Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (285 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Latihan ilmiah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Bahasa Melayu
Penterjemahan sari kata filem : Satu kajian kes terhadap filem ‘Van Helsing’
Abstrak
Kajian ini meneliti teks terjemahan sarikata filem ‘Van Helsing’ yang merupakan sebuah filem berbahasa Inggeris yang mula ditayangkan pada sekitar tahun 2004.
Tujuan kajian ini dilakukan adalah untuk menganalisis kesalahan bahasa terdapat dalam teks terjemahan sarikata bahasa Melayu sebuah filem. Justeru, secara tidak langsung kajian ini dapat membantu para penterjemahan dan menyedarkan penterjemahan di negara kita bahawa mutu penterjemahan sari kata sememangnya masih boleh ditingkatkan lagi.
Tumpuan kajian ini ialah meneliti kesalahan dalam teks terjemahan sarikata dari segi kesalahan bahasa yang meliputi kesalahan morfologi, kesalahan sintaksis, dan kesalahan ejaan. Ketiga-tiga kesalahan ini akan dibahagikan pula kepada beberapa jenis kesalahan lain. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa kesalahan morfologi sebanyak 44%, kesalahan sintaksis berjumlah 38%, manakala kesalahan ejaan adalah sebanyak 23%.
Text
Bahasa Melayu
Analisis kesalahan bahasa dalam periklanan(Akhbar)
Abstrak
Dalam kajian ini, pengkaji telah melakukan kajian kesalahan bahasa. Bahan kajian pengkaji terdiri daripada keratan-keratan iklan daripada akhbar Harian Metro yang diambil bahannya selama sebulan bermula dari tarikh 8 Februari sehingga 8 Mac 2006. Dalam kajian ini, pengkaji telah mengkaji tiga aspek yang terdapat dalam tatabahasa, iaitu kesalahan morfologi, kesalahan sintaksis, dan kesalahan ejaan dan cara penulisan bagi mengenal pasti kesalahan yang terdapat dalam keratan-keratan iklan tersebut. Hasil daripada keseluruhan kajian yang telah dilakukan menunjukkan bahasa hanya terdapat sedikit sahaja kesalahan yang dilakukan oleh pengiklan-pengiklan. Hal ini, dapat dilihat apabila keseluruhan iklan yang dikaji adalah berjumlah 66 keratan iklan dan hasil kesalahan yang telah berjaya dikenal pasti oleh pengkaji hanyalah sebanyak 116 kesalahan. Terdapat sebanyak 45 kesalahan bagi kesalahan morfologi, 13 kesalahan sintaksis, dan 61 kesalahan ejaan dan cara penulisan. Setiap kesalahan yang telah dikenal pasti akan dianalisis kadar peratusannya. Hasil analisis tersebut akan dimasukkan ke dalam jadual dan juga carta pai untuk memudahkan pengkaji dan juga pihak lain untuk membuat rujukan.
Text
Fenomena tomboi : Imej maskulin dalam dunia perempuan
Abstrak
Tumpuan kajian ini ialah untuk mengenali lebih mendalam golongan yang dikatakan tomboi. Kajian ini pengkaji lakukan di Bandar Kajang Selangor Darul Ehsan iaitu kawasan tempat tinggal pengkaji. Pengkaji telah menemubual tiga orang responden bagi melengkapkan kajian ini. Di awal topik yakni dalam bab satu pengkaji menjelaskan dengan jelas objektif pengkaji melakukan kajian ini. Pengkaji turut menyatakan beberapa masalah dalam kajian yang dilakukan dan menerangkan kaedah yang digunakan untuk memperolehi maklumat berkaitan tajuk kajian pengkaji.
Di dalam bab dua, pengkaji telah membincangkan tentang beberapa buah konsep yang berkaitan dengan tajuk yang dikaji serta tentang kejadian lelaki dan perempuan. Pengkaji menjelaskan konsep-konsep remaja, maskulin, transvestite, transvestism, transsexual/transeksualisme, homoseksual, tomboi, pengkid dan juga lesbian.
Dalam bab ketiga pula pengkaji telah membincangkan tentang latar belakang kawasan kajian pengkaji. Pengkaji telah menggunakan sumber yang diperolehi daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) sebagai sumber utama untuk mengetahui tentang sejarah pembukaan bandar Kajang.
Seterusnya dalam bab 4 latihan ilmiah ini, pengkaji membincangkan tentang temubual pengkaji dengan responden yang terdiri daripada golongan tomboi dalam usaha untuk memahami lebih mendalam siapakah sebenarnya golongan tomboi ini. Pengkaji telah menemubual 3 orang responden ketiga-tiganya masih remaja. Responden pertama berusia 18 tahun dan sudah tamat belajar manakala responden kedua dan ketiga masing-masing berusia 15 tahun dan masih bersekolah. Dalam bab ini juga, pengkaji menyentuh tentang penampilan diri ketiga-tiga responden sebagai seorang tomboi.
Bab kelima pengkaji telah membuat beberapa perbincangan yang berkaitan dengan latihan ilmiah pengkaji. Pengkaji telah membincangkan hasil dapatan kajian yang diperolehi daripada kajian yang dilakukan keseluruhannya. Pengkaji juga ada menyarankan beberapa cadangan yang boleh dilakukan oleh pengkaji yang lain kelak untuk meneruskan kajian tentang golongan tomboi ini.
Pada akhir bab latihan ilmiah yakni bab 6 pengkaji, pengkaji membincangkan tentang kesimpulan. Kesimpulan ini adalah berdasarkan kepada kajian yang telah pengkaji lakukan. Pengkaji juga turut membincangkan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat (pihak kerajaan, ibubapa. Orang ramai).
Text
Bahasa Melayu
Bahasa dalam bidang pertukangan kayu-tumpuan kepada aspek leksikal
Abstrak
Bab1: Membincangkan latar belakang kajian yang berkaitan dengan bidang perkamusan, tujuan kajian, bidang kajian, permasalahan kajian, bahan kajian, kaedah kajian yang dilakukan seterusnya konsep-konsep iaitu konsep laras, istilah dan leksikal.
Bab2: Membincangkan sejarah perkamusan Melayu yang dilihat dari segi perkembangan kamus Melayu sebelum abad ke-20 yang terbahagi kepada dua, iaitu perkembangan kamus Melayu dwibahasa sebelum abad ke-20 dan kamus Melayu ekabahasa sebelum abad ke-20. Seterusnya membincangkan perkamusan Melayu abad ke-20, iaitu perkembangan kamus Melayu dwibahasa abad ke-20 dan perkembangan kamus Melayu ekabahasa abad ke-20.
Bab3: Bab ini dibincangkan mengenai bahasa dalam bidang pertukangan kayu di Kelantan tumpuan kepada aspek leksikal. Kata tukang kayu (KTK) yang sering digunakan dalam bidang pertukangan kayu di Kelantan dilihat dari segi kata Melayu, kata dialek dan kata Inggeris yang digunakan oleh tukang kayu sebagai bahasa khusus pertukangan kayu.
Bab4: Membincangkan KTK dalam pertukangan kayu di Kelantan lebih dari satu kata, iaitu KTK dua kata, tiga kata dan empat kata.KTK lebih dari satu kata tersebut adalah antara kata Melayu dengan kata dialek dan kata Inggeris.
Bab5: Perbincangan secara keseluruhan KTK yang sering digunakan dalam pertukangan kayu di Kelantan sebagai bahasa khusus pertukangan kayu dari segi kata Melayu, kata dialek kata Inggeris.
Bab6: Kesimpulan daripada kesemua bab yang dibincangkan dalam kajian ini dan harapan pengkaji.
Text
sastera Melayu
Aspek sintaksis dalam pantun
Abstrak
Kajian yang merupakan kajian terapan ini cuba menghubungkan rumus-rumus tatabahasa dengan sintaksis yang ada dalam pantun. Tujuan asas kajian ini ialah membuktikan bahawa stilistik pantun merupakan manipulasi pola-pola ayat yang ada dalam bahasa Melayu itu sendiri dan bukan merupakan bahasa yang terasing dalam masyarakat Melayu.
Tumpuan yang diberikan bagi peninjauan ini berfokuskan aspek sintaksis. Kajian ini menggunakan rangka Tatabahasa Transformasi generatif sebagai model analisis.
Bab 1 latihan ilmiah ini akan membincangkan metodologi, tujuan, batas, kaedah dan pemilihan bahan korpus untuk kajian ini. Resensi literatur serta latar belakang tentang pantun dan stilistik juga ada dibincangkan. Jenis dan binaan ayat dalam bahasa Melayu pula akan dibincangkan dalam bab 2.
Dalam bab 3, dikemukakan analisis jenis-jenis ayat tunggal dan ayat tanya yang terdapat dalam pantun-pantun yang digunakan sebagai korpus. Analisis ini akan diteruskan dalam bab 4 yang akan menghuraikan binaan ayat majmuk. Pencerakinan ayat-ayat melalui rajah pohon telah digunakan supaya sintaksis ayat lebih difahami dengan lebih jelas lagi.
Ulasan dan kesimpulan kajian dibentangkan dalam bab 5 dengan penekanan terhadap kesinambungan bahasa daripada sudut tatabahasa dan gaya bahasa yang wujud dalam korpus. Secara ringkas, dapat dibuktikan dalam kajian ini bahawa ayat-ayat dalam pantun diterbitkan berdasarkan rumus-rumus tertentu yang tetap dan mantap, walaupun pada zahirnya kelihatan berbeza. Ini jelas menunjukan bahawa bahasa Melayu mempunyai sistem tatabahasa yang telah mantap dan mapan, khususnya dalam aspek sintaksis.
Text
Kesenian Melayu
Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sembilan : Kajian mengenai dasar dan pelaksanaan aktiviti
Abstrak
Budaya adalah dinamik. Oleh itu, satu dasar telah digubal oleh kerajaan. Dalam kajian ini, pengkaji akan menerangkan mengenai peranan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang bertujuan untuk membentuk keperibadian kebangsaan melalui program yang mempunyai elemen penyatuan dan perpaduan. Justeru, kita perlu menekankan empat bidang budaya iaitu fikiran atau idea, kebendaan, bidang senibina, nilai dan norma serta kesenian. Kementerian kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia bertanggungjawab dalam memastikan warisan dan budaya terpelihara dan dipulihara sepanjang zaman. Terdapat banyak agensi, jabatan dan institusi ditubuhkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan. Selain itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian dan Warisan Negeri Sembilan merupakan salah satu wadah untuk menyemarakkan seni dan budaya di kalangan pencinta seni dan masyarakat agar mereka mempunyai semangat cintakan negara.
Text
Sosio budaya Melayu
Fonologi Bahasa Orang Asli Suku Kaum Duano di Rengit, Batu Pahat, Johor
Abstrak
Kajian ini adalah kajian mengenai “Fonologi Bahasa Orang Asli Suku Kaum Duano di Rengit, Batu Pahat, Johor”. Kajian ini bersifat linguistik deskriptif dan linguistik bandingan. Kajian ini memberi tumpuan kepada analisis fonologi bahasa Orang Asli Duano (BOAD). Kajian ini terbatas kepada sistem fonologi BOAD yang dilihat dari sudut vokal dan konsonan. Huraian mengenai bentuk-bentuk vokal dan konsonan ini berdasarkan kehadiran, kesejajaran dan penyebarannya dalam kata. Kajian ini juga meninjau aspek perubahan fonologi yang berlaku dalam BOAD. Kajian ini dijalankan melalui tiga metodologi iaitu pengumpulan data, pemilihan informan, dan huraian data. Pengumpulan data dilakukan secara lapangan dan kepustakaan. Kaedah lapangan dijalankan melalui rakaman secara langsung dengan menggunakan pita rakaman dan kaset. Selain itu, teknik pemerhatian langsung turut dilakukan. Kaedah kepustakaan dilakukan untuk mencari maklumat melalui bahan bercetak dan di internet. Informan pula dipilih berdasarkan umur, jantina dan latar belakang pendidikan. Seterusnya penganalisisan data dilakukan dengan dua kaedah, iaitu kualitatif dan kuantitatif. Kaedah kualitatif digunakan untuk menghuraikan aspek vokal, konsonan, dan perubahan bunyi. Pendekatan kuantitatif pula diaplikasikan melalui kaedah leksikostatistik dan Glotokronologi untuk menentukan tingkat kekeraban dan melihat lama-waktu atau usia perpisahan antara BOAD dan BMS.
Text
Bahasa Melayu
Leksikografi : Masalah penyenaraian entri dalam kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam
Abstrak
Latihan ilmiah ini mengandungi lima bab keseluruhannya dan berserta penutup. Pada dasarnya kajian ini adalah meneliti aspek yang berkaitan dengan bidang leksikografi, iaitu masalah penyenaraian entri dalam kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam. Kajian ini juga meneliti aspek pemaknaan yang terdapat dalam kamus tersebut.
Bab satu kajian ini membincangkan sejarah perkamusan Melayu di Malaysia. Aspek yang diteliti juga ialah definisi kamus. Pengklasan kamus, sejarah jenis kamus dan ciri-ciri kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam.
Bab dua kajian ini pula membincangkan mengenai latar belakang kajian. Bab ini juga menyentuh tentang kaedah, tujuan, skop dan konsep kajian yang dijalankan.
Bab tiga kajian ini ialah penelitian yang dibuat mengenai masalah persembahan entri dalam kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam. Perbincangan dalam bab ini adalah mengenai entri yang maknanya bersifat kabur dan tahap kekaburannya dalam kamus kanak-kanak.
Bab empat dalam kajian ini adalah merupakan bahagian yang membincangkan tentang cadangan untuk mengatasi masalah penyenaraian entri dalam kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam. Tumpuan diberikan kepada aspek makna iaitu dari segi makna umum, makna berputar belit dan makna kabur. Dalam bab ini juga pengkaji telah memberi cadangan tentang makna yang perlu dimasukkan dalam kamus kanak-kanak iaitu makna jelas agar senang difahami oleh kanak-kanak.
Bab lima ialah bab yang berkaitan dengan amalan yang perlu diterapkan dalam bidang leksikografi dan kegiatan penyusunan kamus oleh penyusun kamus. Bab ini juga membincangkan perkara yang berkaitan dengan cabaran yang dihadapi oleh bidang perkamusan serta langkah untuk mengatasi masalah perkamusan Melayu di Malaysia.
Bahagian penutup ialah bahagian yang mengandungi rumusan atau kesimpulan yang berkaitan dengan bidang kajian iaitu bidang leksikografi, dengan memberi penumpuan terhadap kamus kanak-kanak darjah empat hingga enam.
Text
Sosio budaya Melayu
Metafora dalam buku teks : Analisis retorik paling luas
Abstrak
Metafora adalah satu perbandingan di antara dua perkara yang berlainan sifat tetapi masih mempunyai persamaan dalam aspek-aspek tertentu secara tidak langsung. Metafora telah wujud sejak zaman Aristotle lagi dan telah melalui perubahan dari zaman klasik yang bersifat sempit, kepada zaman moden, khususnya retorik gaya Trope dan dikonsepsikan dalam Retorik Paling Luas. Metafora kini dihubungkan dengan konsep Liya’ budu dan Liyubayyina, iaitu konsep bahasa untuk beribadah dan yang mudah difahami.
20 teks pemahaman telah digunakan sebagai korpus kajian. Data teks dianalisis berdasarkan analisis umum, komponen jenis metafora tatabahasa dan domain metafora.
Dalam bahagian pengenalan diberikan latar belakang kajian tentang metafora. Aspek-aspek kajian seperti bahan kajian, bidang kajian, tujuan kajian, kaedah kajian dan konsep penting dalam kajian turut disentuh dalam bab ini.
Seterusnya dalam kerangka teoritis diutarakan konsep dan teori yang berkaitan dengan metafora, sebagaimana yang dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa dan konsep Retorik Paling Luas (RPL).
Analisis kajian dilakukan dengan meneliti aspek metafora. Data metafora dianalisis secara kuantitatif berdasarkan analisis data UT dan kata. Kemudian, dianalisis komponen jenis metafora dan domain metafora secara keseluruhan. Setelah itu, dapatan data dikaji mengikut teks sekolah rendah dan menengah. Perbincangan seterusnya ditumpukan dengan membandingkan butiran analisis berdasarkan Teks Sekolah Rendah (TSR) dan Teks Sekolah Menengah (TSM). Akhir sekali, data kajian dilihat dari aspek RPL. Tafsiran tentang penemuan analisis metafora dilakukan sebelum dimuatkan kesimpulan pada bahagian akhir bab ini.
Yang terakhir merupakan penutup, Disini dibincangkan rumusan analisis secara keseluruhan dan kajian selanjutnya dicadangkan.
Text
Sosio budaya Melayu
Naratif ogonshoto : Satu analisis diksi dan gaya bahasa
Abstrak
Naratif ogonshoto: Satu analisis diksi dan gaya bahasa adalah satu kajian dalam bidang stilistik yang akan melihat kemampuan bahasa berfungsi sebagai satu alat pertukangan yang dapat menghasilkan sebuah karya yang tinggi nilai estetiknya. Fokus kajian ini akan berpusat pada penggunaan serta pengekpoitasian bahasa dalam karya kreatif. Kajian ini akan dibahagikan kepada lima bahagian utama yang akan menghuraikan kajian-kajian yang pernah dilakukan di dalam bidang stilistik, dan juga analisis yang akan dijalankan terhadap korpus pilihan.
Tujuan kajian, bidang kajian, bahan kajian dan kaedah kajian yang digunakan dalam menganalisis korpus pilihan akan diterangkan terlebih dahulu di dalam Bab 1. Bab ini juga akan membicarakan latar belakang pengarang dan juga latar belakang teks. Selain itu, konsep stilistik serta sejarah perkembangannya juga akan dibicarakan.
Bab 2. Pula akan membicarakan tentang gaya bahasa dalam ilmu stilistik . Tumpuan bab ini akan dijuruskan pada aspek diksi atau pemilihan kata. Keberkesanan bahasa sebagai pengungkap makna dan perasaan penulis akan dilihat dari pelbagai sudut. Aspek pemilihan kata dan unsur-unsur pengulangan, pengguguran dan juga fungsi soalan retorik di dalam teks akan turut dibincangkan di dalam bab ini.
Bab 3. Dan Bab 4. Pula akan melihat analisis yang telah dibuat ke atas korpus kajian; bab ketiga akan melihat unsur-unsur kepuisian yang telah diterapkan kedalam gaya penulisan pengarang, manakala bahagian keempat pula akan merangkumi aspek pemilihan kata dan gaya bahasa penulis. Pembicaraan ke atas unsur-unsur kepuisian di dalam bab tiga akan berpusat kepada lima aspek, iaitu simili, metafora, personifikasi, hiperbola dan onomatopoeia. Di dalam bab empat pula analisis akan ditumpukan kepada aspek pemilihan kata, khususnya kata pinjaman dari bahasa asing, kata-kata daerah, dan kata-kata berunsur keagamaan, Selain itu penerapan unsur pengulangan, soalan retorik, serta pengguguran imbuhan di dalam teks kajian juga akan dibincangkan di dalam bab ini.
Bab 5 pula akan merumuskan keseluruhan kajian. Bab ini akan membuat kesimpulan berdasarkan dapatan-dapatan daripada analisis yang dilakukan terhadap teks kajian. Kepentingan dan keberkesanan gaya bahasa, khususnya aspek pemilihan kata, akan dibicarakan dan disimpulkan.
Text
sastera Melayu
Teori Rasa-fenomenologi penerapan terhadap novel The Missing Piece (Bahagian satu)
Abstrak
Kajian ini meneliti kepada sebuah novel The Missing Piece (Bahagian satu) iaitu hasil kepengarangan kreatif Fatimah Busu dalam analisis terhadap Teori Rasa-fenomenologi. Pengkaji menggunakan model kajian sarjana tempatan yang dibawa oleh Sohaimi Abdul Aziz dalam menganalisis novel ini. Teori Rasa-fenomenologi
Ini telah memperkenalkan pelbagai sudut rasa untuk memberi kesan kepada pembaca. Terdapat tujuh rasa perasaan yang dibawa oleh modul Sohaimi Abdul Aziz iaitu rasa wira,dahsyat,berang, benci, duka,kagum, dan berahi. Kelima-lima rasa ini telah diadun oleh pengarang bagi menghidupkan jalan penceritaan novel tersebut agar lebih menarik. Teknik dan hubungan pengarang dengan dunia yang nyata ini secara tidak langsung menjadikan perjalanan penceritaan novel tersebut dapat menyentuh perasaan pembaca. Ini membuktikan teori kajian ini secara tidak langsung menjadi satu karya lebih kreatif dan imaginatif.
Text
Pemerolehan bahasa kanak-kanak di peringkat prasekolah : Kajian kes di Taska & Tadika Murni Vista Angkasa
Abstrak
Kajian dilakukan untuk melihat tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak yang berusia enam tahun. Pengkaji memilih sekolah Taska 7 Tadika Murni Vista Angkasa, Kuala Lumpur sebagai tempat kajian. Pengkaji hanya memilih empat orang sampel yang merupakan kanak-kanak Melayu yang mempunyai latar belakang yang sama. Iaitu dalam persekitaran bandar. Sampel telah memulakan persekolahan mereka di situ sejak berumur lima tahun lagi.
Oleh kerana sampel-sampel yang dipilih terdiri daripada kanak-kanak Melayu yang dibesarkan dalam masyarakat Melayu dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dalam sebarang bentuk perhubungan, maka analisis bagi melihat tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan mereka juga akan dilakukan berdasarkan aspek-aspek yang terkandung dalam bahasa Melayu yang meliputi aspek morfologi, fonologi, semantik, sintaksis dan pragmatik. Aspek yang dipilih oleh pengkaji dalam melakukan analisis terhadap 50 ujaran yang dibuat oleh sampel bagi melihat tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak prasekolah adalah berdasarkan analisis keupayaan dan kekerapan pemerolehan bahasa sahaja.
Walaupun pemilihan aspek analisis keupayaan dan kekerapan pemerolehan bahasa mempunyai beberapa ciri yang remeh tetapi penting dalam menilai tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak. Rakaman yang dibuat secara langsung menggunakan pita rakaman suara ke atas ujaran yang diujarkan secara spontan oleh kanak-kanak. Hanya 50 ujaran terbaik yang bermula dengan perkataan pertama yang diujarkan oleh sampel sahaja yang dipilih sebagai data. Analisis dilakukan terhadap data yang ditranskripsikan dengan menggunakan ukuran-ukuran tertentu, iaitu berdasarkan analisis keupayaan dan kekerapan pemerolehan bahasa serta mengikut kesesuaian dengan skop kajian.
Hasil analisis menunjukkan bahawa proses pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak yang berusia enam tahun agak sempurna sepenuhnya. Walau bagaimanapun, keempat-empat sampel telah mengalami proses pemerolehan dan penguasaan bahasa yang amat menggalakkan. Hal ini demikian telah membuktikan peranan persekitaran sebenarnya penting dalam membantu mempercepatkan proses pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak. Sungguhpun begitu peranan kognitif juga tidak boleh dinafikan.
Text
Pembangunan kebudayaan di Sabah : Kajian ke atas peranan Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sabah”
Abstrak
Penubuhan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 27 Mac 2004 telah memberi satu dimensi baru dalam pembangunan kebudayaan di negara ini. Kementerian ini telah menggariskan satu hala tuju yang jelas iaitu ‘menyemarakkan’ semula semangat cintakan seni budaya di kalangan masyarakat dengan berlandaskan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Pembangunan kebudayaan ini dilakukan bersama bahagian-bahagian, agensi dan jabatan-jabatan dibawahnya. Salah satu daripadanya ialah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sabah. Pembangunan Kebudayaan di negeri Sabah boleh dilihat melalui peranan Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sabah yang menganjurkan aktiviti-aktiviti yang dinamakan ‘aktiviti Semarak Seni Budaya’, melalui program pembangunan Bahasa dan Persuratan, Seni Persembahan, Kemahiran seni, penyelidikan dan pendokumentasian serta Nilai dan Norma Setempat.
Text
Bunga-bunga bahasa (Diom) dalam teks klasik : Satu analisis
Abstrak
Kajian ini dilakukan untuk melihat pemikiran masyarakat Melayu mengenai penggunaan Bunga-bunga bahasa (Diom) dalam ungkapan Melayu. Berdasarkan pemilihan kajian ini aspek dapat diperhatikan adalah berasaskan kepada dua pembahagian utama iaitu benda hidup bernyawa dan tidak bernyawa.
Pengkaji memilih Bunga-bunga bahasa sebagai korpus utama untuk memahami perkara yang tersurat dan tersirat di sebalik ungkapan yang terbina. Data dipilih menggunakan tiga buah buku teks antaranya teks Hikayat Raja Muda, Hikayat Terung Pipit dan Hikayat Anggun Cik Tunggal.
Melalui kaedah-kaedah penyelidikan berasaskan kepada kerangka Za’ba, pengkaji dapat merumuskan bahawa bunga-bunga bahasa digunakan bertujuan untuk mencerminkan minda Melayu melalui bentuk peribahasa, perumpamaan, simpulan bahasa, pepatah, bidalan, metafora, personifikasi, hiperbola, lidah pendita, tamsil dan bidalan.
Menyedari akan hakikat ini, kajian ke atas penggunaan buku teks hikayat menyelami pemikiran masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Daripada kajian ini akan menampakkan ‘World view’ orang Melayu dan juga peranan komunikatif terhadap persekitaran. Pemanfaatan unsur-unsur alam dapat diaplikasi dalam ungkapan yang membawa makna berlapis.
Text
Ciri dominan bahasa Melayu lisan dalam filem ‘Geng Skru Drebar’ di Singapura
Abstrak
Masyarakat dan bahasa lisan merupakan gandingan yang tidak boleh dipisahkan. Ada masyarakat maka pastinya wujudnya bahasa lisan sehinggalah boleh dilihat dalam masyarakat adanya ciri-ciri tertentu dalam bahasa lisan sama ada secara disedari mahupun sebaliknya.
Dalam kajian ini akan dilihat beberapa ciri dominan bahasa Melayu lisan dalam masyarakat Melayu dengan membuat analisis berdasarkan filem ‘Geng Skru Drebar’ di Singapura.
Kajian ini dibahagi kepada empat bab. Bab yang pertama akan membincangkan perkara-perkara yang menjadi dasar atau landasan kajian ini iaitu tujuan kajian, batasan, skop, bahan dan metodologi kajian.
Bab kedua pula merangkumi konsep-konsep yang akan dijadikan pegangan dalam membuat kajian dan analisis. Akan dibincangkan juga kajian lepas yang dilakukan oleh pengkaji tempatan mengenai bahasa lisan. Beberapa model yang berkaitan dengan kajian juga akan diperihalkan. Perbincangan diteruskan dengan ciri-ciri bahasa Melayu lisan.
Seterusnya, bab ketiga adalah analisis data serta perbincangan mengenai ciri-ciri dominan bahasa Melayu lisan. Bab akhir pula adalah bab penutup yang akan membincangkan dapatan kajian dan kesimpulan kajian yang dijalankan secara keseluruhan.
Text
Teknologi pembuatan Saguk Ubi : Tumpuan penduduk Pulau Pemanggil di perkampungan Tanjung Teresak Pak Kalleh Mersing Johor
Abstrak
Kajian ini membincangkan khusus tentang teknologi dan pembuatan Saguk Ubi yang merupakan antara makanan tradisi masyarakat Melayu di sekitar kepulauan Negeri Johor iaitu di Pulau Pemanggil Mersing. Matlamat utama kajian ini adalah untuk mendokumentasikan teknologi dan pembuatan Saguk Ubi. Selain itu kajian ini juga menyatakan serba sedikit tentang latar belakang kawasan kajian dan juga tentang kedatangan pokok ubi kayu di alam Melayu dan beberapa aspek lain yang berkaitan dengannya. Penekanan kajian ialah untuk melihat teknologi yang ada disebaliknya disamping perbincangan khusus tentang dapatan matlamat utama kajian yang dilakukan serta membincangkan sedikit beberapa perkara sampingan yang lain.
Text
Strategi komunikasi pelajar dialek Kelantan dalam pembelajaran Bahasa Melayu
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menyenaraikan jenis-jenis strategi komunikasi yang digunakan oleh pelajar-pelajar yang menuturkan dialek Kelantan semasa sesi pembelajaran di bilik darjah. Jenis-jenis yang dikaji meliputi strategi pencapaian dan strategi pengelakan.
Kajian ini menggunakan kaedah analisis teks berdasarkan transkripsi rakaman 15 orang subjek, iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, Pasir Puteh Kota Bharu Kelantan. Aktiviti lisan yang dijalankan ialah temuduga, wawancara, forum dan perbincangan. Aktiviti ini dirakam, kemudian ditranskripsikan untuk dianalisis.
Berdasarkan penganalisaan yang telah dibuat terdapat 5 jenis strategi komunikasi yang telah digunakan oleh subjek dalam kajian ini. Dalam strategi pencapaian terdapat 3 jenis strategi, iaitu strategi rayuan kerjasama, strategi penukaran kod dan strategi pengambilan masa. Manakala, strategi pengelakan pula hanya satu iaitu, strategi pengelakan topik.
Strategi komunikasi yang paling dominan yang telah digunakan oleh subjek semasa aktiviti lisan dijalankan ialah, strategi penukaran kod dan strategi yang paling sedikit penggunaannya ialah strategi pengulangan kata.
Berdasarkan hasil penganalisaan dan perbincangan yang telah dibuat, pada bahagian akhir kajian ini telah mengemukakan beberapa cadangan daripada pengkaji untuk panduan pengkaji bahasa dan mereka yang terlibat secara langsung dengan dunia pendidikan, khususnya golongan pendidik dan pelajar.
Text
Daftar kata dan istilah teknologi Melayu dalam Pertanian Padi
Abstrak
Kegiatan pertanian padi merupakan salah satu daripada beberapa bidang pekerjaan yang terdapat dalam masyarakat Melayu. Penulisan ilmiah ini membincangkan mengenai istilah teknologi pertanian padi yang terdapat di dalam masyarakat Melayu. Istilah-istilah tersebut meliputi teknologi tradisional dan moden. Penghuraian mengenai proses-proses penanaman padi juga dilakukan. Huraian dibuat mengikut peringkat-peringkat penanaman. Setiap peringkat penanaman dan memproses padi memerlukan penggunaan teknologi dan istilah yang berlainan.
Selain itu, nama-nama benih padi yang digunakan dalam pertanian padi sejak zaman tradisional dan zaman moden turut dibincangkan. Masalah-masalah yang berlaku dalam pertanian padi yang boleh mengganggu tumbesaran pokok padi dan buahnya juga disentuh. Contohnya seperti serangan dan gangguan musuh atau perosak padi. Bersama-sama masalah tersebut turut dinyatakan teknologi yang diguna pakai sama ada tradisional mahupun moden sebagai langkah pengawalan.
Sebahagian lagi topik yang diulas dalam penulisan ini adalah berkenaan hasil-hasil padi. Hasil-hasil padi dibincangkan mengikut kategori-kategori tertentu.Hasil-hasil makanan yang berasal daripada padi , dikategorikan sebagai hasil utama padi. Manakala produk sampingan padi pula merupakan hasil bukan makanan seperti hasil padi yang digunakan untuk tujuan pembinaan, makanan ternakan dan kosmetik. Segala hasil padi yang dinyatakan merupakan hasil yang sering dan mudah ditemui di sekitar kita. Produk-produk ini juga selalu digunakan dalam kehidupan harian.
Text
Fonologi dialek Terengganu Pantai : Satu kajian di Mukim Batu Buruk
Abstrak
Kajian ini ditulis dalam lima bab. Bab pertama mengandungi pengenalan secara ringkas tentang tujuan, bidang, latar belakang kawasan kajian, dan di dalam bab ini juga diberikan definisi mengenai bidang kajian.
Bab kedua pula membincangkan mengenai kerangka teori. Bab ini membincangkan mengenai teori-teori yang telah digunakan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu. Dalam bab ini juga dimasukkan huraian secara ringkas tentang kajian-kajian yang telah dilakukan berkaitan dengan aspek fonologi bahasa Melayu dan bahasa Austronesia yang lain.
Bab ketiga pula membincangkan tentang sistem vokal dalam dialek Terengganu Pantai. Kajian ini juga dibuat berdasarkan penyebaran vokal dalam bahasa tersebut sama ada boleh hadir di awal kata, tengah kata, ataupun akhir kata. Huraian dibuat dengan melihat bagaimana bunyi vokal itu diujarkan berdasarkan kepada jenis vokal yang terdapat dalam dialek Terengganu Pantai.
Dalam bab empat pula perbincangan tertumpu kepada sistem konsonan. Terdapat beberapa jenis bunyi konsonan yang ada dalam bahasa ini. Huraian diperincikan lagi dengan melihat bagaimana bunyi konsonan tersebut diujarkan. Kemudiannya, dalam bab ini juga membincangkan tentang penyebaran konsonan sama ada hadir di awal kata, tengah kata mahupun di akhir kata. Di samping itu juga, bab ini juga menerangkan mengenai diftong serta penyebarannya dalam kata.
Bab lima iaitu bab terakhir merupakan kesimpulan keseluruhan dalam kajian ini kesimpulan dibuat berdasarkan dapatan kajian pada bab sebelumnya.
Text
Analisis Slanga Mat Rock
Abstrak
Tidak begitu banyak kajian yang telah dilakukan mengenai slanga Mat Rock di kepulauan melayu ini. Selain daripada slanga Mat Rock, kajian mengenai budaya rock dan juga kedatangan muzik rock di kepulauan Melayu juga belum dilakukan. Kemungkinan kajian mengenai muzik rock dan juga budaya rock digolongkan sekali ke dalam budaya popular. Walaupun begitu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis slanga Mat Rock di dalam aspek etimologi, fonologi,morfologi dan semantik agar dapat dipaparkan pengaruh yang kuat di dalam slanga serta usaha penyerasian BM di dalam kata slanga tersebut.
Bab 1 menghuraikan aspek penting kajian, iaitu latar belakang, kepentingan, tujuan, bidang, bahan,kaedah serta konsep-konsep yang digunakan dalam kajian.
Bab 2 dibahagikan kepada konsep bahasa,muzik rock dan budaya rock yang merupakan asas perbincangan di dalam slanga Mat Rock.
Bab 3 mengemukakan aspek etimologi dengan menghuraikan kedatangan pengaruh asing ke kepulauan melayu, peminjaman kosa kata, jenis peminjaman yang terlibat, analisis data dan tafsiran mengenai pengaruh asing yang terdapat di dalam slanga Mat Rock.
Bab 4 memperlihatkan aspek fonologi dan morfologi yang merangkumi analisis perubahan bunyi dan pembentukan kata. Bab ini juga akan menghuraikan tafsiran dapatan analisis.
Bab 5 memperlihatkan aspek semantik dan jenis perubahan makna yang merangkumi analisis perubahan makna di dalam kata pinjaman asing. Bab ini juga akan menghuraikan tafsiran dapatan analisis.
Bab 6 ialah bab penutup kajian. Penyimpulan bab 1 hingga bab 5 dilakukan di dalam bab ini selain saranan kajian seterusnya.
Text
Aplikasi multimedia dalam pengajaran bahasa peringkat pra sekolah
Abstrak
Perkembangan komputer dapat dirasai ledakannya agak drastik, komputer menjadi telah menjadi sebahagian daripada keperluan dan mempengaruhi kehidupan seharian.
Atas kesedaran masyarakat kini tentang kepentingan komputer multimedia (teknologi maklumat) terhadap perkembangan negara kita dapat lihat akan perubahan positif yang agak ketara. Komputer bukan sahaja digunakan oleh agensi kerajaan dan swasta tetapi juga turut digunakan dalam pendidikan. Dalam memperkasakan lagi sistem pendidikan negara kita, pihak kerajaan telah membekalkan kemudahan komputer di sekolah supaya kaedah pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lebih berkesan dan lebih efisien, malah pihak kerajaan juga turut menyediakan makmal komputer untuk dimanfaatkan oleh semua pelajar dan guru-guru supaya tidak ketinggalan dalam mengharungi dunia globalisasi. Penggunaan teknologi maklumat (TM) semakin menular bukan sahaja di peringkat Universiti, Kolej, Sekolah Menengah dan Rendah, bahkan juga di peringkat Pra sekolah. Oleh itu, kanak-kanak peringkat peringkat pra sekolah juga perlu turut serta memasuki gelombang tersebut.
Justeru itu, objektif kajian ini adalah untuk mendapatkan gambaran bagaimana multimedia dapat membantu dalam pengajaran bahasa di bilik darjah sejauhmana keberkesanan perisian multimedia yang dibina berdasarkan pendekatan komunikatif dengan mengintegrasikan teknologi multimedia dalam penghasilan perisian tersebut. Di samping itu, pengkaji turut membincangkan tentang kaitan teori komunikatif dengan teknologi maklumat dalam menghasilkan perisian. Kajian ini telah dijalankan di sekolah Tadika Comel Kreatif dengan penglibatan seramai sembilan orang responden. Semua maklumat yang diperolehi akan dianalisis dan dihuraikan dalam bentuk jadual agar penerangan yang diberikan akan lebih mudah dan mudah untuk difahami.
Text
Teori Takmilah : Kajian terhadap kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril
Abstrak
Teori Takmilah: Kajian terhadap kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril, dibahagi kepada enam bab utama. Latihan ilmiah ini merupakan berkisar kepada teori Takmilah dan sejauhmanakah pengaplikasian teori ini dalam kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril boleh diterima.
Bab Satu: Pengenalan, dalam bab ini pengkaji membincangkan tentang teori Takmilah secara ringkas. Pengkaji juga menyertakan mengenai tujuan kajian, permasalahan kajian, kepentingan kajian, dan kaedah kajian.
Bab Dua: Teori Takmilah sebagai teori sastera Islam, dalam bab ini pengkaji membincangkan sudut teori dari aspek Islam. Pengkaji juga membincangkan aspek-aspek seperti konsep teori, pemikiran sastera tempatan. Pengkaji juga menjelaskan konsep teori Takmilah. Selain daripada itu pengkaji turut membincangkan polemik sastera Islam yang merupakan aspek penting dalam perkembangan sastera Islam di Malaysia.
Bab Tiga: Takmilah dalam sastera Melayu, dalam bab ini pengkaji menghuraikan biodata pencipta teori Takmilah iaitu Shafei Abu Bakar. Membincangkan juga tentang peranan teori Takmilah ini dalam sastera Melayu. Pengkaji juga memasukkan ciri-ciri penentuan yang digunakan dalam analisis ketakmilahan dalam karya.
Bab Empat: Analisis kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril, dalam bab ini pengkaji menyertakan mengenai biodata penulis kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril iaitu S.M.Zakir. Selain daripada itu pengkaji turut melihat aliran dan pemikiran yang didokong S.M.Zakir. Penelitian aliran dan pemikiran pengarang penting bagi melihat hala tuju setiap karyanya. Kumpulan cerpen ini mengandungi 21 buah cerpen dan pengkaji hanya meneliti mengikut kesesuaian teori. Analisis dilakukan berdasarkan tema, isi, struktur, watak, nilai, latar dan beberapa lagi.
Bab Lima: Keabadian cinta di dalam Sekuntum Kembang di Sayap Jibril, dalam bab ini akan menghuraikan konsep keabadian cinta dalam mengenai hakikat kewujudan pencipta. Dalam bab ini juga akan melihat kepada pencarian hakikat keinsanan dalam diri dalam menemukan cinta abadi kepada Allah S.W.T.
Bab Enam: Kesimpulan, dalam bab ini pengkaji memberikan kesimpulan terhadap kajian, melihat keberkesanan penerapan teori ke dalam karya, selain dari itu pengkaji turut menyarankan beberapa pendapat mengenai kajian dan bahan kajian.
Text
Pendidikan anak-anak Felda : Kajian kes di Felda Chiku Dua, Gua Musang Kelantan
Abstrak
Pendidikan merupakan tunjang kepada kemajuan individu dalam bidang Akademik. Seseorang yang tidak mempunyai pendidikan akan menyebabkan dirinya sentiasa ketinggalan dan hidup dalam kelompok kemiskinan. Ini kerana, pendidikan dapat memberi jaminan masa depan yang panjang dan pekerjaan yang terjamin serta dipandang mulia oleh masyarakat. Melalui pendidikan, seseorang itu akan merasakan dirinya dihargai, disanjung dan dipandang tinggi.
Pendidikan terbahagi kepada dua iaitu pendidikan formal dan pendidikan tidak formal. Pada zaman yang serba moden ini, pendidikan formal adalah penting menyaingi pelbagai golongan manusia yang semakin maju dengan teknologi dan ilmu pengetahuan. Namun begitu, pendidikan tidak formal juga penting dalam membentuk manusia menjadi seorang yang berguna di mata masyarakat. Pendidikan tidak formal meliputi perkara asas yang diajar oleh penjaga iaitu pendidikan al-Quran, kehormatan diri, dan kebersihan. Kalau manusia mengamalkan pendidikan formal dan pendidikan tidak formal secara betul ia akan menjadikan seseorang itu berjaya dalam hidupnya.
Pendidikan anak-anak di Felda Chiku Dua merujuk kepada pelajar-pelajar yang masih bersekolah dan dibawah jagaan ibu bapa masing. Pendidikan ini diajar di sekolah dan dibantu oleh Felda, kerajaan negeri dan serta kerajaan pusat. Bantuan yang terlibat terdiri daripada bantuan kewangan, infrastruktur, dan sokongan. Pendidikan anak-anak Felda dapat mengubah tahap ekonomi keluarga kepada yang lebih baik serta dapat membantu ibu bapa dalam ekonomi apabila habis belajar dan mendapat pekerjaan yang baik.
Text
Unsur budaya Magis dalam terjemahan Inggeris-Melayu karya J.K.Rowling : ‘Harry Potter dengan Batu Hikmat’
Abstrak
Kajian ini merupakan kajian unsur budaya dalam penterjemahan yang mengkaji aspek budaya magis sebagai analisis kajian. Budaya magis yang dianalisis ini merupakan budaya yang terdapat dalam sebuah teks karya kreatif yang bergenrekan khayalan,iaitu teks Harry Potter dengan Batu Hikmat (Harry Potter and the Sorcerer’s Stone). Kajian ini juga merupakan sebuah analisis mengenai budaya dalam karya kreatif terjemahan Inggeris-Melayu.
Kajian ini juga memberi perhatian dan kajian semula tentang konsep budaya dan terjemahan. Konsep budaya yang ingin dianalisis dan diketengahkan dalam kajian ini berpandukan pada definisi Nida (1963) mengenai budaya yang berbentuk material dan bukan material. Sehubungan dengan itu, kajian ini juga mengenal pasti pendekatan-pendekatan budaya dalam terjemahan mengikut pendekatan dan kaedah penyelidikan yang dikemukakan oleh para sarjana yang mengkaji bidang penterjemahan seperti pendekatan Akulturasi-Lefevere (1992), pendekatan Realia-florin (1993), dan pendekatan Nida (1963) dalam membuat analisis kajian.
Kajian ini juga mengenal pasti dan menganalisis unsur-unsur budaya magis sama ada dalam budaya material dan budaya bukan material dalam teks Harry Potter and the Sorcerer’s Stone - Harry Potter dengan Batu Hikmat. Unsur-unsur budaya material seperti alatan, makanan, pakaian,dan makhluk, manakala unsur-unsur budaya bukan material pula seperti perayaan, kelakuan, kepercayaan, dan pemikiran. Analisis kajian juga dibuat berpandukan analisis kualitatif dan kuantitatif.
Text
Fonologi bahasa Sungai : Subdialek Sungai Kuamut
Abstrak
Kajian ini merupakan kajian mengenai sistem fonologi subdialek Sungai Kuamut yang ditinjau dari perspektif Linguistik Deskriptif. Walau bagaimanapun dalam bahagian -bahagian tertentu. Kajian ini juga turut menyentuh mengenai Linguistik Bandingan. Namun kajian ini hanya dilakukan secara sepintas lalu sahaja. Kaedah pengumpulan data adalah melalui kajian lapangan. Bagi kajian tersebut, kajian ini dijalankan dalam bentuk rakaman bagi mendapatkan pertuturan lisan yang sebenar dan juga ‘personal observation’ untuk tujuan menambahkan data.
Aspek yang dikaji dalam kajian ini ialah sistem fonologi subdialek Sungai Kuamut yang dilihat dari sudut vokal dan konsonan. Bentuk-bentuk vokal dan konsonan ini seterusnya disenaraikan dan dihuraikan satu persatu berdasarkan kehadirannya dalam kata. Kajian ini juga meninjau perubahan fonologi dalam subdialek ini bagi melihat kesejajaranya dengan bahasa melayu standard. Di samping itu juga, perbandingan turut dilakukan bagi melihat perkaitan subdialek ini dengan bahasa Melayu standard sama ada timbulnya persamaan mahupun perbezaan. Perbandingan ini dilakukan menerusi unsur-unsur kekognatan.
Text
Bahasa dalam sistem pesanan ringkas(SMS) : Kajian kes rancangan NTV7
Abstrak
Kajian ini berkaitan dengan bahasa Melayu yang digunakan dalam sistem pesanan ringkas (SMS). Analisis yang menggunakan konsep kesalahan bahasa ini cuba mengkaji kesalahan yang dilakukan oleh pengguna sistem pesanan ringkas. Pengkaji menggunakan korpus kajian bahasa SMS dan beranggapan bahawa bahasa yang digunakan dalam sistem komunikasi jalur lebar ini salah dari segi penggunaan seharian. Kajian ini menggunakan korpus bahasa SMS yang terdapat dalam rancangan televisyen NTV7 sebagai penelitian.
Pengkaji telah mengambil sampel bahasa SMS yang terpapar pada skrin stesen televisyen ini dalam masa yang ditetapkan. Dalam tempoh ini, segala bentuk bahasa SMS yang dikirim oleh orang ramai akan dianalisis. Dalam proses analisis, pengkaji akan mengalih bentuk data ke dalam bentuk teks bertulis kerana sampel bahan yang diambil adalah dalam bentuk elektronik.
Hasil kajian yang menggunakan pendekatan kesalahan bahasa oleh Abdul bin Mohd Shariff (1987) ini mendapati bahawa terdapat 29 peratus kesalahan bahasa ketara dalam SMS. Kesalahan bahasa tidak ketara pula berjumlah 14 peratus, manakala selebihnya adalah unsur-unsur kreatif bahasa SMS dan merupakan unsur yang paling banyak terdapat bahasa SMS.
Dapatan kajian turut memperlihatkan kecenderungan orang ramai melakukan kesalahan bahasa dengan menukar kod bahasa ketika sesi perbualan, kesalahan ejaan semasa menggunakan bahasa SMS, pengaruh dialek dalam komunikasi dan sebagainya.
Text
Iklan Majalah : Analisis Semiotik Paling Luas
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan semiotik dalam iklan media bercetak, yang memberi tumpuan khusus kepada contoh-contoh iklan yang dipaparkan di dalam majalah.
Dalam bahagian pengenalan ada diberikan sedikit latarbelakang kajian tentang semiotik.Aspek-aspek kajian seperti tujuan, bidang, bahan,kaedah dan konsep kajian disentuh dalam bab ini.
Seterusnya dalam kerangka teoritis diutarakan definisi, konsep, aliran-aliran, skop teori serta kategori teori semiotik. Dalam bab ini juga dibincangkan perbezaan konsep antara Semiotik aliran Barat dan Islam.
Analisis kajian dijalankan secara kuantitatif dan kualitatif. Unsur-unsur tanda seperti lambang, ikon dan indeks dilihat dalam analisis kuantitatif dari segi bilangan dan peratusan. Perbandingan unsur antara lambang, ikon dan indeks dalam iklan-iklan yang dipilih dibuat dengan berdasarkan konsep Semiotik aliran Barat dan konsep Semiotik Paling Luas. Tafsiran kajian dibuat berdasarkan analisis tersebut untuk memberikan gambaran jelas mengenai unsur-unsur semiotik yang terdapat dalam iklan media bercetak, khususnya majalah.
Yang terakhir merupakan penutup. Di sini dibincangkan rumusan analisis secara keseluruhan dan kajian selanjutnya dicadangkan.
Text
Penggunaan ikon pelbagai institusi antara dua negara : Analisis semiotik paling luas
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan semiotik dalam penggunaan ikon, yang memberi tumpuan khusus kepada tujuh institusi antara dua negara, iaitu Malaysia dan Singapura,
Dalam bahagia pengenalan ada diberikan sedikit latar belakang kajian tentang semiotik. Aspek-aspek kajian seperti tujuan, bidang, bahan, kaedah dan konsep kajian turut disentuh dalam bab ini.
Seterusnya dalam kerangka teoritis diutarakan definisi, konsep, aliran-aliran, skop teori serta kategori teori semiotik. Dalam bab ini juga dibincangkan perbezaan konsep antara Semiotik aliran Barat dengan Islam.
Analisis kajian dijalankan secara kualitatif. Komponen jenis ikon seperti ikon tidak berlambang dan ikon berlambang dilihat dalam analisis kuantitatif dari segi bilangan dan peratusan. Perbandingan unsur antara institusi dalam dua buah negara dibuat dengan berdasarkan model semiotik paling luas. Tafsiran kajian dibuat berdasarkan analisis tersebut untuk memberikan gambaran jelas mengenai unsur-unsur semiotik yang terdapat dalam setiap institusi antara dua buah negara ini.
Yang terakhir merupakan penutup. Di sini dibincangkan rumusan analisis secara keseluruhan dan kajian selanjutnya dicadangkan.
Text
Pembangunan dan pemuliharaan bandar warisan Kota Bharu Kelantan
Abstrak
Pembangunan dan pemuliharaan bandar khususnya pembangunan bandar warisan adalah penting kerana bandar warisan merupakan permulaan tamadun manusia yang perlu dikekalkan sebagai warisan kepada generasi akan datang.
Kajian pembangunan dan pemuliharaan di bandar Kota Bharu merupakan harapan bagi setiap individu, masyarakat dan kerajaan. Ini demikian kerana Kota Bharu adalah bandar Islam yang kaya dengan sejarah dan warisan yang menceritakan bagaimana kewujudan bandar serta kehidupan masyarakat di Kota Bharu.
Kota Bharu menonjolkan kebudayaannya yang dapat dilihat dari aspek budaya dan sejarah yang dikaitkan dengan warisan sejarah dan cara hidup budaya Melayu adalah aspek utama yang dititikberatkan. Ini bersesuaian kerana bandar Kota Bharu juga dikenali Kota Budaya. Oleh yang demikian, pemuliharaan adalah penting di bandar Kota Bharu.
Kajian akan meneliti sejauh mana pembangunan dan pemuliharaan selari dengan langkah kearah memenuhi matlamat identiti bandar budaya yang bersejarah. Hasil daripada analisis yang dibuat daripada soal selidik menunjukkan rata-rata masyarakat bersetuju tentang langkah pemuliharaan bandar warisan yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha menjadikan pembangunan dan pemuliharaan di Kota Bharu seiring dan mampan.
Text
Bahasa Bugis di Sandakan, Sabah
Abstrak
Penulisan ini merupakan kajian awal tentang bahasa Bugis dalam konteks masyarakat Malaysia. Masyarakat Bugis telah lama berada di negara ini telah diterima baik oleh masyarakat negara ini kerana budaya dan amalan hidup mereka hampir sama dengan budaya dan amalan hidup kita di sini. Kehadiran masyarakat Bugis di negara ini telah banyak memberi sumbangan kepada pembangunan negara.
Dalam bab pertama, kajian ini hanya membicarakan tentang masyarakat Bugis di Sandakan dan sedikit sejarah kedatangan mereka di Semenanjung Tanah Melayu. Selain itu bab ini juga menceritakan tentang penubuhan Persatuan Kebajikan Masyarakat Bugis Sabah. Penubuhan ini dapat membantu taraf hidup masyarakat Bugis di Sabah agar tidak ketinggalan dengan kaum lain di Malaysia dan Sabah khususnya.
Bab kedua pula, pengkaji akan meneliti pergerakan orang Bugis dan orang-orang Melayu berdasarkan teori Asia Tengah iaitu teori yang menyatakan bahawa bangsa yang mendiami Asia Tenggara datang dari Selatan China termasuklah bangsa Bugis dan bangsa Melayu. Manakala bab tiga pula meneliti hubungan antara bahasa Bugis dengan bahasa Melayu dari segi kebahasaan yang bukan sahaja kajian terhadap bentuk kata kognat,malah melihat kajian yang lebih mendalam lagi iaitu sistem morfologi yang lebih fokus kepada sistem imbuhan. Hubungan kebahasaan yang rapat ini dapat menunjukkan bahawa orang Melayu atau penutur bahasa Melayu mempunyai hubungan yang erat dengan orang Bugis.
Bab keempat pula meneliti ciri-ciri bahasa Bugis secara umum. Selain itu, kajian ini akan menyentuh tentang sedikit perbezaan dengan bahasa Melayu. Pengaruh bahasa Melayu dialek Sabah khususnya Sandakan terhadap bahasa Bugis juga dihuraikan. Manakala bab lima pula membuat kesimpulan keseluruhan kajian ini.
Text
Etnografi kampung: Kajian sosio-ekonomi di kampung Bukit Kuin 2, Kuantan, Pahang
Abstrak
Dalam kehidupan ini manusia tidak dapat lari daripada hidup bersosial atau bermasyarakat. Aspek sosial amat penting dalam kehidupan dan bergerak seiringan dengan aspek ekonomi. Pendek kata, kedua-dua aspek ini tidak dapat dipisahkan kerana telah terangkum dalam satu pakej yang cukup lengkap.
Dalam penyelidikan ini, pengkaji telah menyelusuri kisah atau sketsa kehidupan masyarakat bercorak etnografi penduduk di Kampung Bukit Kuin 2, Kuantan, Pahang. Etnografi penduduk ini penting bagi menyingkap dan mengungkap latar belakang sesuatu masyarakat. Etnografi mempunyai pengertian yang luas. Sungguhpun begitu, ia dapat ditakrifkan sebagai satu usaha yang dijalankan untuk memberi gambaran kepada umum mengenai budaya dan amalan yang terdapat dalam sesebuah masyarakat.
Bagi mengisi keperluan hubungan sosial, masyarakat perlu membina peraturan sosial, iaitu susunan aturan yang perlu diikut agar dapat mewujudkan keharmonian dan keseimbangan sosial. Tegasnya, masyarakat dapat mengekalkan kestabilan kerana terdapatnya peraturan sosial yang sistematik.
Melalui aspek ekonomi pula, masyarakat perlu menguasai dan meningkatkan tahap ekonomi bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka. Ekonomi penting bagi membolehkan kita menyukat dan menentukan ukuran maju mundurnya sesebuah masyarakat atau negara.
Jarak sosial-ekonomi penduduk kampung yang dibina semakin meluas, tetapi hubungan antara kedua-dua aspek ini tidak dapat dipisahkan. Perkembangan ekonomi pada paras yang lebih luas banyak mempengaruhi kedudukan ekonomi para penduduk. Oleh itu, Penduduk Bukit Kuin 2 terpaksa berhadapan dengan perubahan supaya mereka tidak keciciran di bawa arus pemodenan. Justeru itu, diharapkan warga Kampung Bukit Kuin 2 terus maju dan dapat hidup aman harmoni walaupun diduga dengan pelbagai rintangan.
Text
Kumpulan Teater Akrab : Pengurusan organisasi, aktiviti dan kejayaan (1998-2004)
Abstrak
Kajian yang dibuat ini mengenai salah sebuah persatuan yang terlibat di dalam memperjuangkan seni teater di Malaysia. Persatuan yang dikaji ini merupakan sebuah persatuan yang sedang meningkat naik dalam seni teater dan merupakan sebuah persatuan yang terbaik di negeri Kedah. Persatuan ini ialah Persatuan Penggerak Warisan Budaya atau lebih dikenali sebagai AKRAB.
AKRAB merupakan salah sebuah persatuan yang sedang mencipta nama di dalam bidang seni teater di negeri Kedah. AKRAB memainkan peranan sebagai pemangkin ke arah memperjuangkan seni teater ke peringkat yang lebih tinggi. Penglibatan AKRAB hampir tujuh tahun bermula pada tahun 1998 sehingga kini di dalam seni penteateran ini membuktikan bahawa dunia teater kita tidak pernah sunyi dengan kehadiran penggait-penggait muda yang berbakat dalam menyumbangkan idea, bakat dan lakonan yang bermutu kepada masyarakat.
Sepanjang tempoh penglibatan dalam bidang seni ini. AKRAB cuba membawa pelbagai jenis bentuk persembahan bersesuaian dengan kehendak masyarakat yang mahukan kelainan dalam setiap pementasan yang dibuat. Ternyata, AKRAB mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri apabila berjaya menobatkan diri sebagai juara di dalam pertandingan teater dalam jangka masa empat tahun berturut-turut bagi peringkat negeri selain pernah berjaya merangkul kejuaraan di dalam Pekan Teater Kebangsaan pada tahun 2001. Sesungguhnya, kejayaan ini merupakan pencetus semangat untuk AKRAB terus berjuang memartabatkan seni warisan budaya ini.
Text
Morfologi Bahasa Murut Timugon
Abstrak
Kajian ini berkaitan dengan salah satu bidang dalam ilmu linguistik, iaitu morfologi yang mengkaji proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa. Bahasa yang dikaji ialah Bahasa Murut Timugon yang merupakan salah satu kaum di Sabah.
Kajian ini akan meneliti proses-proses yang terlibat dalam pembentukan kata bahasa tersebut seterusnya melihat fungsi proses tersebut. Selain itu, kajian ini akan turut meneliti penggolongan kata secara sepintas lalu untuk menentukan fungsi sesuatu proses pembentukan kata.
Bab 1 akan membincangkan tentang latar belakang kawasan kajian iaitu Negeri Sabah, daerah Tenom dan Kampung Simpangan. Latar belakang kawasan kajian ini meliputi sejarah kawasan, etimologi penduduk serta kegiatan ekonomi yang dilakukan. Dalam bab ini disertakan juga jadual dan carta pai yang berkaitan dengan penduduk Negeri Sabah dan Daerah Tenom.
Bab 2 pula menghuraikan tentang morfologi serta konsep-konsep yang digunakan dalam bidang ini. Antara konsep yang dibincangkan ialah morfem, alomorf dan kata. Selain itu, proses-proses morfologi seperti pengimbuhan, penggandaan, pemajmukan, akronim, perubahan dalam, penggantian dan perubahan kosong turut dibincangkan.
Bab 3 membincangkan tentang proses pengimbuhan yang berlaku dalam Bahasa Murut Timugon. Bab ini akan meneliti tentang proses-proses pengimbuhan yang terlibat seperti awalan,akhiran, awalan-akhiran dan sisipan. Fungsi setiap imbuhan ini juga akan diteliti sama ada sebagai penetap atau pengubah golongan kata.
Bab 4 membincangkan tentang dua proses penggandaan yang ada dalam Bahasa Murut Timugon, iaitu proses penggandaan penuh dan proses penggandaan separa.
Bab 5 akan meneliti tentang proses pemajmukan yang juga merupakan salah satu proses pembentukan kata dalam bahasa ini. Penelitian akan dibuat tentang proses cara bagaimana proses cara bagaimana proses ini berlaku.
Bab 6 membincangkan bab analisis yang terakhir yang juga merupakan proses perubahan kosong. Bab ini akan melihat bagaimana proses perubahan konsonan dan vokal mempengaruhi penggunaan kata-kata tersebut.
Text
Institusi kebudayaan di Malaysia : Satu kajian terhadap pengurusan tokoh-tokoh kebudayaan
Abstrak
Tokoh merupakan individu yang dilihat mempunyai kepakaran, ketokohan malahan turut mempunyai bakat dalam suatu bidang tertentu. Dalam bidang kebudayaan, kehadiran tokoh telah menyemarakkan lagi perkembangan dan pembangunan dalam hal kebudayaan dan kesenian. Penglibatan aktif tokoh-tokoh kebudayaan di negara ini telah menyebabkan program penganugerahan kepada tokoh-tokoh kebudayaan diwujudkan. Program penganugerahan ini pula merupakan sebahagian dari kaedah bagaimana tokoh kebudayaan diuruskan. Dalam kajian ini pengkaji cuba untuk mengkaji bagaimana tokoh kebudayaan diurus secara khusus dan profesional dan tumpuan telah diberikan kepada program penganugerahan untuk golongan ini. Kajian ini juga telah merungkai persoalan berkaitan dengan institut yang bertanggungjawab dengan pengurusan kebudayaan dan kesenian, sama ada di peringkat persekutuan iaitu Kementerian Kebudayaan Kesenian, dan Warisan Malaysia atau di peringkat negeri iaitu Jabatan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Negeri Selangor. Kewujudan institusi-institusi ini dilihat sebagai pemangkin kepada perkembangan dan pembangunan kebudayaan di samping ia turut mempengaruhi rentak dan ritma pengaplikasian kebudayaan dalam kehidupan masyarakat seluruhnya. Kajian ini hakikatnya banyak menyentuh berkaitan dengan institusi-institusi tersebut. Namun, ia telah menumpukan juga kepada program penganugerahan tokoh-tokoh kebudayaan setakat batasan kajian sahaja dimana penganugerahan itu dilihat sebagai sebahagian dari aspek pengurusan tokoh kebudayaan di Malaysia. Kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan kajian ini agak sukar ditemui jadi kajian ini masih memerlukan kajian lanjut yang lebih lengkap dan mengkhusus kepada pengurusan tokoh kebudayaan secara profesional agar ianya dapat menambahkan lagi himpunan ilmu dan idea-idea yang bernas supaya ianya dapat disatukan menjadi hasil kajian yang bermakna.
Text
Seni dan budaya masyarakat Suluk di Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah
AbstrakDalam kajian latihan ilmiah ini, pengkaji memfokuskan kajian kepada masyarakat minoriti di Sabah iaitu masyarakat Suluk. Sesungguhnya masyarakat Suluk ini banyak membuat penempatan di Sabah, namun pengkaji membuat kajian di kampung pengkaji sendiri iaitu Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Pengkaji akan membahagikan kajian ini kepada dua aspek iaitu aspek seni dan budaya. Sesungguhnya terdapat banyak aspek yang boleh dikaji mengenai masyarakat Suluk, namun pengkaji lebih berminat untuk mengkaji dari aspek seni dan budaya.
Seni secara umumnya dikenali sebagai sesuatu yang indah, halus , cantik dan menarik. Seni juga dikatakan sebagai satu peniruan yang berlaku hasil daripada pemerhatian manusia terhadap alam. Manakala, budaya secara umumnya mempunyai unsur-unsur ekspresif yang meliputi aspek sekeliling kepercayaan manusia terhadap sesuatu dan kesan reaksi terhadapnya.
Pengkaji akan mengkaji seni dari aspek Seni Persembahan dan Seni Bina. Budaya pula dikaji dari aspek Adat Perkahwinan dan Melenggang Perut.
Kesimpulannya, seni dan budaya masyarakat suluk ini mempunyai persamaan dan perbezaan dengan kaum lain yang terdapat di Malaysia.
Text
Etnografi kampung : Kajian di Kampung Beladin, Betong, Sarawak
Abstrak
Ini adalah kajian mengenai etnografi atau profil kampung yang dijalankan di Kampung Beladin, Betong, Sarawak. Setakat ini belum ada lagi kajian yang khusus mengenai etnografi Kampung Beladin, jadi dengan adanya peluang dan kesempatan yang diberikan maka pengkaji telah melakukan kajian ini. Diharapkan kajian ini dapat memberi manfaat kepada semua berkenaan.
Sarawak terkenal dengan kaumnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan kebudayaan. Setiap kaum tersebut mempunyai cara hidup dan budaya mereka yang tersendiri. Namun, terdapat juga perbezaan budaya dan cara hidup dalam satu kelompok atau kaum itu sendiri yang disebabkan oleh faktor pemisahan geografi. Misalnya, dalam masyarakat kajian ini. Walaupun secara umumnya masyarakat ini mempunyai persamaan dengan masyarakat melayu yang tinggal di kawasan lain tetapi masyarakat ini juga mempunyai perbezaan dari segi beberapa aspek dalam kehidupan mereka. Apa yang ingin pengkaji katakan, setiap tempat dan masyarakatnya mempunyai identiti dan budayanya yang tersendiri.
Oleh itu dalam kajian ini pengkaji sedaya upaya cuba untuk mengenengahkan aspek-aspek kehidupan masyarakat melayu Kampung Beladin untuk tatapan dan rujukan umum khususnya bagi mereka yang berminat untuk mengkaji kelompok masyarakat dan aspek kehidupan kelompok tersebut. Hasil daripada kajian yang telah dilakukan didapati, ada unsur-unsur keseragaman atau kesejagatan mahupun perbezaan antara penduduk melayu Kampung Beladin dengan penduduk melayu di kawasan-kawasan lain di negara kita dari segi beberapa aspek walaupun ia tidak menunjukkan perbezaan yang ketara.
Text
Bahasa pengiklanan dalam Majalah Mingguan Wanita Tahun 2004 : Satu analisis dari segi kaedah retorik bahasa iklan
Abstrak
Nor Nazifah binti Mat Adenan: Bahasa Pengiklanan dalam Majalah Mingguan Wanita: Satu analisis terhadap kaedah retorik bahasa iklan, Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Penulisan latihan ilmiah ini adalah untuk memenuhi syarat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Kajian yang dilakukan ini bertujuan untuk membincangkan aspek kaedah yang digunakan dalam bahasa retorik pengiklanan yang terdapat dalam Majalah Mingguan Wanita terbitan Utusan Malaysia dari bulan Julai hingga Oktober. Perbincangan yang akan dilakukan terhadap aspek kaedah yang digunakan sebagai pendekatan teori Prof Asmah Hj. Omar ini diharap dapat memperlihatkan tentang kepentingan kaedah-kaedah tersebut dalam mempengaruhi pembaca atau sasaran untuk membeli serta memiliki sesuatu barangan itu dengan menggunakan bahasa iklan. Kaedah ini dapat dilihat dalam kaedah-kaedah tersebut mempunyai ciri-ciri yang tertentu untuk menarik perhatian orang ramai berdasarkan kepada kekreatifan sesetengah pengiklanan itu untuk menarik audien supaya tertarik terhadap sesuatu barangan.
Secara umumnya, penulisan ini dilakukan meliputi lima bab yang penting. Berdasarkan bab yang pertama, iaitu bab pendahuluan, pengkaji akan membincangkan tentang pengenalan kepada kajian yang dilakukan ini. Dalam bab pendahuluan, pengkaji menyatakan tentang tujuan kajian dilakukan dan cara atau kaedah yang digunakan semasa melakukan kajian ini. Pengkaji juga turut menyatakan skop kajian dan permasalahan yang menjadi perbincangan utama kajian ini.
Bab yang kedua merupakan perbincangan yang berkaitan dengan sejarah perkembangan ilmu retorik itu sendiri. Hal ini bertujuan sebelum membincangkan aspek kaedah-kaedah retorik bahasa iklan yang digunakan oleh Prof Asmah Hj. Omar sebagai pendekatan, maka perlulah dikaji serba sedikit tentang latar belakang sejarah perkembangan ilmu retorik tersebut. Dalam bab ini, pengkaji membincangkan tentang serba sedikit latar belakang sejarah perkembangan kemunculan ilmu retorik bermula zaman kemunculannya berserta dengan konsep-konsep, teori-teori, jenis-jenis dan fakulti-fakulti ilmu retorik itu.
Manakala bab ketiga, pengkaji akan memulakan perbincangan dengan mengenai iklan dan teori yang digunakan sebagai pendekatan oleh Prof. Asmah Hj. Omar. Pengkaji akan membincangkan ciri-ciri yang terkandung dalam sesuatu kaedah yang digunakan itu sebagai pendekatan. Topik perbincangan dalam bab ini juga untuk melihat bagaimana ciri-ciri yang digunakan dalam sesuatu kaedah itu mampu menarik minat perhatian orang ramai berdasarkan retorik-retorik tertentu.
Menerusi bab yang keempat, pengkaji akan membincangkan tentang hasil analisis penuh yang diperolehi berdasarkan kepada bahan yang digunakan. Hal ini melihat penggunaan kaedah-kaedah tersebut dalam sesuatu ayat yang digunakan terhadap bahasa iklan untuk menarik minat orang ramai supaya terpengaruh terhadap barangan itu. Dalam bab ini juga pengkaji melihat kekerapan sesuatu kaedah tertentu yang digunakan dalam retorik bahasa iklan.
Bab yang terakhir, iaitu kelima merupakan kesimpulan bagi keseluruhan kajian yang dilakukan dan juga saranan-saranan kepada pelbagai pihak yang berkaitan. Bab ini akan membincangkan tentang hasil dapatan kajian yang dilakukan terhadap aspek kaedah-kaedah retorik bahasa iklan dalam Majalah Mingguan Wanita terbitan Utusan Malaysia. Segala urusan atau kesimpulan dari awal hingga akhir bab akan dibincangkan oleh pengkaji dalam bab ini.
Text
Perniagaan kecil-kecilan orang melayu : Satu kajian kes di Pasar Besar Gua Musang, Kelantan
Abstrak
Ini ialah satu kajian mengenai perniagaan kecil-kecilan orang melayu di Pasar Besar Gua Musang, Kelantan. Kajian ini mendapati bahawa terdapat banyak permasalahan yang telah mempengaruhi pencapaian peniaga-peniaga kecil melayu di situ. Permasalahan tersebut bukan hanya terdiri daripada permasalahan yang berbentuk ekonomi, malah permasalahan bukan berbentuk ekonomi juga turut mempengaruhinya.
Dalam bab satu dimuatkan pengenalan tentang kajian, tujuan kajian, permasalahan kajian, skop kajian, metodologi yang digunakan, masalah kajian, kajian terdahulu dan konsep-konsep yang berkaitan seperti konsep perniagaan dan perniagaan kecil-kecilan.
Bab dua pula dimuatkan tentang latar belakang kawasan kajian dan juga profil peniaga itu sendiri seperti jenis perniagaan yang diusahakan, jantina, umur, status perkahwinan, tanggungan, taraf pendidikan dan pengetahuan dalam bidang perniagaan.
Manakala, bab tiga memuatkan aspek-aspek yang berkaitan dengan perniagaan peniaga seperti lama dalam perniagaan, bentuk pengurusan, hak milik kedai, modal, bekalan barang-barang jualan, tenaga kerja, pengurusan perniagaan, kemudahan asas dan pendapatan.
Dalam bab empat pula dibincangkan tentang topik permasalahan dalam perniagaan. Perbincangan mengenai topik tersebut telah dibahagikan kepada dua topik utama. Iaitu permasalahan berbentuk ekonomi dan juga permasalahan bukan berbentuk ekonomi. Di samping itu, untuk memperlihatkan perkaitannya dengan pencapaian dalam perniagaan, dua bentuk pencapaian, iaitu pencapaian yang negatif dan juga positif turut dibincangkan dalam bentuk kes masing-masing.
Selain rumusan mengikut topik, pandangan dan cadangan ringkas pengkaji terhadap peniaga-peniaga kecil melayu, terutama peniaga-peniaga di Pasar Besar Gua Musang turut dimuatkan dalam bahagian penutup latihan ilmiah ini.
Text
Etnografi kampung : Tumpuan kepada industri pertukangan rumah di Kampung Belanja, Kiri Parit, Perak
Abstrak
Kampung Belanja Kiri merupakan salah sebuah perkampungan tradisional berdasarkan kedudukannya yang terletak di tepi tebing Sungai Perak. Dari segi sejarahnya kampung tersebut dikatakan maju berbanding dengan kampung-kampung yang lain berdasarkan penyediaan kemudahan pengangkutan air dan pembangunan deretan-deretan kedai. Daripada situlah bermulanya pertumbuhan rumah-rumah kediaman yang memerlukan kemahiran petukang-petukang untuk mendirikannya.
Pembuatan kerja tukangan rumah menjadi sebahagian daripada industri yang terdapat di negara ini. Industri ini bukan sahaja aktif di bandar-bandar malah juga di kampung-kampung. Pertukangan juga turut dikenali dan digolongkan sebagai seni perusahaan tangan. Seni ini telah mengisi keperluan kehendak dan permintaan masyarakat pada sesuatu masa.
Secara umumnya industri pertukangan rumah ini terdiri daripada tiga kategori pembuatan iaitu pembuatan rumah yang berbentuk tradisional, separuh tradisional dan moden. Merujuk kepada kerja tukangan di Kampung Belanja Kiri, ia terbahagi kepada dua iaitu pembinaan yang melibatkan ubah suai rumah dan pembinaan rumah moden.
Pengetahuan dan kemahiran dalam kerja tukangan ini diperolehi daripada proses pembelajaran dan pengalaman yang ditimba dan ia memakan masa yang agak panjang. Usaha mempraktikkan ilmu yang diperolehi dapat memudahkan dan mempercepatkan proses kecekapan dalam pembuatan rumah.
Bagi meneliti pembuatan kerja tukangan rumah ini, kajian telah menggunakan pendekatan pelbagai disiplin dan memberi tumpuan khusus ke atas aspek pembuatan tukangan rumah.
Pada peringkat awal perkembangan pembuatan rumah, ia melibatkan proses pembinaan yang ringkas dan sederhana. Pembinaan rumah tersebut dikenali sebagai rumah asas atau pondok. Kesemua konstruksi binaan adalah berasaskan tumbuhan-tumbuhan. Setelah itu, beralih pula kepada reka bentuk rumah tradisional yang lebih kompleks iaitu melibatkan struktur binaan rumah yang lebih tersusun memerlukan lebih ketelitian. Sehinggalah dewasa ini wujud pula reka bentuk rumah yang memperlihatkan ciri-ciri gabungan unsur tradisional dan moden dan unsur moden sahaja.
Text
Peniaga-peniaga kecil makanan di Pusat Penjaja
Kampung Kerinchi Kuala Lumpur
Abstrak
Latihan ilmiah ini merupakan satu kajian etnografi tentang peniaga-peniaga kecil makanan di Pusat Penjaja Kampung Kerinchi DBKL. Latihan ilmiah ini bertujuan untuk meneliti beberapa aspek khusus yang berkaitan dengan peniaga yang menjalankan perniagaan makanan secara kecil-kecilan.
Perniagaan secara kecil-kecilan merupakan satu kegiatan ekonomi yang sudah lama muncul sejak kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat tanpa pengenalan fungsi ekonomi.
Perniagaan menjual makanan secara kecil-kecilan di negara ini yang diusahakan oleh orang melayu telah bertambah dari segi penyertaan. Mereka menjadikan bidang perniagaan walaupun secara kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan utama bagi menyara diri dan keluarga. Jika ditinjau pada hari ini, perniaga-perniaga kecil makanan berada di merata-rata tempat sama ada yang telah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan dengan kegiatan menjual nasi, pisang goreng dan sebagainya.
Perniagaan menjual makanan yang dijalankan amat senang mendapat pelanggan. Ini adalah kerana perniagaan dalam bentuk sedemikian dapat dijalankan di mana-mana tempat yang membolehkan jualan makanan dilakukan. Satu lagi perniagaan makanan ini boleh menggunakan apa saja peralatan termasuk kereta sorong, gerai berkunci dan sebagainya.
Perniagaan menjual makanan ini memang digemari oleh orang-orang Melayu kerana ianya tidak memerlukan modal yang besar untuk memulakannya. Sememangnya bidang perniagaan makanan secara kecil-kecilan merupakan satu bidang yang mudah dimasuki oleh mana-mana ahli masyarakat yang ingin menceburi bidang ini sebagai satu usaha mendapat sumber pendapatan tetap.
Text
Aspek kewanitaan dan feminisme : Satu analisis terhadap novel Perempuan politikus melayu
Abstrak
Norhasnizawati binti Awang : Aspek kewanitaan dan feminisme: Satu analisis terhadap novel Perempuan politikus melayu, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Penulisan latihan ilmiah ini adalah untuk memenuhi syarat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Kajian yang dilakukan ini bertujuan untuk membincangkan aspek kewanitaan dan feminisme yang terdapat dalam novel Perempuan politikus melayu karya Faisal Tehrani. Perbincangan yang akan dilakukan terhadap aspek kewanitaan dan feminisme ini diharap dapat memperlihatkan tentang kepentingan wanita dalam karya tersebut dan bagaimana pengarang novel menerapkan unsur-unsur tertentu dalam novel tersebut berkaitan dengan watak-watak wanita yang ditonjolkan. Penyelidikan yang dilakukan ini menyentuh aspek kewanitaan dan feminisme yang terdapat dalam novel Perempuan politikus melayu dengan menggunakan teori feminisme sebagai pendekatannya.
Secara umumnya , penulisan ini dilakukan meliputi lima bab yang penting. Berdasarkan bab yang pertama, iaitu bab pendahuluan, pengkaji akan membincangkan tentang pengenalan kepada kajian yang dilakukan ini. Dalam bab pendahuluan, pengkaji menyatakan tentang tujuan kajian dilakukan dan cara atau kaedah yang digunakan semasa melakukan kajian ini. Pengkaji juga turut menyatakan skop kajian dan permasalahan yang menjadi perbincangan utama kajian ini.
Bab yang kedua merupakan perbincangan yang berkaitan dengan latar belakang penulis novel Perempuan politikus melayu, iaitu Faisal Tehrani. Sebelum membincangkan aspek kewanitaan dan feminisme yang digarapkan oleh penulis novel dalam karyanya, maka perlulah dikaji serba sedikit tentang latar belakang penulis dan novel tersebut. Dalam bab ini, pengkaji membincangkan tentang serba sedikit latar belakang penulis dan juga sinopsis bagi novel Perempuan politikus melayu yang dikaji.
Manakala dalam bab yang ketiga, pengkaji akan memulakan perbincangan dengan membincangkan tentang aspek kewanitaan dan feminisme. Pengkaji akan membincangkan apa yang dikatakan sebagai wanita dan feminisme. Topik perbincangan dalam bab ini juga meliputi aspek kewanitaan yang terdapat dalam novel-novel di Malaysia dan novel Perempuan politikus melayu. Aspek teori akan dibincangkan dengan lebih mendalam dalam bab ini, iaitu teori feminisme. Pengkaji turut membincangkan konsep-konsep penting dalam bab ini dan akan dikaji dengan lebih meluas dalam bab seterusnya.
Menerusi bab keempat, pengkaji akan membincangkan tentang aspek kewanitaan dan feminisme yang menjadi pokok persoalan kajian ini. Aspek kewanitaan dan feminisme yang dikaji adalah berdasarkan novel Perempuan politikus melayu. Aspek kajian meliputi beberapa kategori wanita yang terdapat dalam novel, iaitu wanita dalam islam, wanita moden dan kini, wanita tradisional atau dahulu, wanita bekerjaya, wanita radikal dan perjuangan, serta wanita yang ditindas atau teraniaya. Selain itu, pengkaji juga membincangkan tentang eksploitasi wanita dalam novel tersebut berkaitan dengan eksploitasi media, eksploitasi politik dan juga eksploitasi seks.
Bab yang terakhir, iaitu bab kelima merupakan kesimpulan bagi keseluruhan kajian yang dilakukan dan juga saranan - saranan kepada pelbagai pihak yang berkaitan. Bab ini akan membincangkan tentang hasil dapatan kajian yang dilakukan terhadap aspek kewanitaan dan feminisme dalam novel Perempuan politikus melayu. Segala ulasan atau kesimpulan dari awal hingga akhir bab akan dibincangkan oleh pengkaji dalam bab ini.
Text
Strategi pembelajaran oleh pelajar Cina dalam pembelajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua
Abstrak
Kajian yang dilakukan oleh pengkaji ialah berkenaan dengan strategi pembelajaran oleh pelajar Cina dalam mempelajari bahasa melayu sebagai bahasa kedua. Tumpuan kajian ini ialah kepada pelajar Cina Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (S.J.K.C.). Strategi pembelajaran B2 ini berlaku setelah pelajar tersebut mempelajari bahasa pertama iaitu bahasa ibunda mereka.
Pengkaji telah membincangkan tentang metodologi kajian, iaitu reka bentuk kajian, tatacara penyelidikan, perbandingan antara tatabahasa bahasa melayu dengan tatabahasa cina dan jenis-jenis kesilapan yang biasanya wujud dalam menganalisis kesilapan bahasa melayu.
Analisis kesilapan korpus berdasarkan tugasan yang diberikan kepada pelajar Cina yang terdiri daripada soalan yang berbentuk karangan, dan soalan imbuhan, iaitu dengan mengisi tempat kosong. Soalan karangan,pengkaji telah membahagikannya kepada penghilangan dan pemudahan. Bagi soalan imbuhan pula dibahagikan mengikut awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Dengan menganalisis soalan-soalan, pengkaji telah dapat mengetahui tentang punca-punca kesilapan berlaku.
Pengkaji telah membahagikan kesilapan-kesilapan tersebut mengikut kreteria-kreteria tertentu. Misalnya kejanggalan berbahasa, kekonstituen, mudah sukar dan sebagainya. Pengkaji juga membuat rumusan daripada borang soal selidik yang telah diedarkan.
Akhirnya pengkaji telah mengemukakan faktor-faktor kesilapan dan cadangan untuk memperbaiki strategi pembelajaran yang ada.
Text
Pengurusan Institusi Kesenian : Cara mengurus aktiviti kebudayaan, di Pejabat Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan
Abstrak
Kajian yang dilakukan ini adalah untuk mengetahui dengan jelasnya bagaimana untuk menguruskan sesuatu aktiviti kebudayaan yang dianjurkan. Aktiviti kebudayaan seperti persembahan nyanyian, lakonan, seni muzik, seni permainan yang telah dan akan dijalankan oleh pihak tertentu di kaji bagaimana cara pengurusannya. Selama ini kita hanya melihat dan menceburkan diri dalam salah satu unsur kebudayaan yang ada di negara kita dan tidak mengetahui tentang apakah yang dilakukan oleh pengarah suatu aktiviti kebudayaan itu sebelum aktiviti dijalankan.
Juga dikaji tentang Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dalam mempelbagaikan aktiviti kebudayaan peranan dan sumbangan agensi-agensi di bawahnya untuk mengembangkan aktiviti kebudayaan dikaitkan dengan cara mengurusnya. Dinyatakan juga aktiviti yang telah dijalankan oleh salah satu jabatan yang bernaung di bawah Kementerian ini iaitu Pejabat Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagi negeri Kelantan kerana kajian dilakukan disana.
Segala aktiviti yang dijalankan di Pejabat Kebudayaan tersebut dinyatakan sedikit dan dikaitkan dengan bagaimana semua aktiviti itu diuruskan. Disertakan juga langkah-langkah asa yang paling penting dalam menguruskan aktiviti kebudayaan tidak kiralah seni persembahan atau seni rupa.
Text
Terminologi dalam kerangka perancangan bahasa melayu di Malaysia
Abstrak
Penulisan latihan ilmiah ini ialah kajian tentang terminologi dalam perancangan bahasa melayu di Malaysia. Perancangan bahasa melayu telah memperlihatkan banyak usaha serta kegiatan yang dilaksanakan bagi menjayakannya. Perancangan bahasa melayu dalam memartabatkan bahasa itu sendiri dan terminologi sebagai bidang penting. Seharusnya kegiatan serta usaha yang dijalankan dalam bidang terminologi diketahui dan difahami oleh umum. Dalam kajian ini, penulis membicarakan tentang pengertian umum terminologi, kerja terminologi dan kegiatan terminologi bagi menggambarkan istilah terminologi itu sendiri. Selanjut penulis menghuraikan tentang tujuan kajian, skop kajian, kajian terdahulu dan definisi bahasa melayu, perancangan bahasa dan terminologi dalam kajian ini. Penulis kajian ini meneliti perkembangan terminologi bermula dengan penubuhan Bahagian Peristilahan DBP dan zaman perkembangannya iaitu zaman peristilahan DBP (1956 - 1974) dan zaman MABBIM (1975 hingga kini). Penulis juga menghuraikan kerja terminologi, peringkat kerja terminologi dan pembakuan terminologi di Malaysia. Manakala kegiatan terminologi peringkat serantau dihuraikan dengan melihat penubuhan MABBIM sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan terminologi serantau. Selain daripada itu, sejarah terminologi juga dihuraikan akan turut melihat tiga aliran peristilahan, iaitu Vienna, Prague dan Soviet. Penulis juga akan menyentuh usaha-usaha dan perancangan yang dilakukan oleh Bahagian Peristilahan dalam tempoh 1960 hingga kini. Bab akhir penulis membuat kesimpulan tentang kajian yang dilakukan dan memberikan beberapa saranan untuk memperkayakan lagi bidang terminologi.
Text
Pelancongan di Kemaman, Terengganu Darul Iman
Abstrak
Kajian yang dilakukan ini adalah berkenaan dengan aspek pelancongan yang terdapat di Kemaman, Terengganu Darul Iman. Daerah Kemaman ini dilihat berpotensi sebagai salah satu destinasi pelancongan yang terunggul di negara ini kelak. Dengan kelebihan yang dimiliki, ia mampu untuk menarik minat para pengunjung untuk datang ke negeri Terengganu. Walaupun daerah lebih menonjol dengan kepesatan perindustriannya, namun ia tetap berpotensi untuk dijadikan destinasi pelancongan pilihan ramai.
Keistimewaan di Kemaman bukan sahaja terletak pada tempat-tempat yang menarik yang terdapat di sana, tetapi juga dengan kelebihan, keunikan dan keajaiban elemen-elemen yang lain. Elemen yang dimaksudkan itu adalah melalui makanannya yang banyak menggunakan sumber-sumber laut sebagai bahan utama. Selain itu, kerlipan sejenis serangga yang dikenali sebagai kelip-kelip juga mampu untuk menyinar daerah Kemaman ini sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang wajar untuk dikunjungi.
Dengan kelebihan tersendiri yang dimiliki, daerah Kemaman dipercayai mampu menarik perhatian para pelancongan tidak kira tempatan mahupun antarabangsa untuk berkunjung ke sana. Apa yang pasti, para pengunjung akan menikmati seribu kepuasan di sebalik percutian mereka kelak.
Text
Kajian bahasa dalam Rangkaian Perbualan Internet (IRC)
Abstrak
Latihan ilmiah ini akan melihat ciri-ciri laras bahasa yang digunakan dalam perbualan di Internet terutamanya di dalam Rangkaian Perbualan Internet (IRC) dan juga forum Internet. Kajian di dalam Internet ini sebenarnya melibatkan salah satu bidang yang luas. Kajian ini akan tertumpu pada bahasa yang digunakan semasa berkomunikasi di dalam Internet.
Kajian ini telah terbahagi kepada 5, bab di mana pada bab pertama pengenalan akan disentuh tentang ulasan-ulasan pendahuluan mengenai kajian ini. Manakala dalam bab kedua penulis akan membincangkan tentang kosa ilmu yang berkaitan dengan kajian ini. Isu-isu yang akan disentuh adalah seperti Bahasa Rojak yang hangat diperkatakan pada masa sekarang. Dalam bahagian Bahasa Rojak ini, penulis telah membahagikannya kepada dua bahagian iaitu tentang Penukaran Kod dan Pembauran Kod. Seterusnya adalah tentang Penyikiran Bahasa dan Emotikon.
Dalam Bab 3 pula akan dibincangkan tentang Rangkaian Perbualan Internet(IRC). Disini penulis akan membincangkan jenis-jenis program IRC yang popular digunakan di kalangan penduduk Malaysia. Dalam bab ini juga akan dibincangkan tentang sejarah perkembangan IRC. perbincangan tentang analisis kajian akan dibuat dalam Bab 4 dan akhir sekali hasil daripada kajian dan dapatan akan dibincangkan dalam bahagian Bab 5.
Kajian ini hanya akan melibatkan teks perbualan yang telah diambil dari beberapa program IRC yang terdapat dalam Internet. Berdasarkan kepada teks perbualan yang diambil, aspek yang akan dikaji adalah seperti Penukaran Kod, Pembauran Kod. Singkatan dan Emotikon. Pemilihan kajian ini adalah penting kerana sedikit sebanyak ia melibatkan isu Bahasa Rojak yang hangat diperkatakan baru-baru ini. Hasil daripada kajian ini diharapkan akan memperjelaskan isu tentang Bahasa Rojak ini.
Text
Industri pelancongan Pahang : Tarikh-tarikh dan kesan pelancongan di Pahang Darul Makmur
Abstrak
Kajian menyentuh mengenai industri pelancongan di negeri Pahang Darul Makmur. Bagi permulaannya, kajian akan menyentuh mengenai negeri Pahang secara umum dan juga mengenai sejarah negeri ini. Kajian akan membawa kepada pihak-pihak yang terlibat dalam industri pelancongan selain daripada peranan-peranan yang harus dimainkan atau dijalankan oleh semua pihak sama ada pihak kerajaan, pihak swasta, pihak bukan kerajaan, individu mahupun pelancong itu sendiri.
Dalam bab yang berikutnya, pengkaji menyentuh mengenai destinasi-destinasi menarik yang ada di Pahang. Destinasi-destinasi ini merangkumi destinasi seperti pantai-pantai yang menarik untuk dijadikan tumpuan pelancongan, selain dari kawasan-kawasan tanah tinggi yang mampu menarik sebahagian pelancong untuk berkunjung ke sini. Begitu juga bagi bab seterusnya yang akan menyentuh mengenai tarian-tarian tradisi yang terdapat di negeri Pahang. Bagi setiap jenis tarian, akan diterangkan mengenai sejarah asal-usul mengenainya, diikuti dengan ciri-ciri lain seperti peralatan, kostum, penari dan juga lain-lain yang berkaitan dengannya.
Bab seterusnya dalam kajian ini, akan menyentuh tentang muzium yang terdapat di negeri Pahang, selain akan menyentuh serba sedikit mengenai peranan dan juga fungsi muzium dalam perkembangan teknologi dan juga peredaran zaman. Melalui bab ini juga, pengkaji akan menyentuh mengenai satu jenis permainan tradisi masyarakat di Malaysia yang juga terdapat di negeri Pahang iaitu gasing pangkah. Ia akan menyentuh mengenai sejarah serba sedikit mengenai kewujudan gasing selain dari peraturan-peraturan yang perlu ada dalam sesuatu permainan gasing.
Bagi bab yang keenam pula, pengkaji menyentuh mengenai kesan-kesan pelancongan dari sudut alam sekitar dan juga sosio-budaya dengan melihat impak dari sudut positif mahupun negatif. Penutup kepada bab ini dihuraikan dalam bab yang terakhir. Melalui bab ini, pengkaji akan membuat kesimpulan keseluruhan mengenai industri pelancongan yang ada di Pahang dan pandangan pengkaji mengenai masa depan industri ini di masa hadapan.
Text
Sistem bunyi Bahasa Lundayeh : Kajian kes di Kampung Baru Jumpa Tenom, Sabah
Abstrak
Latihan ilmiah ini adalah kajian mengenai sistem bunyi Bahasa Lundayeh yang dituturkan di Kampung Baru Jumpa Tenom, Sabah.
Kajian ini terbahagi kepada 5 bahagian yang utama, iaitu bab 1 sebagai pendahuluan, bab 2 sebagai definisi-definisi sistem bunyi, bab 3 dan bab 4 membincangkan tentang bunyi vokal, konsonan, diftong, rangkap fenom dan gandaan fenom serta bab 5 sebagai kesimpulan.
Bab 1 membuka tirai kajian dengan mengemukakan serta menjelaskan tentang latar belakang kajian, permasalahan kajian,kajian terdahulu, tujuan kajian, metodologi dan masalah dalam kajian.
Bab 2 pula membincangkan tentang definisi-definisi sistem bunyi bahasa berdasarkan pendapat tokoh-tokoh bahasa dan memberi contoh secara umum sahaja. Aspek sistem bunyi yang didefinisikan ialah vokal, konsonan, diftong, rangkap vokal, rangkap konsonan, gandaan fonem dan ciri-ciri koartikulasi yang hadir dalam vokal dan konsonan
Seterusnya, huraian mengenai sistem bunyi vokal Bahasa Lundayeh dihurai dalam bab 3. Kajian sistem vokal ini dibuat berdasarkan penyebaran vokal, iaitu di suku kata terbuka di awal dan akhir kata dan suku kata tertutup di awal dan akhir kata. Bab ini juga menghuraikan tentang bunyi diftong Bahasa Lundayeh serta meneliti rangkap vokal yang wujud. Vokal Bahasa Lundayeh yang diteliti diringkaskan dalam bentuk jadual.
Bab 4 juga menghuraikan salah satu sistem bunyi yang wujud iaitu sistem konsonan Bahasa Lundayeh. Seperti juga sistem vokal konsonan juga dihuraikan dengan melihat penyebarannya di awal, tengah dan akhir kata. Selain itu, bab ini juga membincangkan tentang rangkap konsonan dan gandaan konsonan.
Untuk mengakhiri kajian ini, bab 5 sebagai penutup tirai membuat kesimpulan berdasarkan bab-bab yang sebelumnya. Bab ini juga membuat sedikit perbandingan Bahasa Lundayeh yang terdapat buku Asmah Haji Omar iaitu Susur Galur Bahasa Melayu dengan dapatan kajian latihan ini. Disertakan juga cadangan dan harapan untuk kajian yang selanjutnya.
Text
Sosio budaya Melayu
Laras Bahasa Dusun Selimoh
Abstrak
Bahasa merupakan alat komunikasi bagi manusia yang telah dijadikan oleh Allah S.W.T sebagai khalifah dimuka bumi ini . Tanpa bahasa tidak mungkin manusia dapat mentadbir bumi dengan sempurna. Bahasa adalah pencetus idea-idea bagi manusia untuk mencapai kemajuan dan keharmonian hidup sesama insan.
Latihan ilmiah ini, mengkaji laras BD dalam akhbar NST. Kajian ini bertujuan meneliti laras-laras yang terdapat dalam akhbar BD. Seterusnya beberapa jenis laras yang diperolehi akan dianalisis untuk melihat ciri-ciri yang terdapat dalam laras tersebut.
Bab 1 akan membincangkan latar belakang kajian, tujuan kajian, kaedah kajian, skop kajian, bahan kajian masalah kajian dan metodologi kajian, dalam Bab 2 pula, kajian akan membincangkan tentang definisi laras, ciri-ciri yang perlu dilihat untuk mengkaji sesuatu laras dalam akhbar dan akhir sekali penutup iaitu rumusan daripada perkara yang dibincangkan dalam bab 2.
Seterusnya, Bab 3 akan membincangkan tentang aspek perbendaharaan kata. Antara aspek yang diteliti ialah jenis istilah yang digunakan dalam laras tersebut. Aspek perbendaharaan kata ini akan dilihat dalam 3 jenis laras yang terdapat dalam akhbar dan seterusnya diteliti untuk dianalisis. Laras-laras yang akan dianalisis ialah laras berita politik, laras berita undang-undang dan laras berita rencana pendidikan.
Dalam Bab 4 pula aspek morfologi dan sintaksis akan dibincangkan. Aspek morfologi akan dilihat dari aspek golongan kata iaitu kata kerja berimbuhan dari kata tugas. Manakala aspek sintaksis akan melihat dari aspek ayat penyata,ayat aktif, ayat majmuk dan ayat pemeri. Tujuan utama analisis dalam bab ini adalah untuk melihat ciri-ciri laras yang terdapat dalam bahasa Dusun. Jenis laras yang akan dikaji dalam analisis bab 4 ialah laras berita politik, laras berita undang-undang dan laras berita ruangan pendidikan.
Akhir sekali Bab 5 akan membincangkan rumusan daripada keseluruhan bab yang telah dibincangkan. Selain itu, terdapat juga cadangan-cadangan yang disertakan oleh penulis tentang kajian yang perlu untuk perkembangan bahasa Dusun.
Text
Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur : Kajian ke atas peranannya dalam pembangunan seni teater moden di Kuala Lumpur
Abstrak
Kajian yang dilakukan ini adalah berkenaan dengan pengurusan seni dan budaya khususnya dalam bidang seni teater. Kajian ini cuba melihat bagaimana sebuah organisasi kerajaan di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia iaitu Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan melakukan pengurusan dan secara tidak langsung membangunkan bidang seni teater moden khususnya di Kuala Lumpur.
Seni teater yang pada mulanya menjadi suatu elemen bagi pemupukan perpaduan kaum lantaran peristiwa 13 Mei 1969, kini umpama seperti melukut ditepi gantang. Walaupun akhir-akhir ini telah wujud seakan gelombang kesedaran namun seni teater masih ‘miskin’ khalayak, penghayat dan penggiatnya. Sikap apresiasi dan pemahaman rakyat Malaysia masih terlalu rendah berbanding dengan seni filem umpamanya. Sedangkan dari sudut fizikaliti kedua-duanya hampir sahaja sama. Malah seni teater lebih mencabar kerana sifatnya yang terbuka, iaitu secara langsung dan kadangkala spontan.
Kuala Lumpur yang merupakan ibu kota Malaysia cuba dijadikan pemangkin kepada sebuah Bandar Budaya, yang mana segala naskhah dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan teater dapat dibawa serta dipentaskan di Kuala Lumpur dan dalam masa yang sama ia dijadikan lambang Pusat Kegiatan Budaya yang merangkumi semua seni terutamanya bidang seni teater. Oleh itu, pengkaji cuba mengupas aspek penglibatan organisasi kajian dalam bidang seni teater.
Malah melalui kajian ini juga, pengkaji dapat melihat sejauh mana keberkesanan peranan dan penglibatan jabatan dalam mengurus dan membangunkan seni teater khususnya di Bandaraya Kuala Lumpur.
Melalui kajian ini juga dapat diperhatikan sumbangan organisasi kajian kepada para aktiviti dan penggiat seni teater tanahair dalam memartabatkan seni pementasan teater ke satu wadah yang dapat dihayati oleh segenap lapisan masyarakat. Apatah lagi, para penggiat seni teater ini banyak sumbangan terhadap pembangunan nilai kerohanian serta keintelektualan minda masyarakat.
Showing 201 to 250 of 285 results
Page
of 6
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->