Skip to main content
Advanced Search
Rimbunan: Pangkalan Data Pengajian Melayu
Browse Items
Browse Collections
Browse Exhibits
About
Collection Tree
Open menu
Close
Browse Items (285 total)
Browse All
Browse by Tag
Search Items
Collection: Abstrak Latihan ilmiah Akademi Pengajian Melayu
Sort by:
Title
Creator
Date Added
Text
Sosio budaya Melayu
Pelestarian rumah tradisi di Kota Lama Duyong, Terengganu
Abstrak
Bangunan bersejarah adalah warisan negara yang paling nyata dan tidak ternilai harganya. Rumah tradisi di Kota Lama Duyong adalah struktur warisan yang unik dan satu yang terbaik dipelihara seumpamanya. Ia adalah gabungan pelbagai gaya seni bina. Rumah itu terdiri daripada seorang Rumah Bujang Berpemeleh, dua Rumah Lima Bungkus, ruang dapur dan kawasan tandas. Terdapat empat jenis bumbung, dan ini mencerminkan empat gaya yang berbeza rumah Melayu tradisional di Pantai Timur. Kota Lama Duyong ini terletak di Pulau Duyung Kecil. Ia merupakan kota tinggalan sejarah yang telah dibina oleh Dato’ Biji Sura (Nik Muhamad bin Hitam) pegawai kanan Pentadbiran Negeri Terengganu (Seorang Hakim). Kota Lama ini adalah satu-satunya rumah yang dibina dengan batu-bata dan papan. Rumah ini dikelilingi oleh kubu dan disebabkan itulah ianya dinamakan Kota Lama atau “old Fort”. Penerapan nilai-nilai Islam terdapat dalam Kota Lama ini yang seni binanya merupakan seni bina Melayu Terengganu pada tahun 1920 an yang mana seni bina Terengganu amat kaya dengan warisan binaan tradisional. Kota Lama Duyong ini merupakan contoh bagi pengaruh yang kebanyakan rumah-rumah di sekitar Kota Lama Duyong ini sebahagian besarnya berdasarkan rumah tradisional Melayu. Kajian ini dilakukan bagi memastikan bangunan bersejarah terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Text
Sosio budaya Melayu
Pemahaman gaya pakaian konsep Melayu : Kajian di Akademi Pengajian Melayu dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Abstrak
Pakaian merupakan satu perkara yang menjadi keperluan asas dalam kehidupan manusia. Perubahan zaman yang berlaku telah menyebabkan perubahan turut berlaku terhadap aspek pakaian. Perubahan yang berlaku telah memberi kesan besar kepada masyarakat pada hari ini, pemakaian konsep Melayu mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang berbeza yang perlu difahami bagi membolehkan masyarakat menunjukkan diri mengenai pemakaian yang patut dalam masyarakat Melayu. Kajian ini dilakukan bagi membolehkan mengetahui mengenai pemahaman pakaian konsep Melayu dalam kalangan pelajar. Seramai 100 orang responden yang terpilih iaitu golongan pelajar di Akademi Pengajian Melayu dan fakulti Sastera dan Sains Sosial. Kajian ini menumpukan kepada beberapa perkara yang penting mengenai pakaian yang terdapat dalam borang soal selidik. Selain itu, amalan daripada aspek pemakaian juga menjadi perkara yang penting dalam kajian ini. Ini penting bagi memberikan penjelasan mengenai pemilihan pakaian yang digunakan. Amalan pemakaian dalam kalangan pelajar amat penting bagi memberi penjelasan mengenai pemahaman konsep pakaian cara Melayu yang ditekan oleh budaya.
Text
Pembangunan dan pemuliharaan bandar warisan Kota Bharu Kelantan
Abstrak
Pembangunan dan pemuliharaan bandar khususnya pembangunan bandar warisan adalah penting kerana bandar warisan merupakan permulaan tamadun manusia yang perlu dikekalkan sebagai warisan kepada generasi akan datang.
Kajian pembangunan dan pemuliharaan di bandar Kota Bharu merupakan harapan bagi setiap individu, masyarakat dan kerajaan. Ini demikian kerana Kota Bharu adalah bandar Islam yang kaya dengan sejarah dan warisan yang menceritakan bagaimana kewujudan bandar serta kehidupan masyarakat di Kota Bharu.
Kota Bharu menonjolkan kebudayaannya yang dapat dilihat dari aspek budaya dan sejarah yang dikaitkan dengan warisan sejarah dan cara hidup budaya Melayu adalah aspek utama yang dititikberatkan. Ini bersesuaian kerana bandar Kota Bharu juga dikenali Kota Budaya. Oleh yang demikian, pemuliharaan adalah penting di bandar Kota Bharu.
Kajian akan meneliti sejauh mana pembangunan dan pemuliharaan selari dengan langkah kearah memenuhi matlamat identiti bandar budaya yang bersejarah. Hasil daripada analisis yang dibuat daripada soal selidik menunjukkan rata-rata masyarakat bersetuju tentang langkah pemuliharaan bandar warisan yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha menjadikan pembangunan dan pemuliharaan di Kota Bharu seiring dan mampan.
Text
Pembangunan kebudayaan di Sabah : Kajian ke atas peranan Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sabah”
Abstrak
Penubuhan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 27 Mac 2004 telah memberi satu dimensi baru dalam pembangunan kebudayaan di negara ini. Kementerian ini telah menggariskan satu hala tuju yang jelas iaitu ‘menyemarakkan’ semula semangat cintakan seni budaya di kalangan masyarakat dengan berlandaskan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Pembangunan kebudayaan ini dilakukan bersama bahagian-bahagian, agensi dan jabatan-jabatan dibawahnya. Salah satu daripadanya ialah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sabah. Pembangunan Kebudayaan di negeri Sabah boleh dilihat melalui peranan Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Sabah yang menganjurkan aktiviti-aktiviti yang dinamakan ‘aktiviti Semarak Seni Budaya’, melalui program pembangunan Bahasa dan Persuratan, Seni Persembahan, Kemahiran seni, penyelidikan dan pendokumentasian serta Nilai dan Norma Setempat.
Text
Sosio budaya Melayu
Pembangunan perisian kursus Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan : Kajian kes kanak-kanak darjah 6 di Singapura
Abstrak
Kajian ini merupakan satu kajian kes yang dijalankan terhadap segolongan murid-murid peringkat Darjah Enam yang berkebolehan sederhana di sekolah yang terletak di Timur Singapura. Tujuan utama kajian adalah mereka bentuk sebuah perisian khusus ICT dalam pengajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) dan menguji keberkesanan perisian kursus PBBK dalam P&P CCE.Seterusnya, kajian ini bertujuan menilai pemahaman murid dalam penggunaan perisian kursus dalam proses P&P. Teori-teori P&P dan Model Reka Bentuk Pengajaran Robert Gagne telah digabungjalinkan bagi menjana suatu kerangka kajian. Sejumlah 20 orang murid-murid Darjah Enam telah dijadikan subjek kajian dan 5 orang guru sebagai penilai terhadap perisian kursus tersebut. Data diperolehi melalui borang soal selidik dan borang penilaian yang diedarkan, dan dianalisis menggunakan analisis deskriptif. Kaedah kuantitatif digunakan bagi borang soal selidik, manakala kaedah kualitatif digunakan melalui analisis borang penilaian. Hasil kajian ini mendapati bahawa tahap kefahaman subjek terhadap konsep CCE dan tanggungjawab sosial yang diajarkan dalam perisian kursus berada pada tahap yang tinggi, manakala beberapa aspek teknikal perisian kursus PBBK yang digunakan berada pada tahap sederhana. Hasil dapatan skor min antara 4.20 hingga 5.00 secara purata tentang perisian kursus menunjukkan bahawa aspek-aspek multimedia yang digunakan berada pada aras signifikan. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa tiga aspek P&P, iaitu persekitaran, kemahiran pengguna dalam ICT, dan latihan pengukuran pengguna, memainkan peranan penting bagi melaksanakan perisian kursus. Secara keseluruhannya, semua subjek bersetuju bahawa semua faktor yang disenaraikan pengkaji tentang perisian kursus mempengaruhi P&P.
Text
Bahasa Melayu
Pembelajaran bahasa kanak-kanak : Kajian kes gaya pembelajaran pandang-ruang
Abstrak
Setiap individu mempunyai kebolehan, kecerdasan dan kemahiran yang tersendiri dalam menggarap sesuatu konsep dan pengetahuan sewaktu belajar melahirkan pelbagai gaya pembelajaran. Keindividualan ini berpaksi daripada sistem saraf dalam kedua-dua bahagian hemisfera otak berdasarkan pusat pembelajaran tertentu. Proses yang dilalui dalam saraf otak manusia dijelaskan oleh para ahli neurologi dan psikologi sebagai tidak setara, dan ini yang menjadi punca seorang individu mempunyai gaya pembelajaran yang berlainan daripada seorang individu yang lain. Hakikat ini dijelaskan dalam bahagian neuropsikolinguistik kajian ini dalam proses pemerolehan bahasa dalam pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Gaya pembelajaran kebolehan pandang-ruang yang dipeloporkan oleh Linda Kreger Silverman merupakan gaya pembelajaran yang dikaji dan dikembangkan penggunaannya dalam pemerolehan bahasa dalam pembelajaran bahasa kedua dalam kajian ini.
Hakikat penyelidikan dalam bidang pedagogi pembelajaran bahasa kanak-kanak banyak mengkaji tentang pelbagai jenis, konsep dan pendekatan dalam gaya pembelajaran, namun demikian semakin dunia bertambah mencabar, pemikiran manusia menjadi semakin kompleks dan media yang pelbagai jenis muncul dalam kehidupan, bidang kajian gaya pembelajaran juga menjadi semakin rencam dan luas kaupannya. Kajian ini juga menggunakan beberapa kaedah yang disarankan, dan yang dibangunkan sendiri bagi menggunakan bentuk yang ada dari sekeliling persekitaran hari ini bagi membina bahan-bahan pembelajaran yang ideal untuk menyokong pelajar berkebolehan pandang-ruang.
Text
Bahasa Melayu
Pembelajaran Bahasa Melayu berbantukan komputer :
Kanak-kanak tahap 2 di Singapura
Abstrak
Pembelajaran Bahasa Melayu berbantukan komputer:
Kanak-kanak tahap 2 di Singapura
Sejak adanya IT Masterplan di Singapura pada tahun 1997, pihak MOE telah membelanjakan berjuta dolar untuk mencapai matlamatnya. Matlamat terdahulunya, iaitu untuk menyediakan sekolah-sekolah yang memperkayakan TM dalam kurikulum sehariannya telah dicapai pada tahun 2002, malahan budaya IT di sekolah-sekolah di Singapura sudah semakin berkembang dewasa ini. Tujuan utama mereka merupakan matlamat untuk membentuk pelajar-pelajar celik komputer yang akan dapat menyesuaikan diri mereka dengan kehidupan dunia komputer apabila mereka dewasa kelak.
Dewasa ini, penggunaan TM telah diperkembangkan lagi. Pelajar-pelajar semuda pelajar tadika dan pra tadika turut didedahkan dengan penggunaan TM. Walau bagaimanapun, kebanyakan perisian-perisian yang ada di Singapura merupakan perisian subjek-subjek Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, dan sebagainya. Perisian yang khas untuk Bahasa Melayu masa dirasakan kurang walaupun telah ada pihak-pihak yang mengambil inisiatif untuk membina perisian-perisian ini. Berdasarkan kepada masalah ini, pengkaji telah mengambil keputusan untuk menjalankan kajian ini, sekaligus membina sebuah perisian bahasa Melayu khas untuk pelajar-pelajar darjah 2 di Singapura.
Perisian yang bergantung kepada perisian Power Point (PPT) ini dibina menurut model instruksi ADDIE agar pembinaanya lebih sistematik dan teratur. Selain daripada itu, pengkaji turut menyediakan sebuah papan cerita yang juga menggunakan perisian PPT. Papan cerita ini amat penting dalam setiap perisian yang dibina agar pereka bentuk perisian dapat mengubah suai serta memperbaiki perisian mereka dengan teratur.
Dalam menyediakan perisian PPT ini, Pengkaji turut melihat kepentingan teori pembelajaran yang harus diterapkan ke dalam pembinaan perisian ini. Dengan adanya teori pembelajaran yang dipilih, matlamat pengkaji untuk membina sebuah perisian khas untuk pelajar-pelajar tahap 2 ini akan tercapai. Pengkaji menyatukan teori pembelajaran kognitivisme oleh Jean Piaget dengan teori pembelajaran konstruktivisme oleh Jerome Brunner.
Selain daripada itu, perisian PPT ini turut mengetengahkan kurikulum Bahasa Melayu, Kementerian Pelajaran Singapura (MOE). Pengkaji menumpukan perhatian kepada penggunaan golongan kata, iaitu Kata Nama, Kata Kerja, Kata Adjektif serta Kata Tugas. Pengkaji berpegang kuat kepada kurikulum pembelajaran pelajar-pelajar ini agar pembinaan perisiannya tidak lari daripada objektif serta matlamat utama.
Text
Bahasa Melayu
Pembelajaran bahasa Melayu melalui kaedah penterjemahan
Abstrak
Pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga bukanlah satu langkah yang baru oleh Kementerian Pendidikan Singapura bagi memperkenalkan bahasa Melayu kepada bukan Melayu. Langkah ini merupakan satu usaha oleh mereka untuk memartabatkan bahasa Melayu, disamping merapatkan lagi jurang antara mereka yang berbangsa Melayu dan bukan melayu. Dalam kajian ini, pengkaji telah memberikan tumpuan kepada pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga melalui kaedah penterjemahan. Kajian ini telah dilakukan ke atas sepuluh orang pelajar cina yang mengambil bahasa Melayu di bawah Malay Special Programme. Hasil terjemahan yang dilakukan oleh pelajar telah dianalisis mengikut teori analisis kesilapan. Ini bagi mengenal pasti kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh pelajar dalam proses menterjemahkan teks bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Selain daripada itu, pengkaji juga telah menganalisis kaedah penterjemahan yang digunakan oleh pelajar, dan ini terbahagi kepada dua, iaitu kaedah terjemahan formal dan kaedah terjemahan dinamik. Pengkaji berharap agar kajian ini dapat membantu bukan sahaja guru-guru, tetapi juga pengkaji-pengkaji pada masa hadapan dalam menjalankan pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga. Pengkaji juga berharap agar kajian ini dapat di kembangkan bagi melestarikan bahasa Melayu.
Text
Bahasa Melayu
Pembelajaran dan penguasaan peribahasa dalam kalangan pelajar Sekolah Rendah Temasek
Abstrak
Kepentingan bahasa ibunda sebagai maruah bangsa beserta nilai luhur yang terkandung di dalamnya perlu dipertahankan dan dikuasai oleh para penutur jati. Lantas hal ini perlu dititikberatkan sejak di peringkat sekolah rendah lagi agar pemulihan dan pemuliharaan bahasa itu dapat dicapai sebelum mereka menjejak dewasa. Setiap individu dalam masyarakat tidak kira ibu bapa, para guru dan masyarakat secara umum memainkan peranan dalam memastikan penguasaan bahasa Melayu yang lebih baik dalam kalangan generasi muda kita.
Dalam hal ini guru bahasa Melayu merupakan pusat kawalan utama yang memainkan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar minat untuk mempelajari bahasa Melayu dalam kalangan pelajar akan berterusan sepanjang hayat. Pra guru perlu melakarkan dan mewujudkan suatu suasana pengajaran dan pembelajaran yang selaras dengan cita rasa generasi para pelajar dekad ini. Pendekatan serta kaedah yang dipilih mampu menyalurkan dan meningkatkan maklumat kepada para pelajar. Para guru harus sentiasa proaktif, berfikiran kritis dan kreatif untuk membantu pelajar menguasai kemahiran berbahasa.
Dalam kajian ini, pengkaji akan menganalisis keberkesanan pembelajaran menggunakan komik melalui perisian Bistrips dan Model Pembelajaran Constructivist Learning Environment (CLE) dalam meningkatkan pembelajaran serta penguasaan peribahasa dalam kalangan para pelajar yang telah dipilih sebagai subjek kajian. Selain itu, pengkaji juga ingin mendapatkan kepastian sama ada instrumen yang digunakan dalam kajian ini mampu menarik minat pelajar dalam menguasai peribahasa.
Kajian ini akan dijalankan ke atas pelajar-pelajar darjah 3 di Sekolah Rendah Temasek di Singapura. Seramai 26 orang pelajar terdiri daripada pelbagai tahap kemahiran telah dipilih sebagai subjek kajian ini.
Pengkaji telah menggunakan komik sebagai wadah utama untuk mengajar peribahasa dan telah bertunjangkan Teori Konstruktivisme melalui Model Pembelajaran CLE untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran tersebut. Sehubungan itu, pengkaji juga akan melakarkan kertas ujian untuk menganalisis keberkesanan kedua-dua pendekatan ini. Selain itu, pengkaji akan menjalankan soal selidik berstruktur dan kaedah temu bual yang tidak berstruktur terhadap para pelajar dan para guru yang terlibat untuk mendapatkan kesahihan sama ada penggunaan komik sebagai wadah utama untuk mengajar peribahasa dan pembelajaran melalui Model Pembelajaran CLE berjaya atau tidak menarik minat pelajar dalam mempelajari dan menguasai peribahasa.
Text
Kesenian Melayu
Pembentukan istilah dalam seni kraftangan Melayu : Pembuatan Wau
Abstrak
Kajian ini merupakan satu usaha dalam mengumpul dan merakam pembentukan istilah dalam seni kraftangan Melayu, iaitu dari segi pembuatan wau, kajian ini hanya menumpukan istilah yang terdapat dalam kaedah pembuatan wau tradisional Melayu di negeri Kedah. Hanya istilah-istilah yang dituturkan oleh responden sahaja dianalisis oleh pengkaji.
Antara aspek penting yang mendasari kajian ini ialah usaha mengumpul dan merakamkan semua istilah yang terdapat dalam seni pembuatan wau di Kedah. Setelah itu, kajian ini membina dan menghuraikan peta konsep berdasarkan data yang diperolehi daripada kajian lapangan yang telah dilakukan. Selain itu, proses mentakrifkan istilah berdasarkan peta konsep turut diutamakan. Kajian ini juga turut menganalisis proses pembentukan natif dalam istilah bahasa Melayu.
Kajian ini membawa satu perubahan atau maklumat baru yang berkaitan dengan bidang peristilahan terutama dari segi budaya. Dapatan kajian ini mendapati bahawa kebanyakan istilah yang terdapat dalam bidang seni pembuatan wau merupakan hasil pembentukan natif dalam bahasa Melayu sendiri. Namun begitu, istilah-istilah ini turut mengalami proses peminjaman istilah asing mahupun dialek. Antara ciri-ciri takrif yang paling dominan dalam kajian ini ialah takrif jenis fungsional.
Pengkajian mengenai sesuatu bahasa sering dilakukan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu terutama yang merujuk kepada aspek dialektologi. Namun begitu, jarang-jarang sekali tumpuan dilakukan ke atas istilah-istilah yang terdapat dalam bidang budaya terutama seni pembuatan wau. Di samping itu, terdapat beberapa penyelidikan mengenai istilah-istilah yang digunakan dalam sesuatu bidang atau lapangan. Dengan itu, pengkaji berharap dapat memberi membincangkan pembentukan istilah-istilah yang terdapat dalam seni pembuatan wau.
Text
Bahasa Melayu
Pembudayaan tulisan Jawi di Kelantan : Sejarah dan prospektif
Abstrak
Tulisan Jawi merupakan warisan bangsa yang tidak ternilai harganya. Malah, tulisan Jawi merupakan nadi yang menggerakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan meletakkannya setaraf dengan bahasa-bahasa asing di dunia ini pada suatu ketika dahulu. Dalam era globalisasi kini, didapati sistem tulisan Jawi semakin terhakis dan dipinggirkan oleh generasi muda hari ini. Tulisan Jawi seolah-olah dipinggirkan oleh masyarakat. Penguasaan membaca dan menulis Jawi oleh generasi hari ini semakin hari semakin kurang memuaskan. Walaupun begitu, kelihatan sebuah negeri di Pantai Timur Malaysia, iaitu Kelantan masih tegar menggunakan tulisan Jawi dalam pelbagai aspek, misalnya di papan tanda iklan, nama kedai, nama jalan, dan sebagainya sebagai usaha pelestariannya. Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengkaji pembudayaan tulisan Jawi di negeri Kelantan, di samping melihat pengaruhnya terhadap penerapan nilai-nilai Islam di sana. Pengkaji menjadikan Negeri Kelantan sebagai pilihan kawasan kajian disebabkan pembudayaan ini sangat unik dan banyak digunakan di sana, kebanyakkannya tidak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia. Sejarah negeri Kelantan itu sendiri kaya dengan pelbagai cerita menarik dan begitu dekat dengan nilai keislaman. Tidak hairanlah jika roh Islam begitu kuat tersebar di Negeri Serambi Makkah ini. Tulisan Jawi sememangnya sudah mengalami banyak perkembangan dan masih mencari cara yang lebih mudah untuk ditulis dan diamalkan. Ia pastinya memberi sumbangan dalam pelbagai bidang ilmu, antaranya bidang pentadbiran, keagamaan,kesenian, dan kebudayaan. Justeru, kajian ini akhirnya mendapati bahawa pembudayaan tulisan Jawi di Negeri Kelantan banyak mempengaruhi corak kehidupan masyarakat mereka sendiri. Secara langsung atau tidak langsung, tulisan Jawi menjadi penyalur kepada penerapan nilai Islam dalam masyarakat di samping mengambil kira penerimaan masyarakat bukan Islam. Pembudayaan tulisan Jawi harus lebih diperluas ke seluruh pelosok dunia agar ia terus terpelihara akan keizinannya untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
Text
Sosio budaya Melayu
Pemeliharaan warisan tradisi negeri Kedah : Kajian di Muzium Negeri Kedah Darul Aman
Abstrak
Penulisan latihan ilmiah ini secara khususnya memberi tumpuan kepada koleksi Muzium Negeri Kedah yang terdapat di muzium tersebut dan mempunyai atau membawa identiti negeri Kedah itu sendiri.
Di dalam penulisan ini,Pada bab satu pengkaji menghuraikan sejarah asal- usul pembukaan negeri Kedah yang merupakan lokasi terletaknya Muzium Negeri Kedah. Selain itu, dijelaskan juga pengertian tajuk kajian, objektif kajian, skop kajian, kepentingan kajian, kaedah atau metodologi kajian, permasalahan kajian dan organisasi bab.
Pada bab dua pula pengkaji lebih memfokuskan sejarah latar belakang penubuhan Muzium Negeri Kedah. Selain itu, pengkaji turut menjelaskan aktiviti yang dilakukan oleh Muzium Negeri Kedah. Di dalam bab ini juga pengkaji menghuraikan berkaitan matlamat Muzium Negeri Kedah, akta Muzium Negeri Kedah, Objektif Muzium Negeri Kedah, fungsi Muzium Negeri Kedah, serta cawangan yang telah dibuka oleh Muzium Negeri Kedah dan organisasi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Muzium Negeri Kedah.
Di dalam bab ketiga pula pengkaji telah mengfokuskan kepada koleksi muzium yang mempunyai identiti negeri Kedah yang telah dipopularkan. Disamping itu, pengkaji juga menjelaskan berkaitan dengan galeri yang terdapat di Muzium Negeri Kedah, jumlah koleksi yang ada di negeri Kedah serta cara pemerolehan bahan yang dilakukan oleh Muzium Negeri Kedah dalam mengumpul koleksi khazanah sejarah.
Manakala pada bab empat, pengkaji lebih memfokuskan terhadap peranan muzium kepada seluruh masyarakat, cabaran yang dihadapi oleh pihak Muzium Negeri Kedah dalam mempertahankan khazanah warisan turun-temurun serta usaha dan langkah yang diambil oleh pihak muzium dalam mengatasi masalah tersebut.
Bab terakhir iaitu di dalam bab lima, pengkaji membuat kesimpulan secara menyeluruh berkaitan kajian yang telah dijalankan. Pengkaji juga menjawab setiap objektif yang telah digariskan oleh pengkaji dengan baik.
Text
Pemerolehan bahasa kanak-kanak di peringkat prasekolah : Kajian kes di Taska & Tadika Murni Vista Angkasa
Abstrak
Kajian dilakukan untuk melihat tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak yang berusia enam tahun. Pengkaji memilih sekolah Taska 7 Tadika Murni Vista Angkasa, Kuala Lumpur sebagai tempat kajian. Pengkaji hanya memilih empat orang sampel yang merupakan kanak-kanak Melayu yang mempunyai latar belakang yang sama. Iaitu dalam persekitaran bandar. Sampel telah memulakan persekolahan mereka di situ sejak berumur lima tahun lagi.
Oleh kerana sampel-sampel yang dipilih terdiri daripada kanak-kanak Melayu yang dibesarkan dalam masyarakat Melayu dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertama dalam sebarang bentuk perhubungan, maka analisis bagi melihat tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan mereka juga akan dilakukan berdasarkan aspek-aspek yang terkandung dalam bahasa Melayu yang meliputi aspek morfologi, fonologi, semantik, sintaksis dan pragmatik. Aspek yang dipilih oleh pengkaji dalam melakukan analisis terhadap 50 ujaran yang dibuat oleh sampel bagi melihat tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak prasekolah adalah berdasarkan analisis keupayaan dan kekerapan pemerolehan bahasa sahaja.
Walaupun pemilihan aspek analisis keupayaan dan kekerapan pemerolehan bahasa mempunyai beberapa ciri yang remeh tetapi penting dalam menilai tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak. Rakaman yang dibuat secara langsung menggunakan pita rakaman suara ke atas ujaran yang diujarkan secara spontan oleh kanak-kanak. Hanya 50 ujaran terbaik yang bermula dengan perkataan pertama yang diujarkan oleh sampel sahaja yang dipilih sebagai data. Analisis dilakukan terhadap data yang ditranskripsikan dengan menggunakan ukuran-ukuran tertentu, iaitu berdasarkan analisis keupayaan dan kekerapan pemerolehan bahasa serta mengikut kesesuaian dengan skop kajian.
Hasil analisis menunjukkan bahawa proses pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak yang berusia enam tahun agak sempurna sepenuhnya. Walau bagaimanapun, keempat-empat sampel telah mengalami proses pemerolehan dan penguasaan bahasa yang amat menggalakkan. Hal ini demikian telah membuktikan peranan persekitaran sebenarnya penting dalam membantu mempercepatkan proses pemerolehan dan penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak. Sungguhpun begitu peranan kognitif juga tidak boleh dinafikan.
Text
Bahasa Melayu
Pemerolehan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar Madrasah di Singapura
Abstrak
Kajian ini membincangkan tentang pemerolehan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar Madrasah di Singapura. Subjek kajian terdiri daripada 106 orang pelajar yang merupakan murid daripada madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah. Seramai 20 orang pelajar telah diambil dijadikan subjek kajian rintis. Borang soal selidik digunakan sebagai alat kajian. Pengkaji membuat kajian pemerolehan tulisan Jawi dari aspek kebolehan atau kemahiran menulis dan memahami askara atau tulisan Jawi. Aspek tulisan ini meliputi pengenalpastian huruf, pengetahuan mengeja, transliterasi tulisan dari Rumi ke Jawi, dan sebaliknya.Kajian yang dijalankan ini mengenal pasti peranan bahasa Arab dalam konteks pemerolehan tulisan Jawi, sama ada pembelajaran bahasa Arab menyumbang kepada pemerolehan tulisan Jawi atau tidak. Selain itu, kajian ini juga akan menunjukkan analisis tahap pemerolehan dan pemahaman tulisan Jawi pelajar madrasah Singapura. Melalui kajian yang dijalankan ini, dapat dilihat citra Jawi di Singapura kini.
Text
Kesenian Melayu
Pemikiran masyarakat Melayu terhadap pemilihan motif sobek wau tradisional Melayu : Kajian kes di Kampung Sungai Sarang Buaya, Muar Johor
Abstrak
Seni sobek wau merupakan salah satu hasil kesenian masyarakat Melayu tradisional. Ia merupakan juga salah satu seni ukiran Melayu yang kreatif untuk kegunaan sebagai corak yang terdapat pada wau agar dapat menyerlahkan daya tarikan wau-wau tersebut. Selain itu, ukiran sobek pada badan wau adalah antara elemen utama yang menjadikan wau tersebut unik dan istimewa.
Kajian berkenaan dengan sobek wau ini dilakukan untuk melihat cara masyarakat Melayu tradisional menghasilkan sesuatu motif dalam ukiran terutamanya dalam ukiran sobek wau. Dalam kajian ini juga tumpuan dilakukan terhadap pemikiran orang-orang Melayu dahulu menggunakan alam sekitar untuk diolah ke dalam bentuk karya seni.
Sobek wau memainkan peranan yang penting sebagai salah satu lambang kebudayaan masyarakat Melayu yang tinggi kerana banyak memaparkan tentang kehidupan masyarakat Melayu. Berdasarkan pandangan mereka terhadap alam sekitar, telah membolehkan mereka mewujudkan satu nilai estetika yang membawa kepada pengolahan seni yang mempunyai nilai keindahan.
Sobek atau corak wau ini mempunyai masa depan yang cukup cerah baik jika dipelihara mahupun untuk tujuan komersial kerana masyarakat luar dapat melihat keaslian tentang ukiran berasaskan kertas. Terdapat banyak langkah yang dapat diambil untuk mengekalkan sobek wau sebagai salah satu warisan kebudayaan masyarakat Melayu tradisional.
Text
sastera Melayu
Pemikiran S. Othman Kelantan dalam novel Juara
Abstrak
Kajian tentang novel ini adalah bertujuan untuk melihat pemikiran dan struktur karya yang dikemukakan oleh pengarang. Pengkaji cuba meneliti teks kajian dengan lebih terperinci untuk mendapatkan hasil kajian yang baik seperti mana yang diingini.
Dalam bab pertama, pengkaji menyentuh tentang pendahuluan dan di dalam bab ini juga dibincangkan tentang pengenalan, permasalahan kajian, tujuan kajian, kaedah kajian dan batasan kajian.
Dalam bab dua pula, pengkaji menceritakan tentang latar belakang pengarang iaitu S.Othman Kelantan. Di samping itu, turut dibincangkan tentang karya-karya yang telah dihasilkan oleh beliau selama menceburkan diri dalam dunia penulis serta anugerah dan sumbangannya dalam bidang penulisan.
Dalam bab tiga, pengkaji membincangkan tentang aspek-aspek yang membina karya. Ia termasuklah dari aspek plot, watak,tema,teknik penceritaan, dan sudut penceritaan yang digunakan oleh S.Othman Kelantan untuk menghasilkan novel Juara ini.
Dalam bab seterusnya, pengkaji telah membincangkan tentang konsep dan definisi pemikiran. Dalam bab ini juga pengkaji telah membuat analisis terhadap karya iaitu dengan menjelaskan tentang pemikiran-pemikiran yang dikemukakan oleh pengarang dalam novel ini.
Manakala dalam bab terakhir, pengkaji merumuskan tentang dapatan kajian yang diperolehi. Pengkaji turut mengemukakan ulasan terhadap novel S.Othman Kelantan ini.
Text
Bahasa Melayu
Peminjaman istilah bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu bidang Sains Perubatan
Abstrak
Kajian ini merupakan salah satu kesinambungan daripada bidang kajian peminjaman istilah yang telah dijalankan oleh para pengkaji terdahulu. Tumpuan kajian ini untuk meneliti proses peminjaman istilah daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu dalam bidang sains perubatan. Kajian ini meliputi proses penganalisisan data untuk mengenal pasti kata pinjaman yang dominan dalam peminjaman istilah sains perubatan, di samping proses asimilasi yang berlaku dalam penyesuaian istilah dalam bahasa Melayu. Perincian juga dilakukan untuk meneliti teori-teori dan pengklasifikasian yang terdapat dalam peminjaman yang berperanan sebagai rujukan dan panduan dalam menjalankan kajian. Penganalisisan yang dilakukan dalam kajian ini meliputi beberapa klasifikasi, iaitu kata pinjaman tulen, kata pinjaman campuran dan kata pinjaman terjemah. Berdasarkan klasifikasi ini, penulis seterusnya menghuraikan data kajian melalui empat aspek penting, iaitu jumlah peminjaman, peratusan peminjaman dan peratusan peminjaman berdasarkan jumlah data terkumpul. Kajian ini juga meliputi proses pengasimilasian yang berlaku di antara istilah pinjaman bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu. Dapatan kajian ini menjelaskan KPTSA telah mendominasi proses peminjaman istilah dalam bidang sains perubatan berbanding dengan kata pinjaman yang lain. Hasil dapatan ini menerangkan faktor peminjaman istilah turut disebabkan oleh persamaan struktur kata yang akan menentukan jumlah bilangan istilah yang dipinjam ke dalam bahasa Melayu.
Text
Sosio budaya Melayu
Penanaman padi di Chepir, sik, Kedah : Kajian etnolinguistik
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk melihat bahasa dan budaya dalam masyarakat. Budaya masyarakat memberikan gambaran latar belakang kehidupan sebenar. Kajian ini merupakan kajian bidang etnolinguistik yang dibuat berdasarkan kaedah kajian lapangan di kawasan Chepir, Sik, Kedah Darul Aman. Data kajian ini diperolehi daripada lima orang informan yang berpengalaman dalam bidang pertanian padi di kawasan kajian . Pengalaman informan bukan sahaja sebagai pemerhati, malah sebagai individu yang bertanggungjawab dalam menjalankan dan meneruskan legasi pertanian yang diwarisi nenek moyang. Pertanian padi sawah di kawasan kajian dijalankan secara tradisional oleh informan sebelum kemasukan jentera moden. Kini masyarakat petani masih berada dalam transisi kerana keadaan struktur tanah yang belum sesuai untuk dijalankan kerja pertanian secara moden. Berdasarkan data yang diperolehi, pengkaji telah membuat rumusan bahawa masyarakat dapat dinilai berdasarkan bahasa dan budaya. Bahasa dan budaya menggambarkan kehidupan masyarakat dan pandangan dunia di sekeliling mereka.
Text
Sosio budaya Melayu
Pendapatan petani yang menyewa tanah untuk pertanian padi : Satu kajian kes di beberapa buah kampung di Daerah Besut, Terengganu
Abstrak
Aktiviti pertanian sememangnya sangat sinonim masyarakat Melayu yang tinggal di luar bandar kerana kegiatan pertanian merupakan aktiviti tradisi masyarakat Melayu untuk menampung kehidupan harian mereka.hal ini kerana masyarakat Melayu tradisi tinggal di luar bandar sejak dahulu sehingga penjajahan British dan sehingga sekarang, yang mana majoriti penduduk di luar bandar ialah orang-orang Melayu. Antara pertanian yang dilakukan ialah tanaman padi, getah, kelapa sawit, nelayan dan sebagainya.
Pertanian padi merupakan aktiviti pertanian yang utama kerana beras merupakan makanan ruji masyarakat di Malaysia.Pendapatan golongan ini masih lagi ditaraf yang rendah jika hendak dibandingkan dengan sektor lain.
Kajian yang akan dijalankan ini adalah untuk melihat pendapatan dan juga kos pengeluaran yang terpaksa ditanggung oleh petani yang menyewa tanah untuk tanaman padi ini. Hal ini kerana petani ingin membesarkan saiz milikan tanah untuk tanaman padi supaya mendapat hasil yang tinggi dan juga mengusahakan tanah yang terbiar yang mana tuan tanah sudah tidak lagi mampu untuk mengerjakan tanah tersebut, manakala anak-anak pula tidak mahu mewarisi pekerjaan tersebut.
Kajian ini dilakukan di beberapa buah kampung yang berada dalam daerah Besut, Terengganu, iaitu Kampung Apal, Kampung Batang gergaji dan juga Kampung Pohon Ta. Yang mana di kawasan kajian ini masih ramai petani yang menyewa tanah untuk pertanian padi.
Text
Pendidikan anak-anak Felda : Kajian kes di Felda Chiku Dua, Gua Musang Kelantan
Abstrak
Pendidikan merupakan tunjang kepada kemajuan individu dalam bidang Akademik. Seseorang yang tidak mempunyai pendidikan akan menyebabkan dirinya sentiasa ketinggalan dan hidup dalam kelompok kemiskinan. Ini kerana, pendidikan dapat memberi jaminan masa depan yang panjang dan pekerjaan yang terjamin serta dipandang mulia oleh masyarakat. Melalui pendidikan, seseorang itu akan merasakan dirinya dihargai, disanjung dan dipandang tinggi.
Pendidikan terbahagi kepada dua iaitu pendidikan formal dan pendidikan tidak formal. Pada zaman yang serba moden ini, pendidikan formal adalah penting menyaingi pelbagai golongan manusia yang semakin maju dengan teknologi dan ilmu pengetahuan. Namun begitu, pendidikan tidak formal juga penting dalam membentuk manusia menjadi seorang yang berguna di mata masyarakat. Pendidikan tidak formal meliputi perkara asas yang diajar oleh penjaga iaitu pendidikan al-Quran, kehormatan diri, dan kebersihan. Kalau manusia mengamalkan pendidikan formal dan pendidikan tidak formal secara betul ia akan menjadikan seseorang itu berjaya dalam hidupnya.
Pendidikan anak-anak di Felda Chiku Dua merujuk kepada pelajar-pelajar yang masih bersekolah dan dibawah jagaan ibu bapa masing. Pendidikan ini diajar di sekolah dan dibantu oleh Felda, kerajaan negeri dan serta kerajaan pusat. Bantuan yang terlibat terdiri daripada bantuan kewangan, infrastruktur, dan sokongan. Pendidikan anak-anak Felda dapat mengubah tahap ekonomi keluarga kepada yang lebih baik serta dapat membantu ibu bapa dalam ekonomi apabila habis belajar dan mendapat pekerjaan yang baik.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengangkut air dan pembangunan jabatan : satu kajian kes perkhidmatan Feri Pulau Pinang
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang aspek perkhidmatan feri Pulau Pinang. Kajian ini dilihatkan berdasarkan persaingan perkhidmatan feri di Pulau Pinang dengan Jambatan Pulau Pinang sebagai satu laluan untuk menyeberangi Tanah Besar ke bahagian pulau atau sebaliknya. Kajian menggunakan kaedah perpustakaan dan kajian lapangan. Kajian lapangan yang dijalankan termasuklah soal-selidik, pemerhati turut serta, temubual dan teknik analisis data.
Responden yang terlibat dalam kajian selidik terdiri daripada pengguna feri sama ada penumpang pejalan kaki dan penumpang feri berkenderaan. Responden ini dipilih secara rawak oleh pengkaji. Data kajian pengkaji mendapat pelbagai maklum balas daripada soal selidik yang dilakukan. Hasil kajian menunjukkan feri dan Jambatan Pulau Pinang ini saling berkaitan dalam memenuhi tuntutan masyarakat.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengaruh drama asing terhadap masyarakat Melayu
Abstrak
Perkembangan budaya Korea, Jepun dan China di Malaysia disebabkan oleh beberapa faktor. Salah satunya ialah faktor globalisasi yang menyebabkan segala ideologi bebas masuk di negara ini melalui pelbagai jenis media dan salah satunya adalah televisyen. Melalui rangkaian televisyen inilah yang menyebabkan berlakunya lambakan drama asing di media Malaysia yang berjaya menarik minat masyarakat Melayu umumnya untuk terus menonton. Terdapat berbagai faktor yang berjaya menarik minat masyarakat Melayu untuk menonton drama asing. Salah satu faktornya ialah disebabkan oleh faktor tema cerita. Namun begitu, lambakan drama asing ini juga telah meninggalkan beberapa kesan sama ada kesan positif mahupun kesan negatif. Kesan positif yang dapat dilihat adalah melalui drama yang ditayangkan, ia berjaya menerapkan nilai-nilai murni dalam diri para penonton. Walaupun drama asing ini mempunyai kesan yang negatif, namun ia juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengaruh drama rantaian Asia terhadap gaya hidup wanita Melayu : Kajian kes dalam kalangan mahasiswi dan suri rumah di Arau Perlis
Abstrak
Fenomena drama rantaian Asia dikatakan bahawa menjadi suatu ruang baharu yang penting untuk wanita Melayu melibatkan diri dengan nilai-nilai moden melalui pemaparan pelbagai citranya yang berkait dengan unsur-unsur kepenggunaan, selebriti dan gaya hidup bandaran.
Objek utama penulisan latihan ilmiah ini untuk membincangkan tentang fenomena drama rantaian Asia yang mempengaruhi golongan mahasiswi di Universiti Teknologi Mara Cawangan Perlis (UiTM) dan golongan suri rumah di Bandar Diraja Arau. Selain itu, pengkaji ingin mengenal pasti faktor-faktor tarikan drama rantaian Asia dan pengkaji juga menganalisis adakah fenomena drama rantaian memberi kesan positif dan negatif secara langsung ataupun tidak langsung kepada mahasiswi dan suri rumah.
Kajian ini menggunakan satu set borang soal selidik yang diedarkan kepada 100 orang responden, malah pengkaji juga mengadakan sesi temubual bersama-sama 11 orang informan yang dipilih secara rawak di bandar berkenaan. Kajian ini telah mendapati bahawa kecenderungan minat mahasiswi dan suri rumah adalah berbeza antara satu sama lain.
Di samping itu, kajian ini turut memperolehi maklumat mengenai faktor-faktor ketaksuban menonton drama rantaian Asia disebabkan faktor tarikan drama-drama rantaian Asia itu sendiri, masa yang sesuai untuk menonton dan didapati terdapat 13 drama Asia timur dan Asia Tenggara yang telah dipilih oleh penonton. Di dalam kajian ini juga telah menunjukkan bahawa drama-drama rantaian Asia ini memberikan kesan positif dan negatif sama ada dipengaruhi secara langsung ataupun tidak langsung kepada mahasiswi dan suri rumah di kawasan kajian.
Text
Bahasa Melayu
Penggolongan kata dalam penulisan naratif sekolah rendah & menengah di Singapura
Abstrak
Hasil penulisan naratif merupakan satu latihan kemahiran bertulis di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Pembaharuan dalam sistem pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah tidak lagi memberatkan kemahiran penulisan bahasa kedua. Disebabkan ini, terdapat perbezaan pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran penulisan naratif. Penulisan naratif masih kekal relevan kerana latihan penulisan ini mengukuhkan asas kemahiran bahasa terutama sekali penggolongan kata. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis penggolongan kata terdapat dalam penulisan naratif sekolah rendah dan sekolah menengah. Kajian akan tertumpu kepada aspek penggunaan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas yang dominan dalam penulisan naratif bagi kedua-dua peringkat pendidikan. Sebanyak 10 sampel penulisan naratif sekolah rendah dan 10 sampel penulisan naratif sekolah menengah akan dianalisis dengan bertunjangkan Teori Transformasi Generatif Noam Chomsky (1957) dan rumus-rumus tatabahasa dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga oleh Nik Safiah et.al (1998). Model ini mengemukakan aspek morfologi dan penggolongan kata. Dapatan kajian menunjukkan penggunaan penggolongan kata dalam penulisan naratif di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Kajian juga menunjukkan kepentingan kemahiran penguasaan penggolongan kata untuk menghasilkan penulisan naratif yang baik. Pengkaji juga berharap agar pihak kementerian, guru-guru dan pencinta bahasa menyedari kepentingan penggunaan penggolongan kata dalam penulisan naratif. Kajian ini diharapkan dapat menambah kepada tentang hasil penulisan naratif.
Text
Bahasa Melayu
Penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pengguna radio di Singapura : Satu pendekatan interaksional sosiolinguistik
Abstrak
Kajian ini berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pengguna radio di Singapura. Pengkaji menggunakan pendekatan interaksional sosiolinguistik Gumpez (1982) yang telah diubah suai dengan memasukkan variasi bahasa Asmah (2008) ke dalam rangka teori Gumperz. Pengkaji menggunakan korpus kajian transkripsi perbualan, iaitu bahasa lisan atau pertuturan yang digunakan para pengguna radio (pengacara dan pemanggil), yang diambil daripada dua stesen radio di Singapura.
Dalam kajian ini, pengkaji menganalisis tanda pengkonteksan yang dikenali pasti Gumperz (1982) sebagai instrumen kajian interaksional sosioliguistik. Pengkaji turut membuat pengubahsuaian lalu berusaha untuk mengenal pasti variasi bahasa yang wujud dalam bahasa lisan pengguna radio, khususnya bahasa rojak, bahasa pasar, dan slanga.
Hasil kajian yang menggunakan pendekatan interaksional sosiolinguistik yang telah diubah suai ini mendapati bahawa, pertama, seperti yang dihuraikan Gumperz (1982), terdapat tanggapan awal, interpretasi dan proses pembinaan makna yang dianalisis menggunakan tanda pengkonteksan sebagai instrumen kajian; dan kedua, wujud variasi bahasa, khususnya bahan rojak, bahasa pasar, dan slanga, yang berleluasa dalam korpus kajian.
Kajian ini secara umum mendapati bahawa penggunaan bahasa dalam kalangan pengguna radio di Singapura tidak menepati tuntutan dasar yang telah ditetapkan.
Text
Bahasa Melayu
Penggunaan buku-e:Pengurusan kemahiran membaca dalam kalangan murid darjah 4, Sekolah Rendah Punggol, Singapura
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengupas keberkesanan perisian buku-e sebagai alat TMK dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) terutama pengajaran kemahiran membaca bahasa Melayu dalam kalangan murid darjah 4 di Sekolah Rendah Punggol, Singapura. Perisian buku -e merupakan antara bahan TMK yang telah dikenal pasti sebagai agen perangsang kerana mempunyai elemen-elemen multi media yang membantu murid mencapai tahap penguasaan dengan lebih optimum. Pada masa yang sama, menjadikan perisian buku-e sebagai bahan penyelesaian terhadap masalah pembacaan murid serta mengeksploitasi kecenderungan murid terhadap teknologi komputer untuk menarik minat mereka dalam aktiviti membaca. Sebelum melaksanakan kajian, kerangka konsepsi harus dilakarkan berdasarkan prinsip pembelajaran Behavioris, Kognitif dan Konstruktivis, dan prinsip model reka bentuk pengajaran Gagne dan ASSURE serta dengan model pembacaan Interaktif-Pengimbangian yang dirujuk melalui metode kepustakaan. Metode pembinaan bahan pula melibatkan siri pengujian bagi menyediakan perisian buku-e untuk digunakan semasa sesi lapangan. Berdasarkan perbincangan dapatan, perisian buku-e yang dibina menepati tujuh ciri multimedia. Nilai-nilai min yang tinggi dalam perbincangan kuantitatif serta pandangan positif oleh pemerhati dalam perbincangan kualitatif mengesahkan perisian buku-e sebagai bahan yang berkesan. Penilaian ujian pra- dan pasca- pula jelas menunjukkan peningkatan yang dicapai murid-murid setelah melalui sesi menggunakan buku-e. Secara tuntas, perisian buku-e ini amat berkesan dan harus diintegrasikan dalam sistem pendidikan Singapura.
Text
Bahasa Melayu
Penggunaan e-buku dalam pembelajaran bahasa Melayu : Kajian kes pelajar Darjah Empat Madrasah, Singapura
Abstrak
Kajian ini dilaksanakan untuk melihat keberkesanan kaedah pembelajaran berbantukan perisian e-buku terhadap pencapaian akademik dalam kalangan darjah 4 bagi mata pelajaran bahasa Melayu di sebuah madrasah di Singapura. Kajian ini juga dijalankan untuk melihat sejauh mana kaedah pembelajaran berbantukan perisian e-buku ini dapat meningkatkan minat dan pencapaian pelajar dalam mempelajari bahasa ibunda mereka. Seramai 62 orang pelajar dari dua buah kelas darjah empat akan dilibatkan dalam kajian ini. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan reka bentuk kuasi. Sampel kajian akan dibahagikan kepada dua kumpulan, kumpulan pertama ialah kumpulan kawalan dan kumpulan kedua ialah kumpulan eksperimen. Kumpulan kawalan terdiri daripada 30 pelajar dan kumpulan eksperimen terdiri 32 pelajar yang menggunakan kaedah pembelajaran bahasa Melayu berbantukan perisian e-buku. Satu set borang soal selidik disediakan untuk para pelajar yang berada dalam kumpulan eksperimen, satu set borang soal selidik untuk yang terlibat dalam ujikaji ini dan juga kertas latihan diberikan kepada para pelajar pada akhir penggunaan perisian e-buku bagi menguji keberkesanan kefahaman mereka terhadap isi kandungan perisian e-buku.
Text
Penggunaan ikon pelbagai institusi antara dua negara : Analisis semiotik paling luas
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan semiotik dalam penggunaan ikon, yang memberi tumpuan khusus kepada tujuh institusi antara dua negara, iaitu Malaysia dan Singapura,
Dalam bahagia pengenalan ada diberikan sedikit latar belakang kajian tentang semiotik. Aspek-aspek kajian seperti tujuan, bidang, bahan, kaedah dan konsep kajian turut disentuh dalam bab ini.
Seterusnya dalam kerangka teoritis diutarakan definisi, konsep, aliran-aliran, skop teori serta kategori teori semiotik. Dalam bab ini juga dibincangkan perbezaan konsep antara Semiotik aliran Barat dengan Islam.
Analisis kajian dijalankan secara kualitatif. Komponen jenis ikon seperti ikon tidak berlambang dan ikon berlambang dilihat dalam analisis kuantitatif dari segi bilangan dan peratusan. Perbandingan unsur antara institusi dalam dua buah negara dibuat dengan berdasarkan model semiotik paling luas. Tafsiran kajian dibuat berdasarkan analisis tersebut untuk memberikan gambaran jelas mengenai unsur-unsur semiotik yang terdapat dalam setiap institusi antara dua buah negara ini.
Yang terakhir merupakan penutup. Di sini dibincangkan rumusan analisis secara keseluruhan dan kajian selanjutnya dicadangkan.
Text
Bahasa Melayu
Penggunaan kartun dalam pembelajaran bahasa Melayu berbantukan komputer : Kanak-kanak tahap 2 di Singapura
Abstrak
Dalam era serba canggih yang berpaksikan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembangunan pendidikan mementingkan pembudayaan dan penguasaan ICT dalam kalangan pendidik dan pelajar. Kaedah pengajaran dan pembelajaran harus diubah agar dapat memupuk minat, menggalakkan pelajar supaya lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran, dan juga menerapkan amalan pembelajaran sepanjang hayat. Selain itu, penerapan ICT dalam bidang pendidik juga berupaya merevolusikan pembelajaran, memperkayakan kurikulum, memperkembangkan pedagogi, menstrukturkan organisasi sekolah dengan lebih berkesan, dan melahirkan hubungan yang lebih erat antara pihak sekolah, ibubapa, dan masyarakat. Bagi menyahut cabaran yang dilontarkan bersama pembangunan pesat ICT, Kementerian pendidikan Singapura telah mengimplimentasikan projek Masterplan dalam Pendidikan yang diusahakan dalam tiga fasa sepanjang 15 tahun. Setelah berjaya mencapai kesemua matlamat fasa pertama dan kedua, kini Masterplan dalam Pendidikan berada dalam fasa ketiga yang akan dilaksanakan hingga tahun 2014. Pembangunan perisian Pembelajaran bahasa Berbantukan Komputer (PBBK) adalah satu langkah untuk mencapai matlamat fasa ketiga dalam Masterplan dalam Pendidikan.
Text
Penghayatan corak pemakanan dan budaya Korea
dalam kalangan masyarakat melayu
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti pengaruh budaya Korea dalam masyarakat Melayu hari ini. Umum sudah mengetahui bahawa budaya Korea kini menular dan berkembang dengan pantas ekoran munculnya apa yang kita tahu sebagai Gelombang Hallyu/Korean Wave. Kajian ini menumpukan kepada corak pemakanan dan budaya makan yang diaplikasikan oleh masyarakat Melayu hasil daripada pengaruh budaya luar ini. Objektif kajian adalah untuk mengkaji faktor penarik makanan masyarakat Korea yang menjadi kegilaan dan trend masyarakat Melayu hari ini dan meneliti sejauh mana penghayatan corak pemakanan dan budaya makan masyarakat Korea diamalkan oleh masyarakat Melayu. Kaedah kajian yang digunakan pengkaji berbentuk kajian kuantitatif dimana pengalaman masyarakat diukur dan dikaji berdasarkan soalan kaji selidik. Seramai 110 orang responden berbangsa Melayu di sekitar Petaling Jaya telah dijadikan sampel uji kaji. Pengkaji juga menggunakan kaedah pengumpulan data melalui kajian kepustakaan dan pemerhatian untuk melihat corak perkembangan budaya Korea ini. Berdasarkan analisis yang diperolehi, perbincangan isu-isu yang menjawab kepada objektif kajian serta persoalan sama ada apakah benar budaya masyarakat Korea hari ini akan melunturkan budaya masyarakat Melayu. Setelah lengkap , pengkaji akan merumuskan kajian secara keseluruhan dan akan mencadangkan beberapa kajian-kajian berkaitan isu ini yang boleh dikaji pada masa akan datang.
Text
Sosio budaya Melayu
Penglibatan masyarakat Melayu dalam industri kecil dan sederhana di Kampung Raja,Besut,Terengganu
Abstrak
IKS merupakan salah satu industri yang amat diberikan penekanan oleh kerajaan terutamanya golongan bumiputera. Ini kerana kebanyakan modal dalam industri ini adalah sangat kecil dan ia amat digemari oleh golongan yang berpendapatan sederhana. Perusahaan ini berkembang di seluruh negara Malaysia, sama ada di Semenanjung Malaysia mahupun Sabah dan Sarawak. Salah satu lokasi perusahaan IKS ini ialah Kampung Raja. Kampung Raja ini terletak di daerah Besut, Terengganu dan majoriti penduduknya orang Melayu. Kebanyakan pengusaha IKS di Kampung Raja terdiri daripada pengusaha lelaki dan wanita. Terdapat pelbagai jenis IKS yang diusahakan antaranya IKS berkaitan pembuatan makanan ringan (kerepek, rempeyek dan kuih bahulu), pembuatan makanan sejuk beku (kuih-kuih), pembuatan makanan basah (keropok lekor dan ikan masin), pembuatan roti dan kek, pembuatan minuman, pembuatan anyaman mengkuang dan pembuatan pengimpalan besi. Kajian ini bertujuan untuk melihat perbandingan antara penglibatan wanita dan lelaki dalam IKS di kampung ini dan jenis IKS yang diceburi oleh kaum lelaki dan jenis IKS yang diceburi oleh kaum wanita. Selain itu, kajian ini mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh pengusaha IKS serta faktor-faktor yang mempengaruhi mereka terlibat dalam IKS. Borang soal selidik dan temubual telah digunakan sebagai kaedah pengumpulan data dan diedarkan kepada 50 orang usahawan IKS di Kampung Raja.
Text
Bahasa Melayu
Penguasaan kosa kata bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Melayu Menengah 3 Ekspres di Singapura : Kajian kes di Sekolah Menengah Unity
Abstrak
Kemerosotan dalam bahasa Melayu sering menjadi topik perbualan yang hangat dalam kalangan ahli bahasa, guru-guru, ibubapa dan juga masyarakat Melayu di Singapura umumnya. Masalah yang semakin runcing ini seakan tiada kesudahannya setelah kajian demi kajian dijalankan beserta cadangan-cadangan oleh para pengkaji terdahulu untuk memperbaiki keadaan, malahan pihak Kementerian Pendidikan Singapura dan para pendidik juga telah mencuba pelbagai cara untuk mengatasinya, namun masalah penguasaan bahasa terutamanya dari segi penguasaan kosa kata masih terus menjejas prestasi para pelajar Melayu.
Fenomena barat telah banyak mempengaruhi budaya dan penggunaan bahasa Melayu pelajar sehinggakan bahasa Inggeris diangkat menjadi bahasa utama dan bahasa ilmu di sekolah-sekolah di Singapura, lantas meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa sampingan sahaja yang sering dianggap tidak penting.
Dalam kajian ini, pengkaji cuba untuk mengesan dan menganalisis penguasaan kosa kata pelajar menengah 3 di Sekolah Menengah Unity yang bakal menduduki peperiksaan peringkat ‘O” atau peringkat biasa. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kertas latihan berbentuk prosedur kloz dalam tiga genre yang berbeza, yang dipetik daripada majalah Dewan Siswa dan diubah suai untuk mengesan tahap penguasaan penulisan serta tahap pefahaman kosa kata pelajar.
Berdasarkan teori Monitor dan Krashen (1982) dan pembentukan kemahiran hasil kajian Muhammad Saiful Haq Hussin (2010), pengkaji menjana pendapat dengan mengaitkan kajian ini dengan melihat bagaimana kemahiran kosa kata itu boleh terbentuk. Bermula dengan pemikiran yang positif dan hasil daripada rangsangan serta gerak balas yang berulang-ulang dapat membina pemahaman sehingga terbentuknya kemahiran. Kemahiran itulah yang menjana input yang boleh ditapis dan dipilih mengikut keperluan. Proses ini akan berulang sehingga terbentuknya kemahiran yang mantap.
Kajian ini ternyata membuktikan bahawa masih terdapat banyak kelemahan dari segi kosa kata bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar Melayu menengah 3 yang menjadi subjek kajian yang disebabkan oleh faktor-faktor luaran yang mengganggu kemahiran bahasa Melayu mereka. Maka pengkaji menyarankan agar semua pihak termasuk pelajar, ibubapa, sekolah dan masyarakat perlu peka dan mengambil langkah-langkah proaktif agar pembelajaran bahasa Melayu tetap kekal relevan,dan mampu menghasilkan para pelajar yang cemerlang dalam bahasa Melayu.
Dalam bab 1, pengkaji menjelaskan sedikit tentang sejarah pendidikan bahasa Melayu di Singapura dan juga sistem penyaluran pelajar dari sekolah rendah ke sekolah menengah.
Bab 2, mengetengahkan kajian lampu yang pernah dibuat oleh pengkaji-pengkaji terdahulu dan juga membincangkan tentang teori dan metodologi.
Dalam bab 3, pengkaji membentangkan dan membincangkan dapatan kajian dan menganalisis dapatan kajian tersebut secara terperinci bagi tahap penguasaan penulisan kosa kata pelajar manakala dalam bab 4 pula pengkaji meneruskan perbincangan dalam menganalisis dapatan kajian bagi tahap pemahaman kosa kata pelajar.
Akhir sekali, dalam bab 5, pengkaji memberi rumusan dan cadangan terhadap masalah yang dihadapi pelajar. Semua anggota masyarakat Melayu bertanggungjawab dalam memastikan bahasa Melayu tetap kekal relevan dan tidak luput dari sistem pelajaran di Singapura. Para pelajar perlu bertindak lebih proaktif untuk memperbaiki penguasaan kosa kata bahasa Melayu mereka agar budaya bahasa Melayu dapat kekal relevan dalam mengharungi zaman pemodenan.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengurusan artifak etnologi : Satu kajian terhadap Muzium Sarawak
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan tentang pengurusan artifak di Muzium Sarawak dan kajian ini tertumpu di Muzium Sarawak Bangunan Lama, Kuching, Sarawak. Matlamat utama kajian ini adalah untuk memahami dan merakamkan proses-proses pengurusan artifak etnologi yang ditugaskan kepada Jabatan Muzium Sarawak. Diharapkan adanya kepengurusan artifak yang baik akan berguna untuk memelihara pelestarian warisan budaya sepanjang sejarah negeri Sarawak. Kajian membuktikan peranan yang dimainkan oleh Muzium Sarawak dalam memulihara artifak etnologi amat besar dan amat berkesan. Hal ini terlihat daripada prosedur pengurusan artifak yang bersesuaian dalam mengekalkan hayat artifak yang ada di Muzium Sarawak.
Text
Pengurusan Institusi Kesenian : Cara mengurus aktiviti kebudayaan, di Pejabat Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan
Abstrak
Kajian yang dilakukan ini adalah untuk mengetahui dengan jelasnya bagaimana untuk menguruskan sesuatu aktiviti kebudayaan yang dianjurkan. Aktiviti kebudayaan seperti persembahan nyanyian, lakonan, seni muzik, seni permainan yang telah dan akan dijalankan oleh pihak tertentu di kaji bagaimana cara pengurusannya. Selama ini kita hanya melihat dan menceburkan diri dalam salah satu unsur kebudayaan yang ada di negara kita dan tidak mengetahui tentang apakah yang dilakukan oleh pengarah suatu aktiviti kebudayaan itu sebelum aktiviti dijalankan.
Juga dikaji tentang Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dalam mempelbagaikan aktiviti kebudayaan peranan dan sumbangan agensi-agensi di bawahnya untuk mengembangkan aktiviti kebudayaan dikaitkan dengan cara mengurusnya. Dinyatakan juga aktiviti yang telah dijalankan oleh salah satu jabatan yang bernaung di bawah Kementerian ini iaitu Pejabat Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagi negeri Kelantan kerana kajian dilakukan disana.
Segala aktiviti yang dijalankan di Pejabat Kebudayaan tersebut dinyatakan sedikit dan dikaitkan dengan bagaimana semua aktiviti itu diuruskan. Disertakan juga langkah-langkah asa yang paling penting dalam menguruskan aktiviti kebudayaan tidak kiralah seni persembahan atau seni rupa.
Text
Kesenian Melayu
Pengurusan kumpulan Wak Harun dalam seni persembahan Main Puteri di Kampung Wakaf Che Yeh Kota Bharu, Kelantan
Abstrak
Kajian ini dibuat mengenai salah sebuah kumpulan yang terlibat di dalam memperjuangkan seni warisan nenek moyang di Kelantan.Kumpulan yang dikaji ini merupakan salah sebuah kumpulan yang bergiat aktif dalam melakukan persembahan Main Puteri di kampung-kampung yang terdapat di negeri Kelantan dan Thailand.Kumpulan ini dikenali sebagai Kumpulan Wak Harun.
Kumpulan wak Harun merupakan salah sebuah kumpulan yang sedang mencipta nama dalam kalangan kumpulan-kumpulan yang ada di sekitar negeri Kelantan. Kumpulan Wak Harun memainkan peranan sebagai pemangkin ke arah memperjuangkan seni persembahan Main Puteri agar tidak ditelan zaman dan masih dipelihara sehingga zaman berzaman serta mempunyai pelapis baharu. Penglibatan Kumpulan Main Puteri hampir empat puluh tahun bermula pada tahun 1970 sehingga kini di dalam seni persembahan Main Puteri ini dapat membuktikan bahawa dunia persembahan di negeri Kelantan tidak pernah sunyi dengan kehadiran penggiat-penggiat seni persembahan yang berbakat besar dalam mengembangkan mutu persembahan kepada masyarakat.
Sepanjang tempoh penglibatan dalam persembahan Main Puteri, Kumpulan Wak Harun cuba meningkatkan prestasi dalam pelaksanaan dari segi pengurusan yang sistematik. Ternyata Kumpulan Wak Harun mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri apabila berjaya dalam melakukan persembahan Main Puteri. Didapati persembahan Main Puteri yang dimainkan oleh Kumpulan tersebut mendapat sambutan dan masyarakat setempat amat sesuai dengan kumpulan Wak Harun dalam melakukan persembahan Main Puteri. Sesungguhnya dengan meraih kepercayaan dari masyarakat terhadap Kumpulan Wak Harun dapat meningkatkan lagi usaha dalam memartabatkan seni warisan budaya ini.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengurusan perniagaan dalam kalangan peniaga kecil Melayu di Ayer Hitam, Batu Pahat Johor
Abstrak
Pengurusan perniagaan merupakan perkara yang penting bagi memastikan sesebuah perniagaan itu mampu untuk bertahan dan bersaing dengan perniagaan lain di samping membantu untuk mengukuhkan lagi perniagaan tersebut. Di dalam pengurusan perniagaan, terdapat beberapa aspek yang dikaji untuk melihat bagaimana seseorang peniaga itu menguruskan keseluruhan operasi perniagaan seharian yang meliputi pengurusan kewangan, bekalan, kakitangan, jadual kerja, dan juga premis perniagaan. Perkara-perkara ini seterusnya dinilai bagai melihat tahap kecekapan peniaga dalam mengurus perniagaan kerana perkara inilah antara elemen yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah perniagaan itu dan menjamin kelangsungan dan keberadaan perniagaan itu di pasaran. Oleh hal yang demikian, peniaga-peniaga perlu mengurus perniagaan dengan sistematik supaya perniagaan mereka berjalan dengan lancar.
Text
Sosio budaya Melayu
Pengurusan perniagaan pasar tani: kajian kes ke atas peniaga-peniaga Melayu Pasar Tani Mega di Seksyen 17, Petaling Jaya
Abstrak
Kajian ini menumpukan fokus kepada pengurusan perniagaan peniaga-peniaga Melayu Pasar Tani Mega di Seksyen 17, Petaling Jaya. Pasar Tani ini yang sudah hampir 30 tahun ditubuhkan semakin berkembang maju. Sejak bermula dengan Pasar Tani biasa, kini sebanyak 5 jenis Pasar Tani telah ditubuhkan. Penubuhan Pasar Tani yang baru adalah untuk membantu peniaga-peniaga pasar tani yang majoritinya adalah peniaga-peniaga Melayu sehingga kini. Oleh yang demikian, tidak hairan perniagaan Pasar Tani dicopkan sebagai perniagaan orang Melayu. FAMA merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk mengurus tadbir pemasaran yang berkaitan dengan pertanian dan industri asa tani. FAMA turut membantu peniaga-peniaga Melayu Pasar Tani dalam aspek pemasaran, termasuklah pengurusan perniagaan. Melalui kemudahan dan kursus yang dianjurkan oleh FAMA, peniaga-peniaga Melayu dapat berlatih dan mengaplikasikan pengetahuan yang diperolehi ke dalam perniagaan masing-masing. Ini meliputi aspek pengurusan perniagaan seperti pengurusan kewangan, produk, dan sumber tenaga kerja. FAMA turut melancarkan program Jimat Belanja Dapur. Rata-rata perniaga-perniaga Melayu Pasar Tani Mega di Seksyen 17, Petaling Jaya terlibat dalam program anjuran FAMA. Program Jimat Belanja Dapur dilihat memberikan kesan positif ke atas perniagaan Pasar Tani.
Text
Peniaga-peniaga kecil makanan di Pusat Penjaja
Kampung Kerinchi Kuala Lumpur
Abstrak
Latihan ilmiah ini merupakan satu kajian etnografi tentang peniaga-peniaga kecil makanan di Pusat Penjaja Kampung Kerinchi DBKL. Latihan ilmiah ini bertujuan untuk meneliti beberapa aspek khusus yang berkaitan dengan peniaga yang menjalankan perniagaan makanan secara kecil-kecilan.
Perniagaan secara kecil-kecilan merupakan satu kegiatan ekonomi yang sudah lama muncul sejak kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat tanpa pengenalan fungsi ekonomi.
Perniagaan menjual makanan secara kecil-kecilan di negara ini yang diusahakan oleh orang melayu telah bertambah dari segi penyertaan. Mereka menjadikan bidang perniagaan walaupun secara kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan utama bagi menyara diri dan keluarga. Jika ditinjau pada hari ini, perniaga-perniaga kecil makanan berada di merata-rata tempat sama ada yang telah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan dengan kegiatan menjual nasi, pisang goreng dan sebagainya.
Perniagaan menjual makanan yang dijalankan amat senang mendapat pelanggan. Ini adalah kerana perniagaan dalam bentuk sedemikian dapat dijalankan di mana-mana tempat yang membolehkan jualan makanan dilakukan. Satu lagi perniagaan makanan ini boleh menggunakan apa saja peralatan termasuk kereta sorong, gerai berkunci dan sebagainya.
Perniagaan menjual makanan ini memang digemari oleh orang-orang Melayu kerana ianya tidak memerlukan modal yang besar untuk memulakannya. Sememangnya bidang perniagaan makanan secara kecil-kecilan merupakan satu bidang yang mudah dimasuki oleh mana-mana ahli masyarakat yang ingin menceburi bidang ini sebagai satu usaha mendapat sumber pendapatan tetap.
Text
Sosio budaya Melayu
Peniaga-peniaga kecil Melayu : Kajian kes di Pekan Sehari Temerloh, Pahang
Abstrak
Keusahawanan hakikatnya bukanlah satu perkara yang asing khususnya kepada kaum Melayu. Melalui perniagaan kecil-kecilan, para peniaga adalah merupakan agen yang penting dalam membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada masyarakat terutamanya penduduk di luar bandar. Kajian ini telah melihat kepada beberapa penemuan yang telah dikaji berdasarkan kepada pengkajian pengkaji di Pekan Sehari Termeloh, Pahang. Berdasarkan kajian tersebut, terdapat lima penemuan kajian yang telah dibahagikan iaitu peranan kekeluargaan, kewangan, peluang yang disediakan, strategi perniagaan dan masalah yang mereka dihadapi. Setiap daripada peranan tersebut memainkan peranannya masing-masing dalam sektor perniagaan kecil-kecilan terutamanya bagi peringkat luar bandar. Sebagai salah satu sumber ekonomi masyarakat luar bandar sektor ini telah membuktikan keberkesanannya dalam membasmi dan mengurangkan kadar kemiskinan dalam khususnya bagi masyarakat Melayu. Kegiatan perniagaan ini banyak membantu orang Melayu dalam meningkatkan kegiatan ekonomi mereka. Namun demikian perlu ada daya usaha yang lebih di kalangan para peniaga untuk terus maju dan berdaya saing dengan kaum yang lain.
Text
Sosio budaya Melayu
Penilaian terjemahan teks kreatif ‘Kenang-kenangan Seorang Geisha’ dan Mutiara
Abstrak
Penterjemahan merupakan suatu bidang ilmu yang penting. Manusia sejak dahulu telah dapat memperoleh ilmu pengetahuan serta mempelajari budaya daripada masyarakat lain melalui penterjemahan. Sebuah teks terjemahan, terutamanya teks kreatif yang bermutu hanya akan terhasil sekiranya penterjemahan mengetahui bahasa sumber dengan mendalam di samping mempunyai kemahiran dan kecekapan yang sama dalam bahasa sasaran.
Di Malaysia, bidang penterjemahan telah berkembang pesat hingga wujudnya pelbagai koleksi karya terjemahan dalam pasaran. Namun kualiti karya terjemahan tersebut sering menjadi persoalan. Memandangkan karya teks kreatif merupakan antara genre yang paling sukar diterjemahkan, kesilapan dan kesalahan dalam karya-karya terjemahan karya kreatif tidak dapat dielakkan. Justeru, untuk mempertingkatkan kualiti hasil terjemahan kreatif, penilaian telah dilakukan untuk menilai dua buah karya kreatif terpilih, iaitu Mutiara yang diterjemahkan oleh Abdullah Hussain daripada karya The Pearl (John Steinbeck) dan Kenang-kenangan seorang Geisha yang diterjemahkan oleh Abdul Latif Bidin daripada karya Memoirs of a Geisha (Arthur Golden). Penilaian dilakukan berdasarkan model penilaian teks kreatif. Pengkaji terlebih dahulu menilai kedua-dua teks dari aspek pendekatan yang digunakan penterjemah bagi menterjemahkan unsur budaya, metafora, simile dan idiom. Seterusnya, pengkaji menilai perbandingan kedua-dua teks ini berdasarkan kekuatan dan kelemahan terjemahan.
Penilaian yang dilakukan jenis menunjukkan bahawa dalam usaha menghasilkan satu-satu karya terjemahan terutama karya teks kreatif, pasti akan ada kekuatan serta kekurangan dalam hasil terjemahan, tidak kira siapa penterjemah itu. Contohnya, penilaian ini menunjukkan bahawa walaupun seorang penterjemah itu berpengalaman dalam bidang penulisan karya teks kreatif dan mantap dari segi bahasa, dia tetap akan menghasilkan terjemahan yang lemah sekiranya terkongkong dengan terjemahan cara lama. Kelaziman penterjemah menterjemahkan unsur-unsur bahasa kiasan secara literal sahaja juga akan turut menjejas kualiti suatu teks terjemahan kreatif.
Text
sastera Melayu
Penilaian terjemahan teks kreatif novel ‘Amina”
Abstrak
Setiap bidang ilmu berasal daripada masyarakat yang berbeza. Hal ini disebabkan setiap kelompok mempunyai kelebihan atau kemahiran yang dapat dipelajari oleh masyarakat lain. Oleh itu, penterjemahan merupakan bidang yang mampu menyalurkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan tersebut. Lantas, membolehkan masyarakat memperoleh ilmu pengetahuan daripada budaya asing.
Selain itu, penterjemahan juga bertujuan untuk menghubungkan anggota dalam sesuatu masyarakat dwibahasa atau pelbagai bahasa. Dewan ini, bilangan penutur dwibahasa semakin hari semakin meningkat. Oleh itu, wajarlah diadakan usaha tertentu dalam mengembangkan bidang penterjemahan ini agar terus diperbaiki dan sentiasa relevan dengan konteks hari ini.
Sesuatu hasil terjemahan yang baik bergantung kepada pemahaman yang menyeluruh terhadap teks asal, dan penggunaan bahasa yang baik. Faktor-faktor sedemikianlah yang menyumbang kepada kepuasan para pelanggan, dan menjadikan kerja menterjemah sesuatu yang memuaskan hati. Berkaitan hal tersebut, buku-buku yang telah diterjemahkan haruslah melalui proses penilaian terdahulu sebelum diterbitkan. Perkara ini penting untuk memantau mutu terjemahan yang dihasilkan oleh para penterjemah agar terus berjaya memuaskan hati para pembaca sasaran.
Dalam mempertingkatkan kualiti hasil terjemahan kreatif, pengkaji telah menilai karya kreatif terpilih,, iaitu Amina terjemahan Nor Farhana Zulkeplee, Nurul Hidayah Abdullah, dan Wan Norazah Wan Chik. Penilaian tersebut dilakukan berdasarkan model penilaian teks kreatif. Dalam kajian ini, pengkaji menilai dari segi pendekatan yang digunakan dalam menterjemahkan unsur makna dan budaya. Seterusnya, aspek kekuatan dan kelemahan terjemahan teks tersebut turut dinilaikan bagi meneliti mutu terjemahan yang dihasilkan.
Penilaian yang terhasil menunjukkan bahawa dalam menghasilkan satu-satunya karya terjemahan terutama karya teks kreatif, pasti akan ada kekuatan serta kekurangan dalam hasil terjemahan, tanpa mengira siapa penterjemah itu. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, maka figuaratif, emosi dan aspek budaya yang diterjemahkan secara literal didapati akan menjejas mutu suatu teks terjemahan kreatif.
Text
Sosio budaya Melayu
Penterjemahan budaya dan estetika dalam puisi
Abstrak
Latihan ilmiah ini membincangkan penterjemahan budaya dan estetika dalam puisi serta menggunakan teks-teks puisi Air Mata Mendidih, Pahlawan kemerdekaan, Serapah Pejuang Sastera, di bawah Bintang mengerdip dan Senja di Pelabuhan Kecil sebagai korpus utamanya. Dalam hal ini, kajian yang dijalankan secara khususnya meneliti teks-teks puisi yang diterjemahkan daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris.
Kajian yang diselenggarakan ini dilahirkan atas kesedaran ilmu penterjemahan puisi lazimnya berdiri atas daerah yang kabur serta jarang dibincang secara ilmiah. Namun demikian, penterjemahan puisi merupakan antara elemen terpenting dalam mengangkat karya-karya berbahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi dalam persada antarabangsa.
Disamping itu, kajian ini antara lainnya menerapkan pendekatan Peter Newmark (1988 & a988b) sebelum digandingkan dengan penilaian estetika dalam puisi dengan mengukur kesan emotif dan penstrukturan semula bahasa. Hasil daripada gabungan kedua-dua unsur utama tersebut, pengkaji telah menghasilkan sebuah model analisis unsur budaya dan estetika dalam puisi bagi menggariskan kajian yang dijalankan.
Hasil daripada kajian yang dijalankan, pengkaji sekali gus telah menghuraikan proses penterjemahan puisi, khususnya dalam penterjemahan karya-karya yang cenderung terhadap unsur budaya dan estetika yang tinggi. Di samping itu, pengkaji turut telah memberikan kritikan terhadap penterjemahan yang dibuat ke atas karya-karya yang disebutkan dalam latihan ilmiah ini.
Text
Bahasa Melayu
Penterjemahan sari kata filem : Satu kajian kes terhadap filem ‘Van Helsing’
Abstrak
Kajian ini meneliti teks terjemahan sarikata filem ‘Van Helsing’ yang merupakan sebuah filem berbahasa Inggeris yang mula ditayangkan pada sekitar tahun 2004.
Tujuan kajian ini dilakukan adalah untuk menganalisis kesalahan bahasa terdapat dalam teks terjemahan sarikata bahasa Melayu sebuah filem. Justeru, secara tidak langsung kajian ini dapat membantu para penterjemahan dan menyedarkan penterjemahan di negara kita bahawa mutu penterjemahan sari kata sememangnya masih boleh ditingkatkan lagi.
Tumpuan kajian ini ialah meneliti kesalahan dalam teks terjemahan sarikata dari segi kesalahan bahasa yang meliputi kesalahan morfologi, kesalahan sintaksis, dan kesalahan ejaan. Ketiga-tiga kesalahan ini akan dibahagikan pula kepada beberapa jenis kesalahan lain. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa kesalahan morfologi sebanyak 44%, kesalahan sintaksis berjumlah 38%, manakala kesalahan ejaan adalah sebanyak 23%.
Text
Penyakit berkaitan wanita berdasarkan kitab Tib Melayu
Abstrak
Setiap masyarakat mempunyai sistem perubatan tersendiri. Sistem perubatan mengandungi satu set idea dan amalan yang berkaitan dengan keuzuran. Set idea dan amalan perubatan merangkumi etiologi keuzuran, kaedah pengubatan, penyembuhan dan penawar penyakit. Perubatan tradisional telah wujud berabad lamanya masih releven dalam masyarakat Melayu dan diterima penggunaannya dalam mengubati sesuatu penyakit. Sistem perubatan tradisional Melayu merupakan tradisi warisan yang memainkan fungsi penting dalam masyarakat. Dalam kajian ini, aspek yang dihuraikan adalah merangkumi penyakit berkaitan wanita, kaedah dan teknik pengubatan yang digunakan dalam mengubati penyakit. Perubatan tradisional Melayu bersifat holistik melibatkan aspek spiritual, psikologis, fizikal/fisiologi dan moral. Bidang perubatan Melayu meliputi urut, herba, bekam, postnatal dan kerohanian (jampi dan mantera). Kajian penyakit berkaitan wanita menumpukan kepada aspek penggunaan herba dan akar kayu dalam mengubati penyakit-penyakit fizikal. Pengamal perubatan tradisional seperti bomoh, bidan dan dukun merupakan pakar dalam memainkan peranan utama dalam menyembuhkan sesuatu penyakit. Dalam kajian ini, terdapat 10 penyakit yang diperincikan kaedah pengubatan dan penawarnya. Kajian ini juga merangkumi etiologi keuzuran dimana membahagikan penyakit kepada keadaan naturalistic dan personalistik. Dalam kajian penyakit berkaitan wanita, pengkaji memberikan tumpuan kepada penyakit yang disebabkan oleh naturalistik. Namun tidak dapat dinafikan, terdapat penyakit yang disebabkan oleh unsur personalistik dalam masyarakat Melayu tradisional
Text
Bahasa Melayu
Peralihan bahasa Melayu dalam domain agama : Satu kajian kes di Singapura
Abstrak
Dasar pendidikan pemerintah Singapura walaupun berorientasikan kepada pragmatik ekonomi, masih lagi menitikberatkan pendidikan bahasa ibunda (Bahasa Melayu). Dalam hal ini, bahasa ibunda dilihat sebagai penimbal budaya yang mampu menjadi benteng bagi rakyat Singapura supaya kekal dengan identiti Timur mereka. Dasar begini telah dilakar pemerintah dengan adanya dasar-dasar yang mementingkan pendidikan bahasa ibunda. Kini pelajaran bahasa ibunda tersedia di dalam kurikulum pendidikan setiap anak Singapura.
Walau bagaimanapun, pelajaran bahasa ibunda sekadar di dalam bilik darjah hanya mengotakkan penggunaan bahasa Melayu di dalam bilik darjah. Berbeza dengan negara-negara jiran Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, penggunaan bahasa Melayu di Singapura hanya digunakan dalam ruangan yang agak terhad. Khususnya di Singapura, ruang penggunaan bahasa Melayu hanya dapat diwakili dengan domain-domain yang tertentu sahaja. Domain-domain tersebut ialah sekolah (kelas bahasa Melayu), rumah,media vernakular dan keagamaan. Dewasa ini, bahasa Inggeris menjadi bahasa perhubungan utama di Singapura dan bahasa ibunda (bahasa Melayu) menjadi bahasa sekunder. Seperti yang dikatakan di atas, nilai pulangan ekonomi penggunaan bahasa Inggeris telah menurunkan tahap penggunaan bahasa Melayu. Hal ini telah melihatkan gejala penyisihan bahasa, berlakunya peralihan daripada bahasa etnik yang kurang berprestij kepada bahasa yang lebih berprestij, memberikan lebih pulangan, praktikal dan berguna.
Kajian peralihan bahasa yang dilakukan penyelidik akan melihat kepada gejala berlakunya peralihan bahasa daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Terdapat beberapa kajian tentang peralihan bahasa yang dilakukan oleh para sarjana di rantau ini namun bukan semuanya berkisar kepada bahasa Melayu. Antaranya ialah kajian-kajian gejala peralihan bahasa yang dijalankan ialah oleh khemlani-David(1996), Ramachandaran (2000), Lokasudari (2006), Kumari(2007) dan Thomas(2007). Kajian oleh khemlani-David(1996) mengenai peralihan dan pengekalan bahasa telah menunjukkan adanya peralihan dan pengurangan domain bahasa di kalangan masyarakat Sindhi di Malaysia. Gejala-gejala peralihan bahasa yang dikaji oleh para sarjana seperti Ramachandaran, Lokasundari menjurus kepada gejala peralihan bahasa di kalangan etnik-etnik minoriti India di Malaysia seperti golongan Iyer dan Malayalee. Namun terdapat sebuah kajian yang dilakukan oleh Nor Hisham Osman (1999) terdapat komuniti Rajang-Tanjong. Kajian beliau melihat kepada pemeliharaan dan penyisihan bahasa di kalangan masyarakat pribumi Sarawak di Borneo.
Bagi gejala-gejala peralihan bahasa di Singapura pula tidak banyak kajian yang dilakukan. Di antara kajian-kajian ini ialah yang dilakukan oleh Sobrielo (1985) yang mengkaji tentang peralihan dan pengekalan bahasa di kalangan masyarakat India keturunan Tamil. Selain itu, terdapat kajian yang dilakukan oleh Rohini(1996) ke atas masyarakat Sinhalese Singapura. Kajian khusus ke atas penggunaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat Melayu di Singapura telah dilakukan oleh Roksana Bibi Abdullah. Pada 2002, beliau telah menghasilkan makalah tentang pengekalan dan peralihan bahasa di kalangan masyarakat Bewean Singapura. Beliau juga telah menghasilkan tesis kedoktoran pada 2002 yang membicarakan tentang pemilihan dan penggunaan bahasa di kalangan orang Melayu Singapura.
Gejala peralihan bahasa yang dikaji ini pula akan ditumpukan khusus kepada domain keagamaan. Domain keagamaan dipilih kerana dalam kajian-kajian peralihan bahasa sebelum ini, walaupun domain keagamaan telah diambil kira tetapi analisis mengenai penggunaan, kekerapan dan peralihannya belum lagi dikaji secara tuntas. Ini ditambah lagi dengan perkembangan semasa dalam pendidikan agama Islam di Singapura. Dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memperkenalkan program aLIVE di dalam bahasa Inggeris, dirasakan adanya peralihan bahasa yang penting dan akan memberi impak terhadap pola penggunaan bahasa Melayu di Singapura. Bahasa Melayu dan agama Islam telah menjalin hubungan yang amat intim sejak awal abad ke-14 lagi. Perbendaharaan kata, istilah dan nilai yang terpancar di dalam agama Islam, telahpun menjadi sebahagian identiti bahasa Melayu. Apabila tersebarnya agama Islam, segala ilmu yang mampu diutarakan di dalam bahasa Melayu telah menjadi realiti kerana pada awalnya bahasa Melayu hanya dapat menggarap keilmuan yang tidak akan membina satu tamadun yang agung. Dengan adanya Islam di tanah Melayu, bahasa Melayu telah melonjak menggarap kata, istilah dan juga nilai yang maju, moden dan saintifik dan ini telah mengubah paradigma orang Melayu daripada minda yang kolot dan jumud kepada minda yang rasional-saintifik (Al-Attas, 1972).
Kajian mengenai peralihan bahasa ini akan menggunakan kaedah soal selidik. Responden yang akan menjawab soal selidik ini terdiri daripada pelajar-pelajar yang mengikuti pendidikan agama sistem aLIVE. Data-data yang terkumpul melalui soal selidik merupakan bahan asas analisis kajian ini.
Melalui kajian yang akan dijalankan oleh pengkaji, diharapkan dapat menghasilkan data-data yang akan menunjukkan kepada beberapa perkara. Pertama, data-data yang diperolehi akan menunjukkan jika adanya peralihan bahasa di dalam domain agama. Melalui dapatan ini, satu unjuran mengenai penggunaan bahasa Melayu dalam domain agama dan domain-domain lain dapat diandaikan. Kedua, melalui dapatan-dapatan kajian, pengkaji dapat membuat analisis terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan agama melalui data-data ini, satu gambaran mengenai peralihan bahasa dalam domain agama dapat diketengahkan.
Text
Kesenian Melayu
Sosio budaya Melayu
Peranan dan cabaran Gamelan pada masa akan datang: Kajian kes di Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Pekan, Pahang
Abstrak
Gamelan merupakan muzik tradisional yang semakin tidak dikenali kerana kewujudan pelbagai jenis muzik moden pada masa kini. Kewujudan pelbagai jenis muzik moden telah memberikan impak dan persaingan yang besar kepada muzik gamelan dan muzik tradisional masa kini. Pelbagai cabaran dan masalah yang dihadapi oleh penggiat muzik gamelan untuk terus mengekalkan seni muzik gamelan di persada dunia. Pelbagai usaha dan cara yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak yang bertanggungjawab untuk terus memelihara kesenian muzik gamelan dan menjadikan gamelan sebagai warisan negara. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk meneliti dan mengkaji cabaran yang dihadapi oleh muzik gamelan pada masa akan datang. Tambahan lagi, mengaitkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menekankan Pendidikan Kesenian dengan gamelan yang menjadi kebitaraan di sekolah tempat kajian. Dasar Pendidikan Kebangsaan merupakan dasar yang mementingkan kesenian dan antara usaha kerajaan untuk mengekalkan dan memupuk nilai-nilai kesenian dalam kalangan pelajar dari peringkat sekolah lagi.
Text
Peranan Kelab Sukan Tradisional Harmoni Malaysia (KSTH) dalam melestarikan permainan tradisional melayu
Abstrak
Masyarakat Melayu secara umumnya sangat kaya dengan pelbagai budaya warisan yang secara tidak langsung menjadi salah satu lambang bagi identiti masyarakat Melayu. Oleh itu, antara salah satu warisan budaya yang menjadi identiti orang Melayu ialah permainan tradisional. Pelestarian dalam warisan budaya amatlah penting agar tidak akan lupus dan dilupakan oleh generasi akan datang. Penyelidikan yang dilakukan adalah untuk memaparkan dan meninjau peranan dan unsur-unsur pelestarian yang telah dilakukan oleh sesebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Kelab Sukan Tradisional Harmoni Malaysia (KSTH). Kelab Ini juga telah berkolaborasi dengan pihak kerajaan seperti Jabatan Warisan Negara (JWN), Kementerian Belia dan sukan (KBS), Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Malaysia. Kajian ini dilakukan dengan menggunakan kaedah kualitatif iaitu kaedah kepustakaan, kaedah pemerhatian dan kaedah temubual. Kajian ini menumpukan pada struktur dan organisasi KSTH, jenis permainan tradisional Melayu yang telah dilestarikan oleh pihak KSTH dan unsur-unsur pelestarian yang dilakukan oleh KKSTH.
Text
sastera Melayu
Peranan Kompleks Sejarah Pasir Salak dalam sektor pelancongan di kawasan berhampiran dan kesannya kepada penduduk setempat
Abstrak
Penulisan latihan ilmiah ini secara khususnya memberi tumpuan kepada peranan Kompleks Sejarah dalam sektor pelancongan dan juga kesan penubuhan terhadap penduduk setempat.
Di dalam penulisan ilmiah ini, pada bab satu pengkaji cuba menghuraikan serba sedikit mengenai Kompleks Sejarah Pasir Salak seperti lokasi kawasan Kompleks. Selain itu, turut juga menghuraikan mengenai tajuk kajian, objektif kajian, kepentingan kajian, metodologi, organisasi dan juga permasalahan kajian.
Di dalam bab dua, pengkaji memfokuskan beberapa pengertian definisi mengenai muzium dan juga sektor pelancongan. Ini bertujuan untuk memberi pemahaman dalam membuat kajian. Selain itu, bab ini turut membincangkan mengenai perkembangan awal penubuhan muzium di dunia dan juga Malaysia.
Pada bab ketiga pula, pengkaji membincangkan peranan Kompleks Sejarah dalam sektor pelancongan yang disebabkan oleh penubuhan Kompleks. Selain itu, membincangkan sejauh mana Kompleks memberi sedikit kesan kemasukan pelancongan di negeri Perak dan negara Malaysia. Ini dapat dibuktikan melalui analisis data kedatangan pelancongan ke Kompleks Sejarah.
Di dalam bab empat pula,pengkaji membincangkan mengenai kesan yang wujud kepada penduduk setempat akibat daripada perkembangan sektor pelancongan. Melalui bab ini, pengkaji membuat analisis kajian bagi mengenalpasti kesan yang dialami oleh penduduk setempat yang tinggal berhampiran dengan Kompleks.
Pada bab lima ini, pengkaji membuat kesimpulan akhir mengenai kajian telah dibuat.
Text
Sosio budaya Melayu
Peranan Masjid Beijing sebagai pusat pembentukan peribadi muslim : Kajian kes di Rantau Panjang Kelantan
Abstrak
Agama Islam berkembang mekar dan masjid merupakan pembuktian dan mercu tanda terpenting bahawa Islam telah bertapak. Senibina Islam dan reka bentuk awal masjid banyak memperlihatkan gaya seni bina. Perkembangan Islam ke Asia telah turut membawa pelbagai reka bentuk yang dipengaruhi atau di asilimisasi daripada pelbagai negara sama ada gaya dunia China iaitu gaya Cina-Islam, gaya India, dan gaya Gugusan Pulau-pulau Melayu yang telah menghasilkan pelbagai perubahan kepada seni bina masjid gaya Arab. Seni bina masjid dengan ini secara jelas memperlihatkan betapa pengaruh kebudayaan setempat telah dapat disesuaikan dan diterima pakai dalam pembentukan reka bentuknya. Seni bina masjid sentiasa menerima perubahan dan ianya melibatkan falsafah bangsa dan kefahamannya terhadap hukum alam. Kajian ini akan memperlihatkan sebuah masjid yang berseni binaan Cina yang apabila dilihat daripada jauh kelihatan seperti kuil cina. Hal ini menunjukkan reka bentuk yang terhasil daripada falsafah dan kebudayaan bangsa dan penduduk setempat yang pelbagai. Dalam kajian ini, pengkaji akan mengkaji dan akan menerangkan tentang definisi mengenai masjid, seni bina dan peranan masjid sebagai pusat pembentukan peribadi muslim. Peranan masjid sebagai pusat pembentukan peribadi muslim akan dilihat melalui aktiviti yang dijalankan oleh Masjid Beijing berkenaan sama ada melalui ceramah, kelas, kelas agama dan sebagainya.
Text
Sosio budaya Melayu
Peranan Muzium dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sejarah di sekolah-sekolah
Abstrak
Institusi Muzium merupakan sebuah khazanah yang memberi banyak nilai memorial dalam konteks Sejarah negara. Tanpa Muzium, maka kita tidak akan lagi dapat menilai, mengetahui dan merasai nilai-nilai Sejarah terutama Sejarah negara tercinta. Walaupun keberadaan institusi Muzium kini tidak lagi menjadi suatu kemegahan oleh sesetengah masyarakat yang terlalu taksubkan kecanggihan teknologi, kita sebagai rakyat yang cintakan dan sayangkan negara perlu melihat penubuhan institusi Muzium ini sebagai sebuah gedung penyimpanan khazanah dan harta yang tidak ternilai. Tanpa Sejarah, kita tidak akan berjaya dan tidak dapat memupuk semangat kesedaran apatah lagi untuk mengambil iktibar di atas peristiwa-peristiwa lampau yang berlaku kepada negara kita, malaysia.
Dalam penyelidikan yang dibuat ini, penyelidik melihat tentang rasional dan kepentingan penubuhan sesebuah Muzium kepada masyarakat. Di dalam konteks ini, penyelidik telah memfokuskan kepada para pelajar di dalam konteks pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam mata pelajaran Sejarah. Apakah institusi Muzium releven dan dapat memberi sumbangan dalam mata pelajaran Sejarah atau pun tidak.
Oleh hal yang demikian, penyelidik telah menggunakan pendekatan-pendekatan yang dirasakan bersesuaian untuk digunakan dalam mencari jawapan kepada persoalan yang dibincangkan. Penyelidik telah memilih untuk menggunakan beberapa pendekatan yang dilihat sesuai untuk digunakan untuk menjalankan kajian. Antaranya adalah dengan menyebarkan borang soal selidik atau “Questionaire” dan kajian Perpustakaan yang dilakukan di Institusi Muzium, Arkib dan Perpustakaan. Selain itu juga, penyelidik telah menjalankan satu sesi temubual bersama informan iaitu Encik Zainal bin Ariffin iaitu Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelarasan dan Pelaksanaan di Muzium Negara. Malah, bagi mendapatkan maklumat dan persepsi daripada para pelajar mengenai isu yang dikupas ini, penyelidik juga telah membuat sesi temuramah bersama dengan tiga orang informan bagi melihat skop ini dengan lebih meluas.
Setelah menjalankan kajian ini, penyelidik telah mendapat suatu keputusan yang memuaskan kerana sememangnya institusi Muzium dapat memberi sumbangan kepada masyarakat masih lagi relevan. Malah, institusi ini juga sememangnya turut memberi sumbangan kepada para pelajar dalam mata pelajaran Sejarah. Seterusnya, penyelidik turut memberi beberapa pendekatan sebagai cadangan yang boleh digunakan oleh pihak Muzium dan pihak sekolah dalam usaha untuk menarik minat para pelajar untuk datang ke Muzium. Kesimpulannya, sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa institusi Muzium mempunyai peranan yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah di sekolah-sekolah berdasarkan kepada peranan dan objektif yang disasarkan oleh institusi Muzium. Sesungguhnya, tanpa Sejarah, kita tidak dapat melihat sejarah asal usul kita”.
Showing 151 to 200 of 285 results
Page
of 6
Output Formats:
atom
,
csv
,
dcmes-xml
,
json
,
omeka-xml
,
rss2
!-- Matomo -->