Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (285 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Latihan ilmiah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Sosio budaya Melayu
Perkahwinan masyarakat Melayu bandar masa kini
Abstrak
Perkahwinan merupakan salah satu perkara menjadi tuntutan agama Islam. Kemeriahan dan kelancaran dalam majlis perkahwinan merupakan yang menjadi impian bagi setiap bakal pengantin dan keluarganya. Bagi memastikan Kelancaran majlis, persediaan persiapan kelengkapan majlis perlu dilakukan dengan lancar. Kajian ini melibatkan bidang sosio-budaya bagi masyarakat Melayu bandar kelas menengah. Penulisan kajian ini untuk mengupas persediaan yang perlu dilakukan oleh masyarakat bandar dalam mengadakan majlis perkahwinan dan sambutan majlis terutama dari pelaksanaan istiadat perkahwinan Melayu pada masa kini. Kaedah kajian yang digunakan adalah melibatkan kaedah pemerhatian dan temu bual terhadap responden yang mengadakan majlis perkahwinan di bandar. Upacara perkahwinan sepatutnya didahului dengan ikatan perpaduan kekeluargaan yang kukuh, kini mula terhakis. Masyarakat bandar kini banyak terdedah kepada proses pembandaran yang sedang rancak dilakukan oleh negara.
Text
Bahasa Melayu
Penggunaan kartun dalam pembelajaran bahasa Melayu berbantukan komputer : Kanak-kanak tahap 2 di Singapura
Abstrak
Dalam era serba canggih yang berpaksikan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembangunan pendidikan mementingkan pembudayaan dan penguasaan ICT dalam kalangan pendidik dan pelajar. Kaedah pengajaran dan pembelajaran harus diubah agar dapat memupuk minat, menggalakkan pelajar supaya lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran, dan juga menerapkan amalan pembelajaran sepanjang hayat. Selain itu, penerapan ICT dalam bidang pendidik juga berupaya merevolusikan pembelajaran, memperkayakan kurikulum, memperkembangkan pedagogi, menstrukturkan organisasi sekolah dengan lebih berkesan, dan melahirkan hubungan yang lebih erat antara pihak sekolah, ibubapa, dan masyarakat. Bagi menyahut cabaran yang dilontarkan bersama pembangunan pesat ICT, Kementerian pendidikan Singapura telah mengimplimentasikan projek Masterplan dalam Pendidikan yang diusahakan dalam tiga fasa sepanjang 15 tahun. Setelah berjaya mencapai kesemua matlamat fasa pertama dan kedua, kini Masterplan dalam Pendidikan berada dalam fasa ketiga yang akan dilaksanakan hingga tahun 2014. Pembangunan perisian Pembelajaran bahasa Berbantukan Komputer (PBBK) adalah satu langkah untuk mencapai matlamat fasa ketiga dalam Masterplan dalam Pendidikan.
Text
Sosio budaya Melayu
Personaliti dan gaya hidup mak nyah : Satu kajian di Kuala Lumpur
Abstrak
Kewujudan golongan mak nyah dalam masyarakat bukanlah satu fenomena yang baru malah jumlahnya telah semakin meningkat. Kewujudan pelbagai istilah seperti “mak nyah”, “pondan”, “adik” dan “bapok” semuanya menjurus kepada golongan ini yang dilahirkan sebagai lelaki tetapi mempunyai kelakuan, perasaan, dan naluri sebagai wanita. Melihat dari sudut penampilan diri, mereka lebih cenderung ke arah kewanitaan seperti memakai beg tangan, aksesori dan pakaian wanita serta bersolek. Kajian ini dilakukan untuk mengetahui secara mendalam personaliti dan gaya hidup mak nyah. Kaedah temubual dan pemerhatian digunakan oleh pengkaji untuk mendapatkan maklumat berkenaan gaya hidup golongan mak nyah. Kajian ini dilakukan terhadap 10 orang responden di sekitar Kuala Lumpur kerana kotaraya ini memang terkenal dengan jumlah mak nyah yang lebih tinggi berbanding tempat-tempat lain di negara ini. Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati bahawa personaliti dan gaya hidup mak nyah sememangnya menjurus ke arah wanita meliputi pelbagai aspek seperti pembawaan diri dan gerak-geri,pergaulan dan komunikasi, penjagaan kecantikan, kesihatan, tubuh badan dan aktiviti sosial mereka. Selain itu, golongan ini juga sering mengadu bahawa mereka disisihkan oleh keluarga dan masyarakat. Dalam menempuh kehidupan sebagai mak nyah, didapati hanya sebilangan kecil sahaja responden yang benar-benar ingin menjadi wanita sepenuhnya sebaliknya lebih daripada separuh menyatakan bahawa mereka masih menyimpan hasrat untuk berubah. Oleh itu, satu usaha perlulah dijalankan untuk membantu golongan ini berubah dan kembali menjadi seperti lelaki normal yang lain.
Text
Sosio budaya Melayu
Ritual tolak bala : Satu tinjauan terhadap masyarakat Kadayan di Kampung Pangi, Lawas, Sarawak
Abstrak
Kajian ini merupakan sebuah penyelidikan ilmiah mengenai sebuah upacara kebudayaan yang dilakukan oleh masyarakat Kadayan di kepulauan Borneo. Upacara yang dimaksudkan ini, ialah upacara tolak bala yang dipercayai pengkaji merupakan sebuah upacara yang dijalankan mengikut situasi sekeliling masyarakat berkenaan. Petanda buruk daripada kejadian alam yang berlaku di sekeliling mereka, maka upacara ini perlu dijalankan untuk mengelak daripada bencana alam tersebut dan sebagainya. Dalam kajian ini akan menyentuh secara holistik mengenai masyarakat Kadayan dan upacara tolak bala itu sendiri serta dikaitkan dengan ketentuan Allah swt.
Text
Sosio budaya Melayu
Pesta kaul masyarakat Melanau di Mukah, Sarawak : kajian perbandingan pesta kaul dulu dan kini
Abstrak
Kajian ini ialah berkaitan dengan kebudayaan tradisi masyarakat Melanau yang terdapat di Mukah, Sarawak. Sungguhpun begitu, tumpuan pengkaji bukanlah kajian kebudayaan yang dilakukan secara menyeluruh berkenaan dengan kebudayaan-kebudayaan yang terdapat dalam masyarakat Melanau kerana matlamat kajian pengkaji hanyalah berfokus kepada pesta kaul sahaja, kajian ini pengkaji lakukan di Mukah, Sarawak. Disebabkan terdapat kekangan-kekangan tertentu, pengkaji hanya sempat pergi kedua buah kampung sahaja di bahagian Mukah, iaitu kampung Tutus Hilir dan kampung Medong Dalat. Sungguhpun begitu kajian pengkaji meliputi pesta kaul yang diadakan oleh keseluruhan kaum Melanau di Mukah.
Di dalam bab dua, pengkaji telah menerangkan tentang kawasan kajian pengkaji bermula daripada sejarah negeri Sarawak itu sendiri. Pengkaji juga menjelaskan berkenaan dengan sejarah Mukah, iaitu tempat yang didiami oleh majoriti masyarakat Melanau. Pengkaji juga menyentuh perihal asai-usul Melanau dan pengenalan umum tentang bahasa Melanau.
Dalam bab tiga, pengkaji mengupas berkenaan dengan pesta kaul masyarakat Melanau di Mukah pada zaman dahulu yang merangkumi beberapa aspek penting. Antaranya, sejarah pesta kaul, tujuan pesta kaul itu diadakan, masyarakat yang terlibat dalam pesta kaul, persediaan sebelum dan semasa pesta kaul, pantang larang pesta kaul dan aktiviti sampingan yang dijalankan semasa pesta kaul.
Dalam bab 4, pengkaji menerangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan pesta kaul masyarakat Melanau di Mukah pada zaman sekarang. Sama seperti bab sebelumnya, dalam bab 4 juga menekankan aspek yang sama supaya tidak mengelirukan para pembaca.
Seterusnya dalam bab ke 5, pengkaji membincangkan perubahan yang berlaku antara pesta kaul masyarakat Melanau di Mukah pada zaman dahulu dengan zaman sekarang berdasarkan aspek yang telah dibahaskan dalam bab 3 dan bab 4. Aspek yang sama dibahaskan bagi pengkaji lebih mempelihatkan perubahan yang berlaku dalam kedua-dua zaman tersebut.
Dalam bab yang terakhir penulis ilmiah ini, iaitu bab 6, pengkaji menyentuh tentang kesimpulan berdasarkan keseluruhan hasil dapatan yang diperoleh pengkaji. Kesimpulan ini sebagai merumuskan keseluruhan bab-bab yang telah diterangkan oleh pengkaji sebelumnya.
Text
Bahasa Melayu
Budaya membaca : Satu tinjauan kewujudan budaya membaca dikalangan Mahasiswa Ijazah Sarjana Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
Abstrak
Budaya membaca merupakan satu perihal membaca yang sudah sinonim dengan diri seseorang itu. Kajian tentang membaca ini telah dilakukan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Tumpuan kajian ini adalah untuk melihat kewujudan budaya membaca dalam diri mahasiswa di Akademi Pengajian Melayu yang mengambil Ijazah Sarjana Pengajian Melayu. Dalam menghasilkan kajian ini, pengkaji telah menggunakan dua kaedah utama untuk mendapatkan data iaitu kaedah keperpustakaan dan kaedah pengedaran borang soal selidik. Hasil dapatan yang diperoleh daripada kedua-dua kaedah itu akan dianalisis dengan kaedah peratusan dan perbandingan. Setelah semuanya selesai, pengkaji akan menilai keseluruhan kajian ini. Pada masa inilah pengkaji akan melihat sama ada objektif utamanya tercapai atau tidak. Kekurangan pada kajian ini juga dinyatakan dalam menambahbaikkan kajian yang bakal dilakukan pada masa hadapan.
Text
Bahasa Melayu
Tahap penguasaan imbuhan apitan kata kerja bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar Tingkatan 5
Abstrak
Kajian ini cuba mengenal pasti tahap penguasaan imbuhan apitan kata kerja dalam kalangan pelajar-pelajar Melayu Tingkatan 5. Terdapat tiga tujuan khusus dalam kajian ini, yang masing-masing mempunyai persoalan tersendiri pula, iaitu kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan bentuk, aspek makna dan konteks penggunaan imbuhan apitan kata kerja dalam kalangan sampel-sampel kajian.
Tahap kajian penguasaan bahasa pertama ini turut mengaplikasikan teori pemerolehan bahasa yang popular, iaitu teori behaviorisme dan mentalisme, terutamanya dalam sesi pengajaran. Sesi pengajaran berkenaan imbuhan apitan kata kerja telah dilakukan pengkaji terhadap sampel-sampel kajian sebanyak dua kali, iaitu jumlah yang paling minimum. Data mentah pula diperoleh pengkaji dengan membuat ujian pengukuran tahap penguasaan imbuhan apitan kata kerja. Di samping itu, pengkaji juga melakukan kajian rintis sebelum kajian sebenar berlaku.
Hasil daripada analisis data yang dibuat, pengkaji mendapati tahap penguasaan imbuhan apitan kata kerja pelajar-pelajar Melayu Tingkatan 5 SMKDARA adalah di tahap yang baik. Dari segi bentuk imbuhan yang dikenali dan diketahui, tahap penguasaan sampel kajian tersebut berada tahap yang memuaskan. Hal ini tidak semua sampel mengenali perkataan-perkataan berimbuhan apitan kata kerja dan imbuhan apitan kata kerja mempeR-...-i serta ke-...-an masih lagi belum dikuasai sepenuhnya.
Dari segi tahap penguasaan aspek makna imbuhan apitan kata kerja pula, pengkaji dapat melihat kesan yang positif selepas pelajar-pelajar tersebut mengikuti sesi pengajaran. Boleh dikatakan hampir kesemua bentuk imbuhan apitan kata kerja dikuasai aspek maknanya, kecuali imbuhan apitan dipeR-...-i yang tidak dikuasai dengan baik. Tahap penguasaan konteks penggunaan imbuhan apitan kata kerja sampel-sampel kajian pula hanya pada takat yang sederhana atau memuaskan. Ramai sampel-sampel kajian tahu menggunakan imbuhan-imbuhan apitan kata kerja dengan konteks penggunaan yang betul. Tetapi masih ramai yang kabur dengan konteks penggunaan imbuhan apitan meN-...-i, mempeR-...-i dan dipeR-...-i.
Kajian ini juga turut membuktikan tahap penguasaan proses morfofonemik dalam imbuhan apitan kata kerja kalangan pelajar-pelajar itu. Namun begitu, ini bukan tumpuan utama kajian dengan erti kata hanya sekadar pemerhatian umum. Berdasarkan penelitian, sampel-sampel kajian amat menguasai sangat sedikit. Akhir sekali, pengkaji dapat membuat kesimpulan yang kajian ini telah berjaya mencapai matlamatnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Penterjemahan budaya dan estetika dalam puisi
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan penterjemahan budaya dan estetika dalam puisi serta menggunakan teks-teks puisi Air Mata Mendidih, Pahlawan kemerdekaan, Serapah Pejuang Sastera, di bawah Bintang mengerdip dan Senja di Pelabuhan Kecil sebagai korpus utamanya. Dalam hal ini, kajian yang dijalankan secara khususnya meneliti teks-teks puisi yang diterjemahkan daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris.
Kajian yang diselenggarakan ini dilahirkan atas kesedaran ilmu penterjemahan puisi lazimnya berdiri atas daerah yang kabur serta jarang dibincang secara ilmiah. Namun demikian, penterjemahan puisi merupakan antara elemen terpenting dalam mengangkat karya-karya berbahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi dalam persada antarabangsa.
Disamping itu, kajian ini antara lainnya menerapkan pendekatan Peter Newmark (1988 & a988b) sebelum digandingkan dengan penilaian estetika dalam puisi dengan mengukur kesan emotif dan penstrukturan semula bahasa. Hasil daripada gabungan kedua-dua unsur utama tersebut, pengkaji telah menghasilkan sebuah model analisis unsur budaya dan estetika dalam puisi bagi menggariskan kajian yang dijalankan.
Hasil daripada kajian yang dijalankan, pengkaji sekali gus telah menghuraikan proses penterjemahan puisi, khususnya dalam penterjemahan karya-karya yang cenderung terhadap unsur budaya dan estetika yang tinggi. Di samping itu, pengkaji turut telah memberikan kritikan terhadap penterjemahan yang dibuat ke atas karya-karya yang disebutkan dalam latihan ilmiah ini.
Text
Bahasa Melayu
Sikap dan motivasi dalam penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar darjah enam di Singapura
Abstrak
Kertas penyelidikan ini bertujuan untuk menganalisis tahap penguasaan bahasa murid-murid darjah 6 di Singapura yang dipengaruhi oleh sikap dan motivasi. Penyelidikan ini juga akan menganalisis hubungan sikap dan motivasi pelajar darjah 6 di Singapura terhadap pembelajaran bahasa Melayu serta bagaimana peranan guru, keluarga dan rakan sebaya dalam proses penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu. Responden penyelidikan terdiri daripada 50 murid dari Sekolah Rendah Telok Kurau di Singapura. Analisis statistik yang digunakan ialah kaedah compute dan Korelasi Spearman. Hasil dapatan penyelidikan menunjukkan bahawa responden mempunyai sikap yang positif terhadap bahasa Melayu. Penyelidikan ini juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang positif antara sikap dan motivasi yang tinggi mempunyai sikap yang positif manakala responden yang bermotivasi rendah mempunyai sikap yang negatif terhadap bahasa Melayu. Di samping itu, penyelidikan ini juga memperlihatkan bahawa kebanyakan responden mendapat motivasi yang tinggi dari guru mereka tetapi bukan dari keluarga dan rakan sebaya mereka. Hal ini membuktikan sebab kemerosotan pencapaian Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah pada tahun sebelumnya.
Text
Bahasa Melayu
Drama dalam proses penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar tahun 4 : Kajian kes
Abstrak
Drama telah memainkan peranan yang tidak boleh dianggap kecil dalam usaha manusia Melayu mencapai ketamadunan. Banyak nilai-nilai yang telah disemai ke dalam jiwa masyarakat Melayu melalui kaedah drama, dalam apa juga bentuk sekalipun. Namun, pada zaman ini, potensi drama sebagai alat pendidikan atau pengajaran boleh dikatakan kurang diberi perhatian, lebih-lebih lagi pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu.
Kurang kesedaran mengenai medium drama sebagai alat dalam pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu ini mungkin disebabkan oleh kurangnya kajian atau penelitian terhadap keberkesanannya, ataupun kaedahnya masih belum mesra dalam kalangan pendidikan bahasa Melayu.
Namun demikian, kaedah drama boleh diketengahkan sebagai kaedah pedagogi yang berpotensi membawa kesan dan dapat memberikan manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak pendidik dan pelajar bahasa Melayu, sepertimana yang telah dilakukan oleh pendidik-pendidik bahasa Inggeris sejak pertengahan abad ke-20.
Text
Bahasa Melayu
Penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pengguna radio di Singapura : Satu pendekatan interaksional sosiolinguistik
Abstrak
Kajian ini berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pengguna radio di Singapura. Pengkaji menggunakan pendekatan interaksional sosiolinguistik Gumpez (1982) yang telah diubah suai dengan memasukkan variasi bahasa Asmah (2008) ke dalam rangka teori Gumperz. Pengkaji menggunakan korpus kajian transkripsi perbualan, iaitu bahasa lisan atau pertuturan yang digunakan para pengguna radio (pengacara dan pemanggil), yang diambil daripada dua stesen radio di Singapura.
Dalam kajian ini, pengkaji menganalisis tanda pengkonteksan yang dikenali pasti Gumperz (1982) sebagai instrumen kajian interaksional sosioliguistik. Pengkaji turut membuat pengubahsuaian lalu berusaha untuk mengenal pasti variasi bahasa yang wujud dalam bahasa lisan pengguna radio, khususnya bahasa rojak, bahasa pasar, dan slanga.
Hasil kajian yang menggunakan pendekatan interaksional sosiolinguistik yang telah diubah suai ini mendapati bahawa, pertama, seperti yang dihuraikan Gumperz (1982), terdapat tanggapan awal, interpretasi dan proses pembinaan makna yang dianalisis menggunakan tanda pengkonteksan sebagai instrumen kajian; dan kedua, wujud variasi bahasa, khususnya bahan rojak, bahasa pasar, dan slanga, yang berleluasa dalam korpus kajian.
Kajian ini secara umum mendapati bahawa penggunaan bahasa dalam kalangan pengguna radio di Singapura tidak menepati tuntutan dasar yang telah ditetapkan.
Text
Kesenian Melayu
Keunikan seni tatu dalam kalangan masyarakat Iban : Kajian kes Kuching, Sarawak
Abstrak
Kajian ini cuba mengetengahkan keunikan seni tatu dalam kalangan etnik Iban di Sarawak. Seni tatu merupakan tradisi masyarakat Iban yang diwarisi turun-temurun. Dalam penulisan ini, telah dimuatkan asal-usul seni tatu dan etnik Iban, peralatan serta bahan dalam penghasilan tatu, cara-cara membuat tatu melalui kaedah tatuk, asal-usul motif tatu, peranan seni tatu dan risikonya serta masa depan seni tradisi masyarakat Iban ini.
Latihan ilmiah ini mengandungi enam bab. Bab Pertama adalah Bab Pendahuluan yang menyentuh tentang permasalahan kajian, kajian -kajian lepas, matlamat kajian, kaedah kajian, batasan kajian dan dinamik setiap bab. Dalam Bab Kedua pula telah dijelaskan tentang latar belakang kawasan kajian, iaitu sejarah bandaraya Kuching, kedudukan dan saiz bandaraya Kuching, serta kepelbagaian etnik di bandaraya Kuching.
Bab Ketiga membincangkan tentang konsep-konsep penting dan pengenalan kepada seni tatu yang meliputi konsep umum seni, tatu dan etnik Iban. Asal-usul ukiran tatu juga diceritakan melalui mitos-mitos di samping memaparkan peralatan serta bahan untuk membuat tatu beserta proses-proses pembuatan tatu dengan menggunakan kaedah tradisional. Dalam Bab Keempat, motif-motif serta simbolisme di sebalik tatu juga di terangkan satu-persatu.
Dalam Bab Kelima, peranan seni tatu dan risiko daripada pembuatan tatu di jelaskan dengan terperinci. Peranan tatu pada masa dahulu dan kini dinyatakan setelah melakukan kajian dan pandangan daripada pihak yang terlibat. Dalam bab terakhir, dipaparkan masa depan tatu entik Iban yang membincangkan tentang transformasi yang dialami oleh tatu, faktor-faktor perubahan seni tatu serta cadangan-cadangan untuk memartabatkan seni tradisi masyarakat Iban ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Penilaian terjemahan teks kreatif ‘Kenang-kenangan Seorang Geisha’ dan Mutiara
Abstrak
Penterjemahan merupakan suatu bidang ilmu yang penting. Manusia sejak dahulu telah dapat memperoleh ilmu pengetahuan serta mempelajari budaya daripada masyarakat lain melalui penterjemahan. Sebuah teks terjemahan, terutamanya teks kreatif yang bermutu hanya akan terhasil sekiranya penterjemahan mengetahui bahasa sumber dengan mendalam di samping mempunyai kemahiran dan kecekapan yang sama dalam bahasa sasaran.
Di Malaysia, bidang penterjemahan telah berkembang pesat hingga wujudnya pelbagai koleksi karya terjemahan dalam pasaran. Namun kualiti karya terjemahan tersebut sering menjadi persoalan. Memandangkan karya teks kreatif merupakan antara genre yang paling sukar diterjemahkan, kesilapan dan kesalahan dalam karya-karya terjemahan karya kreatif tidak dapat dielakkan. Justeru, untuk mempertingkatkan kualiti hasil terjemahan kreatif, penilaian telah dilakukan untuk menilai dua buah karya kreatif terpilih, iaitu Mutiara yang diterjemahkan oleh Abdullah Hussain daripada karya The Pearl (John Steinbeck) dan Kenang-kenangan seorang Geisha yang diterjemahkan oleh Abdul Latif Bidin daripada karya Memoirs of a Geisha (Arthur Golden). Penilaian dilakukan berdasarkan model penilaian teks kreatif. Pengkaji terlebih dahulu menilai kedua-dua teks dari aspek pendekatan yang digunakan penterjemah bagi menterjemahkan unsur budaya, metafora, simile dan idiom. Seterusnya, pengkaji menilai perbandingan kedua-dua teks ini berdasarkan kekuatan dan kelemahan terjemahan.
Penilaian yang dilakukan jenis menunjukkan bahawa dalam usaha menghasilkan satu-satu karya terjemahan terutama karya teks kreatif, pasti akan ada kekuatan serta kekurangan dalam hasil terjemahan, tidak kira siapa penterjemah itu. Contohnya, penilaian ini menunjukkan bahawa walaupun seorang penterjemah itu berpengalaman dalam bidang penulisan karya teks kreatif dan mantap dari segi bahasa, dia tetap akan menghasilkan terjemahan yang lemah sekiranya terkongkong dengan terjemahan cara lama. Kelaziman penterjemah menterjemahkan unsur-unsur bahasa kiasan secara literal sahaja juga akan turut menjejas kualiti suatu teks terjemahan kreatif.
Text
Sosio budaya Melayu
Konsep 1 Malaysia dan cabaran perpaduan antara etnik : Satu kajian kes terhadap pelajar-pelajar Universiti Malaya
Abstrak
Perpaduan merupakan satu proses untuk menyatupadukan anggota masyarakat dan negara melalui pelbagai kaedah. Perpaduan penting supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka. Perpaduan merupakan perkara yang sangat penting untuk membentuk masyarakat yang kukuh ukhwahnya. Di Malaysia, perpaduan berperanan dalam menjana pembangunan negara.
Perpaduan boleh dipupuk melalui dasar-dasar yang dibawa oleh setiap pemimpin negara. Antara dasar yang menekankan pemupukan semangat perpaduan ialah pelaksanaan 1 Malaysia. Dasar ini masih lagi dalam pelaksanaan di Malaysia. Pelaksanaan 1 Malaysia yang berpaksikan perpaduan ini dianggap dapat membentuk bangsa Malaysia seperti yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri.
Dalam era globalisasi masa kini, perpaduan menjadi alat penghujung bagi proses komunikasi dan interaksi antara masyarakat. Namun, dalam membentuk perpaduan pelbagai halangan dan rintangan yang perlu dihadapi. Oleh itu, Perdana Menteri Malaysia telah memperkenalkan Konsep 1 Malaysia bagi memantapkan lagi masyarakat Malaysia. Namun begitu, penerimaan masyarakat terhadap konsep ini masih dalam pemerhatian pihak kerajaan.
Kajian ini dilakukan bagi mengenalpasti penerimaan pemahaman masyarakat terhadap pelaksanaan 1 Malaysia dalam mengukuhkan perpaduan negara. Tumpuan kajian tertumpu kepada golongan pelajar Universiti Malaya ini telah dapat mengenalpasti penerimaan masyarakat Malaysia terhadap pelaksanaan 1 Malaysia dalam mengukuhkan perpaduan negara.
Text
sastera Melayu
Peranan Kompleks Sejarah Pasir Salak dalam sektor pelancongan di kawasan berhampiran dan kesannya kepada penduduk setempat
Abstrak
Penulisan latihan ilmiah ini secara khususnya memberi tumpuan kepada peranan Kompleks Sejarah dalam sektor pelancongan dan juga kesan penubuhan terhadap penduduk setempat.
Di dalam penulisan ilmiah ini, pada bab satu pengkaji cuba menghuraikan serba sedikit mengenai Kompleks Sejarah Pasir Salak seperti lokasi kawasan Kompleks. Selain itu, turut juga menghuraikan mengenai tajuk kajian, objektif kajian, kepentingan kajian, metodologi, organisasi dan juga permasalahan kajian.
Di dalam bab dua, pengkaji memfokuskan beberapa pengertian definisi mengenai muzium dan juga sektor pelancongan. Ini bertujuan untuk memberi pemahaman dalam membuat kajian. Selain itu, bab ini turut membincangkan mengenai perkembangan awal penubuhan muzium di dunia dan juga Malaysia.
Pada bab ketiga pula, pengkaji membincangkan peranan Kompleks Sejarah dalam sektor pelancongan yang disebabkan oleh penubuhan Kompleks. Selain itu, membincangkan sejauh mana Kompleks memberi sedikit kesan kemasukan pelancongan di negeri Perak dan negara Malaysia. Ini dapat dibuktikan melalui analisis data kedatangan pelancongan ke Kompleks Sejarah.
Di dalam bab empat pula,pengkaji membincangkan mengenai kesan yang wujud kepada penduduk setempat akibat daripada perkembangan sektor pelancongan. Melalui bab ini, pengkaji membuat analisis kajian bagi mengenalpasti kesan yang dialami oleh penduduk setempat yang tinggal berhampiran dengan Kompleks.
Pada bab lima ini, pengkaji membuat kesimpulan akhir mengenai kajian telah dibuat.
Text
Sosio budaya Melayu
Peranan Muzium dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sejarah di sekolah-sekolah
Abstrak
Institusi Muzium merupakan sebuah khazanah yang memberi banyak nilai memorial dalam konteks Sejarah negara. Tanpa Muzium, maka kita tidak akan lagi dapat menilai, mengetahui dan merasai nilai-nilai Sejarah terutama Sejarah negara tercinta. Walaupun keberadaan institusi Muzium kini tidak lagi menjadi suatu kemegahan oleh sesetengah masyarakat yang terlalu taksubkan kecanggihan teknologi, kita sebagai rakyat yang cintakan dan sayangkan negara perlu melihat penubuhan institusi Muzium ini sebagai sebuah gedung penyimpanan khazanah dan harta yang tidak ternilai. Tanpa Sejarah, kita tidak akan berjaya dan tidak dapat memupuk semangat kesedaran apatah lagi untuk mengambil iktibar di atas peristiwa-peristiwa lampau yang berlaku kepada negara kita, malaysia.
Dalam penyelidikan yang dibuat ini, penyelidik melihat tentang rasional dan kepentingan penubuhan sesebuah Muzium kepada masyarakat. Di dalam konteks ini, penyelidik telah memfokuskan kepada para pelajar di dalam konteks pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam mata pelajaran Sejarah. Apakah institusi Muzium releven dan dapat memberi sumbangan dalam mata pelajaran Sejarah atau pun tidak.
Oleh hal yang demikian, penyelidik telah menggunakan pendekatan-pendekatan yang dirasakan bersesuaian untuk digunakan dalam mencari jawapan kepada persoalan yang dibincangkan. Penyelidik telah memilih untuk menggunakan beberapa pendekatan yang dilihat sesuai untuk digunakan untuk menjalankan kajian. Antaranya adalah dengan menyebarkan borang soal selidik atau “Questionaire” dan kajian Perpustakaan yang dilakukan di Institusi Muzium, Arkib dan Perpustakaan. Selain itu juga, penyelidik telah menjalankan satu sesi temubual bersama informan iaitu Encik Zainal bin Ariffin iaitu Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelarasan dan Pelaksanaan di Muzium Negara. Malah, bagi mendapatkan maklumat dan persepsi daripada para pelajar mengenai isu yang dikupas ini, penyelidik juga telah membuat sesi temuramah bersama dengan tiga orang informan bagi melihat skop ini dengan lebih meluas.
Setelah menjalankan kajian ini, penyelidik telah mendapat suatu keputusan yang memuaskan kerana sememangnya institusi Muzium dapat memberi sumbangan kepada masyarakat masih lagi relevan. Malah, institusi ini juga sememangnya turut memberi sumbangan kepada para pelajar dalam mata pelajaran Sejarah. Seterusnya, penyelidik turut memberi beberapa pendekatan sebagai cadangan yang boleh digunakan oleh pihak Muzium dan pihak sekolah dalam usaha untuk menarik minat para pelajar untuk datang ke Muzium. Kesimpulannya, sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa institusi Muzium mempunyai peranan yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah di sekolah-sekolah berdasarkan kepada peranan dan objektif yang disasarkan oleh institusi Muzium. Sesungguhnya, tanpa Sejarah, kita tidak dapat melihat sejarah asal usul kita”.
Text
sastera Melayu
Retorik dalam penulisan kewartawanan Melayu : Kajian kes akhbar Berita Harian di Singapura
Abstrak
Kebanyakan kajian yang dilakukan terhadap korpus akhbar seringkali berfokus kepada isu-isu yang diketengahkan oleh pihak akhbar bagi menarik golongan pembaca. Tidak banyak kajian yang dilakukan bagi meneliti gaya bahasa dalam akhbar yang merupakan wahana utama dalam penyampaian maklumat. Justeru itu, kajian ini bertujuan memenuhi ruang kosong tersebut dengan tumpuan khusus diberikan kepada bidang retorik yang menitikberatkan penggunaan bahasa yang berkesan. Kajian ini yang menggunakan akhbar Berita Harian di Singapura sebagai bahan kajian akan meneliti tiga komponen penting dalam retorik iaitu kata, ayat, dan wacana. Setiap komponen ini akan dikaji dari aspek kekerapan jenis kata, jenis ayat dan dalam aras wacana, jenis pendulu berita yang digunakan sehingga maklumat yang disampaikan dapat difahami oleh pihak pembaca. Dengan adanya kajian ini, sumbangan akhbar bukan sahaja dilihat dari segi pengetahuan yang ingin disampaikan, tetapi juga sebagai pengembang bahasa Melayu yang mampu mengungkapkan ilmu dalam pelbagai bidang.
Text
Sosio budaya Melayu
Pemeliharaan warisan tradisi negeri Kedah : Kajian di Muzium Negeri Kedah Darul Aman
Abstrak
Penulisan latihan ilmiah ini secara khususnya memberi tumpuan kepada koleksi Muzium Negeri Kedah yang terdapat di muzium tersebut dan mempunyai atau membawa identiti negeri Kedah itu sendiri.
Di dalam penulisan ini,Pada bab satu pengkaji menghuraikan sejarah asal- usul pembukaan negeri Kedah yang merupakan lokasi terletaknya Muzium Negeri Kedah. Selain itu, dijelaskan juga pengertian tajuk kajian, objektif kajian, skop kajian, kepentingan kajian, kaedah atau metodologi kajian, permasalahan kajian dan organisasi bab.
Pada bab dua pula pengkaji lebih memfokuskan sejarah latar belakang penubuhan Muzium Negeri Kedah. Selain itu, pengkaji turut menjelaskan aktiviti yang dilakukan oleh Muzium Negeri Kedah. Di dalam bab ini juga pengkaji menghuraikan berkaitan matlamat Muzium Negeri Kedah, akta Muzium Negeri Kedah, Objektif Muzium Negeri Kedah, fungsi Muzium Negeri Kedah, serta cawangan yang telah dibuka oleh Muzium Negeri Kedah dan organisasi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Muzium Negeri Kedah.
Di dalam bab ketiga pula pengkaji telah mengfokuskan kepada koleksi muzium yang mempunyai identiti negeri Kedah yang telah dipopularkan. Disamping itu, pengkaji juga menjelaskan berkaitan dengan galeri yang terdapat di Muzium Negeri Kedah, jumlah koleksi yang ada di negeri Kedah serta cara pemerolehan bahan yang dilakukan oleh Muzium Negeri Kedah dalam mengumpul koleksi khazanah sejarah.
Manakala pada bab empat, pengkaji lebih memfokuskan terhadap peranan muzium kepada seluruh masyarakat, cabaran yang dihadapi oleh pihak Muzium Negeri Kedah dalam mempertahankan khazanah warisan turun-temurun serta usaha dan langkah yang diambil oleh pihak muzium dalam mengatasi masalah tersebut.
Bab terakhir iaitu di dalam bab lima, pengkaji membuat kesimpulan secara menyeluruh berkaitan kajian yang telah dijalankan. Pengkaji juga menjawab setiap objektif yang telah digariskan oleh pengkaji dengan baik.
Text
Bahasa Melayu
Strategi pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar lemah Tahun Rendah Atas di Singapura : Satu kajian kes
Abstrak
Kajian ini membincangkan strategi Pembelajaran (SP) bahasa yang digunakan khususnya dalam pembelajaran ‘peribahasa’ oleh pelajar-pelajar Melayu sebagai bahasa pertama di sebuah sekolah rendah di Singapura. Subjek kajian ini terdiri daripada 8 orang pelajar darjah lima yang terdiri daripada lima orang pelajar lelaki dan tiga pelajar perempuan. Tahap pencapaian BM mereka pula agak lemah. Kajian ini direka untuk mengenal pasti ciri-ciri SP yang digunakan oleh kumpulan sasaran tersebut berdasarkan pada teori O’Malley dan Chamot (1990). Dapatan kajian ini turut memperlihatkan SP yang paling dominan diterapkan dalam kalangan pelajar ini.
Pengkaji menggunakan korpus kajian untuk mengenal pasti persekitaran yang menyumbang kepada pembelajaran serta kaedah pengajaran guru yang turut memainkan peranan dalam prestasi murid-murid. Kajian ini juga merupakan satu kajian kes yang dijalankan melalui borang selidik terhadap lapan orang responden berkenaan SP bahasa yang digunakan dan borang selidik terhadap latar belakang keluarga mereka. Selain itu, temu bual yang dijalankan terhadap guru BM mereka terdapat hal - hal yang bersangkutan dengan pengajaran dan pembelajaran yang diterapkan oleh beliau bagi mengajar para pelajar ini.
Semua proses yang dilakukan ini menunjukkan bahawa pelajar boleh menguasai ciri-cir SP bagi membantu mempertingkatkan pembelajaran mereka atas bimbingan guru, persekitaran sekolah yang kondusif dan sokongan padu daripada ibu bapa dan ahli keluarga.
Text
Sosio budaya Melayu
Dinamika nilai-nilai syariat dan nilai-nilai budaya : Satu kajian kes perkahwinan dalam masyarakat Melayu Kampung Muhibbah Raya, Tawau, Sabah
Abstrak
Perkahwinan merupakan sebuah ikatan yang suci dan murni bagi mengikat pasangan dan sebagai suatu perjanjian atau persefahaman yang kuat di antara kedua-dua pasangan tersebut. Selain itu, perkahwinan juga merupakan “satu kontrak” iaitu, apabila setiap pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan akan dikenakan syarat-syarat yang telah ditentukan sama ada daripada pihak berkuasa sivil mahupun oleh kepercayaan agama mereka.
Dalam Bab Satu, pengkaji membincangkan tentang pengenalan tentang budaya, adat istiadat, dan perkahwinan. Dalam bab ini juga, pengkaji membincangkan tentang objektif kajian, persoalan kajian, skop kajian, guna kajian, metodologi kajian, dan masalah kajian.
Dalam Bab Dua, pengkaji membincangkan perkahwinan menurut Islam. Dalam bab ini juga membincangkan hal - hal yang dibolehkan dan yang tidak boleh dijalankan oleh masyarakat Melayu yang umumnya beragama Islam serta unsur-unsur syariah dalam perkahwinan.
Dalam Bab Tiga pula, pengkaji membincangkan tentang perkahwinan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu. Hal ini termasuklah peringkat-peringkat perkahwinan yang dijalankan secara penuh dengan adat-istiadat seperti merisik, melamar, pertunangan dan sebagainya. Selain itu juga membincangkan tentang unsur-unsur yang berkaitan dengan syariah.
Dalam Bab Empat pula, pengkaji menganalisis hasil kajian yang telah dilakukan di kampung tersebut. Hal ini termasuklah adat-adat yang biasa diamalkan oleh penduduk di kampung tersebut semasa meraikan sesebuah majlis perkahwinan.
Bagi bab Lima, pengkaji membincangkan tentang rumusan ataupun kesimpulan secara menyeluruh terhadap perbincangan dalam bab-bab sebelumnya. Dalam bab ini juga pengkaji memberi beberapa cadangan bagi pembaikan adat-adat yang bersesuaian dengan masyarakat Melayu khususnya adat yang tidak bertentangan dengan agama Islam.
Text
Kesenian Melayu
Pembentukan istilah dalam seni kraftangan Melayu : Pembuatan Wau
Abstrak
Kajian ini merupakan satu usaha dalam mengumpul dan merakam pembentukan istilah dalam seni kraftangan Melayu, iaitu dari segi pembuatan wau, kajian ini hanya menumpukan istilah yang terdapat dalam kaedah pembuatan wau tradisional Melayu di negeri Kedah. Hanya istilah-istilah yang dituturkan oleh responden sahaja dianalisis oleh pengkaji.
Antara aspek penting yang mendasari kajian ini ialah usaha mengumpul dan merakamkan semua istilah yang terdapat dalam seni pembuatan wau di Kedah. Setelah itu, kajian ini membina dan menghuraikan peta konsep berdasarkan data yang diperolehi daripada kajian lapangan yang telah dilakukan. Selain itu, proses mentakrifkan istilah berdasarkan peta konsep turut diutamakan. Kajian ini juga turut menganalisis proses pembentukan natif dalam istilah bahasa Melayu.
Kajian ini membawa satu perubahan atau maklumat baru yang berkaitan dengan bidang peristilahan terutama dari segi budaya. Dapatan kajian ini mendapati bahawa kebanyakan istilah yang terdapat dalam bidang seni pembuatan wau merupakan hasil pembentukan natif dalam bahasa Melayu sendiri. Namun begitu, istilah-istilah ini turut mengalami proses peminjaman istilah asing mahupun dialek. Antara ciri-ciri takrif yang paling dominan dalam kajian ini ialah takrif jenis fungsional.
Pengkajian mengenai sesuatu bahasa sering dilakukan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu terutama yang merujuk kepada aspek dialektologi. Namun begitu, jarang-jarang sekali tumpuan dilakukan ke atas istilah-istilah yang terdapat dalam bidang budaya terutama seni pembuatan wau. Di samping itu, terdapat beberapa penyelidikan mengenai istilah-istilah yang digunakan dalam sesuatu bidang atau lapangan. Dengan itu, pengkaji berharap dapat memberi membincangkan pembentukan istilah-istilah yang terdapat dalam seni pembuatan wau.
Text
Kesenian Melayu
Analisis unsur komunikasi silang budaya dan teori penterjemahan dalam novel TUNNELS dan terjemahannya terowong
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang unsur komunikasi silang budaya dan teori terjemahan yang digunakan dalam penterjemahan bahasa Melayu khususnya bagi karya terjemahan “Tunnels” oleh Roderick Gordon dan Brian Williams dan teks terjemahannya “ Terowong” yang diterjemahkan oleh Harny Abu Khir.
Kajian yang berfokus kepada fahaman sarjana barat, Peter Newmark (1986) tentang budaya dalam penterjemahan, pengkaji telah mengenal pasti dan menganalisis jenis-jenis budaya yang terdapat dalam novel. Dapatan kajian telah menunjukkan unsur-unsur budaya seperti ekologi, bahan budaya atau artifak, budaya sosial, organisasi, adat, aktiviti, tatacara, konsep dan gerak laku dan tabiat boleh didapati daripada novel kajian. Ternyata novel ini memang memaparkan banyak unsur budaya Barat yang jauh berbeza dengan masyarakat tempatan.
Dengan dapatan analisis kajian tentang unsur komunikasi silang budaya tersebut, pengkaji telah menilai teori yang digunakan pakai oleh penterjemah berpandukan teori terjemahan Eugene Nida (1963). Di sini, teori yang dicakupi dalam kajian ialah teori penyalinan semula maklumat, persamaan bukan keserupaan, persamaan sejadi/bersahaja, persamaan terdekat (dinamik), keutamaan makna dan kepentingan gaya.
Beberapa saranan kajian masa hadapan telah diajukan dan semua ini berarah kepada usaha memberi input penting kepada dunia penterjemahan dalam bahasa Melayu.
Text
kesusasteraan melayu
Stilistik : Kajian aspek ayat dalam cerpen-cerpen terpilih Peter Augustine Goh.
Abstrak
Dalam bab 1 latihan ilmiah ini merupakan bahagian pengenalan dalam kajian ini. Dalam bab ini kandungannya lebih menumpukan pada perkara asas dalam menjalankan sesebuah kajian, iaitu pendahuluan, latar belakang kajian, pernyataan masalah, bidang kajian, objektif kajian, batasan kajian, dan bahan kajian. Berdasarkan bahan kajian ini, pengkaji akan menyatakan mengenai data yang dipilih dan juga latar belakang penulis cerpen yang telah dipilih, iaitu Peter Augustine Goh.
Seterusnya, dalam bab 2 perkara yang difokuskan ialah definisi stilistik dan cerpen . Melalui stilistik, pengkaji menghuraikan tentang kajian terdahulu yang telah dilakukan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu sebagai memberi pendedahan awal tentang kajian yang akan dilakukan. Seterusnya, pengkaji menghuraikan pula mengenai konsep cerpen Melayu secara umum bagi memberikan gambaran awal tentang genre data kajian yang dipilih. Selain daripada dua perkara utama tersebut, bab ini turut juga membincangkan tentang kerangka teori yang digunakan sebagai landasan kajian, iaitu teori yang dikemukakan Tatabahasa dewan bagi mengkaji ayat majmuk dan proses penerbitan ayat dalam bahasa Melayu.
Analisis kajian pula akan disentuh dalam bab 3. Bab ini memfokuskan pada analisis jenis-jenis ayat majmuk yang terdapat dalam data kajian. Terdapat tiga jenis ayat majmuk yang dikaji dalam bab ini. Iaitu ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan dan ayat majmuk campuran. Analisis ini untuk menunjukkan sama ada penggunaan ayat majmuk dalam cerpen mempengaruhi gaya bahasa penulisnya. Hal ini akan dibincangkan berdasarkan teori Tatabahasa Dewan dan juga teori-teori stilistik yang berkenaan. Kesimpulan bab ini akan merumuskan pembentukan ayat majmuk mempengaruhi gaya bahasa seseorang penulis, iaitu Peter Agustine Goh.
Pengkaji lebih memfokuskan pada analisis penerbitan ayat yang terdapat dalam data kajian bab 4. Terdapat tiga proses dianalisis, iaitu proses pengguguran, proses penyusunan semula dan juga berdasarkan teori Tatabahasa Dewan dengan merujuk juga unsur-unsur stilistik yang terbina berdasarkan penerbitan ayat dalam cerpen. Penerbitan ayat ini juga akan membuktikan sama ada proses kekreatifan dalam menulis atau menghasilkan ayat dalam cerpen memberikan impak dalam gaya bahasa seseorang penulis. Rumusan dalam kesimpulan bab ini pula akan menyatakan sama ada kesemua proses penerbitan ayat dalam bahasa Melayu digunakan oleh penulis atau hanya sebahagian sahaja dalam menghasilkan unsur-unsur stilistik berdasarkan struktur pembinaan ayat.
Kesimpulan keseluruhan hasil kajian akan dihuraikan dalam bab penutup, iaitu bab 5. Bab ini akan menyimpulkan seluruh aspek kajian yang telah dilakukan berdasarkan bab 3 dan juga bab 4. Selain itu juga terdapat saranan-saranan serta peringatan pada mana-mana pengkaji yang ingin menerokai bidang ini dengan lebih lanjut lagi.
Text
Bahasa Melayu
Isu-isu kesihatan dalam akhbar berbahasa Melayu :
Tumpuan kepada utusan Malaysia
Abstrak
Kajian ini berkenaan dengan isu-isu kesihatan yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia. Pengkaji menganalisis isu kesihatan ini dengan melihat dari aspek paparan dan penyampaian.
Aspek-aspek ini disokong dengan Statistik Sebab Kematian bagi melihat hubungan antara kedudukan dalam statistik dengan bilangan terbitan. Kajian ini melihat peranan akhbar sebagai penyalur maklumat serta meneliti bentuk isu kesihatan yang disebarkan. Hasil kajian memperlihatkan ketidakselarian antara kedudukan penyakit dalam statistik Sebab Kematian dengan bilangan terbitan dalam akhbar Utusan Malaysia.
Text
Bahasa Melayu
Peminjaman istilah bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu bidang Sains Perubatan
Abstrak
Kajian ini merupakan salah satu kesinambungan daripada bidang kajian peminjaman istilah yang telah dijalankan oleh para pengkaji terdahulu. Tumpuan kajian ini untuk meneliti proses peminjaman istilah daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu dalam bidang sains perubatan. Kajian ini meliputi proses penganalisisan data untuk mengenal pasti kata pinjaman yang dominan dalam peminjaman istilah sains perubatan, di samping proses asimilasi yang berlaku dalam penyesuaian istilah dalam bahasa Melayu. Perincian juga dilakukan untuk meneliti teori-teori dan pengklasifikasian yang terdapat dalam peminjaman yang berperanan sebagai rujukan dan panduan dalam menjalankan kajian. Penganalisisan yang dilakukan dalam kajian ini meliputi beberapa klasifikasi, iaitu kata pinjaman tulen, kata pinjaman campuran dan kata pinjaman terjemah. Berdasarkan klasifikasi ini, penulis seterusnya menghuraikan data kajian melalui empat aspek penting, iaitu jumlah peminjaman, peratusan peminjaman dan peratusan peminjaman berdasarkan jumlah data terkumpul. Kajian ini juga meliputi proses pengasimilasian yang berlaku di antara istilah pinjaman bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu. Dapatan kajian ini menjelaskan KPTSA telah mendominasi proses peminjaman istilah dalam bidang sains perubatan berbanding dengan kata pinjaman yang lain. Hasil dapatan ini menerangkan faktor peminjaman istilah turut disebabkan oleh persamaan struktur kata yang akan menentukan jumlah bilangan istilah yang dipinjam ke dalam bahasa Melayu.
Text
Bahasa Melayu
Kajian retorik terhadap teks ucapan Tun Abdullah Ahmad Badawi menurut prinsip pisteis
Abstrak
Latihan ilmiah ini bertujuan mengkaji unsur pisteis yang digunakan di dalam dua buah teks ucapan yang dipilih, iaitu Majlis Pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni dan Majlis Pelancaran Semua Amanah Saham Wawasan 2020 dan Majlis Makan Malam Tahunan PNB 2005 terutama dari aspek penggunaan unsur patos. Latihan ilmiah ini terbahagi kepada enam bab, iaitu Pengenalan, Kerangka Teoritis Retorik, Sorotan Kajian/Kosa Ilmu, Metodologi kajian, Analisis dan Penutup.
Metodologi kajian yang digunakan oleh pengkaji ialah kajian kepustakaan dan kaedah pengumpulan data. Kaedah menganalisis data yang digunakan oleh pengkaji ialah kaedah kuantitatif dan kaedah kualitatif. Analisis data dilakukan secara kuantitatif dan kualitatif terhadap dua teks ucapan tersebut. Tambahan pula, analisis yang dilakukan berdasarkan unsur pisteis iaitu penggunaan figur patos dalam kedua-dua teks ucapan berkenaan.
Analisis yang dilakukan secara kuantitatif digambarkan juga melalui rajah carta pai supaya data yang diperoleh lebih jelas. Analisis kualitatif pula merupakan kesinambungan daripada analisis kuantitatif serta data yang dianalisis lebih menyeluruh serta tepat. Dapatan kajian mendapati kajian yang dilakukan oleh pengkaji terbukti benar dengan data-data yang telah dianalisis.
Text
kesusasteraan melayu
Analisis aspek kosa kata perubatan Melayu tradisional
Abstrak
Bab 1 menjelaskan analisis kosa kata dalam korpus kajian, iaitu Kitab Tib Perubatan Melayu Tradisional. Bab ini menghuraikan tentang latar belakang kajian, objektif kajian, bidang kajian, pendekatan kajian, deskripsi naskhah iaitu korpus kajian, masalah kajian dan kesimpulan.
Bab 2 pula membicarakan dengan lebih lanjut tentang definisi dan konsep analisis kajian, iaitu konsep kosa kata. Penghuraian secara terperinci telah dinyatakan dalam bab ini untuk mengukuhkan pemahaman pembaca tentang konsep kosa kata itu sendiri. Selain itu, latar belakang kitab tib juga digambarkan secara umum sebagai pengenalan kepada kandungan korpus kajian.
Bab 3 mencukupi analisis penggunaan kosa kata dalam kitab tib. Kekerapan penggunaan kosa kata seperti nama-nama penyakit, bahan-bahan rawatan dan aturan dan pantang larangan adalah kosa kata yang dominan dalam kitab ini. Justeru, setiap penggunaan kosa kata merupakan pemilihan kata yang tepat dan persis untuk menggambarkan kata-kata yang digunakan dalam kitab ini.
Bab 4 pula membincangkan analisis kosa kata bagi nama-nama sukatan dan timbangan. Kosa kata ini juga kerap digunakan dalam kitab tib. Topik ini dianalisis secara berasingan daripada bab yang lain disebabkan terdapatnya kosa kata nama-nama sukatan dan timbangan telah menjadi kata-kata arkaik. Nama-nama sukatan dan timbangan ini dilihat daripada sudut penggunaannya dalam kitab ini.
Bab 5 pula menyentuh tentang aspek semantik kosa kata kerja. Aspek ini amat penting kerana kata kerja yang digunakan adalah untuk merujuk perbuatan dalam kaedah penyemburan penyakit bermula daripada pemilihan bahan-bahan ramuan sehinggalah pada kaedah rawatan terakhir. Pemilihan kosa kata ini disesuaikan berdasarkan perbandingan kamus dahulu dan kini sebagai perbandingan perubahan zaman lampau dan sekarang yang juga mempengaruhi perubahan dan perkembangan kosa kata bahasa Melayu. Perubahan ini amat ketara sekali daripada aspek makna dalam sesuatu kata tersebut.
Akhir sekali ialah bab 6 yang merangkumi dapatan keseluruhan tentang aspek kosa kata yang terdapat dalam kitab MSS 489.
Text
Sosio budaya Melayu
Etnografi kampung : kajian kes di Kampung Balun, Slim River, Perak
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji mengenai sosio-ekonomi di kawasan luar bandar iaitu Kampung Balun yang terletak di Slim River, Perak. Kampung Balun merupakan kampung yang mundur dan tiada kemajuan dilakukan pada asalnya namun, sejak beberapa dekad yang lalu, kampung ini mula dibangunkan dan disediakan dengan pelbagai kemudahan untuk kepentingan penduduk kampung ini.
Kajian ini dilakukan melalui beberapa kaedah seperti pemerhatian dan kerja lapangan. Pemerhatian dilakukan dengan memerhatikan kawasan kampung dan melihat kemajuan yang dialami oleh kampung ini. Melalui pemerhatian ini dapatlah dipastikan bahawa kampung ini sememangnya sedang mengalami pembangunan dan perkembangan ekonomi, sosial dan pendidikan yang pesat.
Kampung ini telah melahirkan banyak graduan yang berjaya. Ini merupakan pencapaian yang membanggakan seluruh penduduk Kampung Balun. Selain itu perkara yang dikaji oleh pengkaji seperti latar belakang kampung, aspek ekonomi, aspek sosial, adat dan budaya, kepercayaan dan pantang larang dan warisan telah tercapai dan segala maklumat mengenai kampung ini telah didokumentasikan di dalam latihan ilmiah ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Etnografi Zon Bebas Cukai Rantau Panjang : Kajian sosio-ekonomi peniaga-peniaga wanita.
Abstrak
Fokus dan tujuan kajian ini ialah tentang sosio-ekonomi peniaga-peniaga wanita di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, Kelantan. Ia dilakukan bagi membolehkan pengkaji menceritakan secara lanjut tentang kehidupan atau aspek sosial peniaga wanita yang menjalankan perniagaan mereka. Hasil daripada kajian ini juga membolehkan pengkaji menghuraikan mengenai aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh peniaga-peniaga wanita di ZBCRP.
Kajian ini dilakukan melalui pemerhatian dan kajian lapangan. Pemerhatian dilakukan dengan memerhati gelagat peniaga-peniaga wanita dan aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh mereka sepanjang hari. Kajian lapangan yang dijalankan oleh pengkaji membolehkan pengkaji melihat dan merasai sendiri kehidupan harian mereka yang bergelar peniaga.
Berdasarkan kajian yang dilakukan, didapati bahawa ZBCRP sedang mengalami proses pembangunan dan perkembangan. Memandangkan ZBCRP menjadi satu destinasi pelancongan terutama ketika cuti sekolah dan cuti umum menjadi ZBCRP dikenali oleh masyarakat di Malaysia dan Thailand. Dapat dijelaskan melalui kajian bahawa tahap ekonomi peniaga berada pada tahap yang baik.
Text
Bahasa Melayu
Pembelajaran bahasa Melayu melalui kaedah penterjemahan
Abstrak
Pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga bukanlah satu langkah yang baru oleh Kementerian Pendidikan Singapura bagi memperkenalkan bahasa Melayu kepada bukan Melayu. Langkah ini merupakan satu usaha oleh mereka untuk memartabatkan bahasa Melayu, disamping merapatkan lagi jurang antara mereka yang berbangsa Melayu dan bukan melayu. Dalam kajian ini, pengkaji telah memberikan tumpuan kepada pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga melalui kaedah penterjemahan. Kajian ini telah dilakukan ke atas sepuluh orang pelajar cina yang mengambil bahasa Melayu di bawah Malay Special Programme. Hasil terjemahan yang dilakukan oleh pelajar telah dianalisis mengikut teori analisis kesilapan. Ini bagi mengenal pasti kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh pelajar dalam proses menterjemahkan teks bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Selain daripada itu, pengkaji juga telah menganalisis kaedah penterjemahan yang digunakan oleh pelajar, dan ini terbahagi kepada dua, iaitu kaedah terjemahan formal dan kaedah terjemahan dinamik. Pengkaji berharap agar kajian ini dapat membantu bukan sahaja guru-guru, tetapi juga pengkaji-pengkaji pada masa hadapan dalam menjalankan pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga. Pengkaji juga berharap agar kajian ini dapat di kembangkan bagi melestarikan bahasa Melayu.
Text
Bahasa Melayu
Analisis retorik : Satu kajian terhadap teks ucapan politik Mahathir Mohamad dari segi skema dan trope
Abstrak
Kajian ini adalah satu usaha untuk mengenal pasti retorik gaya yang digunakan dalam teks ucapan politik Mahathir Mohamad. Tujuan asas kajian ini adalah untuk mengenal pasti dan seterusnya menghuraikan secara sistematik dari segi kualitatif dan kuantitatif skema dan trope yang dimanfaatkan dalam teks ucapan yang dikaji. Retorik gaya yang digunakan ialah skema dan trope daripada Model Corbett (1971). Selain itu, kajian yang dilakukan juga untuk melihat perbandingan gaya yang digunakan dalam kedua-dua buah teks ucapan.
Kajian ini adalah berdasarkan kaedah kepustakaan dan tiada kajian lapangan dilakukan. Kajian ini menggunakan dua buah ucapan politik Mahathir yang telah dipilih. Kedua-dua ucapan politik itu ialah ucapan politik Mahathir di Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2001 dan 2002. Kedua-dua buah teks ucapan ini telah dicerakinkan menjadi ayat supaya mudah dijadikan bahan kajian. Selain daripada itu, kaji ini juga telah menggunakan kaedah huraian alternatif dan kaedah kuantitatif. Kaedah huraian alternatif telah digunakan untuk mencerakinkan teks ucapan yang dipilih kepada beberapa ayat supaya pengkaji mudah untuk menganalisis teks tersebut. Kaedah ini juga digunakan untuk melihat penggunaan skema dan trope pada setiap ayat yang telah dicerakinkan. Kaedah kuantitatif pula digunakan untuk mengira peratus penggunaan skema dan trope dalam bahan kajian. Peratus dan juga bilangan yang telah dikira seterusnya dihuraikan dalam bentuk graf dan carta.
Berdasarkan teori Corbet (1971), terdapat empat jenis skema dan 11 subgolongannya serta 16 jenis trope yang telah dikenali pasti untuk diaplikasikan di dalam teks ucapan. Namun begitu, tidak semua jenis skema dan trope ada pada kedua-dua teks ucapan, namun tidak menjejaskan hasil analisis yang telah dilakukan. Kesemua jenis skema dan trope yang telah dikenali pasti akan dihuraikan bersama-sama dengan contoh yang telah dijumpai pada teks ucapan tersebut.
Secara keseluruhannya, gaya retorik yang disampaikan oleh Mahathir telah memperlihatkan bahawa ucapan politik Melayu mempunyai gaya yang tersendiri. Gaya retorik digunakan supaya dapat memikat lebih ramai khalayak dan juga pendengar untuk mendengar ucapan atau kata-kata yang disampaikan itu. Selain daripada itu, tujuan gaya retorik digunakan juga adalah untuk mempelbagaikan lagi gaya bahasa di dalam ucapan supaya menjadi lebih menarik.
Text
Sosio budaya Melayu
Etnografi ladang : kajian kes di Ladang Basir Ismail, Kota Tinggi, Johor
Abstrak
Etnografi merupakan satu laporan yang berkaitan dengan kebudayaan yang diperoleh melalui penyelidikan dalam tempoh masa tertentu. Kajian tentang etnografi telah diperluaskan dalam pelbagai bidang oleh pengkaji luar negara atau tempatan. Dengan itu, pengkaji juga tidak terlepas daripada melakukan kajian etnografi. Namun bidang dan aspek yang dikaji adalah berlainan. Kajian yang dijalankan oleh pengkaji adalah berkaitan dengan etnografi ladang. Kajian ini membincangkan etnografi ladang yang dilakukan di ladang Basir Ismail, Kota Tinggi, Johor. Kajian ini mengkaji dan meneliti sosio-budaya masyarakat ladang di kawasan kajian kes.
Kajian ini meliputi aspek latar belakang tempat kajian dan organisasi, aspek sosial, aspek ekonomi, aspek budaya, aspek politik dan kepimpinan, aspek agama dan kepercayaan, dan aspek warisan tinggalan zaman dahulu yang masih terdapat di ladang berkenaan. Kesemua aspek ini adalah berdasarkan masyarakat yang dikaji.
Dalam aspek latar belakang tempat kajian dan organisasi akan membincangkan sejarah awal pembukaan ladang, asal usul nama ladang, dan beberapa aspek infrastruktur ladang, serta latar belakang organisasi yang terlibat dalam operasi ladang tersebut.
Bagi aspek ekonomi pula, pengkaji akan membincangkan jenis-jenis pekerjaan, gaya hidup masyarakat dan sistem pemilikan harta, manakala dalam aspek budaya akan membincangkan mengenai budaya Melayu yang diamalkan oleh masyarakat ladang tersebut.
Berikutnya, aspek sosial akan membincangkan segala aktiviti sosial yang dilakukan oleh masyarakat di ladang, manakala aspek politik dan kepimpinan, pengkaji akan mengkaji kepimpinan dalam agama dan magis, dan kepimpinan dalam politik.
Selain itu, dalam aspek agama dan kepercayaan pula, pengkaji akan membincangkan ketua agama pada peringkat ladang dan kepercayaan masyarakat Melayu terhadap kuasa luar biasa (animisme). Secara keseluruhannya, kajian ini menghasilkan profil ladang dalam semua aspek sosial-budaya yang terdapat di ladang tersebut.
Text
Sosio budaya Melayu
Kesan teknologi moden dalam pembuatan makanan tradisi Melayu : Kajian kes budu
Abstrak
Kajian ini akan menghuraikan tentang kesan teknologi moden dalam pembuatan makanan tradisi Melayu dengan penumpuan kepada budu. Perubahan teknologi moden bukan hanya melibatkan aspek alatan tetapi turut melibatkan aspek kehidupan dan budaya dalam masyarakat Melayu. Perubahan atau kesan dari teknologi moden dalam pembuatan makanan tradisi Melayu dapat dilihat daripada proses pembuatan budu dan hubungan sosial dalam masyarakat Melayu.
Objektif kajian akan melihat daripada dua aspek iaitu aspek material dan bukan material. Aspek material akan dilihat daripada proses-proses pembuatan budu dimana melibatkan alatan dan juga tenaga kerja yang digunakan. Manakala dari aspek bukan material dijelaskan kesan perubahan teknologi ke atas hubungan sosial dalam masyarakat Melayu.
Perubahan-perubahan ini telah mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu secara keseluruhannya. Perubahan yang tercetus dari kemasukan teknologi moden ini telah menghakis amalan-amalan yang menjadi kebiasaan masyarakat Melayu. Kajian ini akhirnya dapat membuktikan terdapat perubahan yang berlaku dalam masyarakat Melayu disebabkan oleh kemasukan teknologi moden.
Text
sastera Melayu
Analisis ayat majmuk dalam novel ‘Atas Nama Cinta’
Abstrak
Kajian ini dilakukan berasaskan penggunaan ayat majmuk di dalam novel “Atas Nama Cinta’ hasil tulisan Isa Kamari. Pengkaji memilih untuk membuat suatu kajian ayat majmuk kerana setakat ini, tidak banyak kajian yang dilakukan tentang bidang ini. Bukan itu sahaja, pengkaji juga ingin melihat kepelbagaian penggunaan ayat majmuk yang terdapat di dalam novel ini.
Kajian ini dibuat dengan mengenalpasti jenis-jenis dan kekerapan penggunaan ayat majmuk yang terdapat di dalam novel. Daripada data-data yang telah dikumpulkan, pengkaji akan mengkategorikan ayat-ayat majmuk ini mengikut jenis-jenisnya.
Bab pertama, selaku bab pengenalan kepada kajian ini menerangkan ruang lingkup dan juga aspek-aspek kajian ini seperti objektif kajian,bidang dan sumber kajian, dan pendekatan yang ingin diambil untuk menjalankan kajian ini. Bukan itu sahaja, pengkaji juga telah mengetengahkan pendapat tokoh-tokoh lain seperti Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba), Abdullah Hassan, Arbak Othman dan Asmah Haji Omar tentang bidang kajian yang ingin dilakukan. Kepakaran tokoh-tokoh tersebut dalam bidang bahasa Melayu telah terbukti dan diiktiraf oleh semua pihak baik di dalam negeri mahu pun di luar negara.
Di dalam bab kedua pula, pengkaji telah mengupas kajian-kajian lalu yang mempunyai hubungan dengan kajian tentang ayat majmuk. Kajian-kajian yang telah dikupaskan menunjukkan kepelbagaian daripada sudut penganalisisan ayat majmuk, daripada segi lisan kepada bahasa Melayu klasik. Setelah membaca dan memahami kajian-kajian ini, pengkaji sedikit sebanyak memperoleh pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang kajian yang ingin dilakukan.
Bab yang ketiga pula membincangkan tentang pendekatan yang telah diambil oleh pengkaji untuk melaksanakan kajian ini. Pengkaji telah mengambil pendekatan yang digunakan oleh Nik Safiah Karim di dalam bukunya,Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Di dalam bab ini, konsep ayat majmuk telah diterangkan dengan jelas dan contoh-contoh ayat bagi setiap jenis ayat majmuk juga diberikan huraian dengan selengkapnya.
Bab yang keempat memperlihatkan pengkaji menggunakan konsep Tatabahasa Transformasi Generatif yang dipelopori oleh Noam Chomsky untuk melihat proses sesuatu ayat ditransformasikan daripada satu struktur kepada struktur yang lain. Pengkaji telah menunjukkan contoh-contoh tentang beberapa ayat yang terdapat di dalam novel melalui proses pengguguran unsur kata, penyusunan unsur kata dan penambahan unsur kata. Pengkaji juga telah menunjuk bagaimana proses transformasi ini berlaku melalui kaedah rajah pohon.
Pada bab kelima, rumusan mengenai seluruh kajian yang telah dilakukan tentang gambaran keseluruhan jenis-jenis ayat majmuk yang terdapat di dalam novel telah dihuraikan. Jadual serta carta juga telah ditunjukkan untuk menunjukkan taburan dan kekerapan kehadiran pelbagai jenis ayat majmuk yang terdapat di dalam novel.
Pada bab yang terakhir, pengkaji telah mengongsisama penemuan-penemuan baharu daripada kajian yang telah dijalankan. Pengkaji juga telah memberikan beberapa cadangan-cadangan agar standard penggunaan ayat majmuk ini dapat dikekalkan untuk generasi yang akan datang.
Text
Sosio budaya Melayu
Muzium negeri Terengganu : Peranannya dalam pembangunan industri pelancongan
Abstrak
Sejarah sangat penting sesebuah masyarakat kerana sejarah memberitahu kita apa yang telah berlaku pada masa lalu. Sejarah juga mengajar kita apa yang berlaku sekarang dan sejarah juga akan memandu kita menuju masa depan yang gemilang. Salah satu tempat yang terkenal di sesebuah negeri atau negara yang mempunyai nilai sejarah dan menjadi tarikan pelancong ialah muzium.
Muzium ialah sebuah institusi yang berperanan dalam mengumpul, menyelidik, mendokumen, menginterpretasi, dan mempamerkan warisan budaya sesebuah masyarakat, seperti bukti-bukti sejarah berhubung dengan manusia dan persekitarannya. Aktiviti-aktiviti inilah yang mengekalkan fungsi sesebuah muzium yang dulu juga dikenali sebagai ‘sekolah gambar’ dan juga ‘gedung budaya’.
Muzium bukan sahaja berperanan dalam mengumpul dan mempamerkan artifak-artifak yang mempunyai nilai sejarah, tetapi berperanan besar dalam industri pelancongan sesebuah tempat. Setiap tempat mempunyai warisan budaya yang unik dan berlainan dengan tempat lain. Oleh sebab itu, muzium perlu dipelihara dengan baik kerana ia menyimpan 1001 nilai sejarah budaya masyarakat setempat yang tiada bandingnya selain berperanan menarik kedatangan pelancong ke tempat tersebut dan sekaligus membantu meningkatkan ekonomi sesebuah negara. Ini kerana semua warisan budaya sesebuah tempat tersimpan di situ.
Kajian ini membincangkan peranan Kompleks Muzium Negeri Terengganu dalam pembangunan industri pelancongan di Terengganu. Beberapa perkara lain berkaitan dengan muzium tersebut juga diterangkan, seperti sejarah pembinaan muzium, susun atur pengurusan, masalah-masalah yang dihadapi muzium, dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut.
Text
Perbezaan nilai-nilai kebudayaan orang asli tentang pelajaran : Kajian kes masyarakat Semai Bt. 14 Jalan Pahang Cameron Higlands
Abstrak
Penyelidikan pengkaji ini adalah sebuah penyelidikan dalam merungkai sistem pembelajaran masyarakat orang asli yakni sebuah sistem pembelajaran yang berbeza dengan sistem pembelajaran formal yang ada dalam negara ini. Perbezaan tersebut adalah kerana penerapan nilai tentang pelajaran dalam kedua-dua sistem tersebut berbeza dan saling bercanggah antara satu sama lain.
Justeru penyelidikan pengkaji ini adalah bertujuan melihat bagaimana penerapan nilai tersebut berbeza dalam sistem pembelajaran masyarakat orang asli dan sistem pembelajaran formal yang akhirnya ia saling bercanggah antara satu sama lain dalam memahami sistem nilai pelajaran masyarakat orang asli khususnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengurusan artifak etnologi : Satu kajian terhadap Muzium Sarawak
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang pengurusan artifak di Muzium Sarawak dan kajian ini tertumpu di Muzium Sarawak Bangunan Lama, Kuching, Sarawak. Matlamat utama kajian ini adalah untuk memahami dan merakamkan proses-proses pengurusan artifak etnologi yang ditugaskan kepada Jabatan Muzium Sarawak. Diharapkan adanya kepengurusan artifak yang baik akan berguna untuk memelihara pelestarian warisan budaya sepanjang sejarah negeri Sarawak. Kajian membuktikan peranan yang dimainkan oleh Muzium Sarawak dalam memulihara artifak etnologi amat besar dan amat berkesan. Hal ini terlihat daripada prosedur pengurusan artifak yang bersesuaian dalam mengekalkan hayat artifak yang ada di Muzium Sarawak.
Text
Sosio budaya Melayu
Perniagaan tani : Satu kajian kes di Pasar Sehari Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu
Abstrak
Pertanian bukanlah suatu perkara yang asing dalam lumrah kehidupan masyarakat Melayu. Aktiviti pertanian sentiasa sahaja berlaku, iaitu sejak dari zaman nenek moyang kita lagi dan berterusan sehingga sekarang. Apatah lagi jika ditinjau akan kehidupan masyarakat Melayu yang berada di kawasan pedalaman, rata-rata kebanyakan daripada mereka adalah terdiri daripada golongan tani.
Sumber ekonomi utama yang menjana pendapatan kepada mereka ialah penjualan hasil tani yang dihasilkan secara langsung dan ia tidak melibatkan golongan tengah yang sentiasa cuba mengambil kesempatan untuk memperoleh keuntungan hasil daripada titik peluh petani.
Dalam era globalisasi kini, pertanian dianggap sebagai satu perniagaan. Peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan, khususnya oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas tani, yang mewujudkan kesedaran bahawa “ pertanian adalah perniagaan” Menggambarkan komitmen tinggi kerajaan dalam memperkasakan pertanian baharu dan membudayakan pertanian sebagai perniagaan.
Kajian ini dilakukan oleh setelah mengamati sendiri situasi yang berlaku dalam kegiatan perniagaan yang dijalankan di Pasar Bandar Kuala Berang. Tumpuan terarah kepada golongan petani Melayu yang menjual sendiri hasil tani mereka secara terus kepada pengguna. Lokasi spesifik kajian ialah di Pasar Sehari Bandar Kuala Berang yang menjadi salah satu pusat aktiviti ekonomi utama orang Melayu, khasnya mereka yang menetap di kawasan pedalaman Hulu Terengganu.
Text
Sosio budaya Melayu
Dampak industri pelancongan terhadap sosioekonomi-budaya : Satu kajian kes di Pulau Langkawi
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang dampak industri pelancongan terhadap sosioekonomi-budaya penduduk tempatan di Pulau Langkawi khususnya di mukim padang matsirat.Tiga buah kampung telah dipilih sebagai sampel iaitu Kampung Kuala Teriang, Kampung Batu Ara dan Kampung Beras Terbakar. Kajian menggunakan kaedah. Kajian menggunakan kaedah perpustakaan dan kajian lapangan. Kajian lapangan yang dijalankan termasuklah soal selidik, pemerhatian turut serta, temubual, dan teknik analisis data.
Responden yang terlibat terdiri daripada masyarakat tempatan yang masih kental dengan nilai-nilai budayanya dan masih mengamalkan kegiatan ekonomi tradisi seperti nelayan dan petani (pesawah). Responden ini dipilih secara rawak oleh pengkaji. Kajian pengkaji mendapat pelbagai maklum balas daripada soal selidik yang dijalankan. Hasil kajian yang dilakukan didapati terdapat beberapa kesan positif berupa peningkatan penghasilan tetapi sebaliknya ada unsur-unsur negatif yang timbul akibat interaksi masyarakat tempatan dengan pelancongan berbentuk nilai-nilai budaya yang telah menurun.
Text
Kesenian Melayu
Seni ukiran meriam : Manifestasi falsafah dan pemikiran masyarakat Melayu
Abstrak
Seni ukiran meriam merupakan salah satu hasil kesenian masyarakat Melayu tradisional. Ia merupakan salah satu alat atau material yang telah digunakan oleh masyarakat Melayu bagi mencapai maksud dan tujuan pada ketika itu iaitu dalam peperangan. Mereka telah mencipta alat material ini bagi memenuhi keperluan asas dan kemudiannya disesuaikan penggunaannya mengikut masa dan zaman. Kini, meriam hanya dijadikan sebagai lambang kemewahan dan kekuasaan seseorang pemerintah.
Meriam mempunyai peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu. Peranan inilah yang membezakan penggunaannya pada masa dahulu dan sekarang. Selain sebagai alat material, meriam dijadikan sebagai salah satu sumber komunikasi bagi menyampaikan nasihat dan panduan kepada masyarakatnya. Melalui alat ini, falsafah dan pemikiran masyarakat tradisional dapat dinilai dan dianalisis. Nasihat dan pengajaran yang disampaikan bertujuan untuk kesejahteraan dan keharmonian masyarakat terutamanya dalam pembentukan keluarga yang sempurna. Meriam mempunyai masa depan yang baik jika dipelihara dan dikekalkan. Meriam perlu dikekalkan sama ada di muzium, kota, istana, dan balai polis. Pengekalannya perlu bagi memastikan tamadun manusia dapat dibuktikan melalui penghasilan material ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Pendapatan petani yang menyewa tanah untuk pertanian padi : Satu kajian kes di beberapa buah kampung di Daerah Besut, Terengganu
Abstrak
Aktiviti pertanian sememangnya sangat sinonim masyarakat Melayu yang tinggal di luar bandar kerana kegiatan pertanian merupakan aktiviti tradisi masyarakat Melayu untuk menampung kehidupan harian mereka.hal ini kerana masyarakat Melayu tradisi tinggal di luar bandar sejak dahulu sehingga penjajahan British dan sehingga sekarang, yang mana majoriti penduduk di luar bandar ialah orang-orang Melayu. Antara pertanian yang dilakukan ialah tanaman padi, getah, kelapa sawit, nelayan dan sebagainya.
Pertanian padi merupakan aktiviti pertanian yang utama kerana beras merupakan makanan ruji masyarakat di Malaysia.Pendapatan golongan ini masih lagi ditaraf yang rendah jika hendak dibandingkan dengan sektor lain.
Kajian yang akan dijalankan ini adalah untuk melihat pendapatan dan juga kos pengeluaran yang terpaksa ditanggung oleh petani yang menyewa tanah untuk tanaman padi ini. Hal ini kerana petani ingin membesarkan saiz milikan tanah untuk tanaman padi supaya mendapat hasil yang tinggi dan juga mengusahakan tanah yang terbiar yang mana tuan tanah sudah tidak lagi mampu untuk mengerjakan tanah tersebut, manakala anak-anak pula tidak mahu mewarisi pekerjaan tersebut.
Kajian ini dilakukan di beberapa buah kampung yang berada dalam daerah Besut, Terengganu, iaitu Kampung Apal, Kampung Batang gergaji dan juga Kampung Pohon Ta. Yang mana di kawasan kajian ini masih ramai petani yang menyewa tanah untuk pertanian padi.
Text
Fonologi bahasa Kerinchi : Satu kajian di Kampung Kerinchi
Abstrak
Kajian yang dilakukan ini adalah tentang bahasa Kerinchi. Kajian ini tertumpu kepada aspek fonologi bahasa Kerinchi. Secara amnya, fonologi merupakan bidang yang mengkaji bunyi-bunyi bahasa. Dalam kajian ini, sistem vokal dan konsonan yang terdapat dalam bahasa Kerinchi turut dilihat. Penjenisan setiap vokal juga dilihat sama ada vokal-vokal tersebut terdiri daripada vokal hadapan, vokal tengah atau vokal belakang. Hal yang sama turut dilihat bagi bunyi-bunyi konsonan bahasa Kerinchi, iaitu sama ada terdapatnya bunyi plosif, afrikat, palatal, nasal dan lain-lain. Disamping itu, tinjauan juga dibuat berdasarkan kepada penyebaran vokal dan konsonan yang terdapat dalam bahasa tersebut, sama ada boleh hadir di awal kata, tengah kata, dan akhir kata. Kajian ini turut menyentuh tentang bunyi-bunyi diftong yang terdapat dalam bahasa Kerinchi. Selain itu, kajian ini turut membincangkan tentang rangkap fonem yang terbahagi kepada rangkap vokal dan rangkap konsonan. Seterusnya, kajian turut melihat proses perubahan fonologi bahasa Kerinchi. Proses perubahan yang diteliti adalah seperti kesejajaran fonem, penggantian, pendiftongan, penasalan dan sebagainya.
Text
Sosio budaya Melayu
Perusahaan tembikar di Sayong, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai perusahaan tembikar di Sayong, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Dalam kajian ini dinyatakan perusahaan tembikar secara umum di Malaysia, dengan fokus kepada perusahaan tembikar di Sayong. Maklumat berkenaan latar belakang pengusaha dan perusahaannya turut dimuatkan. Seterusnya dibincangkan perubahan dan perkembangan yang berlaku dalam perusahaan tembikar ini, dengan penekanan kepada aspek pembuatan, alat dan bahan, serta teknologi terkini yang digunakan. Akhir sekali dinyatakan sedikit sebanyak perancangan bagi memajukan lagi industri tersebut.
Text
Kesenian Melayu
Sejarah perkembangan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dari Akademi ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT)
Abstrak
Kajian ini tertumpu kepada sejarah perkembangan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang dahulunya dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Ia merupakan satu-satunya institusi yang fokus kepada bidang seni dan budaya semata-mata. Penulis akan memaparkan kronologi peristiwa yang dilalui sebalik penubuhan institusi tersebut. Tujuannya adalah mendedahkan kepada masyarakat, akibat kurangnya maklumat berkenaan aspek tersebut.
Penulis juga akan menunjukkan peranan yang dimainkan Aswara sebelum dan selepas dinaiktarafkan menjadi Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Aswara ditadbir sepenuhnya oleh Kementerian Perpaduan Kebudayaan dan Kesenian Warisan (KPKKW). Inilah yang sering menjadi tanda tanya masyarakat. Pada kebiasaannya, sesebuah institusi yang berkaitan dengan bidang pendidikan akan dinaungi oleh kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Penulis akan menghuraikan konflik yang dihadapi oleh Aswara dalam meneruskan peranannya.
Di sebalik konflik yang dihadapi ini, Aswara terus giat berkembang. Ini dapat dibuktikan melalui pencapaian demi pencapaian yang diraihnya. Pencapaian yang diraihnya bukan sahaja di peringkat dalam negara, malahan turut melintasi sempadan antarabangsa. Keadaan ini amat membanggakan negara. Selain itu, tindakan Aswara yang mengetengahkan nilai seni budaya tradisional pelbagai kaum dalam pembelajaran dan pengajarannya merupakan tindakan yang wajar dipuji. Ini kerana, budaya warisan tradisional ini mempunyai nilai seni yang tinggi.
Pendekatan yang diambil oleh Aswara dalam pengajarannya juga berbeza dengan kebanyakan IPT lain. Ini kerana Aswara lebih menekankan kepada aspek praktikal berbanding teori. Tujuannya ialah memberikan situasi sebenar kepada para pelajarnya dengan alam pekerjaan. Keadaan ini akan melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dan berketerampilan. Pelbagai usaha telah diambil untuk memantapkan lagi pelaksanaan Aswara dalam memartabatkan bidang seni dan warisan ini. Usaha yang paling ketara ialah melalui Pelan Strategik Aswara 2008-2016 yang dilihat sebagai perancangan yang paling sistematik dalam merangka perkembangan Aswara.
Diharapkan kajian ini berupaya membantu memberikan maklumat kepada masyarakat umum berkaitan Aswara yang memainkan peranan penting dalam memartabatkan seni budaya warisan. Banyak manfaat di sebalik penubuhan Aswara ini. Oleh yang demikian, penubuhannya adalah wajar dan bersesuaian dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK).
Text
Sosio budaya Melayu
Pengangkut air dan pembangunan jabatan : satu kajian kes perkhidmatan Feri Pulau Pinang
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang aspek perkhidmatan feri Pulau Pinang. Kajian ini dilihatkan berdasarkan persaingan perkhidmatan feri di Pulau Pinang dengan Jambatan Pulau Pinang sebagai satu laluan untuk menyeberangi Tanah Besar ke bahagian pulau atau sebaliknya. Kajian menggunakan kaedah perpustakaan dan kajian lapangan. Kajian lapangan yang dijalankan termasuklah soal-selidik, pemerhati turut serta, temubual dan teknik analisis data.
Responden yang terlibat dalam kajian selidik terdiri daripada pengguna feri sama ada penumpang pejalan kaki dan penumpang feri berkenderaan. Responden ini dipilih secara rawak oleh pengkaji. Data kajian pengkaji mendapat pelbagai maklum balas daripada soal selidik yang dilakukan. Hasil kajian menunjukkan feri dan Jambatan Pulau Pinang ini saling berkaitan dalam memenuhi tuntutan masyarakat.
Text
Perubatan tradisional : Satu kajian kes terhadap penggunaan khidmat bomoh di kalangan golongan berpendidikan tinggi di Kelantan
Abstrak
Latihan ilmiah ini mengandungi enam bab. Dalam bab yang pertama iaitu bab pengenalan terkandung objektif kajian iaitu melihat penggunaan khidmat bomoh di kalangan golongan berpendidikan di Kelantan. Juga dimasukkan permasalahan kajian skop kajian, metodologi kajian iaitu pengkaji menggunakan beberapa kaedah kajian dalam mengumpulkan maklumat bagi mencapai objektif kajian. Dalam bab satu juga terkandung takrif dan konsep-konsep yang berkaitan dengan kajian serta dimuatkan kajian-kajian lepas.
Bab dua pula mengandungi latar belakang kajian yang menjuruskan kepada asal usul perubatan tradisional Melayu, unsur-unsur yang mempengaruhi perubatan tradisional ini iaitu pengaruh animisme, Hindu-Buddha dan Islam. Dalam bab ini juga disenaraikan jenis-jenis bomoh yang ada dalam bidang perbomohan ini, pendidikan di kalangan bomoh serta cara mendapatkan ilmu perbomohan iaitu dibahagikan kepada empat cara, yang pertama melalui pewarisan, kedua menuntut, ketiga melalui mimpi/ilham dan yang keempat melalui objek-objek tertentu. Dalam bab ini juga turut diselitkan tentang teknik-teknik pengubatan yang biasa digunakan dalam perbomohan, amalan-amalan yang dibenarkan dan dilarang dalam perbomohan ini.
Manakala dalam bab ketiga terkandung profil empat orang bomoh di Kelantan yang telah ditemubual oleh pengkaji. Seterusnya bab keempat merupakan bab analisis soal selidik berdasarkan borang soal selidik yang menyenaraikan soalan-soalan yang menjurus kepada objektif kajian yang telah ditandakan oleh 40 orang responden yang telah dianalisis dan diterjemahkan dalam bentuk jadual dan graf. Bab kelima merupakan bab perbincangan yang telah dibuat berdasarkan kepada jawapan responden melalui soal selidik yang telah diedarkan. Bab terakhir adalah merupakan rumusan dan kesimpulan secara menyeluruh berdasarkan keseluruhan kajian ini.
Dalam kajian ini pengkaji memasukkan ilmu tentang perubatan tradisional Melayu yang menjuruskan kepada perbomohan. Kajian ini adalah khusus bagi melihat penggunaan khidmat bomoh di kalangan golongan yang berpendidikan tinggi di Kelantan. Pengkaji telah menggunakan kaedah-kaedah yang difikirkan sesuai bagi mendapat maklumat yang menjuruskan kepada objektif kajian. Hasil maklumat yang diperolehi telah dianalisis dan diterjemahkan dalam bentuk yang mudah difahami oleh pembaca. Perbincangan juga telah dibuat bagi mengukuhkan dan menyokong objektif yang dibuat berdasarkan jawapan daripada borang soal selidik. Daripada borang soal selidik inilah pengkaji menganalisis maklumat dan membuat perbincangan bagi mendapatkan jawapan kepada objektif yang telah dibuat.
Secara keseluruhan, pengkaji telah mendapat maklumat sewajarnya berkaitan dengan bidang kajian membuktikan objektif yang telah dibuat. Namun, penyelidikan lebih mendalam boleh dilakukan dalam memperlihatkan signifikan kajian ini dengan masyarakat kini.
Text
Sosio budaya Melayu
Main Puteri : Suatu teknik perubatan dalam masyarakat Melayu Kelantan
Abstrak
Kajian yang dilakukan oleh pengkaji adalah mengenai persembahan Main Puteri yang digunakan untuk mengubati keuzuran yang dialami oleh pesakit yang berpunca daripada makhluk halus. Perubatan yang dijalankan ini masih lagi diamalkan oleh kebanyakan masyarakat yang masih mempercayai terhadap perubatan tinggalan nenek moyang kita dahulu. Perubatan dengan cara persembahan Main Puteri ini dipercayai mampu mengubati pesakit daripada gangguan makhluk halus menggunakan teknik perubatan tertentu.
Bagi membuktikan persembahan Main Puteri mampu merawat dan menyembuhkan penyakit yang berpunca daripada makhluk halus, kajian yang terperinci harus dilakukan untuk membuktikan kebenarannya. Oleh itu, pengkaji menjalankan kajian terhadap persembahan Main Puteri yang diadakan di Kampung Pauh Sembilan, Bachok, Kelantan. Kajian ini menuntut pengkaji untuk sama-sama menyertai persembahan Main Puteri yang diadakan untuk melihat sendiri persembahan yang dijalankan. Penyertaan pengkaji dalam persembahan ini membantu pengkaji mengutip maklumat yang pengkaji perlukan untuk melengkapkan hasil kajiannya. Selain itu, pengkaji turut menemui golongan yang arif dalam persembahan Main Puteri bagi maklumat tentang Main Puteri . Maklumat-maklumat ini penting bagi pengkaji untuk mengukuhkan lagi pengetahuan yang sedia ada tentang persembahan main Puteri.
Berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi, pengkaji akhirnya dapat mencapai matlamat kajiannya apabila berjaya mengutip maklumat yang diperlukan untuk kajiannya. Daripada kajian yang dihasilkan, pengkaji menemui penemuan baru mengenai persembahan Main Puteri dalam mengubati penyakit yang berpunca daripada makhluk halus. Akhirnya terbukti bahawa Main Puteri mampu mengubati penyakit seseorang yang berpunca daripada makhluk halus.
Text
Sosio budaya Melayu
Pekerja asing dalam sektor perladangan kelapa sawit : Kajian kes di Ladang Tunjuk Laut, Kota Tinggi, Johor
Abstrak
Latihan ilmiah ini adalah berkaitan dengan pekerja asing Indonesia yang terlibat dan bekerja dalam sektor perladangan. Kajian kes telah dilakukan di Ladang Tunjuk Laut, Kota Tinggi, Johor.
Pada peringkat permulaan, pengkaji menjelaskan mengenai bidang kajian yang dilakukan dan metodologi yang digunakan. Pengkaji juga turut menjelaskan mengenai sejarah penghijrahan pekerja asing ke Malaysia dan tumpuan lebih kepada pekerja asing Indonesia. Banyak faktor yang telah memainkan dalam terjadinya proses migrasi ini iaitu yang terdiri dari faktor tolakan dari negara sendiri dan faktor tarikan pula faktor dari sesebuah negara lain yang menarik minat dan menjadi negara pilihan untuk melakukan migrasi.
Selain itu, diterangkan juga sejarah perusahaan dan penubuhan ladang kelapa sawit di malaysia dan tentang latar belakang kawasan kajian iaitu Ladang Tunjuk Laut. Organisasi kawalan yang terdiri daripada Johor Corporation, EPA Management Sdn.Bhd, dan Kulim (Malaysia) Berhad turut disertakan dalam kajian yang dilakukan. Pengkaji juga turut menyentuh mengenai prosedur pekerja asing Indonesia ini di ladang dan maklumat yang diperoleh mengenai mereka seperti sedikit latar belakang mereka.
Aspek ekonomi dan pekerjaan pula merangkumi aktiviti kerja yang dipecahkan kepada jenis pekerjaan, waktu bekerja, dan pengangkutan yang digunakan untuk bekerja. Berdasarkan kajian, pengkaji mendapati gaji yang diberikan kepada pekerja adalah berbeza iaitu terdiri daripada gaji hari, gaji borong, gaji penuaian buah sawit. Gaji yang diperolehi tersebut digunakan sebaiknya oleh pekerja asing Indonesia ini. Gaji tersebut digunakan untuk perbelanjaan seharian, simpanan peribadi, dan melakukan kiriman wang dikampung.
Dalam bab yang seterusnya disentuh mengenai aspek sosial. Kemudahan-kemudahan asas telah disediakan oleh pihak majikan. Kemudahan yang disediakan dapat memberi keselesaan dan kebajikan pekerja dijaga. Masa lapang mereka diisi dengan beberapa aktiviti seperti bersukan dan memancing. Berlaku juga hubungan sosial pekerja asing Indonesia ini dengan majikan, masyarakat setempat, rakan senegara, dan kampung halaman. Perancangan masa hadapan mereka pula, pengkaji mendapati majoriti dari mereka tidak berminat untuk menyambung kontrak bekerja.
Di akhir kajian pengkaji mendapati objektif kajian tercapai dan diselitkan juga mengenai isu pendatang asing yang semakin hangat diperdebatkan.
Text
Sosio budaya Melayu
Dinamika kepercayaan petani terhadap usaha padi sawah : Kajian kes di Kubang Pasu, Kedah
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang dinamika kepercayaan petani terhadap usaha padi sawah di Kubang Pasu , Kedah. Penyelidikan dilaksanakan pada cuti semester 2008 dengan menggunakan kaedah soal selidik, temuramah, pemerhatian ikut serta terhadap petani yang ditemuramah berdasarkan kaedah yang disebutkan itu.
Latihan ilmiah ini merangkumi gambaran umum tentang kegiatan pertanian, aktiviti ekonomi utama dan kemudahan, peranan agensi-agensi, proses-proses penanaman padi, perkaitan amalan pertanian dari masa ke semasa mengalami perubahan ke arah kemodenan. Manakala kepercayaan petani tradisi dalam hal-hal usaha bertani tradisi kadangkala boleh bertahan tetapi seringkali tidak boleh melawan arus perubahan itu. Agensi pembangunan dalam bidang pertanian memainkan peranan besar dalam pemodenan pertanian. Petani berusaha mengadaptasinya terhadap permodenan itu. Namun, dimana-mana jua kepercayaan petani tetap kekal terutama apabila petani berhadapan dengan prinsip budaya yang telah berakar umbi.
Text
Kesenian Melayu
Tarian Dabus: Satu tarian tradisional Negeri Perak Darul Ridzuan
Abstrak
Dalam kajian ini, setiap data atau maklumat yang di perolehi telah disusun oleh pengkaji mengikut pembahagian bab yang tertentu. Kajian ini keseluruhannya memuatkan 9 buah bab termasuk bahagian pengenalan. Setiap bab mempunyai bahagian-bahagian tajuk yang tertentu.
Bahagian pengenalan adalah Bab 1. Kajian ini yang mengandungi pendahuluan, permasalahan kajian, tujuan kajian, kajian lepas, dan metodologi kajian yang berfungsi memberi gambaran secara menyeluruh tetapi ringkas mengenai kajian ini.
Dalam Bab 2 pula, tumpuan kajian diberikan kepada kawasan kajian yang meliputi sejarah asal usul nama negeri dan juga daerah yang menjadi kawasan kajian pengkaji.
Dalam Bab 3 pula, kajian tertumpu dalam bidang Tarian Dabus itu sendiri. Antaranya ialah unsur dasar tari, elemen tari, dan pengertian tarian Melayu dan perkembangannya secara umum.
Dalam Bab 4, skop kajian ialah tentang Dabus sebagai satuntarian tradisi di Perak yang meliputi mengenai asal usul Tarian Dabus, sejarah dabus di Perak, dan persembahan Tarian Dabus.
Dalam Bab 5 pula, skop kajian adalah tentang lagu dalam Tarian Dabus dan juga jenis alat muzik yang digunakan bagi mengiringi Tarian Dabus. Dalam Bab 6, skop kajian lebih tertumpu tentang busana atau pakaian serta perhiasan diri yang dipakai oleh para penari.
Bab 7 pula menerangkan tentang pergerakan asas yang dilakukan oleh para penari serta cara-cara Dabus ditarikan. Dalam bab ini juga diterangkan Dabus yang berunsur ritual.
Bab 8, skop kajian ialah menerangkan tentang fungsi Tarian Dabus dalam masyarakat yang meliputi aspek hiburan, sosial, ekonomi, dan juga alat kesatuan masyarakat. Dalam bab akhir pula iaitu Bab 9 ialah kesimpulan atau rumusan secara menyeluruh.
Showing 101 to 150 of 285 results
Page
of 6
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->