Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (285 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Latihan ilmiah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
sastera Melayu
Karya terjemahan kreatif Roderick Gordon & Brian Williams :
Analisis pendekatan dan kaedah terjemahan
Abstrak
Karya-karya terjemahan telah menerima sambutan yang hangat dengan adanya pemasaran global oleh pihak penerbit pada masa kini. Namun, tidak terdapat banyak kajian yang telah dijalankan mengenai pendekatan dan kaedah dalam karya terjemahan, baik ilmiah mahupun kreatif. Kajian sedemikian amat berguna untuk mempertingkatkan mutu hasil-hasil karya terjemahan yang jumlahnya amat lumayan dalam pasaran kini. Dengan pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai teknik dan teori penterjemahan, diharapkan agar penterjemah menjadi lebih peka dalam melaksanakan tugas mereka. Ini adalah kerana kerap kali dalam pelaksanaan tugas penterjemahan, seseorang penterjemah itu akan mengalami dilema kerana wujudnya perbezaan dari segi struktur nahu dan budaya di sebalik kedua-dua bahasa tersebut. Sehubungan dengan hal ini, kajian ini telah dilaksanakan untuk menganalisis pendekatan dan kaedah yang telah digunakan dalam teks Tunnels/Terowong. Hasil dapatan kajian dapat menunjukkan kekuatan dan kelemahan seseorang penterjemah serta ruang boleh diperbaiki, seperti pemilihan leksikal dalam sesuatu konteks dan memastikan struktur serta idea dalam teks asal dikekalkan. Lantaran itu, diharapkan agar penemuan kajian ini dapat membantu penterjemah-penterjemah terus berusaha untuk mempertingkatkan lagi mutu karya mereka.
Text
Bahasa Melayu
Kata namaan dalam bahasa Kreol Portugis di Melaka
Abstrak
Kajian ini dilakukan untuk melihat aspek morfologi bahasa kreol Portugis (seterusnya BKP). Kajian ini menggunakan data dari kaedah lapangan. Selain itu, kaedah kepustakaan juga dilakukan untuk mendapat data sekunder. Data ini kebanyakannya bertumpu pada kata Nama yang diasingkan mengikut kata nama selapis dan kata Nama kompleks. Setelah itu, data ini diperhalusi mengikut sub-kategori seperti kata nama genus, kata nama bernyawa, tak bernyawa, kata nama manusia dan bukan manusia. Dari aspek genus, BKP tidak membezakan di antara manusia dan binatang pada setengah konteks. Secara tidak langsung, ini memperlihatkan perbezaan dengan bahasa Melayu standard.Seterusnya berdasarkan BKP, kata nama kompleks didapati dibentuk melalui penggabungan kata dan partikel de. Disamping itu terdapat juga sesetengah kata Nama kompleks dalam BKP yang menunjukkan unsur gender. Berdasarkan analisis juga didapati BKP mempunyai proses penggandaan yang serupa dengan bahasa Melayu standard, iaitu kata tersebut di gandakan dan bukannya menggunakan imbuhan seperti bahasa Indo-Eropah yang lain.
Text
Kata panggilan kekeluargaan masyarakat penutur dialek negeri Sembilan: Satu kajian sosiolinguistik
Abstrak
Kata panggilan kekeluargaan merupakan satu elemen yang melambangkan budaya sesebuah masyarakat. Semakin banyak masyarakat yang dikaji, semakin banyak jenis panggilan yang ditemui. Kajian ini melihat kepada jenis panggilan kekeluargaan masyarakat penutur dialek Negeri Sembilan yang dilakukan berdasarkan dua tujuan, iaitu untuk melihat jenis panggilan kekeluarga tradisi masyarakat penutur dialek Negeri Sembilan serta sejauh manakah penggunaannya pada hari ini. Kawasan kajian yang dipilih ialah Seremban, Negeri Sembilan. Kajian kepustakaan serta kajian lapangan dipilih sebagai metodologi kajian bagi kajian ini. Kaedah menganalisis data pula dibahagi kepada dua bahagian. Data kualititatif dianalisis berdasarkan teori Ervin-Tripp sementara data kuantitatif dianalisis berdasarkan model pemilihan kod oleh Holmes ( 1992). Setiap jenis panggilan kekeluargaan yang ada akan dianalisis dengan terperinci untuk mengetahui mengapa jenis panggilan sebegini wujud dan digunakan dalam masyarakat yang dikaji.
Text
Bahasa Melayu
Keberkesanan permainan bahasa sebagai alat bantu mengajar dalam penguasaan kosa kata bahasa Melayu di Sekolah Rendah Yumin
Abstrak
Proses pengajaran dan pembelajaran seringkali dilihat sebagai satu proses yang berat dan membosankan. Hal ini diburukkan lagi dengan penggunaan bahasa Melayu semakin tidak dititikberatkan di Singapura. Ramai pelajar mempunyai persepsi bahawa Pengajaran bahasa Melayu tidak sepenting mata pelajaran yang lain. Justeru, guru bahasa Melayu memikul tugas penting untuk memastikan minat untuk mempelajari bahasa Melayu akan berterusan.
Oleh sebab minat untuk menggunakan dan mempelajari bahasa Melayu semakin meruncing di Singapura, guru perlu melakarkan pengajaran yang mampu menarik minat pelajar supaya pembelajaran bahasa Melayu mudah difahami dan dihayati serta tidak membosankan. Guru harus kreatif memikirkan pendekatan dan teknik yang sesuai untuk membantu pelajar menguasai kemahiran bahasa. Salah satu cara dapat membantu menimbulkan rangsangan serta keinginan pelajar mengetahui dengan lebih mendalam tentang sesuatu pengajaran adalah dengan menggunakan alat bantu mengajar.
Dalam kajian ini, pengkaji akan menganalisis keberkesanan permainan bahasa sebagai alat bantu mengajar dan penguasaan kosa kata bahasa Melayu. Selain itu, pengkaji juga ingin memastikan sama ada permainan bahasa berjaya atau tidak dapat menarik minat pelajar dalam pembelajaran bahasa Melayu.
Kajian ini akan dijalankan ke atas pelajar-pelajar darjah 4 di Sekolah Rendah Yumin yang terletak di bahagian timor Singapura. Seramai 33 orang pelajar yang terdiri daripada pelbagai tahap kemahiran telah dipilih sebagai subjek kajian ini.
Pengkaji telah membina alat rangsangan yang berupa permainan bahasa sebagai bantu mengajar untuk mengajar kosa kata serta melakar kertas ujian untuk menganalisis keberkesanan permainan bahasa dalam penguasaan kosa kata. Pengkaji juga menjalankan soal selidik berstruktur terhadap pelajar untuk mengesan sama ada permainan bahasa berjaya atau tidak menarik minat pelajar dalam mempelajari bahasa Melayu. Hasil dapatan kajian ini akan digunakan oleh pengkaji untuk menganalisis dan mengesan keberkesanan permainan bahasa dalam membantu pelajar menguasai kosa kata bahasa melayu.
Text
Bahasa Melayu
Keberkesanan strategi pembelajaran kooperatif dalam pengajaran dan pembelajaran penulisan karangan bahasa Melayu peringkat Sekolah Rendah di Singapura
Abstrak
Kajian ini akan melihat bahasa Melayu sebagai pengandung dan penyampai ilmu pengetahuan serta pengertian pada konvensi sosial yang semestinya menepati situasi sosial masyarakat Melayu Singapura. Negara pulau Republik Singapura yang mana ekonominya berteraskan ilmu pengetahuan, sangatlah berpegang kepada konsep, prinsip dan kenyataan hidup dalam hakikat dan definisi bahasa yang telah disebut tadi. Dengan kata lain, kajian ini tidak akan berlegar pada aras bahasa sebagai sekumpulan bunyi yang diucapkan dan mengandungi komponen-komponen atau unsur-unsur seperti fonem, suku kata, morfem, perkataan, frasa, klausa, ayat dan wacana. Sebaliknya, kajian ini akan memperlihatkan bagaimana bahasa Melayu disampaikan dan diterima, atau diajarkan dan dipelajari, melalui strategi pembelajaran kooperatif dalam pengajaran dan pembelajaran penulisan karangan peringkat darjah enam di Singapura. Dalam pada itu, kajian ini juga akan memperlihatkan keberkesanan strategi pembelajaran kooperatif dalam pengajaran dan pembelajaran penulisan karangan bahasa Melayu peringkat sekolah rendah di Singapura.
Dalam membincangkan perkara -perkara yang berkaitan dengan pedagogi, istilah-istilah ‘pendekatan’, ‘kaedah’, ‘teknik’ dan ‘strategi’ sering kali disebut dan dipergunakan. Namun, sering timbul kekeliruan dan gejala tukar ganti yang membawa kepada konotasi yang berbeza istilah-istilah dan konsep-konsepnya. Oleh demikian, kajian ini akan menjelaskan istilah-istilah tersebut bersama pengertian bagi konsep-konsep dalam wacana ini. Selain itu, bab ini juga akan membincang dan menjelaskan tentang konsep-konsep lain yang bersangkutan dan penting dalam bidang dan kajian ini, seperti konsep ‘bahasa Melayu standard’, ‘bahasa ibunda’, ‘teori’, ‘kemahiran menulis’, ‘karangan’, dan ‘pengajaran dan pembelajaran’.
Selain daripada membincangkan pembelajaran kooperatif sebagai satu strategi dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran penulis bahasa Melayu, ciri-ciri dan pembinaan SPK juga akan diteliti dalam kajian ini. Kajian ini juga akan membincangkan tentang berkaitan dan peranan Teori Konstruktivisme Sosial Vygotsky, sebagai kerangka teoritis pengajaran dan pembelajaran kajian ini. Pada masa yang sama, teknik pengajaran dan pembelajaran yang digunakan dalam SPK ini, teknik susun suai (jigsaw), turut diperjelaskan untuk memperlihatkan perhubungan dan peranannya dalam teori dan model pengajaran dan pembelajaran yang dikemukakan.
Seterusnya, kajian ini akan menggambarkan keberkesanan SPK dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis karangan bahasa Melayu di peringkat darjah 6 sekolah rendah, menerusi dapatan penilaian kualitatif dan juga kuantitatif markah karangan responden (responden). Selain itu, kajian ini juga telah menggunakan jadual-jadual, rajah-rajah dan juga ilustrasi-ilustrasi bagi memperlihatkan lagi keberkesanan strategi ini. Selanjutnya, kajian ini telah mengawal penilaian dalam analisis kajian dari segi kesahihan (validity) kebolehpercayaan (reliability) pengukuran, dengan menggunakan skema pemarkahan yang sistematik dan teratur, untuk mengukur dan menilai karangan responden.
Akhir sekali, kajian ini telah merumuskan dapatan-dapatan kajian yang telah dijalankan, terutama sekali analisis kajian yang telah dibentangkan bagi memperlihatkan lagi keberkesanan dan kepentingan SPK. Perspektif teori yang berhubungan dan berkaitan dengan strategi ini, dan juga kekuatan dan kelemahan yang terdapat dalam strategi ini, juga telah dirumuskan. Kajian ini diakhiri dengan mengalu-alukan sebarang usaha untuk menyelidik tentang penerapan SPK dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah tanpa menjejas liputan kurikulum atau sukatan pelajaran sebagai penyelidikan kajian lanjutan daripada kajian kecil ini demi kemaslahatan semua.
Text
Sosio budaya Melayu
Kebun kerang : Satu kajian kes di Bagan Tengkorak, Kuala Selangor terhadap nelayan Melayu
Abstrak
Secara keseluruhannya kajian ini adalah berkaitan dengan kaedah-kaedah dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan serta masalah-masalah yang dihadapi dalam mengusahakan kebun kerang. Dalam kajian yang dilakukan ini, pengkaji telah membahagikan keseluruhan pengkajian kepada lapan bab.
Bab satu adalah mengenai pengenalan kepada kerang dan sektor perikanan di malaysia. Dalam bab ini juga, menerangkan sedikit sebanyak tentang objektif dan kepentingan kajian ini dilakukan. Skop kajian dan metodologi kajian juga diterangkan bagi memahami perbincangan tentang tahap kajian yang dilakukan oleh pengkaji. Selain itu, pengkaji juga mengutarakan masalah yang dihadapi ketika kajian ini dilakukan .
Manakala dalam bab kedua penulis membincangkan latar belakang kawasan kajian dan juga latar belakang responden. Kajian-kajian terdahulu yang berkaitan juga diberikan dalam bab ini untuk mengukuhkan lagi maklumat kajian.
Segala aktiviti-aktiviti mengenai ternakan kerang dihuraikan dalam bab tiga. Manakala dalam bab empat pula, pengkaji telah menceritakan segala masalah-masalah yang berkaitan dengan perusahaan kebun kerang. Dalam bab seterusnya, penulis telah mengemukakan segala perbincangan sama ada berbentuk positif atau negatif. Segala pemerhatian dan kajian yang dilakukan telah ditulis mengikut pandangan pengkaji sendiri. Manakala dalam bab seterusnya pengkaji telah mencadangkan kajian yang berkaitan dengan kebun kerang pada masa akan datang serta di bab yang terakhir pula, pengkaji juga telah menyimpulkan segala kajian yang telah dilakukan mengenai kebun kerang.
Text
Sosio budaya Melayu
Kehidupan ibu tunggal : Satu kajian kes di Jajahan Pasir Mas, Kelantan
Abstrak
Ibu tunggal memang sudah menjadi sinonim dalam kehidupan sesebuah masyarakat, ini kerana dalam kehidupan manusia kes-kes kematian , penceraian pergaduhan, ketidaksefahaman dan sebagainya yang boleh membawa kepada keruntuhan rumahtangga adalah sudah menjadi perkara yang biasa.
Kajian mengenai kehidupan ibu tunggal dilakukan bertujuan bagi melihat punca menyebabkan berlakunya penceraian dan menyebabkan bergelar sebagai seorang ibu tunggal, seterusnya dalam kajian ini adalah bertujuan bagi mengetahui masalah dan cabaran yang dihadapi oleh para ibu tunggal. Selain itu, mengetahui bagaimana bentuk bantuan yang diberi oleh pihak berkuasa dan juga melihat sedikit dari segi pandangan masyarakat sekeliling terhadap golongan ibu tunggal di Pasir Mas, Kelantan.
Text
Sosio budaya Melayu
Kepercayaan orang Melayu terhadap Buntat (Batu Geliga) : Kajian kes di Kampung Merlimau, Jasin, Melaka
Abstrak
Latihan ilmiah ini dijalankan bagi mengenalpasti kewujudan buntut atau dengan nama lain ia dikenali sebagai batu geliga.
Kajian ini dijalankan secara kualitatif iaitu pengumpulan data melalui kaedah dokumentasi kepustakaan dengan mengumpulkan data-data yang diperolehi dari sorotan kajian lepas, Jurnal-jurnal berkaitan dengan alatan mistik, dan sebagainya. Selain itu, pengkaji juga menggunakan kaedah kajian lapangan yang mana pengkaji hanya tertumpu kepada satu kawasan iaitu di Kampung Merlimau, Jasin, Melaka.
Menurut perspektif Antropologi Kebudayaan, ianya menjadi satu tabiat sesetengah masyarakat untuk meminta bantuan daripada benda bukan hidup yang dikatakan mempunyai semangat. Hal ini kerana, masyarakat Melayu masih lagi dipengaruhi dengan animisme iaitu percaya kepada roh dan semangat.
Text
Sosio budaya Melayu
Kesan teknologi moden dalam pembuatan makanan tradisi Melayu : Kajian kes budu
Abstrak
Kajian ini akan menghuraikan tentang kesan teknologi moden dalam pembuatan makanan tradisi Melayu dengan penumpuan kepada budu. Perubahan teknologi moden bukan hanya melibatkan aspek alatan tetapi turut melibatkan aspek kehidupan dan budaya dalam masyarakat Melayu. Perubahan atau kesan dari teknologi moden dalam pembuatan makanan tradisi Melayu dapat dilihat daripada proses pembuatan budu dan hubungan sosial dalam masyarakat Melayu.
Objektif kajian akan melihat daripada dua aspek iaitu aspek material dan bukan material. Aspek material akan dilihat daripada proses-proses pembuatan budu dimana melibatkan alatan dan juga tenaga kerja yang digunakan. Manakala dari aspek bukan material dijelaskan kesan perubahan teknologi ke atas hubungan sosial dalam masyarakat Melayu.
Perubahan-perubahan ini telah mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu secara keseluruhannya. Perubahan yang tercetus dari kemasukan teknologi moden ini telah menghakis amalan-amalan yang menjadi kebiasaan masyarakat Melayu. Kajian ini akhirnya dapat membuktikan terdapat perubahan yang berlaku dalam masyarakat Melayu disebabkan oleh kemasukan teknologi moden.
Text
sastera Melayu
Kesantunan bahasa dalam pantun Melayu
Abstrak
Kesantunan bahasa merupakan satu tatacara kehidupan yang amat dititikberatkan oleh bangsa terutamanya dalam kalangan orang-orang Melayu. Kesantunan bahasa dikaitkan dengan penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab dan memaparkan peribadi mulia seseorang ketika berkata-kata dengan pihak yang berbicara. Keperibadian yang mulia itu juga mampu menjalinkan satu hubungan yang harmoni dalam berkomunikasi dan menjadikan masyarakat yang bersantun itu dipandang mulia dan dihormati.
Dalam kajian ini pengkaji ingin mengenal pasti beberapa faktor kesantunan yang terdapat dalam pantun yang sememangnya telah mendarah daging dan menjadi sinonim pada masyarakat Melayu terdahulu. Beberapa aspek kesantunan akan disentuh dalam mengkaji kesantunan dalam pantun Melayu ini. Pengkaji menjurus kepada budi dalam pantun dan cuba mengupas kesantunan bahasa yang dimanifestasikan dalam bait-bait pantun budi itu.
Bab 1: dalam bab ini pengkaji akan menyelami beberapa jenis pantun untuk menyingkap kehidupan orang-orang Melayu dalam menyemai sikap dan sifat kesantunan melalui pantun sebagai alat pendidikan kepada anak-anak mereka. Di samping itu, dimuatkan juga latar belakang kajian, objektif kajian, permasalahan kajian, batasan kajian, kepentingan kajian, metodologi kajian dan takrifan kajian.
Bab 2: dalam bab ini dikemukakan tentang sorotan kajian dan beberapa kajian lampau yang menunjukkan kajian kesantunan bahasa dan kajian pantun.
Bab 3: dalam bab ini dikemukakan sejauh mana pantun Melayu dapat dibuktikan sebagai satu wadah kesantunan bahasa dalam kalangan orang-orang Melayu. Teori Leech yang memperkenalkan maksim kesantunan menerusi bukunya Principles of Pragmatics, telah digunakan sebagai kerangka teori kajian. Dalam maksim Leech, beliau menekankan semua konsep sopan dalam perhubungan sesama manusia, terutamanya apakah maksud yang hendak disampaikan oleh penutur dan keberkesanan makna yang diterima pendengar. Enam maksim Leech telah dihuraikan dalam bab ini.
Bab 4: bab ini merupakan analisis pantun budi yang dipetik daripada buku Kurik Kundi Merah Saga. Pantun-pantun budi itu dihuraikan dan dikaitkan dengan 6 maksim kesantunan menurut teori Leech.
Bab 5: bab ini merupakan bab penutup yang menghuraikan secara keseluruhan terhadap kajian yang dilakukan. Bahagian ini juga menyentuh tentang peranan pantun dalam memaparkan kesantunan bahasa Melayu ketika zaman itu yang masih boleh diguna pakai dalam mendidik dan memupuk kesantunan bahasa dalam kalangan anak Melayu.
Text
Bahasa Melayu
Kesantunan berbahasa dalam komunikasi tulisan : Analisis kajian guru-guru bahasa Melayu Sekolah Rendah Park View (Singapura)
Abstrak
Dalam kerjaya seorang guru, penelitian terhadap aspek kesantunan berbahasa amat dititikberatkan demi mewajahkan keprofesionalannya dalam bidang pendidikan. Sehubungan itu, kesantunan berbahasa dalam komunikasi secara tulisan antara guru dengan pelbagai pihak yang berkepentingan dalam pendidikan seringkali dipandang enteng, lantas boleh menimbulkan pelbagai konflik dan masalah di sekolah. Oleh sedemikian, guru harus menggalas tanggungjawab yang berat dalam menerapkan kesantunan berbahasa semasa berkomunikasi. Justeru, bertunjangkan konsep teori kesantunan Asmah Hj. Omar, kajian kepustakaan dan lapangan secara kualitatif deskriptif ini merungkai unsur-unsur kesantunan asas berkendala yang seharusnya menjadi garis pandu setiap guru. Dalam hal ini, dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas peperiksaan, rubrik penilaian, surat, e-mel, Whatsapp digunakan sebagai paksi penganalisisan kajian ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Kesantunan leksikal dalam filem Ombak Rindu dan hubungannya dengan komunikasi berkesan
Abstrak
Kajian ini berfokus pada aspek kesantunan leksikal yang terdapat dalam dialog filem Ombak Rindu (2010), iaitu dialog antara dua watak utama filem tersebut. Kajian dalam bidang pragmatik yang dilakukan ini akan mengenal pasti padanan leksikal dengan berpandukan Tesaurus Bahasa Melayu Dewan Edisi Baharu (2010) dan juga Tesaurus Bahasa Melayu Dewan Edisi Kedua (2011). Dengan menganalisis data leksikal dan dua padanan katanya, di samping memberikan fitur makna binari [+] dan [-], ketepatan pemilihan leksikal yang digunakan dalam dialog filem Ombak Rindu akan dapat diperlihatkan. Selain itu, kajian ini juga akan mengaplikasikan model Prinsip Kesantunan Leech(1983) berdasarkan keenam-enam maksim dalam model tersebut. Terdapat 310 data analisis yang telah dikategorikan berdasarkan 11 jenis pengkategorian kata leksikal. Dapatan analisis menunjukkan bahawa hasil pemadanan data leksikal analisis komponen makna bagi setiap data leksikal, ketepatan pemilihan leksikal dalam dialog filem Ombak Rindu telah dipengaruhi oleh empat faktor utama, iaitu konteks peristiwa, latar belakang watak, struktur suku kata dan kekerapan penggunaan sesuatu kata dalam komunikasi seharian. Faktor konteks peristiwa (100 peratus) dan latar belakang watak (100 peratus) merupakan faktor yang paling dominan dalam menentukan ketepatan leksikal dalam dialog filem manakala faktor struktur suku kata (44.4 peratus) merupakan faktor yang paling kurang dominan. Dapatan analisis turut menunjukkan bahawa 167 (53.9 peratus) data leksikal telah mematuhi Prinsip Kesantunan Leech (1983) manakala sebanyak 143 946.1 peratus) data leksikal didapati tidak mematuhi prinsip kesantunan tersebut. Maksim kebijaksanaan (46.8 peratus) merupakan maksim yang paling dominan berdasarkan konteks penggunaan leksikal dalam dialog filem Ombak Rindu.
Text
Sosio budaya Melayu
Keunikan amalan rewang di dalam masyarakat Jawa : kajian kes di Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan
Abstrak
Amalan rewang ini merupakan amalan tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Jawa sejak dari dahulu sehingga kini. Jika diteliti, amalan rewang ini sudah dianggap biasa sahaja di kalangan masyarakat setempat tetapi sebenarnya ia adalah suatu amalan yang mempunyai keunikan yang tersendiri. Di dalamnya itu sendiri mengandungi pelbagai kebudayaan yang lain. Rewang ini juga adalah salah satu amalan yang baik kerana ia boleh mengeratkan lagi hubungan silaturrahim masyarakat setempat.
Justeru, kajian ini dibuat agar keunikan rewang itu dapat dilihat dengan lebih jelas lagi. Jadi ia bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh masyarakat Jawa sahaja malahan masyarakat lain juga boleh mengetahui tentang amalan rewang ini. Oleh itu, secara tidak langsung dapat memberi sedikit ilmu berkaitan dengan amalan tradisi masyarakat Jawa ini.
Text
Kesenian Melayu
Keunikan seni tatu dalam kalangan masyarakat Iban : Kajian kes Kuching, Sarawak
Abstrak
Kajian ini cuba mengetengahkan keunikan seni tatu dalam kalangan etnik Iban di Sarawak. Seni tatu merupakan tradisi masyarakat Iban yang diwarisi turun-temurun. Dalam penulisan ini, telah dimuatkan asal-usul seni tatu dan etnik Iban, peralatan serta bahan dalam penghasilan tatu, cara-cara membuat tatu melalui kaedah tatuk, asal-usul motif tatu, peranan seni tatu dan risikonya serta masa depan seni tradisi masyarakat Iban ini.
Latihan ilmiah ini mengandungi enam bab. Bab Pertama adalah Bab Pendahuluan yang menyentuh tentang permasalahan kajian, kajian -kajian lepas, matlamat kajian, kaedah kajian, batasan kajian dan dinamik setiap bab. Dalam Bab Kedua pula telah dijelaskan tentang latar belakang kawasan kajian, iaitu sejarah bandaraya Kuching, kedudukan dan saiz bandaraya Kuching, serta kepelbagaian etnik di bandaraya Kuching.
Bab Ketiga membincangkan tentang konsep-konsep penting dan pengenalan kepada seni tatu yang meliputi konsep umum seni, tatu dan etnik Iban. Asal-usul ukiran tatu juga diceritakan melalui mitos-mitos di samping memaparkan peralatan serta bahan untuk membuat tatu beserta proses-proses pembuatan tatu dengan menggunakan kaedah tradisional. Dalam Bab Keempat, motif-motif serta simbolisme di sebalik tatu juga di terangkan satu-persatu.
Dalam Bab Kelima, peranan seni tatu dan risiko daripada pembuatan tatu di jelaskan dengan terperinci. Peranan tatu pada masa dahulu dan kini dinyatakan setelah melakukan kajian dan pandangan daripada pihak yang terlibat. Dalam bab terakhir, dipaparkan masa depan tatu entik Iban yang membincangkan tentang transformasi yang dialami oleh tatu, faktor-faktor perubahan seni tatu serta cadangan-cadangan untuk memartabatkan seni tradisi masyarakat Iban ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Komunikasi antara budaya : Kajian kes di Petaling Jaya, Selangor
Abstrak
Tajuk kajian ini ialah “Komunikasi antara budaya: Kajian kes di Petaling Jaya, Selangor”. Tujuan kajian ini dijalankan untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kaum Cina berkomunikasi dengan kaum Melayu dan mengkaji pengetahuan kaum Cina terhadap budaya orang Melayu, khususnya dalam aspek pakaian.
Hipotesis awal tentang kajian ini adalah komunikasi antara komuniti Cina dan Melayu masih kurang berlaku melalui kejiranan. Golongan muda lebih mementingkan kehidupan sendiri berbanding berinteraksi dengan jiran Melayu. Komunikasi antara kedua-dua komuniti ini mungkin berlaku secara tidak disengajakan. Jenis bahasa yang dijangka digunakan oleh kedua-dua kaum ini semasa berkomunikasi adalah bahasa Melayu.
Dari segi budaya pula, komuniti Cina dijangka mempunyai pandangan yang stereotaip terhadap pakaian tradisional masyarakat Melayu. Kekurangan pemahaman komuniti Cina terhadap pakaian tudung, baju kurung, songkok, baju Melayu, dan sampin masa ketara. Penerapan pakaian tradisional Melayu ke dalam budaya masyarakat Cina jarang berlaku.
Justeru, hipotesis atau jangkaan awal yang dibuat berdasarkan tajuk ini merupakan pandangan stereotaip pengkaji. Jangka-jangka ini mungkin tidak tepat dan hanya sekadar panduan untuk memperolehi hasil dapatan yang sebenar di akhir kajian ini dijalankan.
Text
Sosio budaya Melayu
Konsep 1 Malaysia dan cabaran perpaduan antara etnik : Satu kajian kes terhadap pelajar-pelajar Universiti Malaya
Abstrak
Perpaduan merupakan satu proses untuk menyatupadukan anggota masyarakat dan negara melalui pelbagai kaedah. Perpaduan penting supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka. Perpaduan merupakan perkara yang sangat penting untuk membentuk masyarakat yang kukuh ukhwahnya. Di Malaysia, perpaduan berperanan dalam menjana pembangunan negara.
Perpaduan boleh dipupuk melalui dasar-dasar yang dibawa oleh setiap pemimpin negara. Antara dasar yang menekankan pemupukan semangat perpaduan ialah pelaksanaan 1 Malaysia. Dasar ini masih lagi dalam pelaksanaan di Malaysia. Pelaksanaan 1 Malaysia yang berpaksikan perpaduan ini dianggap dapat membentuk bangsa Malaysia seperti yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri.
Dalam era globalisasi masa kini, perpaduan menjadi alat penghujung bagi proses komunikasi dan interaksi antara masyarakat. Namun, dalam membentuk perpaduan pelbagai halangan dan rintangan yang perlu dihadapi. Oleh itu, Perdana Menteri Malaysia telah memperkenalkan Konsep 1 Malaysia bagi memantapkan lagi masyarakat Malaysia. Namun begitu, penerimaan masyarakat terhadap konsep ini masih dalam pemerhatian pihak kerajaan.
Kajian ini dilakukan bagi mengenalpasti penerimaan pemahaman masyarakat terhadap pelaksanaan 1 Malaysia dalam mengukuhkan perpaduan negara. Tumpuan kajian tertumpu kepada golongan pelajar Universiti Malaya ini telah dapat mengenalpasti penerimaan masyarakat Malaysia terhadap pelaksanaan 1 Malaysia dalam mengukuhkan perpaduan negara.
Text
sastera Melayu
Konseptual Abdul Rahim Kajai
dalam kumpulan cerpen Rahsia dalam Rahsia
Abstrak
Kajian cerpen-cerpen ini adalah bertujuan untuk melihat sejauhmana konsepsi pengarang terhadap suatu konsep yang dikemukakan dalam karya. Pengkaji cuba meneliti teks kajian lebih terperinci untuk mendapatkan hasil kajian yang baik seperti mana yang diingini.
Sebanyak enam buah cerpen digunakan berdasarkan tiga buah tema yang dipilih untuk diterapkan kepada teori kata konseptual kunci. Pengkaji akan meneliti konsep-konsep yang terdapat berdasarkan perkataan-perkataan yang digunakan untuk menunjukkan kata kunci dalam setiap konsep yang dikaji. Perkataan-perkataan tersebut adalah menggambarkan konsep dan konsepsi pengarang terhadap idea yang disampaikan.
Tiga konsep utama akan dianalisis iaitu konsep kasih sayang, penderitaan dan penyesalan. Ini kerana dalam penghasilan karya oleh pengkarya melibatkan aspek kepengaruhan, pemilihan kata dan kesan diturunkan ke dalam karya. Oleh itu, konseptual Abdul Rahim Kajai menjadi tujuan utama pengkaji iaitu melihat hubungan karya yang dihasilkan dengan pengkarya itu sendiri.
Oleh itu, dalam kajian ini pengkaji menemukan bahawa karya-karya yang dihasilkan oleh Abdul rahim Kajai adalah lebih cenderung kepada aspek kekeluargaan yang mencetuskan pelbagai masalah yang selanjutnya memberi kesan dalam kehidupan watak-watak. Ini kerana, pengarang sering mengaitkan masalah yang berlaku dengan sebab dan akibat yang berlaku kepada keluarga sebelum merebak kepada aspek lain. Begitu juga pengarang apabila lebih gemar untuk memberi perutusan kepada khalayaknya berbanding aspek-aspek lain dijadikan sebagai sampingan sahaja.
Justeru itu, kajian ini akan menerapkan teori konseptual kata kunci kepada cerpen untuk melihat konsep-konsep yang digunakan dan untuk menggambarkan pemikiran pengarang (konsepsi). Dengan itu, memberi gambaran bahawa setiap pengkarya mempunyai kata kunci yang tersendiri dalam mengemukakan idea dan tujuannya dalam setiap karyanya.
Text
sastera Melayu
Konseptual Keris Mas dalam Kumpulan cerpen Darah dan Air Mata : Penerapan terhadap teori konseptual kata kunci
Abstrak
Kajian tentang kumpulan cerpen Keris mas ini adalah bertujuan untuk melihat kata-kata kunci yang terdapat di dalam cerpen tersebut. Pengkaji telah menggunakan Teori Konseptual Kata Kunci yang dihasilkan oleh Profesor Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan untuk mengkaji cerpen-cerpen Keris Mas ini.
Dalam bab pendahuluan, pengkaji menyentuh tentang latar belakang kajian, tujuan kajian, permasalahan kajian, kaedah/metodologi kajian, batasan kajian, kajian terdahulu, landasan teori/konsep, dan pembahagian bab. Dalam bab ini juga pengkaji menyatakan tentang fokus kajian yang hanya tertumpu kepada penggunaan teori untuk mengkaji cerpen Keris Mas.
Dalam bab pertama, pengkaji menghuraikan tentang teori konseptual kata kunci yang digunakan. Selain dari itu, pengkaji juga turut mengemukakan prinsip-prinsip yang terdapat dalam teori tersebut serta contoh-contoh yang terdapat di dalam teori tersebut.
Dalam bab kedua pula, pengkaji menceritakan tentang latar belakang pengarang dan kepengaranganya dalam menghasilkan cerpen. Di samping itu juga, turut dibincangkan tentang pengalaman pengarang dan sinopsis cerpen yang hendak dikaji.
Seterusnya, dalam bab ketiga pengkaji membincangkan tentang pendekatan Teori Konseptual Kata Kunci. Dalam pendekatan ini dibincangkan tentang analisis konsep dan analisis cerpen. Konsep yang digunakan oleh pengkaji ialah konsep ‘perjuangan’,konsep ‘kemajuan’ dan konsep ‘cinta’.
Manakala bab terakhir, iaitu bab kelima pengkaji merumuskan tentang dapatan kajian yang diperolehi. Seterusnya pengkaji turut mengemukakan ulasan dan pendapat mengenai penggunaan teori konseptual kata kunci terhadap cerpen-cerpen Keris Mas tersebut.
Text
Kosmologi dalam perbomohan di antara bomoh Melayu dan Bomoh Siam : Kajian kes di Kampung Bukit Mak Insun, Pendang, Kedah
Abstrak
Kosmologi terhadap perbomohan dan perbomohan Siam adalah di antara satu sama lain iaitu kedua-duanya mempercayai akan kewujudan kekuasaan dan kebesaran Tuhan serta mempercayai akan kewujudan alam ghaib. Selain itu, bomoh Melayu dan bomoh Siam juga mempercayai akan hubungan alam ghaib dalam alam manusia saling berkait di antara satu sama lain. Walaubagaimanapun, perbezaan di antara kedua-sua perbomohan Melayu dan Siam hanya dapat dilihat dari segi perawatan dan teknik-teknik dalam merawat dan berhubung dengan alam ghaib seperti jin, hantu, ‘khadam’, ‘syeikh’ dan sebagainya.
Text
Kosmologi melayu dalam seni persembahan ritual Mek Mulung
Abstrak
Kajian ini adalah satu penerokaan terhadap sebuah persembahan kesenian warisan Kedah Tua yang merupakan lambang identiti unik negeri Kedah kerana ia dipercayai telah diwarisi sejak ratusan tahun dahulu. Sebagai sebuah persembahan rakyat, Mek Mulung adalah persembahan yang lengkap dengan gabungan elemen-elemen seperti nyanyian, cerita, tarian, muzik dan lakonan yang berfungsi sebagai hiburan kepada penduduk setempat. Selain berfungsi sebagai hiburan rakyat, Mek Mulung juga berfungsi sebagai ritual kerana ia melibatkan ritual perubatan yang merupakan bahagian terpenting dalam persembahan ini. Fokus utama kajian ini adalah berpandukan kepada tiga objektif iaitu, mengkaji ciri-ciri dan struktur persembahan yang terdapat di dalam seni persembahan Mek Mulung; mengkaji unsur kosmologi Melayu yang terdapat di dalam seni persembahan Mek Mulung dan mengkaji proses-proses ritual yang terdapat dalam seni persembahan Mek Mulung. Teknik pengumpulan data yang digunakan dalam kajian ini terdiri daripada instrumen kajian seperti, kaedah temubual yang melibatkan informan yang terdiri daripada ahli kumpulan Mek Mulung. Selain itu, kaedah kepustakaan juga banyak digunakan dalam usaha pengkaji mendapatkan bahan-bahan bercetak sebagai rujukan. Seterusnya, kaedah pemerhatian digunakan untuk memerhatikan setiap ciri-ciri dan struktur yang terdapat dalam persembahan. Hasil dapatan kajian mendapati bahawa ciri-ciri khusus Mek Mulung dapat dilihat dari segi busana dan props, lagu, tarian dan nyanyian, esembel-esembel muzik, watak dan perwatakan serta peringkat-peringkat persembahan. Namun dalam konteks yang lebih mendalam, kajian ini tidak sekadar menumpukan struktur persembahan sahaja,tetapi ingin menelusuri aspek kosmologi Melayu yang terdapat dalam persembahan Mek Mulung. Kosmologi berkaitan dengan kajian terdapat alam semesta (cosmos) yang mencakupi ruang lingkup mengenai alam nyata ( fizikal) dan alam ghaib ( metafizik ). Persembahan Mek Mulung banyak mengandungi unsur-unsur yang mempengaruhi dunia metafizik kerana mereka percaya akan kewujudan makhluk ghaib yang dipercayai sebagai roh leluhur nenek moyang mereka. Perkara ini membuktikan bahawa Mek Mulung merupakan persembahan yang menghubungkan manusia dengan kuasa ghaib. Sebagai satu persembahan, Mek Mulung juga berfungsi sebagai ritual malah dalam konteks seni persembahan upacara ritual lazimnya bertujuan untuk menyembuhkan pelbagai penyakit khususnya penyakit akibat gangguan makhluk halus. Oleh itu, persembahan ritual perubatan Mek Mulung adalah suatu upacara yang terhasil daripada tindakan atau keinginan untuk mencari hubungan dengan dunia ghaib (metafizik). Kedudukan ritual merupakan simbolik yang menunjukkan rasa hormat kepada roh leluhur nenek moyang mereka yang dipercayai menjadi pelindung bagi persembahan ini, oleh itu ritual perubatan dalam Mek Mulung dianggap bahagian yang sangat penting.
Text
Kesenian Melayu
Kraftangan anyaman buluh : Kajian kes di Kampung Jal Kechil, Tumpat, Kelantan
Abstrak
Kraftangan anyaman buluh di Malaysia telah dihasilkan oleh masyarakat Melayu terutamanya bagi masyarakat pinggir bandar dan kampung. Kraftangan anyaman akan dikenali sebagai seni kraftangan masyarakat Melayu. Pelbagai barangan yang dihasilkan seperti bakul, bekas hantaran, kipas tangan, pelapik periuk dan juga cenderahati. Kraftangan anyaman buluh ini, mempunyai ragam hias yang tertentu bagi tujuan mencantikkan lagi anyaman tersebut. Ragam hias dalam anyaman buluh ini kebiasaanya di panggil kelarai yang melibatkan motif dan corak dalam anyaman tersebut. Keindahan semula jadi alam dijadikan sebagai sumber ilham kepada penganyam untuk menghasilkan anyaman berdasarkan motif dan corak yang berasaskan alam sekeliling. Sambutan terhadap barangan kraftangan anyaman buluh dahulu sangat menggalakkan kerana ia merupakan keperluan seharian masyarakat Melayu. Pada masa kini, kraftangan anyaman buluh di Malaysia kurang diminati oleh masyarakat. Pertumbuhan teknologi yang semakin canggih hampir-hampir menenggelamkan kraftangan anyaman buluh yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu. Disebabkan hal itu, sambutan terhadap produk buluh kini berkurangan dan sangat terkesan pada seni pertukangan perak. Hal ini merupakan cabaran yang perlu ditempuhi oleh pengusaha-pengusaha kraftangan anyaman buluh. Pelestarian terhadap barangan buluh ini kini, boleh kenal pasti oleh pihak-pihak yang tertentu agar kraftangan anyaman buluh terus mekar dan mendapat sambutan masyarakat tempatan mahupun luar negara.
Text
sastera Melayu
Kumpulan cerpen Istana Berembun Karya Ishak Hj. Muhammad Penerapan terhadap teori konseptual kata kunci
Abstrak
Latihan ilmiah yang telah dilakukan ini adalah bertujuan untuk melihat konsepsi pengarang Ishak Hj. Muhammad (Pak Sako) dalam memberi pendapat atau pandangan beliau terhadap sesuatu konsep yang diutarakan dalam sesebuah karyanya. Kajian yang dijalankan ini adalah berdasarkan teori konseptual kata kunci.
Dalam kajian ini, penelitian yang dibuat adalah berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang terdapat dalam teori tersebut iaitu kepengaruhan, pemilihan kata dan kesan. Melalui penerapan teori ini konsepsi pengarang dilihat melalui kepengaruhan pengarang tersebut dalam membina atau menghasilkan karyanya yang dikaji terhadap latar belakang, pendidikan, masyarakat, pekerjaan, dan sebagainya. Melaluinya juga penelitian berdasarkan penggunaan kata kunci atau pemilihan kata yang digunakan oleh pengarang tersebut dalam karyanya untuk menggambarkan sesuatu konsep yang dikemukakan. Dalam hal ini juga, pengkajian seterusnya dapat melihat kesan yang mungkin pengarang ingin tinggalkan kepada para pembaca melalui karya yang dihasilkan, iaitu dengan mendalami setiap isi kandungan karya yang dihasilkan.
Pengkajian yang dijalankan ini juga dapat melihat sejauh manakah keberkesanan teori konseptual kata kunci ini dalam menerapkan ke dalam karya-karya sastera tempatan terutamanya.
Hasil kajian yang lebih lanjut dapat dilihat dalam pengkajian atau penelitian yang telah dihasilkan dalam latihan ilmiah ini iaitu bab satu menerangkan tentang teori konseptual kata kunci itu sendiri, bab dua tentang pengarang dan kepengarangan Ishak Hj. Muhammad dan bab tiga pula membincangkan tentang konsep-konsep yang kemudiannya diterapkan atau diaplikasikan melalui teori konseptual kata kunci ini.
Text
Kumpulan cerpen Peter Augustine Goh rahsia sebuah kasih sayang : Kajian terhadap unsur-unsur islam
Abstrak
Kajian cerpen-cerpen ini adalah bertujuan untuk melihat sejauh mana pengarang mengemukakan unsur Islam dalam karya-karya yang dihasilkan. Pengkaji cuba untuk meneliti teks kajian dengan lebih terperinci untuk mendapatkan hasil kajian yang baik seperti mana yang diingini.
Sebanyak lapan buah cerpen telah digunakan dalam menghasilkan kajian ini. Cerpen-cerpen ini didapati daripada kumpulan cerpen rahsia sebuah kasih sayang oleh Peter Augustine Goh.
Dalam bab pertama,pengkaji menyentuh tentang pendahuluan dan di dalam bab ini juga dibincangkan tentang pengenalan, tujuan kajian, permasalahan kajian, kajian terdahulu, batasan kajian, kaedah kajian, kajian awal dan juga bahan kajian. Dalam bab ini juga pengkaji telah menjelaskan tentang fokus kajian yang hanya tertumpu kepada unsur Islam sahaja.
Dalam bab kedua pula,pengkaji membincangkan tentang apa itu sastera Islam. Ini termasuklah maksud sastera Islam, konsep sastera Islam,ciri-ciri sastera Islam, sumber dan kandungan sastera Islam, tujuan sastera Islam serta konsep keindahan dalam Islam.
Seterusnya, dalam bab ketiga pula pengkaji memfokuskan kepada sejarah perkembangan sastera Islam di Malaysia. Ini bermula dari zaman pra-islam, zaman kedatangan Islam, zaman penjajah, penubuhan ASAS 50, dan juga tahun 1970an dan tahun 1980an. Selain itu dalam bab ini turut dibincangkan tentang pendekatan sastera Islam.
Dalam bab terakhir,iaitu bab lima, pengkaji telah merumuskan tentang hasil kajian yang diperolehi. Seterusnya pengkaji turut mengemukakan cadangan kepada pengkaji yang akan datang. Dalam bab ini turut dibincangkan tentang masa depan sastera Islam di malaysia.
Text
Kumpulan Teater Akrab : Pengurusan organisasi, aktiviti dan kejayaan (1998-2004)
Abstrak
Kajian yang dibuat ini mengenai salah sebuah persatuan yang terlibat di dalam memperjuangkan seni teater di Malaysia. Persatuan yang dikaji ini merupakan sebuah persatuan yang sedang meningkat naik dalam seni teater dan merupakan sebuah persatuan yang terbaik di negeri Kedah. Persatuan ini ialah Persatuan Penggerak Warisan Budaya atau lebih dikenali sebagai AKRAB.
AKRAB merupakan salah sebuah persatuan yang sedang mencipta nama di dalam bidang seni teater di negeri Kedah. AKRAB memainkan peranan sebagai pemangkin ke arah memperjuangkan seni teater ke peringkat yang lebih tinggi. Penglibatan AKRAB hampir tujuh tahun bermula pada tahun 1998 sehingga kini di dalam seni penteateran ini membuktikan bahawa dunia teater kita tidak pernah sunyi dengan kehadiran penggait-penggait muda yang berbakat dalam menyumbangkan idea, bakat dan lakonan yang bermutu kepada masyarakat.
Sepanjang tempoh penglibatan dalam bidang seni ini. AKRAB cuba membawa pelbagai jenis bentuk persembahan bersesuaian dengan kehendak masyarakat yang mahukan kelainan dalam setiap pementasan yang dibuat. Ternyata, AKRAB mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri apabila berjaya menobatkan diri sebagai juara di dalam pertandingan teater dalam jangka masa empat tahun berturut-turut bagi peringkat negeri selain pernah berjaya merangkul kejuaraan di dalam Pekan Teater Kebangsaan pada tahun 2001. Sesungguhnya, kejayaan ini merupakan pencetus semangat untuk AKRAB terus berjuang memartabatkan seni warisan budaya ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Laras Bahasa Dusun Selimoh
Abstrak
Bahasa merupakan alat komunikasi bagi manusia yang telah dijadikan oleh Allah S.W.T sebagai khalifah dimuka bumi ini . Tanpa bahasa tidak mungkin manusia dapat mentadbir bumi dengan sempurna. Bahasa adalah pencetus idea-idea bagi manusia untuk mencapai kemajuan dan keharmonian hidup sesama insan.
Latihan ilmiah ini, mengkaji laras BD dalam akhbar NST. Kajian ini bertujuan meneliti laras-laras yang terdapat dalam akhbar BD. Seterusnya beberapa jenis laras yang diperolehi akan dianalisis untuk melihat ciri-ciri yang terdapat dalam laras tersebut.
Bab 1 akan membincangkan latar belakang kajian, tujuan kajian, kaedah kajian, skop kajian, bahan kajian masalah kajian dan metodologi kajian, dalam Bab 2 pula, kajian akan membincangkan tentang definisi laras, ciri-ciri yang perlu dilihat untuk mengkaji sesuatu laras dalam akhbar dan akhir sekali penutup iaitu rumusan daripada perkara yang dibincangkan dalam bab 2.
Seterusnya, Bab 3 akan membincangkan tentang aspek perbendaharaan kata. Antara aspek yang diteliti ialah jenis istilah yang digunakan dalam laras tersebut. Aspek perbendaharaan kata ini akan dilihat dalam 3 jenis laras yang terdapat dalam akhbar dan seterusnya diteliti untuk dianalisis. Laras-laras yang akan dianalisis ialah laras berita politik, laras berita undang-undang dan laras berita rencana pendidikan.
Dalam Bab 4 pula aspek morfologi dan sintaksis akan dibincangkan. Aspek morfologi akan dilihat dari aspek golongan kata iaitu kata kerja berimbuhan dari kata tugas. Manakala aspek sintaksis akan melihat dari aspek ayat penyata,ayat aktif, ayat majmuk dan ayat pemeri. Tujuan utama analisis dalam bab ini adalah untuk melihat ciri-ciri laras yang terdapat dalam bahasa Dusun. Jenis laras yang akan dikaji dalam analisis bab 4 ialah laras berita politik, laras berita undang-undang dan laras berita ruangan pendidikan.
Akhir sekali Bab 5 akan membincangkan rumusan daripada keseluruhan bab yang telah dibincangkan. Selain itu, terdapat juga cadangan-cadangan yang disertakan oleh penulis tentang kajian yang perlu untuk perkembangan bahasa Dusun.
Text
Bahasa Melayu
Leksikografi : Masalah penyenaraian entri dalam kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam
Abstrak
Latihan ilmiah ini mengandungi lima bab keseluruhannya dan berserta penutup. Pada dasarnya kajian ini adalah meneliti aspek yang berkaitan dengan bidang leksikografi, iaitu masalah penyenaraian entri dalam kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam. Kajian ini juga meneliti aspek pemaknaan yang terdapat dalam kamus tersebut.
Bab satu kajian ini membincangkan sejarah perkamusan Melayu di Malaysia. Aspek yang diteliti juga ialah definisi kamus. Pengklasan kamus, sejarah jenis kamus dan ciri-ciri kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam.
Bab dua kajian ini pula membincangkan mengenai latar belakang kajian. Bab ini juga menyentuh tentang kaedah, tujuan, skop dan konsep kajian yang dijalankan.
Bab tiga kajian ini ialah penelitian yang dibuat mengenai masalah persembahan entri dalam kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam. Perbincangan dalam bab ini adalah mengenai entri yang maknanya bersifat kabur dan tahap kekaburannya dalam kamus kanak-kanak.
Bab empat dalam kajian ini adalah merupakan bahagian yang membincangkan tentang cadangan untuk mengatasi masalah penyenaraian entri dalam kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam. Tumpuan diberikan kepada aspek makna iaitu dari segi makna umum, makna berputar belit dan makna kabur. Dalam bab ini juga pengkaji telah memberi cadangan tentang makna yang perlu dimasukkan dalam kamus kanak-kanak iaitu makna jelas agar senang difahami oleh kanak-kanak.
Bab lima ialah bab yang berkaitan dengan amalan yang perlu diterapkan dalam bidang leksikografi dan kegiatan penyusunan kamus oleh penyusun kamus. Bab ini juga membincangkan perkara yang berkaitan dengan cabaran yang dihadapi oleh bidang perkamusan serta langkah untuk mengatasi masalah perkamusan Melayu di Malaysia.
Bahagian penutup ialah bahagian yang mengandungi rumusan atau kesimpulan yang berkaitan dengan bidang kajian iaitu bidang leksikografi, dengan memberi penumpuan terhadap kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam.
Text
Sosio budaya Melayu
Lepa dalam masyarakat Bajau di Semporna, Sabah
Abstrak
MOHD HAMSAH BIN SALLEH AJIH : Lepa dalam masyarakat Bajau Di Semporna, Sabah. Jabatan Sosio-budaya Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, sesi 2008/2009. Penulisan latihan ilmiah ini adalah bagi memenuhi sebahagian daripada syarat penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Budaya lepa dalam masyarakat Bajau ialah salah satu aspek yang penting suatu ketika dahulu. Istilah ‘Lepa” dalam bahasa Bajau mempunyai maksud ‘perahu’ dalam bahasa Melayu. Kegunaan lepa atau kepentingannya kepada perhubungan, tempat berlindung, perayaan, perolehan sumber pendapatan, dan sebagainya meninggalkan kesan sejarah penggunaannya. Lepa merupakan sejenis perahu yang unik digunakan oleh masyarakat nelayan di Semporna ketika dahulu. Orang Bajau ‘pala’u’ merupakan kelompok yang menggunakan perahu sebagai kehidupan mereka.
Lepa di Semporna mempunyai pengaruh yang kuat terutama dalam mengenali budaya Bajau yang diwarisi sejak turun-temurun. Melaluinya, aktiviti seperti perayaan pesta “Regatta Lepa” adalah tarikan utama kepada keinginan mengenali lebih lanjut tentang budaya lepa masyarakat Bajau. Kajian ini merupakan sebuah latihan ilmiah yang akan mendedahkan beberapa aspek sejarah budaya lepa masyarakat Bajau di Semporna secara umum. Antara lain menyentuh jenis-jenis, ciri dan usaha pembangunannya untuk dijadikan sebuah industri. Kini pelbagai projek dirangka kerajaan negeri Sabah untuk mengusahakan budaya ini agar tidak hilang ditelan zaman.
Text
Sosio budaya Melayu
Main Puteri : Suatu teknik perubatan dalam masyarakat Melayu Kelantan
Abstrak
Kajian yang dilakukan oleh pengkaji adalah mengenai persembahan Main Puteri yang digunakan untuk mengubati keuzuran yang dialami oleh pesakit yang berpunca daripada makhluk halus. Perubatan yang dijalankan ini masih lagi diamalkan oleh kebanyakan masyarakat yang masih mempercayai terhadap perubatan tinggalan nenek moyang kita dahulu. Perubatan dengan cara persembahan Main Puteri ini dipercayai mampu mengubati pesakit daripada gangguan makhluk halus menggunakan teknik perubatan tertentu.
Bagi membuktikan persembahan Main Puteri mampu merawat dan menyembuhkan penyakit yang berpunca daripada makhluk halus, kajian yang terperinci harus dilakukan untuk membuktikan kebenarannya. Oleh itu, pengkaji menjalankan kajian terhadap persembahan Main Puteri yang diadakan di Kampung Pauh Sembilan, Bachok, Kelantan. Kajian ini menuntut pengkaji untuk sama-sama menyertai persembahan Main Puteri yang diadakan untuk melihat sendiri persembahan yang dijalankan. Penyertaan pengkaji dalam persembahan ini membantu pengkaji mengutip maklumat yang pengkaji perlukan untuk melengkapkan hasil kajiannya. Selain itu, pengkaji turut menemui golongan yang arif dalam persembahan Main Puteri bagi maklumat tentang Main Puteri . Maklumat-maklumat ini penting bagi pengkaji untuk mengukuhkan lagi pengetahuan yang sedia ada tentang persembahan main Puteri.
Berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi, pengkaji akhirnya dapat mencapai matlamat kajiannya apabila berjaya mengutip maklumat yang diperlukan untuk kajiannya. Daripada kajian yang dihasilkan, pengkaji menemui penemuan baru mengenai persembahan Main Puteri dalam mengubati penyakit yang berpunca daripada makhluk halus. Akhirnya terbukti bahawa Main Puteri mampu mengubati penyakit seseorang yang berpunca daripada makhluk halus.
Text
Main Puteri : Tradisional dan kontemporari
Kajian ini membincangkan tentang seni persembahan Main Puteri yang merupakan seni persembahan tradisi yang masih wujud sehingga hari ini. Kajian diteliti daripada perspektif perubahan budaya. Budaya yang terdapat dalam Main Puteri telah mengalami proses perkembangan yang tersendiri iaitu perkembangan daripada seni persembahan tradisi kepada seni persembahan yang mempunyai unsur-unsur kontemporari atau moden. Secara umumnya, terdapat beberapa perbezaan antara seni persembahan Main Puteri yang bersifat tradisi dan moden. Namun begitu, kesenian yang mempunyai nilai-nilai kebudayaan Melayu ini tidak mendapat perhatian daripada generasi muda hari ini. Oleh itu, ramai golongan muda tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai persembahan Main Puteri yang merupakan kesenian warisan bagi masyarakat di negeri Kelantan. Perkara ini menjadi salah satu masalah yang membelenggu masyarakat apabila sebuah bentuk kesenian yang indah seperti Main Puteri ini terus dipinggirkan.
Antara punca masalah yang dikenalpasti itu adalah disebabkan oleh arus globalisasi yang menyebabkan penularan kebudayaan luar, sekaligus menguasai minda masyarakat generasi muda Melayu hari ini. Pemikiran mereka telah menyimpang daripada pemikiran yang berasaskan nilai-nilai kebudayaan Melayu. Kaedah utama yang digunakan untuk kajian ini adalah kaedah temubual bersama beberapa orang penggiat seni persembahan Main Puteri. Maklumat yang dikumpul untuk kajian ini diharapkan dapat menyedarkan masyarakat tentang kepentingan pengekalan seni persembahan warisan bangsa yang kaya dengan nilai-nilai kebudayaan Melayu. Melalui kajian ini, masyarakat akan memahami perkembangan dan perbezaan Main Puteri yang telah beralih daripada sifat tradisional kepada sifat kontemporari.
Text
sastera Melayu
Mandatori Karya Ramlee Awang Murshid : Satu penerapan Teori Konseptual Kata Kunci
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang kajian terhadap novel Mandotori yang diterbitkan oleh Syarikat Alaf 21 Sdn. Bhd. pada tahun 2000 untuk cetak pertama dan 2001 untuk cetak kedua dengan menggunakan Teori Konseptual-Kata Kunci ciptaan Mohamad Mokhtar Abu Hassan. Dalam kajian ini terdapat dua konsep yang dikaji berdasarkan teori iaitu konsep keadilan dan konsep kepimpinan.
Menerusi kajian ini juga, dapat diteliti kata-kata kunci yang digunakan oleh Ramlee Awang Murshid di dalam novel tersebut berdasarkan analisis yang dilakukan. Bersesuaian dengan teori, novel ini dilatari dengan pergolakan kehidupan manusia demi menuntut sebuah keadilan dan berhubung kait dengan konsep kepimpinan. Daripada kedua-dua konsep yang terkandung dalam novel ini, saya akan mengaitkannya dengan prinsip-prinsip asas. Teori Konseptual-kata Kunci iaitu kepengaruhan, pemilihan kata dan kesan.
Akhirnya kesimpulan akan dibuat berdasarkan analisis yang telah diperolehi untuk menggambarkan konsepsi penulis terhadap kedua-dua konsep yang dikaji.
Text
Sosio budaya Melayu
Mandi bunga : Kajian kes di Melati Day SPA Sungai Petani, Kedah
Abstrak
Kajian ini membincangkan tentang kebudayaan Melayu yang telah lama bertapak dan sebati dengan jiwa Melayu. Kajian kebudayaan ini bagaimanapun memberikan penumpuan khusus kepada upacara mandi bunga.
Matlamat utama kajian ini adalah untuk melihat bagaimana upacara mandi bunga dijalankan dalam kalangan masyarakat Melayu moden. Berikutan itu, Sebuah spa yang berkonsepkan moden dan tradisional telah dipilih sebagai lokasi kajian untuk mengkaji upacara mandi bunga.
Selain itu, kajian ini turut menyentuh tentang hal-hal yang berkaitan dengan kebudayaan Melayu dan juga upacara mandi bunga. Walaubagaimanapun, fokus utama adalah untuk mengkaji tentang upacara mandi bunga masyarakat Melayu moden.
Text
sastera Melayu
Masuk ke dalam cahaya : Satu analisis berdasarkan pendekatan Islam
Abstrak
Kajian terhadap novel Masuk ke dalam cahaya bertujuan mencari unsur Islam dan keislaman dalam karya dan sejauh mana kualiti karya memberi impak kepada masyarakat Islam khususnya dan lain-lain amnya. Kajian yang turut membincangkan secara terperinci dimanakah unsur Islam diterapkan dalam karya, bagaimanakah yang dikatakan aspek Islam dalam karya, bagaimana penulis mengulas tentang Islam dan melihat penulis mengaplikasikan kaedah penulisannya yang bercorak Islam itu sendiri dalam novel tersebut melalui pendekatan Islam dengan mengaplikasikan citra takmilah. Kajian ini juga melihat corak dan gambaran masyarakat yang terdapat dalam novel melalui pendekatan Islam.
Dalam kajian ini, jalan penceritaan, watak dan perwatakan serta beberapa aspek lain diambil, dikupas dan diolah dengan menggunakan pendekatan Islam dalam mencari gambaran nilai keislamanan sebenarnya yang terdapat dalam karya kesusasteraan Melayu. Pengkaji melihat, pengarang sebagai ahli masyarakat yang terlibat secara langsung, menjadikan kehidupan masyarakat sebagai bahan menghasilkan karya. Melalui penggunaan bahasa masyarakat sebagai pengucapan batin untuk menyuarakan rasa hati atau kehidupan bangsanya serta merujuk fungsi sastera kepada masyarakat sebagai alat kawalan sosial untuk memelihara nilai dan norma masyarakat. Di sini pengkaji melihat bahawa tanpa masyarakat, sastera tidak dapat menemui bentuknya dan tanpa sastera masyarakat tidak dapat menemui kehidupannya. Ini disebabkan sastera dan masyarakat merupakan dua entiti yang saling berhubungan dan tidak dapat dipisahkan.
Kajian ini berlandaskan ‘Model Citra Takmilah’, iaitu gabungan Teori Takmilah dengan pendekatan citra. Dasar utama kajian ini menggunakan Teori Takmilah ciptaan Shafie abu Bakar. Teori Takmilah berdasarkan sifat ketuhanan yang Uluhiyyah (sifat kesempurnaan Allah S.W.T) dan Rububiyyah (sifat Allah S.W.T dalam hubungan dengan makhluk-nya). Sifat ini melambangkan kesempurnaan sikap pengarang, karya dan pembaca kepada Allah S.W.T. Manakala pendekatan citra pula menggabungkan gambaran masyarakat dan perwatakannya dengan tuhan, dengan alam, sesama manusia, dengan dirinya sendiri serta dengan seni sastera. Kelima-lima kategori citra takmilah ini dibuat secara sedar untuk melihat konteks manusia dalam novel bercorak Islam, khususnya novel Masuk ke Dalam Cahaya karya Abdullah Hussain.
Kesimpulan dari pengkajian ini, pengkaji mendapati novel Masuk ke dalam cahaya karya Abdullah Hussain mempunyai pelbagai citra manusia. Jalan penceritaannya berlandaskan kesedaran tauhid dengan mendukung seruan tauhid, iaitu mengajak manusia menyempurnakan diri dengan beriman kepada Allah S.W.T. Pengarang mengajak manusia memahami segala fenomena yang berlaku dan mengambil hikmah daripada fenomena tersebut. Pengkaji melihat hal ini bersesuaian dengan Teori Takmilah. Pengkaji juga menemui bahawa hubungan sastera dan masyarakat adalah saling bersangkutan. Sastera dapat memberi gambaran nyata, baik mengenai imej manusia mahupun struktur sosial masyarakatnya. Dalam Islam, citra sastera yang dituntut ialah karya yang berpaksikan kepada ilmu. Ilmu yang bersifat amar makruf dan nahi mungkar. Ilmu yang dapat mendidik jiwa manusia kepada mencintai kebenaran dan kebenaran merupakan satu ciri keindahan yang menjadi faktor penentu kepada sesebuah karya. Dalam kajian, terdapat pelbagai citra manusia seperti huraian bab 3 kajian ini yang mana citra manusia sebagai teladan kepada manusia lain. Oleh yang demikian, pengkajian citra manusia dalam novel merupakan salah satu genre kesusasteraan yang popular, banyak merakam fenomena dan perilaku manusia. Dengan melihat kepada tujuan atau objektif kajian ini juga, kesemua tujuan adalah bertitik tolak daripada hipotesis bahawa novel, cerpen, puisi, atau karya-karya sastera mencerminkan citra masyarakatnya dan menjadi media dakwah pengarang untuk mengajak masyarakatnya mentauhidkan Allah S.W.T.
Text
Sosio budaya Melayu
Menjejaki Datuk Perpatih Nan Sebatang : Pengasas penempatan awal masyarakat Minangkabau di Naning, Melaka
Abstrak
Umumnya, kajian ini mengkaji tradisi lisan masyarakat Naning yang mendakwa Datuk Perpatih Nan Sebatang merupakan Penghulu Naning yang pertama dan pengasas kepada wilayah Naning. Tumpuan kajian juga diberikan dalam mengenal pasti Naning sebagai wilayah pertama yang mengamalkan kebudayaan adat Perpatih dan melihat bentuk-bentuk hubungan yang berlaku antara Naning dengan Kesultanan Melaka.
Di samping itu, kaedah kajian dibahagikan kepada dua bentuk dapatan iaitu maklumat yang bersumber daripada kebudayaan Naning (emik) dan maklumat daripada perolehan data para sarjana (etik). Dapatan kajian yang diperolehi akan dibandingkan untuk melihat persamaan dan percanggahan antara maklumat yang diperolehi. Hasil perbandingan akan dianalisis mengikut pendekatan antropologi kebudayaan.
Dari sudut antropologi kebudayaan, kajian ini telah membuktikan beberapa aspek bahawa datuk Perpatih Nan Sebatang merupakan pengasas kepada kebudayaan Naning dan berlakunya perhubungan antara Naning dengan Kesultanan Melaka. Kajian ini juga telah membincangkan kembali beberapa pendapat yang diberikan para sarjana mengenai migrasi orang Minangkabau yang berlaku di Semenanjung Malaysia.
Text
Sosio budaya Melayu
Metafora dalam buku teks : Analisis retorik paling luas
Abstrak
Metafora adalah satu perbandingan di antara dua perkara yang berlainan sifat tetapi masih mempunyai persamaan dalam aspek-aspek tertentu secara tidak langsung. Metafora telah wujud sejak zaman Aristotle lagi dan telah melalui perubahan dari zaman klasik yang bersifat sempit, kepada zaman moden, khususnya retorik gaya Trope dan dikonsepsikan dalam Retorik Paling Luas. Metafora kini dihubungkan dengan konsep Liya’ budu dan Liyubayyina, iaitu konsep bahasa untuk beribadah dan yang mudah difahami.
20 teks pemahaman telah digunakan sebagai korpus kajian. Data teks dianalisis berdasarkan analisis umum, komponen jenis metafora tatabahasa dan domain metafora.
Dalam bahagian pengenalan diberikan latar belakang kajian tentang metafora. Aspek-aspek kajian seperti bahan kajian, bidang kajian, tujuan kajian, kaedah kajian dan konsep penting dalam kajian turut disentuh dalam bab ini.
Seterusnya dalam kerangka teoritis diutarakan konsep dan teori yang berkaitan dengan metafora, sebagaimana yang dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa dan konsep Retorik Paling Luas (RPL).
Analisis kajian dilakukan dengan meneliti aspek metafora. Data metafora dianalisis secara kuantitatif berdasarkan analisis data UT dan kata. Kemudian, dianalisis komponen jenis metafora dan domain metafora secara keseluruhan. Setelah itu, dapatan data dikaji mengikut teks sekolah rendah dan menengah. Perbincangan seterusnya ditumpukan dengan membandingkan butiran analisis berdasarkan Teks Sekolah Rendah (TSR) dan Teks Sekolah Menengah (TSM). Akhir sekali, data kajian dilihat dari aspek RPL. Tafsiran tentang penemuan analisis metafora dilakukan sebelum dimuatkan kesimpulan pada bahagian akhir bab ini.
Yang terakhir merupakan penutup, Disini dibincangkan rumusan analisis secara keseluruhan dan kajian selanjutnya dicadangkan.
Text
linguistik melayu
Morfologi bahasa Bajau Laut di Pulau Danawan, Semporna Sabah
Abstrak
Kajian ini merupakan kajian linguistik sinkronik yang dihuraikan secara deskriptif dengan melihat kepada morfologi bahasa Bajau Laut di Pulau Danawan, Semporna, Sabah. Aspek-aspek utama yang diteliti dalam kajian morfologi bagi bahasa yang dituturkan oleh masyarakat Bajau Laut tersebut ialah pembentukan kata selapis, nasalisasi, pengimbuhan,dan penggandaan. Untuk menjelaskan lebih jelas lagi berkenaan morfologi bahasa tersebut. Kajian ini cuba membandingkannya dengan bahasa Melayu standard ketika melakukan analisis data. Dalam analisis juga dihuraikan berkenaan penggolongan kata yang diterbitkan hasil daripada proses-proses morfologi tersebut. Hasilnya mendapati bahawa terdapatnya satu proses yang kompleks dalam morfologi bahasa Bajau Laut ini, tetapi hampir mempunyai persamaan dengan kebanyakan bahasa-bahasa Austronesia yang lain.
Text
Morfologi Bahasa Jawa : Batu Pahat, Johor
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang kajian morfologi ke atas bahasa Jawa Batu Pahat (BJBP). Kajian ini meneliti proses-proses yang terdapat dalam bidang morfologi atau pembentukan kata dalam BJBP. Proses-proses tersebut adalah nasalisasi, pengimbuhan, pemajmuk dan penggandaan. Penelitian terhadap proses-proses pembentukan kata BJBP ini secara tidak langsung akan dilihat persamaan serta kelainannya dengan bahasa Melayu Standard (BMS). Hal ini bagi memudahkan analisis yang dijalankan, iaitu dari segi memberi pemaknaan kepada kosa kata BJBP ke dalam BMS. Proses nasalisasi memberi penumpuan kepada fungsi unsur nasal secara keseluruhannya, iaitu sebagai pengganti dan penambahan pada fonem pertama kata akar BJBP yang homorgan. Bagi proses pengimbuhan pula, meneliti penyebaran imbuhan atau morfem terikat, iaitu awalan, akhiran , sisipan dan morfem terikat terbahagi (awalan-akhiran). Penyebaran imbuhan ini akan dikategorikan imbuhan namaan dan imbuhan karyaan. Begitu juga dengan proses penggandaan BJBP yang dibahagikan kepada tiga, iaitu penggandaan penuh, penggandaan sebahagian dan penggandaan lain. Seterusnya proses pemajmukan yang diteliti bersifat kurang produktif dalam penuturan lisan masyarakat Jawa di kawasan kajian.
Text
Morfologi Bahasa Murut Timugon
Abstrak
Kajian ini berkaitan dengan salah satu bidang dalam ilmu linguistik, iaitu morfologi yang mengkaji proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa. Bahasa yang dikaji ialah Bahasa Murut Timugon yang merupakan salah satu kaum di Sabah.
Kajian ini akan meneliti proses-proses yang terlibat dalam pembentukan kata bahasa tersebut seterusnya melihat fungsi proses tersebut. Selain itu, kajian ini akan turut meneliti penggolongan kata secara sepintas lalu untuk menentukan fungsi sesuatu proses pembentukan kata.
Bab 1 akan membincangkan tentang latar belakang kawasan kajian iaitu Negeri Sabah, daerah Tenom dan Kampung Simpangan. Latar belakang kawasan kajian ini meliputi sejarah kawasan, etimologi penduduk serta kegiatan ekonomi yang dilakukan. Dalam bab ini disertakan juga jadual dan carta pai yang berkaitan dengan penduduk Negeri Sabah dan Daerah Tenom.
Bab 2 pula menghuraikan tentang morfologi serta konsep-konsep yang digunakan dalam bidang ini. Antara konsep yang dibincangkan ialah morfem, alomorf dan kata. Selain itu, proses-proses morfologi seperti pengimbuhan, penggandaan, pemajmukan, akronim, perubahan dalam, penggantian dan perubahan kosong turut dibincangkan.
Bab 3 membincangkan tentang proses pengimbuhan yang berlaku dalam Bahasa Murut Timugon. Bab ini akan meneliti tentang proses-proses pengimbuhan yang terlibat seperti awalan,akhiran, awalan-akhiran dan sisipan. Fungsi setiap imbuhan ini juga akan diteliti sama ada sebagai penetap atau pengubah golongan kata.
Bab 4 membincangkan tentang dua proses penggandaan yang ada dalam Bahasa Murut Timugon, iaitu proses penggandaan penuh dan proses penggandaan separa.
Bab 5 akan meneliti tentang proses pemajmukan yang juga merupakan salah satu proses pembentukan kata dalam bahasa ini. Penelitian akan dibuat tentang proses cara bagaimana proses cara bagaimana proses ini berlaku.
Bab 6 membincangkan bab analisis yang terakhir yang juga merupakan proses perubahan kosong. Bab ini akan melihat bagaimana proses perubahan konsonan dan vokal mempengaruhi penggunaan kata-kata tersebut.
Text
Bahasa Melayu
Morfologi dialek Melayu Sarawak Kampung Perpat
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang kajian yang telah dilakukan ke atas DMSr dengan mengambil Kampung Perpat sebagai kawasan kajian. Kajian ini dilakukan untuk melihat aspek morfologi atau proses pembentukan kata yang terdapat dalam DMSr. Di antara proses-proses yang terlibat adalah pengimbuhan, nasalisasi dan juga penggandaan. Selain itu, latihan ilmiah ini juga turut membincangkan konsep-konsep asas dalam morfologi. Bidang kajian dalam latihan ilmiah ini merangkumi bidang tatabahasa dan hanya tertumpu kepada aspek morfologi. Segala data yang diperolehi dan dijadikan contoh -contoh dalam menghuraikan satu persatu aspek morfologi dalam latihan ilmiah ini akan dapat membantu dan dijadikan rujukan untuk penyelidikan pada masa akan datang.
Pendekatan yang diterapkan bagi mendapatkan data kajian melibatkan teknik temuramah kepada beberapa informan. Selain itu, data juga diperolehi secara tidak langsung melalui perbualan sesama sendiri bagi masyarakat di kawasan kajian. Data yang diperolehi akan diteliti dan diklasifikasikan mengikut proses-proses tertentu dalam pembentukan kata. Di samping itu, dapatan data akan disesuaikan maknanya dengan Bahasa Melayu bagi memudahkan lagi proses pemahaman yang terdapat dalam Dialek Melayu Sarawak.
Text
Muzium Negeri Terengganu : Pengurusan dan kepentingannya dalam industri pelancongan negeri Terengganu
Abstrak
Penulisan ini adalah bagi memenuhi syarat untuk mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu. Penulis telah memilih tajuk Muzium Negeri Terengganu: Pengurusan dan kepentingannya dalam industri pelancongan negeri Terengganu.
Kajian ini cuba mengupas aspek pengurusan yang dilakukan oleh pihak Muzium Negeri Terengganu bagi menarik para masyarakat ke muzium. Ini kerana MNT merupakan salah satu produk pelancongan yang terdapat di negeri Terengganu.
Muzium sememangnya sebuah institusi memainkan peranan penting dalam aktiviti menyelidik, memelihara, memulihara, mempamer dan mendokumentasikan hasil kajian kepada masyarakat sebagai bukti kesahihannya. Menerusi institusi muzium ini. Setiap warisan khazanah negara yang berstatus sejarah dan kebudayaan dapat dipelihara untuk tatapan generasi akan datang. Dalam usaha menarik pelancong sama ada pelancong domestik atau pelancong antarabangsa, pihak pengurusan MNT telah menawarkan produk-produknya seperti persembahan hujung minggu, pameran tetap dan sementera, khidmat pendidikan, program khas dan sebagainya. Selain itu, pihak muzium turut menganjurkan aktiviti pertandingan kepada pelajar sekolah seperti pertandingan mewarna, melukis,dan acara kuiz di muzium. Dengan mengadakan aktiviti sedemikian, ia dapat memperkenalkan kepada mereka serta ahli keluarga mereka untuk mengenali dengan lebih rapat lagi MNT. Oleh demikian, mereka dapat mengetahui akan kepentingan muzium kepada masyarakat, bangsa dan negara.
Justeru itu, penubuhan MNT adalah wajar bagi mempertahankan segala warisan sejarah dan kebudayaan negara kepada masyarakat umum. Dengan itu, ia turut mencerminkan budaya dan ketamadunan sesebuah masyarakat kepada dunia hari ini dan akan datang. Oleh demikian, MNT boleh dikatakan sebagai produk pelancongan yang terpenting bagi negeri Terengganu Darul Iman.
Text
Sosio budaya Melayu
Muzium negeri Terengganu : Peranannya dalam pembangunan industri pelancongan
Abstrak
Sejarah sangat penting sesebuah masyarakat kerana sejarah memberitahu kita apa yang telah berlaku pada masa lalu. Sejarah juga mengajar kita apa yang berlaku sekarang dan sejarah juga akan memandu kita menuju masa depan yang gemilang. Salah satu tempat yang terkenal di sesebuah negeri atau negara yang mempunyai nilai sejarah dan menjadi tarikan pelancong ialah muzium.
Muzium ialah sebuah institusi yang berperanan dalam mengumpul, menyelidik, mendokumen, menginterpretasi, dan mempamerkan warisan budaya sesebuah masyarakat, seperti bukti-bukti sejarah berhubung dengan manusia dan persekitarannya. Aktiviti-aktiviti inilah yang mengekalkan fungsi sesebuah muzium yang dulu juga dikenali sebagai ‘sekolah gambar’ dan juga ‘gedung budaya’.
Muzium bukan sahaja berperanan dalam mengumpul dan mempamerkan artifak-artifak yang mempunyai nilai sejarah, tetapi berperanan besar dalam industri pelancongan sesebuah tempat. Setiap tempat mempunyai warisan budaya yang unik dan berlainan dengan tempat lain. Oleh sebab itu, muzium perlu dipelihara dengan baik kerana ia menyimpan 1001 nilai sejarah budaya masyarakat setempat yang tiada bandingnya selain berperanan menarik kedatangan pelancong ke tempat tersebut dan sekaligus membantu meningkatkan ekonomi sesebuah negara. Ini kerana semua warisan budaya sesebuah tempat tersimpan di situ.
Kajian ini membincangkan peranan Kompleks Muzium Negeri Terengganu dalam pembangunan industri pelancongan di Terengganu. Beberapa perkara lain berkaitan dengan muzium tersebut juga diterangkan, seperti sejarah pembinaan muzium, susun atur pengurusan, masalah-masalah yang dihadapi muzium, dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut.
Text
Sosio budaya Melayu
Naratif ogonshoto : Satu analisis diksi dan gaya bahasa
Abstrak
Naratif ogonshoto: Satu analisis diksi dan gaya bahasa adalah satu kajian dalam bidang stilistik yang akan melihat kemampuan bahasa berfungsi sebagai satu alat pertukangan yang dapat menghasilkan sebuah karya yang tinggi nilai estetiknya. Fokus kajian ini akan berpusat pada penggunaan serta pengekpoitasian bahasa dalam karya kreatif. Kajian ini akan dibahagikan kepada lima bahagian utama yang akan menghuraikan kajian-kajian yang pernah dilakukan di dalam bidang stilistik, dan juga analisis yang akan dijalankan terhadap korpus pilihan.
Tujuan kajian, bidang kajian, bahan kajian dan kaedah kajian yang digunakan dalam menganalisis korpus pilihan akan diterangkan terlebih dahulu di dalam Bab 1. Bab ini juga akan membicarakan latar belakang pengarang dan juga latar belakang teks. Selain itu, konsep stilistik serta sejarah perkembangannya juga akan dibicarakan.
Bab 2. Pula akan membicarakan tentang gaya bahasa dalam ilmu stilistik . Tumpuan bab ini akan dijuruskan pada aspek diksi atau pemilihan kata. Keberkesanan bahasa sebagai pengungkap makna dan perasaan penulis akan dilihat dari pelbagai sudut. Aspek pemilihan kata dan unsur-unsur pengulangan, pengguguran dan juga fungsi soalan retorik di dalam teks akan turut dibincangkan di dalam bab ini.
Bab 3. Dan Bab 4. Pula akan melihat analisis yang telah dibuat ke atas korpus kajian; bab ketiga akan melihat unsur-unsur kepuisian yang telah diterapkan kedalam gaya penulisan pengarang, manakala bahagian keempat pula akan merangkumi aspek pemilihan kata dan gaya bahasa penulis. Pembicaraan ke atas unsur-unsur kepuisian di dalam bab tiga akan berpusat kepada lima aspek, iaitu simili, metafora, personifikasi, hiperbola dan onomatopoeia. Di dalam bab empat pula analisis akan ditumpukan kepada aspek pemilihan kata, khususnya kata pinjaman dari bahasa asing, kata-kata daerah, dan kata-kata berunsur keagamaan, Selain itu penerapan unsur pengulangan, soalan retorik, serta pengguguran imbuhan di dalam teks kajian juga akan dibincangkan di dalam bab ini.
Bab 5 pula akan merumuskan keseluruhan kajian. Bab ini akan membuat kesimpulan berdasarkan dapatan-dapatan daripada analisis yang dilakukan terhadap teks kajian. Kepentingan dan keberkesanan gaya bahasa, khususnya aspek pemilihan kata, akan dibicarakan dan disimpulkan.
Text
Sosio budaya Melayu
Nilai dan norma masyarakat Melayu terhadap konsep kebersihan
Abstrak
Kajian ini merupakan satu tinjauan untuk mengkaji tentang nilai dan norma masyarakat Melayu terhadap konsep kebersihan ( nilai kebersihan). Dalam kajian ini,pengkaji telah membahagikan kepada beberapa bahagian atau bab. Pada bab 1, pengkaji membincangkan mengenai pengenalan, permasalahan kajian, skop kajian, kepentingan kajian, dan sorotan kajian atau kajian-kajian lampu. Pada bab 2, pengkaji membincangkan mengenai konsep=konsep atau definisi-definisi berkenaan dengan tajuk yang dikaji seperti konsep nilai, konsep norma, konsep bersih dan sebagainya. Pada bab 3 pula, pengkaji menghuraikan tentang aspek-aspek kebersihan yang terdapat atau terkandung dalam kebersihan luaran dan juga kebersihan dalaman
Seterusnya pada bab 4 adalah hasil data atau analisis soal selidik yang diperolehi mengkaji daripada soal selidik,dan juga temubual. Pada bab ini sangat penting kerana di bahagian inilah pengkaji dapat menemui data-data yang berkenaan dengan tajuk yang dibincangkan atau dikaji. Pada bab 5 iaitu bab yang terakhir atau penutup, disini pengkaji dapat merumuskan secara keseluruhan mengenai hasil kajian ini samada mencapai objektif atau tidak.
Text
Malay literature -- History and criticism
Nilai intelektualisme dan komersialime dalam penerbitan Indie,
sastera dan picisan
Abstrak
Kajian menumpukan analisis dari penerbitan indie, sastera dan picisan dengan melihat nilai intelektualisme dan komersialisme dalam pendekatan Generik. Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti penubuhan penerbitan sastera, indie dan picisan, mengenal pasti serta menganalisis aspek intelektual dan komersial dalam novel yang dipilih. Analisis berdasarkan novel berjudul 7 Hari Mencintaiku karya Siti Rosmizah, Babi Bercinta Di Balik Api karya Azuwar Kamaruzaman dan Nadhirah karya Sharif Putera. Pendekatan Generik digunakan dengan memfokuskan kepada nilai komersialisme dan intelektualisme bagi melihat sejauh mana sesebuah karya dari penerbitan yang berbeza mengaplikasikan nilai tersebut. Fokus kajian adalah menganalisis data yang bersesuaian dengan nilai komersialisme dan intelektualisme. Hasil kajian mendapati bahawa ketiga-tiga buah novel dari penerbitan yang berbeza ini mengaplikasikan nilai tersebut dalam karya. Setiap novel mempunyai nilai komersial dan intelektual yang tersendiri dan mampu membawa kebaikan kepada pembaca. Kajian juga mendapati bahawa nilai komersial yang di aplikasikan oleh syarikat penerbitan adalah berbeza dan bergantung kepada strategi pemasaran sesebuah syarikat.
Text
Sosio budaya Melayu
Nilai-nilai pelajar Melayu terhadap pekerjaan : Satu kajian kes di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya
Abstrak
Kajian ini bertajuk “Nilai-nilai pelajar Melayu terhadap pekerjaan: Satu kajian Kes di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya”. Tujuan utama kajian ini dijalankan terhadap pelajar Akademi Pengajian Melayu UM untuk mengkaji nilai-nilai yang terdapat pada pelajar APM terhadap pekerjaan. Kajian ini juga turut membincangkan tentang beberapa perkara-perkara yang berkaitan dengan pekerjaan di samping meneliti kelebihan dan keburukan sektor awam dan sektor swasta terhadap pekerja. Hasil kajian yang dijalankan menunjukkan terdapat faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan pekerjaan oleh pelajar dan pengkaji mendapati bahawa orang Melayu dari dahulu hingga sekarang masih lagi merupakan golongan majoriti yang terlibat di dalam sektor awam
Text
Sosio budaya Melayu
Nobat diraja Perak
Abstrak
Abstrak
Kurang pengetahuan masyarakat pada hari ini akan muzik tradisional seperti Nobat adalah perkara yang sepatutnya tidak boleh berlaku. Hal ini kerana muzik Nobat merupakan lambang kepada kedaulatan seseorang Sultan. Bagi sesetengah negeri yang mengamalkan Nobat, dengan ketiadaan muzik itu maka sultan yang ada dianggap berdaulat.
Dalam latihan ilmiah yang dihasilkan ini, pengenalan ke atas muzik Nobat dilaksanakan. Dengan memilih salah satu muzik Nobat yang terdapat dalam lima kerajaan beraja di dunia ini, perkara yang berkaitan dengan Nobat ditulis dalam latihan ilmiah ini. Pemilihan nobat Perak dalam penulisan ini pula adalah sebagai cubaan untuk memperkenalkan Nobat terhadap dunia luar yakni kepada masyarakat Malaysia khasnya.
Dengan niat untuk menulis latihan ilmiah ini juga, maklumat diperoleh dengan cara mendapatkannya di perpustakaan. Cara kajian yang dimaksudkan ini adalah dengan cara kajian kepustakaan yang bergantung kepada bahan berbentuk penulisan yang sebelum ini pernah ditulis oleh pihak lain mengenai Nobat ini.
Hasil daripada kajian yang dibuat memperlihatkan pelbagai aspek yang wujud dalam muzik Nobat. Dalam penulisan ilmiah ini juga akan dipertontonkan aspek luaran dan juga dalaman muzik Nobat.
Diharapkan masa akan datang, kajian ini kan membantu untuk memperkenalkan muzik Nobat kepada umum dan bukan hanya dalam kalangan golongan istana.
Text
Novel Imam:Analisis dari sudut teori takmilah
Abstrak
Pemilihan novel Imam oleh Abdullah Hussain ini adalah kerana wujudnya kesedaran tentang kepentingan kesusasteraan Islam yang kian menyepi. Kajian ini melihat aspek keagamaan yang terdapat di dalam novel Imam menerusi konsep ibadah dan dakwah berdasarkan teori Takmilah kerana ia merupakan salah sebuah teori tempatan yang meletakkan falsafah tauhid sebagai paksi penilaian sesebuah teks. Teori Takmilah sesuai digunakan untuk menganalisis novel Imam kerana bersesuaian dengan norma masyarakat Melayu yang mempunyai nilai-nilai keagamaan dan adat istiadat Melayu yang tinggi. Isi dan jalan cerita novel Imam yang menarik dan sarat dengan nasihat yang berguna buat kehidupan masyarakat bukan sahaja yang beragama Islam, malah bagi masyarakat yang beragama lain juga mampu membuatkan pembaca tertarik dan ingin mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang novel tersebut.
Text
Sosio budaya Melayu
Pakaian tradisional etnik Murut Paluan : Kajian Kes di Kuala Kahaba Daerah Keningau, Sabah
Abstrak
Pakaian tradisional ialah salah satu unsur budaya material. Penduduk Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik dapat memperlihatkan pelbagai jenis pakaian tradisionalnya yang diwarisi sejak turun temurun. Apabila menyebut tentang pakaian tradisional, kita sering menumpukan perhatian kepada reka corak serta perhiasan aksesori yang digunakan kerana ia merupakan ciri tradisi yang paling nyata dan boleh dilihat dengan jelas.
Kajian ini bertujuan untuk mengenali proses transformasi terhadap cara berpakaian lelaki dan wanita dalam penggunaan pakaian tradisi Murut mengikut tatacara tertentu. Dalam masyarakat Murut terdapat beberapa jenis pakaian dan aksesori yang digunakan dalam penggunaan busana tersebut. Setiap motif yang ada dalam hiasan mahupun pakaian bercorakkan motif flora dan fauna mempelihatkan masyarakat Murut yang hidup dengan alam sekeliling.Pakaian bukan sekadar untuk memenuhi keperluan asas manusia tetapi juga terkandung pemikiran dan falsafah kehidupan manusia.
Text
Sosio budaya Melayu
Palapes Laut Universiti Malaya : Satu tinjauan ke atas budaya kerja anggota
Abstrak
Budaya kerja organisasi berbeza antara satu sama lain. Budaya kerja menentukan kecemerlangan organisasi dari segi pelaksanaan tugas dan tanggungjawab setiap ahlinya, Budaya kerja anggota PALAPES Laut, sebuah organisasi ketenteraan, menjadi subjek kajian ini. Kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk mengenal pasti corak budaya kerja anggota PALAPES Laut Universiti Malaya serta masalah-masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan budaya kerja organisasi tersebut.
Di samping itu, kajian turut dijalankan ke atas struktur organisasi PALAPES Laut, penyertaan pelajar mengikut jantina dan kaum, sebab-sebab pelajar menyertai PALAPES Laut dan beberapa perkara lain yang berkaitan dengan PALAPES Laut. Hasil kajian menunjukkan budaya kerja anggota PALAPES Laut amat unik dan berbeza dengan budaya kerja organisasi lain yang tidak berasaskan bidang ketenteraan. Namun dekiaan, didapati sesetengah anggota PALAPES Laut terlibat dengan pelbagai masalah dan konflik dalaman yang memberi kesan negatif kepada organisasi PALAPES Laut. Konflik yang berlaku melibatkan banyak pihak dalam organisasi PALAPES, tetapi tidak melibatkan pelajar-pelajar lain yang tidak menyertai PALAPES.
Kajian ini juga telah mendapati banyak perubahan yang berlaku kepada diri pelajar selepas mereka menyertai PALAPES Laut. semuanya bermula dengan amalan budaya kerja tentera yang diamal semasa dalam latihan dan di luar latihan dan ternyata ia mendisiplinkan dan meningkatkan kualiti hidup pelajar yang berkenaan.
Text
Sosio budaya Melayu
Pekerja asing dalam sektor perladangan kelapa sawit : Kajian kes di Ladang Tunjuk Laut, Kota Tinggi, Johor
Abstrak
Latihan ilmiah ini adalah berkaitan dengan pekerja asing Indonesia yang terlibat dan bekerja dalam sektor perladangan. Kajian kes telah dilakukan di Ladang Tunjuk Laut, Kota Tinggi, Johor.
Pada peringkat permulaan, pengkaji menjelaskan mengenai bidang kajian yang dilakukan dan metodologi yang digunakan. Pengkaji juga turut menjelaskan mengenai sejarah penghijrahan pekerja asing ke Malaysia dan tumpuan lebih kepada pekerja asing Indonesia. Banyak faktor yang telah memainkan dalam terjadinya proses migrasi ini iaitu yang terdiri dari faktor tolakan dari negara sendiri dan faktor tarikan pula faktor dari sesebuah negara lain yang menarik minat dan menjadi negara pilihan untuk melakukan migrasi.
Selain itu, diterangkan juga sejarah perusahaan dan penubuhan ladang kelapa sawit di malaysia dan tentang latar belakang kawasan kajian iaitu Ladang Tunjuk Laut. Organisasi kawalan yang terdiri daripada Johor Corporation, EPA Management Sdn.Bhd, dan Kulim (Malaysia) Berhad turut disertakan dalam kajian yang dilakukan. Pengkaji juga turut menyentuh mengenai prosedur pekerja asing Indonesia ini di ladang dan maklumat yang diperoleh mengenai mereka seperti sedikit latar belakang mereka.
Aspek ekonomi dan pekerjaan pula merangkumi aktiviti kerja yang dipecahkan kepada jenis pekerjaan, waktu bekerja, dan pengangkutan yang digunakan untuk bekerja. Berdasarkan kajian, pengkaji mendapati gaji yang diberikan kepada pekerja adalah berbeza iaitu terdiri daripada gaji hari, gaji borong, gaji penuaian buah sawit. Gaji yang diperolehi tersebut digunakan sebaiknya oleh pekerja asing Indonesia ini. Gaji tersebut digunakan untuk perbelanjaan seharian, simpanan peribadi, dan melakukan kiriman wang dikampung.
Dalam bab yang seterusnya disentuh mengenai aspek sosial. Kemudahan-kemudahan asas telah disediakan oleh pihak majikan. Kemudahan yang disediakan dapat memberi keselesaan dan kebajikan pekerja dijaga. Masa lapang mereka diisi dengan beberapa aktiviti seperti bersukan dan memancing. Berlaku juga hubungan sosial pekerja asing Indonesia ini dengan majikan, masyarakat setempat, rakan senegara, dan kampung halaman. Perancangan masa hadapan mereka pula, pengkaji mendapati majoriti dari mereka tidak berminat untuk menyambung kontrak bekerja.
Di akhir kajian pengkaji mendapati objektif kajian tercapai dan diselitkan juga mengenai isu pendatang asing yang semakin hangat diperdebatkan.
Text
Pelancongan di Kemaman, Terengganu Darul Iman
Abstrak
Kajian yang dilakukan ini adalah berkenaan dengan aspek pelancongan yang terdapat di Kemaman, Terengganu Darul Iman. Daerah Kemaman ini dilihat berpotensi sebagai salah satu destinasi pelancongan yang terunggul di negara ini kelak. Dengan kelebihan yang dimiliki, ia mampu untuk menarik minat para pengunjung untuk datang ke negeri Terengganu. Walaupun daerah lebih menonjol dengan kepesatan perindustriannya, namun ia tetap berpotensi untuk dijadikan destinasi pelancongan pilihan ramai.
Keistimewaan di Kemaman bukan sahaja terletak pada tempat-tempat yang menarik yang terdapat di sana, tetapi juga dengan kelebihan, keunikan dan keajaiban elemen-elemen yang lain. Elemen yang dimaksudkan itu adalah melalui makanannya yang banyak menggunakan sumber-sumber laut sebagai bahan utama. Selain itu, kerlipan sejenis serangga yang dikenali sebagai kelip-kelip juga mampu untuk menyinar daerah Kemaman ini sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang wajar untuk dikunjungi.
Dengan kelebihan tersendiri yang dimiliki, daerah Kemaman dipercayai mampu menarik perhatian para pelancongan tidak kira tempatan mahupun antarabangsa untuk berkunjung ke sana. Apa yang pasti, para pengunjung akan menikmati seribu kepuasan di sebalik percutian mereka kelak.
Showing 101 to 150 of 285 results
Page
of 6
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->