Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (155 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Tesis Doktor Falsafah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Impak perilaku konsumeris dan nilai kelas sosial bandar terhadap pola perbelanjaan belia Melayu : kajian kes di Kuala Lumpur
Abstrak
Tujuan kajian ini dilaksanakan adalah untuk menganalisis pola perbelanjaan beli kumpulan B40 dan M40, menganalisis hubungan faktor-faktor nilai budaya bandar dan keterlibatan sosial ke atas kecukupan dengan pola perbelanjaan sebagai perantara dan, apakah kesan pola perbelanjaan ke atas kecukupan. Untuk mencapai objektif kajian, kajian ini menggabungkan kaedah kuantitatif dan kualitatif. Bagi kaedah kuantitatif, edaran soal selidik ke atas 522 orang belia Melayu di Kuala Lumpur dengan menggunakan kaedah persampelan bertujuan dan bola salji telah dilakukan. Manakala perbincangan kumpulan berfokus dan temubual bersama informan telah dilaksanakan bagi kaedah kualitatif. Responden yang juga informan yang terlibat mempunyai kriteria-kriteria khusus seperti, berumur antara 20-39 tahun, tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur, dan dari kumpulan B40 dan M40. Untuk memproses maklumat, dan kemudiannya dianalisis menggunakan program Statistical Package for Social Science (SPSS), Atlas, ti, dan kaedah Structural Equation Modeling (SEM) menggunakan Analysis of Momentum Structures (AMOS). Hasil kajian mendapati bahawa, belia kumpulan B40 dan M40 mengutamakan perbelanjaan yang sama walaupun berlainan tingkat pendapatan. Faktor nilai budaya bandar dan keterlibatan sosial didapati mempunyai hubungan yang signifikan ke atas pola perbelanjaan sementara pola perbelanjaan hanya berfungsi sebagai perantara bagi hubungan kumpulan rujukan dengan kecukupan, Secara keseluruhan, pola perbelanjaan didapati hanya mempengaruhi tahap kecukupan secara kecil. Hal ini menunjukkan, walaupun menetap di bandar dan berdepan dengan budaya bandaran serta di himpit kos sara hidup yang tinggi, kedua-dua kumpulan belia Melayu masih berpegang kepada nilai norma yang ditetapkan dalam diri mereka.
Text
Animasi 'Bangsawan Puteri Saadong' : adaptasi teks dan persembahan
Abstrak
Kajian ini membangunkan sebuah animasi cerita sebagai alat untuk penilaian adaptasi teks dan persembahan. Adaptasi teks yang dibuat adalah berasaskan kepada kisah Puteri Saadong, petikan dari Hikayat Seri Kelantan manakala adaptasi persembahan memilih seni persembahan bangsawan. Dengan aplikasi pendekatan adaptasi Hutcheon (2006) dan persepsi visual Arnheim (1974), kisah Puteri Saadong dan ciri-ciri persembahan bangsawan melalui penyesuaian untuk dipersembahkan dalam format animasi dua dimensi. Penghuraian tentang produksi animasi kajian yang dinamakan ‘’Bangsawan Puteri Saadong’’ dilakukan dengan memperincikan proses penulisan skrip, papan cerita, pembangunan audio dan grafik. Penilaian ‘’Bangsawan Puteri Saadong’’ bertujuan melihat faktor yang mempengaruhi persepsi terhadap karya adaptasi sastera tradisional yang diolah mengikut acuan persembahan Melayu tradisional. Dapatan dari penilaian mendapati bahawa faktor latar belakang pendidikan, pengalaman, minat, jantina dan umur mempengaruhi persepsi individu terhadap hasil adaptasi, selaras dengan model kajian, hasil pertindihan antara teori adaptasi (Hutcheon, 2006) dan teori persepsi visual (Arnheim, 1974).
Text
Metafora dalam novel penulis wanita Melayu dan Thai : analisis semiotik
Abstrak
Tesis ini merupakan kajian metafora berdasarkan novel penulis wanita Melayu, Badai Semalam, dengan novel penulis wanita Thai, Pun Pid Thong (Plaster Salut Emas), dari segi perspektif semiotik. Daripada data korpus 222 halaman yang telah dihadkan setiap sebuah, terdapat 458 lambang metafora Melayu dan 314 lambang metafora Thai.
Kajian ini pertama-tamanya menunjukkan bahawa dengan berdasarkan latar belakang kajian ternyata belum ada kajian yang membandingkan bahawa novel Melayu dengan novel Thai dari segi kajian metafora dengan menggunakan Model Metafora Semiotik Paling Luas.
Dari segi tujuan, kajian ini mempunyai tiga tujuan utama, iaitu pemerian metafora yang terdapat dalam kedua-dua novel penulis wanita tersebut, untuk membandingkan penggunaan metafora antara kedua-dua penulis novel wanita itu, dan untuk mengajukan dan mengaplikasikan Model Metafora Semiotik Paling Luas dalam menginterprestasikan metafora Melayu dan Thai.
Text
Psikologi keperluan remaja dalam novel-novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU)
Abstrak
Kajian ini menganalisis enam buah novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), karya enam orang pengarang dengan menggunakan Pendekatan Hierarki Keperluan Remaja yang telah diubah suai dari Teori Hierarki keperluan Manusia. Novel-novel tersebut ialah Azfa Hanani (1995), Trilogi Cinta (2002) Merenang Gelora (2002), Merdekakan Cinta Ratna (2003), Beraraklah Awan Pilu (2006) dan Jendela Menghadap Jalan (2009). Analisis tersebut menggunakan lima peringkat utama yang terdapat dalam Pendekatan Hierarki Keperluan Remaja, iaitu pertama, keperluan fisiologi, kedua, keperluan keselamatan, ketiga, keperluan kasih sayang dan cinta, keempat, keperluan penghargaan kendiri dan akhir sekali kelima, keperluan penyempurnaan kendiri. Permasalahan kajian ynag bertolak daripada tempoh dan usia remaja akan wujud pelbagai keperluan, keinginan dan kehendak yang diperlukan oleh golongan ini bagi memenuhi impian, matlamat, visi dan misi yang dicita-citakan oleh mereka.
Text
Malay characters in Affifudin Omar's selected novels from the perspective of colonial mimicry
Abstrak
Menurut Homi K. Bhabha di dalam bukunya, The Location of Culture (1994), di dalam sejarah, kolonialisme boleh mengambil penguasaan daripada elemen-elemen sandiwara dimana mimicry atau peniruan terhadap Barat/penjajah oleh Timur/yang dijajah ialah sebahagian kaedah penyebaran kuasa dan ilmu kolonial. Oleh itu, mimicry ialah keinginan untuk menguasai sebuah Other atau bukan Barat yang lebih baik dan dikenali, sebagai hampir sama, tetapi tidak sebegitu sama, dan ia merupakan sebuah strategi penambahbaikan, penambahaturan dan pendisiplinan yang kompleks untuk menyesuaikan Other atau bukan Barat selaras dengan keinginan penguasaannya. Kajian ini akan menggunakan kerangka konseptual mimicry oleh Homi K. Bhabha dalam menerangkan elemen mimicry dalam perwatakan watak-watak Melayu Muslim dalam lima buah novel Affifudin Omar, iaitu Paradoks (2011), Meniti Rindu (2013), Tun Tuah (2016), Sesat 2012) dan Seludup (2012), dan menganalisa penentangan mereka terhadap wacana kolonial. Kerangka konseptual dibahagikan kepada tiga peringkat untuk menganalisisi novel-novel tersebut, iaitu; a) mempersoalkan konsep penjajahan b) metonimi kewujudan c) perpecahan wacana kolonialis. Kaedah analisis tekstual telah dikendalikan untuk mengkaji sama ada watak-watak Melayu Muslim tersebut mempunyai elemen-elemen mimicry dan menggunakannya untuk menentang wacana kolonial. Kajian ini mendapati bahawa mimicry kolonial di dalam watak-watak Melayu Muslim tersebut membawa kepada kejayaan spiritual mereka dan berfungsi sebagai alat penentang wacana kolonial dan pembebasan daripada kuasa kolonial, memperkembangkan kajian dalam mimicry dan sastera Melayu sebagai sebuah penentangan terhadap wacana kolonial.
Kata kunci : pascakolonial, mimicry, watak Melayu, novel, kajian watak.
Text
Novel-novel terpilih Azizi Hj Abdullah : kajian intertekstualiti
Abstrak
Kajian ini menganalisis tiga buah novel terpilih karya Azizi Hj. Abdullah dengan menggunakan Teori Intertekstualiti. Novel-novel tersebut ialah Seoang Tua di Kaki Bukit (1982), Memoir Seorang Guru (2007) dan Beruk (2010). Analisis tersebut akan menggunakan tiga prinsip yang terdapat Teori Intertekstualiti iaitu pertama, prinsip transformasi, kedua, prinsip modifikasi dan ketiga, prinsip ekspansi. Permasalahan kajian bertolak daripada Azizi Hj Abdullah sebagai seorang sasterawan yang berkecenderungan melakukan penyelidikan dan merujuk sumber-sumber asalnya untuk diangkat dalam karyanya yang baharu. Kebanyakkan hipoteknya ialah teks pengarang itu sendiri. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Azizi Hj. Abdullah menulis dengan merujuk hipoteks yang melalui pelbagai proses seperti kerja pemindahan atau penambahan episode tertentu bagi memperkukuh makna hipoteks. Selain itu terdapat juga proses-proses lain seperti penukaran, pengembangan, serapan, persamaan atau pembaikan daripada teks asal membolehkan teks asal berubah kepada bentuk baharu sama ada dari aspek kandungan ataupun sisi plot penceritaan. Disamping berfungsi sebagai sebuah rakaman atau pengalaman bagi generasi akan datang. Kreatifnya seorang pengarang itu mengadun kembali teks awal mereka dalam hiperteks membuktikan bahawa setiap karya sastera akan terus hidup, dapat dilanjutkan persoalan, diperdalam gelojak jiwa watak seterusnya meninggalkan impak bersar kepada khalayak pembaca melalui pemaknaan sama ada dalam bentuk yang konkrit mahupun yang signifikan.
Text
Penelitian kualiti kehidupan janitor melayu di lembah klang
Abstrak
Dasar pembangunan Mampan yang dikeluarkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia telah menggariskan beberapa matlamat yang perlu dipenuhi untuk memastikan kesejahteraan sejagat diperoleh masyarakat dunia. Matlamat ini bertujuan untuk memastikan semua individu mempunyai akses yang sama rata kepada hak sebagai seorang manusia dalam aspek meningkatkan kualiti hidup manusia. Begitu juga dengan hak yang perlu diberikan kepada kumpulan pekerja domestik janitor. Walaupun janitor terdiri daripada kumpulan kerja 3D, namun setiap janitor ini berhak menerima keperluan hidup dan akses kepada semua aspek kualiti hidup yang dinikmati oleh seorang individu. Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis latar belakang pekerja janitor Melayu di Lembah Klang, menilai bentuk-bentuk kesukaran yang dihadapi oleh janitor Melayu di Lembah Klang serta merumuskan pandangan masyarakat terhadap sektor pembersihan di Lembah Klang. Pendekatan yang digunakan dalam kajian ini berbentuk kualitatif yang terdiri daripada temu bual terperinci, pemerhatian secara ikut serta dan pembacaan kepustakaan. Dapatan kajian menunjukkan terdapat perubahan penerimaan dan pelabelan kumpulan masyarakat kepada sektor pembersihan berbanding kajian-kajian terdahulu yang bersifat negatif.
Text
Penggunaan kit asas membaca Bahasa Melayu untuk kanak-kanak pemulihan khas
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk membangunkan reka bentuk Kit Asas Membaca untuk kegunaan kanak-kanak pemulihan khas dalam pembelajaran membaca bahasa Melayu, Kit Asas Membaca yang dibangunkan mengandungi model, modul, buku latihan, buku cerita, dan kad imbas yang bertemakan cerita rakyat. Tahap keupayaan bacaan kanak-kanak pemulihan khas berdasarkan tiga kemahiran yang terdapat dalam Taksonomi Bloom, iaitu kemahiran kognitif (keupayaan mengingat, memahami, dan mengaplikasi), psikomotor (keupayaan imitasi dan manipulasi), dan afektif (keupayaan pengenalan dan respon). Keberkesanan penggunaan Kit Asas Membaca dalam pembelajaran bahasa Melayu pula dianalisis berdasarkan tiga faktor, iaitu faktor pembelajaran bahasa, penggunaan Bahasa Bantu Mengajar (BBM), dan keupayaan kanak-kanak pemulihan khas itu sendiri. Kajian ini berbentuk kajian kes yang melibatkan lapan orang subjek kajian Tahun Tiga yang mengikuti kelas pemulihan khas. Instrumen yang digunakan ialah Ujian Penilaian Kemahiran Membaca, senarai semak kemahiran psikomotor dan afektif, dan boring pemerhatian tidak berstruktur. Analisis data kuantitatif digunakan untuk mencari peratusan dalam keupayaan kognitif, afektif, dan psikomotor. Analisi data kualitatif juga dijalankan kepada data-data pemerhatian tidak berstruktur dan senarai semak. Kaedah triangulasi kaedah (between method triangulation) digunakan bagi mendapatkan kesahan dan kebolehpercayaan dapatan kajian antara Ujian Penilaian Bahasa, pemerhatian tidak berstruktur, dan senarai semak. Dapatan kajian berbentuk kuantitatif menunjukkan bahawa keupayaan mengaplikasi merupakan keupayaan yang palin dikuasai oleh subjek dalam kemahiran kognitif, iaitu sebanyak 99.58 peratus, diikuti oleh keupayaan memahami 95.36 peratus, dan keupayaan mengingat 95.8 peratus.
Text
Kata-kata Sanskrit dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai : satu kajian perbandingan dari segi fonologi
Abstrak
Tesis ini merupakan cubaan awal yang diadakan untuk mengisi kekosongan kajian linguistik perbandingan di antara bahasa Melayu dan Bahasa Thai yang mengkhusus kepada perbandingan fonologi bagi kata-kata pinjaman daripada bahasa yang terserap ke dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai dengan menggunakan pendekatan yang berdasarkan teori standard fonologi yang diperkenalkan oleh Noam Chomsky dan Halle (1968) andrson (1974).
Kajian ini dilakukan dengan tujuan untuk mengenal pasti kaedah penyerapan bunyi bahasa Sanskrit ke dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai dan mengemukakan perbezaan proses fonologi bagi kata-kata Sanskrit dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai dengan cara mengkaji dan menganalisis kata-kata pinjaman Sanskrit yang terdapat di dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai. Analisis ini melihat persamaan dan perbezaan antara segmen-segmen tertentu bagi bunyi dalam sesuatu perkataan daripada bahasa sumber yang mengalami perubahan dalam bahsa sasaran mengikut sistem fonologi masing-masing.
Pengesahan data yang dijadikan bahan-bahan perbandingan dalam tesis ini dilakukan dengan merujuk khas kepada kamus dwibahasa (Sanskrit-Inggeris) yang diterbitkan yang diterbitkan oleh Oxford University Press berjudul ‘A Practical Sanskrit Dictionary – with transliteration, accentuation, and etymological analysis throughout’’ (Macdonell,A.A., 1976).
Text
Gagasan ketatanegaraan dalam syair-syair Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddeien, Brunei
Abstrak
Tesis ini mengkaji satu aspek terbaru mengenai karya-karya syair Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Brunei ke 28 (1950-1967). Aspek ketatanegaraan dalam karya-karya syair baginda belum pernah dikaji secara mendalam sebelum ini. Sebelum menaiki takhta kerajaan, Al-Marhum mendapati pihak British tidak berusaha memajukan negaranya, menyebabkan Al-Marhum membuat keputusan untuk mengambil kuasa dan pemerintahan dari mereka.
Setelah menaiki kerajaan pada 1950, Al-Marhum telah mengambil langkah-langkah segera membetulkan keadaan, membangun Brunei sesuai dengan aspirasi rakyat dengan baginda sendiri sebagai raja yang berkuasa mutlak berada di hadapan memimpin perjuangan. Baginda telah menyusun sebuah perlembagaan yang menjadi undang-undang utama bagi mentadbir negara. Perlembagaan itu yang dimasyurkan pada tahun 1959, disusun berdasarkan teori-teori pemerintahan Islam, adat istiadat dan teori moden.
Text
Wacana Maulid Nabi di Minangkabau : kajian tentang dinimikanya berdasarkan naskhah-naskhah karya ulama tempatan
Abstrak
Tesis ini memfokuskan kajiannya terhadap dinamika wacana Maulid Nabi (MN) di Minangkabau melalui teks dan konteks naskhah-naskhah karya para ulama tempatan. Dalam konteks dinamika Islam tempatan, wacana MN merupakan salah satu isu polimik keislaman di Minagkabau yang cukup kontroversial dan memancing beberapa sarjana untuk melakukan penelitian terhadapnya. Akan tetapi, kajian yang menggunakan naskhah-naskhah karya ulama tempatan sebagai sumber utamanya masih sedikit dilakukan. Kajian ini menggunakan pendekaan filologi dan teori Critical Discourse Analysis (CDA) dengan menggabungka model CDA Norman Fairclough dan Ruth Wodak. Suntingan teks yang dihasilkan dengan pendekatan filogi, dianalisis teks dan konteksnya secara kritis dengan teori CDA. Dalam perspektif CDA, wacana MN tidak hanya dianalisis pada peringkat teks saja, namun diteruskan pada aspek konteks sejarah dan sosial budayanya. Metodologi kualitatif yang digunakan dalam kajian ini melibatkan metode penelitian yang dimiliki ole pendekatan filologi dan teori CDA. Secara umum, kajian ini menjelaskan sejauh mana naskhah-naskhah karya para ulama tempatan menggambarkan dinamika wacana MN di Minangkabau. Untuk sampai pada tujuan kajian, wacana MN dianalisis mulai dari proses produksi, distribusi hingga konsumi wacana. Dari analisis yang dilakukan, kajian ini menampilkan fakta bahawa karya sastera berkenaan dengan MN secara diskursif telah menjadi wacana yang berideologi, sehingga mampu membentuk dan memperkuatkan identiti Kaun Tua di Minangkabau. Pada saat yang bersamaan, praktik wacana tersebut menjadi kekuatan yang tangguh untuk menyangkal serangan secara diskursif yang dilancarkan oleh kalangan ulama Kaum Muda. Perang wacana-baik melalui tulisan dan debat terbuka-pada era transmisi pembaharuan Islam di Minangkabau telah memberi kesan positif terhadap tradisi intelektual dalam kalangan ulama Minangkabau.
Text
Simbolisme dewa-raja dalam teks Melayu klasik terpilih dan kesannya terhadap adat istiadat kesultanan Melayu
Abstrak
Perkembangan agama Hindu-Buddha di Nusantara pada abad ke-7 Masihi sehingga abad ke- 14 telah menampakkan penularan pengaruh Hinduisme-Buddhisme ke dalam dunia Melayu. Kemasukan pengaruh kebudayaan Hindu-Buddha memberikan impak terutamanya dalam nilai-nilai kebudayaan dan sekaligus mengubah pandangan semesta orang Melayu di Nusantara yang sebelumnya mengamalkan animisme serta agama nenek moyang. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan untuk menganalisis simbolisme dewa-raja yang bukan hanya dijadikan kultus dalam masyarakat di Asia Tenggara, malah turut tercermin dalam karya kesusasteraan Melayu Klasik. Pengumpulan data dibuat menggunakan sumber primer seperti Hikayat Banjar, Hikayat Parang Puting, Hikayat Sang Boma, Hikayat Panji Semirang dan Hkayat Malim Demam. Pemilihan sampel kajian ini adalah neutral kerana dipilih mengikut genre yang berbeza iaitu sastera sejarah, sastera panji, sastera saduran Hindu dan sastera transisi Islam. Bahan kajian terbatas kepada lima teks sastera klasik Melayu. Karya sastera ini telah dikenal pasti menepati objektif kajian yang akan menonjolkan simbolisme dewa-raja. Hasil kajian akan memperlihatkan kepelbagaian cara kepengarangan digunakan bagi menonjolkan simbolisme dewa-raja dalam menyerlahkan kedaulatan raja-raja Melayu, adaptasi simbolisme dewa-raja dalam budaya istana Melayu seterusnya evolusi dewa-raja dalam kerajaan Melayu.
Kata Kunci : dewa-raja, dewa, raja, sastera klasik, Hindu-Buddha
Text
Mantera dan amalan kecantikan wanita Bajau : kajian kes Bajau Kota Belud
Abstrak
Mantera yang diwarisi masyarakat-masyarakat Bajau masih lagi relevan penggunaanya terutama untuk tujuan kecantikan, pengubatan, perlindungan diri dan sebagainya. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan untuk menganalisis mantera dan amalan kecantikan wanita Bajau di daerah Kota Belud Sabah. Pengumpulan data dibuat berdasarkan informan yang dipilih daripada beberapa kawasan kajian. Bahan kajian terdiri daripada pelbagai jenis mantera serta amalan yang berkaitan dengan kecantikan wanita Bajau yang menepati objektif kajian yang dilakukan. Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang menggunakan kaedah pengumpulan data melalui pemerhatian, temu bual dan analisis data. Hasil kajian jelas menunjukkan bahawa wanita Bajau masih lagi menggunakan mantera serta mengamalkan petua-petua bagi menyerlahkan kecantikan dan keterampilan mereka agar mudah diterima oleh masyarakat. Bagi wanita Bajau dengan kecantikan yang dimiliki, seseorang wanita akan dapat memikat kasih sayang daripada anggota keluarga dan masyarakat lain. Ini kerana kecantikan rupa paras yang ditambahkan lagi dengan kecantikan dalaman membuatkan mereka senang diterima oleh anggota keluarga dan juga masyarakat yang merupakan keluarga besar.
Kata kunci : Kecantikan, Mantera, Amalan, Petua, Pantang-larang
Text
Pembinaan Bahasa Melayu : satu pengkajian khusus mengenai perancangan bahasa di Malaysia
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai perancangan bahasa yang telah berlaku di Semenanjung Malaysia dengan perancangan bahasa dimaksudkan langkah-langkah secara sedar yang telah diambil oleh pihak-pihak yang berkuasa dalam hal penggunaan bahasa Melayu, samaada dalam bentuk keputusan atau pelaksanaan dasar, demi untuk membina bahasa Melayu itu menjadi suatu bahasa yang antarterjemah dengan bahasa-bahasa lain yang dianggap sudah maju ertikata berkeupayaan menjadi alat sains dan teknologi dan seterusnya meluaskan penggunaan bahasa Melayu yang sudah diperkembangkan itu dalam segala bidang penghidupan masyarakat.
Dalam tesis huraian dibahagikan kepada lima bab. Bab pertama ialah pendahuluan yang menghuraikan latarbelakang sejarah dan masyarakat bahasa melayu di Semenanjung Malaysia ini. Bab kedua menghuraikan dasar bahasa negara pelaksanaannya. Dalam bab ini ditulis latarbelakang pembentukan dasar bahasa itu dan kemudian meninjau masaalah-masaalah yang dihadapi dalam melaksanakan dasar itu.
Bab ketiga menghuraikan perkembangan bahasa Melayu. Dengan perkembangan bahasa Melayu dimaksudkan proses-proses yang telah berlaku atau dilakukan disekitar (a) penciptaan atau penyemakan sistem tulisannya, (b) penstandardannya atau pemilihan bentuk dialek yang hendak dijadikan norma serta penulisan tatabahasanya, dan (c) pemodenannya yakni pembaruan-pembaruan akibat dari pertambahan kepada leksikonnya. Kesemua aspek perkembangan bahasa Melayu seperti yang telah dihuraikan ini telah ditinjau secara detail dalam bab ini.
Bab keempat adalah mengenai peluasan penggunaan bahasa Melayu. Dalam bab ini ditinjaukan cara-cara yang telah di ambil oleh Kerajaan melaksanakan penggunaan bahasa Melayu dalam dasar pelajaran kebangsaan dan dalam pentadbiran negara. Kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dalam melaksanakan dasar bahasa setakat ini dihuraikan secara perangkaan di dalam bab ini. Tujuannya adalah untuk memperlihatkan kelemahan atau kekurangan yang terdapat supaya tiap-tiap satunya dapat diperbaiki kemudian nanti.
Bab kelima dadalah bab penutup. Sebagai penutup, bab ini menyimpulkan hasil proses perancangan yang telah berlaku dalam pembinaan bahasa Melayu dan mencadangkan langkah-langkah yang harus diambil dalam rangka mengusahakan pembinaan bahasa Melayu itu.
Text
Simbol dalam cerpen-cerpen Anwar Ridhwan : kajian konseptual kata kunci
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti konseptualisasi anwar Ridhwan yang tersurat dan tersirat dalam lima puluh enam buah cerpen yang diterbitkan dari tahun 1976 hingga 2009 yang terkumpul dalam Kumpulan Cerpen Persendirian Parasit (1976), Sangkar (1986), Naratif Ogonshoto (2001), Kumpulan Cerpen Parasit dan Sesudah Perang (2009) dan cerpen-cerpen yang tersiar secara eceran dalam majalah Dewan Sastera dan akhbar arus perdana seperti Berita harian dan Mingguan Malaysia.Teori Konseptual Kata Kunci yang diperkenalkan oleh sarjana Malaysia, Mohamad Mokhtar Abu Hassan menjadi kerangka teoritis dalam penyelidikan ini. Dengan menerapkan Teori Konseptual Kata Kunci, kata kunci dan simbol dalam 56 buah cerpen dianalisis untuk mengenal pasti konseptualisasi Anwar Ridhwan berhubung dengan konsep kepimpinan, konsep kemiskinan dan konsep perjuangan. Dapatan kajian membuktikan bahawa kata kunci digunakan untuk menyalurkan konseptualisasi secara tersurat manakala simbol digunakan untuk menyalurkan konseptualisasi secara tersurat manakala simbol digunakan untuk menzahirkan konsertualisasi secara tersirat. Daripada kata kunci dan sepuluh jenis simbol yang ditemukan seperti simbol haiwan, simbol burung, simbol serangga, simbol alam, simbol peristiwa, simbol objek, simbol warna, simbol tempat dan simbol angka, terbukti bahawa Anwar Ridhwan menghubungkan personaliti, pengaruh, strategi fan kediktatoran sebagai faktor utama dalam konsep kepimpinan.
Text
Perbandingan kata sapaan dalam masyarakat Minangkabau di Kabupaten 50 kota dengan daerah Rembau
Abstrak
Negeri Sembilan dikatakan sebagai salah satu daripada kawasan rantau Minangkabau sejak ratusan tahun yang lalu. Jejak keminangkabauan mereka masih tergambar pada sistem sosiobudaya masyarakat Negeri Sembilan sekarang seperti hidup dalam kelompok-kelompok (mereka namaka suku). Kajian ini bertujuan untuk menghuraikan bentuk dan penggunaan kata suapan di Nagari Batuhampar Kecamatan Akabiluru Kabupaten 50 kota dan Daerah Rembau Negeri Sembilan serta membandingkan persamaan dan perbezaan kata sapaan dalam masyarakat Minangkabau pada kedua-dua kawasan tersebut. Faktr-faktor yang menyebabkan perubahan bentuk kata sapaan berlaku juga dijelaskan dalam kajian ini. Teori yang digunakan untuk menganalisis data-data ialah teori kata sapaan yang dikemukakan oleh Ervin-Tripp (1986). Data dikumpulkan di Nagari Batuhampar Kecamatan Akabiluru Kabupaten 50 Kota dan Daerah Rembau Negeri Sembilan dengan menggunakan metodologi semak dan cakap yang dilaksanakan dengan sau set teknik penyelidikan.
Text
Kualiti perkahwinan keluarga peneroka Melayu : di ladang kelapa sawit Jambi – Indonesia
Abstrak
Penyelidikan yang dijalankan ini bertujuan mengkaji tahap kualiti perkahwinan peneroka di dalam proses pembangunan ladang kelapa sawit. Kualiti perkahwinan peneroka diukur menggunakan lima dimensi kualiti perkahwinan iaitu : kebahagiaan dalam perkahwinan, interaksi dalam perkahwinan, masalah dalam perkahwinan, ketidakfahaman dalam perkahwinan dan kecenderungan untuk bercerai. Persoalan yang dikaji ialah : (1) hubungan yang signifikan antara tahap pembangunan dengan kualiti perkahwinan di kalangan masyarakat luar Bandar, (2) hubungan kualiti perkahwinan dengan tahap pembangunan kampung peneroka dan perkaitan di Bungan karekter antara karakteristik peneroka, dan (3) hubungan karakteristik responden dengan kualiti perkahwinan.
Seramai 300 peneroka Melayu yang berada di tiga tahap pembangunan di ladang kelapa sawit di Jambi, telah dipilih sebagai responden dengan menggunakan satu kaedah pensampelan rambang. Data telah dikumpulkan melalui borang soalselidik yang diisikan sendiri oleh responden dan telah dianalisis menggunakan Pakej Statistik Untuk Sains Sosial (SPSS). Perkaitan diantara pembolehubah dihuraikan secara deskriptif. Manakala penganalisaan dalam bentuk inferensi menggunakan orelasi, Ujian-t, Anova sehala dan Ki-Kuasadua.
Text
Perbandingan morfologi bahasa Melayu dan bahasa Iban
Abstrak
Tesis ini adalah kajian mengenai bahasa Melayu (BM) dan bahasa Iban (Bib) yang dilihat dari perspektif Linguistik Bandingan dan pada tahap-tahap tertentu kajian ini menjurus kepada Linguistik Bandingan Sejarawi. Objektif utama kajian ini adalah untuk melihat unsur-unsur morfem yang terdapat dalam pembentukan kata BM dan Bib. Di samping itu kajian ini turut menyelidiki ciri-ciri warisan bersama yang dimiliki oleh kedua-dua bahasa dari bahasa induk serta perubahan-perubahan yang berlaku setelah berpisah. Data dari BM diperolehi melalui bahan bertulis dan pemerhatian langsung. Manakala data dari Bib pula didapati melalui kajian perpustakaan dan kajian lapangan. Bahan bagi BM tidak hanya terhad pada bentuk standard, tetapi juga melihat pada dialek-dialek tertentu sekiranya terdapat kesejajaran.
Untuk tujuan menghurai dan menganalisis bentuk-bentuk morfologi BM dan Bib ini, pendekatan sistematik digunakan bagi membuat kesimpulan tentang evolusi sesuatu sistem melalui zaman. Kajian ini turut menyentuh struktur fonologi kata sebagai tujuan memudahkan perbincangan mengenai hal-hal berkaitan dengan imbuhan dan morfofonemik. Di samping melihat pembentukan kata melalui bentuk dan unsur morfem, kajian ini turut mengambil kira pembentukan kata berdasarkan unsur-unsur pembentukan dan kata akar.
Text
Pengaruh ekologi terhadap perwatakan kanak-kanak dalam novel-novel hadiah sastera perdana Malaysia
Abstrak
Kajian ini berkaitan dengan aspek persekitaran yang melingkungi kehidupan kanak-kanak berdasarkan novel kanak-kanak yang pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi kategori novel kanak-kanak. Novel kanak-kanak yang dikaji, iaitu Memori Atikah (2002), Azrul Wira Anak Laut (2006), Umairah dan Kuda Putih (2008), Beruk (2010), Suteki Da Ne Aleena (2013) dan Rahsia Dhia (2014). Permasalahan kajian ini bertitik-tolak daripada untuk mengenal pasti persekitaran yang dipaparkan dalam novel kanak-kanak dan terhadnya sumber rujukan di peringkat ilmiah. Selain itu, isu masalah sosial yang melibatkan kanak-kanak turut mendorong kajian ini dijalankan. Kajian ini mempunyai tiga objektif, iaitu menghuraikan persekitaran kanak-kanak dalam novel-novel Hadiah Sastera Perdana Malaysia, menganalisis aspek persekitaran yang mempengaruhi perwatakan kanak-kanak dalam novel-novel Hadiah Sastera Perdana Malaysia berdasarkan Pendekatan Ekologi dan merumuskan pengaruh persekitaran terhadap perwatakan kanak-kanak dalam novel-novel Hadiah Sastera Perdana Malaysia berdasarkan Pendekatatan Ekologi. Kajian yang menggunakan kaedah kepustakaan dan analisis teks ini, mengaplikasikan Pendekatan Ekologi, iaitu hasil penyesuaian Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979,1986) dan Konsep Pendidikan Anak-anak dalam Islam oleh Abdullah Nasih Ulwan (1988). Pendekatan Ekologi mengandungi tiga komponen, iaitu Persekitaran Khusus, Persekitaran Ekosistem dan Persekitaran Umum. Persekitaran Khusus oleh ahli keluarga, rakan, guru dan jiran. Persekitaran Ekosistem diwakili oleh pekerja ibu bapa, sistem pendidikan dan sistem penadbiran. Persekitaran Umum pula diwakili oleh budaya, nilai, agama dan kepercayaan, teknologi dan media massa, perpindahan tempat tinggal dan kematian ahli keluarga. Analisis yang dilakukan telah mencapai katiga-tiga objektif kajian ini.
Text
Kajian perbandingan humor : arja dan makyung
Abstrak
Sejarah dan perkembangan dramatari Arja dan Makyung di Asia Tenggara dikenal pasti tertumpu di beberapa tempat sahaja. Arja hanya terdapat di seluruh daerah Bali, Indonesia. Manakala Makyung hanya di Malaysia (Kelantan, Terrengganu, Kuala Lumpur, Thailand (Pattani, Narathiwat) dan Indonesia (Sumatera dan Kepulauan Riau).
Arja merupakan dramatari pelbagai panggilan, makna, konsep, jenis dan falsafah yang dikenalpasti terbentuk pada awal abad ke-19. Ia sesuai dipersembahkan di pelbagai jenis panggung dengan paten cerita berdasarkan watak utama. Humor Arja berfungsi kepada masyarakat penonton berdasarkan mesej cerita, ritual agama, hiburan semasa dan kritikn sosial semasa persembahan berlangsung.
Makyung pula dipercayai muncul dengan bentuk paling asas pada awal abad ke 12. Ia merupakan dramatari berbentuk ritual (perubatan dan upacara) dan hiburan dengan pelbagai paten, falsafah dan makna mengikut tempat persembahan. Teori asal usul Malyung adalah kompleks berdasarkan kepercayaan setempat yang bercampur dengan pelbagai pengaruh kepercayaan lain seperti Anamisme, Hindu, Buddha dan Islam. Humornya pula berfungsi kepada individu pemain dan masyarakat penontonnya.
Text
Cerita rakyat Melayu : analisis dari aspek komunikasi dua hala
Abstrak
Kajian ini menumpukan penelitian cerita-cerita rakyat Melayu yang diperolehi menerusi Penglipur Lara Ali Badron bin Hj Sabor. Kajian ini berdasarkan bahan sastera rakyat, penganalisian dilakukan dengan menggabungkan jalin beberapa teori yang bersifat saintifik Teori Komunikasi, Teori Interaksionisme dan Teori Kecerdasan Pelbagai.
Keseluruhan kajian ini bersandar pada andaian pengkaji bahawa sudah tiba ketikanya tinjauan mengenai sastera rakyat Melayu lakukan seiringan dengan teori-teori yang bersifat sistematik. Sehubungan itu, hala tuju penyelidikan sastera rakyat wajar diubah agar tidak lagi berada di ruang lingkup ilmu yang terbatas Paradigma sebegini mampu memperkembangkan dunia penyelidikan sastera rakyat Melayu ke arena antara bangsa.
Text
Wanita dalam novel A. Samad Said
Abstrak
Kajian ini melihat perubahan kedudukan dan peranan watak-watak wanita utama dan sampingan dalam Sembilan buah novel Sasterawan Negara, A. Samad Said. Perubahan itu dikaji dalam kerangka sosial dan sejarah yang terbahagi kepada tahap-tahap sebelum perang, zaman perang, selepas perang dan selepas merdeka. Kedudukan dan peranan watak-watak wanita itu dikaji menggunakan perspektif feminis yang menekankan kesan beberapa faktor ke atas pengarang dalam pembentukan ideologi jantina yang mendasari perlukisan watak-watak wanita tersebut. Faktor-faktor itu termasuklah kesan sosio-budaya, agama, pengalaman pengarang serta hubungannya dengan keluarga, wanita, masyarakat dan zaman. Menerusi perpsektif feminis ini novel-novel yang dikaji mengajukan wujudnya korelasi yang nyata antara pencapaian pendidikan wanita dan perubahan peranan serta peningkatan kedudukan mereka. Sehubungan dengan itu, wanita tradisi yang tidak berpendidikan dan justeru itu tidak berdikari sering terdedah kepada penganiayaan khususnya jika tiada perlindungan keluarga. Sebaliknya wanita moden yang berpendidikan dan justeru itu berdikari tidak terikat dengan tuntutan keluarga dan dapat mencorak hidup mereka. Oleh itu buruk baik nasib mereka dapat ditentukan sendiri lantaran bebas membuat keputusan sendiri. Sehubungan dengan itu juga, wanita moden digambarkan Berjaya membaiki status hidup mereka jika mereka tidak menyeleweng dari norma-norma sosial dan nilai agama Islam. Seterusnya, pengarang secara keseluruhannya memberi kedudukan yang baik kepada wanita yang berpegang teguh kepada nilai-nilai tradisi seperti lemah-lembut, setia dan sabar.
Text
Kata adjektif bahasa Melayu : analisis makna dari aspek frasalogi dan leksikologi
Abstrak
Objektif utama disertasi ini ialah mengenal pasti dan menjelaskan kemungkinan penggunaan pendekatan kajian leksis dengan tumpuan kepada kata adjektif bahasa Melayu. Umumnya, adjektif kurang diberi perhatian oleh ahli-ahli bahasa berbanding dengan golongan kata utama yang lain. Sebagai unsur inti dalam frasa, struktur dan fungsi adjektif juga telah menimbulkan pelbagai persoalan menarik. Penyelidikan terhadap kewujudan adjektif sebagai unsur utama dalam frasa menunjukkan bahawa struktu dan fungsinya biasanya berhubung kait dengan kata kerja dan kata nama. Akhir sekali dengan meneliti bentuk kata adjektif sebahagiannya menyentuh secara ringkas kelas kata utama keempat dalam bahasa Melayu, iatitu adverba.
Text
Penjagaan kesihatan masyarakat Melanau Islam Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak
Abstrak
Kajian ini adalah kajian etnografi kesihatan. Fokus kajian ialah amalan penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat Melanau. Melalui kajian etnografi ini dapat difahami tentang ‘worlview’ dan amalan-amalan yang dilakukan utuk penjagaan kesihatan. Kesihatan boleh dijaga dan dipelihara supaya kekal, justeru masyarakat ini sentiasa prihatin dalam penjagaan mereka. Prinsip asas penjagaan kesihatan masyarakat Melanau adalah bertujuan untuk meningkatkan taraf kesihatan dan mengelak penyakit. Prinsip inilah yang menjadi landasan kepada amalan-amalan yang mereka lakukan. Kajian menunjukkan bahawa amalan penjagaan kesihatan mereka masih bersifat tradisi dan bergantung kepada sumber alam semula jadi. Amalan penjagaan kesihatan yang lazim diamalkan ialah melalui pemakanan dan penggunaan tumbuh-tumbuhan. Amalan pemakanan dan penggunaan tumbuh-tumbuhan terus bekembang dan diamalkan sehingga hari ni kerana ia dipengaruhi oleh adat, nilai kepercayaan, pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang diwarisi oleh mereka. Kedua-dua ini mampu mengatasi kesihatan masyarakat Melanau, malah mereka yakin dan percaya akan keberkesanan kedua-dua perlakuan penjagaan kesihatan tersebut. Ini memperlihatkan bahawa amalan penjagaan kesihatan masyarakat tidak bebas daripada pengaruh budaya mereka. Kaedah penjagaan kesihatan ini sewajarya diketengahkan sebagai asas model penjagaan kesihatan altenatif di Malaysia.
Text
Tautan dalam wacana bahasa Melayu akhbar : analisis rencana pengarang Utusan Zaman (1957-1961)
Abstrak
Bab 1 jalan ini memaparkan pendahuluan kajian. Manakala Bab 2 membincangkan konsep wacana tautan tujuh, model tautan, dan Model Tuntuan Pindaan. Data tautan perulangan dalam Bab 3 diteliti dengan menggunakan tujuh prinsip tatakerja. Didapati enam jenis tautan perulangan (PL), iaitu tautan perulangan rujukan (PL1), tautan perulangan penggantian (PL2), tautan perulangan ellipsis (pl3), tautan perulangan leksikal (PL4), tautan perulangan parafrasa (PL5), dan tautan perulangan struktur dan makna sama (PL7). Yang tertinggi ikatan tautannya PL4 (70.59%), yang terendah pula PL2 (PL0.17%), Ketertinggian PL4 ditafsirkan sebagai bercirikan leksikal. Tautan kolokasi (KL) dalam Bab 4 diteliti dengan menggunkan satu prinsip tatakerja, dan tautan ini didapati mempunyai empat subjenis, iaitu tautan kolokasi antoniman (KL1), tautan kolokasi kohiponiman (KL2), tautan kolokasi hasil (KL3), dan tautan kolokasi sifat (KL4). KL2 paling tinggi peratusan ikatannya (66.19%) berbanding dengan KL3 (0.98%), yang terendah sebab hubungan makna yang mirip kepada ciri leksikal dalam KL2. Tautan penghubung ayat (PH) dalam Bab 5 terbahagi kepada lima subjenis, iaitu tautan penghubung ayat tambahan (PH1), tautan penghubung ayat tentangan (PH2), tautan penghubung ayat sebab-musabab (PH3), tautan penghubung ayat waktu (PH4), dan tautan penghubung ayat terusan (PH5). PH1 yang tertinggi ikatannya (42.15%) bebanding dengan PH5 (0.83%). Hal ini dikaitkan dengan ciri teks bertulis yang ada pada PH1. Perbandingan dalam Bab 6 antara butiran analisis dengan tahun didapati tahun 1961 mempunyai maksimum butiran analisis terbanyak berbanding dengan tahun 1957. Dari segi jumlah ikatan. PL yang tertinggi, diikuti oleh KL dan PH. PL dan KL dikira bersifat hubungan tumpu makna yang lebih bebas. Jarak jauh lebih banyak daripada Jarak dekat kerana sifat teks bertulis. Bab 7 menyimpulkan kajian dan memuatkan cadangan kajian lanjutan.
Text
Peranan, organisasi dan kandungan akhbar-akhbar utama di Semenanjung Malaysia
Abstrak
Kajian secara makro ini adalah mengenai peranan, organisasi dan kandungan akhbar-akhbar utama di Semenanjung Malaysia. Tempoh pengkajian asas ialah dari tahun 1989 hingga tahun 1995. Sampel yang dipilih mengandungi lapan akhbar utama, dua bagi setiap bahasa.
Selain kaedah diskriptif dua kaedah utama digunakan dalam kajian ini :
(a) Analisi kandungan akhbar-akhbar tersebut bagi minggu buatan dalam tahun 1989 untuk hari-hari berikut : Isnin 19hb Jun; Selasa 25hb Julai; Rabu 2hb Ogos; Khamis 7hb September; Jumaat 20hb Oktober; Sabtu 1hb November; dan Ahad 10hb Disember. Sample keseluruhan bagi hari-hari tersebut berjumlah 56 akhbar. Pembolehubah-pembolehubah berikut telah dikaji: kategori dan kekerapan berita dalaman dan luar negeri; personaliti-personaliti yang disebut; sumber berita; analisis berita politik dan analisis muka depan.
(b) Tinjauan meliputi 91 ‘’gatekeeper daripada lapan akhbar tersebut denan penggunaan boring soalselidik ‘’standard’. Soalan-soalan yang ditanya mewujudkan suatu profail demografi responden; gambaran tentang alam pekerjaan mereka; pendapat mereka tentang unsur-unsur dan nilai-nilai berita ; dan pendapat mereka tentang profesion kewartawanan, termasuk penilaian mereka tentang masa depan kewartawanan di Malaysia.
Text
Analisis kesopanan berbahasa dalam novel Melunas Rindu
Abstrak
Kajian ini berkaitan dengan aspek kesopanan berbahasa berdasarkan novel Melunas Rindu, iaitu teks Komsas yang digunakan oleh para murid tingkatan empat di Zon 4(Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan). Analisis data dalam kajian ini melibatkan 33 peristiwa bahasa berdasarkan dialog watak utama, iaitu Fuad dan watak sampingannya Farhana. Permasalahan kajian ini bertitik tolak daripada isu kesopanan berbahasa yang semakin terhakis dan terhadnya sumber rujukan diperingkat ilmiah. Keterbatasan dan kekurangan kajian dengan menggunakan bahan Komsas yang dianalisis secara pragmati turut mendorong kajian ini dijalankan. Kajian ini mempunyai tiga objektif, iaitu mengklasifikasi pola kesopanan berbahasa, menganalisis pola kesopanan berbahasa dan memetakan struktur bahasa dalam Melunas Rindu. Dapatan kajian ini akan dapat memberikan input baharu dengan nilai tambah, iaitu bahan Konsas ini diteliti dari perspektif pemikiran yang lebih tinggi dengan menggunakan teori-teori linguistik. Kajian ini juga menyumbang ke arah memperkaya khazanah dalam bidang pragmatik selain mengisi kekurangan kajian dengan menggunakan bahan Komsas. Seterusnya, dapat memberikan pendedahan tentang tatacara berkomunkasi kepada khalayak sasaran agar membudayakannya dalam kehidupan. Kajian ini menggunakan antara lainnya kaedah kepustakaan, analisis teks dan kaedah kuantitatif. Kajian ini mengaplikasikan dua teori, iaitu model Prinsip Kesopanan Leech (1983) dan Prinsip Kerjasama Grice (1975) bagi membentuk Model Pola Kombinasi Maksim Umum (MPKMU). MPKMU mengandungi enam pola, iaitu Pola 1, 6 PS + 4 PK; Pola 2, 5 PS + 3 PK; Pola 3, 4 PS + 2 PK; Pola 4, 3 PS + 1 PK; Pola 5, 2 PS dan Pola 6, 1 PS untuk digunakan sebagai asas menganalisis data kajian. Analisis yang dilakukan telah mencapai ketiga-tiga objektif kajian ini.
Text
Kearifan tempatan dalam cerita rakyat Dayak Kanayatn : kajian hermeneutik
Abstrak
Cerita rakyat Dayak Kanayatn mencerminkan pelbagai ragam peristiwa kehidupan masyarakatnya yang berhubung kait dengan wold view, ajaran moral, dan pelbagai bentuk kearifan tempatan yang bermanfaat bagi pembinaan minda generasi muda. Pada kenyataannya semakin sedikit komuniti Dayak Kanayatn yang mempusakai cerita rakyatnya. Keadaan ini mendorong pengkaji untuk melestarikan cerita rakyat dengan merakam, mendokumentasikan, dan mengkajinya secara mendalam. Kajian ini difokuskan pada 16 buah cerita yang terkategori sebagai gesah dan singara. Objektif kajian dalam penyelidikan ini adalah menganalisis aspek-aspek kearifan tempatan, mentafsirkan simbol-simbol fizikal daripada kearifan tempatan, dan mentafsirkan simbol-simbol spiritual daripada kearifan tempatan Komuniti Dayak Kanayatn yang wujud dalam cerita rakyat. Pengkaji menggunakan metode kualitatif dan pendekatan hermeneutik menurut pemikiran Paul Riceour. Sumber data ialah cerita rakyat. Data dalam penyelidikan ini adalah aspek-aspek kearifan tempatan dan simbol-simbol kearifan tempatan yang wujud dalam kata, ayat, frasa, mahupun paragraph daripada cerita-cerita rakyat. Pemerolehan data dilakukan melalui kajian lapangan dan kajian kepustakaan. Analisis dan pentafsiran dilakukan dengan mengaplikasikan konsep simbol, konteks, kearifan tempatan, dan teori hermeneutik. Dapatan daripada penyelidikan menunjukkan bahawa aspek-aspek kearifan tempatan itu mencakupi pengetahuan tempatan, nilai-nilai tempatan, teknologi dan keterampilan tempatan, sumber daya tempatan, sistem pengambilan keputusan tempatan, dan kesolideran kelompok tempatan. Pentafsiran terhadap simbol-simbol fizikal daripada kearifan telah berjaya memaknai Sembilan belas simbol, iaitu rumah panjang, ladang, dango padi (lumbung), padi, beras, anak lembaran daun, sirih, dango uma (pondok ladang), paca ‘basa’, kepala kayau, senjata dan peralatan pertanian, gasing, perahu, makanan tradisonal, hutan, burung enggang, babi, tikus dan burung pipit, serta burung keto, buria, kutuk dan binatang rasi.
Text
Ilustrasi visual dalam manuskrip Pelaga Lembu : analisis semiotik model inderalogi
Abstrak
Bidang kesenian merupakan cabang komunikasi secara tampak antara sesama manusia melalui pelbagai kaedah perlambangan daripada sistem tanda yang ditandai dengan makna-makna tertentu menerusi komponen visual. Justeru, kandungan seni ilustrasi daripada visual tradisi alam Melayu merupakan medium manifestasi makna yang meliputi nilai intelektual dalam sesebuah masyarakatnya. Makna yang hadir menerusi komponen ilustrasi memberi indikasi nilai tertentu dalam konteks ilmu pengetahuan, merentasi kepelbagaian budaya dan kepercayaaan. Oleh yang demikian, fokus utama kajian ialah mengenai proses interprestasi makna tanda ilustrasi visual yang terdapat dalam manuskrip Pelaga Lembu dan hubungannya dengan konsep ilmu pengetahuan mengikut resam tradisi. Terdapat kebih 100 jenis ilustrasi visual dalam 312 bab dalam manuskrip, seperti ilustrasi jin, wakaf, diagram, kaligram, tanda bab, figura manusia, jadual, fauna dan khat, dianalisis secara semiotik bagi menterjemahkan nilai simbolik di sebalik kewujudannya. Bagi merealisasikan penyelidikan ini, pengkaji menggunakan tiga konsep gabungan teoretikal, iaitu Kesatuan Organik (Orvick, 1994) bagi aspek seni visual, Semiotik Tanpa Had (Charles Sanders Peirce, 1914) bagi aspek kaedah interprestasi tanda makna dan teori justifikasi Ilmu Pengetahuan oleh Al-Ghazzali (1056-1111) bagi aspek penerapan konsep ilmu mengikut bimbingan Al-Quran dan hadis. Kombinasi ketiga-tiga konsep teoretikal ini menghasilkan Semiotik Model Inderalogi dan diaplikasikan sepenuhnya pada peringkat analisis isi kandungan makna ilustrasi visual. Hasil kajian sistematik ini menunjukkan bahawa penalaran makna sentiasa berkembang sehingga menemukan dwifungsi kebenaran. Kebenaran alam nyata menyangkit makna daripada nilai budaya setempat manakala kebenaran alam metafizik berhubung dengan aspek spiritual, mistik dan keagamaan. Fenomena makna dalam ragam kesenian visual tradisi membuka ruang pemikiran baru dalam konteks seni semasa. Sekali gus, memperlihatkan kebijaksanaan seniman manuskrip Melayu mengolah, mereka bentuk dan menstrukturkan ilustrasi menjadi sebuah jambatan kerohaniaan menerusi laras pengetahuan budaya di samping nilai estetika.
Text
Model rasa insaniah dalam puisi Islam tiga penyair Nusantara
Abstrak
Puisi Melayu moden mempunyai sejarah dan perkembangan yang amat baik di Nusantara. Bermula daripada puisi-puisi yang bertemakan perjuangan, menuntut kemerdekaan hinggalah kepada tema keislaman. Kekeliruan mula timbul apabila puisi Melayu moden yang membawa persoalan keislaman wajar disebut puisi Islam atau puisi berunsur Islam? Oleh itu, kajian ini akan cuba menjelaskan dan menjawab persoalan kajian terhadap gagasan ‘Model Rasa Insaniah’ (MRI), iaitu mengenal pasti kesesuaian prinsip-prinsip Model Rasa Insaniah dalam menganalisis unsur-unsur dakwah, terhadap dalam puisi tiga penyair, iaitu Rahimidin Zahari (Malaysia), Jamal D. Rahman (Indonesia) dan Johor Buang (Singapura). Model ini merupakan hasil pengubahsuaian dan penambahbaikan tiga teori tempatan sedia ada, iaitu Teori TAKMILAH (Shafie Abu Bakar), Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang) dan Rasa-Fenomeonologi (Sohaimi A. Azi). Titik pertembungan ketiga-tiga teori ini ialah kemunculan gagasan yang bersifat Melayu-Islam. Model Rasa Insaniah ini terdiri daripada tiga prinsip utama, iaitu (1) Prinsip pengabdian kepada Allah (SWT, (2) Prinsip pengucapan Beradab, dan (3) Prinsip kehalusan makna. Ketiga-tiga prinsip ini mempunyai peralian yang amat rapat antara penulis dengan Allah SWT (sebagai hamba dan pengabdian), penulis sebagai pendakwah (beradab dan berakhlak dengan bercirikan sifat kerasulan), dan penulisan dengan karya (kehalusan makna atau estetika).
Text
Novel Kawin-kawin : analisis konteks
Abstrak
Kajian konteks dalam novel kawin-kawin adalah untuk melihat bagaimana komponen-komponen yang wujud dalam konteks, iaitu latar, peristiwa bahasa dan hubungan antara pameran memainkan peranan penting bagi mewujudkan konteks yang berkesan dan akhirnya melahirkan wacana atau cerita novel. Kajian aspek konteks ini penting kerana kajian akan menunjukkan cara untuk mengungkapkan bahasa bersesuai dengan konteks agar sesuatu komunikasi itu berjalan dengan lancar. Kajian konteks ini akan tertumpu terhadap aspek yang mempengaruhi kewujudan sesuatu konteks, iaitu latar, peristiwa bahasa dan hubungan antara pameran.
Kajian ini berdasarkan sebuah novel karya Azizi Hj. Abdullah yang bertajuk kawin-kawin sebagai bahan kajian. Novel ini telah memenangi anugerah pertama dalam pertandingan Hadiah Sako II. Sebanyak dua puluh dua fasal terdapat dalam novel tersebut. Cerita yang dipaparkan ialah realiti kehidupan masyarakat yang mengamalkan perkahwinan mut’ah dan perkahwinan ta’liq.
Text
Penjagaan kesihatan wanita Melayu Kampung Selarong, Perak
Abstrak
Kajian ini dibuat ke atas sekumpulan wanita Melayu luar bandar di sebuah kampung di Perak bagi mengetahui amalan penjagaan kesihatan yang dilakukan oleh mereka. Kajian ini cuba mengupas perlakuan kesihatan wanita Melayu serta peranan budaya di dalam mempengaruhi amalan penjagaan kesihatan mereka. Pendekatan yang digunakan di dalam menghasilkan penyelidikan ini ialah dengan menggunakan kaedah antropologi kesihatan di mana pemerhatian turut serta dan kaedah temubual mendalam dilakukan bersama wanita Melayu luar bandar yang dikaji. Fokus kajian ini ialah perlakuan penjagaan kesihatan yang dilakukan secara berulang-kali dan berterusan oleh wanita Melayu luar bandar untuk menjaga kesihatan mereka, termasuklah amalan kebersihan harian, senaman, urutan, amalan pemakanan serta penggunaan pantang-larang pada petua di dalam mengekalkan kesihatan mereka.
Text
Bahasa melayu perbualan dengan berdasarkan analisis model pragmatik gabungan tambahan
Abstrak
Kajian ini mengetengahkan dan menggunakan Model Pragmatik Gabungan Tambahan sebagai asas bagi menganalisis bahasa Melayu perbualan. Model ini mengambil dan menggabungkan beberapa elemen tertentu daripada model pragmatik awal di samping menambah beberapa elemen yang lain khusus untuk tujuan penganalisisan tersebut. Elemen-elemen tambahan itu secara khusus mengambil kira konteks sebenar penggunaan bahasa dan budaya penutur bahasa Melayu itu sendiri. Model ini terdiri daripada dua komponen jenis (kriteria linguistik) yang mengandungi 9 elemen dan komponen fungsi (kriteria pragmatik) yang mengandungi 28 elemen.
Data kajian ini terdiri daripada bahasa Melayu perbualan yang melibatkan 288 orang penutur-pendengar. Ia dirakamkan daripada 50 peristiwa pertuturan di sebuah sekolah menengah di Negeri Sembilan. Data kemudian ditranskripsikan dalam bentuk ayat-ayat ujuran penutur dan seterusnya menjadi bahan yang dikaji. Bahan tersebut dikategorikan kepada lima jenis teks formal dan lima jenis teks tidak normal.
Text
Amalan tradisi "kejawen" dalam seni pemainan kuda kepang di negeri Johor
Abstrak
Kuda kepang merupakan seni tari persembahan masyarakat Jawa yang terdiri daripada dua bentuk kegiatan iaitu tarian untuk tujuan hiburan dan permainan yang mempunyai upacara ritual. Amalan ritual yang dilakukan sebelum persembahan tarian bermula telah mengubah corak persembahan kuda kepang daripada bentuk seni tari kepada permainan. Kedua-dua bentuk kegiatan kuda kepang telah diharamkan oleh jawatankuasa mufti negeri Johor kerana amalan ritual yang dilakukan/dijalankan mengamalkan unsur khurafat dan syirik. Pengkajian berbentuk kualitatif dengan reka bentuk kajian ini menganalisis hubungan unsur ritual, mengesan unsur mabuk dan merumus amalan ‘’kejawen’’ dalam seni permainan kuda kepang yang membabitkan pendokong kegiatan yang beragama Islam di Johor. Fokus kajian terhadap kegiatan permainan ini membabitkan amalan kejawen masyarakat Jawa yang telah dikatakan wujud sebelum kedatangan Islam ke Pulau Jawa dan Nusantara pada sekitar abad ke tujuh. Hasil dapatan kajian memperlihatkan amalan kejawen yang diakukan ini mampu menyebabkan permain itu mabuk mengubah corak persembahan tarian kuda kepang kepada permainan upacara ritual. Kandungan data selari dengan teori Roy A. Rappaport yang menyatakan bahawa sesuatu tarian dikategorikan sebagai tarian ritual apabila berlakunya proses upacara tersebut sebelum persembahan dimulakan.
Text
Lawi ayam : aesthetic experience and design-user system assesment of a Malay weapon artefact
Abstrak
Pelestarian terhadap pengetahuan produk kebudayaan Melayu adalah amat perlu bagi memantapkan pembangunan reka bentuk produk dalam era budaya baharu. Walaupun banyak kajian mengenai artifak budaya Melayu di Malaysia, namun tiada informasi yang terperinci tentang pengetahuan mampan pengalaman estetik penggunanya. Malah, kebanyakan dokumestasi sering menjurus kepada konteks tertentu artifak popular yang sudah begitu lazim dalam kebudayaan Melayu. Akibatnya, pereka tempatan mempunyai pemahaman yang rendah tentang artifak gunaan Melayu kerana kurangnya kajian rapi yang mengambil kira reka bentuk dan sains manusia dalam pengalaman pengguna. Kajian ini memaparkan pemahaman pengetahuan tersebut boleh dikembangkan ke peringkat yang tinggi dari segi ilmu asset ketara dan juga tidak ketara untuk diberi paradigma baharu dalam konteks reka bentuk produk budaya Melayu. Tujuan kajian ini adalah untuk membangunkan sistem reka bentuk-pengguna melalui penilaian terhadap pengalaman estetik pada artifak senjata Melayu bagi memantapkan pengetahuan reka bentuk produk budaya Melayu dengan artifak Lawi Ayam sebagai kajian kes, Kajian ini menggunakan kajian literature dan pemerhatian analitikal pada artifak LA Melayu untuk mendokumentasi karakteristik fizikal reka bentuk dan ilmu tersirat untuk analisis sintaktik. Seterusnya, pemerhatian penuh dan temu bual separa-berstruktur digunakan untuk memahami pengalaman estetik pengguna LA melalui analisis pragmatik dan evaluasi kebolehgunaan artifak. Akhir sekali, kajian ini menggunakan ujian pengesanan mata bagi menyeliidk respon tingkah laku mata dan kognitif melalui pengalaman estetik pra-wujud leh pengguna ketika mengevaluasi reka bentuk artifak LA dengan gabungan dua pengetahuan oleh konteks artifak LA (pengukuran sintaktik) dan konteks pengguna (pengukuran pragmatik).
Text
Keruntuhan Akhlak Dalam Novel-novel Melayu Terpilih Berdasarkan Model Elemen Keruntuhan Akhlak
Abstrak
Kajian ini merupakan sebuah penelitian berkaitan elemen keruntuhan akhlak yang melingkari kehidupan masyarakat Melayu berdasarkan novel-novel Melayu tempatan. Antara novel yang dikaji, ialah Salina (2016), Sungai Mengalir Lesu (1997), TIVI (2018), Patriarch (2010), Perempuan Politikus Melayu (2016) Profesor (2017), Permasalah kajian ini bertitik tolak daripada usaha untuk mengenal pasti serta memahami bentuk-bentuk keruntuhan akhlak yang diketengahkan menerusi karya-karya sastera dan kerterbatasan sumber rujukan di peringkat kajian ilmiah berkaitan perihan tersebut. Tiga objektif telah ditetapkan dalam penyelidikan ini, iaitu menjelaskan elemen keruntuhan akhlak berdasarkan Model Elemen Keruntuhan Ahklak (MEKA), menganalisis elemen keruntuhan akhlak dalam novel-novel terpilih berdasarkan MEKA dan akhir sekali menilai elemen keruntuhan akhlak yang dominan dalam novel-novel terpilih berdasarkan MEKA. Kajian ini menggunakan kaedah kajian kepustakaan dan analisis teks dengan mengaplikasikan Model Elemen Keruntuhan Akhlak (MEKA), iaitu hasil penyesuaian daripaada Teori Kajian Budaya, Chris Barker (2012) dengan Pendekatan Ihya ‘Ulumuddin, Al-Ghazali (2013). MEKA mengandungi tiga prinsip utama iaiatu Tindaan yang Memusnahkan, Bahasa yang merosakkan dan Kuasa yang Membinasakan. Prinsip Tindakan yang Memusnahkan menerangkan bentuk-bentuk keruntuhan akhlak yang dilakukan secara sengaja oleh pelaku dan perbuatan tersebut bukannya bersifat menyakiti atau merugikan pihak lain. Prinsip bahasa yang Merosakkan pula membincangkan bentuk-bentuk bahasa yang tidak wajar diamalkan dalam persekitaran hidup masyarakat Melayu hingga dikategorikan sebagai kelompok elemen keruntuhan akhlak dalam aspek bahasa.
Text
Persepsi pengguna terhadap serat tandan sawit ke arah pembangunan produk kraf
Abstrak
Penyelidikan ini membentangkan satu konsep pembangunan material yang berasaskan Persepsi Pengguna Terhadap Serat Tandan Sawit. Objektif utama penyelidikan adalah mengukur tahap persepsi pengguna terhadap penggunaan serat tandan sawit untuk diaplikasikan dalam pembuatan produk kraf. Selain itu, konsep pembangunan material yang dibangunkan, bertujuan bagi memenuhi keperluan pendidikan material dalam bidang seni dan kraf, di peringkat pengajian tinggi tempatan. Penyelidikan ini melibatkan lima (5) pemboleh ubah, iaitu pengetahuan material, pengalaman sensori, kesedaran potensi, penerimaan estetika dan pembangunan produk kraf. Kaedah penyelidikan Mixed Method Sequential Explanatory Design telah digunakan dengan melibatkan dua fasa, iaitu fasa kuantitatif dan fasa kualitatif. Kedua-dua kaedah tersebut bertujuan bagi menghasilkan dapatan yang lebih jelas dan kukuh, disamping memantapkan sokongan kepada hasil dapatan dalam fasa kuantitatif. Kaedah triangulasi data, iaitu pengumpulan data melalui instrumen soal selidik, temu bual dan pemerhatian telah digunakan dalam penyelidikan ini. Responden penyelidikan pula terdiri daripada pelajar seni dan professional dalam bidang kraf dan tekstil.
Dalam penyelidikan ini, data soal selidik yang diperolehi menerusi fasa kuantitatif telah dianalisis secara deskriptif dan inferensi melalui penggunaan perisian SPSS 24.0. Analisis deskriptif dijalankan untuk menilai tahap kekerapan, peratusan, min dan sisihan piawaian. Manakala analisis inferensi pula, ujian MANOVA, Kolerasi Pearson dan Regerasi Beganda, digunakan untuk mengenal pasti perbezaan, hubungan dan pengaruh antara setiap pemboleh ubah. Seterusnya, fasa kualitatif pula telah melibatkan data yang diperolehi melalui penggunaan instrumen temu bual dan pemerhatian.
Text
Konsep pakaian cara Melayu : satu kajian analisis budaya benda
Pendahuluan
Secara umum pakaian selalu dihubungkan dengan fungsi gunaan. Dipakai menutupi tubuh untuk mengelakkan daripada kesan panas atau dingin. Di zaman prasejarah, manusia menggunakan bahan-bahan yang sederhana untuk dijadikan pakaian. Manusia mengolah bahan daripada alam asemula jadi : jalian serat tumbuhan seperti rumput, lalan atau kulit binatang sehinggalah ke zaman munculnya peradaban benang dan proses menenun – pakaian telah menjadi aspek budaya benda yang penting dalam melangsungkan kehidupan. Begitu juga dengan tradisi pakaian di wilayah budaya Melayu.
Pengertian ‘PakaianTradisinal Melayu’ tidak terbatas kepada pemaikaian kain dan baju sahaja. Ia merupakan sebahagian daripada kelengkapan adat istiadat masyarakat dalam memenuhi kehidupan yang meliputi nilai, norma dan keindahan budaya Melayu.’ Konsep Pakaian Cara Melayu : Satu Kajian Analisi Aspek Budaya Benda’ ini memusatkan kepada masalah mencari dan menentukan identity budaya Melayu. Kajian di wilayah budaya Melayu sebagai satu lingkaran budaya memperlihatkan ciri-ciri persamaan pola budaya, sehingga dalam memerkatakan tentang pakaian tradisional sebenarnya diperkatakan juga tentang masyarakat dan etnik asal penduduk dalam lingkaran budaya yang sama mengalami proses perkembangan kebudayaan dalam tempoh tertentu. Secara umum istilah wilayah budaya Melayu adalah dirujuk kepada batas budaya sejak prasejarah dan berkesinambungan hinggaabad ke-19 iaitu sebelum penaklukan Barat yang telah membahagikan wilayah budaya Melayu ke batas politik seperti kita kenali hari ini.
Text
Kata majmuk dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai : suatu analisis perbandingan morfologi
Abstrak
Tesis ini merupakan satu cubaan pertama untuk mengkaji secara perbandingan kata majmuk dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai yang merupakan satu unsur yang penting dalam bidang morfologi. Pendekatan yang digunakan ialah teori morfologi yang berdasarkan kriteria sintaksis dan kriteria semantik.
Kajian ini dilakukan dengan tujuan untuk mengenal pasti konstruksi kata majmuk, penjenisan kata majmuk, bentuk kata majmuk serta fungsi dan maknanya dengan cara mengkaji dan menganalisis kata majmuk yang terdapat dalam bahan-bahan yang dikaji. Data yang digunakan untuk analisis berdasarkan dua puluh satu naskah majalah dalam bahasa Melayu, dan dua puluh satu naskah majalah dalam bahasa Thai yang diterbitkan dalam tahun 1993-1994.
Analisis-analisis yang dijalankan menunjukkan bahawa kata majmuk dalam bahasa Melayu dan bahasa Thai, pada amnya, mempunyai persamaan dalam penggunaan konstruksi bentuk kata majmuk, fungsi dan maknanya. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan dari segi jumlah penggunaan, penjenisan dan perician konstruksi bentuk kata majmuk. Perbezaan ini disebabkan perbezaan jenis keluarga bahasa di antara bahasa Melayu dan bahasa Thai, yang menyebabkan bahasa Melayu mempunyai cara pembentukan kata melalui proses pengimbuhan, tetapi bahasa thai menekankan proses pembentukan kata yang berkaitan dengan unsur nada.
Kajian ini menunjukkan bahawa banyak maklumat dapat dikumpulkan daripada kajian perbandingan yang memberi manfaat kepadaahli-ahli bahasa. Kajian susulan yang lebih lanjut perlu dibuat tentang perbandingan antara kata majmuk dalam bahasa Mekayu dan bahasa Thai dalam data-data yang lain, misalnya dalam laras-laras sains dan teknologi semasa, sastera, cerita rakyat, buku kanak-kanak dan surat khabar.
Text
Ideologi penulis-pengarah teater alternatif Melayu terpilih di stor teater DBP(2003-2014)
Abstrak
Teater kontemporari di Malaysia di awal era 2000 mempunyai perkaitan dengan kewujudan panggung nasional, Istana Budaya yang dibuka secara rasmi pada tahun 2000. Istana Budaya diawal penubuhannya memberi peluang kepada pengarah-pengarah teater ternama dengan karya-karya berskala besar yang menyokong aspirasi nasional. Kesan dari itu, peluang bagi penggiat-penggiat teater baharu untuk mengenengahkan idea kreatif dari segi penulisan dan pengarahan mereka sendiri terutamanya dari golongan graduan menjadi terhad. Istilah teater alternative dirungkai dalam kajian ini sebagai manifestasi kepada kemunculan satu kelompok kecil penggiat-penggiat teater yang mencari alternative untuk mementaskan teater berskala kecil di Kuala Lumpur yang bermula pada tahun 2003 di sebuah panggung ‘kotak hitam’ (black box) yang diberi nama Stor Teater DBP. Kajian ini membincangkan secara terperinci mengenai bentuk teater alternative Melayu di Malaysia dengan memberi penekanan terhadap ideologi penulis-pengarah dalam pementasan teater alternative yang dijalankan di premis persembahan khas terletak di Dewan Bahasa dan Pustaka yang dikenali sebagai Stor Teater DBP sejak kewujudannya pada 2003 sehingga pada tahun ia ditutup untuk tujuan membaikpulih iaitu pada tahun 2014.
Text
Bahasa dan ideologi manifesto Pakatan Harapan melalui analisis wacana kritis
Abstrak
Kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (Pru ke-14) membuktikan wacana sememangnya berperanan dan berkeupayaan membina ideologi sesebuah parti politik sehingga Berjaya menarik sokongan rakyat dan menang dalam PRU-ke-14. Justeru, kajian bahasa dan ideologi dalam manifesto Pakatan Harapan dilakukan untuk memaparkan cara bahasa dimanfaatkan dalam wacana, khususnya mentafsir ideologi Pakatan Harapan. Oleh itu, secara khusus objektif kajian ini adalah untuk mengklasifikasikan bahasa dan ideologi manifesto Pakatan Harapan melalui analisis tekstual, membicangkan bahasa dan ideologi manifesto Pakatan Harapan melalui wacana praktis dan menganalisis bahasa dan ideologi manifesto Pakatan Harapan melalui analisis wacana sosial. Kajian ini mengaplikasikan kaedah kualitatif untuk menafsir ideologi Pakatan Harapan berdasarkan teori wacana kritis tiga dimensi yang dimajukan oleh Fairclough (1995). Berdasarkan analisis tekstual, wacana praktis dan praktis sosial, pengkaji telah Berjaya menafsir dua ideologi dalam wacana manifesto Pakatan Harapan, iaitu ideologi menyahterakan rakyat dan ideologi pentadbiran berintegriti. Hasil kajian menerusi dimensi tekstual mendapati aspek nahuan, leksikal dan kohesi yang digembleng dalam wacana manifesto Pakatan Harapan telah berupaya mengukuhkan ideologi yang ingin disampaikan oleh Pakatan Harapan kepada rakyat. Menerusi dimensi wacana praktis pula, aspek intertekstualiti, interdiskursiviti dan kandungan teks telah Berjaya mentafsir ideologi Pakatan Harapan untuk disampaikan kepada rakyat. Praktis sosial menerusi aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan politik berkeupayaan mentafsir dua ideologi dalam wacana manifesto Pakatan Harapan, iaitu ideologi menyahterakan rakyat dan ideologi pentadbiran berintergriti.
Text
Kata kerja gerak dalam dialek Kedah
Sinopsis
Tesis ini adalah satu analisis semantik kata kerja gerak dalam dialek Kedah, iaitu dialek Melayu yang dituturkan di utara Malaysia Barat, khususnya di negeri Kedah. Kajian ini adalah berdasarkan kaedah analisis komponen semantik, iaitu kaedah yang bertujuan menemui dan menyusun komponen-komponen makna perkataan yang biasa termasuk ke dalam lapangan semantik yang sama.
Tesis ini terbahagi kepada bab. Bab I membincangkan perkara-perkara asas yang berkaitan dengan penulisan tesis ini, iaitu tujuan dan bidang kajian, dan latar belakang teori yang diterapkan. Bab II memperkatakan tentang latar belakang dialek Kedah dari aspek penyebaran, fonologi, morfologi dan sintaksis.
Bab III membincangkan penggolongan kata kerja dalam dialek Kedah berdasarkan ciri-ciri morfologi, sintaksis dan semantik. Tujuan bab ini ialah untuk memperlihatkan bagaimana kata kerja boleh digolongkan kepada berbagai-bagai golongan berdasarkan ciri-ciri yang berlainan.
Bab IV membincangkan ciri-ciri kata kerja gerak, khususnya mengenai konsep gerak dan hubungannya dengan pergerakan benda-benda konkrit dan hal-hal yang abstrak, perkaitannya dengan ruang dan masa dan unsur-unsur yang terlibat dalam sesuatu pergerakan.
Bab V membincangkan komponen-komponen semantik gerak yang dimiliki oleh kata kerja gerak dalam dialek Kedah dan Bab VI merupakan penutup tesis ini. Pada bahagian penutup ini diberi kesimpulan mengenai komponen-komponen semantik gerak denan membuat satu penggolongan berdasarkan pola-pola struktur yang tertentu.
Text
Indeks kognitif : analisis Bahasa Melayu dan Bahasa Orang Asli
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai indeks kognitif bahasa Melayu (BM) dan bahasa Orang Asli (BOA) yang melibatkan makna kamus, iaitu makna kognitif. Data korpus kajian ini terdiri daripada 100 senarai kata bahasa Semai yang lazim digunakan dalam masyarakat Orang Asli Suku kaum Semai dari kumpulan Semai dengan mengambil kira senarai kata Morrish Swadesh. Keseluruhan analysis dalam tesis ini menggunakan Model Semiotik Paling Luas (MSPL). Terdapat empat tujuan, iaitu menganalisis lambing kata nama (KN) dalam BM dan BOA sebagai salah satu jenis tanda, menunjukkan indeks kognitif lambang KN konkrit, abstrak dan ghaib BM dan BOA, menganalisis perbandingan dengan berdasarkan kategori dan jenis KN dan menguji model yang dibina, iaitu MSPL.
Text
Pantun nikah kahwin dalam masyarakat Melayu Bengkalis 'kajian struktur fungsional'
Abstrak
Penulisan ini merujuk pada sebuah kerangka teori yang sesuai dengan kajian tradisi pantun nikah kahwin masyarakat Melayu Bengkalis iaitu struktur fungsional. Kajian ini melihat tradisi nikah kahwin yang masih berfungsi pada masyarakat Melayu Bengkalis dengan tatanan kehidupan yang dimilikinya. Tatanan kehidupan itu dapat dilihat dengan masih adanya pantun struktur fungsional pantun yang mengikat pada tradisi pantun nikah kahwin tersebut. Fungsi yang mengikat ini terjalin erat dengan adat istiadat, agama dan bahasa yang saling dukung mendukung dalam tradisi tersebut sehingga menjadi satu kesatuan yang utuh.
Pewarisan sebuah tradisi dipengaruhi oleh faktor internal dan eksternal. Faktor internal terkait dengan pola pewarisan dari masyarakat pemilik tradisi tersebut. Bagaimana penutur pantun mewariskan dan mengajarkan kepada generasi yang lebih muda. Pewarisan perlu segera dilakukan, mengingatkan para penutur pantun berada dalam usia tua. Penutur pantun sebagai penjaga tradisi hanya bersisa tiga orang saja. Sementara faktor eksternal terpakai dengan adanya bantuan atau intervensi pihak luar. Bantuan atau intervensi ini biasa datang dari pemerintah setempat seperti melalui kebijakannya. Dapat juga dari kalangan akademis atau pemerhati budaya dengan melakukan pengkajian guna menemukan metode yang tepat agar suatu tradisi bertahan. Selain itum sebuah tradisi akan bertahan bila masih memiliki fungsi dalam kehidupan sosial budaya masyarakatnya.
Text
Sosiologi sastera : persoalan teori dan metode di sekitar sastera Melayu dan Indonesia
Pendahuluan
Pembicaraan ini mengenai dua aspek yang berbeza, aspek teori dan fenomena dalam sastera Melayu dan Indonesia. Yang satu lebih teoretikal, sedangkan yang lain berupa perlaksanaan.
Pembicaraan teori juga menyinggung metoda pelaksanaanya. Keduanya dapat dibezakan, tapi tak mungkin dipisahkan. Suatu teori mengambil bentuk melalui metoda pelaksanaanya. Akibatnya, dalam pembicaraan nanti disebutkan salah satu saja, mana yang lebih dipentingkan. Dengan begitu taklah bearti bahawa unsur lainnya tak penting atau tak ada,
Dalam membicarakan satu teori, disamping memberikan perkenalan, juga diberikan kritik, dari orang lain dan saya sendiri. Juga diberikan perlaksanaanya. Tapi supaya pembicaraan lancar, tak penuh sesak, perlaksanaan diberikan pada lampiran, apalagi contoh perlaksanaan itu cukup panjang. Namun begitu, tak semua teori akan diberikan contoh. Hanya teori yang langsung bekerja dengan teks, ini sesuai dengan penjurusan saya dalam mempelajari sastera. Dan teori ini memang menghendaki contoh perlaksanaan untuk menjelaskannya. Pendekatan kedua dari Swingewood (halaman 7) dan pendekatan Duvignaud tak akan dicontohkan. Keterangan yang diberikan pada bab berikut ini saya rasa sudah cukup menjelaskan.
Sesudah perbicaraan tentang tiap-tiap teori itu, ternyata ada kemungkinan lain, yang tak dapat di cakup oleh teori-teori itu. Kemungkinan lain itu dikemukakan dengan mengemukakan keadaan yang ada dalam sastera Melayu dan Indonesia, bagaimana fenomena perkembangan sastera Melayu dan Indonesia dapat didekati. Ini merupakan pembicaraan tentang aspek kedua yang lebih merupakan suatu perlaksanaan, meskipun pada hakikatnya ia tak mungkin terlepas dari landasan teori.
Data digunakan dalam pembicaraan ini adalah data yang berhubung dengan sastera Melayu dan Indonesia. Dan dengan menyedari sepernuhnya akan kemungkinan beberapa erti yang dipunyainya, saya menggunakan kedua istilah itu, Melayu dan Indonesia, dalam hubungan pengertian berikut :
(a) Penggunaan kedua istilah itu pertama kali dilandasi oleh fikiran yang pernah saya kemukakan dalam tahun 1960, yang kemudian saya ulang lagi dalam tahun 1969, yang melihat aspek politik yang melekat dalam penggunaan ‘bahasa Melayu’ dan ‘bahasa Indonesia’ di Indonesia. Yang kedua, ‘bahasa Indonesia’, sebelum perang dunia kedua, digunakan oleh pejuang kemerdekaan dan diistiharkan kelahirannya pada 28 Oktober 1928. Sebelumnya, ia belum lagi bernama ‘bahasa Indonesia’. Namun begitu, Belanda ketika itu masih tetap menemaninya sebagai ‘bahasa Melayu’ (of. U. Junus, 19601 1969).
(b) Pengertian Melayu tadi memang tak dapat dipisahkan dengan ‘bahasa Melayu’ dalam arti kebahasaan, yang tak membezakan antara ‘bahasa Melayu’ dan ‘bahasa Indonesia’. Pengertian ini juga dapat masuk ke dalam pengertian yang saya gunakan dalam pembicaraan ini.
(c) Meskipun kedua pengertian itu dapat dibezakan tapi ia tak dipisahkan dalam pembicaraan ini. Begitu juga halnya dengan kedua istilah itu. Dengan begitu, tak ada pembicaraan yang khusus dinamai ‘pembicaraan tentang sastera Melayu’ atau ‘ tentang sastera Indonesia’. Penggunaan kedua istilah itu tidak digunakan untuk membatasi pembicaraan, tapi untuk memungkinkan ruang-lingkup pengambilan data yang lebih luas.
Text
Hiburan dalam masyarakat Melayu bandaran 1870 hingga 1941 : satu kajian tentang pertumbuhan budaya popular
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai pertubuhan hiburan dalam masyarakat Melayu bandaran antara tahun 1870 hingga tahun 1941. Tujuan utamanya ialah mengkaji dan Menganalisa pertumbuhan unsur-unsur budaya popular bandaran yang muncul berikutan perubahan masyarakat itu. Bab I menerangkan ruanglingkup dan rangka konsep yang berikut dengan kajian.
Bab II menerangkan proses perubahan masyarakat Melayu berikutan dengan campurtangan pentadbiran kolonial inggeris yang bermula dalam abad ke 19. Perbincangan mengenai petubuhan bandar-bandar kolonial dan bentuk serta ciri-ciri budaya Melayu tradisional dilakukan dalam Bab III. Proses dalam perubahan dalam sistem-sistem politik dan ekonomi serta perkembangan pelajaran dan teknologi moden zaman colonial adalah faktor-faktor asas yang berkaitrapat dengan pertumbuhan budaya popular.
Dalam melihat pertumbuhan unsur-unsur budaya popular, khususnya hiburan dalam masyarakat bandaran, kajian ini menumpukan kepada pertumbuhan teater popular, musik, tarian dan lawak jenaka serta media hiburan filem dan radio. Bab IV menumpukan perhatian kepada teater popular Melayu yang muncul dalam akhir abad ke 19 dan mencapai kemuncak kegemilangannya dalam tahun-tahun 1920an dan 1930an. Pergerakan Bangsawan atau Opera berasaskan kepada ciri-ciri teater popular. Teater ini juga merupakan asas kepada pertumbuhan musik, tarian dan lawak jenaka secara popular. Perbincangan dalam Bab V menumpukan kepada pertumbuhan musik tarian dan lawak jenaka. Piring hitam sebagai media hiburan moden telah memperkembangkan musik Melayu secara popular. Media penting sebagai asas perkembangan hiburan yang sangat popular selepas Perang ialah filem dan radio. Perbincangan Bab VI ialah mengenai pertumbuhan filem dan radio sebagai media hiburan popular. Bab VII pula menumpukan kepada proses medenisasi dan urbanisasi unsur-unsur budaya Melayu. Perbincangan Bab ini merupakan beberapa rumusan dan generalisasi mengenai perumbuhan hiburan masyarakat Melayu zaman kolonial.
Jadi, pertumbuhan budaya bandaran semasa kolonial adalah memperlihatkan unsur-unsur budaya popular yang berkembang semakin kompleks kemudian. Pertumbuhannya adalah berikutan dengan perubahan masyarakat bandaran itu sendiri.
Text
Translating culture-specific items in children's dubbed animated series : a case study of Upin & Ipin
Abstrak
Pengajian terjemahan telah berubah daripada kaedah konvensional kepada proses moden dan kompleks ekoran perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi serta globalisasi media. Bidang terjemahan terkini juga melibatkan terjemahan skrin dan multimedia seperti lokalisasi, fansubbing, sari kata, sari kata opera, alih bahasa dan beberapa lagi. Penterjemahan untuk khalayak tertentu, contohnya khalayak kanak-kanak, ialah komunikasi antara kanak-kanak sebagai penonton dengan orang dewasa sebagai penterjemahnya. Kebiasaannya, golongan kanak-kanak sebagai penonton sasaran tidak mempunyai keupayaan untuk mengenal pasti pemanipulasian yang berlaku dalam teks atau versi terjemahan, terutamanya jika bahan teks itu mengandungi item khusus budaya. Tesis ini memilih sisi animasi kanak-kanak untuk meluaskan lagi ilmu tentang pelbagai aspek alih bahasa. Ia berkaitan dengan unsur budaya dalam kartun animasi kanak-kanak, selain untuk meningkatkan piawaian penterjemahan skrin di Malaysia. Kajian ini mengenal pasti Sembilan kategori item khusus budaya – seni, kepercayaan dan nilai-nilai, geografi, insfrastruktur, bahasa, benda, alam semula jadi, manusia dan sosial dalam siri animasi tempatan, Upin & ipin, dan kemudiannya menganalisis item-item tersebut berdasarkan kerangka teori berstruktur tentang ciri-ciri terjemahan audiovisual dan prinsip-prinsip alih bahasa kanak-kanak. Tesis ini juga mengkaji konsep item khusus budaya dalam budaya, gaya hidup, amalan, dan norma keagamaan dalam konteks orang Melayu Malaysia.
Text
Kecerdasan emosi dalam novel remaja
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk mengenal komponen-komponen kecerdasan emosi dalam novel-novel remaja dan pengaruh komponen kecerdasan emosi terhadap pembentukan sahsiah remaja dalam novel kajian. Kehadiran komponen kecerdasan emosi dapat dikesan melalui peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh watak yang pastinya mempunyai kaitan denga latar belakang watak dan tahap kecerdasan emosi yang dimiliki oleh remaja tersebut. Remaja yang pandai mengurus emosi pastinya memiliki sifat remaja unggul iaitu mempunyai keimanan yang kukuh, akhlak yang mulia dan disanjung oleh semua orang. Terdapat tiga objektif yang dicapai dalam kajian ini iaitu, mengenal pasti kehadiran komponen kecerdasan emosi pada watak-watak yang terdapat dalam teks kajian, menganalisis kecerdasan emosi yang terdapat pada watak-watak protagonis remaja berdasarkan Model Kecerdasan Emosi (MKE) dalam teks kajian dan menilai pengaruh dan kepentingan komponen kecerdasan emosi terhadap pembentukan sahsiah unggul watak protagonist remaja dalam teks terpilih. Kajian ini berlandaskan Teori Kecerdasan Emosi yang dipelopori oleh Mayer dan Salovey (1990) dan Teori Kecerdasan Emosi oleh Daniel Goleman (1995/1999). Selain itu, Pendekatan Tauhid juga diguna pakai untuk melihat apspek-aspek kerohanian Islam dalam diri remaja.
Text
Perkembangan istilah matematik dan sikap pengguna
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk melihat perkembangan istilah matematik bahasa Melayu dan mengenal pasti sikap pengguna terhadap istilah tersebut. Kajian dilakukan dengan membandingkan 50 istilah yang terdapat dalam buku istilah Fizik, Hisab dan Kimia (IFHK, 1968) dengan istilah yang terdapat dalam buku istilah Matematik untuk Sekolah-sekolah Malaysia (IMSSM, 2003). Istilah yang berubah kemudian dianalisis denga menggunakan kaedah analisis komponen makna. Seterusnya, kajian lapangan dilakukan dengan menggunakan instrumen soal selidik untuk melihat penerimaan penggunaan terhadap istilah tersebut. Sejumlah 122 responden dilibatkan dalam kajian yang terdiri daripada 109 tenaga pengajar, 7 pegawai kementerian, dan 6 editor. Selain itu, sikap penggubal istilah dilihat berdasarkan istilah yang dicipta oleh mereka.
Text
Novel-novel Faisal Tehrani : kajian intertekstualiti dan dakwah
Abstrak
Kajian ini menganalisis novel-novel Faisal Tehrani dengan menggunakan teori intertekstualiti dan teori Pengkaedahan Melayu. Novel-novel tersebut terdiri daripada 1515,1511H (Kombat), Tuhan Manusia Kalbu, Sasatul Ibaad, dan Ta’ziyah Karbala. Analsis novel-novel tersebut akan menggunakan tiga prinsip dalam teori intertekstualiti iaitu transformasi, modifikasi, dan ekspansi dan pendekatan dakwah dalam teori Pengkaedahan Melayu. Penggunaan kedua-dua teori dibincangkan bersama dalam meneliti sumber yang dirujuk oleh pengarang untuk menyampaikan dakwah kepada khalayak. Permasalahan kajian yang bertolak daripada Faisal Tehrani sebagai seorang yang merujuk, mengkaji, dan menyelidik sumber-sumber untuk berdakwah dalam menghasilkan novel akan diteliti oleh pengkaji. Manakala objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti hipogram, mengaplikasi teori intertekstualiti dan pengkaedahan Melayu, dan melihat kesesuaian penggunaan kedua-dua teori tersebut. Sumber-sumber hipogram dalam novel-novel Faisal Tehrani perlu dikenal pasti dengan menggunakan teori intertekstualiti. Manakala dalam membuktikan dakwah, pengkaji menggunakan pendekatan dakwah untuk mengulas bagaimana sumber yang dipetik dari luar digunakan dalam novel-novel yang dikaji. Dapatan kajian menunjukkan Faisal Tehrani menulis dengan merujuk hipogram untuk berdakwah dengan menggunakan teori intertekstualiti dan pendekatan dakwah. Kesimpulannya, kedua-dua teori ini adalah sesuai dibincangkan terhadap novel-novel Faisal Tehrani untuk berdakwah menegakkan Islam Supremasi (Keunggulan Islam).
Showing 101 to 150 of 155 results
Page
of 4
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->