Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (285 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Latihan ilmiah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Sosio budaya Melayu
Perkahwinan masyarakat Melayu bandar masa kini
Abstrak
Perkahwinan merupakan salah satu perkara menjadi tuntutan agama Islam. Kemeriahan dan kelancaran dalam majlis perkahwinan merupakan yang menjadi impian bagi setiap bakal pengantin dan keluarganya. Bagi memastikan Kelancaran majlis, persediaan persiapan kelengkapan majlis perlu dilakukan dengan lancar. Kajian ini melibatkan bidang sosio-budaya bagi masyarakat Melayu bandar kelas menengah. Penulisan kajian ini untuk mengupas persediaan yang perlu dilakukan oleh masyarakat bandar dalam mengadakan majlis perkahwinan dan sambutan majlis terutama dari pelaksanaan istiadat perkahwinan Melayu pada masa kini. Kaedah kajian yang digunakan adalah melibatkan kaedah pemerhatian dan temu bual terhadap responden yang mengadakan majlis perkahwinan di bandar. Upacara perkahwinan sepatutnya didahului dengan ikatan perpaduan kekeluargaan yang kukuh, kini mula terhakis. Masyarakat bandar kini banyak terdedah kepada proses pembandaran yang sedang rancak dilakukan oleh negara.
Text
Sosio budaya Melayu
Fenomena ajaran sesat dalam masyarakat Melayu : Kajian kes di Negeri Perlis
Abstrak
Penyelidikan pada kali ini adalah berkisar tentang fenomena ajaran sesat di Perlis. Penyelidikan ini memfokuskan intipati ajaran Pertubuhan Perpaduan Kebajikan Islam Malaysia (PEKIMA) dan ajaran Rufaqa’. Dalam kajian ini juga turut menjelaskan hakikat Islam dalam masyarakat Melayu khususnya di negeri Perlis melalui pendekatan ahli sunnah. Penyelidikan ini juga menjelaskan fenomena sebenar yang melanda masyarakat Melayu pada masa kini dengan membawa pendekatan semasa yang selari dengan syariat Islam.
Oleh itu, dengan adanya penyelidikan seperti ini, bukan sahaja mampu memberi pendedahan berterusan kepada anggota masyarakat malah, membantu untuk memurnikan lagi penyelidikan-penyelidikan yang dilakukan oleh pengkaji lalu. Generasi masa kini juga mampu mengetahui dan menilai bentuk-bentuk ajaran sama ada yang bertepatan dengan syariat Islam ataupun sebaliknya.
Text
sastera Melayu
Teori Rasa-fenomenologi penerapan terhadap novel The Missing Piece (Bahagian satu)
Abstrak
Kajian ini meneliti kepada sebuah novel The Missing Piece (Bahagian satu) iaitu hasil kepengarangan kreatif Fatimah Busu dalam analisis terhadap Teori Rasa-fenomenologi. Pengkaji menggunakan model kajian sarjana tempatan yang dibawa oleh Sohaimi Abdul Aziz dalam menganalisis novel ini. Teori Rasa-fenomenologi
Ini telah memperkenalkan pelbagai sudut rasa untuk memberi kesan kepada pembaca. Terdapat tujuh rasa perasaan yang dibawa oleh modul Sohaimi Abdul Aziz iaitu rasa wira,dahsyat,berang, benci, duka,kagum, dan berahi. Kelima-lima rasa ini telah diadun oleh pengarang bagi menghidupkan jalan penceritaan novel tersebut agar lebih menarik. Teknik dan hubungan pengarang dengan dunia yang nyata ini secara tidak langsung menjadikan perjalanan penceritaan novel tersebut dapat menyentuh perasaan pembaca. Ini membuktikan teori kajian ini secara tidak langsung menjadi satu karya lebih kreatif dan imaginatif.
Text
Sosio budaya Melayu
Penanaman padi di Chepir, sik, Kedah : Kajian etnolinguistik
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk melihat bahasa dan budaya dalam masyarakat. Budaya masyarakat memberikan gambaran latar belakang kehidupan sebenar. Kajian ini merupakan kajian bidang etnolinguistik yang dibuat berdasarkan kaedah kajian lapangan di kawasan Chepir, Sik, Kedah Darul Aman. Data kajian ini diperolehi daripada lima orang informan yang berpengalaman dalam bidang pertanian padi di kawasan kajian . Pengalaman informan bukan sahaja sebagai pemerhati, malah sebagai individu yang bertanggungjawab dalam menjalankan dan meneruskan legasi pertanian yang diwarisi nenek moyang. Pertanian padi sawah di kawasan kajian dijalankan secara tradisional oleh informan sebelum kemasukan jentera moden. Kini masyarakat petani masih berada dalam transisi kerana keadaan struktur tanah yang belum sesuai untuk dijalankan kerja pertanian secara moden. Berdasarkan data yang diperolehi, pengkaji telah membuat rumusan bahawa masyarakat dapat dinilai berdasarkan bahasa dan budaya. Bahasa dan budaya menggambarkan kehidupan masyarakat dan pandangan dunia di sekeliling mereka.
Text
Malay literature -- History and criticism
Nilai intelektualisme dan komersialime dalam penerbitan Indie,
sastera dan picisan
Abstrak
Kajian menumpukan analisis dari penerbitan indie, sastera dan picisan dengan melihat nilai intelektualisme dan komersialisme dalam pendekatan Generik. Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti penubuhan penerbitan sastera, indie dan picisan, mengenal pasti serta menganalisis aspek intelektual dan komersial dalam novel yang dipilih. Analisis berdasarkan novel berjudul 7 Hari Mencintaiku karya Siti Rosmizah, Babi Bercinta Di Balik Api karya Azuwar Kamaruzaman dan Nadhirah karya Sharif Putera. Pendekatan Generik digunakan dengan memfokuskan kepada nilai komersialisme dan intelektualisme bagi melihat sejauh mana sesebuah karya dari penerbitan yang berbeza mengaplikasikan nilai tersebut. Fokus kajian adalah menganalisis data yang bersesuaian dengan nilai komersialisme dan intelektualisme. Hasil kajian mendapati bahawa ketiga-tiga buah novel dari penerbitan yang berbeza ini mengaplikasikan nilai tersebut dalam karya. Setiap novel mempunyai nilai komersial dan intelektual yang tersendiri dan mampu membawa kebaikan kepada pembaca. Kajian juga mendapati bahawa nilai komersial yang di aplikasikan oleh syarikat penerbitan adalah berbeza dan bergantung kepada strategi pemasaran sesebuah syarikat.
Text
Kesenian Melayu
Sejarah perkembangan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dari Akademi ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT)
Abstrak
Kajian ini tertumpu kepada sejarah perkembangan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang dahulunya dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Ia merupakan satu-satunya institusi yang fokus kepada bidang seni dan budaya semata-mata. Penulis akan memaparkan kronologi peristiwa yang dilalui sebalik penubuhan institusi tersebut. Tujuannya adalah mendedahkan kepada masyarakat, akibat kurangnya maklumat berkenaan aspek tersebut.
Penulis juga akan menunjukkan peranan yang dimainkan Aswara sebelum dan selepas dinaiktarafkan menjadi Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Aswara ditadbir sepenuhnya oleh Kementerian Perpaduan Kebudayaan dan Kesenian Warisan (KPKKW). Inilah yang sering menjadi tanda tanya masyarakat. Pada kebiasaannya, sesebuah institusi yang berkaitan dengan bidang pendidikan akan dinaungi oleh kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Penulis akan menghuraikan konflik yang dihadapi oleh Aswara dalam meneruskan peranannya.
Di sebalik konflik yang dihadapi ini, Aswara terus giat berkembang. Ini dapat dibuktikan melalui pencapaian demi pencapaian yang diraihnya. Pencapaian yang diraihnya bukan sahaja di peringkat dalam negara, malahan turut melintasi sempadan antarabangsa. Keadaan ini amat membanggakan negara. Selain itu, tindakan Aswara yang mengetengahkan nilai seni budaya tradisional pelbagai kaum dalam pembelajaran dan pengajarannya merupakan tindakan yang wajar dipuji. Ini kerana, budaya warisan tradisional ini mempunyai nilai seni yang tinggi.
Pendekatan yang diambil oleh Aswara dalam pengajarannya juga berbeza dengan kebanyakan IPT lain. Ini kerana Aswara lebih menekankan kepada aspek praktikal berbanding teori. Tujuannya ialah memberikan situasi sebenar kepada para pelajarnya dengan alam pekerjaan. Keadaan ini akan melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dan berketerampilan. Pelbagai usaha telah diambil untuk memantapkan lagi pelaksanaan Aswara dalam memartabatkan bidang seni dan warisan ini. Usaha yang paling ketara ialah melalui Pelan Strategik Aswara 2008-2016 yang dilihat sebagai perancangan yang paling sistematik dalam merangka perkembangan Aswara.
Diharapkan kajian ini berupaya membantu memberikan maklumat kepada masyarakat umum berkaitan Aswara yang memainkan peranan penting dalam memartabatkan seni budaya warisan. Banyak manfaat di sebalik penubuhan Aswara ini. Oleh yang demikian, penubuhannya adalah wajar dan bersesuaian dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK).
Text
Sosio budaya Melayu
Tekanan yang dialami oleh para ibu tunggal dalam kalangan masyarakat India dan Melayu : kajian kes di Sungai Siput (U), Perak
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti perbezaan dan persamaan tekanan yang dialami oleh para ibu tunggal dalam kalangan kedua-dua masyarakat Melayu dan juga India di kawasan kajian sungai Siput (U). Seramai 3 orang ibu tunggal daripada kaum India dan 3 orang ibu tunggal daripada kaum Melayu dipilih untuk ditemuramah dan hasil temubual berkenaan dijadikan sebagai kes kajian. Selain itu sebanyak 50 helaian borang soal selidik telah diedar di kawasan kajian sebagai instrumen kajian sampingan. Keputusan kajian diperoleh setelah data yang dikumpul di analisis dengan menggunakan Kolerasi Pearson dan Ujian-t. Hasil kajian menunjukkan terdapat beberapa persamaan dan perbezaan tekanan yang dialami oleh para ibu tunggal dalam kalangan masyarakat Melayu dan India. Perbezaan hanya wujud disebabkan cara dan pegangan hidup yang berbeza dan secara keseluruhannya didapati bahawa semua ibu tunggal di negara kita tidak mengira kaum menghadapi tekanan dalam menempuhi kehidupan.
Text
Sosio budaya Melayu
Naratif ogonshoto : Satu analisis diksi dan gaya bahasa
Abstrak
Naratif ogonshoto: Satu analisis diksi dan gaya bahasa adalah satu kajian dalam bidang stilistik yang akan melihat kemampuan bahasa berfungsi sebagai satu alat pertukangan yang dapat menghasilkan sebuah karya yang tinggi nilai estetiknya. Fokus kajian ini akan berpusat pada penggunaan serta pengekpoitasian bahasa dalam karya kreatif. Kajian ini akan dibahagikan kepada lima bahagian utama yang akan menghuraikan kajian-kajian yang pernah dilakukan di dalam bidang stilistik, dan juga analisis yang akan dijalankan terhadap korpus pilihan.
Tujuan kajian, bidang kajian, bahan kajian dan kaedah kajian yang digunakan dalam menganalisis korpus pilihan akan diterangkan terlebih dahulu di dalam Bab 1. Bab ini juga akan membicarakan latar belakang pengarang dan juga latar belakang teks. Selain itu, konsep stilistik serta sejarah perkembangannya juga akan dibicarakan.
Bab 2. Pula akan membicarakan tentang gaya bahasa dalam ilmu stilistik . Tumpuan bab ini akan dijuruskan pada aspek diksi atau pemilihan kata. Keberkesanan bahasa sebagai pengungkap makna dan perasaan penulis akan dilihat dari pelbagai sudut. Aspek pemilihan kata dan unsur-unsur pengulangan, pengguguran dan juga fungsi soalan retorik di dalam teks akan turut dibincangkan di dalam bab ini.
Bab 3. Dan Bab 4. Pula akan melihat analisis yang telah dibuat ke atas korpus kajian; bab ketiga akan melihat unsur-unsur kepuisian yang telah diterapkan kedalam gaya penulisan pengarang, manakala bahagian keempat pula akan merangkumi aspek pemilihan kata dan gaya bahasa penulis. Pembicaraan ke atas unsur-unsur kepuisian di dalam bab tiga akan berpusat kepada lima aspek, iaitu simili, metafora, personifikasi, hiperbola dan onomatopoeia. Di dalam bab empat pula analisis akan ditumpukan kepada aspek pemilihan kata, khususnya kata pinjaman dari bahasa asing, kata-kata daerah, dan kata-kata berunsur keagamaan, Selain itu penerapan unsur pengulangan, soalan retorik, serta pengguguran imbuhan di dalam teks kajian juga akan dibincangkan di dalam bab ini.
Bab 5 pula akan merumuskan keseluruhan kajian. Bab ini akan membuat kesimpulan berdasarkan dapatan-dapatan daripada analisis yang dilakukan terhadap teks kajian. Kepentingan dan keberkesanan gaya bahasa, khususnya aspek pemilihan kata, akan dibicarakan dan disimpulkan.
Text
Kesenian Melayu
Proses pembuatan ukiran kayu tebuk tembus di Pusat Inkubator Kraf Temerloh, Pahang
Abstrak
Ukiran kayu merupakan seni pertukangan tangan yang menjadi tradisi turun temurun sejak dahulu lagi dan menjadi kebanggaan orang Melayu kerana keunikannya yang tersendiri. Seni yang tergolong dalam seni rupa ini memerlukan kemahiran kemahiran yang tinggi bermula dari proses pemilihan kayu, pemilihan motif sehingga lah terhasilnya sesuatu produk dengan mengambil berat tentang falsafah dan pemikiran orang Melayu. Namun begitu, teknik penghasilan yang betul mampu mempengaruhi kualiti atau mutu sesebuah karya. Terdapat pelbagai teknik bagi menghasilkan sesebuah karya antaranya ialah teknik ukiran kayu tebuk tembus. Teknik yang baik akan mempengaruhi hasil karya yang dilakukan. Oleh yang demikian, penelitian yang tinggi perlu diberikan sepanjang proses penghasilan produk dijalankan. Kajian ini diharap dapat membantu dalam menjawab kekeliruan mengenai ukiran kayu tembus serta dapat membantu dalam memartabatkan seni ukiran Melayu
Text
Etnografi kampung : Kajian di Kampung Beladin, Betong, Sarawak
Abstrak
Ini adalah kajian mengenai etnografi atau profil kampung yang dijalankan di Kampung Beladin, Betong, Sarawak. Setakat ini belum ada lagi kajian yang khusus mengenai etnografi Kampung Beladin, jadi dengan adanya peluang dan kesempatan yang diberikan maka pengkaji telah melakukan kajian ini. Diharapkan kajian ini dapat memberi manfaat kepada semua berkenaan.
Sarawak terkenal dengan kaumnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan kebudayaan. Setiap kaum tersebut mempunyai cara hidup dan budaya mereka yang tersendiri. Namun, terdapat juga perbezaan budaya dan cara hidup dalam satu kelompok atau kaum itu sendiri yang disebabkan oleh faktor pemisahan geografi. Misalnya, dalam masyarakat kajian ini. Walaupun secara umumnya masyarakat ini mempunyai persamaan dengan masyarakat melayu yang tinggal di kawasan lain tetapi masyarakat ini juga mempunyai perbezaan dari segi beberapa aspek dalam kehidupan mereka. Apa yang ingin pengkaji katakan, setiap tempat dan masyarakatnya mempunyai identiti dan budayanya yang tersendiri.
Oleh itu dalam kajian ini pengkaji sedaya upaya cuba untuk mengenengahkan aspek-aspek kehidupan masyarakat melayu Kampung Beladin untuk tatapan dan rujukan umum khususnya bagi mereka yang berminat untuk mengkaji kelompok masyarakat dan aspek kehidupan kelompok tersebut. Hasil daripada kajian yang telah dilakukan didapati, ada unsur-unsur keseragaman atau kesejagatan mahupun perbezaan antara penduduk melayu Kampung Beladin dengan penduduk melayu di kawasan-kawasan lain di negara kita dari segi beberapa aspek walaupun ia tidak menunjukkan perbezaan yang ketara.
Text
Bahasa Melayu
Keberkesanan permainan bahasa sebagai alat bantu mengajar dalam penguasaan kosa kata bahasa Melayu di Sekolah Rendah Yumin
Abstrak
Proses pengajaran dan pembelajaran seringkali dilihat sebagai satu proses yang berat dan membosankan. Hal ini diburukkan lagi dengan penggunaan bahasa Melayu semakin tidak dititikberatkan di Singapura. Ramai pelajar mempunyai persepsi bahawa Pengajaran bahasa Melayu tidak sepenting mata pelajaran yang lain. Justeru, guru bahasa Melayu memikul tugas penting untuk memastikan minat untuk mempelajari bahasa Melayu akan berterusan.
Oleh sebab minat untuk menggunakan dan mempelajari bahasa Melayu semakin meruncing di Singapura, guru perlu melakarkan pengajaran yang mampu menarik minat pelajar supaya pembelajaran bahasa Melayu mudah difahami dan dihayati serta tidak membosankan. Guru harus kreatif memikirkan pendekatan dan teknik yang sesuai untuk membantu pelajar menguasai kemahiran bahasa. Salah satu cara dapat membantu menimbulkan rangsangan serta keinginan pelajar mengetahui dengan lebih mendalam tentang sesuatu pengajaran adalah dengan menggunakan alat bantu mengajar.
Dalam kajian ini, pengkaji akan menganalisis keberkesanan permainan bahasa sebagai alat bantu mengajar dan penguasaan kosa kata bahasa Melayu. Selain itu, pengkaji juga ingin memastikan sama ada permainan bahasa berjaya atau tidak dapat menarik minat pelajar dalam pembelajaran bahasa Melayu.
Kajian ini akan dijalankan ke atas pelajar-pelajar darjah 4 di Sekolah Rendah Yumin yang terletak di bahagian timor Singapura. Seramai 33 orang pelajar yang terdiri daripada pelbagai tahap kemahiran telah dipilih sebagai subjek kajian ini.
Pengkaji telah membina alat rangsangan yang berupa permainan bahasa sebagai bantu mengajar untuk mengajar kosa kata serta melakar kertas ujian untuk menganalisis keberkesanan permainan bahasa dalam penguasaan kosa kata. Pengkaji juga menjalankan soal selidik berstruktur terhadap pelajar untuk mengesan sama ada permainan bahasa berjaya atau tidak menarik minat pelajar dalam mempelajari bahasa Melayu. Hasil dapatan kajian ini akan digunakan oleh pengkaji untuk menganalisis dan mengesan keberkesanan permainan bahasa dalam membantu pelajar menguasai kosa kata bahasa melayu.
Text
Bahasa Melayu
Strategi pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar lemah Tahun Rendah Atas di Singapura : Satu kajian kes
Abstrak
Kajian ini membincangkan strategi Pembelajaran (SP) bahasa yang digunakan khususnya dalam pembelajaran ‘peribahasa’ oleh pelajar-pelajar Melayu sebagai bahasa pertama di sebuah sekolah rendah di Singapura. Subjek kajian ini terdiri daripada 8 orang pelajar darjah lima yang terdiri daripada lima orang pelajar lelaki dan tiga pelajar perempuan. Tahap pencapaian BM mereka pula agak lemah. Kajian ini direka untuk mengenal pasti ciri-ciri SP yang digunakan oleh kumpulan sasaran tersebut berdasarkan pada teori O’Malley dan Chamot (1990). Dapatan kajian ini turut memperlihatkan SP yang paling dominan diterapkan dalam kalangan pelajar ini.
Pengkaji menggunakan korpus kajian untuk mengenal pasti persekitaran yang menyumbang kepada pembelajaran serta kaedah pengajaran guru yang turut memainkan peranan dalam prestasi murid-murid. Kajian ini juga merupakan satu kajian kes yang dijalankan melalui borang selidik terhadap lapan orang responden berkenaan SP bahasa yang digunakan dan borang selidik terhadap latar belakang keluarga mereka. Selain itu, temu bual yang dijalankan terhadap guru BM mereka terdapat hal - hal yang bersangkutan dengan pengajaran dan pembelajaran yang diterapkan oleh beliau bagi mengajar para pelajar ini.
Semua proses yang dilakukan ini menunjukkan bahawa pelajar boleh menguasai ciri-cir SP bagi membantu mempertingkatkan pembelajaran mereka atas bimbingan guru, persekitaran sekolah yang kondusif dan sokongan padu daripada ibu bapa dan ahli keluarga.
Text
Sosio budaya Melayu
Perusahaan tembikar di Sayong, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai perusahaan tembikar di Sayong, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Dalam kajian ini dinyatakan perusahaan tembikar secara umum di Malaysia, dengan fokus kepada perusahaan tembikar di Sayong. Maklumat berkenaan latar belakang pengusaha dan perusahaannya turut dimuatkan. Seterusnya dibincangkan perubahan dan perkembangan yang berlaku dalam perusahaan tembikar ini, dengan penekanan kepada aspek pembuatan, alat dan bahan, serta teknologi terkini yang digunakan. Akhir sekali dinyatakan sedikit sebanyak perancangan bagi memajukan lagi industri tersebut.
Text
Kesenian Melayu
Permainan wayang kulit di Kelantan : Satu warisan seni-budaya Melayu
Abstrak
Latihan ilmiah ini adalah berkaitan dengan permainan wayang kulit. Kajian dijalankan berdasarkan kaedah tertentu untuk mencapai objektif kajian yang ditetapkan. Kajian dimulakan dengan memberi pengenalan kepada wayang kulit secara umum di Malaysia dan di Kelantan. Meliputi asal-usul wayang kulit, peralatan yang terlibat dalam permainan wayang kulit, Tok dalang, dan sebagainya. Seterusnya melalui kajian ini juga penulis telah membuat analisis mengenai persepsi pandangan masyarakat Melayu Kelantan terhadap permainan wayang kulit. Kemudian, kajian lebih berfokus kepada kumpulan wayang kulit Nik Mat Suara Emas di Kelantan meliputi pelbagai aspek. Di akhir kajian pula penulis telah membincangkan mengenai permainan wayang kulit sebagai warisan seni-budaya Melayu.
Text
Sosio budaya Melayu
Adat istiadat perkahwinan dalam masyarakat Melayu : Satu kajian kes di Kampung Pulau Mansok, Jerantut, Pahang Darul Makmur
Abstrak
Masyarakat Melayu memang terikat dengan adat istiadat dan peraturan. Hal ini demikian masyarakat Melayu sentiasa meletakkan adat dan peraturan dalam setiap langkah laku mereka. Namun, pada masa kini, adat tersebut sudah tidak diikut lagi oleh masyarakat Melayu zaman sekarang. Hal ini demikian kerana perubahan keadaan dan zaman yang menyebabkan perkara tersebut berlaku.
Dalam perkahwinan masyarakat Melayu pada zaman dahulu, terdapat pelbagai jenis yang diamalkan, antaranya ialah adat merisik, adat meminang, adat bersanding, adat menepung tawar, adat mandi sampat, dan sebagainya. Adat-adat ini dilakukan mengikut peraturan yang telah ditetapkan dalam masyarakat dan setiap pasangan yang akan berkahwin perlu melakukan adat-adat tersebut. Jika tidak, masyarakat sekeliling akan membuat pelbagai spekulasi yang tidak enak untuk didengar.
Namun, pada zaman sekarang, terdapat sesetengah adat perkahwinan masyarakat Melayu pada zaman dahulu tidak lagi diamalkan oleh masyarakat Melayu pada zaman sekarang. Hal ini demikian kerana peredaran zaman dan perubahan keadaan dan situasi dalam masyarakat. Namun, keadaan ini terjadi mungkin juga kerana orang yang mengepalai sesuatu upacara tersebut telah meninggal dunia dan sekaligus sesetengah adat tersebut tidak lagi diamalkan oleh generasi seterusnya, dan ianya berlanjutan hinggalah ke hari ini.
Oleh itu, kajian ini dilakukan adalah bertujuan untuk mengenal pasti adat-adat yang masih lagi diamalkan oleh masyarakat Melayu di Kampung Pulau Mansok, Jerantut, Pahang Darul Makmur. Hal ini demikian kerana bagi melihat sejauh mana adat-adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu, masih lagi diamalkan oleh masyarakat Melayu di kampung tersebut. Hal ini bagi memastikan adat-adat perkahwinan masyarakat Melayu pada zaman dahulu tidak terus hilang ditelan arus zaman yang globalisasi ini.
Text
Fonologi bahasa Kerinchi : Satu kajian di Kampung Kerinchi
Abstrak
Kajian yang dilakukan ini adalah tentang bahasa Kerinchi. Kajian ini tertumpu kepada aspek fonologi bahasa Kerinchi. Secara amnya, fonologi merupakan bidang yang mengkaji bunyi-bunyi bahasa. Dalam kajian ini, sistem vokal dan konsonan yang terdapat dalam bahasa Kerinchi turut dilihat. Penjenisan setiap vokal juga dilihat sama ada vokal-vokal tersebut terdiri daripada vokal hadapan, vokal tengah atau vokal belakang. Hal yang sama turut dilihat bagi bunyi-bunyi konsonan bahasa Kerinchi, iaitu sama ada terdapatnya bunyi plosif, afrikat, palatal, nasal dan lain-lain. Disamping itu, tinjauan juga dibuat berdasarkan kepada penyebaran vokal dan konsonan yang terdapat dalam bahasa tersebut, sama ada boleh hadir di awal kata, tengah kata, dan akhir kata. Kajian ini turut menyentuh tentang bunyi-bunyi diftong yang terdapat dalam bahasa Kerinchi. Selain itu, kajian ini turut membincangkan tentang rangkap fonem yang terbahagi kepada rangkap vokal dan rangkap konsonan. Seterusnya, kajian turut melihat proses perubahan fonologi bahasa Kerinchi. Proses perubahan yang diteliti adalah seperti kesejajaran fonem, penggantian, pendiftongan, penasalan dan sebagainya.
Text
Bahasa Melayu
Peralihan bahasa Melayu dalam domain agama : Satu kajian kes di Singapura
Abstrak
Dasar pendidikan pemerintah Singapura walaupun berorientasikan kepada pragmatik ekonomi, masih lagi menitikberatkan pendidikan bahasa ibunda (Bahasa Melayu). Dalam hal ini, bahasa ibunda dilihat sebagai penimbal budaya yang mampu menjadi benteng bagi rakyat Singapura supaya kekal dengan identiti Timur mereka. Dasar begini telah dilakar pemerintah dengan adanya dasar-dasar yang mementingkan pendidikan bahasa ibunda. Kini pelajaran bahasa ibunda tersedia di dalam kurikulum pendidikan setiap anak Singapura.
Walau bagaimanapun, pelajaran bahasa ibunda sekadar di dalam bilik darjah hanya mengotakkan penggunaan bahasa Melayu di dalam bilik darjah. Berbeza dengan negara-negara jiran Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, penggunaan bahasa Melayu di Singapura hanya digunakan dalam ruangan yang agak terhad. Khususnya di Singapura, ruang penggunaan bahasa Melayu hanya dapat diwakili dengan domain-domain yang tertentu sahaja. Domain-domain tersebut ialah sekolah (kelas bahasa Melayu), rumah,media vernakular dan keagamaan. Dewasa ini, bahasa Inggeris menjadi bahasa perhubungan utama di Singapura dan bahasa ibunda (bahasa Melayu) menjadi bahasa sekunder. Seperti yang dikatakan di atas, nilai pulangan ekonomi penggunaan bahasa Inggeris telah menurunkan tahap penggunaan bahasa Melayu. Hal ini telah melihatkan gejala penyisihan bahasa, berlakunya peralihan daripada bahasa etnik yang kurang berprestij kepada bahasa yang lebih berprestij, memberikan lebih pulangan, praktikal dan berguna.
Kajian peralihan bahasa yang dilakukan penyelidik akan melihat kepada gejala berlakunya peralihan bahasa daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Terdapat beberapa kajian tentang peralihan bahasa yang dilakukan oleh para sarjana di rantau ini namun bukan semuanya berkisar kepada bahasa Melayu. Antaranya ialah kajian-kajian gejala peralihan bahasa yang dijalankan ialah oleh khemlani-David(1996), Ramachandaran (2000), Lokasudari (2006), Kumari(2007) dan Thomas(2007). Kajian oleh khemlani-David(1996) mengenai peralihan dan pengekalan bahasa telah menunjukkan adanya peralihan dan pengurangan domain bahasa di kalangan masyarakat Sindhi di Malaysia. Gejala-gejala peralihan bahasa yang dikaji oleh para sarjana seperti Ramachandaran, Lokasundari menjurus kepada gejala peralihan bahasa di kalangan etnik-etnik minoriti India di Malaysia seperti golongan Iyer dan Malayalee. Namun terdapat sebuah kajian yang dilakukan oleh Nor Hisham Osman (1999) terdapat komuniti Rajang-Tanjong. Kajian beliau melihat kepada pemeliharaan dan penyisihan bahasa di kalangan masyarakat pribumi Sarawak di Borneo.
Bagi gejala-gejala peralihan bahasa di Singapura pula tidak banyak kajian yang dilakukan. Di antara kajian-kajian ini ialah yang dilakukan oleh Sobrielo (1985) yang mengkaji tentang peralihan dan pengekalan bahasa di kalangan masyarakat India keturunan Tamil. Selain itu, terdapat kajian yang dilakukan oleh Rohini(1996) ke atas masyarakat Sinhalese Singapura. Kajian khusus ke atas penggunaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat Melayu di Singapura telah dilakukan oleh Roksana Bibi Abdullah. Pada 2002, beliau telah menghasilkan makalah tentang pengekalan dan peralihan bahasa di kalangan masyarakat Bewean Singapura. Beliau juga telah menghasilkan tesis kedoktoran pada 2002 yang membicarakan tentang pemilihan dan penggunaan bahasa di kalangan orang Melayu Singapura.
Gejala peralihan bahasa yang dikaji ini pula akan ditumpukan khusus kepada domain keagamaan. Domain keagamaan dipilih kerana dalam kajian-kajian peralihan bahasa sebelum ini, walaupun domain keagamaan telah diambil kira tetapi analisis mengenai penggunaan, kekerapan dan peralihannya belum lagi dikaji secara tuntas. Ini ditambah lagi dengan perkembangan semasa dalam pendidikan agama Islam di Singapura. Dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memperkenalkan program aLIVE di dalam bahasa Inggeris, dirasakan adanya peralihan bahasa yang penting dan akan memberi impak terhadap pola penggunaan bahasa Melayu di Singapura. Bahasa Melayu dan agama Islam telah menjalin hubungan yang amat intim sejak awal abad ke-14 lagi. Perbendaharaan kata, istilah dan nilai yang terpancar di dalam agama Islam, telahpun menjadi sebahagian identiti bahasa Melayu. Apabila tersebarnya agama Islam, segala ilmu yang mampu diutarakan di dalam bahasa Melayu telah menjadi realiti kerana pada awalnya bahasa Melayu hanya dapat menggarap keilmuan yang tidak akan membina satu tamadun yang agung. Dengan adanya Islam di tanah Melayu, bahasa Melayu telah melonjak menggarap kata, istilah dan juga nilai yang maju, moden dan saintifik dan ini telah mengubah paradigma orang Melayu daripada minda yang kolot dan jumud kepada minda yang rasional-saintifik (Al-Attas, 1972).
Kajian mengenai peralihan bahasa ini akan menggunakan kaedah soal selidik. Responden yang akan menjawab soal selidik ini terdiri daripada pelajar-pelajar yang mengikuti pendidikan agama sistem aLIVE. Data-data yang terkumpul melalui soal selidik merupakan bahan asas analisis kajian ini.
Melalui kajian yang akan dijalankan oleh pengkaji, diharapkan dapat menghasilkan data-data yang akan menunjukkan kepada beberapa perkara. Pertama, data-data yang diperolehi akan menunjukkan jika adanya peralihan bahasa di dalam domain agama. Melalui dapatan ini, satu unjuran mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam domain agama dan domain-domain lain dapat diandaikan. Kedua, melalui dapatan-dapatan kajian, pengkaji dapat membuat analisis terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan agama melalui data-data ini, satu gambaran mengenai peralihan bahasa dalam domain agama dapat diketengahkan.
Text
Sosio budaya Melayu
Metafora dalam buku teks : Analisis retorik paling luas
Abstrak
Metafora adalah satu perbandingan di antara dua perkara yang berlainan sifat tetapi masih mempunyai persamaan dalam aspek-aspek tertentu secara tidak langsung. Metafora telah wujud sejak zaman Aristotle lagi dan telah melalui perubahan dari zaman klasik yang bersifat sempit, kepada zaman moden, khususnya retorik gaya Trope dan dikonsepsikan dalam Retorik Paling Luas. Metafora kini dihubungkan dengan konsep Liya’ budu dan Liyubayyina, iaitu konsep bahasa untuk beribadah dan yang mudah difahami.
20 teks pemahaman telah digunakan sebagai korpus kajian. Data teks dianalisis berdasarkan analisis umum, komponen jenis metafora tatabahasa dan domain metafora.
Dalam bahagian pengenalan diberikan latar belakang kajian tentang metafora. Aspek-aspek kajian seperti bahan kajian, bidang kajian, tujuan kajian, kaedah kajian dan konsep penting dalam kajian turut disentuh dalam bab ini.
Seterusnya dalam kerangka teoritis diutarakan konsep dan teori yang berkaitan dengan metafora, sebagaimana yang dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa dan konsep Retorik Paling Luas (RPL).
Analisis kajian dilakukan dengan meneliti aspek metafora. Data metafora dianalisis secara kuantitatif berdasarkan analisis data UT dan kata. Kemudian, dianalisis komponen jenis metafora dan domain metafora secara keseluruhan. Setelah itu, dapatan data dikaji mengikut teks sekolah rendah dan menengah. Perbincangan seterusnya ditumpukan dengan membandingkan butiran analisis berdasarkan Teks Sekolah Rendah (TSR) dan Teks Sekolah Menengah (TSM). Akhir sekali, data kajian dilihat dari aspek RPL. Tafsiran tentang penemuan analisis metafora dilakukan sebelum dimuatkan kesimpulan pada bahagian akhir bab ini.
Yang terakhir merupakan penutup, Disini dibincangkan rumusan analisis secara keseluruhan dan kajian selanjutnya dicadangkan.
Text
Seni dan budaya masyarakat Suluk di Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah
AbstrakDalam kajian latihan ilmiah ini, pengkaji memfokuskan kajian kepada masyarakat minoriti di Sabah iaitu masyarakat Suluk. Sesungguhnya masyarakat Suluk ini banyak membuat penempatan di Sabah, namun pengkaji membuat kajian di kampung pengkaji sendiri iaitu Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Pengkaji akan membahagikan kajian ini kepada dua aspek iaitu aspek seni dan budaya. Sesungguhnya terdapat banyak aspek yang boleh dikaji mengenai masyarakat Suluk, namun pengkaji lebih berminat untuk mengkaji dari aspek seni dan budaya.
Seni secara umumnya dikenali sebagai sesuatu yang indah, halus , cantik dan menarik. Seni juga dikatakan sebagai satu peniruan yang berlaku hasil daripada pemerhatian manusia terhadap alam. Manakala, budaya secara umumnya mempunyai unsur-unsur ekspresif yang meliputi aspek sekeliling kepercayaan manusia terhadap sesuatu dan kesan reaksi terhadapnya.
Pengkaji akan mengkaji seni dari aspek Seni Persembahan dan Seni Bina. Budaya pula dikaji dari aspek Adat Perkahwinan dan Melenggang Perut.
Kesimpulannya, seni dan budaya masyarakat suluk ini mempunyai persamaan dan perbezaan dengan kaum lain yang terdapat di Malaysia.
Text
Institusi kebudayaan di Malaysia : Satu kajian terhadap pengurusan tokoh-tokoh kebudayaan
Abstrak
Tokoh merupakan individu yang dilihat mempunyai kepakaran, ketokohan malahan turut mempunyai bakat dalam suatu bidang tertentu. Dalam bidang kebudayaan, kehadiran tokoh telah menyemarakkan lagi perkembangan dan pembangunan dalam hal kebudayaan dan kesenian. Penglibatan aktif tokoh-tokoh kebudayaan di negara ini telah menyebabkan program penganugerahan kepada tokoh-tokoh kebudayaan diwujudkan. Program penganugerahan ini pula merupakan sebahagian dari kaedah bagaimana tokoh kebudayaan diuruskan. Dalam kajian ini pengkaji cuba untuk mengkaji bagaimana tokoh kebudayaan diurus secara khusus dan profesional dan tumpuan telah diberikan kepada program penganugerahan untuk golongan ini. Kajian ini juga telah merungkai persoalan berkaitan dengan institut yang bertanggungjawab dengan pengurusan kebudayaan dan kesenian, sama ada di peringkat persekutuan iaitu Kementerian Kebudayaan Kesenian, dan Warisan Malaysia atau di peringkat negeri iaitu Jabatan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Negeri Selangor. Kewujudan institusi-institusi ini dilihat sebagai pemangkin kepada perkembangan dan pembangunan kebudayaan di samping ia turut mempengaruhi rentak dan ritma pengaplikasian kebudayaan dalam kehidupan masyarakat seluruhnya. Kajian ini hakikatnya banyak menyentuh berkaitan dengan institusi-institusi tersebut. Namun, ia telah menumpukan juga kepada program penganugerahan tokoh-tokoh kebudayaan setakat batasan kajian sahaja dimana penganugerahan itu dilihat sebagai sebahagian dari aspek pengurusan tokoh kebudayaan di Malaysia. Kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan kajian ini agak sukar ditemui jadi kajian ini masih memerlukan kajian lanjut yang lebih lengkap dan mengkhusus kepada pengurusan tokoh kebudayaan secara profesional agar ianya dapat menambahkan lagi himpunan ilmu dan idea-idea yang bernas supaya ianya dapat disatukan menjadi hasil kajian yang bermakna.
Text
sastera Melayu
Unsur dominan sastera remaja : Kajian terhadap novel
Julia dan Cinta Madinah
Abstrak
Bab 1 - Pengkaji membicarakan tentang tujuan, kaedah, dan sejarah perkembangan sastera remaja di negeri kita. Selain itu juga, pengkaji menyatakan sedikit biodata penulis novel bahan kajian itu Hj Abu Hassan Morad dan sinopsis novel Julia dan Cinta Madinah.
Bab 2 - Pengkaji meneliti kesusasteraan remaja dengan menyatakan konsep sastera remaja, siapa golongan remaja, peranan dan jenis-jenis sastera remaja serta melihat hubungan sastera dengan remaja.
Bab 3 - Pengkaji menilai unsur pengajaran dalam sastera remaja melalui bahan kajian. Pengkaji juga melihat makna pengajaran, pengajaran dalam sastera, jenis-jenis nilai pengajaran dalam sastera remaja. Seterusnya menilai unsur pengajaran dalam bahan kajian iaitu novel Julia dan Cinta Madinah.
Bab 4 - Pengkaji juga mengkaji unsur pengetahuan dengan menilai makna pengetahuan, unsur pengetahuan dalam sastera remaja dan analisis unsur ini dalam bahan kajian.
Bab 5 - Pengkaji menilai unsur pengembaraan dalam bahan kajian.Pengkaji juga meneliti makna pengembaraan, pengembaraan dalam sastera dan jenis-jenis pengembaraan dalam sastera remaja.
Bab 6 - Kesimpulan bagi keseluruhan kajian ini.
Text
Bahasa Melayu
Analisis penggunaan bahasa Melayu lisan dalam kalangan peniaga : kajian kes di Pasar Geylang Serai, Singapura
Abstrak
Kajian ini merupakan satu penyelidikan sosiolinguistik terhadap penggunaan bahasa Melayu lisan di Pasar Geylang Serai, Singapura. Kajian ini meneliti kerencaman berbahasa dalam kalangan peniaga yang menutur bahasa Melayu, sama ada penutur asli ataupun penutur bukan asli. Data yang digunakan untuk tujuan analisis berupa rakaman suara pertuturan antara peniaga dan pembeli yang ditranskripsi. Terdapat tiga objektif utama yang mendasari kajian ini. Tujuan pertama adalah untuk mengenal pasti variasi bahasa dan ciri-ciri bahasa lisan yang terdapat dalam data kajian. Kedua, kajian bertujuan untuk menganalisis ciri-ciri khusus variasi yang telah dikenal pasti. Ketiga, kajian bertujuan untuk menganalisis ciri-ciri bahasa lisan yang telah dikenal pasti. Dua teori utama yang diaplikasikan dalam kajian ini ialah model SPEAKING Hymes (1972) dan ciri-ciri wacana lisan yang pernah dimanfaatkan oleh Wong Khek seng (2007). Data kajian dikumpul melalui dua metod, iaitu kajian kepustakaan dan kajian lapangan. Kajian lapangan dilaksanakan dengan cara merakam ujaran antara peniaga dan pembeli di pasar, di samping kaedah pemerhatian. Analisis data terbahagi kepada dua bahagian, iaitu analisis variasi bahasa dan analisis ciri-ciri bahasa Melayu lisan yang wujud dalam urusan jual beli di pasar Geylang Serai. Hasil analisis mendapati bahawa variasi bahasa yang wujud dalam komunikasi ini begitu rencam, yakni meliputi penggunaan bahasa kacukan seperti bahasa Melayu pasar, bahasa rojak serta bahasa kolokial. Pengaruh dialek turut dapat dikesan dalam pertuturan yang dirakam di samping variasi lain seperti penukaran kod dan slanga. Dari aspek ciri-ciri bahasa Melayu lisan pula, terdapat lima ciri bahasa Melayu lisan yang dapat dikesan termasuk unsur konteks, kegramatisan, pemendekan, teragak-agak serta pengulangan. Kepelbagaian aspek bahasa yang dikaji dalam kajian ini dapat memberikan gambaran perihal sifat bahasa Melayu yang dinamik, khususnya yang digunakan dalam konteks pertuturan di pasar. Kajian ini diharap dapat menyumbang kepada pengembangan bidang ilmu sosiolinguistik dan turut dapat dijadikan sebagai satu rakaman kewujudan penggunaan bahasa Melayu lisan yang rencam dalam kalangan masyarakat majmuk Singapura.
Text
Morfologi Bahasa Murut Timugon
Abstrak
Kajian ini berkaitan dengan salah satu bidang dalam ilmu linguistik, iaitu morfologi yang mengkaji proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa. Bahasa yang dikaji ialah Bahasa Murut Timugon yang merupakan salah satu kaum di Sabah.
Kajian ini akan meneliti proses-proses yang terlibat dalam pembentukan kata bahasa tersebut seterusnya melihat fungsi proses tersebut. Selain itu, kajian ini akan turut meneliti penggolongan kata secara sepintas lalu untuk menentukan fungsi sesuatu proses pembentukan kata.
Bab 1 akan membincangkan tentang latar belakang kawasan kajian iaitu Negeri Sabah, daerah Tenom dan Kampung Simpangan. Latar belakang kawasan kajian ini meliputi sejarah kawasan, etimologi penduduk serta kegiatan ekonomi yang dilakukan. Dalam bab ini disertakan juga jadual dan carta pai yang berkaitan dengan penduduk Negeri Sabah dan Daerah Tenom.
Bab 2 pula menghuraikan tentang morfologi serta konsep-konsep yang digunakan dalam bidang ini. Antara konsep yang dibincangkan ialah morfem, alomorf dan kata. Selain itu, proses-proses morfologi seperti pengimbuhan, penggandaan, pemajmukan, akronim, perubahan dalam, penggantian dan perubahan kosong turut dibincangkan.
Bab 3 membincangkan tentang proses pengimbuhan yang berlaku dalam Bahasa Murut Timugon. Bab ini akan meneliti tentang proses-proses pengimbuhan yang terlibat seperti awalan,akhiran, awalan-akhiran dan sisipan. Fungsi setiap imbuhan ini juga akan diteliti sama ada sebagai penetap atau pengubah golongan kata.
Bab 4 membincangkan tentang dua proses penggandaan yang ada dalam Bahasa Murut Timugon, iaitu proses penggandaan penuh dan proses penggandaan separa.
Bab 5 akan meneliti tentang proses pemajmukan yang juga merupakan salah satu proses pembentukan kata dalam bahasa ini. Penelitian akan dibuat tentang proses cara bagaimana proses cara bagaimana proses ini berlaku.
Bab 6 membincangkan bab analisis yang terakhir yang juga merupakan proses perubahan kosong. Bab ini akan melihat bagaimana proses perubahan konsonan dan vokal mempengaruhi penggunaan kata-kata tersebut.
Text
Sosio budaya Melayu
Pemeliharaan warisan tradisi negeri Kedah : Kajian di Muzium Negeri Kedah Darul Aman
Abstrak
Penulisan latihan ilmiah ini secara khususnya memberi tumpuan kepada koleksi Muzium Negeri Kedah yang terdapat di muzium tersebut dan mempunyai atau membawa identiti negeri Kedah itu sendiri.
Di dalam penulisan ini,Pada bab satu pengkaji menghuraikan sejarah asal- usul pembukaan negeri Kedah yang merupakan lokasi terletaknya Muzium Negeri Kedah. Selain itu, dijelaskan juga pengertian tajuk kajian, objektif kajian, skop kajian, kepentingan kajian, kaedah atau metodologi kajian, permasalahan kajian dan organisasi bab.
Pada bab dua pula pengkaji lebih memfokuskan sejarah latar belakang penubuhan Muzium Negeri Kedah. Selain itu, pengkaji turut menjelaskan aktiviti yang dilakukan oleh Muzium Negeri Kedah. Di dalam bab ini juga pengkaji menghuraikan berkaitan matlamat Muzium Negeri Kedah, akta Muzium Negeri Kedah, Objektif Muzium Negeri Kedah, fungsi Muzium Negeri Kedah, serta cawangan yang telah dibuka oleh Muzium Negeri Kedah dan organisasi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Muzium Negeri Kedah.
Di dalam bab ketiga pula pengkaji telah mengfokuskan kepada koleksi muzium yang mempunyai identiti negeri Kedah yang telah dipopularkan. Disamping itu, pengkaji juga menjelaskan berkaitan dengan galeri yang terdapat di Muzium Negeri Kedah, jumlah koleksi yang ada di negeri Kedah serta cara pemerolehan bahan yang dilakukan oleh Muzium Negeri Kedah dalam mengumpul koleksi khazanah sejarah.
Manakala pada bab empat, pengkaji lebih memfokuskan terhadap peranan muzium kepada seluruh masyarakat, cabaran yang dihadapi oleh pihak Muzium Negeri Kedah dalam mempertahankan khazanah warisan turun-temurun serta usaha dan langkah yang diambil oleh pihak muzium dalam mengatasi masalah tersebut.
Bab terakhir iaitu di dalam bab lima, pengkaji membuat kesimpulan secara menyeluruh berkaitan kajian yang telah dijalankan. Pengkaji juga menjawab setiap objektif yang telah digariskan oleh pengkaji dengan baik.
Text
Sosio budaya Melayu
Tradisi kebudayaan makan tahun kaum Kedayan : Satu kajian di Kampung Selanyau, Bekenu, Sarawak
Abstrak
Kaum Kedayan merupakan sebahagian daripada penduduk pribumi Sarawak Bumi Kenyalang. Walaupun kaum ini merupakan kaum yang minoriti, namun kaum ini juga mempunyai amalan nenek moyang mereka yang masih diwarisi sehingga ke hari ini. Hal ini sama juga seperti penduduk peribumi Sarawak yang lain. Antara amalan tradisi yang masih diamalkan ialah upacara makan tahun. Upacara ini lazimnya disambut pada setiap tahun yang mempunyai tujuannya yang tertentu.
Walaupun terdapat kaum Kedayan di tempat lain di Sarawak, namun sesetengahnya yang tidak mengamalkan lagi upacara makan tahun. Hal ini kerana ada yang menganggap upacara ini karut dan tidak perlu lagi diamalkan pada zaman ini. Namun, hal ini berbeza dengan tanggapan kaum Kedayan di Kampung Selanyau kerana upacara makan tahun masih diamalkan tahun demi tahun. Pengkaji juga berharap upacara makan tahun ini akan terus diamalkan oleh penduduk kampung di Kampung Selanyau.
Oleh hal yang demikian, penyelidik ini adalah penelitian turut serta pengkaji terhadap upacara makan tahun yang masih diamalkan oleh kaum Kedayan di Kampung Selanyau, Bekenu, Sarawak. Upacara ini diadakan untuk menandakan tamatnya musim menuai padi pada tahun itu dan sebagai kesyukuran kepada ilahi kerana hasil tanaman padi yang mereka perolehi. Dengan adanya upacara ini, diharapkan hasil padi mereka pada tahun berikutnya semakin bertambah. Oleh itu, upacara ini secara zahirnya membolehkan kaum ini ‘berinteraksi’ dengan alam semula jadi dalam kehidupan mereka.
Selain itu, penyelidikan ini juga merupakan usaha pengkaji dalam merungkai dan menerokai seterusnya cuba untuk memahami kebudayaan yang diamalkan oleh kaum ini. Diharapkan segala maklumat yang terdapat dalam penulisan ini dapat menjadi rujukan suatu hari nanti seandainya pada waktu itu upacara makan tahun sudah tidak diamalkan lagi.
Text
Bahasa Melayu
Leksikografi : Masalah penyenaraian entri dalam kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam
Abstrak
Latihan ilmiah ini mengandungi lima bab keseluruhannya dan berserta penutup. Pada dasarnya kajian ini adalah meneliti aspek yang berkaitan dengan bidang leksikografi, iaitu masalah penyenaraian entri dalam kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam. Kajian ini juga meneliti aspek pemaknaan yang terdapat dalam kamus tersebut.
Bab satu kajian ini membincangkan sejarah perkamusan Melayu di Malaysia. Aspek yang diteliti juga ialah definisi kamus. Pengklasan kamus, sejarah jenis kamus dan ciri-ciri kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam.
Bab dua kajian ini pula membincangkan mengenai latar belakang kajian. Bab ini juga menyentuh tentang kaedah, tujuan, skop dan konsep kajian yang dijalankan.
Bab tiga kajian ini ialah penelitian yang dibuat mengenai masalah persembahan entri dalam kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam. Perbincangan dalam bab ini adalah mengenai entri yang maknanya bersifat kabur dan tahap kekaburannya dalam kamus kanak-kanak.
Bab empat dalam kajian ini adalah merupakan bahagian yang membincangkan tentang cadangan untuk mengatasi masalah penyenaraian entri dalam kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam. Tumpuan diberikan kepada aspek makna iaitu dari segi makna umum, makna berputar belit dan makna kabur. Dalam bab ini juga pengkaji telah memberi cadangan tentang makna yang perlu dimasukkan dalam kamus kanak-kanak iaitu makna jelas agar senang difahami oleh kanak-kanak.
Bab lima ialah bab yang berkaitan dengan amalan yang perlu diterapkan dalam bidang leksikografi dan kegiatan penyusunan kamus oleh penyusun kamus. Bab ini juga membincangkan perkara yang berkaitan dengan cabaran yang dihadapi oleh bidang perkamusan serta langkah untuk mengatasi masalah perkamusan Melayu di Malaysia.
Bahagian penutup ialah bahagian yang mengandungi rumusan atau kesimpulan yang berkaitan dengan bidang kajian iaitu bidang leksikografi, dengan memberi penumpuan terhadap kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam.
Text
Sosio budaya Melayu
Persepsi mahasiswa Universiti Malaya mengenai cinta
Abstrak
Bab 1 merupakan pengenalan awal yang berkaitan dengan cinta remaja dan kesannya kepada remaja. Kemudian, diterangkan objektif kajian, permasalahan kajian, skop kajian, kawasan kajian, metodologi kajian yang meliputi kaedah kepustakaan dan kaedah lapangan. Beberapa sorotan kajian yang berkaitan dengan cinta di senaraikan. Kepentingan kajian turut diterangkan dan akhir kesimpulan bab.
Bab 2 adalah dengan latar belakang kajian. Konsep remaja dan cinta diterang dan dihuraikan secara mendalam mengikut pakar dalam bidang tertentu. Alat kajian yang meliputi 4 bahagian diterangkan sepintas lalu dan akhir sekali kesimpulan bab.
Bab 3 mengenai data mentah iaitu keputusan yang diperolehi berdasarkan borang soal selidik yang telah diedarkan kepada responden. Terdapat 4 bahagian utama iaitu Bahagian A: Latar belakang responden. Bahagian B: Sejarah perhubungan cinta. Bahagian C: Penilaian terhadap cinta dan Bahagian D:Persepsi responden mengenai cinta. Akhir sekali, kesimpulan bab.
Bab 4 pula mengenai analisis data. Data mentah mengenai penilaian responden terhadap cinta iaitu kepercayaan pada cinta dan peratusan kepercayaan terhadap cinta dan pasangan dikaitkan dengan pengalaman bercinta responden. Pengkaji juga menghuraikan persepsi responden mengenai cinta dengan mengaitkan dengan pengalaman bercinta responden, kepercayaan pada cinta dan peratusan terhadap cinta dan pasangan. Akhir sekali, kesimpulan bab.
Bab 5 adalah mengenai perbincangan. Pengkaji menghuraikan persepsi responden mengenai cinta yang dikaitkan dengan pengalaman bercinta, kepercayaan pada cinta cinta dan peratusan kepercayaan terhadap cinta dan pasangan. Akhir sekali, pengkaji membuat kesimpulan bab.
Bab 6 merumuskan semua dapatan kajian yang dibuat dalam keseluruhan bab cinta remaja.
Text
sastera Melayu
Retorik dalam penulisan kewartawanan Melayu : Kajian kes akhbar Berita Harian di Singapura
Abstrak
Kebanyakan kajian yang dilakukan terhadap korpus akhbar seringkali berfokus kepada isu-isu yang diketengahkan oleh pihak akhbar bagi menarik golongan pembaca. Tidak banyak kajian yang dilakukan bagi meneliti gaya bahasa dalam akhbar yang merupakan wahana utama dalam penyampaian maklumat. Justeru itu, kajian ini bertujuan memenuhi ruang kosong tersebut dengan tumpuan khusus diberikan kepada bidang retorik yang menitikberatkan penggunaan bahasa yang berkesan. Kajian ini yang menggunakan akhbar Berita Harian di Singapura sebagai bahan kajian akan meneliti tiga komponen penting dalam retorik iaitu kata, ayat, dan wacana. Setiap komponen ini akan dikaji dari aspek kekerapan jenis kata, jenis ayat dan dalam aras wacana, jenis pendulu berita yang digunakan sehingga maklumat yang disampaikan dapat difahami oleh pihak pembaca. Dengan adanya kajian ini, sumbangan akhbar bukan sahaja dilihat dari segi pengetahuan yang ingin disampaikan, tetapi juga sebagai pengembang bahasa Melayu yang mampu mengungkapkan ilmu dalam pelbagai bidang.
Text
Sosio budaya Melayu
Fonologi Bahasa Orang Asli Suku Kaum Duano di Rengit, Batu Pahat, Johor
Abstrak
Kajian ini adalah kajian mengenai “Fonologi Bahasa Orang Asli Suku Kaum Duano di Rengit, Batu Pahat, Johor”. Kajian ini bersifat linguistik deskriptif dan linguistik bandingan. Kajian ini memberi tumpuan kepada analisis fonologi bahasa Orang Asli Duano (BOAD). Kajian ini terbatas kepada sistem fonologi BOAD yang dilihat dari sudut vokal dan konsonan. Huraian mengenai bentuk-bentuk vokal dan konsonan ini berdasarkan kehadiran, kesejajaran dan penyebarannya dalam kata. Kajian ini juga meninjau aspek perubahan fonologi yang berlaku dalam BOAD. Kajian ini dijalankan melalui tiga metodologi iaitu pengumpulan data, pemilihan informan, dan huraian data. Pengumpulan data dilakukan secara lapangan dan kepustakaan. Kaedah lapangan dijalankan melalui rakaman secara langsung dengan menggunakan pita rakaman dan kaset. Selain itu, teknik pemerhatian langsung turut dilakukan. Kaedah kepustakaan dilakukan untuk mencari maklumat melalui bahan bercetak dan di internet. Informan pula dipilih berdasarkan umur, jantina dan latar belakang pendidikan. Seterusnya penganalisisan data dilakukan dengan dua kaedah, iaitu kualitatif dan kuantitatif. Kaedah kualitatif digunakan untuk menghuraikan aspek vokal, konsonan, dan perubahan bunyi. Pendekatan kuantitatif pula diaplikasikan melalui kaedah leksikostatistik dan Glotokronologi untuk menentukan tingkat kekeraban dan melihat lama-waktu atau usia perpisahan antara BOAD dan BMS.
Text
Sosio budaya Melayu
Perkembangan IKS di Kelantan : Kajian kes kilang roti, biskut dan kek di Mahligai, Bachok, Kelantan.
Abstrak
Kepentingan iks dalam pembangunan negara telah pun mendapat pengiktirafan ramai. Pengiktirafan tersebut meletakkan iks pada satu kedudukan yang penting dalam agenda perancangan pembangunan di kebanyakan negara, baik negara maju mahupun di negara membangun.Sumbangan iks dipercayai menjadi semakin penting dengan tahap pembangunan ekonomi negara yang semakin pesat. Malah terdapat bukti yang kukuh bahawa iks mempunyai hubungan jalin yang sangat bermakna dengan firma-firma besar dan multinasional sebagaimana negara-negara seperti Jepun, USA, United Kingdom, Kanada, Jerman dan lain-lain. Ini memberi gambaran bahawa iks menjadi semakin penting dan sumbangan mereka tidak merosot dengan kepesatan dan kemajuan pembangunan ekonomi sesebuah negara.
Text
Kesenian Melayu
Sosio budaya Melayu
Ciri-ciri kemelayuan dalam filem Seniman Bujang Lapok
Abstrak
Filem merupakan satu daripada seni hiburan di Malaysia. Sejarah awal perfileman Melayu boleh dianggap sebagai suatu hiburan bagi menggantikan bangsawan yang pada masa itu cukup terkenal di kalangan masyarakat. Permulaan era filem di Malaysia tidak dapat dipastikan tarikh yang betul. Mengikut penerbitan, filem Melayu diterbitkan pada tahun 1930-an di Singapura namun ianya bukanlah satu tarikh yang dapat dipastikan. Namun dapat dipastikan bahawa filem yang terbit di tanah Melayu ialah filem Laila Majnun pada tahun 1938.
Text
Kesenian Melayu
Kajian kes sumber motif tenunan Pua Kumbu masyarakat Iban di Daerah Kapit, Sarawak
Abstrak
Tenunan Pua Kumbu merupakan seni tekstil bagi masyarakat Iban dan meletakkan Pua Kumbu di tempat yang penting dan istimewa dalam kehidupan mereka. Ia merupakan perlambangan atau identiti bagi masyarakat Iban. Penggunaan Pua Kumbu kenalah betul bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini mengikut motif yang dihasilkan. Wanita Iban akan memiliki status yang tinggi jika pandai dan mahir dalam kerja menenun kerana boleh menghasilkan sesuatu yang menyelamat dan menolong mereka ketika berada dalam kesusahan. Pua Kumbu juga merupakan sebagai alat berkomunikasi dengan petara, dewa,dewi, roh nenek moyang dan semangat jahat atau baik yang berada di alam yang lain alam Supernatural atau dikenali sebagai Panggau Libau. Penenun yang dikenali sebagai Master Weavers yang layak menenun motif dipercayai mempunyai kuasa mistik diperolehi daripada mimpi. Upacara ritual juga begitu rapat dengan masyarakat Iban sekiranya ingin memulakan dan menamatkan kerja, dikenali sebagai Miring. Hal ini bertujuan untuk meminta kebenaran dan penghargaan kepada petara yang memberi kesempatan untuk menyempurnakan kerja tanpa ada halangan. Dalam kajian ini, terdapat beberapa motif yang dipengaruhi daripada budaya masyarakat Iban. Alam luar biasa dan alam semulajadi dalam penghasilan motif pada tenunan Pua Kumbu. Kajian ini dilakukan menggunakan kaedah kuantitatif iaitu kerja lapangan, temuramah, rujukan kajian lepas dan melakukan analisis dengan menyediakan soalan bagi soal selidik.
Text
Sosio budaya Melayu
Peranan Muzium dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sejarah di sekolah-sekolah
Abstrak
Institusi Muzium merupakan sebuah khazanah yang memberi banyak nilai memorial dalam konteks Sejarah negara. Tanpa Muzium, maka kita tidak akan lagi dapat menilai, mengetahui dan merasai nilai-nilai Sejarah terutama Sejarah negara tercinta. Walaupun keberadaan institusi Muzium kini tidak lagi menjadi suatu kemegahan oleh sesetengah masyarakat yang terlalu taksubkan kecanggihan teknologi, kita sebagai rakyat yang cintakan dan sayangkan negara perlu melihat penubuhan institusi Muzium ini sebagai sebuah gedung penyimpanan khazanah dan harta yang tidak ternilai. Tanpa Sejarah, kita tidak akan berjaya dan tidak dapat memupuk semangat kesedaran apatah lagi untuk mengambil iktibar di atas peristiwa-peristiwa lampau yang berlaku kepada negara kita, malaysia.
Dalam penyelidikan yang dibuat ini, penyelidik melihat tentang rasional dan kepentingan penubuhan sesebuah Muzium kepada masyarakat. Di dalam konteks ini, penyelidik telah memfokuskan kepada para pelajar di dalam konteks pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam mata pelajaran Sejarah. Apakah institusi Muzium releven dan dapat memberi sumbangan dalam mata pelajaran Sejarah atau pun tidak.
Oleh hal yang demikian, penyelidik telah menggunakan pendekatan-pendekatan yang dirasakan bersesuaian untuk digunakan dalam mencari jawapan kepada persoalan yang dibincangkan. Penyelidik telah memilih untuk menggunakan beberapa pendekatan yang dilihat sesuai untuk digunakan untuk menjalankan kajian. Antaranya adalah dengan menyebarkan borang soal selidik atau “Questionaire” dan kajian Perpustakaan yang dilakukan di Institusi Muzium, Arkib dan Perpustakaan. Selain itu juga, penyelidik telah menjalankan satu sesi temubual bersama informan iaitu Encik Zainal bin Ariffin iaitu Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelarasan dan Pelaksanaan di Muzium Negara. Malah, bagi mendapatkan maklumat dan persepsi daripada para pelajar mengenai isu yang dikupas ini, penyelidik juga telah membuat sesi temuramah bersama dengan tiga orang informan bagi melihat skop ini dengan lebih meluas.
Setelah menjalankan kajian ini, penyelidik telah mendapat suatu keputusan yang memuaskan kerana sememangnya institusi Muzium dapat memberi sumbangan kepada masyarakat masih lagi relevan. Malah, institusi ini juga sememangnya turut memberi sumbangan kepada para pelajar dalam mata pelajaran Sejarah. Seterusnya, penyelidik turut memberi beberapa pendekatan sebagai cadangan yang boleh digunakan oleh pihak Muzium dan pihak sekolah dalam usaha untuk menarik minat para pelajar untuk datang ke Muzium. Kesimpulannya, sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa institusi Muzium mempunyai peranan yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah di sekolah-sekolah berdasarkan kepada peranan dan objektif yang disasarkan oleh institusi Muzium. Sesungguhnya, tanpa Sejarah, kita tidak dapat melihat sejarah asal usul kita”.
Text
sastera Melayu
Peranan Kompleks Sejarah Pasir Salak dalam sektor pelancongan di kawasan berhampiran dan kesannya kepada penduduk setempat
Abstrak
Penulisan latihan ilmiah ini secara khususnya memberi tumpuan kepada peranan Kompleks Sejarah dalam sektor pelancongan dan juga kesan penubuhan terhadap penduduk setempat.
Di dalam penulisan ilmiah ini, pada bab satu pengkaji cuba menghuraikan serba sedikit mengenai Kompleks Sejarah Pasir Salak seperti lokasi kawasan Kompleks. Selain itu, turut juga menghuraikan mengenai tajuk kajian, objektif kajian, kepentingan kajian, metodologi, organisasi dan juga permasalahan kajian.
Di dalam bab dua, pengkaji memfokuskan beberapa pengertian definisi mengenai muzium dan juga sektor pelancongan. Ini bertujuan untuk memberi pemahaman dalam membuat kajian. Selain itu, bab ini turut membincangkan mengenai perkembangan awal penubuhan muzium di dunia dan juga Malaysia.
Pada bab ketiga pula, pengkaji membincangkan peranan Kompleks Sejarah dalam sektor pelancongan yang disebabkan oleh penubuhan Kompleks. Selain itu, membincangkan sejauh mana Kompleks memberi sedikit kesan kemasukan pelancongan di negeri Perak dan negara Malaysia. Ini dapat dibuktikan melalui analisis data kedatangan pelancongan ke Kompleks Sejarah.
Di dalam bab empat pula,pengkaji membincangkan mengenai kesan yang wujud kepada penduduk setempat akibat daripada perkembangan sektor pelancongan. Melalui bab ini, pengkaji membuat analisis kajian bagi mengenalpasti kesan yang dialami oleh penduduk setempat yang tinggal berhampiran dengan Kompleks.
Pada bab lima ini, pengkaji membuat kesimpulan akhir mengenai kajian telah dibuat.
Text
Kesenian Melayu
Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sembilan : Kajian mengenai dasar dan pelaksanaan aktiviti
Abstrak
Budaya adalah dinamik. Oleh itu, satu dasar telah digubal oleh kerajaan. Dalam kajian ini, pengkaji akan menerangkan mengenai peranan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang bertujuan untuk membentuk keperibadian kebangsaan melalui program yang mempunyai elemen penyatuan dan perpaduan. Justeru, kita perlu menekankan empat bidang budaya iaitu fikiran atau idea, kebendaan, bidang senibina, nilai dan norma serta kesenian. Kementerian kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia bertanggungjawab dalam memastikan warisan dan budaya terpelihara dan dipulihara sepanjang zaman. Terdapat banyak agensi, jabatan dan institusi ditubuhkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan. Selain itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian dan Warisan Negeri Sembilan merupakan salah satu wadah untuk menyemarakkan seni dan budaya di kalangan pencinta seni dan masyarakat agar mereka mempunyai semangat cintakan negara.
Text
Sosio budaya Melayu
Pendapatan petani yang menyewa tanah untuk pertanian padi : Satu kajian kes di beberapa buah kampung di Daerah Besut, Terengganu
Abstrak
Aktiviti pertanian sememangnya sangat sinonim masyarakat Melayu yang tinggal di luar bandar kerana kegiatan pertanian merupakan aktiviti tradisi masyarakat Melayu untuk menampung kehidupan harian mereka.hal ini kerana masyarakat Melayu tradisi tinggal di luar bandar sejak dahulu sehingga penjajahan British dan sehingga sekarang, yang mana majoriti penduduk di luar bandar ialah orang-orang Melayu. Antara pertanian yang dilakukan ialah tanaman padi, getah, kelapa sawit, nelayan dan sebagainya.
Pertanian padi merupakan aktiviti pertanian yang utama kerana beras merupakan makanan ruji masyarakat di Malaysia.Pendapatan golongan ini masih lagi ditaraf yang rendah jika hendak dibandingkan dengan sektor lain.
Kajian yang akan dijalankan ini adalah untuk melihat pendapatan dan juga kos pengeluaran yang terpaksa ditanggung oleh petani yang menyewa tanah untuk tanaman padi ini. Hal ini kerana petani ingin membesarkan saiz milikan tanah untuk tanaman padi supaya mendapat hasil yang tinggi dan juga mengusahakan tanah yang terbiar yang mana tuan tanah sudah tidak lagi mampu untuk mengerjakan tanah tersebut, manakala anak-anak pula tidak mahu mewarisi pekerjaan tersebut.
Kajian ini dilakukan di beberapa buah kampung yang berada dalam daerah Besut, Terengganu, iaitu Kampung Apal, Kampung Batang gergaji dan juga Kampung Pohon Ta. Yang mana di kawasan kajian ini masih ramai petani yang menyewa tanah untuk pertanian padi.
Text
Perubahan pakaian tradisional melayu: kajian kes busana kebaya di Rumah Kebaya Bangsar, Kuala Lumpur
Abstrak
Kebaya merupakan pakaian tradisional yang terkenal dalam masyarakat Melayu Nusantara. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti perubahan kebaya tradisional dari aspek pemilihan fabrik. Potongan, pemilihan warna, penggunaan corak dan motif, fungsi dan kegunaan kebaya pada masa kini dan meneliti pandangan penggiat kebaya dalam usaha mengekalkan kebaya tradisional. Pendekatan yang telah dilakukan iaitu sesi temubual bersama pengasas butik Rumah Kebaya Bangsar iaitu Puan Nursyuhada Md. Isa. Secara keseluruhannya kebaya keluaran Syus Couture sememangnya berlaku perubahan dalam aspek pemilihan fabrik, potongan, pemilihan warna, penggunaan corak dan motif serta fungsi dan kegunaan pemakaian kebaya. Hal ini memperlihatkan bahawa kebaya adalah pakaian tradisional yang mempunyai nilai warisan dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Bahkan dengan sentuhan kontemporari pada kebaya moden, potongan “slimming effect” dan nilai praktikal yang terhasil dapat menarik minat golongan wanita pada hari ini untuk menggayakan kebaya untuk ke majlis formal atau tidak formal. Pakaian tradisional bukan sahaja pakaian yang melambangkan keunikan masyarakat Melayu malah ia menjadi satu cerminan masyarakat Melayu yang harus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda. Lantaran itu, Puan Nursyuhada Md. Isa, memainkan peranan yang penting dalam memelihara dan mengekalkan warisan kebaya untuk kemaslahatan jangka panjang terutamanya kepada pengetahuan generasi muda tentang dunia kebaya.
Text
Sosio budaya Melayu
Kajian penerimaan kanak-kanak tadika naluri terhadap nilai dalam animasi Upin dan Ipin
Abstrak
Kajian ini merupakan kajian terhadap “Penerimaan kanak-kanak Tadika Naluri terhadap nilai dalam animasi Upin dan Ipin” kajian ini dilakukan di Tadika Naluri (Taman Melawati) dengan menggunakan kaedah wawancara, proses pembelajaran dan pemerhatian terhadap pelajar di tadika Naluri yang berumur dari empat, lima dan enam tahun. Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mencapai objektif kajian iaitu mengenalpasti watak yang menjadi ikutan kanak-kanak dan mengkaji sama ada melalui animasi Upin dan Ipin penerimaan nilai terhadap kanak-kanak dapat difahami atau sebaliknya.
Kajian ini menyatakan tentang kepentingan animasi dan impak positif yang diterima oleh kanak-kanak sekiranya ia dipantau oleh ibu bapa. Kajian ini amat penting bagi golongan ibu bapa untuk memahami dan mengetahui tahap kepentingan sesuatu siri animasi yang dipertontonkan melalui televisyen oleh anak-anak. Sesuatu tontonan yang dilihat oleh seseorang kanak-kanak mampu mempengaruhi sikap dan tingkah laku mereka. Bukan itu sahaja ia juga berperanan mendidik anak-anak untuk membentuk jati diri mereka.
Setiap animasi yang dilihat oleh kanak-kanak mampu mempengaruhi diri mereka. Haruslah diingatkan bahawa pandangan dan tafsiran kanak-kanak terhadap sesuatu animasi yang dilihat amatlah berbeza dengan pandangan dan tafsiran orang dewasa
Text
Adipati ekologi masyarakat orang Asli Laut Pulau Indah: Satu kajian kes mengenai aktiviti perikanan orang Asli laut di perkampungan orang Asli Pulau Indah, Klang
Abstrak
Kajian etnografi merupakan satu kajian yang dianggap paling asas dalam penyelidikan sosial mengenai sesuatu budaya, kepercayaan, adat dan tingkah laku yang berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang telah dikumpulkan dari kajian lapangan. Etnorafi menggambarkan apa yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka yang memfokuskan penggambaran secara terperinci dan tepat. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan pendekatan dalam bidang Antropologi kebudayaan yang memberi penumpuan dalam adaptasi ekologi masyarakat orang asli laut di Pulau Indah yang terangkum dalam aktiviti perikanan dipesisir pantai.
Aktiviti perikanan yang dijalankan oleh mereka memperlihatkan hubungan diantara masyarakat dan ekologi alam sekitar yang terdapat di sekitar Pulau Indah. Masyarakat orang asli laut di Pulau Indah beradaptasi dengan alam sekeliling kerana sememangnya mereka sangat bergantung kepada ekologi terutama ketika berada di kawasan perairan laut. Hal ini kerana, kehidupan mereka berasaskan kepada habitat dan ekologi laut kerana ianya merupakan tingkahlaku semula jadi daripada diri mereka.
Text
Sosio budaya Melayu
Kehidupan ibu tunggal : Satu kajian kes di Jajahan Pasir Mas, Kelantan
Abstrak
Ibu tunggal memang sudah menjadi sinonim dalam kehidupan sesebuah masyarakat, ini kerana dalam kehidupan manusia kes-kes kematian , penceraian pergaduhan, ketidaksefahaman dan sebagainya yang boleh membawa kepada keruntuhan rumahtangga adalah sudah menjadi perkara yang biasa.
Kajian mengenai kehidupan ibu tunggal dilakukan bertujuan bagi melihat punca menyebabkan berlakunya penceraian dan menyebabkan bergelar sebagai seorang ibu tunggal, seterusnya dalam kajian ini adalah bertujuan bagi mengetahui masalah dan cabaran yang dihadapi oleh para ibu tunggal. Selain itu, mengetahui bagaimana bentuk bantuan yang diberi oleh pihak berkuasa dan juga melihat sedikit dari segi pandangan masyarakat sekeliling terhadap golongan ibu tunggal di Pasir Mas, Kelantan.
Text
Bahasa Melayu
Bahasa dalam bidang pertukangan kayu-tumpuan kepada aspek leksikal
Abstrak
Bab1: Membincangkan latar belakang kajian yang berkaitan dengan bidang perkamusan, tujuan kajian, bidang kajian, permasalahan kajian, bahan kajian, kaedah kajian yang dilakukan seterusnya konsep-konsep iaitu konsep laras, istilah dan leksikal.
Bab2: Membincangkan sejarah perkamusan Melayu yang dilihat dari segi perkembangan kamus Melayu sebelum abad ke-20 yang terbahagi kepada dua, iaitu perkembangan kamus Melayu dwibahasa sebelum abad ke-20 dan kamus Melayu ekabahasa sebelum abad ke-20. Seterusnya membincangkan perkamusan Melayu abad ke-20, iaitu perkembangan kamus Melayu dwibahasa abad ke-20 dan perkembangan kamus Melayu ekabahasa abad ke-20.
Bab3: Bab ini dibincangkan mengenai bahasa dalam bidang pertukangan kayu di Kelantan tumpuan kepada aspek leksikal. Kata tukang kayu (KTK) yang sering digunakan dalam bidang pertukangan kayu di Kelantan dilihat dari segi kata Melayu, kata dialek dan kata Inggeris yang digunakan oleh tukang kayu sebagai bahasa khusus pertukangan kayu.
Bab4: Membincangkan KTK dalam pertukangan kayu di Kelantan lebih dari satu kata, iaitu KTK dua kata, tiga kata dan empat kata.KTK lebih dari satu kata tersebut adalah antara kata Melayu dengan kata dialek dan kata Inggeris.
Bab5: Perbincangan secara keseluruhan KTK yang sering digunakan dalam pertukangan kayu di Kelantan sebagai bahasa khusus pertukangan kayu dari segi kata Melayu, kata dialek kata Inggeris.
Bab6: Kesimpulan daripada kesemua bab yang dibincangkan dalam kajian ini dan harapan pengkaji.
Text
Sosio budaya Melayu
Jati diri Orang Asli : Di Kampung Manchis, Bentong, Pahang
Abstrak
Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengkaji ciri-ciri jati diri masyarakat Orang Asli dari segi bahasa, adat resam, kepercayaan, corak kepimpinan, gaya hidup dan kegiatan ekonomi. Selain itu ia juga untuk mengenal pasti pengekalan ciri-ciri jati diri masyarakat Orang Asli di Kampung Manchis, Bentong, Pahang.
Kajian dimulakan dengan melihat beberapa konsep yang berkaitan dan seterusnya membuat sorotan beberapa penulisan yang telah dihasilkan berkaitan dengan bidang kajian.
Kajian ini menggunakan pelbagai kaedah seperti soal selidik, temubual tidak formal, penyelidikan perpustakaan dan pengalaman peribadi sebagai kaedah sokongan.
Analisis dimulakan dengan melihat komponen jati diri, ciri-ciri jati diri, Orang asli dan ciri-ciri jati diri Orang Asli. Analisis mengenai pengekalan ciri-ciri jati diri dalam konteks perubahan juga diberi tumpuan.
Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati bahawa jati diri masyarakat Orang Asli sangat kuat. Ini diterjemahkan dengan amalan dan larangan yang masih dilakukan sehingga kini. Pengekalan jati diri dilihat dalam konteks perubahan tetapi kebanyakan amalan dan pantang larang masih ditaati oleh masyarakat suku kaum Temuan di Kampung Manchis.
Beberapa buah buku, latihan ilmiah, akhbar, jurnal dan majalah menjadi rujukan sepanjang kajian ini dilakukan dan seramai 50 orang responden bagi sesi soal selidik dan temu bual dijalankan untuk memberikan maklum balas terhadap kajian ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Konsep 1 Malaysia dan cabaran perpaduan antara etnik : Satu kajian kes terhadap pelajar-pelajar Universiti Malaya
Abstrak
Perpaduan merupakan satu proses untuk menyatupadukan anggota masyarakat dan negara melalui pelbagai kaedah. Perpaduan penting supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka. Perpaduan merupakan perkara yang sangat penting untuk membentuk masyarakat yang kukuh ukhwahnya. Di Malaysia, perpaduan berperanan dalam menjana pembangunan negara.
Perpaduan boleh dipupuk melalui dasar-dasar yang dibawa oleh setiap pemimpin negara. Antara dasar yang menekankan pemupukan semangat perpaduan ialah pelaksanaan 1 Malaysia. Dasar ini masih lagi dalam pelaksanaan di Malaysia. Pelaksanaan 1 Malaysia yang berpaksikan perpaduan ini dianggap dapat membentuk bangsa Malaysia seperti yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri.
Dalam era globalisasi masa kini, perpaduan menjadi alat penghujung bagi proses komunikasi dan interaksi antara masyarakat. Namun, dalam membentuk perpaduan pelbagai halangan dan rintangan yang perlu dihadapi. Oleh itu, Perdana Menteri Malaysia telah memperkenalkan Konsep 1 Malaysia bagi memantapkan lagi masyarakat Malaysia. Namun begitu, penerimaan masyarakat terhadap konsep ini masih dalam pemerhatian pihak kerajaan.
Kajian ini dilakukan bagi mengenalpasti penerimaan pemahaman masyarakat terhadap pelaksanaan 1 Malaysia dalam mengukuhkan perpaduan negara. Tumpuan kajian tertumpu kepada golongan pelajar Universiti Malaya ini telah dapat mengenalpasti penerimaan masyarakat Malaysia terhadap pelaksanaan 1 Malaysia dalam mengukuhkan perpaduan negara.
Text
Kesenian Melayu
Seni bina perahu : Kepercayaan dan ekologi
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai seni bina perahu yang mengaitkan tentang kepercayaan dan ekologi.
Seperti yang ketahui bahawa seni bina perahu mempunyai banyak perbezaan yang secara tidak langsung berkaitan dengan kepercayaan dan ekologi yang mempengaruhi seni bina perahu itu sendiri. Kajian ini akan memberikan maklumat yang lebih terperinci dan mengupas lebih lanjut tentang kaitan antara kepercayaan dan ekologi dalam seni bina perahu.
Text
Bahasa Melayu
Pembudayaan tulisan Jawi di Kelantan : Sejarah dan prospektif
Abstrak
Tulisan Jawi merupakan warisan bangsa yang tidak ternilai harganya. Malah, tulisan Jawi merupakan nadi yang menggerakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan meletakkannya setaraf dengan bahasa-bahasa asing di dunia ini pada suatu ketika dahulu. Dalam era globalisasi kini, didapati sistem tulisan Jawi semakin terhakis dan dipinggirkan oleh generasi muda hari ini. Tulisan Jawi seolah-olah dipinggirkan oleh masyarakat. Penguasaan membaca dan menulis Jawi oleh generasi hari ini semakin hari semakin kurang memuaskan. Walaupun begitu, kelihatan sebuah negeri di Pantai Timur Malaysia, iaitu Kelantan masih tegar menggunakan tulisan Jawi dalam pelbagai aspek, misalnya di papan tanda iklan, nama kedai, nama jalan, dan sebagainya sebagai usaha pelestariannya. Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengkaji pembudayaan tulisan Jawi di negeri Kelantan, di samping melihat pengaruhnya terhadap penerapan nilai-nilai Islam di sana. Pengkaji menjadikan Negeri Kelantan sebagai pilihan kawasan kajian disebabkan pembudayaan ini sangat unik dan banyak digunakan di sana, kebanyakkannya tidak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia. Sejarah negeri Kelantan itu sendiri kaya dengan pelbagai cerita menarik dan begitu dekat dengan nilai keislaman. Tidak hairanlah jika roh Islam begitu kuat tersebar di Negeri Serambi Makkah ini. Tulisan Jawi sememangnya sudah mengalami banyak perkembangan dan masih mencari cara yang lebih mudah untuk ditulis dan diamalkan. Ia pastinya memberi sumbangan dalam pelbagai bidang ilmu, antaranya bidang pentadbiran, keagamaan,kesenian, dan kebudayaan. Justeru, kajian ini akhirnya mendapati bahawa pembudayaan tulisan Jawi di Negeri Kelantan banyak mempengaruhi corak kehidupan masyarakat mereka sendiri. Secara langsung atau tidak langsung, tulisan Jawi menjadi penyalur kepada penerapan nilai Islam dalam masyarakat di samping mengambil kira penerimaan masyarakat bukan Islam. Pembudayaan tulisan Jawi harus lebih diperluas ke seluruh pelosok dunia agar ia terus terpelihara akan keizinannya untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengaruh drama rantaian Asia terhadap gaya hidup wanita Melayu : Kajian kes dalam kalangan mahasiswi dan suri rumah di Arau Perlis
Abstrak
Fenomena drama rantaian Asia dikatakan bahawa menjadi suatu ruang baharu yang penting untuk wanita Melayu melibatkan diri dengan nilai-nilai moden melalui pemaparan pelbagai citranya yang berkait dengan unsur-unsur kepenggunaan, selebriti dan gaya hidup bandaran.
Objek utama penulisan latihan ilmiah ini untuk membincangkan tentang fenomena drama rantaian Asia yang mempengaruhi golongan mahasiswi di Universiti Teknologi Mara Cawangan Perlis (UiTM) dan golongan suri rumah di Bandar Diraja Arau. Selain itu, pengkaji ingin mengenal pasti faktor-faktor tarikan drama rantaian Asia dan pengkaji juga menganalisis adakah fenomena drama rantaian memberi kesan positif dan negatif secara langsung ataupun tidak langsung kepada mahasiswi dan suri rumah.
Kajian ini menggunakan satu set borang soal selidik yang diedarkan kepada 100 orang responden, malah pengkaji juga mengadakan sesi temubual bersama-sama 11 orang informan yang dipilih secara rawak di bandar berkenaan. Kajian ini telah mendapati bahawa kecenderungan minat mahasiswi dan suri rumah adalah berbeza antara satu sama lain.
Di samping itu, kajian ini turut memperolehi maklumat mengenai faktor-faktor ketaksuban menonton drama rantaian Asia disebabkan faktor tarikan drama-drama rantaian Asia itu sendiri, masa yang sesuai untuk menonton dan didapati terdapat 13 drama Asia timur dan Asia Tenggara yang telah dipilih oleh penonton. Di dalam kajian ini juga telah menunjukkan bahawa drama-drama rantaian Asia ini memberikan kesan positif dan negatif sama ada dipengaruhi secara langsung ataupun tidak langsung kepada mahasiswi dan suri rumah di kawasan kajian.
Text
Islam dan proses penyesuaian budaya masyarakat pendatang Arab ke atas masyarakat Lembah Bujang, Kedah
Abstrak
Lembah Bujang merupakan tempat bersejarah kerana telah mencatatkan sejarah awal Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Lembah bujang kira-kira 1000 tahun lalu merupakan pusat perdagangan dan pemerintah kerajaan Hindu-Buddha di rantau Nusantara sebelum munculnya kerajaan Islam. Terdapat sebuah muzium arkeologi di sini yang menyimpan 1001 sejarah dan bukti awal tentang wujudnya pemerintahan Hindu-Buddha dan Islam di Kedah selain bukti kewujudan Lembah Bujang sebagai pusat perdagangan antarabangsa.
Apabila membicara tentang permasalahan Lembah Bujang, masyarakat sering kali mengaitkannya dengan pengaruh Hindu-Buddha. Tetapi amat sedikit sekali yang cuba mendekatinya dari sudut yang lebih luas terutama yang berkaitan dengan tamadun Islam yang pernah wujud di Lembah Bujang. Sebelum kedatangan Islam, agama dan budaya Hindu-Buddha bertapak kukuh dalam setiap aspek kehidupan masyarakat setempat hingga berabad-abad lamanya. Agama dan budaya ini begitu kuat dan sangat jelas mempengaruhi kebudayaan masyarakat setempat misalnya didalam sistem politik, sosial, ekonomi dan pemikiran masyarakat Melayu.Agama Hindu boleh dikatakan menjadi anutan kebanyakan masyarakat khususnya golongan atasan seperti golongan istana kerana ianya amat sesuai untuk menjaga kepentingan sosial dan politik mereka sendiri.
Kemasukan pedagang Arab ke Lembah Bujang yang turut membawa bersama agama Islam telah menyebabkan agama Islam mula tersebar luas. Masyarakat setempat telah mula mengenali Islam sebagai sebuah ajaran yang berteraskan akidah dan lebih rasional. Berpandukan kepada konsep rasionalisme inilah, menyebabkan masyarakat Melayu dengan sendiri menolak kepercayaan tahyul Hindu dan fahaman Animisme. Akhirnya Tamadun Islam sedikit demi sedikit telah berjaya meresapi dan melunturkan kegemilangan tamadun Hindu-Buddha dan berlakunya proses penyesuaian diantara kedua-dua kebudayaan. Perubahan dan proses penyesuaian ini menampilkan suatu hakikat bahawa Islam telah berjaya membawa era di rantau ini dan meninggalkan era lama yang wujud sebelumnya.
Oleh itu, tesis ini antara lain akan membincangkan beberapa aspek pembaharuan dan perubahan yang dibawa oleh Islam, seperti dari segi sosial, budaya dan pemikiran masyarakat Melayu. Walaupun tamadun dan pengaruh Hindu tidak dapat dilenturkan sepenuhnya berikutan dari pertapakan dan perkembangan Islam, namun secara umumnya boleh dikatakan bahawa sebahagian besar Tamadun Islam berjaya mengatasi tamadun Hindu, malah dapat mengubah cara hidup mereka bersesuaian dengan ajaran Islam yang maha suci. Justeru, tesis ini bertujuan untuk membongkar, menyingkap, merekonstruksi dan menyusun kronologi sejarahnya.
Text
sastera Melayu
Simbolisme dalam Susur Pendekar
Abstrak
Latihan ilmiah ini merupakan satu kajian menganalisis pendekatan simbolisme dalam sebuah buku koleksi puisi iaitu Susur Pendekar karya Muhammad Jailani Abu Talib. Bagi tujuan ini, pengkaji telah memilih 19 buah puisi dari buku tersebut dan puisi-puisi tersebut telah memuatkan simbol-simbol yang mempunyai kaitan dengan makna yang tersurat dan tersirat. Simbol merupakan satu unsur bahasa-budaya yang menyimpan makna serta mencerminkan minda masyarakat Melayu pada zaman itu.hal ini secara tidak langsung menunjukkan kesinambungan minda generasi masyarakat Melayu seterusnya sepertimana yang dipancarkan dalam karya sastera moden Susur Pendekar. Bagi kajian ini, teori semiotik berdasarkan pendekatan simbolisme akan digunakan sekali gus menekankan bahawa analisis simbol ini adalah bertitik-tolak dari makna atau definisi makna simbol itu saja. Berlandaskan dari itu, kajian analisis pendekatan simbolisme dalam koleksi puisi Susur Pendekar dikelompokkan kepada beberapa kategori simbol. Antaranya termasuklah simbol pendekar, silat, keris, bunga,warna, cakerawala dan binatang.
Text
Kosmologi melayu dalam seni persembahan ritual Mek Mulung
Abstrak
Kajian ini adalah satu penerokaan terhadap sebuah persembahan kesenian warisan Kedah Tua yang merupakan lambang identiti unik negeri Kedah kerana ia dipercayai telah diwarisi sejak ratusan tahun dahulu. Sebagai sebuah persembahan rakyat, Mek Mulung adalah persembahan yang lengkap dengan gabungan elemen-elemen seperti nyanyian, cerita, tarian, muzik dan lakonan yang berfungsi sebagai hiburan kepada penduduk setempat. Selain berfungsi sebagai hiburan rakyat, Mek Mulung juga berfungsi sebagai ritual kerana ia melibatkan ritual perubatan yang merupakan bahagian terpenting dalam persembahan ini. Fokus utama kajian ini adalah berpandukan kepada tiga objektif iaitu, mengkaji ciri-ciri dan struktur persembahan yang terdapat di dalam seni persembahan Mek Mulung; mengkaji unsur kosmologi Melayu yang terdapat di dalam seni persembahan Mek Mulung dan mengkaji proses-proses ritual yang terdapat dalam seni persembahan Mek Mulung. Teknik pengumpulan data yang digunakan dalam kajian ini terdiri daripada instrumen kajian seperti, kaedah temubual yang melibatkan informan yang terdiri daripada ahli kumpulan Mek Mulung. Selain itu, kaedah kepustakaan juga banyak digunakan dalam usaha pengkaji mendapatkan bahan-bahan bercetak sebagai rujukan. Seterusnya, kaedah pemerhatian digunakan untuk memerhatikan setiap ciri-ciri dan struktur yang terdapat dalam persembahan. Hasil dapatan kajian mendapati bahawa ciri-ciri khusus Mek Mulung dapat dilihat dari segi busana dan props, lagu, tarian dan nyanyian, esembel-esembel muzik, watak dan perwatakan serta peringkat-peringkat persembahan. Namun dalam konteks yang lebih mendalam, kajian ini tidak sekadar menumpukan struktur persembahan sahaja,tetapi ingin menelusuri aspek kosmologi Melayu yang terdapat dalam persembahan Mek Mulung. Kosmologi berkaitan dengan kajian terdapat alam semesta (cosmos) yang mencakupi ruang lingkup mengenai alam nyata ( fizikal) dan alam ghaib ( metafizik ). Persembahan Mek Mulung banyak mengandungi unsur-unsur yang mempengaruhi dunia metafizik kerana mereka percaya akan kewujudan makhluk ghaib yang dipercayai sebagai roh leluhur nenek moyang mereka. Perkara ini membuktikan bahawa Mek Mulung merupakan persembahan yang menghubungkan manusia dengan kuasa ghaib. Sebagai satu persembahan, Mek Mulung juga berfungsi sebagai ritual malah dalam konteks seni persembahan upacara ritual lazimnya bertujuan untuk menyembuhkan pelbagai penyakit khususnya penyakit akibat gangguan makhluk halus. Oleh itu, persembahan ritual perubatan Mek Mulung adalah suatu upacara yang terhasil daripada tindakan atau keinginan untuk mencari hubungan dengan dunia ghaib (metafizik). Kedudukan ritual merupakan simbolik yang menunjukkan rasa hormat kepada roh leluhur nenek moyang mereka yang dipercayai menjadi pelindung bagi persembahan ini, oleh itu ritual perubatan dalam Mek Mulung dianggap bahagian yang sangat penting.
Text
Sosio budaya Melayu
Identiti masyarakat Portugis di Malaysia : Kajian kes di perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka
Abstrak
Kekeliruan identiti masyarakat Portugis ini berlanjutan dan berterusan sehingga kini kerana jarang adanya usaha para pengkaji untuk meleraikan kekeliruan tersebut. Oleh itu, dalam kajian ini pengkaji ingin menumpukan kepada persoalan identiti masyarakat Portugis dengan mengkajinya dari pelbagai bidang seperti bahasa, kebudayaan, sejarah dan seterusnya. Kajian ini adalah sangat penting kerana ia melibatkan suatu penelitian yang membezakan dalam kalangan masyarakat Portugis sebaliknya memperlihatkan ke arah persamaan dengan rumpun Melayu yang lain yang berkongsi satu kawasan yang sama iaitu khususnya di Melaka. Untuk melakukan penelitian dalam penyelidikan ini, pengkaji memilih satu penempatan kaum masyarakat Portugis yang berdekatan dan mudah dari segi darjah ketersampaian pengkaji untuk melakukan penyelidikan ini. Penyelidikan ini adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut dan agar kekaburan serta penyalah tafsiran terhadap identiti orang Portugis selama ini dapat dileraikan. Mungkin hasil kajian ini akan menimbulkan reaksi kekejutan dalam kalangan pembaca kerana bercanggah dengan pemikiran sebahagian besar daripada kita hari ini yang berasaskan buku teks dari peringkat sekolah sehingga ke Universiti. Walau bagaimanapun, kajian ini penting untuk mengetahui latar Tanah Melayu dan etnik-etnik yang terdapat di tanah ini. Oleh sebab kajian mengenai identiti orang Portugis kurang dibincangkan, maka kajian ini dianggap sebagai satu dokumentasi yang penting untuk membolehkan kita dan generasi yang akan datang menimba ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam dan secara tepat tentang persoalan identiti orang di negara Malaysia ini khususnya.
Showing 201 to 250 of 285 results
Page
of 6
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->