Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (389 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Disertasi Sarjana Perpustakaan Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Hikayat Char Darwis : kajian berdasarkan teori puitika sastera Melayu
Abstrak
Dalam kajian ini, pengkaji telah memilih genre manuskrip Melayu lama sebagai bahan yang ingin dikaji dengan menggunakan teori Puitika Sastera Melayu hasil pemikiran sarjana setempat, iaitu Professor Dr. Muhammad Haji Salleh. Teks Hikayat Char Darwis (HCD) ini telah ditransliterasikan oleh pengkaji berpandukan buku Transliterasi Kata Arab, Parsi dan Turki oleh Muhammad Bukhari Lubis dan Ali Haji Ahmad, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd tahun 2006. Segala keralatan ejaan disesuaikan dengan sistem ejaan yang terkini. Selepas itu baharulah penelitian dibuat mengikut halaman muka surat. Fokus kajian ini ialah melihat isi kandungan utama teks HCD dari aspek estetik. Teks HCD ini mengandungi 290 halaman dan terbahagi kepada empat bab yang berbeza. Pengkaji hanya memberi penumpuan terhadap aspek estetik pada teks HCD melalui Prinsip Perkataan Yang Indah-Indah dan Prinsip Yang Indah-Indah: Estetika Sastera Melayu. Dalam melakukan kajian ini, pengkaji telah membahagikan kajian ini kepada enam topik besar, iaitu Bab Pertama Pendahuluan yang merangkumi aspek Pengenalan, Latar Belakang Kajian, Permasalahan Kajian, Tujuan Kajian, Bahan Kajian, Batasan Kajian, Metodologi Kajian, Kajian Lalu, Kepentingan Kajian, Teori dan Unjuran Bab. Dalam Bab Kedua pula berkaitan dengan Filologi, konsep estetika Braginsky dan Muhammad Haji Salleh dan Teori Puitika Sastera Melayu. Prinsip-prinsip dalam Teori Puitika Sastera Melayu seperti Takrif dan Istilah, Fungsi Karya Sastera, Genre, Perkataan Yang Indah-Indah, Teks, Memperbaharui Pengarang, Yang Indah-Indah: Estetika Sastera Melayu dan Khalayak Di Serambi Pentas dijelaskan dalam bab ini. Dalam Bab Ketiga pula pengkaji menulis berkaitan dengan Naskhah Hikayat Char Darwis Sebagai Sebuah Karya Sastera Melayu Klasik. Pengkaji memulai topik dengan Pengenalan, Keterangan Naskhah, Keadaan Naskhah, Ukuran Naskhah, Tulisan yang digunakan pada naskhah, Pengarang Naskhah, Judul/Tajuk Naskhah dalam bahasa Melayu dan Parsi, Kolofon, Ejaan, Gaya Bahasa, Struktur Ayat, Penggunaan Bahasa Klasik, Penggunaan Bahasa Simile, Bahasa Pinjaman, iaitu bahasa Arab, Parsi dan Jawa, Teknik Penyampaian, iaitu Teknik Naratif, Teknik Dramatik, Teknik Imbas Kembali, Teknik Monolog dan Kesimpulan. Dalam Bab yang Keempat pula, analisis dilakukan untuk melihat unsur Perkataan Yang Indah-Indah dalam Hikayat Char Darwis. Bab ini didahului dengan Pengenalan, Alatan Bahasa Sastera, Sopan Santun dan Strategi Pengarang Merendah Diri, Patut dan Kata, Bahasa yang Sempurna dan Tidak Janggal dan Kesimpulan. Bab Kelima pula merupakan analisis Unsur Yang Indah-Indah: Estetika Sastera Melayu dan ianya didahului dengan Pengenalan, Hikayat yang Indah-Indah, Sastera Sebagai Pengajar, Dunia Nestapa, Yang Asli Itu Indah, Susunan Episodik, Seni yang Dramatik, Kesaktian/Keajaiban dan Kesimpulan. Topik yang terakhir merupakan Bab Keenam dan ia mengandungi Kesimpulan dan Saranan. Bab penutup ini merupakan kesimpulan hasil daripada perbincangan kajian. Pengkaji akan membuat kesimpulan secara menyeluruh terhadap kajian yang dilakukan ke atas teks HCD.
Text
Pending dalam koleksi Muzium Negeri Terengganu : kajian tentang penghasilan dan estetika motif
Abstrak
Seni menghasilkan pending merupakan sebahagian daripada produk hasilan Senikraf Logam. Pembuatannya memerlukan penelitian dan kesungguhan agar setiap hasil pending mempunyai nilai-nilai falsafah dan estetika yang tinggi. Kini pending hanya menjadi sebahagian alat kebesaran DiRaja dan dipakai dalam majlis dan adat tertentu sahaja. Dahulu ketika kegemilangan kesultanan Melayu di nusantara, pemakaian pending merupakan antara satu kebanggaan dari aspek kemahiran, ketinggian darjat si pemakai, simbol kemewahan dan simbol keluarga DiRaja yang masyhur dan gagah. Kajian ini memfokuskan penghasilan pending dari Negeri Terengganu khususnya yang berada dalam simpanan Lembaga Muzium Negeri Terengganu sebagai subjek pengkajian. Beberapa isu boleh dikaitkan dengan perkembangan seni pertukangan logam emas dan perak di Kuala Terengganu yang suatu ketika dahulu merupakan antara lokasi perusahaan yang terkenal bagi produk kraf seperti perhiasan diri dan produk kegunaan harian berasaskan logam emas dan perak. Bab 1, memberi pengenalan kepada kepentingan kajian ini terhadap aspek budaya, cabang kesenian dan kemahiran pertukangan kraf. Bab 2, menyatakan pengenalan kepada subjek kajian iaitu 10 jenis pending sebagai kajian disertasi ini. Bab 3, membincangkan metodologi serta kaedah pengkajian seni pending secara analisis formalistik. Manakala Bab 4 menyatakan kajian ke atas pending secara analisis estetik dan, Bab 5 menyatakan hasil kajian serta dapatan kajian.
Text
The aesthetic values of Masjid putra and Masjid Sultan : a study on style
Abstrak
Masjid adalah salah satu bergunan peribadatan yang terunggul dalam Islam yang dibina untuk menyampai kan keadilan, pengetahan, keberanian dan kebaikan dalam kalangan orang-orang Islam. Di Malaysia, pembangunan seni Islam dipengaruhi oleh faktor-faktor ekspresional, kebudayaan dan tempat yang boleh dilihat sama ada melalui kajian ke atas gaya seni dan dekorasi Masjid. Kajian ini dijalankan menggunakan kedua-dua metodologi kualitatif dan kuantitatif dengan tiga tujuan utama; pertama untuk mengesahkan gaya dan bentuk kaligrafi dan motif di masjid Putra dan Masjid Sultan Sulaiman. Dalam hal ini, majority in skripsi ditulis dalam gaya Thuluth di sebabkan oleh sifatnya yang menegaskan bentuk huruf yang unggul dan mudah dibaca. Tambahan pula, pengulangan pilihan bentuk motif pilihan dan kajian ke asal usul motif menunjukkan pengaruh negara-negara Islam lain ke dekorasi kedua-dua masjid tersebut. Tujuan kedua adalah untuk menganalisis bahan yang digunakan serta isi kandungan ayat dalam dekorasi kedua-dua Masjid. Dalam hal ini penggunaan meluas bahan plaster dalam kedua-dua kes sebagai bahan asas menunjuk kepada tiga faktor termasuklah ekspresi artis, impele gaya seni bina dan keadaan geographical. Apa yang menakjubkan adalah terdapat hubungan jelas antara pemilihan bahan dan isi kandungan ayat dengan konsep dan tema. Tujuan terakhir kajian ini ialah untuk menilai-nilai estetik gaya, yang mana data dianalisis pertamanya berasas kan empat prinsip estetik teori Zakaria Ali, dan mengkajinya mengikat tiga peningkat interpretasi seni visual oleh Erwin Panofsky. Hasil kajian membuktikan bahawa ekspresi estetik oleh nitis sebagai object meregangkan tema dan koncep. Analisis temu bual berstruktur yang di lakukan ke atas 50 informan membuktikan apresiasi seni Islam oleh masyarakat Muslim di Malaysia.
Text
Teater tradisional Main Peteri dan unsur-unsur 'Terapi'
Abstrak
Penyelidikan ini memberi tumpuan kepada unsur-unsur terapeutik dalam teater tradisional Main Peteri yang mempunyai kesan penyembuhan terhadap jasmani, psikologi dan emosi serta penyakit psikosomatik seterusnya cuba mengangkat teater tradisional Main Peteri sebagai sebuah bentuk dramaterapi Melayu. Objektif kajian adalah untuk membandingkan rawatan Main Peteri dengan Dramaterapi, menganalisa unsur-unsur terapeutik yang terdapat dalam teater tradisional Main Peteri, seterusnya mensintesis maklumat untuk menghuraikan bagaimana unsur terapeutik yang ditemui berfungsi merawat gangguan psikologikal. Unsur terapeutik yang dikenalpasti di dalam Main Peteri iaitu Unconscious (Luar Sedar), Representasi (Ritual), Distancing (Katarsis), Spontaneity (Spontan) dan Interactive audience and witnessing (Khalayak Interaktif) digariskan sebagai Faktor Terapeutik Main Peteri berdasarkan analisa daripada konsepual dramaterapi iaitu "Therapeutic Factors of Dramatherapy' oleh Phil Jones dan 'Role Theory Model of Dramatherapy' oleh Robert J. Landy yang dijadikan kerangka teoritis kajian. Kaedah campuran iaitu gabungan di antara kajian kes dan kajian perbandingan di antara Main Peteri dan Dramaterapi telah digunakan untuk pengurusan data. Di akhir disertasi, penyelidik membuat formulasi yang dinamakan 'Mekanisme Rawatan Main Peteri' dengan membentangkan bagaimana setiap 'Faktor Terapeutik Main Peteri" itu berfungsi untuk mencapai matlamat terapeutik, iaitu Katarsis (Catharsis), Keseimbangan Rohani (Psyche balancing), Respon Relaksasi (Relaxation response) dan Aktualisasi Diri (Self-actualization). Kepentingan kajian ini adalah untuk membuktikan bahawa perubatan tradisi menggunakan kaedah Main Peteri mempunyai nilai terapeutik daripada perspektif sains psikologi, justeru secara tidak langsung menafikan tanggapan bahawa entiti luaran seperti makhluk halus dan roh nenek moyang scbagai agen penyembuhan penyakit.
Text
Proses morfologi dalam pembentukan kata bahasa Melayu dengan tumpuan kepada morfem dasar terikat
Abstrak
Salah satu tumpuan dalam bidang morfologi ialah pembentukan kata, iaitu langkah penciptaan perkataan baharu dalam bahasa, yang dapat dibahagikan kepada proses morfologi atau morfologikal dan submorfologi atau submorfologikal. Disertasi ini merupakan sebuah kajian morfologi yang bermatlamat untuk mencari satu huraian berkenaan proses morfologi bahasa Melayu yang tuntas dan menghasilkan satu model teori proses pembentukan kata morfologi bahasa Melayu tersendiri. Kajian ini menerapkan pendekatan cklektik yang mensintesiskan tiga teori proses morfologi sarjana bahasa Melayu terdahulu. Untuk menguji kemampuan serta keandalan model teori kajian, model teori proses morfologi tersebut telah diaplikasikan dalam penganalisisan data kajian yang terdiri daripada kata kompleks daripada morfem dasar terikat. Dalam waktu yang sama, kajian ini juga telah mengumpulkan morfem dasar terikat, iaitu morfem unik dalam bahasa Melayu, berserta kata kompleksnya, selengkap mungkin. Dapatan daripada analisis data menujukkan model teori kajian mampu menerangkan proses pembentukan kata yang telah dialami morfem dasar terikat schingga menerbitkan kata kompleks. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa jenis proses morfologi dalam model teori kajian yang tidak dapat diuji kerana data kajian tidak terhasil daripada proses pembentukan kata tersebut. Selain itu, analisis data juga telah menemui beberapa proses pembentukan kata yang mencipta kata kompleks daripada morfem dasar terikat yang tidak terdapat dalam model teori kajian ini. Setelah modcl tcori dinilai semula dan diperbaiki berdasarkan analisis data dan penemuan penemuan baharu, maka dapat dirumuskan yang model teori proses morfologi pembentukan kata yang terdiri daripada pengimbuhan, penggandaan, pemajmukan, dan pengacukan ini mampu menjelaskan kejadian pembentukan kata dalam bahasa Melayu yang berlandaskan mekanisme penggabungan.
Text
Padi dan air sebagai tanda dalam peribahasa Melayu : pendekatan firasat
Abstrak
Peribahasa merupakan khazanah sastera tradisional yang sangat berharga bagi masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu menggunakan kebijaksanaan pemikiran mereka dengan meneliti unsur alam dan melahirkannya dalam bentuk ungkapan yang indah sehingga melahirkan peribahasa. Disertasi ini melihat unsur alam, iaitu padi' dan 'air' yang menjadi tanda dalam kehidupan masyarakat Melayu. Kedua-dua unsur ini mempunyai tanda-tanda yang tertentu kepada masyarakat. Teori Pengkaedahan Melayu, iaitu sebuah teori sastera tempatan dengan berfokuskan kepada Pengkaedahan Alamiah dan Pendekatan Firasat digunakan sebagai kerangka teori. Perkaitan rapat antara hasil kesusasteraan dengan alam serta teori tempatan yang berteraskan pemikiran, budaya Melayu serta agama Islam membolehkan semua ini disatukan dalam disertasi ini. Proses ini akhirnya akan membawa matlamat kepada paksi Teori Pengkaedahan Melayu, iaitu untuk mencapai kebajikan, ketakwaan dan kesusilaan. Dalam disertasi ini, pengkaji mengenal pasti tanda yang terdapat dalam unsur alam, iaitu air dan padi melalui buku Peribahasa Melayu: Penelitian Makna dan Nilai. Makna yang terdapat dalam peribahasa tersebut dianalisis dan merumuskan peranan air dan padi dalam kehidupan orang Melayu. Dalam kajian ini, dapat dirumuskan bahawa padi dan air dalam peribahasa Melayu memberikan tanda-tanda yang tertentu kepada masyarakat Melayu. Padi dalam peribahasa Melayu memberikan tanda hubungan persaudaraan dan kekeluargaan, tanda pembinaan akhlak yang baik dan tanda sumber rezeki. Manakala air sebagai tanda pula dilihat sebagai tanda penyucian yang dibahagikan kepada penyucian melalui tanda pendidikan dan tanda persaudaraan dan perdamaian. Berdasarkan tanda-tanda yang terdapat pada unsur padi dan air tersebut, dapat dibuktikan bahawa peribahasa merupakan suatu wadah dalam pembentukan masyarakat kerana tanda-tanda tersebut mengarah kepada pembinaan akhlak masyarakat. Peribahasa juga menjadi mekanisme yang mengawal masyarakat supaya mempunyai nilai dan norma.
Text
Analisis bentuk tari joget gamelan
Abstrak
Kajian ini bertujuan menganalisis proses penciptaan semula (reinvention) berdasarkan kepada perubahan dan perbezaan dalam persembahan Joget Gamelan di istana dan di luar istana. Joget Gamelan merupakan sebuah Tarian Klasik Istana yang dahulunya dipersembahkan sempena majlis rasmi di raja seperti perkahwinan, pertabalan, berkhatan dan bertindik. Untuk tujuan kajian, penciptaan (invention) dan penciptaan semula bentuk Joget Gamelan akan dijelaskan hanya melalui analisis terhadap tiga bentuk Joget Gamelan iaitu Joget Gamelan Perang Manggung. Kundang-kundang Mabuk dan Topeng. Pengkaji menggunakan manuskrip yang di tulis oleh Tengku Ampuan Mariam sebagai teks tarian, dan turut meneliti penciptaan semula struktur pergerakan Joget Gamelan sebagai gerak tari yang dipelajari oleh Zaharah Abdul Hamid dan Wan Salmah Sulaiman. Penggunaan teori penciptaan oleh Eric Hobsbawm digunakan bagi melihat proses penciptaan dan penciptaan semula yang berlaku dalam ketiga-tiga bentuk Joget Gamelan tersebut. Secara emik dan diakroniknya, tesis ini akan meninjau sejarah dan latarbelakang Joget Gamelan Terengganu bagi melihat bagaimana proses penciptaan dan penciptaan semula berlaku seterusnya mengkategorikan faktor-faktor yang menyebabkan perubahan dalam versi Zaharah Abdul Hamid dan Wan Salmah Sulaiman. Justeru itu, tesis ini menyenaraikan proses perubahan Joget Gamelan Perang Manggung, Kundang-kundang Mabuk dan Topeng versi Zaharah Abdul Hamid dan Wan Salmah Sulaiman telah melalui proses penciptaan semula dan kini berfungsi sebagai satu tuntutan pembelajaran.
Text
Gaya pembelajaran kanak-kanak lembam dalam pembelajaran bahasa Melayu : kajian kes di Kelantan
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti gaya pembclajaran, tahap kefahaman pembelajaran dan kesediaan belajar kanak-kanak lembam. Lima orang subjek kajian dipilih berdasarkan laporan pakar perubatan yang mengesahkan subjek kajian mengalami masalah lembam dan ditempatkan di bawah seliaan PPKI. Kajjan ini menerapkan Teori Konstruktivisme Sosial Vygotsky (1896-1934) dan gabungan kaedah penyelidikan kajian kualitatif dan kuantitatif. Hasil kajian diperoleh berdasarkan pemerhatian berstruktur serta ujian dan dianalisis menggunakan frekuensi dan peratusan. Hasil kajian berdasarkan pemerhatian mendapati gaya pembelajaran visual sebanyak 30%, auditori 17% dan kinestetik 17%. Berdasarkan kefahaman pembelajaran bahasa Melayu, dari segi huruf sebanyak 75.3% (pemerhatian) dan 94% (ujian), suku kata menunjukkan sebanyak 66% (pemerhatian) dan 90.5% (ujian) serta dari segi perkataan menunjukkan sebanyak 12% (pemerhatian) yang dapat membaca dan menulis dengan baik dan 78.5% (ujian). Hasil dapatan berdasarkan pemerhatian terhadap kesediaan belajar menunjukkan kesediaan kognitif sebanyak 22.9%, kesediaan afektif 24.8% dan kesediaan psikomotor 29.7%. Kesimpulannya, gaya pembelajaran yang paling dominan dalan kalangan kanak-kanak lembam ialah gaya pembelajaran visual. Dalam aspek kefahaman, pemerhatian menunjukkan kanak-kanak berada pada tahap sederhana. Namun begitu, berdasarkan ujian aspek huruf dan suku kata boleh dikuasai oleh kanak-kanak lembam tetapi dalam aspek perkataan mereka berada pada tahap sederhana khususnya, dalam proses membaca dan menulis. Dari segi kesediaan belajar, kanak-kanak lembam mempunyai kesediaan belajar tetapi berada pada tahap sederhana sama ada dari segi kognitif, afektif dan psikomotor. Oleh itu, penekanan terhadap gaya pembelajaran visual boleh membantu meningkatkan tahap kefahaman pembelajaran kanak-kanak lembam dalam aspek huruf, suku kata dan perkataan.
Text
Begendang Sarawak : kajian rekonstruksi kreatif dalam aspek bertandak
Abstrak
Tesis ini mengkaji seni persembahan tradisi Begendang Sarawak. Persembahan gendang Sarawak merupakan persembahan tradisi rakyat khususnya bagi masyarakat Melayu di Sarawak. Kajian ini meneliti proses perubahan yang berlaku antara persembahan begendang tradisi dengan yang baharu. Proses perubahan yang berlaku melalui kajian ini menunjukkan persembahan ini mempunyai perbezaan yang amat ketara dalam konstruk strukturnya. Persembahan tradisi telah diamalkan sejak sebelum zaman British di kampung-kampung di Sarawak sebagai hiburan untuk memeriahkan keraian majlis-majlis terutamanya majlis perkahwinan. Hakikatnya persembahan tradisi ini perlu digerakkan oleh generasi muda sebagai menggantikan aktivis budaya yang telah tua dan tidak upaya untuk bergerak aktif lagi. Tesis ini mengkaji proses perubahan yang berlaku dalam konstruk struktur persembahan secara perbandingan antara kumpulan Indera Samudera Kenyalang di Kampung Tabuan Hilir, Kuching dengan Kampung Budaya Sarawak, (sebuah muzium budaya) di Santubong. Pendekatan rekonstruksi menjadi panduan kajian dengan menggunakan kaedah penyelidikan yang diaplikasikan berbentuk kualitatif melalui teknik kajian etnografi secara temu bual dan pemerhatian ikut serta melalui kajian lapangan. Dapat dirumuskan daripada tesis ini bahawa persembahan tradisi mengalami perubahan secara berterusan untuk berkembang dan bertahan dalam masyarakat. Hakikatnya persembahan di Kampung Budaya Sarawak bahkan melalui proses rekonstruksi yang lebih nyata dan setelah di struktur semula, persembahan yang baharu itu menjadi repertoir utama persembahan.
Text
Etika pemakaian busana tari dalam festival tari Malaysia
Abstrak
Kaiian ini mengenai Etika Pemakaian Busana Melayu yang memberi tumpuan terhadap pemakaian dalam tari pergaulan Melayu (tarian rakyat) iaitu tarian inang, joget, asli dan zapin. Busana Melayu mempunyai adat yang tersendiri dalam cara pemakaiannya. Tari pergaulan Melayu merupakan satu platform dalam mengekalkan etika berbusana Melayu. Tari pergaulan Melayu yang terdapat dalam kelompok tari Melayu telah mengalami banyak perubahan dari segi pemakaian busananya sehingga menyebabkan adat pemakaian kurang mengikut aturan. Pengkaji membincangkan tesis ini dengan mengaitkan pengetahuan, umur, pengalaman, bangsa dan status yang dimiliki oleh pihak yang dikaji. Mereka terdiri daripada pengiat seni tari pergaulan Melayu yang mengambil bahagian dalam persembahan pentas secara terbuka sejak adanya pertandingan tari kreasi dalam Festival Tari Kebangsaan. Kajian ini memberi tumpuan kepada peniruan busana tari yang berlaku iaitu busana tari pergaulan Melayu meniru gaya busana tari kreasi dalam persembahan. Penekanan diberikan terhadap punca berlakunya perubahan tersebut. Pengkaji menggunakan pendekatan bidang antropologi budaya dan seni persembahan dalam membuat kajian. Penggunaan teori Homi Bhabha dalam konteks pasca-kolonial digunakan dan akan membuktikan hasil kajian yang menyatakan peniruan ialah penyamaran, bukan satu perkara yang mengharmonikan malah merosakkan. Homi Bhabha menyatakan peniruan akan merosakkan simbol sesuatu budaya, melahirkan bentuk budaya baharu yang samar dan menghilangkan nilai sesuatu budaya. Peniruan telah mengubah adab penari tari pergaulan Melayu terhadap adat pemakaian busana Melayu yang sebenarnya dan tidak secara langsung mengubah gerak tari itu yang boleh menyebabkan mereka tidak beretika. Hal ini disokong oleh Victor Turner yang menyatakan tentang simbol iaitu "Tari" dan "Busana Melayu" adalah simbol Melavu. Simbol dilihat dalam bentuk objek, kebendaan, perbuatan, tingkah laku, hubungan sOsial, kejadian, gerakan badan, ruang, tempat dan ucapan. Simbol ialah objek tindakan, konsep untuk kepelbagaian makna yang berbeza, instrumen suara yang membangkitkan sentimen emosi, komunikasi pengetahuan dan kawalan. Simbol berhubung kait dengan kepentingan, maksud, tujuan dan kemanusiaan. Maklumat kajian menggunakan rujukan sekunder dan membuat kajian lapangan. kajian diperolehi melalui penyelidikan secara kualitatif dan kuantitatif. Metodologi Di akhir kajian ini dapat membuktikan bahawa perubahan yang berlaku disebabkan oleh peniruan tanpa pengetahuan yang dilakukan oleh penata busana tari pergaulan Melayu.
Text
Kesantunan berbahasa dalam buku pemimpin dalam ungkapan Melayu karya Tenas Effendy
Abstrak
Disertasi ini membincangkan kesantunan berbahasa yang terdapat dalam buku Pemimpin dalam Ungkapan Melayu (2000) karya Tenas Effendy. Kajian ini menyenaraikan sebanyak tiga objektif, iaitu mengenal pasti ciri-ciri kesantunan berbahasa yang terdapat dalam bahan kajian; menganalisis ciri-ciri kesantunan berbahasa dalam ungkapan Melayu; dan menghuraikan nilai dan pengajaran yang terdapat dalam bahan kajian. Prinsip Kesopanan Leech (1993) telah dipilih sebagai teori dalam menjalankan kajian ini. Leech (1993) telah menyenaraikan enam maksim yang terdapat dalam Prinsip Kesopanan ini, iaitu maksim santun, maksim kedermawanan, maksim sokongan, maksim kerendahan hati, maksim persetujuan, dan maksim simpati. Buku Pemimpin dalam Ungkapan Melayu (2000) karya Tenas Effendy telah digunakan sebagai bahan kajian dalam menjalankan kajian ini. Kaedah kajian teks dan kepustakaan digunakan dalam proses pengumpulan data. Analisis data secara kualitatif digunakan bagi mendapatkan hasil dapatan yang berkesan. Kajian ini dapat memberi pendedahan kepada masyarakat, khususnya generasi muda tentang aspek kesantunan berbahasa yang terdapat dalam ungkapan Melayu. Hasil kajian ini mendapati buku Pemimpin dalam Ungkapan Melayu (2000) karya Tenas Effendy mempunyai ciri-ciri kesantunan yang tinggi. Di samping itu juga, bahan kajian ini turut mengandungi nilai dan pengajaran yang berguna kepada pemimpin dan bakal pemimpin serta masyarakat.
Text
Skrip filem terpilih P.Ramlee : bacaan kritik feminis
Abstrak
Kajian ini menganalisis skip filem sebagai satu genre kesusasteraan, seperti juga genre cerpen, novel,puisi dan lain-lain. Skrip filem meliputi pengolahan aspek cerita, tema dan pemikiran, watak dan perwatakan, plot dan gaya bahasa. Namun sehingga kini belum terdapat kajian yang mengaplikasi teori sastera dalam menganalisis skrip filem. Kajian ini memilih skrip filem komedi arahan Seniman Agung P. Ramlee, iaitu Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok dan Masam-masam Manis sebagai data kajian. Untuk tujuan analisis, kajian ini menggunakan teori Kritik Feminis bagi membahaskan ciri-ciri stereotaip pada watak-watak wanita dalam skrip filem yang dikaji. Objektif kajian ini ialah untuk mengenal pasti isu-isu masyarakat yang berkaitan dengan wanita dalam skrip, untuk menganalisis sikap dan pandangan P. Ramlee sendiri terhadap kedudukan wanita dalam masyarakat menggunakan teori Kritik Feminis, di samping untuk menilai sejauh mana teori Kritik Feminis sesuai digunakan bagi membincangkan isu-isu wanita dalam skrip filem P. Ramlee, terutama daripada genre komedi. Berdasarkan analisis, didapati P. Ramlee adalah seorang seniman beraliran feminis yang mengangkat watak-watak wanita ke satu tahap yang lebih positif melalui skrip filemnya. Kajian ini juga merumuskan bahawa genre komedi adalah medium yang sesuai dan berhasil menyerlahkan kekuatan dan keupayaan wanita mengharungi cabaran semasa dalam masyarakat yang melingkungi mereka pada zaman karya tersebut dihasilkan.
Text
Analisis frasa keterangan bahasa Melayu dalam majalah Pelita Bahasa
Abstrak
Kajian tentang frasa keterangan dalam bahasa Melayu ini dilakukan ckoran darinada kurangnya penckanan terhadap binaan frasa oleh sebab lebih banyak tumpuan diberikan kepada aspek ayat. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti jenis-jenis frasa keterangan yang hadir dalam bahan kajian, iaitu majalah Pelita Bahasa. Terdapat lanan jenis frasa keterangan yang dikenal pasti dalam bahan kajian, iaitu keterangan tempat atau arah, keterangan waktu, keterangan cara, keterangan tujuan atau harapan, keterangan alat, keterangan penyertaan, keterangan hal dan ketcrangan bagai. Frasa keterangan tempat dan waktu mencatatkan jumlah yang paling banyak dalam dapatan kajian. Kebanyakan jenis frasa keterangan yang ditemui berbentuk frasa sendi nama menggunakan kata sendi nama yang berfungsi sebagai keterangan kepada frasa. Antara kata sendi nama yang digunakan ialah dengan, ke, di, dalam, daripada, sebagai, terhadap dan seperti. Selain itu, terdapat juga frasa keterangan berbentuk frasa nama dan frasa adjektif. Kajian ini juga menganalisis aspek binaan frasa keterangan dari segi jumlah perkataan, iaitu satu perkataan, dua perkataan, tiga perkataan, empat perkataan atau lebih dan bentuk deretan frasa. Binaan bentuk tiga perkataan dan deretan dua frasa merupakan binaan yang paling banyak ditemui. Di samping itu, turut dihuraikan ialah kehadiran frasa keterangan dalam dua keadaan, iaitu dalam subjek dan predikat. Seterusnya, kehadiran frasa keterangan dihuraikan dari segi susunan ayat, iaitu susunan ayat biasa dan susunan ayat songsang. Kajian ini berlandaskan pendekatan Tatabahasa Transformasi Generatif yang telah diaplikasikan dalam Tatabahasa Dewan (2010). Analisis penggunaan frasa dalam bahan kajian digambarkan melalui teknik rajah pohon. Kajian ini membuktikan bahawa binaan frasa keterangan merupakan satu aspek sintaksis yang wajar dikaji dengan lebih mendalam.
Text
Kata adverba dalam karya Halis Azhan Mohd Hanafiah / Vijaya Letchumi Karuppiah
Abstrak
Kaiian ini bertujuan untuk meneliti kata adverba yang sudah lama menimbulkan orseslan dalam dunia bahasa Melayu. Ramai tokoh bahasa berbincang dan berdebat tentang gejala kata adverba. Namun, perbincangan tersebut tidak membawa kepada satu kata putus yang dapat menangani perSoalan tentang kata adverba. Maka, kajian ini menghalusi data kata adverba yang diperoleh daripada novel Azfa Hanani karangan Halis Azhan Mohd Hanafiah, terbitan edisi pelajar 2010. Reka bentuk kajian berbentuk deskriptif. Kajian ini menggunakan dua kaedah, iaitu kaedah kajian kepustakaan dan kaedah kajian teks. Sebanyak 303 data kata adverba dikenal pasti daripada bahan kajian. Data kata adverba yang dikumpulkan dibahagikan kepada bentuk kata adverba menggunakan pendekatan sintagmatik dan paradigmatik. Empat bentuk kata adverba dapat diklasifikasikan berdasarkan data dalam kajian, iaitu kata adverba bentuk jati, kata adverba asalnya kata adjektif, kata adverba asalnya kata kerja dan kata adverba gandaan. Berasaskan pengertian dan huraian tokoh-tokoh bahasa Melayu, data kajian dikategorikan kepada tujuh jenis, iaitu kata adverba cara, kata adverba masa, kata adverba kekerapan, kata adverba kesungguhan, kata adverba sifat perasaan, kata adverba ketidakpastian dan kata adverba jarak. Bagi menganalisis kedudukan kata adverba dalam binaan ayat, teknik rajah pohon daripada teori Transformasi-Generatif yang diperkenalkan oleh Noam Chomsky digunakan. Hasil kajian mendapati bahawa kedudukan kata adverba adalah dalam frasa subjek, frasa predikat dan bahagian bahagian predikat. Dapat disimpulkan bahawa kata adverba berfungsi sebagai penerang kepada kata nama/frasa nama, kata kerja/frasa kerja, kata adjektif/frasa adjektif, frasa sendi nama, kata adverba lain dan kepada ayat.
Text
Proses pembentukan kata adjektif majmuk warna dalam majalah bidang dekorasi
Abstrak
Kajian mengenai kata adjektif, terutamanya kata adjektif majmuk warna, agak kurang. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk melihat, dengan lebih mendalam lagi, proses pembentukan kata adjektif, terutamanya kata adjektif majmuk warna. Kajian ini dilakukan ke atas bahan yang diambil daripada majalah Impiana, sebuah majalah dekorasi. Pengupasan mengenai proses pembentukan kata adjektif ini dilakukan mengikut pendekatan teori Transformasi-Generatif, iaitu melalui teknik rajah pohon. Dalam menghuraikan proses pembentukan kata, pendekatan struktural turut digunakan, iaitu bagi melihat binaan perkataan dari segi hubungan sintagmatik dan paradigmatik. Hasil kajian mendapati bahawa bagi bentuk kata adjektif, hanya kata adjektif ganda yang tidak ditemui dalam bahan kajian selain bentuk kata adjektif tunggal, kata adjektif terbitan, dan kata adjektif majmuk. Sebanyak sembilan jenis kata adjektif yang ditemui, yang selaras dengan piawaian penjenisan yang dibuat oleh Tatabahasa Dewan. Bagi kata adjektif majmuk warna pula, hanya dua bentuk yang ditemui, iaitu kata adjektif majmuk warna dengan binaan dua perkataan dan kata adjektif majmuk warna dengan binaan tiga perkataan. Dari segi jenisnya pula, terdapat lima jenis kata adjektif majmuk warna yang boleh dikategorikan berdasarkan fungsi unsur yang nmenerangkan. Hasil dapatan yang terhad terhadap bentuk kata adjektif, terutamanya kata adjektif majmuk warna, menjadi asas bagi cadangan agar kajian yang lebih mendalam dilahirkan terhadap bentuk kata ini pada masa hadapan.
Text
Penguasaan asas membaca melalui program Linus (Literasi) : kajian di Pulau Pinang
Abstrak
Permasalahan utama yang mendorong kajian ini dilakukan kerana fenomena murid tidak boleh menguasai kemahiran membaca masih menjadi isu dan perbualan masyarakat. Kajian ini dilakukan untuk mengetahui tahap penguasaan membaca muridmurid Tahun 1 di SK Pauh Jaya, Pulau Pinang melalui Program LINUS-Literasi. Seramai 103 subjek kajian yang telah menjadi sampel dalam kajian ini. Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis tahap pencapaian membaca murid-murid dalam Saringan 1 dan Saringan 2 LINUS-Literasi. Selain itu, masalah penguasaan membaca dan faktor-faktor yang mempengaruhi penguasaan membaca murid turut dihuraikan. Kajian yang dilakukan berbentuk kajian eksperimen dan dihuraikan secara kuantitatif dan kualitatif. Pendekatan kajian kepustakaan dan kajian lapangan dilaksanakan untuk mendapatkan data-data kajian. Data-data yang diperolehi dianalisis menggunakan kaedah arimetik, iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi dengan menggunakan aplikasi Microsoft Excel 2013. Tahap penguasaan membaca murid-murid linus menunjukkan peningkatan dalam Saringan 2 berbanding Saringan 1 dan tahap pemahaman bacaan murid-murid linus berada dalam kategori baik. Hal ini terbukti apabila berlakunya peningkatan bilangan murid yang berada dalam kategori Arus Perdana semasa Saringan 2. Berlakunya peningkatan seramai 30 orang subjek kajian atau mewakili kenaikan sebanyak S6.6 peratus menjadikan murid yang berada dalam kategori ini seramai 83 orang semasa Saringan 2 berbanding 53 orang semasa Saringan 1. Peningkatan ini menyebabkan jumlah murid yang berada dalam kategori Linus dan Linus Tegar menurun. Bilangan subjek kajian dalam kategori Linus menurun sebanyak -53.7 peratus, manakala bagi kategori Linus Tegar pula menurun sebanyak -88.9 peratus. Hanya tinggal seorang sahaja subjek kajian yang tidak dapat menguasai Konstruk 1 dan Konstruk 2 semasa Saringan 2 berlangsung menyebabkan murid berada dalam kategori Linus Tegar. Dalam kajian ini, terdapat beberapa masalah yang menyebabkan murid tidak dapat menguasai pembacaan dengan baik, iaitu kemahiran kognitif murid yang lemah, ketidakbolehan untuk mentafsir simbol dan huruf serta sikap murid yang mudah hilang tumpuan dalam pembelajaran dan mempunyai daya ingatan yang singkat. Berdasarkan kajian yang dilakukan, pengkaji juga dapat mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi tahap penguasaan membaca dalam kalangan murid-murid Tahun 1. Terdapat tiga faktor utama yang mempengaruhi tahap penguasaan murid, iaitu guru, murid dan ibu bapa yang menjadi fokus dalam kajian ini. Oleh itu, berdasarkan rumusan ini pengkaji berharap agar masalah-masalah yang dihadapi oleh subjek kajian dapat diatasi. Beberapa cadangan kepada pihak-pihak tertentu juga disarankan supaya masalah yang dihadapi oleh murid-murid Tahun 1 dalam membaca dan menulis kosa kata asas bahasa Melayu dapat diatasi. Penguasaan membaca dan menulis penting dalam memastikan murid-murid dapat menguasai kemahiran lain.
Text
Konseptual kata kunci terhadap konsep kemiskinan dan perjuangan dalam cerpen terpilih Norsiah Abdul Gapar
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti konseptual Norsiah Abdul Gapar yang terdapat dalam tiga puluh dua cerpen yang diterbitkan sepanjang 1984 sehingga 2012. Semua cerpen ini merupakan cerpen-cerpen yang diterbitkan dalam antologi cerpen Hidup lbarat Sungai (1987), antologi cerpen Bunga Rampai Sastera Melavw Brunei (1984), antologi cerpen Awan Putih Berarak Damai (1988), Kumpulan cerpen T'sunami Di Hatinya (2009) dan lima buah cerpen dalam majalah Bahana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei sepanjang tahun 2010 sehingga 2012. Teori Konseptual Kunci yang diperkenalkan oleh Mohamad Mokhtar Abu Hassan telah diaplikasikan dalam kajian ini. Dengan menerapkan Teori Konseptual - Kata Kunci ini, sebanyak 32 cerpen dianalisis untuk mengenal pasti konseptual Norsiah Abdul Gapar berhubung dengan konsep kemiskinan dan konsep perjuangan. Hasil daripada kajian yan Kata dijalankan, membuktikan bahawa pengaruh penghasilan karya-karya Norsiah Abdul Gapar itu dipengaruhi oleh latar belakang Norsiah Abdul Gapar terutamanya dalam perkara-perkara yang berhubung dengan konsep kemiskinan dan konsep perjuangan. Dalam konsep kemiskinan, bentuk kemiskinan itu dikaitkan dengan kemiskinan yang berbentuk fizikal. Manakala, dalam konsep perjuangan, perjuangan itu dikaitkan dengan perjuangan kaum wanita. Justeru itu, konseptual Norsiah Abdul Gapar itu banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur ekstrinsik seperti latar belakangnya, pendidikan, budaya, kerjayanya, kepercayaannya, pengamatannya, ideologinya dan sudut pandangannya sebagai seorang penulis wanita. Secara kesimpulannya, teori Konseptual - Kata Kunci ini berjaya menganalisis konseptual Norsiah Abdul Gapar melalui karya-karyanya.
Text
Novel Sungai mengalir lesu : satu kajian strukturalisme genetik
Abstrak
Kajian ini memperlihatkan teori Strukturalisme Genetik yang telah diperkenalkan oleh Lucien Goldmann dalam novel A.Samad Said, iaitu novel Sungai Mengalir Lesu. Kajian ini membuktikan kepentingan unsur-unsur luaran sesebuah novel seperti latar belakang pengarang, pemikiran pengarang, iaitu pandangan dunia pengarang mengikut zaman dan pengalamannya bagi menghasilkan sebuah karya yang bermutu. Kajian ini membuktikan bahawa latar belakang A.Samad Said memainkan peranan penting dalam menghasilkan sebuah karya historis yang menggambarkan realiti kehidupan rakyat Singapura yang terseksa semasa pendudukan Jepun. Walau bagaimanapun, ia lebih berfokus kepada penduduk yang mendiami di sebuah kampung yang terletak di tepi sebatang sungai. Pengalaman-pengalaman yang pernah dilalui oleh pengarang telah dipindahkan dalam bentuk karya dan menjadikannya sebagai karya yang mengandungi cerita-cerita yang sebenar. Pemikiran dunia A.Samad Said turut dikaji bagi melihat pendapat dan pandangan beliau terhadap dunia sastera dan dunia realiti. Segala konflik yang berlaku dalam novel Sungai Mengalir Lesu telah dikupas bagi memahami bagaimanakah pengarang melihat konflik yang berlaku dalam masyarakat dan mengaitkannya dalam jalan cerita karya yang dihaslkannya. Antara konflik yang telah diberi perhatian dalam novel kajian ialah konflik pertentangan golongan muda terhadap kuasa penjajah, konflik antara pihak penjajah dan konflik yang berlaku dalam kalangan penduduk setempat. Secara keseluruhannya, penerapan teori Strukturalisme Genetik membuktikan bahawa bukan hanya unsur-unsur dalaman sahaja penting bagi penghasilan sesebuah novel malah unsur-unsur luaran turut perlu diberi keutamaan.
Text
Unsur seksualiti dan materialisme dalam karya Bernard Chauly dan Rafidah Abdullah
Abstrak
Kajian Unsur Seksualiti dan Materialisme dalam Karya Bernard Chauly dan Rafidah Abdullahini membincangkan mengenai modenisasi yang menyebabkan berlakunya peresapan budaya yang berlaku dari negara-negara luar yang mempengaruhi budaya dan masyarakat Melayu di Malaysia. Kajian ini menghuraikan secara terperinci mengenai naratif dari filem karya Bernard Chauly dan Rafidah Abdullah. Melalui huraian naratif secara mnendalam itu, pengkaji seterusnya membincangkan mengenai unsur seksualiti dan materialisme mempengaruhi masyarakat Melayu moden di Malaysia. Selain merujuk kepada konsep yang telah dipilih dan daripada kajian sarjana terdahulu, kajian ini turut dikaitkan dengan realiti masyarakat Melayu Malaysia kini. Kaedah kajian secara kualitatif digunakan di dalam kajian ini seperti kajian kepustakaan dan temubual. Dapatan kajian menunjukkan bahawa seiring berkembangnya era modenisasi kini, berlakunya peresapan unsur-unsur budaya luar ke dalam masyarakat Melayu di Malaysia yang mana bukan sahaja berkembang melalui medium perfileman bahkan dari sudut realiti kehidupan masyarakat itu sendiri. Beberapa kes yang berlaku di Malaysia melibatkan masyarakat Melayu Malaysia mengenai unsur-unsur budaya luar yang berkaitan turut dibincangkan di dalam kajian ini. Kesimpulannya, modenisasi telah memberi laluan kepada berlakunya peresapan daripada pelbagai aspek seperti perfileman dan gaya hidup bagi sesebuah masyarakat.
Text
Imej wanita dalam novel "Asam pedas untuk dia" dan "Ombak rindu" : kajian kritik feminis
Abstrak
Kajian ini menggunakan genre novel sebagai bahan kajian untuk mengkaji kedudukan atau darjat wanita dalam kesusasteraan yang ditulis oleh penulis lelaki ataupun wanita vang menulis dalam sistem penandaan lelaki. Penulis wanita lazimnya akan meninggikan darjat watak wanita dan juga akan menyelami perasaan wanita dalam usaha menghasilkan sesebuah karya mereka. Tetapi penulis lelaki ataupun wanita yang memandang kaum Hawa dengan pandangan lelaki akan meruntuhkan imej dan emosi kaum Hawa dalam karya mereka. Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti ciri-ciri imej stereotaip wanita yang terdapat dalam novel "Asam Pedas untuk Dia'" oleh Nureen Mirza dan "Ombak Rindu" oleh Fauziah Ashari. Dua penulis wanita telah menghasilkan novel ini tetapi dalam sistem penandaan sebagai lelaki. Novel-novel ini telah dipilih sebagai bahan kajian kerana kedua-dua novel ini telah mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan pembaca. Hal ini terbukti dengan keluaran drama dan juga filem dengan mengadaptasikan novel ini untuk tatapan khalayak. Bahan kajian ini digunakan untuk menggerakkan kajian berdasarkan Teori Feminisme yang menggunakan pendekatan Kritik Feminis oleh Elaine Showalter. Elaine Showalter telah memperkenalkan satu lagi pendekatan yang mengkaji karya tentang wanita oleh pengarang wanita, tetapi pengkaji menggunakan Kritik Feminis bagi mengkaji kedua dua novel sebagai medium mengukur kejituan objektif kajian. Hal ini demikian kerana, penulis memandang wanita dari sudut pandangan lelaki. Fakta ini terbukti melalui ciri ciri stereotaip yang terkandung dalam novel "Asam Pedas untuk Dia" dan "Ombak Rindu' ".
Text
Sajak-sajak Badaruddin H.O. : kajian pendekatan dakwah
Abstrak
Kajian ini menganalisis sajak-sajak Badaruddin H.O. dengan penerapan pendekatan Dakwah, salah satu pendekatan dalam teori Pengkacdahan Melayu yang diperkenalkan oleh Profesor Dato' Dr. Hashim Awang. Objektif kajian ini ialah untuk mengenal pasti sajak-sajak Badaruddin H.O. yang mengemukakan tema Ketuhanan; tema Kenabian dan Kerasulan; tema rukun Islam dan rukun Iman. Selanjutnya untuk menganalisis sajak sajak tersebut dan diikuti dengan mengaplikasikan pendekatan Dakwah dari teori Pengkaedahan Melayu terhadap sajak-sajak Badaruddin H.0. yang menjadi kajian. Hasil kajian mendapati bahawa sajak-sajak Badaruddin H.0. yang mengemukakan tema Ketuhanan, penyair menyampaikan dakwah tentang kebesaran, keagungan, kekayaan dan sifat-sifat mulia lagi terpuji yang dimiliki oleh Allah S. W.T. Manakala sajak-sajak yang mengemukakan tema Kenabian dan Kerasulan, penyair menyampaikan dakwah supaya umat Islam mencontohi keperibadian murni yang dimiliki oleh Nabi Muhammad S.A.W. Selanjutnya sajak-sajak yang mengemukakan tema rukun Islam dan rukun Iman, penyair menyampaikan dakwahnya agar umat Islam melakukan amalan yang boleh mempertingkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah S.W.T. Untuk menyampaikan dakwahnya, penyair menggunakan gaya bahasa yang halus dan lembut semoga mesejnya memberi kesan kepada khalayak pembaca.
Text
Analisis kohesi dalam ruangan pojok
Abstract
Kajian berkaitan aspek kohesi terangkum dalam bidang analisis wacana. Aspek kohesi berfungsi untuk menghubungkan satu idea dengan idea yang lain dengan teratur, selanjutnya menjadikan teks bertaut dengan baik dan difahami dengan mudah oleh pembaca. Oleh itu, aspek kohesi sangat penting terutamanya dalam akhbar yang merupakan medium penyampai maklumat kepada masyarakat. Penyampaian idea yang jelas dan teratur dalam akhbar khususnya ruangan pojok sangat penting kerana idea yang teratur berupaya menyampaikan mesej kepada pembaca dengan berkesan. Sehubungan dengan itu, kajian kohesi ini memanfaatkan sepuluh artikel ruangan pojok Awang Selamat yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia bermula 18 September 2016 hingga 13 November 2016. Kajian aspek kohesi ini mengaplikasikan teori yang dimajukan oleh Halliday dan Hasan (1976), iaitu merangkumi komponen tekstual melalui 'alatan nahuan' (grammatical device) dan sebahagian lagi melalui 'alatan leksikal' (vocabulary device) dan kedua-duanya dari segi teori dinamakan kohesi nahuan dan kohesi leksikal. Objektif utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti aspek kohesi dalam ruangan pojok, mengkategorikan jenis kohesi dalam ruangan pojok dan menganalisis fungsi kohesi dalam ruangan pojok. Hasil kajian mendapati wujud empat aspek kohesi nahuan dalam data, iaitu rujukan, penggantian, penghilangan dan penghubung. Keempat-empat aspek kohesi nahuan tersebut berfungsi untuk mempertaut idea dalam teks supaya dapat difahami oleh pembaca. Sementara itu, dua aspek kohesi leksikal yang melibatkan pernyataan semula leksikal dan leksikal berkolokasi turut wujud dalam teks dan memainkan peranan penting dalam membentuk jalinan makna yang bersepadu dan berstruktur dalam data. Keupayaan pengarang ruangan pojok memanfaatkan kedua-dua aspek kohesi ini menjadikan artikel Awang Selamat mudah difahami dan sangat menarik untuk dibaca. Kajian aspek kohesi ini diharapkan dapat memberi panduan kepada pengkaji bahasa yang lain untuk memahami aspek kohesi dengan lebih mendalam. Selain itu, kajian ini juga diharapkan dapat menambahkan kajian sedia ada berkaitan aspek kohesi dan seterusnya dapat menyumbang dalam perkembangan bidang wacana bahasa Melayu.
Text
Perubahan adat pengebumian Punan Bah
Abstrak
Kajian ini menjelaskan perincian perubahan adat pengkebumian yang berlaku dalam kebudayaan Punan Bah. Perubahan adat terpilih sebagai isu pokok kajian ini kerana pentingnya adat dalam kehidupan manusia dan dengan berubahnya adat menunjukkan akar umbi kehidupan sebuah masyarakat itu telah mengalami perubahan. Untuk itu, kajian ini akan menjelaskan pola perubahan adat yang berlaku dengan meneliti tatacara yang dilakukan semasa berlakunya kematian sehingga pelaksanaan adat pengkebumian dan meneliti setiap proses pembinaan setiap tapak pengkebumian yang digunakan. Penelitian dibuat berpandukan teori konflik yang dikemukakan oleh Ralf Dahrendorf (1929-2009). Teori ini menekankan beberapa elemen utama yang menimbulkan konflik seperti peranan pemerintah yang menggunakan kuasa dan kedudukan mereka terhadap masyarakat sehingga menuntut perubahan berlaku. Penemuan ini penting untuk menjawab pernyataan yang dikemukakan oleh lda Nicolaisen (2015) yang menyatakan kesedaran generasi muda Punan Bah terhadap perubahan yang berlaku di Sarawak bukan sahaja mengubah cara hidup mereka malah akan menyebabkan kebudayaan tradisional mereka hilang. Pernyataan tersebut memberi gambaran kritikal terhadap perubahan yang berlaku dalam adat asal Punan Bah, termasuklah adat pengkebumian. Dengan menjelaskan secara menyeluruh perubahan yang berlaku dalam adat pengkebumian Punan Bah akhirnya, membentuk satu sintesis penolakan dan penerimaan sifat kebudayaan sebagai fenomena yang sering beradaptasi dengan keadaan semasa. Seterusnya, pendekatan kualitatif menerusi kerja lapangan yang telah dijalankan daripada awal bulan Januari hingga pertengahan bulan Jun tahun 2014 beserta dengan teknik persampelan bebola salji merupakan kaedah utama yang digunakan untuk mendapatkan data kajian. Untuk itu, data dikumpul melalui pemerhatian tidak turut serta. pemerhatian turut serta dan temu bual bersama tokoh yang arif tentang adat asal Punan Bah. Pengesahan data daripada responden utama telah dibuat dengan lawatan semula ke kawasan kajian pada 25 Disember 2017. Data yang diperolehi seterusnya dianalisis menggunakan pendekatan relativisme budaya dan holistik berpandukan teori konflik yang telah ditetapkan. Kajian ini mendapati adat asal pengkebumian Punan Bah tidak lagi diamalkan dan perubahan yang berlaku bukan sahaja dari segi bentuk fizikal malah nilai yang terkandung dalam adat turut berubah. Perubahan yang berlaku sekaligus mengubah kepentingan komuniti kepada kepentingan organik. Akhir sekali, maklumat penting yang terhasil daripada rekabentuk kerangka konseptual dapat menyemai minat untuk mendalami dan menghargai kebudayaan asal masing-masing kerana dengan pengetahuan budaya yang ada, kebudayaan tradisional akan kekal terpelihara sejajar dengan arus pemodenan dan globalisasi dunia.
Text
Analisis wacana warkah-warkah sosial Melayu tradisi abad ke-17 hingga ke-19
Abstrak
Kewujudan warkah sosial Melayu membuktikan wujudnya komunikasi yang merentas sempadan dalam kalangan masyarakat tempatan ataupun dengan pihak asing. Namun begitu, masyarakat kini masih memandang warkah Melayu sebagai sebuah teks biasa sahaja. Kewujudan warkah Melayu menggambarkan bahawa masyarakat Melayu mampu menghasilkan wacana tersendiri. Oleh itu, kajian ini untuk menganalisis sat daripada unsur wacana, iaitu dimensi tekstual dalam warkah sosial Melayu. Kajian dimensi tekstual yang merangkumi aspek struktur teks, kohesi, nahu, dan leksikalisasi memerihalkan teks dari segi bentuk dan makna. Kajian dimensi tekstual dapat membuktikan ketinggian nilai sesepucuk warkah sebagai dokumentasi peristiwa komunikatif masyarakat Melayu. Kajian ini melibatkan kaedah penyelidikan kepustakaan dan kaedah analisis teks. Sebanyak 21 pucuk warkah sosial Melayu yang diperturunkan daripada sumber sekunder dijadikan bahan kajian. Selaras dengan penggunaan pendekatan kualitatif, pengolahan data berdasarkan kerangka Konseptual Wacana Tiga Dimensi oleh Fairclough (1992&1995) dan hanya menfokuskan dimensi tekstual. Struktur teks warkah sosial Melayu memperlihatkan susunan yang berurutan, iaitu dimulai dengan kepala surat, cap, kata-kata pujian, kandungan, prapenutup, dan penutup. Proses tersebut mempunyai perkaitan antara satu sama lain sebagai sebuah kesatuan. Meskipun begitu, kewujudan variasi struktur menggambarkan bahawa komponen tersebut bukanlah bersifat mutlak. Aspek kohesi pula yang digambarkan oleh unsur rujukan, penggantian, elipsis, penghubung, pernyataan semula, dan kolokasi melihat hubungan semantik suatu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain untuk melahirkan sebuah teks yang utuh. Pengaplikasian aspek nahu modaliti dalam wacana warkah bertindak sebagai unsur perintah dan informasi daripada pengirim kepada sasarannya. Modaliti menyerlahkan hubungan interpersonal aripada sikap pengirim terhadap sebarang pernyataan yang dilakukan. Penumpuan leksikalisasi metafora pula memanipulasikan sejumlah kata yang terangkum daripada satu domain kepada domain yang lain. Metafora tersebut melibatkan metafora perkembangan motor, metafora cinta, metafora pertanian, dan metafora nasib. Kesimpulannya, wacana warkah dapat menggambarkan peristiwa komunikatif dalam konteks ketika itu yang menyerlahkan jalinan makna ideasional, interpersonal, dan teks.
Text
Perlindungan diri daripada penyakit bawaan alam ghaib : perspektif tradisi masyarakat Melayu Kedah
Abstrak
Kajian ini berhasrat memenuhi matlamat bidang Antropologi Kebudayaan yang menyarankan agar seberapa banyak kebudayaan sesebuah masyarakat didokumentasi untuk rujukan masa hadapan. Hal ini kerana sistem ilmunya semakin menyusut daripada masyarakat akibat dihakis oleh perkembangan Islam dan perubahan sosial. Tujuan kajian ini ialah untuk mengkonstruksi kembali sistem perlindungan diri masyarakat Melayu Kedah daripada penyakit bawaan alam ghaib. Data dikumpul menggunakan penyelidikan lapangan dan kajian kepustakaan. Penyelidikan lapangan dijalankan di Kampung Keledang, Baling, Kedah menggunakan pemerhatian ikut serta dan temu bual mendalam melebihi tempoh satu tahun, iaitu dari Jun 2014 sehingga Ogos 2015. Temu bual mendalam telah dilakukan terhadap 24 informan yang terdiri daripada 13 warga tua. Profil-profil yang lain pula terdiri daripada empat dewasa dan tujuh anak muda. Kajian mendapati entiti alam ghaib (hantu dan bomoh sihir) merupakan entiti yang paling berbahaya kepada masyarakat Kedah tradisional. Mereka didapati telah memanipulasi kuasa yang dimiliki, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung untuk menghubungkan penyakit kepada manusia. Manusia melindungi diri mereka daripada alam ghaib dengan cara mengformasikan petua, pantang-larang, dan upacara ritual kepada tiga benteng perlindungan diri. Pertama, benteng yang menggunakan hantu baik. Hantu baik telah digunakan sebagai pengawal yang mengawasi tanah kediaman daripada dimasuki oleh musuh dan ilmu sihir bawaanya. Kedua, ritual memagar rumah. Ritual ini telah digunakan sebagai kaedah khusus bagi menyekat kemasukan hantu jahat ke dalam rumah. Terakhir, amalan perlindungan khas diri sendiri. Amalan ini dijadikan benteng terakhir perlindungan dalaman dan luaran diri.
Text
Struktur sistem kebudayaan Naning dari aspek sejarah kebudayaan
Abstrak
Naning merupakan sebuah rantau Minangkabau yang mempunyai hubungan kebudayaan langsung dengan Pagar Ruyong di Sumatera Barat. Penghijrahan orang Minang ke kawasan hulu Melaka pada abad ke-14 mewujudkan beberapa penempatan baru yang dikenali sebagai Nagari Nan Sambilan dan Naning merupakan sebahagian dari persekutuan ini. Interaksi sosial perantau Minang dengan orang asal mewujudkan sebuah asimilasi kebudayaan baharu. Naning adalah negeri yang mengamalkan sistem adat Perpatih dan konsep matrilineal dalam kehidupan sosial mereka. Penyelidikan ini merupakan usaha untuk mendalami sistem ilmu pengetahuan orang Naning mengenai konsep pemikiran mereka terhadap dunia untuk membentuk sebuah kehidupan lengkap. Berdasarkan penyelidikan lepas, maklumat telah dikelaskan dalam konteks konvesional sehingga mewujudkan sentimen etnosentrik. Kerangka corak dalam sistem kebudayaan Naning harus dibentuk mengikut sistem kebudayaan tempatan untuk memahaminya secara jelas. Justeru, kajian lapangan adalah kaedah utama yang digunakan dalam mengeksplorasi kebudayaan setempat. Perkara penting dalam kebudayaan Naning diberi perhatian dan dianalisis mengikut kaedah antropologi kebudayaan untuk membuat kerangka mudah dalam konteks akademik. Penghasilan struktur kebudayaan mampu meningkatkan kefahaman umum terhadap institusi Naning. Justeru, penyelidikan ini akan menjadi sebuah panduan umum mengenai Naning dengan mengurangkan nilai etnosentrik. Penghasilan struktur dan pola kebudayaan yang tersusun menunjukkan masyarakat Naning telah membentuk sebuah konsep pemikiran teratur dalam menjalani kehidupan mereka.
Text
Kecerdasan emosi lelaki dalam novel-novel terpilih Anwar Ridhwan dan Haruki Murakami : kajian perbandingan
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti aspek kecerdasan emosi lelaki Melayu dan Jepun secara perbandingan. Persamaan dan perbezaan kecerdasan emosi dianalisis berdasarkan bentuk-bentuk emosi dan aspek kecerdasan emosi yang itekankan oleh Daniel Goleman dalam Teori Kecerdasan Emosi Goleman. Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti bentuk-bentuk emosi, menganalisis kecerdasan emosi, membandingkan persamaan dan perbezaan kecerdasan emosi yang terdapat pada watak-watak lelaki yang terdapat dalam novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (1979/2009) dan Penyeberang Sempadan (2012) karya Anwar Ridhwan, Kafka on the Shore (2005) dan Colorless Tsukuru Tazaki and His Years of Pilgrimage (2014) karya Haruki Murakami. Bentuk-bentuk emosi watak lelaki Melayu dan Jepun yang dikesan kehadirannya diasingkan melalui jadual analisis. Bentuk emosi yang paling kuat dan dominan diperlihatkan melalui carta pai untuk membandingkan bentuk emosi yang paling banyak ditekankan oleh Anwar Ridhwan dan Haruki Murakami dalam keempat-empat novel kajian. Perbandingan elemen kecerdasan emosi watak-watak lelaki yang terdapat dalam novel dilihat melalui dua komponen utama iaitu kecekapan peribadi dan kecekapan sosial yang dipecahkan kepada lima aspek kecerdasan emosi iaitu Mengenal Emosi Kendiri (MEK), Mengurus Emosi (ME), Motivasi (M), Empati (E) dan Kemahiran Sosial (KS). Penemuan menunjukkan bahawa kesemua novel yang dikaji sesuai diterapkan dengan Teori Kecerdasan Emosi Goleman dan menepati objektif kajian. Watak-watak lelaki Melayu dan Jepun yang dikaji mempamerkan keseimbangan bentuk-bentuk emosi dan kecerdasan emosi serta tidak wujud rampasan emosi negatif. Hasil analisis ini membuktikan bahawa watak lelaki Melayu dan Jepun yang dikaji menunjukkan persamaan emosi yang setara. Tidak wujud perbezaan yang besar antara emosi watak lelaki Melayu dan Jepun. Hasil kajian ini dengan jelas membuktikan bahawa bentuk emosi dan aspek kecerdasan emosi yang dipamerkan oleh watak lelaki Melayu dan Jepun kajian adalah setara.
Text
Strategi campuran pemasaran PKS bumiputera terpilih
Abstrak
Pertumbuhan KDNK bagi subsektor makanan, minuman dan tembakau dalam sektor pembuatan sentiasa mencatatkan pertumbuhan yang positif berbanding dengan subsektor lain yang pernah mencatatkan pertumbuhan negatif. Walau bagaimanapun, pertumbuhan ini dilihat tidak menggambarkan realiti sebenar yang dihadapi oleh PKS bumiputera. Walaupun pelbagai inisiatif telah dilakukan kerajaan untuk membantu PKS supaya terus membangun dan berkembang, produk-produk keluaran PKS terutamanya milik bumiputera dilihat tidak mampu menyaingi produk-produk pengusaha bukan sahaja dari luar negara malah, di dalam negara sendiri. Sehubungan itu, satu kajian kes telah dijalankan terhadap perusahaan D Sedili Best Foods Enterprise iaitu PKS bumiputera yang menghasilkan produk keropok segera di Kota Tinggi, Johor. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti elemen strategi campuran pemasaran yang paling utama dan kurang digunakan pengusaha dalam mempengaruhi pelanggan untuk membeli produk perniagaannya serta menganalisis aspek strategi campuran pemasaran yang dilaksanakan pengusaha. Kajian ini juga telah menilai masalah dan sikap pengusaha dalam menjalankan perniagaannya. Metodologi penyelidikan kualitatif telah diaplikasi dengan menemubual pengusaha, lima orang informan daripada kalangan pekerja, dan sepuluh orang informan dari kalangan pelanggan. Hasil kajian mendapati, elemen paling dominan yang dilaksanakan pengusaha adalah elemen harga. Manakala, elemen campuran pemasaran yang paling kurang digunakan adalah promosi. Namun, pengusaha secara tidak langsung telah melaksanakan empat elemen campuran pemasaran (produk, harga, promosi dan saluran agihan) di dalam perusahaannya dan mengaplikasi ke semua 14 aspek yang dikaji (kepelbagaian produk, kualiti, reka bentuk, jenama, pembungkusan, saiz, senarai harga, diskaun, pengiklanan, perhubungan awam, promosi jualan, lokasi, pengangkutan dan inventori). Hasil kajian ini juga mendapati PKS bumiputera yang dikaji mempunyai masalah dan sikap berlengah-lengah dalam membuat perubahan, tidak merebut peluang, tidak berani mengambil risiko, kurang daya pemikiran kritis dan kurang kreatif & inovatif.
Text
Tarian Poja dalam masyarakat Bugis di Negeri Selangor: kajian rekonstruksi struktur tari
Abstrak
Kajian ini merupakan kajiselidik yang menumpukan kepada perkembangan dan penciptaan semula (reivention) sebuah tarian masyarakat Bugis di negeri Selangor khususnya yang dinamakan sebagai tarian Poja. Sebuah penyelidikan secara sinkronik tentang proses rekonstruksi dan penciptaan semula tari tradisi yang mempunyai hubungkait dengan sebuah tarian Pakurru Sumange di Sulawesi Selatan, Indonesia yang dicatatkan telah bermula semenjak tahun 1988 sehingga sekarang. Melalui kajian secara kualitatif, proses rekonstruksi dan penciptaan semula ini akan dapat memperlihatkan tujuan dan menjelaskan fungsi tari ini yang dihubungkaitkan sebagai perlambangan tradisi masyarakat Bugis di Negeri Selangor. Penggunaan teori penciptaan tradisi (invention of tradition) oleh Eric Hobsbawm digunakan bagi melihat proses penciptaan semula tari yang berlaku terhadap tarian Poja bagi masyarakat Bugis di negeri Selangor. Kajian ini memperlihatkan bagaimana proses ini berlaku bagi mengkategorikan bentuk penciptaan semula terhadap struktur tarian serta mengklasifikasikan corak gaya sebuah tarian Poja Bugis di negeri Selangor. Justeru itu, melalui kedua-dua proses ini akan dapat memperihalkan tentang latar belakang dan perkembangan tarian tersebut serta memberi perincian bagi menjustifikasikan hubungan tarian Poja sebagai identiti tarian masyarakat Bugis di Selangor.
Text
Penciptaan semula persembahan tarian zapin kanak-kanak di Festival Zapin Johor dari tahun 2010-2018
Abstrak
Kajian ini mengkaji penciptaan semula persembahan tarian Zapin yang ditarikan oleh kanak-kanak dalam pertandingan Festival Zapin Johor dari tahun 2010-2018. Berdasarkan teori Invention of Tradition, Tradition dan Appropriation, kajian ini dilakukan untuk membuktikan keperluan garapan senitari ciptaan baru dalam Zapin versi kanak-kanak telah wujud. Kajian ini akan tertumpu kepada kumpulan sasaran yang terdiri daripada kanak-kanak berusia di antara sepuluh hingga dua belas tahun di lima buah sekolah rendah yang terpilih di negeri Johor. Kaedah penyelidikan kualitatif digunakan dalam pengkajian ini, dimana instrumen seperti temu bual, permerhatian dan bahan dokumen telah digunapakai untuk mendapatkan maklumat dan data. Melalui pendekatan diakronik kajian menghuraikan kepentingan perkembangan seni tari di Johor khususnya tari Zapin yang mempengaruhi kewujudan Festival Zapin Johor kategori kanak-kanak. Manakala dalam pendekatan sinkronik, kajian mengkaji corak pengadaptasian semula tarian Zapin di pentas persembahan Festival Zapin Johor bemula pada tahun 2010 sehingga tahun 2018 dari sudut pengubahsuaian motif gerak, penggayaan dan kualiti persembahan yang dihasilkan oleh para penata tari bagi memastikan ketulenan corak persembahan Zapin versi kanak-kanak dicipta. Hasil kajian ini berupaya nmemberikan perincian telah wujudnya satu bentuk penciptaan semula gerak tari Zapin yang dicipta khas untuk golongan kanak-kanak akibat daripada pengklasfikasian motif geralk, gaya, kreativiti persembahan, skema permarkahan dan pengsyaratan pertandingan yang ditekankan dalam aspek penjurian dan akhinya kualiti persembahan yang ditampilkan pada Zapin versi kanak-kanak ini telah menjadikan ia sebagai keperluan kepada sebuah tradisi ciptaan baru dan berterusan.
Text
Rekonstruksi lagu irama Malaysia: gubahan muzik oleh Suhaimi Mohd Zin@Pak ngah
Abstrak
Ekoran evolusi dan perkembangan dunia hiburan semasa, dunia hiburan muzik di Malaysia turut terkesan dan berkembang dengan begitu hebat. Antaranya ialah fenomena gabungan muzik pop barat dan tradisi tempatan telah direkontsruksi secara meluas turut menjadi peneraju gubahan muzik tanahair. Perubahan jelas berlaku kepada lanskap muzik Malaysia apabila ianya melibatkan sambutan yang menggalakkan dari pelbagai sektor di dalam industri hiburan tanahair seperti pihak media cetak, elektronik dan stesen penyiaran TV, pencipta lagu, penggubah muzik, penyanyi dan pengiktirafan oleh para masyarakat peminat sendiri. Manakala kewujudan lagu-lagu bercorakkan Lagu Irama Malaysia ini sangat berkait rapat akibat dorongan gaya rekonstruksi secara komersial yang pada awalnya usaha ini hanyalah untuk memenuhi kehendak dan aliran semasa muzik terkini. Kehendak dan aliran Lagu Irama Malaysia dahulunya hanyalah usaha mempertahankan warisan seni budaya tetapi telah berubah secara positif sebagai warisan yang digemari. Penyelidikan rekonstruksi lagu irama Melayu ini berdasarkan kaedah reka bentuk kajian kes yang diaplikasikan menerusi pendekatan kualitatif sebagai corak penghasilan data. Hasil data kualitatif yang dikumpul adalah berdasarkan daripada penentuan kriteria ilmu bidang yang telah dikenalpasti sebelumnya iaitu ciri-ciri intrinsik dalam muzik seperti rentak dan melodi; dan ciri-ciri ekstrinsik iaitu pencipta lagu. Tiga lagu pilihan kajian ini iaitu Cindai, Balqis dan Kurik Kundi hasil ciptaan Suhaimi Mohd Zain@PakNgah disaring berdasarkan kepada mutu dan penerimaan lagu tersebut oleh responden kajian yang terdiri dari kalangan professional dan orang yang terlibat secara langsung dalam kerja kreatif kajian kes penyelidikan ini. Transkripsi skor muzik lagu ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu a) melodi dan b) gubahan muzik. Kedua-dua bahagian muzik ini dilihat lebih dekat pada kerja komposisi yang telah dilakukan oleh komposer tersohor dan terkenal dengan ciptaan lagu-lagu yang berbentuk Irama Malaysia dan juga di gelar sebagai "Raja Irama Malaysia". Manakala kaji selidik melalui temubual dan pemerhatian memperlihatkan cara (budaya) kerja, teknik-teknik dalam penerapan kerja yang dilakukan oleh Suhami Mohd Zain@pak Ngah telah menjadikan perbincangan dalam rumusan analisis tentang penemuan baru dalam garapan lagu Irama Malaysia di Malaysia berdasarkan skop kajian yang diselidik.
Text
Nafsu dalam novel-novel terpilih Fatimah Syarha
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti sifat-sifat nafsu mengikut peringkat dalam tiga novel kajian karya Fatimah Syarha, iaitu Seindah Mawar Berduri (2009), Tautan Hati (2012) dan juga Sebarkan-CintaMu (2014). Ketiga-tiga novel tersebut sarat dengan kejiwaan watak yang memperlihatkan sifat dalam diri masing-masing. Sifat-sifat tersebut telah dikelaskan mengikut peringkat nafsu tertentu. Tiga objektif yang berjaya dicapai dalam kajian ini adalah mengenal pasti peringkat nafsu berdasarkan sifat-sifat nafsu watak dalam novel-novel kajian, menghurai sifat-sifat setiap peringkat nafsu watak dalam novel novel kajian dan menilai sifat-sifat setiap peringkat nafsu watak dalam novel-novel kajian. Kajian ini telah menggunakan pandangan beberapa tokoh dan ulama seperti al-Ghazali, Robert Frager, M. Ali Imran al-Aziz, Mustapha Mohamed al-Jiasi al-Ahmadi dan juga Syekh Qasim al-Halabi. Kajian ini dilakukan sebagai nilai tambah bagi kajian sebelumnya yang mempamerkan perbezaan novel serta sifat watak yang secara tidak langsung memberi pendedahan kepada pembaca tentang sifat-sifat nafsu serta peringkat-peringkatnya. Hal ini dapat membantu pembaca mengenali sifat-sifat nafsu pada watak dan juga mengaplikasinya pada diri sendiri. Oleh yang demikian, pembaca dapat menilai tahap nafsu yang ada dalam diri masing-masing seterusnya dapat membezakan baik mahupun buruk setiap sifat dalam usaha membaiki akhlak pembaca. Kajian ini juga dilakukan secara kualitatif dengan menganalisis kandungan teks untuk mengenalpasti sifat-sifat nafsu mengikut peringkat masing-masing. Kaedah kepustakaan turut digunakan bagi memahami lebih mendalam perihal nafsu serta mengumpulkan bahan yang bersesuaian dengan kajian ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa sifat-sifat dalam nafsu ammarah lebih dominan berbanding peringkat nafsu yang lain. Hal tersebut berlaku kerana kebanyakan sifat ahli dalam masyarakat didominasi oleh citra negatif dalam kehidupan masing-masing berbanding sifat-sifat pada peringkat nafsu muthmainnah. Hanya dua watak sahaja yang dikenalpasti memiliki sifat sifat pada peringkat nafsu muthmainnah kerana peringkat ini adalah yang tertinggi bagi manusia biasa iaitu Ibu Dhiya' dan juga Pak Yodong.Kesimpulannya, kebanyakan watak masih terperangkap dalam sifat-sifat yang negatif kerana dilihat menonjolkan sifat yang terdapat dalam nafsu anmmarah dalam diri masing-masing. Hal tersebut secara tidak langsung mencerminkan peribadi masyarakat kerana karya sastera adalah cerminan realiti masyarakat yang sedikit sebanyak memantulkan kisah sebenar masyarakat dalam karya. Oleh yang demikian, penting kajian ini dilakukan bagi membantu penulis membentuk watak berdasarkan sifat-sifat nafsu yang sesuai dalam karya bagi menghasilkan karya berkualiti serta dapat melahirkan masyarakat yang seimbang di dunia serta akhirat.
Text
Museologi baharu: kajian kes Muzium Seni 3D Langkawi
Abstrak
Dewasa ini, kemunculan muzium 3D sebagai muzium baharu semakin berkembang dengan pesat. Muzium ini dibangunkan sebagai sebuah organisasi korporat dan telah melahirkan identiti muzium yang tersendiri. Hal ini juga telah mengubah konsep muzium yang dibincangkan oleh ICOM (2017). Perubahan ini berlaku daripada konsep muzium tradisional kepada muzium baharu. Walau bagaimanapun, secara tidak langsung, muzium ini turut menyumbang kepada perkembangan museologi baharu di Malaysia. Malahan ia turut merancakkan lagi sektor permuziuman negara dan perkembangan produk pelancongan berasaskan seni dan budaya. Secara harfiahnya, museologi merupakan kajian saintifik tentang sesebuah muzium merangkumi pengurusan organisasi dan pentadbiran. Kajian Museologi Baharu: Kajian Kes Muzium Seni 3D Langkawi ini merupakan satu kajian berbentuk kualitatif yang membincangkan sepuluh aspek museologi baharu yang telah digunapakai dalam institusi tersebut. Kajian ini menggunapakai pendekatan museologi baharu oleh Janet Martstine (2008) bagi menganalisis sepuluh aspek museologi yang terdapat di dalam muzium tersebut. Hasil kajian mendapati gabungan koleksi lukisan seni budaya dan teknologi media, di muzium ini menghasilkan aktiviti interaktif yang menyumbang kepada bentuk muzium baharu atau pascamoden.
Text
Perkembangan penganjuran karviter UM 2017 dan 2018 melalui kajian kreativiti pengkarya muda
Abstrak
Kepesatan pemikiran penggiat teater di pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Maktab Perguruan Sultan Idris dan Maktab Perguruan Bahasa (dahulunya Language Institute) sekitar tahun 1970-an dan 1980-an memperlihatkan lagi terbitnya karya-karya dan pemikiran baru. Nama seperti Dinsman, Johan Jaaffar dan Syed Alwi amat sinonim dengan Universiti Malaya. Cetusan karya mereka telah berjaya dipentaskan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya melalui Pesta Drama Pentas pada tahun 1970-an. Bertitik tolak dari hal tersebut maka lahirlah Karnival Teater Universiti Malaya (KARVITER UM) pada tahun 2009 yang asalnya diangkat dari acara drama pentas di dalam Festival Seni UM. Sehingga kini, tiada penganjuran seumpamanya di universiti awam yang lain menjadikan KARVITER sebagai medan pertembungan dan persaingan idea dan karya, seni persembahan teater dan bakat-bakat lakonan serta pengarahan di Kuala Lumpur. Apa yang utama adalah sentuhan luar biasa pengkarya muda yang lahir dari KARVITER ini telah mengungguli pertandingan teater di peringkat kebangsaan seperti Festival Teater MAKUM dan Festival Teater Malaysia. Berikutan dari itu, Kajian tesis ini adalah bertujuan untuk mengkaji perkembangan penganjuran KARVITER UM 2017 dan 2018 yang memfokuskan kajian terhadap kreativiti pengkarya muda. Kajian mini disertasi ini mengunakan kajian kualitatif melalui pendekatan intrepretatif yang memfokuskan kepada kajian kes. KARVITER 2017 dan 2018 dan Pengkarya Muda merupakan kes yang menjadi fokus kajian bagi disertasi ini di mana secara dasarnya kajian melihat subjek utama (KARVITER & Pengkarya Muda) secara triangulasi (dari pelbagai sudut dan perpektif yang berbeza). Hasil pengumpulan data dapatan menjawab kepada persoalan kajian dengan mengunakan enam (6) Kod tema iaitu Organisasi Pengurusan Utama, Penjurian dan Sistem Rubrik, Diskusi IImiah, Peserta: konsep persembahan, Penganjur: KARVITER sebagai Platform Megenengahkan Karya dan terakhir, Wakil Industri: Komen Juri dalam KARVITER 2017 & 2018. Pengukuran di peringkat analisis dilakukan mengunakan 2 teori iaitu teori Management by objective oleh Peter Drucker dan teori Collaborative theatre oleh Robert Cohen bagi menentukan pencapaian keberkesanan penganjuran KARVITER 2017 & 2018 sebagai faktor tarikan penyertaan dan perkembangan kreativiti Pengkarya Muda.
Text
Ekopelancongan : pengaruh terhadap ekonomi masyarakat Lun Bawang di Buduk Nur, Ba'kelalan, Sarawak
Abstrak
Disertasi ini berfokus kepada masyarakat Lun Bawang yang berada di Buduk Nur, Ba'Kelalan Sarawak dan mnembincangkan pengaruh kegiatan ekopelancongan yang sedang berjalan di kawasan ini terhadap ekonomi mereka. Perkara yang dibincangkan dalam disertasi ini meliputi aspek kegiatan ekonomi penduduk tempatan sebelum dan selepas ekopelancongan mula bergiat di kawasan ini. Kegiatan ekonomi utama penduduk tempatan adalah pertanian, khususnya penanaman padi. Selain itu, mereka juga melakukan kegiatan lain seperti menternak haiwan, mengumpul hasil hutan dan membuat garam. Setelah kegiatan ckopelancongan diperkenalkan, penduduk tempatan kini mempunyai banyak peluang untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi mereka. Antara kegiatan ekonomi baru yang muncul daripada ekopelancongan ialah perusahaan hotel dan rumah inap, kedai runcit dan kedai makan, menjadi pemandu pelancong dan pembawa barang serta berpeluang untuk memasarkan kebudayaan tempatan. Di samping itu juga, disertasi ini turut membincangkan faktor-faktor pendorong dan penghalang penduduk tempatan untuk terlibat di dalam kegiatan ekopelancongan. Kajian ini menggunakan pendekatan antropologi kebudayaan dan juga menggunakan metodologi penyelidikan kualitatif melalui temu bual khususnya bersama pengusaha rumah inap, operator pelancongan, dan juga beberapa orang pengunjung ke kawasan ini. Hasil kajian mendapati bahawa faktor pendorong penglibatan masyarakat di dalam ekopelancongan bukanlah dari segi faedah ekonomi semata-mata, namun termasuklah peluang-peluang seperti pemulihan budaya tradisi, pemulihan alam sekitar, peluang pembangunan kendiri dan juga mengurangkan perpindahan penduduk ke bandar. Sementara itu, faktor penghalang penglibatan penduduk yang dominan pula ialah kekangan dari segi kemahiran dan pengetahuan dan juga sumber modal serta kewangan.
Text
Kajian simbolisme dalam perhiasan pending koleksi Jabatan Muzium Malaysia
Abstrak
Kajian ini merupakan perbincangan berkaitan simbolisme dalam perhiasan pending Melayu koleksi Jabatan Muzium Malaysia dalam aspek reka bentuk. Kekurangan penulisan, maklumat dan pendedahan tentang perhiasan pending Melayu menunjukkan kajian terhadap pending masih kurang dilakukan. Maklumat berkaitan pending yang sedia ada di muzium dan galeri adalah umum dan ringkas menyebabkan generasi kini tidak begitu mengenali perhiasan pending dari aspek fungsi, sejarah, seni rupa dan makna simbolik. Objektif kajian ini ialah untuk menganalisis aspek formalistik dan menginterpretasi simbolisme pada reka bentuk pending. Kajian ini diharapkan dapat menyumbang manfaat kepada masyarakat untuk memahami kepentingan simbolisme dalam seni rupa Melayu. Selain itu, hasil kajian ini diharapkan dapat memberi nilai tambah pada informasi artifak pending di galeri muzium. Kaedah kualitatif dengan reka bentuk kajian kaedah pelbagai diaplikasi untuk menganalisis sepuluh sampel perhiasan pending Melayu. Data-data primer diperoleh daripada kajian di lapangan, pemerhatian, temu bul dan analisis dokumen. Manakala, tinjauan kepustakaan dibuat untuk mengumpul data sekunder. Analisis kajian ini mengaplikasikan model Edmund Feldman dan teori Susanne Langer. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa seni rupa pending mempunyai unsur-unsur seni dan prinsip rekaan yang membentuk imej visual pada pending Melayu. Hasil dapatan kajian daripada analisis interpretasi simbolisme menunjukkan bahawa terdapat simbol diskursif dan simbol presentasional pada reka bentuk pending Melayu. Sebagai kesimpulan, kajian ini memberi implikasi terhadap pengetahuan aspek formalistik dan simbolisme dalam seni rupa pending.
Text
Adaptasi novel ke filem : analisis filem Jogho dari aspek naratif
Abstrak
Kajian ini merupakan kajian analisis adaptasi filem yang diadaptasi daripada novel. Aspek yang dilihat untuk kajian adaptasi ini adalah dari aspek naratif. Selain itu, empat kaedah adaptasi juga diperkenalkan dalam kajian ini. Oleh kerana adaptasi sering menjadi isu dan perdebatan dalam kalangan masyarakat sama ada penonton atau penulis karya asal itu sendiri, kajian ini serba sedikit dapat mnemberikan maklumat atau penulisan secara ilmiah tentang adaptasi terutamanya adaptasi daripada novel ke filem. Filem yang dipilih ialah filem Jogho (1999) yang diadaptasi daripada novel Juara (1976). Kajian ini menggunakan Teori Adaptasi oleh Linda Hutcheon dan Siobhan O'Flynn (2013) sebagai landasan untuk menganalisis adaptasi yang memberi perubahan kepada naratif filem. Melalui analisis yang dilakukan, didapati filem tersebut telah mengalami perubahan yang menyebabkan berlaku pengguguran atau pemotongan dan penambahan kepada aspek naratif filem tersebut terutama perubahan pada plot dan latar (tempat, masa, masyarakat). Walau bagaimanapun, pengadaptasi telah menterjemahkan novel tersebut ke dalam bentuk filem dengan interpretasinya sendiri sehingga menjadikan filem tersebut berdiri sendiri serta makna di sebalik tajuk Jogho sampai kepada penonton.
Text
Impak pembelajaran dan penerapan nilai-nilai murni terhadap murid sekolah semasa pandemik Covid-19 2020-2022
Abstrak
Pada Mac 2020 telah muncul wabak COVID-19 yang menjejaskan keseluruhan institusi pendidikan dari peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti. Kajian dijalankan di Sekolah Kebangsaan Pulau Indah, Klang. Responden yang dËpilih seramai 79 orang murid dari kelas 5 Bestari dan 5 Terbilang dalam melaksanakan penyelidikan ini. Empat matapelajaran teras dipilih iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik bagi mengukur tahap penguasaan akademik murid berdasarkan Pentaksiran Berasaskan Sckolah (PBS). Semasa pandemik COVID-19, proses pengajaran dan pembelajaran (PdPc) di sekolah dikendalikan secara dalam talian melalui sistem e pembelajaran menggunakan aplikasi Whatsapp, Google Meet dan Quizzizz. Proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian telah memberikan impak positif dan negatif terhadap tahap penguasaan dan pencapaian akademik murid. Malah terdapat pelbagai cabaran dan halangan kepada murid seperti masalah untuk mengadaptasi dan menyesuaikan diri semasa belajar dalam talian tambahan juga kurang motivasi, masalah akses internet, dan kekurangan bahan belajar. Kajian ini menganalisis apakah tahap pencapaian akademik murid sebelum dan semasa pandemik CoVID-19. Ketika kelas bersemuka berlangsung, guru-guru memfokuskan proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan kepada murid secara individu. Temu bual dengan beberapa orang guru juga dijalankan untuk mendapatkan kualiti dan keesahan dapatan analisis. Kajian mendapati tahap pencapaian akademik murid di dalam kelas dipengaruhi oleh kaedah pengajaran dan pembelajaran guru manakala peningkatan tahap akademik murid ketika kelas dalam talian dilaksanakan adalah disebabkan oleh motivasi, dorongan ibu bapa dan faktor persekitaran. Selain itu, kajian juga mengkaji lima item budaya nilai murni daripada 16 item nilai murni yang telah diperakukan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dan item nilai murni yang dipilih dan dikaji terhadap murid ketika di sekolah adalah nilai jaya diri, nilai bertanggungjawab, nilai hormat-menghormati, nilai kebersihan fizikal dan mental dan nilai pertuturan dan tingkahlaku yang sopan. Kajian juga menganalisis pengaruh lima budaya nilai murni yang dinilai berdasarkan pemerhatian terhadap murid ketika berinteraksi dengan guru, rakan sebaya dan kakitangan sekolah. Kaedah penyelidikan ini menggunakan keadah kuantitatif dan kualitatif iaitu crosstabulation dari Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) bagi mendapatkan kajian bandingan keputusan PBS 1 yang dilaksanakan sebelum pandemik dan PBS 2 yang dilaksanakan semasa pandemik. Kaedah kualitatif yang digunakan adalah pemerhatian berstruktur yang menggunakan borang pemerhatian terhadap murid-murid. Pendekatan kelas dalam talian telah memberikan peluang kepada murid-murid untuk meneroka ilmu baharu menggunakan pendekatan pendidikan abad ke-21 iaitu dengan penggunaan Information and Communication Technologies (ICTs). Hasil penyelidikan budaya nilai murni juga mendapati bahawa murid-murid berjaya menghayati dan mengamalkan nilai murni melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku ketika kelas bersemuka dan semasa kelas dalamn talian berlangsung. Secara tidak langsung, sekiranya penghayatan dan penerapan nilai murni berjaya diamalkan oleh murid, dapat menjadikan proses interaksi dan hubungan interpersonal dengan guru, rakan sebaya dan kakitangan sekolah menjadi lebih baik malah tidak akan mengganggu pertukaran maklumat dan komunikasi antara satu sama lain.
Text
orang asli
Seletar
Keupayaan adaptasi masyarakat Orang Seletar terhadap perubahan pemodenan ekosistem di lokaliti terpilih
Abstrak
Kelompok orang Seletar merupakan salah satu suku Masyarakat orang asli yang terdapat
di Semenanjung Malaysia. Masyarakat orang Seletar juga lebih dikenali dengan
panggilan orang lam. Kebanyakan masyarakat orang Seletar pada masa kini menetap di negcn Johor yang tcrletak di selatan Scmcnanjung Malaysia. Pada asalnya, masyarakat orang Seletar ini tinggal di dalam perahu atau dikenali sebagai perahu berkajang dan mereka akan berlegar-Iegar di sekitar persisiran pantai dan paya bakau yang terdapat di perairan Johor dan Singapura. Setelah berlakunya peredaran Taman, masyarakat orang Seletar sudah mula menetap di atas darat. Walau bagai manapun, penempatan mereka di atas darat mestdah berdekatan dengan kawasan laut Hal ini demikian kerana masyarakat orang Seletar sememangnva bergantung dengan basil laut sebagai punca pendapatan merek& Lazimnya, masyarakat orang Seletar akan menjalankan kegiatan perikanan dengan mengutip basil laut seperli ikart. ketam dan kupang, Kini, perubahan ekologi akibat daripada kaja-kerja pembangunan seperli penambakan lam sedikit sebanyak telah mengganggu-gugat kegiatari orang Seletar dalam mengutip hasil laut. Kajian ini bertujuan untuk me I i hat proses adaptasi yang dial ami oleh masyarakat orang Seletar terhadap akliviti penambakan laut di Selal Tebrau. Terdapat tiga objektif kajian iaitu. (i) memahami latar belakang pekerjaan orang Seletar; (ii) menghubung kail impak penambakan lam terhadap perubahan pekerjaan orang Seletar dan liii) menganalisis cars orang Seletar beradaptasi dengan perubahan jenis pekerjaan Manakala kaedah bagi mendapatkan data pula dilakukan dengan menggunakan kaedah temu bual secara mendalam dan kaedah pemerhatian [unit serta. Kajian ini mendapati bahawa kerja-kerja penambakan laut yang dijahmkan di sekitar perairan SelaJ Tebrau sememangnya memaksa orang Seletar untuk mengubah jenis pekerjaan yang dilakukan oleh mereka. Orang Seletar yang pada asalnya hanya tiirun ke lam untuk mengutip hasil laut terpaksa menukar pekerjaan lain bagi menampung kehidupan seharian mereka. Antara jenis pekerjaan barn yang dilakukan oleh orang Seletar ialah pentemakan kupang. pemiagaan restoran makan laut. kegiatan ekopelancongan dan pemiagaan rumah rakit pancing. Di samping itu kajian ini Juga mendapali bahawa orang Seletar mampu beradaptasi dengan perubahan jenis pekerjaan yang berlaku akibat daripada kerja penambakan laut. Adaptasi yang berlaku juga selari dengan tiga kriieria adaptasi yang diperkenalkan oleh J.W.
Bennet (1976).
Showing 351 to 389 of 389 results
Page
of 8
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->