Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (285 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Latihan ilmiah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Sosio budaya Melayu
Cabaran meneruskan perniagaan keluarga dalam kalangan masyarakat Melayu : Satu kajian kes di Pasar besar Siti Khadijah Kota Bharu, Kelantan
Abstrak
Perkembangan dalam bidang perniagaan kecil-kecilan sudah tidak dapat dinafikan lagi bahawasanya masyarakat Melayu mula memecah kepompong ketakutan mereka ke arah lebih berani dan ramai yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan kecil-kecilan ini. Keterlibatan mereka mula terserlah setelah tertubuhnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang banyak memberi kepentingan masyarakat Melayu.Masyarakat Melayu mula sedar bahawa kepentingan yang wujud dalam bidang ekonomi terutamanya dalam aktiviti perniagaan kepada mereka semakin meluas. Pada dahulunya orang Melayu dikenali dengan masyarakat kampung yang dilabelkan sebagai petani dan nelayan disebabkan tidak mempunyai kepandaian dalam perniagaan tetapi sekarang ini mereka sudah tidak lagi dianggap sedemikian kerana sudah ramai yang melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan kecil-kecilan.
Perkembangan orang Melayu dalam perniagaan cendawan tumbuh selepas hujan kerana sudah ramai dalam kalangan mereka yang berani menanggung risiko untuk terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam aktiviti perniagaan. Namun demikian, perniagaan orang Melayu belum berada dalam kedudukan yang memuaskan jika dibandingkan dengan kaum lain terutamanya orang cina. Dalam perbandingan antara perniagaan orang Melayu dengan perniagaan orang cina di Malaysia boleh diibaratkan sebagai orang Melayu sedang berjalan kaki namun orang cina sedang berlari tetapi masyarakat Melayu sudah melakukan perubahan walaupun jauh perbezaan di antara mereka.
Meskipun perkembangan dalam perniagaan belum berada di tahap yang betul-betul membanggakan tetapi, ianya merupakan satu perkembangan yang baik setelah ramai masyarakat Melayu berniaga, misalnya perniagaan kecil-kecilan di pasar Besar Siti Khadijah yang menjadi tumpuan kepada masyarakat Melayu sebagai tempat aktiviti perniagaan mereka. Kemajuan perniagaan di dalam PBSK disebabkan oleh masyarakat Melayu itu sendiri yang memanfaatkan kemudahan kawasan perniagaan sebagai tempat pemberian perkhidmatan oleh peniaga dan penerima kemudahan oleh pengunjung di Kota Bharu, Kelantan. Namun sebaliknya, dalam perkembangan aktiviti perniagaan di kawasan ini, terdapat juga cabaran-cabaran yang terpaksa mereka tempuhi sebelum memperolehi kejayaan dalam aktiviti perniagaan ini. Cabaran utama yang dihadapi oleh peniaga dalam perniagaan ini merupakan cabaran kepada anak-anak mereka sebagai generasi kedua yang akan meneruskan perniagaan tersebut atau cabaran kepada mereka sendiri yang tidak akan ada pengganti yang mampu meneruskan perniagaan kecil.
Aktiviti perniagaan di dalam Pasar Besar Siti Khadijah juga turut mengalami masalah-masalah yang berkaitan dengan masalah persaingan, masalah di kawasan kajian dan sampingan yang ditanggung oleh peniaga. Bagi mengatasi masalah ini, pengkaji mencadangkan beberapa langkah untuk mengatasi masalah tersebut seperti peniaga harus mengubah sikap mereka, tindakan pihak pengurusan pasar dan sikap bekerjasama peniaga untuk menjaga kawasan kajian. Oleh hal demikian, semua pihak harus bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing terutamanya Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan juga peranan antara peniaga itu sendiri yang harus bekerjasama dan bersatu di bawah bumbung Pasar Besar Siti Khadijah.
Text
Tarian muzik tradisi masyarakat melayu Perak : Dabus dan Bubu
Abstrak
Negeri Perak adalah merupakan sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber serta khazanah termasuk juga kesenian seperti tarian, muzik dan sebagainya yang masih diwarisi sejak dahulu sehingga kini khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu. Oleh itu satu kajian perlu diadakan berkaitan tarian muzik tradisi rakyat negeri Perak. Tujuan pengkajian ini adalah untuk mengkaji jenis , bentuk dan fungsi dalam tarian muzik tradisi negeri Perak. Berasaskan kepada tujuan ini pengkaji telah melaksanakan kajian menggunakan pendekatan kualitatif dari sudut yang tertentu beserta telah diguna pakai semasa pengumpulan data di lapangan. Lokasi kajian yang menjadi tumpuan utama adalah di Tanjong di daerah Teluk Intan termasuk juga Kampung Gajah Perak. Pengumpulan data di lapangan menggunakan instrumen temu bual dan sebagainya. Hasil penyelidikan mendapati dua jenis tarian yang masih dipersembahkan dan agak terkenal di negeri Perak iaitu Tarian Dabus dan Tarian Bubu. Di antara kedua-dua tarian ini, Tarian Dabus masih dianggap paling dominan dan terkenal dengan masyarakat Perak. Fungsi kedua-dua persembahan tarian ini sebagai hiburan semasa perkahwinan dan majlis rasmi. Hasil penyelidikan dijangka dapat memberi informasi tentang tarian muzik yang masih diamalkan dan dipersembahkan di negeri Perak dan juga diharap dapat dimanfaatkan oleh generasi seterusnya dalam melestarikan satu bentuk kesenian yang amat tinggi nilainya.
Text
Bahasa Melayu
Sikap dan motivasi dalam penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar darjah enam di Singapura
Abstrak
Kertas penyelidikan ini bertujuan untuk menganalisis tahap penguasaan bahasa murid-murid darjah 6 di Singapura yang dipengaruhi oleh sikap dan motivasi. Penyelidikan ini juga akan menganalisis hubungan sikap dan motivasi pelajar darjah 6 di Singapura terhadap pembelajaran bahasa Melayu serta bagaimana peranan guru, keluarga dan rakan sebaya dalam proses penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu. Responden penyelidikan terdiri daripada 50 murid dari Sekolah Rendah Telok Kurau di Singapura. Analisis statistik yang digunakan ialah kaedah compute dan Korelasi Spearman. Hasil dapatan penyelidikan menunjukkan bahawa responden mempunyai sikap yang positif terhadap bahasa Melayu. Penyelidikan ini juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang positif antara sikap dan motivasi yang tinggi mempunyai sikap yang positif manakala responden yang bermotivasi rendah mempunyai sikap yang negatif terhadap bahasa Melayu. Di samping itu, penyelidikan ini juga memperlihatkan bahawa kebanyakan responden mendapat motivasi yang tinggi dari guru mereka tetapi bukan dari keluarga dan rakan sebaya mereka. Hal ini membuktikan sebab kemerosotan pencapaian Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah pada tahun sebelumnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Penterjemahan budaya dan estetika dalam puisi
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan penterjemahan budaya dan estetika dalam puisi serta menggunakan teks-teks puisi Air Mata Mendidih, Pahlawan kemerdekaan, Serapah Pejuang Sastera, di bawah Bintang mengerdip dan Senja di Pelabuhan Kecil sebagai korpus utamanya. Dalam hal ini, kajian yang dijalankan secara khususnya meneliti teks-teks puisi yang diterjemahkan daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris.
Kajian yang diselenggarakan ini dilahirkan atas kesedaran ilmu penterjemahan puisi lazimnya berdiri atas daerah yang kabur serta jarang dibincang secara ilmiah. Namun demikian, penterjemahan puisi merupakan antara elemen terpenting dalam mengangkat karya-karya berbahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi dalam persada antarabangsa.
Disamping itu, kajian ini antara lainnya menerapkan pendekatan Peter Newmark (1988 & a988b) sebelum digandingkan dengan penilaian estetika dalam puisi dengan mengukur kesan emotif dan penstrukturan semula bahasa. Hasil daripada gabungan kedua-dua unsur utama tersebut, pengkaji telah menghasilkan sebuah model analisis unsur budaya dan estetika dalam puisi bagi menggariskan kajian yang dijalankan.
Hasil daripada kajian yang dijalankan, pengkaji sekali gus telah menghuraikan proses penterjemahan puisi, khususnya dalam penterjemahan karya-karya yang cenderung terhadap unsur budaya dan estetika yang tinggi. Di samping itu, pengkaji turut telah memberikan kritikan terhadap penterjemahan yang dibuat ke atas karya-karya yang disebutkan dalam latihan ilmiah ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Kesantunan leksikal dalam filem Ombak Rindu dan hubungannya dengan komunikasi berkesan
Abstrak
Kajian ini berfokus pada aspek kesantunan leksikal yang terdapat dalam dialog filem Ombak Rindu (2010), iaitu dialog antara dua watak utama filem tersebut. Kajian dalam bidang pragmatik yang dilakukan ini akan mengenal pasti padanan leksikal dengan berpandukan Tesaurus Bahasa Melayu Dewan Edisi Baharu (2010) dan juga Tesaurus Bahasa Melayu Dewan Edisi Kedua (2011). Dengan menganalisis data leksikal dan dua padanan katanya, di samping memberikan fitur makna binari [+] dan [-], ketepatan pemilihan leksikal yang digunakan dalam dialog filem Ombak Rindu akan dapat diperlihatkan. Selain itu, kajian ini juga akan mengaplikasikan model Prinsip Kesantunan Leech(1983) berdasarkan keenam-enam maksim dalam model tersebut. Terdapat 310 data analisis yang telah dikategorikan berdasarkan 11 jenis pengkategorian kata leksikal. Dapatan analisis menunjukkan bahawa hasil pemadanan data leksikal analisis komponen makna bagi setiap data leksikal, ketepatan pemilihan leksikal dalam dialog filem Ombak Rindu telah dipengaruhi oleh empat faktor utama, iaitu konteks peristiwa, latar belakang watak, struktur suku kata dan kekerapan penggunaan sesuatu kata dalam komunikasi seharian. Faktor konteks peristiwa (100 peratus) dan latar belakang watak (100 peratus) merupakan faktor yang paling dominan dalam menentukan ketepatan leksikal dalam dialog filem manakala faktor struktur suku kata (44.4 peratus) merupakan faktor yang paling kurang dominan. Dapatan analisis turut menunjukkan bahawa 167 (53.9 peratus) data leksikal telah mematuhi Prinsip Kesantunan Leech (1983) manakala sebanyak 143 946.1 peratus) data leksikal didapati tidak mematuhi prinsip kesantunan tersebut. Maksim kebijaksanaan (46.8 peratus) merupakan maksim yang paling dominan berdasarkan konteks penggunaan leksikal dalam dialog filem Ombak Rindu.
Text
Bahasa Melayu
Tahap penguasaan imbuhan apitan kata kerja bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar Tingkatan 5
Abstrak
Kajian ini cuba mengenal pasti tahap penguasaan imbuhan apitan kata kerja dalam kalangan pelajar-pelajar Melayu Tingkatan 5. Terdapat tiga tujuan khusus dalam kajian ini, yang masing-masing mempunyai persoalan tersendiri pula, iaitu kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan bentuk, aspek makna dan konteks penggunaan imbuhan apitan kata kerja dalam kalangan sampel-sampel kajian.
Tahap kajian penguasaan bahasa pertama ini turut mengaplikasikan teori pemerolehan bahasa yang popular, iaitu teori behaviorisme dan mentalisme, terutamanya dalam sesi pengajaran. Sesi pengajaran berkenaan imbuhan apitan kata kerja telah dilakukan pengkaji terhadap sampel-sampel kajian sebanyak dua kali, iaitu jumlah yang paling minimum. Data mentah pula diperoleh pengkaji dengan membuat ujian pengukuran tahap penguasaan imbuhan apitan kata kerja. Di samping itu, pengkaji juga melakukan kajian rintis sebelum kajian sebenar berlaku.
Hasil daripada analisis data yang dibuat, pengkaji mendapati tahap penguasaan imbuhan apitan kata kerja pelajar-pelajar Melayu Tingkatan 5 SMKDARA adalah di tahap yang baik. Dari segi bentuk imbuhan yang dikenali dan diketahui, tahap penguasaan sampel kajian tersebut berada tahap yang memuaskan. Hal ini tidak semua sampel mengenali perkataan-perkataan berimbuhan apitan kata kerja dan imbuhan apitan kata kerja mempeR-...-i serta ke-...-an masih lagi belum dikuasai sepenuhnya.
Dari segi tahap penguasaan aspek makna imbuhan apitan kata kerja pula, pengkaji dapat melihat kesan yang positif selepas pelajar-pelajar tersebut mengikuti sesi pengajaran. Boleh dikatakan hampir kesemua bentuk imbuhan apitan kata kerja dikuasai aspek maknanya, kecuali imbuhan apitan dipeR-...-i yang tidak dikuasai dengan baik. Tahap penguasaan konteks penggunaan imbuhan apitan kata kerja sampel-sampel kajian pula hanya pada takat yang sederhana atau memuaskan. Ramai sampel-sampel kajian tahu menggunakan imbuhan-imbuhan apitan kata kerja dengan konteks penggunaan yang betul. Tetapi masih ramai yang kabur dengan konteks penggunaan imbuhan apitan meN-...-i, mempeR-...-i dan dipeR-...-i.
Kajian ini juga turut membuktikan tahap penguasaan proses morfofonemik dalam imbuhan apitan kata kerja kalangan pelajar-pelajar itu. Namun begitu, ini bukan tumpuan utama kajian dengan erti kata hanya sekadar pemerhatian umum. Berdasarkan penelitian, sampel-sampel kajian amat menguasai sangat sedikit. Akhir sekali, pengkaji dapat membuat kesimpulan yang kajian ini telah berjaya mencapai matlamatnya.
Text
Bahasa Melayu
Budaya membaca : Satu tinjauan kewujudan budaya membaca dikalangan Mahasiswa Ijazah Sarjana Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
Abstrak
Budaya membaca merupakan satu perihal membaca yang sudah sinonim dengan diri seseorang itu. Kajian tentang membaca ini telah dilakukan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Tumpuan kajian ini adalah untuk melihat kewujudan budaya membaca dalam diri mahasiswa di Akademi Pengajian Melayu yang mengambil Ijazah Sarjana Pengajian Melayu. Dalam menghasilkan kajian ini, pengkaji telah menggunakan dua kaedah utama untuk mendapatkan data iaitu kaedah keperpustakaan dan kaedah pengedaran borang soal selidik. Hasil dapatan yang diperoleh daripada kedua-dua kaedah itu akan dianalisis dengan kaedah peratusan dan perbandingan. Setelah semuanya selesai, pengkaji akan menilai keseluruhan kajian ini. Pada masa inilah pengkaji akan melihat sama ada objektif utamanya tercapai atau tidak. Kekurangan pada kajian ini juga dinyatakan dalam menambahbaikkan kajian yang bakal dilakukan pada masa hadapan.
Text
Sosio budaya Melayu
Analisis retorik pemujukan dan aspek kebahasaan : Kajian teks khutbah Jumaat di Singapura
Abstrak
Aliran utama kajian adalah untuk menganalisis bidang ilmu retorik dalam teks khutbah. Sehubungan itu, korpus kajian adalah berdasarkan konteks khutbah-khutbah yang disampaikan khusus di negara Singapura sahaja. Sehubungan itu, penyelidikan ini juga dijalankan dengan tujuan untuk menganalisis retorik tertentu yang wujud dalam wahana khutbah-khutbah karangan para guru agama dan cendekiawan Singapura. Kajian eksklusif ini juga akan meninjau dan memperlihatkan, kekuatan, perkembangan dan keunikan yang ada dalam khutbah-khutbah Jumaat di Singapura berpandukan dasar teori yang dikemukakan oleh Gary T.Hunt (1987) bagi sebahagian besar aspek retorik dan Za’ba (2002) bagi aspek ragam Bahasa.
Bab 1 merupakan pengenalan awal, dan bahagian ini juga akan menyentuh tentang latar belakang penghasilan teks khutbah Jumaat di Singapura. Selain itu, kajian juga akan memperlihatkan kajian retorik terdahulu, kepentingannya metodologi, korpus dan juga teori kajian. Kajian akan mengikut konteks khutbah di negara Singapura keluaran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Bab 2 merupakan bahagian yang menyingkap tentang definisi konsep. Konsep yang akan dibincangkan adalah konsep retorik, retorik pemujukan, ragam bahasa, pemilihan diksi dan khutbah.
Bab 3 pula kan menyentuh tentang variasi strategi retorik pemujukan yang wujud dalam teks-teks khutbah Jumaat. Aspek teknik pemujukan yang dianalisis adalah ayat-ayat atau ungkapan yang mempunyai kekuatan dari aspek semantik sahaja. Di antara strategi yang dianalisis secara holistik adalah strategi pengukuhan dan seruan untuk bertindak. Menerusi kajian ini, pengkaji akan menilai keberkesanan penggunaan retorik pemujukan yang digunakan dalam komunikasi dengan khalayak sasaran, iaitu para jemaah di masjid-masjid Singapura.
Bab 4 menumpukan kepada aspek kebahasaan yang wujud dalam 10 teks khutbah Jumaat pilihan. Aspek kebahasaan yang dimaksudkan adalah pemilihan diksi. Variasi aspek bahasa yang mewarnai teks khutbah in akan dianalisis secara holistik dan eksklusif. Bagi pemilihan diksi, aspek unsur kata pinjaman asing, keagamaan dan unsur kepuisian akan dianalisis secara terperinci.
Bab seterusnya adalah bab yang ke-5, bahagian ini akan membincangkan dapatan kajian mengenai aspek ragam bahasa. Pengkaji juga hanya memfokuskan kepada tiga sahaja ragam bahasa, iaitu bahasa naik, bahasa berulang dan bahasa bukan.
Bab 6, merupakan fasa perumusan semua dapatan kajian yang telah dibuat dalam keseluruhan bab. Setiap analisis memberikan hasil yang beraneka dan rencam berteraskan tajuk khutbah yang berbeza-beza. Dan pendekatan diyakini relevan dan mampu mengupas setiap persoalan untuk disesuaikan dengan korpus teks khutbah Jumaat di Singapura.
Text
sastera Melayu
Konseptual Abdul Rahim Kajai
dalam kumpulan cerpen Rahsia dalam Rahsia
Abstrak
Kajian cerpen-cerpen ini adalah bertujuan untuk melihat sejauhmana konsepsi pengarang terhadap suatu konsep yang dikemukakan dalam karya. Pengkaji cuba meneliti teks kajian lebih terperinci untuk mendapatkan hasil kajian yang baik seperti mana yang diingini.
Sebanyak enam buah cerpen digunakan berdasarkan tiga buah tema yang dipilih untuk diterapkan kepada teori kata konseptual kunci. Pengkaji akan meneliti konsep-konsep yang terdapat berdasarkan perkataan-perkataan yang digunakan untuk menunjukkan kata kunci dalam setiap konsep yang dikaji. Perkataan-perkataan tersebut adalah menggambarkan konsep dan konsepsi pengarang terhadap idea yang disampaikan.
Tiga konsep utama akan dianalisis iaitu konsep kasih sayang, penderitaan dan penyesalan. Ini kerana dalam penghasilan karya oleh pengkarya melibatkan aspek kepengaruhan, pemilihan kata dan kesan diturunkan ke dalam karya. Oleh itu, konseptual Abdul Rahim Kajai menjadi tujuan utama pengkaji iaitu melihat hubungan karya yang dihasilkan dengan pengkarya itu sendiri.
Oleh itu, dalam kajian ini pengkaji menemukan bahawa karya-karya yang dihasilkan oleh Abdul rahim Kajai adalah lebih cenderung kepada aspek kekeluargaan yang mencetuskan pelbagai masalah yang selanjutnya memberi kesan dalam kehidupan watak-watak. Ini kerana, pengarang sering mengaitkan masalah yang berlaku dengan sebab dan akibat yang berlaku kepada keluarga sebelum merebak kepada aspek lain. Begitu juga pengarang apabila lebih gemar untuk memberi perutusan kepada khalayaknya berbanding aspek-aspek lain dijadikan sebagai sampingan sahaja.
Justeru itu, kajian ini akan menerapkan teori konseptual kata kunci kepada cerpen untuk melihat konsep-konsep yang digunakan dan untuk menggambarkan pemikiran pengarang (konsepsi). Dengan itu, memberi gambaran bahawa setiap pengkarya mempunyai kata kunci yang tersendiri dalam mengemukakan idea dan tujuannya dalam setiap karyanya.
Text
Sosio budaya Melayu
Upacara miring masyarakat Iban : Kajian kes di Rumah Endah Nanga Sepayang, Song, Sarawak
Abstrak
Kajian ini cuba mengkaji tentang adat miring dalam masyarakat Iban di Sarawak.Upacara miring merupakan salah satu upacara ritual yang sangat penting dalam kalangan masyarakat Iban. Dalam penulisan ini, kajian cuba mengupas tentang beberapa aspek yang penting iaitu tentang kewujudan adat Miring, bagaimana ia dilakukan, siapa yang terlibat, untuk siapa penyembahan piring itu diberi dan tujuan adat Miring. Penulisan ini juga turut mengupas tentang mengapa masyarakat Iban menjadikan adat Miring ini sebagai satu adat yang penting dalam keseluruhan kehidupan mereka.
Latihan ilmiah ini mengandungi enam bab. Bab pertama ialah bab pendahuluan yang menyentuh mengenai permasalahan kajian, objektif kajian, literature review dan kaedah kajian. Bab kedua pula menjelaskan tentang latar belakang masyarakat dan kawasan kajian. Dalam bab ketiga pula ialah membincangkan tentang kosmologi Iban iaitu ruang alam semesta dan kuasa luar biasa bagi masyarakat Iban. Bab keempat pula adalah mengenai upacara miring iaitu mengenai jenis piring, peralatan yang digunakan dalam upacara miring dan komponen-komponen yang berperanan penting sebelum dan semasa upacara miring itu dilakukan. Seterusnya bab kelima pula membincangkan tentang bagaimana upacara miring itu dilakukan di dalam setiap upacara ritual bagi masyarakat Iban. bab terakhir iaitu bab enam adalah bab perbincangan dan juga cadangan kajian untuk pengkaji yang seterusnya.
Text
Bahasa Melayu
Isu-isu kesihatan dalam akhbar berbahasa Melayu :
Tumpuan kepada utusan Malaysia
Abstrak
Kajian ini berkenaan dengan isu-isu kesihatan yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia. Pengkaji menganalisis isu kesihatan ini dengan melihat dari aspek paparan dan penyampaian.
Aspek-aspek ini disokong dengan Statistik Sebab Kematian bagi melihat hubungan antara kedudukan dalam statistik dengan bilangan terbitan. Kajian ini melihat peranan akhbar sebagai penyalur maklumat serta meneliti bentuk isu kesihatan yang disebarkan. Hasil kajian memperlihatkan ketidakselarian antara kedudukan penyakit dalam statistik Sebab Kematian dengan bilangan terbitan dalam akhbar Utusan Malaysia.
Text
Bahasa Melayu
Pemerolehan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar Madrasah di Singapura
Abstrak
Kajian ini membincangkan tentang pemerolehan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar Madrasah di Singapura. Subjek kajian terdiri daripada 106 orang pelajar yang merupakan murid daripada madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah. Seramai 20 orang pelajar telah diambil dijadikan subjek kajian rintis. Borang soal selidik digunakan sebagai alat kajian. Pengkaji membuat kajian pemerolehan tulisan Jawi dari aspek kebolehan atau kemahiran menulis dan memahami askara atau tulisan Jawi. Aspek tulisan ini meliputi pengenalpastian huruf, pengetahuan mengeja, transliterasi tulisan dari Rumi ke Jawi, dan sebaliknya.Kajian yang dijalankan ini mengenal pasti peranan bahasa Arab dalam konteks pemerolehan tulisan Jawi, sama ada pembelajaran bahasa Arab menyumbang kepada pemerolehan tulisan Jawi atau tidak. Selain itu, kajian ini juga akan menunjukkan analisis tahap pemerolehan dan pemahaman tulisan Jawi pelajar madrasah Singapura. Melalui kajian yang dijalankan ini, dapat dilihat citra Jawi di Singapura kini.
Text
sastera Melayu
Konseptual Keris Mas dalam Kumpulan cerpen Darah dan Air Mata : Penerapan terhadap teori konseptual kata kunci
Abstrak
Kajian tentang kumpulan cerpen Keris mas ini adalah bertujuan untuk melihat kata-kata kunci yang terdapat di dalam cerpen tersebut. Pengkaji telah menggunakan Teori Konseptual Kata Kunci yang dihasilkan oleh Profesor Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan untuk mengkaji cerpen-cerpen Keris Mas ini.
Dalam bab pendahuluan, pengkaji menyentuh tentang latar belakang kajian, tujuan kajian, permasalahan kajian, kaedah/metodologi kajian, batasan kajian, kajian terdahulu, landasan teori/konsep, dan pembahagian bab. Dalam bab ini juga pengkaji menyatakan tentang fokus kajian yang hanya tertumpu kepada penggunaan teori untuk mengkaji cerpen Keris Mas.
Dalam bab pertama, pengkaji menghuraikan tentang teori konseptual kata kunci yang digunakan. Selain dari itu, pengkaji juga turut mengemukakan prinsip-prinsip yang terdapat dalam teori tersebut serta contoh-contoh yang terdapat di dalam teori tersebut.
Dalam bab kedua pula, pengkaji menceritakan tentang latar belakang pengarang dan kepengaranganya dalam menghasilkan cerpen. Di samping itu juga, turut dibincangkan tentang pengalaman pengarang dan sinopsis cerpen yang hendak dikaji.
Seterusnya, dalam bab ketiga pengkaji membincangkan tentang pendekatan Teori Konseptual Kata Kunci. Dalam pendekatan ini dibincangkan tentang analisis konsep dan analisis cerpen. Konsep yang digunakan oleh pengkaji ialah konsep ‘perjuangan’,konsep ‘kemajuan’ dan konsep ‘cinta’.
Manakala bab terakhir, iaitu bab kelima pengkaji merumuskan tentang dapatan kajian yang diperolehi. Seterusnya pengkaji turut mengemukakan ulasan dan pendapat mengenai penggunaan teori konseptual kata kunci terhadap cerpen-cerpen Keris Mas tersebut.
Text
Sosio budaya Melayu
Saka dalam masyarakat Melayu kerinci : Harimau jadian
Nadia Ezzareda Nasheeqha binti Noor Azmi
Abstrak
Kajian latihan ilmiah yang bertajuk “Saka dalam masyarakat Melayu Kerinci: Harimau jadian” ini adalah bertujuan untuk mendedahkan mengenai kewujudan saka yang menjadi kepercayaan sesetengah masyarakat Melayu terutamanya masyarakat Melayu Kerinci. Saka sering dilihat oleh masyarakat Melayu sebagai jin yang dipelihara dari zaman nenek moyang yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu kepada kepada seorang individu, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Selain itu, di dalam kajian ini juga akan turut menyentuh sedikit mengenai konsep saka dan juga jenis-jenis saka yang menjadi kepercayaan masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, kajian ini masih lagi menekankan mengenai saka harimau jadian dalam masyarakat Melayu Kerinci dan fungsinya terhadap masyarakat berkenaan. Melalui hasil kajian ini mendapati bahawa masih lagi terdapat masyarakat Melayu Kerinci yang masih lagi mempercayai serta memiliki saka harimau jadian ini. Justeru, kaedah kerja lapangan telah digunakan bagi mendapatkan maklumat yang dikehendaki. Melalui kaedah ini, beberapa orang informan telah ditemubual bagi mendapatkan maklumat ini. Selain itu, kajian kepustakaan juga turut digunakan sebagai bahan sokongan untuk kajian ini.
Text
sastera Melayu
Penilaian terjemahan teks kreatif novel ‘Amina”
Abstrak
Setiap bidang ilmu berasal daripada masyarakat yang berbeza. Hal ini disebabkan setiap kelompok mempunyai kelebihan atau kemahiran yang dapat dipelajari oleh masyarakat lain. Oleh itu, penterjemahan merupakan bidang yang mampu menyalurkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan tersebut. Lantas, membolehkan masyarakat memperoleh ilmu pengetahuan daripada budaya asing.
Selain itu, penterjemahan juga bertujuan untuk menghubungkan anggota dalam sesuatu masyarakat dwibahasa atau pelbagai bahasa. Dewan ini, bilangan penutur dwibahasa semakin hari semakin meningkat. Oleh itu, wajarlah diadakan usaha tertentu dalam mengembangkan bidang penterjemahan ini agar terus diperbaiki dan sentiasa relevan dengan konteks hari ini.
Sesuatu hasil terjemahan yang baik bergantung kepada pemahaman yang menyeluruh terhadap teks asal, dan penggunaan bahasa yang baik. Faktor-faktor sedemikianlah yang menyumbang kepada kepuasan para pelanggan, dan menjadikan kerja menterjemah sesuatu yang memuaskan hati. Berkaitan hal tersebut, buku-buku yang telah diterjemahkan haruslah melalui proses penilaian terdahulu sebelum diterbitkan. Perkara ini penting untuk memantau mutu terjemahan yang dihasilkan oleh para penterjemah agar terus berjaya memuaskan hati para pembaca sasaran.
Dalam mempertingkatkan kualiti hasil terjemahan kreatif, pengkaji telah menilai karya kreatif terpilih,, iaitu Amina terjemahan Nor Farhana Zulkeplee, Nurul Hidayah Abdullah, dan Wan Norazah Wan Chik. Penilaian tersebut dilakukan berdasarkan model penilaian teks kreatif. Dalam kajian ini, pengkaji menilai dari segi pendekatan yang digunakan dalam menterjemahkan unsur makna dan budaya. Seterusnya, aspek kekuatan dan kelemahan terjemahan teks tersebut turut dinilaikan bagi meneliti mutu terjemahan yang dihasilkan.
Penilaian yang terhasil menunjukkan bahawa dalam menghasilkan satu-satunya karya terjemahan terutama karya teks kreatif, pasti akan ada kekuatan serta kekurangan dalam hasil terjemahan, tanpa mengira siapa penterjemah itu. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, maka figuaratif, emosi dan aspek budaya yang diterjemahkan secara literal didapati akan menjejas mutu suatu teks terjemahan kreatif.
Text
Bahasa Melayu
Analisis kesantunan berbahasa : Satu kajian terhadap iklan-iklan produk kecantikan dalam akhbar Harian Metro
Abstrak
Dalam masyarakat Melayu, unsur kesantunan semasa berkomunikasi amat dipentingkan. Budaya dan agama Islam merupakan antara pengaruh yang menjadikan masyarakat Melayu sebuah masyarakat yang mementingkan nilai kesantunan bahasa. Disebabkan ini, masyarakat Melayu mengamalkan pertuturan yang lemah lembut serta bersopan santun supaya tidak dianggap biadap atau tidak berbudi bahasa. Oleh yang demikian, kesantunan bahasa dapat mencerminkan tamadun sesebuah bangsa. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis unsur-unsur kesantunan yang terdapat dalam iklan produk kecantikan dalam akhbar Harian Metro. Kajian akan tertumpu kepada aspek penggunaan kata nama diri dan unsur eufemisme dalam iklan. Sebanyak 35 sampel iklan telah dianalisis yang bertarikh 1 Mac 2014 sehingga 15 Mac 2014 dengan bertunjangkan Model Kesantunan oleh Asmah Hj. Omar (1995). Model ini mengemukakan dua prinsip iaitu kesopanan asas dan kesopanan kendala. Dapatan kajian menunjukkan unsur kesantunan masih terpelihara dalam iklan melalui penggunaan kata ganti nama diri yang sesuai dalam konteks iklan dan unsur eufemisme yang digunakan untuk menggantikan kata-kata yang dianggap tabu atau kurang sopan. Kajian ini dapat menyuntik keinginan para pengkaji atau pencinta bahasa selepas ini untuk membuat satu kajian yang komprehensif tentang aspek kesantunan dalam iklan. Pengkaji juga mengharapkan agar para pengiklan akan terus menyedari kepentingan mengekalkan nilai kesantunan dalam iklan. Kajian ini juga diharapkan dapat menambah kepada kajian-kajian tentang kesantunan.
Text
Sosio budaya Melayu
Keunikan amalan rewang di dalam masyarakat Jawa : kajian kes di Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan
Abstrak
Amalan rewang ini merupakan amalan tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Jawa sejak dari dahulu sehingga kini. Jika diteliti, amalan rewang ini sudah dianggap biasa sahaja di kalangan masyarakat setempat tetapi sebenarnya ia adalah suatu amalan yang mempunyai keunikan yang tersendiri. Di dalamnya itu sendiri mengandungi pelbagai kebudayaan yang lain. Rewang ini juga adalah salah satu amalan yang baik kerana ia boleh mengeratkan lagi hubungan silaturrahim masyarakat setempat.
Justeru, kajian ini dibuat agar keunikan rewang itu dapat dilihat dengan lebih jelas lagi. Jadi ia bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh masyarakat Jawa sahaja malahan masyarakat lain juga boleh mengetahui tentang amalan rewang ini. Oleh itu, secara tidak langsung dapat memberi sedikit ilmu berkaitan dengan amalan tradisi masyarakat Jawa ini.
Text
Strategi pembelajaran oleh pelajar Cina dalam pembelajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua
Abstrak
Kajian yang dilakukan oleh pengkaji ialah berkenaan dengan strategi pembelajaran oleh pelajar Cina dalam mempelajari bahasa melayu sebagai bahasa kedua. Tumpuan kajian ini ialah kepada pelajar Cina Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (S.J.K.C.). Strategi pembelajaran B2 ini berlaku setelah pelajar tersebut mempelajari bahasa pertama iaitu bahasa ibunda mereka.
Pengkaji telah membincangkan tentang metodologi kajian, iaitu reka bentuk kajian, tatacara penyelidikan, perbandingan antara tatabahasa bahasa melayu dengan tatabahasa cina dan jenis-jenis kesilapan yang biasanya wujud dalam menganalisis kesilapan bahasa melayu.
Analisis kesilapan korpus berdasarkan tugasan yang diberikan kepada pelajar Cina yang terdiri daripada soalan yang berbentuk karangan, dan soalan imbuhan, iaitu dengan mengisi tempat kosong. Soalan karangan,pengkaji telah membahagikannya kepada penghilangan dan pemudahan. Bagi soalan imbuhan pula dibahagikan mengikut awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Dengan menganalisis soalan-soalan, pengkaji telah dapat mengetahui tentang punca-punca kesilapan berlaku.
Pengkaji telah membahagikan kesilapan-kesilapan tersebut mengikut kreteria-kreteria tertentu. Misalnya kejanggalan berbahasa, kekonstituen, mudah sukar dan sebagainya. Pengkaji juga membuat rumusan daripada borang soal selidik yang telah diedarkan.
Akhirnya pengkaji telah mengemukakan faktor-faktor kesilapan dan cadangan untuk memperbaiki strategi pembelajaran yang ada.
Text
Aplikasi teori pengkaedahan melayu dalam semusim di Mahsyar menerusi pendekatan dakwah
Abstrak
Kajian ini menumpukan penganalisisan karya sastera fiksyen berunsurkan Islam. Hal ini untuk melihat kehidupan manusia dan lingkungan sosialnya terhadap ketakwaannya kepada Allah SWT. Kajian dilakukan berdasarkan teks novel fiksyen Islami berjudul Semusim Di Mahsyar karya Hadi Fayyadh yang menceritakan penghijrahan sisi gelap kepada kebaikan watak utama yang melalui kehidupan di mahsyar dan dihidupkan semula dengan izin-Nya. Kajian ini menggunakan Pendekatan Dakwah dalam cabang Pengkaedahan Keagamaan dalam Teori Pengkaedahan Melayu. Pengkhususan kepada Pendekatan Dakwah digunakan untuk melihat nilai dakwah menerusi ketakwaan dan ketaatan insan kepada Allah SWT. Fokus kajian adalah berkaitan sifat-sifat mulia (sifat mahmudah) insan dan persoalan kebesaran Allah SWT, iaitu hari kiamat dan mahsyar. Hasil kajian mendapati bahawa nilai dakwah melalui penonjolan sifat-sifat mahmudah insan seperti tawbah (taubat), sabr (sabar), khawf (takut), mahabbah (kasih sayang) dan raja (berharap atau tawakal) terpancar dalam diri watak-watak dalam karya ini. Selain itu, nilai dakwah melalui ibrah (pengajaran) diperlihatkan melalui kebesaran dan kekuasaan Allah SWT yang menjadikan hari kiamat dan mahsyar diperlihatkan secara terperinci dalam karya. Oleh itu, dilihat novel ini mampu menjadi alat untuk mengembangkan nilai Islam dan dakwah melalui Al-Quran dan hadis yang membawa kebaikan kepada pembangunan jiwa insan.
Text
Sosio budaya Melayu
Corak kehidupan warga tua di Institusi Pondok : Satu kajian kes di Pondok AL-Islahiah, Kampung Kuin Pasir Jelawat, Bachok.
Abstrak
Secara tradisinya, kesejahteraan hidup warga tua adalah terletak di bawah tanggungjawab institusi keluarga. Namun oleh keadaan kehidupan masyarakat yang berubah menyebabkan institusi keluarga memerlukan sokongan institusi di luar keluarga. Sokongan yang diperlukan ini adalah untuk memberi perlindungan tempat tinggal dan kebajikan kepada warga tua.
Keperluan sokongan dari institusi di luar keluarga bertujuan memantapkan proses penjagaan dan mengukuhkan institusi masyarakat. Keadaan ini juga bertujuan untuk sama-sama berganding bahu menolong diantara satu sama lain. Justeru itu, kewujudan institusi kebajikan warga tua mahupun institusi yang memberi perlindungan kepada warga tua seperti pondok perlu diwujudkan. Hal ini merupakan salah satu cara untuk memberi jaminan kehidupan kepada warga tua.
Bentuk-bentuk penjagaan warga tua boleh dibahagi kepada dua iaitu, penjagaan formal dan penjagaan bukan formal. Penjagaan formal disediakan oleh sektor awam dan swasta manakala penjagaan tidak formal yang dikendalikan sendiri oleh keluarga dan komuniti setempat. Penjagaan formal dapat dilihat dalam institusi kebajikan masyarakat yang membela nasib warga tua. Penjagaan tidak formal adalah seperti warga tua yang tinggal di pondok.
Kajian yang dijalankan ini memberi tumpuan kepada warga tua yang menginap di institusi kebajikan bukan formal iaitu di pondok, Kajian ini dilakukan untuk melihat tiga tujuan penting iaitu faktor-faktor yang mendorong warga tua memilih pondok, melihat aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mereka dan seterusnya melihat corak kehidupan mereka di pondok.
Text
Aplikasi multimedia dalam pengajaran bahasa peringkat pra sekolah
Abstrak
Perkembangan komputer dapat dirasai ledakannya agak drastik, komputer menjadi telah menjadi sebahagian daripada keperluan dan mempengaruhi kehidupan seharian.
Atas kesedaran masyarakat kini tentang kepentingan komputer multimedia (teknologi maklumat) terhadap perkembangan negara kita dapat lihat akan perubahan positif yang agak ketara. Komputer bukan sahaja digunakan oleh agensi kerajaan dan swasta tetapi juga turut digunakan dalam pendidikan. Dalam memperkasakan lagi sistem pendidikan negara kita, pihak kerajaan telah membekalkan kemudahan komputer di sekolah supaya kaedah pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lebih berkesan dan lebih efisien, malah pihak kerajaan juga turut menyediakan makmal komputer untuk dimanfaatkan oleh semua pelajar dan guru-guru supaya tidak ketinggalan dalam mengharungi dunia globalisasi. Penggunaan teknologi maklumat (TM) semakin menular bukan sahaja di peringkat Universiti, Kolej, Sekolah Menengah dan Rendah, bahkan juga di peringkat Pra sekolah. Oleh itu, kanak-kanak peringkat peringkat pra sekolah juga perlu turut serta memasuki gelombang tersebut.
Justeru itu, objektif kajian ini adalah untuk mendapatkan gambaran bagaimana multimedia dapat membantu dalam pengajaran bahasa di bilik darjah sejauhmana keberkesanan perisian multimedia yang dibina berdasarkan pendekatan komunikatif dengan mengintegrasikan teknologi multimedia dalam penghasilan perisian tersebut. Di samping itu, pengkaji turut membincangkan tentang kaitan teori komunikatif dengan teknologi maklumat dalam menghasilkan perisian. Kajian ini telah dijalankan di sekolah Tadika Comel Kreatif dengan penglibatan seramai sembilan orang responden. Semua maklumat yang diperolehi akan dianalisis dan dihuraikan dalam bentuk jadual agar penerangan yang diberikan akan lebih mudah dan mudah untuk difahami.
Text
Kesenian Melayu
Seni Pertukangan Perak : Kajian kes di Kota Bharu Kelantan
Abstrak
Seni pertukangan perak di Malaysia telah dihasilkan oleh masyarakat Melayu terutamanya bagi masyarakat pinggir bandar. Seni pertukangan perak ini dihasilkan berdasarkan kreativiti Melayu. Produk-produk yang dihasilkan akan dikenali sebagai seni kraftangan masyarakat Melayu. Pelbagai barangan yang dihasilkan seperti aksesori, barangan dapur, perhiasan, dan juga cenderahati. Pada setiap barangan juga pasti akan dihias dengan ragam hias yang tertentu mengikut citarasa pembuat dan pengguna. Ianya untuk mencantikkan lagi barangan perak yang dihasilkan. Setiap ukiran yang terhasil pada produk pasti mempunyai maksud yang tersendiri yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat Melayu. Sambutan terhadap barangan perak dahulu sangat menggalakkan kerana ia merupakan keperluan seharian masyarakat Melayu. Pada masa kini, seni pertukangan perak di malaysia kurang diminati oleh masyarakat. Pertumbuhan teknologi yang semakin canggih hampir-hampir menenggelamkan seni pertukangan perak yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu. Kecanggihan teknologi yang dicipta lebih senang dan cepat mampu menggantikan produk-produk daripada pertukangan tangan perak. Disebabkan hal itu, sambutan terhadap produk perak kini berkurangan dan sangat terkesan pada seni pertukangan perak. Hal ini merupakan cabaran yang perlu ditempuhi oleh pengusaha-pengusaha pertukangan perak. Pelestarian terhadap barangan perak ini kini, boleh kenalpasti oleh pihak-pihak yang tertentu agar seni pertukangan perak terus mekar dan mendapat sambutan oleh masyarakat tempatan mahupun luar negara.
Text
Bahasa Melayu
Analisis makna ‘Tahu’ dan ‘Ilmu’ dalam konteks kepimpinan dari perspektif ungkapan Melayu
Abstrak
Kajian ini mengemukakan satu analisis tentang konsep dan hakikat ‘tahu’ dan ‘ilmu’ tentang pemimpin dalam ungkapan Melayu yang dahulu disampaikan secara lisan. Analisis yang dijalankan adalah berdasarkan korpus ‘Pemimpin dalam Ungkapan Melayu’ oleh Doktor H.Tenas Effendy. Pengkaji mendapati bahawa orang Melayu memang kaya pengetahuan tentang alam semulajadi dan bijak pula menggunakan pengetahuan itu dalam menjalani kehidupan yang harmoni. Pengetahuan orang Melayu bukan setakat tahu, tetapi tahu ilmu dan tahu pula bagaimana menggunakan pengetahuan itu sehingga cerdik, pandai, bijak dan arif. Kecerdikan, kepandaian, kebijaksanaan dan kearifan manusia Melayu boleh diukur dengan pengetahuan yang mereka miliki. Analisis ini bertujuan menyelongkar lapisan makna ‘tahu’ yang tersurat dan tersirat dalam ungkapan-ungkapan ini. Demi mengaitkan ungkapan itu dengan konsep semantik, kajian ini akan merujuk kepada kerangka konsep medan makna berdasarkan kata kunci, yang dapat menjelaskan makna dengan mendalam secara tersurat dan tersirat. Seterusnya, kajian akan dibuat dengan menggunakan kaedah kepustakaan dan kajian lapangan iaitu wawancara Doktor H. Tenas Effendy sendiri serta beberapa elita budaya terkenal.
Hasil kajian menunjukkan bahawa ungkapan-ungkapan Melayu merupakan gaya bahasa yang kreatif, positif dan halus. Dalam komunikasi lisan, ungkapan ini dapat disampaikan sebagai proses sosialisasi, memberi tunjuk-ajar yang berkesan kepada anak cucu. Kesimpulannya, penggunaan ungkapan dalam menyampaikan pesan dan nasihat memilih pemimpin merupakan satu strategi komunikasi yang berkesan. Ungkapan-ungkapan Melayu dapat menyampaikan pengetahuan kepada generasi muda supaya benar-benar tahu agar menjadi orang yang arif dan cerdik bijak pandai tentang hubungan alam dan isinya, ilmu sosial, politik dan agama, supaya serasi dengan kehidupan manusia. Jelas, segala ilmu pengetahuan yang dicadangkan dalam ungkapan Melayu itu patut ada pada seseorang yang mahu dipilih sebagai pemimpin Melayu. Elok kain, eloklah raginya. Elok pemimpin, eloklah negerinya.
Text
Sosio budaya Melayu
Hubungan Etnik (Melayu dan Cina) di Pahang : Kajian kes di Felda Melati Jengka 11, Bandar Jengka
Abstrak
Perpaduan negara sememangnya amat penting bagi sebuah negara yang sedang membangun seperti negara Malaysia. Sehubungan itu, bagi mencapai perpaduan dan persefahaman yang sebenar, maka hubungan antara kelompok-kelompok etnik memainkan peranan yang penting. Maka, boleh dikatakan hubungan antara kumpulan etnik merupakan asas bagi perpaduan negara.
Memandangkan perpaduan antara kelompok-kelompok etnik ini adalah penting, maka kajian ini bertujuan melihat sejauh mana wujud perpaduan pelbagai kelompok etnik di Felda Melati Jengka 11 tahap dan jenis interaksi yang berlaku di tempat tersebut dan dasar-dasar yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.
Secara umum, hubungan di antara pelbagai kumpulan etnik di kawasan kajian ini agak baik dan memuaskan. Hal ini terbukti kerana tidak dapat konflik atau perselisihan kelompok etnik di kawasan ini. Empat faktor yang utama, seperti saling bertolak ansur, hidup saling bergantung, peranan persatuan penduduk, dan kebolehan menguasai bahasa lain bahasa ibunda sendiri telah menghalang perselisihan atau konflik kelompok etnik di Felda Melati Jengka11.
Kajian ini meneliti kepentingan aspek, sosial dalam hubungan kelompok etnik di kawasan kajian. Aspek ini memainkan dua peranan iaitu sebagai faktor penghalang dan faktor yang boleh menggalakkan hubungan antara kumpulan etnik. Hal ini kerana peluang pembangunan sosial dapat membantu merapatkan hubungan antara kumpulan etnik melalui pergaulan seharian dan berjaya mengurangkan ketegangan antara kumpulan etnik.
Text
Analisis Slanga Mat Rock
Abstrak
Tidak begitu banyak kajian yang telah dilakukan mengenai slanga Mat Rock di kepulauan melayu ini. Selain daripada slanga Mat Rock, kajian mengenai budaya rock dan juga kedatangan muzik rock di kepulauan Melayu juga belum dilakukan. Kemungkinan kajian mengenai muzik rock dan juga budaya rock digolongkan sekali ke dalam budaya popular. Walaupun begitu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis slanga Mat Rock di dalam aspek etimologi, fonologi,morfologi dan semantik agar dapat dipaparkan pengaruh yang kuat di dalam slanga serta usaha penyerasian BM di dalam kata slanga tersebut.
Bab 1 menghuraikan aspek penting kajian, iaitu latar belakang, kepentingan, tujuan, bidang, bahan,kaedah serta konsep-konsep yang digunakan dalam kajian.
Bab 2 dibahagikan kepada konsep bahasa,muzik rock dan budaya rock yang merupakan asas perbincangan di dalam slanga Mat Rock.
Bab 3 mengemukakan aspek etimologi dengan menghuraikan kedatangan pengaruh asing ke kepulauan melayu, peminjaman kosa kata, jenis peminjaman yang terlibat, analisis data dan tafsiran mengenai pengaruh asing yang terdapat di dalam slanga Mat Rock.
Bab 4 memperlihatkan aspek fonologi dan morfologi yang merangkumi analisis perubahan bunyi dan pembentukan kata. Bab ini juga akan menghuraikan tafsiran dapatan analisis.
Bab 5 memperlihatkan aspek semantik dan jenis perubahan makna yang merangkumi analisis perubahan makna di dalam kata pinjaman asing. Bab ini juga akan menghuraikan tafsiran dapatan analisis.
Bab 6 ialah bab penutup kajian. Penyimpulan bab 1 hingga bab 5 dilakukan di dalam bab ini selain saranan kajian seterusnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Perubatan herba dan bomoh akar kayu : Kajian kes di Kampung Kubur Panjang, Pendang, Kedah
Abstrak
Kajian yang akan dilakukan oleh pengkaji ini adalah mengenai perubatan tradisional Melayu. Namun pengkaji telah mengecilkan skop kajian kepada tumbuhan herba dan bomoh akar kayu. Kajian kes dilakukan di Kampung Kubur Panjang, Pendang , Kedah Darul Aman. Melalui kajian ini pengkaji akan cuba untuk mendapatkan maklumat tentang pandangan masyarakat yang tinggal di Kampung Kubur Panjang mengenai tumbuhan herba dan bomoh akar kayu.
Disamping itu, dalam kajian ini juga pengkaji cuba menghuraikan serba sedikit mengenai bomoh akar kayu yang tinggal kawasan kajian. Hal ini untuk membolehkan pengkaji memahami dengan lebih mendalam mengenai falsafah, kaedah perubatan, dan juga masa depan akar kayu. Selain itu pengkaji menghuraikan serba sedikit mengenai khasiat tumbuhan herba yang sering digunakan dalam kehidupan masyarakat tempatan dan penyakit yang boleh disembuhkan dengan tumbuhan tersebut.
Justeru, pengkaji mengharapkan melalui penulisan dalam latihan ilmiah ini, dapatlah memberi sedikit ilmu pengetahuan mengenai tumbuhan herba dan bomoh akar kayu. Walau ada segelintir kajian lepas yang membicarakan mengenai perubatan tradisional ini tetap kebanyakan daripadanya lebih cenderung berbicara mengenai rawatan wanita selepas bersalin dan urutan dalam masyarakat Melayu. Namun melalui kajian ini, pengkaji cuba mengkaji daripada perspektif masyarakat di kawasan kajian mengenai perubatan tradisional iaitu mengenai tumbuhan herba dan bomoh akar kayu.
Text
Strategi komunikasi pelajar dialek Kelantan dalam pembelajaran Bahasa Melayu
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menyenaraikan jenis-jenis strategi komunikasi yang digunakan oleh pelajar-pelajar yang menuturkan dialek Kelantan semasa sesi pembelajaran di bilik darjah. Jenis-jenis yang dikaji meliputi strategi pencapaian dan strategi pengelakan.
Kajian ini menggunakan kaedah analisis teks berdasarkan transkripsi rakaman 15 orang subjek, iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, Pasir Puteh Kota Bharu Kelantan. Aktiviti lisan yang dijalankan ialah temuduga, wawancara, forum dan perbincangan. Aktiviti ini dirakam, kemudian ditranskripsikan untuk dianalisis.
Berdasarkan penganalisaan yang telah dibuat terdapat 5 jenis strategi komunikasi yang telah digunakan oleh subjek dalam kajian ini. Dalam strategi pencapaian terdapat 3 jenis strategi, iaitu strategi rayuan kerjasama, strategi penukaran kod dan strategi pengambilan masa. Manakala, strategi pengelakan pula hanya satu iaitu, strategi pengelakan topik.
Strategi komunikasi yang paling dominan yang telah digunakan oleh subjek semasa aktiviti lisan dijalankan ialah, strategi penukaran kod dan strategi yang paling sedikit penggunaannya ialah strategi pengulangan kata.
Berdasarkan hasil penganalisaan dan perbincangan yang telah dibuat, pada bahagian akhir kajian ini telah mengemukakan beberapa cadangan daripada pengkaji untuk panduan pengkaji bahasa dan mereka yang terlibat secara langsung dengan dunia pendidikan, khususnya golongan pendidik dan pelajar.
Text
Kesenian Melayu
Pengurusan kumpulan Wak Harun dalam seni persembahan Main Puteri di Kampung Wakaf Che Yeh Kota Bharu, Kelantan
Abstrak
Kajian ini dibuat mengenai salah sebuah kumpulan yang terlibat di dalam memperjuangkan seni warisan nenek moyang di Kelantan.Kumpulan yang dikaji ini merupakan salah sebuah kumpulan yang bergiat aktif dalam melakukan persembahan Main Puteri di kampung-kampung yang terdapat di negeri Kelantan dan Thailand.Kumpulan ini dikenali sebagai Kumpulan Wak Harun.
Kumpulan wak Harun merupakan salah sebuah kumpulan yang sedang mencipta nama dalam kalangan kumpulan-kumpulan yang ada di sekitar negeri Kelantan. Kumpulan Wak Harun memainkan peranan sebagai pemangkin ke arah memperjuangkan seni persembahan Main Puteri agar tidak ditelan zaman dan masih dipelihara sehingga zaman berzaman serta mempunyai pelapis baharu. Penglibatan Kumpulan Main Puteri hampir empat puluh tahun bermula pada tahun 1970 sehingga kini di dalam seni persembahan Main Puteri ini dapat membuktikan bahawa dunia persembahan di negeri Kelantan tidak pernah sunyi dengan kehadiran penggiat-penggiat seni persembahan yang berbakat besar dalam mengembangkan mutu persembahan kepada masyarakat.
Sepanjang tempoh penglibatan dalam persembahan Main Puteri, Kumpulan Wak Harun cuba meningkatkan prestasi dalam pelaksanaan dari segi pengurusan yang sistematik. Ternyata Kumpulan Wak Harun mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri apabila berjaya dalam melakukan persembahan Main Puteri. Didapati persembahan Main Puteri yang dimainkan oleh Kumpulan tersebut mendapat sambutan dan masyarakat setempat amat sesuai dengan kumpulan Wak Harun dalam melakukan persembahan Main Puteri. Sesungguhnya dengan meraih kepercayaan dari masyarakat terhadap Kumpulan Wak Harun dapat meningkatkan lagi usaha dalam memartabatkan seni warisan budaya ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Perubahan peranan wanita dalam masyarakat Melayu
Abstrak
Kajian ini merupakan satu kajian yang berkaitan dengan perubahan peranan wanita dalam masyarakat Melayu. Peranan wanita yang dahulunya terbatas sebagai seorang suri rumahtangga iaitu sebagai seorang ibu dan isteri tetapi kini dalam zaman yang serba moden dan mencabar ini, kaum wanita tidak hanya tinggal di rumah sahaja tetapi peranannya telah bertambah dan meluas. Secara keseluruhan kajian ini dibahagikan kepada lima bab. Kajian ini lebih menekankan kepada perubahan wanita dalam masyarakat Melayu yang dilihat dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Proses industrialisasi telah memberi kesan besar ke atas status dan peranan wanita dalam pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat. Tenaga kerja wanita diperlukan bagi memenuhi keperluan tenaga dalam pasaran dan mengurangkan pergantungan tenaga asing dalam Negara. Dengan pendidikan yang ada, kaum wanita telah mula turut menyumbangkan tenaganya dalam meningkatkan ekonomi. Kajian ini juga turut membuat kategori iaitu wanita bujang, wanita berkahwin dan lelaki bujang dan berkahwin tentang perubahan peranan wanita dalam masyarakat Melayu.
Text
Kesenian Melayu
Permainan burung candik di Kota Bharu, Kelantan
Abstrak
Kajian ini membincangkan tentang aktiviti masa lapang masyarakat Melayu di Kelantan iaitu permainan burung candik (merbah jambu) yang difokuskan di daerah Kota Bharu, Kelantan.
Dalam kajian ini, pengkaji membincangkan tentang aktiviti membela burung candik sebagai salah satu bentuk permainan masa lapang dalam masyarakat Melayu. Aspek-aspek yang dibincangkan melibatkan cara penjagaan, penyakit serta alahan burung.
Selain itu, kajian ini juga membincangkan tentang aktiviti pertandingan seni suara burung candik yang dilakukan sebagai salah satu bentuk permainan yang memberikan hiburan kepada masyarakat. Pertandingan ini melibatkan aspek-aspek seperti organisasi, tempat dan bentuk-bentuk pertandingan.
Dapatan data kajian ini diperolehi melalui kaedah temubual dengan informan yang terlibat secara langsung dalam permainan burung candik. Berdasarkan temu bual tersebut, pengkaji memperolehi maklumat mengenai cara-cara penjagaan dan aspek-aspek yang terlibat dalam pertandingan seni suara burung candik.
Kajian ini dilakukan, sebagai salah satu cara untuk melestarikan permainan tradisi yang melibatkan haiwan dalam masyarakat Melayu,supaya ia tidak lupus ditelan zaman.
Text
Kesenian Melayu
Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan : Kajian dari aspek persembahan
Abstrak
Latihan ilmiah ini adalah berkaitan dengan aspek persembahan Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan. Kajian dijalankan berdasarkan kaedah tertentu untuk mencapai objektif kajian yang telah ditetapkan. Kajian dimulakan dengan memberi pengenalan kepada wayang kulit secara umum di Malaysia dan di Kelantan, meliputi asal usul wayang kulit, peralatan yang terlibat dalam permainan wayang kulit, ritual, dan sebagainya. Seterusnya kajian ini memfokuskan kepada kumpulan Sri Wayang II di Kampung Paloh, Tumpat, Kelantan meliputi pelbagai aspek.
Text
Sosio budaya Melayu
Peranan Masjid Beijing sebagai pusat pembentukan peribadi muslim : Kajian kes di Rantau Panjang Kelantan
Abstrak
Agama Islam berkembang mekar dan masjid merupakan pembuktian dan mercu tanda terpenting bahawa Islam telah bertapak. Senibina Islam dan reka bentuk awal masjid banyak memperlihatkan gaya seni bina. Perkembangan Islam ke Asia telah turut membawa pelbagai reka bentuk yang dipengaruhi atau di asilimisasi daripada pelbagai negara sama ada gaya dunia China iaitu gaya Cina-Islam, gaya India, dan gaya Gugusan Pulau-pulau Melayu yang telah menghasilkan pelbagai perubahan kepada seni bina masjid gaya Arab. Seni bina masjid dengan ini secara jelas memperlihatkan betapa pengaruh kebudayaan setempat telah dapat disesuaikan dan diterima pakai dalam pembentukan reka bentuknya. Seni bina masjid sentiasa menerima perubahan dan ianya melibatkan falsafah bangsa dan kefahamannya terhadap hukum alam. Kajian ini akan memperlihatkan sebuah masjid yang berseni binaan Cina yang apabila dilihat daripada jauh kelihatan seperti kuil cina. Hal ini menunjukkan reka bentuk yang terhasil daripada falsafah dan kebudayaan bangsa dan penduduk setempat yang pelbagai. Dalam kajian ini, pengkaji akan mengkaji dan akan menerangkan tentang definisi mengenai masjid, seni bina dan peranan masjid sebagai pusat pembentukan peribadi muslim. Peranan masjid sebagai pusat pembentukan peribadi muslim akan dilihat melalui aktiviti yang dijalankan oleh Masjid Beijing berkenaan sama ada melalui ceramah, kelas, kelas agama dan sebagainya.
Text
Peniaga-peniaga kecil makanan di Pusat Penjaja
Kampung Kerinchi Kuala Lumpur
Abstrak
Latihan ilmiah ini merupakan satu kajian etnografi tentang peniaga-peniaga kecil makanan di Pusat Penjaja Kampung Kerinchi DBKL. Latihan ilmiah ini bertujuan untuk meneliti beberapa aspek khusus yang berkaitan dengan peniaga yang menjalankan perniagaan makanan secara kecil-kecilan.
Perniagaan secara kecil-kecilan merupakan satu kegiatan ekonomi yang sudah lama muncul sejak kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat tanpa pengenalan fungsi ekonomi.
Perniagaan menjual makanan secara kecil-kecilan di negara ini yang diusahakan oleh orang melayu telah bertambah dari segi penyertaan. Mereka menjadikan bidang perniagaan walaupun secara kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan utama bagi menyara diri dan keluarga. Jika ditinjau pada hari ini, perniaga-perniaga kecil makanan berada di merata-rata tempat sama ada yang telah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan dengan kegiatan menjual nasi, pisang goreng dan sebagainya.
Perniagaan menjual makanan yang dijalankan amat senang mendapat pelanggan. Ini adalah kerana perniagaan dalam bentuk sedemikian dapat dijalankan di mana-mana tempat yang membolehkan jualan makanan dilakukan. Satu lagi perniagaan makanan ini boleh menggunakan apa saja peralatan termasuk kereta sorong, gerai berkunci dan sebagainya.
Perniagaan menjual makanan ini memang digemari oleh orang-orang Melayu kerana ianya tidak memerlukan modal yang besar untuk memulakannya. Sememangnya bidang perniagaan makanan secara kecil-kecilan merupakan satu bidang yang mudah dimasuki oleh mana-mana ahli masyarakat yang ingin menceburi bidang ini sebagai satu usaha mendapat sumber pendapatan tetap.
Text
Perniagaan kecil-kecilan orang melayu : Satu kajian kes di Pasar Besar Gua Musang, Kelantan
Abstrak
Ini ialah satu kajian mengenai perniagaan kecil-kecilan orang melayu di Pasar Besar Gua Musang, Kelantan. Kajian ini mendapati bahawa terdapat banyak permasalahan yang telah mempengaruhi pencapaian peniaga-peniaga kecil melayu di situ. Permasalahan tersebut bukan hanya terdiri daripada permasalahan yang berbentuk ekonomi, malah permasalahan bukan berbentuk ekonomi juga turut mempengaruhinya.
Dalam bab satu dimuatkan pengenalan tentang kajian, tujuan kajian, permasalahan kajian, skop kajian, metodologi yang digunakan, masalah kajian, kajian terdahulu dan konsep-konsep yang berkaitan seperti konsep perniagaan dan perniagaan kecil-kecilan.
Bab dua pula dimuatkan tentang latar belakang kawasan kajian dan juga profil peniaga itu sendiri seperti jenis perniagaan yang diusahakan, jantina, umur, status perkahwinan, tanggungan, taraf pendidikan dan pengetahuan dalam bidang perniagaan.
Manakala, bab tiga memuatkan aspek-aspek yang berkaitan dengan perniagaan peniaga seperti lama dalam perniagaan, bentuk pengurusan, hak milik kedai, modal, bekalan barang-barang jualan, tenaga kerja, pengurusan perniagaan, kemudahan asas dan pendapatan.
Dalam bab empat pula dibincangkan tentang topik permasalahan dalam perniagaan. Perbincangan mengenai topik tersebut telah dibahagikan kepada dua topik utama. Iaitu permasalahan berbentuk ekonomi dan juga permasalahan bukan berbentuk ekonomi. Di samping itu, untuk memperlihatkan perkaitannya dengan pencapaian dalam perniagaan, dua bentuk pencapaian, iaitu pencapaian yang negatif dan juga positif turut dibincangkan dalam bentuk kes masing-masing.
Selain rumusan mengikut topik, pandangan dan cadangan ringkas pengkaji terhadap peniaga-peniaga kecil melayu, terutama peniaga-peniaga di Pasar Besar Gua Musang turut dimuatkan dalam bahagian penutup latihan ilmiah ini.
Text
Fonologi dialek Terengganu Pantai : Satu kajian di Mukim Batu Buruk
Abstrak
Kajian ini ditulis dalam lima bab. Bab pertama mengandungi pengenalan secara ringkas tentang tujuan, bidang, latar belakang kawasan kajian, dan di dalam bab ini juga diberikan definisi mengenai bidang kajian.
Bab kedua pula membincangkan mengenai kerangka teori. Bab ini membincangkan mengenai teori-teori yang telah digunakan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu. Dalam bab ini juga dimasukkan huraian secara ringkas tentang kajian-kajian yang telah dilakukan berkaitan dengan aspek fonologi bahasa Melayu dan bahasa Austronesia yang lain.
Bab ketiga pula membincangkan tentang sistem vokal dalam dialek Terengganu Pantai. Kajian ini juga dibuat berdasarkan penyebaran vokal dalam bahasa tersebut sama ada boleh hadir di awal kata, tengah kata, ataupun akhir kata. Huraian dibuat dengan melihat bagaimana bunyi vokal itu diujarkan berdasarkan kepada jenis vokal yang terdapat dalam dialek Terengganu Pantai.
Dalam bab empat pula perbincangan tertumpu kepada sistem konsonan. Terdapat beberapa jenis bunyi konsonan yang ada dalam bahasa ini. Huraian diperincikan lagi dengan melihat bagaimana bunyi konsonan tersebut diujarkan. Kemudiannya, dalam bab ini juga membincangkan tentang penyebaran konsonan sama ada hadir di awal kata, tengah kata mahupun di akhir kata. Di samping itu juga, bab ini juga menerangkan mengenai diftong serta penyebarannya dalam kata.
Bab lima iaitu bab terakhir merupakan kesimpulan keseluruhan dalam kajian ini kesimpulan dibuat berdasarkan dapatan kajian pada bab sebelumnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Asimilasi budaya Melayu dan Siam dalam masyarakat Cina peranakan di Kelantan : Kajian kes di Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan
Abstrak
Masyarakat cina telah wujud di Kelantan sejak abad Ke-17 masihi lagi dan kebanyakan mereka tinggal di sepanjang pinggir sungai Kelantan terutamanya di kawasan Pulai, Gua Musang dan sungai Pinang, Tumpat. Walaupun tiada catatan sebenar sejarah kedatangan mereka ke Kelantan, namun mereka percaya kedatangan nenek moyang mereka lebih awal dari kedatangan orang Cina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ini berdasarkan penemuan patung lama di tokong tertua berusia 600 tahun atau lebih di Kampung Pulai, Gua Musang dan berasal dari Dinasti Ming. Ini bermakna kedatangan Cina ke tanah Melayu bukannya dimulakan di Melaka sebaliknya di negeri Kelantan.
Terdapat dua kategori Cina di Kelantan iaitu Cina Peranakan diberi gelaran Cina Kampung, Cina Kelantan dan Oghe Cino Kito. Bagi Cina di bandar, mereka dipanggil Cina Bandar atau Cina Benua. Asimilasi budaya Melayu itu sendiri berlaku ke atas golongan Cina Peranakan ini dari segi loghat pertuturan yang digunakan setiap hari, amalan pemakanan seharian, dan cara mereka berpakaian. Mereka tidak seperti kaum-kaum Cina di negeri-negeri lain kerana dialek komunikasi percakapan harian mereka dalam loghat Kelantan di samping Bahasa Hokkien yang berbeza hasil percampuran perkahwinan serta Bahasa Melayu Kelantan dan Thai. Kebanyakan daripada mereka berkulit sawo matang dan tidak menampakkan mereka sebenarnya kaum Cina.
Text
Sosio budaya Melayu
Ritual tolak bala : Satu tinjauan terhadap masyarakat Kadayan di Kampung Pangi, Lawas, Sarawak
Abstrak
Kajian ini merupakan sebuah penyelidikan ilmiah mengenai sebuah upacara kebudayaan yang dilakukan oleh masyarakat Kadayan di kepulauan Borneo. Upacara yang dimaksudkan ini, ialah upacara tolak bala yang dipercayai pengkaji merupakan sebuah upacara yang dijalankan mengikut situasi sekeliling masyarakat berkenaan. Petanda buruk daripada kejadian alam yang berlaku di sekeliling mereka, maka upacara ini perlu dijalankan untuk mengelak daripada bencana alam tersebut dan sebagainya. Dalam kajian ini akan menyentuh secara holistik mengenai masyarakat Kadayan dan upacara tolak bala itu sendiri serta dikaitkan dengan ketentuan Allah swt.
Text
Kajian Kes : Kompleks kraf Langkawi sebagai tarikan pelancongan budaya di Pulau Langkawi, Kedah
Abstrak
Pelancongan merupakan sumber pendapatan kedua dalam negara kasar ekonomi negara. Usaha membangunkan kepelbagaian produk pelancongan khususnya produk kebudayaan dan kesenian merupakan penghasilan produk yang tidak ternilai kepada negara. Sejak berabad dahulu, kebudayaan dan kesenian merupakan salah satu produk pemangkin kepada tercetusnya aktiviti pelancongan di Eropah dan seterusnya secara globalisasi. Lantaran itu, kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti sebuah institusi seni dalam usaha objektif kewujudannya adalah untuk melestarikan kebudayaan dan kesenian sebagai produk pelancongan di Pulau Langkawi.
Text
Sosio budaya Melayu
Tahap penguasaan imbuhan dalam kalangan pelajar di Sekolah Rendah Fengshan
Abstrak
Dalam peringkat darjah 3, terdapat sebilangan pelajar yang tidak mempunyai asas pengetahuan yang kukuh penggunaan imbuhan. Pelajar tersebut tidak mahir dalam mengaplikasikan imbuhan dalam karangan walaupun mereka telah didedahkan dengan komponen tersebut sejak di darjah satu lagi. Ada segelintir guru-guru pula menghadapi masalah dalam mengajar imbuhan kerana pada sangkaan mereka imbuhan adalah sesuatu komponen yang sukar diajar kepada pelajar. Guru-guru merasakan bahawa pengajaran komponen imbuhan adalah sesuatu yang akan membosankan pelajar kerana teori-teori yang perlu didedahkan. Akibatnya, ramai pelajar darjah 3 menghadapi masalah dalam penulisan karangan mereka kerana kurangnya pengetahuan dalam mengaplikasikan imbuhan semasa menghasilkan karangan.
Dengan menggunakan kaedah ujian diagnostik, pengkaji ingin mengenal pasti faktor penyebab kelemahan pelajar darjah 3 dalam kemahiran menulis karangan dan apakah imbuhan yang sering menyebabkan kesilapan serta imbuhan apakah yang sering digunakan pelajar dalam penulisan karangan.
Satu ujian diagnostik (pengesanan) telah dibina khusus untuk mengenal pasti kelemahan pelajar dalam pengaplikasian imbuhan dalam karangan yang melibatkan imbuhan awalan, apitan dan akhiran. Kemahiran tersebut merangkumi morfologi, sintaksis, pembentukan kata serta kerelevanan isi dalam karangan tersebut.
Dapatan kajian ini dapat digunakan oleh pengkaji untuk mengenal pasti kelemahan yang lazim dilakukan oleh pelajar dalam penggunaan imbuhan dalam karangan, penggunaan yang sering dilakukan oleh pelajar dalam karangan mereka. Pada pengakhiran penyelidikan ini, pengkaji mendapati bahawa terdapat kelemahan -kelemahan para pelajar ini dalam pengaplikasian imbuhan dalam karangan mereka.
Text
Kesenian Melayu
Tarian Dabus: Satu tarian tradisional Negeri Perak Darul Ridzuan
Abstrak
Dalam kajian ini, setiap data atau maklumat yang di perolehi telah disusun oleh pengkaji mengikut pembahagian bab yang tertentu. Kajian ini keseluruhannya memuatkan 9 buah bab termasuk bahagian pengenalan. Setiap bab mempunyai bahagian-bahagian tajuk yang tertentu.
Bahagian pengenalan adalah Bab 1. Kajian ini yang mengandungi pendahuluan, permasalahan kajian, tujuan kajian, kajian lepas, dan metodologi kajian yang berfungsi memberi gambaran secara menyeluruh tetapi ringkas mengenai kajian ini.
Dalam Bab 2 pula, tumpuan kajian diberikan kepada kawasan kajian yang meliputi sejarah asal usul nama negeri dan juga daerah yang menjadi kawasan kajian pengkaji.
Dalam Bab 3 pula, kajian tertumpu dalam bidang Tarian Dabus itu sendiri. Antaranya ialah unsur dasar tari, elemen tari, dan pengertian tarian Melayu dan perkembangannya secara umum.
Dalam Bab 4, skop kajian ialah tentang Dabus sebagai satuntarian tradisi di Perak yang meliputi mengenai asal usul Tarian Dabus, sejarah dabus di Perak, dan persembahan Tarian Dabus.
Dalam Bab 5 pula, skop kajian adalah tentang lagu dalam Tarian Dabus dan juga jenis alat muzik yang digunakan bagi mengiringi Tarian Dabus. Dalam Bab 6, skop kajian lebih tertumpu tentang busana atau pakaian serta perhiasan diri yang dipakai oleh para penari.
Bab 7 pula menerangkan tentang pergerakan asas yang dilakukan oleh para penari serta cara-cara Dabus ditarikan. Dalam bab ini juga diterangkan Dabus yang berunsur ritual.
Bab 8, skop kajian ialah menerangkan tentang fungsi Tarian Dabus dalam masyarakat yang meliputi aspek hiburan, sosial, ekonomi, dan juga alat kesatuan masyarakat. Dalam bab akhir pula iaitu Bab 9 ialah kesimpulan atau rumusan secara menyeluruh.
Text
Bahasa pengiklanan dalam Majalah Mingguan Wanita Tahun 2004 : Satu analisis dari segi kaedah retorik bahasa iklan
Abstrak
Nor Nazifah binti Mat Adenan: Bahasa Pengiklanan dalam Majalah Mingguan Wanita: Satu analisis terhadap kaedah retorik bahasa iklan, Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Penulisan latihan ilmiah ini adalah untuk memenuhi syarat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Kajian yang dilakukan ini bertujuan untuk membincangkan aspek kaedah yang digunakan dalam bahasa retorik pengiklanan yang terdapat dalam Majalah Mingguan Wanita terbitan Utusan Malaysia dari bulan Julai hingga Oktober. Perbincangan yang akan dilakukan terhadap aspek kaedah yang digunakan sebagai pendekatan teori Prof Asmah Hj. Omar ini diharap dapat memperlihatkan tentang kepentingan kaedah-kaedah tersebut dalam mempengaruhi pembaca atau sasaran untuk membeli serta memiliki sesuatu barangan itu dengan menggunakan bahasa iklan. Kaedah ini dapat dilihat dalam kaedah-kaedah tersebut mempunyai ciri-ciri yang tertentu untuk menarik perhatian orang ramai berdasarkan kepada kekreatifan sesetengah pengiklanan itu untuk menarik audien supaya tertarik terhadap sesuatu barangan.
Secara umumnya, penulisan ini dilakukan meliputi lima bab yang penting. Berdasarkan bab yang pertama, iaitu bab pendahuluan, pengkaji akan membincangkan tentang pengenalan kepada kajian yang dilakukan ini. Dalam bab pendahuluan, pengkaji menyatakan tentang tujuan kajian dilakukan dan cara atau kaedah yang digunakan semasa melakukan kajian ini. Pengkaji juga turut menyatakan skop kajian dan permasalahan yang menjadi perbincangan utama kajian ini.
Bab yang kedua merupakan perbincangan yang berkaitan dengan sejarah perkembangan ilmu retorik itu sendiri. Hal ini bertujuan sebelum membincangkan aspek kaedah-kaedah retorik bahasa iklan yang digunakan oleh Prof Asmah Hj. Omar sebagai pendekatan, maka perlulah dikaji serba sedikit tentang latar belakang sejarah perkembangan ilmu retorik tersebut. Dalam bab ini, pengkaji membincangkan tentang serba sedikit latar belakang sejarah perkembangan kemunculan ilmu retorik bermula zaman kemunculannya berserta dengan konsep-konsep, teori-teori, jenis-jenis dan fakulti-fakulti ilmu retorik itu.
Manakala bab ketiga, pengkaji akan memulakan perbincangan dengan mengenai iklan dan teori yang digunakan sebagai pendekatan oleh Prof. Asmah Hj. Omar. Pengkaji akan membincangkan ciri-ciri yang terkandung dalam sesuatu kaedah yang digunakan itu sebagai pendekatan. Topik perbincangan dalam bab ini juga untuk melihat bagaimana ciri-ciri yang digunakan dalam sesuatu kaedah itu mampu menarik minat perhatian orang ramai berdasarkan retorik-retorik tertentu.
Menerusi bab yang keempat, pengkaji akan membincangkan tentang hasil analisis penuh yang diperolehi berdasarkan kepada bahan yang digunakan. Hal ini melihat penggunaan kaedah-kaedah tersebut dalam sesuatu ayat yang digunakan terhadap bahasa iklan untuk menarik minat orang ramai supaya terpengaruh terhadap barangan itu. Dalam bab ini juga pengkaji melihat kekerapan sesuatu kaedah tertentu yang digunakan dalam retorik bahasa iklan.
Bab yang terakhir, iaitu kelima merupakan kesimpulan bagi keseluruhan kajian yang dilakukan dan juga saranan-saranan kepada pelbagai pihak yang berkaitan. Bab ini akan membincangkan tentang hasil dapatan kajian yang dilakukan terhadap aspek kaedah-kaedah retorik bahasa iklan dalam Majalah Mingguan Wanita terbitan Utusan Malaysia. Segala urusan atau kesimpulan dari awal hingga akhir bab akan dibincangkan oleh pengkaji dalam bab ini.
Text
Kesenian Melayu
Perbandingan seni persembahan Tarian Barongan
di Bali Indonesia dan Parit Raja Johor Malaysia
Abstrak
Penghijrahan penduduk yang berlaku disebabkan oleh faktor penarik dan penolak yang mendorong mereka untuk berhijrah ke Tanah Melayu pada zaman dahulu telah sedikit sebanyak membawa kebudayaan tradisi mereka meresap masuk ke dalam kebudayaan masyarakat setempat. Penghijrahan orang-orang jawa banyak dilihat bagaimana sebuah masyarakat itu berhijrah dan masuk ke dalam kebudayaan masyarakat terutamanya masyarakat Johor. Dari situ, munculah sebuah masyarakat yang baru di mana kedua-dua budaya itu saling melengkapi antara satu sama lain. Kebudayaan tradisional Jawa yang sememangnya di jadikan panduan dalam kehidupan masyarakat Jawa telah disesuaikan dengan kebudayaan masyarakat setempat. Kebiasaannya, kebudayaan yang dilihat yang dibawa oleh masyarakat Jawa ini ialah seni persembahan, adat resam, cara hidup, dan sebagainya.
Seni persembahan telah menjadi satu sumber kuasa yang dapat membuat sesebuah tempat atau masyarakat itu menjadi sebuah kawasan atau budaya yang mempunyai unsur keseronokan, kebudayaan dan keharmonian. Ia juga dilihat menjadi daya tarikan dan tenaga yang dapat melindungi serta menampilkan keistimewaan manusia dan masyarakatnya. Di malaysia, dilihat mempunyai berbagai jenis kebudayaan dan seni persembahan yang menunjukkan masyarakatnya berjiwa seni dan harmoni. Kebanyakan seni persembahan ini terbentuk melalui peristiwa, sejarah, warisan dari nenek moyang yang dilihat mempunyai hubungan yang rapat dengan alam sekeliling, kepercayaan dan agama sesebuah masyarakat.
Jika ingin dibandingkan di antara seni persembahan masyarakat dahulu dan sekarang, jelas menunjukkan perbezaan yang ketara kini seni persembahan dilakukan mengikut tuntutan agamanya iaitu agama Islam. Jika dahulu, seni persembahan di lakukan adalah bertujuan untuk upacara keagamaan atau ritual (Jawa), kini di Malaysia, ianya lebih kepada persembahan semata-mata bagi menghiburkan masyarakat setempat jika adanya majlis-majlis keramaian. Namun begitu, sama ada dahulu atau sekarang, seni persembahan merupakan identifikasi manusia kepada kehidupan mereka.
Melihat kepada seni persembahan Barongan, ia merupakan satu kesenian yang di adaptasi dari seni Barongan Jawa, Indonesia yang dibawa oleh imigran-imigran yang datang ke Malaysia sewaktu ketika dahulu. Seni persembahan ini hanya didapati di tempat-tempat tertentu iaitu di negeri Johor dan Selangor. Di dalam persembahan yang dilakukan, memperlihatkan beberapa upacara yang sering dilakukan sebelum persembahan itu dilakukan. Namun, pengkaji ingin melihat apakah perbezaan yang ketara yang di lihat di antara kedua-dua masyarakat ini iaitu masyarakat Jawa di Johor dan masyarakat Jawa di Indonesia. Pelbagai jenis elemen, alat muzik, dapat dilihat dalam setiap persembahan yang dilakukan.
Akhir kata, penulisan ini ditulis adalah bertujuan untuk melihat perbezaan di antara seni persembahan Barongan di Indonesia dan seni persembahan dan seni persembahan Barongan di Malaysia. Selain itu, pengkaji ingin mengkaji secara lebih mendalam tentang bagaimana persembahan ini boleh wujud dalam masyarakat Indonesia dan apakah kaitannya dengan agama dan kepercayaan yang dianuti oleh mereka. Diharapkan agar latihan ilmiah ini dapat sedikit sebanyak membuka minda generasi anak muda akan sebuah kebudayaan tradisional masyarakat Jawa yang mempunyai asal-usulnya yang menarik dan unik.
Text
Bunga-bunga bahasa (Diom) dalam teks klasik : Satu analisis
Abstrak
Kajian ini dilakukan untuk melihat pemikiran masyarakat Melayu mengenai penggunaan Bunga-bunga bahasa (Diom) dalam ungkapan Melayu. Berdasarkan pemilihan kajian ini aspek dapat diperhatikan adalah berasaskan kepada dua pembahagian utama iaitu benda hidup bernyawa dan tidak bernyawa.
Pengkaji memilih Bunga-bunga bahasa sebagai korpus utama untuk memahami perkara yang tersurat dan tersirat di sebalik ungkapan yang terbina. Data dipilih menggunakan tiga buah buku teks antaranya teks Hikayat Raja Muda, Hikayat Terung Pipit dan Hikayat Anggun Cik Tunggal.
Melalui kaedah-kaedah penyelidikan berasaskan kepada kerangka Za’ba, pengkaji dapat merumuskan bahawa bunga-bunga bahasa digunakan bertujuan untuk mencerminkan minda Melayu melalui bentuk peribahasa, perumpamaan, simpulan bahasa, pepatah, bidalan, metafora, personifikasi, hiperbola, lidah pendita, tamsil dan bidalan.
Menyedari akan hakikat ini, kajian ke atas penggunaan buku teks hikayat menyelami pemikiran masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Daripada kajian ini akan menampakkan ‘World view’ orang Melayu dan juga peranan komunikatif terhadap persekitaran. Pemanfaatan unsur-unsur alam dapat diaplikasi dalam ungkapan yang membawa makna berlapis.
Text
Kesenian Melayu
Pembentukan istilah dalam seni kraftangan Melayu : Pembuatan Wau
Abstrak
Kajian ini merupakan satu usaha dalam mengumpul dan merakam pembentukan istilah dalam seni kraftangan Melayu, iaitu dari segi pembuatan wau, kajian ini hanya menumpukan istilah yang terdapat dalam kaedah pembuatan wau tradisional Melayu di negeri Kedah. Hanya istilah-istilah yang dituturkan oleh responden sahaja dianalisis oleh pengkaji.
Antara aspek penting yang mendasari kajian ini ialah usaha mengumpul dan merakamkan semua istilah yang terdapat dalam seni pembuatan wau di Kedah. Setelah itu, kajian ini membina dan menghuraikan peta konsep berdasarkan data yang diperolehi daripada kajian lapangan yang telah dilakukan. Selain itu, proses mentakrifkan istilah berdasarkan peta konsep turut diutamakan. Kajian ini juga turut menganalisis proses pembentukan natif dalam istilah bahasa Melayu.
Kajian ini membawa satu perubahan atau maklumat baru yang berkaitan dengan bidang peristilahan terutama dari segi budaya. Dapatan kajian ini mendapati bahawa kebanyakan istilah yang terdapat dalam bidang seni pembuatan wau merupakan hasil pembentukan natif dalam bahasa Melayu sendiri. Namun begitu, istilah-istilah ini turut mengalami proses peminjaman istilah asing mahupun dialek. Antara ciri-ciri takrif yang paling dominan dalam kajian ini ialah takrif jenis fungsional.
Pengkajian mengenai sesuatu bahasa sering dilakukan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu terutama yang merujuk kepada aspek dialektologi. Namun begitu, jarang-jarang sekali tumpuan dilakukan ke atas istilah-istilah yang terdapat dalam bidang budaya terutama seni pembuatan wau. Di samping itu, terdapat beberapa penyelidikan mengenai istilah-istilah yang digunakan dalam sesuatu bidang atau lapangan. Dengan itu, pengkaji berharap dapat memberi membincangkan pembentukan istilah-istilah yang terdapat dalam seni pembuatan wau.
Text
Kesenian Melayu
Estetika ukiran bumbung Rumah Tok Su di Kampung warisan Melayu
Abstrak
Latihan ilmiah ini adalah berkaitan dengan seni ukiran bumbung Rumah Tok Su. Kajian dijalankan dengan berdasarkan kepada kaedah yang tertentu untuk mencapai objektif kajian yang telah ditetapkan. Rumah Melayu tradisional adalah lambang identiti kepada masyarakat Melayu dan ianya kaya dengan memberi pengenalan secara umum mengenai rumah tradisional Melayu dan perkembangan bentuk bumbungnya. Motif dan bahan yang digunakan untuk menghasilkan ukiran tersebut dengan hanya memfokuskan kepada hiasan ukiran bahagian bumbung Rumah Tok Su sahaja. Tumpuan utama kajian ini adalah untuk menganalisis prinsip-prinsip estetika yang terdapat pada ukiran bumbung Rumah Tok Su. Di akhir kajian, pengkaji telah membincangkan mengenai langkah yang boleh diambil bagi memelihara warisan budaya Melayu iaitu Rumah Melayu tradisional.
Text
Ilmu Pawang Ular : Kepercayaan dan ekologi di Sedim, Kedah.
Abstrak
Latihan ilmiah ini dilakukan adalah bertujuan merungkaikan sistem ilmu pengetahuan yang dikhususkan kepada “Ilmu Pawang Ular” dengan melihat dari aspek kepercayaan dan sistem ekologi tempatan. Ilmu berkaitan dengan ular ini adalah satu elemen kebudayaan yang mana orang Melayu melihat dan memahami dunia binatang di sekeliling mereka. Pandangan dunia ini menggambarkan sifat budaya masyarakat Melayu terutama dalam urusan kegiatan dan kepercayaan mereka. Pemahaman terhadap ruang lingkup “Ilmu Pawang Ular” menjadikan orang Melayu melalui kehidupan yang lebih sempurna apabila adanya keseimbangan antara manusia dengan binatang dan tumbuhan. Kajian yang dijalankan ini melibatkan bidang antropologi yang mana merupakan satu bidang pengajian yang sangat luas dan kajiannya mengcakupi keseluruhan keseluruhan aspek-aspek yang berkaitan dengan pembentukan manusia di dalam pembentukan dunianya yang tersendiri.
Text
Sosio budaya Melayu
Asam rong : Kajian kes di Felcra Rumpun Makmur, Temerloh, Pahang
Abstrak
Kajian ini membincangkan khusus mengenai asam rong. Asam rong merupakan sejenis makanan yang diperbuat daripada biji getah dan biji perah. Ianya digunakan dalam masakan oleh penduduk Kampung Rumpun Makmur. Asam rong merupakan salah antara satu makanan tradisi masyarakat Melayu di sekitar negeri Pahang. Namun, pada masa kini asam rong sudah dilupakan oleh masyarakat setempat.
Matlamat utama kajian ini ialah untuk mendokumentasikan mengenai asam rong. Dengan adanya pendokumentasian ini ianya dapat mengelakkan asam rong daripada lenyap di dalam masyarakat Melayu.
Selain itu, kajian juga menyatakan serba sedikit mengenai latar belakang kawasan kajian menyatakan serba sedikit mengenai asam rong. Penekanan kajian ini adalah untuk mengetahui mengenai asam rong di samping perbincangan khusus mengenai dapatan kajian yang telah dilakukan.
Text
Sosio budaya Melayu
Pesta kaul masyarakat Melanau di Mukah, Sarawak : kajian perbandingan pesta kaul dulu dan kini
Abstrak
Kajian ini ialah berkaitan dengan kebudayaan tradisi masyarakat Melanau yang terdapat di Mukah, Sarawak. Sungguhpun begitu, tumpuan pengkaji bukanlah kajian kebudayaan yang dilakukan secara menyeluruh berkenaan dengan kebudayaan-kebudayaan yang terdapat dalam masyarakat Melanau kerana matlamat kajian pengkaji hanyalah berfokus kepada pesta kaul sahaja, kajian ini pengkaji lakukan di Mukah, Sarawak. Disebabkan terdapat kekangan-kekangan tertentu, pengkaji hanya sempat pergi kedua buah kampung sahaja di bahagian Mukah, iaitu kampung Tutus Hilir dan kampung Medong Dalat. Sungguhpun begitu kajian pengkaji meliputi pesta kaul yang diadakan oleh keseluruhan kaum Melanau di Mukah.
Di dalam bab dua, pengkaji telah menerangkan tentang kawasan kajian pengkaji bermula daripada sejarah negeri Sarawak itu sendiri. Pengkaji juga menjelaskan berkenaan dengan sejarah Mukah, iaitu tempat yang didiami oleh majoriti masyarakat Melanau. Pengkaji juga menyentuh perihal asai-usul Melanau dan pengenalan umum tentang bahasa Melanau.
Dalam bab tiga, pengkaji mengupas berkenaan dengan pesta kaul masyarakat Melanau di Mukah pada zaman dahulu yang merangkumi beberapa aspek penting. Antaranya, sejarah pesta kaul, tujuan pesta kaul itu diadakan, masyarakat yang terlibat dalam pesta kaul, persediaan sebelum dan semasa pesta kaul, pantang larang pesta kaul dan aktiviti sampingan yang dijalankan semasa pesta kaul.
Dalam bab 4, pengkaji menerangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan pesta kaul masyarakat Melanau di Mukah pada zaman sekarang. Sama seperti bab sebelumnya, dalam bab 4 juga menekankan aspek yang sama supaya tidak mengelirukan para pembaca.
Seterusnya dalam bab ke 5, pengkaji membincangkan perubahan yang berlaku antara pesta kaul masyarakat Melanau di Mukah pada zaman dahulu dengan zaman sekarang berdasarkan aspek yang telah dibahaskan dalam bab 3 dan bab 4. Aspek yang sama dibahaskan bagi pengkaji lebih mempelihatkan perubahan yang berlaku dalam kedua-dua zaman tersebut.
Dalam bab yang terakhir penulis ilmiah ini, iaitu bab 6, pengkaji menyentuh tentang kesimpulan berdasarkan keseluruhan hasil dapatan yang diperoleh pengkaji. Kesimpulan ini sebagai merumuskan keseluruhan bab-bab yang telah diterangkan oleh pengkaji sebelumnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Kepercayaan orang Melayu terhadap Buntat (Batu Geliga) : Kajian kes di Kampung Merlimau, Jasin, Melaka
Abstrak
Latihan ilmiah ini dijalankan bagi mengenalpasti kewujudan buntut atau dengan nama lain ia dikenali sebagai batu geliga.
Kajian ini dijalankan secara kualitatif iaitu pengumpulan data melalui kaedah dokumentasi kepustakaan dengan mengumpulkan data-data yang diperolehi dari sorotan kajian lepas, Jurnal-jurnal berkaitan dengan alatan mistik, dan sebagainya. Selain itu, pengkaji juga menggunakan kaedah kajian lapangan yang mana pengkaji hanya tertumpu kepada satu kawasan iaitu di Kampung Merlimau, Jasin, Melaka.
Menurut perspektif Antropologi Kebudayaan, ianya menjadi satu tabiat sesetengah masyarakat untuk meminta bantuan daripada benda bukan hidup yang dikatakan mempunyai semangat. Hal ini kerana, masyarakat Melayu masih lagi dipengaruhi dengan animisme iaitu percaya kepada roh dan semangat.
Text
Sosio budaya Melayu
Gejala lepak dalam kalangan remaja Melayu : Kajian kes di Bagan Serai, Perak Darul Ridzuan
Abstrak
Bab 1 adalah pengenalan berkaitan isu lepak dalam kalangan remaja Melayu. Permasalahan kajian, objektif kajian, skop kajian, penerangan konsep orang Melayu, remaja dan lepak. Ia meliputi sorotan kajian terdahulu berkaitan kajian gejala lepak, metodologi kajian mengrangkumi kaedah lapangan dan kaedah kepustakaan dan akhir sekali adalah kesimpulan bab.
Bab 2 pula berkisar tentang latar belakang kajian. Dalam bab ini, pengkaji menyatakan beberapa aspek mengenai kawasan kajian seperti lokasi, latar belakang sejarah penduduk, sistem pentadbiran, kemudahan sosial, kemudahan utiliti serta suhu dan iklim kawasan kajian dan kesimpulan bab.
Bab 3 mengenai isu gejala lepak secara umum yang terdapat di Malaysia. Dalam bab ini, pengkaji menghuraikan faktor-faktor, kesan-kesan serta langkah penyelesaian dalam menangani gejala lepak yang semakin menular dalam kalangan remaja Melayu di Malaysia.
Bab 4 adalah berkaitan dengan analisis data yang diperolehi berdasarkan kepada borang soal selidik yang diedarkan kepada responden dan temu bual yang dilakukan terhadap informan di kawasan kajian. Pengkaji turut membincangkan faktor-faktor yang menjadi tunjang dalam pembentukan gejala lepak dalam kalangan remaja Melayu di Bagan serai serta kesan-kesan yang wujud daripada gejala berkenaan
Showing 101 to 150 of 285 results
Page
of 6
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->