Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (285 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Latihan ilmiah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Sosio budaya Melayu
Mandi bunga : Kajian kes di Melati Day SPA Sungai Petani, Kedah
Abstrak
Kajian ini membincangkan tentang kebudayaan Melayu yang telah lama bertapak dan sebati dengan jiwa Melayu. Kajian kebudayaan ini bagaimanapun memberikan penumpuan khusus kepada upacara mandi bunga.
Matlamat utama kajian ini adalah untuk melihat bagaimana upacara mandi bunga dijalankan dalam kalangan masyarakat Melayu moden. Berikutan itu, Sebuah spa yang berkonsepkan moden dan tradisional telah dipilih sebagai lokasi kajian untuk mengkaji upacara mandi bunga.
Selain itu, kajian ini turut menyentuh tentang hal-hal yang berkaitan dengan kebudayaan Melayu dan juga upacara mandi bunga. Walaubagaimanapun, fokus utama adalah untuk mengkaji tentang upacara mandi bunga masyarakat Melayu moden.
Text
Sosio budaya Melayu
Tekanan yang dialami oleh para ibu tunggal dalam kalangan masyarakat India dan Melayu : kajian kes di Sungai Siput (U), Perak
Abstrak
Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti perbezaan dan persamaan tekanan yang dialami oleh para ibu tunggal dalam kalangan kedua-dua masyarakat Melayu dan juga India di kawasan kajian sungai Siput (U). Seramai 3 orang ibu tunggal daripada kaum India dan 3 orang ibu tunggal daripada kaum Melayu dipilih untuk ditemuramah dan hasil temubual berkenaan dijadikan sebagai kes kajian. Selain itu sebanyak 50 helaian borang soal selidik telah diedar di kawasan kajian sebagai instrumen kajian sampingan. Keputusan kajian diperoleh setelah data yang dikumpul di analisis dengan menggunakan Kolerasi Pearson dan Ujian-t. Hasil kajian menunjukkan terdapat beberapa persamaan dan perbezaan tekanan yang dialami oleh para ibu tunggal dalam kalangan masyarakat Melayu dan India. Perbezaan hanya wujud disebabkan cara dan pegangan hidup yang berbeza dan secara keseluruhannya didapati bahawa semua ibu tunggal di negara kita tidak mengira kaum menghadapi tekanan dalam menempuhi kehidupan.
Text
Kesenian Melayu
Permainan wayang kulit di Kelantan : Satu warisan seni-budaya Melayu
Abstrak
Latihan ilmiah ini adalah berkaitan dengan permainan wayang kulit. Kajian dijalankan berdasarkan kaedah tertentu untuk mencapai objektif kajian yang ditetapkan. Kajian dimulakan dengan memberi pengenalan kepada wayang kulit secara umum di Malaysia dan di Kelantan. Meliputi asal-usul wayang kulit, peralatan yang terlibat dalam permainan wayang kulit, Tok dalang, dan sebagainya. Seterusnya melalui kajian ini juga penulis telah membuat analisis mengenai persepsi pandangan masyarakat Melayu Kelantan terhadap permainan wayang kulit. Kemudian, kajian lebih berfokus kepada kumpulan wayang kulit Nik Mat Suara Emas di Kelantan meliputi pelbagai aspek. Di akhir kajian pula penulis telah membincangkan mengenai permainan wayang kulit sebagai warisan seni-budaya Melayu.
Text
Sosio budaya Melayu
Pembangunan perisian kursus Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan : Kajian kes kanak-kanak darjah 6 di Singapura
Abstrak
Kajian ini merupakan satu kajian kes yang dijalankan terhadap segolongan murid-murid peringkat Darjah Enam yang berkebolehan sederhana di sekolah yang terletak di Timur Singapura. Tujuan utama kajian adalah mereka bentuk sebuah perisian khusus ICT dalam pengajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) dan menguji keberkesanan perisian kursus PBBK dalam P&P CCE.Seterusnya, kajian ini bertujuan menilai pemahaman murid dalam penggunaan perisian kursus dalam proses P&P. Teori-teori P&P dan Model Reka Bentuk Pengajaran Robert Gagne telah digabungjalinkan bagi menjana suatu kerangka kajian. Sejumlah 20 orang murid-murid Darjah Enam telah dijadikan subjek kajian dan 5 orang guru sebagai penilai terhadap perisian kursus tersebut. Data diperolehi melalui borang soal selidik dan borang penilaian yang diedarkan, dan dianalisis menggunakan analisis deskriptif. Kaedah kuantitatif digunakan bagi borang soal selidik, manakala kaedah kualitatif digunakan melalui analisis borang penilaian. Hasil kajian ini mendapati bahawa tahap kefahaman subjek terhadap konsep CCE dan tanggungjawab sosial yang diajarkan dalam perisian kursus berada pada tahap yang tinggi, manakala beberapa aspek teknikal perisian kursus PBBK yang digunakan berada pada tahap sederhana. Hasil dapatan skor min antara 4.20 hingga 5.00 secara purata tentang perisian kursus menunjukkan bahawa aspek-aspek multimedia yang digunakan berada pada aras signifikan. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa tiga aspek P&P, iaitu persekitaran, kemahiran pengguna dalam ICT, dan latihan pengukuran pengguna, memainkan peranan penting bagi melaksanakan perisian kursus. Secara keseluruhannya, semua subjek bersetuju bahawa semua faktor yang disenaraikan pengkaji tentang perisian kursus mempengaruhi P&P.
Text
sastera Melayu
“ Mekar Dalam Talian” : Tahap pemerolehannya dalam kalangan pelajar Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah, Singapura
Abstrak
Kajian ini dilaksanakan dengan tujuan melihat tahap pemerolehan perisian khusus ‘MEKAR Dalam Talian’ dikalangan pelajar madrasah khususnya darjah empat bagi mata pelajaran bahasa Melayu di Singapura. Kajian ini dijalankan bagi melihat keberkesanan serta kekerapan penggunaan perisian khusus tersebut dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu juga, kajian dilakukan bagi mengenalpasti model reka bentuk yang diaplikasikan dalam perisian khusus tersebut. Seramai 70 orang pelajar dari dua buah kelas darjah empat terlibat dalam kajian ini. Kelas pertama merupakan kelas kawalan yang terdiri daripada 34 orang pelajar kedua ialah kelas ujian yang terdiri daripada 36 pelajar. Satu set borang soal selidik telah disediakan untuk para pelajar daripada kelas ujian, satu set soal selidik untuk guru yang terlibat dalam kajian ini dan kerja latihan yang terdapat dalam buku aktiviti MEKAR 4A digunakan bagi menguji keberkesanan kefahaman para pelajar terhadap isi kandungan yang terdapat dalam perisian kursus ‘MEKAR Dalam Talian’.
Text
Sosio budaya Melayu
Nobat diraja Perak
Abstrak
Abstrak
Kurang pengetahuan masyarakat pada hari ini akan muzik tradisional seperti Nobat adalah perkara yang sepatutnya tidak boleh berlaku. Hal ini kerana muzik Nobat merupakan lambang kepada kedaulatan seseorang Sultan. Bagi sesetengah negeri yang mengamalkan Nobat, dengan ketiadaan muzik itu maka sultan yang ada dianggap berdaulat.
Dalam latihan ilmiah yang dihasilkan ini, pengenalan ke atas muzik Nobat dilaksanakan. Dengan memilih salah satu muzik Nobat yang terdapat dalam lima kerajaan beraja di dunia ini, perkara yang berkaitan dengan Nobat ditulis dalam latihan ilmiah ini. Pemilihan nobat Perak dalam penulisan ini pula adalah sebagai cubaan untuk memperkenalkan Nobat terhadap dunia luar yakni kepada masyarakat Malaysia khasnya.
Dengan niat untuk menulis latihan ilmiah ini juga, maklumat diperoleh dengan cara mendapatkannya di perpustakaan. Cara kajian yang dimaksudkan ini adalah dengan cara kajian kepustakaan yang bergantung kepada bahan berbentuk penulisan yang sebelum ini pernah ditulis oleh pihak lain mengenai Nobat ini.
Hasil daripada kajian yang dibuat memperlihatkan pelbagai aspek yang wujud dalam muzik Nobat. Dalam penulisan ilmiah ini juga akan dipertontonkan aspek luaran dan juga dalaman muzik Nobat.
Diharapkan masa akan datang, kajian ini kan membantu untuk memperkenalkan muzik Nobat kepada umum dan bukan hanya dalam kalangan golongan istana.
Text
Bahasa Melayu
Pemerolehan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar Madrasah di Singapura
Abstrak
Kajian ini membincangkan tentang pemerolehan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar Madrasah di Singapura. Subjek kajian terdiri daripada 106 orang pelajar yang merupakan murid daripada madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah. Seramai 20 orang pelajar telah diambil dijadikan subjek kajian rintis. Borang soal selidik digunakan sebagai alat kajian. Pengkaji membuat kajian pemerolehan tulisan Jawi dari aspek kebolehan atau kemahiran menulis dan memahami askara atau tulisan Jawi. Aspek tulisan ini meliputi pengenalpastian huruf, pengetahuan mengeja, transliterasi tulisan dari Rumi ke Jawi, dan sebaliknya.Kajian yang dijalankan ini mengenal pasti peranan bahasa Arab dalam konteks pemerolehan tulisan Jawi, sama ada pembelajaran bahasa Arab menyumbang kepada pemerolehan tulisan Jawi atau tidak. Selain itu, kajian ini juga akan menunjukkan analisis tahap pemerolehan dan pemahaman tulisan Jawi pelajar madrasah Singapura. Melalui kajian yang dijalankan ini, dapat dilihat citra Jawi di Singapura kini.
Text
sastera Melayu
Penilaian terjemahan teks kreatif novel ‘Amina”
Abstrak
Setiap bidang ilmu berasal daripada masyarakat yang berbeza. Hal ini disebabkan setiap kelompok mempunyai kelebihan atau kemahiran yang dapat dipelajari oleh masyarakat lain. Oleh itu, penterjemahan merupakan bidang yang mampu menyalurkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan tersebut. Lantas, membolehkan masyarakat memperoleh ilmu pengetahuan daripada budaya asing.
Selain itu, penterjemahan juga bertujuan untuk menghubungkan anggota dalam sesuatu masyarakat dwibahasa atau pelbagai bahasa. Dewan ini, bilangan penutur dwibahasa semakin hari semakin meningkat. Oleh itu, wajarlah diadakan usaha tertentu dalam mengembangkan bidang penterjemahan ini agar terus diperbaiki dan sentiasa relevan dengan konteks hari ini.
Sesuatu hasil terjemahan yang baik bergantung kepada pemahaman yang menyeluruh terhadap teks asal, dan penggunaan bahasa yang baik. Faktor-faktor sedemikianlah yang menyumbang kepada kepuasan para pelanggan, dan menjadikan kerja menterjemah sesuatu yang memuaskan hati. Berkaitan hal tersebut, buku-buku yang telah diterjemahkan haruslah melalui proses penilaian terdahulu sebelum diterbitkan. Perkara ini penting untuk memantau mutu terjemahan yang dihasilkan oleh para penterjemah agar terus berjaya memuaskan hati para pembaca sasaran.
Dalam mempertingkatkan kualiti hasil terjemahan kreatif, pengkaji telah menilai karya kreatif terpilih,, iaitu Amina terjemahan Nor Farhana Zulkeplee, Nurul Hidayah Abdullah, dan Wan Norazah Wan Chik. Penilaian tersebut dilakukan berdasarkan model penilaian teks kreatif. Dalam kajian ini, pengkaji menilai dari segi pendekatan yang digunakan dalam menterjemahkan unsur makna dan budaya. Seterusnya, aspek kekuatan dan kelemahan terjemahan teks tersebut turut dinilaikan bagi meneliti mutu terjemahan yang dihasilkan.
Penilaian yang terhasil menunjukkan bahawa dalam menghasilkan satu-satunya karya terjemahan terutama karya teks kreatif, pasti akan ada kekuatan serta kekurangan dalam hasil terjemahan, tanpa mengira siapa penterjemah itu. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, maka figuaratif, emosi dan aspek budaya yang diterjemahkan secara literal didapati akan menjejas mutu suatu teks terjemahan kreatif.
Text
Bahasa Melayu
Pembelajaran bahasa kanak-kanak : Kajian kes gaya pembelajaran pandang-ruang
Abstrak
Setiap individu mempunyai kebolehan, kecerdasan dan kemahiran yang tersendiri dalam menggarap sesuatu konsep dan pengetahuan sewaktu belajar melahirkan pelbagai gaya pembelajaran. Keindividualan ini berpaksi daripada sistem saraf dalam kedua-dua bahagian hemisfera otak berdasarkan pusat pembelajaran tertentu. Proses yang dilalui dalam saraf otak manusia dijelaskan oleh para ahli neurologi dan psikologi sebagai tidak setara, dan ini yang menjadi punca seorang individu mempunyai gaya pembelajaran yang berlainan daripada seorang individu yang lain. Hakikat ini dijelaskan dalam bahagian neuropsikolinguistik kajian ini dalam proses pemerolehan bahasa dalam pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Gaya pembelajaran kebolehan pandang-ruang yang dipeloporkan oleh Linda Kreger Silverman merupakan gaya pembelajaran yang dikaji dan dikembangkan penggunaannya dalam pemerolehan bahasa dalam pembelajaran bahasa kedua dalam kajian ini.
Hakikat penyelidikan dalam bidang pedagogi pembelajaran bahasa kanak-kanak banyak mengkaji tentang pelbagai jenis, konsep dan pendekatan dalam gaya pembelajaran, namun demikian semakin dunia bertambah mencabar, pemikiran manusia menjadi semakin kompleks dan media yang pelbagai jenis muncul dalam kehidupan, bidang kajian gaya pembelajaran juga menjadi semakin rencam dan luas kaupannya. Kajian ini juga menggunakan beberapa kaedah yang disarankan, dan yang dibangunkan sendiri bagi menggunakan bentuk yang ada dari sekeliling persekitaran hari ini bagi membina bahan-bahan pembelajaran yang ideal untuk menyokong pelajar berkebolehan pandang-ruang.
Text
Sosio budaya Melayu
Perbelanjaan dalam urusan perkahwinan masyarakat Melayu : Kajian kes di Daerah Kulim/ Bandar Baharu
Abstrak
Secara keseluruhannya, penulis ini adalah membincangkan mengenai aspek perbelanjaan yang terdapat dalam urusan perkahwinan Melayu. Perbelanjaan ini termasuklah dari segi jumlah bayaran perkahwinan, kos kenduri serta kos kelengkapan dan persediaan yang diperlukan semasa mengendalikan sesebuah majlis perkahwinan. Seperti yang kita ketahui, perbelanjaan yang terdapat dalam urusan perkahwinan Melayu dilihat semakin tinggi berbanding tahun yang sebelumnya. Peningkatan jumlah perbelanjaan ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor tertentu.
Antaranya termasuklah dari segi peningkatan kos sara hidup yang tinggi, perubahan pekerjaan serta kadar inflasi yang berlaku dalam negara kita. Dalam kajian ini, pengkaji berusaha untuk melakukan perincian yang lebih mendalam terhadap kos perbelanjaan yang terlibat di antara sesebuah pasangan dan keluarga pasangan. Jangkaan umum akan mengatakan bahawa pasangan yang mempunyai tahap pendidikan dan jenis pekerjaan yang baik akan membelanjakan jumlah yang lebih tinggi berbanding pasangan yang lain. Namun begitu, perubahan taraf sosiaekonomi yang dialami oleh sesebuah keluarga tidak menghalang kepada seseorang individu itu untuk mengeluarkan belanja yang lebih. Malahan, terdapat juga sesetengah keluarga yang turut sama mengeluarkan jumlah belanja yang di luar batasan kemampuan.
Perubahan yang dialami dalam pola perbelanjaan ini sedikit sebanyak turut membawa perubahan terhadap nilai dan norma tradisi masyarakat Melayu. Tidak kurang hebatnya, terhadap sesetengah individu yang terpaksa melanjutkan usia perkahwinan mereka bagi mengumpulkan dana yang secukupnya.
Text
Bahasa Melayu
Penggunaan e-buku dalam pembelajaran bahasa Melayu : Kajian kes pelajar Darjah Empat Madrasah, Singapura
Abstrak
Kajian ini dilaksanakan untuk melihat keberkesanan kaedah pembelajaran berbantukan perisian e-buku terhadap pencapaian akademik dalam kalangan darjah 4 bagi mata pelajaran bahasa Melayu di sebuah madrasah di Singapura. Kajian ini juga dijalankan untuk melihat sejauh mana kaedah pembelajaran berbantukan perisian e-buku ini dapat meningkatkan minat dan pencapaian pelajar dalam mempelajari bahasa ibunda mereka. Seramai 62 orang pelajar dari dua buah kelas darjah empat akan dilibatkan dalam kajian ini. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan reka bentuk kuasi. Sampel kajian akan dibahagikan kepada dua kumpulan, kumpulan pertama ialah kumpulan kawalan dan kumpulan kedua ialah kumpulan eksperimen. Kumpulan kawalan terdiri daripada 30 pelajar dan kumpulan eksperimen terdiri 32 pelajar yang menggunakan kaedah pembelajaran bahasa Melayu berbantukan perisian e-buku. Satu set borang soal selidik disediakan untuk para pelajar yang berada dalam kumpulan eksperimen, satu set borang soal selidik untuk yang terlibat dalam ujikaji ini dan juga kertas latihan diberikan kepada para pelajar pada akhir penggunaan perisian e-buku bagi menguji keberkesanan kefahaman mereka terhadap isi kandungan perisian e-buku.
Text
Sosio budaya Melayu
Perniagaan masyarakat Melayu dalam sektor informal : Kajian Kes di Pekan Kuah Pulau Langkawi, Kedah
Abstrak
Bidang perniagaan hakikatnya masih baru kepada orang Melayu. Ilmu mereka mengenai bidang ini masih lagi cetek tetapi mereka perlu bersaing dengan bangsa lain terutamanya bangsa cina. Jika kita lihat ekonomi orang Melayu masih lagi ketinggalan jika dibandingkan bangsa lain. Namun, disebabkan Dasar Ekonomi baru (DEB) dilaksanakan, ekonomi orang Melayu mula menunjukkan peningkatan walaupun pelaksanaan tersebut tidak mencapai matlamat yang diinginkan oleh kerajaan. Kajian ini telah melihat kepentingan aktiviti ekonomi di Pekan Kuah dalam membantu ekonomi orang Melayu. Berdasarkan kajian terdapat tiga aspek telah dikaji iaitu mengenai pengurusan, perancangan dan masalah yang dihadapi oleh peniaga Melayu. Jadi, secara keseluruhannya kegiatan perniagaan boleh dikatakan banyak membantu orang Melayu dari segi memperbaiki taraf hidup yang lebih baik. Namun,peniaga Melayu perlu terus berusaha untuk terus maju dan dapat bersaing dengan bangsa lain.
Text
Bahasa Melayu
Strategi komunikasi dalam pembelajaran bahasa Melayu : Satu kajian kes dalam kalangan pelajar asing di Singapura
Abstrak
Pertuturan yang dalam sesuatu bahasa lazimnya dianggap sebagai satu kejayaan dalam berkomunikasi. Namun begitu, pelajar-pelajar asing yang mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa Ibunda (pelajar bahasa kedua) menghadapi masalah berkomunikasi dengan lancar dan spontan. Kejayaan pelajar-pelajar ini dalam komunikasi ditandai oleh beberapa cara dan tindakan yang tersendiri. Dalam kajian ini, cara dan tindakan tersebut dinamakan sebagai strategi-strategi dalam berkomunikasi.
Hubungan strategi komunikasi dalam kajian ini adalah meneliti masalah pertuturan pelajar bahasa kedua dalam proses pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat sekolah Menengah. Sehubungan itu, mutu dalam pertuturan dalam kalangan pelajar bahasa Melayu didapati mengalami kemerosotan yang perlu ditangani. Kajian ini justeru meneliti penggunaan strategi komunikasi yang digunakan oleh pelajar-pelajar bahasa kedua dan mengenal pasti jenis-jenis serta kekerapan strategi komunikasi digunakan.
Di samping itu, kajian ini juga mengaitkan penelitian persekitaran linguistik pelajar-pelajar dengan penggunaan strategi komunikasi dan melihat kepada permasalahan yang timbul dalam kalangan para pelajar. Permasalahan yang muncul justeru memperlihatkan bahawa pelajar-pelajar bahasa kedua mampu menyampaikan mesej semasa berkomunikasi walaupun mempunyai kekangan linguistik yang terhad. Ini disebabkan penggunaan strategi-strategi komunikasi yang membolehkan mereka melanjutkan komunikasi yang tersekat atau terhenti.
Text
Bahasa Melayu
Pembudayaan tulisan Jawi di Kelantan : Sejarah dan prospektif
Abstrak
Tulisan Jawi merupakan warisan bangsa yang tidak ternilai harganya. Malah, tulisan Jawi merupakan nadi yang menggerakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan meletakkannya setaraf dengan bahasa-bahasa asing di dunia ini pada suatu ketika dahulu. Dalam era globalisasi kini, didapati sistem tulisan Jawi semakin terhakis dan dipinggirkan oleh generasi muda hari ini. Tulisan Jawi seolah-olah dipinggirkan oleh masyarakat. Penguasaan membaca dan menulis Jawi oleh generasi hari ini semakin hari semakin kurang memuaskan. Walaupun begitu, kelihatan sebuah negeri di Pantai Timur Malaysia, iaitu Kelantan masih tegar menggunakan tulisan Jawi dalam pelbagai aspek, misalnya di papan tanda iklan, nama kedai, nama jalan, dan sebagainya sebagai usaha pelestariannya. Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengkaji pembudayaan tulisan Jawi di negeri Kelantan, di samping melihat pengaruhnya terhadap penerapan nilai-nilai Islam di sana. Pengkaji menjadikan Negeri Kelantan sebagai pilihan kawasan kajian disebabkan pembudayaan ini sangat unik dan banyak digunakan di sana, kebanyakkannya tidak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia. Sejarah negeri Kelantan itu sendiri kaya dengan pelbagai cerita menarik dan begitu dekat dengan nilai keislaman. Tidak hairanlah jika roh Islam begitu kuat tersebar di Negeri Serambi Makkah ini. Tulisan Jawi sememangnya sudah mengalami banyak perkembangan dan masih mencari cara yang lebih mudah untuk ditulis dan diamalkan. Ia pastinya memberi sumbangan dalam pelbagai bidang ilmu, antaranya bidang pentadbiran, keagamaan,kesenian, dan kebudayaan. Justeru, kajian ini akhirnya mendapati bahawa pembudayaan tulisan Jawi di Negeri Kelantan banyak mempengaruhi corak kehidupan masyarakat mereka sendiri. Secara langsung atau tidak langsung, tulisan Jawi menjadi penyalur kepada penerapan nilai Islam dalam masyarakat di samping mengambil kira penerimaan masyarakat bukan Islam. Pembudayaan tulisan Jawi harus lebih diperluas ke seluruh pelosok dunia agar ia terus terpelihara akan keizinannya untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
Text
Bahasa Melayu
Tahap pemahaman bahasa Melayu melalui analisis kesalahan dalam kalangan murid-murid tahun enam : Kajian kes Sekolah Kebangsaan Chuchoh Puteri
Abstrak
Kajian ilmiah ini bertujuan untuk meneliti tahap pemahaman bahasa Melayu melalui analisis kesalahan dalam kalangan murid-murid tahun enam. Berdasarkan kepada kajian yang telah dilakukan, pengkaji telah membahagikan tiga bahagian skop analisis kajian iaitu dari aspek kesalahan morfologi, kesalahan sintaksis, dan kesalahan mekanikal. Berdasarkan pembahagian tersebut, kesalahan mekanikal mencatatkan jumlah kesalahan tinggi iaitu 46.8% (95 daripada 203). Kemudian diikuti dengan kesalahan sintaksis iaitu sebanyak 27.1% (55 daripada 203). Kesalahan morfologi mencatatkan jumlah kesalahan terendah iaitu sebanyak 26.1% (53 daripada 203). Melalui peratusan yang ditunjukkan,tahap pemahaman bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid tahun enam di SK Chuchoh Puteri adalah pada tahap kurang memuaskan. Oleh itu, pelbagai langkah perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini agar tahap pemahaman bahasa dalam kalangan murid-murid dapat dipertingkatkan
Text
Kaedah penceritaan digital dalam proses penguasaan kemahiran bertutur: Kajian kes ke atas para pelajar menengah dua Normal Teknikal (NT) di Sekolah Menengah Jurong, Singapura
Abstrak
Kajian ini bertujuan meninjau penggunaan penceritaan digital melalui perisian Photo Story 3 for Windows dalam proses penguasaan kemahiran bertutur, dalam kalangan pelajar menengah dua Normal Teknikal di Sekolah Menengah Jurong, Singapura. Melalui kajian ini, pengkaji telah menganalisis pencapaian subjek kajian dalam kemahiran bertutur sebelum dan sesudah menggunakan kaedah penceritaan digital serta minat mereka terhadap pengajaran dan pembelajaran sebelum dan sesudah menggunakan kaedah penceritaan digital. Dapatan kajian telah berjaya membuktikan bahawa penceritaan digital merupakan kaedah yang berkesan dalam proses penguasaan kemahiran bertutur. Subjek kajian berjaya menunjukkan peningkatan pencapaian yang signifikan dalam ujian lisan setelah menggunakan kaedah penceritaan digital itu. Selain daripada itu, subjek kajian lebih berminat terhadap pengajaran dan pembelajaran selepas menggunakan kaedah penceritaan digital. Sebahagian besar daripada mereka juga ingin meluaskan pengalaman mereka menggunakan kaedah penceritaan digital untuk mengasah kemahiran bahasa yang lain seperti mendengar, menulis dan membaca. Diharapkan agar keberkesanan kajian ini akan menggalakkan guru-guru untuk mencuba kaedah penceritaan digital dalam pengajaran mereka.
Text
Bahasa Melayu
Pembelajaran dan penguasaan peribahasa dalam kalangan pelajar Sekolah Rendah Temasek
Abstrak
Kepentingan bahasa ibunda sebagai maruah bangsa beserta nilai luhur yang terkandung di dalamnya perlu dipertahankan dan dikuasai oleh para penutur jati. Lantas hal ini perlu dititikberatkan sejak di peringkat sekolah rendah lagi agar pemulihan dan pemuliharaan bahasa itu dapat dicapai sebelum mereka menjejak dewasa. Setiap individu dalam masyarakat tidak kira ibu bapa, para guru dan masyarakat secara umum memainkan peranan dalam memastikan penguasaan bahasa Melayu yang lebih baik dalam kalangan generasi muda kita.
Dalam hal ini guru bahasa Melayu merupakan pusat kawalan utama yang memainkan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar minat untuk mempelajari bahasa Melayu dalam kalangan pelajar akan berterusan sepanjang hayat. Pra guru perlu melakarkan dan mewujudkan suatu suasana pengajaran dan pembelajaran yang selaras dengan cita rasa generasi para pelajar dekad ini. Pendekatan serta kaedah yang dipilih mampu menyalurkan dan meningkatkan maklumat kepada para pelajar. Para guru harus sentiasa proaktif, berfikiran kritis dan kreatif untuk membantu pelajar menguasai kemahiran berbahasa.
Dalam kajian ini, pengkaji akan menganalisis keberkesanan pembelajaran menggunakan komik melalui perisian Bistrips dan Model Pembelajaran Constructivist Learning Environment (CLE) dalam meningkatkan pembelajaran serta penguasaan peribahasa dalam kalangan para pelajar yang telah dipilih sebagai subjek kajian. Selain itu, pengkaji juga ingin mendapatkan kepastian sama ada instrumen yang digunakan dalam kajian ini mampu menarik minat pelajar dalam menguasai peribahasa.
Kajian ini akan dijalankan ke atas pelajar-pelajar darjah 3 di Sekolah Rendah Temasek di Singapura. Seramai 26 orang pelajar terdiri daripada pelbagai tahap kemahiran telah dipilih sebagai subjek kajian ini.
Pengkaji telah menggunakan komik sebagai wadah utama untuk mengajar peribahasa dan telah bertunjangkan Teori Konstruktivisme melalui Model Pembelajaran CLE untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut. Sehubungan itu, pengkaji juga akan melakarkan kertas ujian untuk menganalisis keberkesanan kedua-dua pendekatan ini. Selain itu, pengkaji akan menjalankan soal selidik berstruktur dan kaedah temu bual yang tidak berstruktur terhadap para pelajar dan para guru yang terlibat untuk mendapatkan kesahihan sama ada penggunaan komik sebagai wadah utama untuk mengajar peribahasa dan pembelajaran melalui Model Pembelajaran CLE berjaya atau tidak menarik minat pelajar dalam mempelajari dan menguasai peribahasa.
Text
Sosio budaya Melayu
Persepsi terhadap amalan penjagaan kesihatan dalam kalangan wanita Melayu : Kajian kes di Felda Lok Heng Kota Tinggi, Johor
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai persepsi wanita terhadap amalan penjagaan kesihatan dalam kalangan wanita Melayu dan penjelasannya adalah meliputi kesedaran wanita itu sendiri terhadap penjagaan kesihatan, amalan pemakanan, senaman yang dilakukan serta penjagaan bagi wanita mengandung dan selepas bersalin. Tanggungjawab wanita sebagai suri rumah bukanlah satu tanggungjawab yang mudah kerana mereka bukan sahaja berperanan menjaga dan memelihara kesejahteraan diri mereka sendiri, tetapi juga ahli keluarga yang lain. Pelbagai aspek perlu diambil perhatian oleh golongan wanita terhadap keluarganya sehinggakan mereka kadang kala mempunyai masa terbatas untuk merehatkan diri mereka sendiri. Bagi wanita yang bekerja atau turut terlibat dalam aktiviti diluar lingkungan keluarga, mereka perlu seimbangkan antara tugas domestik dan publik agar tugas-tugas tersebut tidak menjadi beban yang boleh memberi kesan kepada kesihatan diri mereka sendiri. Pada akhir penulisan latihan ilmiah ini, pengkaji turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan terhadap kajian susulan yang berkaitan dengan kesihatan wanita. Isu berkaitan dengan penjagaan kesihatan perlu diambil perhatian bagi melahirkan masyarakat yang sihat dari segi jasmani dan rohani.
Text
Sosio budaya Melayu
Perubahan sistem kepercayaan masyarakat Brunei : Pantang larang
Abstrak
Kajian ini adalah mengenai pantang larang merupakan salah satu adat Melayu yang selalu digunakan oleh masyarakat zaman dahulu sebagai sistem kawalan sosial dan perhubungan di antara masyarakat. Ia digunakan untuk mendidik dan menasihati anak-anak serta cucu-cicit mereka dalam urusan sehari-hari supaya tidak membuat kesalahan terutama yang boleh membawa padah kepada mereka. Di dalam kajian ini juga telah menyatakan beberapa faktor yang telah menyebabkan terhakis sedikit demi sedikit budaya Melayu yang sangat kaya yang menunjukkan identiti Melayu itu sendiri. Ia dapat dilihat dari masa kedatangan British ke Brunei dengan membawa pelbagai bentuk sistem perekonomian yang telah mengubah segala bentuk struktur pentadbiran Melayu yang telah lama diwarisi sejak zaman dahulu lagi.
Text
Kesenian Melayu
Pua Kumbu : Kajian estetika motif dan corak
Abstrak
Kajian ilmiah ini telah meneliti mengenai tekstil tenunan kain pua kumbu yang ditenun oleh masyarakat Iban di Sarawak. Kajian dalam kajian ini akan dibincangkan mengenai sejarah, teknik, bahan dan peralatan yang digunakan dalam pembuatan tenunan kain pua kumbu. Seterusnya akan dibincangkan juga tentang estetika dan corak yang menjadi ragam hias kepada kain tenunan ini. Terdapat dua cara yang dilakukan dalam menjalankan kajian ini iaitu melalui kajian kepustakaan dan kajian kes. Kedua-dua kaedah ini adalah untuk mendapat maklumat mengenai motif dan corak kain pua kumbu. Dapatan kajian ini telah berjaya dengan dilakukan dengan mendapatkan maklumat melalui pelbagai media dan responden.
Text
Bahasa Melayu
Penggolongan kata dalam penulisan naratif sekolah rendah & menengah di Singapura
Abstrak
Hasil penulisan naratif merupakan satu latihan kemahiran bertulis di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Pembaharuan dalam sistem pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah tidak lagi memberatkan kemahiran penulisan bahasa kedua. Disebabkan ini, terdapat perbezaan pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran penulisan naratif. Penulisan naratif masih kekal relevan kerana latihan penulisan ini mengukuhkan asas kemahiran bahasa terutama sekali penggolongan kata. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis penggolongan kata terdapat dalam penulisan naratif sekolah rendah dan sekolah menengah. Kajian akan tertumpu kepada aspek penggunaan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas yang dominan dalam penulisan naratif bagi kedua-dua peringkat pendidikan. Sebanyak 10 sampel penulisan naratif sekolah rendah dan 10 sampel penulisan naratif sekolah menengah akan dianalisis dengan bertunjangkan Teori Transformasi Generatif Noam Chomsky (1957) dan rumus-rumus tatabahasa dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga oleh Nik Safiah et.al (1998). Model ini mengemukakan aspek morfologi dan penggolongan kata. Dapatan kajian menunjukkan penggunaan penggolongan kata dalam penulisan naratif di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Kajian juga menunjukkan kepentingan kemahiran penguasaan penggolongan kata untuk menghasilkan penulisan naratif yang baik. Pengkaji juga berharap agar pihak kementerian, guru-guru dan pencinta bahasa menyedari kepentingan penggunaan penggolongan kata dalam penulisan naratif. Kajian ini diharapkan dapat menambah kepada tentang hasil penulisan naratif.
Text
Bahasa Melayu
Analisis teks ucapan politik dari segi retorik : Satu kajian struktur paralel
Abstrak
Kajian ini adalah satu usaha untuk meneliti retorik dari aspek isocolon ataupun dikenali sebagai struktur paralel dalam frasa, klausa ataupun ayat dalam teks-teks ucapan politik. Kajian ini akan menggunakan tiga teks daripada parti politik UMNO. Tujuan utama kajian ini ialah mengenal pasti bentuk-bentuk isocolon dan seterusnya menganalisis secara sistematik dari segi alternatif dan kuantitatif.
Kajian ini menggunakan kaedah kepustakaan. Model retorik yang digunakan ialah model yang diketengahkan oleh Ward Farnsworth (2011). Model tersebut akan digunakan untuk menganalisis teks ucapan politik UMNO yang telah dibentangkan semasa perhimpunan UMNO pada tahun 2013. Dalam menganalisis aspek isocolon, terdapat sebelas bentuk isocolon yang telah digunakan dalam dunia retorik. Dalam pada itu, kajian ini juga akan menemukan kekerapan beberapa bentuk isocolon dalam teks ucapan politik yang telah dipilih. Setengah bentuk isocolon akan lebih dominan berbanding dengan bentuk isocolon yang lain. Selain itu, kajian ini juga memperlihatkan keindahan bahasa Melayu dalam menggunakan retorik khususnya dalam bentuk isocolon.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengurusan perniagaan pasar tani: kajian kes ke atas peniaga-peniaga Melayu Pasar Tani Mega di Seksyen 17, Petaling Jaya
Abstrak
Kajian ini menumpukan fokus kepada pengurusan perniagaan peniaga-peniaga Melayu Pasar Tani Mega di Seksyen 17, Petaling Jaya. Pasar Tani ini yang sudah hampir 30 tahun ditubuhkan semakin berkembang maju. Sejak bermula dengan Pasar Tani biasa, kini sebanyak 5 jenis Pasar Tani telah ditubuhkan. Penubuhan Pasar Tani yang baru adalah untuk membantu peniaga-peniaga pasar tani yang majoritinya adalah peniaga-peniaga Melayu sehingga kini. Oleh yang demikian, tidak hairan perniagaan Pasar Tani dicopkan sebagai perniagaan orang Melayu. FAMA merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk mengurus tadbir pemasaran yang berkaitan dengan pertanian dan industri asa tani. FAMA turut membantu peniaga-peniaga Melayu Pasar Tani dalam aspek pemasaran, termasuklah pengurusan perniagaan. Melalui kemudahan dan kursus yang dianjurkan oleh FAMA, peniaga-peniaga Melayu dapat berlatih dan mengaplikasikan pengetahuan yang diperolehi ke dalam perniagaan masing-masing. Ini meliputi aspek pengurusan perniagaan seperti pengurusan kewangan, produk, dan sumber tenaga kerja. FAMA turut melancarkan program Jimat Belanja Dapur. Rata-rata perniaga-perniaga Melayu Pasar Tani Mega di Seksyen 17, Petaling Jaya terlibat dalam program anjuran FAMA. Program Jimat Belanja Dapur dilihat memberikan kesan positif ke atas perniagaan Pasar Tani.
Text
Sosio budaya Melayu
Sistem jaringan perniagaan dalam kalangan peniaga kecil Melayu di Ayer Hitam, Batu Pahat Johor
Abstrak
Jaringan perniagaan merupakan yang penting bagi memastikan sesebuah perniagaan itu mampu untuk bertahan dan bersaing dengan perniagaan lain di samping membantu untuk mengukuhkan lagi perniagaan tersebut. Di dalam jaringan perniagaan, terdapat beberapa aspek yang dikaji untuk melihat bagaimana seseorang peniaga itu menjalankan keseluruhan operasi jaringan perniagaan seharian yang bentuk jaringan, rakan jaringan dan masalah jaringan . Perkara-perkara ini seterusnya dinilai bagi melihat tahap kecekapan peniaga dalam mengurus jaringan perniagaan kerana perkara inilah antara elemen yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah perniagaan itu dan menjamin kelangsungan dan keberadaan perniagaan itu di pasaran. Oleh hal yang demikian, peniaga-peniaga perlu mengurus jaringan perniagaan dengan sistematik supaya perniagaan mereka berjalan dengan lancar.
Text
sastera Melayu
Analisis kesantunan perlakuan verbal : Kes novel Restu karya Ismail Kassan
Abstrak
Kajian ini secara amnya bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis aspek kesantunan perlakuan novel seperti yang terdapat dalam novel Restu karya Ismail Kassan (1996). Bab 1 sebagai pendahuluan memberi tumpuan kepada beberapa komponen penting sesuatu kajian seperti objektif dan permasalahan kajian. Dalam bab 2 iaitu Sorotan Literatur, pengkaji telah membuat rujukan hasil kajian para pengkaji terdahulu yang berkaitan dengan tajuk dan bidang penyelidikan.
Dalam bab 3 iaitu Teori dan Metodologi, pengkaji menghuraikan reka bentuk kajian dan teori yang diterapkan bagi menganalisis data kajian. Sebanyak 13 sampel perbualan telah diambil bagi melihat aspek kesantunan bahasa. Teori Prinsip Kesopanan Leech (1983) dan Strategi Komunikasi dan Kesopanan Asmah (1996) digunakan bagi menganalisis data yang dipetik dari novel. Kaedah soal selidik turut diterapkan untuk melihat tahap pemahaman pelajar tentang aspek kesantunan bahasa yang telah diketengahkan oleh pengarah. Dalam bab ini, pengkaji turut menerangkan sebab penggabungan kedua-dua model ini bagi menganalisis data kajian.
Analisis dan perbincangan pula dilakukan dalam bab 4. Dalam bab ini , pengkaji mengkategorikan data yang dipetik dari bahan kajian berdasarkan Maksim Kesopanan Leech (1983) dan Strategi Komunikasi dan Kesopanan Asmah (1996), kemudian pengkaji menganalisis secara terperinci bagi setiap sampel yang dipetik. Seterusnya, kekerapan setiap maksim dan strategi dipaparkan dengan peratusan dan rajah. Dalam bab 6, pengkaji mengetengahkan perbincangan tentang rumusan kajian dan cadangan kajian. Pengkaji kemudian memberi kesimpulan kepada hasil penyelidikan yang telah dilakukan.
Text
Bahasa Melayu
Kesantunan berbahasa dalam komunikasi tulisan : Analisis kajian guru-guru bahasa Melayu Sekolah Rendah Park View (Singapura)
Abstrak
Dalam kerjaya seorang guru, penelitian terhadap aspek kesantunan berbahasa amat dititikberatkan demi mewajahkan keprofesionalannya dalam bidang pendidikan. Sehubungan itu, kesantunan berbahasa dalam komunikasi secara tulisan antara guru dengan pelbagai pihak yang berkepentingan dalam pendidikan seringkali dipandang enteng, lantas boleh menimbulkan pelbagai konflik dan masalah di sekolah. Oleh sedemikian, guru harus menggalas tanggungjawab yang berat dalam menerapkan kesantunan berbahasa semasa berkomunikasi. Justeru, bertunjangkan konsep teori kesantunan Asmah Hj. Omar, kajian kepustakaan dan lapangan secara kualitatif deskriptif ini merungkai unsur-unsur kesantunan asas berkendala yang seharusnya menjadi garis pandu setiap guru. Dalam hal ini, dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas peperiksaan, rubrik penilaian, surat, e-mel, Whatsapp digunakan sebagai paksi penganalisisan kajian ini.
Text
Bahasa Melayu
Penggunaan buku-e:Pengurusan kemahiran membaca dalam kalangan murid darjah 4, Sekolah Rendah Punggol, Singapura
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengupas keberkesanan perisian buku-e sebagai alat TMK dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) terutama pengajaran kemahiran membaca bahasa Melayu dalam kalangan murid darjah 4 di Sekolah Rendah Punggol, Singapura. Perisian buku -e merupakan antara bahan TMK yang telah dikenal pasti sebagai agen perangsang kerana mempunyai elemen-elemen multi media yang membantu murid mencapai tahap penguasaan dengan lebih optimum. Pada masa yang sama, menjadikan perisian buku-e sebagai bahan penyelesaian terhadap masalah pembacaan murid serta mengeksploitasi kecenderungan murid terhadap teknologi komputer untuk menarik minat mereka dalam aktiviti membaca. Sebelum melaksanakan kajian, kerangka konsepsi harus dilakarkan berdasarkan prinsip pembelajaran Behavioris, Kognitif dan Konstruktivis, dan prinsip model reka bentuk pengajaran Gagne dan ASSURE serta dengan model pembacaan Interaktif-Pengimbangian yang dirujuk melalui metode kepustakaan. Metode pembinaan bahan pula melibatkan siri pengujian bagi menyediakan perisian buku-e untuk digunakan semasa sesi lapangan. Berdasarkan perbincangan dapatan, perisian buku-e yang dibina menepati tujuh ciri multimedia. Nilai-nilai min yang tinggi dalam perbincangan kuantitatif serta pandangan positif oleh pemerhati dalam perbincangan kualitatif mengesahkan perisian buku-e sebagai bahan yang berkesan. Penilaian ujian pra- dan pasca- pula jelas menunjukkan peningkatan yang dicapai murid-murid setelah melalui sesi menggunakan buku-e. Secara tuntas, perisian buku-e ini amat berkesan dan harus diintegrasikan dalam sistem pendidikan Singapura.
Text
Sosio budaya Melayu
Perspektif bomoh terhadap konsep ‘alam ghaib’ dalam masyarakat Melayu suatu kajian kes di Kampung Bendang Kerian dan Kampung Berangan, Tumpat,
Abstrak
Kajian yang dilakukan oleh pengkaji untuk mendalami perkara berkaitan pemahaman seseorang bomoh dan pawang dalam masyarakat Melayu tradisional berkenaan konsep alam ghaib atau alam mistik. Meskipun dunia telah moden dan masyarakat memiliki tahap keintelektualan yang tinggi namun kebanyakan benda mistik masih belum mampu dirungkai secara berkesan secara logik akal dan ilmu saintifik meskipun telah banyak kajian telah dilakukan oleh penyelidik dan pakar daripada kajian ilmiah.
Kebanyakan masyarakat Melayu islam sama ada di bandar mahupun desa masih tetap berikhtiar menggunakan kaedah perubatan berkaitan bomoh untuk mengubati penyakit bersifat dalaman, jiwa, emosi dan lain-lain. Hal ini disebabkan ilmu perubatan moden hanya mampu mengubati dan merawat secara fizikal kepada anggota badan manusia apabila menerima rawatan oleh doktor. Alam ghaib sememangnya wujud kerana diciptanya oleh-Nya dan dinyatakan dalam kitab al-quran.
Institusi perbomohan terutama di alam Melayu sudah berdiri teguh dan sudah sebati dan mampu diterima sebagai norma kemasyarakatan menerusi perantara individu bergelar bomoh. Golongan ini merupakan individu yang sangat rapat dan berhubungan dengan alam ghaib secara terus mahupun tersembunyi. Tidak hairanlah mereka ini mendakwa mampu memasuki alam mistik dengan keizinan dan segala ilmu yang dimiliki oleh mereka.
Bagi meneruskan kesinambungan dan misteri alam ghaib yang belum diterokai sepenuhnya maka kajian berkaitan ilmu pengasih telah dilakukan oleh pengajian bagi mengenal pasti sejauh mana bomoh itu telah berinteraksi secara dua hala dengan kuasa alam ghaib berserta koordinasi kepercayaan tradisi dan adat resam untuk mensakralkan kekuasaan dan keampuhan sesuatu ritual dalam agama malah ilmu pengasih seperti susuk, minyak dagu, nasi kangkang dan lain dikatakan bertentangan dengan norma islam.
Menurut perspektif Antropologi Kebudayaan ianya menjadi suatu tabiat masyarakat untuk meminta makhluk halus mahupun roh selain daripada tuhan untuk mendapatkan bantuan, pertolongan apabila berlaku sebarang masalah yang ditanggung oleh individu kemudian bertukar kepada penerimaan oleh masyarakat
Text
Sosio budaya Melayu
Kesantunan leksikal dalam filem Ombak Rindu dan hubungannya dengan komunikasi berkesan
Abstrak
Kajian ini berfokus pada aspek kesantunan leksikal yang terdapat dalam dialog filem Ombak Rindu (2010), iaitu dialog antara dua watak utama filem tersebut. Kajian dalam bidang pragmatik yang dilakukan ini akan mengenal pasti padanan leksikal dengan berpandukan Tesaurus Bahasa Melayu Dewan Edisi Baharu (2010) dan juga Tesaurus Bahasa Melayu Dewan Edisi Kedua (2011). Dengan menganalisis data leksikal dan dua padanan katanya, di samping memberikan fitur makna binari [+] dan [-], ketepatan pemilihan leksikal yang digunakan dalam dialog filem Ombak Rindu akan dapat diperlihatkan. Selain itu, kajian ini juga akan mengaplikasikan model Prinsip Kesantunan Leech(1983) berdasarkan keenam-enam maksim dalam model tersebut. Terdapat 310 data analisis yang telah dikategorikan berdasarkan 11 jenis pengkategorian kata leksikal. Dapatan analisis menunjukkan bahawa hasil pemadanan data leksikal analisis komponen makna bagi setiap data leksikal, ketepatan pemilihan leksikal dalam dialog filem Ombak Rindu telah dipengaruhi oleh empat faktor utama, iaitu konteks peristiwa, latar belakang watak, struktur suku kata dan kekerapan penggunaan sesuatu kata dalam komunikasi seharian. Faktor konteks peristiwa (100 peratus) dan latar belakang watak (100 peratus) merupakan faktor yang paling dominan dalam menentukan ketepatan leksikal dalam dialog filem manakala faktor struktur suku kata (44.4 peratus) merupakan faktor yang paling kurang dominan. Dapatan analisis turut menunjukkan bahawa 167 (53.9 peratus) data leksikal telah mematuhi Prinsip Kesantunan Leech (1983) manakala sebanyak 143 946.1 peratus) data leksikal didapati tidak mematuhi prinsip kesantunan tersebut. Maksim kebijaksanaan (46.8 peratus) merupakan maksim yang paling dominan berdasarkan konteks penggunaan leksikal dalam dialog filem Ombak Rindu.
Text
Sosio budaya Melayu
Analisis retorik pemujukan dan aspek kebahasaan : Kajian teks khutbah Jumaat di Singapura
Abstrak
Aliran utama kajian adalah untuk menganalisis bidang ilmu retorik dalam teks khutbah. Sehubungan itu, korpus kajian adalah berdasarkan konteks khutbah-khutbah yang disampaikan khusus di negara Singapura sahaja. Sehubungan itu, penyelidikan ini juga dijalankan dengan tujuan untuk menganalisis retorik tertentu yang wujud dalam wahana khutbah-khutbah karangan para guru agama dan cendekiawan Singapura. Kajian eksklusif ini juga akan meninjau dan memperlihatkan, kekuatan, perkembangan dan keunikan yang ada dalam khutbah-khutbah Jumaat di Singapura berpandukan dasar teori yang dikemukakan oleh Gary T.Hunt (1987) bagi sebahagian besar aspek retorik dan Za’ba (2002) bagi aspek ragam Bahasa.
Bab 1 merupakan pengenalan awal, dan bahagian ini juga akan menyentuh tentang latar belakang penghasilan teks khutbah Jumaat di Singapura. Selain itu, kajian juga akan memperlihatkan kajian retorik terdahulu, kepentingannya metodologi, korpus dan juga teori kajian. Kajian akan mengikut konteks khutbah di negara Singapura keluaran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Bab 2 merupakan bahagian yang menyingkap tentang definisi konsep. Konsep yang akan dibincangkan adalah konsep retorik, retorik pemujukan, ragam bahasa, pemilihan diksi dan khutbah.
Bab 3 pula kan menyentuh tentang variasi strategi retorik pemujukan yang wujud dalam teks-teks khutbah Jumaat. Aspek teknik pemujukan yang dianalisis adalah ayat-ayat atau ungkapan yang mempunyai kekuatan dari aspek semantik sahaja. Di antara strategi yang dianalisis secara holistik adalah strategi pengukuhan dan seruan untuk bertindak. Menerusi kajian ini, pengkaji akan menilai keberkesanan penggunaan retorik pemujukan yang digunakan dalam komunikasi dengan khalayak sasaran, iaitu para jemaah di masjid-masjid Singapura.
Bab 4 menumpukan kepada aspek kebahasaan yang wujud dalam 10 teks khutbah Jumaat pilihan. Aspek kebahasaan yang dimaksudkan adalah pemilihan diksi. Variasi aspek bahasa yang mewarnai teks khutbah in akan dianalisis secara holistik dan eksklusif. Bagi pemilihan diksi, aspek unsur kata pinjaman asing, keagamaan dan unsur kepuisian akan dianalisis secara terperinci.
Bab seterusnya adalah bab yang ke-5, bahagian ini akan membincangkan dapatan kajian mengenai aspek ragam bahasa. Pengkaji juga hanya memfokuskan kepada tiga sahaja ragam bahasa, iaitu bahasa naik, bahasa berulang dan bahasa bukan.
Bab 6, merupakan fasa perumusan semua dapatan kajian yang telah dibuat dalam keseluruhan bab. Setiap analisis memberikan hasil yang beraneka dan rencam berteraskan tajuk khutbah yang berbeza-beza. Dan pendekatan diyakini relevan dan mampu mengupas setiap persoalan untuk disesuaikan dengan korpus teks khutbah Jumaat di Singapura.
Text
Sosio budaya Melayu
Upacara miring masyarakat Iban : Kajian kes di Rumah Endah Nanga Sepayang, Song, Sarawak
Abstrak
Kajian ini cuba mengkaji tentang adat miring dalam masyarakat Iban di Sarawak.Upacara miring merupakan salah satu upacara ritual yang sangat penting dalam kalangan masyarakat Iban. Dalam penulisan ini, kajian cuba mengupas tentang beberapa aspek yang penting iaitu tentang kewujudan adat Miring, bagaimana ia dilakukan, siapa yang terlibat, untuk siapa penyembahan piring itu diberi dan tujuan adat Miring. Penulisan ini juga turut mengupas tentang mengapa masyarakat Iban menjadikan adat Miring ini sebagai satu adat yang penting dalam keseluruhan kehidupan mereka.
Latihan ilmiah ini mengandungi enam bab. Bab pertama ialah bab pendahuluan yang menyentuh mengenai permasalahan kajian, objektif kajian, literature review dan kaedah kajian. Bab kedua pula menjelaskan tentang latar belakang masyarakat dan kawasan kajian. Dalam bab ketiga pula ialah membincangkan tentang kosmologi Iban iaitu ruang alam semesta dan kuasa luar biasa bagi masyarakat Iban. Bab keempat pula adalah mengenai upacara miring iaitu mengenai jenis piring, peralatan yang digunakan dalam upacara miring dan komponen-komponen yang berperanan penting sebelum dan semasa upacara miring itu dilakukan. Seterusnya bab kelima pula membincangkan tentang bagaimana upacara miring itu dilakukan di dalam setiap upacara ritual bagi masyarakat Iban. bab terakhir iaitu bab enam adalah bab perbincangan dan juga cadangan kajian untuk pengkaji yang seterusnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Saka dalam masyarakat Melayu kerinci : Harimau jadian
Nadia Ezzareda Nasheeqha binti Noor Azmi
Abstrak
Kajian latihan ilmiah yang bertajuk “Saka dalam masyarakat Melayu Kerinci: Harimau jadian” ini adalah bertujuan untuk mendedahkan mengenai kewujudan saka yang menjadi kepercayaan sesetengah masyarakat Melayu terutamanya masyarakat Melayu Kerinci. Saka sering dilihat oleh masyarakat Melayu sebagai jin yang dipelihara dari zaman nenek moyang yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu kepada kepada seorang individu, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Selain itu, di dalam kajian ini juga akan turut menyentuh sedikit mengenai konsep saka dan juga jenis-jenis saka yang menjadi kepercayaan masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, kajian ini masih lagi menekankan mengenai saka harimau jadian dalam masyarakat Melayu Kerinci dan fungsinya terhadap masyarakat berkenaan. Melalui hasil kajian ini mendapati bahawa masih lagi terdapat masyarakat Melayu Kerinci yang masih lagi mempercayai serta memiliki saka harimau jadian ini. Justeru, kaedah kerja lapangan telah digunakan bagi mendapatkan maklumat yang dikehendaki. Melalui kaedah ini, beberapa orang informan telah ditemubual bagi mendapatkan maklumat ini. Selain itu, kajian kepustakaan juga turut digunakan sebagai bahan sokongan untuk kajian ini.
Text
Bahasa Melayu
Analisis kesantunan berbahasa : Satu kajian terhadap iklan-iklan produk kecantikan dalam akhbar Harian Metro
Abstrak
Dalam masyarakat Melayu, unsur kesantunan semasa berkomunikasi amat dipentingkan. Budaya dan agama Islam merupakan antara pengaruh yang menjadikan masyarakat Melayu sebuah masyarakat yang mementingkan nilai kesantunan bahasa. Disebabkan ini, masyarakat Melayu mengamalkan pertuturan yang lemah lembut serta bersopan santun supaya tidak dianggap biadap atau tidak berbudi bahasa. Oleh yang demikian, kesantunan bahasa dapat mencerminkan tamadun sesebuah bangsa. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis unsur-unsur kesantunan yang terdapat dalam iklan produk kecantikan dalam akhbar Harian Metro. Kajian akan tertumpu kepada aspek penggunaan kata nama diri dan unsur eufemisme dalam iklan. Sebanyak 35 sampel iklan telah dianalisis yang bertarikh 1 Mac 2014 sehingga 15 Mac 2014 dengan bertunjangkan Model Kesantunan oleh Asmah Hj. Omar (1995). Model ini mengemukakan dua prinsip iaitu kesopanan asas dan kesopanan kendala. Dapatan kajian menunjukkan unsur kesantunan masih terpelihara dalam iklan melalui penggunaan kata ganti nama diri yang sesuai dalam konteks iklan dan unsur eufemisme yang digunakan untuk menggantikan kata-kata yang dianggap tabu atau kurang sopan. Kajian ini dapat menyuntik keinginan para pengkaji atau pencinta bahasa selepas ini untuk membuat satu kajian yang komprehensif tentang aspek kesantunan dalam iklan. Pengkaji juga mengharapkan agar para pengiklan akan terus menyedari kepentingan mengekalkan nilai kesantunan dalam iklan. Kajian ini juga diharapkan dapat menambah kepada kajian-kajian tentang kesantunan.
Text
Kesenian Melayu
Seni Pertukangan Perak : Kajian kes di Kota Bharu Kelantan
Abstrak
Seni pertukangan perak di Malaysia telah dihasilkan oleh masyarakat Melayu terutamanya bagi masyarakat pinggir bandar. Seni pertukangan perak ini dihasilkan berdasarkan kreativiti Melayu. Produk-produk yang dihasilkan akan dikenali sebagai seni kraftangan masyarakat Melayu. Pelbagai barangan yang dihasilkan seperti aksesori, barangan dapur, perhiasan, dan juga cenderahati. Pada setiap barangan juga pasti akan dihias dengan ragam hias yang tertentu mengikut citarasa pembuat dan pengguna. Ianya untuk mencantikkan lagi barangan perak yang dihasilkan. Setiap ukiran yang terhasil pada produk pasti mempunyai maksud yang tersendiri yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat Melayu. Sambutan terhadap barangan perak dahulu sangat menggalakkan kerana ia merupakan keperluan seharian masyarakat Melayu. Pada masa kini, seni pertukangan perak di malaysia kurang diminati oleh masyarakat. Pertumbuhan teknologi yang semakin canggih hampir-hampir menenggelamkan seni pertukangan perak yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu. Kecanggihan teknologi yang dicipta lebih senang dan cepat mampu menggantikan produk-produk daripada pertukangan tangan perak. Disebabkan hal itu, sambutan terhadap produk perak kini berkurangan dan sangat terkesan pada seni pertukangan perak. Hal ini merupakan cabaran yang perlu ditempuhi oleh pengusaha-pengusaha pertukangan perak. Pelestarian terhadap barangan perak ini kini, boleh kenalpasti oleh pihak-pihak yang tertentu agar seni pertukangan perak terus mekar dan mendapat sambutan oleh masyarakat tempatan mahupun luar negara.
Text
Sosio budaya Melayu
Peranan Masjid Beijing sebagai pusat pembentukan peribadi muslim : Kajian kes di Rantau Panjang Kelantan
Abstrak
Agama Islam berkembang mekar dan masjid merupakan pembuktian dan mercu tanda terpenting bahawa Islam telah bertapak. Senibina Islam dan reka bentuk awal masjid banyak memperlihatkan gaya seni bina. Perkembangan Islam ke Asia telah turut membawa pelbagai reka bentuk yang dipengaruhi atau di asilimisasi daripada pelbagai negara sama ada gaya dunia China iaitu gaya Cina-Islam, gaya India, dan gaya Gugusan Pulau-pulau Melayu yang telah menghasilkan pelbagai perubahan kepada seni bina masjid gaya Arab. Seni bina masjid dengan ini secara jelas memperlihatkan betapa pengaruh kebudayaan setempat telah dapat disesuaikan dan diterima pakai dalam pembentukan reka bentuknya. Seni bina masjid sentiasa menerima perubahan dan ianya melibatkan falsafah bangsa dan kefahamannya terhadap hukum alam. Kajian ini akan memperlihatkan sebuah masjid yang berseni binaan Cina yang apabila dilihat daripada jauh kelihatan seperti kuil cina. Hal ini menunjukkan reka bentuk yang terhasil daripada falsafah dan kebudayaan bangsa dan penduduk setempat yang pelbagai. Dalam kajian ini, pengkaji akan mengkaji dan akan menerangkan tentang definisi mengenai masjid, seni bina dan peranan masjid sebagai pusat pembentukan peribadi muslim. Peranan masjid sebagai pusat pembentukan peribadi muslim akan dilihat melalui aktiviti yang dijalankan oleh Masjid Beijing berkenaan sama ada melalui ceramah, kelas, kelas agama dan sebagainya.
Text
Sosio budaya Melayu
Perubahan peranan wanita dalam masyarakat Melayu
Abstrak
Kajian ini merupakan satu kajian yang berkaitan dengan perubahan peranan wanita dalam masyarakat Melayu. Peranan wanita yang dahulunya terbatas sebagai seorang suri rumahtangga iaitu sebagai seorang ibu dan isteri tetapi kini dalam zaman yang serba moden dan mencabar ini, kaum wanita tidak hanya tinggal di rumah sahaja tetapi peranannya telah bertambah dan meluas. Secara keseluruhan kajian ini dibahagikan kepada lima bab. Kajian ini lebih menekankan kepada perubahan wanita dalam masyarakat Melayu yang dilihat dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Proses industrialisasi telah memberi kesan besar ke atas status dan peranan wanita dalam pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat. Tenaga kerja wanita diperlukan bagi memenuhi keperluan tenaga dalam pasaran dan mengurangkan pergantungan tenaga asing dalam Negara. Dengan pendidikan yang ada, kaum wanita telah mula turut menyumbangkan tenaganya dalam meningkatkan ekonomi. Kajian ini juga turut membuat kategori iaitu wanita bujang, wanita berkahwin dan lelaki bujang dan berkahwin tentang perubahan peranan wanita dalam masyarakat Melayu.
Text
Kesenian Melayu
Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan : Kajian dari aspek persembahan
Abstrak
Latihan ilmiah ini adalah berkaitan dengan aspek persembahan Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan. Kajian dijalankan berdasarkan kaedah tertentu untuk mencapai objektif kajian yang telah ditetapkan. Kajian dimulakan dengan memberi pengenalan kepada wayang kulit secara umum di Malaysia dan di Kelantan, meliputi asal usul wayang kulit, peralatan yang terlibat dalam permainan wayang kulit, ritual, dan sebagainya. Seterusnya kajian ini memfokuskan kepada kumpulan Sri Wayang II di Kampung Paloh, Tumpat, Kelantan meliputi pelbagai aspek.
Text
Sosio budaya Melayu
Pelestarian rumah tradisi di Kota Lama Duyong, Terengganu
Abstrak
Bangunan bersejarah adalah warisan negara yang paling nyata dan tidak ternilai harganya. Rumah tradisi di Kota Lama Duyong adalah struktur warisan yang unik dan satu yang terbaik dipelihara seumpamanya. Ia adalah gabungan pelbagai gaya seni bina. Rumah itu terdiri daripada seorang Rumah Bujang Berpemeleh, dua Rumah Lima Bungkus, ruang dapur dan kawasan tandas. Terdapat empat jenis bumbung, dan ini mencerminkan empat gaya yang berbeza rumah Melayu tradisional di Pantai Timur. Kota Lama Duyong ini terletak di Pulau Duyung Kecil. Ia merupakan kota tinggalan sejarah yang telah dibina oleh Dato’ Biji Sura (Nik Muhamad bin Hitam) pegawai kanan Pentadbiran Negeri Terengganu (Seorang Hakim). Kota Lama ini adalah satu-satunya rumah yang dibina dengan batu-bata dan papan. Rumah ini dikelilingi oleh kubu dan disebabkan itulah ianya dinamakan Kota Lama atau “old Fort”. Penerapan nilai-nilai Islam terdapat dalam Kota Lama ini yang seni binanya merupakan seni bina Melayu Terengganu pada tahun 1920 an yang mana seni bina Terengganu amat kaya dengan warisan binaan tradisional. Kota Lama Duyong ini merupakan contoh bagi pengaruh yang kebanyakan rumah-rumah di sekitar Kota Lama Duyong ini sebahagian besarnya berdasarkan rumah tradisional Melayu. Kajian ini dilakukan bagi memastikan bangunan bersejarah terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Text
Kajian Kes : Kompleks kraf Langkawi sebagai tarikan pelancongan budaya di Pulau Langkawi, Kedah
Abstrak
Pelancongan merupakan sumber pendapatan kedua dalam negara kasar ekonomi negara. Usaha membangunkan kepelbagaian produk pelancongan khususnya produk kebudayaan dan kesenian merupakan penghasilan produk yang tidak ternilai kepada negara. Sejak berabad dahulu, kebudayaan dan kesenian merupakan salah satu produk pemangkin kepada tercetusnya aktiviti pelancongan di Eropah dan seterusnya secara globalisasi. Lantaran itu, kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti sebuah institusi seni dalam usaha objektif kewujudannya adalah untuk melestarikan kebudayaan dan kesenian sebagai produk pelancongan di Pulau Langkawi.
Text
Kesenian Melayu
Perbandingan seni persembahan Tarian Barongan
di Bali Indonesia dan Parit Raja Johor Malaysia
Abstrak
Penghijrahan penduduk yang berlaku disebabkan oleh faktor penarik dan penolak yang mendorong mereka untuk berhijrah ke Tanah Melayu pada zaman dahulu telah sedikit sebanyak membawa kebudayaan tradisi mereka meresap masuk ke dalam kebudayaan masyarakat setempat. Penghijrahan orang-orang jawa banyak dilihat bagaimana sebuah masyarakat itu berhijrah dan masuk ke dalam kebudayaan masyarakat terutamanya masyarakat Johor. Dari situ, munculah sebuah masyarakat yang baru di mana kedua-dua budaya itu saling melengkapi antara satu sama lain. Kebudayaan tradisional Jawa yang sememangnya di jadikan panduan dalam kehidupan masyarakat Jawa telah disesuaikan dengan kebudayaan masyarakat setempat. Kebiasaannya, kebudayaan yang dilihat yang dibawa oleh masyarakat Jawa ini ialah seni persembahan, adat resam, cara hidup, dan sebagainya.
Seni persembahan telah menjadi satu sumber kuasa yang dapat membuat sesebuah tempat atau masyarakat itu menjadi sebuah kawasan atau budaya yang mempunyai unsur keseronokan, kebudayaan dan keharmonian. Ia juga dilihat menjadi daya tarikan dan tenaga yang dapat melindungi serta menampilkan keistimewaan manusia dan masyarakatnya. Di malaysia, dilihat mempunyai berbagai jenis kebudayaan dan seni persembahan yang menunjukkan masyarakatnya berjiwa seni dan harmoni. Kebanyakan seni persembahan ini terbentuk melalui peristiwa, sejarah, warisan dari nenek moyang yang dilihat mempunyai hubungan yang rapat dengan alam sekeliling, kepercayaan dan agama sesebuah masyarakat.
Jika ingin dibandingkan di antara seni persembahan masyarakat dahulu dan sekarang, jelas menunjukkan perbezaan yang ketara kini seni persembahan dilakukan mengikut tuntutan agamanya iaitu agama Islam. Jika dahulu, seni persembahan di lakukan adalah bertujuan untuk upacara keagamaan atau ritual (Jawa), kini di Malaysia, ianya lebih kepada persembahan semata-mata bagi menghiburkan masyarakat setempat jika adanya majlis-majlis keramaian. Namun begitu, sama ada dahulu atau sekarang, seni persembahan merupakan identifikasi manusia kepada kehidupan mereka.
Melihat kepada seni persembahan Barongan, ia merupakan satu kesenian yang di adaptasi dari seni Barongan Jawa, Indonesia yang dibawa oleh imigran-imigran yang datang ke Malaysia sewaktu ketika dahulu. Seni persembahan ini hanya didapati di tempat-tempat tertentu iaitu di negeri Johor dan Selangor. Di dalam persembahan yang dilakukan, memperlihatkan beberapa upacara yang sering dilakukan sebelum persembahan itu dilakukan. Namun, pengkaji ingin melihat apakah perbezaan yang ketara yang di lihat di antara kedua-dua masyarakat ini iaitu masyarakat Jawa di Johor dan masyarakat Jawa di Indonesia. Pelbagai jenis elemen, alat muzik, dapat dilihat dalam setiap persembahan yang dilakukan.
Akhir kata, penulisan ini ditulis adalah bertujuan untuk melihat perbezaan di antara seni persembahan Barongan di Indonesia dan seni persembahan dan seni persembahan Barongan di Malaysia. Selain itu, pengkaji ingin mengkaji secara lebih mendalam tentang bagaimana persembahan ini boleh wujud dalam masyarakat Indonesia dan apakah kaitannya dengan agama dan kepercayaan yang dianuti oleh mereka. Diharapkan agar latihan ilmiah ini dapat sedikit sebanyak membuka minda generasi anak muda akan sebuah kebudayaan tradisional masyarakat Jawa yang mempunyai asal-usulnya yang menarik dan unik.
Text
Sosio budaya Melayu
Nilai dan norma masyarakat Melayu terhadap konsep kebersihan
Abstrak
Kajian ini merupakan satu tinjauan untuk mengkaji tentang nilai dan norma masyarakat Melayu terhadap konsep kebersihan ( nilai kebersihan). Dalam kajian ini,pengkaji telah membahagikan kepada beberapa bahagian atau bab. Pada bab 1, pengkaji membincangkan mengenai pengenalan, permasalahan kajian, skop kajian, kepentingan kajian, dan sorotan kajian atau kajian-kajian lampu. Pada bab 2, pengkaji membincangkan mengenai konsep=konsep atau definisi-definisi berkenaan dengan tajuk yang dikaji seperti konsep nilai, konsep norma, konsep bersih dan sebagainya. Pada bab 3 pula, pengkaji menghuraikan tentang aspek-aspek kebersihan yang terdapat atau terkandung dalam kebersihan luaran dan juga kebersihan dalaman
Seterusnya pada bab 4 adalah hasil data atau analisis soal selidik yang diperolehi mengkaji daripada soal selidik,dan juga temubual. Pada bab ini sangat penting kerana di bahagian inilah pengkaji dapat menemui data-data yang berkenaan dengan tajuk yang dibincangkan atau dikaji. Pada bab 5 iaitu bab yang terakhir atau penutup, disini pengkaji dapat merumuskan secara keseluruhan mengenai hasil kajian ini samada mencapai objektif atau tidak.
Text
Kesenian Melayu
Estetika ukiran bumbung Rumah Tok Su di Kampung warisan Melayu
Abstrak
Latihan ilmiah ini adalah berkaitan dengan seni ukiran bumbung Rumah Tok Su. Kajian dijalankan dengan berdasarkan kepada kaedah yang tertentu untuk mencapai objektif kajian yang telah ditetapkan. Rumah Melayu tradisional adalah lambang identiti kepada masyarakat Melayu dan ianya kaya dengan memberi pengenalan secara umum mengenai rumah tradisional Melayu dan perkembangan bentuk bumbungnya. Motif dan bahan yang digunakan untuk menghasilkan ukiran tersebut dengan hanya memfokuskan kepada hiasan ukiran bahagian bumbung Rumah Tok Su sahaja. Tumpuan utama kajian ini adalah untuk menganalisis prinsip-prinsip estetika yang terdapat pada ukiran bumbung Rumah Tok Su. Di akhir kajian, pengkaji telah membincangkan mengenai langkah yang boleh diambil bagi memelihara warisan budaya Melayu iaitu Rumah Melayu tradisional.
Text
Sosio budaya Melayu
Faktor-faktor kebudayaan yang mempengaruhi kurang minat pelajar dalam kalangan masyarakat Orang Asli Semaq Beri Maran, Pahang Darul Makmur
Abstrak
Penyelidikan ini adalah sebuah penyelidikan dalam mengenal pasti faktor-faktor kebudayaan yang mempengaruhi kurang minat terhadap pelajaran dalam kalangan masyarakat Orang Asli Semaq Beri perkampungan Orang Asli Batu 55 Maran, Pahang. Faktor-faktor ini dapat dikenal pasti melalui pandangan mereka terhadap pendidikan, kerjaya dan masa depan.
Faktor-faktor ini mendorongkan kepada kurang minat terhadap pendidikan formal dan boleh menyebabkan berlakunya kadar keciciran masyarakat orang asli dalam arena pendidikan.
Text
Kesenian Melayu
Kraftangan anyaman buluh : Kajian kes di Kampung Jal Kechil, Tumpat, Kelantan
Abstrak
Kraftangan anyaman buluh di Malaysia telah dihasilkan oleh masyarakat Melayu terutamanya bagi masyarakat pinggir bandar dan kampung. Kraftangan anyaman akan dikenali sebagai seni kraftangan masyarakat Melayu. Pelbagai barangan yang dihasilkan seperti bakul, bekas hantaran, kipas tangan, pelapik periuk dan juga cenderahati. Kraftangan anyaman buluh ini, mempunyai ragam hias yang tertentu bagi tujuan mencantikkan lagi anyaman tersebut. Ragam hias dalam anyaman buluh ini kebiasaanya di panggil kelarai yang melibatkan motif dan corak dalam anyaman tersebut. Keindahan semula jadi alam dijadikan sebagai sumber ilham kepada penganyam untuk menghasilkan anyaman berdasarkan motif dan corak yang berasaskan alam sekeliling. Sambutan terhadap barangan kraftangan anyaman buluh dahulu sangat menggalakkan kerana ia merupakan keperluan seharian masyarakat Melayu. Pada masa kini, kraftangan anyaman buluh di Malaysia kurang diminati oleh masyarakat. Pertumbuhan teknologi yang semakin canggih hampir-hampir menenggelamkan kraftangan anyaman buluh yang dihasilkan oleh masyarakat Melayu. Disebabkan hal itu, sambutan terhadap produk buluh kini berkurangan dan sangat terkesan pada seni pertukangan perak. Hal ini merupakan cabaran yang perlu ditempuhi oleh pengusaha-pengusaha kraftangan anyaman buluh. Pelestarian terhadap barangan buluh ini kini, boleh kenal pasti oleh pihak-pihak yang tertentu agar kraftangan anyaman buluh terus mekar dan mendapat sambutan masyarakat tempatan mahupun luar negara.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengurusan perniagaan dalam kalangan peniaga kecil Melayu di Ayer Hitam, Batu Pahat Johor
Abstrak
Pengurusan perniagaan merupakan perkara yang penting bagi memastikan sesebuah perniagaan itu mampu untuk bertahan dan bersaing dengan perniagaan lain di samping membantu untuk mengukuhkan lagi perniagaan tersebut. Di dalam pengurusan perniagaan, terdapat beberapa aspek yang dikaji untuk melihat bagaimana seseorang peniaga itu menguruskan keseluruhan operasi perniagaan seharian yang meliputi pengurusan kewangan, bekalan, kakitangan, jadual kerja, dan juga premis perniagaan. Perkara-perkara ini seterusnya dinilai bagai melihat tahap kecekapan peniaga dalam mengurus perniagaan kerana perkara inilah antara elemen yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah perniagaan itu dan menjamin kelangsungan dan keberadaan perniagaan itu di pasaran. Oleh hal yang demikian, peniaga-peniaga perlu mengurus perniagaan dengan sistematik supaya perniagaan mereka berjalan dengan lancar.
Text
Sosio budaya Melayu
Analisis penggunaan simbol dalam ungkapan tradisional Melayu Riau
Abstrak
Kajian ini merupakan satu kajian semiotik dalam ungkapan tradisional Melayu Riau yang dipetik daripada koleksi Ungkapan Tradisional Melayu Riau selenggaraan Tenas Effendy (1989). Kajian ini dijalankan dengan objektif mengenal pasti jenis simbol dan mencerakinkan aspek pemikiran, kefalsafahan, kebudayaan dan kepengaruhan agama yang terkandung dalam simbol yang digunakan. Dalam kajian ini, penggolongan simbol berdasarkan jenis-jenis simbol dilakukan sebelum data kajian dianalisis menggunakan Model Semiotik Segi Tiga Orden dan Richards (1923) sebagai garis panduan. Penggunaan simbol dianalisis secara kualitatif dengan melihat hubungan antara simbol dan referen, dari segi persamaan atau perbezaan ciri-ciri, sifat atau fungsi. Hasil dapatan kajian membuktikan simbol yang digunakan dalam ungkapan tradisional Melayu Riau berhubungkait dengan referen. Pemilihan simbol yang tepat dalam ungkapan tradisional Melayu Riau mencerminkan sifat intelektual dalam pemikiran masyarakat Melayu Riau yang berjaya mengilhamkan simbol-simbol dalam sistem kehidupan masyarakat ke dalam ungkapan-ungkapannya. Kajian ini diharapkan dapat meningkatkan minat masyarakat Melayu terhadap ungkapan-ungkapan tradisional yang semakin luput dimamah zaman.
Text
Sosio budaya Melayu
Sistem sokongan dalam pendidikan di peringkat
Sekolah Menengah : Kajian kes Yong Peng, Johor
Abstrak
Pendidikan merupakan salah satu medium untuk mengubah mobiliti sosial seseorang. Malah melalui pendidikan yang Disalurkan kepada masyarakat akan membantu peningkatan pembangunan negara. Hal ini demikian kerana,pelajar akan menjadi pewaris kepada tampuk pemerintahan negara. Oleh itu, pendidikan yang berkesan sewajarnya diberikan kepada pelajar. Terdapat dua pihak yang memainkan peranan yang sangat penting dalam pendidikan pelajar. Pihak tersebut ialah institusi keluarga dan sekolah. Kedua pihak ini bertanggungjawab menyediakan sistem sokongan material dan bukan material kepada pelajar. Kesedaran mengenai kepentingan pendidikan di kawasan luar bandar masih lagi berada pada tahap sederhana. Oleh itu, masih terdapat lagi ibu bapa yang tidak menghiraukan hal persekolahan anak-anak. Selain itu, pengkaji juga mendapati bahawa sokongan material ibu bapa di kawasan luar bandar berada pada tahap sederhana. Hal ini dikaitkan dengan taraf pendidikan ibu bapa yang rendah. Namun, ibubapa memberikan sokongan non-material kepada anak mereka dengan sebaiknya. Pihak sekolah memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa dan persekitaran untuk sama-sama berganding bahu dalam isu pendidikan. Jika hanya pihak sekolah sahaja yang menyediakan infrastruktur yang lengkap dan pembelajaran dan pengajaran yang sistematik tetapi pelajar di rumah tidak mendapat dorongan dan motivasi untuk belajar, maka proses pembelajaran tidak berjalan dengan berkesan.
Text
Bahasa Melayu
Analisis penggunaan bahasa Melayu lisan dalam kalangan peniaga : kajian kes di Pasar Geylang Serai, Singapura
Abstrak
Kajian ini merupakan satu penyelidikan sosiolinguistik terhadap penggunaan bahasa Melayu lisan di Pasar Geylang Serai, Singapura. Kajian ini meneliti kerencaman berbahasa dalam kalangan peniaga yang menutur bahasa Melayu, sama ada penutur asli ataupun penutur bukan asli. Data yang digunakan untuk tujuan analisis berupa rakaman suara pertuturan antara peniaga dan pembeli yang ditranskripsi. Terdapat tiga objektif utama yang mendasari kajian ini. Tujuan pertama adalah untuk mengenal pasti variasi bahasa dan ciri-ciri bahasa lisan yang terdapat dalam data kajian. Kedua, kajian bertujuan untuk menganalisis ciri-ciri khusus variasi yang telah dikenal pasti. Ketiga, kajian bertujuan untuk menganalisis ciri-ciri bahasa lisan yang telah dikenal pasti. Dua teori utama yang diaplikasikan dalam kajian ini ialah model SPEAKING Hymes (1972) dan ciri-ciri wacana lisan yang pernah dimanfaatkan oleh Wong Khek seng (2007). Data kajian dikumpul melalui dua metod, iaitu kajian kepustakaan dan kajian lapangan. Kajian lapangan dilaksanakan dengan cara merakam ujaran antara peniaga dan pembeli di pasar, di samping kaedah pemerhatian. Analisis data terbahagi kepada dua bahagian, iaitu analisis variasi bahasa dan analisis ciri-ciri bahasa Melayu lisan yang wujud dalam urusan jual beli di pasar Geylang Serai. Hasil analisis mendapati bahawa variasi bahasa yang wujud dalam komunikasi ini begitu rencam, yakni meliputi penggunaan bahasa kacukan seperti bahasa Melayu pasar, bahasa rojak serta bahasa kolokial. Pengaruh dialek turut dapat dikesan dalam pertuturan yang dirakam di samping variasi lain seperti penukaran kod dan slanga. Dari aspek ciri-ciri bahasa Melayu lisan pula, terdapat lima ciri bahasa Melayu lisan yang dapat dikesan termasuk unsur konteks, kegramatisan, pemendekan, teragak-agak serta pengulangan. Kepelbagaian aspek bahasa yang dikaji dalam kajian ini dapat memberikan gambaran perihal sifat bahasa Melayu yang dinamik, khususnya yang digunakan dalam konteks pertuturan di pasar. Kajian ini diharap dapat menyumbang kepada pengembangan bidang ilmu sosiolinguistik dan turut dapat dijadikan sebagai satu rakaman kewujudan penggunaan bahasa Melayu lisan yang rencam dalam kalangan masyarakat majmuk Singapura.
Text
Islam dan proses penyesuaian budaya masyarakat pendatang Arab ke atas masyarakat Lembah Bujang, Kedah
Abstrak
Lembah Bujang merupakan tempat bersejarah kerana telah mencatatkan sejarah awal Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Lembah bujang kira-kira 1000 tahun lalu merupakan pusat perdagangan dan pemerintah kerajaan Hindu-Buddha di rantau Nusantara sebelum munculnya kerajaan Islam. Terdapat sebuah muzium arkeologi di sini yang menyimpan 1001 sejarah dan bukti awal tentang wujudnya pemerintahan Hindu-Buddha dan Islam di Kedah selain bukti kewujudan Lembah Bujang sebagai pusat perdagangan antarabangsa.
Apabila membicara tentang permasalahan Lembah Bujang, masyarakat sering kali mengaitkannya dengan pengaruh Hindu-Buddha. Tetapi amat sedikit sekali yang cuba mendekatinya dari sudut yang lebih luas terutama yang berkaitan dengan tamadun Islam yang pernah wujud di Lembah Bujang. Sebelum kedatangan Islam, agama dan budaya Hindu-Buddha bertapak kukuh dalam setiap aspek kehidupan masyarakat setempat hingga berabad-abad lamanya. Agama dan budaya ini begitu kuat dan sangat jelas mempengaruhi kebudayaan masyarakat setempat misalnya didalam sistem politik, sosial, ekonomi dan pemikiran masyarakat Melayu.Agama Hindu boleh dikatakan menjadi anutan kebanyakan masyarakat khususnya golongan atasan seperti golongan istana kerana ianya amat sesuai untuk menjaga kepentingan sosial dan politik mereka sendiri.
Kemasukan pedagang Arab ke Lembah Bujang yang turut membawa bersama agama Islam telah menyebabkan agama Islam mula tersebar luas. Masyarakat setempat telah mula mengenali Islam sebagai sebuah ajaran yang berteraskan akidah dan lebih rasional. Berpandukan kepada konsep rasionalisme inilah, menyebabkan masyarakat Melayu dengan sendiri menolak kepercayaan tahyul Hindu dan fahaman Animisme. Akhirnya Tamadun Islam sedikit demi sedikit telah berjaya meresapi dan melunturkan kegemilangan tamadun Hindu-Buddha dan berlakunya proses penyesuaian diantara kedua-dua kebudayaan. Perubahan dan proses penyesuaian ini menampilkan suatu hakikat bahawa Islam telah berjaya membawa era di rantau ini dan meninggalkan era lama yang wujud sebelumnya.
Oleh itu, tesis ini antara lain akan membincangkan beberapa aspek pembaharuan dan perubahan yang dibawa oleh Islam, seperti dari segi sosial, budaya dan pemikiran masyarakat Melayu. Walaupun tamadun dan pengaruh Hindu tidak dapat dilenturkan sepenuhnya berikutan dari pertapakan dan perkembangan Islam, namun secara umumnya boleh dikatakan bahawa sebahagian besar Tamadun Islam berjaya mengatasi tamadun Hindu, malah dapat mengubah cara hidup mereka bersesuaian dengan ajaran Islam yang maha suci. Justeru, tesis ini bertujuan untuk membongkar, menyingkap, merekonstruksi dan menyusun kronologi sejarahnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengaruh drama rantaian Asia terhadap gaya hidup wanita Melayu : Kajian kes dalam kalangan mahasiswi dan suri rumah di Arau Perlis
Abstrak
Fenomena drama rantaian Asia dikatakan bahawa menjadi suatu ruang baharu yang penting untuk wanita Melayu melibatkan diri dengan nilai-nilai moden melalui pemaparan pelbagai citranya yang berkait dengan unsur-unsur kepenggunaan, selebriti dan gaya hidup bandaran.
Objek utama penulisan latihan ilmiah ini untuk membincangkan tentang fenomena drama rantaian Asia yang mempengaruhi golongan mahasiswi di Universiti Teknologi Mara Cawangan Perlis (UiTM) dan golongan suri rumah di Bandar Diraja Arau. Selain itu, pengkaji ingin mengenal pasti faktor-faktor tarikan drama rantaian Asia dan pengkaji juga menganalisis adakah fenomena drama rantaian memberi kesan positif dan negatif secara langsung ataupun tidak langsung kepada mahasiswi dan suri rumah.
Kajian ini menggunakan satu set borang soal selidik yang diedarkan kepada 100 orang responden, malah pengkaji juga mengadakan sesi temubual bersama-sama 11 orang informan yang dipilih secara rawak di bandar berkenaan. Kajian ini telah mendapati bahawa kecenderungan minat mahasiswi dan suri rumah adalah berbeza antara satu sama lain.
Di samping itu, kajian ini turut memperolehi maklumat mengenai faktor-faktor ketaksuban menonton drama rantaian Asia disebabkan faktor tarikan drama-drama rantaian Asia itu sendiri, masa yang sesuai untuk menonton dan didapati terdapat 13 drama Asia timur dan Asia Tenggara yang telah dipilih oleh penonton. Di dalam kajian ini juga telah menunjukkan bahawa drama-drama rantaian Asia ini memberikan kesan positif dan negatif sama ada dipengaruhi secara langsung ataupun tidak langsung kepada mahasiswi dan suri rumah di kawasan kajian.
Showing 201 to 250 of 285 results
Page
of 6
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->