Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Collection
Abstrak Tesis Doktor Falsafah Akademi Pengajian Melayu
Dublin Core
Title
Abstrak Tesis Doktor Falsafah Akademi Pengajian Melayu
Collection Items
Item
Text
Pembinaan Bahasa Melayu : satu pengkajian khusus mengenai perancangan bahasa di Malaysia
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai perancangan bahasa yang telah berlaku di Semenanjung Malaysia dengan perancangan bahasa dimaksudkan langkah-langkah secara sedar yang telah diambil oleh pihak-pihak yang berkuasa dalam hal penggunaan bahasa Melayu, samaada dalam bentuk keputusan atau pelaksanaan dasar, demi untuk membina bahasa Melayu itu menjadi suatu bahasa yang antarterjemah dengan bahasa-bahasa lain yang dianggap sudah maju ertikata berkeupayaan menjadi alat sains dan teknologi dan seterusnya meluaskan penggunaan bahasa Melayu yang sudah diperkembangkan itu dalam segala bidang penghidupan masyarakat.
Dalam tesis huraian dibahagikan kepada lima bab. Bab pertama ialah pendahuluan yang menghuraikan latarbelakang sejarah dan masyarakat bahasa melayu di Semenanjung Malaysia ini. Bab kedua menghuraikan dasar bahasa negara pelaksanaannya. Dalam bab ini ditulis latarbelakang pembentukan dasar bahasa itu dan kemudian meninjau masaalah-masaalah yang dihadapi dalam melaksanakan dasar itu.
Bab ketiga menghuraikan perkembangan bahasa Melayu. Dengan perkembangan bahasa Melayu dimaksudkan proses-proses yang telah berlaku atau dilakukan disekitar (a) penciptaan atau penyemakan sistem tulisannya, (b) penstandardannya atau pemilihan bentuk dialek yang hendak dijadikan norma serta penulisan tatabahasanya, dan (c) pemodenannya yakni pembaruan-pembaruan akibat dari pertambahan kepada leksikonnya. Kesemua aspek perkembangan bahasa Melayu seperti yang telah dihuraikan ini telah ditinjau secara detail dalam bab ini.
Bab keempat adalah mengenai peluasan penggunaan bahasa Melayu. Dalam bab ini ditinjaukan cara-cara yang telah di ambil oleh Kerajaan melaksanakan penggunaan bahasa Melayu dalam dasar pelajaran kebangsaan dan dalam pentadbiran negara. Kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dalam melaksanakan dasar bahasa setakat ini dihuraikan secara perangkaan di dalam bab ini. Tujuannya adalah untuk memperlihatkan kelemahan atau kekurangan yang terdapat supaya tiap-tiap satunya dapat diperbaiki kemudian nanti.
Bab kelima dadalah bab penutup. Sebagai penutup, bab ini menyimpulkan hasil proses perancangan yang telah berlaku dalam pembinaan bahasa Melayu dan mencadangkan langkah-langkah yang harus diambil dalam rangka mengusahakan pembinaan bahasa Melayu itu.
Item
Text
Hiburan dalam masyarakat Melayu bandaran 1870 hingga 1941 : satu kajian tentang pertumbuhan budaya popular
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai pertubuhan hiburan dalam masyarakat Melayu bandaran antara tahun 1870 hingga tahun 1941. Tujuan utamanya ialah mengkaji dan Menganalisa pertumbuhan unsur-unsur budaya popular bandaran yang muncul berikutan perubahan masyarakat itu. Bab I menerangkan ruanglingkup dan rangka konsep yang berikut dengan kajian.
Bab II menerangkan proses perubahan masyarakat Melayu berikutan dengan campurtangan pentadbiran kolonial inggeris yang bermula dalam abad ke 19. Perbincangan mengenai petubuhan bandar-bandar kolonial dan bentuk serta ciri-ciri budaya Melayu tradisional dilakukan dalam Bab III. Proses dalam perubahan dalam sistem-sistem politik dan ekonomi serta perkembangan pelajaran dan teknologi moden zaman colonial adalah faktor-faktor asas yang berkaitrapat dengan pertumbuhan budaya popular.
Dalam melihat pertumbuhan unsur-unsur budaya popular, khususnya hiburan dalam masyarakat bandaran, kajian ini menumpukan kepada pertumbuhan teater popular, musik, tarian dan lawak jenaka serta media hiburan filem dan radio. Bab IV menumpukan perhatian kepada teater popular Melayu yang muncul dalam akhir abad ke 19 dan mencapai kemuncak kegemilangannya dalam tahun-tahun 1920an dan 1930an. Pergerakan Bangsawan atau Opera berasaskan kepada ciri-ciri teater popular. Teater ini juga merupakan asas kepada pertumbuhan musik, tarian dan lawak jenaka secara popular. Perbincangan dalam Bab V menumpukan kepada pertumbuhan musik tarian dan lawak jenaka. Piring hitam sebagai media hiburan moden telah memperkembangkan musik Melayu secara popular. Media penting sebagai asas perkembangan hiburan yang sangat popular selepas Perang ialah filem dan radio. Perbincangan Bab VI ialah mengenai pertumbuhan filem dan radio sebagai media hiburan popular. Bab VII pula menumpukan kepada proses medenisasi dan urbanisasi unsur-unsur budaya Melayu. Perbincangan Bab ini merupakan beberapa rumusan dan generalisasi mengenai perumbuhan hiburan masyarakat Melayu zaman kolonial.
Jadi, pertumbuhan budaya bandaran semasa kolonial adalah memperlihatkan unsur-unsur budaya popular yang berkembang semakin kompleks kemudian. Pertumbuhannya adalah berikutan dengan perubahan masyarakat bandaran itu sendiri.
Item
Text
Sosiologi sastera : persoalan teori dan metode di sekitar sastera Melayu dan Indonesia
Pendahuluan
Pembicaraan ini mengenai dua aspek yang berbeza, aspek teori dan fenomena dalam sastera Melayu dan Indonesia. Yang satu lebih teoretikal, sedangkan yang lain berupa perlaksanaan.
Pembicaraan teori juga menyinggung metoda pelaksanaanya. Keduanya dapat dibezakan, tapi tak mungkin dipisahkan. Suatu teori mengambil bentuk melalui metoda pelaksanaanya. Akibatnya, dalam pembicaraan nanti disebutkan salah satu saja, mana yang lebih dipentingkan. Dengan begitu taklah bearti bahawa unsur lainnya tak penting atau tak ada,
Dalam membicarakan satu teori, disamping memberikan perkenalan, juga diberikan kritik, dari orang lain dan saya sendiri. Juga diberikan perlaksanaanya. Tapi supaya pembicaraan lancar, tak penuh sesak, perlaksanaan diberikan pada lampiran, apalagi contoh perlaksanaan itu cukup panjang. Namun begitu, tak semua teori akan diberikan contoh. Hanya teori yang langsung bekerja dengan teks, ini sesuai dengan penjurusan saya dalam mempelajari sastera. Dan teori ini memang menghendaki contoh perlaksanaan untuk menjelaskannya. Pendekatan kedua dari Swingewood (halaman 7) dan pendekatan Duvignaud tak akan dicontohkan. Keterangan yang diberikan pada bab berikut ini saya rasa sudah cukup menjelaskan.
Sesudah perbicaraan tentang tiap-tiap teori itu, ternyata ada kemungkinan lain, yang tak dapat di cakup oleh teori-teori itu. Kemungkinan lain itu dikemukakan dengan mengemukakan keadaan yang ada dalam sastera Melayu dan Indonesia, bagaimana fenomena perkembangan sastera Melayu dan Indonesia dapat didekati. Ini merupakan pembicaraan tentang aspek kedua yang lebih merupakan suatu perlaksanaan, meskipun pada hakikatnya ia tak mungkin terlepas dari landasan teori.
Data digunakan dalam pembicaraan ini adalah data yang berhubung dengan sastera Melayu dan Indonesia. Dan dengan menyedari sepernuhnya akan kemungkinan beberapa erti yang dipunyainya, saya menggunakan kedua istilah itu, Melayu dan Indonesia, dalam hubungan pengertian berikut :
(a) Penggunaan kedua istilah itu pertama kali dilandasi oleh fikiran yang pernah saya kemukakan dalam tahun 1960, yang kemudian saya ulang lagi dalam tahun 1969, yang melihat aspek politik yang melekat dalam penggunaan ‘bahasa Melayu’ dan ‘bahasa Indonesia’ di Indonesia. Yang kedua, ‘bahasa Indonesia’, sebelum perang dunia kedua, digunakan oleh pejuang kemerdekaan dan diistiharkan kelahirannya pada 28 Oktober 1928. Sebelumnya, ia belum lagi bernama ‘bahasa Indonesia’. Namun begitu, Belanda ketika itu masih tetap menemaninya sebagai ‘bahasa Melayu’ (of. U. Junus, 19601 1969).
(b) Pengertian Melayu tadi memang tak dapat dipisahkan dengan ‘bahasa Melayu’ dalam arti kebahasaan, yang tak membezakan antara ‘bahasa Melayu’ dan ‘bahasa Indonesia’. Pengertian ini juga dapat masuk ke dalam pengertian yang saya gunakan dalam pembicaraan ini.
(c) Meskipun kedua pengertian itu dapat dibezakan tapi ia tak dipisahkan dalam pembicaraan ini. Begitu juga halnya dengan kedua istilah itu. Dengan begitu, tak ada pembicaraan yang khusus dinamai ‘pembicaraan tentang sastera Melayu’ atau ‘ tentang sastera Indonesia’. Penggunaan kedua istilah itu tidak digunakan untuk membatasi pembicaraan, tapi untuk memungkinkan ruang-lingkup pengambilan data yang lebih luas.
Item
Text
Sistem panggilan dalam bahasa Melayu : suatu analisis sosiolinguistik
Abstrak
Disertasi ini merupakan satu cubaan pertama berhubung dengan kajian sistem yang menjadi satu unsur yang penting dalam berkomunikasi dan berinteraksi dalam masyarakat bahasa Melayu. Oleh kerana itu ia digunakan pada setiap kejadian berkomunikasi di antara orang-orang yang sama atau berbeza dari segi pangkat, darjat, jawatan, golongan atau keturunan. Ia juga merupakan satu cara untuk memberi hormat kepada seseorang yang dipandang tinggi oleh masyarakat Melayu.
Bagi menganalisis panggilan dan sapaan ini beberapa peraturan dan pendekatan sosiolinguistik telah digunakan. Di antara peraturan-peraturan dan pendekatan-pendekatan itu ialah peraturan-peraturan sosiologistik yang dirumuskan oleh Ervin-Tripp iaitu Peraturan-Peraturan Alternasi (Alternation Rules), Peraturan-peraturan Perurutan (Sequencing Rules) dan Peraturan-Peraturan Kejadian Bersama (Co-Occurrence Rules).
Dari penganalisisan tersebut dapat disimpulkan bahawa sistem panggilan dalam bahasa Melayu pada masa kini lebih halus dan kompleks kerana ia dapat membezakan secara terperinci golongan, pangkat dan keturunan orang yang disapa. Selain daripada itu Ia dapat menunjukkan tinggi rendahnya taraf dan kedudukan orang yang disapa tersebut. Hasil penganalisisan ini juga menunjukkan bahawa sistem panggilan ini berkaitan rapat dengan sistem nilai sosiobudaya Melayu.
Penyelidikan lanjutan perlu dibuat terutama mengenai makna dan etimologi kata yang dipilih untuk sapaan dan gelaran.
Item
Text
Novel hikayat : satu penelitian struktur penceritaan Melayu
Pendahuluan
Salah satu jenis sastera Melayu baru yang agak kurang mendapat perhatian untuk dikaji dengan kesungguhan dan mandalam ialah novel. Ini lebih dapat dirasakan pada novel-novel Melayu yang tumbuh dan berkembang dalam tahap awal kebangkitannya di sekitar tahun-tahun 1920-an sampai 1942 pada zaman Sebelum Perang Dunia II. Gerakan ke arah melakukan penelitian terhadap novel-novel Melayu terawal ini kerapkali terbantut oleh adanya beberapa masalah tertentu. Antaranya ialah, pertama, novel-novel ini sering dianggap sebagai bukan novel besar yang memiliki nilai mutu yang tinggi, baik dari segi isi mahupun bentuknya. Kedua, anggapan yang demikian menjadi sebab utama pula untuk melemahkan usaha ke arah melakukan penyelidikan terhadapnya. Ketiga, bahan-bahan untuk tujuan penyelidikan itu tidak pula mudah diperolehi; bahan-bahan itu sudah lama tertulis - hampir setengah abad - dan tersimpan di merata tempat yang sukar diketahui pemiliknya. Untuk mendapatkan-nya, ia ternyata amat memerlukan bukan sahaja usaha yang gigih, tetapi juga semangat yang kuat. Demikianlah maka novel-novel tersebut menjadi terabai untuk diselidik dan dikaji apabila usaha begini tidak terlaksana. Bahan-bahan yang amat berharga ini akan tinggal menjadi tidak bererti selama ia tidak diperolehi dan dikaji selengkaprya.
Sebagai suatu langkah ke arah memelihara dan memanfaatkan bahan-bahan sastera tersebut, maka kajian ini dikerjakan dengan penuh minta. Dengan pelaksanaan tersebut, ia akan dapat mempelihatkan bahawa novel-novel Melayu terawal itu sesungguhnya memiliki kemampuan dan keistimewaan untuk menjadi bahan penyelidikan dan kajian sastera yang berguna. Novel-novel itu tercipta dengan penuh daya kesungguhan oleh pengarang-pengarang zaman Sebelum Perang
Dunia II; ini, terutamanya, terlihat pada jumlahnya melebihi daripada 300 buah, dan keseluruhannya itu pula memiliki satu matlamat penciptaan yang sama, iaitu membimbing masyarakat. Di samping itu, kajian ini juga dilakukan dengan maksud untuk menambahkan lagi bilangan kajian yang sedia ada, yang ternyata amat kecil teristimewanya dalam bidang kajian yang mengkhusus kepada aspek dalaman novel
dan bersifat penelitian tekstual seperti yang đikerjakan ini.
Untuk memenuhi maksud tersebut, maka ia menjadi amat bersesuaian dan bertepatan pula dengan pemilihan aspek untuk tupuan utama kajian ini, iaitu aspek penceritaan atau "narrative". Pemilihan ini juga dilakukan dengan kehadiran beberapa sebab tertentu. Antara-nya ialah, pertama, penceritaan adalah merupakan unsur dalaman novel yang terpenting; penceritaan itulah yang membangunkan sesuatu bentuk khusus kepada novel, kerana pelaksanaan penceritaan ini melibatkan banyak unsur-unsur dalaman yang lain, terutamanya plot, watak dan latar. Kedua, penceritaan juga memainkan peranan terbesar untuk membawakan persoalan atau tema cerita, dan seterusnya menonjolkan pengertian dari tema yang hendak disampaikan oleh sesebuah novel itu.
Item
Text
Ayat pasif bahasa Melayu
Abstrak
Disertasi ini merupakan cubaan awal berhubung dengan kajian terhadap ayat pasif Bahasa Melayu dengan mengguakan pendekatan model Transfomasi-Generatif berdasarkan model Jacobs dan Rosenbaum (1986) terhadap bahasa Inggeris.
Kajian ini dilakukan dengan tujuan untuk mengenalpasti bentuk-bentuk pasif dalam Bahasa Melayu, iaitu dengan cara mengkaji dan menganalisis ayat-ayat pasif yang terdapat di dalam teks Sejarah Melayu dan Dewan Masyarakat , iaitu yang mewakili teks lama dan teks moden.
Analisis ini meninjau struktur pasif dari segi ayat pasif dengan ganti nama diri dan ayat pasif bukan dengan ganti nama diri. Ayat pasif dengan ganti nama diri terdiri daripada ayat pasif KGDL,KGD2 dan KGD3 dan ayat pasif bukan dengan ganti
nama diri pula terdiri daripada pasif ter-,pasif kena,pasif ber-,dan pasif ke-...-an. Tiap-tiap jenis pasif tersebut mempunyai berbagai-bagai struktur variasinya tersendiri.
Hasil kajian mendapati bahawa terdapat perbezaan yang nyata antara pola-pola penggunaarn ayat pasif dalam Bahasa Melayulama dan Bahasa Melayu moden. Yang paling nyata ialah teks Melayu lama lebih banyak variasi dibandingkan dengan ayat pasif di dalam teks Melayu moden.
Item
Text
Binaan dan fungsi perkataan dalam Bahasa Melayu : satu huraian dari sudut tatabahasa generatif
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mencapai tiga matlamat tentang binaan dan fungsi perkataaan dalam bahasa Melayu (BM) iaitu
1. Menghuraikan binaan perkataan dalam BM
2. Menghuraikan dan meramalkan proses binaan perkataan dalam BM melalui penggunaan rumus-rumus tertentu, dan
3. Menghuraikan fungsi perkataan dalam binaan tatabahasa yang lebih tinggi tatatingkatnya iaitu frasa klausa dan ayat.
Berdasarkan penggandingan dan penyusunan formatif-formatif yang membentuk
perkataan iaitu akar, awalan akhiran, sisipan, linkungan dan gandaan, perkataan dalam BM didapati terdiri daripada kata unggulan kata terbitan, kata gabungan dan kata akronim untuk menghuraikan proses binaan perkataan, dua set rumus-rumus telah ditubuhkan : (i) rumus Dasar Binaan Perkataan yang menghurai dan meramalkan proses penggandingan dan penyusunan formatif-formatif yang dinyatakan itu, dan (ii) rumus morfofonemik yang menghurai dan meramalkan perubahan bunyi-bunyi di dalam formatif-formatif semsa proses penggandingan berlaku. Di dalam penghuraian golongan kata kerja terbitan, kata terbitan, kata adjektif, rumus-rumus penggandingan dan penyusunan formatif-formatif yang berkenaan juga digunakan. Rumus-rumus demikian menghasilkan sembilan (9) jenis kata nama kompleks (terbitan ), tujuh belas (17) jenis kata kerja kompleks dan sepuluh (10) jenis kata adjektif kompleks.
Penggolongan kata dalam BM ditubuhkan berdasarkan fungsi dan ciri-ciri sintaksis perkataan. Terdapat empat golongan kata dalam BM iaitu golongan-golongan kata nama (KN), kata kerja (KK), kata adjektif (KA) dan kata struktural. Golongan-golongan KN, KK dan KA bersifat homogenus, manakala kata struktural bersifat heterogenus.
Item
Text
Kata kerja gerak dalam dialek Kedah
Sinopsis
Tesis ini adalah satu analisis semantik kata kerja gerak dalam dialek Kedah, iaitu dialek Melayu yang dituturkan di utara Malaysia Barat, khususnya di negeri Kedah. Kajian ini adalah berdasarkan kaedah analisis komponen semantik, iaitu kaedah yang bertujuan menemui dan menyusun komponen-komponen makna perkataan yang biasa termasuk ke dalam lapangan semantik yang sama.
Tesis ini terbahagi kepada bab. Bab I membincangkan perkara-perkara asas yang berkaitan dengan penulisan tesis ini, iaitu tujuan dan bidang kajian, dan latar belakang teori yang diterapkan. Bab II memperkatakan tentang latar belakang dialek Kedah dari aspek penyebaran, fonologi, morfologi dan sintaksis.
Bab III membincangkan penggolongan kata kerja dalam dialek Kedah berdasarkan ciri-ciri morfologi, sintaksis dan semantik. Tujuan bab ini ialah untuk memperlihatkan bagaimana kata kerja boleh digolongkan kepada berbagai-bagai golongan berdasarkan ciri-ciri yang berlainan.
Bab IV membincangkan ciri-ciri kata kerja gerak, khususnya mengenai konsep gerak dan hubungannya dengan pergerakan benda-benda konkrit dan hal-hal yang abstrak, perkaitannya dengan ruang dan masa dan unsur-unsur yang terlibat dalam sesuatu pergerakan.
Bab V membincangkan komponen-komponen semantik gerak yang dimiliki oleh kata kerja gerak dalam dialek Kedah dan Bab VI merupakan penutup tesis ini. Pada bahagian penutup ini diberi kesimpulan mengenai komponen-komponen semantik gerak denan membuat satu penggolongan berdasarkan pola-pola struktur yang tertentu.
Item
Text
Jayengbaya : penyelenggaraan dan analisis teks
Sinopsis
Kedudukan Ranggawarsita sebagai Pujangga Agung Jawa memang tidak dapat dipersoal kerana telah terbukti dari karya-karya beliau yang begitu banyak di dalam memaparkan realitas masyarakat Jawa di zamannya. Senario pemaparan masyarakat Surakarta (1800-1830) jelas memperlihatkan hubungan antara khayalan Pengarang lewat JB dengan realitas masyarakat yang terdapat pada waktu itu. Hal ini dihuraikan dalam Bab Pertama. Pada Bab Dua dibicarakan pula teks JB sebagai contoh yang dapat dijadikan bahan penelitian bukti. Disebabkan keunikan isi dan teknik, JB telah disalin beberapa kali sehingga terdapat enam versi yang berbeza terutama dari segi morfologi dan isi. Namun demikian terdapat satu titik persamaan isi yang menyorot tentang gagasan seorang manusia hidup yang tidak lepas dari menghadapi risiko. Pertukaran profesi yang sering dilakukan oleh tokoh JB disebabkan adanya pertentangan antara akal dan nafsu atau disebabkan adanya pertentangan antara sifat positif dan negatif dalam diri manusia. Penerapan teori binary opposition yang dipopularkan oleh Levi Strausse digunakan dalam penganalisisan watak JB. Usaha memaparkan khayalan JB yang ingin mempertahankan dignitinya sebagai manusia, Tuhan dan anjing dan berbagai lagi dibicarakan dalam Bab Tiga. JB tidak terus menerus berkhayal, kerana ia pasti kembali siuman dan yang demikian penulis berusaha memperkatakan manusia JB yang sebenar lewat sebagai manusia Jaw dan manusia Muslim. Hal ini dibicarakan oleh Bab Empat. Ranggawarsita juga adalah seorang kitikus sosial. Beliau begitu Berjaya memaparkan keruwetan masyarakatnya menerusi protagonist yang terdapat dalam JB sebagai Wong cilik menerusi pendekatan teknik positif reinforcement. Sebagai seorang kritikus sosial di dalam sebuah masyarakat feudal seperti Jawa, Ranggawarsita sangat berhati-hati, namun tidak pula kehilangan ketajaman kritikannya. Di sinilah terletaknya ketokohannya sebagai seorang pujangga. Rasanya tidak adil kalau ketokohan Ranggawarsita itu tidak ditemukan dengan kontemporarinya. Justeru itu penulis membawakan dua orang tokoh pujangga sezaman di Nusantara iaitu Raja Ali Haji dan Abdullah Munshi. Kedudukan mereka dihuraikan dalam Bab Lima. JB sebagai sebuah teks telah disorot secara global dengan menggunakan parafenalia filiologi sebagai kerangka asas di samping penerapan teori sastera moden yang difikirkan cocok dengan fakta yang dibicarakan. Dengan ini penulis berharap dapat memberikan suatu justifikasi kepada Pujangga Agung Ranggawarsita.
Item
Text
Perubahan sosial dalam masyarakat Bajau Kota Belud, Sabah
Sinopsis
Kajian ini bertujuan mengesan dan menganalisis proses perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat Bajau Kota Belud, Sabah, terutama meneliti hubungannya dengan kolonialisme dan perkembangan ekonomi kapitalis di Sabah. Kajian ini cuba menunjukkan bahawa kolonialisme dan perkembangan ekonomi kapitalis di Sabah telah mengakibatkan perubahan terhadap ekonomi tradisional atau ‘natural economi’ masyarakat Bajau, khususnya dari segi bentuk dan hubungan pengeluaran. Namun begitu, perubahan-perubahan tersebut tidak membawa pembangunan dalam erti yang sebenar kepada masyarakat Bajau. Masyarakat Bajau sebagai masyarakat pinggir tetap mundur atau miskin dan tidak membangun seimbang dengan masyarakat kapitalis di kawasan pusat.
Matlamat penyelidikan, kerangka teori (yang memberi panduan terhadap usaha menginterprestasikan data yang dibentangkan dalam kajian ini) dan metode penyelidikan dijelaskan dalam Bab 1. Ini diikuti oleh Bab 2 yang memberikan satu penelitian umum tentang orang Bajau dan daerah Kota Belud.
Perbincangan utama dalam kajian ini dilakukan dalam dua bahagian. Bahagian I kajian ini yang mengandungi Bab 3 dan Bab 4 memberi satu gambaran tentang masyarakat Bajau pada zaman tradisional dan situasi pada zaman pemerintahan kolonial. Tujuan utama Bahagian I ini ialah untuk menghuraikan ciri-ciri utama struktur politik dan sosio-ekonomi masyarakat Bajau pada zaman tradisional dan perubahan-perubahan penting yang dialami mereka pada zaman pemerintahan colonial, khususnya perubahan-perubahan yang berlaku akibat perkembangan ekonomi kapitalis di Sabah umumnya.
Item
Text
Modenisasi dan kaum tani : satu kajian kes di Pulai Chondong, Kelantan
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai modenisasi dan sebuah komuniti tani Melayu di Pulai Chondong, Kelantan. Tujuan kajian ini adalah, pertamanya untuk memerihalkan keadaan kehidupan harian kaum tani Melayu dalam sebuah negara, iaitu Malayia yang sedang pesat mengalami proses modenisasi; dan keduanya untuk memaparkan reaksi mereka terhadap perubahan sosial tersebut.
Untuk mencapai kedua-dua tujuan diatas, kajian ini memulakan analisisnya dari segi persejarahan bahawa proses modenisasi di negara ini. Analisis itu menunjukkan bahawa proses modenisasi berkembang bersama kemasukan kolonialisasi dan perkembangan Barat; dan kuasa yang mempelopori perubahan sosial itu adalah kerajaan. Kebanyakan program pemodenan yang dilaksanakan oleh kerajaan memberi keuntungan kepada kelas-kelas atasan, tetapi tidak kelas-kelas bawahan, seperti kaum tani miskin.
Bertolak dari latarbelakang persejarahan itu, kajian ini seterusnya membentangkan kehidupan harian kaum tani di Pulai Chondong. Modenisasi bukan sahaja bermakna teknologi moden, jalan raya, pusat-pusat kesihatan, bekalan elektrik dan air paip, tetapi juga perkembangan proses komersialisasi dan nilai-nilai materialism.
Item
Text
Kata-kata Sanskrit dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai : satu kajian perbandingan dari segi fonologi
Abstrak
Tesis ini merupakan cubaan awal yang diadakan untuk mengisi kekosongan kajian linguistik perbandingan di antara bahasa Melayu dan Bahasa Thai yang mengkhusus kepada perbandingan fonologi bagi kata-kata pinjaman daripada bahasa yang terserap ke dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai dengan menggunakan pendekatan yang berdasarkan teori standard fonologi yang diperkenalkan oleh Noam Chomsky dan Halle (1968) andrson (1974).
Kajian ini dilakukan dengan tujuan untuk mengenal pasti kaedah penyerapan bunyi bahasa Sanskrit ke dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai dan mengemukakan perbezaan proses fonologi bagi kata-kata Sanskrit dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai dengan cara mengkaji dan menganalisis kata-kata pinjaman Sanskrit yang terdapat di dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai. Analisis ini melihat persamaan dan perbezaan antara segmen-segmen tertentu bagi bunyi dalam sesuatu perkataan daripada bahasa sumber yang mengalami perubahan dalam bahsa sasaran mengikut sistem fonologi masing-masing.
Pengesahan data yang dijadikan bahan-bahan perbandingan dalam tesis ini dilakukan dengan merujuk khas kepada kamus dwibahasa (Sanskrit-Inggeris) yang diterbitkan yang diterbitkan oleh Oxford University Press berjudul ‘A Practical Sanskrit Dictionary – with transliteration, accentuation, and etymological analysis throughout’’ (Macdonell,A.A., 1976).
Item
Text
Konsep pakaian cara Melayu : satu kajian analisis budaya benda
Pendahuluan
Secara umum pakaian selalu dihubungkan dengan fungsi gunaan. Dipakai menutupi tubuh untuk mengelakkan daripada kesan panas atau dingin. Di zaman prasejarah, manusia menggunakan bahan-bahan yang sederhana untuk dijadikan pakaian. Manusia mengolah bahan daripada alam asemula jadi : jalian serat tumbuhan seperti rumput, lalan atau kulit binatang sehinggalah ke zaman munculnya peradaban benang dan proses menenun – pakaian telah menjadi aspek budaya benda yang penting dalam melangsungkan kehidupan. Begitu juga dengan tradisi pakaian di wilayah budaya Melayu.
Pengertian ‘PakaianTradisinal Melayu’ tidak terbatas kepada pemaikaian kain dan baju sahaja. Ia merupakan sebahagian daripada kelengkapan adat istiadat masyarakat dalam memenuhi kehidupan yang meliputi nilai, norma dan keindahan budaya Melayu.’ Konsep Pakaian Cara Melayu : Satu Kajian Analisi Aspek Budaya Benda’ ini memusatkan kepada masalah mencari dan menentukan identity budaya Melayu. Kajian di wilayah budaya Melayu sebagai satu lingkaran budaya memperlihatkan ciri-ciri persamaan pola budaya, sehingga dalam memerkatakan tentang pakaian tradisional sebenarnya diperkatakan juga tentang masyarakat dan etnik asal penduduk dalam lingkaran budaya yang sama mengalami proses perkembangan kebudayaan dalam tempoh tertentu. Secara umum istilah wilayah budaya Melayu adalah dirujuk kepada batas budaya sejak prasejarah dan berkesinambungan hinggaabad ke-19 iaitu sebelum penaklukan Barat yang telah membahagikan wilayah budaya Melayu ke batas politik seperti kita kenali hari ini.
Item
Text
Analisis nahu wacana bahasa Melayu klasik berdasarkan teks Hikayat Hang Tuah
Abstrak
Kajian ini merupakan kajian bentuk ayat dan distribusi-nya dalam wacana berdasarkan rangka nahu wacana, dengan mengambil teks Hikayat Hang Tuah sebagai bahan analisis. Tumpuan diberikan kepada analisis tetenunan yang didapati antara ayat-ayat yang membina wacana, berhubung dengan ombinasai susunan maklumat dan susunan ayat yang lojikal.
Tesis ini dibahagikan kepada tujuh bab. Bab 1 mengandungi permasalahan nahu ayat, tujuan dan runag lingkup nahu wacana. Bab 2 memperkatakan latar belakang teori tentang perkaedahan yang digunakan dalam kajian ini.
Bab 3 membincangkan tentang jenis maklumat yang disampaikan oleh ayat. Tujuan bab ini ialah untuk menerangkan pola-pola dasar susunan maklumat dan susunan ayat yang lojikal.
Bab 4 pula membincangkan inti ayat bahasa Melayu dari segi bentuk nahuan. Perbincangan ini merangkumi analisis kerangka ayat bahasa Melayu dan susunan ayat yang lojikal. Daripada analisis ini didapati bahawa initi ayat bahasa Melayu adalah predikat dan pembicaraan berjalan secara sehala daripada judul kepada cerita, iaitu dari segi susunan lojikal.
Bab 5 membincangkan bentuk nuhuan ayat yang digunakan dalam wacana, dari segi kombinasi susunan maklumat dan susunan ayat yang logical. Didapati bahawa pemilihan judulakan menentukan atau bentuk ayat di mana ianya dipilih daripada sejumlah pilihan pola ayat yang telah disediakan secara teoretis (sistem pilih yang sedia ada).
Bab 6 menganalisis bagaiman sudut pandangan pembicara mempengaruhi pemilihan judul dalam ayat kompleks setara. Di samping itu diperkatakan tentang Endstellung dalam susunan ayat yang lojikal, dari segi susunan maklumat.
Bab 7 memberikan kesimpulan kajian dengan menekankan bahawa bentuk nahuan ayat perlu dikaji berdasarkan susunan maklumat dan susunan ayat yang ligikal, yang didapati dalam konteks wacana.
Item
Text
Syair-syair Melayu Riau : tumpuan khas kepada Syair Kitab al-Nikah dan lain-lain syair agama Raja Ali Haji
Abstrak
Kajian ini adala satu percubaan untuk melihat perkembangan syair-syair Melayu Riau dengan menumpukan karya syair-syair agama Raja Ali Haji khasnya Syair Kitab al-Nikah.
Dalam Bab I diberikan gambaran perkembangan syair-syair itu yang berpusat di Penyengat. Ia dapat dilihat dari tiga kategori iaitu agama, sejarah dan fiksyen. Di bincangkan juga latar yang mempengaruhi perkembangan syair itu di Riau. Karya tersebut kebanyakannya dilahirkan oleh golongan Bangsawan Bugis yang dipelopori oleh Raja Ali Haji dan keluarganya.
Bab II dibincangkan secara lebih terperinci lagi syair-syair agama Raji Ali Haji terutama Syair Hukum Faraid, Syair Siti Sianah dan Syair Sinar Gemala Mastika Alam sambal membandingkan dengan beberapa syair agama yang lain seperti Syair Burung dan Syair Pintu Hantu.
Bab III melihat Syair Kitab al-Nikah secara terperinci terutama perbezaan dengan iga teks yang lain. Kesimpulannya yang didapati semakin muda usia teks itu semain banyak tambahan yang dilakukan. Tambahan tersebut samada secara tidak sengaja iaitu yang dianggap korupsi atau tambahan yang disengajakan yang dianggap sebagai kreasi baru. Tambahan ini dibuat sama ada secara improvisasi mahupun modifikasi. Perubahan yang disengajakan ini sesuai dilihat dari sudut teori resepsi sastera.
Item
Text
Pemikiran Pramoedya Ananta Toer dalam novel-novel mutakhirnya
Kajian ini merupakan suatu penelitian terhadap pemikiran Pramoedya Ananta Toer seperti yang tersirat dalam tetralogy terbarunya - Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah, dan Rumah Kaca – yang dihasilkan selama pengasingannya di Pulau Buru, Indonesia. Pemikirannya ini menjadi menarik untuk ditliti kerana di dalamnya terpancar pandangan dan tafsiran yang lebih baru dan canggih dari pengarang terhadap soal-soal sejarah, budaya, humanism, nasionalisme, dan kolonialisme di Indonesia. Huraian tentang semuanya ini dikemukakan dalam tujuh bab yang terdiri dari empat bahagian.
Item
Text
Novel perang dalam kesusteraan Indonesia, Malaysia dan Filipina : satu perbandingan
Abstrak
Disertasi ini mengemukakan satu kajian perbandingan novel-novel perang yang dihasilkan oleh novelis-novelis Malaysia, Filipina dan Indonesia. Kaedah penyelidikan dan penulisan yang digunakan adalah antara disiplin : meneliti kehadiran dan pertautan disiplin-disiplin non-sastera dalam karya sastera. Landasan awal diberikan dalam pengenalan dan Bab 1, perbincangan tentang pendekatan kajian dan beberapa teori tentan gperang. Perbincangan bergerak memasuki disiplin pada Bab 2 hingga 5 : kesan-kesan sejarah psikologi, sosial dan estetik. Novel-novel kajian dibincangkan dalam suasana perbandingan, mencari, mengenal pasti serta melihat intensiti setiap gambaran sepertimana terdpat dalam novel-novel kajian.Kesan sejarah telah menampakkan beberapa pemerihalan nyata seperti keterikatan novelis, kehadiran unsur anakronisme, etnosentrisme serta nasionalisme. Kesan psikologi pula menggalurkan beberapa priority watak-watak seperti keselamatan, kebahagiaan diri dan keluarga, ketuhanan serta survival di waktu darurat.
Item
Text
Kata majmuk dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai : suatu analisis perbandingan morfologi
Abstrak
Tesis ini merupakan satu cubaan pertama untuk mengkaji secara perbandingan kata majmuk dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai yang merupakan satu unsur yang penting dalam bidang morfologi. Pendekatan yang digunakan ialah teori morfologi yang berdasarkan kriteria sintaksis dan kriteria semantik.
Kajian ini dilakukan dengan tujuan untuk mengenal pasti konstruksi kata majmuk, penjenisan kata majmuk, bentuk kata majmuk serta fungsi dan maknanya dengan cara mengkaji dan menganalisis kata majmuk yang terdapat dalam bahan-bahan yang dikaji. Data yang digunakan untuk analisis berdasarkan dua puluh satu naskah majalah dalam bahasa Melayu, dan dua puluh satu naskah majalah dalam bahasa Thai yang diterbitkan dalam tahun 1993-1994.
Analisis-analisis yang dijalankan menunjukkan bahawa kata majmuk dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai, pada amnya, mempunyai persamaan dalam penggunaan konstruksi bentuk kata majmuk, fungsi dan maknanya. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan dari segi jumlah penggunaan, penjenisan dan perician konstruksi bentuk kata majmuk. Perbezaan ini disebabkan perbezaan jenis keluarga bahasa di antara bahasa Melayu dan bahasa Thai, yang menyebabkan bahasa Melayu mempunyai cara pembentukan kata melalui proses pengimbuhan, tetapi bahasa thai menekankan proses pembentukan kata yang berkaitan dengan unsur nada.
Kajian ini menunjukkan bahawa banyak maklumat dapat dikumpulkan daripada kajian perbandingan yang memberi manfaat kepadaahli-ahli bahasa. Kajian susulan yang lebih lanjut perlu dibuat tentang perbandingan antara kata majmuk dalam bahasa Mekayu dan bahasa Thai dalam data-data yang lain, misalnya dalam laras-laras sains dan teknologi semasa, sastera, cerita rakyat, buku kanak-kanak dan surat khabar.
Item
Text
Mantera sebagai pengucapan simbolik : analisis pemikiran Melayu
Abstrak
Tesis ini adalah satu kajian dalam bidang Sosiologi Sastera. Kajian ini berdasarkan teks atau bahan kajian yang terdiri daripada mantera-mantera yang dikumpul dari beberapa tempat dalam setiap negeri di Semenanjung. Mantera dipilih sebagai bahan kajian, bertolak daripada tanggapan bahawa mantera merupakan dokumen sosio-budaya masyarakat Melayu. Kajian tertumpu kepada corak pemikiran masyarakat Melayu. Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang pemikiran masayarakat Melayu dan kedudukan mantera dalam masyarakat, tesis ini dipecahkan kepada tujuh bab. Bab I merupakan pengenalan kepada keseluruhan tesis, antara lain menyentuh bidang, tujuan, masalah, hipotesis dan kaedah kajian. Bab II menekankan kedudukan mantera sebagai karya sastera. Perbincangan tertumpu kepada pengertian mantera; konsep dan ciri-ciri mantera; binaan mantera dan perbandingan mantera dengan puisi-puisi lain untuk menunjukkan bahawa mantera merupakan satu genre dan mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam masyarakat. Bab III memperlihatkan jenis dan fungsi mantera dalam masyarakat yang melibatkan hampir semua aspek hidup dan peringkat umur anggota-anggota masyarakat, terutama pada zaman dahulu. Bab IV hingga VI merupakan inti perbincangan kerana berkaitan dengan kedudukan mantera dalam masyarakat sehingga menjadikan sebagai dokumen sosio-budaya. Perbincangan dalam Bab IV antaranya mengenai penerimaan masyarakat tentang mantera termasuk pembelajaran, penyebaran, khalayak, kedudukan mantera pada hari ini dan masa depan. Bab V khusus membicarakan penggunaan simbol dalam mantera. Simbol-simbol yang berkaitan dengan ketuhanan, makhluk ghaib, alam, benda dan manusia dihuraikan untuk memahami pemikiran orang Melayu. Corak pemikiran masyarakat Melayu dianalisis dalam Bab VI. Tumpuan diberikan kepada aspek pemikiran berhubung dengan kepercayaan warisan; pemikiran tentang ketuhanan yang dilihat secara vertical dan horizontal; pemikiran tentang makhluk ghaib yang baik seperti Malaikat, jin Islam dan Orang Bunian serta yang jahat termasuk iblis, jin kafir dan hantu. Turut disentuh dalam bab VI ialah pemikiran tentang alam nyata dana lam ghaib serta pemikiran tentang manusia. Manusia dilihat sebagai makhluk yang hidup di dalam empat alam, dan diri manusia itu sendiri daripada jasad, jiwa dan roh. Segala persoalan pokok dalam tesis ini dirumuskan dala Bab terakhir yang juga memuatkan beberapa kesimpulan.
Item
Text
Wanita dalam novel A. Samad Said
Abstrak
Kajian ini melihat perubahan kedudukan dan peranan watak-watak wanita utama dan sampingan dalam Sembilan buah novel Sasterawan Negara, A. Samad Said. Perubahan itu dikaji dalam kerangka sosial dan sejarah yang terbahagi kepada tahap-tahap sebelum perang, zaman perang, selepas perang dan selepas merdeka. Kedudukan dan peranan watak-watak wanita itu dikaji menggunakan perspektif feminis yang menekankan kesan beberapa faktor ke atas pengarang dalam pembentukan ideologi jantina yang mendasari perlukisan watak-watak wanita tersebut. Faktor-faktor itu termasuklah kesan sosio-budaya, agama, pengalaman pengarang serta hubungannya dengan keluarga, wanita, masyarakat dan zaman. Menerusi perpsektif feminis ini novel-novel yang dikaji mengajukan wujudnya korelasi yang nyata antara pencapaian pendidikan wanita dan perubahan peranan serta peningkatan kedudukan mereka. Sehubungan dengan itu, wanita tradisi yang tidak berpendidikan dan justeru itu tidak berdikari sering terdedah kepada penganiayaan khususnya jika tiada perlindungan keluarga. Sebaliknya wanita moden yang berpendidikan dan justeru itu berdikari tidak terikat dengan tuntutan keluarga dan dapat mencorak hidup mereka. Oleh itu buruk baik nasib mereka dapat ditentukan sendiri lantaran bebas membuat keputusan sendiri. Sehubungan dengan itu juga, wanita moden digambarkan Berjaya membaiki status hidup mereka jika mereka tidak menyeleweng dari norma-norma sosial dan nilai agama Islam. Seterusnya, pengarang secara keseluruhannya memberi kedudukan yang baik kepada wanita yang berpegang teguh kepada nilai-nilai tradisi seperti lemah-lembut, setia dan sabar.
Item
Text
Tautan dalam wacana bahasa Melayu akhbar : analisis rencana pengarang Utusan Zaman (1957-1961)
Abstrak
Bab 1 jalan ini memaparkan pendahuluan kajian. Manakala Bab 2 membincangkan konsep wacana tautan tujuh, model tautan, dan Model Tuntuan Pindaan. Data tautan perulangan dalam Bab 3 diteliti dengan menggunakan tujuh prinsip tatakerja. Didapati enam jenis tautan perulangan (PL), iaitu tautan perulangan rujukan (PL1), tautan perulangan penggantian (PL2), tautan perulangan ellipsis (pl3), tautan perulangan leksikal (PL4), tautan perulangan parafrasa (PL5), dan tautan perulangan struktur dan makna sama (PL7). Yang tertinggi ikatan tautannya PL4 (70.59%), yang terendah pula PL2 (PL0.17%), Ketertinggian PL4 ditafsirkan sebagai bercirikan leksikal. Tautan kolokasi (KL) dalam Bab 4 diteliti dengan menggunkan satu prinsip tatakerja, dan tautan ini didapati mempunyai empat subjenis, iaitu tautan kolokasi antoniman (KL1), tautan kolokasi kohiponiman (KL2), tautan kolokasi hasil (KL3), dan tautan kolokasi sifat (KL4). KL2 paling tinggi peratusan ikatannya (66.19%) berbanding dengan KL3 (0.98%), yang terendah sebab hubungan makna yang mirip kepada ciri leksikal dalam KL2. Tautan penghubung ayat (PH) dalam Bab 5 terbahagi kepada lima subjenis, iaitu tautan penghubung ayat tambahan (PH1), tautan penghubung ayat tentangan (PH2), tautan penghubung ayat sebab-musabab (PH3), tautan penghubung ayat waktu (PH4), dan tautan penghubung ayat terusan (PH5). PH1 yang tertinggi ikatannya (42.15%) bebanding dengan PH5 (0.83%). Hal ini dikaitkan dengan ciri teks bertulis yang ada pada PH1. Perbandingan dalam Bab 6 antara butiran analisis dengan tahun didapati tahun 1961 mempunyai maksimum butiran analisis terbanyak berbanding dengan tahun 1957. Dari segi jumlah ikatan. PL yang tertinggi, diikuti oleh KL dan PH. PL dan KL dikira bersifat hubungan tumpu makna yang lebih bebas. Jarak jauh lebih banyak daripada Jarak dekat kerana sifat teks bertulis. Bab 7 menyimpulkan kajian dan memuatkan cadangan kajian lanjutan.
Item
Text
Falsafah pendidikan bahasa : kajian tentang konsep dan pelaksanaannya di Malaysia dengan rujukan khusus kepada pendidikan bahasa Melayu di Sekolah Menengah
Abstrak
Kajian ini bertitik tolak daripada latar belakang fenomena yang berkisar di sekitar tiga hal. Yang pertama ialah hakikat pendidikan dan juga pendidikan bahasa sebagai asas kehidupan bertamadun bagi manusia. Yang kedua ialah peranan pendidikan bahasa dalam proses berlangsungnya pendidikan umum, iaitu sebagai ilmu asas menurut hierarki ilmu yang dikemukakan oleh al-Ghazali. Yang terakhir pula ialah agenda dan program ‘’pengislaman ilmu’’ yang mula digerakkan sejak tahun 1970-an sebagai upaya menanggap persoalan ilmu menurut pandangan hidup dan epistemologi Islam. Dalam program tersebut, salah satu aktiviti yang diberi tumpuan perhatian ialah pengislaman ilmu dalam segala disiplin, termasuk linguistik dan pendidikan
Kajian ini pada dasarnya bertujuan merumuskan falsafah pendidikan bahasa (sekaligus falsafah bahasa itu sendiri) menurut tasawur Islam sebagai alternatif kepada falsafah pendidikan Barat yang didapati terpecah-pecah menurut kecenderungan pelbagai aliran falsafah dan teori. Di samping itu dikaji juga pelaksanaan falsafah pendidikan bahasa dalam konteks Malaysia, sesuai dengan pelaksanaan gagasan bersepadu, yang merupakan hasil langsung daripada Persidangan Pertama Pendidikan Islam di Makkah pada tahun 1977.
Selain mengemukakan pelaksanaan pendidikan bersepadu yang turut melibatkan pendidikan Bahasa (dalam konteks ini bahasa Melayu yang menjadi bahasa kenbangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa penghantar ilmu), dikaji juga suatu aspek pelaksanaannya di sekolah dengan memilih aspek persepsi guru Bahasa Melayu sebagai fokusnya.
Beberapa rumusan tentang asas-asas falsafah pendidikan bahasa disarankan, iaitu pendidikan bahasa sebagai pengembangan potensi tenurani pada manusia, pendidikan bahasa sebagai saranan untuk menekuni suatu sistem dalam sistem sarwajagat ciptaan Tuhan, pendidik bahasa sebagai asas proses pengilmuan manusia, serta pendidikan bahasa sebagai wadah pewarisan nilai-nilai dan kebudayaan. Dalam aspek perlaksanaannya di Malaysia, disarankan suatu penyataan eksplisit tentang falsafah pendiidikan bahasa Melayu, langkah-langkah mengatasi masalah–masalah yang ada, langkah-langkah memesatkan perlaksanaan pendidikan bersepadu bahasa Melayu, serta beberapa kajian lanjutan.
Item
Text
Riwayat Kelantan : analisis teks, interteks dan konteks
Abstrak
Kajian ini adalah kajian filologi, iaitu melibatkan kerja-kerja mentransliterasi sebuah naskhah bertulisan rumi. Naskhah yang telah siap ditransliterasi ini kemudiannya diberikan anotasi. Berdasarkan naskhah yang telah siap diedit ini satu kajian untuk mencari makna penulisan naskhah-naskhah sastera sejarah dilakukan.
Bab 1 memuatkan latar belakang kajian-kajian yang dilakukan oleh sarjana terdahulu terhadap naskhah Melayu. Tumpuan khusus diberikan kepada naskhah sastera sejarah. Daripada tinjauan itu didapati tidak banyak kajian yang menumpukan kepada usaha mencari makna penulisan sesebuah naskhah. Bab ini juga memuatkan bahan kajian, iaitu teks Riwayat Kelantan yang terdapat dalam bentuk mikro filem di Perpustakaan Besar, Universiti Malaya Kuala Lumpur. Selain daripada itu dijelaskan juga tujuan kajian, bidang dan juga skop kajian ini. Di akhir bab ini diberikan beberapa istilah yang akan digunaakan dalam kajian.
Bab 2 pula merupakan kerangka teori kajian ini. Dalam bab ini dibincangkan beberapa konsep seperti sastera, adab, analisis teks, interteks dan konteks. Dalam bab ini juga dibincangkan lima model kajian sarjana-sarjana terdahulu yang bertujuan untuk mencari makna teks. Perbincangan model-model kajian ini adalah sebagai usaha untuk membina sebuah model yang akan digunakan dalam kajian ini. Daripada beberapa model kajian yang dibincangkan itu tidak ada satu pun model kajian yang berupaya mencari makna hakiki sesebuah karya kerana mereka mengabaikan faktor agama, Dengan yang demikian dalam bahagian terakhir bab ini dikemukakan model kajian hermeneutik-adab yang akan digunakan dalam kajian ini.
Bab 3 merupakan satu perbincangan secara umum tentang negeri Kelantan seperti asal mula Kelantan mendapat nama, faktor-faktor yang menyumbang kearah kemunculan ramai penulis-penulis di Kelantan. Akhir sekali dibincangkan beberapa naskhah Melayu lama yang ada di Kelantan pada masa ini.
Item
Text
Utusan untuk kebaikan : analisis watak pradata dalam novel Melayu
Abstrak
Tesis ini mengandungi empat bab, membicarakan tentang watak ‘pradata ‘ dalam novel Melayu. Setelah definisi dan huraian ‘pradata’ itu diberikan, penelitian ini memaklumkan tentang tujuan kajian, dasar pemilihan bidang kajian, masalah kajian dan peleraiannya, serta memperkenalkan 10 novel korpus. Antara tujuan terpenting kajain ini ialah usaha untuk mengemukakan teori pembentukan watak pradata dalam cereka Melayu.
Sebelum mencapai tujuan terpenting itu, kajian ini memperkatakan tentang erti novel Melyau, lalu skopnya dikhususkan lagi kepada pembicaraan terhadap 13 watak pradata yang terdapat dalam 10 novel korpus. Segala huraian ini terdapat di dalam Bab 2.
Di dalam Bab 3 pula, setelah mengenalpasti peranan dan sumbangan pradata, diteliti pula unsur-unsur dalaman dan luaran yang membentuk dan menjadikan seseorang watak itu sebagai pradata. Di samping itu dikesani pula bahawa jenis-jenis pradata dapat dibahagi kepada enam iaitu pradata agama, ekonomi, feminism, nasionalisme, pendidikan dan resam. Setiap jenis pradata itu diberikan definisi serta contoh-contoh dari novel korpus.
Setelah jenis pradata diketahui dan unsur-unsur pembentukan pradata dikenal pasti (iaitu unsur-unsur : dari dalam diri, keluarga, pendidikan dan perkerjaan, pergaulan, pengalaman perjalanan, bacaan, peristiwa tempatan sezaman, gerakan luar negeri dan agama), maka butiran serta unsur-unsur yang berpencar-pencar itu dikumpulkan dan disatukan sebagai asas-asas penting membina teori pembentukan watak pradata dalam cereka Melayu. Penemuan dan kesimpulan ini diutarakan dalam Bab 4 yang merupakan bab akhir kajian ini.
Item
Text
Persoalan dendam dalam sastera Melayu
Abstrak
Kehadiran hikayat-hikayat Melayu menjadi manifestasi kepada kewujudan sebuah masyarakat Melayu pada satu ketika dahulu. Hikayat-hikayat Melayu ini yang dikesan penghayatannya sejak zaman Hindu membawa kepada zaman Peralihan dan seterusnya kepada zaman Islam, dan dikenal pasti mewarnai kesusasteraan lama di rantau Tanah Melayu termasuk Aceh, Minang dan Jawa, tidak sahaja memberi hiburan kepada pembaca, tetapi fungsinya yang lebih berharga ialah sebagai bahan bukti kepada jatidiri, wacana pemikiran dan aspirasi masyarakat Melayu itu sendiri.
Berlandaskan penelitian drama tragedi di dalam periode Yunani dan periode pemerintahan Ratu Elizabeth 1, emosi dendam banyak sekali mempengaruhi tema dan jalan cerita drama tragedi berkenaan. Willliam Shakespeare dan Thomas Kyd mengeksploitasikan emosi dendam untuk menarik minat penonton apabila drama dendam mereka dipentaskan. Intrig dan peranan darah memainkan peranan meransang keghairahan penonton. Emosi dendam yang menjadi bumbu utama kepada drama tragedi ini seolah-olah mengorek keluar keresahan masyarakat Inggeris pada periode berkenaan yang dahagakan pembalasan dendam dan keadilan.
Dengan meneliti emosi dendam di dalam hikayat-hikayat Melayu ini akan menyerlahkan hatibudi masyarakat Melayu dalam menangani masalah harian yang membabitkan hati dan perasaan, jasmani dan rohani.
Pentafsiran emosi dari aspek ‘fenomenologi’ lewat hikayat-hikayat Melayu, yang tidak dominan kehadirannya didalam setiap hikayat yang dikaji-sekadar menjalankan peranannya yang bersifat didaktik-menggambarkan masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu yang peka dengan urusan kasih sayang, kewibawaan yang wajar ditegakkan, keadilan yang saksama-kesemuanya demi kepentingan keharmonian dan kemuliaan etika di dalam kehidupan.
Item
Text
Isu-isu semasa dalam karya naratif A. Samad Ismail
Abstrak
A. Samad Ismail terkenal sebagai seorang tokoh wartawan, sasterawan dan politik. Beliau telah melibatkan diri dalam bidang tersebut sejak dekat 40-an dan telah melalui empat fasa dalam proses penglibatannya sebagai wartawan, saterawan dan politik iaitu zaman Perang Dunia Kedua, selepas, era perjuangan kemerdekaan dan selepas merdeka. Minatnya dalam kesusasteraan bermula sejak masih kecil. Ibunya sering menceritakan cerita lisan kepadanya. Setelah bersekolah rendah, bapanya iaitu seorang guru besar telah membelikan surat khabar untuk bacaannya. Ruangan yang diminatinya ialah ruangan pojok oleh A. Rahim Kajai.
Ketika Perang Dunia Kedua, A. Samad Ismail bertugas dan memimpin Berita Malai. Sebagai wartawan, pemerhatian, renungan dan perspektifnya amat tajam terutama terhadap isu-isu sosial dalam zaman perang. Dalam zaman perang ini, beliau amat rapat dengan Ishak Haji Muhamad dan Ibrahim Yaacob. Mereka membimbingnya dalam bidang politik. Pengalamannya sebagai wartawan dan pengetahuan politik yang diperolehi daripada mereka mendorongnya menulis beberapa buah cerpen yang menyokong Jepun tetapi secara tersirat menyebarkan semangat nasionalisme kepada khalayak. Cerpen yang ditulisnya pada zaman Jepun itu ialah ‘ Si Pengali’, ‘Ubi Kayu’ dan ‘Ke Bintan To’.
Persahabatannya dengan Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhamad dan beberapa orang nasionalis Indonesia mempengaruhi ideologi politiknya terhadap perjuangan kemerdekaan dan isu bangsa serumpun. Isu-isu nasionalisme, perjuangan kemerdekaan bangsa serumpun terdapat dalam cerpennya ‘Antara Dua Kekasih’ dan ‘Insaf’.
Item
Text
Novel-novel A. Samad Said : menghayatinya dari sudut estetika sastera
Abstrak
Kajian ini akan dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu pertama bahagian pengenalan; kedua bahagian kajian terhadap teks; dan ketiga bahagian kesimpulan. Dalam bahagian pengenalan termuat dengan pengertian umum estetika, erti keindahan, erti seni, sejarah perkembangan ilmu falsafah estetika secara ringkas tetapi menyeluruh, dan juga memperjelaskan aspek-aspek estetika yang ada kaitannya dengan kepentingan kajian ini. Di samping itu, penjelasan juga diberikan tentang kaedah-kaedah pengkajian yang digunakan dalam mengkaji novel-novel A. Samad Said ini. Bahagian ini di anggap sebagai penting memandangkan kita perlu memahami pengertian falsafah estetika dan kaedah-kaedah yang akan digunakan itu terlebih dahulu sebelum dapat mengkaji teks-teks khusus.
Bahagian kedua pula dipecahkan kepada tiga bab, iaitu Bab ii, Bab III dan Bab iv. Bab II memuatkan persoalan-persoalan penghayatan kita terhadap keindahan isi yang merupakan peristiwa-peristiwa yang terdapat Dalam Sembilan buah novel A. Samad Said yang menjadi tumpuan kajian. Dalam bab ini kita dapat melihat bagaimana isi novel-novel ini mampu menarik minat dan memberikan pengalaman estetika kepada kita yang menghayati. Bab III pula membicarakan tentang keindahan pernyataan dalam novel-novel yang diteliti. Bab ini cuba meneliti bentuk-bentuk tertentu pernyataan, khususnya khayalan, gerak-laku dan pengucapan watak-watak dalam novel-novel ini, yang berhasil memancarkan pergolakan jiwa atau emosi para wataknya sehingga mampu pula mempengaruhi jiwa dan perasaan kita yang menghayatinya lalu turut merasaan seperti apa yang dirasakan oleh para watak brkenaan. Manakala Bab IV pula membicarakan tentang keindahan pelbagai bentuk gubahan yang terdapat dalam novel-novel yang diteliti. Kita akan melihat bagaimana gubahan-gubahan itu mempunyai kesan-kesan estetika tertentu dalam menyampaikan peristiwa atau sesuatu pernyataan. Kita juga akan melihat bagaimana suatu bentuk gubahan pernyataan itu mampu untuk menyatakan sesuatu yang tersirat dan berkehendak tafsiran di sebalik apa yang tersurat di dalamnya.
Bahagian ketiga dan terakhir merupakan kesimpulan kepada apa yang telah dikaji. Segala rumusan dilakukan dalam bahagian ini mengenai setiap penemuan yang diperolehi, iaitu termasuklah keindahan pada peniruan, keindahan pada bentuk, keindahan pada pernyataan dan keindahan pada kesatuan dalam kepelbagaian dan melihat bagaimana unsur-unsur itu berhasil membangkitkan kepuasan estetika kita dalam penghayatan karya-karya yang diteliti. Kita juga disini melihat kedudukan A. Samad Said dan karya-karya khususnya yang dikaji dalam dunia kesusasteraan nasional dan dunia internasional.
Item
Text
Peranan, organisasi dan kandungan akhbar-akhbar utama di Semenanjung Malaysia
Abstrak
Kajian secara makro ini adalah mengenai peranan, organisasi dan kandungan akhbar-akhbar utama di Semenanjung Malaysia. Tempoh pengkajian asas ialah dari tahun 1989 hingga tahun 1995. Sampel yang dipilih mengandungi lapan akhbar utama, dua bagi setiap bahasa.
Selain kaedah diskriptif dua kaedah utama digunakan dalam kajian ini :
(a) Analisi kandungan akhbar-akhbar tersebut bagi minggu buatan dalam tahun 1989 untuk hari-hari berikut : Isnin 19hb Jun; Selasa 25hb Julai; Rabu 2hb Ogos; Khamis 7hb September; Jumaat 20hb Oktober; Sabtu 1hb November; dan Ahad 10hb Disember. Sample keseluruhan bagi hari-hari tersebut berjumlah 56 akhbar. Pembolehubah-pembolehubah berikut telah dikaji: kategori dan kekerapan berita dalaman dan luar negeri; personaliti-personaliti yang disebut; sumber berita; analisis berita politik dan analisis muka depan.
(b) Tinjauan meliputi 91 ‘’gatekeeper daripada lapan akhbar tersebut denan penggunaan boring soalselidik ‘’standard’. Soalan-soalan yang ditanya mewujudkan suatu profail demografi responden; gambaran tentang alam pekerjaan mereka; pendapat mereka tentang unsur-unsur dan nilai-nilai berita ; dan pendapat mereka tentang profesion kewartawanan, termasuk penilaian mereka tentang masa depan kewartawanan di Malaysia.
Item
Text
Penjagaan kesihatan dan rawatan : prinsip dan teori dalam perubatan Melayu
Abstrak
Satu kajian antropologi budaya telah dijalankan untuk mendapatkan data tentang perubatan Melayu di Kedah dan Perlis. Tujuan kajian ialah untuk menentukan konsep berhubung dengan kesihatan dan penyakit dan untuk membentangkan pembentukannya sebagai realiti sosial. Kajian memfokuskan kepada falsafah dan prinsip yang digunakan oleh bomoh dalam penjagaan kesihatan dan rawatan penyakit. Dalam hubungan ini huraian mengenai teori penyakit dan keuzuran dibincangkan. Kajian juga bertujuan untuk melihat faktor-faktor yang mempengaruhi pembangunan perubatan Melayu dan untuk mengemukakan strategi-strategi kearah kemajuannya. Hasil kajian mendapati asas dan falsafah perubatan Melayu berteraskan ajaran Islam. Teori mengenai penyakit dan keuzuran pada keseluruhannya dibentuk atas pengetahuan agama, kepercayaan kepada makhluk ghaib dan persekitaran fizikal. Rasional dan keperhatinan kepada keadaan manusia menjadi sebahagian daripada rawatan bomoh. Sungguhpun penjagaan kesihatan merupakan satu bahagian penting perubatan Melayu, penekanan lebih bertumpu kepada aspek rawatan. Kesimpulan kajian ialah perubatan Melayu dibina atas prinsip-prinsip falsafah agama yang kukuh. Implikasi yang boleh dibuat daripada kajian ialah keperluan untuk memberi penekanan sewajarnya kepada kaedah-kaedah penjagaan dan untuk menengahkannya sebagai suatu model penjagaan kesihatan altenatif di Malaysia.
Item
Text
Dasar kerajaan dan kesannya terhadap bahasa Melayu di negara Thai
Abstrak
Disertasi ini merupakan satu kajian tentang dasar kerajaan Thai dan kesannya terhadap bahasa Melayu di negara Thai berdasarkan disiplin Sosiolinguistik dalam rangka Teori Pertembungan Bahasa dan Pinjaman Bahasa, disiplin Sains Dasar dalam rangka Teori Analisi Dasar Awam. Kajian ini memfokuskan sosiolinguistik tulen yang menyentuh beberapa cabang kajian sosiolinguistik yang berkenaan. Matlamat kajian adalah untuk melihat hubungan dasar-dasar tertentu kerajaan dan kesannya terhadap bahasa Melayu.
Bab I Pendahuluan. Bab ini mengandungi pengenalan secara umum latar belakang masyarakat di Thailand, dasar negara Thailand terhadap pembinaan bangsa, kesan hubungan dasar pembinaan bangsa dengan masyarakat Melayu. Bab ini mengemukakan tujuan kajian, bidang kajian dan ruang lingkup, kawasan kajian dan skopnya, hipotesis serta hasil yang dijangkakan. Pendekatan teori yang merangkumi konsep dasar, dasar bahasa, dasar penyelesaian masalah golongan minoriti dan ringkasan rangka teori yang mencakupi dua kaedah penting, iaitu kaedah sosiolinguistik dan kaedah dasar awam turut dikemukakan. Bab I juga menyebut tentang komponen-komponen kajian seperti kaedah kajian, kepentingan dan masalah kajian, kajian-kajian yang telah dilakukan, definisi istilah dan informan.
Item
Text
Pemeliharaan dan penyisihan bahasa : kajian kes terhadap komuniti minoriti Rajang-Tanjong
Abstrak
Kajian ini adalah kajian sosiolinguistik yang melihat segala pemeliharaan bahasa dan penyisihan bahasa yang berlaku di dalam komuniti minoriti Rajang-Tanjong yang terdapat di Kapit, Sarawak.
Gejala pemeliharaan bahasa dan penyisihan bahasa adalah salah satu kesan akibat pertembungan bahasa. Pertembungan bahasa disebabkan oleh beberapa faktor, sepeti penghijrahan, penjajahan politik dan ekonomi, agama, perdagangan, sempadan geografi, persekutuan beberapa wilayah untuk membentuk satu negara, dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan masyarakat menjadi bersifat dwibahasa dan pelbagai bahasa.
Item
Text
Perbandingan morfologi bahasa Melayu dan bahasa Iban
Abstrak
Tesis ini adalah kajian mengenai bahasa Melayu (BM) dan bahasa Iban (Bib) yang dilihat dari perspektif Linguistik Bandingan dan pada tahap-tahap tertentu kajian ini menjurus kepada Linguistik Bandingan Sejarawi. Objektif utama kajian ini adalah untuk melihat unsur-unsur morfem yang terdapat dalam pembentukan kata BM dan Bib. Di samping itu kajian ini turut menyelidiki ciri-ciri warisan bersama yang dimiliki oleh kedua-dua bahasa dari bahasa induk serta perubahan-perubahan yang berlaku setelah berpisah. Data dari BM diperolehi melalui bahan bertulis dan pemerhatian langsung. Manakala data dari Bib pula didapati melalui kajian perpustakaan dan kajian lapangan. Bahan bagi BM tidak hanya terhad pada bentuk standard, tetapi juga melihat pada dialek-dialek tertentu sekiranya terdapat kesejajaran.
Untuk tujuan menghurai dan menganalisis bentuk-bentuk morfologi BM dan Bib ini, pendekatan sistematik digunakan bagi membuat kesimpulan tentang evolusi sesuatu sistem melalui zaman. Kajian ini turut menyentuh struktur fonologi kata sebagai tujuan memudahkan perbincangan mengenai hal-hal berkaitan dengan imbuhan dan morfofonemik. Di samping melihat pembentukan kata melalui bentuk dan unsur morfem, kajian ini turut mengambil kira pembentukan kata berdasarkan unsur-unsur pembentukan dan kata akar.
Item
Text
Kasus dan pindahan sintaksis dalam Bahasa Melayu
Abstrak
Teori sintaksis Noam Chomsky membawa perubahan yang besar dalam teori linguistik moden. Khususnya, teori Kasus dalam teori Kuasaan dan Tambatan telah menjadi satu fokus dalam kajian linguistik kini. Disertasi ini akan meninjau Kasus peranan dalam sintaksis bahasa Melayu berdasarkan teori Kasus dalam rangka teori Kuasaan dan Tambatan.
Bab 2 meninjau secara ringkas prinsip subsistem dalam teori Kuasaaan dan Tambatan : teori ikatan, teori kuasaan, teori-0 (teta), teori tambatan, teori Kasus dan teori-teori yang berkaitan. Tinjauan ini akan menjadi latar belakang bagi perbincangan teori Kasus yang akan dibuat seterusnya. Bab 3 memperlihatkan ciri-ciri asas yang terdapat dalam pemberian Kasus. Pertama, paras sintaksis pemberian Kasus akan ditinjau secara ringkas. Altenatif yang digemari adalah untuk membenarkan dua jenis paras pemberian Kasus, Iaitu struktur-D dan struktur-P. Satu cadangan yang berasal dari Noam Chomsky adalah untuk menyatakan struktur-D bagi Kasus struktur-D dan struktur-P bagi Kasus inheran. Walaubagaimanapun, dalam kajian ini, struktur-P akan dicadangkan sebagai paras pemberi Kasus yang tersepadu dalam sintaksis bahasa Melayu. Kuasaan dan Syarat Sebelahan (adjacency) akan diterangkan sebagai syarat yang berkesan untuk sebuah FN yang menerima Kasus. Akhir sekali, hubungan di antara teori Kasus dan teori-0 ditinjau dengan memerhati Syarat Visibiliti (Visibility condition) bahawa hanya sebuat peranan-0 diberikan kepada sebuah argument yang telah menerima Kasus.
Item
Text
Reformasi Islam dalam novel-novel Melayu terpilih
Abstrak
Disertasi ini mengkaji pemikiran reformasi islam yang tertonjol dalam novel-novel Melayu dalam rentetan perkembangannya selama tiga suku abad di negara ini. Analisis diserentakkan dengan melihat keterpengaruhan serta keselarian pertumbuhan, perkembangan dan kesinambungannya dengan gerakan reformasi Islam dalam jangka masa waktu yang hampir-hampir sama.
Disertasi terbahagi kepada lapan bab, dengan Bab Pertama memperinci elemen-elemen yang mendasari sesuatu penyelidikan akademik, merangkumi, pernyataan masalah dan objektif-objektif kajian, disusuli dengan methologi kajian dari segi pendekatan dan teori, singnifikan kajian, skop dan keterbatasannya, dan diakhiri dengan pembahagian bab-bab.
Item
Text
Istilah sains dalam Bahasa Melayu : aspek pengupayaannya
Abstrak
Disertasi ini merupakan satu percubaan awal untuk meneliti aspek pengupayaan istilah sains dalam bahasa Melayu, khususnya istilah bidang biologi, fizik, dan kimia berdasarkan istilah-istilah yang ditemukan dalam Daftar Istilah Mabbim. Aspek pengupayaan istilah sains telah diteliti dengan menganalisis keserasian konsep dengan bahasa sumber, prose morfologi yang dialami oleh istilah sains untuk diupayakan, dan pengupayaan pemakaian istilah sains dalam teks sains dan kertas soalan sains.
Bab pertama disertasi ini menyatakan perkara-perkara yang asas dalam kajian ini, seperti latar belakang kajian, perkembangan peristilahan sains dalam bahasa Melayu, tujuan kajian, kepentingan kajian, dan definasi konsep, manakala bab kedua mengemukakan aspek teoretis kajian.
Bab ketiga, keempat, dan kelima memberikan tumpuan kepada aspek pengupayaan lapan ratus dua puluh lima istilah sains yang terpilih daripada Daftar Istilah Mabbim. Selain meneliti aspek keserasian konsep istilah sains bahasa Melayu berbanding dengan konsep istilah sains dalam bahasa sumber, aspek pengupayaan morfologi istilah pengimbuhan, penggandaaan, pemajmukan dan pinjaman set pengupayaan pemakaiannya dalam teks sains dan kertas soalan sains juga turut dikaji.
Item
Text
Seni persembahan Melayu : satu kajian terhadap organisasi keusahawanan seni
Abstrak
Kejayaan sesebuah organisasi keusahawanan seni bergantung kepada corak pengurusan pengusahanya, sokongan yang diterima daripada institusi kerajaan yang berkaitan dan penontonnya. Berasaskan kepada pernyataan tersebut, kajian kes ini melihat secara deskriptif kaedah pengurusan organisasi seni cottage (Kumpulan Sri Temenggung), semi professional (Kumpulan Pura Tanjung Sabtu Centre – PTSCC) dan professional (Kumpulan Penang Cultural Centre – PCC) yang mengkomersialkan produk seni persembahan. Aspek-aspek pengurusan yang dikaji adalah berlandaskan kepada konsep umum dalam pengurusan sesebuah organisasi keusahawanan iaitu pengurusan personal, pemasaran, operasi dan kewangan.
Objektif utama kajian ini ialah unutk mengkaji dan membandingkan kaedah pengurusan dalam tiga kategori organisasi seni persembahan dari sudut keusahawanan, peranan dan sokongan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan (KKKP) dalam seni persembahan dan kehendak penonton masa kini.
Item
Text
Isu-isu semasa dalam karya naratif A. Samad Ismail
Abstrak
Kajian ini menumpukan penelitian terhadap isu-isu semasa yang dapat ditemui dalam karya-karya cerpen dan novel yang dihasilkan oleh A. Samad Ismail. Sehubungan itu, penelitian ini juga akan membicarakan masyarakat dan individu-individu yang terdapat dalam sesebuah masyarakat yang digambarkan oleh pengarang dalam karya-karyanya itu.
Untuk meneliti isu-isu semasa dan hubungannya dengan masyarakat serta individu-individu tertentu, maka kajian ini akan menggunakan pendekatan sosiologi.
Dalam hal ini peneliti akan membincangkan latar belakang A. Samad Ismail iaitu melihat latar belakang pendidikan, pekerjaan dan minatnya terhadap karya satera kerana dengan pemahaman terhadap latar belakang pengarang akan dapat memahami lebih mendalam hubungan karya dengan pengkarya dan masyarakat dalam lingkungan pengarang.
Kajian ini akan diikuti dengan perbincangan terhadap isu-isu semasa yang dikemukakan oleh pengarang dalam karya-karyanya itu. Beberapa isu-isu yang agak dominan dikemukakan untuk melihat bahawa isu-isu tersebut merupakan isu yang serius dalam masyarakat pada sesuatu tahap atau zaman.
Item
Text
Pemikiran Kaum Muda di dalam novel-novel Melayu sebelum perang dunia kedua
Abstrak
Kajian ini merupakan satu kajian terhadap perkembangan pemikiran Kaum Muda yang terdapat di dalam novel-novel Melayu sebelum Perang Dunia Kedua. Kaum Muda dilihat sebagai satu ideologi yang berurutan dari hubungan ideologi yang diasaskan oleh gerakan islah Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid di Mesir. Idelologi itu berangkaian dalam tulis Syed Syeikh al-hadi, menghasilkan Hikayat Faridah Hanom dan kemudiannya menjadi ideologi ikutan masyarakat penulis di dalam perkembangan sastera Melayu sebelum perang secara meluas.
Item
Text
Kajian intonasi fonetik eksperimental : realisasi makna emosi filem Sembilu 1 dan 2
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai intonasi bahasa Melayu yang melibatkan pergerakan nada, durasi dan makna emosi. Data korpus kajian ini diambil daripada filem Melayu Sembilu 1 dan 2. Keseluruhan analisis dalam tesis ini menggunakan Model Intonasi Pindaan (MIP) yang mengambil kira teori autosegmental dan metodologi fonetik eksperimental IPO yang dipelopori di Belanda. Model ini bolehlah dikatakan model kembalikan kepada model Mozziconacci, S (1998). Kajian yang berbentuk eksperimental ini dibantu dengan program komputer Praat dan responden penutur bahasa Melayu. Terdapat 3 tujuan, iaitu mendeskripsikan ungkapan dan durasi yang menandai makna emosi, kontur intonasi untuk mengenal pasti jenis ayat dan hubungan intonasi dengan realisasi makna emosi. Empat jenis ayat dianalisis dalam kajian ini, iaitu ayat deklaratif, imperatif, tanya Q dan Qwh. Tiga jenis ujian persepsi dilakukan terhadap 120 data ujaran tuturan watak utama lelaki dan wanita.
Item
Text
Tari Melayu Malaysia : satu kajian berdasarkan Festival Tari Kebangsaan
Abstrak
Tesis ini membincangkan tarian Melayu di Malaysia dengan memberi fokus kepada bagaimana kedudukan fungsi tari Melayu dalam konteks masyarakat negara Malaysia yang berbilang kaum. Kajian ini menggunakan pendekatan analisis kritikal dengan penulisan deskriptif. Prinsip asas sumber data ialah merujuk kepada Festival Tari Kebangsaan (FTK) daripada tahun 1992 hingga 1999. Data FTK tahun 2000 dan tahun 2001 turut dikaji sebagai tambahan.
Di samping itu, kajian ini membicarakan perkembangan tarian Melayu pada peringkat kebangsaaan melalui tahap-tahap pertandingan peringkat negeri diseluruh Malaysia. Kajian juga meninjau peranan masyarakat, serta para pendukung, penyelenggaraan, karyawan seni, penari dan koreografer. Perkembangan sebelum dan hingga diadakan FTK, dibuat mengikut format akademik, dan pertumbuhan tarian Melayu itu ditanggapi sebagai fenomena kebudayaan, kerana perancangan seni persembahan tarian pada peringkat kebangsaan menyaksikannya sebagai program polariti sosial yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Perlancongan Malaysia.
Item
Text
Kesantunan orang melayu dalam majlis pertunangan
Abstrak
Tesis ini mengandungi lapan buah bab yang bermula dengan Bab Pendahuluan. Bab 2 pula membincangkan nilai kesantunan orang Melayu dalam konteks sosiobudaya masyarakatnya. Seterusnya Bab 3 membincangkan kerangka tesis yang dimulai dengan konsep kesantunan, berkaitan konsep mula dalam membina kesantunan, tujuh model kesantunan orang Melayu yang diasaskan daripada input dan kepercayaan Islam. Bab ini juga menyentuh tentang pembinaan strategi kesantunan orang Melayu.
Bab 4 menekankan struktur majlis pertunangan yang dianalisis menerusi struktur makro dan struktur mikro. Struktur makro digunakan untuk melihat perlakuan bukan bahasa yang santun sejak rombongan lelaki sehingga rombongan lelaki pulang. Struktur mikro pula melihat aspek pengurusan rundingan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa majlis pertunangan yang di kaji adalah berstruktur. Struktur makro mempunyai 7 atur cara. Manakala struktur mikro pula mempunyai 3 peringkat iaitu awal, pertengahan dan akhir. Dapatkan menunjukkan bahawa struktur pertunangan penting dalam melancarkan perjalanan majlis yang tertib.
Item
Text
Pemikiran Shahnon Ahmad dan Naguib Mahfouz dalam novel-novel terpilih : satu perbandingan
Abstrak
Kajian ini merupakan satu perbandingan antara novel-novel Melayu terpilih yang dihasilkan oleh seorang pengarang Malaysia dengan novel-novel yang dihasilkan oleh seorang pengarang yang telah menerima pengiktirafan antarabangsa.
Keseluruhan kajian ini bersandar pada andaian pengkaji bahawa masanya sudah tiba bagi kita meninjau dan menentukan kedudukan novel-novel Melayu di persada antarabangsa. Pengkaji berpendapat bahawa tempoh masa lebih tujuh dekat sejak permulaan tradisi penulisan novel tidak mengizinkan kita untuk memencilkan diri daripada analisis perbandingan kritikal hasilan novel kita di peringkat antarabangsa dengan alasan kita masih merupakan pemain baru dalam bidang ini.
Bagi mencapai objekif itu, pengkaji telah mengenal pasti seorang pengarang tempatan dan novel-novel terpilih beliau yang mewakili novel-novel Melayu di negara ini. Hasil karya ini seterusnya dibandingkan dengan hasilan seorang penerima Anugerah Novel untuk Kesusasteraan (1988). Pengarang tempatan yang dipilih ialah Sasterawan Negara Shahnon Ahmad manakala tokoh antarabangsa yang dipilih ialah Naquib Mahfouz, seorang novelis dari Mesir. Aspek-aspek yang ditinjau dan dibandingkan ialah pemikiran kedua-dua orang pengarang dalam soal golongan tertindas, konflik diri, maruah diri dan pegangan agama.
Item
Text
Genre drama dalam teks sastera : kajian kandungan nilai
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk menentukan kandungan nilai yang terdapat dalam teks drama Komponen Kesusasteraan Melayu yang digunakan oleh pelajar sekolah menengah di Malaysia. Penegasan terhadap nilai sebagai unsur yang penting dalam mencapai hasrat dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dinyatakan dengan jelas dalam kurikulum. Sejumlah 15 buah teks drama dari Tingkat 1 hingga Tingkat 5 telah dikaji. Kajian yang berbentuk deskriptif ini menggunakan kaedah analisis kandungan bagi tujuan pengumpulan data. Berdasarkan kajian yanag telah dijalankan, nilai-nilai yang dikenal pasti dalam teks drama dikelompokkan kepada lima jenis yang utama, iaitu 1) nilai keagamaan, 2) nilai peribadi, 3) nilai kekeluargaan, 4) nilai kemasyarakatan, dan 5) nilai kewarganeragaan.
Item
Text
Indeks kognitif : analisis Bahasa Melayu dan Bahasa Orang Asli
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai indeks kognitif bahasa Melayu (BM) dan bahasa Orang Asli (BOA) yang melibatkan makna kamus, iaitu makna kognitif. Data korpus kajian ini terdiri daripada 100 senarai kata bahasa Semai yang lazim digunakan dalam masyarakat Orang Asli Suku kaum Semai dari kumpulan Semai dengan mengambil kira senarai kata Morrish Swadesh. Keseluruhan analysis dalam tesis ini menggunakan Model Semiotik Paling Luas (MSPL). Terdapat empat tujuan, iaitu menganalisis lambing kata nama (KN) dalam BM dan BOA sebagai salah satu jenis tanda, menunjukkan indeks kognitif lambang KN konkrit, abstrak dan ghaib BM dan BOA, menganalisis perbandingan dengan berdasarkan kategori dan jenis KN dan menguji model yang dibina, iaitu MSPL.
Item
Text
Arkeologi dan seni : kajian tembikar kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga Abad 16-19 masihi
Abstrak
Tesis ini cuba memfokuskan kepada peninggalan warisan Kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga yang terdapat di Kota Sayong Pinag, Kota Panchor, Kota Johor Lama dana Fort Canning Hill melalui pendekatan arkeologi dan sejarah seni. Data yang diperolehi daripada penyelidikan arkeologi iaitu artifak tembikar akan dijadikan data utama kajian ini. Tujuannya adalah untuk melihat sejak bilakah wujudnya kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga sama ada bermula dari abad ke 16 atau lebih awal dari itu yang berperanan sebagai sebuah pusat penempatan, pemerintahan dan perdagangan serta hubungannya antara satu penempatan dengan penempatan yang lain. Kajian ini akan menggabungkan beberapa kaedah dalam merealisasikan matlamat dan objektif kajian. Antaranya ialah melakukan kerja-kerja suvei dan galicari arkeologi serta menganalisis tembikar secara kuantitatif dan kualitatif. Kajian ini juga telah menjadi perintis kepada satu kaedah analisis secara kuantitatif dengan menggunakan perisian SPSSX 11 iaitu menganalisis tembikar secara statistik di negara ini. Melalui kajian statistik tersebut , hasilnya lebih tepat, jitu dan pantas berbanding dengan menganalisis tembikar secara kuantitatif dengan menggunakan kaedah yang lama iaitu secara manual.
Item
Text
Novel-novel berunsur Islam : satu analisis berdasarkan teori takmilah
Abstrak
Kajian ini meneliti tentang konsep-konsep Islam iaitu akidah , ibadah, khalifah, dakwah dan jihad dalam novel-novel berunsur Islam. Penelitian ini berasaskan kepada sejauh mana pengarang-pengarang mengemukakan konsep-konsep Islam tersebut dalam karya mereka. Pada masa yang sama , kajian ini melihat kesejajaran pandangan tokoh-tokoh agama dan sarjana sastera sama ada peringkat dunia yang dipelopori oleh al-Ghazali (r.h), Sayyid Qutb (r.h) dan al-Furqan (r.h) atau peringkat tempatan yang diterajui oleh Ismail Hamid, Ismail Ibrahim, Muhammad Bukhari Lubis, Mohd Kamal Hassan, Muhammad ‘Uthman el-Muhammady, Shafie Abu Bakar dan Shahnon Ahmad terhadap pemahaman ‘’sastera Islam’’. Rata-rata tokoh ini menjadikan tauhid sebagai ukuran penilaian terhadap tahap keberkesanan konsep (al-Khayr), kebenaran (al-Haqq) dan keindahan (al-Jamal) yang terdapat dalam karya-karya berunsur Islam. Berdasarkan pemilihan teks iaitu novel-novel yang memenangi sama ada ‘’peraduan’’, ‘’anugerah’’, atau ‘’hadiah’’ yang berunsur Islam, maka gagasan Teori Takmilah yang dicetuskan oleh Shafie Abu Bakar dijadikan analisis kajian.
Item
Text
The McDonaldization of language-in-education policy of Malaysia : a case of English for the teaching of mathematics and science or (ETeMS)
Abstrak
Kajian ini berhubungkait dengan polisi bahasa-dalam-pendidikan yang baru diperkenalkan di Malaysia atau Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Objektif kajian ini adalah untuk menilai keberkesanan PPSMI melalui perspektif guru. Antara dua persoalan kajian ialah : Pertama, apakah persepsi para guru Matematik yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran? Kedua, apakah persepsi guru terhadap perkembangan kecekapan Bahasa Inggeris dan penguasaan kemahiran Matematik pelajar? Lantaran itu, pendekatan kualitatif digunakan untuk menjawab kedua-dua persoalan kajian ini. Untuk tujuan pengutipan data, soal selidik diedarkan kepada tiga puluh tiga (33) orang guru Matematik di lapan (8) buah sekolah di Kuala Lumpur yang mengajar dalam Bahasa Inggeris.
Item
Text
Diangdangan Brunei : Tuan pemagat ular membaung, suatu suntingan teks
Abstrak
Diangdangan Tuan Pemangat Ular Membaung (TPUM) adalah salah satu daripada beberapa diangdangan yang terdapat dalam tradisi lisan dan merupakan sebahagian daripada sastera rakyat (folklore) Bunei. Diangdang seperti juga yang lipurlara dalam masyarakat Melayu dan cerita kaba di Minangkabau yang tergolong ke dalam bentuk prosa berirama atau prosa lirik. Tergolongan TPUM ke dalam bentuk-bentuk itu kerana ia memiliki sifat-sifat puisi dan prosa yang disampaikan secara formalaik seperti perulangan yang stereotaip. Sebagai puisi, ia mengeksploitasi unsur bunyi sehingga menimbulkan irama. Pengeksploitasian unsur bunyi itu menyebabkan keseluruhan teksnya mengandung unsur ritma dan melodi. Sebagai prosa ia mengeksploitasi cerita. Ceritanya terbina dari serangkai peristiwa (plot) bercorak romantik yang tersusun mengikut babak atau episod. Melalui plot dan babak-babak penceritaan inilah menyerlahkan perihal dan tema TPUM iaitu tentang ‘keabsahan raja’ atau ‘kedaulatan raja’. Bentuk unsur dan tema tersebut disampaikan oleh pendiangdangan dalam satu persembahan atau pementasan dengan gaya yang unik lagi tersendiri.
Item
Text
Ritual padi dan identiti : kajian kes komuniti Kadazan dataran Penampang, Sabah
Abstrak
Ritual secara umumnya adalah perlakuan dalam agama atau upacara amal. Namun perlakuan-perlakuan baru yang dilakukan secara berulang tanpa melibatkan keagamaan juga dapat dianggap sebagai ritual. Ritual baik yang dilakukan secara tradisi atau baru merupakan hak komunal dan bersifat awam serta mengandungi elemen-elemen persembahan yang merupakan entiti kepada kebudayaan. Oleh itu, ia sebagai alat perantaraan dan penyeragaman nilai-nilai yang menjadi lambang identiti kepada masyarakat atau etnik. Identiti entnik merupakan jalinan konsep dan sifat-sifat perilaku yang berbeza-beza atara datu entik dengan etnik yang lain yang berpusatkan kepada perkongsian bersama terhadap warisan nenek moyang. Justeru perlakuan ritual sejak zaman nenek moyang boleh diinterprestasikan sebagai sebuah drama sosial yang meliputi kehidupan seharian yang diwarisi di dalam sesebuah komuniti.
Item
Text
Peranan bahasa dalam membudayakan ilmu sains dan teknologi demi pembangunan sebuah negara bangsa : model Jepun dan penerapan ke atas negara bangsa Malaysia
Abstrak
Banyak negara ini mengetahui kejayaan negara Jepun dan meniru kehebatannya dalam sektor perekonomian dan perindustrian pembuatan. Kejayaan dan kehebatan yang diperolehi itu tidak melunturkan tradisi budaya dan bahasanya malahan menjadi asas penting bagi kejayaan tersebut.
Kajian ini bertujuan untuk menyelidik dan menganalisis peranan bahan Jepun dalam membantu pembentukan asas kejayaan tersebut. Kita juga ingin melihat sama ada model kejayaan bahasa Jepun itu boleh diterapkan melalui bahasa Melayu. Secara keseluruhannya kajian ini meliputi 7 bab.
View all 155 items
Collection Tree
Abstrak Tesis Doktor Falsafah Akademi Pengajian Melayu