembahkan di pelbagai jenis panggung dengan paten cerita berdasarkan watak utama. Humor Arja berfungsi kepada masyarakat penonton berdasarkan mesej cerita, ritual agama, hiburan semasa dan kritikn sosial semasa persembahan berlangsung.
Makyung pula dipercayai muncul dengan bentuk paling asas pada awal abad ke 12. Ia merupakan dramatari berbentuk ritual (perubatan dan upacara) dan hiburan dengan pelbagai paten, falsafah dan makna mengikut tempat persembahan. Teori asal usul Malyung adalah kompleks berdasarkan kepercayaan setempat yang bercampur dengan pelbagai pengaruh kepercayaan lain seperti Anamisme, Hindu, Buddha dan Islam. Humornya pula berfungsi kepada individu pemain dan masyarakat penontonnya.
Text
Kajian teks Hikayat Melayu versi Tengku Said
Abstrak
Muhammad Yusoff Hashim (1998) telah memberikan judul Hikayat Melayu versi Tengku Said kepada teks yang dikaji ini. Objektif utama kajian adalah untuk melihat hukum kepengarangan abad ke-19, iaitu melihat berdasarkan peranan pencerita, kedua untuk melihat teks sebagai genre sintesis dan cermin. Dan ketiga untuk melihat penentuan-penentuan sosial yang mempengaruhi proses kepengarangan berdasarkan persoalan-persoalan Sosiologi Sastera. Hikayat Melayu adalah teks sastera sejarah yang lahir pada abad ke-19. Bidang sosiologi pengarang Melayu tradisional abad ke-19 akan dilihat berdasarkan panduan objektif yang telah ditetapkan. Sebagai sebuah teks sintesis dan cermin, teks ini dilihat mememui fungsinya sebagai sebuah teks yang menampilkan petunjuk-petunjuk moral untuk generasi masa depan melalui peranan pencerita sebagai ‘’dagang’’.
Text
Kasus dan pindahan sintaksis dalam Bahasa Melayu
Abstrak
Teori sintaksis Noam Chomsky membawa perubahan yang besar dalam teori linguistik moden. Khususnya, teori Kasus dalam teori Kuasaan dan Tambatan telah menjadi satu fokus dalam kajian linguistik kini. Disertasi ini akan meninjau Kasus peranan dalam sintaksis bahasa Melayu berdasarkan teori Kasus dalam rangka teori Kuasaan dan Tambatan.
Bab 2 meninjau secara ringkas prinsip subsistem dalam teori Kuasaaan dan Tambatan : teori ikatan, teori kuasaan, teori-0 (teta), teori tambatan, teori Kasus dan teori-teori yang berkaitan. Tinjauan ini akan menjadi latar belakang bagi perbincangan teori Kasus yang akan dibuat seterusnya. Bab 3 memperlihatkan ciri-ciri asas yang terdapat dalam pemberian Kasus. Pertama, paras sintaksis pemberian Kasus akan ditinjau secara ringkas. Altenatif yang digemari adalah untuk membenarkan dua jenis paras pemberian Kasus, Iaitu struktur-D dan struktur-P. Satu cadangan yang berasal dari Noam Chomsky adalah untuk menyatakan struktur-D bagi Kasus struktur-D dan struktur-P bagi Kasus inheran. Walaubagaimanapun, dalam kajian ini, struktur-P akan dicadangkan sebagai paras pemberi Kasus yang tersepadu dalam sintaksis bahasa Melayu. Kuasaan dan Syarat Sebelahan (adjacency) akan diterangkan sebagai syarat yang berkesan untuk sebuah FN yang menerima Kasus. Akhir sekali, hubungan di antara teori Kasus dan teori-0 ditinjau dengan memerhati Syarat Visibiliti (Visibility condition) bahawa hanya sebuat peranan-0 diberikan kepada sebuah argument yang telah menerima Kasus.
Showing 1 to 50 of 155 results
Page
of 4
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->