Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (285 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Latihan ilmiah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
sastera Melayu
Semantik leksikal bahagian anatomi manusia dalam Syair nasib Melayu
Abstrak
Semantik merupakan satu bidang yang mengkaji aspek makna. Kajian makna telah dilakukan oleh ahli-ahli bahasa dan falsafah sejak zaman Romawi dan Yunani. Namun begitu, semantik moden hanya diperkenalkan pada abad kesembilan belas. Semantik juga merupakan satu bidang yang amat penting dalam kajian sesuatu bahasa. Bahasa merupakan satu alat untuk manusia berkomunikasi dalam sesebuah kelompok sosial. Bidang semantik merupakan satu aspek penting dalam sesuatu bahasa kerana bidang ini menjelaskan makna suatu perkataan serta pemikiran manusia yang berkaitan dengan makna perkataan tersebut.
Sebanyak 291 rangkap dalam Syair nasib Melayu dikaji dan 79 rangkap yang mengandungi bahagian-bahagian anatomi dipetik dan dianalisis.
Tujuan kajian ini adalah untuk menganalisis penggunaan bahagian anatomi manusia dalam Syair nasib Melayu, di samping menghuraikan klasifikasi makna sebalik penggunaan bahagian-bahagian anatomi tersebut, Pengkaji juga dilakukan untuk melihat perkaitan signifikasi penggunaan bahagian anatomi dalam syair ini dan world view masyarakat Melayu terhadap penggunaannya.
Bab 1 membincangkan aspek-aspek yang menjadi asas kajian ini meliputi latar belakang kajian, tujuan kajian, kaedah kajian dan konsep-konsep penting dalam kajian.
Bab 2 pula membincangkan mengenai sorotan kajian yang berkaitan, dan konsep dan jenis syair. Analisis yang dilakukan adalah berdasarkan klasifikasi makna bahagian-bahagian anatomi manusia. Terdapat tiga jenis pengklasifikasian iaitu. Klasifikasi Makna Implisit, Klasifikasi Makna Eksplisit,dan Klasifikasi makna Eksplisit-Implisit.
Bab 3 menganalisis bahagian-bahagian anatomi manusia mengikut klasifikasi makna. Hanya sepuluh bahagian anatomi manusia dipilih mengikut kekerapan dalam Syair nasib Melayu. Sebanyak 66 perkataan bahagian anatomi manusia (84%) tergolong dalam Klasifikasi makna Implisit, 7 perkataan bahagian anatomi manusia (9%) tergolong dalam Klasifikasi makna Eksplisit, 6 perkataan bahagian anatomi manusia (7%) tergolong dalam Klasifikasi makna Eksplisit-Implisit.
Bab 4 pula membincangkan rumusan kajian dan kaitan penggunaan bahagian anatomi manusia dalam masyarakat Melayu.
Bab 5 pula membincangkan cadangan kajian lanjutan.
Text
Sosio budaya Melayu
Muzium negeri Terengganu : Peranannya dalam pembangunan industri pelancongan
Abstrak
Sejarah sangat penting sesebuah masyarakat kerana sejarah memberitahu kita apa yang telah berlaku pada masa lalu. Sejarah juga mengajar kita apa yang berlaku sekarang dan sejarah juga akan memandu kita menuju masa depan yang gemilang. Salah satu tempat yang terkenal di sesebuah negeri atau negara yang mempunyai nilai sejarah dan menjadi tarikan pelancong ialah muzium.
Muzium ialah sebuah institusi yang berperanan dalam mengumpul, menyelidik, mendokumen, menginterpretasi, dan mempamerkan warisan budaya sesebuah masyarakat, seperti bukti-bukti sejarah berhubung dengan manusia dan persekitarannya. Aktiviti-aktiviti inilah yang mengekalkan fungsi sesebuah muzium yang dulu juga dikenali sebagai ‘sekolah gambar’ dan juga ‘gedung budaya’.
Muzium bukan sahaja berperanan dalam mengumpul dan mempamerkan artifak-artifak yang mempunyai nilai sejarah, tetapi berperanan besar dalam industri pelancongan sesebuah tempat. Setiap tempat mempunyai warisan budaya yang unik dan berlainan dengan tempat lain. Oleh sebab itu, muzium perlu dipelihara dengan baik kerana ia menyimpan 1001 nilai sejarah budaya masyarakat setempat yang tiada bandingnya selain berperanan menarik kedatangan pelancong ke tempat tersebut dan sekaligus membantu meningkatkan ekonomi sesebuah negara. Ini kerana semua warisan budaya sesebuah tempat tersimpan di situ.
Kajian ini membincangkan peranan Kompleks Muzium Negeri Terengganu dalam pembangunan industri pelancongan di Terengganu. Beberapa perkara lain berkaitan dengan muzium tersebut juga diterangkan, seperti sejarah pembinaan muzium, susun atur pengurusan, masalah-masalah yang dihadapi muzium, dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut.
Text
Kesenian Melayu
Seni pembuatan Wau Tradisi : Biografi tokoh
Abstrak
Penulisan ini adalah pendokumentasian bertulis melalui pendedahan dan pengalaman sepanjang proses menyempurnakan kajian lapangan. Penulis telah memilih untuk dinilai dalam subjek JFEA 3383. Latihan ilmiah dengan lebih menekankan kepada perkembangan sejarah seni permainan wau tradisional Melayu penekanan kepada kurangnya tukang pembuat wau tradisional yang ada di Malaysia dan jenis-jenis wau tradisional Melayu.
Selain menyelitkan dua orang tukang pembuat wau tradisional Melayu sama ada masih wujud ataupun telah meninggal dunia, latar belakang tokoh berkenaan dan sumbangan bakti yang telah diberikan. Penulisan ini adalah berkenaan dengan kaedah kajian yang bermula dari pembentangan kertas kerja dasar dan penulis akhir yang bertujuan untuk dijadikan rujukan bersama kepada para pelajar dan pensyarah.
Aspek-aspek keistimewaan ini dibahagikan kepada beberapa pembahagian tertentu yang boleh dilihat sebagaimana berikut:
Pada Bab Satu, pengkaji akan cuba menjelaskan berkenaan penyataan kajian.Hal ini, adalah seperti latar belakang kawasan kajian, objektif kajian, masalah kajian, kaedah kajian, kepentingan kajian dan lain-lain.
Pada Bab Dua, pengkaji cuba menjelaskan perihal berkenaan definisi, sejarah kawasan kajian, asal-usul kawasan kajian, definisi Adiguru Kraf, Skim Adiguru Kraf, Manual Anugerah Tokoh Kraf Negara 2004, istilah/terminologi, pengiktirafan tokoh, kemudahan dan penghargaan.
Pada Bab Tiga, pengkaji cuba menjelaskan tentang jenis-jenis wau tradisional yang terdapat di negara Malaysia, komponen wau, cara menghasilkan wau, cara bermain wau dan sebagainya.
Pada Bab Empat, pengkaji cuba menghuraikan tentang tokoh-tokoh serta tukang pembuat wau tradisional di Kelantan, latar belakang, sumbangan, keistimewaan mereka dan lain-lain.
Pada Bab Lima, merupakan bab penutup, pengkaji akan merumuskan segala aspek perbincangan yang dibuat pada bab-bab yang sebelumnya.
Text
Bahasa Melayu
Permainan bahasa dalam penguasaan imbuhan
di Sekolah Rendah East Coast
Abstrak
Satu kajian yang melandaskan teknik permainan bahasa telah dijalankan ke atas pelajar darjah 4 di Sekolah Rendah East Coast, Singapura yang bertujuan untuk menentukan keberkesanan teknik permainan bahasa dalam pengajaran imbuhan. Data kajian ini merangkumi maklumat yang dikumpulkan daripada dua puluh lima orang pelajar selama tiga minggu yang membabitkan dua kali soal selidik dan dua kali ujian penilaian yang berasaskan imbuhan. Kajian ini membabitkan penilaian berkenaan kata imbuhan terhadap pelajar pada sebelum dan selepas teknik permainan bahasa dijalankan dalam pengajaran dan pembelajaran. Penganalisisan data dijalankan berdasarkan kajian soal selidik dan ujian penilaian. Data-data yang diperolehi akan dianalisis. Hasil kajian ini telah menunjukkan penggunaan teknik permainan bahasa adalah berkesan dalam pengajaran imbuhan.
Text
Bahasa Melayu
Estetika dalam Adventure Si Peniup Ney : Aspek keindahan bahasa
Abstrak
Kajian mengenai nilai Estetika dalam Adventure Si Peniup Ney : Aspek keindahan bahasa ini merupakan analisis dan penelitian berkenaan penggunaan dan keberkesanan gaya bahasa dalam novel bercorak keislaman hasil karangan Faisal Tehrani. Bagi tujuan kajian ini, penulis secara umumnya ingin meneliti kandungan bahasa dalam novel, seterusnya mengharap pembinaan dan pengolahan bahasa tersebut sebagai salah satu aspek estetikanya yang cuba dilampiaskan oleh penulis kepada khalayak.
Faktor utama kepada pemilihan novel ini kerana kedudukan novel ini sebagai pemenang pertama kategori novel remaja. Hadiah sastera 2004, dan secara tidak langsung pengkaji merasakan adalah perlu kajian dan analisis terhadap novel ini dilakukan. Seterusnya, novel ini juga mewakili novel-novel sastera lain yang pernah memenangi anugerah hadiah sastera, dan yang dipilih untuk dijadikan bahan utama kajian.
Secara umumnya, kajian ini terbahagi kepada lima bab, yang dimulai dengan bab pengenalan. Dalam bab pertama ini, topik utama dibicarakan adalah berkaitan dengan pendahuluan, permasalahan kajian, latar belakang kajian, tujuan kajian, batasan kajian, bahan utama kajian dan kajian-kajian terdahulu, serta kaedah penyelidikan.
Bab 2, pula memperkatakan konsep-konsep yang perlu difahami dan diketahui dalam proses kajian ini. Ia meliputi pengertian mengenai konsep novel, konsep sastera Islam (novel), konsep estetika secara umumnya, konsep estetika dari kaca Islam, dan konsep gaya bahasa serta kerangka teori Takmilah yang dijadikan landasan pengajian.
Bab 3, adalah bab yang membincangkan latar belakang penulis novel dan pencapaiannya, sinopsis novel yang dijadikan bahan kajian, serta pengelasan dan pengertian aspek gaya bahasa yang dijadikan fokus kajian oleh pengkaji. Aspek kajian yang diperkatakan oleh pengkaji adalah mengenai komponen unsur yang menjadi pecahan gaya bahasa dalam sastera.
Bab 4, pula menempatkan perbincangan dan analisis gaya bahasa dalam novel. Selain itu, bab ini juga mencakupi analisis secara kualitatif dan kuantitatif aspek kajian. Selain itu, dalam bab ini juga mengkaji nilai akhlak yang berjaya dikupas oleh pengkaji melalui novel dan kesimpulan atau dapatan daripada kajian.
Bab 5, merupakan bab terakhir dalam penulisan kajian ini, dan mengandungi kesimpulan dari keseluruhan penulisan. Kesimpulan yang diberikan dapat memperlihatkan keseluruhan gaya bahasa dalam novel dan kesempurnaan novel ini dari sudut pentakmilahannya kepada pembaca. Selain itu, pengkaji juga turut menempatkan pandangan terhadap pencapaian keseluruhan kajian yang dijalankan.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengaruh drama asing terhadap masyarakat Melayu
Abstrak
Perkembangan budaya Korea, Jepun dan China di Malaysia disebabkan oleh beberapa faktor. Salah satunya ialah faktor globalisasi yang menyebabkan segala ideologi bebas masuk di negara ini melalui pelbagai jenis media dan salah satunya adalah televisyen. Melalui rangkaian televisyen inilah yang menyebabkan berlakunya lambakan drama asing di media Malaysia yang berjaya menarik minat masyarakat Melayu umumnya untuk terus menonton. Terdapat berbagai faktor yang berjaya menarik minat masyarakat Melayu untuk menonton drama asing. Salah satu faktornya ialah disebabkan oleh faktor tema cerita. Namun begitu, lambakan drama asing ini juga telah meninggalkan beberapa kesan sama ada kesan positif mahupun kesan negatif. Kesan positif yang dapat dilihat adalah melalui drama yang ditayangkan, ia berjaya menerapkan nilai-nilai murni dalam diri para penonton. Walaupun drama asing ini mempunyai kesan yang negatif, namun ia juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
Text
Faktor penentuan terhadap kebolehsaingan restoran makanan Kelantan. Kajian kes : Tumpat, Kelantan
Abstrak
Latihan ilmiah ini bertujuan untuk melihat faktor penentu kebolehsaingan restoran makanan Kelantan di Tumpat, Kelantan. Kajian ini dilakukan adalah disebabkan oleh kurangnya kajian-kajian terdahulu yang boleh dijadikan sebagai rujukan atau sumber kepada pengkaji yang akan datang. Dalam kajian ini akan lebih memfokuskan melihat faktor penentu terhadap kebolehsaingan restoran makanan Kelantan di Tumpat, Kelantan. Objektif utama kajian ini mengenal pasti profil premis pengusaha restoran makanan di Tumpat, Kelantan, mengenal pasti masalah dan cabaran untuk meningkatkan kebolehsaingan restoran makanan di Tumpat, Kelantan dan mencadangkan langkah dan strategi untuk meningkatkan kebolehsaingan restoran makanan di Tumpat, Kelantan.
Bagi memperolehi data dan maklumat yang tepat dan berkualiti, pengkaji perlu menggunakan kaedah yang terbaik agar maklumat yang diingini dapat saling melengkapi dalam usaha menghasilkan satu kajian dan kesimpulan yang terbaik dan berjaya. Antara kaedah-kaedah yang digunakan adalah seperti pemerhatian, soal selidik dan temubual. Selain itu, pengkaji juga boleh membuat kajian melalui pengambilan data daripada perpustakaan sebagai rujukan kajian. Berdasarkan kepada analisis yang dibuat, didapati dalam kajian ini, aktiviti perniagaan makanan Kelantan ini merupakan sebuah perniagaan yang tidak mengehadkan umur kepada sesiapa yang minat dalam sektor industri makanan. Dari aspek faktor penentu paling utama kebolehsaingan restoran makanan Kelantan menunjukkan kepelbagaian makanan. Kepelbagaian makanan tersebut menyebabkan peningkatan para pengunjung ke restoran tersebut. Walaupun begitu, terdapat masalah yang berlaku di restoran makanan Kelantan dari segi pekerja, lokasi yang tidak strategik dan haruslah dipertingkatkan lagi kawasan. Maka, wujudnya langkah dan strategi yang diusahakan oleh pengusaha untuk meningkatkan jualan perniagaannya dengan memperbanyakkan lagi promosi dan menu makanan di restoran tersebut.
Text
Sosio budaya Melayu
Peniaga-peniaga kecil Melayu : Kajian kes di Pekan Sehari Temerloh, Pahang
Abstrak
Keusahawanan hakikatnya bukanlah satu perkara yang asing khususnya kepada kaum Melayu. Melalui perniagaan kecil-kecilan, para peniaga adalah merupakan agen yang penting dalam membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada masyarakat terutamanya penduduk di luar bandar. Kajian ini telah melihat kepada beberapa penemuan yang telah dikaji berdasarkan kepada pengkajian pengkaji di Pekan Sehari Termeloh, Pahang. Berdasarkan kajian tersebut, terdapat lima penemuan kajian yang telah dibahagikan iaitu peranan kekeluargaan, kewangan, peluang yang disediakan, strategi perniagaan dan masalah yang mereka dihadapi. Setiap daripada peranan tersebut memainkan peranannya masing-masing dalam sektor perniagaan kecil-kecilan terutamanya bagi peringkat luar bandar. Sebagai salah satu sumber ekonomi masyarakat luar bandar sektor ini telah membuktikan keberkesanannya dalam membasmi dan mengurangkan kadar kemiskinan dalam khususnya bagi masyarakat Melayu. Kegiatan perniagaan ini banyak membantu orang Melayu dalam meningkatkan kegiatan ekonomi mereka. Namun demikian perlu ada daya usaha yang lebih di kalangan para peniaga untuk terus maju dan berdaya saing dengan kaum yang lain.
Text
Perbezaan nilai-nilai kebudayaan orang asli tentang pelajaran : Kajian kes masyarakat Semai Bt. 14 Jalan Pahang Cameron Higlands
Abstrak
Penyelidikan pengkaji ini adalah sebuah penyelidikan dalam merungkai sistem pembelajaran masyarakat orang asli yakni sebuah sistem pembelajaran yang berbeza dengan sistem pembelajaran formal yang ada dalam negara ini. Perbezaan tersebut adalah kerana penerapan nilai tentang pelajaran dalam kedua-dua sistem tersebut berbeza dan saling bercanggah antara satu sama lain.
Justeru penyelidikan pengkaji ini adalah bertujuan melihat bagaimana penerapan nilai tersebut berbeza dalam sistem pembelajaran masyarakat orang asli dan sistem pembelajaran formal yang akhirnya ia saling bercanggah antara satu sama lain dalam memahami sistem nilai pelajaran masyarakat orang asli khususnya.
Text
Pelancongan di Kemaman, Terengganu Darul Iman
Abstrak
Kajian yang dilakukan ini adalah berkenaan dengan aspek pelancongan yang terdapat di Kemaman, Terengganu Darul Iman. Daerah Kemaman ini dilihat berpotensi sebagai salah satu destinasi pelancongan yang terunggul di negara ini kelak. Dengan kelebihan yang dimiliki, ia mampu untuk menarik minat para pengunjung untuk datang ke negeri Terengganu. Walaupun daerah lebih menonjol dengan kepesatan perindustriannya, namun ia tetap berpotensi untuk dijadikan destinasi pelancongan pilihan ramai.
Keistimewaan di Kemaman bukan sahaja terletak pada tempat-tempat yang menarik yang terdapat di sana, tetapi juga dengan kelebihan, keunikan dan keajaiban elemen-elemen yang lain. Elemen yang dimaksudkan itu adalah melalui makanannya yang banyak menggunakan sumber-sumber laut sebagai bahan utama. Selain itu, kerlipan sejenis serangga yang dikenali sebagai kelip-kelip juga mampu untuk menyinar daerah Kemaman ini sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang wajar untuk dikunjungi.
Dengan kelebihan tersendiri yang dimiliki, daerah Kemaman dipercayai mampu menarik perhatian para pelancongan tidak kira tempatan mahupun antarabangsa untuk berkunjung ke sana. Apa yang pasti, para pengunjung akan menikmati seribu kepuasan di sebalik percutian mereka kelak.
Text
Etnografi kampung: Kajian sosio-ekonomi di kampung Bukit Kuin 2, Kuantan, Pahang
Abstrak
Dalam kehidupan ini manusia tidak dapat lari daripada hidup bersosial atau bermasyarakat. Aspek sosial amat penting dalam kehidupan dan bergerak seiringan dengan aspek ekonomi. Pendek kata, kedua-dua aspek ini tidak dapat dipisahkan kerana telah terangkum dalam satu pakej yang cukup lengkap.
Dalam penyelidikan ini, pengkaji telah menyelusuri kisah atau sketsa kehidupan masyarakat bercorak etnografi penduduk di Kampung Bukit Kuin 2, Kuantan, Pahang. Etnografi penduduk ini penting bagi menyingkap dan mengungkap latar belakang sesuatu masyarakat. Etnografi mempunyai pengertian yang luas. Sungguhpun begitu, ia dapat ditakrifkan sebagai satu usaha yang dijalankan untuk memberi gambaran kepada umum mengenai budaya dan amalan yang terdapat dalam sesebuah masyarakat.
Bagi mengisi keperluan hubungan sosial, masyarakat perlu membina peraturan sosial, iaitu susunan aturan yang perlu diikut agar dapat mewujudkan keharmonian dan keseimbangan sosial. Tegasnya, masyarakat dapat mengekalkan kestabilan kerana terdapatnya peraturan sosial yang sistematik.
Melalui aspek ekonomi pula, masyarakat perlu menguasai dan meningkatkan tahap ekonomi bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka. Ekonomi penting bagi membolehkan kita menyukat dan menentukan ukuran maju mundurnya sesebuah masyarakat atau negara.
Jarak sosial-ekonomi penduduk kampung yang dibina semakin meluas, tetapi hubungan antara kedua-dua aspek ini tidak dapat dipisahkan. Perkembangan ekonomi pada paras yang lebih luas banyak mempengaruhi kedudukan ekonomi para penduduk. Oleh itu, Penduduk Bukit Kuin 2 terpaksa berhadapan dengan perubahan supaya mereka tidak keciciran di bawa arus pemodenan. Justeru itu, diharapkan warga Kampung Bukit Kuin 2 terus maju dan dapat hidup aman harmoni walaupun diduga dengan pelbagai rintangan.
Text
Kumpulan Teater Akrab : Pengurusan organisasi, aktiviti dan kejayaan (1998-2004)
Abstrak
Kajian yang dibuat ini mengenai salah sebuah persatuan yang terlibat di dalam memperjuangkan seni teater di Malaysia. Persatuan yang dikaji ini merupakan sebuah persatuan yang sedang meningkat naik dalam seni teater dan merupakan sebuah persatuan yang terbaik di negeri Kedah. Persatuan ini ialah Persatuan Penggerak Warisan Budaya atau lebih dikenali sebagai AKRAB.
AKRAB merupakan salah sebuah persatuan yang sedang mencipta nama di dalam bidang seni teater di negeri Kedah. AKRAB memainkan peranan sebagai pemangkin ke arah memperjuangkan seni teater ke peringkat yang lebih tinggi. Penglibatan AKRAB hampir tujuh tahun bermula pada tahun 1998 sehingga kini di dalam seni penteateran ini membuktikan bahawa dunia teater kita tidak pernah sunyi dengan kehadiran penggait-penggait muda yang berbakat dalam menyumbangkan idea, bakat dan lakonan yang bermutu kepada masyarakat.
Sepanjang tempoh penglibatan dalam bidang seni ini. AKRAB cuba membawa pelbagai jenis bentuk persembahan bersesuaian dengan kehendak masyarakat yang mahukan kelainan dalam setiap pementasan yang dibuat. Ternyata, AKRAB mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri apabila berjaya menobatkan diri sebagai juara di dalam pertandingan teater dalam jangka masa empat tahun berturut-turut bagi peringkat negeri selain pernah berjaya merangkul kejuaraan di dalam Pekan Teater Kebangsaan pada tahun 2001. Sesungguhnya, kejayaan ini merupakan pencetus semangat untuk AKRAB terus berjuang memartabatkan seni warisan budaya ini.
Text
Kesenian Melayu
Sosio budaya Melayu
Peranan dan cabaran Gamelan pada masa akan datang: Kajian kes di Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Pekan, Pahang
Abstrak
Gamelan merupakan muzik tradisional yang semakin tidak dikenali kerana kewujudan pelbagai jenis muzik moden pada masa kini. Kewujudan pelbagai jenis muzik moden telah memberikan impak dan persaingan yang besar kepada muzik gamelan dan muzik tradisional masa kini. Pelbagai cabaran dan masalah yang dihadapi oleh penggiat muzik gamelan untuk terus mengekalkan seni muzik gamelan di persada dunia. Pelbagai usaha dan cara yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak yang bertanggungjawab untuk terus memelihara kesenian muzik gamelan dan menjadikan gamelan sebagai warisan negara. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk meneliti dan mengkaji cabaran yang dihadapi oleh muzik gamelan pada masa akan datang. Tambahan lagi, mengaitkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menekankan Pendidikan Kesenian dengan gamelan yang menjadi kebitaraan di sekolah tempat kajian. Dasar Pendidikan Kebangsaan merupakan dasar yang mementingkan kesenian dan antara usaha kerajaan untuk mengekalkan dan memupuk nilai-nilai kesenian dalam kalangan pelajar dari peringkat sekolah lagi.
Text
sastera Melayu
Kumpulan cerpen Istana Berembun Karya Ishak Hj. Muhammad Penerapan terhadap teori konseptual kata kunci
Abstrak
Latihan ilmiah yang telah dilakukan ini adalah bertujuan untuk melihat konsepsi pengarang Ishak Hj. Muhammad (Pak Sako) dalam memberi pendapat atau pandangan beliau terhadap sesuatu konsep yang diutarakan dalam sesebuah karyanya. Kajian yang dijalankan ini adalah berdasarkan teori konseptual kata kunci.
Dalam kajian ini, penelitian yang dibuat adalah berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang terdapat dalam teori tersebut iaitu kepengaruhan, pemilihan kata dan kesan. Melalui penerapan teori ini konsepsi pengarang dilihat melalui kepengaruhan pengarang tersebut dalam membina atau menghasilkan karyanya yang dikaji terhadap latar belakang, pendidikan, masyarakat, pekerjaan, dan sebagainya. Melaluinya juga penelitian berdasarkan penggunaan kata kunci atau pemilihan kata yang digunakan oleh pengarang tersebut dalam karyanya untuk menggambarkan sesuatu konsep yang dikemukakan. Dalam hal ini juga, pengkajian seterusnya dapat melihat kesan yang mungkin pengarang ingin tinggalkan kepada para pembaca melalui karya yang dihasilkan, iaitu dengan mendalami setiap isi kandungan karya yang dihasilkan.
Pengkajian yang dijalankan ini juga dapat melihat sejauh manakah keberkesanan teori konseptual kata kunci ini dalam menerapkan ke dalam karya-karya sastera tempatan terutamanya.
Hasil kajian yang lebih lanjut dapat dilihat dalam pengkajian atau penelitian yang telah dihasilkan dalam latihan ilmiah ini iaitu bab satu menerangkan tentang teori konseptual kata kunci itu sendiri, bab dua tentang pengarang dan kepengarangan Ishak Hj. Muhammad dan bab tiga pula membincangkan tentang konsep-konsep yang kemudiannya diterapkan atau diaplikasikan melalui teori konseptual kata kunci ini.
Text
Bahasa Melayu
Penterjemahan sari kata filem : Satu kajian kes terhadap filem ‘Van Helsing’
Abstrak
Kajian ini meneliti teks terjemahan sarikata filem ‘Van Helsing’ yang merupakan sebuah filem berbahasa Inggeris yang mula ditayangkan pada sekitar tahun 2004.
Tujuan kajian ini dilakukan adalah untuk menganalisis kesalahan bahasa terdapat dalam teks terjemahan sarikata bahasa Melayu sebuah filem. Justeru, secara tidak langsung kajian ini dapat membantu para penterjemahan dan menyedarkan penterjemahan di negara kita bahawa mutu penterjemahan sari kata sememangnya masih boleh ditingkatkan lagi.
Tumpuan kajian ini ialah meneliti kesalahan dalam teks terjemahan sarikata dari segi kesalahan bahasa yang meliputi kesalahan morfologi, kesalahan sintaksis, dan kesalahan ejaan. Ketiga-tiga kesalahan ini akan dibahagikan pula kepada beberapa jenis kesalahan lain. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa kesalahan morfologi sebanyak 44%, kesalahan sintaksis berjumlah 38%, manakala kesalahan ejaan adalah sebanyak 23%.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengurusan artifak etnologi : Satu kajian terhadap Muzium Sarawak
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang pengurusan artifak di Muzium Sarawak dan kajian ini tertumpu di Muzium Sarawak Bangunan Lama, Kuching, Sarawak. Matlamat utama kajian ini adalah untuk memahami dan merakamkan proses-proses pengurusan artifak etnologi yang ditugaskan kepada Jabatan Muzium Sarawak. Diharapkan adanya kepengurusan artifak yang baik akan berguna untuk memelihara pelestarian warisan budaya sepanjang sejarah negeri Sarawak. Kajian membuktikan peranan yang dimainkan oleh Muzium Sarawak dalam memulihara artifak etnologi amat besar dan amat berkesan. Hal ini terlihat daripada prosedur pengurusan artifak yang bersesuaian dalam mengekalkan hayat artifak yang ada di Muzium Sarawak.
Text
Bahasa Melayu
Perbandingan Leksikal bahasa orang Asli Seletar dan bahasa Melayu
Abstrak
Kajian ini dilakukan untuk melihat perbandingan leksikal antara bahasa orang Asli Seletar (BOAS) dan bahasa Melayu Standard (BMS).Kajian ini dilakukan dengan menggunakan kaedah lapangan bagi mendapatkan data primer. Manakala kaedah kepustakaan dilakukan bagi mendapatkan data sekunder dan memperkukuhkan lagi data primer. Data-data yang telah dikumpul dibandingkan terutama untuk melihat aspek fonologi dan leksikal. Daripada analisis mendapati BOAS mempunyai sistem vokal dan konsonan yang berbeza daripada BMS. Didapati BOAS, mempunyai enam vokal dan 20 konsonan.
Secara keseluruhannya dapatan kajian menunjukkan dalam BOAS banyak berlaku proses pengguguran dan peleburan. Proses-proses ini dilihat akan mengubah struktur kata dari kata dwisuku dalam BMS kepada kata ekasuku dalam BOAS. Analisis yang dilakukan mendapati perubahan utama yang berlaku dalam BOAS ialah melibatkan proses pengguguran yang akhirnya mengubati struktur kata dalam BOAS. Selain itu, daripada analisis leksikostatistik dan gloto kronologi mendapati, BOAS merupakan sebuah bahasa daripada induk yang sama.
Text
Sosio budaya Melayu
Perkahwinan campur : Satu kajian kes di Daerah Tatau, Sarawak
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai perkahwinan campur yang berlaku di Daerah Tatau, Bintulu, Sarawak. Fokus kajian ini adalah meneliti kehidupan pasangan-pasangan suami isteri yang berkahwin campur dengan meninjau penerimaan, perubahan, dan penyesuaian budaya yang berlaku dalam kehidupan pasangan itu. Kajian ini memfokus kepada perkahwinan campur antara orang Muslim dan bukan Muslim. Antara perkara yang dibincangkan ialah faktor-faktor yang menggalakkan perkahwinan campur di Daerah Tatau serta proses akomodasi dan asimilasi budaya yang berlaku.
Text
Sosio budaya Melayu
Perniagaan tani : Satu kajian kes di Pasar Sehari Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu
Abstrak
Pertanian bukanlah suatu perkara yang asing dalam lumrah kehidupan masyarakat Melayu. Aktiviti pertanian sentiasa sahaja berlaku, iaitu sejak dari zaman nenek moyang kita lagi dan berterusan sehingga sekarang. Apatah lagi jika ditinjau akan kehidupan masyarakat Melayu yang berada di kawasan pedalaman, rata-rata kebanyakan daripada mereka adalah terdiri daripada golongan tani.
Sumber ekonomi utama yang menjana pendapatan kepada mereka ialah penjualan hasil tani yang dihasilkan secara langsung dan ia tidak melibatkan golongan tengah yang sentiasa cuba mengambil kesempatan untuk memperoleh keuntungan hasil daripada titik peluh petani.
Dalam era globalisasi kini, pertanian dianggap sebagai satu perniagaan. Peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan, khususnya oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas tani, yang mewujudkan kesedaran bahawa “ pertanian adalah perniagaan” Menggambarkan komitmen tinggi kerajaan dalam memperkasakan pertanian baharu dan membudayakan pertanian sebagai perniagaan.
Kajian ini dilakukan oleh setelah mengamati sendiri situasi yang berlaku dalam kegiatan perniagaan yang dijalankan di Pasar Bandar Kuala Berang. Tumpuan terarah kepada golongan petani Melayu yang menjual sendiri hasil tani mereka secara terus kepada pengguna. Lokasi spesifik kajian ialah di Pasar Sehari Bandar Kuala Berang yang menjadi salah satu pusat aktiviti ekonomi utama orang Melayu, khasnya mereka yang menetap di kawasan pedalaman Hulu Terengganu.
Text
Etnografi kampung : Tumpuan kepada kegiatan ekonomi pertanian penanaman getah di Kampung Desa Sri Haji Anuar 2, Batu 17 Air Hitam, Muar Johor
Abstrak
Sejarah pembukaan tanah untuk pertanian di negara ini telah berjalan sejak zaman pra-penjajah lagi. Tetapi pembukaan cara besar-besaran hanyalah mulai kurun ke dua puluhan apabila permintaan untuk getah asli meningkat, iaitu dengan terciptanya kereta-kereta berenjin. Pada masa yang sama juga kopi telah merosot dan peladang-peladang ingin mencuba tanaman baru. Penanaman getah di negara ini dimulakan oleh peladang-peladang Eropah dan Cina. Bagi peladang Eropah, khusus British mereka perlukan bahan mentah iaitu getah untuk menampung permintaan kilang-kilang perindustrian di negara mereka.
Selepas perang dunia pertama (1914-1918), industri getah telah mengalami kemelesetan akibat kejatuhan harga yang teruk. Keadaan ini merupakan satu rintangan kepada kemajuan industri getah itu sebagaimana dibayangkan dalam keadaan umum penjagaan tanaman, perparitan dan sebagainya. Banyak daripada estet mula mengehadkan keluaran getah mereka dengan mengubah sistem menoreh dan dengan tidak menoreh sesebuah kawasan tertentu dalam sesuatu pusingan. Sebaliknya, banyak daripada kebun kecil telah ditinggalkan buat sementera waktu. Pemiliknya cuba mencari pekerjaan di tempat lain atau, sekiranya mereka merupakan pendatang, telah pulang ke tanah air asal mereka. Tetapi juga mereka yang berhijrah ke daerah lain dan menanam padi serta tanaman makanan yang lain.
Pada awal pembangunan negeri, Johor tidak mempunyai satu dasar pertanian yang jelas lagi khusus. Pada masa itu apa jenis tanaman yang diberi tumpuan bergantung kepada tahap permintaan terhadapnya. Umpamanya, mulai tahun 1844 hingga ke akhir abad ke-19, tumpuan diberikan kepada kegiatan menanam gambir dan lada hitam dan kemudian diikuti oleh tanaman getah pada awal abad ke-20. Namun demikian, antara tahun-tahun 1921 dan 1930 kecenderungan Johor ialah ke arah pengembangan pesat sektor pertanian. Secara umum,boleh dikatakan bahawa asas kepada dasar pertanian pegawai penjajah Inggeris di Johor ialah kemajuan pertanian ladang atau estate yang amat berbeza daripada jenis kebun kecil peribumi. Kegiatan pertanian di Johor boleh dibahagi kepada dua iaitu ladang dan estet.
Pada sebahagian besar abad ke-19, sektor pertanian telah didominasi oleh kegiatan menanam gambir dan lada hitam untuk eksport. Walau bagaimanapun, tanaman ini telah diganti dengan getah pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Kegiatan ekonomi pertanian penanaman getah yang dijalankan pada masa kini adalah tanaman daripada kesinambungan di zaman kolonial British. Kini tanaman getah masa kekal menjadi sumber ekonomi negara. Sejarah lepas menjadikan tanaman ini kekal dijalankan.
Bersesuaian dengan tujuan penulisan latihan ilmiah ini iaitu untuk melihat kegiatan ekonomi pertanian penanaman getah yang dijalankan di Kampung Desa Sri Haji Anuar 2, Batu 17 Air Hitam, Muar, Johor. Sejarah di zaman kolonial British telah menjadi bukti kepada kebenaran bahawa penanaman getah telah dijalankan semenjak dahulu lagi. Tumpuan kajian ini adalah dilihat daripada pelbagai aspek dalam kegiatan yang dijalankan berkaitan dengan pertanian getah. Ini termasuklah sejarah penoreh getah, cara penanaman getah dijalankan sehinggalah kepada pemasaran dalam hasil pengeluaran. Kajian juga diperluaskan kepada masalah yang dihadapi dalam pertanian tersebut.
Sejarah telah membuktikan bahawa kegiatan ekonomi pertanian getah yang dijalankan semenjak akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 telah meluas sehingga ke hari ini pertanian penanaman getah ini kekal di Kampung Desa Sri Haji Anuar 2.
Text
Bahasa Melayu
Strategi komunikasi dalam pembelajaran bahasa Melayu : Satu kajian kes dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Singapura
Abstrak
Pertuturan yang baik dalam sesuatu bahasa lazimnya dianggap sebagai satu kejayaan dalam komunikasi. Aspek-aspek pertuturan yang baik seperti struktur bahasa yang betul dan pemilihan kosa kata yang tepat, mendukung maksud ini. Namun, dalam kajian strategi komunikasi, mesej yang dapat diterima dan difahami oleh pendengar itulah yang lebih dianggap sebagai satu kejayaan dalam komunikasi seperti yang tersebut. Anggapan ini adalah sesuai bilamana seseorang penutur bahasa kedua dilihat mampu menggunakan bahasa sasar yang tidak dikuasainya secara sempurna dalam tujuan menyampaikan mesejnya kepada penutur jati. Umumnya, kejayaan penutur bahasa kedua dalam komunikasi itu ditandai oleh beberapa cara dan tindakan tersendiri. Dalam kajian ini, perlakuan-perlakuan tersebut dinamakan sebagai strategi-strategi dalam komunikasi.
Strategi komunikasi dalam hubungannya dengan kajian ini meneliti masalah pertuturan pelajar bahasa kedua dalam proses mempelajari bahasa Melayu pada peringkat sekolah menengah di Singapura. Aspek utama yang dikaji mempunyai hubungan erat dengan ujian lisan yang merupakan salah satu komponen wajib dalam peperiksaan bahasa Melayu. Dalam kerangka ini, mutu pertuturan dalam kalangan pelajar bahasa Melayu didapati sedang mengalami kemerosotan yang perlu ditangani dengan segera. Ini bermakna secara tidak langsung, masalah pertuturan tersebut akan turut menjejas pemarkahan ujian lisan pelajar-pelajar tersebut.
Di sebalik kelemahan-kelemahan itu, kajian mendapati bahawa para pelajar bahasa kedua yang dikaji mampu menyampaikan mesej dalam keadaan penguasaan linguistik bahasa Melayu yang terhad. Ini membuktikan bahawa mereka berkeupayaan menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan berkomunikasi. Daripada aspek pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu, kejayaan pelajar-pelajar ini dapat dipertimbanbkan sebagai satu alternatif dalam membantu pelajar-pelajar bahasa kedua yang lain dalam menghadapi ujian lisan bahasa Melayu. Ini dapat direalisasikan dengan pembelajaran strategi komunikasi dalam bilik darjah, di samping dapat mengimbangi kekurangan pelajar-pelajar bahasa kedua dalam aspek penguasaan linguistik bahasa Melayu, penggunaan strategi komunikasi juga dapat mempertingkatkan keupayaan mereka dalam pembelajaran bahasa tersebut.
Text
Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz: Sumbangan dan pemikirannya dalam penulisan skrip drama
Abstrak
Drama adalah salah satu daripada genre sastera yang semakin meningkat maju sejak kebelakangan ini apabila penghasilannya menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan. Drama tidak dapat lari dari penulis skrip kerana tanpa skrip drama tidak dapat dipentaskan. Apabila melihat ketokohan Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, dapat diketahui bahawa beliau sesungguhnya seorang berkebolehan dan kreatif dalam menghasilkan karya berunsur dakwah melalui skrip drama yang dihasilkan. Kajian yang dilakukan bukan sekadar mengimbas kembali kemunculannya dalam seni sastera, tetapi mengungkap pemikiran yang dibawa melalui hasil karyanya. Oleh itu pembicaraan mengenai latihan ilmiah ini dibahagikan kepada lima bab.
Bab 1 Pendahuluan, membincangkan mengenai pengenalan yang berkaitan dengan Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, masalah kajian yang membolehkan kajian dikaji, tujuan kajian dilakukan, batasan kajian iaitu menjurus kepada yang lebih khusus, kajian terdahulu yang pernah dilakukan oleh orang lain, pendekatan kajian dan kaedah kajian yang digunakan semasa menjalankan penyelidikan.
Bab 2 Biografi tokoh dan karya-karya, membincangkan biografi tokoh yang dikaji iaitu Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz seperti melihat dari aspek pendidikannya, pekerjaan dan sumbangannya dalam penulisan tanah air. Karya-karya yang dihasilkan menonjolkan diri beliau seperti dalam bidang penulisan skrip drama dan menghasilkan buku-buku berbentuk agama.
Bab 3 Sumbangan datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz, di dalam bab ini diterangkan terlebih dahulu mengenai penulisan skrip secara keseluruhan iaitu sesebuah skrip yang baik memerlukan pembinaan struktur yang mantap seperti plot,watak,bahasa dan latar. Diterangkan juga sumbangannya dalam penulisan seperti menghasilkan skrip drama ‘kabus pagi’, ‘meniti sinar pagi’, ’tegak-tegak lalang’ dan ‘jangan bermain api’.
Bab 4 Analisis pemikiran skrip drama lambaian Kaabah, melaluinya skrip drama yang menjadi bahan kajian iaitu ‘lambian Kaabah’ diterangkan secara terperinci.Pemikiran umum dalam sastera seperti yang berlaku sejak kemunculannya di Tanah Melayu sehingga sekarang dan pemikiran pengarang dapat diungkapkan dari hasil karyanya apabila dianalisis satu-persatu melalui pendekatan dan hasil kajian yang dilakukan. Pemikiran ini disempitkan dari segi fokusnya agar penilaiannya dapat diungkapkan.
Bab 5 Kesimpulan, dari sini dibuat kesimpulan daripada bab-bab terdahulu dengan memberi penilaian tentang diri Datuk Abu Hasan Din Al-hafiz terhadap dunia sastera khususnya genre drama. Ketokohannya dapat dilihat melalui pemikiran karya yang dihasilkan serta melihat masa depannya sebagai seorang penulis skrip yang terus berkembang dewasa ini.
Text
Cerita-cerita lisan Orang Sungai Di Sandakan Sabah
Abstrak
Tajuk kajian ini adalah cerita-cerita lisan Orang Sungai di Sandakan, Sabah. Tajuk ini dipilih kerana pengkaji melihat ada kesesuaian antara tajuk tersebut dengan tujuan kajian ini dijalankan, iaitu mengumpul dan menyimpan cerita-cerita lisan Orang Sungai di Sandakan Sabah.
Dalam kajian ini juga, pengkaji mempersembahkan 5 Bab. Bab pertama, bertajuk latar belakang kajian. Bab kedua, bertajuk Sandakan selayang pandang. Bab ketiga, transkripsi cerita-cerita lisan Orang Sungai. Bab keempat, analisis bahan kajian. Manakala, bab terakhir iaitu bab kelima adalah kesimpulan.
Bab pertama atau latar belakang kajian, mengandungi pengenalan, tujuan dan kepentingan kajian. Ia juga menerangkan kaedah serta konsep-konsep dalam sastera rakyat secara umum. Konsep-konsep yang diterangkan adalah seperti konsep sastera rakyat itu sendiri, konsep cerita lipur lara, cerita lagenda, cerita binatang, cerita metos, cerita jenaka dan cerita memorates atau pengalaman.
Bab kedua pula secara keseluruhannya menceritakan tentang bandaraya Sandakan. Perbincangan adalah berkisar tentang sejarah, penduduk, ekonomi, serta agama dan kepercayaannya.
Seterusnya bab ketiga, Bab ini pula merupakan transkripsi semua bahan kajian iaitu tujuh cerita lisan Orang Sungai yang telah dikumpul.
Bab keempat pula merupakan bahagian yang terpenting dalam kajian ini, kerana kajian analisis bahan kajian akan dilaksanakan. Analisis cerita tersebut adalah berdasarkan pendekatan struktural, iaitu menyentuh tema dan persoalan, plot cerita, watak dan perwatakan, latar, serta mesej dan pengajaran.
Bab yang terakhir pula ialah bahagian kesimpulan. Disini,terkandung rumusan keseluruhan mengenai kajian. Dalam bahagian ini juga, pengkaji akan memberikan serba sedikit pandangan mengenai kajian yang dijalankan ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Dampak industri pelancongan terhadap sosioekonomi-budaya : Satu kajian kes di Pulau Langkawi
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang dampak industri pelancongan terhadap sosioekonomi-budaya penduduk tempatan di Pulau Langkawi khususnya di mukim padang matsirat.Tiga buah kampung telah dipilih sebagai sampel iaitu Kampung Kuala Teriang, Kampung Batu Ara dan Kampung Beras Terbakar. Kajian menggunakan kaedah. Kajian menggunakan kaedah perpustakaan dan kajian lapangan. Kajian lapangan yang dijalankan termasuklah soal selidik, pemerhatian turut serta, temubual, dan teknik analisis data.
Responden yang terlibat terdiri daripada masyarakat tempatan yang masih kental dengan nilai-nilai budayanya dan masih mengamalkan kegiatan ekonomi tradisi seperti nelayan dan petani (pesawah). Responden ini dipilih secara rawak oleh pengkaji. Kajian pengkaji mendapat pelbagai maklum balas daripada soal selidik yang dijalankan. Hasil kajian yang dilakukan didapati terdapat beberapa kesan positif berupa peningkatan penghasilan tetapi sebaliknya ada unsur-unsur negatif yang timbul akibat interaksi masyarakat tempatan dengan pelancongan berbentuk nilai-nilai budaya yang telah menurun.
Text
Gangguan bahasa Inggeris terhadap pembelajaran bahasa melayu di Sekolah Menengah Shuqun, Singapura
Abstrak
Bahasa Melayu adalah salah satu mata pelajaran yang diajar di Sekolah- sekolah Singapura sebagai bahasa kedua sama seperti bahasa etnik rasmi yang lain seperti Tamil dan Mandarin. Walaupun bahasa melayu merupakan bahasa ibunda kepada masyarakat melayu di Singapura, namun statusnya di sekolah-sekolah hanyalah sebagai bahasa kedua.
Perkara ini disebabkan oleh penekanan dan tumpuan yang diberikan kepada bahasa Inggeris yang merupakan bahasa perantaraan paling utama di Singapura. Oleh itu,gangguan bahasa Inggeris terhadap penggunaan dan pembelajaran bahasa melayu yang standard merupakan salah satu masalah kepada masyarakat melayu terutama sekali golongan pelajar. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan untuk melihat sejauh manakah bahasa Inggeris merupakan gangguan bahasa kepada pembelajaran bahasa melayu di sekolah-sekolah.
Dengan menggunakan dua set penulisan karangan pelajar sebagai korpus,kaedah analisis kesalahan bahasa serta model gangguan bahasa Uriel Weinreich digunakan bagi mengenal pasti dan mengklasifikasikan jenis-jenis gangguan bahasa daripada bahasa Inggeris. Borang soal selidik pula digunakan untuk memperkukuhkan dapatan-dapatan daripada analisis korpus kajian.
Hasil daripada kajian ini memperlihatkan bahawa gangguan daripada bahasa Inggeris wujud di dalam penulisan para pelajar. Kekerapan gangguan ini juga didapati agak tinggi. Kajian ini juga mendapati bahawa gangguan bahasa jenis nahu (grammatical) merupakan jenis gangguan yang terbanyak. Bagi mengatasi masalah ini, beberapa cadangan yang khusus untuk para pelajar dan juga beberapa cadangan untuk masyarakat melayu secara umum, turut diusulkan.
Kajian ini membuktikan kewujudan gangguan bahasa Inggeris terhadap proses pembelajaran bahasa melayu. Masalah ini bakal menjadi lebih rumit dan genting sekiranya langkah-langkah pemulihan tidak dimulakan dan dipraktikkan. Hal ini harus ditangani dengan segera dan sebaik mungkin kerana ianya melibatkan soal identiti dan warisan budaya masyarakat melayu di Singapura.
Text
Asal usul kegiatan ekonomi masyarakat melayu Melaka sebelum kesultanan melayu Melaka
Pengenalan
Pendahuluan
Antropologi merupakan salah satu bidang yang sangat luas kerana bidang ini mampu mengkaji manusia dari pelbagai sudut dan tidak ada had serta batasan. Oleh sebab itu, bidang ini sentiasa bergabung atau memasuki dalam bidang pengkajian yang lain. Bidang ini dipelopori oleh orang Eropah pada awalnya. Menurut pemikiran orang Eropah, bidang pengkajian boleh dibahagikan kepada empat jenis sains tulen, bidang sains sosial, bidang kemanusiaan dan bidang teologi. Antropologi adalah sebuah bidang yang mengkaji manusia secara teratur dan tersusun dan bidang ini biasanya digolongkan dalam bidang sains sosial. Perkataan “Anthropology” berasas dari perkataan Yunani iaitu “anthropos” yang membawa maksud manusia dan “logia” pula membawa maksud kajian sistematik tentang ataupun sains.(Holmes 1981:3). Bidang ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan tujuan asal bidang ini adalah untuk mengkaji tentang manusia dan kepelbagaian cara hidupnya. Bidang Antropologi ditubuhkan oleh orang Eropah untuk melihat kebudayaan orang lain selain daripada kebudayaan mereka.
Orang pertama yang mempelopori bidang ini ialah Edward B.Tylor kerana beliau Berjaya menjadi Profesor yang pertama dalam bidang Antropologi di Universiti Oxford. Perkembangan awal bidang Antropologi di Eropah lebih tertumpu kepada pengukuhan ketinggian tahap pencapaian masyarakat Eropah dan mereka hanya menerima kerangka teori evolusi sehala. Sebaliknya, Antropologi di Amerika Syarikat menolak kerangka teori ini dan membentuk idea-idea asas dalam bidang ini. Bidang Antropologi aliran Amerika Syarikat dipelopori oleh Franz Boas yang berbangsa Jerman. Menurut pendapat beliau, semua manusia di dunia ini adalah sama dan yang membezakannya adalah kebudayaan mereka. Bidang Antropologi di Amerika Syarikat boleh dibahagikan kepada empat sub-bidang yang kecil iaitu Antropologi Fizikal, Antropologi Kebudayaan,Antropologi Linguistik dan Arkeologi. Keempat sub-bidang ini saling mempengaruhi antara satu sama lain. Menurut bidang Antropologi aliran Amerika Syarikat, sesuatu budaya tidak boleh dikaji secara saintifik malah harus dikaji dengan menggunakan pendekatan relativisme, penelitian turut serta, perspektif emik dan kajian secara menyeluruh ataupun “holistik”. Hal ini demikian kerana, setiap budaya adalah berbeza dan cara pemikiran mereka juga turut berbeza. Oleh itu, seorang pengkaji dari bidang Antropologi kebudayaan harus menggunakan empat perspektif tersebut dan perkara yang paling penting ialah mereka harus menolak sifat etnosentrik. Etnosentrik adalah satu sifat yang membuat kita menganggap kebudayaan kita lebih baik daripada kebudayaan orang lain dan kita akan membuatkan orang lain mengikut kebudayaan kita.
Antropologi kebudayaan merupakan satu bidang kecil yang lebih memfokuskan kajiannya terhadap budaya manusia. Sesetengah ahli antropologi seperti Franz Boas, Edward Sapir, Malinowski, Ruth Benedict dan Margerat Mead. Para ahli Antropologi tersebut mengkaji sebuah budaya dengan menggunakan pendekatan emik iaitu melihat sesebuah budaya dari kaca mata pengamal budaya itu sendiri. Kajian seperti ini akan mengambil masa yang sangat lama kerana seseorang pengkaji harus menyesuaikan diri mereka dengan budaya yang dikaji itu terlebih dahulu sebelum memulakan kajian mereka.Mereka akan meneliti setiap sudut budaya yang dikaji itu termasuk mempelajari budaya material mereka (peralatan dan perkakas yang digunakan), hubungan kekeluargaan, agama dan kepercayaan, adat perkahwinan, makanan, permainan dan lain-lain. Dalam kajian ini,pengkaji akan menggunakan bidang Antropologi Kebudayaan dan akan meneliti sudut pandangan penulis-penulis lain dan perspektif Antropologi kebudayaan. Oleh sebab itu,pengkaji menceritakan serba sedikit mengenai bidang Antropologi.
Tamadun Melayu merupakan warisan dari Peradaban Dunia. Selain daripada tamadun Melayu, terdapat enam lagi tamadun yang besar dan masyhur seperti tamadun Yunani, Mesir, India,China, Islam dan Jepun. Setiap tamadun ini wujud dan terkenal dengan hasil kesenian, falsafah, perundangan, budaya dan ekonomi sesuatu bangsa. Sebenarnya perkataan tamadun digunakan untuk menggambarkan taraf pencapaian kemajuan rohani dan jasmani sesebuah masyarakat khususnya dari aspek ilmu pengetahuan dan fizikal tetapi mengikut pandangan semasa pula, tamadun merujuk kepada pencapaian yang tertinggi dalam bidang sains dan teknologi. Perkataan tamadun dipinjam daripada bahasa Arab dan diterima pakai dalam bahasa Melayu. Secara tidak langsung, pengertian tamadun menekankan dua aspek yang penting iaitu kehalusan budi pekerti dan pembangunan pembandaran atau penempatan.
Antara penulis yang terkenal dalam bidang ini adalah Ibn Khaldun. Beliau menggunakan istilah ‘umran’ untuk menjelaskan makna tamadun yang merangkumi organisasi sosial dan budaya. Ibn Khaldun telah mengemukakan beberapa ciri-ciri penting yang ada dan perlu dimiliki oleh masyarakat yang maju dan bertamadun dan beliau juga menggariskan unsur-unsur penting yang menjadikan peradaban itu merosot dan lemah. Dalam perkataan bahasa melayu pula, sekurang-kurangnya dua istilah digunakan iaitu ‘tamadun’ dan ‘peradaban’. Selain itu, perkataan tamadun membawa maksud civilization dalam bahasa Inggeris. Istilah ini menggambarkan tahap pencapaian sesuatu masyarakat atau budaya yang kompleks.
Proses perubahan sesebuah manusia daripada taraf tamadun yang rendah kepada yang tinggi boleh berlaku secara berperingkat-peringkat ataupun sekali gus. Namun begitu, faktor yang mendorong kepada kemunculan tamadun (Buku Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Universiti Malaya, hal.13) adalah kedudukan yang strategik. Kedudukan yang sesuai sesebuah tamadun dapat membantu membangunkan sesebuah penempatan dan membolehkan penduduk di kawasan itu memperoleh sumber semula jadi untuk menjalankan kehidupan seharian mereka. Faktor yang seterusnya adalah rangsangan keagamaan dan kerohanian. Ajaran agama dan amalan kerohanian mendorong manusia supaya menghayati nilai-nilai kehidupan yang tulus dan suci dan seterusnya membawa kepada kehidupan bertamadun. Seterusnya pula adalah pembangunan ilmu dan menghayati nilai. Pengamalan nilai-nilai moral oleh seseorang pemimpin dan masyarakatnya dapat membantu membantu membangunkan sesebuah Negara ataupun tamadun. Tambahan pula, peningkatan kemahiran dan penghasilan teknologi juga turut menjadi salah satu faktor untuk memajukan sesebuah tamadun. Faktor yang terakhir ialah persaingan dengan tamadun lain. Dalam hal ini terbukti bahawa kepelbagaian tamadun mengamalkan dasar keterbukaan untuk menerima sumber-sumber yang baik daripada tamadun-tamadun lain,yang akhirnya dapat membantu kemunculan tamadun baru.
Tamadun Melayu merujuk kepada sesebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang digolongkan sebagai sekumpulan orang Melayu. Orang Melayu merupakan kumpulan manusia yang bertutur dalam bahasa Austronesia di kawasan Alam Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat sekurang-kurangnya enam ciri untuk mentarifkan orang Melayu. Antaranya ialah ciri fizikal, bahasa, kebudayaan, masyarakat, peninggalan arkeologi dan rekod-rekod penulisan terdahulu. Penempatan orang Melayu ini dikenali sebagai alam Melayu. Alam Melayu merupakan satu kawasan yang sangat luas dan besar. Kawasan ini merangkumi Asia Tenggara, Kepulauan Melayu, Kepulauan Pasifik, dan Madagaskar di benua Afrika (Ahmad Hakimi 2005,1998). Orang-orang Melayu ini tidak suka bergaduh, sentiasa bertolak ansur untuk berinteraksi sesama mereka. Kerjasama ini yang membolehkan pembentukan empayar Sri Vijaya dan Melaka.
Akhir sekali, latihan ilmiah ini akan memfokuskan dan menceritakan tentang ekonomi asal masyarakat Melayu Melaka sebelum kewujudan Kesultanan Melayu Melaka. Disebabkan itu, pengkaji menceritakan serba sedikit tentang tamadun dan sejarah orang Melayu supaya pembaca dapat memahami mengenai kaitan antara kedua-dua perkara ini dengan ekonomi asal masyarakat Melayu Melaka sebelum pembentukan kerajaan Melaka oleh Parameswara sehingga ia menjadi sebagai sebuah kerajaan yang masyhur dan kuat di Asia Tenggara.
Text
Bahasa Melayu
Analisis kesalahan bahasa dalam periklanan(Akhbar)
Abstrak
Dalam kajian ini, pengkaji telah melakukan kajian kesalahan bahasa. Bahan kajian pengkaji terdiri daripada keratan-keratan iklan daripada akhbar Harian Metro yang diambil bahannya selama sebulan bermula dari tarikh 8 Februari sehingga 8 Mac 2006. Dalam kajian ini, pengkaji telah mengkaji tiga aspek yang terdapat dalam tatabahasa, iaitu kesalahan morfologi, kesalahan sintaksis, dan kesalahan ejaan dan cara penulisan bagi mengenal pasti kesalahan yang terdapat dalam keratan-keratan iklan tersebut. Hasil daripada keseluruhan kajian yang telah dilakukan menunjukkan bahasa hanya terdapat sedikit sahaja kesalahan yang dilakukan oleh pengiklan-pengiklan. Hal ini, dapat dilihat apabila keseluruhan iklan yang dikaji adalah berjumlah 66 keratan iklan dan hasil kesalahan yang telah berjaya dikenal pasti oleh pengkaji hanyalah sebanyak 116 kesalahan. Terdapat sebanyak 45 kesalahan bagi kesalahan morfologi, 13 kesalahan sintaksis, dan 61 kesalahan ejaan dan cara penulisan. Setiap kesalahan yang telah dikenal pasti akan dianalisis kadar peratusannya. Hasil analisis tersebut akan dimasukkan ke dalam jadual dan juga carta pai untuk memudahkan pengkaji dan juga pihak lain untuk membuat rujukan.
Text
Kesenian Melayu
Seni ukiran meriam : Manifestasi falsafah dan pemikiran masyarakat Melayu
Abstrak
Seni ukiran meriam merupakan salah satu hasil kesenian masyarakat Melayu tradisional. Ia merupakan salah satu alat atau material yang telah digunakan oleh masyarakat Melayu bagi mencapai maksud dan tujuan pada ketika itu iaitu dalam peperangan. Mereka telah mencipta alat material ini bagi memenuhi keperluan asas dan kemudiannya disesuaikan penggunaannya mengikut masa dan zaman. Kini, meriam hanya dijadikan sebagai lambang kemewahan dan kekuasaan seseorang pemerintah.
Meriam mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu. Peranan inilah yang membezakan penggunaannya pada masa dahulu dan sekarang. Selain sebagai alat material, meriam dijadikan sebagai salah satu sumber komunikasi bagi menyampaikan nasihat dan panduan kepada masyarakatnya. Melalui alat ini, falsafah dan pemikiran masyarakat tradisional dapat dinilai dan dianalisis. Nasihat dan pengajaran yang disampaikan bertujuan untuk kesejahteraan dan keharmonian masyarakat terutamanya dalam pembentukan keluarga yang sempurna. Meriam mempunyai masa depan yang baik jika dipelihara dan dikekalkan. Meriam perlu dikekalkan sama ada di muzium, kota, istana, dan balai polis. Pengekalannya perlu bagi memastikan tamadun manusia dapat dibuktikan melalui penghasilan material ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Cabaran peniaga kecil wanita Melayu dalam kalangan
masyarakat Melayu: Kajian kes di Pasar Besar Pasir Puteh, Kelantan
Abstrak
Kajian ini dijalankan terhadap peniaga kecil wanita Melayu yang terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan di Pasar Besar Pasir Puteh, Kelantan yang mana ianya dikaji bagi mengetahui cabaran peniaga kecil wanita Melayu pada masa kini. Kajian ini merangkumi lima bab kesemuanya, kesemua bab ini merangkumi aspek-aspek yang berkaitan dengan tajuk kajian.
Bab Satu membincangkan mengenai pengenalan kepada kajian ini. Dalam Bab Satu juga telah dikemukakan mengenai pengenalan kajian, permasalahan kajian, objektif kajian, metodologi kajian serta lokasi tempat kajian. Kesemua aspek ini telah dibincangkan dalam pelaksanaan awal kajian ini.
Bab Dua pula merangkumi topik mengenai definisi yang bersesuaian dengan tajuk kajian. Selain itu, hasil daripada kajian kepustakaan mengenai kajian yang telah dilakukan oleh pengkaji terdahulu mengenai bidang perniagaan dan keusahawanan dalam kalangan wanita Melayu. Disertakan juga sejarah, latar belakang, penduduk di bandar Pasir Puteh dan sekitarnya, ciri-ciri perniagaan kecil-kecilan, peranan perniagaan kecil-kecilan kepada ekonomi negara dan masyarakat setempat dan juga kesimpulan keseluruhan bagi Bab dua.
Bab Tiga adalah berkaitan perniagaan kecil-kecilan yang mana ianya merangkumi fungsi dan peranan pasar, faktor kemajuan, sumbangan dan kepentingan perniagaan kecil-kecilan, fungsi pengurusan perniagaan dan sebagainya. Kesemua aspek ini adalah merupakan pendedahan mengenai keseluruhan bidang perniagaan kecil-kecilan.
Bab Empat telah dimasukkan mengenai hasil penemuan kajian yang dilakukan melalui edaran soal selidik, temubual dan pemerhatian pengkaji semasa menjalankan kajian ini. Beberapa aspek akan dibincangkan seperti masalah atau cabaran mereka dan juga faktor yang memberi sumbangan kejayaan kepada peniaga kecil wanita Melayu. Selain itu, disertakan juga kesimpulan bagi keseluruhan Bab Empat.
Bab Lima adalah bab yang paling akhir dalam kajian ini, yang mana berdasarkan hasil dapatan kajian yang diperolehi telah dianalisis secara keseluruhan dan turut disertakan cabaran serta penutup. Akhir sekali, kesimpulan yang merangkumi keseluruhan bab dalam kajian latihan ilmiah ini.
Perkembangan kanak-kanak dalam novel Laskar Pelangi dari perspektif teori perkembangan kognitif
Abstrak
Kajian ini merupakan satu kajian tinjauan yang ingin melihat beberapa perkara berdasarkan objektif kajian iaitu, mengenal pasti perkembangan kanak-kanak teori perkembangan kognatif Jean Piaget, menganalisis aspek-aspek teori perkembangan kognatif yang mendorong kepada perkembangan kanak-kanak dalam novel Laskar Pelangi dan merumus bentuk perkembangan kanak-kanak yang terdapat dalam novel Laskar Pelangi berdasarkan teori perkembangan kognatif. Bahan kajian yang digunakan ialah novel Laskar Pelangi yang ditulis oleh Andrea Hirata terbitan Bentang Anggota IKAPI di Jarkata Selatan pada tahun 2005. Kaedah kajian yang digunakan ialah kaedah kepustakaan untuk mendapat maklumat yang lengkap bagi menyiapkan analisis data tentang perkembangan kognatif dalam novel Laskar Pelangi. Seterusnya metodologi telah dilakukan bagi mengkaji analisis yang telah dibuat oleh pengkaji-pengkaji lain. Dalam analisis data, kajian telah dilakukan terhadap empat aspek iaitu aspek Skemata dalam dalam novel Laskar Pelangi, aspek Asimilasi (assimilation) dalam novel Laskar Pelangi, aspek Akomodasi (accommodation) dalam novel Laskar Pelangi, aspek Adaptasi (adaptation) dalam novel Laskar Pelangi, serta tahap-tahap perkembangan mental dalam novel Laskar Pelangi yang terbahagi kepada dua iaitu Tahap Operasi Konkrit (7 tahun-11 tahun dan Tahap Operasi Formal (11tahun-15tahun). Seterusnya analisis data dilakukan berdasarkan aspek-aspek dalam teori dalam novel Laskar Pelangi. Pada bahagian akhir kajian jelas bahawa Teori Perkembangan Kognatif ini mempunyai aspek positif terhadap perkembangan kognatif kanak-kanak untuk mendewasakan mereka.
Text
Sosio budaya Melayu
Industri pelancongan agro : kajian kes di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor
Abstrak
Pelancongan agro adalah sebuah produk pelancongan yang semakin diminati oleh para pelancongan domestik dan antarabangsa. Pelancongan jenis ini adalah berkonsepkan pertanian serta tumbuhan-tumbuhan semulajadi. Ianya sedang giat diperkenalkan oleh pihak Kementerian Pelancongan Malaysia dengan kerjasama pelbagai pihak dari agensi-agensi pelancongan. Kampung Sungai Haji Dorani, sungai Besar yang terletak di daerah Sabak Bernam, Selangor Darul Ehsan merupakan sebuah kampung yang indah dan mojariti penduduknya adalah kaum Melayu. Bidang pertanian adalah sumber ekonomi utama di kawasan ini yang mempunyai sawah padi, kebun kelapa, ladang ternakan, kebun sayur-sayuran dan buah-buahan serta aktiviti perikanan di persisiran pantai. Lokasi kampung ini amat sesuai dijadikan kawasan pelancongan agro yang berkonsepkan pertanian. Aktiviti pelancongan agro yang dijalankan di kawasan-kawasan desa dapat memberi yang positif terhadap pembangunan dan sosioekonomi di kawasan tersebut. Para penduduk kampung dapat menikmati faedah ke atas pelaburan mereka. Ini dapat dilihat daripada hasil-hasil pertanian yang diusahakan oleh penduduk tempatan yang pada mulanya hanya untuk kegunaan sendiri tetapi dengan wujud pelancongan agro tanaman tersebut dapat dikomersialkan dan seterusnya memberi pulangan yang lumayan kepada para pengusaha. Kawasan kampung yang mempunyai tarikan alam semulajadi yang indah dapat menarik lebih ramai kedatangan pelancongan untuk berkunjung. Dengan peningkatan kedatangan pelancongan ianya dapat meningkatkan pendapatan penduduk tempatan hasil daripada perbelanjaan para pelancongan yang mengikuti program-program pelancongan agro yang terdapat di kawasan itu. Justeru, ianya dilihat sebagai medium dalam meningkatkan sumber pendapatan dan ekonomi khasnya kepada penduduk tempatan.
Text
Fenomena tomboi : Imej maskulin dalam dunia perempuan
Abstrak
Tumpuan kajian ini ialah untuk mengenali lebih mendalam golongan yang dikatakan tomboi. Kajian ini pengkaji lakukan di Bandar Kajang Selangor Darul Ehsan iaitu kawasan tempat tinggal pengkaji. Pengkaji telah menemubual tiga orang responden bagi melengkapkan kajian ini. Di awal topik yakni dalam bab satu pengkaji menjelaskan dengan jelas objektif pengkaji melakukan kajian ini. Pengkaji turut menyatakan beberapa masalah dalam kajian yang dilakukan dan menerangkan kaedah yang digunakan untuk memperolehi maklumat berkaitan tajuk kajian pengkaji.
Di dalam bab dua, pengkaji telah membincangkan tentang beberapa buah konsep yang berkaitan dengan tajuk yang dikaji serta tentang kejadian lelaki dan perempuan. Pengkaji menjelaskan konsep-konsep remaja, maskulin, transvestite, transvestism, transsexual/transeksualisme, homoseksual, tomboi, pengkid dan juga lesbian.
Dalam bab ketiga pula pengkaji telah membincangkan tentang latar belakang kawasan kajian pengkaji. Pengkaji telah menggunakan sumber yang diperolehi daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) sebagai sumber utama untuk mengetahui tentang sejarah pembukaan bandar Kajang.
Seterusnya dalam bab 4 latihan ilmiah ini, pengkaji membincangkan tentang temubual pengkaji dengan responden yang terdiri daripada golongan tomboi dalam usaha untuk memahami lebih mendalam siapakah sebenarnya golongan tomboi ini. Pengkaji telah menemubual 3 orang responden ketiga-tiganya masih remaja. Responden pertama berusia 18 tahun dan sudah tamat belajar manakala responden kedua dan ketiga masing-masing berusia 15 tahun dan masih bersekolah. Dalam bab ini juga, pengkaji menyentuh tentang penampilan diri ketiga-tiga responden sebagai seorang tomboi.
Bab kelima pengkaji telah membuat beberapa perbincangan yang berkaitan dengan latihan ilmiah pengkaji. Pengkaji telah membincangkan hasil dapatan kajian yang diperolehi daripada kajian yang dilakukan keseluruhannya. Pengkaji juga ada menyarankan beberapa cadangan yang boleh dilakukan oleh pengkaji yang lain kelak untuk meneruskan kajian tentang golongan tomboi ini.
Pada akhir bab latihan ilmiah yakni bab 6 pengkaji, pengkaji membincangkan tentang kesimpulan. Kesimpulan ini adalah berdasarkan kepada kajian yang telah pengkaji lakukan. Pengkaji juga turut membincangkan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat (pihak kerajaan, ibubapa. Orang ramai).
Text
Novel Imam:Analisis dari sudut teori takmilah
Abstrak
Pemilihan novel Imam oleh Abdullah Hussain ini adalah kerana wujudnya kesedaran tentang kepentingan kesusasteraan Islam yang kian menyepi. Kajian ini melihat aspek keagamaan yang terdapat di dalam novel Imam menerusi konsep ibadah dan dakwah berdasarkan teori Takmilah kerana ia merupakan salah sebuah teori tempatan yang meletakkan falsafah tauhid sebagai paksi penilaian sesebuah teks. Teori Takmilah sesuai digunakan untuk menganalisis novel Imam kerana bersesuaian dengan norma masyarakat Melayu yang mempunyai nilai-nilai keagamaan dan adat istiadat Melayu yang tinggi. Isi dan jalan cerita novel Imam yang menarik dan sarat dengan nasihat yang berguna buat kehidupan masyarakat bukan sahaja yang beragama Islam, malah bagi masyarakat yang beragama lain juga mampu membuatkan pembaca tertarik dan ingin mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang novel tersebut.
Text
Bahasa Melayu
Tahap pemahaman bahasa Melayu melalui analisis kesalahan dalam kalangan murid-murid tahun enam : Kajian kes Sekolah Kebangsaan Chuchoh Puteri
Abstrak
Kajian ilmiah ini bertujuan untuk meneliti tahap pemahaman bahasa Melayu melalui analisis kesalahan dalam kalangan murid-murid tahun enam. Berdasarkan kepada kajian yang telah dilakukan, pengkaji telah membahagikan tiga bahagian skop analisis kajian iaitu dari aspek kesalahan morfologi, kesalahan sintaksis, dan kesalahan mekanikal. Berdasarkan pembahagian tersebut, kesalahan mekanikal mencatatkan jumlah kesalahan tinggi iaitu 46.8% (95 daripada 203). Kemudian diikuti dengan kesalahan sintaksis iaitu sebanyak 27.1% (55 daripada 203). Kesalahan morfologi mencatatkan jumlah kesalahan terendah iaitu sebanyak 26.1% (53 daripada 203). Melalui peratusan yang ditunjukkan,tahap pemahaman bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid tahun enam di SK Chuchoh Puteri adalah pada tahap kurang memuaskan. Oleh itu, pelbagai langkah perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini agar tahap pemahaman bahasa dalam kalangan murid-murid dapat dipertingkatkan
Text
sastera Melayu
Aspek sintaksis dalam pantun
Abstrak
Kajian yang merupakan kajian terapan ini cuba menghubungkan rumus-rumus tatabahasa dengan sintaksis yang ada dalam pantun. Tujuan asas kajian ini ialah membuktikan bahawa stilistik pantun merupakan manipulasi pola-pola ayat yang ada dalam bahasa Melayu itu sendiri dan bukan merupakan bahasa yang terasing dalam masyarakat Melayu.
Tumpuan yang diberikan bagi peninjauan ini berfokuskan aspek sintaksis. Kajian ini menggunakan rangka Tatabahasa Transformasi generatif sebagai model analisis.
Bab 1 latihan ilmiah ini akan membincangkan metodologi, tujuan, batas, kaedah dan pemilihan bahan korpus untuk kajian ini. Resensi literatur serta latar belakang tentang pantun dan stilistik juga ada dibincangkan. Jenis dan binaan ayat dalam bahasa Melayu pula akan dibincangkan dalam bab 2.
Dalam bab 3, dikemukakan analisis jenis-jenis ayat tunggal dan ayat tanya yang terdapat dalam pantun-pantun yang digunakan sebagai korpus. Analisis ini akan diteruskan dalam bab 4 yang akan menghuraikan binaan ayat majmuk. Pencerakinan ayat-ayat melalui rajah pohon telah digunakan supaya sintaksis ayat lebih difahami dengan lebih jelas lagi.
Ulasan dan kesimpulan kajian dibentangkan dalam bab 5 dengan penekanan terhadap kesinambungan bahasa daripada sudut tatabahasa dan gaya bahasa yang wujud dalam korpus. Secara ringkas, dapat dibuktikan dalam kajian ini bahawa ayat-ayat dalam pantun diterbitkan berdasarkan rumus-rumus tertentu yang tetap dan mantap, walaupun pada zahirnya kelihatan berbeza. Ini jelas menunjukan bahawa bahasa Melayu mempunyai sistem tatabahasa yang telah mantap dan mapan, khususnya dalam aspek sintaksis.
Text
Sosio budaya Melayu
Identiti masyarakat Portugis di Malaysia : Kajian kes di perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka
Abstrak
Kekeliruan identiti masyarakat Portugis ini berlanjutan dan berterusan sehingga kini kerana jarang adanya usaha para pengkaji untuk meleraikan kekeliruan tersebut. Oleh itu, dalam kajian ini pengkaji ingin menumpukan kepada persoalan identiti masyarakat Portugis dengan mengkajinya dari pelbagai bidang seperti bahasa, kebudayaan, sejarah dan seterusnya. Kajian ini adalah sangat penting kerana ia melibatkan suatu penelitian yang membezakan dalam kalangan masyarakat Portugis sebaliknya memperlihatkan ke arah persamaan dengan rumpun Melayu yang lain yang berkongsi satu kawasan yang sama iaitu khususnya di Melaka. Untuk melakukan penelitian dalam penyelidikan ini, pengkaji memilih satu penempatan kaum masyarakat Portugis yang berdekatan dan mudah dari segi darjah ketersampaian pengkaji untuk melakukan penyelidikan ini. Penyelidikan ini adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut dan agar kekaburan serta penyalah tafsiran terhadap identiti orang Portugis selama ini dapat dileraikan. Mungkin hasil kajian ini akan menimbulkan reaksi kekejutan dalam kalangan pembaca kerana bercanggah dengan pemikiran sebahagian besar daripada kita hari ini yang berasaskan buku teks dari peringkat sekolah sehingga ke Universiti. Walau bagaimanapun, kajian ini penting untuk mengetahui latar Tanah Melayu dan etnik-etnik yang terdapat di tanah ini. Oleh sebab kajian mengenai identiti orang Portugis kurang dibincangkan, maka kajian ini dianggap sebagai satu dokumentasi yang penting untuk membolehkan kita dan generasi yang akan datang menimba ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam dan secara tepat tentang persoalan identiti orang di negara Malaysia ini khususnya.
Text
Kosmologi melayu dalam seni persembahan ritual Mek Mulung
Abstrak
Kajian ini adalah satu penerokaan terhadap sebuah persembahan kesenian warisan Kedah Tua yang merupakan lambang identiti unik negeri Kedah kerana ia dipercayai telah diwarisi sejak ratusan tahun dahulu. Sebagai sebuah persembahan rakyat, Mek Mulung adalah persembahan yang lengkap dengan gabungan elemen-elemen seperti nyanyian, cerita, tarian, muzik dan lakonan yang berfungsi sebagai hiburan kepada penduduk setempat. Selain berfungsi sebagai hiburan rakyat, Mek Mulung juga berfungsi sebagai ritual kerana ia melibatkan ritual perubatan yang merupakan bahagian terpenting dalam persembahan ini. Fokus utama kajian ini adalah berpandukan kepada tiga objektif iaitu, mengkaji ciri-ciri dan struktur persembahan yang terdapat di dalam seni persembahan Mek Mulung; mengkaji unsur kosmologi Melayu yang terdapat di dalam seni persembahan Mek Mulung dan mengkaji proses-proses ritual yang terdapat dalam seni persembahan Mek Mulung. Teknik pengumpulan data yang digunakan dalam kajian ini terdiri daripada instrumen kajian seperti, kaedah temubual yang melibatkan informan yang terdiri daripada ahli kumpulan Mek Mulung. Selain itu, kaedah kepustakaan juga banyak digunakan dalam usaha pengkaji mendapatkan bahan-bahan bercetak sebagai rujukan. Seterusnya, kaedah pemerhatian digunakan untuk memerhatikan setiap ciri-ciri dan struktur yang terdapat dalam persembahan. Hasil dapatan kajian mendapati bahawa ciri-ciri khusus Mek Mulung dapat dilihat dari segi busana dan props, lagu, tarian dan nyanyian, esembel-esembel muzik, watak dan perwatakan serta peringkat-peringkat persembahan. Namun dalam konteks yang lebih mendalam, kajian ini tidak sekadar menumpukan struktur persembahan sahaja,tetapi ingin menelusuri aspek kosmologi Melayu yang terdapat dalam persembahan Mek Mulung. Kosmologi berkaitan dengan kajian terdapat alam semesta (cosmos) yang mencakupi ruang lingkup mengenai alam nyata ( fizikal) dan alam ghaib ( metafizik ). Persembahan Mek Mulung banyak mengandungi unsur-unsur yang mempengaruhi dunia metafizik kerana mereka percaya akan kewujudan makhluk ghaib yang dipercayai sebagai roh leluhur nenek moyang mereka. Perkara ini membuktikan bahawa Mek Mulung merupakan persembahan yang menghubungkan manusia dengan kuasa ghaib. Sebagai satu persembahan, Mek Mulung juga berfungsi sebagai ritual malah dalam konteks seni persembahan upacara ritual lazimnya bertujuan untuk menyembuhkan pelbagai penyakit khususnya penyakit akibat gangguan makhluk halus. Oleh itu, persembahan ritual perubatan Mek Mulung adalah suatu upacara yang terhasil daripada tindakan atau keinginan untuk mencari hubungan dengan dunia ghaib (metafizik). Kedudukan ritual merupakan simbolik yang menunjukkan rasa hormat kepada roh leluhur nenek moyang mereka yang dipercayai menjadi pelindung bagi persembahan ini, oleh itu ritual perubatan dalam Mek Mulung dianggap bahagian yang sangat penting.
Text
sastera Melayu
Simbolisme dalam Susur Pendekar
Abstrak
Latihan ilmiah ini merupakan satu kajian menganalisis pendekatan simbolisme dalam sebuah buku koleksi puisi iaitu Susur Pendekar karya Muhammad Jailani Abu Talib. Bagi tujuan ini, pengkaji telah memilih 19 buah puisi dari buku tersebut dan puisi-puisi tersebut telah memuatkan simbol-simbol yang mempunyai kaitan dengan makna yang tersurat dan tersirat. Simbol merupakan satu unsur bahasa-budaya yang menyimpan makna serta mencerminkan minda masyarakat Melayu pada zaman itu.hal ini secara tidak langsung menunjukkan kesinambungan minda generasi masyarakat Melayu seterusnya sepertimana yang dipancarkan dalam karya sastera moden Susur Pendekar. Bagi kajian ini, teori semiotik berdasarkan pendekatan simbolisme akan digunakan sekali gus menekankan bahawa analisis simbol ini adalah bertitik-tolak dari makna atau definisi makna simbol itu saja. Berlandaskan dari itu, kajian analisis pendekatan simbolisme dalam koleksi puisi Susur Pendekar dikelompokkan kepada beberapa kategori simbol. Antaranya termasuklah simbol pendekar, silat, keris, bunga,warna, cakerawala dan binatang.
Text
Islam dan proses penyesuaian budaya masyarakat pendatang Arab ke atas masyarakat Lembah Bujang, Kedah
Abstrak
Lembah Bujang merupakan tempat bersejarah kerana telah mencatatkan sejarah awal Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Lembah bujang kira-kira 1000 tahun lalu merupakan pusat perdagangan dan pemerintah kerajaan Hindu-Buddha di rantau Nusantara sebelum munculnya kerajaan Islam. Terdapat sebuah muzium arkeologi di sini yang menyimpan 1001 sejarah dan bukti awal tentang wujudnya pemerintahan Hindu-Buddha dan Islam di Kedah selain bukti kewujudan Lembah Bujang sebagai pusat perdagangan antarabangsa.
Apabila membicara tentang permasalahan Lembah Bujang, masyarakat sering kali mengaitkannya dengan pengaruh Hindu-Buddha. Tetapi amat sedikit sekali yang cuba mendekatinya dari sudut yang lebih luas terutama yang berkaitan dengan tamadun Islam yang pernah wujud di Lembah Bujang. Sebelum kedatangan Islam, agama dan budaya Hindu-Buddha bertapak kukuh dalam setiap aspek kehidupan masyarakat setempat hingga berabad-abad lamanya. Agama dan budaya ini begitu kuat dan sangat jelas mempengaruhi kebudayaan masyarakat setempat misalnya didalam sistem politik, sosial, ekonomi dan pemikiran masyarakat Melayu.Agama Hindu boleh dikatakan menjadi anutan kebanyakan masyarakat khususnya golongan atasan seperti golongan istana kerana ianya amat sesuai untuk menjaga kepentingan sosial dan politik mereka sendiri.
Kemasukan pedagang Arab ke Lembah Bujang yang turut membawa bersama agama Islam telah menyebabkan agama Islam mula tersebar luas. Masyarakat setempat telah mula mengenali Islam sebagai sebuah ajaran yang berteraskan akidah dan lebih rasional. Berpandukan kepada konsep rasionalisme inilah, menyebabkan masyarakat Melayu dengan sendiri menolak kepercayaan tahyul Hindu dan fahaman Animisme. Akhirnya Tamadun Islam sedikit demi sedikit telah berjaya meresapi dan melunturkan kegemilangan tamadun Hindu-Buddha dan berlakunya proses penyesuaian diantara kedua-dua kebudayaan. Perubahan dan proses penyesuaian ini menampilkan suatu hakikat bahawa Islam telah berjaya membawa era di rantau ini dan meninggalkan era lama yang wujud sebelumnya.
Oleh itu, tesis ini antara lain akan membincangkan beberapa aspek pembaharuan dan perubahan yang dibawa oleh Islam, seperti dari segi sosial, budaya dan pemikiran masyarakat Melayu. Walaupun tamadun dan pengaruh Hindu tidak dapat dilenturkan sepenuhnya berikutan dari pertapakan dan perkembangan Islam, namun secara umumnya boleh dikatakan bahawa sebahagian besar Tamadun Islam berjaya mengatasi tamadun Hindu, malah dapat mengubah cara hidup mereka bersesuaian dengan ajaran Islam yang maha suci. Justeru, tesis ini bertujuan untuk membongkar, menyingkap, merekonstruksi dan menyusun kronologi sejarahnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengaruh drama rantaian Asia terhadap gaya hidup wanita Melayu : Kajian kes dalam kalangan mahasiswi dan suri rumah di Arau Perlis
Abstrak
Fenomena drama rantaian Asia dikatakan bahawa menjadi suatu ruang baharu yang penting untuk wanita Melayu melibatkan diri dengan nilai-nilai moden melalui pemaparan pelbagai citranya yang berkait dengan unsur-unsur kepenggunaan, selebriti dan gaya hidup bandaran.
Objek utama penulisan latihan ilmiah ini untuk membincangkan tentang fenomena drama rantaian Asia yang mempengaruhi golongan mahasiswi di Universiti Teknologi Mara Cawangan Perlis (UiTM) dan golongan suri rumah di Bandar Diraja Arau. Selain itu, pengkaji ingin mengenal pasti faktor-faktor tarikan drama rantaian Asia dan pengkaji juga menganalisis adakah fenomena drama rantaian memberi kesan positif dan negatif secara langsung ataupun tidak langsung kepada mahasiswi dan suri rumah.
Kajian ini menggunakan satu set borang soal selidik yang diedarkan kepada 100 orang responden, malah pengkaji juga mengadakan sesi temubual bersama-sama 11 orang informan yang dipilih secara rawak di bandar berkenaan. Kajian ini telah mendapati bahawa kecenderungan minat mahasiswi dan suri rumah adalah berbeza antara satu sama lain.
Di samping itu, kajian ini turut memperolehi maklumat mengenai faktor-faktor ketaksuban menonton drama rantaian Asia disebabkan faktor tarikan drama-drama rantaian Asia itu sendiri, masa yang sesuai untuk menonton dan didapati terdapat 13 drama Asia timur dan Asia Tenggara yang telah dipilih oleh penonton. Di dalam kajian ini juga telah menunjukkan bahawa drama-drama rantaian Asia ini memberikan kesan positif dan negatif sama ada dipengaruhi secara langsung ataupun tidak langsung kepada mahasiswi dan suri rumah di kawasan kajian.
Text
Bahasa Melayu
Pembudayaan tulisan Jawi di Kelantan : Sejarah dan prospektif
Abstrak
Tulisan Jawi merupakan warisan bangsa yang tidak ternilai harganya. Malah, tulisan Jawi merupakan nadi yang menggerakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan meletakkannya setaraf dengan bahasa-bahasa asing di dunia ini pada suatu ketika dahulu. Dalam era globalisasi kini, didapati sistem tulisan Jawi semakin terhakis dan dipinggirkan oleh generasi muda hari ini. Tulisan Jawi seolah-olah dipinggirkan oleh masyarakat. Penguasaan membaca dan menulis Jawi oleh generasi hari ini semakin hari semakin kurang memuaskan. Walaupun begitu, kelihatan sebuah negeri di Pantai Timur Malaysia, iaitu Kelantan masih tegar menggunakan tulisan Jawi dalam pelbagai aspek, misalnya di papan tanda iklan, nama kedai, nama jalan, dan sebagainya sebagai usaha pelestariannya. Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengkaji pembudayaan tulisan Jawi di negeri Kelantan, di samping melihat pengaruhnya terhadap penerapan nilai-nilai Islam di sana. Pengkaji menjadikan Negeri Kelantan sebagai pilihan kawasan kajian disebabkan pembudayaan ini sangat unik dan banyak digunakan di sana, kebanyakkannya tidak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia. Sejarah negeri Kelantan itu sendiri kaya dengan pelbagai cerita menarik dan begitu dekat dengan nilai keislaman. Tidak hairanlah jika roh Islam begitu kuat tersebar di Negeri Serambi Makkah ini. Tulisan Jawi sememangnya sudah mengalami banyak perkembangan dan masih mencari cara yang lebih mudah untuk ditulis dan diamalkan. Ia pastinya memberi sumbangan dalam pelbagai bidang ilmu, antaranya bidang pentadbiran, keagamaan,kesenian, dan kebudayaan. Justeru, kajian ini akhirnya mendapati bahawa pembudayaan tulisan Jawi di Negeri Kelantan banyak mempengaruhi corak kehidupan masyarakat mereka sendiri. Secara langsung atau tidak langsung, tulisan Jawi menjadi penyalur kepada penerapan nilai Islam dalam masyarakat di samping mengambil kira penerimaan masyarakat bukan Islam. Pembudayaan tulisan Jawi harus lebih diperluas ke seluruh pelosok dunia agar ia terus terpelihara akan keizinannya untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
Text
Kesenian Melayu
Seni bina perahu : Kepercayaan dan ekologi
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai seni bina perahu yang mengaitkan tentang kepercayaan dan ekologi.
Seperti yang ketahui bahawa seni bina perahu mempunyai banyak perbezaan yang secara tidak langsung berkaitan dengan kepercayaan dan ekologi yang mempengaruhi seni bina perahu itu sendiri. Kajian ini akan memberikan maklumat yang lebih terperinci dan mengupas lebih lanjut tentang kaitan antara kepercayaan dan ekologi dalam seni bina perahu.
Text
Sosio budaya Melayu
Konsep 1 Malaysia dan cabaran perpaduan antara etnik : Satu kajian kes terhadap pelajar-pelajar Universiti Malaya
Abstrak
Perpaduan merupakan satu proses untuk menyatupadukan anggota masyarakat dan negara melalui pelbagai kaedah. Perpaduan penting supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka. Perpaduan merupakan perkara yang sangat penting untuk membentuk masyarakat yang kukuh ukhwahnya. Di Malaysia, perpaduan berperanan dalam menjana pembangunan negara.
Perpaduan boleh dipupuk melalui dasar-dasar yang dibawa oleh setiap pemimpin negara. Antara dasar yang menekankan pemupukan semangat perpaduan ialah pelaksanaan 1 Malaysia. Dasar ini masih lagi dalam pelaksanaan di Malaysia. Pelaksanaan 1 Malaysia yang berpaksikan perpaduan ini dianggap dapat membentuk bangsa Malaysia seperti yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri.
Dalam era globalisasi masa kini, perpaduan menjadi alat penghujung bagi proses komunikasi dan interaksi antara masyarakat. Namun, dalam membentuk perpaduan pelbagai halangan dan rintangan yang perlu dihadapi. Oleh itu, Perdana Menteri Malaysia telah memperkenalkan Konsep 1 Malaysia bagi memantapkan lagi masyarakat Malaysia. Namun begitu, penerimaan masyarakat terhadap konsep ini masih dalam pemerhatian pihak kerajaan.
Kajian ini dilakukan bagi mengenalpasti penerimaan pemahaman masyarakat terhadap pelaksanaan 1 Malaysia dalam mengukuhkan perpaduan negara. Tumpuan kajian tertumpu kepada golongan pelajar Universiti Malaya ini telah dapat mengenalpasti penerimaan masyarakat Malaysia terhadap pelaksanaan 1 Malaysia dalam mengukuhkan perpaduan negara.
Text
Sosio budaya Melayu
Jati diri Orang Asli : Di Kampung Manchis, Bentong, Pahang
Abstrak
Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengkaji ciri-ciri jati diri masyarakat Orang Asli dari segi bahasa, adat resam, kepercayaan, corak kepimpinan, gaya hidup dan kegiatan ekonomi. Selain itu ia juga untuk mengenal pasti pengekalan ciri-ciri jati diri masyarakat Orang Asli di Kampung Manchis, Bentong, Pahang.
Kajian dimulakan dengan melihat beberapa konsep yang berkaitan dan seterusnya membuat sorotan beberapa penulisan yang telah dihasilkan berkaitan dengan bidang kajian.
Kajian ini menggunakan pelbagai kaedah seperti soal selidik, temubual tidak formal, penyelidikan perpustakaan dan pengalaman peribadi sebagai kaedah sokongan.
Analisis dimulakan dengan melihat komponen jati diri, ciri-ciri jati diri, Orang asli dan ciri-ciri jati diri Orang Asli. Analisis mengenai pengekalan ciri-ciri jati diri dalam konteks perubahan juga diberi tumpuan.
Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati bahawa jati diri masyarakat Orang Asli sangat kuat. Ini diterjemahkan dengan amalan dan larangan yang masih dilakukan sehingga kini. Pengekalan jati diri dilihat dalam konteks perubahan tetapi kebanyakan amalan dan pantang larang masih ditaati oleh masyarakat suku kaum Temuan di Kampung Manchis.
Beberapa buah buku, latihan ilmiah, akhbar, jurnal dan majalah menjadi rujukan sepanjang kajian ini dilakukan dan seramai 50 orang responden bagi sesi soal selidik dan temu bual dijalankan untuk memberikan maklum balas terhadap kajian ini.
Text
Bahasa Melayu
Bahasa dalam bidang pertukangan kayu-tumpuan kepada aspek leksikal
Abstrak
Bab1: Membincangkan latar belakang kajian yang berkaitan dengan bidang perkamusan, tujuan kajian, bidang kajian, permasalahan kajian, bahan kajian, kaedah kajian yang dilakukan seterusnya konsep-konsep iaitu konsep laras, istilah dan leksikal.
Bab2: Membincangkan sejarah perkamusan Melayu yang dilihat dari segi perkembangan kamus Melayu sebelum abad ke-20 yang terbahagi kepada dua, iaitu perkembangan kamus Melayu dwibahasa sebelum abad ke-20 dan kamus Melayu ekabahasa sebelum abad ke-20. Seterusnya membincangkan perkamusan Melayu abad ke-20, iaitu perkembangan kamus Melayu dwibahasa abad ke-20 dan perkembangan kamus Melayu ekabahasa abad ke-20.
Bab3: Bab ini dibincangkan mengenai bahasa dalam bidang pertukangan kayu di Kelantan tumpuan kepada aspek leksikal. Kata tukang kayu (KTK) yang sering digunakan dalam bidang pertukangan kayu di Kelantan dilihat dari segi kata Melayu, kata dialek dan kata Inggeris yang digunakan oleh tukang kayu sebagai bahasa khusus pertukangan kayu.
Bab4: Membincangkan KTK dalam pertukangan kayu di Kelantan lebih dari satu kata, iaitu KTK dua kata, tiga kata dan empat kata.KTK lebih dari satu kata tersebut adalah antara kata Melayu dengan kata dialek dan kata Inggeris.
Bab5: Perbincangan secara keseluruhan KTK yang sering digunakan dalam pertukangan kayu di Kelantan sebagai bahasa khusus pertukangan kayu dari segi kata Melayu, kata dialek kata Inggeris.
Bab6: Kesimpulan daripada kesemua bab yang dibincangkan dalam kajian ini dan harapan pengkaji.
Text
Sosio budaya Melayu
Kehidupan ibu tunggal : Satu kajian kes di Jajahan Pasir Mas, Kelantan
Abstrak
Ibu tunggal memang sudah menjadi sinonim dalam kehidupan sesebuah masyarakat, ini kerana dalam kehidupan manusia kes-kes kematian , penceraian pergaduhan, ketidaksefahaman dan sebagainya yang boleh membawa kepada keruntuhan rumahtangga adalah sudah menjadi perkara yang biasa.
Kajian mengenai kehidupan ibu tunggal dilakukan bertujuan bagi melihat punca menyebabkan berlakunya penceraian dan menyebabkan bergelar sebagai seorang ibu tunggal, seterusnya dalam kajian ini adalah bertujuan bagi mengetahui masalah dan cabaran yang dihadapi oleh para ibu tunggal. Selain itu, mengetahui bagaimana bentuk bantuan yang diberi oleh pihak berkuasa dan juga melihat sedikit dari segi pandangan masyarakat sekeliling terhadap golongan ibu tunggal di Pasir Mas, Kelantan.
Text
Adipati ekologi masyarakat orang Asli Laut Pulau Indah: Satu kajian kes mengenai aktiviti perikanan orang Asli laut di perkampungan orang Asli Pulau Indah, Klang
Abstrak
Kajian etnografi merupakan satu kajian yang dianggap paling asas dalam penyelidikan sosial mengenai sesuatu budaya, kepercayaan, adat dan tingkah laku yang berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang telah dikumpulkan dari kajian lapangan. Etnorafi menggambarkan apa yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka yang memfokuskan penggambaran secara terperinci dan tepat. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan pendekatan dalam bidang Antropologi kebudayaan yang memberi penumpuan dalam adaptasi ekologi masyarakat orang asli laut di Pulau Indah yang terangkum dalam aktiviti perikanan dipesisir pantai.
Aktiviti perikanan yang dijalankan oleh mereka memperlihatkan hubungan diantara masyarakat dan ekologi alam sekitar yang terdapat di sekitar Pulau Indah. Masyarakat orang asli laut di Pulau Indah beradaptasi dengan alam sekeliling kerana sememangnya mereka sangat bergantung kepada ekologi terutama ketika berada di kawasan perairan laut. Hal ini kerana, kehidupan mereka berasaskan kepada habitat dan ekologi laut kerana ianya merupakan tingkahlaku semula jadi daripada diri mereka.
Text
Sosio budaya Melayu
Kajian penerimaan kanak-kanak tadika naluri terhadap nilai dalam animasi Upin dan Ipin
Abstrak
Kajian ini merupakan kajian terhadap “Penerimaan kanak-kanak Tadika Naluri terhadap nilai dalam animasi Upin dan Ipin” kajian ini dilakukan di Tadika Naluri (Taman Melawati) dengan menggunakan kaedah wawancara, proses pembelajaran dan pemerhatian terhadap pelajar di tadika Naluri yang berumur dari empat, lima dan enam tahun. Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mencapai objektif kajian iaitu mengenalpasti watak yang menjadi ikutan kanak-kanak dan mengkaji sama ada melalui animasi Upin dan Ipin penerimaan nilai terhadap kanak-kanak dapat difahami atau sebaliknya.
Kajian ini menyatakan tentang kepentingan animasi dan impak positif yang diterima oleh kanak-kanak sekiranya ia dipantau oleh ibu bapa. Kajian ini amat penting bagi golongan ibu bapa untuk memahami dan mengetahui tahap kepentingan sesuatu siri animasi yang dipertontonkan melalui televisyen oleh anak-anak. Sesuatu tontonan yang dilihat oleh seseorang kanak-kanak mampu mempengaruhi sikap dan tingkah laku mereka. Bukan itu sahaja ia juga berperanan mendidik anak-anak untuk membentuk jati diri mereka.
Setiap animasi yang dilihat oleh kanak-kanak mampu mempengaruhi diri mereka. Haruslah diingatkan bahawa pandangan dan tafsiran kanak-kanak terhadap sesuatu animasi yang dilihat amatlah berbeza dengan pandangan dan tafsiran orang dewasa
Text
Perubahan pakaian tradisional melayu: kajian kes busana kebaya di Rumah Kebaya Bangsar, Kuala Lumpur
Abstrak
Kebaya merupakan pakaian tradisional yang terkenal dalam masyarakat Melayu Nusantara. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti perubahan kebaya tradisional dari aspek pemilihan fabrik. Potongan, pemilihan warna, penggunaan corak dan motif, fungsi dan kegunaan kebaya pada masa kini dan meneliti pandangan penggiat kebaya dalam usaha mengekalkan kebaya tradisional. Pendekatan yang telah dilakukan iaitu sesi temubual bersama pengasas butik Rumah Kebaya Bangsar iaitu Puan Nursyuhada Md. Isa. Secara keseluruhannya kebaya keluaran Syus Couture sememangnya berlaku perubahan dalam aspek pemilihan fabrik, potongan, pemilihan warna, penggunaan corak dan motif serta fungsi dan kegunaan pemakaian kebaya. Hal ini memperlihatkan bahawa kebaya adalah pakaian tradisional yang mempunyai nilai warisan dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Bahkan dengan sentuhan kontemporari pada kebaya moden, potongan “slimming effect” dan nilai praktikal yang terhasil dapat menarik minat golongan wanita pada hari ini untuk menggayakan kebaya untuk ke majlis formal atau tidak formal. Pakaian tradisional bukan sahaja pakaian yang melambangkan keunikan masyarakat Melayu malah ia menjadi satu cerminan masyarakat Melayu yang harus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda. Lantaran itu, Puan Nursyuhada Md. Isa, memainkan peranan yang penting dalam memelihara dan mengekalkan warisan kebaya untuk kemaslahatan jangka panjang terutamanya kepada pengetahuan generasi muda tentang dunia kebaya.
Text
Sosio budaya Melayu
Pendapatan petani yang menyewa tanah untuk pertanian padi : Satu kajian kes di beberapa buah kampung di Daerah Besut, Terengganu
Abstrak
Aktiviti pertanian sememangnya sangat sinonim masyarakat Melayu yang tinggal di luar bandar kerana kegiatan pertanian merupakan aktiviti tradisi masyarakat Melayu untuk menampung kehidupan harian mereka.hal ini kerana masyarakat Melayu tradisi tinggal di luar bandar sejak dahulu sehingga penjajahan British dan sehingga sekarang, yang mana majoriti penduduk di luar bandar ialah orang-orang Melayu. Antara pertanian yang dilakukan ialah tanaman padi, getah, kelapa sawit, nelayan dan sebagainya.
Pertanian padi merupakan aktiviti pertanian yang utama kerana beras merupakan makanan ruji masyarakat di Malaysia.Pendapatan golongan ini masih lagi ditaraf yang rendah jika hendak dibandingkan dengan sektor lain.
Kajian yang akan dijalankan ini adalah untuk melihat pendapatan dan juga kos pengeluaran yang terpaksa ditanggung oleh petani yang menyewa tanah untuk tanaman padi ini. Hal ini kerana petani ingin membesarkan saiz milikan tanah untuk tanaman padi supaya mendapat hasil yang tinggi dan juga mengusahakan tanah yang terbiar yang mana tuan tanah sudah tidak lagi mampu untuk mengerjakan tanah tersebut, manakala anak-anak pula tidak mahu mewarisi pekerjaan tersebut.
Kajian ini dilakukan di beberapa buah kampung yang berada dalam daerah Besut, Terengganu, iaitu Kampung Apal, Kampung Batang gergaji dan juga Kampung Pohon Ta. Yang mana di kawasan kajian ini masih ramai petani yang menyewa tanah untuk pertanian padi.
Showing 1 to 50 of 285 results
Page
of 6
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->