Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (285 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Latihan ilmiah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Sosio budaya Melayu
Pelestarian rumah tradisi di Kota Lama Duyong, Terengganu
Abstrak
Bangunan bersejarah adalah warisan negara yang paling nyata dan tidak ternilai harganya. Rumah tradisi di Kota Lama Duyong adalah struktur warisan yang unik dan satu yang terbaik dipelihara seumpamanya. Ia adalah gabungan pelbagai gaya seni bina. Rumah itu terdiri daripada seorang Rumah Bujang Berpemeleh, dua Rumah Lima Bungkus, ruang dapur dan kawasan tandas. Terdapat empat jenis bumbung, dan ini mencerminkan empat gaya yang berbeza rumah Melayu tradisional di Pantai Timur. Kota Lama Duyong ini terletak di Pulau Duyung Kecil. Ia merupakan kota tinggalan sejarah yang telah dibina oleh Dato’ Biji Sura (Nik Muhamad bin Hitam) pegawai kanan Pentadbiran Negeri Terengganu (Seorang Hakim). Kota Lama ini adalah satu-satunya rumah yang dibina dengan batu-bata dan papan. Rumah ini dikelilingi oleh kubu dan disebabkan itulah ianya dinamakan Kota Lama atau “old Fort”. Penerapan nilai-nilai Islam terdapat dalam Kota Lama ini yang seni binanya merupakan seni bina Melayu Terengganu pada tahun 1920 an yang mana seni bina Terengganu amat kaya dengan warisan binaan tradisional. Kota Lama Duyong ini merupakan contoh bagi pengaruh yang kebanyakan rumah-rumah di sekitar Kota Lama Duyong ini sebahagian besarnya berdasarkan rumah tradisional Melayu. Kajian ini dilakukan bagi memastikan bangunan bersejarah terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Text
kesusasteraan melayu
Stilistik : Kajian aspek ayat dalam cerpen-cerpen terpilih Peter Augustine Goh.
Abstrak
Dalam bab 1 latihan ilmiah ini merupakan bahagian pengenalan dalam kajian ini. Dalam bab ini kandungannya lebih menumpukan pada perkara asas dalam menjalankan sesebuah kajian, iaitu pendahuluan, latar belakang kajian, pernyataan masalah, bidang kajian, objektif kajian, batasan kajian, dan bahan kajian. Berdasarkan bahan kajian ini, pengkaji akan menyatakan mengenai data yang dipilih dan juga latar belakang penulis cerpen yang telah dipilih, iaitu Peter Augustine Goh.
Seterusnya, dalam bab 2 perkara yang difokuskan ialah definisi stilistik dan cerpen . Melalui stilistik, pengkaji menghuraikan tentang kajian terdahulu yang telah dilakukan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu sebagai memberi pendedahan awal tentang kajian yang akan dilakukan. Seterusnya, pengkaji menghuraikan pula mengenai konsep cerpen Melayu secara umum bagi memberikan gambaran awal tentang genre data kajian yang dipilih. Selain daripada dua perkara utama tersebut, bab ini turut juga membincangkan tentang kerangka teori yang digunakan sebagai landasan kajian, iaitu teori yang dikemukakan Tatabahasa dewan bagi mengkaji ayat majmuk dan proses penerbitan ayat dalam bahasa Melayu.
Analisis kajian pula akan disentuh dalam bab 3. Bab ini memfokuskan pada analisis jenis-jenis ayat majmuk yang terdapat dalam data kajian. Terdapat tiga jenis ayat majmuk yang dikaji dalam bab ini. Iaitu ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan dan ayat majmuk campuran. Analisis ini untuk menunjukkan sama ada penggunaan ayat majmuk dalam cerpen mempengaruhi gaya bahasa penulisnya. Hal ini akan dibincangkan berdasarkan teori Tatabahasa Dewan dan juga teori-teori stilistik yang berkenaan. Kesimpulan bab ini akan merumuskan pembentukan ayat majmuk mempengaruhi gaya bahasa seseorang penulis, iaitu Peter Agustine Goh.
Pengkaji lebih memfokuskan pada analisis penerbitan ayat yang terdapat dalam data kajian bab 4. Terdapat tiga proses dianalisis, iaitu proses pengguguran, proses penyusunan semula dan juga berdasarkan teori Tatabahasa Dewan dengan merujuk juga unsur-unsur stilistik yang terbina berdasarkan penerbitan ayat dalam cerpen. Penerbitan ayat ini juga akan membuktikan sama ada proses kekreatifan dalam menulis atau menghasilkan ayat dalam cerpen memberikan impak dalam gaya bahasa seseorang penulis. Rumusan dalam kesimpulan bab ini pula akan menyatakan sama ada kesemua proses penerbitan ayat dalam bahasa Melayu digunakan oleh penulis atau hanya sebahagian sahaja dalam menghasilkan unsur-unsur stilistik berdasarkan struktur pembinaan ayat.
Kesimpulan keseluruhan hasil kajian akan dihuraikan dalam bab penutup, iaitu bab 5. Bab ini akan menyimpulkan seluruh aspek kajian yang telah dilakukan berdasarkan bab 3 dan juga bab 4. Selain itu juga terdapat saranan-saranan serta peringatan pada mana-mana pengkaji yang ingin menerokai bidang ini dengan lebih lanjut lagi.
Text
Sosio budaya Melayu
Pekerja asing dalam sektor perladangan kelapa sawit : Kajian kes di Ladang Tunjuk Laut, Kota Tinggi, Johor
Abstrak
Latihan ilmiah ini adalah berkaitan dengan pekerja asing Indonesia yang terlibat dan bekerja dalam sektor perladangan. Kajian kes telah dilakukan di Ladang Tunjuk Laut, Kota Tinggi, Johor.
Pada peringkat permulaan, pengkaji menjelaskan mengenai bidang kajian yang dilakukan dan metodologi yang digunakan. Pengkaji juga turut menjelaskan mengenai sejarah penghijrahan pekerja asing ke Malaysia dan tumpuan lebih kepada pekerja asing Indonesia. Banyak faktor yang telah memainkan dalam terjadinya proses migrasi ini iaitu yang terdiri dari faktor tolakan dari negara sendiri dan faktor tarikan pula faktor dari sesebuah negara lain yang menarik minat dan menjadi negara pilihan untuk melakukan migrasi.
Selain itu, diterangkan juga sejarah perusahaan dan penubuhan ladang kelapa sawit di malaysia dan tentang latar belakang kawasan kajian iaitu Ladang Tunjuk Laut. Organisasi kawalan yang terdiri daripada Johor Corporation, EPA Management Sdn.Bhd, dan Kulim (Malaysia) Berhad turut disertakan dalam kajian yang dilakukan. Pengkaji juga turut menyentuh mengenai prosedur pekerja asing Indonesia ini di ladang dan maklumat yang diperoleh mengenai mereka seperti sedikit latar belakang mereka.
Aspek ekonomi dan pekerjaan pula merangkumi aktiviti kerja yang dipecahkan kepada jenis pekerjaan, waktu bekerja, dan pengangkutan yang digunakan untuk bekerja. Berdasarkan kajian, pengkaji mendapati gaji yang diberikan kepada pekerja adalah berbeza iaitu terdiri daripada gaji hari, gaji borong, gaji penuaian buah sawit. Gaji yang diperolehi tersebut digunakan sebaiknya oleh pekerja asing Indonesia ini. Gaji tersebut digunakan untuk perbelanjaan seharian, simpanan peribadi, dan melakukan kiriman wang dikampung.
Dalam bab yang seterusnya disentuh mengenai aspek sosial. Kemudahan-kemudahan asas telah disediakan oleh pihak majikan. Kemudahan yang disediakan dapat memberi keselesaan dan kebajikan pekerja dijaga. Masa lapang mereka diisi dengan beberapa aktiviti seperti bersukan dan memancing. Berlaku juga hubungan sosial pekerja asing Indonesia ini dengan majikan, masyarakat setempat, rakan senegara, dan kampung halaman. Perancangan masa hadapan mereka pula, pengkaji mendapati majoriti dari mereka tidak berminat untuk menyambung kontrak bekerja.
Di akhir kajian pengkaji mendapati objektif kajian tercapai dan diselitkan juga mengenai isu pendatang asing yang semakin hangat diperdebatkan.
Text
sastera Melayu
Analisis makna kata flora dan fauna dalam struktur maksud pantun Melayu
Abstrak
Semantik merupakan satu bidang yang mengkaji aspek makna. Bidang semantik wujud sejak zaman Aristotle dan telah mengalami perubahan mengikut peredaran masa. Semantik adalah satu bidang yang amat penting dalam sesuatu bahasa. Bahasa merupakan bahasa merupakan satu alat untuk manusia berkomunikasi dalam sesebuah organisasi sosial. Bidang semantik merupakan satu aspek penting dalam sesuatu bahasa kerana ia memberi makna kepada maklumat serta pemikiran manusia.
99 rangka pantun yang telah dipetik daripada karya Agung : pantun Melayu. Pantun-pantun yang dianalisis merupakan pantun-pantun yang bertemakan ‘Bingkis Kasih’.
Tujuan kajian ini dilakukan ialah untuk menganalisis penggunaan kata nama flora bunga dan kata nama fauna burung yang berfungsi sebagai lambang di bahagian maksud pantun, membandingkan kekerapan penggunaan lambang kata nama flora bunga dan kata nama fauna burung di bahagian maksud pantun dan menghuraikan kepelbagaian rujukan makna dalam penggunaan sesuatu lambang.
Bab 1 membincangkan aspek-aspek yang menjadi dasar kajian ini seperti kajian latar belakang kajian, kaedah kajian dan konsep-konsep penting dalam kajian.
Bab 2 membincangkan tentang kerangka teoritis konsep semantik dan pantun. Analisis yang dilakukan adalah berdasarkan Model Klasifikasi-Struktur Bahagian Maksud Pantun. Terdapat empat jenis pengklasifikasian dalam model ini iaitu, Stuktur Implisit-Implisit, Struktur Eksplisit-Eksplisit, Struktur Implisit-Eksplisit dan Struktur Eksplisit-Implisit.
Bab 3 dan 4 merupakan analisis yang dilakukan, masing-masing ke atas kata nama flora bunga dan fauna burung. Dapatan yang diperolehi dalam bab 3 menunjukkan kata nama bunga diklasifikasikan kepada empat struktur manakala bab 4 menunjukkan kata nama burung diklasifikasikan kepada tiga struktur. Kedua-dua kata ini memperlihatkan dapatan yang sama iaitu, Struktur Implisit-Implisit menunjukkan dapatan tertinggi. Bagi kata nama flora bunga, terdapat sebanyak 26 (36.6%) rangkap pantun yang mempunyai Struktur Implisit-Implisit. Bagi kata nama fauna burung, terdapat sebanyak 11 (39.9%) rangkap pantun yang mempunyai Struktur Implisit-Implisit. Untuk dapatan terendah, pantun-pantun yang mengandungi kata nama flora bunga tergolong dalam Struktur Eksplisit-Eksplisit iaitu, sebanyak 11 (15.5%) rangkap. Bagi kata nama fauna burung pula, pantun-pantun tersebut tergolong dalam Struktur Eksplisit-Implisit iaitu, sebanyak 9 (32.1%) rangkap pantun. Dapatan ini juga menunjukkan sikap orang Melayu yang bersopan santun serta sering menyampaikan mesej secara berlapik. Orang melayu melakukan ini untuk tidak mendatang aib kepada individu yang menjadi sasaran.
Bab 5 pula merupakan kesimpulan daripada kajian ini dan cadangan kepada kajian lanjutan.
Text
Sosio budaya Melayu
Nilai dan norma masyarakat Melayu terhadap konsep kebersihan
Abstrak
Kajian ini merupakan satu tinjauan untuk mengkaji tentang nilai dan norma masyarakat Melayu terhadap konsep kebersihan ( nilai kebersihan). Dalam kajian ini,pengkaji telah membahagikan kepada beberapa bahagian atau bab. Pada bab 1, pengkaji membincangkan mengenai pengenalan, permasalahan kajian, skop kajian, kepentingan kajian, dan sorotan kajian atau kajian-kajian lampu. Pada bab 2, pengkaji membincangkan mengenai konsep=konsep atau definisi-definisi berkenaan dengan tajuk yang dikaji seperti konsep nilai, konsep norma, konsep bersih dan sebagainya. Pada bab 3 pula, pengkaji menghuraikan tentang aspek-aspek kebersihan yang terdapat atau terkandung dalam kebersihan luaran dan juga kebersihan dalaman
Seterusnya pada bab 4 adalah hasil data atau analisis soal selidik yang diperolehi mengkaji daripada soal selidik,dan juga temubual. Pada bab ini sangat penting kerana di bahagian inilah pengkaji dapat menemui data-data yang berkenaan dengan tajuk yang dibincangkan atau dikaji. Pada bab 5 iaitu bab yang terakhir atau penutup, disini pengkaji dapat merumuskan secara keseluruhan mengenai hasil kajian ini samada mencapai objektif atau tidak.
Text
Kesenian Melayu
Analisis unsur komunikasi silang budaya dan teori penterjemahan dalam novel TUNNELS dan terjemahannya terowong
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang unsur komunikasi silang budaya dan teori terjemahan yang digunakan dalam penterjemahan bahasa Melayu khususnya bagi karya terjemahan “Tunnels” oleh Roderick Gordon dan Brian Williams dan teks terjemahannya “ Terowong” yang diterjemahkan oleh Harny Abu Khir.
Kajian yang berfokus kepada fahaman sarjana barat, Peter Newmark (1986) tentang budaya dalam penterjemahan, pengkaji telah mengenal pasti dan menganalisis jenis-jenis budaya yang terdapat dalam novel. Dapatan kajian telah menunjukkan unsur-unsur budaya seperti ekologi, bahan budaya atau artifak, budaya sosial, organisasi, adat, aktiviti, tatacara, konsep dan gerak laku dan tabiat boleh didapati daripada novel kajian. Ternyata novel ini memang memaparkan banyak unsur budaya Barat yang jauh berbeza dengan masyarakat tempatan.
Dengan dapatan analisis kajian tentang unsur komunikasi silang budaya tersebut, pengkaji telah menilai teori yang digunakan pakai oleh penterjemah berpandukan teori terjemahan Eugene Nida (1963). Di sini, teori yang dicakupi dalam kajian ialah teori penyalinan semula maklumat, persamaan bukan keserupaan, persamaan sejadi/bersahaja, persamaan terdekat (dinamik), keutamaan makna dan kepentingan gaya.
Beberapa saranan kajian masa hadapan telah diajukan dan semua ini berarah kepada usaha memberi input penting kepada dunia penterjemahan dalam bahasa Melayu.
Text
Sosio budaya Melayu
Personaliti dan gaya hidup mak nyah : Satu kajian di Kuala Lumpur
Abstrak
Kewujudan golongan mak nyah dalam masyarakat bukanlah satu fenomena yang baru malah jumlahnya telah semakin meningkat. Kewujudan pelbagai istilah seperti “mak nyah”, “pondan”, “adik” dan “bapok” semuanya menjurus kepada golongan ini yang dilahirkan sebagai lelaki tetapi mempunyai kelakuan, perasaan, dan naluri sebagai wanita. Melihat dari sudut penampilan diri, mereka lebih cenderung ke arah kewanitaan seperti memakai beg tangan, aksesori dan pakaian wanita serta bersolek. Kajian ini dilakukan untuk mengetahui secara mendalam personaliti dan gaya hidup mak nyah. Kaedah temubual dan pemerhatian digunakan oleh pengkaji untuk mendapatkan maklumat berkenaan gaya hidup golongan mak nyah. Kajian ini dilakukan terhadap 10 orang responden di sekitar Kuala Lumpur kerana kotaraya ini memang terkenal dengan jumlah mak nyah yang lebih tinggi berbanding tempat-tempat lain di negara ini. Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati bahawa personaliti dan gaya hidup mak nyah sememangnya menjurus ke arah wanita meliputi pelbagai aspek seperti pembawaan diri dan gerak-geri,pergaulan dan komunikasi, penjagaan kecantikan, kesihatan, tubuh badan dan aktiviti sosial mereka. Selain itu, golongan ini juga sering mengadu bahawa mereka disisihkan oleh keluarga dan masyarakat. Dalam menempuh kehidupan sebagai mak nyah, didapati hanya sebilangan kecil sahaja responden yang benar-benar ingin menjadi wanita sepenuhnya sebaliknya lebih daripada separuh menyatakan bahawa mereka masih menyimpan hasrat untuk berubah. Oleh itu, satu usaha perlulah dijalankan untuk membantu golongan ini berubah dan kembali menjadi seperti lelaki normal yang lain.
Text
Daftar kata dan istilah teknologi Melayu dalam Pertanian Padi
Abstrak
Kegiatan pertanian padi merupakan salah satu daripada beberapa bidang pekerjaan yang terdapat dalam masyarakat Melayu. Penulisan ilmiah ini membincangkan mengenai istilah teknologi pertanian padi yang terdapat di dalam masyarakat Melayu. Istilah-istilah tersebut meliputi teknologi tradisional dan moden. Penghuraian mengenai proses-proses penanaman padi juga dilakukan. Huraian dibuat mengikut peringkat-peringkat penanaman. Setiap peringkat penanaman dan memproses padi memerlukan penggunaan teknologi dan istilah yang berlainan.
Selain itu, nama-nama benih padi yang digunakan dalam pertanian padi sejak zaman tradisional dan zaman moden turut dibincangkan. Masalah-masalah yang berlaku dalam pertanian padi yang boleh mengganggu tumbesaran pokok padi dan buahnya juga disentuh. Contohnya seperti serangan dan gangguan musuh atau perosak padi. Bersama-sama masalah tersebut turut dinyatakan teknologi yang diguna pakai sama ada tradisional mahupun moden sebagai langkah pengawalan.
Sebahagian lagi topik yang diulas dalam penulisan ini adalah berkenaan hasil-hasil padi. Hasil-hasil padi dibincangkan mengikut kategori-kategori tertentu.Hasil-hasil makanan yang berasal daripada padi , dikategorikan sebagai hasil utama padi. Manakala produk sampingan padi pula merupakan hasil bukan makanan seperti hasil padi yang digunakan untuk tujuan pembinaan, makanan ternakan dan kosmetik. Segala hasil padi yang dinyatakan merupakan hasil yang sering dan mudah ditemui di sekitar kita. Produk-produk ini juga selalu digunakan dalam kehidupan harian.
Text
Kosmologi dalam perbomohan di antara bomoh Melayu dan Bomoh Siam : Kajian kes di Kampung Bukit Mak Insun, Pendang, Kedah
Abstrak
Kosmologi terhadap perbomohan dan perbomohan Siam adalah di antara satu sama lain iaitu kedua-duanya mempercayai akan kewujudan kekuasaan dan kebesaran Tuhan serta mempercayai akan kewujudan alam ghaib. Selain itu, bomoh Melayu dan bomoh Siam juga mempercayai akan hubungan alam ghaib dalam alam manusia saling berkait di antara satu sama lain. Walaubagaimanapun, perbezaan di antara kedua-sua perbomohan Melayu dan Siam hanya dapat dilihat dari segi perawatan dan teknik-teknik dalam merawat dan berhubung dengan alam ghaib seperti jin, hantu, ‘khadam’, ‘syeikh’ dan sebagainya.
Text
Etnografi kampung : Tumpuan kepada industri pertukangan rumah di Kampung Belanja, Kiri Parit, Perak
Abstrak
Kampung Belanja Kiri merupakan salah sebuah perkampungan tradisional berdasarkan kedudukannya yang terletak di tepi tebing Sungai Perak. Dari segi sejarahnya kampung tersebut dikatakan maju berbanding dengan kampung-kampung yang lain berdasarkan penyediaan kemudahan pengangkutan air dan pembangunan deretan-deretan kedai. Daripada situlah bermulanya pertumbuhan rumah-rumah kediaman yang memerlukan kemahiran petukang-petukang untuk mendirikannya.
Pembuatan kerja tukangan rumah menjadi sebahagian daripada industri yang terdapat di negara ini. Industri ini bukan sahaja aktif di bandar-bandar malah juga di kampung-kampung. Pertukangan juga turut dikenali dan digolongkan sebagai seni perusahaan tangan. Seni ini telah mengisi keperluan kehendak dan permintaan masyarakat pada sesuatu masa.
Secara umumnya industri pertukangan rumah ini terdiri daripada tiga kategori pembuatan iaitu pembuatan rumah yang berbentuk tradisional, separuh tradisional dan moden. Merujuk kepada kerja tukangan di Kampung Belanja Kiri, ia terbahagi kepada dua iaitu pembinaan yang melibatkan ubah suai rumah dan pembinaan rumah moden.
Pengetahuan dan kemahiran dalam kerja tukangan ini diperolehi daripada proses pembelajaran dan pengalaman yang ditimba dan ia memakan masa yang agak panjang. Usaha mempraktikkan ilmu yang diperolehi dapat memudahkan dan mempercepatkan proses kecekapan dalam pembuatan rumah.
Bagi meneliti pembuatan kerja tukangan rumah ini, kajian telah menggunakan pendekatan pelbagai disiplin dan memberi tumpuan khusus ke atas aspek pembuatan tukangan rumah.
Pada peringkat awal perkembangan pembuatan rumah, ia melibatkan proses pembinaan yang ringkas dan sederhana. Pembinaan rumah tersebut dikenali sebagai rumah asas atau pondok. Kesemua konstruksi binaan adalah berasaskan tumbuhan-tumbuhan. Setelah itu, beralih pula kepada reka bentuk rumah tradisional yang lebih kompleks iaitu melibatkan struktur binaan rumah yang lebih tersusun memerlukan lebih ketelitian. Sehinggalah dewasa ini wujud pula reka bentuk rumah yang memperlihatkan ciri-ciri gabungan unsur tradisional dan moden dan unsur moden sahaja.
Text
Sosio budaya Melayu
Pertandingan belalang krek : Kajian kes di Kampung Kubang Teradeh, Pendang, Kedah
Abstrak
Pertandingan belalang krek merupakan satu bentuk pertandingan dalam masyarakat Melayu dan menjadi sukan rakyat yang diminati di beberapa tempat di Malaysia. Kenyaringan bunyi yang dihasilkan belalang krek membentuk minat hingga mencetuskan idea untuk menjadikannya satu bentuk pertandingan. Istilah ‘krek’ diambil daripada bunyi yang dihasilkan belalang tersebut. Penganjuran pertandingan belalang krek dalam masyarakat Melayu dilakukan di beberapa kawasan di negeri Kedah. Keunikan dan kemerduan bunyi belalang krek membolehkan ia dikomersialkan menjadi satu pertandingan.
Pertandingan belalang krek ini merupakan sukan rakyat yang membolehkan masyarakat Melayu memperkenalkan satu bentuk permainan tradisi kepada masyarakat umum. Kajian ini dilakukan untuk mengkaji dan mendokumentasikan pertandingan tersebut dalam masyarakat Melayu dengan menyentuh aspek-aspek tertentu yang terlibat dalam satu-satu pertandingan belalang krek. Antara aspek-aspek tersebut ialah diterangkan tentang belalang krek meliputi penangkapan dan penjagaan sebelum belalang itu dibawa masuk pertandingan, fungsi sosial pertandingan kepada masyarakat dan cadangan yang boleh dilakukan supaya pertandingan belalang krek dapat dipopularkan.
Text
Teknologi pembuatan Saguk Ubi : Tumpuan penduduk Pulau Pemanggil di perkampungan Tanjung Teresak Pak Kalleh Mersing Johor
Abstrak
Kajian ini membincangkan khusus tentang teknologi dan pembuatan Saguk Ubi yang merupakan antara makanan tradisi masyarakat Melayu di sekitar kepulauan Negeri Johor iaitu di Pulau Pemanggil Mersing. Matlamat utama kajian ini adalah untuk mendokumentasikan teknologi dan pembuatan Saguk Ubi. Selain itu kajian ini juga menyatakan serba sedikit tentang latar belakang kawasan kajian dan juga tentang kedatangan pokok ubi kayu di alam Melayu dan beberapa aspek lain yang berkaitan dengannya. Penekanan kajian ialah untuk melihat teknologi yang ada disebaliknya disamping perbincangan khusus tentang dapatan matlamat utama kajian yang dilakukan serta membincangkan sedikit beberapa perkara sampingan yang lain.
Text
Sosio budaya Melayu
Main Puteri : Suatu teknik perubatan dalam masyarakat Melayu Kelantan
Abstrak
Kajian yang dilakukan oleh pengkaji adalah mengenai persembahan Main Puteri yang digunakan untuk mengubati keuzuran yang dialami oleh pesakit yang berpunca daripada makhluk halus. Perubatan yang dijalankan ini masih lagi diamalkan oleh kebanyakan masyarakat yang masih mempercayai terhadap perubatan tinggalan nenek moyang kita dahulu. Perubatan dengan cara persembahan Main Puteri ini dipercayai mampu mengubati pesakit daripada gangguan makhluk halus menggunakan teknik perubatan tertentu.
Bagi membuktikan persembahan Main Puteri mampu merawat dan menyembuhkan penyakit yang berpunca daripada makhluk halus, kajian yang terperinci harus dilakukan untuk membuktikan kebenarannya. Oleh itu, pengkaji menjalankan kajian terhadap persembahan Main Puteri yang diadakan di Kampung Pauh Sembilan, Bachok, Kelantan. Kajian ini menuntut pengkaji untuk sama-sama menyertai persembahan Main Puteri yang diadakan untuk melihat sendiri persembahan yang dijalankan. Penyertaan pengkaji dalam persembahan ini membantu pengkaji mengutip maklumat yang pengkaji perlukan untuk melengkapkan hasil kajiannya. Selain itu, pengkaji turut menemui golongan yang arif dalam persembahan Main Puteri bagi maklumat tentang Main Puteri . Maklumat-maklumat ini penting bagi pengkaji untuk mengukuhkan lagi pengetahuan yang sedia ada tentang persembahan main Puteri.
Berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi, pengkaji akhirnya dapat mencapai matlamat kajiannya apabila berjaya mengutip maklumat yang diperlukan untuk kajiannya. Daripada kajian yang dihasilkan, pengkaji menemui penemuan baru mengenai persembahan Main Puteri dalam mengubati penyakit yang berpunca daripada makhluk halus. Akhirnya terbukti bahawa Main Puteri mampu mengubati penyakit seseorang yang berpunca daripada makhluk halus.
Text
Aspek kewanitaan dan feminisme : Satu analisis terhadap novel Perempuan politikus melayu
Abstrak
Norhasnizawati binti Awang : Aspek kewanitaan dan feminisme: Satu analisis terhadap novel Perempuan politikus melayu, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Penulisan latihan ilmiah ini adalah untuk memenuhi syarat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Kajian yang dilakukan ini bertujuan untuk membincangkan aspek kewanitaan dan feminisme yang terdapat dalam novel Perempuan politikus melayu karya Faisal Tehrani. Perbincangan yang akan dilakukan terhadap aspek kewanitaan dan feminisme ini diharap dapat memperlihatkan tentang kepentingan wanita dalam karya tersebut dan bagaimana pengarang novel menerapkan unsur-unsur tertentu dalam novel tersebut berkaitan dengan watak-watak wanita yang ditonjolkan. Penyelidikan yang dilakukan ini menyentuh aspek kewanitaan dan feminisme yang terdapat dalam novel Perempuan politikus melayu dengan menggunakan teori feminisme sebagai pendekatannya.
Secara umumnya , penulisan ini dilakukan meliputi lima bab yang penting. Berdasarkan bab yang pertama, iaitu bab pendahuluan, pengkaji akan membincangkan tentang pengenalan kepada kajian yang dilakukan ini. Dalam bab pendahuluan, pengkaji menyatakan tentang tujuan kajian dilakukan dan cara atau kaedah yang digunakan semasa melakukan kajian ini. Pengkaji juga turut menyatakan skop kajian dan permasalahan yang menjadi perbincangan utama kajian ini.
Bab yang kedua merupakan perbincangan yang berkaitan dengan latar belakang penulis novel Perempuan politikus melayu, iaitu Faisal Tehrani. Sebelum membincangkan aspek kewanitaan dan feminisme yang digarapkan oleh penulis novel dalam karyanya, maka perlulah dikaji serba sedikit tentang latar belakang penulis dan novel tersebut. Dalam bab ini, pengkaji membincangkan tentang serba sedikit latar belakang penulis dan juga sinopsis bagi novel Perempuan politikus melayu yang dikaji.
Manakala dalam bab yang ketiga, pengkaji akan memulakan perbincangan dengan membincangkan tentang aspek kewanitaan dan feminisme. Pengkaji akan membincangkan apa yang dikatakan sebagai wanita dan feminisme. Topik perbincangan dalam bab ini juga meliputi aspek kewanitaan yang terdapat dalam novel-novel di Malaysia dan novel Perempuan politikus melayu. Aspek teori akan dibincangkan dengan lebih mendalam dalam bab ini, iaitu teori feminisme. Pengkaji turut membincangkan konsep-konsep penting dalam bab ini dan akan dikaji dengan lebih meluas dalam bab seterusnya.
Menerusi bab keempat, pengkaji akan membincangkan tentang aspek kewanitaan dan feminisme yang menjadi pokok persoalan kajian ini. Aspek kewanitaan dan feminisme yang dikaji adalah berdasarkan novel Perempuan politikus melayu. Aspek kajian meliputi beberapa kategori wanita yang terdapat dalam novel, iaitu wanita dalam islam, wanita moden dan kini, wanita tradisional atau dahulu, wanita bekerjaya, wanita radikal dan perjuangan, serta wanita yang ditindas atau teraniaya. Selain itu, pengkaji juga membincangkan tentang eksploitasi wanita dalam novel tersebut berkaitan dengan eksploitasi media, eksploitasi politik dan juga eksploitasi seks.
Bab yang terakhir, iaitu bab kelima merupakan kesimpulan bagi keseluruhan kajian yang dilakukan dan juga saranan - saranan kepada pelbagai pihak yang berkaitan. Bab ini akan membincangkan tentang hasil dapatan kajian yang dilakukan terhadap aspek kewanitaan dan feminisme dalam novel Perempuan politikus melayu. Segala ulasan atau kesimpulan dari awal hingga akhir bab akan dibincangkan oleh pengkaji dalam bab ini.
Text
Ciri dominan bahasa Melayu lisan dalam filem ‘Geng Skru Drebar’ di Singapura
Abstrak
Masyarakat dan bahasa lisan merupakan gandingan yang tidak boleh dipisahkan. Ada masyarakat maka pastinya wujudnya bahasa lisan sehinggalah boleh dilihat dalam masyarakat adanya ciri-ciri tertentu dalam bahasa lisan sama ada secara disedari mahupun sebaliknya.
Dalam kajian ini akan dilihat beberapa ciri dominan bahasa Melayu lisan dalam masyarakat Melayu dengan membuat analisis berdasarkan filem ‘Geng Skru Drebar’ di Singapura.
Kajian ini dibahagi kepada empat bab. Bab yang pertama akan membincangkan perkara-perkara yang menjadi dasar atau landasan kajian ini iaitu tujuan kajian, batasan, skop, bahan dan metodologi kajian.
Bab kedua pula merangkumi konsep-konsep yang akan dijadikan pegangan dalam membuat kajian dan analisis. Akan dibincangkan juga kajian lepas yang dilakukan oleh pengkaji tempatan mengenai bahasa lisan. Beberapa model yang berkaitan dengan kajian juga akan diperihalkan. Perbincangan diteruskan dengan ciri-ciri bahasa Melayu lisan.
Seterusnya, bab ketiga adalah analisis data serta perbincangan mengenai ciri-ciri dominan bahasa Melayu lisan. Bab akhir pula adalah bab penutup yang akan membincangkan dapatan kajian dan kesimpulan kajian yang dijalankan secara keseluruhan.
Text
Morfologi Bahasa Jawa : Batu Pahat, Johor
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang kajian morfologi ke atas bahasa Jawa Batu Pahat (BJBP). Kajian ini meneliti proses-proses yang terdapat dalam bidang morfologi atau pembentukan kata dalam BJBP. Proses-proses tersebut adalah nasalisasi, pengimbuhan, pemajmuk dan penggandaan. Penelitian terhadap proses-proses pembentukan kata BJBP ini secara tidak langsung akan dilihat persamaan serta kelainannya dengan bahasa Melayu Standard (BMS). Hal ini bagi memudahkan analisis yang dijalankan, iaitu dari segi memberi pemaknaan kepada kosa kata BJBP ke dalam BMS. Proses nasalisasi memberi penumpuan kepada fungsi unsur nasal secara keseluruhannya, iaitu sebagai pengganti dan penambahan pada fonem pertama kata akar BJBP yang homorgan. Bagi proses pengimbuhan pula, meneliti penyebaran imbuhan atau morfem terikat, iaitu awalan, akhiran , sisipan dan morfem terikat terbahagi (awalan-akhiran). Penyebaran imbuhan ini akan dikategorikan imbuhan namaan dan imbuhan karyaan. Begitu juga dengan proses penggandaan BJBP yang dibahagikan kepada tiga, iaitu penggandaan penuh, penggandaan sebahagian dan penggandaan lain. Seterusnya proses pemajmukan yang diteliti bersifat kurang produktif dalam penuturan lisan masyarakat Jawa di kawasan kajian.
Text
Sosio budaya Melayu
Dinamika kepercayaan petani terhadap usaha padi sawah : Kajian kes di Kubang Pasu, Kedah
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang dinamika kepercayaan petani terhadap usaha padi sawah di Kubang Pasu , Kedah. Penyelidikan dilaksanakan pada cuti semester 2008 dengan menggunakan kaedah soal selidik, temuramah, pemerhatian ikut serta terhadap petani yang ditemuramah berdasarkan kaedah yang disebutkan itu.
Latihan ilmiah ini merangkumi gambaran umum tentang kegiatan pertanian, aktiviti ekonomi utama dan kemudahan, peranan agensi-agensi, proses-proses penanaman padi, perkaitan amalan pertanian dari masa ke semasa mengalami perubahan ke arah kemodenan. Manakala kepercayaan petani tradisi dalam hal-hal usaha bertani tradisi kadangkala boleh bertahan tetapi seringkali tidak boleh melawan arus perubahan itu. Agensi pembangunan dalam bidang pertanian memainkan peranan besar dalam pemodenan pertanian. Petani berusaha mengadaptasinya terhadap permodenan itu. Namun, dimana-mana jua kepercayaan petani tetap kekal terutama apabila petani berhadapan dengan prinsip budaya yang telah berakar umbi.
Text
Perubatan tradisional : Satu kajian kes terhadap penggunaan khidmat bomoh di kalangan golongan berpendidikan tinggi di Kelantan
Abstrak
Latihan ilmiah ini mengandungi enam bab. Dalam bab yang pertama iaitu bab pengenalan terkandung objektif kajian iaitu melihat penggunaan khidmat bomoh di kalangan golongan berpendidikan di Kelantan. Juga dimasukkan permasalahan kajian skop kajian, metodologi kajian iaitu pengkaji menggunakan beberapa kaedah kajian dalam mengumpulkan maklumat bagi mencapai objektif kajian. Dalam bab satu juga terkandung takrif dan konsep-konsep yang berkaitan dengan kajian serta dimuatkan kajian-kajian lepas.
Bab dua pula mengandungi latar belakang kajian yang menjuruskan kepada asal usul perubatan tradisional Melayu, unsur-unsur yang mempengaruhi perubatan tradisional ini iaitu pengaruh animisme, Hindu-Buddha dan Islam. Dalam bab ini juga disenaraikan jenis-jenis bomoh yang ada dalam bidang perbomohan ini, pendidikan di kalangan bomoh serta cara mendapatkan ilmu perbomohan iaitu dibahagikan kepada empat cara, yang pertama melalui pewarisan, kedua menuntut, ketiga melalui mimpi/ilham dan yang keempat melalui objek-objek tertentu. Dalam bab ini juga turut diselitkan tentang teknik-teknik pengubatan yang biasa digunakan dalam perbomohan, amalan-amalan yang dibenarkan dan dilarang dalam perbomohan ini.
Manakala dalam bab ketiga terkandung profil empat orang bomoh di Kelantan yang telah ditemubual oleh pengkaji. Seterusnya bab keempat merupakan bab analisis soal selidik berdasarkan borang soal selidik yang menyenaraikan soalan-soalan yang menjurus kepada objektif kajian yang telah ditandakan oleh 40 orang responden yang telah dianalisis dan diterjemahkan dalam bentuk jadual dan graf. Bab kelima merupakan bab perbincangan yang telah dibuat berdasarkan kepada jawapan responden melalui soal selidik yang telah diedarkan. Bab terakhir adalah merupakan rumusan dan kesimpulan secara menyeluruh berdasarkan keseluruhan kajian ini.
Dalam kajian ini pengkaji memasukkan ilmu tentang perubatan tradisional Melayu yang menjuruskan kepada perbomohan. Kajian ini adalah khusus bagi melihat penggunaan khidmat bomoh di kalangan golongan yang berpendidikan tinggi di Kelantan. Pengkaji telah menggunakan kaedah-kaedah yang difikirkan sesuai bagi mendapat maklumat yang menjuruskan kepada objektif kajian. Hasil maklumat yang diperolehi telah dianalisis dan diterjemahkan dalam bentuk yang mudah difahami oleh pembaca. Perbincangan juga telah dibuat bagi mengukuhkan dan menyokong objektif yang dibuat berdasarkan jawapan daripada borang soal selidik. Daripada borang soal selidik inilah pengkaji menganalisis maklumat dan membuat perbincangan bagi mendapatkan jawapan kepada objektif yang telah dibuat.
Secara keseluruhan, pengkaji telah mendapat maklumat sewajarnya berkaitan dengan bidang kajian membuktikan objektif yang telah dibuat. Namun, penyelidikan lebih mendalam boleh dilakukan dalam memperlihatkan signifikan kajian ini dengan masyarakat kini.
Text
Bahasa Melayu
Bahasa dan gender : Kelainan bahasa di kalangan siswi Universiti Malaya
Abstrak
Kajian bahasa dan gender merupakan salah satu cadang dalam bidang sosiolinguistik. Sosiolinguistik ialah bidang yang mengkaji hubungan bahasa dan masyarakat . Bahasa Melayu mempunyai kelainan bahasa dan kelainan bahasa tersebut boleh disebabkan faktor geografi dan sosial. Kelainan bahasa berdasarkan sosial salah satunya ialah gender. Bahasa dan gender pula ialah kajian yang mengkaji aspek penggunaan bahasa antara lelaki dan wanita. Tujuan kajian ini untuk mengenal pasti sejauh mana perbezaan antara bahasa wanita dengan bahasa lelaki.
Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk menganalisis aspek perbezaan yang terdapat pada kelainan bahasa wanita dalam bahasa Melayu di kalangan siswi di Universiti Malaya. Pengkaji telah membuat kajian di sekitar Universiti Malaya dan pengkaji telah memilih informan yang terdiri daripada pelajar siswi di Universiti Malaya yang berbahasa dan berbangsa Melayu. Pengkaji juga telah menggunakan kaedah lapangan hiliran bagi mengumpulkan data dan menjalankan kajian.
Pengkaji juga menggunakan teori Lakoff (1975) sebagai panduan dalam menjalankan kajian bahasa siswi di Universiti Malaya. Berdasarkan kajian yang dijalankan di Universiti Malaya terdapat tiga aspek yang boleh dikenal pasti, iaitu keyakinan diri, ketelitian, status dan prestij. Dapatan ini selari dengan teori yang dikemukakan oleh tokoh seperti Lakoff (1975), Coates (1989), Tannen (1990), Keith dan shuttleworth (2000), Holmes (2001). Kajian ini diakhiri dengan merumuskan hasil dapatan daripada kajian yang telah dijalankan.
Text
Bahasa Melayu
Penggunaan kartun dalam pembelajaran bahasa Melayu berbantukan komputer : Kanak-kanak tahap 2 di Singapura
Abstrak
Dalam era serba canggih yang berpaksikan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembangunan pendidikan mementingkan pembudayaan dan penguasaan ICT dalam kalangan pendidik dan pelajar. Kaedah pengajaran dan pembelajaran harus diubah agar dapat memupuk minat, menggalakkan pelajar supaya lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran, dan juga menerapkan amalan pembelajaran sepanjang hayat. Selain itu, penerapan ICT dalam bidang pendidik juga berupaya merevolusikan pembelajaran, memperkayakan kurikulum, memperkembangkan pedagogi, menstrukturkan organisasi sekolah dengan lebih berkesan, dan melahirkan hubungan yang lebih erat antara pihak sekolah, ibubapa, dan masyarakat. Bagi menyahut cabaran yang dilontarkan bersama pembangunan pesat ICT, Kementerian pendidikan Singapura telah mengimplimentasikan projek Masterplan dalam Pendidikan yang diusahakan dalam tiga fasa sepanjang 15 tahun. Setelah berjaya mencapai kesemua matlamat fasa pertama dan kedua, kini Masterplan dalam Pendidikan berada dalam fasa ketiga yang akan dilaksanakan hingga tahun 2014. Pembangunan perisian Pembelajaran bahasa Berbantukan Komputer (PBBK) adalah satu langkah untuk mencapai matlamat fasa ketiga dalam Masterplan dalam Pendidikan.
Text
Bahasa Melayu
Strategi pembelajaran : Penggunaan bahasa Melayu standard dalam kalangan murid Sekolah Rendah di Singapura
Abstrak
Penguasaan bahasa Melayu standard dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura kini mengalami kemerosotan. Tidak ramai yang dapat berbahasa Melayu standard dengan baik dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Oleh itu, Latihan ilmiah ini mengkaji strategi pembelajaran dalam ayat-ayat lisan dan tulisan murid-murid darjah tiga untuk mencari punca masalah penguasaan bahasa Melayu standard.
Analisis kajian yang dijalankan secara kuantitatif. Data yang diperolehi daripada perbandingan antara korpus lisan dan juga tulisan berdasarkan kumpulan kebolehan, jantina dan strategi pembelajaran.Tafsiran data dilakukan untuk menjelaskan berlakunya strategi pembelajaran.
Kajian ini telah mendapati bahawa terdapat sebelas strategi pembelajaran yang berlaku dalam proses pembelajaran bahasa Melayu. Punca utama permasalahan ialah pembentukan asa kemahiran bahasa Melayu standard yang tidak kukuh. Lebih banyak strategi pembelajaran yang digunakan dalam lisan berbanding dengan tulisan. Kekerapan strategi pembelajaran menunjukkan bahawa mutu bahasa Melayu standard juga dipengaruhi oleh bahasa Inggeris dan bahasa Melayu basahan.
Dalam rumusan kajian, pengkaji telah menyatakan langkah-langkah untuk menangani permasalahan di samping cadangan untuk kajian lanjutan.
Text
Sosio budaya Melayu
Faktor-faktor keciciran menguasai konsep 3M dalam pendidikan orang asli Kajian kes : Orang Asli kaum Temuan di Kampung Sg. Mering, Asahan, Melaka
Abstrak
Penyelidikan ini merupakan sebuah penyelidikan dalam Antropologi Kebudayaan yang mengkaji tentang faktor-faktor keciciran menguasai konsep 3M dalam pendidikan orang asli. Kajian kes: Orang Asli kaum Temuan di Kampung sg. Mering, Asahan, Melaka.
Penyelidikan ini telah merungkai faktor-faktor dalaman dan luaran yang menyebabkan keciciran pelajar dalam menguasai konsep 3M. Selain itu, dalam kajian ini, terdapat sebanyak enam Bab di mana setiap telah menerangkan bahagian-bahagian dalam penyelidikan ini.
Bab 1 merupakan kepada penyelidikan yang ingin dilakukan. Ini termasuk juga objektif kajian, skop kajian,kaedah kajian, literature review dan kepentingan kajian. Kemudian dalam Bab 2 pula, pengkaji telah menerangkan teori-teori yang digunakan dalam penyelidikan Antropologi Kebudayaan dan konsep-konsep yang digunakan dalam penyelidikan ini. Bab 3 pula pengkaji telah menerangkan tentang latar belakang kajian termasuklah asal-usul Orang Asli, akta-akta yang berkaitan dengan masyarakat Orang Asli dan seterusnya pengkaji telah menerangkan tentang latar belakang masyarakat yang dikaji.
Bab 4 pula pengkaji telah menerangkan tentang sistem pendidikan di Malaysia sebelum dan selepas merdeka. Dalam bab ini juga pengkaji telah menerangkan tentang sistem pendidikan formal dan tidak formal. Dalam Bab 5, pengkaji mula membincangkan tentang faktor-faktor keciciran dalam menguasai konsep pendidikan 3M mengikut dua sudut pandangan iaitu pandangan emik (emic perspective) dan pandangan etik (etic perspective). Di samping itu, pengkaji juga telah menjelaskan kesan-kesan penerapan konsep 3M ke dalam pendidikan tidak formal masyarakat Orang Asli. Dalam bab akhir iaitu Bab 6, pengkaji telah membuat rumusan tentang keseluruhan penyelidikan dan membuat cadangan kepada pengkaji baru yang akan menerokai penyelidikan tentang masyarakat Orang Asli dan pihak yang berkenaan untuk penambahbaikan dalam penyelidikan dan sistem pendidikan masyarakat Orang Asli.
Text
Sosio budaya Melayu
Peranan wanita bekerjaya mengimbang tuntutan kerjaya dan keluarga satu kajian kes di Kuantan,Pahang / Nur Ashura Abu Bt Saharudin.
Abstrak
Kajian ini ingin melihat bagaimana wanita Melayu dalam dunia profesional dapat mengimbangi kedua-dua peranan iaitu sebagai pekerja dan pengurus rumahtangga. Selain itu, kajian ini juga ingin mengkaji secara keseluruhan faktor yang mendorong wanita terlibat dalam dunia kerjaya seterusnya sejauh mana mereka membantu institusi kekeluargaan terutamanya dari segi ekonomi keluarga dan peranan setiap ahlinya. Kesan-kesan dan juga bebanan yang wanita terpaksa hadapi turut dibincangkan. Kajian ini terbahagi kepada lima bab.
Bab pertama lebih kepada pengenalan kepada kajian. Dalam bab ini, dihuraikan tentang objektif kajian, kepentingan kajian, bidang kajian, metodologi kajian, ulasan kajian-kajian lepas dan juga permasalahan kajian. Terdapat tiga objektif utama yang diberi tumpuan dalam kajian kali ini.
Bab kedua pula menghuraikan tentang pendekatan kajian dan kedudukan wanita dalam masyarakat. Pendekatan utama yang digunakan dalam kajian ini adalah teori oleh Nik Safiah Karim yang membincangkan tentang persoalan wanita dan pekerjaan. Kedudukan wanita dalam masyarakat yang dibincangkan dalam bab ini termasuklah peranan wanita Melayu khususnya dalam rumahtangga sebagai isteri dan ibu.
Seterusnya, bab 3 berkaitan dengan latar belakang tempat yang dikaji iaitu daerah Kuantan, Pahang yang merupakan ibu negeri bagi negeri Pahang. Disamping itu, dalam bab ini juga dimasukkan latar belakang responden-responden yang terdiri daripada wanita Melayu yang berkeluarga dalam masa yang sama mempunyai kerjaya. Kerjaya mereka pula dipecahkan kepada yang bekerja di sektor kerajaan, swasta mahupun yang bekerja sendiri.
Bab 4 berkaitan dengan penglibatan wanita dalam kerjaya. Dalam bab ini ada menyenaraikan faktor-faktor yang menyebabkan wanita melibatkan diri dalam bidang kerjaya seperti untuk membantu suami dalam menyara keluarga, untuk mengisi masa lapang, untuk memanfaatkan ilmu dan banyak lagi. Selain itu juga, dalam bab ini ada membincangkan sebab mereka memilih bidang tersebut sama ada minat, kerjaya yang dipandang tinggi, mencabar ataupun sesuai dengan sifat kewanitaan.
Bab 5 membincangkan masalah dan implikasi berkerjaya. Antara subtopik yang dibincangkan dalam bab ini termasuklah sikap dan kerjasama suami, hubungan dengan anak, hubungan dengan ibubapa, kesan-kesan wanita bekerjaya, hubungan kekeluargaan, penjagaan anak-anak dan juga pengurusan rumahtangga. Implikasi wanita berkerjaya harus dilihat dari dua aspek iaitu dari sudut positif dan juga negative.
Akhir sekali bab 6 membincangkan tentang kesimpulan keseluruhan kajian yang dijalankan berdasarkan objektif-objektif yang ingin dicapai. Saranan juga turut dibincangkan serba sedikit rujukan dan panduan buat wanita yang sudah berkahwin dalam masa yang sama terlibat dalam bidang kerjaya.
Text
Sosio budaya Melayu
Faktor-faktor kebudayaan yang mempengaruhi kurang minat pelajar dalam kalangan masyarakat Orang Asli Semaq Beri Maran, Pahang Darul Makmur
Abstrak
Penyelidikan ini adalah sebuah penyelidikan dalam mengenal pasti faktor-faktor kebudayaan yang mempengaruhi kurang minat terhadap pelajaran dalam kalangan masyarakat Orang Asli Semaq Beri perkampungan Orang Asli Batu 55 Maran, Pahang. Faktor-faktor ini dapat dikenal pasti melalui pandangan mereka terhadap pendidikan, kerjaya dan masa depan.
Faktor-faktor ini mendorongkan kepada kurang minat terhadap pendidikan formal dan boleh menyebabkan berlakunya kadar keciciran masyarakat orang asli dalam arena pendidikan.
Text
Sosio budaya Melayu
Perubahan kebudayaan pada masyarakat Jawa di Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor
Abstrak
Setiap kaum atau bangsa mempunyai kebudayaan yang tersendiri tidak kira sama ada Melayu, Cina, India, Jawa dan sebagainya. Bagi masyarakat Jawa kebudayaan yang dipunyai dan dijalankan oleh mereka adalah berbeza dengan kaum-kaum yang lain terutama di Malaysia ini. Kebudayaan masyarakat Jawa di Malaysia adalah mempunyai hubungkait dengan kebudayaan masyarakat Jawa di Indonesia. Hal ini kerana masyarakat Jawa di Malaysia merupakan keturunan penghijrah yang telah datang ke Tanah Melayu pada suatu masa dahulu.
Kampung Bukit Bangkong ini merupakan salah satu perkampungan masyarakat jawa yang masih utuh sehingga ke hari ini. Majoriti penduduknya adalah terdiri daripada kaum Jawa. kampung ini merupakan salah satu perkampungan yang telah dibuka oleh penghijrah daripada pulau Jawa pada Zaman penjajahan British. Kebudayaan masyarakat Jawa masih lagi dijalankan hingga ke hari ini. Antara kebudayaan tersebut adalah dari segi makanan, kesenian, adat dan sebagainya.
Terdapat pelbagai jenis makanan jawa yang masih lagi terdapat di Kampung ini antaranya adalah nasi ambeng dan getok lompang. Selain itu dari segi kesenian ialah seni cempolingan dan dari segi adat sinoman. Namun, kesemua kebudayaan ini telah mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Terdapat perbezaan yang dapat dikenalpasti dalam kebudayaan masyarakat Jawa di kampung ini. Bagi meneliti perubahan kebudayaan masyarakat Jawa ini, kajian telah menggunakan pendekatan daripada pelbagai disiplin dan memberi tumpuan khusus kepada perubahan yang berlaku dari dahulu hingga sekarang.
Text
Bahasa Melayu
Penggunaan e-buku dalam pembelajaran bahasa Melayu : Kajian kes pelajar Darjah Empat Madrasah, Singapura
Abstrak
Kajian ini dilaksanakan untuk melihat keberkesanan kaedah pembelajaran berbantukan perisian e-buku terhadap pencapaian akademik dalam kalangan darjah 4 bagi mata pelajaran bahasa Melayu di sebuah madrasah di Singapura. Kajian ini juga dijalankan untuk melihat sejauh mana kaedah pembelajaran berbantukan perisian e-buku ini dapat meningkatkan minat dan pencapaian pelajar dalam mempelajari bahasa ibunda mereka. Seramai 62 orang pelajar dari dua buah kelas darjah empat akan dilibatkan dalam kajian ini. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan reka bentuk kuasi. Sampel kajian akan dibahagikan kepada dua kumpulan, kumpulan pertama ialah kumpulan kawalan dan kumpulan kedua ialah kumpulan eksperimen. Kumpulan kawalan terdiri daripada 30 pelajar dan kumpulan eksperimen terdiri 32 pelajar yang menggunakan kaedah pembelajaran bahasa Melayu berbantukan perisian e-buku. Satu set borang soal selidik disediakan untuk para pelajar yang berada dalam kumpulan eksperimen, satu set borang soal selidik untuk yang terlibat dalam ujikaji ini dan juga kertas latihan diberikan kepada para pelajar pada akhir penggunaan perisian e-buku bagi menguji keberkesanan kefahaman mereka terhadap isi kandungan perisian e-buku.
Text
Sosio budaya Melayu
Hantaran perkahwinan Melayu : dari fungsi simbolik kepada fungsi utilitarian (Kajian kes di Daerah Bandar Jerantut, Pahang)
Abstrak
Masyarakat Melayu masih berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai makna dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat.
Hantaran merupakan salah satu perkara wajib dalam adat resam perkahwinan Melayu sejak dari dahulu lagi tidak kira dalam masyarakat luar bandar mahupun masyarakat bandar. Hantaran terdiri daripada beberapa jenis atau bentuk hantaran seperti wang tunai, peralatan, manisan, sirih junjung dan sebagainya. Jenis dan jumlah hantaran juga ditentukan oleh kedua-dua belah pihak mengikut faktor-faktor tertentu.
Namun begitu, terdapat perbezaan dari segi nilai dan norma masyarakat dahulu dengan sekarang tentang konsep hantaran. Masyarakat Melayu zaman dahulu sangat menitikberatkan fungsi simbolik yang terdapat pada sesuatu barang hantaran seperti simbolik di sebalik sirih junjung, manisan dan lain-lain. Ianya berbeza dengan masyarakat Melayu kini yang lebih mementingkan fungsi utilitarian sesuatu barang hantaran mengikut keperluan semasa.
Text
Penghayatan corak pemakanan dan budaya Korea
dalam kalangan masyarakat melayu
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti pengaruh budaya Korea dalam masyarakat Melayu hari ini. Umum sudah mengetahui bahawa budaya Korea kini menular dan berkembang dengan pantas ekoran munculnya apa yang kita tahu sebagai Gelombang Hallyu/Korean Wave. Kajian ini menumpukan kepada corak pemakanan dan budaya makan yang diaplikasikan oleh masyarakat Melayu hasil daripada pengaruh budaya luar ini. Objektif kajian adalah untuk mengkaji faktor penarik makanan masyarakat Korea yang menjadi kegilaan dan trend masyarakat Melayu hari ini dan meneliti sejauh mana penghayatan corak pemakanan dan budaya makan masyarakat Korea diamalkan oleh masyarakat Melayu. Kaedah kajian yang digunakan pengkaji berbentuk kajian kuantitatif dimana pengalaman masyarakat diukur dan dikaji berdasarkan soalan kaji selidik. Seramai 110 orang responden berbangsa Melayu di sekitar Petaling Jaya telah dijadikan sampel uji kaji. Pengkaji juga menggunakan kaedah pengumpulan data melalui kajian kepustakaan dan pemerhatian untuk melihat corak perkembangan budaya Korea ini. Berdasarkan analisis yang diperolehi, perbincangan isu-isu yang menjawab kepada objektif kajian serta persoalan sama ada apakah benar budaya masyarakat Korea hari ini akan melunturkan budaya masyarakat Melayu. Setelah lengkap , pengkaji akan merumuskan kajian secara keseluruhan dan akan mencadangkan beberapa kajian-kajian berkaitan isu ini yang boleh dikaji pada masa akan datang.
Text
Pemerolehan bahasa kanak-kanak di peringkat prasekolah : Kajian kes di Taska & Tadika Murni Vista Angkasa
Abstrak
Kajian dilakukan untuk melihat tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak yang berusia enam tahun. Pengkaji memilih sekolah Taska 7 Tadika Murni Vista Angkasa, Kuala Lumpur sebagai tempat kajian. Pengkaji hanya memilih empat orang sampel yang merupakan kanak-kanak Melayu yang mempunyai latar belakang yang sama. Iaitu dalam persekitaran bandar. Sampel telah memulakan persekolahan mereka di situ sejak berumur lima tahun lagi.
Oleh kerana sampel-sampel yang dipilih terdiri daripada kanak-kanak Melayu yang dibesarkan dalam masyarakat Melayu dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dalam sebarang bentuk perhubungan, maka analisis bagi melihat tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan mereka juga akan dilakukan berdasarkan aspek-aspek yang terkandung dalam bahasa Melayu yang meliputi aspek morfologi, fonologi, semantik, sintaksis dan pragmatik. Aspek yang dipilih oleh pengkaji dalam melakukan analisis terhadap 50 ujaran yang dibuat oleh sampel bagi melihat tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak prasekolah adalah berdasarkan analisis keupayaan dan kekerapan pemerolehan bahasa sahaja.
Walaupun pemilihan aspek analisis keupayaan dan kekerapan pemerolehan bahasa mempunyai beberapa ciri yang remeh tetapi penting dalam menilai tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak. Rakaman yang dibuat secara langsung menggunakan pita rakaman suara ke atas ujaran yang diujarkan secara spontan oleh kanak-kanak. Hanya 50 ujaran terbaik yang bermula dengan perkataan pertama yang diujarkan oleh sampel sahaja yang dipilih sebagai data. Analisis dilakukan terhadap data yang ditranskripsikan dengan menggunakan ukuran-ukuran tertentu, iaitu berdasarkan analisis keupayaan dan kekerapan pemerolehan bahasa serta mengikut kesesuaian dengan skop kajian.
Hasil analisis menunjukkan bahawa proses pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak yang berusia enam tahun agak sempurna sepenuhnya. Walau bagaimanapun, keempat-empat sampel telah mengalami proses pemerolehan dan penguasaan bahasa yang amat menggalakkan. Hal ini demikian telah membuktikan peranan persekitaran sebenarnya penting dalam membantu mempercepatkan proses pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak. Sungguhpun begitu peranan kognitif juga tidak boleh dinafikan.
Text
Kesenian Melayu
Proses pembuatan perabot rotan di Institusi Kraf Negara, Rawang, Selangor
Abstrak
Kajian ini merangkumi isu dan permasalahan yang dihadapi oleh industri kraftangan rotan disebabkan oleh harga rotan yang mahal. Harga rotan meningkat disebabkan oleh permintaan yang tinggi dari pembeli kerana kurangnya bekalan rotan yang berkualiti seperti rotan Manau dan Sega. Selain itu terdapat permasalahan di mana generasi muda kurang berminat mempelopori bidang seni kraftangan anyaman. Hal ini menyebabkan seni kraftangan anyaman rotan sukar untuk menghasilkan produk yang berinovasi kerana lazimnya seni kraftangan anyaman ini banyak diceburi oleh golongan yang sudah berusia. kajian ini akan memperlihatkan teknik-teknik anyaman rotan yang digunakan dalam penghasilan perabot. Selain itu juga, kajian ini akan membuktikan produk anyaman rotan yang dihasilkan melalui idea generasi muda lebih berinnovasi. Kajian ini juga akan memperlihatkan proses pembuatan perabot rotan berasaskan idea kumbang “Ladybird” yang dibuat oleh seorang pelajar diploma Jurusan Seni Kraf Rotan yang bernama Ellysah Jemmilie di Institut Kraf Negara yang diambil dari alam semula jadi iaitu kumbang “Ladybird” kemudian diolah menjadi pelbagai reka bentuk perabot yang menarik.
Text
Bahasa Melayu
Kata namaan dalam bahasa Kreol Portugis di Melaka
Abstrak
Kajian ini dilakukan untuk melihat aspek morfologi bahasa kreol Portugis (seterusnya BKP). Kajian ini menggunakan data dari kaedah lapangan. Selain itu, kaedah kepustakaan juga dilakukan untuk mendapat data sekunder. Data ini kebanyakannya bertumpu pada kata Nama yang diasingkan mengikut kata nama selapis dan kata Nama kompleks. Setelah itu, data ini diperhalusi mengikut sub-kategori seperti kata nama genus, kata nama bernyawa, tak bernyawa, kata nama manusia dan bukan manusia. Dari aspek genus, BKP tidak membezakan di antara manusia dan binatang pada setengah konteks. Secara tidak langsung, ini memperlihatkan perbezaan dengan bahasa Melayu standard.Seterusnya berdasarkan BKP, kata nama kompleks didapati dibentuk melalui penggabungan kata dan partikel de. Disamping itu terdapat juga sesetengah kata Nama kompleks dalam BKP yang menunjukkan unsur gender. Berdasarkan analisis juga didapati BKP mempunyai proses penggandaan yang serupa dengan bahasa Melayu standard, iaitu kata tersebut di gandakan dan bukannya menggunakan imbuhan seperti bahasa Indo-Eropah yang lain.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengurusan perniagaan dalam kalangan peniaga kecil Melayu di Ayer Hitam, Batu Pahat Johor
Abstrak
Pengurusan perniagaan merupakan perkara yang penting bagi memastikan sesebuah perniagaan itu mampu untuk bertahan dan bersaing dengan perniagaan lain di samping membantu untuk mengukuhkan lagi perniagaan tersebut. Di dalam pengurusan perniagaan, terdapat beberapa aspek yang dikaji untuk melihat bagaimana seseorang peniaga itu menguruskan keseluruhan operasi perniagaan seharian yang meliputi pengurusan kewangan, bekalan, kakitangan, jadual kerja, dan juga premis perniagaan. Perkara-perkara ini seterusnya dinilai bagai melihat tahap kecekapan peniaga dalam mengurus perniagaan kerana perkara inilah antara elemen yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah perniagaan itu dan menjamin kelangsungan dan keberadaan perniagaan itu di pasaran. Oleh hal yang demikian, peniaga-peniaga perlu mengurus perniagaan dengan sistematik supaya perniagaan mereka berjalan dengan lancar.
Text
Sosio budaya Melayu
Perniagaan masyarakat Melayu dalam sektor informal : Kajian Kes di Pekan Kuah Pulau Langkawi, Kedah
Abstrak
Bidang perniagaan hakikatnya masih baru kepada orang Melayu. Ilmu mereka mengenai bidang ini masih lagi cetek tetapi mereka perlu bersaing dengan bangsa lain terutamanya bangsa cina. Jika kita lihat ekonomi orang Melayu masih lagi ketinggalan jika dibandingkan bangsa lain. Namun, disebabkan Dasar Ekonomi baru (DEB) dilaksanakan, ekonomi orang Melayu mula menunjukkan peningkatan walaupun pelaksanaan tersebut tidak mencapai matlamat yang diinginkan oleh kerajaan. Kajian ini telah melihat kepentingan aktiviti ekonomi di Pekan Kuah dalam membantu ekonomi orang Melayu. Berdasarkan kajian terdapat tiga aspek telah dikaji iaitu mengenai pengurusan, perancangan dan masalah yang dihadapi oleh peniaga Melayu. Jadi, secara keseluruhannya kegiatan perniagaan boleh dikatakan banyak membantu orang Melayu dari segi memperbaiki taraf hidup yang lebih baik. Namun,peniaga Melayu perlu terus berusaha untuk terus maju dan dapat bersaing dengan bangsa lain.
Text
Bahasa Melayu
Strategi komunikasi dalam pembelajaran bahasa Melayu : Satu kajian kes dalam kalangan pelajar asing di Singapura
Abstrak
Pertuturan yang dalam sesuatu bahasa lazimnya dianggap sebagai satu kejayaan dalam berkomunikasi. Namun begitu, pelajar-pelajar asing yang mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa Ibunda (pelajar bahasa kedua) menghadapi masalah berkomunikasi dengan lancar dan spontan. Kejayaan pelajar-pelajar ini dalam komunikasi ditandai oleh beberapa cara dan tindakan yang tersendiri. Dalam kajian ini, cara dan tindakan tersebut dinamakan sebagai strategi-strategi dalam berkomunikasi.
Hubungan strategi komunikasi dalam kajian ini adalah meneliti masalah pertuturan pelajar bahasa kedua dalam proses pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat sekolah Menengah. Sehubungan itu, mutu dalam pertuturan dalam kalangan pelajar bahasa Melayu didapati mengalami kemerosotan yang perlu ditangani. Kajian ini justeru meneliti penggunaan strategi komunikasi yang digunakan oleh pelajar-pelajar bahasa kedua dan mengenal pasti jenis-jenis serta kekerapan strategi komunikasi digunakan.
Di samping itu, kajian ini juga mengaitkan penelitian persekitaran linguistik pelajar-pelajar dengan penggunaan strategi komunikasi dan melihat kepada permasalahan yang timbul dalam kalangan para pelajar. Permasalahan yang muncul justeru memperlihatkan bahawa pelajar-pelajar bahasa kedua mampu menyampaikan mesej semasa berkomunikasi walaupun mempunyai kekangan linguistik yang terhad. Ini disebabkan penggunaan strategi-strategi komunikasi yang membolehkan mereka melanjutkan komunikasi yang tersekat atau terhenti.
Text
Sosio budaya Melayu
Kampung-kampung Melayu Pulau Pinang
Abstrak
Pulau Pinang telah dibuka beratus tahun yang lalu iaitu sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu lagi. Pulau Pinang ini dipercayai telah dibuka oleh para pedagang dan pelaut yang datang daripada Sumatera, Indonesia dan mereka telah membuka penempatan dan perkampungan Melayu seperti Kampung Melayu Batu Uban. Hal ini dapat dibuktikan dengan kewujudan masjid yang berusia 250 tahun. Kajian ini berfokus kepada kampung-kampung Melayu terdapat di Pulau Pinang yang di katakan sebagai perkampungan Melayu yang terawal. Dalam kajian ini juga melihat sebab-sebab kehilangan kampung-kampung Melayu di Pulau Pinang.
Text
Sosio budaya Melayu
Penglibatan masyarakat Melayu dalam industri kecil dan sederhana di Kampung Raja,Besut,Terengganu
Abstrak
IKS merupakan salah satu industri yang amat diberikan penekanan oleh kerajaan terutamanya golongan bumiputera. Ini kerana kebanyakan modal dalam industri ini adalah sangat kecil dan ia amat digemari oleh golongan yang berpendapatan sederhana. Perusahaan ini berkembang di seluruh negara Malaysia, sama ada di Semenanjung Malaysia mahupun Sabah dan Sarawak. Salah satu lokasi perusahaan IKS ini ialah Kampung Raja. Kampung Raja ini terletak di daerah Besut, Terengganu dan majoriti penduduknya orang Melayu. Kebanyakan pengusaha IKS di Kampung Raja terdiri daripada pengusaha lelaki dan wanita. Terdapat pelbagai jenis IKS yang diusahakan antaranya IKS berkaitan pembuatan makanan ringan (kerepek, rempeyek dan kuih bahulu), pembuatan makanan sejuk beku (kuih-kuih), pembuatan makanan basah (keropok lekor dan ikan masin), pembuatan roti dan kek, pembuatan minuman, pembuatan anyaman mengkuang dan pembuatan pengimpalan besi. Kajian ini bertujuan untuk melihat perbandingan antara penglibatan wanita dan lelaki dalam IKS di kampung ini dan jenis IKS yang diceburi oleh kaum lelaki dan jenis IKS yang diceburi oleh kaum wanita. Selain itu, kajian ini mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh pengusaha IKS serta faktor-faktor yang mempengaruhi mereka terlibat dalam IKS. Borang soal selidik dan temubual telah digunakan sebagai kaedah pengumpulan data dan diedarkan kepada 50 orang usahawan IKS di Kampung Raja.
Text
Perubahan sistem pengairan sawah padi : Satu kajian kes di negeri Kedah.
Abstrak
Latihan ilmiah ini akan membincangkan tentang perubahan sistem pengairan Kedah yang berlaku terhadap penanaman sawah padi di Negeri Kedah. Penyelidikan ini dilaksanakan pada semester ke lima. 2017 dengan menggunakan kaedah keperpustakaan bagi mencari data yang diperlukan dalam kajian ini. Kajian ini dijalankan diseluruh Kawasan Negeri Kedah. Secara ringkasnya kajian ini mempunyai tiga bahagian yang penting iaitu sejarah Kedah, perubahan sistem pengairan dan analisis pengkaji terhadap dapatan kajian tersebut.
Latihan ilmiah ini mengandungi gambaran umum tentang sejarah Kedah dan sistem pengairan sawah padi yang terdapat di Kedah. Kajian ini juga mengandungi kajian mengenai perubahan yang berlaku di dalam sistem pengairan sawah padi yang dari tradisional ke moden. Perubahan dalam sistem pengairan sawah padi ini adalah disebabkan berlakunya perubahan penanaman padi huma kepada padi sawah yang memerlukan air yang lebih berbanding padi huma. Pengkaji memulakan kajian dengan mengkaji sejarah asal usul sawah padi di Kedah.
Text
Sosio budaya Melayu
Sistem sokongan dalam pendidikan di peringkat
Sekolah Menengah : Kajian kes Yong Peng, Johor
Abstrak
Pendidikan merupakan salah satu medium untuk mengubah mobiliti sosial seseorang. Malah melalui pendidikan yang Disalurkan kepada masyarakat akan membantu peningkatan pembangunan negara. Hal ini demikian kerana,pelajar akan menjadi pewaris kepada tampuk pemerintahan negara. Oleh itu, pendidikan yang berkesan sewajarnya diberikan kepada pelajar. Terdapat dua pihak yang memainkan peranan yang sangat penting dalam pendidikan pelajar. Pihak tersebut ialah institusi keluarga dan sekolah. Kedua pihak ini bertanggungjawab menyediakan sistem sokongan material dan bukan material kepada pelajar. Kesedaran mengenai kepentingan pendidikan di kawasan luar bandar masih lagi berada pada tahap sederhana. Oleh itu, masih terdapat lagi ibu bapa yang tidak menghiraukan hal persekolahan anak-anak. Selain itu, pengkaji juga mendapati bahawa sokongan material ibu bapa di kawasan luar bandar berada pada tahap sederhana. Hal ini dikaitkan dengan taraf pendidikan ibu bapa yang rendah. Namun, ibubapa memberikan sokongan non-material kepada anak mereka dengan sebaiknya. Pihak sekolah memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa dan persekitaran untuk sama-sama berganding bahu dalam isu pendidikan. Jika hanya pihak sekolah sahaja yang menyediakan infrastruktur yang lengkap dan pembelajaran dan pengajaran yang sistematik tetapi pelajar di rumah tidak mendapat dorongan dan motivasi untuk belajar, maka proses pembelajaran tidak berjalan dengan berkesan.
Text
Kesenian Melayu
Seni bina Melayu Pahang kajian terhadap rumah serambi Pahang
Abstrak
Rumah Melayu tradisi merupakan rumah yang diturunkan oleh zaman dahulu lagi. Seni bina rumah ini mempunyai keunikan yang yang tersendiri dari segi faktor luaran dan dalaman. Namun begitu rumah ini tidak lagi dikenali oleh masyarakat kini . Seni bina rumah tradisi Pahang kajian terhadap rumah serambi Pahang ini membantu membuka fikiran masyarakat tentang rumah serambi Pahang. Rumah tradisi Pahang ini juga dikenali sebagai rumah serambi Pahang yang mempunyai keunikan dari segi ruang, struktur dan nilai estetika ini. Setiap ruang struktur yang terdapat pada rumah serambi Pahang ini mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. Nilai estetika ini yang menjadikan rumah serambi Pahang sesuatu yang unik.
Kajian ini bukan sahaja bertujuan untuk mengenal rumah serambi Pahang, malah mengkaji tentang struktur, ruang, fungsi dan nilai yang terdapat pada rumah serambi Pahang. Selain itu juga , kajian ini juga adalah untuk mengkaji tentang teknik yang digunakan dalam menghasilkan rumah serambi Pahang ini. Teknik yang digunakan dalam penghasilan rumah ini mempunyai proses-proses yang tertentu contohnya proses menyambungkan kayu dengan kayu yang lain dengan menggunakan alatan yang menggantikan paku iaitu tanggam. Bukan itu sahaja, borang soal selidik diberikan kepada orang ramai untuk mengetahui pemahaman dan pengetahuan masyarakat luar tentang rumah serambi Pahang ini sama ada masyarakat luar masih mengenalinya atau dilupakan sepenuhnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Mandi bunga : Kajian kes di Melati Day SPA Sungai Petani, Kedah
Abstrak
Kajian ini membincangkan tentang kebudayaan Melayu yang telah lama bertapak dan sebati dengan jiwa Melayu. Kajian kebudayaan ini bagaimanapun memberikan penumpuan khusus kepada upacara mandi bunga.
Matlamat utama kajian ini adalah untuk melihat bagaimana upacara mandi bunga dijalankan dalam kalangan masyarakat Melayu moden. Berikutan itu, Sebuah spa yang berkonsepkan moden dan tradisional telah dipilih sebagai lokasi kajian untuk mengkaji upacara mandi bunga.
Selain itu, kajian ini turut menyentuh tentang hal-hal yang berkaitan dengan kebudayaan Melayu dan juga upacara mandi bunga. Walaubagaimanapun, fokus utama adalah untuk mengkaji tentang upacara mandi bunga masyarakat Melayu moden.
Text
Bahasa Melayu
Kajian leksikal subdialek Pulau Aur di Daerah Mersing
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai leksikal subdialek Pulau Aur yang dilihat berdasarkan aspek fonologi. Bagai mendapatkan data primer subdialek Pulau Aur maka kaji ini dilakukan dengan menggunakan kaedah lapangan. Di samping itu, kaedah kepustakaan juga digunakan untuk mendapatkan data sekunder bagi memperkukuhkan lagi data primer. Objektif utama adalah melihat perkaitan antara subdialek Pulau Aur dengan bahasa Melayu. Berdasarkan data yang terkumpul, didapati subdialek Pulau Aur mempunyai sistem vokal dan konsonan yang hampir sama dengan BM Standard. Namun perbezaan ini tidaklah begitu ketara. Subdialek Pulau Aur mempunyai sistem vokal dan 20 konsonan asli. Secara keseluruhannya, kajian terhadap subdialek Pulau Aur menunjukkan terdapat beberapa proses perubahan bunyi jika dibandingkan dengan BM Standard.
Walau bagaimanapun, analisis data memperlihatkan hubungan dengan bahasa Melayu, namun terdapat juga unsur leksikal dalam subdialek Pulau Aur yang menyamai dengan bahasa-bahasa Austronesia yang lain, misalnya seperti bahasa Iban. Sungguhpun demikian, penelitian melalui kaedah leksikostatistik menunjukkan bahawa subdialek Pulau Aur merupakan dialek daripada bahasa Melayu.
Text
Sosio budaya Melayu
Analisis penggunaan simbol dalam ungkapan tradisional Melayu Riau
Abstrak
Kajian ini merupakan satu kajian semiotik dalam ungkapan tradisional Melayu Riau yang dipetik daripada koleksi Ungkapan Tradisional Melayu Riau selenggaraan Tenas Effendy (1989). Kajian ini dijalankan dengan objektif mengenal pasti jenis simbol dan mencerakinkan aspek pemikiran, kefalsafahan, kebudayaan dan kepengaruhan agama yang terkandung dalam simbol yang digunakan. Dalam kajian ini, penggolongan simbol berdasarkan jenis-jenis simbol dilakukan sebelum data kajian dianalisis menggunakan Model Semiotik Segi Tiga Orden dan Richards (1923) sebagai garis panduan. Penggunaan simbol dianalisis secara kualitatif dengan melihat hubungan antara simbol dan referen, dari segi persamaan atau perbezaan ciri-ciri, sifat atau fungsi. Hasil dapatan kajian membuktikan simbol yang digunakan dalam ungkapan tradisional Melayu Riau berhubungkait dengan referen. Pemilihan simbol yang tepat dalam ungkapan tradisional Melayu Riau mencerminkan sifat intelektual dalam pemikiran masyarakat Melayu Riau yang berjaya mengilhamkan simbol-simbol dalam sistem kehidupan masyarakat ke dalam ungkapan-ungkapannya. Kajian ini diharapkan dapat meningkatkan minat masyarakat Melayu terhadap ungkapan-ungkapan tradisional yang semakin luput dimamah zaman.
Text
Penyakit berkaitan wanita berdasarkan kitab Tib Melayu
Abstrak
Setiap masyarakat mempunyai sistem perubatan tersendiri. Sistem perubatan mengandungi satu set idea dan amalan yang berkaitan dengan keuzuran. Set idea dan amalan perubatan merangkumi etiologi keuzuran, kaedah pengubatan, penyembuhan dan penawar penyakit. Perubatan tradisional telah wujud berabad lamanya masih releven dalam masyarakat Melayu dan diterima penggunaannya dalam mengubati sesuatu penyakit. Sistem perubatan tradisional Melayu merupakan tradisi warisan yang memainkan fungsi penting dalam masyarakat. Dalam kajian ini, aspek yang dihuraikan adalah merangkumi penyakit berkaitan wanita, kaedah dan teknik pengubatan yang digunakan dalam mengubati penyakit. Perubatan tradisional Melayu bersifat holistik melibatkan aspek spiritual, psikologis, fizikal/fisiologi dan moral. Bidang perubatan Melayu meliputi urut, herba, bekam, postnatal dan kerohanian (jampi dan mantera). Kajian penyakit berkaitan wanita menumpukan kepada aspek penggunaan herba dan akar kayu dalam mengubati penyakit-penyakit fizikal. Pengamal perubatan tradisional seperti bomoh, bidan dan dukun merupakan pakar dalam memainkan peranan utama dalam menyembuhkan sesuatu penyakit. Dalam kajian ini, terdapat 10 penyakit yang diperincikan kaedah pengubatan dan penawarnya. Kajian ini juga merangkumi etiologi keuzuran dimana membahagikan penyakit kepada keadaan naturalistic dan personalistik. Dalam kajian penyakit berkaitan wanita, pengkaji memberikan tumpuan kepada penyakit yang disebabkan oleh naturalistik. Namun tidak dapat dinafikan, terdapat penyakit yang disebabkan oleh unsur personalistik dalam masyarakat Melayu tradisional
Text
Sosio budaya Melayu
Dinamika nilai-nilai syariat dan nilai-nilai budaya : Satu kajian kes perkahwinan dalam masyarakat Melayu Kampung Muhibbah Raya, Tawau, Sabah
Abstrak
Perkahwinan merupakan sebuah ikatan yang suci dan murni bagi mengikat pasangan dan sebagai suatu perjanjian atau persefahaman yang kuat di antara kedua-dua pasangan tersebut. Selain itu, perkahwinan juga merupakan “satu kontrak” iaitu, apabila setiap pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan akan dikenakan syarat-syarat yang telah ditentukan sama ada daripada pihak berkuasa sivil mahupun oleh kepercayaan agama mereka.
Dalam Bab Satu, pengkaji membincangkan tentang pengenalan tentang budaya, adat istiadat, dan perkahwinan. Dalam bab ini juga, pengkaji membincangkan tentang objektif kajian, persoalan kajian, skop kajian, guna kajian, metodologi kajian, dan masalah kajian.
Dalam Bab Dua, pengkaji membincangkan perkahwinan menurut Islam. Dalam bab ini juga membincangkan hal - hal yang dibolehkan dan yang tidak boleh dijalankan oleh masyarakat Melayu yang umumnya beragama Islam serta unsur-unsur syariah dalam perkahwinan.
Dalam Bab Tiga pula, pengkaji membincangkan tentang perkahwinan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu. Hal ini termasuklah peringkat-peringkat perkahwinan yang dijalankan secara penuh dengan adat-istiadat seperti merisik, melamar, pertunangan dan sebagainya. Selain itu juga membincangkan tentang unsur-unsur yang berkaitan dengan syariah.
Dalam Bab Empat pula, pengkaji menganalisis hasil kajian yang telah dilakukan di kampung tersebut. Hal ini termasuklah adat-adat yang biasa diamalkan oleh penduduk di kampung tersebut semasa meraikan sesebuah majlis perkahwinan.
Bagi bab Lima, pengkaji membincangkan tentang rumusan ataupun kesimpulan secara menyeluruh terhadap perbincangan dalam bab-bab sebelumnya. Dalam bab ini juga pengkaji memberi beberapa cadangan bagi pembaikan adat-adat yang bersesuaian dengan masyarakat Melayu khususnya adat yang tidak bertentangan dengan agama Islam.
Text
Kata panggilan kekeluargaan masyarakat penutur dialek negeri Sembilan: Satu kajian sosiolinguistik
Abstrak
Kata panggilan kekeluargaan merupakan satu elemen yang melambangkan budaya sesebuah masyarakat. Semakin banyak masyarakat yang dikaji, semakin banyak jenis panggilan yang ditemui. Kajian ini melihat kepada jenis panggilan kekeluargaan masyarakat penutur dialek Negeri Sembilan yang dilakukan berdasarkan dua tujuan, iaitu untuk melihat jenis panggilan kekeluarga tradisi masyarakat penutur dialek Negeri Sembilan serta sejauh manakah penggunaannya pada hari ini. Kawasan kajian yang dipilih ialah Seremban, Negeri Sembilan. Kajian kepustakaan serta kajian lapangan dipilih sebagai metodologi kajian bagi kajian ini. Kaedah menganalisis data pula dibahagi kepada dua bahagian. Data kualititatif dianalisis berdasarkan teori Ervin-Tripp sementara data kuantitatif dianalisis berdasarkan model pemilihan kod oleh Holmes ( 1992). Setiap jenis panggilan kekeluargaan yang ada akan dianalisis dengan terperinci untuk mengetahui mengapa jenis panggilan sebegini wujud dan digunakan dalam masyarakat yang dikaji.
Text
Pembangunan kebudayaan di Sabah : Kajian ke atas peranan Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sabah”
Abstrak
Penubuhan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 27 Mac 2004 telah memberi satu dimensi baru dalam pembangunan kebudayaan di negara ini. Kementerian ini telah menggariskan satu hala tuju yang jelas iaitu ‘menyemarakkan’ semula semangat cintakan seni budaya di kalangan masyarakat dengan berlandaskan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Pembangunan kebudayaan ini dilakukan bersama bahagian-bahagian, agensi dan jabatan-jabatan dibawahnya. Salah satu daripadanya ialah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sabah. Pembangunan Kebudayaan di negeri Sabah boleh dilihat melalui peranan Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sabah yang menganjurkan aktiviti-aktiviti yang dinamakan ‘aktiviti Semarak Seni Budaya’, melalui program pembangunan Bahasa dan Persuratan, Seni Persembahan, Kemahiran seni, penyelidikan dan pendokumentasian serta Nilai dan Norma Setempat.
Text
Bahasa Melayu
Pembelajaran bahasa kanak-kanak : Kajian kes gaya pembelajaran pandang-ruang
Abstrak
Setiap individu mempunyai kebolehan, kecerdasan dan kemahiran yang tersendiri dalam menggarap sesuatu konsep dan pengetahuan sewaktu belajar melahirkan pelbagai gaya pembelajaran. Keindividualan ini berpaksi daripada sistem saraf dalam kedua-dua bahagian hemisfera otak berdasarkan pusat pembelajaran tertentu. Proses yang dilalui dalam saraf otak manusia dijelaskan oleh para ahli neurologi dan psikologi sebagai tidak setara, dan ini yang menjadi punca seorang individu mempunyai gaya pembelajaran yang berlainan daripada seorang individu yang lain. Hakikat ini dijelaskan dalam bahagian neuropsikolinguistik kajian ini dalam proses pemerolehan bahasa dalam pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Gaya pembelajaran kebolehan pandang-ruang yang dipeloporkan oleh Linda Kreger Silverman merupakan gaya pembelajaran yang dikaji dan dikembangkan penggunaannya dalam pemerolehan bahasa dalam pembelajaran bahasa kedua dalam kajian ini.
Hakikat penyelidikan dalam bidang pedagogi pembelajaran bahasa kanak-kanak banyak mengkaji tentang pelbagai jenis, konsep dan pendekatan dalam gaya pembelajaran, namun demikian semakin dunia bertambah mencabar, pemikiran manusia menjadi semakin kompleks dan media yang pelbagai jenis muncul dalam kehidupan, bidang kajian gaya pembelajaran juga menjadi semakin rencam dan luas kaupannya. Kajian ini juga menggunakan beberapa kaedah yang disarankan, dan yang dibangunkan sendiri bagi menggunakan bentuk yang ada dari sekeliling persekitaran hari ini bagi membina bahan-bahan pembelajaran yang ideal untuk menyokong pelajar berkebolehan pandang-ruang.
Text
Kesenian Melayu
Kraftangan anyaman buluh : Kajian kes di Kampung Jal Kechil, Tumpat, Kelantan
Abstrak
Kraftangan anyaman buluh di Malaysia telah dihasilkan oleh masyarakat Melayu terutamanya bagi masyarakat pinggir bandar dan kampung. Kraftangan anyaman akan dikenali sebagai seni kraftangan masyarakat Melayu. Pelbagai barangan yang dihasilkan seperti bakul, bekas hantaran, kipas tangan, pelapik periuk dan juga cenderahati. Kraftangan anyaman buluh ini, mempunyai ragam hias yang tertentu bagi tujuan mencantikkan lagi anyaman tersebut. Ragam hias dalam anyaman buluh ini kebiasaanya di panggil kelarai yang melibatkan motif dan corak dalam anyaman tersebut. Keindahan semula jadi alam dijadikan sebagai sumber ilham kepada penganyam untuk menghasilkan anyaman berdasarkan motif dan corak yang berasaskan alam sekeliling. Sambutan terhadap barangan kraftangan anyaman buluh dahulu sangat menggalakkan kerana ia merupakan keperluan seharian masyarakat Melayu. Pada masa kini, kraftangan anyaman buluh di Malaysia kurang diminati oleh masyarakat. Pertumbuhan teknologi yang semakin canggih hampir-hampir menenggelamkan kraftangan anyaman buluh yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu. Disebabkan hal itu, sambutan terhadap produk buluh kini berkurangan dan sangat terkesan pada seni pertukangan perak. Hal ini merupakan cabaran yang perlu ditempuhi oleh pengusaha-pengusaha kraftangan anyaman buluh. Pelestarian terhadap barangan buluh ini kini, boleh kenal pasti oleh pihak-pihak yang tertentu agar kraftangan anyaman buluh terus mekar dan mendapat sambutan masyarakat tempatan mahupun luar negara.
Text
Sosio budaya Melayu
Perbelanjaan dalam urusan perkahwinan masyarakat Melayu : Kajian kes di Daerah Kulim/ Bandar Baharu
Abstrak
Secara keseluruhannya, penulis ini adalah membincangkan mengenai aspek perbelanjaan yang terdapat dalam urusan perkahwinan Melayu. Perbelanjaan ini termasuklah dari segi jumlah bayaran perkahwinan, kos kenduri serta kos kelengkapan dan persediaan yang diperlukan semasa mengendalikan sesebuah majlis perkahwinan. Seperti yang kita ketahui, perbelanjaan yang terdapat dalam urusan perkahwinan Melayu dilihat semakin tinggi berbanding tahun yang sebelumnya. Peningkatan jumlah perbelanjaan ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor tertentu.
Antaranya termasuklah dari segi peningkatan kos sara hidup yang tinggi, perubahan pekerjaan serta kadar inflasi yang berlaku dalam negara kita. Dalam kajian ini, pengkaji berusaha untuk melakukan perincian yang lebih mendalam terhadap kos perbelanjaan yang terlibat di antara sesebuah pasangan dan keluarga pasangan. Jangkaan umum akan mengatakan bahawa pasangan yang mempunyai tahap pendidikan dan jenis pekerjaan yang baik akan membelanjakan jumlah yang lebih tinggi berbanding pasangan yang lain. Namun begitu, perubahan taraf sosiaekonomi yang dialami oleh sesebuah keluarga tidak menghalang kepada seseorang individu itu untuk mengeluarkan belanja yang lebih. Malahan, terdapat juga sesetengah keluarga yang turut sama mengeluarkan jumlah belanja yang di luar batasan kemampuan.
Perubahan yang dialami dalam pola perbelanjaan ini sedikit sebanyak turut membawa perubahan terhadap nilai dan norma tradisi masyarakat Melayu. Tidak kurang hebatnya, terhadap sesetengah individu yang terpaksa melanjutkan usia perkahwinan mereka bagi mengumpulkan dana yang secukupnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengangkut air dan pembangunan jabatan : satu kajian kes perkhidmatan Feri Pulau Pinang
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang aspek perkhidmatan feri Pulau Pinang. Kajian ini dilihatkan berdasarkan persaingan perkhidmatan feri di Pulau Pinang dengan Jambatan Pulau Pinang sebagai satu laluan untuk menyeberangi Tanah Besar ke bahagian pulau atau sebaliknya. Kajian menggunakan kaedah perpustakaan dan kajian lapangan. Kajian lapangan yang dijalankan termasuklah soal-selidik, pemerhati turut serta, temubual dan teknik analisis data.
Responden yang terlibat dalam kajian selidik terdiri daripada pengguna feri sama ada penumpang pejalan kaki dan penumpang feri berkenderaan. Responden ini dipilih secara rawak oleh pengkaji. Data kajian pengkaji mendapat pelbagai maklum balas daripada soal selidik yang dilakukan. Hasil kajian menunjukkan feri dan Jambatan Pulau Pinang ini saling berkaitan dalam memenuhi tuntutan masyarakat.
Showing 151 to 200 of 285 results
Page
of 6
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->